Tuesday, October 29, 2019

Senarai NGO Dan Pertubuhan Pro LTTE Di Malaysia

Senarai NGO Dan Pertubuhan Pro LTTE Di Malaysia

P. Ramasamy dianggap sengaja mengapi-apikan penganut agama Hindu dengan menyebut beratus-ratus dan beribu-ribu kuil Hindu telah dirobohkan di seluruh di Malaysia pada tahun-tahun 1980-an, 1990-an dan 2000-an sewaktu Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Pertubuhan Pro LTTE

Pendirian P Ramasamy berhubung perobohan kuil bersejarah di Seafield sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima penganut agama itu juga boleh dianggap sebagai cubaan untuk mengapikan kaum India di negara.

P Ramasamy juga turut mengapi-apikan penganut agama bukan Islam di negara ini dengan kenyataannya yang mendakwa ruang-ruang untuk penganut agama bukan Islam sedang semakin disekat.

Selain mengapi-apikan kaum India dan masyarakat bukan Islam, P Ramasamy dikatakan cuba menghasut pemimpin-pemimpin negara dalam beberapa isu seperti pengajaran khat di sekolah dan perkara yang melibatkan pendakwah Islam, Dr Zakir Naik.

Jika sebelum ini 2 orang ADUN ditahan dibawah SOSMA kerana menghadiri dan memberi ucapan pada hari Perwira (teroris) LTTE, di sini dapat dilihat P. Ramasamy juga begitu konsisten mempromosi ritual hari Perwira (teroris) LTTE atau dikenali sebagai Maaveerar Naal pada tahun 2010, 2011, 2013, 2014, 2015, dan 2016.

Kesemua tangkap layar ini diperolehi dari Page Prof Dr Ramasamy yang merupakan page rasmi beliau. Akan tetapi kesemua gambar ini telah DIPADAM oleh page tersebut.

P Ramasamy, juga dilapor menegaskan beliau tidak gentar sekiranya dia ditangkap oleh pihak polis susulan penangkapan mereka yang didakwa mempunyai hubungan dengan LTTE.

SENARAI NGO & PERTUBUHAN PRO LTTE

Di sini kami senaraikan sebahagian besar NGO dan Pertubuhan Tamil yang pro kepada LTTE.

1. Naam Tamilar Malaysia

Naam Tamilar Malaysia adalah sebuah NGO yang menerapkan ideologi LTTE di segenap ruang lingkup pertubuhan mereka.

Kalai Mugilan adalah penggerak utama kepada NGO ini dan dia antara individu yang pernah mempersoalkan PDRM.

Link Naam Tamilar Malaysia

2. Malaysian Tamilar Kural

Malaysian Tamilar Kural juga antara NGO yang banyak menyokong LTTE dan terdapat siaran di halaman mereka memuat naik gambar tulisan tangan pengasas LTTE dan juga kenyataan menyokong LTTE secara terang-terangan.

NGO ini digerakkan oleh orang kanan P.Ramasamy iaitu David Marshel.

Link Malaysian Tamilar Kural

3. Persatuan Senthamizhan Peravai Malaysia (SEPAM)

SEPAM antara pertubuhan yang aktif mempromosi ideologi pro LTTE iaitu ideologi Seemanisme (Seeman dari Tamil Nadu) dan beberapa kali membuat program Maaveerar Naal LTTE di Puchong.

Antara bekas pimpinan mereka adalah individu yang pernah mengisytiharkan perang dan mengaku LTTE di Facebook.

Antara media yang mempromosi mereka adalah Seeman Thambigal Malaysia dan Tamizhar Media.

4) Southern Brother Club atau nama pendaftaran Persatuan Hak Asasi dan Kebajikan Saudara Selatan.

Selain itu persatuan ini dilihat bersama melakukan program Maaveerar Naal LTTE dengan NGO Tamil Vengai Malaysia.

Link: Persatuan Senthamizhan Peravai Malaysia (SEPAM)

5. Tamilar Kalam Malaysia

Pertubuhan Tamilar Kalam Malaysia juga pernah memperomosi ritual LTTE iaitu Maaveerar Naal. Malah halaman mereka juga banyak membawa eleman pro LTTE.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Panduan Pemakanan Atlet, Sebelum, Semasa Dan Selepas Pertandingan

Panduan Pemakanan Atlet, Sebelum, Semasa Dan Selepas Pertandingan

Pertandingan sudah tiba, esok akan ada perlumbaan setelah semua atlet berlatih sejak sekian lama. Pepatah "eat to win" mesti diutamakan supaya apa yang kita makan mudah dicerna dan sesuai dengan tubuh badan di hari pertandingan.

Panduan Pemakanan Atlet

Makanan harus lebih banyak mengandung karbohidrat kompleks, rendah lemak dan protein, cukup vitamin dan mineral serta cukup air.

Namun, hindari makanan yang banyak mengandung lemak, bergas, berminyak dan sukar dihadam kerana makanan tersebut sukar dicerna, juga tidak memberi sumbangan untuk merangsang glikogen otot dan hati semasa pertandingan.

Pemberian karbohidrat pada saat pertandingan bertujuan untuk mencegah terjadinya hipoglikemi, mencegah kepenatan dan untuk mengekalkan kekuatan otot.

Pemakanan Atlet

Prestasi fizikal boleh ditingkatkan melalui pemakanan yang baik. Contohnya peningkatan pengambilan karbohidrat sebelum dan semasa latihan dapat meningkatkan kualiti latihan.

Atlet akan dapat berlatih dengan lebih lama dan melambatkan rasa kelesuan ketika latihan.

Contoh pengambilan makanan:
  • Sebelum = 4 jam sebelum pertandingan, Nasi dan Buah-buahan.
  • Semasa = 1.0 setiap 15 minit – 20 minit, minuman berkarbohidrat.
  • Selepas = 1.0 2 jam selepas pertandingan, Nasi, Kentang, Roti, Glukosa.

Makanan sebelum pertandingan

Semasa aktiviti fizikal yang giat, otot akan memilih sumber tenaga dari karbohidrat berbanding lemak. Ini kerana tenaga daripada karbohidrat lebih senang diperolehi tanpa perlu memerlukan bekalan oksigen yang banyak.

Sumber tenaga yang paling cepat diperolehi ialah glikogen yang di simpan dalam otot-otot.

Atlet yang menceburi acara marathon, berbasikal jarak jauh, mendayung, memerlukan bekalan karbohidrat yang lebih tinggi. Bekalan tersebut biasanya disimpan di otot dan hati.

Jangan makan terlalu kenyang sebab perut yang penuh dengan makanan berkecenderungan mengalami kecederaan terutama dalam sukan.

Ini disebabkan darah akan tertumpu di bahagian organ penghadaman dan kurang di bahagian otot dan otak yang diperlukan untuk aktiviti fizikal.

Amalkan makanan yang mengandungi karbohidrat kerana ia lebih mudah dan cepat dihadam daripada makanan yang mengandungi lemak.

Elakkan makan yang pedas dan minuman yang bergas, kerana akan mengganggu proses penghadaman. Atlet akan merasa tidak selesa semasa pertandingan kerana perut akan memulas dan menyebabkan sendawa (burping).

Cecair yang diminum harus senag diserap dan dihadam. Susu, kopi dan teh harus dielakkan sebelum pertandingan kerana minuman ini susah untuk dihadamkan. Air adalah minuman yang paling sesuai.

Seseorang atlet harus sekurang-kurangnya makan 2 – 3 jam sebelum sesuatu pertandingan. Ini membolehkan makanan dihadam dan perut tidak rasa penuh. Pada masa yang sama, atlet juga tidak harus rasa terlalu lapar sebelum pertandingan.

Pemakanan semasa pertandingan

Jangkamasa pertandingan yang lama akan mengakibatkan kehilangan air dan sesetengah mineral melalui proses perpeluhan. Sumber tenaga karbohidrat juga akan kehabisan. Adalah penting untuk menitik beratkan tiga nutrien tersebut semasa pertandingan.

Air

Seseorang atlet akan kehilangan air yang banyak terutamanya jika bertanding dalam keadaan cuaca yang panas. Air akan hilang melalui peluh dan akan mengakibatkan peningkatan kepekatan darah dan menurunkan kapasiti darah.

Penurunan kapasiti darah ini membawa akibat kepada jantung kerana jantung terpaksa mengepam lebih cepat lagi.

Banyak gejala yang buruk akan timbul seperti dihidrasi dan stres haba akan menyusul akibat kekurangan kandungan air dalam badan.

Meminum air yang banyak adalah pendekatan yang wajar kepada atlet tersebut. Air sejuk adalah diutamakan kerana ia memudahkan penyerapan berlaku di organ penghadaman.

Atlet seharusnya jangan menunggu sampai terjadi rasa haus/dahaga oleh kerana pada waktu terasa haus ini sudah menunjukkan adanya dehidrasi awal.

Pemakanan selepas pertandingan

Acara-acara yang mempunyai masa rehat yang cukup (selepas 3 jam atau pada hari berikutnya), atlet harus memberi tumpuan kepada pemakanan yang dapat membekalkan tenaga untuk menggantikan tenaga yang telah digunakan.

Makanan berkarbohidrat dalam bentuk cecair adalah sesuai untuk mereka. Atlet tidak perlu mengambil suplemen vitamin atau mineral yang banyak pada ketika ini.

Atlet digalakkan makan makanan yang seimbang dan pada masa yang betul.

Makanan seimbang

Makanan yang mengandungi jumlah protein, karbohidrat, lemak, vitamin, garam mineral dan air yang betul disebut sebagai makanan seimbang.

Kuantiti makanan yang diperlukan adalah berbeza antara seorang dengan orang yang lain. Keperluan makanan bergantung kepada umur, saiz dan aktiviti yang kita lakukan.

Makanan yang mengandungi karbohidrat, lemak dan protein sering disebut sebagai makanan bertenaga tinggi. Ini kerana makanan ini mempunyai nilai kalori yang tinggi.

Kebanyakan buah-buahan dan sayur-sayuran hijau mempunyai nilai kalori yang rendah. Makanan ini tidak membekalkan tenaga tetapi mengandungi banyak vitamin, mineral, air dan bertindak sebagai pelawas.

Karbohidrat

Penambahan simpanan karbohidrat dalam glikogen otot dan hati dikenali sebagai tokokan karbohidrat atau dikenali sebagai kompensasi glikogen.

Teknik ini biasanya digunakan untuk atlet acara tahan lasak seperti pelari marathon, lumba basikal lebuhraya dan trithlon.

Bekalan glikogen ke otot dan hati boleh ditingkatkan dalam mengurangkan latihan dan pada masa yang sama menambahkan pengambilan makanan yang kaya dengan karbohidrat.

Pengambilan karbohidrat yang berlebihan harus djalankan selama seminggu sebelum hari pertandingan.

Pengurangan volum dan intensiti latihan sekurang-kurangnya 48 jam sebelum hari pertandingan membolehkan badan menyingkirkan sebarang hasil buangan metabolik yang mungkin menjejaskan prestasi atlit tersebut.

Fasa tokokan karbohidrat ada tiga fasa iaitu:
  • Fasa 1: Hari 1 – 2 : Latihan berintensiti tinggi, pengambilan karbohidrat norma
  • Fasa 2: Hari 3 – 5 : Latihan dikurangkan, peningkatan pengambilan karbohidrat(70 %)
  • Fasa 3: Hari ke – 6 : Hari pertandingan, selepas pertandingan pemakanan seperti biasa.

Selain itu, makanan padat yang tinggi karbohidrat kompleks dan rendah serat, misalnya buah pisang dapat memulihkan glikogen serta menggantikan cairan, vitamin, mineral dan elektrolit yang terpakai selama pertandingan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: pemakanansukan

AS Kalah Perang Di Syria?

AS Kalah Perang Di Syria?

Ketika artikel ini ditulis, Amerika Syarikat dan Turki baru sahaja memeterai 'perjanjian gencatan senjata' antara tentera Turki dan tentera pemberontak Kurdis (YPG) selama 120 jam bagi memberi laluan kepada YPG untuk berundur setelah seminggu meriam-meriam tentera Turki membedil kedudukan YPG di sempadan Turki-Syria.

AS Kalah Perang Syria

Objektif utama tentera Turki dalam operasi ketenteraan ini ialah untuk menguasai sekurang-kurangnya 30 km bumi Syria yang berada di sepanjang garis sempadan Turki dan 480 km memanjang dari Manbaj, sebuah bandar di Timur Laut Aleppo sehingga ke sempadan Iraq.

Perang sudah pun memasuki minggu kedua namun masih belum menemui jalan penyelesaian.

Sebelum diulas dengan lebih lanjut konflik yang sedang berlaku ini, ianya perlu dilihat dalam kerangka yang luas dan mendalam.

Bukan sahaja ianya pertelingkahan antara Turki dan pemberontak YPG, lebih jauh lagi pertembungan antara Sunni dan Syiah malah ianya lebih daripada itu.

Syria menjadi medan pertembungan kuasa-kuasa besar dunia dan rantau Asia Barat yang masing-masing mempunyai kepentingan tersendiri.

Amerika Syarikat mempunyai kepentingan untuk menjaga keselamatan Israel serta sumber minyak dan gas melalui 'sokongan' kepada ISIS di peringkat awal, namun akhirnya memakan diri dan seterusnya berpakat dengan pemberontak YPG untuk menghapuskan ISIS.

Iran pula menyokong regim Basyar Al-Asad, matlamatnya untuk mempertahan dan mengukuhkan kedudukannya kerana Syria satu-satunya negara di Timur Tengah yang menjadi sekutu dan menjadi jambatan antaranya dengan kumpulan Hizbullah di Lubnan yang menentang Israel.

Russia juga menyokong rejim Basyar Al-Asad, matlamatnya untuk menandingi kuasa hegemoni Amerika Syarikat di Asia Barat.

Setakat ini strategi Rusia begitu berjaya apabila diberikan keizinan membuka pangkalan tentera lautnya yang dibina di Tortuz, Syria (satu-satunya pangkalan tentera laut Rusia yang berada di laut lepas di Asia Barat).

Manakala Turki pula matlamatnya ialah untuk menjaga sempadannya daripada pemberontak Kurdish, namun berada dalam keadaan serba salah.

Pada peringkat awal, Turki menyokong perjuangan untuk menjatuhkan rejim Basyar Al-Asad, selari dengan kehendak Amerika Syarikat dan Israel, namun lama kelamaan Turki menyedari permainan jahat Amerika Syarikat dan Israel yang menikamnya dari belakang dengan menyokong YPG.

Dari situlah bermulanya halatuju baru Turki hingga tercetusnya perang yang berlaku sekarang.

Siapa YPG?

Bangsa Kurdis tidak mempunyai negara yang khusus, mereka hidup di sempadan Iran, Iraq, Syria dan Turki. Kebanyakan mereka diterima sebagai rakyat dan hidup dalam masyarakat majmuk di negara-negara yang tersebut di atas.

Namun begitu, terdapat perjuangan untuk mewujudkan sebuah negara merdeka untuk bangsa Kurdis sama ada dengan jalan demokrasi mahupun persenjataan.

Sempadannya daripada Turki di utara sehingga Iran di Selatan. Justeru itu terbentuklah rangkaian pejuang-pejuang Kurdis dengan nama-nama yang berbeza mengikut negara-negara yang diduduki oleh mereka.

PKK (Kurdistan Workers Party) yang bertapak di Turki mengambil pendekatan persenjataan manakala PYD (Democratic Unity Party) pula bertapak di Syria menjadi sayap politik dan sayap tenteranya ialah YPG.

Adapun di Iraq ditubuhkan KRG (Kurdis Regional Government) yang menjadi kerajaan di wilayah Kurdistan Iraq.

Manakala di Iran pula, pengaruh pejuang-pejuang Kurdis tidak sekuat di Iraq, Syria dan Turki. Kesemua kumpulan-kumpulan Kurdis ini adalah berfahaman nasionalis sekular dan sebahagiannya bertunjangkan kepada ideologi Maxist-Leninist khususnya PKK, PYD dan YPG.

Pengunduran tentera AS dari Syria

Kegawatan geopolitik di Asia Barat memasuki fasa baru selepas Amerika Syarikat mengundurkan saki baki tenteranya yang berada di antara sempadan Turki-Syria yang dikawal oleh Syrian Democratic Force (SDF) yang mana YPG menjadi tulang belakangnya.

Pengunduran tentera Amerika Syarikat yang diarahkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mencetuskan kemarahan sekutunya iaitu NATO dan Kesatuan Eropah serta majoriti ahli Dewan Senat dan Kongres Amerika Syarikat.

Alasan mereka menentang pengunduran tersebut termasuk oleh sekutu kuat Donald Trump di Dewan Senat Amerika seperti Senator daripada South Carolina Lindsay Graham dan Ketua Majoriti Dewan Senat Mitch McConnell ialah mengurangkan pengaruh Amerika Syarikat di rantau tersebut, tentera Turki akan membalas dendam ke atas YPG, ISIS akan bangkit kembali setelah pengunduran tersebut dan Russia akan menguasai geopolitik rantau Asia Barat.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mempertahankan keputusan mengundurkan tentera negara itu dari utara Syria.

Dalam satu kenyataan di Twitter, Trump berkata, kos untuk terus menyokong tentera Kurdis menentang militan Daish di wilayah itu adalah terlalu tinggi.

Tentera Kurdis berperang bersama kami tetapi kami membayar sejumlah wang yang besar dan peralatan untuk berbuat demikian. Mereka juga menentang Turki sejak berdekad lalu.

Turki, Eropah, Syria, Iran, Iraq, Russia dan Kurdis kini perlu mencari jalan untuk menyelesaikannya, katanya.

Keputusan Donald Trump mengundurkan tentera Amerika Syarikat menyebabkan Speaker Kongres, Nancy Pelosi dan Senator Lindsay Graham selaku Senate Judiciary Committee Chairman, Dewan Senat Amerika Syarikat sedang merangka resolusi bersama di antara Kongres dan Dewan Senat Amerika Syarikat untuk menentang serta menolak keputusan Donald Trump dan mengembalikan tentera Amerika Syarikat ke sempadan Syria-Turki tersebut.

Lebih menimbulkan kemarahan mereka, pengunduran tersebut bukanlah untuk membawa pulang baki 1,000 anggota tentera ke Amerika Syarikat seperti yang dijanjikan oleh Donald Trump tetapi menghantar kesemua anggota tentera tersebut ke Arab Saudi untuk membantu Arab Saudi menjaga aset industri minyak dan gas agar tidak berlaku lagi serangan sebagaimana baru-baru ini.

Tidak cukup dengan anggota tentera yang ada, Donald Trump mengarahkan anggota tentera tambahan seramai 2,500 orang lagi dihantar ke Arab Saudi yang menambahkan lagi kemarahan baik di kalangan anggota Kongres dan Dewan Senat Amerika Syarikat.

Persoalan yang timbul, mengapa secara tiba-tiba Donald Trump mengarahkan pengunduran tersebut tanpa dipersetujui oleh Pentagon, Dewan Senat dan Kongres Amerika Syarikat malah turut juga ditentang oleh sekutu mereka seperti NATO dan Kesatuan Eropah?

Ramai penganalisis geopolitik Asia Barat dan daripada rangkaian ternama seperti CNN, BBC, Al-Jazeera dan Al-Arabiya memberikan pandangan mengikut kepentingan negara masing-masing namun secara ringkasnya Iran, Turki dan Russia telah berjaya dalam strategi mereka memberikan tekanan serta menghalang Amerika Syarikat daripada menjadi kuasa tunggal dan hampir berjaya menghalau Amerika Syarikat keluar daripada Asia Barat.

Israel serta kepentingan industri minyak dan gas Asia Barat

Peranan sebenar Amerika Syarikat di Asia Barat adalah untuk melindungi Israel dan menjaga kepentingan mereka dalam sektor industri minyak dan gas yang dikawal oleh gergasi minyak dan gas dunia milik syarikat multinasional Amerika Syarikat seperti Exxon Mobil.

Israel sebagaimana diketahui umum adalah sekutu rapat Amerika Syarikat dan semenjak tertubuhnya Amerika Syarikat, ramai di kalangan pemimpin kanan Amerika Syarikat dan usahawan ternama adalah dari kalangan Yahudi berfahaman zionis yang memperjuangkan penubuhan negara haram Israel di tanah Palestin sebagaimana yang kita lihat hari ini.

Apa yang berlaku di Asia Barat hari ini seperti kehancuran Iraq, Libya, Yemen dan Syria adalah akibat daripada polisi dan dasar Amerika Syarikat terhadap Israel serta monopoli industri minyak dan gas.

ISIS, perang saudara mahupun pemberontakan yang berlaku di Iraq, Syria, Libya dan Yemen atau perang menentang keganasan dan senjata pemusnah hanyalah untuk mewujudkan ketidakstabilan di Asia Barat yang memberikan kelebihan untuk Israel melindungi tanah jajahan mereka, merampas lebih banyak tanah air milik rakyat Palestin dan menguasai kepentingan industri minyak dan gas di rantau terbabit.

Apa di sebalik operasi ketenteraan Turki di Syria?

Namun, apa yang berlaku di sempadan Syria-Turki adalah berlainan dan lari daripada agenda asal Amerika Syarikat untuk menguasai dan menjadi kuasa tunggal di Asia Barat.

Semuanya bermula ketika Perang Teluk di mana Amerika Syarikat dan sekutunya menyerang Iraq untuk menjatuhkan Saddam Hussien yang dituduh melindungi Al-Qaeda dan mengeluarkan senjata pemusnah yang berbahaya.

Sebab utama Amerika Syarikat dan sekutunya menyerang Iraq adalah kerana pada ketika itu Iraq adalah ancaman utama dan terbesar kepada Israel di mana Saddam Hussien adalah penentang kuat ke atas kekejaman dan penjajahan Israel ke atas Palestin selain Iran.

Malah, Saddam Hussien acap kali mengancam untuk menyerang Israel jika berterusan merampas tanah air milik rakyat Palestin.

Pada ketika itu, tentera pemberontak Kurdis sedang berkonfrantasi dengan pemerintah di Iraq, Turki mahupun Syria untuk menuntut sebuah negara merdeka bagi bangsa Kurdis namun ditentang oleh negara-negara terbabit kerana majoriti bangsa Kurdis yang lain mampu hidup dengan bangsa Arab di negara-negara terbabit dengan aman sebagai sebuah masyarakat.

Maka, selepas Amerika Syarikat dan sekutunya berjaya menawan Iraq dan menumpaskan Saddam Hussien, Amerika Syarikat dan sekutunya berhempas pulas pula cuba menghapuskan pemberontakan menentang Amerika Syarikat dan sekutunya di serata Iraq akibat daripada penaklukan tersebut.

Di kalangan banyak kumpulan pemberontak yang melancarkan peperangan terhadap Amerika Syarikat dan sekutunya ini, ada antaranya yang benar-benar menentang penjajahan Amerika Syarikat ke atas Iraq tanpa ideologi dan fahaman yang ekstrem.

Namun di kalangan kumpulan pemberontak ini, ada antara mereka telah diserapi ideologi dan fahaman yang ekstrem lalu mewujudkan gabungan kumpulan pemberontak yang besar dinamakan ISIS.

Dipercayai ISIS sengaja diwujudkan oleh Amerika Syarikat untuk menentang kumpulan pemberontak yang menentang penjajahan Amerika Syarikat dan sekutunya di Iraq kerana ISIS lebih arif tentang Iraq dan kaedah peperangan yang sesuai menentang pemberontakan tersebut.

Setelah berjaya menghapuskan pemberontakan, ISIS menjadi semakin besar dan tidak mampu dikawal oleh Amerika Syarikat.

ISIS terus mengganas, menawan bandar-bandar di sekitar Iraq dan di sempadan Syria-Turki serta membunuh penduduk tempatan yang tidak berdosa.

Akibat daripada itu, Amerika Syarikat meminta bantuan YPG untuk menghapuskan ISIS dengan memberikan bantuan senjata, kewangan dan lojistik namun Amerika Syarikat harus memenuhi syarat mereka iaitu memberikan kebebasan kepada mereka untuk memilih tempat untuk mendirikan sebuah negara merdeka untuk bangsa Kurdis.

YPG setelah bersetuju dengan Amerika Syarikat memulakan operasi mereka menghapuskan ISIS. Amerika Syarikat bersama YPG dalam masa 4-5 tahun berjaya menghapuskan ISIS dan saki baki pejuangnya.

Bandar -bandar yang di takluki ISIS berjaya dirampas kembali dan ISIS berjaya dihapuskan dan saki baki pejuangnya berkubu di bandar-bandar di sempadan Iraq dan Syria-Turki.

YPG meneruskan tindakan mereka memerangi ISIS di bandar-bandar sempadan terbabit namun seperti juga ISIS, YPG menakhluki pula bandar-bandar terbabit.

Penaklukan YPG ke atas bandar-bandar di sempadan Syria-Turki dan Iraq pula mencetuskan krisis kemanusiaan yang besar.

Penduduk-penduduk berbangsa Arab sama ada dihalau atau lari meninggalkan kampung halaman mereka kerana dituduh melindungi mahupun menyokong ISIS.

Jutaan penduduk lari ke Turki dan negara-negara Eropah. Dianggarkan hampir 3.5 juta orang lari meninggalkan bandar-bandar terbabit dan Iraq akibat daripada penaklukan YPG.

Yang tidak berjaya melarikan diri ditangkap dan dituduh sebagai talibarut ISIS dan dipenjarakan. Dianggarkan hampir 15,000 orang dipenjarakan termasuk warga emas, wanita dan kana-kanak oleh YPG dipenjara sekitar bandar di sempadan Syria-Turki.

Setelah berjaya menghapuskan ISIS, Amerika Syarikat menduduki Iraq beberapa tahun dan mentadbir Iraq bersama pemimpin tempatan pilihan mereka.

Setelah keadaan Iraq stabil, Amerika Syarikat mengundurkan tenteranya secara berperingkat-peringkat dan kemudian menyerahkan kembali kuasa mentadbir Iraq kepada pemimpin tempatan.

Baki anggota tentera Amerika Syarikat yang ada di Iraq dikerah berundur ke kawasan yang ditadbir YPG di bandar-bandar di sempadan Turki-Syria seperti di Ras Al-Ain.

Maka apabila Donald Trump mengarahkan saki baki tentera Amerika Syarikat berundur daripada bandar di sempadan Turki-Syria ke Arab Saudi dan menyerahkan kawalan ke atas bandar-bandar terbabit kepada Turki setelah Donald Trump berunding dengan Recep Tayeb Edrogan, Presiden Turki, dunia menerimanya sebagai kejutan besar seolah-olah Amerika Syarikat melepaskan kekuasaannya terutamanya kepada Rusia dan Iran.

Pengunduran tersebut memberikan tamparan hebat kepada sekutu kuat Amerika Syarikat seperti Israel, Kesatuan Eropah dan NATO serta memberikan kejutan kepada pimpinan Amerika Syarikat sendiri di kalangan Republikan mahupun Demokrat.

Setelah tentera Amerika Syarikat berundur, tentera Turki terus menuju ke sempadan dan mengambil alih kawalan bandar terbabit walau ditentang hebat oleh YPG.

Tidak jauh dari kawasan pertempuran di antara 50 km hingga 100 km di dalam kawasan Turki, terdapat beberapa kem-kem besar pelarian yang merupakan penduduk asal bandar-bandar terbabit.

Rata-rata menaruh harapan agar dapat pulang semula ke kampung halaman mereka walau musnah kediaman mereka.

Rusia, Iran dan Turki bakal merubah geopolitik Asia Barat

Pengunduran baki tentera Amerika Syarikat di Asia Barat ke Arab Saudi oleh Donald Trump menandakan Amerika Syarikat sudah mula kehilangan pengaruh dan kekuasaan di Asia Barat.

Rata-rata pemimpin utama Asia Barat sudah mula berbaik-baik dengan Rusia dan China. Di saat artikel ini ditulis, Presiden Rusia Vladimir Putin berada di Arab Saudi untuk lawatan rasmi yang boleh dianggap satu lawatan bersejarah terutamanya sejak pengunduran tentera Amerika Syarikat.

Lawatan tersebut adalah yang pertama untuk Vladimir Putin sejak tahun 2007 yang menyaksikan Rusia menandatangani perjanjian persefahaman untuk industri minyak dan gas serta membincangkan pergolakan serta geopolitik Asia Barat.

Kehadiran Rusia sebagai kuasa baru di Asia Barat bakal menyaksikan Amerika Syarikat kehilangan kekuasaan dan pengaruh di Asia Barat.

Kehadiran Rusia sebagai 'power broker' baru dijangka mampu meredakan ketegangan di Asia Barat terutamanya diantara Iran dan Arab Saudi.

Iran yang dilihat sebagai sekutu kuat Rusia oleh dunia, begitu juga Syria yang dipimpin oleh Basyar Al-Assad dilihat menggunakan pengaruh Vladimir Putin untuk menundukkan Arab Saudi dan negara sekutunya di Asia Barat seperti UAE, Bahrain dan Oman, tidak terkecuali Amerika Syarikat.

Turki baru-baru ini mencetuskan kemarahan Amerika Syarikat dan NATO apabila membeli sistem peluru berpandu S-400 daripada Rusia, yang dilihat condong kepada Rusia oleh masyarakat dunia.

Maka, apabila Amerika Syarikat mengancam untuk mengenakan sekatan ekonomi ke atas Turki akibat tindakan Turki tidak menepati perjanjian dengan Donald Trump kerana menyerang ke kawasan yang tidak ada dalam persetujuan ketika perbincangan baru-baru ini, Erdogan mengancam untuk meneruskan serangan dengan lebih agresif untuk menghapuskan YPG.

Ancaman Amerika Syarikat nampaknya sudah tidak memberikan impak kepada Turki malah boleh dikatakan bahawa Amerika Syarikat sudah mula tidak dipercayai dan diyakini di kalangan Dunia Islam.

Sudah tentunya selepas Arab Saudi, Kita percaya negara-negara Teluk yang lain seperti UAE, Oman dan Bahrain akan mengikuti jejak langkah Arab Saudi untuk berbaik-baik dengan Rusia.

Diyakini, tidak lama lagi China akan turut sama mengembangkan sayapnya ke rantau Asia Barat untuk meluaskan pengaruh dan kekuasaannya setelah hilangnya pengaruh Amerika Syarikat.

Pengaruh Rusia juga dirasakan mampu menghentikan serangan Arab Saudi dan UAE ke atas Yemen malah menghentikan peperangan tersebut.

Konfrontasi Qatar dengan negara-negara Teluk di bawah pengaruh Arab Saudi juga dipercayai mampu diredakan dengan kehadiran Rusia.

Apa yang pasti, satu naratif baru untuk Asia Barat bakal menanti dunia dengan kehadiran Rusia sebagai 'power broker' baru di rantau ini.

Ternyata strategi Rusia, Iran dan Turki untuk melemahkan pengaruh Amerika Syarikat di Asia Barat berjaya dan menjadi kenyataan.

Yang paling rugi dan berada dalam keadaan getir sudah tentunya Israel. Lemahnya pengaruh Amerika Syarikat di Asia Barat bermakna Israel akan berada dalam situasi yang cemas kerana pelindung dan pendukung kuatnya sudah tidak mampu lagi menjadi bentengnya.

Hubungan Israel dengan Rusia juga tidak begitu baik dan berada dalam keadaan tegang apatah lagi Rusia memberi amaran kepada Israel agar tidak lagi menyerang kedudukan strategik tentera Syria dan Iran.

Rusia dijangka mampu memberikan tekanan kuat kepada Israel, siapa tahu tekanan tersebut akan membawa kepada pengunduran sepenuhnya zionis daripada bumi Palestin di masa akan datang.

Harapan kita agar rantau Asia Barat mampu mencapai keamanan yang berkekalan selepas ini. Yang paling utama ialah kesatuan di antara negara-negara Islam mesti diperkukuh dan dieratkan.

Dunia Islam seharus tidak bergantung kepada mana-mana kuasa besar untuk mencapai kegemilangan dan kemajuan kerana Dunia Islam sendiri mampu membentuk kekuatan sendiri untuk kepentingan Islam dan umatnya.

Sejarah membuktikan Dunia Islam pernah menjadi kuasa besar dan peneraju dunia, cuma persengketaan sesama negara-negara Islam dan umatnya memusnahkan legasi tersebut.

Sama-sama kita kembalikan kegemilangan Dunia Islam agar Islam tidak pudar ditelan zaman dan terus pupus dimamah oleh kemajuan dunia.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: harakahdaily

Kenapa Tenggiling Sangat Bernilai?

Kenapa Tenggiling Sangat Bernilai?

Melihat keunikan pada sisik luarannya, mungkin ramai yang menyangka haiwan ini adalah spesies garang apatah lagi memiliki kuku yang panjang dan tajam namun, tanggapan salah sama sekali kerana tenggiling adalah haiwan pemalu dan akan melindungi dirinya dengan menjadi bulat seperti bola apabila dihampiri dan disentuh manusia.

Tenggiling mahal

Tenggiling atau nama lainnya Manis javanica turut dikenali sebagai Malayan pangolin.

Terdapat lapan spesies tenggiling di dunia tetapi Malayan pangolin adalah satu-satunya spesies yang ditemui di Malaysia selain Thailand, Indonesia, Vietnam, Laos, Kemboja dan Singapura.

Haiwan yang tergolong dalam keluarga mamalia ini mendiami hutan tropika dan sub tropika, hutan kayu kering dan kawasan savana terbuka.

Tenggiling memiliki perisai unik keras pada sisik di badannya, manakala kukunya yang besar dan tajam bagi memecah sarang dan busut selain lidah melekit bagi menjilat serangga seperti semut dan anai-anai.

Telinga dan kelopak mata tenggiling boleh ditutup untuk mengelak serangan semut.

Jika berasa terancam, haiwan mamalia ini akan menggulungkan dirinya seperti bola sehingga menyukarkan gigi haiwan liar untuk menembusi dagingnya.

Malangnya, mekanisme pertahanan itu juga membuatkan ia lebih mudah bagi pemburu haram mengutip dan memasukkannya ke dalam guni.

Pemerdagangan

Tenggiling dilindungi sepenuhnya di Semenanjung Malaysia di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Justeru, Tenggiling tidak boleh dipelihara atau diniagakan malah tiada permit pemilikan dikeluarkan Jabatan Perhilitan untuk orang ramai.

Tenggiling menghadapi ancaman manusia akibat kemusnahan habitat selain menjadi buruan pemburu haram.

Ia mudah tertekan dan meskipun diselamatkan, kebanyakan tenggiling akan mati semasa proses memburu dan pemerdagangan.

Selepas ditangkap, haiwan itu diletak dalam guni tanpa sumber makanan dan boleh menyebabkannya mati.

Meskipun usaha penguatkuasaan berterusan, penyeludupan tenggiling masih berleluasa. Rampasan yang dilaporkan mungkin kecil berbanding jumlah pemerdagangan sebenar.

Permintaan tinggi dari restoran di luar negara terutamanya di China menyebabkan harga daging tenggiling melambung tinggi sehingga melebihi RM800 sekilogram di pasaran gelap yang didalangi sindiket tertentu sama ada dalam dan luar negara.

Sisik Tenggiling

Selain daging, sisik tenggiling juga tergolong di dalam larangan import mengikut Jadual Ketiga, Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) kecuali dengan permit.

Sisik Tenggiling di pasaran gelap dianggarkan bernilai AS$3,000 sekilogram.

Mengapa Tenggiling Menjadi Buruan?

Jika berbalik kepada mitos, Tenggiling dicari kerana memiliki manfaat kesihatan - daging, sisik serta organ dalaman.

Pengamal perubatan tradisional percaya ia mampu mengubati pelbagai penyakit termasuk kanser manakala dagingnya dijadikan sajian eksotik, menguatkan tenaga syahwat lelaki, memanaskan suhu badan dan kulitnya dijadikan barangan kasut, beg dan tali pinggang.

Kebanyakan permintaan tenggiling ini adalah kerana daging dan sisiknya yang dipercayai mempunyai nilai yang tinggi.

1. Sisik Tenggiling

Sisik tenggiling dipercayai memiliki kelebihan untuk membantu kesihatan manusia. Ia dipercayai boleh meningkatkan susu ibu, mengeringkan nanah, memulihkan penyakit kulit dan penyakit dalam badan.

Apa yang lebih mengejutkan pada tahun 2015, sisik tenggiling merupakan salah satu perubatan tradisional yang dilindungi oleh insurans perubatan di Vietnam.

2. Daging Tenggiling

Di China dan Vietnam, Tenggiling merupakan daging termahal yang dipercayai memiliki kelebihan nutrisi yang bagus khususnya untuk buah pinggang.

Oleh sebab daging tenggiling sangat mahal, orang kaya di negara tersebut akan memesan daging tenggiling untuk menunjukkan "kemewahan" yang mereka miliki.

Terdapat juga dakwaan bahawa dagingnya Tenggiling mampu menguatkan tenaga syahwat lelaki serta memanaskan suhu badan.

3. Minuman 'wine' Tenggiling

Ia terhasil daripada air rebusan tenggiling bayi yang dipercayai boleh menyembuhkan penyakit kulit dan memperbaiki pernafasan.

4. Darah Tenggiling

Juga dipercayai menyembuhkan penyakit kulit dan memperbaiki pernafasan.

5. Kulit Tenggiling

Kulitnya dijadikan barangan kasut, beg dan tali pinggang.

Pusat Perlindungan Tenggiling Di Malaysia

Penubuhan Institut Penyelidikan dan Perlindungan Tenggiling Sabah (Sapsari) mampu memastikan habitat dan spesies tenggiling yang menjadi haiwan dilindungi sepenuhnya dapat dikawal daripada ancaman kepupusan.

Penubuhan Sapsari adalah satu inisiatif yang dinanti-nantikan, memandangkan haiwan Tenggiling Sunda di Sabah, semakin terjejas akibat aktiviti pemburu haram.

Sapsari atau Sabah Pangolin Sanctuary and Research Institute akan dibangunkan di kawasan Taman-taman Sabah (TTS) Tawau memandangkan kawasan itu terdapat habitat Tenggiling Sunda yang banyak.

Institut ini akan dibuka kepada orang awam dan pelancong untuk datang sebagai akses terhadap pendidikan terhadap haiwan terancam itu.

Selain itu, dengan adanya pusat ini juga mampu memberi maklumat kepada orang ramai bahawa haiwan ini adalah sepsies yang dilindungi sepenuhnya kerana mengalami ancaman kepupusan akibat aktiviti penyeludupan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3

Friday, October 25, 2019

Teknik Heimlich Manuver: Panduan Jika Tercekik Makanan

Teknik Heimlich Manuver: Panduan Jika Tercekik Makanan

Apabila seorang kanak-kanak sedang tersedak atau tercekik, ia bermaksud terdapat objek atau makanan yang terperangkap di bahagian trakea (laluan pernafasan), menyebabkan gangguan dalam aliran udara ke paru-paru, membuatkan kanak-kanak itu tidak boleh bernafas dengan lancar.

Cara Heimlich Manuver

Trakea adalah sebahagian organ pernafasan yang dilindungi satu injap, yang dinamakan Epiglottis. Laluan di bahagian tekak itu dikongsi dengan bahagian esofagus, iaitu laluan bagi makanan dan minuman ke bahagian perut.

Epiglottis memainkan peranan penting sebagai 'penutup' yang membenarkan makanan dan minuman melalui Esofagus tanpa memasuki bahagian trakea.

Bagaimanapun, timbul situasi dimana bahagian Epiglottis ini tidak 'tertutup' dengan cepat (ketika kanak-kanak sedang menelan) yang menyebabkan objek atau makanan memasuki laluan trakea.

Kebiasaannya, makanan atau objek yang menutupi sebahagian laluan trakea itu mampu dikeluarkan apabila anak itu batuk dan pernafasan mereka akan kembali normal.

JIKA SITUASI LEBIH CEMAS

Kadangkala, timbul juga situasi di mana makanan atau objek tersekat di bahagian trakea yang menghalang pernafasan anak.

Laluan udara ke paru-paru yang tersekat akan menyebabkan otak kekurangan oksigen dan ini boleh menyebabkan kematian. Situasi ini serius dan perlu diberi perhatian penuh.

Tanda kanak-kanak sedang tercekik, dan perlu bantuan serta merta:
  • Tidak boleh bercakap dan menangis.
  • Muka menjadi biru.
  • Memegang tekak dan minta bantuan.
  • Kelihatan panik.
  • Tidak sedarkan diri.

Dalam situasi ini, anda boleh menekan perut, juga dikenali sebagai Manuver Heimlich. Ia adalah prosedur standard menyelamat jika anda sudah dilatih.

TEKAN PERUT (Heimlich Manuver)

Jika anda mempunyai anak, anda digalakkan untuk mengambil latihan dalam bantuan pernafasan (CPR) dan teknik menekan perut (Manuver Heimlich).

Kepada yang tidak mempunyai anak turut digalakkan kerana mungkin pengetahuan dan latihan ini boleh membantu menyelamatkan sesiapa dalam situasi yang mencemaskan.

Teknik menekan perut adalah dimana penolakan udara secara mengejut ke laluan trakea dari diafragma (bahagian perut) yang boleh menolak keluar objek atau makanan yang tersekat.

Walaupun teknik ini kelihatan mudah, ia perlu dilakukan dengan penuh berhat-hati terutamanya ke atas kanak-kanak kecil.

Terdapat juga teknik khas dalam menekan perut kepada bayi kerana saiz mereka yang kecil dan jika ia tidak dilakukan dengan betul boleh memburukkan lagi keadaan.

Oleh kerana itu, teknik ini paling selamat dilakukan oleh individu yang terlatih.

Mereka yang tercekik boleh dilihat melalui tanda:
  • Sesak nafas secara tiba-tiba dan bunyi nafas seolah bersiul (ada kesekatan berlaku).
  • Spontan menggenggam kerongkong.
  • Kawasan bibir kebiruan tanda kekurangan oksigen.
  • Mereka kelihatan cuba bernafas dengan cepat.
  • Pengsan.
  • Berhenti bernafas.
  • Tersedak tiba-tiba.
  • Batuk dan cuba batuk lebih kuat.

Jika anak/mangsa tercekik:
  • Kenalkan diri dan tanya jika perlukan bantuan.
  • Minta mangsa untuk batuk dengan kuat.
  • Kalau tak keluar, cuba tepuk belakang mangsa.
  • Minta bantuan jika keadaan tidak terkawal.
  • Buka mulut anak atau minta mangsa membuka mulut bagi melihat lokasi objek yang menyekat.
  • Jika objek JELAS kelihatan, keluarkan dengang menggunakan jari kelingking, jika tidak, JANGAN jolok jari kedalam tekak (dibimbangi akan menyebabkan objek menyebabkam kesekatan yang mudarat).
  • Tepuk belakang mangsa (antara tulang belikat) dengan menggunakan tapak tangan dan kepala mangsa menunduk kebawah.
  • JANGAN mendongakkan kepala mangsa.

Jika tercekik tidak dapat diberikan bantuan segera, beberapa komplikasi boleh berlaku antaranya radang di paru-paru, kerosakan otak kerana kekurangan oksigen ke otak dan kematian.

APA ANDA BOLEH BUAT?

Teknik Heimlich Manuver

Ini bergantung kepada beberapa jenis situasi.

Kanak-kanak masih boleh bernafas:
  • Jika kanak-kanak itu sedang tersedak atau tercekik, tetapi masih boleh bernafas dan bercakap, ini bermakna laluan pernafasan masih ada.
  • Jangan cuba keluarkan objek atau makanan itu kerana ia mungkin akan menolaknya lebih dalam.
  • Langkah terbaik dalam situasi ini adalah untuk tidak melakukan apa-apa, tetapi beri perhatian penuh ketika kanak-kanak itu batuk sehingga dia kembali bernafas seperti biasa.

Apa yang anda perlu lakukan jika kanak-kanak tidak boleh bernafas?

Minta bantuan kecemasan. Pastikan anda menyimpan nombor kecemasan, ini termasuk nombor hospital terdekat, nombor keluarga terdekat serta jiran.

Jika kanak-kanak itu sedar tetapi tidak boleh bernafas atau bercakap atau mula menjadi biru, gunakan teknik menekan perut. Ini boleh dilakukan oleh sesiapa yang sudah dilatih melakukan teknik ini.

Tidak sedar dan tidak bernafas:
  • Minta bantuan kecemasan. Pastikan anda menyimpan nombor kecemasan ini termasuk nombor hospital terdekat, nombor keluarga terdekat serta jiran.
  • Teruskan dengan teknik CPR jika anda atau sesiapa sudah dilatih.

Bagi bayi yang berumur di bawah 1 tahun dan dalam keadaan sedar:
  • Menggunakan lengan, posisikan kepala dan muka bayi menghala ke bawah, dengan sokongan paha.
  • Pastikan torso bayi lebih tinggi daripada kepala.
  • Tepuk bahagian belakang, antara tulang belikat bayi menggunakan tapak tangan sehingga lima kali.
  • Seterusnya, pusingkan bayi sambil terus menyokong kepala lehernya.
  • Jika objek masih tidak keluar dari laluan pernafasan, tekan bahagian dada atau tengah-tengah sternum menggunakan 2 atau 3 jari dengan cepat sehingga 5 kali.
  • Ulang teknik, iaitu tepukan di bahagian belakang bayi dan penekanan di bahagian dada sehingga objek keluar. Jika ia tidak diteruskan anak mungkin tidak sedarkan diri.
  • Jika bayi masih tidak bernafas, anda boleh membuka laluan pernafasan dengan meletakkan ibu jadi di mulut anak dan genggam gigi kacip atau gusi. Bahagian rahang perlu dinaikan supaya anda boleh melihat objek yang tersekat.
  • JANGAN cuba keluarkan objek tersebut melainkan anda melihat objek dengan jelas. Anda berkemungkinan menolak lagi objek ke dalam tekak anak, dan ini lebih merbahaya.
  • Lakukan teknik CPR, jika perlu.

BILA ANDA PERLU BAWA ANAK KE KECEMASAN?

Bawa kanak-kanak ke hospital secepat mungkin, terutamanya jika kanak-kanak itu terus tidak boleh bernafas dan tidak sedar.

Selain itu, anda harus untuk bawa ke hospital jika:
  • Batuk yang berterusan, susah untuk bernafas dan menelan.
  • Kanak-kanak mula menjadi biru; tidak sedarkan diri, walaupun kelihatan seperti sudah pulih.
  • Jika anda berasa kanak-kanak itu menelan objek yang bahaya seperti mainan atau bateri.

LANGKAH PENCEGAHAN

Semua kanak-kanak mempunyai risiko untuk tersedak dan tercekik, terutamanya anak yang berumur di bawah 3 tahun.

Anda boleh mengurangkan risiko ini dengan:
  • Elakkan memberi makanan yang berisiko (seperti buah anggur, kismis, gula-gula, kacang) - makanan yang mempunyai saiz dan bentuk sama dengan laluan pernafasan kanak-kanak.
  • Ketika makan, berikan kanak-kanak makanan dalam kuantiti sedikit, mudah dikunyah. Ini bermaksud kita perlu memotong makanan itu kepada saiz yang kecil. Kanak-kanak juga perlu diajar untuk duduk ketika makan dan tidak bercakap atau ketawa ketika makanan di dalam mulut.
  • Mainan dan barang rumah juga boleh menjadi merbahaya terutamanya duit syiling, manik, mainan yang kecil, dan lain-lain. Pastikan barangan seperti ini tidak berada di kawasan anak sedang berada.
  • Pilih mainan yang sesuai untuk umur kanak-kanak. Pastikan mainan itu menepati cadangan umur dari pihak pengeluar kerana beberapa mainan mungkin terlalu kecil. Sebarang mainan atau objek yang lebih kecil dari saiz bola golf berpotensi menyebabkan kakank-kanak tersedak atau tercekik.

Tonton video dibawah.

BACA INI JUGA:







-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 117: Ilmu Telapak Pasir Merah

SBDJ Siri 117: Ilmu Telapak Pasir Merah

Saya kira setelah selesai membaca surah Al-Kahfi, tetamu ganjil yang tidak di undang itu akan pergi. Ternyata perkiraan saya tidak tepat. Tetamu ganjil masih berada di depan pintu, cuma dia tidak ketawa menggilai atau menangis.

Toyol jadi-jadian

Kali ini dia duduk dengan membongkokkan badannya, menyembunyikan wajahnya di celah kangkang agar tidak dapat kami lihat. Bunyi nafasnya cukup kuat.

"Biarkan dia di situ," bisik Haji Taslim Singasari pada saya dan Datuk.

"Masa arwah hidup, dia selalu datang tidak tentu masa," penjelasan Haji Taslim Singasari yang membuat saya dan Datuk terkejut besar.

"Begitu," kata Datuk.

"Biar saya uruskan semuanya," itu jaminan Haji Taslim Singasari.

Saya makin lemas dengan keadaan yang saya hadapi. Menyesal rasanya, saya ikut Datuk.

Kalau saya tahu begini jadinya, lebih baik saya tidur di rumah Mat Prai.

"Kita makan," Haji Taslim Singasari letakkan hidangan malam di depan saya dan Datuk.

Hebat juga masakannya. Ikan keli masak rempah. Ada ikan gelama kering yang digoreng bersama cabai kering dan bawang besar. Ada sambal kelapa dengan ulam pegaga.

Melihat hidangan itu, saya jadi kagum. Masa bila Haji Taslim Singasari menyediakan semuanya ini? Sungguh cekap dia bekerja. Fikir saya dalam hati.

"Ya," angguk Haji Taslim Singasari sambil menaruh nasi ke dalam pinggan saya dan Datuk.

"Masa menanti awak datang, saya siapkan semuanya ini. Masak sendiri dah jadi perkara biasa bagi saya," Haji Taslim Singasari menyelesaikan persoalan yang berlegar-legar dalam tempurung kepala saya.

Ketika kami menjamu selera, tetamu ganjil tidak mengganggu. Tidak bergerak dari tempat duduknya. Bunyi hembusan nafasnya beransur lemah. Meskipun dia tidak mengacau tetapi, rasa cemas tetap berada di hati saya.

"Sin..."

Secepat kilat saya menoleh ke arah tetamu ganjil. Saya yakin, suara yang menyeramkan itu datangnya dari tetamu ganjil. Bunyinya macam bunyi belalang pelesit.

Kerana Datuk dan Haji Taslim Singasari ada di sisi saya, rasa takut terus hilang.

Selesai makan, kami terus berehat di ruang tengah rumah. Saya sandarkan badan ke dinding.

Ternyata Datuk tidak senang, kalau masa yang terluang dibiarkan berlalu begitu saja. Setiap saat yang hadir harus diisi dengan mengingati Allah.

"Macam mana kalau kita membaca Quran," Datuk meluahkan usul.

Rupanya, usul itu disambut oleh Haji Taslim Singasari dengan aman.

"Memang elok tu, saya juga berfikir macam tu. Tapi, mesti sekejap lagi kita mulakan, biar nasi dalam perut hancur," Haji Taslim Singasari renung ke arah jam tua yang tersangkut di dinding.

"Baru pukul sebelas," tambah Haji Taslim Singasari sambil melunjurkan sepasang kakinya. Senyum Datuk berlari di kelopak bibir.

Suasana jam sebelas malam di pinggir kampung memang terasa amat sepi. Desiran angin yang menolak cucur atap rumah jelas kedengaran.

Suara pungguk merayu bulan terus mendayu-dayu begitu juga dengan bunyi cengkerik dan katak.

Mungkin kerana saya makan terlalu kenyang menyebabkan saya terasa amat mengantuk sekali.

Dua tiga kali saya tersengguk-sengguk. Pada saat itu, saya sudah terlupa dengan makhluk ganjil.

"Makan tak jemput orang pun."

Saya segera jegilkan mata. Saya pasti, itu suara dari tetamu ganjil. Saya segera merenung ke wajah Datuk.

Dari kedutan keningnya, saya dapat membayangkan yang Datuk berada dalam keresahan.

"Usah bimbang," Haji Taslim Singasari bersuara. Matanya tertampar ke wajah saya dan Datuk.

"Dia tu kembar si mati, inilah kali kedua dia datang. Kali pertama waktu arwah sakit. Dia datang merawatnya. Ini semuanya iblis," sambung Haji Taslim Singasari sambil melunjurkan sepasang kakinya.

"Hal begini, tak boleh dibiarkan," cetus Datuk seraya menjeling tajam ke arah tetamu ganjil.

Gegendang telinga saya terdengar bunyi suara orang mengeluh dengan sayu sekali.

"Sahabat apa namanya, kalau tak boleh menolong sahabat sendiri," datang lagi kata-kata dari tetamu ganjil. Saya jadi resah tidak menentu.

Tiba-tiba pelita yang menyala terpadam seperti dihembus sesuatu. Bagaikan kilat saya terus meluru ke arah Datuk. Terus duduk di hujung lututnya. Haji Taslim Singasari terus meraba-raba mencari mancis api.

"Rumah ni bergegar, macam di goncang orang," kata Datuk sambil memegang pergelangan tangan kanan saya erat-erat.

Dia berbuat demikian agar saya tidak terpisah dengannya. Apa yang Datuk kata memang benar.

Saya sendiri mengalaminya, terasa punggung saya seperti bergerak sendiri atas papan lantai.

"Jangan disentuh barang yang jatuh, walaupun ada di hujung tangan kamu," Haji Taslim Singasari mengingatkan.

Dia menyalakan mancis lalu membakar sumbu pelita.

"Alhamdulillah," Datuk bersuara setelah cahaya pelita menerangi ruang.

Haji Taslim Singasari membuka baju Melayu potongan teluk belanga lalu disangkut ke dinding.

Baju singlet yang masih lekat di tubuhnya kelihatan berwarna agak kekuningan. Beberapa bahagian ada yang koyak sebesar telapak tangan orang dewasa.

Tanpa berkata apa-apa, Haji Taslim Singasari terus menuju ke dapur.

KEMBALI

Dia kembali mendekati saya dan Datuk, muka dan kedua belah tangannya terdapat kesan air. Dia membiarkan air di hujung jarinya menitik atas lantai.

"Ambil air sembahyang?" Datuk bertanya.

Haji Taslim Singasari anggukkan kepala. Dengan hati-hati dia mengangkat barang-barang yang berserakan di lantai lalu diletakkan ke tempatnya.

"Jangan, biar saya uruskan sendiri," tegah Haji Taslim Singasari.

Saya tidak jadi membantunya mengangkat kitab tua bertulis jawi ke atas rak.

Datuk masih lagi bersandar di dinding. Matanya merenung sayu ke arah Haji Taslim Singasari.

Semua gerak-geri Haji Taslim Singasari ada dalam bola mata Datuk. Datuk bagaikan mentafsir segala gerak langkah Haji Taslim Singasari yang mempunyai makna dan maksud tertentu.

Semua barang-barang yang bertaburan dikembalikan ke tempat asalnya. Haji Taslim Singasari kembali duduk di sisi Datuk.

Tiba-tiba daun tingkap yang dikunci terbuka dengan sendiri. Angin malam menembus masuk, mengusap wajah dan tubuh kami bertiga.

Saya melihat ke arah tingkap yang terdedah. Cuaca di luar amat gelap.

"Kamu pergi rapatkan tingkap."

Perintah Datuk segera saya patuhi dengan rasa hati yang amat berat sekali. Ketakutan menguasai diri saya.

Bila saya hadapkan muka keluar, apa yang dilihat ialah kegelapan malam yang memanjang. Saya terasa seram dan bulu roma saya terus berdiri.

Bila daun tingkap saya tarik untuk rapatkan, secara tidak sengaja mata saya terpandang kain putih melayang-layang di udara diterbangkan oleh angin ke atas ke bawah.

Saya tidak dapat berkata apa-apa. Saya terus terpaku di situ. Kain putih yang dimainkan angin bergerak ke arah saya.

Hati kecil berdetik mengatakan kain putih yang saya nampak itu adalah kain kafan Suhaimi Keraba.

Saya tercium bau kapur barus, sintuk dan bau-bauan lain yang sering digunakan untuk memandikan mayat.

"Tamar, kenapa lama sangat kamu di situ?"

Suara Haji Taslim Singasari cukup lantang. Saya mempersetankan teguran itu.

Haji Taslim Singasari berbuat demikian kerana melihat saya berdiri di situ agak lama. Daun tingkap tidak juga dirapatkan, masih terdedah.

"Tamar, apa yang kamu tengok dalam gelap tu?" suara Datuk menyusul.

Saya terus membisu dengan sepasang mata tertumpu ke arah kain putih yang melayang-layang di udara.

Angin kian bertiup, dedahan yang berlaga sama sendiri mengeluarkan bunyi yang berbagai-bagai.

Sesekali terdengar macam bunyi orang mengeluh, orang menangis dan bernyanyi yang tidak berapa jelas senikatanya.

Gegendang telinga terus disumbat dengan suara lolongan anjing yang sayup-sayup dari arah kaki bukit. Suara burung hantu terus tingkah meningkah dengan suara burung jampuk.

Makin gamat suara lolongan anjing dan suara burung hantu, kian rancak kain putih melayang-layang di udara macam orang menari.

Kalau pada awalnya saya dapat mengagak panjang kain putih itu kira-kira enam kaki tapi kali ini panjangnya kian bertambah hampir mencecah awan.

"Tamar."

Bahu kanan saya di tepuk dengan kuat. Saya menoleh ke kiri. Saya lihat Datuk berdiri di sisi saya dengan wajah yang cemas.

Saya toleh ke kanan, saya lihat Haji Taslim Singasari berdiri si situ. Saya cuba mahu menuturkan sesuatu tetapi, suara saya tidak keluar.

"Budak ni kena pukau iblis," tutur Haji Taslim Singasari.

Dia menentang wajah saya sambil mulutnya berkumat-kamit. Saya tidak tahu apa yang dibacanya. Seluruh kulit muka saya terasa panas seperti terkena api.

Haji Taslim Singasari meletakkan telapak tangan kanannya atas dahi saya. Dari dahi, telapak tangan itu bergerak perlahan-lahan menyapu wajah saya hingga ke hujung dagu.

Haji Taslim Singasari mengulangi perbuatan itu sebanyak tiga kali berturut-turut.

"Aiiicccuuummm..."

Saya bersin hingga terasa hingus keluar dari hidung. Seluruh badan terasa seram sejuk. Saya rebah di lantai.

Ketika itulah saya terpandang tetamu ganjil seolah-olah berdiri di depan saya. Kali ini wajahnya amat menakutkan. Dia menjelirkan lidah hingga ke perut.

Telinganya yang sebesar telinga gajah jatuh atas bahunya. Kelopak matanya merah seperti bara dan dari lubang telinganya keluar asap yang nipis.

Dia bagaikan ketawa melihat saya terkapar di lantai. Haji Taslim Singasari terus merawat saya.

Bila Haji Taslim Singasari berada di bahagian kepala saya, tetamu ganjil itu segera berubah ke hujung kaki.

Kehadiran tetamu ganjil itu memang tidak dapat dilihat oleh Haji Taslim Singasari. Dia bergerak bagaikan bayang-bayang.

Saya menelan air liur dan cuba menuturkan beberapa patah perkataan. Ternyata saya sudah boleh bersuara.

"Di hujung kaki saya," tutur saya meninggi.

"Apa dia Tamar?" soal Haji Taslim Singasari kehairanan.

Dia renung ke kiri dan ke kanan. Dia gelengkan kepala sambil berkata, "Tak ada apa-apa pun yang aku nampak."

Mendengar ungkapan dari Haji Taslim Singasari itu, tetamu ganjil menyeringaikan giginya tanda suka.

"Saya nampak apa yang cucu saya katakan," Datuk bersuara dengan sepasang matanya tertumpu ke arah hujung kaki saya.

Gerak-geri si tetamu ganjil dalam biji mata Datuk.

"Saya," sahut tetamu ganjil lalu mempamerkan tubuhnya ke alam nyata.

Datuk dan Haji Taslim Singasari berpandangan.

"Kita mesti bertindak," kata Datuk.

"Caranya?" soal Haji Taslim Singasari.

"Begini, kau ambil surah Yasin dan baca di situ," Datuk segera menuding jari telunjuknya ke arah sudut ruang.

"Kalau itu, memang ada rancangan dalam kepala saya," sahut Haji Taslim Singasari mematuhi cakap Datuk.

Datuk terus berdepan dengan tetamu ganjil itu. Kedua-dua kelopak bibir Datuk bergerak. Pasti Datuk membaca ayat-ayat suci penghalau iblis.

Datuk seperti menghadapi kesulitan kerana bibir tetamu ganjil itu ikut bergerak mengikut gerakan bibir Datuk.

Dia dapat menyebutnya dengan fasih, malah membetulkan pembacaan Datuk yang tersilap.

SUARA

Datuk buat tidak kisah dengan telatah tetamu ganjil itu. Dia terus membaca ayat-ayat suci penghalau iblis dengan tenang.

Haji Taslim Singasari yang mendengar suara tetamu ganjil mengajuk cakap Datuk, terus membaca surah Yasin dengan lantang.

"Sampai di sini saja kita berkawan Haji, kamu memang selama-lamanya bermusuh dengan sahabat kami," tiba-tiba saja tetamu ganjil meloncat ke arah Haji Taslim Singasari.

Dia jadi marah kerana Haji Taslim Singasari tidak menjawab kata-katanya. Dia menjerit dengan sekuatnya.

Dan bersama gema jeritan yang memekakkan anak telinga itu, seluruh tubuh tetamu ganjil bercahaya macam manik-manik kaca disinari matahari.

Pada mulanya membesar, kemudian mengecil dan hilang macam debu-debu dibawa angin. Tidak ada apa yang dapat kami lihat.

Suasana terasa amat sepi tetapi, bau kemenyan dan kapur barus bagaikan memenuhi ruang rumah.

Saya rasa seluruh badan berpeluh dan bertenaga. Saya segera bangun duduk.

"Saya fikir semuanya dah selesai," kata Datuk.

"Saya harap pun begitulah, tapi iblis ni pandai menipu kita," sahut Haji Taslim Singasari agak ragu-ragu. Dia renung kiri kanan.

Dia bangun dan memeriksa seluruh ruang. Akhirnya daun tingkap yang terdedah dirapatkannya.

Lolongan anjing masih sayup-sayup terdengar. Haji Taslim Singasari dan Datuk tidak memberi sebarang komen tentang lolongan anjing itu.

"Bagaimana? awak yakin dia tak dapat datang lagi?" tanya Datuk sambil menatap wajah Haji Taslim Singasari.

Saya lihat Haji Taslim Singasari seperti tergamam. Dia segera mengedutkan dahi dan keningnya.

"Saya rasa semuanya dah selesai."

"Awak yakin, dia tak datang lagi?" Datuk minta kepastian.

Haji Taslim Singasari anggukkan kepala.

"Jadi sekarang, apa yang patut kita buat, Haji."

Pertanyaan Datuk tidak mendapat jawapan. Haji Taslim Singasari menelan air liur.

"Apa yang patut kita buat, Haji?" ulang Datuk lagi.

Haji Taslim Singasari senyum sinis. Dia terus meluru ke ruang dapur. Buat beberapa saat, saya dan Datuk saling berpandangan.

Malam yang kian tua membuat suasana terasa hening. Kedinginan terasa menggigit seluruh tubuh.

Sesekali terdengar kokok ayam dari hujung kampung. Datuk ambil senaskhah Quran dari atas rak. Badannya disandarkan ke dinding.

Dengan wajah yang tenang, Datuk membuka Quran dan bersedia untuk memulakan pembacaan.

"Nanti dulu, ini yang patut kita buat," biji mata saya dan Datuk tertumbuk ke arah Haji Taslim Singasari yang berdiri di ambang pintu.

Dia menatang talam bulat yang berisikan teko dan cawan kosong.

"Tadi awak tanya saya apa yang patut kita buat. Jawapannya inilah dia," sambung Haji Taslim Singasari lalu duduk.

Talam yang berisikan teko dan cawan diletakkannya atas lantai.

"Apa benda ni," tanya Datuk sambil menutup Quran.

Datuk bangun dan terus meletakkan Quran atas rak.

"Kita minum dulu, lepas tu baru kita buat yang lain," Haji Taslim Singasari pun menuangkan air kopi ke dalam cawan.

Saya terus memerhatikan asap nipis yang bangkit di permukaan cawan.

Haji Taslim Singasari menjeling ke arah saya tetapi, tangannya terus meletakkan cawan yang berisi kopi di depan saya dan Datuk.

"Minum, biar panas badan, bila kena kopi O keras macam ni, barulah seronok. Sampai ke siang kita boleh berjaga," tutur Haji Taslim Singasari.

Dia ketawa kecil, mempamerkan giginya yang kelihatan putih dan tersusun rapi. Tidak ada satu pun giginya yang patah atau rosak.

Nanti, bila ada masa lapang, saya nak himpit orang tua ni. Saya nak minta petua dan amalan yang dipakainya untuk gigi tahan lama, bisik batin saya.

Wajahnya saya tatap dan Haji Taslim Singasari bagaikan tahu apa yang tersirat dalam dada saya.

Dia senyum sambil anggukkan kepala lalu meneguk air kopi O panas. Dia bangun dan terus menuju ke ruang dapur untuk kali kedua.

Saya dan Datuk merasa agak ganjil dengan sikap yang ditunjukkan oleh Haji Taslim Singasari.

Jangan-jangan dia lebih hebat dari Suhaimi Keraba dalam bersubahat dengan iblis, timbul semacam perasaan dalam diri saya.

Datuk terus memeluk tubuh erat-erat. Kemudian dia meluruskan tangan dan jari-jemarinya. Kedua belah cuping telinganya diraba tiga kali berturut-turut.

Datuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Datuk tarik nafas dalam-dalam. Dilepaskannya perlahan-lahan.

Tangan yang diluruskan segera dijatuhkannya. Jari-jemarinya digenggam kemas-kemas. Wajah Datuk nampak aman sekali.

"Tak ada apa-apa Tamar, dia jujur," tutur Datuk.

"Saya tahu, tetamu saya ni meragui kejujuran saya," kata Haji Taslim Singasari, kami segera menoleh ke kanan.

Memang saya dan Datuk tidak sedar bila Haji Taslim Singasari berada di situ. Datuk merasa malu kerana rahsianya dapat dikesan oleh orang lain. Haji Taslim Singasari terus duduk di sisi saya.

"Bukankah beringat-ingat dan berhati-hati tu, memang disuruh oleh agama kita," itu dalih Datuk.

"Ya, perkara semacam tu memang harus ada pada setiap manusia, kita tidak disuruh menyerah pada takdir. Bukankah agama kita mengajar kita supaya berfikir," begitu bersahaja Haji Taslim Singasari bersuara. Dia terus meneguk air kopi O panas.

"Kalau kita ikhlas dan jujur sesama manusia, apa yang menjadi kesangsian pada orang lain mudah dikesan, buktinya, awak dapat mengesan kejujuran saya. Antara kita berdua saling ingat mengingati," Datuk melanjutkan kata-kata.

MELAWAN

Haji Taslim Singasari bangun lagi terus menuju ke ruang dapur untuk kali ketiga. Beberapa detik berikutnya, Haji Taslim Singasari datang kembali menatang pinggan. Dia duduk meletakkan pinggan atas lantai.

"Saya ke dapur tadi memasak ini," jelasnya.

"Kalau tak silap saya, ini pulut kuning," mata Datuk merenung ke arah pulut kuning yang ada dalam pinggan.

"Ya, memang betul cakap awak tu."

"Bila Haji memasaknya?"

"Tadi, biasanya bila saya berjaya melawan hantu syaitan, saya mesti makan pulut kuning. Memang sejak kematian sahabat saya, saya yakin kembarnya mesti datang, jadi saya bersedia terlebih dahulu.

"Ini ajaran guru awakkah Haji?" Datuk menyoal lagi.

Haji Taslim Singasari tidak menjawab. Dia terus mengepalkan pulut kuning dan diberikan kepada kami.

"Ini bukan ajaran atau amalan, ini petua guru saya. Tidak ada kena mengena dengan agama, sudah penat berlawan kita mesti berehat dan makan barang yang boleh beri kita tenaga, itu saja maksudnya," dengan wajah yang tenang Haji Taslim Singasari menjelaskan.

Dia menghirup kopi O panas dan mengunyah pulut kuning.

"Makan, lepas ni kita membaca Quran atau melakukan sembahyang tahajud, kalau kamu tidak mahu kamu boleh tidur," Haji Taslim Singasari renung wajah saya. Datuk ketawa.

"Budak ni, kalau disuruh tidur memang jadi, dia ni kaki tidur," kata Datuk.

Hati saya jadi panas dengan usikan Datuk itu. Kalaulah Datuk itu kawan sepermainan, sudah tentu saya maki. Menjatuhkan nama baik saya di depan orang.

"Tak apa, kalau kamu nak tidur, tidurlah, tapi orang yang pandai selalu memilih berjaga dari tidur. Berjaga banyak mendatangkan manfaat, kalau digunakan untuk menambah ilmu," Haji Taslim Singasari terus menepuk belakang saya dengan mesra sekali.

"Kalau waktu berjaga digunakan berborak kosong, membaca buku yang tidak berfaedah, berangan-angan, tentulah merugikan diri sendiri," sambung Haji Taslim Singasari, bagaikan berfalsafah di depan saya.

"Cakap awak tu, Haji memang betul," sampuk Datuk dengan senyum yang memanjang.

Entah macam mana di malam yang dingin itu, Datuk berjaya memujuk Haji Taslim Singasari supaya menceritakan pengalaman petualangnya di Tanah jawa mengisi ilmu akhirat dan dunia di dalam dadanya.

"Saya tak banyak mengambil ilmu dunia. Awak tahu, ilmu dunia kadang-kadang bercanggah dengan agama Islam. Tetapi..." Haji Taslim Singasari tidak meneruskan kata-katanya.

Dia renung kiri, renung kanan. Macam ada sesuatu yang dibimbangkannya.

"Tetapi saya ada juga belajar untuk tahu saja," sambung Haji Taslim Singasari yang secara tidak langsung membuka rahsia dirinya.

"Saya pernah ikut arwah ke tempat perguruan di hutan. Saya melihat arwah sahabat saya bersemadi di bawah batu besar. Makan sebiji beras sehari dan minum dua hari sekali. Air minuman dari embun di hujung daun," Haji Taslim Singasari memperkemaskan silanya.

"Itu untuk ilmu apa, Haji?" soal Datuk.

"Untuk melihat muka orang halus, bertutur dan berkampung sama-sama mereka," jelas Haji Taslim Singasari.

Haji Taslim Singasari juga menyatakan arwah (Suhaimi Keraba) diiktiraf murid yang terbaik oleh gurunya. Arwah dikurniakan kain ikat kepala warna merah.

Arwah Suhaimi Keraba (ASK) juga menuntut ilmu 'Telapak Pasir Merah'.

Khasiat dari ilmu ini, bila ASK menghentam atau menumbuk seseorang pasti orang yang kena hentam itu akan muntah darah segar.

Ketika mangsanya menggeletek kesakitan, ASK menghilangkan diri dan berada di tempat lain.

ASK juga menuntut ilmu 'Cakra Dewa', khasiatnya boleh membunuh orang dari jauh, juga boleh digunakan sebagai ilmu guna-guna.

Selain dari ilmu-ilmu yang disebutkan itu, ASK juga menuntut ilmu 'Cakar Dewa'.

Orang yang mengamalkan ilmu ini, bila dia mengerakkan jemarinya ke wajah seseorang, maka rosaklah wajah orang yang tersebut ketika itu juga.

"Ini ilmu dunia yang tidak pernah saya amalkan. Tetapi saya tahu kehebatannya. Saya juga merasa pelik macam mana arwah boleh kalah dengan awak?" sepasang biji mata Haji Taslim Singasari meraut wajah Datuk yang sudah mula berkedut itu.

"Entahlah, setiap kali saya berdepan dengannya, saya mohon pada Allah supaya usaha-usaha saya diberkati. Tujuan saya ialah mahu mengajak sahabat awak ke jalan yang benar." Datuk memberikan pengakuan.

JAKARTA

Dalam bulan Februari 1980, saya berkunjung ke Jakarta kerana urusan peribadi.

Sebaik saja sampai di sana, semua akhbar dan majalah memuatkan berita tentang seorang penjenayah yang handal bernama Kunsi Kandut.

Kunsi Kandut dihukum mati kerana kesalahan merompak, membunuh dan sebagainya.

Kunsi Kandut terkenal sakti dan berilmu, sehingga ramai yang mengatakan tubuhnya tidak boleh ditembusi peluru. Kematiannya disangsikan.

Maka dalam penjara dia diberikan beberapa keistimewaan, disediakan peti tv dan sebagainya.

Tetapi Kunsi Kandut berjaya menghilangkan diri dari tembok batu. Setiap kali dia bolos, pihak berkuasa berjaya memberkasnya.

Hasil dari penyelidikan sendiri, ternyata ilmu yang dimanfaatkan oleh Kunsi Kandut, sama dengan ilmu yang diamalkan oleh ASK.

Saya terfikir, mungkinkah dua insan ini seperguruan, sayangnya mereka sudah tiada lagi. Kalau salah seorang daripada mereka masih ada mungkin saya boleh bertanya.

"Saya tahu, arwah pernah menyatakan pada saya yang dia mahu mengajar ilmunya pada orang-orang yang berminat, caranya dia mahu mendirikan gelanggang silat dulu," Haji Taslim Singasari terus bangun.

Berjalan dari sudut ke sudut di ruang tengah.

"Ada anak muridnya?" tanya Datuk.

Haji Taslim Singasari telan air liur. Dia tidak dapat memberikan jawapan dengan segera. Haji Taslim Singasari duduk kembali.

"Ada." Jawab Haji Taslim Singasari selamba.

"Di mana, Haji?"

"Saya tidak tahu dengan tepat, boleh jadi ada di Perak, Kedah, Selangor. Maklumlah dia tu boleh pergi ke mana-mana dengan sekelip mata.

"Hum..." Datuk mengeluh kehampaan.

Buat beberapa saat, suasana dalam rumah dicengkam kesepian. Tiga kepala cuba berusaha memecahkan persoalan yang ditinggalkan oleh Suhaimi Keraba.

Saya segera terfikir, banyak kejadian ganjil di dunia yang dapat diterima oleh akal. Ada pula yang tidak logik!

Ah, semuanya ini menjadi misteri yang membingungkan orang. Apa yang jelas kematian Suhaimi Keraba mendatangkan masalah pada Datuk dan Haji Taslim Singasari.

"Kalaulah benar, dia ada anak muridnya, kita harus berusaha mencegahnya supaya ajaran ini tidak merebak ke mana-mana," Datuk memberikan cadangan.

"Ya, kita mesti menyedarkan mereka yang perbuatan itu memang bertentangan dengan agama," sahut Haji Taslim Singasari.

"Kita berjanji," kata Datuk.

"Ya, saya berjanji," sahut Haji Taslim Singasari ambil berjabat tangan dengan Datuk. Mereka bergoncang tangan, memperkuatkan tekad.

"Awak mesti ikut saya ke kampung laman saya minggu depan, saya memerlukan bantuan awak. Sebelum ke tempat saya kita ke tempat lain dulu," tiba-tiba Haji Taslim Singasari bersuara sambil menarik telapak tangannya yang bercantum dengan telapak tangan Datuk.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 117/284

BACA: SBDJ Siri 116: Budak Ganjil Tanpa Pakaian
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Hanya Kerusi Keselamatan Kanak-kanak (CRS) Jenis R44 Dan R129 Dibenarkan Dalam Kenderaan Anda

Hanya Kerusi Keselamatan Kanak-kanak (CRS) Jenis R44 Dan R129 Dibenarkan Dalam Kenderaan Anda

Hanya kerusi keselamatan kanak-kanak (Child Restraint System: CRS) yang mempunyai piawaian keselamatan EN ECE R44/04 dan R129 yang dibenarkan digunakan di Malaysia, seperti yang telah ditetapkan oleh Peraturan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNR) sebagai langkah keselamatan kanak-kanak yang mempunyai ketinggian kurang 135cm.

CRS Jenis R44 Dan R129

Selain pensijilan Peraturan UNR, setiap produk CRS akan mempunyai pelekat E-Mark berwarna jingga yang tertera maklumat seperti kategori produk mengikut berat atau tinggi dan nombor kelulusan.

Ia juga perlu mempunyai pelekat label QR sah daripada Miros, yang merekodkan maklumat spesifikasi teknikal CRS mengikut piawaian.

Ibu bapa juga dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan CRS yang murah, kerana ada juga jenama pengeluar yang tidak lulus piawaian tetapi melekatkan label tidak sahih dijual di pasaran.

Apabila membabitkan isu keselamatan, setiap ibu bapa tidak boleh berkompromi, kerana tidak semua CRS berkualiti dijual dengan harga yang mahal, iaitu mencecah RM1,000 seunit.

Sebenarnya, ada CRS yang lulus piawaian dan ujian keselamatan, tetapi dijual pada harga yang rendah, seperti dari RM150 ke RM300.

Kerajaan telah mengumumkan akan mewajibkan penggunaan CRS di dalam kenderaan bermula 1 Januari 2020 bagi menyelamatkan kanak-kanak daripada mengalami kecederaan serius atau kematian, sekiranya berlaku kemalangan.

Seiring dengan langkah itu, MIROS mengeluarkan Garis Panduan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak di Malaysia, yang boleh dimuat turun daripada laman web Miros.

Piawaian ini telah ditetapkan demi keselamatan pengguna. Jika sesebuah CRS itu tidak mengikut piawaian, ia bukan sahaja tidak dapat menyelamatkan mangsa kemalangan, tetapi akan memburukkan lagi keadaan.

Kesedaran mengenai kepentingan penggunaan CRS di dalam kereta masih berada pada tahap rendah di Malaysia.

Berdasarkan pemerhatian ketika operasi bersama pihak berkuasa, kurang daripada 40 peratus ibu bapa menggunakan CRS, selain kurang didikan terhadap keselamatan diri mereka dan kanak-kanak ketika menaiki kenderaan.

Ribuan kenderaan bergerak di jalan raya setiap hari dan membawa bayi serta kanak-kanak kecil yang terdedah kepada risiko kemalangan, apabila tidak ditempatkan di tempat duduk khas.

Dalam tempoh 2018 hingga Mac 2019, jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di WPKL adalah sebanyak 268 kes dan turut membabitkan kanak-kanak dan bayi.

Sementara itu, sebanyak 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari tahun 2007 hingga 2017.

Malangnya, ada ibu bapa berpendapat meriba anak-anak mereka dalam kereta sudah memadai kerana tidak mampu membeli CRS, namun mereka tidak sedar tindakan mereka itu jelas membahayakan diri kanak-kanak itu.

Menurut kajian yang dijalankan, tempat duduk khas bayi boleh merendahkan risiko kematian sehingga 70 peratus bagi bayi dan 50 peratus bagi kanak-kanak berusia antara satu hingga lima tahun.

Jika kita mahu serius mengenai keselamatan jalan raya, kita juga perlu serius mengenai langkah berjaga-jaga yang perlu diambil, bagi memastikan keselamatan mereka yang berada di dalam kenderaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Tuesday, October 22, 2019

Permohonan UPU Online Sesi Akademik 2020/2021

Permohonan UPU Online Sesi Akademik 2020/2021

Permohonan kemasukan ke Kolej Matrikulasi Kementerian Pendidikan dan Institut Pendidikan Guru (IPG) pengambilan sesi 2020/2021 kini boleh dibuat menerusi Unit Pusat Universiti Online (UPUOnline) menerusi laman sesawang Upu.moe.gov.my.

Permohonan UPU Online

Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ingin melanjutkan pelajaran ke institusi terbabit dipelawa mengemukakan permohonan.

Bermula Sesi Akademik 2020/2021 permohonan kemasukan pelajar ke Kolej Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) akan diselaraskan di bawah ‘Single Window, Single Offer’.

NO PIN

Untuk makluman, murid boleh mendaftar di sistem UPU Online bermula 21 Oktober 2019 tanpa terlebih dahulu membeli no pin.

Murid boleh membeli no pin di kaunter BSN pada minggu ke 4 Februari 2020 iaitu sebelum keputusan SPM dikeluarkan. Murid hanya boleh memilih program selepas 5 hari keputusan peperiksan diumumkan.

Murid hanya akan dapat memilih program yang layak berdasarkan keputusan SPM mereka. Permohonan akan ditutup pada minggu terakhir bulan Mac 2020.

Keputusan akan diumumkan pada minggu ke 3 bulan Mei 2020.

UPUonline 2019

Berdasarkan dasar single window single offer ini, pelajar hanya akan menerima SATU tawaran sahaja, sama ada daripada Matrikulasi/ IPG/Asasi UA/Diploma UA/ILKA, bagi Lepasan SPM.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Monday, October 21, 2019

Kenapa Komik Hew Dianggap Rasis?

Kenapa Komik Hew Dianggap Rasis?

Masalah utama dalam komik kontroversi yang diilhamkan oleh Hew Kuan Yew adalah, naratifnya berkisar mengenai penindasan China terhadap masyarakat Uighur, kata Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Komik Hew rasis

Ini dapat dilihat dalam kandungan komik tersebut, antaranya menyebarkan propaganda bahawa mereka yang membela nasib umat Islam Uighur yang dizalimi kerajaan China adalah radikal.

Komik tersebut mengetengahkan fahaman bahawa umat Islam bersimpati dengan kumpulan pengganas.

Abim berkata demikian bagi merujuk komik yang ditulis oleh Hew yang juga merupakan ketua pegawai eksekutif Majlis Perniagaan China-Malaysia (JBC) berjudul Inisiatif Jalur dan Jalan- Meraih Manfaat Bersama (BRI) yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris, Melayu dan Cina.

Penulis komik berkenaan juga menyifatkan orang Melayu yang bersimpati dengan nasib Uighur di China sebagai radikal.

Antara lain petikan daripada komik yang menyentuh mengenai radikal berbunyi: "Pemuda Melayu yang radikal dan prihatin tentang pelaksanaan dasar etnik di Xinjiang menyebabkan mereka mempunyai tanggapan negatif terhadap China.

"Terutamanya dalam hal mengenai kerajaan China mengharamkan sekelompok minoriti Uighur yang terlibat dalam gerakan pemisah yang telah mengancam perpaduan dan keharmonian masyarakat."

Buku komik BRI menjadi sorotan selepas bekas perdana menteri Najib Razak mengadu buku itu diedarkan di sekolah-sekolah, yang membawa kepada larangannya daripada Kementerian Pelajaran.

Bagaimanapun, Hew mempertahankan buku komik karangannya itu berkata, ia bertujuan mempromosikan pemahaman yang lebih baik tentang projek BRI China.

Sementara itu, Abim menyambut baik arahan dikeluarkan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berhubung larangan komik tersebut untuk diedar di sekolah dan Syed Saddiq yang menyelar penerbitan itu.

Setiap rakyat sememangnya harus mendokong kebebasan dalam menyampaikan maklumat tetapi harus disandarkan dengan fakta yang jelas dan dengan penuh rasa tanggungjawab.

Komik Hew Rasis

Pendidikan di Malaysia hanyalah bertujuan untuk melahirkan insan yang berupaya memberikan sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara, bukan memecah-belahkan kaum.

Untuk rekod, China telah menempatkan kira-kira 1.5 juta umat Islam Uighur di "kem pendidikan semula" yang didakwa perlu dilakukan demi memerangi ekstremisme Islam.

Layanan terhadap etnik Uighur telah dikritik ramai pihak di negara demokrasi Barat seperti Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, Malaysia lebih banyak berdiam diri mengenai layanan China terhadap Uighur.

Perdana Menteri, Tun Mahathir sebelum ini menjelaskan hal tersebut kerana China adalah sebuah negara yang kuat, selain rakan perdagangan terbesar Malaysia.

Pada masa ini, kerajaan terikat kepada Beijing melalui projek-projek era BN seperti Laluan Kereta Api Pantai Timur yang dirunding semula PH selepas berkuasa.

Putrajaya juga masih berunding dengan China untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan projek saluran paip Multi-Produk (MPP) dan Paip Gas Rentas-Sabah (TSGP).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com