Thursday, April 06, 2017

Hubungan Intim Dengan Gadis Bawah 16 Tahun Tetap Dikategori Kes Rogol


Undang-undang memperuntukkan bahawa mana-mana individu yang melakukan hubungan seks dengan gadis yang berumur 16 tahun ke bawah sama ada secara rela atau dipaksa tetap dikategorikan sebagai jenayah rogol.

Kes+Rogol

Berhubung dengan persoalan yang dibangkitkan ramai pihak sama ada perkahwinan antara mangsa dengan pelaku yang merogolnya boleh menyebabkan pesalah itu terlepas daripada pendakwaan adalah tidak benar.

Pelaku tersebut tidak akan terlepas daripada hukuman sekiranya melakukan hubungan seks dengan mereka yang berumur 16 tahun ke bawah dan boleh didakwa di bawah Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan.

Untuk makluman pembaca, RUU Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 ini akan dilaksanakan bersekali dengan Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 (Akta 1511).

Akta 1511 digubal bagi mengadakan suatu undang-undang yang khusus dan komprehensif mengenai kanak-kanak yang merangkumi aspek perlindungan, pemeliharaan, pemulihan, perkembangan dan penyertaan.

Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 ini bertujuan melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual yang dicadang terpakai kepada kanak-kanak berusia bawah umur 18 tahun selaras dengan Akta 1511.

RUU bertujuan melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual ini dicadang terpakai kepada kanak-kanak bawah umur 18 tahun, selaras Akta Kanak-Kanak 2001.

Mengikut RUU itu juga, mana-mana orang yang membuat, menghasilkan, mengarahkan pembuatan atau penghasilan pornografi kanak-kanak boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 30 tahun dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.

RUU itu juga menyebut individu yang melakukan kesalahan amang seksual fizikal boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebatan, jika sabit kesalahan.

Ini termasuk menyentuh mana-mana bahagian badan kanak-kanak, membuatkan kanak-kanak menyentuh mana-mana bahagian orang itu atau melakukan kontak fizikal dengan kanak-kanak tanpa persetubuhan.

Bagi amang seksual bukan fizikal seperti melakukan aktiviti bersifat seksual di hadapan kanak-kanak selain mengikuti atau memerhati atau menghubungi seseorang kanak-kanak dengan apa cara berulang kali atau kerap, individu yang melakukan kesalahan itu boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

RUU itu juga memperuntukkan mana-mana orang yang tidak memberikan maklumat mengenai perlakuan atau niat mana-mana individu untuk melakukan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000.

BACA INI JUGA:

sumber: sh | bernama

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon