Isnin, Jun 17, 2019

Pemilik Kenderaan Guna Lampu Putih HID Menyusahkan Pemandu Lain


Loading...

Sekiranya anda merupakan pemandu kenderaan dengan lampu putih HID sila ambil tindakan segera untuk menukar lampu tersebut, kerana walaupun pandangan anda lebih jelas dengan jarak penglihatan yang lebih luas tetapi anda TIDAk sendirian di jalan raya.

Lampu putih HID

Penggunaan lampu putih HID sememangnya boleh menyebabkan gangguan kepada pengguna jalan raya lain. Cahaya lampu putih yang terlalu terang menyebabkan pandangan menjadi silau dan ini boleh menyebabkan risiko kemalangan maut.

Keadaan akan menjadi lebih serius pada waktu hujan kerana cahaya putih ini akan diserakkan oleh titisan hujan sehingga menyebabkan penglihatan pemandu lain terganggu.

Masalah ini sebenarnya bukan isu baru, malah telah diperdebatkan sejak tahun 2004 lagi.

Menteri Pengangkutan, suatu masa dahulu dalam kenyataannya telah menyebut, pemandu kenderaan yang menggunakan lampu berwarna putih dan tidak mengikut standard bakal didenda sehingga RM2000 atau dipenjara sehingga 6 bulan.

Kemalangan jalan raya merupakan antara pembunuh utama rakyat Malaysia dan penggunaan lampu putih ternyata menyuluh jalan pintas ke liang lahad.

Jadi, pengguna lampu putih, apa yang anda banggakan kerana menjadi pembunuh?

Sejarah Lampu Kereta

Teknologi lampu atau pencahayaan pada kenderaan saban hari semakin maju dan terdiri daripada pelbagai jenis dan sebagai contoh, daripada sistem lampu biasa yang menggunakan bulb halogen seperti yang terdapat pada kebanyakan kenderaan sebelum ini, perlahan-lahan pengeluar kenderaan beralih kepada penggunaan lampu-lampu dari jenis lain seperti LED serta High-Intesity Discharge (HID).

Lampu tungsten merupakan yang terawal digunakan pada kenderaan, sejak 1960an lagi, kemudian berkembang kepada teknologi tungsten-halogen yang mampu memberikan keberkesanan pencahayaan yang lebih baik dengan daya kecerahan yang mampu bertahan lebih lama.

Dengan kos yang rendah serta jangka hayat yang boleh bertahan antara 500 hingga 1,000 jam, bulb halogen menjadi pilihan yang paling mudah dan praktikal untuk kenderaan.

Namun, ia memerlukan sekitar 55 watt tenaga untuk berfungsi, juga hadir dengan kelemahan tersendiri, sebahagian daripada tenaga itu akan terbazir dalam bentuk haba panas dan bukannya cahaya.

LED

Light Emitting Diodes (LED) pula bukanlah terlalu asing dari kegunaan pada peranti teknologi hari ini seperti televisyen dan telefon pintar.

Dengan saiz lebih kecil yang membolehkannya menjadi sangat fleksibel untuk memenuhi keperluan rekaan dan penggayaan yang ingin dihasilkan, ia juga dapat mengeluarkan cahaya yang lebih jelas dan mencapai kemampuan maksimumnya dalam tempoh yang lebih singkat berbanding lampu halogen.

Lagi perkara yang menjadi kelebihan LED ialah ada yang mendakwa jenis lampu ini mempunyai jangka hayat sehingga 15,000 jam, jauh lebih lama berbanding lampu halogen biasa.

Lampu LED juga lebih cekap menggunakan tenaga, ia tidak membazirkan tenaga dalam bentuk haba dengan ketara, sebaliknya akan mengubahnya sebaik mungkin ke dalam bentuk cahaya.

Bagi lampu HID pula, ia menghasilkan cahaya putih yang lebih cerah; sekitar dua atau tiga kali ganda melebihi cahaya dari lampu halogen (LED pula berada sedikit di belakang HID dalam aspek ini).

Ia juga memerlukan tenaga yang kurang untuk beroperasi; umumnya sekitar 35 watt dan didakwa mampu memberikan jangka hayat penggunaan sekitar 2,000 jam.

Sistem lampu HID biasanya hadir dengan ciri auto-leveling dan hadir dengan keupayaan capahan cahaya yang lebih meluas dan terang.

Pencahayaan yang lebih baik dan cerah memberi ruang kepada peningkatan faktor keselamatan terutama pada waktu malam, bukan hanya untuk penglihatan pemandu terhadap jalan raya, bahkan untuk lebih mudah dilihat oleh pengguna jalan raya lain, walaupun dari jarak yang jauh.

Jika ia mampu untuk meningkatkan faktor keselamatan ketika di jalan raya, serta penawaran produk-produk aftermarket dari pihak selain daripada pengeluar asal kenderaan juga dengan mudah boleh didapati, perhatian utama yang ingin dibangkitkan oleh artikel ini ialah; adakah kita boleh menukar sistem lampu biasa kepada sistem lampu HID pada kenderaan sendiri?

Adakah perkara ini boleh dilakukan atau sebenarnya melanggar undang-undang?

Anda mungkin telah mendengar banyak versi jawapan yang diberikan berkaitan hal ini. Berikut adalah penjelasan Pengarah Jabatan Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Tentang headlights pada kenderaan, peraturan yang ada sangat jelas. Mana-mana lampu yang dipasang kemudian (secara retrofit) yang berlainan daripada lampu asal pada sesebuah kenderaan itu adalah salah di sisi undang-undang. Sekiranya ia memang spesifikasi daripada pengeluar, tiada masalah,” jelasnya.

Kerana menurut beliau, di dalam United Nation Regulations 48 (UNR48) yang berkaitan lampu kenderaan, lampu utama kenderaan hanya boleh menggunakan lampu dengan kadar pancaran cahaya (brightness intensity) 4,300K maksimum.

“Tapi, dalam pasaran, lampu HID yang dijual ini ada yang mencecah sehingga 16,000K.

“Ini yang akan menjadi masalah; kalau digunakan, itu yang kadang-kadang kita terserempak dengan kereta yang lampunya sangat menyilaukan mata jika terpandang ke arahnya.

"Ini membahayakan pengguna jalan raya yang lain dan inilah yang ingin kita elakkan,” tambah beliau.

Penggunaan lampu HID ini turut melanggar peraturan Vehicle Type Approval (VTA) yang telah diluluskan terhadap sesebuah kenderaan.

Tindakan apa yang akan dikenakan kepada pelaku, sekiranya didapati berbuat demikian?

“Pertama, bagi pengguna jalan raya yang nampak perkara ini, mereka boleh membuat aduan terus melalui emel aduantrafik@jpj.gov.my.

"Nyatakan maklumat berkaitan dengan gambar sekali kalau boleh. Jika ada aduan, JPJ akan panggil kenderaan terbabit untuk pemeriksaan lanjut yang menyeluruh,” tambahnya.

Selepas pemeriksaan dan sekiranya didapati memang terdapat pemasangan retrofit itu, maka JPJ akan mengeluarkan Notis PG1 yang memerlukan pemilik untuk mengembalikan kenderaan mereka kepada keadaan asal dalam tempoh 10 hari.

Bagaimanapun, bagi penambahan Day-time Running Lights (DRL) secara berasingan, ia tidak menjadi masalah jika ingin dipasang kemudian (retrofit).

“Ini kerana, ia tidak melibatkan sistem yang rumit (seperti sistem pada lampu utama) dan tidak menggunakan pemantul yang boleh menyilaukan mata."

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon