Wednesday, August 14, 2019

Kronologi Kehilangan Nora Anne

Kronologi Kehilangan Nora Anne

Percutian di Malaysia yang sepatutnya menjadi kenangan indah bertukar tragik bagi remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin yang hilang sebelum ditemui mati tidak jauh dari sebuah resort penginapan keluarganya.

Kehilangan Nora Anne
Nora Anne.

Anak istimewa berumur 15 tahun itu dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 4 Ogos, sehari selepas keluarga itu mendaftar masuk untuk percutian dua minggu di resort The Dusun, Pantai, Negeri Sembilan.

Mayat remaja Ireland itu ditemui selepas 10 hari dilapor hilang oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat berkeadaan tidak berpakaian berhampiran anak sungai di kawasan berlurah.

Lokasi penemuan itu terletak sekitar 2.5km dari resort beliau dilapor hilang, dalam kawasan yang terletak dalam radius pencarian yang sebelum ini telah beberapa kali dilalui oleh kumpulan anggota mencari dan menyelamat (SAR).

Kurang 24 jam sebelum penemuan mayat itu, ibu bapa Nora Anne, mengumumkan secara terbuka melalui media massa ganjaran RM50,000 kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat hingga terjumpanya anak perempuan mereka.

Pencarian Nora Anne mendapat liputan meluas daripada media tempatan dan antarabangsa yang siap ‘berkampung’ di kawasan itu sejak remaja itu dilaporkan hilang.

Pencarian itu mencuri tumpuan rakyat Malaysia untuk mengikuti setiap perkembangan operasi yang turut melibatkan sejumlah tenaga yang besar, antaranya pakar penjejak yang terdiri daripada anggota pasukan komando 69, unit anjing pengesan K9, pasukan Senoi Praaq, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Rela, orang asli dan sukarelawan.

Pasukan mencari dan menyelamat melalui pelbagai cabaran dalam operasi itu memandangkan kawasan terlibat adalah hutan yang dipayungi pokok-pokok besar dengan bentuk muka bumi berbukit.

Selain itu, cuaca yang tidak menentu dengan hujan, turut menyebabkan tanah di kawasan itu becak dan licin.

Usaha mencari dan menyelamat turut dibuat melalui udara oleh Unit Udara PDRM dengan peralatan canggih serta penggunaan dron.

Selain pasukan dari Malaysia, polis dari Ireland, England dan Perancis juga berada di negara ini bagi membantu siasatan kes kehilangan remaja itu.

Sejurus ditemui dan anggota forensik membuat siasatan di lokasi penemuan, mayat remaja itu diterbangkan dengan helikopter ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat, proses formaliti untuk menentukan punca kematian selain bagi membolehkan ibu bapa membuat pengesahan.

KRONOLOGI KEHILANGAN NORA ANNE QUOIRIN

3 Ogos 2019

Nora Anne Quoirin, 15, remaja Ireland tiba di Resort The Dusun Pantai Hill, Seremban, Negeri Sembilan bersama keluarganya untuk bercuti.

4 Ogos 2019

Remaja perempuan yang mempunyai masalah pembelajaran itu disedari hilang oleh ahli keluarganya apabila tiada di bilik penginapannya pukul 8 pagi.

4 Ogos 2019

Polis menerima maklumat kehilangan mangsa daripada pemilik resort selepas dimaklumkan oleh seorang ahli keluarga remaja itu.

4 Ogos 2019

Polis melakukan misi pencarian membabitkan bomba dan anggota polis dari Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.

5 Ogos 2019

Pihak berkuasa termasuk polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengawal ketat kawasan Resort The Dusun Pantai Hill, lokasi Nora Anne dilapor hilang.

5 Ogos 2019

Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne.

5 Ogos 2019

Operasi SAR melalui udara dibuat di kawasan Gunung Berembun serta meliputi pesisiran Sungai Berembun.

5 Ogos 2019

Platun Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras turut dikerah dalam operasi SAR remaja perempuan itu.

6 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari ketiga, diteruskan dengan kekuatan 159 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.

7 Ogos 2019

Polis telah merakam 20 keterangan saksi termasuk ahli keluarga bagi membantu siasatan kes kehilangan Nora Anne.

7 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari keempat, diteruskan dengan kekuatan 206 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.

8 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari kelima, diteruskan dengan kekuatan 247 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.

8 Ogos 2019

Operasi SAR mengesan Nora Anne diketuai Unit Senoi Praaq Polis Diraja Malaysia (PDRM).

8 Ogos 2019

Khidmat helikopter Pasukan Gerakan Am PDRM digunakan dengan tambahan teknologi yang lebih canggih bagi mengesan Nora Anne.

8 Ogos 2019

Rakaman suara ibu Nora Anne memanggil remaja itu dengan panggilan manja dimainkan melalui pembesar suara sepanjang SAR.

9 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari keenam, diperkuatkan dengan kehadiran pasukan elit PDRM iaitu Komando VAT 69 dengan kekuatan dua pegawai dan 21 anggota.

9 Ogos 2019

Sembilan dron diguna dalam operasi SAR kesan Nora Anne.

9 Ogos 2019

Penduduk di sekitar pekan Pantai, Negeri Sembilan mengadakan solat hajat di Masjid Kariah Pantai selepas menunaikan solat Jumaat bagi memohon dipermudahkan operasi SAR kesan Nora Anne.

10 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari ketujuh, skala pencarian Nora Anne dikecilkan dari 6 kilometer (km) radius kepada 4 km radius dari lokasi kejadian.

10 Ogos 2019

Masyarakat Orang Asli sedia membantu mencari Nora Anne menggunakan kaedah tradisional berdasarkan kepercayaan mereka.

10 Ogos 2019

Keluarga Nora Anne hargai usaha petugas SAR korbankan cuti Aidiladha cari anak mereka.

11 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari kelapan, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata polis membuka talian hotline khas 0111-2285058 bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan Nora Anne.

11 Ogos 2019

Operasi SAR Nora Anne mendapat bantuan daripada kumpulan pendaki sukarelawan.

12 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari kesembilan, diteruskan dengan kekuatan 348 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.

12 Ogos 2019

Keluarga Nora Anne tawar ganjaran RM50,000 kepada mana-mana pihak yang dapat salur maklumat bantu kesan Nora Anne.

12 Ogos 2019

Pasukan polis Ireland, England, Perancis berada di negara itu membantu PDRM menyiasat kes kehilangan Nora Anne.

12 Ogos 2019

Sekumpulan lima pengamal perubatan Islam daripada Rawatan Tradisional Sulafusoleh menawarkan diri membantu operasi SAR kesan Nora Anne Quoirin.

12 Ogos 2019

Pengamal media dipelawa untuk menyertai operasi SAR kesan Nora Anne buat pertama kalinya.

13 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari kesepuluh, polis menemui mayat dipercayai seorang wanita berkulit putih yang ditemui pada 1.57 tengah hari, kira-kira 2.5 kilometer dari resort The Dusun, Pantai.

13 Ogos 2019 (8.55 malam)

Polis sahkan mayat yang ditemui adalah Nora Anne selepas ahli keluarga remaja itu membuat pengecaman.

Apa sebenarnya yang terjadi? Nantikan.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Tuesday, August 13, 2019

5 Nasihat Rahsia Bagaimana Untuk Berjaya Dalam Perniagaan

5 Nasihat Rahsia Bagaimana Untuk Berjaya Dalam Perniagaan

Usahawan ternama dan pengasas Virgin Group menawarkan tip-tip untuk memulakan perniagaan dan kata beliau, "Saya sering ditanya jikalau telah menemui rahsia – atau sekurang-kurangnya jawapan yang konsisten – untuk membina perniagaan selama karier saya."

Rahsia Berjaya Dalam Perniagaan
Richard Branson.

Maka saya telah mengambil masa untuk berfikir tentang ciri-ciri kejayaan yang telah banyak dikecapi oleh Virgin dan yang paling penting sekali, apakah kegagalan yang ditempuhi atas pilihan yang kurang bijak. Mengimbau semula 40 tahun tersebut, saya dapat merumuskan lima “rahsia”.

1. Sukai Apa Yang Anda Buat

Disebabkan memulakan sesuatu perniagaan memerlukan ketekunan dan waktu yang lama, anda seharusnya menyukai apa yang anda lakukan.

Semasa saya mulakan perniagaan Virgin di basement rumah pangsa saya di Barat London, saya tidak bermimpi untuk membina suatu empayar perniagaan.

Saya hanya mahu memulakan sesuatu yang saya suka buat dan mampu membayar bil-bil saya. Tiada perancangan yang besar atau strategi, malah nama itu diilhamkan tanpa banyak berfikir.

Suatu malam, saya bersama sahabat saya sedang sedang berborak sambil minum-minum dan mengambil keputusan untuk menamakan kumpulan perniagaan kami Virgin, kerana kami semua pendatang baru dalam perniagaan. Nama itu kekal dan mempunyai bunyi yang unik.

Bagi saya, membina suatu perniagaan adalah sesuatu yang harus dibanggakan, mengumpulkan orang-orang yang berbakat dan mencipta sesuatu yang dapat mengubah hidup orang lain.

Sekiranya ahli perniagaan berhasrat untuk benar-benar membawa perubahan dalam kehidupan orang lain dan mencapai hasrat tersebut, dia akan mampu membiayai hidupnya dan juga memiliki perniagaan yang berjaya.

2. Mulakan Sesuatu Yang Lain Daripada Yang Lain

Tidak kisahlah jika kamu mempunyai sesuatu produk, perkhidmatan atau jenama, tidak mudah untuk memulakan sesebuah syarikat yang mampu bertahan dalam dunia moden ini.

Kamu perlu melakukan sesuatu yang radikal untuk menjadi berjaya di zaman dan lihatlah ahli perniagaan yang berjaya dalam jangka masa 20 tahun yang lepas.

Microsoft, Google atau Apple, contohnya, menggegarkan sesebuak sektor dengan melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum itu dan terus berinovasi. Mereka sekarang mempunyai kuasa dominan.

3. Mulakan Sesuatu Yang Akan Dibanggakan Oleh Semua Orang Yang Bekerja Dengan Kamu

Perniagaan biasanya dijalankan oleh sekumpulan orang dan mereka adalah aset kamu yang paling berharga.

4. Jadilah Pemimpin Yang Baik

Sebagai seorang pemimpin, kamu harus menjadi pendengar yang baik. Kamu perlu tahu pendirian kamu sendiri, tetapi tiada guna juga jika kamu memberi pandangan kepada orang lain tanpa adanya perdebatan.

Tiada sesiapa mempunyai monopoli dalam idea yang baik dan nasihat yang baik.

Bergaullah. Dengarkan pandangan orang lain, biarkan orang menampilkan diri dan belajarlah dari mereka. Sebagai seorang pemimpin, kamu juga harus pandai memuji orang lain.

Jangan mengkritik orang secara terbuka; jangan menunjukkan panas baran dan sentiasalah memuji rakan sekerja kamu atas kejayaan mereka dalam melakukan tugas.

5. Sentiasa Kelihatan

Seorang pemimpin yang baik tidak seharusnya duduk di meja sahaja. Saya tidak pernah bekerja di pejabat – saya selalu bekerja dari rumah – tetapi saya selalu keluar dan bergaul dengan orang.

Saya banyak berjalan dan saya sentiasa membawa buku nota untuk mencatit soalan, kebimbangan dan idea yang baik.

Jika saya berada dalam penerbangan Virgin Atlantic, saya pasti meluangkan masa untuk keluar bertemu dengan semua pekerja dan kebanyakan penumpang.

Jika kamu bertemu dengan sekumpulan ahli kru Virgin Atlantic, kamu akan mendapat sekurang-kurangnya sepuluh cadangan dan idea.

Jika saya tidak mencatatnya, saya cuma akan ingat satu sahaja keesokan hari, tetapi dengan mencatatnya, saya akan ingat kesemuanya.

Apabila keluar dan berjabat tangan dengan semua penumpang pesawat, sekali lagi, akan ada orang yang memberikan pendapat dan menyatakan masalah mereka.

Catat dan tuliskan nama dan alamat e-mail mereka dan keesokan harinya kamu harus memberi maklum balas.

Sudah tentu, saya cuba untuk memastikan pengarah urusan yang dilantik mempunyai falsafah yang sama.

Dengan itu kita dapat menguruskan kumpulan syarikat sebagaimana peniaga kecil yang diuruskan kaum keluarga – sentiasa responsif dan mesra.

Apabila mula-mula membina perniagaan, frasa penting untuk beberapa tahun pertama adalah “kemampuan untuk bertahan”.

Sememangnya sukar untuk bertahan kerana pada mulanya kamu tidak mempunyai masa dan tenaga untuk memikirkan tentang perkara seperti bagaimana hendak menyelamatkan dunia.

Kamu hanya akan terus berjuang untuk memastikan yang kamu dapat menjaga pengurus bank dan dapat membayar bil-bilnya.

Pendek kata, sepenuh konsentrasi kamu hanyalah bagi memastikan kamu tetap bertahan.

Walau bagaimanapun, sekiranya kamu tidak mampu bertahan, ingatlah bahawa kebanyakan perniagaan gagal dan pengajaran terbaik adalah belajar daripada kesilapan.

Kamu tidak seharusnya terlalu patah semangat. Bangkit semula dan cuba lagi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: usahawan

SBDJ Siri 102: Rahsia Sebuah Rumah Tinggal

SBDJ Siri 102: Rahsia Sebuah Rumah Tinggal

Sejak kejadian itu, kedua-dua anaknya tidak pulang ke rumah. Lelaki India itu merasa amat kecewa dengan nasib malang yang menimpa dirinya dan akhirnya, lelaki India itu mengambil keputusan gantung diri dalam rumah hingga mati.

Toyol jadi-jadian

Mulai dari tarikh itu, rumah yang sebuah itu terus kosong. Hanya anjing peliharaannya sahaja yang masih setia menunggu rumah.

Biasanya, kalau saya yang lalu di situ anjing peliharaan tidak menyalak atau mengejar saya. Mungkin anjing itu sudah biasa dengan bau badan saya.

Berdebar juga ketika melintas rumah kosong, maklumlah hari sudah samar-samar. Matahari sudah berada di kaki langit.

Pepohon getah yang rapat dan berdaun lebat membuat cuaca di jalan tanah merah yang saya lalui bertambah suram.

Kalau saya ikut jalan raya (jalan jauh) saya tidak menghadapi masalah sesulit ini.

Angin yang bertiup terus menggerakkan dedaun dan reranting getah. Dedaun getah yang tua gugur ke bumi.

Beberapa kali langkah saya terhenti, diganggu oleh monyet liar yang melompat di dahan getah.

Saya kian mendekati rumah usang dan cara mendadak darah saya tersirap. Suara salakan anjing bertalu-talu membuat tubuh saya gementar.

Buah getah dan reranting getah berguguran, macam ada kuasa yang menggugurkan.

Monyet-monyet liar berlompatan dari dahan ke dahan macam dikejar sesuatu.

Dedaun getah yang bergerak macam disentuh ribut mengeluarkan bunyi yang amat menggerunkan.

Dari celah-celah daun yang lebat itu, saya melihat ke dada langit. Awan nampak bersih, cahaya matahari sudah tidak kelihatan lagi.

Saya cuba berlari tetapi, tidak terdaya saya lakukan. Sepasang lutut saya terasa cukup lemah.

Saya cuba bertenang dan cuba menguasai perasaan gementar supaya tidak bertambah kuat. Usaha saya itu berhasil, saya berjaya mengawal perasaan cemas dan takut.

Akal fikiran saya mula terbuka, bersedia untuk bertindak untuk menghadapi sesuatu.

Memang betul, cakap Datuk yang pernah menasihatkan saya supaya bersikap tenang, gunakan fikiran, jangan panik bila berdepan dengan suasana yang mencemaskan.

SALAKAN

Suara salakan anjing terus menguasai kawasan ladang. Saya sudah bersedia untuk melawan anjing-anjing tersebut, sekiranya saya diserang.

Saya segera mengambil sepotong dahan getah yang panjangnya kira-kira tiga kaki. Kayu itu tetap saya jadikan senjata untuk mempertahankan batang tubuh saya dari digigit oleh gigi anjing yang tajam itu.

Lama saya menunggu, anjing-anjing yang dijangka menyerang saya itu tidak datang.

"Kenapa? Mesti ada sesuatu," bentak batin saya.

Seluruh pandangan saya tujukan ke arah pondok usang. Saya lihat dua ekor anjing menyalak ke arah rumah usang. Dua tiga ekor lagi mengelilingi rumah tersebut.

Biasanya, bila anjing menyalak mesti ada sesuatu. Anjing tidak akan menyalak tanpa sebab.

Siapakah yang berada di dalam rumah usang waktu senja begini? Timbul pertanyaan dalam diri saya.

Rasa cemas kembali menguasai hati, bila saya terdengar bunyi suara gagak atas bumbung rumah tersebut.

Serentak dengan itu saya terlihat pintu rumah usang yang tertutup rapat, terbuka perlahan-lahan.

Saya juga melihat cahaya lampu minyak tanah. Ada bebayang manusia bergerak dalam rumah. Saya terhidu bau tembakau rokok.

Bila saya amati ternyata bau tersebut datang dari arah rumah usang. Dua kali saya terdengar suara orang batuk dan dituruti dengan suara orang bercakap.

Saya pasti yang bercakap itu seorang lelaki Melayu dan seorang lagi lelaki India. Mereka bercakap tentang masalah kewangan.

Beberapa ekor anjing meluru ke arah saya. Kayu di tangan saya pegang erat-erat dan bersedia untuk dihayunkan ke arah anjing-anjing tersebut.

Apa yang mengejutkan, bila anjing-anjing itu berada dalam jarak yang dekat dengan saya, terus berhenti menyalak, seolah-olah memperlihatkan sikap persahabatan.

Semua anjing-anjing itu menggoyang-goyangkan ekor sambil mengelilingi saya.

Salah seekor dari anjing tersebut yang berwarna kuning, berbadan besar dan tegap, berlari berulang kali ke arah rumah usang sambil berbunyi. Kemudian datang ke arah saya.

Tiga kali saya biarkan anjing itu berbuat demikian, hingga timbul dalam hati saya yang anjing tersebut mahu menyatakan sesuatu tentang apa yang ada di dalam rumah usang.

Saya nekad untuk pergi ke rumah usang. Hati saya tiba-tiba sahaja jadi berani, beberapa ekor anjing yang mengelilingi saya terus meluru ke depan, seolah-olah menjadi kepala jalan yang sekali gus melindungi saya.

Langkah kian teratur menuju ke pintu rumah. Sebaik sahaja saya berdiri di depan pintu, secara mendadak pintu rumah terbuak perlahan sambil mengeluarkan bunyi yang nyaring akibat engselnya sudah berkarat kerana sudah lama tidak digunakan.

Sarang labah-labah dan sawang yang bergantungan di muka pintu bergerak-gerak lembut dan akhirnya pecah akibat di terpa angin.

Saya terpaku di muak pintu, tidak tahu, apa yang harus saya lakukan. Cahaya lampu minyak tanah terus menerangi ruang depan rumah.

Anjing-anjing yang mengiringi saya segera duduk di tanah sambil merendah-rendahkan muncungnya macam mahu menyondol tanah.

Anjing-anjing itu tidak menyalak lagi tetapi, bersuara mendayu-dayu.

Beberapa minit kemudian semua anjing-anjing itu melengking dengan suara yang tinggi dan melompat lalu lari ke arah kawasan pinggir ladang getah.

Saya yakin, semua anjing-anjing itu dipukul. Tekaan saya tidak salah, bila melihat beberapa ekor badan anjing itu berdarah dan berlari terjingkit-jingkit. Siapa yang memukulnya?

"Siapa di dalam?" jerit saya.

"Aku, kenapa? Apa yang kau mahu?"

"Ha....." saya gagal meneruskan kata-kata kerana terkejut menerima jawapan yang di luar jangkaan saya.

Suara orang ketawa memanjang dalam rumah usang jelas kedengaran.

Keadaan cuaca terus beransur gelap dan saya berazam untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Saya maju setapak, berdiri tidak jauh dari ambang pintu. Bila saya sudah melangkah setapak ke depan, ertinya saya sanggup menerima sebarang risiko.

Saya jenguk ke dalam rumah. Lampu minyak tanah terlekap di dinding. Sesekali terdengar suara orang berbisik.

"Ya Allah...", saya separuh menjerit.

Ranjan (pemilik rumah usang) berdiri di depan saya. Bagaimana orang yang sudah mati boleh hidup semula? Tanya hati kecil saya.

Walaupun demikian, tubuh Ranjan yang terpacak di depan terus saya renungi. Saya lihat di batang lehernya terdapat kesan luka akibat dijerut dengan tali belati.

Saya tidak mengizinkan sepasang mata saya merenung lehernya lama-lama. Suara raungan anjing-anjing terdengar sayup-sayup di hujung ladang getah.

Entah mengapa saya jadi berani secara tiba-tiba sahaja. Bagaikan ada sesuatu kekuatan yang tersendiri datang dalam diri saya.

Ranjan terus merenung saya sambil membuka mulutnya perlahan-lahan.

Bila mulutnya sudah ternganga lebar. Saya lihat lidah pucatnya bergerak-gerak dalam rongga mulut.

Lidah itu kelihatan membesar dan menjulur sedikit demi sedikit hingga sampai ke paras dada.

Lidah tersebut kelihatan terbuai-buai ke kiri ke kanan, macam daun pisang dara dirempuh angin.

Serentak dengan itu terdengar suara orang bersorak dengan gamat yang datangnya dari arah kiri dan kanan rumah. Suara tanpa manusia itu mendebarkan hati.

Bunyi dengung lalat, langau bagaikan mahu memecahkan gegendang telinga. Saya segera menekup telinga dengan sepasang telapak tangan.

Ranjan mengangkat kedua belah tangannya lalu menghalakan ke arah batang leher saya.

Sampai di sini keberanian tidak dapat saya pertahankan, semuanya hancur berderai. Badan saya berpeluh dan menggigil.

Segera saya pusingkan tubuh ke kanan sambil merendahkan badan. Tanpa membuang masa, saya terus melompat dalam jarak dua kaki sebelum berdiri untuk membuka langkah lari seribu langkah.

SUARA

Saya terus berlari, suara cengkerik, suara katak dan bunyi burung tukang, bagaikan mempersenda-sendakan langkah saya. Hati terus dibalut rasa cemas dan takut.

"Hai, nanti dulu Tamar," saya segera toleh ke kanan, ke arah suara itu datang.

Kali ini langkah saya benar-benar kaku. Amjal Kamal berdiri senang di bawah pohon cempedak. Sepasang matanya yang hampir tersembul merenung ke arah saya.

Kulit dahinya terkoyak hingga menampakkan kedua belah tulang keningnya.

Darah merah segar mengalir di kedua belah pipinya. Daging pipi sebelah kirinya terkeluar, bergantungan macam daging lembu yang digantung di pasar untuk dijual.

Tulang dagunya terkopak macam dihentak atau terhempas pada benda yang keras.

Telinga kirinya terkoyak dan bibir bawahnya pecah.

Hidungnya tiada dan kulit di batang lehernya terkopak, urat dan tulang leher jelas kelihatan, buah halkumnya bergerak lemah bercampur dengan darah.

Baju yang dipakainya semuanya koyak rabak, begitu juga dengan seluarnya.

Saya tidak tahu apa yang wajar saya lakukan? Apakah saya perlu memberikan pertolongan padanya?

Jangan cari penyakit, cara yang paling baik dan selamat tinggalkan dia sendirian di situ.

Sebelum saya memulakan langkah, lagi sekali wajah Amjal Kamal yang aneh itu saya tatap.

Sepasang matanya yang tersembul tetap merenung sayu ke arah saya. Seolah-olah minta pertolongan dan simpati.

Renungannya begitu sayu dan bersahaja sekali. Dia menangis, kata saya bila melihat air matanya mengalir atas daging pipinya lalu bersatu dengan darah.

Saya jadi simpati. Rasanya, tidak sampai membiarkan dia sendirian.

Saya menarik nafas dalam-dalam. Rasa simpati yang datang dalam hati, membunuh rasa takut dan cemas dalam diri saya.

Setiap kali melihat kelopak matanya yang tersembul berkelip, rasa mahu menolongnya kian menjadi-jadi dalam hati.

"Kenapa kamu jadi macam ini?" tanya saya.

Tidak ada jawapan yang saya terima, cuma renungannya kian redup, kian sayu, minta dikasihani.

"Kenapa kamu lari, waktu orang ajak kamu pergi ke masjid?" soal saya.

Macam tadi juga, jawapannya tidak saya perolehi. Matanya tetap meraut seluruh wajah saya.

Bila saya terlalu lama merenunginya begitu tanpa berkedip, membuat hati saya jadi cemas kembali.

Saya terpaksa menggunakan senjata terakhir, iaitu membuka langkah untuk pulang ke rumah.

Suara lolongan anjing sudah lama berhenti tetapi, suara cengkerik, katak dan burung hantu tetap menyanyi tanpa irama yang tertentu.

Sambil berlari, saya terus menoleh ke belakang, saya lihat Amjal Kamal yang sudah berubah bentuk itu tetap berada dekat saya. Dia seolah-olah mengapai-gapai tangannya untuk berpaut pada baju saya.

Ketika itu juga saya teringat cakap orang tua ganjil bahawa, Amjal Kamal yang mati akan kembali dalam bentuk dan cara lain untuk menjahanamkan siapa sahaja yang pernah menghalang cita-citanya.

Malangnya, orang tua itu tidak memberitahu saya bagaimana cara-cara untuk menghancurkan penjelmaan kembali Amjal Kamal itu.

"Tamar, ke mana kamu nak pergi?"

Saya pasti itu suara Datuk. Tetapi saya tidak mampu memperlahankan langkah kaki yang sedang berlari.

Terasa sekujur tubuh Amjal Kamal dengan wajah yang mengerikan tetap mengekori saya.

Datang lagi suara Datuk. Saya segera menoleh ke kiri tanpa disangka tubuh terlanggar pohon petai.

Bahu kiri, terasa seperti mahu tercabut. Amjal Kamal dengan wajah yang menakutkan terus hilang entah ke mana.

GELAP

Cuaca bertambah gelap. Dalam keadaan yang terhuyung-hayang itu, sepasang tangan kasar memeluk tubuh dengan kuat.

Saya terus meronta-ronta dan suara Datuk terus memukul gegendang telinga saya. Wajahnya tidak dapat saya lihat.

Usaha saya berhasil, sepasang tangan yang memaut tubuh dapat saya buka dengan membantingkan tubuh orang itu ke perdu petai.

Orang itu mengerang kesakitan, saya tidak dapat memastikan siapakah yang jadi mangsa saya.

Apakah orang itu patah atau pengsan bukanlah urusan saya.

Apa yang penting, saya harus berlari ke mana sahaja mengikut kata hati. Saya halakan tubuh ke arah matahari jatuh sambil memulakan langkah.

"Uhhhhh...," pekik saya sekuat hati.

Sepasang tangan saya gawangkan ke kiri dan ke kanan. Saya tidak dapat berdiri dengan baik.

Ada yang menaburkan jala besar ke arah saya. Sepenuh tenaga saya melompat hingga jala yang menyerkup saya pecah berderai.

Dalam keadaan kelam kabut itu, saya terasa ada orang menyarungkan guni padi ke kepala saya.

Satu tumbukan yang padu dan kuat singgah di rusuk kanan. Saya tidak dapat berdiri lalu jatuh terduduk.

Sepasang kaki saya ditarik dan dada saya ditekan. Saya terbaring dan tubuh yang sudah dibalut dengan guni itu terus di golek ke mana-mana. Tubuh saya diangkat dan diusung.

Akhirnya, dihumbankan ke dalam sebuah kolam. Saya mual kelemasan dan terus menelan air kolam, tekak terasa payau. Terasa ada orang merentap guni yang membalut tubuh.

Telinga saya masih menangkap suara orang bercakap. Entah apa yang dicakapkan, saya sendiri tidak tahu.

Fikiran saya sekejap berada di satu tempat lain dan sekejap berada di tempat apa yang sedang saya alami sekarang.

Tubuh saya diangkat dari perut kolam. Diletakkan di atas tanah. Dalam keadaan yang tercungap-cungap itu, saya masih mampu melihat api jamung dari daun kelapa menerangi sekitar kolam.

Sukar untuk mengenali orang-orang yang mengelilingi saya. Pandangan saya agak kabur kerana air kolam masih lagi menguasai kelopak mata. Badan saya menggeletar kesejukan.

"Apa dah jadi dengan kamu, Tamar?"

Perlahan-lahan saya pusingkan leher ke kiri. Untuk seketika, wajah Datuk yang duduk mencangkung itu saya tatap.

Entah, mengapa saya tidak berminat mendengar suara dan wajahnya. Cepat-cepat saya alihkan pandangan ke langit.

Saya tatap gumpalan awan dan bintang di langit. Tidak semena-mena, muncul Amjal Kamal di awang-awangan.

Bergerak bebas ke sana ke mari sambil melambai-lambaikan tangan ke arah saya.

"Hei, nanti dulu Tamar," katanya.

Dia berhenti betul-betul di depan mata saya.

Aneh, saya tidak berlari atau berjalan tetapi, kenapa dia menyuruh saya menantinya.

Dalam keadaan fikiran yang bercelaru itu. Amjal Kamal terus mendekati saya. Dia membaling seketul tanah di muka saya.

Bila tanah menyentuh kulit muka, terasa panas macam kena api. Buat beberapa detik saya tidak tentu arah.

"Kamu sekarang, tunduk dengan aku, kamu faham!" ujarnya.

"Faham," jawab saya.

"Kamu ikut perintah aku, tunduk dengan kata-kata ini: Dari hati, dari perasaan, dari semangat rohani dan jasmani, kau ikut apa yang aku suruh,"

"Saya faham," nada suara saya lembut.

Amjal Kamal yang berada di awang-awangan itu ketawa berdekah-dekah.

Saya tidak tahu, apakah ketawanya didengar oleh Datuk dan rakan-rakannya.

"Kamu kenal siapa ini?" Amjal Kamal mengeluarkan sebuah patung dari celah ketiaknya.

Patung itu ditayangkan pada saya seketika. Saya gelengkan kepala.

Memang sukar untuk mengenali patung tersebut berwajah siapa dari jarak jauh.

"Baiklah, sekarang kau lihat dengan teliti," kata Amjal Kamal lalu membesarkan patung itu seperti bentuk manusia biasa.

"Kau kenal, siapa orangnya, Tamar?"

"Kenal."

"Siapa dia, Tamar?"

"Datuk saya."

"Sebenarnya, dia musuh kamu."

"Bukan, dia bukan musuh saya, dia Datuk saya," begitu yakin saya mengucapkan kata-kata itu.

Amjal Kamal gelengkan kepala beberapa kali.

"Cuba kau perhatikan dengan teliti Tamar."

Saya pun mematuhi arahan Amjal Kamal. Saya perhatikan dan saya telek patung sebesar manusia itu dengan teliti.

Memang bukan Datuk, cuma bentuk tubuh dan wajahnya hampir menyamai Datuk.

"Kau puas Tamar?"

"Ya. Saya puas hati, bukan Datuk saya."

Saya segera anggukkan kepala. Amjal Kamal tersenyum. Dia suruh saya merenung ke arah dada kiri patung. Apa yang disuruhnya saya patuhi.

Bila saya renung ke arah dada kiri patung itu, kelihatan cahaya berkelip-kelip macam cahaya batu delima.

Betul-betul berada di bahagian jantung. makin lama direnung, mata jadi silau dan kepala terasa pening.

Timbul keinginan dalam diri saya untuk memiliki benda yang memancar seperti batu delima itu.

"Tamar, dengar sini. Ini perintah, dari hati, dari perasaan dari semangat rohani dan jasmani, kau ikut apa yang aku suruh, Tamar," terdengar suara Amjal Kamal bergema dari setiap sudut. Wajahnya tidak dapat saya lihat.

Suara Amjal Kamal makin lama, makin kuat dan nyaring. Saya kira, kalau tidak dijawab, suara itu tidak akan berhenti lalu saya membuat keputusan:

"Ya, aku patuh pada perintah kamu.

"Bagus, kau pengikut yang setia."

"Apa perintah untuk aku?"

"Kamu mesti menikam ke atas dada orang yang bercahaya itu."

"Mahu ditikam dengan apa?"

"Dengan pisau."

"Dengan pisau? Perintah bodoh. Mana ada pisau pada aku?"

"Ada, kau raba bawah ketiak kamu."

RABA

Perintah itu saya turuti. Memang benar, sebilah pisau pendek saya temui di bawah ketiak sebelah kanan. Hulu pisau saya pegang erat-erat.

Suara ghaib terus bergema memerintah saya menikam ke arah benda bercahaya.

Saya tidak ada pilihan lain. Dengan sepenuh tenaga, saya balingkan pisau ke arah benda yang berkelip itu. Tepat pada sasarannya.

Terdengar jeritan dan benda yang berkilat itu hancur berkecai, badan patung berkecai dan berterbangan.

Melihat kejadian yang tidak pernah diduga, saya terkejut. Seluruh badan saya menggeletar.

Badan saya terasa kecil dan mula terpisah dari keadaan yang saya alami. Telinga saya mula terdengar suara orang bercakap.

Antara sedar dengan tidak, saya cuba menggerakkan kepala ke kiri dan ke kanan. Tidak mahu memandang ke langit lagi.

"Curahkan air ke mukanya, dia masih khayal," saya mendengar suara Datuk.

Belum pun sempat saya mengeluh atau bersuara. Satu baldi air tercurah ke muka. Saya seperti terpinga-pinga melihat jamung yang marak menyala.

Saya ditempatkan atas pengusung yang dibuat dari buluh. Kedua belah tangan dan kaki saya diikat dengan rotan.

Saya lihat Mat Daud dan Azizi Jabar masih berdiri di tepi kolam ikan milik Haji Sulung. Kedua-duanya membimbit baldi kosong.

Salah satu dari baldi itu digunakan untuk mencurahkan air dari kolam ikan ke muka saya.

"Macam mana saya boleh berada di sini?" tanya saya pada Uda Lamat yang berdiri dekat pengusung.

Orang tua itu tersenyum. Saya cuba menggerakkan jejari tangan dan kaki yang terasa kaku dan kebas.

"Kamu lari satu ladang ni sambil bertempik macam gajah hilang anak," ujar Uda Lamat, disambut dengan ketawa oleh beberapa orang yang berada di situ.

"Nak tangkap kamu terpaksa di jala." celah Mat Daud yang tiba-tiba diri dekat Uda Lamat.

"Kemudian dihumban ke dalam kolam ikan, lepas itu diikat pada pengusung, kalau tak dibuat macam ni, entah kaki gunung mana kamu pergi," tambah Uda Lamat lagi.

Dalam keadaan terkapar atas pengusung, saya terus mengingati punca kejadian itu berlaku.

Semuanya jelas terbayang tetapi saya tidak menduga sama sekali yang saya mengalami keadaan seperti ini.

Menggemparkan orang kampung hingga mereka terpaksa menggunakan kemampuan apa yang ada pada mereka untuk menangkap saya.

"Huh...," saya mengeluh dan tubuh mulai terasa sejuk.

"Kenapa Tamar?" Uda Lamat mendekati saya.

"Sejuk, saya sejuk," kata saya pendek.

"Pukul berapa sekarang?"

"Entah, aku tak ada jam," Uda Lamat terus memandang ke arah Mat Daud yang menyeluk saku.

Mat Daud mengeluarkan jam sakunya. Jam saku yang bulat dan berantai itu dibawanya ke bawah api jamung yang marak.

"Lagi sepuluh minit pukul sepuluh," jerit Mat Daud ke arah saya dengan kuat.

Lagi sekali saya mengeluh, sesungguhnya saya sudah membuat masa yang begitu lama dalam ladang getah," tidak mendatangkan apa-apa hasil yang menguntungkan.

Andainya saya ikut jalan raya, tentu peristiwa semacam ini tidak terjadi.

DIRI

Secara spontan timbul pertanyaan dalam diri saya. Apakah semua yang saya alami ini benar-benar terjadi atau hanya khayalan dari perasaan saya sahaja?

Lagi sekali saya menarik nafas atas pengusung.

"Bawa saja ke rumah, sampai di rumah boleh dikisahkan mana yang patut." beritahu Datuk pada Mat Daud.

Selesai sahaja Datuk bercakap, pengusung pun diikat dan malam itu saya bagaikan putera raja diarak dalam kebun getah dengan diterangi cahaya dari jamung.

Sampai di rumah saya disambut oleh nenek dengan tangisan. Atas kemahuan Datuk, saya diletakkan di anjung rumah.

Jiran tetangga dari kaum perempuan dilarang menghampiri saya. Hati nenek bertambah hiba bila Datuk mengeluarkan perintah demikian.

Lebih dari sepuluh minit saya dibiarkan terkapar atas pengusung di anjung. Kemudian Datuk meletakkan telapak tangan kirinya atas dahi saya.

Dari dahi telapak tangan kiri itu digerakkan ke bawah menyentuh dada, perut dan akhirnya berhenti di hujung ibu jari sebelah kanan.

Rotan yang mengikat sepasang kaki dan tangan pun dibuka. Saya disuruh duduk dan dipaksa meneguk air dingin dari labu tanah.

"Sekarang kamu jangan memikirkan apa yang sudah kamu rasakan," ujar Datuk dengan tenang.

Saya terdiam, sukar untuk saya melupakan sesuatu keanehan yang saya alami.

Walaupun, permintaan Datuk tetap saya patuhi meskipun perkara itu sukar untuk saya lakukan.

"Kamu faham dengan apa yang aku cakapkan tadi, Tamar?" Datuk renung seluruh wajah saya.

"Faham."

"Sekarang pergi mandi," Datuk keluarkan perintah.

Matanya tertuju ke wajah nenek. Dan nenek bagaikan mengerti dengan renungan Datuk itu. Tanpa membuang masa nenek segera mendekati saya.

Pergelangan kaki dan tangan saya disapunya dengan sejenis minyak. Tujuan nenek berbuat demikian supaya bekas ikatan rotan di tempat tersebut tidak bengkak atau luka. Nenek memapah saya ke bilik mandi.

Nenek tidak membenarkan saya memegang gayung dan menjirus air ke tubuh sendiri. Saya disuruh meniarap atas simen dengan dagu berlapikkan tempurung jantan.

Tiga kali nenek jiruskan air atas pusat. Setiap kali air menyentuh pusat, sejuknya bukan kepalang, terasa meresap hingga ke tulang belakang.

Saya tidak berani membantah, mungkin apa yang nenek lakukan itu, sudah diberitahu oleh Datuk terlebih dahulu kepadanya.

Upacara mandi malam itu diakhiri dengan mandi air daun pandan yang sudah direbus. Dijirus mulai bahu sebelah kanan, membawa ke kiri. Air itu tidak boleh menjamah kulit telapak kaki.

Setelah itu tubuh saya dibalut dengan kain pelekat. Saya dibawa ke anjung kembali.

Kawan-kawan Datuk yang membantunya menangkap saya di ladang getah, sudah pulang kecuali Uda Lamat.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 102/284

BACA: SBDJ Siri 101: Muncul dan Hilang Sekelip Mata
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

HarmonyOS: Sistem Operasi Rasmi Android Huawei

HarmonyOS: Sistem Operasi Rasmi Android Huawei

Beberapa bulan yang lalu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pernah mengumumkan untuk menyekat sebarang dagangan Huawei di Amerika Syarikat sekali gus membuatkan Huawei gagal menggunakan Android.

HarmonyOS Huawei

Walau bagaimanapun, kenyataan tersebut telahpun ditarik balik dan secara tidak langsung membolehkan Huawei beroperasi di Amerika Syarikat seperti biasa.

Disebalik sekatan yang dikenakan pada tempoh tersebut, syarikat dari China ini telah hadir dengan pelan altenatif, memperkenalkan sistem operasi mereka sendiri.

Pelan sistem operasi mereka berjaya direalisasikan apabila Huawei secara rasmi telah melancarkan Harmony OS pada Huawei Developer Conference 2019.

Harmony OS dipilih sebagai nama sistem operasi mereka bagi peringkat antarabangsa dimana sebelum ini dinamakan sebagai Hong Meng OS.

Uniknya tentang Harmony OS adalah, ianya dibina berasaskan kernel-mikro dimana sistem operasi ini mampu digunakan secara selari pada beberapa peranti berbeza merangkumi desktop, telefon pintar, jam tangan pintar serta tablet.

Meskipun masih pada peringkat awal, Huawei turut mengesahkan sistem operasi yang diperkenalkan ini mampu beraksi dengan lebih pantas berbanding sistem operasi yang berada di pasaran pada ketika ini.

Harmony OS bakal ditawarkan secara open source dimana orang ramai mampu menggunakannya secara percuma sekali gus membina aplikasi untuknya dengan mudah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Kisah Nabi Khidir Untuk Renungan Umat Akhir Zaman

Kisah Nabi Khidir Untuk Renungan Umat Akhir Zaman

Suatu hari, seorang dari Bani Israil menemui Musa dan kemudian bertanya, “Wahai Nabiyullah, adakah di dunia ini orang yang lebih berilmu darimu?” Tersentak, Nabi Musa a.s. pun menjawab, “Tidak”.

Kisah Nabi Khidir
Gambar hiasan.

Tentu saja, siapa yang mampu menandingi ilmu Nabi Musa, utusan Allah kala itu. Sumber tuntunan agama dan sumber pengetahuan wahyu Allah ada di genggaman Musa. Ia memiliki Taurat dan pelbagai mukjizat dari-Nya.

Namun, rupanya Allah memiliki hamba lain selain Musa yang lebih berilmu. Allah pun menegur dengan mewahyukan pada Musa bahawa tak seorang pun di muka bumi yang mampu menguasai semua ilmu.

Selain Nabi Musa, di bumi ini terdapat seseorang yang memiliki ilmu luar biasa. Ilmu yang tidak dimiliki Nabi Musa sekalipun.

Mengetahui hal tersebut, Nabi Musa pun ingin berguru kepada orang tersebut. Ia bersemangat ingin menuntut ilmu dan menambah pengetahuannya.

Walau bagaimanapun, Nabi Musa yang mempunyai ilmu syariat sekalipun bingung dengan tiga tindakan Nabi Khidir yang nampak seperti bersalahan dengan syariat tetapi mempunyai hikmah mendalam yang tidak difahami oleh Nabi Musa.

Tiga tindakan Nabi Khidir tersebut adalah seperti berikut:

1. Tindakan pertama Nabi Khidir ialah merosakkan perahu yang mereka tumpangi

Hikmah yang terkandung di dalam tindakan ini ialah perahu tersebut dimiliki oleh orang miskin dan di hujung sungai tersebut terdapat seorang raja yang akan merampas perahu yang elok dan perahu yang telah rosak tersebut tidak akan dirampas oleh raja tersebut.

Tindakan Nabi Khidir ini sebenarnya mempunyai pesanan yang tersirat untuk umat akhir zaman.

Di akhir zaman ini, ramai orang yang sudah kaya seperti seorang raja, tapi masih lagi ingin bertambah kaya dengan mengambil harta orang lain.

Walau bagaimanapun, cara mereka mengambil harta orang lain tersebut bukanlah dengan secara kasar seperti merampas bahkan dengan secara halus seperti riba.

Sistem riba adalah sistem yang diharamkan oleh Allah SWT tetapi umat akhir zaman sudah menjadi biasa dengan sistem tersebut lalu menerima sistem riba sebagai keperluan hidup.

Tahukah anda hutang rumah yang berharga RM500,000 setelah dibayar kembali melalui sistem riba hutang selama 40 tahun, anda akan membayar sebanyak RM1,500,000?

Dan bunga sebanyak satu juta itu dibayar oleh orang miskin yang tidak mampu membeli rumah secara tunai kepada orang yang sudah kaya iaitu pemilik bank yang sudah kaya-raya.

Oleh yang demikian, lebih baik kita umat akhir zaman ini bersederhana dalam memiliki harta, umpama memiliki perahu yang sudah bocor.

Dan sekurang-kurangnya perahu kita yang bocor itu tidak akan dirampas oleh raja yang zalim.

2. Tindakan kedua Nabi Khidir ialah membunuh seorang budak yang tidak mempunyai apa-apa kesalahan

Hikmah yang terkandung di dalam perbuatan ini ialah budak tersebut apabila dewasa akan menjadi seorang yang jahat dan akan menyusahkan ibu bapanya.

Sedangkan ibu bapa budak tersebut akan mendapat seorang anak lain yang apabila dewasa akan menjadi seorang yang soleh dan menggembirakan ibu bapanya.

Pesanan yang tersirat Nabi Khidir untuk umat akhir zaman ialah tentang kesusahan ibu bapa di akhir zaman ini untuk mendidik anak agar menjadi seorang yang soleh.

Terdapat banyak cabaran bagi ibu bapa untuk mendidik anaknya di akhir zaman kerana perkara yang buruk dan negatif sangat senang diperolehi di akhir zaman, melalui televisyen, internet dsb.

Kanak-kanak akhir zaman akan terdedah kepada budaya negatif seperti couple, zina, gay, lesbian, dadah, bohsia, bohjan, rempit dan bermacam-macam lagi.

Sekiranya anak yang dididik dengan nilai agama oleh ibu bapanya menjadi seorang yang jahat, apakah yang boleh dilakukan oleh ibu bapanya?

Kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW adalah tertakluk kepada hukum syariat dan tidak boleh membunuh seorang jiwa tanpa hak kecuali melalui hukum Qisas dsb.

Oleh yang demikian, perkara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa tersebut adalah memutuskan hubungan dengan anak tersebut.

Walau bagaimanapun, tindakan nabi Khidir ini adalah peringatan kepada umat akhir zaman bahawa mereka mempunyai tanggungjawab yang sangat berat dalam mendidik anak-anak mereka.

3. Tindakan ketiga Nabi Khidir ialah membaiki tembok yang hampir runtuh di sebuah kampung di mana penduduk kampung tersebut sangat kedekut dan tidak memberikan mereka makanan mahupun tempat berlindung

Hikmah disebalik tindakan Nabi Khidir ini ialah di bawah tembok tersebut tertanam harta anak yatim.

Sekiranya tembok itu runtuh, harta anak yatim tersebut akan dijumpai oleh penduduk kampung tersebut dan akan dirampas mereka.

Dengan membaiki tembok tersebut, anak yatim tersebut akan menjumpai harta tersebut setelah mereka dewasa.

Pesanan tersirat Nabi Khidir untuk umat akhir zaman ialah tentang sedikit sekali orang yang amanah di akhir zaman ini.

Seumpama bapa anak tersebut yang terpaksa menanam hartanya di bawah tembok kerana tiada seorangpun yang amanah di kampungnya yang boleh diamanahkan harta tersebut.

Kita sebagai umat akhir zaman lebih baik mengamanahkan harta yang kita ada kepada institusi yang kukuh seperti Tabung Haji, Amanah Raya dan sebagainya, yang diumpamakan sebagai tembok yang kukuh daripada kepada seorang individu kerana sangat sedikit individu yang amanah di akhir zaman ini.

Walau bagaimanapun, insitusi yang kukuh seperti Tabung Haji pun sebenarnya hampir runtuh selepas dipegang oleh mereka yang tidak amanah.

Surah Al Kahfi pelindung dari Dajjal

Nabi Khidir yang mempunyai ilmu Laduni iaitu ilmu tentang masa hadapan yang diberikan secara langsung oleh Allah SWT.

Oleh yang demikian, kisah tentang Nabi Khidir dan Nabi Musa ini mempunyai pesanan tersirat untuk umat akhir zaman.

Semoga kita sebagai umat akhir zaman mendapat manfaat dari kisah Nabi Khidir dan Nabi Musa ini.

(Ceramah Sheikh Imran Hosein - Khidr and Akhirulzaman)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Durian Belanda Kemoterapi Semulajadi Terbaik

Durian Belanda Kemoterapi Semulajadi Terbaik

Durian Belanda atau nama saintifiknya, Annona muricata, amat sinonim untuk merawat kanser dan khasiatnya dikhabarkan 200 kali ganda lebih efektif berbanding membuat rawatan kemoterapi yang amat menyeksakan.

Durian Belanda Kemoterapi

Mungkin kerana dakwaan itu jugalah membuatkan buah eksotik yang pada asalnya tumbuh liar kini dikomersialkan berdasarkan permintaan yang banyak.

Kandungan glukos dan fruktosanya yang tinggi menyumbang sebanyak 81.9 hingga 93.6 peratus rasa manis dan berkrim selain mempunyai kebaikan vitamin C.

Khasiat

Khasiat buah durian belanda boleh diperoleh dengan dimakan segar ataupun dibuat jus.

Pun begitu, sebaiknya buah durian belanda tidak dimasak terlalu lama supaya kandungan nutrisi dapat dikekalkan pada tahap optimum.

Buah durian belanda memenuhi keperluan harian manusia yang memerlukan sejumlah 60 miligram (mg) vitamin C untuk mencapai tahap kesihatan yang baik.

Pendek kata, durian belanda mempunyai banyak khasiat kesihatan.

Antaranya ialah:

1. Merawat kanser

Seperti yang disebut, khasiatnya dipercayai 200 kali ganda lebih efektif daripada kemoterapi dan dilaporkan boleh membunuh sel kanser payudara.

Selain itu, durian belanda juga dilaporkan mempunyai kesan penghalang terhadap angiogenesis iaitu satu proses pembentukan saluran darah baharu yang mana ia merupakan titik pertumbuhan kanser tumor.

Buah itu juga dipercayai mempunyai kesan menyekat pembiakan virus, antikeradangan untuk mengurangkan kesan lebam, antiparasit dan antimikrob.

2. Merawat osteoporosis

Elemen kandungan sodium yang tinggi 14 mg/100 gram (g), phosphorus, potasium sebanyak 278 mg/100 g yang terdapat dalam buah durian belanda sangat bermanfaat untuk membina tulang yang kuat dan merawat penyakit osteoporosis.

Untuk mendapatkan keberkesanan maksimum dari aspek kesihatan, ia bergantung pada kuantiti yang diambil oleh pengguna.

3. Atasi kencing tidak lawas

Kandungan ferum atau iron yang ada pada buah durian belanda juga dapat membersihkan buah pinggang dan membaiki sistem penghadaman.

Di samping itu, ia mengurangkan risiko batu karang yang terbentuk daripada mendapan garam galian pada badan kita.

4. Mengurangkan migrain

Masalah migrain berlaku disebabkan terdapatnya kandungan bahan kimia seperti serotonin yang berupaya untuk mengecilkan saluran darah.

Dengan pengambilan buah durian belanda, ia mempunyai kesan angiogenesis.

5. Mengatasi anemia

Durian belanda menjadi salah satu pembekal sumber zat besi kerana kekurangan zat besi boleh menghalang pembentukan sel darah merah (hemoglobin) yang berperanan dalam melancarkan perjalanan oksigen dalam darah.

ANEKDOT

Mengenali durian belanda:
  • Berasal dari sekitar Peru, Mexico dan Argentina.
  • Memiliki kulit berduri lembut, isi buah berwarna putih dan rasa masam-masam manis.
  • Termasuk antara 16 jenis buah-buahan tempatan yang diberi keutamaan oleh negara ekoran potensi yang boleh dimanfaatkan kepada pengguna.
  • Guna buah itu dalam kadar sewajarnya kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan antaranya seperti menyebabkan penyakit Parkinson.

Khasiat lain:
  • Kaya vitamin C, merupakan antioksidan yang sangat baik untuk meningkatkan daya tahan dan melambatkan proses penuaan.
  • Meningkatkan tenaga kandungan fruktos dan karbohidrat semula jadi membuatkan diri kekal segar dengan bekalan tenaga secukupnya.
  • Merawat kekurangan air dalam badan.
  • Memberi ketenangan dan tidur lena.
  • Melegakan kesakitan kerana daun buah durian belanda mengandungi sifat-sifat analgesik bertindak sebagai pain killer.
  • Merawat ulser mulut.
  • Mengawal tekanan darah dan hipertensi.
  • Mencegah keracunan makanan dihadapi oleh bayi.
  • Merawat buasir.
  • Mengawal jangkitan ringan pada hati.
  • Menghalang jangkitan parasit dalam badan.
  • Merawat demam.
  • Menguatkan sistem imunisasi.
  • Melegakan sakit belakang.
  • Mengawal kandungan gula dalam darah.
  • Mengurangkan masalah hati.
  • Merawat kulit menggelupas.
  • Merawat kaki bengkak.
  • Manfaat antipenuaan.
  • Mengatasi masalah rambut gugur, nipis dan kelemumur.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Sunday, August 11, 2019

Gambar 'Pengintip Kota Mekah’ Dilelong RM1.1 Juta

Gambar 'Pengintip Kota Mekah’ Dilelong RM1.1 Juta

Gambar pertama pemandangan Mekah yang dirakam oleh seorang cendekiawan Belanda yang mengintip penduduk tempatan Arab Saudi ‘dengan menggunakan identiti palsu seorang mualaf’ serta mendapat akses ke kota suci berkenaan, bakal dilelong pada harga 212,000 pound (RM1.1 juta).

Gambar Pengintip Kota Mekah

Foto yang dimuatkan dalam buku berjudul ‘Mekka’ dan ‘Bilder aus Mekka’ oleh Christiaan Snouck-Hurgonje ditulis ketika dia bekerja di Konsulat Belanda di Jeddah pada pertengahan 1880-an selama satu setengah tahun.

Latar belakang pendidikan Snouck-Hurgonje dalam pengajian Islam menjadikan dirinya calon sesuai bagi kerajaan Belanda untuk dihantar mengintip golongan bangsawan Indonesia di Arab Saudi.

Snouck-Hurgonje merupakan cendekiawan Barat pertama yang diberikan akses ke Mekah dan menukar namanya kepada Abdul Ghaffaar.

Tambahan pula, rumah Snouck-Hurgonje di Jeddah berdekatan dengan golongan bangsawan terkemuka dari Aceh yang ingin dipantau oleh Belanda.

Ketika itu, Syarikat Hindia Timur Belanda sedang memperluaskan kuasanya ke Indonesia dan memerlukan maklumat berhubung rakyat Indonesia terkemuka di Mekah, selain untuk memahami budaya Islam.

Bukunya menceritakan tentang kehidupan seharian penduduk Mekah dan turut me­ngandungi dokumen amalan Majlis Ulama Indonesia, yang terdiri daripada cendekiawan Islam serta menjadi perhatian Syarikat Hindia Timur Belanda.

Beberapa keping foto yang dirakam oleh Snouck-Hurgonje menunjukkan jemaah dari Indonesia di Mekah selain jemaah yang sedang menunggang unta.

Ketika Perang Aceh dari 1873-1914, Snouck-Hurgonje memberikan nasihat kepada Belanda bagaimana untuk ‘menghancurkan’ penduduk tempatan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

SBDJ Siri 101: Muncul dan Hilang Sekelip Mata

SBDJ Siri 101: Muncul dan Hilang Sekelip Mata

Din Tarzan tunduk merenung bumi. “Awak rompak saya dekat Changkat Jering.” Tambah Wak Juno. “Ya,” tidak diduga Din Tarzan yang gagah dan bongkak membuat pengakuan secara terbuka. “Kau nak duit lagi, nanti saya beri, jangan kacau saya nak cari rezeki cara halal, berapa banyak yang awak mahu?” muka Wak Juno pucat.

Toyol jadi-jadian

“Saya tak mahu semuanya tu, saya nak minta maaf pada awak tentang perangai saya yang lalu.”

“Saya sudah maafkan, saya halalkan wang yang awak rompak dari saya tu.”

“Ha...”, Din Tarzan terkejut lalu memeluk tubuh Wak Juno.

Kemudian Din Tarzan menangis, meraung dengan sekuat hati. Perbuatannya itu menarik perhatian orang ramai.

Kejadian yang menyayat perasaan itu berlaku sekitar lima minit. Orang ramai terpegun dan tidak berkata apa-apa.

“Lupakan perkara yang lalu, bila kamu datang jumpa aku minta maaf, ertinya kamu berusaha untuk membetulkan kesilapan kamu lalu, perbuatan kamu ini semua digerakkan oleh Allah, ini menandakan Allah masih sayangkan kamu,” Wak Juno cuba menenangkan perasaan Din Tarzan.

Pertama kali, saya dengar Din Tarzan mengucap dua kalimah syahadat dan menyebut nama Allah berkali-kali.

“Saya sekarang mahu jumpa semua orang yang saya aniaya, saya nak minta maaf,” jelas Din Tarzan.

Din Tarzan juga memberitahu pada orang ramai yang berada di situ bahawa sejak akhir-akhir ini, bila sampai waktu sembahyang, dia sering dikunjungi oleh seorang lelaki tua yang mendesak dirinya supaya menunaikan sembahyang dengan segera.

Kalau dia berlengah-lengah, orang tua itu akan memukul tubuhnya dengan rotan.

“Pukul satu, pukul tiga pagi dia mengejutkan saya dari tidur, suruh saya bertaubat, dia suruh saya minta ampun pada orang-orang yang saya aniaya,” kata Din Tarzan sambil mengesat air mata yang mengalir di pipinya.

“Kau kenal orangnya?” tanya saya.

“Tak kenal.”

“Tak apalah, apa yang penting orang itu mengajar kamu supaya menjadi manusia yang baik,” Wak Juno bersuara lembut.

Din Tarzan tunduk merenung tanah.

“Orang yang Wak bawa ke hospital dulu, sudah mati,” Din Tarzan membuka rahsia.

Saya dan Wak Juno terkejut besar.

“Mana kamu tahu?” soal saya.

“Orang tua itu beritahu saya, katanya dia membawa Amjal Kamal ke masjid untuk sembahyang.

"Amjal tak mahu malah dia lari ke arah Bukit Larut, masuk dalam hutan di situ terus berlari-lari di celah-celah batu, akhirnya jatuh ke dalam gaung,” lanjut Din Tarzan. Saya menarik nafas panjang.

Din Tarzan minta maaf untuk kali yang kedua pada Wak Juno.

Dia tetap melahirkan hasratnya untuk mencari orang-orang yang pernah dianiayanya untuk memohon maaf.

Din Tarzan bersedia menerima sebarang risiko. Rela dituduh atau dimaki hamun.

Saya membatalkan niat saya untuk menemui Najib. Wak Juno saya tinggalkan dan terus kembali ke rumah.

Fikiran saya masih berlegar-legar tentang apa yang diceritakan oleh Wak Juno dan Din Tarzan.

Saya masih tertanya-tanya apakah orang tua yang ditemui oleh Wak Juno dan Din Tarzan adalah orang tua yang sama.

Mungkin orang tua yang mereka temui itu juga orang tua yang saya jumpai. Semuanya berlegar-legar dalam kepala saya.

MENUNG

Saya terus termenung di pangkal pokok manggis. Jaraknya dari rumah kira-kira tiga rantai sahaja.

Tempurung kepala masih digayuti persoalan tentang orang tua yang dikisahkan oleh Wak Juno sebentar tadi.

Timbul pertanyaan dalam diri, kenapa kejadian yang tidak masuk di akal, harus terjadi pada saya?

Dalam usaha mencari jawapan pertanyaan tersebut, tanpa diduga Agam muncul di depan saya.

Dari arah mana dia muncul, sukar untuk dipastikan. Agam hulurkan tangan. Segara saya sambut.

“Aku sekadar nak menumpang lalu saja di sini Tamar. Aku gembira kau sihat.”

“Abang ini dari mana?” aku segera memanggilnya abang, tanda hormat pada orang yang lebih tua.

"Singgah dulu, jumpa Datuk dan nenek saya.”

“Tak payahlah, sampaikan salam aku pada Datuk kau, sebut nama aku dia mesti tahu.”

“Betul tak mahu naik?” Agam melepaskan telapak tangan saya yang digenggamnya.

“Betul Tamar, aku tak menentang niat.”

“Niat aku cuma nak menumpang lalu, bila aku selesai melihat saudaraku yang sakit di hujung kampung,” jelas Agam sambil jari telunjuknya menuding ke arah hutan kecil di pinggir kampung yang tak pernah dikunjungi oleh sesiapa pun.

Orang-orang kampung mendakwa kawasan hutan kecil itu dijaga oleh orang Bunian.

Sesiapa yang masuk ke situ pasti sesat sampai berminggu-minggu dan pulang dalam keadaan bodoh.

“Sekejap pun tak boleh?” desak saya.

“Saya tak boleh melakukan sesuatu yang tidak pernah terniat dalam hati.”

“Begitu.”

“Memang begitu aturan hidup saya,” Agam hulurkan tangan untuk bersalam.

Tiba-tiba darah tersirap, dua tiga kali saya gerakkan kelopak mata.

Macam mana tidak terkejut, telapak tangan Agam yang digenggam erat ghaib secara tiba-tiba. Sekujur tubuhnya turut sama hilang.

Dahi segera saya tepuk dua tiga kali sambil menarik nafas dalam-dalam.

Gegendang telinga menangkap bunyi telapak kaki orang melangkah di sebelah kanan.

Saya toleh ke kanan, apa yang saya lihat ialah dedaun pokok yang bergerak seperti baru dirempuh atau disentuh sesuatu.

Ah, tak mengapalah, kenapa perkara sekecil ini harus difikirkan setengah mati, fikir saya. Saya terus duduk di pangkal manggis kembali.

Seronok juga melihat beberapa ekor burung murai melompat direranting.

Sesekali dedaun manggis bergoyang-goyang akibat dilompati tupai jantan yang mengejar tupai betina.

Bayu yang bertiup membuat kelopak mata terasa berat. Rasa mengantuk mula datang. Dua tiga kali saya tersenguk-senguk dan hampir terlelap.

Antara sedar dengan tidak, saya bagaikan terpandang-pandang batang tubuh orang tua yang diperkatakan oleh Wak Juno.

Rasanya, orang tua itu bagaikan berdiri di depan saya. Anehnya, bila saya buka kelopak mata lebar-lebar, bebayang orang tua itu hilang.

Perkara itu berlaku berulang kali, akhirnya saya merasa terkhayal.

Perasaan saya seperti mengembara ke satu tempat yang amat jauh, merempuh padang, merempuh paya dan hutan belukar.

Dalam khayalan yang tidak bertepi itu, saya berhenti di tebing sungai yang airnya mengalir jernih.

“Kau pernah tengok aku?”

Saya segera dongakkan kepala menatap orang tua yang berdiri di depan. Dia senyum sambil menggaru-garu pelipis sebelas kanannya.

“Pernah,” jawab saya.

“Dalam bas. Kemudian kau terkejut melihat aku turun di kawasan hutan tebal,” lanjut orang tua itu.

“Ya," saya anggukkan kepala.

“Kemudian kau terus-menerus memikirkan tentang diri aku, bukan begitu hai orang muda?” tanyanya dengan wajah selamba sambil tersenyum.

"Betul.”

“Sekarang sudah berdepan dengan aku. Apa kau masih memikirkan tentang diri aku lagi?”

Saya terdiam. Susah untuk memberikan sebuah jawapan.

Sesungguhnya, orang tua itu tidak jauh bezanya dengan orang-orang tua yang terdapat di kampung saya.

Cuma yang peliknya, orang tua di depan saya ini boleh muncul dan hilang dengan tiba-tiba.

“Orang-orang yang bijak tidak mempersoalkan kebesaran Allah tetapi mereka mengaguminya, kerana apa yang dikehendaki oleh Allah itulah yang berlaku. Mana yang tidak dikehendaki oleh Allah pasti tidak akan berlaku,” orang tua itu memberi ceramah pendek, secara tidak langsung mematahkan hasrat saya untuk menyoal dirinya.

“Kau kenal Agam?” tanyanya.

“Ya,” cepat-cepat saya anggukkan kepala.

“Dunia aku, kampung halaman aku, asal-usulku serupa dengan Agam, sesungguhnya makhluk kamu dan makhluk aku dijadikan oleh Allah untuk menyembah-Nya,” lanjut orang tua itu lagi.

Saya tetap setuju dengan kata-katanya itu.

Saya bersedia mendengarnya kalau dia mahu melanjutkan percakapan.

MUKA

Perlahan-lahan orang tua itu memalingkan mukanya ke kanan. Dia melihat air yang mengalir dan dedaun yang bergerak disentuh angin. Dia merenung ke arah saya kembali.

“Terlalu banyak yang Allah berikan pada makhluk tetapi terlalu sedikit pula yang makhluk berikan kepada Allah.

"Kau tidak pernah mengucapkan syukur atau berterima kasih pada Allah yang menjadikan angin dan air sungai ,” lanjutnya.

Saya menggigit bibir. Saya akui apa yang dikatakannya itu.

“Barangkali, kau tidak berapa senang dengan apa yang aku katakan. Tak apalah, cukup setakat ini saja. Kau pun sudah tahu siapa aku yang sebenarnya.

"Jangan peningkan kepala kamu memikirkan tentang diri aku,” orang tua itu terus menepuk bahu saya tiga kali berturut-turut.

Dia ketawa kecil sambil jari kelengkengnya menggaru hujung pelipis sebelah kiri.

“Apa lagi yang mahu kau tanya padaku?” soalnya.

Saya terus menelan air liur, sambil terus berfikir tentang pertanyaan yang akan saya ajukan padanya.

“Kata Din Tarzan, Amjal Kamal dah mati, betulkah cakapnya itu,” saya kira itu pertanyaan yang paling baik untuknya.

Orang tua itu termenung sejenak.

“Ya, dia sudah mati,” katanya dengan nada suara yang merendah.

Matanya merenung sayu ke arah pepohon dan air sungai yang mengalir.

"Dia mati kerana menyangkakan ilmu dunia yang dituntut itu dapat melawan kekuasaan Allah,” tambahnya dengan tenang.

“Dia melawan awak?”

“Berbudi bahasa sedikit, hormatilah orang tua kerana kamu juga akan tua, bila kamu tak mahu menghormati orang tua, jangan marah bila kamu sudah tua nanti orang muda tidak mahu menghormati kamu.”

“Maafkan saya.”

“Aku lebih tua dari Datuk kamu.”

“Maafkan saya tuk,” saya segera menundukkan kepala setelah menyedari kesilapan yang telah saya lakukan. Saya jadi malu pada diri sendiri.

“Dia lari bila aku ajak ke masjid, paling menyakitkan hati bila mengejek-ejek dan mengetawakan aku. Bila aku ajak dia sembahyang,” wajah orang tua itu dibalut rasa kesal yang amat sangat.

“Ke mana dia lari?”

“Lari ke arah Bukit Larut, dia tak peduli dengan orang mengejarnya. Sesiapa yang cuba menangkap, semuanya kena tendang.”

“Apa yang dibuatnya ke situ?”

“Dia panjat batu besar lalu berdiri di situ, sepasang tangannya diluruskan ke arah matahari, macam orang menyembah sesuatu. Entah macam mana badannya terlayah jatuh dalam gaung.”

“Kesian,” saya gelengkan kepala.

Orang tua itu meraba pangkal dagunya dua tiga kali. Matanya tetap merenung awan yang berarak lemah di dada langit.

Dalam diam-diam saya gambarkan wajah Amjal Kamal dalam kepala. Orang tua itu terus meraba-raba kulit pipi sebelah kanannya.

“Dari tempat tinggi aku lihat tubuhnya terkapar di bumi, tidak bergerak-gerak. Aku segera mendekatinya tetapi....” orang tua itu mengerutkan dahinya.

“Apa yang jadi padanya?” tergesa-gesa saya menyoal.

“Tubuhnya hilang. Apa yang aku lihat ialah kesan darah. Aku yakin dia akan menuntut bela terutama pada orang yang pernah melihat dia berlawan dengan Agam.”

“Ha,” kata saya dengan cemas.

“Betul dia mahu menuntut bela?”

“Barangkali begitulah, mengikut andaian aku. Dia akan menuntut bela dalam bentuk lain, kamu harus hati-hati,” lanjut orang tua itu.

Saya tergamam. Macam-macam perkara buruk datang bertandang dalam tempurung kepala saya.

“Jangan susah hati,” bahu kanan saya ditepuknya dua kali berturut-turut.

"Aku nak balik dulu,” sambung orang tua itu.

Kali ini suaranya terdengar sayup-sayup. Bahu kanan saya yang ditepuknya terasa amat sakit.

Orang tua yang tadi nampak cukup jelas terus bertukar menjadi samar-samar dan berbalam. Akhirnya terus hilang.

“Astaghfirullahlah,” kata saya sambil menepuk dahi.

Cepat-cepat saya menoleh ke kiri dan ke kanan. Saya yakin, bahawa saya tidak lagi berada dalam dunia khayalan.

Saya dongakkan kepala, merenung reranting dan dedaun manggis.

Saya menarik nafas dalam-dalam. Saya puas hati. Apa yang selama ini menjadi tanda-tanda sudah pun terjawab.

Apa yang saya ketahui dan saya alami harus diberitahu pada Najib. Kemudian meminta dia merahsiakannya daripada orang ramai.

Pada Datuk dan nenek juga perkara ini mesti dirahsiakan, saya membuat keputusan tersendiri.

BANGUN

Sebelum beredar dari bawah pohon manggis, saya terpaksa menggeliat dua tiga kali untuk menghilangkan rasa lenguh-lenguh di sendi pinggang dan di pelipat kaki.

Saya memutuskan untuk pulang ke rumah, kalau saya rajin boleh ikut nenek ke ladang.

“Eh Tamar, bagaikan nak mampus aku mencari kamu, rupanya kamu bersenang-senang di sini,” teriak Najib dalam jarak tiga rantai dari saya.

Mata saya tertumpu ke arah seorang anak muda yang memakai baju putih dan berseluar hitam, berdiri di samping Najib.

Setelah puas mengamat-amatinya, saya yakin anak muda itu tidak saya kenali.

Dia orang baru, mungkin keluarga Najib atau kenalan rapatnya, fikir saya dalam hati.

Najib dan anak muda itu terus melangkah mendekati saya. Dan saya menanti dengan penuh sabar.

Dari jauh anak muda yang mengekorinya memberikan senyuman keramahan dan persahabatan untuk saya.

“Ramli Ahmad dari Kota Sarang Semut, Kedah,” Najib memperkenalkannya pada saya.

Segera saya hulurkan tangan. Buat beberapa saat tangan kami bergoncang.

“Saya Tamar, saya gembira berkenalan dengan awak. Saya harap awak gembira di sini," kata saya berbudi bahasa.

“Ya, saya juga megah dan gembira kerana berjumpa dengan awak. Najib dah banyak ceritakan tentang diri awak pada saya,” kata-kata Ramli itu amat mengejutkan saya.

Wajah Najib segera saya renungi. Dia senyum lalu menganggukkan kepala. Setuju dengan apa yang diungkapkan oleh Ramli.

Hati saya berdebar, mungkin Najib sudah menceritakan sesuatu yang tidak wajar diceritakan pada Ramli.

Saya memisahkan diri dengan Ramli lalu mendekati Najib.

“Apa yang kau cakapkan dengannya Jib?”

“Tak ada apa-apa. Cuma aku ceritakan tentang keberanianmu, Tamar.”

“Aku tak percaya.”

“Sumpah, aku tak tipu kamu,” jelas Najib tetapi rasa ragu-ragu terus menyelubungi diri saya.

“Kau ceritakan apa yang kita alami dalam hutan dulu?” aku mula membuat tuduhan melulu.

“Kau gila, aku tak sebodoh itu. Aku bukannya budak-budak tau!” herdik Najib.

Mukanya mula merah padam. Bila sudah sampai tahap tersebut, saya tidak berani melemparkan sebarang tuduhan lagi pada diri Najib.

Kalau diteruskan, boleh menimbulkan kemarahannya. Saya terus membisu dan membuat kesimpulan Najib memang bercakap benar dengan saya. Ramli terus mendekati kami.

“Ke mana lagi kita nak pergi?” Ramli mengajukan pertanyaan pada Najib.

Saya menarik nafas dalam-dalam. Saya harus mengambil kesempatan ini untuk menenangkan perasaan Najib.

“Bagaimana kalau kita melihat jerat pelanduk,” kata saya.

“Boleh juga,” sahut Ramli lalu merenung muka Najib sepupunya.

Najib tersenyum lalu merenung ke arah saya. Dia gelengkan kepala.

“Kenapa Najib?” saya menyoal.

“Tak ada apa-apa tetapi aku keberatan untuk pergi ke dalam hutan lagi, susah aku nak cakapkan pada kamu, Tamar.

"Tapi aku harap kamu faham kenapa aku tak mahu pergi,” satu penjelasan dari Najib yang jawapannya sudah ada dalam tempurung kepala saya.

Dan saya tidak pula mendesak. Perkara itu mati di situ sahaja.

Demi kebaikan dalam persahabatan, saya penuhi permintaan Najb yang mengajak saya minum kopi di warung Pak Mah Noh.

Sesungguhnya, minum di warung sama ada minum kopi atau minum minuman dalam botol, bukanlah kegemaran saya.

Pesan Datuk, sebaik-baiknya saya mengelakkan diri dari minum di warung, kecuali kalau sudah terdesak.

Di warung Pak Mat Noh, Najib minum kopi, Ramli minum teh dan saya minum air sejuk yang sudah dimasak.

Najib memberitahu, sepupunya masih menuntut di salah sebuah sekolah Inggeris di negerinya.

Musim cuti dia suka menghabiskan masanya dengan mengembara dalam hutan serta memanjat gunung lalu berkhemah di situ bersama kawan-kawan yang sehaluan dengannya.

“Cuti kali ni, orang tua saya tak benarkan saya pergi masuk hutan atau daki gunung,” Ramli membuka rahsia dirinya.

“Jadi kerana itu kau datang ke mari,” celah saya.

“Ya, memang tepat,” jawabnya ringkas lalu menepuk bahu kanan saya berkali-kali.

Kemesraan dalam keramahan segera terjalin dengan eratnya antara saya dengan Ramli.

Banyak pengalaman menarik yang dialaminya ketika mendaki gunung diceritakan pada saya.

Lepas minum di warung Pak Mat Noh, saya dan Najib membawa Ramli ke gelanggang orang belajar silat.

Kemudian membawa dia ke rumah Pak Din yang handal membuat wau dan gasing.

Akhirnya, kami berkubang di sungai. Bila sudah kecut kulit badan baru berhenti mandi.

Kata Ramli, pengalaman yang diperolehnya bersama saya dan Najib amat menyeronokkan.

Saya terpisah dengan Najib dan Ramli.

Kami berjanji untuk bertemu pada petang besoknya dengan beberapa rancangan yang menarik.

PULANG

Seminggu Ramli di kampung, saya rasa cukup seronok dan bahagia sekali.

Ramli yang tidak dapat memisahkan dirinya dari bercakap dalam loghat Kedah itu, ternyata manusia yang kaya dengan humor.

Kadang-kadang dia membuat saya ketawa hingga tidak kering gusi.

Tidak hairanlah, ketika dia mahu berangkat ke Kota Sarang Semut, saya dan Najib seperti keberatan mahu melepaskannya.

“Sebenarnya, aku nak balik minggu depan tapi, orang tua aku dah datang ambil, aku tak boleh buat apa-apa,” katanya pada saya dari tingkap kereta Austin Eight, berwarna hitam milik ayahnya.

“Cuti yang akan datang, dia tak boleh ke mana-mana. Dia mesti menumpukan masa pada pelajaran,” tanpa diduga ayah Ramli yang jadi guru sekolah Melayu di tempatnya memberikan keputusan muktamad.

Saya dan Najib berpandangan. Kereta Austin Eight yang membawa Ramli pun bergerak meninggalkan kami.

Beberapa tahun kemudian, saya mendapat tahu Ramli telah melanjutkan pelajarannya ke Jerman Barat, kemudian bekerja di Singapura, kemudian di Kedah iaitu di Sungai Petani. Akhir sekali dia berkhidmat dengan MARA di Kuala Lumpur.

Beberapa jam selepas Ramli pulang, saya meninggalkan rumah Najib tetapi hasrat kami untuk pergi ke Alor Setar tetap tidak pudar.

Bila sampai ketika dan saat yang baik semuanya akan dilaksanakan.

Kerana hari sudah hampir gelap, saya mengambil jalan dekat untuk pulang ke rumah.

Bila saya memilih jalan dekat, ertinya saya terpaksa melalui kawasan getah yang amat luas dan sunyi.

Cuma ada sebuah sahaja rumah dalam ladang getah tersebut. Rumah itu sudah lama tidak didiami tetapi, masih ditunggui oleh beberapa ekor anjing.

Pemilik rumah sebuah di tengah ladang itu seorang lelaki India yang berusia sekitar empat puluhan.

Dia ditugaskan oleh pemilik ladang tersebut mengawasi pokok getahnya dari ditoreh secara curi pada sebelah petang oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Kira-kira tiga bulan yang lalu, lelaki India itu telah mengamuk, memburu dua orang anak lelakinya yang berusia sekitar 16-17 tahun dari pangkal ladang hingga ke hujung ladang dengan pisau sabit.

Dia jadi demikian, kerana kecewa dengan sikap isterinya yang lari dari rumah mengikut lelaki lain.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 101/284

BACA: SBDJ Siri 100: Orang Tua Misteri
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Panduan Mudah Membuat Baja Subur Cecair Organik Di Rumah

Panduan Mudah Membuat Baja Subur Cecair Organik Di Rumah

Kita sudah sedia maklum bahawa kebanyakan baja organik sama ada pellet, tablet, serbuk atau cecair sangat mahal harganya. Apatah lagi baja organik import dari negara luar, terlebih lagi jika kegunaannya sangat banyak.

Baja Subur Cecair Organik
Gambar hiasan.

Oleh itu, bagaimana kita hendak mendapatkan baja organik yang murah? Bolehkah kita membuat baja organik sendiri?

Berikut adalah cara dan panduan membuat baja organik cecair yang anda boleh buat di rumah dengan bahan-bahan yang mudah didapati.

Bahan-bahan yang diperlukan ialah:
  • 1 kilogram tumbuhan hijau (rumput, daun pokok renek dan sebagainya).
  • 1 kilo molussa non-sulfur atau gula perang.
  • 1 liter air tanpa klorin. Sekiranya menggunakan air berklorin, dedahkan air itu kepada cahaya dan udara selama dua malam untuk membebaskan klorin tersebut.
  • Kontena atau baldi untuk menyimpan atau menjeruk bahan-bahan organik.
  • Kain atau plastik untuk penutup.
  • Getah atau tali.
  • Botol dan penapis.

Cara membuat baja organik cecair:

Pertama, masukkan tumbuhan hijau pilihan anda (boleh guna rumput di halaman rumah anda, daun pokok renek, atau potongan dahan bunga anda. Ambil daunnya sahaja) ke dalam baldi atau kontena.

Kedua, tambahkan air satu liter ke dalam baldi yang berisi tumbuhan hijau tadi. Boleh menambah air jika merasakan ianya kurang.

Ketiga, masukkan molussa non-sulfur atau jika tidak ada boleh guna gula perang yang ada dijual di kedai atau pasaraya. Gaul hingga gula perang atau molussa sebati dengan air dan bahan tumbuhan tersebut.

Keempat, tutup menggunakan kain atau plastik dan ikat ketat agar tidak ada bendasing yang masuk ke dalam yang boleh nerosakkan proses penjerukan baja.

Kelima, simpan baldi berisi bahan proses baja organik cecair tersebut di tempat selamat contohnya di stor atau kawasan jauh dari ganguan orang ramai. Tempat menyimpan harus ditempat gelap (cahaya kurang). Jangan buka dan jangan alihkan baldi dalam tempoh seminggu agar proses penjerukan berjalan lancar.

Keenam, selepas seminggu buka penutup tersebut dan jangan terkejut kerana baunya yang kurang menyenangkan dan kulat di permukaannya kerana baja organik cecair anda sudah sempurna.

Ketujuh, alihkan air dan sisa baja organik cecair anda dengan menapisnya ke dalam botol yang disediakan. Jangan tutup ketat penutup botol tersebut agar udara boleh memasuki botol yang berisi baja cecair organik. Simpan botol di tempat gelap seperti dalam stor atau garage.

Cara Penggunaan

Maka setelah anda menapis baja organik cecair, maka selesai dan sempurnalah sudah proses membuat baja cecair organik anda.

Cara untuk menggunakan baja cecair organik ini ialah, tuang satu gelas penuh baja organik cecair anda dan campurkan dengan satu atau dua liter air tanpa klorin.

Sembur pada daun, batang dan batas atau tuang ke batas secara langsung di awal pagi atau waktu petang pada tanaman anda.

Goncang botol tersebut seminggu sekali agar oksigen dapat dibekalkan kepada bakteria di dalamnya.

Baja cecair organik ini mengandungi kandungan nitrogen yang tinggi dan sedikit mineral lain. Ia sesuai untuk tumbuhbesaran tanaman anda namun, perlu juga membubuh baja NPK organik untuk hasil yang memuaskan.

Baja cecair organik ini fungsinya sama dengan kompos teh cumanya bahan yang digunakan antara keduanya adalah berbeza.

Baja organik cecair ini berbeza dengan kompos teh di mana baja organik cecair dibuat menggunakan tumbuhan hijau manakala kompos teh pula diproses melalui kompos yang berkualiti.

Anda boleh membuatnya di rumah kerana bahannya mudah diperolehi dan senang prosesnya.

Belailah tanaman anda dengan baja cecair organik untuk menghasilkan tanaman yang bersih dan selamat dari bahan-bahan kimia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: tanomkinotuan