Friday, October 25, 2019

Hanya Kerusi Keselamatan Kanak-kanak (CRS) Jenis R44 Dan R129 Dibenarkan Dalam Kenderaan Anda


Hanya kerusi keselamatan kanak-kanak (Child Restraint System: CRS) yang mempunyai piawaian keselamatan EN ECE R44/04 dan R129 yang dibenarkan digunakan di Malaysia, seperti yang telah ditetapkan oleh Peraturan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNR) sebagai langkah keselamatan kanak-kanak yang mempunyai ketinggian kurang 135cm.

CRS Jenis R44 Dan R129

Selain pensijilan Peraturan UNR, setiap produk CRS akan mempunyai pelekat E-Mark berwarna jingga yang tertera maklumat seperti kategori produk mengikut berat atau tinggi dan nombor kelulusan.

Ia juga perlu mempunyai pelekat label QR sah daripada Miros, yang merekodkan maklumat spesifikasi teknikal CRS mengikut piawaian.

Ibu bapa juga dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan CRS yang murah, kerana ada juga jenama pengeluar yang tidak lulus piawaian tetapi melekatkan label tidak sahih dijual di pasaran.

Apabila membabitkan isu keselamatan, setiap ibu bapa tidak boleh berkompromi, kerana tidak semua CRS berkualiti dijual dengan harga yang mahal, iaitu mencecah RM1,000 seunit.

Sebenarnya, ada CRS yang lulus piawaian dan ujian keselamatan, tetapi dijual pada harga yang rendah, seperti dari RM150 ke RM300.

Kerajaan telah mengumumkan akan mewajibkan penggunaan CRS di dalam kenderaan bermula 1 Januari 2020 bagi menyelamatkan kanak-kanak daripada mengalami kecederaan serius atau kematian, sekiranya berlaku kemalangan.

Seiring dengan langkah itu, MIROS mengeluarkan Garis Panduan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak di Malaysia, yang boleh dimuat turun daripada laman web Miros.

Piawaian ini telah ditetapkan demi keselamatan pengguna. Jika sesebuah CRS itu tidak mengikut piawaian, ia bukan sahaja tidak dapat menyelamatkan mangsa kemalangan, tetapi akan memburukkan lagi keadaan.

Kesedaran mengenai kepentingan penggunaan CRS di dalam kereta masih berada pada tahap rendah di Malaysia.

Berdasarkan pemerhatian ketika operasi bersama pihak berkuasa, kurang daripada 40 peratus ibu bapa menggunakan CRS, selain kurang didikan terhadap keselamatan diri mereka dan kanak-kanak ketika menaiki kenderaan.

Ribuan kenderaan bergerak di jalan raya setiap hari dan membawa bayi serta kanak-kanak kecil yang terdedah kepada risiko kemalangan, apabila tidak ditempatkan di tempat duduk khas.

Dalam tempoh 2018 hingga Mac 2019, jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di WPKL adalah sebanyak 268 kes dan turut membabitkan kanak-kanak dan bayi.

Sementara itu, sebanyak 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari tahun 2007 hingga 2017.

Malangnya, ada ibu bapa berpendapat meriba anak-anak mereka dalam kereta sudah memadai kerana tidak mampu membeli CRS, namun mereka tidak sedar tindakan mereka itu jelas membahayakan diri kanak-kanak itu.

Menurut kajian yang dijalankan, tempat duduk khas bayi boleh merendahkan risiko kematian sehingga 70 peratus bagi bayi dan 50 peratus bagi kanak-kanak berusia antara satu hingga lima tahun.

Jika kita mahu serius mengenai keselamatan jalan raya, kita juga perlu serius mengenai langkah berjaga-jaga yang perlu diambil, bagi memastikan keselamatan mereka yang berada di dalam kenderaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon