Tuesday, August 06, 2019

Madu Tiruan Di Pasaran Malaysia

Madu Tiruan Di Pasaran Malaysia

Sememangnya kewujudan madu tiruan dalam pasaran tempatan di Malaysia diakui menjejaskan pendapatan peniaga madu asli apabila produk mereka diragui orang ramai yang mula mempersoalkan keaslian madu di pasaran sehingga ada antara mereka sudah berhenti membelinya.

Madu Tiruan

Namun, madu asli dan tiruan sebenarnya mempunyai banyak perbezaan jika seseorang itu sudah terbiasa merasai manisan yang asli.

Bagi pakar madu, mereka tahu ciri madu asli walaupun ada cubaan menipu dengan mencampurkannya dengan gula melaka.

Selain diuji di makmal bagi mengenal pasti keaslian madu, cara paling mudah mengesan madu tiruan adalah melihat bentuk fizikalnya kerana jika manisan itu asli, warnanya akan berubah semakin gelap selepas sebulan menyimpannya selain muncul bee polen (berbuih) dalam masa dua minggu.

Selain itu, jika dicampur air mineral, madu tiruan akan menjadi jernih, manakala yang asli menjadi keruh.

Penjualan madu di Malaysia secara meluas dengan botol kosong tanpa pelekat menimbulkan keraguan sama ada manisan itu asli atau tiruan.

Malah, kebanyakan penjual yang ditemui mendakwa mereka tidak pasti sama ada madu yang dijual itu asli atau tiruan, sebaliknya menyatakan ia terus dibeli berikutan harganya lebih murah.

Kebanyakan botol madu seperti tualang dan kelulut yang dijual di beberapa gerai adalah tanpa pelekat yang sepatutnya mempamerkan buatan dari mana dan nombor telefon yang boleh dihubungi.

Pengeluar madu manuka NZ mengaku tambah bahan kimia tiruan

Madu premium Manuka
Gambar hiasan.

Sementara itu, sebuah syarikat New Zealand mengaku salah atas tuduhan menambah bahan kimia tiruan ke dalam madu premium Manuka keluarannya, lapor media dalam pendakwaan utama terhadap produk eksport bernilai tinggi negara itu.

New Zealand Food Safety memfailkan kes itu terhadap Evergreen Life Ltd berpusat di Auckland, yang mana produknya ditarik balik dari pasaran pada 2016 oleh Kementerian Perindustrian Utama, mendakwa ia mungkin mengandungi sebatian tidak diluluskan.

Permintaan untuk produk madu dipercayai memiliki manfaat kesihatan dan kosmetik, meningkat di peringkat global, terutama manuka, dikumpul daripada bunga tumbuhan asli New Zealand dan Australia.

Spesies berbeza tumbuhan itu tumbuh di bahagian lain dunia namun ia tidak menghasilkan bunga diperlukan dalam pembuatan madu, menjadikan manuka lebih mahal dengan balang kecil dijual sehingga ratusan dolar.

Manuka juga dianggap memiliki bahan antibakteria lebih baik berbanding madu lain, sebahagiannya kerana ia secara semula jadi mengandungi asid omega digelar DHA dan antasid dikenali MGO.

Menurut perkhidmatan awam Radio New Zealand, Evergreen didakwa menambah bahan kimia tiruan bagi meningkatkan paras agen anti-bakteria, membolehkan syarikat menjual madu itu dengan harga lebih mahal.

New Zealand berada di kedudukan ke-14 dunia untuk isipadu madu eksport dan kedua dari segi nilai, menurut data agensi Perdagangan dan Keusahawanan New Zealand.

Pada 2017, New Zealand mengeksport hampir AS$270 juta (RM1.12 bilion) produk madu, hampir dua kali ganda berbanding 2013, yang mana madu manuka dianggap majoriti eksport.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Kylie Jenner Sewa Equanimity RM5.1 Juta Seminggu!

Kylie Jenner Sewa Equanimity RM5.1 Juta Seminggu!

Kapal mewah kontroversi Equanimity yang asalnya dimiliki jutawan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, telah dijual kerajaan Malaysia April 2019 lalu kepada Genting Malaysia Berhad pada harga RM514.14 juta.

Kylie Jenner Equanimity

Sementara itu, selebriti hangat Hollywood, Kylie Jenner, akan menyambut hari jadi ke-22 dengan kapal mewah Equanimity pada akhir bulan Ogos 2019.

Portal hiburan antarabangsa, TMZ melaporkan, Equanimity, yang telah ditukar nama kepada Tranquility disewa oleh Kylie pada harga RM5.1 juta seminggu.

Kylie yang merupakan adik-beradik tiri kepada Kim Kardashian merupakan usahawan kosmetik antarabangsa di samping membintangi program realiti Keeping up with the Kardashians.

Menurut TMZ lagi, kapal itu boleh menampung 22 tetamu yang mempunyai 10 kabin, bilik sauna, jakuzi dan kolam renang.

Sambutan harijadi Kylie itu akan belayar bersamaTranquility di lautan Mediterranean.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Monday, August 05, 2019

Perang Sparta-Athens, Sengketa Paling Lama Di Dunia Akhirnya Tamat Selepas 2500 Tahun

Perang Sparta-Athens, Sengketa Paling Lama Di Dunia Akhirnya Tamat Selepas 2500 Tahun

Tahukah anda bahawa terdapat satu perang saudara yang telah berlangsung dengan begitu lama selama 2500 tahun yang tidak pernah berakhir "secara rasmi" akhirnya tamat hanya pada tahun 1996?!

Perang Sparta-Athens

Perang Peloponnesia yang berlaku pada tahun 431 hingga 404 SM antara dua negeri Greek iaitu Athens dan Sparta, merupakan zaman yang sangat penting dalam sejarah dunia.

Peperangan Peloponnesia ini telah dilancarkan antara Liga Delian yang diketuai oleh Athens terhadap Liga Peloponnesia yang diketuai oleh Sparta.

Ahli sejarah telah membahagikan perang ini dalam tiga fasa iaitu:

Fasa Pertama - Perang Archidamia, di mana Sparta melancarkan serangan ke atas Attica sementara tentera laut Athens menyerang pantai Peloponnese. Ia berlangsung selama 10 tahun dan tamat pada 421 SM setelah perjanjian Peace of Nicias ditandatangani.

Fasa Kedua - Athens menghantar pasukan ekspedisi yang besar untuk menyerang Syracuse, Sicily pada tahun 415 SM. Serangan itu gagal dan berakhir pada 413 SM.

Fasa Ketiga - Dikenali sebagai Perang Decelean atau Perang Ionia. Pada waktu ini Sparta menerima sokongan daripada Empayar Achaemenid dalam pemberontakan yang berlaku di negara-negara jajahan Athens di Laut Aegean dan Ionia. Kekalahan armada Athens dalam Pertempuran Aegospotami telah mengakhiri peperangan ini.

Zaman Emas

Athens yang merupakan negara semi-demokratik telah meminjamkan begitu banyak idea-idea kepada Rom dan tamadun barat moden secara keseluruhan.

Manakala Sparta pula adalah negeri ketenteraan profesional yang tidak ada tolok bandingnya di medan perang pada masa itu, yang berperang untuk mengawal Greece dan Basin Mediterranean Timur.

Apabila peperangan besar ini tamat, "Zaman Emas" Athens juga telah berakhir, begitu juga dengan kawalan Sparta terhadap semenanjung Greek dan persekitarannya, juga berakhir tidak lama selepas itu.

Ketika Peperangan Peloponnesia sedang berlangsung, Athens telah dilanda oleh wabak disebabkan oleh pengepungan yang dilakukan oleh tentera Sparta.

Kota Athenia yang indah itu dicemari oleh penyakit, kebuluran dan kemarau yang teruk.

Penduduk Athens melompat kegembiraan apabila pemimpin kedua-dua negeri itu bersetuju untuk mengakhiri perang.

Bersetuju untuk berdamai

Thucydides yang terkenal kerana menulis mengenai Peperangan Peloponnesia memberitahu bahawa, duta Sparta telah memberikan syarat penyerahan kepada duta Athens.

Pada keesokan harinya, duta-duta Athens telah membentangkan syarat-syarat yang ditawarkan oleh Lacedaemonia (Sparta) untuk berdamai di hadapan Dewan Undangan.

Theramenes menjadi wakil bagi duta-duta itu menggesa agar pemerintahan Athens mematuhi tawaran Sparta dan meruntuhkan tembok mereka bagi mengakhiri kebuluran dan kematian akibat wabak.

Walaupun ada ahli Dewan Undangan tidak bersetuju dengan Theramenes, jumlah yang jauh lebih besar menyokongnya, nereka akhirnya bersetuju untuk berdamai namun, tiada perjanjian rasmi yang ditandatangani atau rekod mengenainya yang pernah dijumpai.

Golongan bangsawan Athens telah mengundi untuk mengakhiri perang yang berlangsung selama 27 tahun itu.

Akibat peperangan itu juga, kedua-dua negara telah hancur dan tidak pernah sama lagi seperti sebelumnya.

Zaman kemuncak tamadun manusia telah berakhir di Athens, manakala kekuatan ketenteraan Sparta yang berada dikemuncak tetapi tidak lama selepas itu mula menurun.

Manakala di kawasan pergunungan utara Greece, satu kuasa baru telah muncul. Kuasa baru yang dimaksudkan ini ialah Macedonia.

Di bawah raja-raja Archelaus, Amyntas III dan anaknya Philip II, Macedonia perlahan-lahan menjadi kerajaan paling berkuasa di Mediterania dan salah satu kerajaan paling berkuasa di dunia.

Di bawah pemerintahan anak kepada Philip iaitu Alexander III, Macedonia buat seketika telah menjadi empayar paling berkuasa di Eropah dan Timur tengah.

Perkara ini sedikit sebanyak dibantu oleh kekalahan Athens dan kuasa ketenteraan Sparta yang semakin lemah semasa Peperangan Peloponnesia.

Berakhirnya perang secara rasmi selepas selama 2500 tahun

Pada tahun 1996, kedua-dua Datuk Bandar Athens dan Sparta telah memutuskan bahawa peperangan yang telah berlaku selama 2,500 antara mereka harus berakhir.

Masyarakat Yunani di Greece dan masyarakat Yunani di Diaspora memberitahu bahawa, terdapat banyak perbezaan antara penduduk Athens dan Sparta sehingga hari ini.

Perkara seperti ini berlaku dan akan terus menjadi persaingan yang tidak jelas dalam membanding-bandingkan warisan sejarah mereka.

Namun akhirnya, Athens dan Sparta telah bersetuju untuk menamatkan perang paling lama di dunia ini secara rasmi.

Pada 12 Mac 1996, jurucakap Athens iaitu Vassilias Tayagas mengumumkan bahawa, "Tahun ini menandakan berakhirnya Perang Peloponnesia yang berlangsung selama 25 abad. Perjanjian damai yang simbolik ini adalah cara untuk kami memperingati bagaimana penghujung persengketaan ini."

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

SBDJ Siri 98: Tubuh Terapung Di Udara

SBDJ Siri 98: Tubuh Terapung Di Udara

"Hei Tamar, mahu ke mana?”, jerit Udin Tarzan. Belum pun sempat menjawab, dia sudah berada di belakang kami. "Mahu ke mana?”, ulang Udin Tarzan lagi. "Kami nak duduk jauh dari gelanggang", jawab Najib.

Toyol jadi-jadian

"Kenapa?"

"Kalau ada sesuatu yang buruk terjadi, kami sempat melarikan diri", jelas saya dengan jujur.

"Hum, jangan pergi ke mana-mana. Aku ada, aku tak akan biarkan kamu mati katak", wajah Udin Tarzan kelihatan cukup bengis. Saya dan Najib berpandangan.

"Mari", perintah Udin Tarzan.

"Ha...”, mulut Najib separuh terbuka.

"Ikut saja cakapnya", bisik saya ke telinga Najib.

Udin Tarzan tarik tangan kanan saya. Tidak ada bantahan. Saya hanya mengikut sahaja.

Langkah Udin Tarzan cukup cepat. Sesekali saya terlihat ada sesuatu dalam saku seluarnya.

Bentuk benda itu bulat dan berat. Saya terus menumpukan perhatian pada benda yang berada dalam saku seluar Udin Tarzan.

Bila Udin Tarzan melangkah, benda dalam saku seluarnya dapat dilihat dengan jelas. Darah saya tersirap.

Udin Tarzan memiliki pistol. Jenis apa? Saya sendiri tidak tahu. Dan saya tidak kuasa untuk menyoalnya. Itu bukan urusan saya. Kalau ditanya, mungkin menimbulkan kemarahan pada dirinya.

"Kamu berdua duduk di sini", itu arahan Udin Tarzan.

Saya dan Najib segera mematuhinya. Duduk tepi gelanggang dekat Agam yang kelihatan menggigit hujung jari kelingking.

Lelaki dari Kelantan itu terus menepuk-nepuk kepala ayam sabungnya dengan penuh manja.

Dia terus keliling gelanggang, mempamerkan rasa bangganya kerana memiliki ayam sabung yang handal.

Bila sampai depan Agam, lelaki dari Kelantan itu terus menghentak-hentakkan kaki kanannya.

Orang yang berada keliling gelanggang terus ketawa. Lucu melihat telatah lelaki dari Kelantan itu. Agam terus mengeliat dan turut ketawa.

"Diam", jerit Udin Tarzan.

Ketawa terus berhenti dengan serta-merta. Udin Tarzan keluarkan pistol. Muncung pistol dihalakannya ke dahi Agam.

"Kamu mahu menggagalkan semua yang diatur", lanjut Udin Tarzan.

Muncung pistol terus bertemu dengan kulit dahi Agam. Semua yang menyaksikan peristiwa itu jadi cemas. Tidak ada seorang pun yang berani bersuara.

Lelaki dari Kelantan bersama ayam sabungnya terus menyembunyikan diri di perdu bertam.

Ternyata pada lelaki itu, lebih mengutamakan keselamatan ayam sabungnya dari dirinya sendiri. Ayam sabungnya dimasukkan ke dalam bajunya.

"Mahu lawan sabung atau tidak?", Udin Tarzan beri kata dua.

Agam masih kelihatan tenang. Masih sempat senyum dan menjamah hujung pistol yang bertemu dengan dahinya.

"Sabar, marah mainan syaitan. Orang yang waras tidak pernah marah", ucap Agam.

"Jangan nak mengajar saya.”

"Tidak, saya bercakap perkara yang benar", tambah Agam.

Perlahan-lahan pistol dari tangan Udin Tarzan diambilnya. Saya lihat Udin Tarzan tidak melawan. Kelihatan seperti kena pukau.

"Kita mesti bertindak dengan tenang", tambah Agam.

Pistol Udin Tarzan yang berada di tangannya dicampakkan ke tanah. Saya dan Najib gelengkan kepala, bila melihat telapak kaki kanan Agam memijak pistol milik Udin Tarzan.

Pistol itu terbenam dalam bumi. Bila telapak kaki kanannya diangkat, badan pistol kelihatan berasap. Semua orang yang ada di situ gelengkan kepala. Pistol itu bertukar menjadi besi yang amat buruk serta berkarat.

"Minta maaf, saya tak mahu bersabung ayam", ujar Agam lembut.

Udin Tarzan terus gosok batang leher. Sinar matanya memancarkan kemarahan tetapi, dia tidak dapat bertindak atau melakukan sesuatu.

"Kenapa? Tadi awak yang mencabar", suara Udin Tarzan amat perlahan sekali.

Tunduk tidak berani menentang wajah Agam. Kehebatan, kesombongan dan kegagahan Udin Tarzan hilang dengan serta-merta.

Semua orang yang berada di sekeliling gelanggang merasa hairan dan amat terkejut sekali.

"Kenapa?”, susul Udin Tarzan lagi.

"Saya memang tak minat.”

"Kalau tak minat kenapa kamu mencabar?”

"Saya cuma nak tengok muka orang yang ada menyimpan ayam sabung.”

"Hum, awak permainkan kami", Udin Tarzan mengeluh.

"Berjudi bukan mainan hidup saya", suara Agam bergetar.

Dia menoleh ke kanan sambil menggosok pangkal hidungnya dua tidak kali. Agam terus tepuk pangkal lengan kanan dengan telapak tangan kiri, tiga kali berturut-turut.

TEPUK

Selesai sahaja Agam tepuk pangkal lengan kanannya. Udin Tarzan bagaikan tersedar dari lamunan.

Dia terus bertempik sambil mengambil sepotong kayu yang berada di sudut kanan gelanggang. Udin Tarzan bersedia untuk memukul kepala Agam.

Cita-citanya tidak diteruskan. Dihalang oleh suara yang menyebut-nyebut namanya dari arah perdu pohon petai.

Udin Tarzan segera menoleh ke arah tersebut. Kayu di tangan terus dicampakkannya keluar gelanggang.

"Kau datang juga", sergah Udin Tarzan.

"Kalau dah berjanji mesti datang. Belum pernah menolak kalau nak bersabung, ayam siapa lawan si jaguh aku?", kata lelaki yang muncul dari arah pokok petai.

Dia memakai seluar panjang warna kuning, baju merah lengan pendek yang sudah pudar warnanya.

"Banyak, dekat tujuh ratus ringgit, Ali", jawab Udin Tarzan penuh yakin.

"Siapa lawan ayam saya?”, tanya orang yang bernama Ali.

"Jaguh seluruh Kelantan.”

"Mana dia mukanya?", Ali ketawa kecil.

"lni dia orangnya", lelaki dari Kelantan muncul. Menerpa ke tepi gelanggang.

Lelaki dari Kelantan itu terus melepaskan ayam dalam gelanggang. Sorak dan tepukan kian bertambah hebat. Ali renung tiap wajah yang berada di situ dengan senyum.

Tiba-tiba, senyum Ali terus berhenti, bila matanya tertumpu ke wajah Agam. Tetapi, semuanya kembali berbunga, bila Agam memalingkan wajahnya ke arah hutan tebal.

"Duit sewa gelanggang, serahkan di sini", pekik Udin Tarzan.

Lelaki dari Kelantan dan Ali pun serahkan duit sewa gelanggang. Kemudian Udin Tarzan pun menyerahkan wang sewa gelanggang pada ketuanya.

Dari jauh, Udin Tarzan angkat tangan kanannya tinggi-tinggi memberitahu pada orang yang hadir bahawa gelanggang boleh digunakan.

Sorak dan tepuk tangan orang ramai bergemuruh menguasai kawasan terpencil itu.

"Aku nak lepaskan ayam, Udin", jerit Ali.

"Silakan", balas Udin Tarzan. Tepukan dan sorak bertambah gamat.

"Kau lawan dia jaguh, kau bunuh dia dengan taji kamu", itu yang dibisikkan oleh Ali pada ayam sabungnya.

Orang ramai yang bertaruh mula membuat kumpulan sendiri. Wajah mereka didakap kegembiraan yang amat sangat. Masing-masing mengharapkan tuah dan keuntungan yang berlipat ganda.

Di tengah gelanggang, dua ekor ayam mula bertentangan. Mengembangkan kepak dan bulu leher kelihatan membesar, bersedia untuk menewaskan antara satu sama lain.

Dua ekor ayam itu tidak tahu, bahawa nyawa mereka dipertaruhkan demi kepuasan hati manusia yang selama ini dianggap bijak dan bertamadun mempunyai nilai budi dan perasaan yang tinggi.

Bila berdepan dengan suasana demikian, saya segera terfikir bahawa ada waktu dan ketikanya, manusia ini lebih kejam, lebih bodoh dari dua ekor ayam sabung yang berada di tengah gelanggang.

Setiap kali ayam milik Ali membenamkan tajinya ke leher ayam jaguh milik lelaki dari Kelantan, suara sorakan dari tepi gelanggang terus melangit. Ada yang terkinja-kinja menari macam beruk dapat belacan.

Secara mendadak tepukan dan sorakan terus terhenti. Semua biji mata tertumpu ke arah Agam yang berdiri di tengah gelanggang.

Bagaikan kilat Agam menangkap ayam milik lelaki dari Kelantan yang kelihatan terhuyung-hayang.

Beberapa helai bulu kepaknya mula berjatuhan. Balungnya berdarah begitu juga dengan bahagian lehernya. Agam segera mendekati lelaki dari Kelantan.

"Ambil ayam kamu", kata Agam pada lelaki dari Kelantan.

"Kami berlaga ayam, apa hak kamu mengganggu kami?”

"Islam melarang pengikutnya berbuat kejam dengan binatang.”

"Saya mencari rezeki.”

"Bukan ini caranya mencari rezeki."

"Tapi...”

"Tak ada tapinya, ambil ayam kamu dan pergi dari sini, kalau kamu tak dengar cakap aku, buruk padahnya nanti," Agam mula tunjuk taring.

Lelaki dari Kelantan mula membantah tetapi, bila dilihatnya muka Agam, dia tidak jadi membantah. Tanpa banyak cakap dia terus ambil ayam sabungnya.

Lelaki dari Kelantan itu mengatur langkah menuju ke arah pondok tempat ketua Udin Tarzan berehat.

Agam renung ke kiri, didapatinya ayam sabung Ali tidak berada di gelanggang lagi. Sebahagian orang ramai yang berada di tepi gelanggang mula beredar.

Masing-masing bersedia untuk menyelamatkan diri andainya tercetus sebarang perkelahian.

"Eh, kamu ke mari dekat aku", ujar Agam pada Ali yang bersila di tepi gelanggang.

Ali tidak menghiraukan arahan dari Agam. Dia terus membiarkan ayam sabungnya mematuk padi atas telapak tangannya.

Sesekali, Ali meraba ulu golok yang terselit di pinggangnya. Dia terus bersiul-siul kecil.

"Hei, ayam sesat jangan cuba nak tunjuk handal di tempat orang", Ali mula menyindir. Badan ayamnya diurut perlahan-lahan.

"Pulanglah dan buat kerja lain", tingkah Agam.

"Jangan nak ajar saya!", jawab Ali.

"Bukan mengajar tapi nasihat.”

"Diam bangsat!" pekik Ali sambil mencabut golok di pinggang lalu di baling ke arah Agam.

Cepat-cepat Agam mengelak. Golok melekat pada pohon Pulai.

Agam terus menerpa ke arah Ali. Cepat-cepat Ali melompat dan lari ke arah pondok tempat ketua Udin Tarzan berehat. Ayam Ali terlepas lari ke dalam semak.

Agam masih berdiri di tengah gelanggang yang sudah ditinggalkan oleh para peminat sabung ayam.

Saya dan Najib yang sejak tadi menjauhkan diri dari gelanggang mula gelisah. Tetapi kami yakin Agam tidak akan bertindak sesuatu terhadap kami. Demi keselamatan diri, kami segera berlindung di balik pohon besar.

"Kita balik saja, Najib. Aku tak suka tengok orang bergaduh", kata saya lemah.

"Kita tunggu dulu, Tamar, Kita tengok siapa handal. Lagipun kita duduk sembunyi di sini, tak ada siapa yang tahu.”

"Aku takut dan...”

"Sudahlah Tamar, kau tengok tu.”

Saya segera tegakkan kepala. Sepasang mata saya tertumpu ke arah Agam yang sedang berdepan dengan ketua Udin Tarzan.

Dalam jarak beberapa kaki dari ketuanya, kelihatan Udin Tarzan, lelaki dari Kelantan dan Ali. Mereka memegang kayu bulat yang panjangnya lebih dari enam kaki.

MERANGKAK

Saya dan Najib merangkak di celah-celah pohon kecil, mendekati mereka. Kami mahu mendengar apa yang akan diucapkan oleh ketua Udin Tarzan pada Agam.

Tanpa diduga, Udin Tarzan, lelaki dari Kelantan dan Ali melakukan serangan yang serentak ke arah Agam.

Saya lihat Agam begitu tangkas mengelakkan serangan yang datang bertubi-tubi.

Agam lebih banyak bertahan dari melakukan serangan. Agam berusaha dengan sedaya upaya, agar orang yang menyerangnya tidak cedera.

Dia lebih suka melihat mereka tewas akibat kepenatan. Ternyata taktik yang digunakan oleh Agam amat berkesan sekali. Ketiga-tiga penyerangnya tercungap-cungap dan terus jatuh ke bumi.

"Aku tak mahu bergaduh, aku sekadar mahu membetulkan kamu dari membuat kerja maksiat, baliklah ke rumah kamu," tutur Agam dengan tenang.

Udin Tarzan, lelaki dari Kelantan dan Ali segera bangun. Mereka seperti dipukau mencari lorong untuk pulang ke rumah masing-masing.

Tanpa diduga, Udin Tarzan pusing ke kanan lalu mengeluarkan rantai basikal yang diikat pada kayu kecil dari saku seluarnya.

Udin Tarzan menerpa ke arah Agam. Dia terus melibaskan rantai basikal ke badan Agam.

Aneh, walaupun mata rantai basikal itu membelit ke tubuhnya tetapi, Agam tetap tenang dan tubuhnya tidak mengalami sebarang kecacatan.

Tubuh Udin Tarzan menggeletar, dia jadi panik bila melihat mata rantai basikal relai, jatuh ke bumi dalam bentuk ketulan hitam yang kecil macam tahi kambing.

Udin Tarzan terus buka langkah seribu. Langgar tunggul dan akar hingga jatuh tunggang langgang. Dia tetap bangun dan terus lari.

Bahu Agam dipaut dengan kuatnya dari belakang. Sukar untuknya menoleh ke kiri dan ke kanan. Pautan itu seperti mencengkam dan terbenam dalam kulit tubuhnya. Agam yakin cengkaman itu bukannya dari jari jemari manusia.

"Kamu belum tahu siapa aku. Kamu mencari penyakit datang ke tempat aku", suara parau dan keras menendang gegendang telinga Agam.

Serentak dengan itu cengkaman yang singgah di bahunya berakhir. Dia segera memusingkan tubuh dan wajahnya menatap orang yang bersuara.

"Kamu tahu belum ada orang yang berani kacau aku. Ketua kampung penghulu dan ketua balai polis di sini tak berani kacau aku. Kenapa kamu pula yang sibuk?"

"Sebagai orang Islam aku berhak memberitahu atau membetulkan kesilapan yang kamu buat."

"Apa kesilapan yang aku lakukan?"

"Kamu bapak maksiat!", ucap Agam lantang.

"Biadab!", sergah lelaki ketua Udin Tarzan.

Agam tidak menjawab kutukan itu. Dia termenung sejenak. Macam ada sesuatu yang difikirkannya. Agam mengambil keputusan tidak mahu berkeras dengan lelaki berbadan tegap. Tingginya hampir enam kaki.

"Nama aku Amjal Kamal", lelaki itu memperkenalkan dirinya.

Dia membuka baju yang membalut tubuhnya. Baju yang dicampakkan ke bumi lalu dipijaknya. Kedua belah lengannya penuh dengan tangkal dan azimat.

Lelaki itu mengeluarkan sebilah keris pendekar. Dia terus menikam perutnya dengan keris bertubi-tubi. Mata keris terus bengkok. Kulit perutnya tidak tercalar ataupun luka. Lelaki itu mencampakkan kerisnya yang sudah patah itu ke dalam semak.

"Kau nampak sekarang?", kata Amjal Kamal sambil ketawa.

Dia keluarkan pistol dari paha kanannya (pistol itu diikat ke pangkal paha kanan dengan tali guni).

Muncung pistol dituamkan ke dahinya. Kemudian dia menarik pemetik pistol. Satu letupan bergema. Amjal terus ketawa. Peluru pistol tidak mendatangkan sebarang kesan.

Amjal Kamal terus memecahkan sebiji botol. Kaca dari botol tersebut terus ditelannya.

"Apa kamu sanggup menentang aku? Kalau tak sanggup, eloklah kau pulang. Jangan kacau kerja aku", Amjal Kamal renung muka Agam.

"Kamu memang hebat, tubuh kamu tak makan peluru."

"Kalau sudah tahu, kenapa kamu cari penyakit?”

"Aku bukan mahu mencari penyakit. Aku mahu menyembuhkan penyakit kau.”

"Apa penyakit aku? Cakap!", tanya Amjal Kamal sambil menggosok-gosok pistolnya.

"Kau tamak, tak pernah puas. Tak mahu ingatkan Allah. Kamu harus tahu, bila tamak dah menguasai diri kamu, kamu lupa diri sendiri lalu mahu menyesatkan orang lain.”

"Kurang ajar!”

"Ya, aku nak ajar kamu. Tangkai dan azimat tidak dapat menentang kuasa Allah. Mulai hari ini, kamu jangan buka gelanggang di sini. Sebaik-baiknya kau berambus dari sini", Agam memberi amaran.

SABAR

Sampai di sini, Amjal Kamal sudah tidak menahan sabar. Dia segera menatang muncung pistol ke arah Agam. Beberapa saat kemudian terdengar letupan yang berturut-turut.

Anehnya, pepohon di kiri kanan Agam jadi sasaran peluru pistol Amjal Kamal. Agam tidak mengalami sebarang kecederaan.

Amjal Kamal renung kiri kanan. Dia mencampakkan pistol ke arah kami. Jatuh betul-betul di depan Najib dan terus meletup.

Najib menjerit dan terus jatuh pengsan. Saya yang tidak tahu untuk berbuat sesuatu segera keluar dari tempat persembunyian.

Agam mendekati saya tanpa membuang masa. Saya segera memberitahu padanya apa yang telah terjadi.

"Kau jangan ke mana-mana, sebentar lagi kawan kamu akan sedar dari pengsan", katanya pada saya.

Sebaik sahaja saya anggukkan kepala, Agam kembali merenung ke arah Amjal Kamal yang sedang membawa sebatang besi.

Saya tidak tahu dari mana Amjal Kamal memperoleh besi itu. Amjal Kamal terus mendekati Agam.

Saya lihat, Agam bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Dia biar Amjal Kamal mendekatinya.

Bila Amjal Kamal angkat besi untuk memukul kepalanya, Agam menampar bumi. Besi di tangan Amjal Kamal terlepas.

"Kamu memang handal tapi...", Amjal Kamal tidak dapat meneruskan kata-katanya.

Dia terus melepaskan satu tendangan yang kencang ke arah Agam. Amjal Kamal membuka silat Siam.

Agam tetap bertenang dan menepis setiap serangan yang datang. Usaha Amjal Kamal untuk menewaskan Agam dengan kekasaran tidak berhasil.

Kali ini, Amjal Kamal menggunakan ilmu kebatinannya untuk menundukkan Agam. Mereka berdiri bertentangan. Masing-masing memeluk tubuh.

Agam memberi isyarat tangan pada saya supaya kembali ke tempat persembunyian. Bila saya sampai ke tempat tersebut, saya dapati Najib sudah pun sedar dari pengsan.

Dalam keadaan yang kelam-kabut itu saya terdengar bunyi petir dan diikuti dengan gumpalan asap hitam berkumpul di tengah gelanggang sabung ayam.

Dari gumpalan asap itu keluar percikan bunga api yang menuju ke arah tubuh Agam. Pelik, bila percikan bunga api mahu mengenai tubuh Agam, percikan itu segera berpatah balik ke dalam gumpalan asap dan terus hilang.

Muka Agam kelihatan berpeluh. Agam terus menajamkan kedua belah bibirnya sambil menghembuskan udara yang berkumpul dalam mulutnya ke arah gumpalan asap. Dengan sekelip mata asap tebal itu terus hilang.

Apa yang saya dan Najib lihat ialah, lengan kanan Amjal Kamal ditumbuhi bulu macam bulu orang utan.

Kukunya panjang macam kuku harimau tetapi, tangan kirinya tetap macam biasa.

Muka sebelah kiri Amjal Kamal berubah bentuk iaitu kelihatan sama, tidak ada hidung, tidak ada mata, pipi dan bibir. Kelihatan rata macam papan yang sudah diketam.

Amjal Kamal berdiri kaku macam patung batu. Dari bahagian belakangnya kelihatan kepulan asap yang menipis. Dada saya terus berdebar dan saya segera menoleh ke arah Najib. Dia kelihatan tergamam.

"Tamar, apa yang kita lihat benar-benar terjadi?” tanya Najib.

"Ya, aku yakin Amjal Kamal banyak ilmu dunianya, kebal dengan sihir. Dia melindungi syaitan", bisik saya ke telinga Najib.

Sebaik sahaja saya selesai mengucapkan kata-kata tersebut, bulu tengkuk saya segera menegak. Badan terus menggeletar. Saya pun segera membaca beberapa ayat suci untuk menghalau syaitan.

"Lihat, Tamar", Najib cuit bahu kanan saya.

Tanpa membuang masa, saya renung ke arah Agam yang sedang menumpukan seluruh biji matanya ke arah tubuh Amjal Kamal.

Setiap kali Agam menggerakkan kelopak matanya, tangkal di leher Amjal Kamal putus sendiri. Jatuh ke bumi lalu terbakar.

Bila Agam gerakkan lehernya ke kanan. Azimat atau tangkal yang membelit di lengan Amjal Kamal segera relai menjadi habuk yang akhirnya berterbangan entah ke mana dibawa angin.

"Heiiiii...”, Amjal Kamal bertempik.

Tangannya yang bertali diangkatnya tinggi-tinggi. Dalam sekelip mata sahaja, dia menjatuhkan dirinya ke bumi.

Amjal Kamal menyondol mukanya ke tanah. Tidak ubah macam babi menyondol batas ubi keledek.

Agam tetap tenang melihat keadaan yang amat ganjil itu. Semua gerak-geri Amjal Kamal diikuti dengan penuh teliti.

Agam meramas-ramas jari-jemari tangan kanannya. Dia menarik nafas panjang, kelima-lima jari-jemari tangan kanannya menutup mata sebelah kirinya.

"Heiiiii...”, lagi sekali suara jeritan Amjal Kamal bergema menguasai kawasan hutan tersebut.

Serentak dengan itu dia terus melompat dan berdiri lurus. Saya lihat wajahnya ke arah Agam. Dan tanpa disangka-sangka, Agam jatuh terlentang.

Kedua belah kaki Agam terangkat dan badannya berpusing-pusing di bumi, macam ada tenaga ghaib yang memusingkannya.

Saya dan Najib terpaku melihat keadaan yang tidak pernah kami fikirkan selama ini. Biasanya, keadaan seperti ini wujud dalam filem yang bertemakan kisah zaman purba.

Tamar", Najib seperti berbisik.

"Kenapa, Jib?" tanya saya perlahan-lahan.

"Aku dengar macam ada suara orang sedang azan", jawab Najib. Matanya tetap liar. Renung kiri renung kanan.

"Aku juga dengar Jib.”

"Di sini tak ada masjid, siapa pula yang azan tu. Waktu Asar pun belum masuk", Najib bersuara penuh keraguan.

"Sudahlah, jangan fikirkan. Itu kerja makhluk Allah, asalkan jangan ganggu kita sudah cukup.”

"Aku tak puas hati kalau tak tahu Tamar.”

"Kau jangan merepek", suara saya keras lalu menutup mulut Najib dengan telapak tangan kiri.

KASAR

Saya bersyukur pada Allah, tindakan saya yang agak kasar itu, tidak menyinggung perasaan Najib. Dia menerima semuanya itu sebagai satu perintah yang wajib dipatuhi.

Kami segera mengarahkan biji mata kami ke arah Agam dan Amjal Kamal kembali. Saya lihat Agam sudah pun berdiri. Saya tidak tahu bagaimana dia bangun.

Suara azan yang mengusik gegendang telinga saya dan Najib terus ghaib entah ke mana.

Agam dan Amjal Kamal bertentang wajah. Kedua-duanya memeluk tubuh. Antara Amjal Kamal dan Agam, ternyata Amjal Kamal lebih hebat.

Ulas-ulas lengannya kelihatan berketul-ketul. Dadanya nampak bidang dengan rambut panjang hitam terkandar atas sayap bahunya.

Saya lihat dada bidang Amjal Kamal kelihatan berombak-ombak ketika dia menarik dan melepaskan nafas.

Dari gerak-gerinya itu ternyata Amjal Kamal menggunakan semua ilmu batin yang diketahuinya untuk menentang Agam.

"Aku tak mahu apa-apa dari kamu. Aku tidak mahu berlawan. Aku minta kau tinggalkan tempat ini", suara Agam lembut penuh sopan.

"Kau tak berhak menahan apa juga keinginanku", cukup angkuh suara Amjal Kamal. Tangan kanannya merayap atas bahu kiri.

Dia terus memulas hujung rambut. Setiap kali hujung rambutnya dipulas, Agam menjerit kesakitan. Macam ada benda tajam yang menusuk tiap sendi Agam.

"Aku merayu, tinggalkan tempat ini," ujar Agam dalam kesakitan.

"Tidak", suara Amjal Kamal keras.

Dia terus memintal-mintal hujung rambutnya. Agam terus mengerang kesakitan. Saya lihat kedua belah kaki Agam tidak mampu menahan tubuhnya.

Dia jatuh perlahan-lahan dan terduduk atas bumi. Dari lubang hidung dan mulutnya keluar air macam air liur.

"Allahu akbar", suara Agam meninggi.

Serentak dengan itu saya lihat dia bertenaga kembali. Agam bagaikan mendapat satu tenaga ghaib. Air yang keluar dari mulut dan hidung berhenti terus.

Agam menggosok-gosok kedua belah telapak tangannya. Saya lihat bibir Agam bergerak-gerak macam membaca sesuatu. Tangan kirinya menepuk bumi dua kali.

Amjal Kamal terus ketawa, dia seolah-olah mempersendakan apa yang dilakukan oleh Agam.

"Aku merayu kepada kamu, tinggalkan tempat ini", Agam mohon belas ihsan dari Amjal Kamal.

Ternyata Amjal Kamal tidak berganjak dari keputusannya. Agam terus duduk bersila di bumi.

Saya dongakkan kepala melihat beberapa ekor burung belatuk mematuk batang meranti yang sudah mati.

Saya terasa aneh, belum pernah saya melihat burung belatuk begitu banyak. Beberapa helai daun tua mula gugur ke bumi dirempuh angin.

Saya lihat langit begitu cerah dengan gumpalan awan putih bersih berarak lembut ke arah selatan.

"Ini hutan, tak ada manusia yang diam di sini, sudahlah kau jangan merepek", Amjal Kamal terus mempersendakan Agam.

Dia yakin, Agam akan tunduk padanya. Amjal Kamal mengambil seketul kayu lalu dibaling ke arah Agam.

Saya dan Najib terpampan, bila melihat kayu yang dibaling ke arah Agam tidak menuju ke sasarannya. Kayu itu berpusing-pusing di udara untuk seketika kemudian hancur menjadi serbuk.

"Kau nak tunjuk kehebatan kamu?", Amjal Kamal jadi marah.

"Tidak, semuanya atas kehendak Allah. Aku berdoa pada Allah supaya diberikan perlindungan."

"Hiss kamu", Amjal Kamal melompat dan menerkam ke arah Agam.

Cepat-cepat Agam mengangkat tangan kanannya. Amjal Kamal terpekik. Dia tidak dapat bergerak ke mana-mana, terapung-apung di udara.

Agam menurunkan tangannya perlahan-lahan. Tubuh Amjal Kamal yang terapung-apung di udara turut sama bergerak perlahan-lahan ke permukaan bumi.

Bila telapak tangan Agam bertemu dengan bumi, tubuh Amjal Kamal terletak atas tanah.

"Aku minta kamu berhenti dari membuat kerja maksiat", kata Agam masih berlembut.

"Itu urusan aku."

"Ya, aku tahu itu urusan kamu tapi...", Agam berhenti bercakap.

"Tapi apa, manusia laknat?"

"Orang-orang yang berjudi di sini sudah mengotorkan masjid dan surau tempat kami beribadat. Mereka kencing dan berak ikut suka hati."

"Kamu bohong!", bantah Amjal Kamal.

"Baik, aku buktikan", Agam merenung ke arah sebelah kiri. Tidak ada apa-apa yang dapat dilihat kecuali hutan kecil dengan pohon yang menghijau.

"Aku bukannya budak-budak", Amjal Kamal menepuk dada dan meludah ke arah Agam.

Tiba-tiba saya dan Najib terdengar bunyi suara orang membaca ayat-ayat suci. Saya amati pembacaan itu dengan teliti.

Saya kagum, pembacaan itu memang betul, sama ada dari segi tajwid, tekanan suara dan dengung. Pembacaan yang sempurna itu membuat saya terpesona.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 98/284

BACA: SBDJ Siri 97: Udin Tarzan Yang Tewas
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Cara Menangkap Burung Liar Tanpa Jerat Atau Senjata

Cara Menangkap Burung Liar Tanpa Jerat Atau Senjata

Pada kebiasaannya, bagi sesiapa saja yang gemar menangkap apa-apa juga jenis burung mengikut kemahuan masing-masing tentulah mereka mempunyai cara atau kaedah tersendiri seperti memasang jerat, memasang cecair bergetah di sekitar pokok yang sering dihinggapi oleh beburung, jaring dan sebagainya lagi.

Menangkap Burung Liar
Gambar hiasan.

Namun, ada juga yang mengambil jalan singkat janji asal saja dapat menangkap burung-burung yang diidamkan tak kira samada burung itu nanti dapat ditangkap dalam berkeadaan hidup atau mati apabila ada yang sanggup menggunakan lastik, umpan dipasang pada mata kail dan diikat atas pokok atau perangkap tikus.

Jika burung-burung dapat ditangkap dengan menggunakan cara sedemikian maka harapan kita untuk melihat unggas ini terus hidup adalah sangat tipis kerana tanpa kita sedari mungkin ada terdapat kecederaan di bahagian-bahagian yang tertentu pada tubuh burung itu tidak kelihatan dan ini tentu sekali akan mendatangkan risiko kematian terhadap burung-burung telah kita tangkap itu.

Jadi, disini saya ingin berkongsi cara-cara atau kaedah yang mungkin berguna kepada sesetengah orang bagaimana untuk menangkap burung liar khususnya dari spesis tekukur.

Burung tekukur kebiasaannya banyak terdapat di kawasan sawah padi dan burung ini jarang kita temui dalam kelompok yang banyak seperti burung pipit atau burung layang-layang.

Burung tekukur juga kelihatan hampir menyerupai burung pergam atau burung merbuk cuma dibezakan dari segi bentuk saiz badan dan suara dimana burung tekukur badannya jauh lebih kecil daripada burung pergam atau merbuk sementara suara burung tekukur lebih jelas dan halus didengar walaupun kedengaran agak sayup-sayup tetapi suara burung pergam atau merbuk tak ubah seperti bunyi hon kapal laut yang berdengung-dengung.

Cara Menangkap Burung Liar

Kali ini kami ingin menunjukkan cara, bagaimana untuk menangkap burung tekukur liar ini agar ia selamat dan tidak cedera.

Mula-muka sekali, kita kenalah ke pasar raya dan beli satu botol arak (bukan untuk diminum), asal arak sajalah tak kira berapa peratusan alkohol yang dilabelkan pada botol arak tersebut, janji ianya arak.

Kemudian, bawa balik ke rumah, simpan ditempat yang selamat serta jauhi daripada kanak-kanak dan mereka yang kaki arak.

Kemudian, ambil segenggam beras dan masukkan ke dalam bekas atau gelas yang tidak lagi digunakan.

Kemudian, rendam beras itu bersama arak selama satu malam dan keesokannya, jemur dibawah panas terik matahari selama 2 hari.

Setelah itu, bawa beras yang direndam arak tadi ke lokasi di mana ada terdapat burung tekukur bersama kotak yang telah dipotong dengan ukuran lebih kurang 2 kaki persegi dan kita kenalah letakkan kotak tersebut ditempat yang agak strategik atau tempat di mana burung berkenaan selalu turun untuk mencari makanan.

Langkah terakhir, taburkan beras yang telah direndam dengan arak di atas kotak yang dibentang tadi dalam jumlah yang berpatutan.

Waktu selepas tengah hari hingga ke senja adalah masa yang amat sesuai untuk kita menggunakan kaedah penangkapan ini sebab biasanya burung tekukur akan keluar mencari makanan pada waktu itu.

Selepas semuanya selesai, maka giliran untuk kita menuai hasil tangkapan dengan bersembunyi disebalik rerumput agar kelibat kita terlindung dan tidak kelihatan oleh burung liar.

Sekiranya burung-burung tekukur itu sudah memakan beras yang kita letakkan di atas kotak, hanya dua tiga kali patukan saja dan sesudah menelannya, kita akan dapat melihat burung itu akan mula khayal, pening, terhuyung-hayang dan kemudianya akan "tersungkur".

Pada masa itulah peluang kita untuk menangkap burung tekukur itu tadi dalam keadaan masih hidup dan simpanlah didalam kurungan.

Burung ini akan pulih semula seperti sediakala dalam tempoh beberapa ketika tanpa sebarang kecederaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: HMAM

Wanita Malaysia Lapor Polis Lelaki Cabut Kondom Ketika Berasmara!

Wanita Malaysia Lapor Polis Lelaki Cabut Kondom Ketika Berasmara!

Kes tular seorang wanita yang mendakwa kenalannya mencabut kondom tanpa pengetahuannya ketika mengadakan hubungan seks perlu disiasat oleh polis, kata peguamnya, Serene Lim, selain kes itu tidak seharusnya dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Cabut Kondom
Gambar hiasan.

Dia berkata, walaupun Seksyen 375(c) Kanun Keseksaan berkenaan kes rogol tidak menyatakan takrifan tepat berkenaan perbuatan stealthing, iaitu tindakan seorang lelaki yang mencabut kondom tanpa pengetahuan pasangan ketika hubungan seks, walaupun tahu pasangan hanya bersetuju dengan pemakaian kondom.

"Jika anda lihat Kanun Keseksaan (seksyen itu), ada disebut tentang salah tanggapan. Anda memberi tanggapan salah dengan berkata anda akan berbuat perkara tertentu, untuk mendapatkan persetujuan.

"Jadi, pada satu sisi ia bukan persetujuan yang sebenarnya kerana persetujuan itu diberi berdasarkan salah tanggapan. Maka sebab itu di beberapa negara ia dianggap sebagai rogol," katanya.

Seksyen 375(c) Kanun Keseksaan menyebut rogol boleh berlaku "dengan kerelaan perempuan itu, manakala kerelaannya telah didapati dengan mendatangkan kepadanya atau mana-mana orang lain ketakutan mati atau cedera, atau telah didapati melalui salah tanggapan fakta dan lelaki itu tahu atau ada sebab untuk mempercayai bahawa kerelaan itu telah diberi akibat dari salah tanggapan tersebut".

Di beberapa negara termasuk United Kingdom dan Jerman, ada perbincangan untuk memberi takrifan lebih jelas tentang "persetujuan" dalam isu serangan seksual dan rogol, termasuklah persetujuan bersyarat dan persetujuan afirmatif.

Persetujuan bersyarat diberi spesifik untuk perlakuan seksual tertentu, sementara persetujuan afirmatif ditakrifkan sebagai mendapat persetujuan secara jelas (eksplisit) berbanding hanya membuat jangkaan.

"Dalam kes ini, kami belum (membincangkan takrifan 'persetujuan'). Tetapi ia tak boleh menghalang kita daripada mengambil takrifannya (daripada tempat atau pihak lain)," katanya, sambil menambah perkara itu masih kurang dilaporkan di Malaysia.

Kes tersebut tular selepas salinan laporan polis oleh mangsa terhadap seorang warga asing, yang dibuat di balai polis Kajang, bocor dan tersebar di internet.

Ketua Polis Kajang Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff mengesahkan menerima laporan itu dan berkata kes itu dirujuk kepada Jais.

Oleh kerana laporan yang bocor itu tidak menutup alamat rumah dan nombor telefon mangsa, Lim berkata anak guamnya telah menjadi sasaran kecaman di internet, selain diganggu menerusi panggilan telefon dan pesanan teks.

"Gangguan yang diterima di telefonnya sangat banyak, pada masa ini dia pasti sudah terima ratusan (panggilan dan pesanan)," katanya, menggesa orang ramai agar berhenti berkongsi laporan polis itu di media sosial.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Friday, August 02, 2019

17 Fakta Jin Saka Yang Sering Mendampingi Manusia

17 Fakta Jin Saka Yang Sering Mendampingi Manusia

Banyak kesan buruk yang akan berlaku disebabkan oleh pengambilan saka dan kemuncaknya boleh menyebabkan manusia tersebut terjerumus ke dalam dosa paling besar, iaitu mensyirikkan Allah, dosa besar yang tidak akan diampunkan oleh Allah dosa pelakunya.

Fakta Jin Saka

Seperti di dalam firman Allah, “Barangsiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.” (Surah An Nisaa’: 48)

Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan dengan anda 17 fakta tentang saka yang perlu anda ketahui.

Fakta Tentang Saka

1. Sukar Dirawat

Jika dibandingkan dengan sihir dan santau, saka merupakan gangguan jin yang paling sukar sekali untuk dirawat.

Lebih lama seorang manusia itu berdamping dengan saka peliharaannya, lebih sukarlah untuk dikeluarkan saka dari tubuh badan tuannya.

Pengalaman perawat Islam dalam merawat kes saka iaitu saka pahlawan, di mana ketika merawatnya, tenaga tujuh orang lelaki diperlukan untuk memegangnya kerana kuatnya amukan saka yang berada di dalam badan pesakit yang dirawat.

2. Kesukaran Ketika Ajal Hampir Tiba

Pewaris saka akan mengalami penderitaan dan seksaan yang amat berat ketika menjelangnya saat sakaratul maut. Ini disebabkan jin saka yang berada di dalam badan manusia itu tidak mahu melepaskan tuannya.

Mungkin juga seksaan ini adalah azab dari Allah kerana melakukan perbuatan syirik kepada-Nya.

3. Upacara Menyeru Jin

Biasanya, proses memanggil jin yang akan dijadikan saka dimulai dengan upacara yang bertentangan dengan syariat Islam seperti memuja kubur atau tengkorak, meminum darah, membaca ayat-ayat suci al-Quran secara terbalik dan sebagainya.

Ini disebabkan biasanya jin yang sanggup menghambakan diri kepada manusia hanyalah jin yang jahat.

Dan jin jenis ini biasanya memerlukan balasan sebelum bersedia untuk menghambakan diri kepada manusia.

4. Jampi Serapah

Upacara memanggil saka ini biasanya akan disertai dengan mentera dan jampi serapah, yang disertai dengan ucapan-ucapan yang membawa kepada syirik.

Apabila jin saka hadir, ketika itulah syarat dan perjanjian akan dilakukan antara manusia dan juga jin.

5. Pertolongan Jin

Selepas persetujuan dicapai, ketika inilah jin tadi akan sentiasa mendampingi tuannya.

Dan ketika ini manusia itu akan mempunyai pelbagai kelebihan yang asalnya dimiliki oleh jin saka tadi, yang akan digunakan untuk kepentingan diri manusia itu.

6. Sebagai Pembantu

Manusia yang menggunakan saka (bantuan jin) untuk pelbagai kepentingan seperti ingin menjaga keselamatan diri, ahli keluarga dan harta, menjadi kuat, berharta, disayangi atau digeruni ramai pihak selain mahukan makhluk ghaib itu membantunya bekerja di ladang atau lautan.

7. Tipu Helah

Permulaannya, jin Saka ini kelihatan seperti memberi pelbagai kelebihan kepada tuannya seperti melindungi diri, keluarga serta harta benda dan sebagainya tetapi itu semua hanyalah tipu helah saka bagi menyesatkan manusia.

8. Menjadi Mayat Hidup

Ada pemilik saka sudah meninggal dunia tetapi jin saka yang dimilikinya masih enggan meninggalkan tuannya.

Keadaan itu menyebabkan saka berkenaan “menumpang” pada jasad tuannya sehingga pemilik saka itu kelihatan seolah-olah masih hidup dan bergerak walaupun dia sebenarnya sudah meninggal dunia.

9. Mencemar Maruah

Jin yang menjadi saka juga boleh mencemari maruah keluarga pemiliknya dengan mengadakan hubungan kelamin bersama isteri atau anak perempuan tuannya.

Dan gangguan saka juga menyebabkan seseorang mengalami penyakit misteri yang amat menyeksakan.

10. Mengganggu Keturunan

Syarat yang perlu dipatuhi pemilik saka adalah jin berkenaan perlu diwariskan kepada individu lain apabila pemiliknya hampir menemui ajal selain pemilik perlu menjamu saka peliharaannya dengan darah, kemenyan atau sebagainya.

11. Menyakiti Waris

Saka akan mengganggu apabila pemilik meninggal dunia tanpa sempat mewariskan saka berkenaan menyebabkan jin berkenaan akan merewang serta mengganggu dan menyakiti ahli keluarga serta orang lain.

12. Pantang Larang

Anak yang mewarisi saka tetapi tidak mengetahui syarat dan pantang larang ketika perjanjian dimeterai menyebabkan mereka tidak menunaikan perjanjian itu seperti tidak menyediakan makanan kepada jin menyebabkan makhluk itu akan mengganggu dan menyakiti mereka kerana marah. (Hukum mengguna atau mewarisi saka adalah haram disisi Islam.)

13. Jin Paling Jahat

Syaitan adalah jin yang kafir dan ketua syaitan adalah Iblis. Saka yang dipelihara wanita digelar “pelesit” dalam budaya Melayu manakala saka yang dipelihara lelaki digelar “hantu raya”. Hantu raya terdiri daripada jin jenis Ifrit (golongan jahat).

14. Barang Lama Dihuni Saka

Dalam kebanyakan kes, antara barang tuannya yang dijaga saka tetapi dijual kepada orang lain termasuklah barang antik dan bersejarah malah ada juga hiasan berupa tulisan ayat Al-Quran.

15. Jenis-jenis Saka

Antara jenis-jenis saka ialah:
  • Saka Harimau: Menyebabkan pemiliknya ditakuti manusia lain lebih-lebih lagi musuh.
  • Saka Buaya: Mampu mengawal dan menjinakkan buaya.
  • Saka Ular: Mampu mengawal dan menjinakkan ular.
  • Saka Bomoh: Menjadikan pemilik kononnya mampu mengubati pesakit gangguan makhluk halus. (Sebenarnya, jin peliharaan bomoh tersebut berlawan dengan jin yang mengganggu pesakit dan jika jin bomoh menang, jin yang mengganggu pesakit akan beredar dan pesakit kelihatan sembuh.).
  • Saka Kuat atau Saka Penimbul: Menjadikan pemiliknya kuat sehingga mampu mengangkat barang yang amat berat atau menjadi kebal.
  • Saka susuk: Menjadikan pemiliknya kelihatan cantik.
  • Saka Toyol: Jin dipelihara untuk mencuri wang manusia lain secara ghaib.

16. Cara Membuang Saka

Untuk merawat atau membuang saka, pesakit perlu dirujuk kepada pengamal perubatan Islam yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah serta mengelak daripada berjumpa bomoh atau pengamal perubatan yang berasaskan jin.

Mengubati sihir dengan menggunakan sihir (nushrah) seperti mengunjungi pengamal perubatan yang menggunakan jin untuk mengubati gangguan makhluk halus adalah haram.

17. Amalan Menghindar Saka

Antara kaedah memperkuatkan pertahanan diri bagi menghadapi gangguan saka dan makhluk halus adalah mengamalkan bacaan ayat kursi, membaca doa menghalau syaitan (al-Mukminum: ayat 97 dan 98), sentiasa membaca al-Quran dan ta’awwuz selain kuat beribadat kerana syaitan akan berasa panas apabila berhadapan dengan mereka yang mengamalkan kaedah berkenaan.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: perawatislam

Keistimewaan Kelapa Pandan, Sedap Diminum Dan Lumayan Jika Ditanam

Keistimewaan Kelapa Pandan, Sedap Diminum Dan Lumayan Jika Ditanam

Kelapa Pandan Wangi ialah kelapa jenis rendah yang diperkenalkan dari Thailand pada tahun 1971. Di Thailand kelapa ini dipanggil sebagai 'Makprow Nam Horm' dan di peringkat antarabangsa dikenali sebagai 'aromatic dwarf'.

Kelapa Pandan

Keistimewaan kultivar kelapa pandan wangi ialah isi dan buahnya berbau wangi pandan dan sesuai untuk diminum dan dimakan segar.

Ketinggian pokok kelapa pandan boleh mencapai 6 meter. Tandan dan buah berwarna hijau dan buahnya kecil berbentuk bulat bersegi tiga dibahagian bawah.

Penanaman kelapa pandan ini boleh dijalankan secara kepadatan tinggi dengan jarak tanaman 6 meter x 6 meter.

Ia mula mengeluarkan hasil apabila mencapai umur 3-4 tahun selepas ditanam di ladang. Ketika berumur 3 tahun pengeluarannnya hanya 40-50% dan mencapai 100% apabila berumur 4 tahun.

Pokok kelapa pandan wangi mengeluarkan 12-18 jambak bunga setahun. Purata bilangan buah setandan di antara 10-15 biji tetapi boleh berkurangan pada musim kemarau atau jika kawasan dibanjiri air.

Setahun (tahun ke 13) ia boleh mengeluarkan 130-175 biji buah kelapa muda sepokok. Dalam satu hektar (208 pokok) jumlah pengeluaran boleh mencapai 36,000-49,000 buah kelapa muda setahun. Kandungan air bagi sebiji ialah lebih kurang 330 ml.

Anak kelapa pandan wangi boleh dikenali melalui bau pandan pada hujung akar yang dihancurkan.

Melihat tandan buah-buah kelapa muda biasanya boleh dipetik pada umur 6 1/2 bulan selepas persenyawaan.

Kaedah yang digunakan ialah dengan melihat tandan buah serta saiz buah kecil (T-2) dan pembentukan seludang (T-3) di atas tandan buah kecil tersebut.

Tandan kelapa pandan muda yang dipetik (T-1), tandan buah kelapa kecil (T-2) dan seludang (T-3) adalah selari atau terletak di atas satu sama lain.

Petua Memilih Kelapa Pandan

Sekiranya anda ingin membeli anak benih kelapa pandan dan tidak yakin sama ada benih yang dijual itu benih kelapa pandan atau tidak, ada satu petua yang boleh anda lakukan.

Patahkan sedikit bahagian hujung akar muda daripada anak pokok yang hendak dibeli.

Gentil bahagian akar yang dipatahkan tadi dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk sehingga hancur dan hidu baunya.

Sekiranya benih itu benar benih kelapa pandan anda pasti dapat menghidu bau harum daun pandan.

Selain bahagian akar, bahagian daun anak pokok benih kelapa pandan juga boleh dilakukan perkara yang sama tetapi biasanya pengusaha tapak semaian tidak membenarkan kerana akan mencacatkan anak benih.

Bau harum pandan lebih kuat di bahagian daun berbanding bahagian akar.

Anggaran Pendapatan

Pendapatan Kelapa

Berbuah sekitar 3 tahun hingga empat tahun. Jangka hayat dalam lingkungan 25 tahun atau lebih bergantung pada penjagaan. Dalam setahun, satu hektar kelapa pandan boleh menghasilkan buah sebanyak 28,000 hingga 30,000 ribu biji.

Manakala anggaran harga borong sebiji kelapa pandan ialah RM2.50-3.00 dan untuk harga pasaran harga sebiji boleh mencecah RM5 hingga RM12 sebiji.

Andaikata 28,000 biji kelapa di darab dengan rm3.00 sebiji = rm84,000 bahagi 12 bulan, anggaran pendapatan adalah RM7,000 sebulan. Lumayan tak? Tepuk dada tanya selera.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: zonjuly

Kisah David Charles Hahn, Remaja Yang Berjaya Mencipta Reaktor Nuklear Di Belakang Rumah

Kisah David Charles Hahn, Remaja Yang Berjaya Mencipta Reaktor Nuklear Di Belakang Rumah

Kisah David Charles Hahn bukanlah satu cerita biasa, kerana sejak dari kecil lagi, David sentiasa berminat dengan kimia dan sains, sering melakukan pelbagai uji kaji kimia sekadar suka-suka namun, tiada sesiapa pun yang menyangka bahawa suatu hari nanti David Hahn akan membina sebuah reaktor nuklear yang benar-benar berfungsi sepenuhnya di halaman belakang rumahnya sendiri.

David Charles Hahn Nuclear Reactor

Pada awalnya David Hahn adalah seorang kanak-kanak biasa yang gemarkan sukan bola lisut dan juga bola sepak. Dia kemudian menyertai persatuan pengakap di sekolahnya.

Kedua-dua orang tuanya, Ken dan Patty telah bercerai dan David Hahn tinggal bersama bapa dan ibu tirinya, Kathy di Clinton Township.

Pada hari minggu, David Hahn akan bermalam di rumah ibu kandungnya pula di Golf Manor.

Punca David Hahn meminati kimia

Perubahan ketara berlaku ketika Hahn berumur 10 tahun apabila datuknya memberikannya sebuah buku bertajuk "The Golden Book of Chemistry Experiments". Sejak dari itu Hahn menjadi taksub dengan kimia.

Pada usia 12 tahun, dia telah khatam semua buku teks kimia lama milik bapanya dan pada umur 14 tahun pula, dia telah berjaya menghasilkan nitrogliserin, sejenis cecair letupan berwarna kuning yang digunakan dalam dinamit.

Pada satu malam, bahagian bahawa tanah rumah bapanya di Clinton Township telah digegarkan dengan satu letupan yang kuat.

Bapa dan ibu tirinya mendapati David Hahn sudah terbaring di lantai dalam keadaan separa sedar.

Sebelum kejadian itu berlaku, David Hahn sedang mengetuk bahan uji kajinya menggunakan pemutar skru sehingga terjadinya percikan api yang mengakibatkan letupan itu.

David Hahn dikejarkan ke hospital dengan kecederaan pada tangan dan salah satu bahagian matanya.

Ibu tirinya Kathy kemudian melarang David Hahn daripada menjalankan sebarang eksperimen di rumah.

Jadi, David Hahn memindahkan "makmal" uji kajinya ke bangsal di rumah ibu kandungnya di Golf Manor dan tidak tahu langsung tentang apa yang dilakukannya di bangsal rumah mereka itu.

David Hahn sering dilihat memakai penutup mulut di dalam bangsal milik ibunya itu dan kadang-kala melakukan uji kaji sehingga jam dua pagi.

David Hahn juga pernah dilihat membuang pakaian yang dipakainya setelah melakukan eksperimen di makmal itu namun, ibunya Patty dan Michael tidak faham apa yang dilakukan anak mereka itu disebabkan kekangan pendidikan yang terhad.

Pada Mei 1991, David Hahn berjaya mendapatkan pangkat tertinggi dalam persatuan pengakap di Amerika Syarikat dan setakat ini hanya 4 peratus orang sahaja yang berjaya memilikinya di seluruh negara.

Bagi mendapatkan pengiktirafan Eagle Scout ini, seseorang itu memerlukan 21 lencana merit atau pingat.

David Hahn telah memperolehi banyak pingat melalui pembentangan Kuasa Atomik yang dilakukan 5 bulan sebelum hari jadinya yang ke-15 dan pada waktu ini, dia sudah mempunyai cita-cita yang lebih besar.

Sanggup melakukan apa sahaja demi minat

David Hahn berazam untuk melakukan sesuatu yang lebih hebat dan bercadang untuk membina sebuah senjata neutron.

Untuk mendapatkan bahan-bahan radioaktif, dia telah memalsukan beberapa cerita dan juga mencipta identiti baharu.

David Hahn menulis surat kepada Suruhanjaya Peraturan Nuklear (NRC), mendakwa dirinya adalah seorang guru fizik di Sekolah Menengah Chippewa Valley.

Pengarah pengeluar dan pengagihan isotop agensi itu, Donald Erb telah memberikan petua kepada David Hahn bagaimana cara untuk mendapat dan mengasingkan unsur-unsur radioaktif.

Malah, Donald Erb juga menjelaskan ciri-ciri sesetengah isotop yang diletupkan dengan neutron boleh menghasilkan reaksi berantai.

Apabila David Hahn bertanya mengenai risikonya, Donald Erb meyakinkannya bahawa ia tidaklah begitu bahaya, kerana beranggapan David Hahn hanya sekadar bertanya dan tidak menyangka bahawa dia akan memilikinya dalam jumlah yang banyak.

Ini kerana kuantiti yang mencukupi untuk menimbulkan bahaya kepada awam adalah tertakluk kepada perlesenan Suruhanjaya Pengawalan Nuklear.

David Hahn kini mengetahui bahawa sejumlah kecil isotop radioaktif americium-241 boleh dijumpai dalam alat pengesan asap.

Dia kemudian menghubungi beberapa syarikat pengeluar pengesan asap dan mendakwa bahawa dia memerlukan alat pengesan asap dalam kuantiti yang banyak bagi menyiapkan satu projek sekolahnya.

Salah satu syarikat telah menjual kepadanya 100 alat pengesan asap yang telah rosak dengan harga USD 1 setiap satu.

Namun, David Hahn tidak tahu di mana terletaknya bahan radioaktif itu di dalam alat pengesan asap yang dibelinya.

Dia kemudian menulis surat kepada sebuah firma elektronik di Illinois, kononnya ingin bertanyakan soalan untuk melengkapkan "laporannya".

Seorang wakil khidmat pelanggan telah membalas surat itu dengan memberikan jawapan yang diperlukan Hahn.

Senjata neutron David Hahn

Atas bantuan itu, David Hahn dapat mengekstrak bahan radioaktif itu. Dia meletakkan americium-241 itu di dalam sebuah blok plumbum berongga dengan lubang kecil yang ditebuk di bahagian tepi supaya sinar alfa dapat keluar.

Di hadapan blok itu David Hahn meletakkan sekeping aluminium yang akan menyebabkan atom menyerap sinar alfa dan menolak neutron keluar. Kini, senjata neutron ciptaan Hahn sudahpun siap.

Dia juga membeli beratus-ratus unit tanglung gas untuk mendapatkan bahan thorium-232 yang terkandung pada karung alat itu.

Sekiranya thorium-232 dibedil dengan neutron, ia akan menghasilkan uranium-233.

Dia kemudian memulakan proses uji kajinya dengan membakar kesemua karung tanglung gas yang dibelinya itu menjadi debu.

Untuk mengasingkan thorium daripada debu, dia membeli bateri lithium bernilai USD1,000 dan memotongnya kepada dua bahagian menggunakan pemotong wayar.

Dia meletakkan lithium dan debu thorium bersama di dalam kertas aluminium dan memanaskannya menggunakan penunu Bunsen.

Dengan cara ini David Hahn telah memperolehi thorium yang 9000 kali ganda lebih daripada yang terkandung dalam alam sekitar.

Jumlah ini melebihi 170 kali ganda daripada jumlah diwajibkan untuk memohon lesen daripada Suruhanjaya Peraturan Nuklear.

Kemudian, David Hahn mula mengunjungi kedai-kedai antik bagi mencari jam lama yang mengandungi radium, kemudian mengumpul bahan radium ini dan menukarnya menjadi bentuk serbuk.

Malah, David Hahn juga meminta salah seorang rakannya mencuri beryllium daripada sebuah makmal kimia untuk kegunaannya.

Membeli uranium daripada Czechoslovakia

Apa yang lebih mengejutkan ialah, David Hahn juga memesan uranium daripada Czechoslovakia, sebaik sahaja kejatuhan kerajaan Kesatuan Soviet.

Dia juga menggunakan beberapa bahan lain seperti pita pelekat untuk menghasilkan reaktornya sendiri dan menakjubkan apabila ianya menjadi.

Uranium

Selepas projeknya siap, David Hahn mendapati tahap radiasi di kawasan itu telah meningkat secara dramatik, termasuk bilik tidurnya.

Dengan menggunakan alat pengukur, David Hahn mendapati radiasi masih boleh dikesan sejauh 5 buah rumah.

Khuatir dengan bahaya yang bakal berlaku, David Hahn mula merungkai semula reaktor nuklear binaannya itu.

Pada pukul 2.40 pagi 31 Ogos 1994, ketika David Hahn sedang mengisi bonet traknya dengan reaktor ciptaannya, seorang jiran telah menyangka seseorang sedang mencuri tayar dan menelefon polis.

Ketika polis datang dan memberkasnya, dia meminta agar polis tidak membuka bonet traknya kerana terdapat reaktor radioaktif.

Polis menyangka ia adalah bom atom buatan dan memanggil Unit Pemusnah Bom.

Pada ketika itu, trak Pontiac milik David Hahn dianggarkan mempunyai kadar radiasi 1000 kali ganda lebih daripada jumlah biasa.

Kejiranan Golf Manor dikejutkan dengan kehadiran berbelas-belas kehadiran pihak berkuasa berpakaian Hazmat di kediaman ibu David Hahn.

Pihak berkuasa persekutuan telah menyita dan membersihkan bangsal di mana David Hahn membina reaktor nuklearnya sendiri.

Walaupun tindakan Hahn itu merisikokan nyawa 40,000 penduduk berhampiran, namun segala tuduhan ke atasnya akhirnya digugurkan.

Suruhanjaya Peraturan Nuklear berkata, bangsal itu bukanlah sebuah fasiliti nuklear yang dikawal selia jadi ia bukan di bawah tanggungjawab mereka.

Pihak polis juga mengatakan ia di luar bidang kuasa mereka namun, David Hahn dilarang pulang ke rumah ibunya selama dua bulan sehinggalah keadaan benar-benar selamat daripada sebarang risiko.

Pengakhiran yang menyedihkan

Dia kemudian menyertai US Navy selama empat tahun dan menyambung perkhidmatan selama tiga tahun lagi di Marine Corps.

Apa yang menyedihkan ialah, David Hahn meninggal dunia pada tahun 2016 ketika berusia 39 tahun, bukan disebabkan oleh radiasi bahan radioaktif tetapi disebabkan mengambil alkohol dalam dos dadah berlebihan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi