Jumaat, Disember 07, 2018

Kisah Orang Miskin Yang Mengeluh


Pada satu hari sekumpulan orang miskin mengunjungi RasulullahSAW dan mengeluh, "Orang-orang kaya meninggal dunia dan memperoleh darjat yang tinggi. Mereka melakukan solat, sebagaimana kami melakukannya. Mereka juga berpuasa sebagaimana kami berpuasa. Tetapi mereka memiliki kelebihan harta yang dapat mereka gunakan untuk menunaikan haji, umrah dan berjihad serta bersedekah."

Orang Miskin Yang Mengeluh

Apabila mendengar keluhan itu Rasulullah bersabda, "Mahukan kamu semua aku beritahu suatu amal yang boleh kamu lakukan, dengan cara itu kamu dapat menyusul mereka yang telah mendahului kamu itu dan tidak ada seorang pun yang boleh mengalahkan kamu semua? Malah kamu akan menjadi lebih baik daripada mereka, iaitu bertasbih, bertahmid dan bertakbirlah sebanyak 33 kali setiap kali selepas solat."

Dalam riwayat Muslim disebutkan bahawa sekumpulan orang miskin muhajirin bertemu Rasulullah dan berkata, "Sebahagian orang kaya mendengar apa yang kami lakukan, kemudian mereka juga melakukan hal itu.'' Lalu Rasulullah bersabda, Itu merupakan keutamaan Allah yang diberikan kepada sesiapapun yang Dia kehendaki.

Sekali imbas, hadis tersebut bermakna bahawa orang kaya lebih berpeluang memasuki syurga. Ini kerana melalui kekayaan duniawi yang mereka miliki, mereka mampu untuk melakukan ibadah berbanding kaum fakir.

Orang kaya mampu meraih pahala melalui zakat, sedekah, jihad, haji, umrah dan sebagainya. Manakala orang miskin hanya memperoleh pahala melalui amalan sehariannya seperti solat, zikir, berpuasa yang juga mampu dilakukan oleh orang kaya.

Maksudnya, apabila tingkat amalan antara si kaya dan si miskin itu sama dan sedarjat, orang kaya memiliki kelebihan amal kebajikan kerana mereka dapat menunaikan sejumlah amal ibadah yang tidak dapat dilakukan oleh orang-orang yang fakir, apatah lagi Rasulullah SAW pernah bersabda, "Orang yang kuat lebih baik dan dicintai Allah daripada orang mukmin yang lemah, dan di dalam kedua-duanya itu ada kebaikan."

Bagaimanapun, kekayaan bukanlah jaminan bagi seseorang itu dengan mudah mendapat balasan syurga. Ada juga sebahagian besar daripada orang kaya yang tidak menggunakan kekayaannya itu untuk mencari keredhaan Allah.

Justeru, tidak hairanlah dalam sebuah hadis disebutkan bahawa orang-orang kaya adalah orang yang jauh daripada sikap tunduk dan taat kepada Allah. Ini berlaku kerana mereka terlalu cintakan jawatan atau harta yang mereka miliki, berbanding ketaatan kepada Allah.

Oleh itu persoalan bahawa orang kaya akan lebih mudah masuk syurga merupakan satu pandangan serong kerana Rasulullah SAW pernah bersabda, "Aku melihat kebanyakan penghuni syurga adalah kaum fakir, dan aku lihat neraka ternyata paling banyak penghuninya adalah wanita."

"Malah dalam sebuah lagi hadis Rasulullah bersabda, "Aku berdiri di pintu syurga, ternyata umumnya kelompok orang yang memasukinya adalah orang-orang miskin."

Ternyata kini, soal masuk ke syurga atau neraka bukanlah bergantung kepada kekayaan atau kemiskinan seseorang itu tetapi lebih banyak berkait rapat kepada soal amal ibadah kita kepada Allah SWT. Syurga merupakan tempat bagi orang-orang yang rendah hati (tawaduk) dan khusyuk kepada Allah.

Dalam sebuah hadis disebutkan, "Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada kesombongan sebesar zarah dan tidak akan masuk neraka orang yang dalam hatinya ada iman sebesar zarah."

Bagaimanapun, kesombongan tidak berkait langsung dengan kekayaan seseorang itu, ini jelas apabila Rasulullah bersabda, "Tiga orang yang tidak akan diajak bercakap oleh Allah dan tidak dilihat pada Hari Kiamat dan mereka mendapat azab yang pedih. Golongan itu ialah orang fakir yang sombong, orang tua yang berzina dan pemimpin yang berbohong."

Hakikatnya, peluang untuk memasuki syurga adalah sama rata di kalangan umat Islam, sama ada ia si miskin yang sabar atau si kaya yang bersyukur.

Orang miskin yang sabar sentiasa bersyukur dengan apa yang dimilikinya, sementara orang kaya yang bersyukur adalah orang yang menggunakan kekayaan untuk beribadah di jalan Allah.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

2 comments

sangat bermanfaat.. kerana pernah terpikir ttg ini. kadang2 cemburu dgn mereka yg ada duit dpt menunai kn umrah.slp baca penulisan ini lega rasa di hati.. t. kasih kpd admin.

Kita harus terus berjuang,jangan gampang mengeluh, semnagat terus

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon