Selasa, Mac 12, 2013

Benarkah Rakyat Malaysia Dibelenggu Minda Kelas Ketiga?


Pernahkah anda ketika memandu melihat sampah terbang keluar dari kereta di hadapan atau ketika lalu di bawah kawasan rumah flat tiba-tiba kelihatan bungkusan sampah dicampak dari atas?

Minda kelas ketiga

Lihat sahaja kenderaan melanggar peraturan lampu isyarat, berhenti di petak kuning, pemandu yang sihat menguasai lot letak kereta yang disedia khas untuk pemandu kurang upaya, dan senarai tabiat buruk kebanyakan rakyat Malaysia itu tetap berterusan.

Selepas melakukan semua perilaku yang menyakitkan hati itu, rakyat Malaysia yang berkenaan masih mampu menyalahkan orang lain. Ia seolah-olah bukan masalah mereka sebaliknya masalah orang lain.

Keadaan kotor di kawasan tertentu dipersalahkan kepada pihak berkuasa tempatan. Jenayah di kawasan kejiranan dipersalahkan kepada polis. Tandas awam yang kotor dipersalahkan kepada pemilik premis dan begitulah kesalahan terus ditujukan kepada pihak lain.

Sikap mementingkan diri dengan pendekatan 'tidak apa' terhadap kebersihan awam meningkatkan 'budaya pengotor' dalam kalangan masyarakat.

Ini jelas menggambarkan mentaliti kelas ketiga yang masih diamalkan kebanyakan masyarakat Malaysia.

Lihat sahaja di taman-taman rekreasi, di tepi jalan, di dalam longkang, di dalam tandas awam mahupun di dalam lif, ada sahaja sampah, daripada sekecil-kecil puntung rokok, plastik bungkusan gula-gula, hingga yang lebih besar seperti polisterin, plastik barang dan tidak ketinggalan lampin pakai buang bayi.

Moral rendah yang ditunjukkan bukan sahaja dalam hal membuang sampah tetapi boleh dilihat dalam perkara lain.

Contoh mudah jika pergi ke pasar raya. Berapa ramai yang meletakkan troli yang telah digunakan ke tempat asalnya. Boleh dikira dengan jari. Kebanyakan meninggalkannya begitu sahaja di tempat letak kereta sehingga menghalang laluan kenderaan lain.

Alasannya cukup mudah, pekerja pasaraya itu telah dibayar gaji untuk melakukan tugas tersebut.

Begitu juga ketika berada di jalan raya. Peraturan-peraturan jalan raya, seperti memandu mengikut had laju yang ditetapkan, tidak memotong garisan atau memakai tali pinggang hanya dilakukan sekiranya terlihat penguatkuasa seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berada di tepi jalan. Ini dilakukan semata-mata kerana takut disaman.

Paling tidak boleh diterima apa bila ada yang meletakkan kenderaan di tempat letak kereta yang dikhaskan untuk orang kurang upaya (OKU).

Perkara ini selalunya berlaku di pusat membeli-belah sedangkan telah tertera tanda yang menunjukkan tempat letak kereta itu dikhaskan untuk OKU.

Tanpa rasa bersalah, keluar dari kereta dan boleh menjawab telefon lagi.

Nampak sangat orang itu cacat pemikirannya.

Belum lagi sikap malas bekerja, suka mengambil sikap sambil lewa, leka dengan hiburan yang membuktikan masyarakat masih terperangkap dalam minda kelas ketiga.

Mentaliti kelas ketiga ditakrifkan sebagai kegagalan menggunakan kuasa berfikir sebenar ke tahap maksimum, seimbang dengan kedudukan pemikiran masyarakat yang boleh dianggap maju dan bertamadun.

Ini merangkumi tiga perkara iaitu aspek pemikiran, perasaan dan tingkah laku yang apabila dicantum kesemuanya menunjukkan prestasi moral dan tingkah laku yang rendah.

Tidak dinafikan pemikiran masyarakat kita masih lagi rendah, penuh dengan ego, susah untuk menerima pendangan orang lain dan menerima realiti.

Sebaliknya lebih suka kepada fitnah, tidak telus dan terbuka serta tidak boleh menerima fakta yang betul.

BACA INI JUGA: Buang Sampah Tabiat Buruk Rakyat Malaysia!

sumber: kosmo

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon