Tuesday, June 18, 2019

Dr Amalina Che Bakri Antara 10 Pakar Pelatih Surgikal Terbaik Di UK

Dr Amalina Che Bakri Antara 10 Pakar Pelatih Surgikal Terbaik Di UK

Kebijaksanaan Dr Amalina Che Bakri bukan sesuatu yang perlu dihebahkan, lebih-lebih lagi setelah kejayaannya mencipta sejarah sebagai pelajar pintar yang mencapai keputusan 17A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2004.

Dr Amalina Pakar Surgikal
Dr Amalina.

Bertitik tolak daripada kejayaan itu, namanya tidak pernah lekang daripada bibir rakyat Malaysia yang berbangga dengan kejayaan demi kejayaan yang beliau kecapi.

Dr Amalina sekali lagi menjadi bualan rakyat negara ini selepas memulakan ikhtiar untuk membawa bayi berusia 10 bulan, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin yang menghidapi ‘Germ Cell Tumour’ untuk dirawat di London, United Kingdom.

Hasil usaha anak Malaysia ini juga dapat mengumpulkan barisan pakar perubatan dari dalam dan luar negara untuk sama-sama terlibat bagi menjayakan misi menyelamatkan Ainul.

Kegigihan ini sekali lagi mendapat pujian masyarakat Malaysia hinggakan ramai yang ingin mengenali figura ini dengan lebih dekat.

Siapa sebenarnya doktor wanita berusia 32 tahun yang mengharumkan nama Malaysia di persada dunia ini?

Mari kita sama-sama teliti profil Dr Amalina.

1. Anak tunggal pasangan pengetua sekolah, Sabariah Hassan dan jurutera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Che Bakri Che Mod ini dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan dan dibesarkan di Johor Bahru, Johor.

2. Memperoleh keputusan cemerlang 17A1 dalam SPM pada 2004.

3. Tersenarai antara 10 doktor pakar pelatih surgikal terbaik United Kingdom (UK).

4. Bercita-cita untuk menjadi pakar bedah kanser payudara dan onkoplastik.

5. Pemegang biasiswa Kijang Emas daripada Bank Negara Malaysia untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di UK.

6. Bergelar doktor setelah menamatkan pengajian di University of Edinburgh pada Julai 2013.

7. Kerap berkongsi dan mendidik masyarakat tentang kesedaran kesihatan menerusi beberapa platform media sosial miliknya.

8. Memiliki 511,000 pengikut di Instagram

@dramalinabakri, 322,000 pengikut di Twitter @dramalinabakri dan 16,000 subscriber pula di saluran YouTube Dr. Amalina.

9. Jangan ada yang patah hati ye! Hati Dr Amalina sendiri sudah dimiliki oleh seorang jejaka Inggeris yang dirahsiakan namanya. Tapi anda boleh mengintai akaun Instagram buah hati doktor tersebut yang menggunakan identiti pengguna @_a__87_ .

10. Boleh bertutur dalam slanga British selepas berhijrah selama 14 tahun ke negara itu untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan.

11. Selain hebat dalam bidang akademik, Dr Amalina merupakan seorang yang pandai berfesyen dan seorang peminat filem adiwira Avengers terbitan Marvel Studios.

12. Gemar mengisi masa lapang dengan melancong ke seluruh pelosok dunia dan sehingga kini telah menggembara ke lebih 60 destinasi.

13. Meminati fesyen terkini dan gemar menggayakan pelbagai busana mengikut citarasa terkini, Dr Amalina pernah diberi jolokan Dr Bling Bling. Jadi tidak hairan jika dia sering meluangkan masa di gim bagi menjaga penampilan dirinya.

Pendidikan

2005 - 2007: A-Level di The Cheitenham Ladies' College, England.

2007 - 2013: Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBChB) di Universiti Edinburgh, Scotland.

2009 - 2010: Ijazah Sarjana Muda (BMedSc) Farmakologi di Universiti Edinburgh, Scotland.

2009 - 2010: Program Amgen European Scholars untuk kajian dalam bidang farmakologi di Institut Karolinska, Sweden.

2012 - 2013: Doktor pelatih bagi program Surgikal Onkologi dan Genekologi di Sekolah Perubatan Harvard, Universiti Harvard di Amerika Syarikat.

2013 - 2015: Ijazah Sarjana Falsafah dalam bidang penterjemah perubatan dan terapeutik di Universiti Cambridge.

2017 - kini: Dr Amalina sedang mengikuti pengajian doktor falsafah (PhD) dan berkhidmat sebagai seorang pendaftar pembedahan umum di Penjagaan Kesihatan Kolej Imperial, London selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Penterjemah Perubatan dan Terapeutik di Universiti Cambridge.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Segelas Bubble Tea Mengandungi 20 Sudu Gula, Nak Sangat Kencing Manis Bolehlah Minum Setiap Hari

Segelas Bubble Tea Mengandungi 20 Sudu Gula, Nak Sangat Kencing Manis Bolehlah Minum Setiap Hari

Satu per satu stor minuman Bubble Tea muncul dengan ciptaan minuman baharu yang kelihatan hampir sama, semuanya mempunyai bubble pada dasar botol minuman tetapi hakikatnya, pembeli mudah untuk menentukan perbezaan rasa pada kesemua minuman Bubble Tea.

Bubble Tea Tinggi Gula

Cuma apa yang tak berapa nak menarik adalah apabila Public Health mengeluarkan notis penting berkenaan kesan negatif dalam bentuk infografik, sekiranya kita terlalu obses mengambil minuman Bubble Tea.

Menurut pakar di Public Health, “segelas Brown Boba Milk (500ml) boleh mengandungi 92 gram gula iaitu TIGA KALI GANDA lebih tinggi berbanding kandungan gula di dalam 320 ml tin minuman Coca Cola.”

Bagi secawan minuman Bubble Tea pula, ia dilaporkan mengandungi kandungan gula yang jauh lebih tinggi berbanding Brown Boba Milk iaitu sebanyak 20.5 sudu kecil gula ataupun 102.5 gram gula.

Suka atau tidak, kita semua perlu mengakui bahawa pengambilan apa-apa jenis jenama minuman Bubble Tea langsung bukan pilihan sihat.

Jika diambil sekali-sekala, kemungkinan efeknya tidaklah terlalu ketara pada diet kita, namun jika sudah diambil setiap hari, you do the math.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: remaja

Pendaftaran Persatuan Melayu Murtad, IFC dan Persatuan Melayu Kristian Tidak Pernah Di Luluskan

Pendaftaran Persatuan Melayu Murtad, IFC dan Persatuan Melayu Kristian Tidak Pernah Di Luluskan

Mesej berantai mengenai Pertubuhan Melayu Murtad (IFC) yang kononnya didaftarkan di Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang asyik menjadi viral sejak bertahun-tahun lalu adalah mesej lama dan terbukti tidak sahih.

Murtad di Malaysia

Mesej yang dikitar semula itu sengaja diperbesarkan bagi mencetuskan kebimbangan dalam kalangan umat Islam.

Ada beberapa fakta dalam mesej itu yang kurang tepat sama ada ditokok tambah oleh pengirim asal mengikut kemahuannya atau mungkin individu itu tidak mempunyai fakta lengkap.

Namun, walaupun mesej di sebalik penyebaran itu tidak sahih, peringatan seumpama itu ada relevannya dan perlu diingatkan selalu.

Ia sebagai peringatan kepada umat Islam yang cenderung mengamalkan gaya hidup liberal supaya tidak mudah terpedaya dengan dakyah yang sejak dulu cuba mempengaruhi umat Islam.

Secara jujur, memang orang Melayu yang murtad kini semakin ramai dan tidak menghairankan jika mereka menubuhkan persatuan sedemikian, cuma tidak boleh di daftarkan secara rasmi.

Justeru, umat Islam di negara ini haruslah sentiasa peka dengan gerakan yang cuba menjatuhkan agama Islam, selain usaha memurtadkan kelompok masyarakat beragama Islam.

Sementara itu, Ketua Pengarah ROS, menafikan bahawa pihaknya pernah meluluskan pendaftaran Persatuan Melayu Murtad, IFC dan Persatuan Melayu Kristian.

Berita yang disebarkan secara meluas melalui media sosial yang mendakwa ROS meluluskan pendaftaran ketiga-tiga pertubuhan itu adalah tidak benar sama sekali.

Penyebaran berita ini telah lama dikesan, sejak awal 2007 dan sering disebarkan dari masa ke semasa.

ISU INTERFAITH COMMISSION (IFC) DAN PERTUBUHAN MELAYU MURTAD

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati isu Interfaith Commission (IFC) atau Suruhanjaya Antara Agama, Persatuan Melayu Kristian dan Pertubuhan Melayu Murtad telah kembali viral di media sosial dan entiti-entiti tersebut dikatakan telah berdaftar secara sah.

Malah, Jakim telah mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan isu ini pada 9 Oktober 2014 yang lalu.

Jakim berpandangan isu sebegini boleh menimbulkan kebimbangan dan keresahan masyarakat Islam serta menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Justeru itu, Jakim telah membuat semakan sekali lagi dengan pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkenaan telah mengesahkan bahawa dakwaan yang entiti-entiti tersebut telah berdaftar secara sah di bawah ROS adalah tidak benar sama sekali.

Bagi menangani isu ini, Jakim dan Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memelihara kesucian Islam dan membendung umat Islam daripada terjebak dalam penyebaran berita bohong dan palsu, yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam.

Jakim ingin memberi nasihat kepada umat Islam agar sentiasa berwaspada terhadap isu-isu seperti ini dan dapat memberikan bantuan dengan menyalurkan maklumat kepada Jakim dan Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) sekiranya timbul sebarang keraguan atau kemusykilan terhadap sesuatu isu demi menjaga kesucian Islam dan keharmonian hidup masyarakat di negara ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Demam Campak Punca Kematian Misteri 14 Orang Asli Kuala Koh

Demam Campak Punca Kematian Misteri 14 Orang Asli Kuala Koh

Kementerian Kesihatan dalam sidang media mengesahkan punca kematian orang asli dari suku kaum Bateq di Kuala Koh, Gua Musang berpunca dari penularan jangkitan measles (demam campak), akhirnya menjawab segala persoalan misteri selama ini.

Orang Asli Kuala Koh

Ia menjawab isu penyakit ganjil yang tiba-tiba timbul termasuklah jangkitan kuman di saluran pernafasan akibat perlombongan bijih besi di kawasan terbabit.

Malah, kampung orang asli ini turut menjadi tumpuan pelbagai pihak untuk datang ketika isu ini heboh diperkatakan media.

Masyarakat orang asli dari suku kaum Bateq menjadi tumpuan berikutan berlaku 14 kematian hingga menggemparkan negara.

Air sungai yang didakwa tercemar turut disahkan selamat dan tiada kaitan dengan perlombongan bijih besi di kawasan terbabit, malah kubur-kubur lama digali semula untuk mencari punca kematian.

Berikut merupakan kenyataan akhbar dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

KENYATAAN AKHBAR MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

SITUASI TERKINI KLUSTER JANGKITAN SALURAN PERNAFASAN DI KALANGAN KOMUNITI ORANG ASLI KAMPUNG KUALA KOH, GUA MUSANG, KELANTAN

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan situasi terkini kejadian kluster jangkitan saluran pernafasan di kalangan Orang Asli yang berkaitan dengan Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan yang telah dilaporkan sejak 3 Jun 2019.

Sehingga 15 Jun 2019, sebanyak 112 kes termasuk dua (2) kematian telah dilaporkan kepada KKM. Komuniti Orang Asli ini mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk, selsema dan beberapa kes mengalami gejala mata merah.

Daripada jumlah tersebut, seramai 52 kes masih dirawat di hospital iaitu 48 kes di wad biasa dan empat (4) kes di Unit Rawatan Rapi.

Sebanyak 19 kes dengan gejala ringan berada di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli (RIKA) di Gua Musang dan 39 kes telah dibenarkan pulang.

Seramai 170 dari 185 (92%) penduduk Kampung Kuala Koh telah ditemui dan diperiksa status kesihatan mereka. Sehingga 15 Jun 2019, 37 kes telah disahkan measles melalui ujian makmal.

Keputusan ujian-ujian makmal yang lain seperti tuberkulosis, melioidosis, leptospirosis dan corona virus adalah negatif.

Berdasarkan daripada keputusan makmal tersebut, penyakit yang berlaku dalam kalangan Orang AsliKampung Kuala Koh ini ialah wabak measles (demam campak).

Hidup berpindah randah antara punca suntikan vaksin tidak dapat disempurnakan di kalangan orang asli di Kuala Koh ini.

Faktor penyumbang kepada penularan jangkitan measles dalam komuniti Orang Asli Kampung Kuala Koh ini adalah liputan imunisasi measles yang rendah iaitu hanya 61.5% bagi suntikan dos pertama vaksin Measles-MumpsRubella (MMR) dan 30% bagi suntikan dos kedua.

Pasukan kesihatan sukar untuk memberi perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh kerana cara hidup suku kaum ini yang kerap berpindah randah. Kekurangan zat makanan juga menyumbang kepada risiko jangkitan dan kejadian komplikasi.

Sejumlah 14 kematian telah dilaporkan berlaku, namun hanya dua (2) kes terakhir telah dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

Hasil bedah siasat yang pertama, punca kematian dilaporkan sebagai pneumonia (radang paru-paru).

Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan dibantu oleh Pasukan Perubatan Forensik KKM telah berjaya mengeluarkan kesemua 12 mayat dari Kuala Koh sehingga jam 6.40 petang semalam dan telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kematian.

Measles adalah jangkitan virus measles yang amat mudah merebak. Satu kes measles boleh menularkan jangkitan kepada 12–18 individu lain.

Jangkitan menular melalui titisan cecair pernafasan di udara dan sentuhan langsung dengan cecair pernafasan daripada orang yang dijangkiti.

Measles boleh dicegah dengan imunisasi. Vaksin MMR diberikan sebanyak dua dos kepada bayi berumur 9 bulan dan 12 bulan.

Gejala penyakit measles adalah demam dengan batuk, selesema atau mata merah (konjunktivitis), diikuti dengan ruam selepas beberapa hari.

Komplikasi jangkitan measles berlaku terutama kepada bayi, kanak-kanak, serta individu yang mengalami kekurangan zat makanan dan tahap imuniti yang rendah.

Komplikasi measles termasuk pneumonia, cirit-birit, keradangan otak (encephalitis), otitis media dan kematian.

Kadar kematian kes measles (case fatality rate) lazimnya kurang dari 1%, namun boleh setinggi 3-6% sekiranya mengalami kekurangan zat makanan.

Tindakan pencegahan dan kawalan wabak telah dijalankan dan masih diteruskan, termasuk:

1. Carian kes secara aktif di perkampungan Orang Asli ini dan di perkampungan sekitar berdasarkan pergerakan mereka sebelum ini.

2. Memberi vitamin A kepada semua kanak-kanak bagi kes Measles yang dirawat, bertujuan meningkatkan sistem imuniti memandangkan mereka mengalami masalah kekurangan zat makanan.

3. Menjalankan aktiviti imunisasi kepada semua penduduk Orang Asli di lokasi terlibat.

4. Pendidikan kesihatan kepada penduduk, termasuk sesi kaunseling bagi mengurangkan tekanan dan keresahan.

5. Mempertingkatkan Infection Prevention Control (IPC) di fasiliti kesihatan dan sentiasa mengamalkan penggunaan alat perlindungan diri (Personal Protective Equipment) yang bersesuaian.

KKM turut mengarahkan negeri-negeri lain untuk mempertingkatkan survelan jangkitan measles serta meningkatkan liputan imunisasi di kalangan komuniti Orang Asli di negeri masing-masing.

Pihak negeri hendaklah memaklumkan segera kepada KKM melalui Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan sekiranya terdapat kluster kes dan/atau kematian yang mempunyai gejala yang sama.

Pihak Polis Di Raja Malaysia terus memantau dan mengawal kemasukan orang awam, pertubuhan bukan kerajaan dan lain-lain dari memasuki ke kawasan Kampung Kuala Koh yang terlibat bagi mengelakkan berlaku penularan jangkitan.

Kolaborasi antara pelbagai agensi amat penting untuk memastikan kejadian wabak penyakit seperti ini tidak berulang.

Keadaan persekitaran tempat tinggal yang bersih termasuk bekalan air yang selamat dan sumber bekalan makanan yang mencukupi perlu dipertingkatkan dengan segera.

KKM komited dalam memastikan perkhidmatan kesihatan yang komprehensif kepada Orang Asli di seluruh negara.

Sekian, terima kasih.

YB DATUK SERI DR. DZULKEFLY AHMAD
Menteri Kesihatan Malaysia
17 Jun 2019

BACA INI JUGA:

sumber: remaja

4 Kes Rogol Paling Sadis Di Malaysia

4 Kes Rogol Paling Sadis Di Malaysia

Jenayah rogol diklasifikasikan atas kesalahan jenayah menurut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan hukuman sebat. Mengikut perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 13,272 kes rogol atau 59.7 bagi tempoh tahun 2010 hingga Mei 2018.

Kes Rogol Malaysia

Dalam tempoh yang sama, Johor menjadi negeri paling tinggi mencatatkan kes rogol iaitu 2,089 kes atau 15.73 peratus diikuti Selangor.

Ini merupakan sebahagian kes jenayah rogol beramai-ramai yang amat menakutkan pernah berlaku di Malaysia.

1. Dua gadis dirogol 38 lelaki

Ini mungkin jenayah rogol paling “gila” pernah dilaporkan pada tahun 2014 lalu, melibatkan dua gadis remaja berusia 14 tahun dari Guchil, Kuala Krai dan seorang rakannya berusia 17 tahun dari Ketereh.

Difahamkan, pada malam malang dan penuh kengerian itu, pelajar tingkatan tiga itu dibawa keluar oleh rakan lelakinya lalu dibawa ke sebuah rumah kosong.

Tidak berapa lama berada dalam rumah yang dipercayai tempat penagih melepaskan gian, sekumpulan lelaki, dipercayai seramai 38 lelaki mulai merogol kedua-dua gadis ini tanpa perasaan belas kasihan langsung.

Pengsan dan mengalami kecederaan di bahagian kelamin, mungkin masih naif dengan jenayah yang berlaku padanya, di sebalik tubuh yang kesakitan, mangsa telah pulang ke rumah dan mandi.

Tetapi, kecederaan di tubuhnya membuatkan mangsa kesakitan sebelum dibawa ke hospital dan lebih malang, dalam kejadian ini, dua beranak, antara yang ditahan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara 18-22 tahun kepada kebanyakan suspek yang merogol mangsa ini selepas sabit tuduhan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan.

Sangat menyedihkan kerana ada antara perogol itu remaja lelaki berusia di bawah usia 18 tahun semasa kejadian.

2. Gadis 14 Tahun Dirogol Dalam Tandas Awam

Nasib malang menimpa seorang gadis berusia 14 tahun apabila dia dirogol beramai-ramai dalam sebuah tandas awam taman rekreasi di Taman Setia Tropika, Kempas, Johor Bharu antara jam 12.30 tengah malam hingga 2 pagi.

Sepanjang tempoh perbicaraan sejak Disember 2015, seramai 16 saksi pendakwaan dan pembelaan dipanggil.

Akhirnya, akibat kerakusan nafsu, empat pemuda dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati salah atas pertuduhan merogol gadis bawah umur secara beramai-ramai, tahun 2016 lalu.

3. Gadis 13 Tahun Diculik Dan Dirogol

Seorang gadis berusia 13 tahun menempuh detik hitam apabila diculik dan dirogol empat lelaki di sebuah rumah kosong di Jalan Abdul Raof, ketika pergi ke kedai runcit pada 15 Januari 2017 lalu.

Ketika kejadian, remaja berkenaan dalam perjalanan ke sebuah kedai runcit yang terletak hanya 20 meter dari rumahnya. Kumpulan lelaki itu kemudian meninggalkan mangsa di tempat kejadian.

Mangsa ditemui rakannya tidak memakai selipar dan pakaiannya berlumpur sebelum dibawa balik ke rumah kakaknya.

Mangsa pengsan sebaik sahaja tiba di rumah dan keluarganya membawa mangsa ke Hospital Parit Buntar.

Selepas sedar, remaja itu menceritakan telah dikejar empat lelaki ketika menuju ke sebuah kedai runcit pada kira-kira jam 7.50 malam, hari kejadian.

Mangsa mendakwa diculik dan dibawa ke sebuah rumah kosong berhampiran premis cuci kereta dan dirogol kumpulan lelaki terbabit.

Polis menerima laporan daripada kakak mangsa kira-kira jam 8 malam dan siasatan polis di tempat kejadian menemui sekeping papan mempunyai kesan darah dan ia dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan.

4. Janda Anak Tiga Mangsa Rogol Beramai-ramai

Polis menahan tujuh pemuda yang dipercayai terlibat dalam kes rogol beramai-ramai seorang janda beranak tiga di sebuah rumah kosong di Lambor Kanan, Parit.

Pihak polis telah menahan 7 lelaki berusia antara 21 hingga 26 tahun dalam kejadian ini dan mangsa mengakui telah dirogol beramai-ramai dalam sebuah rumah kosong kira-kira jam 11 malam.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan mengikut teman lelakinya berusia 20-an keluar bersiar-siar menaiki sebuah kereta sebelum ditahan oleh seorang daripada suspek di tepi jalan di Lambor Kanan.

Ketika ditahan, suspek memaksa mangsa mengikutnya ke sebuah rumah kosong dengan enam lagi rakannya sedang menunggu di situ manakala teman lelakinya tidak dapat berbuat apa-apa kerana diugut oleh kumpulan lelaki berkenaan.

Suspek kemudian merogol mangsa secara bergilir-gilir sebelum meninggalkannya.

Selepas kejadian itu, wanita malang terbabit membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan ketujuh-tujuh suspek, manakala siasatan polis mendapati teman lelakinya tidak terlibat dalam kejadian tersebut.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: remaja

Monday, June 17, 2019

Kenapa Pahala Membaca Surah Al-Ikhlas Bersamaan Sepertiga Al-Quran?

Kenapa Pahala Membaca Surah Al-Ikhlas Bersamaan Sepertiga Al-Quran?

Surah al-Ikhlas. Antara surah terpendek yang hanya mengandungi 4 ayat namun, manfaat dan pahalanya disisi Allah SWT sangatlah tinggi kerana nilai pahala jika membaca surah ini adalah bersamaan dengan anda membaca Al-Quran dan isinya.

Pahala membaca Surah Al-Ikhlas

Adakah kenyataan ini benar dan mengapa sebegitu besar nilainya?

Sabda Nabi Muhammad mengenai surah Al-Ikhlas:

1. Pada satu malam, seorang sahabat telah mendengar temannya yang sedang membaca surah al-ikhlas dan diulangnya berkali-kali.

Sahabat tersebut memberitahu kepada Rasulullah SAW pada keesokan harinya, dengan niat merendah-rendahkan amalan temannya itu.

Lalu Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Demi dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, surat al-Ikhlas itu senilai sepertiga al-Quran.” (HR. Bukhari 5013 dan Ahmad 11612).

2. Dari Abu Darda’ RA, Rasulullah SAW pernah bertanya kepada para sahabat, “Sanggupkah kalian membaca sepertiga al-Quran dalam semalam?” Lalu para sahabat bertanya, "Bagaimana caranya kita membaca 1/3 al-Quran?"

Lalu Nabi SAW menjelaskan, “Qul huwallahu ahad senilai sepertiga al-Quran.” (HR. Muslim 1922)

Mengapa bernilai sepertiga Al-Quran?

Di dalam Al-Quran secara keseluruhannya terdapat 3 pembahasan utama iaitu:
  1. Hukum (perintah, larangan, halal dan haram).
  2. Janji dan ancaman (berkenaan syurga dan neraka, pembalasan dan kesengsaraan).
  3. Penceritaan mengenai Allah (Nama dan sifat Allah).

Jadi, jika dilihat kepada makna surah al-ikhlas, ia membahaskan masalah tauhid iaitu menceritakan mengenai siapakah Allah SWT.

Disebabkan ia merangkumi satu daripada 3 pembahasan utama Al-Quran, maka nilainya adalah sepertiga Al-Quran.

Ianya disokong oleh keterangan al-Hafidz Ibnu Hajar. Menurut beliau, "Bernilai sepertiga Al-Quran" seperti dalam sabda Rasulullah SAW itu difahami oleh sebahagian ulama akan makna zahirnya.

Ulama-ulama tersebut menerangkan bahawa surah ini bernilai sebegitu kerana dipandang dari sudut kandungan makna Al-Quran.

Oleh kerana isi al-Quran itu adalah hukum, berita dan tauhid dan surah al-ikhlas membentangkan penceritaan tauhid, berdasarkan tinjauan ini, ia bernilai sepertiga Al-Quran. (Fathul Bari, 9/61)

Surah al-Ikhlas sama nilai pahala dan bukan sama nilai amal Al-Quran

Perlu diingat, walaupun membaca 3 kali surah ini pahalanya bersamaan seperti membaca keseluruhan Al-Quran itu sendiri, namun ia hanya senilai dengan PAHALA, dan bukan sama nilai AMAL.

Harus kita membezakan antara al-Jaza' dengan al-ijza'.

Definisi:
  • Al-jaza': sama nilai dalam pahala yang dijanjikan.
  • Al-ijza': sama nilai dalam amal yang digantikan.

Dalam hal ini, ia memenuhi definisi al-jaza'. Jadi, jika anda membaca 3 kali surah al-ikhlas yang membawa pahala seperti membaca Al-Quran, ia hanya bersamaan nilai pahala dan bukan nilai amal.

Untuk memudahkan pemahaman, kita lihat pada contoh ini:

Jika anda bernazar untuk membaca satu Al-Quran jika hajat anda tercapai, maka anda tidak boleh menggantikan nazar anda ini dengan hanya membaca 3 kali surah al-ikhlas walaupun pahalanya adalah sama.

Membaca 3 kali surah al-ikhlas walaupun pahalanya sama tetapi belum dianggap seperti membaca keseluruhan Al-Quran.

Jadi, inilah beza antara senilai pahala dan senilai amal.

Syaikhul Islam berkata:

"Jika seseorang membaca surat al-Ikhlas, dia mendapat pahala senilai pahala sepertiga al-Quran, namun bukan bererti pahala yang dia dapatkan sepadan dengan bentuk pahala untuk ayat-ayat Quran yang lainnya. Bahkan boleh jadi dia perlu bentuk pahala dari memahami perintah, larangan dan kisah al-Quran. Sehingga surah al-Ikhlas tidak akan menggantikan semua itu." (Majmu’ al-Fatawa, 17/138)

Satu lagi contoh, jika anda solat di Masjidil Haram, pahalanya adalah 100,000 kali ganda solat di tempat lain.

Ini tidak bermakna bahawa anda tidak perlu lagi solat 100,000 kali waktu kerana ia hanya bermaksud pahala yang anda dapat ketika solat di Masjidil Haram adalah 100,000 kali ganda.

Manakala al-ijza' pula adalah seperti, jika anda bermusafir dan tidak berkesempatan untuk menunaikan solat jumaat, maka anda dibolehkan untuk menggantikan dengan solat Zuhur.

Atau jika tidak mempunyai air untuk berwudhu, maka anda boleh bertayammum.

Bermakna, amalan anda bersamaan dengan nilai amalan yang digantikan.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

SBDJ Siri 72: Di Telan Pasir

SBDJ Siri 72: Di Telan Pasir

Datuk bangun dan duduk mencangkung. Dia memeluk kedua belah lututnya. Datuk melihat bajunya yang berlubang-lubang. Datuk gelengkan kepala beberapa kali. Dia terus bangun melakukan senaman dalam panas. Bila seluruh tenaganya sudah pulih, dia merapati saya.

Toyol jadi-jadian

Datuk meraba tempat yang kena tendang di tubuh saya. Dia mengurut dan menyentuh tiap sendi urat.

Sekejap sahaja badan saya sudah berpeluh dan bertenaga kembali. Saya bangun dan boleh bergerak seperti sediakala.

Datuk merawat Saadun pula sehingga pulih. Saadun segera mendekati saya. Muka saya direnungnya dengan seribu tanda tanya. Semuanya terjadi bagaikan mimpi dan tidak diduga sama sekali.

“Ke mana mereka lari?”, Datuk menujukan pertanyaan pada saya dan Saadun. Serentak kami gelengkan kepala. Datuk termenung panjang. Dia mencari arah angin datang. Bila sudah diketahui arah angin datang, Datuk menghalakan telinganya ke arah itu.

“Mereka menuju ke sungai,” bisik Datuk.

“Kita buru tuk.”

“Tak payah. Aku tahu dan yakin mereka tidak meninggalkan tempat ini sebelum matahari terbenam. Mereka menyorokkan diri," kata Datuk sambil menggeliat. Dia terus berjalan berpusing-pusing di seluruh pondok. Sampai di sudut pondok sebelah kanan, Datuk terhenti. Berdiri di situ membilang jari kaki.

“Selagi belum berkalih hari, kita tak akan jumpa mereka. Lepas Asar kalau kita mencarinya, dengan izin Allah kita berjumpa,” beritahu Datuk pada saya dan Saadun.

Datuk melihat gerakan awan di langit, dan juga melihat dedaun pisang yang melintuk-liuk diterkam angin. Dia menggeliat lagi.

Dua tiga tahun yang lalu bila Datuk berhadapan dengan perkara yang terpaksa mengeluarkan tenaga Datuk tidak mudah letih atau penat tetapi, keadaan itu berbeza sejak akhir-akhir akhir ini.

Mungkin disebabkan usianya sudah bertambah tua atau boleh jadi juga Datuk menghidap penyakit yang memang dirahsiakan dari pengetahuan saya dan keluarganya yang lain. Walau apa pun sejak kematian Haji Salim, Datuk lebih banyak termenung macam memikirkan sesuatu.

Perkara begini kadang-kadang menimbulkan kebimbangan dalam diri saya. Mahu rasanya saya bertanya tetapi bimbang takut dimarahinya, perkara itu saya pendamkan walaupun hati saya parah menahan perasaan. Kalau boleh saya tidak mahu Datuk mati cepat, biarlah dia mati bila saya sudah berusia lebih dari empat puluh tahun.

Saya harus menerima banyak pengalaman darinya untuk jadi bahan renungan atau jadi bahan cerita pada anak-anak cucu saya atau pada kawan-kawan yang sebaya dengan saya pada suatu masa kelak. Terlalu banyak yang saya fikirkan tentang diri Datuk.

Datuk duduk atas tanah dengan kedua belah lututnya ditegakkan. Dia menarik nafas dengan tenang. Datuk mengambil ranting kayu dan terus menikam-nikam rumput dengan hujung ranting kayu. Rambut hitamnya yang sudah lebih separuh dikuasai warna putih bergerak-geräk ditolak angin. Dua tiga kali Datuk terbatuk.

“Saadun mari ke sini.”

Saadun terus menghampirinya. Berdiri di depan Datuk sambil melipat baju kemeja lengan panjang. Usia Saadun sekitar tiga puluh lima tahun. Sudah mendirikan rumah tangga tapi bercerai setelah mendapat seorang anak lelaki. Anak itu dipelihara oleh isterinya yang tinggal di Teluk Kepayang, dekat Bota.

Saya menganggap Saadun sebagai manusia yang istimewa, sejak saya mengenalinya kerana dia tidak pernah memakai kasut. Dia mengunjungi kota-kota besar seperti Kuala Lumpur, Seremban, Ipoh, Pulau Pinang dengan kaki ayam. Aneh juga melihatnya memakai kemeja lengan panjang, seluar panjang yang menarik dengan belahan rambut yang rapi tetapi tidak memakai kasut.

Kerana keistimewaan itulah, di mana Saadun berada, dia tetap jadi perhatian orang ramai. Saadun tidak ambil peduli, dia seolah-olah menyifatkan orang yang melihatnya sebagai orang yang tidak tahu menghargai kebebasan orang lain.

“Apa yang diajar oleh orang itu pada kamu Saadun?”, soal Datuk.

“Dia beritahu saya, agama Islam yang kita amalkan ni semuanya salah. Dia mahu membetulkan kesilapan yang telah kita lakukan.”

“Laknat betul orang tu.”

“Ayah Uda jangan kata begitu, katanya, kita semua tidak perlu ke Mekah, tak perlu puasa dan sembahyang.”

“Lagi apa katanya pada kamu?”

“Segala Mufti, Kadi, Tuk Imam dan Pak Haji serta Pak Lebai yang sembahyang dan taat dengan perintah Allah tu sebenarnya berpura-pura.”

“Sudahlah Saadun, aku kenal siapa dia.”

Datuk segera bangun. Dia renung ke arah barat daya sambil menghela nafas dalam-dalam. Tanpa mengucapkan sesuatu, Datuk terus melangkah. Saya dan Saadun terus mengikutinya. Sampai separuh jalan Saadun berpatah balik menuju rumahnya. Datuk tidak melarang Saadun bertindak demikian.

“Biarkan dia Tamar” kata Datuk. Saya tidak menjawab dan meneruskan perjalanan. Kami sampai di rumah Mehran. Datuk terus mandi limau di perigi. Bajunya yang berlubang-lubang itu terus dibakar. Datuk juga mengumpul tujuh jenis bunga, tujuh jenis daun serta tujuh ruas buluh lemang.

Semua bahan-bahan itu Datuk satukan dalam guni. Dijemur dalam sinar matahari yang terik kira-kira satu jam lebih. Setelah itu bahan-bahan tersebut Datuk bakar hingga menjadi abu.

Angin yang bertiup kencang menerbangkan abu itu ke arah selatan. Datuk memperhatikan gerakan debu itu pergi hingga hilang dari penglihatannya.

Sambil memandang abu yang digerakkan oleh angin, bibir Datuk terus bergerak, macam membaca sesuatu. Apa yang dibacanya saya sendiri pun tidak tahu.

Datuk mandi lagi. Sudah dua kali Datuk mandi. Kali ini dia lebih lama berada di telaga. Tiap inci kulit tubuhnya disamak dengan lumpur. Bila semuanya sudah selesai, dia terus masuk ke bilik meneruskan kebiasaannya membaca Quran hingga sampai waktu Zuhur.

Selesai sahaja menunaikan fardu Zuhur, kami terus duduk di ruang anjung rumah. Mehran datang menemui kami. Mehran mengeluarkan sesuatu dari kotak kecil yang dibawanya.

“Bahagian kamu Mat Diah,” Mehran menghulurkan sampul surat tebal yang berisi wang. Saya agak jumlah wang itu cukup besar, tidak kurang daripada lima ratus ringgit.

“Apa ni Mehran?”

“Musim durian dan langsat tahun ni baik, lebih dari lima ribu diperoleh, mengikut pesan arwah moyang dulu, pendapatan itu harus dibahagikan sama rata dengan anak cucunya. Inilah bahagian kamu lapan ratus ringgit,” tokok Mehran.

Datuk merenung sampul surat itu sebentar. Dia renung muka saya. Berdebar hati saya menanti perintah darinya untuk mengambil wang tersebut. Perintah yang dinanti tidak juga keluar dari mulut Datuk.

“Aku datang bukan nak menagih bahagian, aku nak jumpa kaum kerabat. Sedekahkan bahagian aku ni untuk membaiki masjid kampung ni,” kata Datuk lalu menolak sampul surat pada Mehran kembali. Saya menarik nafas kecewa yang berpanjangan.

Saya tahu moyang pada Datuk dulu meninggalkan harta yang banyak. Semua harta itu sudah pun dibahagi-bahagikan pada anak-anak, kecuali sekeping tanah yang seluas tujuh ekar dekat Sungai Sadang.

Tanah itu ditanam dengan pokok durian dari jenis yang baik serta langsat. Tanah itu diwakafkan pada anak cucunya. Orang yang diamanatkan untuk mengendalikan dan membahagikan pendapatan dari tanah itu ialah Mehran.

Wasiat itu dibuat atas kertas di depan penghulu, kerana itu anak-anaknya tidak berani menuntut tanah seluas lima ekar.

“Tujuan moyang kamu membuat wasiat dulu, bukan apa-apa Mat Diah, dia mahu kalau anak cucunya ada yang susah bolehlah duduk di situ,” kata Mehran lagi.

“Aku tahu, kebanyakan anak cucunya hidup senang, apalah salahnya kalau kita bermuafakat segala pendapatan dan tanah tersebut kita sedekahkan pada fakir miskin, membina surau dan masjid,” balas Datuk.

“Aku faham maksud kamu Mat Diah.”

“Mulai hari ni, bahagian saya serahkan pada masjid, dengan izin Allah saya sekarang pun tak susah, rezeki saya ada.”

“Aku tahu, kau memang tak susah tanah kamu banyak untuk makan pakai kain dengan bini dan si Tamar ni, sampai seratus tahun lagi boleh cukup.”

“Sudahlah itu, mulai hari ni, bila saya datang jangan fikirkan saya nak menuntut bahagian saya.”

“Kami tak pernah memikirkan macam tu, mari kita makan.”

Kami terus makan. Saya tahu, setiap kali Datuk menginap di rumah Mehran dia selalu membeli beras, gula, kopi dan ikan bergantung selama mana dia tinggal di rumah tersebut.

Bila Mehran menolak pemberian Datuk itu, membuat Datuk hanya mampu bertahan sehari dua sahaja di rumah Mehran. Kata Datuk datang ke rumah kaum keluarga sampai berminggu-minggu, tidak baik menyusahkan mereka. Paling lama tiga hari. Dan kata-kata Datuk itu saya jadikan panduan hidup saya untuk masa akan datang.

Lepas sembahyang Asar, Datuk mengajak saya ke Sungai Perak. Saya tahu tujuan Datuk itu, ia mahu mengesan tempat persembunyian Daud dan Kamal. Kami sampai di tepi tebing Sungai Perak. Berteduh di bawah pokok kekabu yang sedang berbuah. Datuk merenung ke pulau kecil di perut Sungai Perak.

Pulau itu ditumbuhi dengan pokok-pokok kecil. Di bahagian hujung pulau itu terdapat pasir yang memutih. Beberapa ekor burung kedidi berjalan di pinggir pasir sambil mengembangkan kepak. Saya tidak tertarik dengan pulau kecil itu.

Saya lebih senang melihat bangunan tua di pekan Parit yang tertegun tidak jauh dan tebing Sungai Perak di seberang. Air Sungai Perak nampak bermanik-manik diserlah oleh sinar matahari.

Dari bawah tebing kami terdengar suara orang bercakap-cakap. Datuk menggaru kepala dan menarik tangan saya menuruni tebing yang agak curam. Dua tiga kali saya terjatuh kerana terlanggar akar yang berselirat, beberapa bahagian tebing yang berpasir itu berlubang-lubang.

Datuk beritahu saya lubang itu dibuat oleh beberapa penduduk tertentu di situ. Mereka mencari pasir yang halus dan bersih. Pasir itu digunakan untuk menggosok gigi, hasilnya gigi mereka kelihatan putih dan bersih. Cara itu pernah saya lakukan hasilnya memang baik. Gigi saya putih berkilat dan tidak pernah diserang sakit gigi.

Bila saya kenal dengan ubat gigi moden, cara itu saya tinggalkan. Saya rasa itu sudah ketinggalan zaman. Jika digunakan pasti diketawakan oleh kawan-kawan.

Bila kami sampai di gigi air, saya lihat Saadun sedang menggalah sampan. Di depannya ada dua orang lelaki menutup kepalanya.

“Saadun di mana nak kamu bawa manusia laknat tu?”, pekik Datuk. Saadun tidak menjawab. Dia makin kuat menggalah sampan membelah arus. Kedua orang yang duduk di depannya menggunakan tangan untuk menggalah sampan.

“Saadun, jangan tolong mereka,” jerit Datuk. Saadun terus galah sampan. Saya lihat sampan itu terus meluncur dengan lajunya. Datuk merenung ke arah sampan yang kosong dekatnya. Rantai sampan itu dipasang kunci.

“Itu sampan laki Hajah Fatimah,” kata Datuk, Ia turun membongkok lalu memegang rantai sampan. Rantai sampan itu terputus. Datuk cabut galah sampan.

“Naik” kata Datuk. Saya pun melompat atas perut sampan. Haluan sampan Datuk betulkan. Dia terus galah sampan memburu sampan Saadun yang jaraknya kira-kira 30 kaki. Bila melihat Datuk galah sampan, Saadun melipatkan tenaganya. Sesekali dia menoleh ke arah Datuk dengan rasa cemas yang amat sangat.

“Saadun jangan tolong orang jahat,” suara Datuk cukup keras. Saadun tidak merenung ke arah Datuk. Dia menganggap larangan Datuk itu tidak memberikan sebarang kesan.

“Budak sial tu,” rungut Datuk. Dia terus menikam galah sampai ke air. Kali ini saya rasa sampan itu meluncur cukup laju.

Dalam beberapa minit sahaja, sampan kami sudah menghampiri sampan Saadun. Datuk cuba memintas, usaha Datuk itu tidak berjaya. Kali ini Datuk cuba menghimpit sampan Saadun supaya menuju ke pulau. Usaha Datuk kali ini berjaya. Saadun tidak ada cara lain untuk mengelak, sampannya melanggar tebing pulau.

Salah seorang lelaki yang duduk di depan Saadun terus berdiri. Saadun undurkan sampannya, kali ini menuju ke arah pasir yang timbul di hujung pulau.

“Jangan Daud, jangan,” Kamal menjerit. Jeritan itu tidak dihiraukan oleh Daud. Ia terus melompat atas pasir. Satu jeritan yang amat kuat menguasai perut sungai. Saya lihat Daud terkapai-kapai, separuh dan badannya sudah pun ditelan oleh pasir hujung pulau.

“Tolong aku mahaguru tolong,” rayu Daud tangannya terkapai-kapai, pasir sudah pun menguasai kedua belah bahunya. Kamal tidak melakukan sesuatu untuk menyelamatkan Daud. Pasir sudah sampai ke paras hidung Daud.

“Aku tak boleh menolong kamu, kamu melanggar sumpah,” suara Kamal cukup keras. Dia membuka tudung kepalanya. Daud terus ghaib ditelan pasir. Di tempat Daud tenggelam itu, saya lihat pasir membuak-buak bersama kepulan asap yang tebal.

Saya lihat Datuk terdiam. Masa tu juga Saadun berjaya mengalihkan haluan perahunya. Berjaya meninggalkan pulau kecil, Datuk mengalihkan sampannya ke tempat Daud tenggelam. Pasir putih terus bertukar jadi hitam macam arang.

“Mana dia Saadun?”

“Itu.”

"Tak apa kita buru dia,”

“Tapi, dia dah jauh tuk.”

“Tak apa,” Datuk menjawab pendek. Dia terus menepuk air sungai. Sampannya bergerak sendiri terus melintasi pulau kecil, memburu sampan Saadun. Tiba-tiba saya lihat Kamal menarik sesuatu dari pinggangnya.

Datuk terjun ke dalam sungai. Hilang tidak dapat diduga ke mana Datuk pergi. Saya terkejut, bila melihat Datuk berdiri di tebing menanti kedatangan Saadun dan Kamal. Saya terpaksa mengalah sampan sendiri.

Kamal jadi tak tentu arah, bila melihat Datuk menantikan kedatangannya di tebing. Dia menahan Saadun dari mengalah sampan. Muka Saadun direnungnya.

“Kerana kamu ada hubungan keluarga dengan seteru aku, kamu tak boleh diharap,” seru Kamal jelas dapat didengar. Dia meletakkan tangan kanannya atas bahu kiri Saadun.

Saadun melolong minta tolong. Saadun rebah atas sampan. Darah membuak-buak keluar mulutnya. Kamal menendang Saadun ke dalam sungai. Saadun terus tenggelam. Kamal membuka bajunya dan terus melompat dari atas sampan. Dia bagaikan terbang menuju ke tebing sungai. Kamal memang bijak dan sudah merancang dengan teliti apa yang mahu dilakukan.

Sepasang kakinya mencecah tebing sungai di belakang bangunan enjin pembekal air (bangunan itu kini sudah tidak digunakan lagi). Datuk tidak dapat berbuat apa-apa. Dalam jangkaan Datuk dia pasti mendapat mendarat di tempat yang ditunggu oleh Datuk.

Datuk berlari ke arah bangunan tersebut, mencari Kamal. Usaha Datuk itu sia-sia belaka. Dia cuma bertemu dengan seekor kucing hitam. Bila Datuk mahu menangkapnya, kucing hitam terus mencakar tangan Datuk dan terus lari tidak dapat dikesan. Datuk menanggung kecewa yang amat sangat.

Setelah badan berpeluh dan urat-urat di pinggang bagaikan terasa mahu putus menggalah sampan, saya berjaya juga sampai ke tebing. Saya lihat sampan milik Saadun terus dihanyutkan oleh arus ke hilir. Saya terasa hiba dan hampir mahu menitiskan air mata. Saya kehilangan seorang keluarga yang sukar dicari ganti.

Saya tambatkan perahu ke akar pokok sena. Datuk terus mengajak saya ke Balai Polis Parit membuat aduan apa yang terjadi pada sarjan polis berbangsa Pakistan yang memakai nombor 1000.

“Mayat cucu saudara awak mesti dicari,” kata Sarjan 1000 pada Datuk. Saya garu telinga, bukan senang mencari mayat dalam sungai. Mesti mencari penyelam yang cukup handal. “Kita terpaksa cari pawang selam,” sambung Sarjan 1000.

“Saya tahu.”

“Awak boleh buat kerja tu?”

“Saya cuba kalau diizinkan Allah saya berjaya,” suara Datuk lemah. Sarjan 1000 memanggil dua anggota polis untuk mengikut Datuk. Anggota polis yang berkulit cerah namanya Mohd Hatta orang Kelantan, yang berkulit agak gelap bernama Tajuddin orang Rembau, Negeri Sembilan.

“Ikut saya ada kes bunuh,” kata Sarjan 1000 pada kedua anggota polis itu. Kami pun meninggalkan Balai Polis Parit menuju ke tebing tempat saya mengikat sampan tadi.

Sebelum ke situ Datuk minta jasa baik Sarjan 1000 memberitahu perkara itu pada saudara maranya di Belanja Kiri. Seorang anggota polis telah diarahkan ke kampung tersebut.

Tidak sampai dua jam berita itu tersebar dengan cepat ke Daerah Parit. Tebing sungai mula dikerumuni orang. Hal itu menyusahkan hati Datuk.

“Saya tidak boleh buat kerja sekarang", bisik Datuk pada Sarjan 1000. Dua orang anggota polis yang ada di situ terkejut dengan kata-kata Datuk itu.

“Apa fasal?”

“Saya tak mahu orang tahu apa yang ada pada saya, bila orang tidak ada, baru saya boleh buat kerja itu.”

“Itu senang, kita larang dan adakan sekatan supaya orang jangan datang ke sini.”

“Begini saja sarjan. Sejam lagi saya buat, sebelum itu kita suruh orang yang ada di sini balik, kecuali saudara mara saya.”

“Ya, saya ikut cakap awak.”

“Terima kasih.”

Kawasan tebing itu terus dikawal oleh anggota polis. Tidak ada seorang pun yang dibenarkan datang.

Datuk merasa tenang. Sarjan 1000 banyak bertolak ansur dan mahu menerima pendapat dan pandangannya. Datuk menghampiri Sarjan 1000. Mereka berbisik sesuatu.

“Ikut aku, Tamar,” kata Datuk pada saya. Kami bertiga (saya, Datuk dan Sarjan 1000) meninggalkan tempat tersebut menuju ke Balai Polis.

Saya merasa tidak begitu selesa duduk di Balai Polis. Saya minta izin dari Datuk untuk pergi ke padang sekolah Cina yang terletak di sebelah Balai Polis.

Permintaan saya itu diizinkan oleh Datuk. Saya terus pergi ke tempat tersebut. Dari situ saya merayap lagi mendaki sebuah bukit kecil yang letaknya tidak jauh dari sekolah Cina.

Di puncak bukit kecil itu terdapat sebuah rumah yang agak besar bercat putih. Saya tidak tahu rumah itu kepunyaan siapa.

Setelah puas menikmati pandangan dari puncak bukit, saya segera kembali ke Balai Polis, Datuk terus merungut kerana saya terlalu lama merayap di luar. Saya diam membatu hingga rungutnya berakhir.

Di bawah sinar matahari petang yang kian condong. Datuk terus bertinggung di tepi merenung gelombang kecil di permukaan sungai. Saya masih berdiri tidak jauh dari Datuk.

Dua orang anggota polis yang bertugas di situ menasihatkan orang ramai, jangan menghampiri kawasan tebing. Kali ini, Sarjan 1000 tidak datang kerana ada urusan di balai. Walaupun sinar matahari tidak terik tetapi, dahi dan badan saya tetap berpeluh.

“Tamar, ke mari.”

Saya segera berlari menghampiri Datuk. Perlahan-lahan Datuk bangun lalu memegang bahu kiri saya. Renungannya begitu tajam menyorot wajah saya.

“Aku nak mulakan sekarang, kau tunggu aku di sini. Mesti bertinggung macam aku dan apa yang kamu nampak di air jangan ditegur,” Datuk mengeluarkan arahan. Tentu sahaja arahan itu saya patuhi.

Datuk terus menuruni tebing sungai yang agak curam itu. Dengan tenang Datuk meredah air sungai. Semua gerak-geri Datuk saya perhatikan dengan teliti. Air sungai terus menelan tubuh Datuk separuh dada.

Tiba-tiba Datuk terus menyelam. Ketika itu juga orang ramai tidak lagi mahu mematuhi arahan dari dua orang anggota polis tersebut. Dalam beberapa saat saja tebing sungai dipenuhi dengan orang ramai. Masing-masing tumpukan perhatian pada air Sungai Perak yang mengalir lembut.

“Dah dekat 45 minit menyelam belum juga timbul-timbul hebat betul orang tua itu,” seorang anak muda yang berdiri dekat saya bersuara. Saya terus membatu sambil berdoa supaya Allah menyelamatkan Datuk dari sebarang bencana.

Hati saya mendadak jadi marah dan mengutuk orang ramai yang berdiri di tebing sungai. Mulut mereka terlalu celopar, bercakap ikut sedap mulut. Dua orang anggota polis terus mengawasi gerak-geri orang ramai supaya jangan ada di antara mereka turun ke gigi air.

Orang ramai bersorak sambil bertepuk tangan bila mereka lihat Datuk timbul di permukaan sungai. Datuk terus rapat ke gigi air dan memanjat tebing. Datuk berdiri dekat saya dan orang ramai terus mengerumuninya.

Beberapa orang dari mereka cuba memeluk Datuk dengan tujuan supaya air yang lekat di tubuh Datuk meresap ke pakaian mereka. Perbuatan itu segera ditegah oleh kedua orang anggota polis.

Larangan itu tidak diperendahkan. Mereka terus berusaha untuk memeluk tubuh Datuk. Saya lihat Datuk cuba mengelak sambil meminta orang-orang yang cuba mahu memeluknya supaya jangan mendekatinya.

“Kenapa saya dibuat macam ini?” Tanya Datuk sambil merenung muka orang yang terlibat. Aneh, Datuk tidak memperlihatkan kemarahannya, tetap ramah dan tenang. Senyum terus bermain di bibirnya.

“Kami mahu mendapat rahmat dari awak,” jawab seorang.

“Rahmat? Rahmat apa?” Datuk terkejut.

“Kata orang, kalau kita memeluk tubuh orang yang menyelam lama hingga air di tubuhnya meresap ke kulit tubuh, kita tidak akan mati lemas dan ditangkap buaya.”

“Kamu tahu? Ajal dan rezeki manusia ditentukan Allah,” suara Datuk meninggi. Orang yang ditanya terdiam dan anggukkan kepala.

“Kalau kamu sudah tahu, kenapa kamu nak buat kerja mengarut ni? Pergi balik,” ujar Datuk.

“Tapi...”

“Tapi apa? Apa kamu mahu?”

“Awak bomoh besar dan pawang besar.”

“Saya bukan pawang, saya bukan bomoh. Eh, kenapa singkat benar kamu berfikir? Apa kamu fikir pawang dan bomoh tu ada kuasa, boleh menentukan hidup seseorang? Sedangkan dirinya pun dijadikan oleh Allah.”

“Saya...”

“Sudah,” pekik Datuk. Orang itu terus meninggalkan Datuk. Dan orang ramai berbisik sama sendiri. Ada di antara mereka yang menjuihkan bibir. Mereka mengejek diri Datuk.

Orang ramai mula beransur-ansur meninggalkan kawasan tebing sungai. Datuk terus mendekati kedua orang anggota polis.

“Saya nak cari lepas waktu Isyak,” beritahu Datuk pada anggota polis. Mereka berpandangan sama sendiri. Saya terus meraba-raba pangkal dagu. Datuk sudah pun menukarkan pakaiannya yang basah dengan pakaian yang kering.

“Tak apalah, kalau itu yang awak mahu tapi, kami terpaksa melaporkan pada sarjan dengan apa yang awak buat tadi. Kami agak, Sarjan 1000 sudah menghubungi ketua polis di Ipoh, minta bantuan dari penyelam Tentera Laut,” kata Mohd Hatta (anggota polis) pada Datuk. Saya lihat Datuk anggukkan kepala.

Tanpa membuang masa kami pun meninggalkan kawasan tebing sungai menuju ke Balai Polis. Sarjan 1000 menyambut Datuk dengan wajah yang tenang. Datuk terus menceritakan pada sarjan tentang rancangan yang telah diatur, Sarjan 1000 anggukkan kepala.

Datuk diajak oleh Tajuddin (anggota polis) ke rumahnya. Ajakan itu Datuk penuhi. Saya dan Datuk dijamu dengan goreng pisang dan kopi panas. Banyak juga perkara dan petua yang ditanyakan oleh Tajuddin pada Datuk. Saya lihat Datuk tidak keberatan memberitahu pada Tajuddin.

Saya kira Tajuddin merupakan keluarga yang bahagia. Isterinya peramah dan terlalu hormat pada tetamu. Mereka mempunyai tiga orang anak. Dua perempuan dan seorang lelaki. Kedua-dua orang anak perempuannya tinggal bersama ibunya di Rembau. Cuma anak lelakinya sahaja yang duduk dengan mereka. Anak lelakinya itu belajar di darjah enam Sekolah Melayu Parit(sekarang disebut Sekolah Kebangsaan).

Malam itu, setelah selesai sembahyang Maghrib dan Isyak di masjid, saya dan Datuk kembali ke rumah Tajuddin. Sampai sahaja di rumahnya hidangan makan malam sudah tersedia.

Tajuddin dan isterinya merasa terkilan kerana Datuk makan terlalu sedikit tetapi, mereka memuji diri saya kerana makan penuh nafsu. Malu juga rasanya, bila nama saya disebut-sebut sebagai orang yang suka makan banyak.

Walau apa pun rasa malu itu segera hilang bila saya memikirkan makan banyak dapat memberi kegembiraan pada tuan rumah yang secara tidak langsung memberikan penghormatan kepada mereka.

“Budak ni, semuanya dia telan kecuali batu dan kayu,” kata Datuk berjenaka dan disambut dengan ketawa oleh Tajuddin dan isterinya. Saya terus tersengih tetapi, hati tetap marah dengan Datuk.

“Bukan tak sudi, memang jadi kebiasaan pada saya. Bila ada kerja, lebih-lebih lagi kerja menyelam mencari mayat saya makan tak banyak,” Datuk menerangkan pada Tajuddin dan isterinya. Penjelasan itu dapat diterima oleh pasangan suami isteri tersebut.

“Malam ni tidurlah di sini,” pelawa isteri Tajuddin.

“Minta maaf, selesai saja kerja saya terpaksa balik ke rumah saudara saya,” jawab Datuk lembut.

“Kalau begitu, biar saja cucunya tidur di sini,” tingkah Tajuddin.

“Minta maaf, saya kena ikut Datuk saya,” cepat-cepat saya menjawab.

“Biarlah kami pergi dulu,” Datuk segera bangun dan melangkah ke muka pintu. Saya segera menuruti Datuk dengan perasaan sedikit gementar. Saya berdoa supaya tugas yang akan dilakukan oleh Datuk dapat berjalan dengan lancar.

“Saya nak ikut sama,” kata Tajuddin sebaik sahaja kami sampai di kaki tangga. Tajuddin meluru ke bawah. Kalau tadi Tajuddin memakai pakaian seragam sekarang, pakaian itu tidak digunakan, kerana ia sudah selesai bertugas.

Tamat siri 72/284

BACA: SBDJ Siri 71: Diburu Manusia Iblis
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Pemilik Kenderaan Guna Lampu Putih HID Menyusahkan Pemandu Lain

Pemilik Kenderaan Guna Lampu Putih HID Menyusahkan Pemandu Lain

Sekiranya anda merupakan pemandu kenderaan dengan lampu putih HID sila ambil tindakan segera untuk menukar lampu tersebut, kerana walaupun pandangan anda lebih jelas dengan jarak penglihatan yang lebih luas tetapi anda TIDAk sendirian di jalan raya.

Lampu putih HID

Penggunaan lampu putih HID sememangnya boleh menyebabkan gangguan kepada pengguna jalan raya lain. Cahaya lampu putih yang terlalu terang menyebabkan pandangan menjadi silau dan ini boleh menyebabkan risiko kemalangan maut.

Keadaan akan menjadi lebih serius pada waktu hujan kerana cahaya putih ini akan diserakkan oleh titisan hujan sehingga menyebabkan penglihatan pemandu lain terganggu.

Masalah ini sebenarnya bukan isu baru, malah telah diperdebatkan sejak tahun 2004 lagi.

Menteri Pengangkutan, suatu masa dahulu dalam kenyataannya telah menyebut, pemandu kenderaan yang menggunakan lampu berwarna putih dan tidak mengikut standard bakal didenda sehingga RM2000 atau dipenjara sehingga 6 bulan.

Kemalangan jalan raya merupakan antara pembunuh utama rakyat Malaysia dan penggunaan lampu putih ternyata menyuluh jalan pintas ke liang lahad.

Jadi, pengguna lampu putih, apa yang anda banggakan kerana menjadi pembunuh?

Sejarah Lampu Kereta

Teknologi lampu atau pencahayaan pada kenderaan saban hari semakin maju dan terdiri daripada pelbagai jenis dan sebagai contoh, daripada sistem lampu biasa yang menggunakan bulb halogen seperti yang terdapat pada kebanyakan kenderaan sebelum ini, perlahan-lahan pengeluar kenderaan beralih kepada penggunaan lampu-lampu dari jenis lain seperti LED serta High-Intesity Discharge (HID).

Lampu tungsten merupakan yang terawal digunakan pada kenderaan, sejak 1960an lagi, kemudian berkembang kepada teknologi tungsten-halogen yang mampu memberikan keberkesanan pencahayaan yang lebih baik dengan daya kecerahan yang mampu bertahan lebih lama.

Dengan kos yang rendah serta jangka hayat yang boleh bertahan antara 500 hingga 1,000 jam, bulb halogen menjadi pilihan yang paling mudah dan praktikal untuk kenderaan.

Namun, ia memerlukan sekitar 55 watt tenaga untuk berfungsi, juga hadir dengan kelemahan tersendiri, sebahagian daripada tenaga itu akan terbazir dalam bentuk haba panas dan bukannya cahaya.

LED

Light Emitting Diodes (LED) pula bukanlah terlalu asing dari kegunaan pada peranti teknologi hari ini seperti televisyen dan telefon pintar.

Dengan saiz lebih kecil yang membolehkannya menjadi sangat fleksibel untuk memenuhi keperluan rekaan dan penggayaan yang ingin dihasilkan, ia juga dapat mengeluarkan cahaya yang lebih jelas dan mencapai kemampuan maksimumnya dalam tempoh yang lebih singkat berbanding lampu halogen.

Lagi perkara yang menjadi kelebihan LED ialah ada yang mendakwa jenis lampu ini mempunyai jangka hayat sehingga 15,000 jam, jauh lebih lama berbanding lampu halogen biasa.

Lampu LED juga lebih cekap menggunakan tenaga, ia tidak membazirkan tenaga dalam bentuk haba dengan ketara, sebaliknya akan mengubahnya sebaik mungkin ke dalam bentuk cahaya.

Bagi lampu HID pula, ia menghasilkan cahaya putih yang lebih cerah; sekitar dua atau tiga kali ganda melebihi cahaya dari lampu halogen (LED pula berada sedikit di belakang HID dalam aspek ini).

Ia juga memerlukan tenaga yang kurang untuk beroperasi; umumnya sekitar 35 watt dan didakwa mampu memberikan jangka hayat penggunaan sekitar 2,000 jam.

Sistem lampu HID biasanya hadir dengan ciri auto-leveling dan hadir dengan keupayaan capahan cahaya yang lebih meluas dan terang.

Pencahayaan yang lebih baik dan cerah memberi ruang kepada peningkatan faktor keselamatan terutama pada waktu malam, bukan hanya untuk penglihatan pemandu terhadap jalan raya, bahkan untuk lebih mudah dilihat oleh pengguna jalan raya lain, walaupun dari jarak yang jauh.

Jika ia mampu untuk meningkatkan faktor keselamatan ketika di jalan raya, serta penawaran produk-produk aftermarket dari pihak selain daripada pengeluar asal kenderaan juga dengan mudah boleh didapati, perhatian utama yang ingin dibangkitkan oleh artikel ini ialah; adakah kita boleh menukar sistem lampu biasa kepada sistem lampu HID pada kenderaan sendiri?

Adakah perkara ini boleh dilakukan atau sebenarnya melanggar undang-undang?

Anda mungkin telah mendengar banyak versi jawapan yang diberikan berkaitan hal ini. Berikut adalah penjelasan Pengarah Jabatan Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Tentang headlights pada kenderaan, peraturan yang ada sangat jelas. Mana-mana lampu yang dipasang kemudian (secara retrofit) yang berlainan daripada lampu asal pada sesebuah kenderaan itu adalah salah di sisi undang-undang. Sekiranya ia memang spesifikasi daripada pengeluar, tiada masalah,” jelasnya.

Kerana menurut beliau, di dalam United Nation Regulations 48 (UNR48) yang berkaitan lampu kenderaan, lampu utama kenderaan hanya boleh menggunakan lampu dengan kadar pancaran cahaya (brightness intensity) 4,300K maksimum.

“Tapi, dalam pasaran, lampu HID yang dijual ini ada yang mencecah sehingga 16,000K.

“Ini yang akan menjadi masalah; kalau digunakan, itu yang kadang-kadang kita terserempak dengan kereta yang lampunya sangat menyilaukan mata jika terpandang ke arahnya.

"Ini membahayakan pengguna jalan raya yang lain dan inilah yang ingin kita elakkan,” tambah beliau.

Penggunaan lampu HID ini turut melanggar peraturan Vehicle Type Approval (VTA) yang telah diluluskan terhadap sesebuah kenderaan.

Tindakan apa yang akan dikenakan kepada pelaku, sekiranya didapati berbuat demikian?

“Pertama, bagi pengguna jalan raya yang nampak perkara ini, mereka boleh membuat aduan terus melalui emel aduantrafik@jpj.gov.my.

"Nyatakan maklumat berkaitan dengan gambar sekali kalau boleh. Jika ada aduan, JPJ akan panggil kenderaan terbabit untuk pemeriksaan lanjut yang menyeluruh,” tambahnya.

Selepas pemeriksaan dan sekiranya didapati memang terdapat pemasangan retrofit itu, maka JPJ akan mengeluarkan Notis PG1 yang memerlukan pemilik untuk mengembalikan kenderaan mereka kepada keadaan asal dalam tempoh 10 hari.

Bagaimanapun, bagi penambahan Day-time Running Lights (DRL) secara berasingan, ia tidak menjadi masalah jika ingin dipasang kemudian (retrofit).

“Ini kerana, ia tidak melibatkan sistem yang rumit (seperti sistem pada lampu utama) dan tidak menggunakan pemantul yang boleh menyilaukan mata."

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Mineral Water Jenama 'Starfresh' Mengandungi Bakteria Berbahaya

Mineral Water Jenama 'Starfresh' Mengandungi Bakteria Berbahaya

Satu sesi sampling yang dilakukan oleh pihak Singapore Food Agency (SFA) terhadap satu jenama pembekal air minuman dari Malaysia, Starfresh mendapati air botol tersebut mengandungi bakteria berbahaya.

Starfresh-drinking-water

Keputusan ujian makmal mendapati air botol 1.5 liter dengan tarikh luput 13 Mei 2021 ini mengandungi pseudomonas aeruginosa.

Bakteria ini sering ditemui dalam najis, tanah dan loji pembentungan dan meminum air yang tercemar dengan bakteria ini akan mengakibatkan jangkitan kuman.

Hasil makmal ini seterusnya memaksa pihak berkuasa Singapura untuk menarik balik jualan jenama tersebut dari pasaran.

Pengguna yang telah membeli jenama tersebut dinasihatkan untuk tidak menggunakannya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket