Saturday, March 24, 2018

Jangan Lakukan 10 Perkara Ini Ketika Bercinta

Jangan Lakukan 10 Perkara Ini Ketika Bercinta

Kerana cinta, manusia sanggup melakukan apa sahaja dan kerana cinta jugalah, manusia mudah hanyut dibuai perasaan dan tidak menyedari rupanya ia mengundang padah.

Jangan lakukan ini Ketika Bercinta

Berhati-hati dengan setiap perkara yang anda lakukan terutamanya 10 perkara dibawah;

1. Bercinta kerana simpati dan kasihan

Kamu tidak akan menjadi dewi, dewa penyelamat jika memaksa diri menerima cinta si dia! Perasaan ikhlas dan jujur itu semestinya tidak akan wujud dalam diri andai ia menjadi penyebab mengapa kamu sudi bertaut cinta bersamanya.

2. Melirik kepada jejaka, gadis lain

Cinta bukanlah penghalang untuk kamu meluaskan pergaulan, namun harus ada batasan tertentu.

Walaupun niat kamu hanya sekadar cuci mata dengan melirik pandangan pada jejaka atau gadis lain, ia boleh membawa kepada kecurangan.

3. Pura-pura tertarik pada bicara si gadis

Kamu tidak seharusnya berpura-pura tekun ketika mendengar si dia berbicara tentang perkara yang tidak kamu suka.

Jangan paksa diri kamu untuk berhadapan dengan semua perkara ini kerana apa yang dikatakan sebenarnya langsung tidak singgah ke otak kamu. Hipokrit namanya tu!

4. Tidak ingin kalahkan dia

Kamu sanggup menyerah kalah ketika berlawan badminton bersamanya semata-mata mahu menjaga hatinya. Tak salah bersaing tetapi mestilah ke arah yang positif dan boleh variasikan hubungan itu.

5. Harus sentiasa bersama

Ini tidak bererti teman-teman kamu harus disingkirkan semata-mata kamu sudah menemui cinta.

Sebaliknya, masukkan si dia dalam kelompok teman-teman kamu agar dia boleh membiasakan dirinya.

Asyik berdua saja boleh menimbulkan rasa bosan kan?

6. Rapat dengan sahabat karib

Tak salah mengenali sahabat karibnya tetapi hati-hati supaya tidak terlalau akrab. Ini boleh menimbulkan pelbagai rasa sangsi atau lebih teruk kalau temannya jatuh cinta padamu.

Sebaliknya kamu harus lebih mengenali keluarganya dan berusaha merebut hati kedua ibu bapa si dia.

7. Berpura-pura tidak cemburu

Kamu harus dapat membezakan antara sikap percaya dan berdiam diri apabila melihat si dia asyik berbicara dengan jejaka, gadis lain.

Andai keterlaluan, tegur si dia dengan cara yang terbaik. Biar dia tahu perasaan kamu ketika itu.

8. Terlalu menerima sikap

Setiap orang memiliki kelebihan dan keburukan tersendiri. Jangan kerana terlalu menyangi dirinya, kamu menerima segala keburukannya walaupun hati kamu sakit. Fikirkan insiatif untuk mengubah keburukannya.

9. Memafkan sikapnya yang keterlaluan

Jangan diam sahaja andai dia melakukan sesuatu perkara yang tidak kamu sukai. Tak salah kalau kamu menegur perbuatanya yang "kurang" itu supaya dia menyedari dan sanggup berubah demi kebaikan.

10. Biarkan dia membayar

Sesekali apa kata kamu cuba bergilir-gilir membayar setiap kali makan atau minum. Lagipun ia mencerminkan tolak ansur dalam perhubungan tersebut.

Tetapi pada kaum lelaki, jangan pula rasa tercabar kalau kekasih mahu belanja kamu!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: lyssasecret

Misteri Penemuan Makhluk Menyerupai Legenda Loch Ness

Misteri Penemuan Makhluk Menyerupai Legenda Loch Ness

Pelbagai spekulasi timbul apabila bangkai seekor makhluk laut misteri yang dikatakan seolah-olah menyerupai raksasa Loch Ness ditemui terdampar di tepi pantai di Georgia, Amerika Syarikat.

Misteri Penemuan Makhluk Menyerupai Legenda Loch Ness
Lakaran artis raksasa Loch Ness.

Seorang lelaki, Jeff Warren sempat merakam beberapa gambar dan video mengenai hidupan aneh itu ketika dia dan anak lelakinya menaiki bot di kawasan Perlindungan Hidupan Liar di Pulau Wolf pada Jumaat lalu (16/3/2018).

Misteri Penemuan Makhluk Menyerupai Legenda Loch Ness
Makhluk misteri disangka Loch Ness.

“Pada mulanya, saya menyangka bangkai itu ialah seekor anjing laut namun sangkaan itu meleset apabila ia sebenarnya memiliki leher dan ekor yang panjang menyerupai Loch Ness,” katanya.

Misteri Penemuan Makhluk Menyerupai Legenda Loch Ness
Gambar Loch Ness.

Setakat ini, beberapa pakar hidupan marin turut bingung mengenai spesies haiwan berkenaan namun beberapa pihak lain menyifatkan ia berkemungkinan bangkai raksasa Loch Ness atau reptilia prasejarah, Plesuisaur.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Misteri Makhluk Buas Dari Gevaudan

sumber: kosmo

Sejarah Kapal Korek Di Malaysia, Pengeluar Biji Timah Terbesar Dunia Suatu Ketika Dahulu

Sejarah Kapal Korek Di Malaysia, Pengeluar Biji Timah Terbesar Dunia Suatu Ketika Dahulu

Kapal Korek pertama diperkenalkan di Malaysia ialah pada 1913 oleh Malayan Tin Dredging Limited di Batu Gajah, Perak, manakala kapal korek paling moden yang terakhir sekali dibina di Malaysia ialah pada tahun 1985. Kapal korek yang paling tua pada ketika itu mencecah usia hampir 70 tahun.

Sejarah Kapal Korek Di Malaysia

Kapal korek digunakan oleh syarikat-syarikat bijih timah di Malaysia pada satu masa dahulu. Boleh dikatakan hampir semua syarikat pengoperasi kapal korek di Tanah Air adalah milik penjajah.

Bagaimanapun setelah kemerdekaan dicapai, sedikit demi sedikit kepentingan dalam syarikat-syarikat pengoperasi kapal korek mula dimiliki oleh entiti tempatan.

Malah pada kemuncaknya, syarikat-syarikat milik tempatan berjaya membina dan memiliki kapal korek barunya sendiri.

Lokasi

Dari segi sejarah, walaupun timah di Malaysia turut di temui di negeri Kelantan, Kedah, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor, akan tetapi kebanyakan kapal korek beroperasi di dua negeri utama iaitu Perak dan Selangor.

Tronoh Mines Limited melalui Pelepah Tin Dredging Limited pada 1932 pernah membina dan mengoperasikan sebuah kapal korek baru di Kota Tinggi, Johor.

Kapal korek dengan nama 'Pelepah' itu adalah kapal korek pertama di negeri berkenaan.

Pada sekitar 80an, MMC juga pernah memindahkan sebuah kapal koreknya ke Johor melalui anak syarikat usahasamanya bersama Jcorp iaitu Syarikat Lombong Sebina Johor Sdn Bhd.

Pendorong

Generasi awal kapal korek beroperasi menggunakan arang batu (bekuasa wap) tetapi selepas era perang dunia kedua, sedikit demi sedikit kapal korek di Malaysia mula beroperasi menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.

Salah satu contohnya ialah kapal korek Tanjung Tualang 5 (TT5) yang dibina pada tahun 1938 telah menjalani naiktaraf dari enjin wap (arang batu) kepada elektrik sepenuhnya pada tahun 1963.

Rekabentuk & Aliran Kerja

Bentuk kapal korek menyerupai sebuah kilang yang terapung diatas air dengan lantai, dinding dan atapnya yang datar.

Kapal korek terapung di tasik buatan atau semula jadi dan pencedok-pencedok besar itu akan mengaut tanah/pasir yang mengandungi bijih dan mengangkutnya ke satu tempat tinggi di dalam badan kapal korek.

Bahan-bahan yang telah dikorek itu dicairkan/dileraikan oleh sumpitan-sumpitan air ketika bahan - bahan itu mula masuk ke dalam tabung silinder (trommel screen) yang berputar bagi memisahkan kotoran dan batuan sementara bahan-bahan yang mengandungi timah akan terkeluar bersama air dari tabung silinder dan disalurkan ke loji pemisah pertama di mana unsur-unsur mineral yang berat itu terkumpul.

Pengasingan Bijih

Pada awalnya, sistem rawatan pengasingan bijih timah dalam era awal kapal korek menggunakan kaedah rawatan 'sluice boxes' (hampir sama seperti kaedah palong di lombong pam kerikil - anda boleh melihat sistem ini jika melawat ke kapal korek TT5) bagi mengasingkan bijih timah.

Ruang dalaman kapal korek yang terhad tidak memungkinkan palong dibina dengan lebih besar dan panjang seperti di darat sekaligus menghadkan kelajuan pengorekan kapal korek.

Semakin tinggi jumlah timah yang ditemui, maka mahu atau tidak kelajuan pengorekan mesti diperlahankan bagi mengelak kehilangan hasil.

Tetapi kemudian iaitu sekitar tahun 60an dan keatas banyak kapal korek moden yang dibina di Malaysia menggunakan kaedah rawatan 'Circular Jigs' yang lebih pantas dan efektif dalam mengasingkan bijih timah.

Malah, kaedah pengasingan bijih timah menggunakan 'Circular jig' menjadi semakin maju saban tahun ditambah pula dengan pengaliran semula 'tailings' dari peringkat kedua dan 'over-flow' dari 'jigs' peringkat ketiga rawatan ('tertiery jigs') ke 'Trommel Screen' semula menjadikan sistem pengasingan bijih bertambah efisyen.

Amat malang, walaupun sistem perlombongan menjadi semakin maju pada sekitar 70-an dan 80-an, namun deposit timah gred tinggi (yang kurang amang) sudah tandus selepas beberapa dekad perlombongan bijih timah dijalankan dalam negara.

Rata-rata jumlah konsentrasi yang direkodkan di kebanyakan lombong di Malaysia pada sekitar 90an bagi setiap deposit hanya mengandungi hasil timah 0.1kg/m3 berbanding diposit dari negara lain seperti Brazil yang boleh mencapai kandungan sebanyak 3kg/m3.

Anggaran Harga

Pada era 1980an. harga sebuah kapal korek yang moden serta besar dan mempunyai berat dalam anggaran 5,100 tan metrik bernilai kira-kira RM30 juta untuk membinanya.

Tenaga Kerja

Kapal korek lama memerlukan banyak tenaga kerja. Seramai 30 hingga 40 orang anak kapal diperlukan untuk pelbagai tugasan bagi setiap shif bergantung pada saiz kapal.

Namun kapal korek moden yang dibina sekitar 70an hingga 80an hanya memerlukan sekitar 15 orang bagi setiap shif sekali gus mengurangkan beban kewangan kepada syarikat pengoperasi.

Atas faktor keselamatan, undang-undang baru telah diperkenalkan pada pertengahan 80an yang menghadkan jumlah anak kapal pada satu-satu masa didalam badan setiap kapal korek adalah tidak melibihi 20 orang.

Pergerakan Kapal

Kapal korek tidak dibina sepertimana kapal laut atau bot besar dan hanya terapung diatas air menggunakan beberapa buah pontun yang digabungkan menjadi satu ketika pemasangan.

Keadaan air lombong tidak memungkinkan kapal korek untuk dipasang dengan bebaling seperti mana kapal di laut.

Jadi, kapal korek bergerak ke sekitar lombong menggunakan beberapa tali dari winch yang dipasang disetiap penjuru dan hadapan kapal korek yang mana tali-tali dari setiap winch akan ditambat di tepi tebing atau disauh (anchored) di dasar.

Winch akan berpusing untuk menarik tali perlahan-lahan hingga kapal korek bergerak sedikit demi sedikit.

Paling utama ialah tali dari bahagian muncung hadapan kapal dari 'mooring winch', jika talinya tidak ditambat atau disauh ke dasar lombong maka akan menyebabkan kapal korek mundur ke belakang.

Perkara ini disebabkan akibat tekanan yang terhasil dari sentuhan oleh pencedok-pencedok ke dasar lombong ketika pengorekkan.

Impak Kejatuhan Harga Timah

Berikutan lambakan bijih timah yang menyebabkan kejatuhan harga timah dunia pada 1982, Malaysia bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran bijih timah bagi mengimbangi semula harga.

Pada tahun-tahun ini menyaksikan banyak kapal korek yang telah berusia diberhentikan dari operasi.

Malang sekali, setelah runtuhnya Majlis Timah Antarabangsa pada 1985 harga timah dunia jatuh sehingga 50%.

Pada sekitar 1987 hingga 1989, harga timah menunjukkan trend peningkatan, memberi sedikit kelegaan kepada industri bijih timah negara, namun pada 1992 - 1993 harga timah jatuh ke tahap paling rendah menyebabkan banyak kapal korek berhenti terus dari beroperasi.

Ketika fasa kritikal inilah banyak kapal korek di Malaysia telah dilupus. Sebahagian kecil kapal korek berjaya dijual di peringkat antarabangsa sebagai kapal korek terpakai manakala sebahagian besar lagi terpaksa dilerai dan dijual sebagai besi skrap untuk mendapatkan keuntungan setelah ia diancam oleh karat dan pemotongan besi-besi tanpa sedar (kecurian) dari pencari besi lusuh.

Dalam fasa yang sama, hanya tinggal beberapa buah kapal korek yang masih beroperasi dalam skala kecil secara on-off milik syarikat yang masih mampu mengaut keuntungan dari aktiviti perlombongan bijih timahnya.

Yang terakhir beroperasi pada fasa ini ialah kapal korek Petaling Dredge no. 9 milik Petaling Tin Berhad dan hanya berhenti beroperasi sepenuhnya pada 1997, itupun hanya setelah syarikat itu bersetuju untuk menghentikan operasi perlombongan bijih timah dan aktiviti berkaitan berikutan permintaan daripada pihak berkuasa Negeri agar Petaling Tin Berhad menyerahkan semula pajakan perlombongan yang telah diberi bagi memberi laluan kepada pembinaan projek Malaysian Wetlands Sanctuary (Paya Indah Wetland).

Kebangkitan Sementara

Nafas baru seakan muncul semula apabila sejumlah dua hingga tiga buah kapal korek telah diaktifkan semula terutamanya selepas tahun 1998 iaitu ketika harga timah sedang naik.

Antara yang diaktikan semula ialah kapal korek no 3 (Berjuntai D3) milik Berjuntai Tin Dredging Berhad dan kapal korek Sri Banting milik Timah Langat Berhad.

Malangnya, harga timah dunia jatuh semula pada tahun 2001 dan selepas 2003 tiada lagi kapal korek beroperasi hingga kini.

Berikutan harga timah yang sering turun naik, banyak syarikat perlombongan yang mengoperasikan kapal korek memutuskan untuk meninggalkan terus aktiviti perlombongan lalu memilih bentuk perniagaan yang lain termasuklah firma MMC.

Tragedi hitam kapal korek

Pada lewat petang hari Rabu tanggal 8 haribulan Ogos 1984, salah satu kapal korek milik Sungai Klang Dredging Sdn Bhd telah terbalik di sebuah lombong yang terletak di Batu 13 Puchong dan meragut tujuh nyawa.

Tiga puluh orang sedang berada di kapal korek berkenaan ketika kejadian. Tujuh mangsa yang terperangkap dalam kapal korek malang tersebut melibatkan empat orang pekerja biasa, dua orang jurutera dan seorang lagi adalah pemilik kapal dan syarikat berkenaan, Michael Tang.

Selebihnya berjaya menyelamatkan diri dengan melompat ke dalam (kawasan) lombong sedalam 25 meter itu dan berenang ke tebing, dimana mereka dibawa ke klinik kerajaan yang berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Kejadian ngeri itu berlaku ketika anak-anak kapal dan jurutera sedang menjalankan proses pembaikan bagi memperbaiki salah satu dari pontun di sebelah kiri yang bocor.

Malangnya, kebocoran menjadi semakin serius dan mula tidak terkawal. Tambah malang, salah satu dari pam pula tiba-tiba gagal berfungsi.

Keadaan yang sudah tidak terkawal itu menyebabkan air bah dengan pantas masuk ke dalam badan kapal dari sebelah sisi kiri mengakibatkan kapal korek itu semakin menyeget hingga rantai yang menambatnya ke tebing terlerai.

Dengan sekelip mata kapal korek malang itu terus terbalik sepenuhnya hingga bahagian bawahnya timbul dengan sedikit menyenget dipermukaan air.

Akibat kedalaman lombong selain struktur dalaman kapal korek yang agak kompleks ditambah dengan kurangnya kepakaran pada ketika itu menyebabkan usaha menyelamat mengambil masa berhari-hari lamanya.

Baki tiga mangsa yang terperangkap hanya berjaya dikeluarkan selepas lombong berkenaan berjaya disurutkan menggunakan mesin pam milik Jabatan Pengairan dan Saliran beberapa hari kemudian.

Warisan

Hari ini dari sekian banyak kapal korek yang pernah beroperasi di Malaysia hanya dua buah yang masih tinggal.

1) Kapal korek TT5 dari generasi awal kapal korek hari ini dikekalkan setelah Kerajaan Negeri Perak melalui MB Inc mengambil alih kapal korek berkenaan dari pengurusan lama pada 2015. MB Inc meperuntukkan RM30 juta bagi membaiki kapal korek TT5 selain mempunyai pelan jangka panjang bagi membolehkan kapal korek terakhir ini menjadi produk pelancongan antarabangsa terutama sempena Tahun Melawat Perak 2017 yang lalu.

Kapal korek terbabit dihadiahkan oleh Malaysia Mining Corporation (MMC) kepada Kerajaan Perak sekitar tahun 1990-an untuk dijadikan monumen sejarah dan tarikan pelancongan.

2) Manakala sebuah lagi kapal korek dengan nama Sri Banting yang dibina sekitar 1974 terletak berhampiran UiTM Dengkil masih belum diketahui nasibnya dengan jelas.

Sumber tidak rasmi mengatakan pada sekitar tahun 2008-2009 sebuah syarikat perlombongan dari Australia pernah menunjukkan minat untuk membeli kapal korek berkenaan.

Kegemilangan

Banyak sejarah tercipta diperingkat antarabangsa yang melibatkan penggunaan kapal korek di Malaysia, sebuah negara yang pernah suatu ketika menjadi negara pengeluar timah terbesar dunia.

Negeri Perak merupakan negeri yang menyaksikan paling banyak kapal korek pernah beroperasi.

Apabila Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) mengambilalih London Tin Corporation Limited yang memiliki banyak anak syarikat, lalu tertubuhlah firma MMC hingga pada suatu ketika pernah menjadi firma yang memiliki paling banyak dan pengoperasi kapal korek yang terbesar di Malaysia dan juga dunia.

Malaysia menjadi satu-satunya negara di dunia yang mengoperasikan kapal korek bijih timah terbanyak didunia.

Ketika tahun 1914, hanya terdapat tiga buah kapal korek sahaja dan dalam tahun 1915 pula sebanyak 11; menjelang tahun 1920 jumlahnya bertambah menjadi 20 dan menjelang tahun 1921 meningkat kepada 30.

Jumlah terbesar kapal korek yang pernah menjalankan operasinya serentak dalam satu masa ialah dalam tahun 1929 apabila terdapat sebanyak 105 buah kapal korek dan tidak ada satupun yang tidak menjalankan operasinya.

Bagaimanapun, terdapat 123 buah kapal korek di Malaya dalam tahun 1940. Ini merupakan jumlah kapal korek paling besar pernah dicatatkan di negara ini namun 19 daripadanya tidak menjalankan operasi pada tahun tersebut.

Menjelang akhir tahun 1981, bagaimanapun hanya terdapat 60 unit kapal korek sahaja di Malaysia dan kesemuanya beroperasi manakala dua lagi sedang dibina.

Kebanyakannya adalah milik syarikat-syarikat yang bernaung dibawah MMC atau syarikat usahasama yang diuruskan oleh MMC.

Pada akhir 1983 pula iaitu ketika kejatuhan harga timah, daripada 62 buah kapal korek pada ketika itu hanya 38 unit sahaja beroperasi.

Menjelang tahun 1989, hanya 21 buah kapal korek yang masih beroperasi dan jumlah itu menurun menjadi hanya 10 buah pada akhir tahun 1992.

Ayer Hitam No 2 Dredge (AHT No.2) milik Ayer Hitam Tin Dredging Malaysia Berhad yang beroperasi dekat Ayer Hitam Puchong, Selangor adalah merupakan kapal korek yang telah diisytiharkan dan diiktiraf oleh Guinness Book of records sebagai kapal korek yang paling produktif di dunia hingga kini.

Di dalam bulan November 1976, hanya dalam masa 30 hari, sebanyak 801.26 tan bijih timah berjaya dilombong oleh kapal korek berkenaan.

Kapal korek AHT No.2 itu juga mencipta rekod tersendiri apabila memegang rekod sebagai kapal korek bijih timah yang mencapai penggalian paling dalam hingga mencecah 247 kaki di bawah paras permukaan bumi yang mengandungi konsentrasi timah gred yang tinggi iaitu setelah paras air lombong disurutkan sebelum musim tengkujuh menggunakan mesin pam air.

Syarikat Berjuntai Tin Dredging Berhad adalah merupakan syarikat pengeluar timah terbesar di Malaysia.

Syarikat itu juga merupakan syarikat perlombongan terbesar pernah beroperasi kerana memiliki dan mengoperasikan sehingga 9 buah kapal korek dalam suatu masa bagi melombong bijih disekitar Batang Berjuntai (kini Bestari Jaya).

Berjuntai Tin Dredging Bhd adalah syarikat pengeluar tunggal kasiterit terbesar di Malaysia dan menyumbang 5% daripada jumlah keseluruhan pengeluaran timah negara.

Malaysia Mining Corporation (MMC) pernah memiliki sehingga 28.6% kepentingan dalam Berjuntai Tin Dredging Berhad (kini dilupus).

Ada beberapa skala kapal korek yang digunakan pada masa kegemilangan pelombongan timah di Malaysia.

Malaysia mencipta sejarah sendiri apabila terdapat beberapa buah kapal korek yang terbesar di dunia pernah dibina di dalam negara.

Pada mulanya, pembinaan kapal korek bersaiz besar banyak tertumpu di kawasan Batu Gajah dan sekitar.

Kapal korek yang paling besar di dunia ketika itu dikenali dengan Kapal 1. Ia hanya digunakan di beberapa lombong bijih di Tanjung Tualang, Negeri Perak.

Ia lengkap dengan beberapa kemudahan seperti bilik rehat, dewan makan, surau, bilik mesyuarat dan bilik kawalan mutu. Ada juga kapal korek yang kecil sedikit iaitu Kapal 3 dan Kapal 5.

Pada sekitar tahun 60an, kawasan perlombongan bijih timah baru telah dibuka di sekitar kawasan hutan simpan berpaya meliputi hingga beberapa buah estet di Dengkil, Labohan Dagang dan kawasan sekitarnya yang disebut sebagai Kuala Langat Tin Field.

Kawasan ini terkenal kerana kaya dengan bijih timah tetapi bertabur dalam kawasan yang luas manakala bijih timah terletak jauh di kedalaman bumi serta sesetengahnya dilapisi pula diatasnya oleh batuan-batuan keras yang memerlukan bantuan jentera berat sebelum kapal korek boleh dibina/beroperasi seperti mana yang dialami oleh Kuala Langat Mining Sdn Bhd.

Selangor Dredging Berhad merupakan syarikat pertama yang membina kapal korek di kawasan berkenaan iaitu kapal korek pertamanya; Selangor D1 (SD1) pada tahun 1966.

Kapal korek itu diiktiraf sebagai kapal korek yang terbesar ketika itu dengan berat 4700 tan dengan keupayaan penggalian paling dalam iaitu mencecah kedalaman 140 kaki kedasar bumi dari paras permukaan air.

Tidak jauh dari lokasi SD1, Petaling Tin Berhad pula pada tahun 1970 membina kapal korek Petaling D7 dan merampas gelaran sebagai kapal korek terbesar dengan berat mencecah 6000 tan.

Kapal korek Sri Timah yang lebih ringan tapi memiliki saiz yang lebih besar dan mampu menggali hingga kedalaman 147 kaki pula dibina dalam awal 70an dan mengambil alih status sebagai kapal korek terbesar di dunia.

Pada tahun 1973, Selangor Dredging Berhad mentauliahkan kapal korek kedua miliknya (SD2) yang ketika ia ditauliahkan merupakan kapal korek terbesar serta termaju di dunia dari segi teknologi.

Dengan berat 5780 tan, kapal korek ini mampu mengorek sehingga kedalaman 150 kaki dan yang pertama di dunia yang mampu mengorek dengan kelajuan 36 buah baket seminit menjadikan keupayaan kapasiti pengeluaran 7.9 M3/setahun melebihi keupayaan mana-mana kapal korek yang ada di dunia.

Hanya selang beberapa tahun kemudian, status kapal korek terbesar dunia diambil alih pula oleh kapal korek Sri Dengkil yang ditauliahkan dengan berat 6650 tan.

Walaupun mampu mengorek pada kedalaman dan memiliki kelajuan mengorek yang sama, namun Sri Dengkil hanya memiliki keupayaan kapasiti pengeluaran 7.3 M3/setahun sahaja berbanding kapal korek kedua milik Selangor Dredging Berhad.

Yang terakhir paling besar pernah dibina di kawasan Kuala Langat Tin Field adalah kapal korek milik Kuala Langat Mining Sdn Bhd yang siap dibina pada tahun 1985.

Pembiayaan dibuat oleh beberapa buah bank tempatan dengan tempoh bayaran pinjaman adalah selama lapan tahun.

Akibat kejatuhan harga timah, kapal korek termahal dalam sejarah perlombongan negara iitu hanya mula beroperasi pada 1987.

Walaupun syarikat itu pada awalnya merancang untuk membina dua buah kapal korek bersaiz besar dengan keupayaan penggalian sedalam 200-250 kaki, tetapi kelembapan haga timah menyebabkan hanya satu yang berjaya dibina.

Tambah malang belum pun sempat kapal korek berkenaan mendapat pulangan modal yang diharapkan oleh pihak syarikat, kejatuhan teruk pasaran timah menyebabkan kapal korek berkenaan beroperasi dengan singkat sebelum terpaksa dihentikan pada tahun 1993 dan dijual.

Kapal korek terakhir yang dibina di Negeri Perak adalah kapal korek Sri Dermawan milik Timah Dermawan Sdn Bhd.

Pembinaannya dimulakan pada awal tahun 1980. Kapal korek ini mampu menggali sehingga kedalaman 130 kaki dan diiktiraf sebagai antara salah satu kapal korek terbesar di dunia.

Pemindahan

Kini, Kapal 1 telah pun tiada tinggalannya di Tanjung Tualang kerana pada tahun 1980 ia telah dibuka dan dileraikan serta dihantar ke Phuket, Thailand.

Kapal korek kedua (SD2) milik Selangor Dredging Berhad pula telah dijual pada tahun 1986 kepada PT Koba Tin, sebuah syarikat perlombongan bijih timah yang beroperasi di Kepulauan Bangka, Indonesia.

Firma OCI Engineering Sdn Bhd (OCIE) dilantik sebagai kontraktor bagi memindahkan kapal korek berkenaan.

Peringkat pertama, pada tahun 1987 kapal korek itu mula dileraikan oleh firma OCIE dengan komponennya diangkut melalui jalan darat ke Johor.

Peringkat kedua; disebabkan kapal korek itu perlu dioperasikan secepat mungkin, maka pada masa yang sama (ketika kapal korek sedang dileraikan) sebuah pontun baru juga telah pun dibina di Jakarta.

Walaupun pontun asal SD2 masih berkeadaan baik, tapi ini dilakukan untuk menjimatkan masa pemindahan selama enam bulan kerana kebiasaannya pontun adalah komponen terakhir yang akan dileraikan. Pontun asal SD2 dilupus dan dijual sebagai besi skrap.

Peringkat ketiga; pontun baru yang telah siap dipasang di Jakarta dengan berat 1,100 tan telah ditunda hingga ke perairan Johor.

Struktur serta komponen kapal korek SD2 yang telah dileraikan dan diangkut ke Johor mula dipasang semula pada pontun baru berkenaan.

Sistem rawatan pengasingan bijih timah telah diubahsuai mengikut kesesuaian mengikut kehendak PT Koba Tin. Rombak rawat (overhaul) dan pembaikan komponen terpakai turut dilaksanakan.

Kapal korek ex-SD2 yang telah siap dibina semula kemudian ditunda hingga ke Kepulauan Bangka dimana sebuah terusan yang menghubungkan laut dan kawasan operasi perlombongan telah pun digali terlebih dahulu untuk dilalui kapal korek berkenaan. Kapal korek ex-SD2 ditauliahkan kedalam perkhidmatan PT Koba Tin dengan nama 'Merapin' pada 1988.

Kapal korek Sri Dengkil turut mengikut jejak langkah SD2. Ia telah dijual kepada PT Koba Tin, dilerai dan dipasang semula di Kepulauan Bangka, Indonesia dan ditauliahkan kedalam perkhidmatan PT Koba Tin pada 1995 dengan nama 'Bemban'.

Dengan terpindahnya kapal korek SD2 dan Sri Dengkil ke Indonesia, maka status kapal korek terbesar di Malaysia dipegang oleh kapal korek Sri Dermawan di Perak.

Sri Dermawan dengan berat 5400 tan kemudiannya dilupus dan dijual oleh MMC pada bulan Mac 2001 meninggalkan kapal korek TT5 di Tanjung Tualang, Batu Gajah, Perak sebagai kapal korek terbesar yang masih wujud di Malaysia hingga kini.

Dredge Master

Setiap kapal korek biasanya akan diketuai oleh seorang 'dredge master' atau kapten kapal korek.

Dredge master bertanggungjawab sepenuhnya terhadap operasi kapal korek yang dikendalikan.

Berikut adalah antara tugas yang dipikul oleh seorang dredge master:
  • Mengendalikan kapal korek secara optimum, bersistematik dan selamat.
  • Memberi input kepada perancangan dalam perjanjian/pajakan perlombongan dengan Ketua Jurutera pada setiap kali beroperasi.
  • Menyediakan maklumat yang tepat kepada Penyelia Lombong atau Dredge Master Kanan mengenai kerja yang dilakukan / prestasi, kemalangan / kelewatan, status aset, kerosakkan, isu-isu yang tidak dapat diselesaikan dan kerja ramalan selaras dengan keperluan projek.
  • Mengarah, menetapkan dan memberi panduan terhadap anak-anak kapal dan bukan anak kapal yang terlibat dalam proses pergerakkan kapal korek dan kedalaman penggalian berdasarkan peta rekod eksplorasi yang telah dipersetujui atau mendapat kebenaran oleh/dari pengurus/penyelia, ketua jurutera.
  • Memastikan maklumat pergerakkan kapal korek, kedalaman pengorekkan, jumlah bijih di kawasan yang telah dikorek di rekod untuk semakkan akan datang bagi mengelak pengorekkan berulang pada kawasan yang sama atau pada sisa buangan kapal korek.
  • Bekerjasama secara membina dan cekap dengan anak-anak kapal, ketua jurutera dan dredge master kanan dan atau penyelia lombong secara tetap dan lain-lain tugas lagi.

Biasanya dredge master akan dibantu oleh seorang 'winchman' atau juru winch. Peranan winchman adalah juga penting dalam pengoperasian kapal korek bagi memastikan kelancaran operasi.

Winchman akan menggabungkan antara kepintarannya dalam membuat congakkan bersama penggunaan teknik pengorekan yang betul untuk mengawal selia situasi pengorekan yang sentiasa berubah-ubah mengikut struktur tanah.

Dengan berbuat demikian, winchman memastikan kapal korek beroperasi secara ekonomi dan membantu menguntungkan syarikat.

Penjimatan kos ketika beroperasi adalah sangat-sangat diperlukan kerana kos pengoperasian kapal korek yang mahal.

Senarai kapal korek terakhir dibina di Malaysia (1966 - 1985)

Reka bentuk dan pembinaan kapal korek timah di Malaysia memuncak pada tahap paling maju diantara tahun 1966 hingga 1985.

Dalam tempoh ini F W Payne & Son dan lain-lain firma seperti IHC Holland (kini Royal IHC) mendapat kontrak merekabentuk sehingga 14 buah kapal korek baru.

Berikut adalah 14 senarai kapal korek terakhir yang dibina di Malaysia yang juga merupakan kapal korek termoden dalam sejarah kegemilangan perlombongan bijih timah negara.
  1. 1985 Kuala Langat Dredge No 1
  2. 1982 Petaling Dredge No 9
  3. 1980 Timah Dermawan (Sri Dermawan Dredge)
  4. 1979 Perangsang Rio Tinto Dredge No 2#
  5. 1979 Sri Mambang (MDA Dredge)
  6. 1979 Berjuntai Dredge No 9
  7. 1977 Sri Dengkil Dredge
  8. 1976 Berjuntai Dredge No 8
  9. 1974 Sri Banting Dredge
  10. 1973 Selangor Dredge No 2
  11. 1972 Perangsang Rio Tinto Dredge No 1#
  12. 1970 Sri Timah Dredge
  13. 1970 Petaling Dredge No 7
  14. 1966 Selangor Dredge No 1

Senarai kapal korek diatas dipetik dari buku Tin Mining in Malaysia 1800-2000: The Osborne & Chappel Story.

Bagaimanapun data-data rasmi dari kapal-kapal korek milik Perangsang Rio Tinto (M) Sdn Bhd masih belum diperolehi selain terdapatnya beberapa isu percanggahan dari sumber-sumber yang pernah berkerja dengan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia

Friday, March 23, 2018

Sejarah Istiadat Sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor

Sejarah Istiadat Sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor

Sultan Abu Bakar menyambut 'Hari Kerajaan' iaitu ulang tahun hari baginda diperajakan pada 1 Syaban 1278 (1hb Mac 1862) dan anakanda baginda, Sultan Ibrahim meneruskan tradisi sambutan Hari Kerajaan mengikut tarikh baginda menaiki takhta pada 17 Rabiul Awal 1313 (7hb September 1895).

Sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor

Pada tahun 1897, Sultan Ibrahim menukar tarikh sambutan Hari Kerajaan kepada ulangtahun hari keputeraan baginda 17hb September 1873 selaras dengan kehendak Islam ketika menyambut Hari Maulud bagi Nabi Muhammad SAW, dan seperti diraikan oleh raja-raja Eropah.

Pada tahun 2015 DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menukar sambutan ulangtahun hari keputeraan baginda dari 22hb November kepada 23hb Mac diatas keprihatinan baginda mengelakkan kesulitan rakyat semasa musim banjir yang sering belaku dalam bulan November.

Justeru itu, tarikh 23hb Mac dipilih bersempena tarikh Istiadat Kemahkotaan baginda bermula tahun 2015.

*Sambutan ulang tahun Hari Keputeraan rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada 23 Mac 2018 ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

MAJLIS SAMBUTAN HARI KEPUTERAAN

(Istiadat Letak Kerja, Majlis Tahlil Dan Doa Kesyukuran, Majlis Teriman, Majlis Mengadap Takzim, Majlis Darjah dan Pingat, Majlis Jamuan Teh).

Istiadat Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Tuanku mengandungi adunan tradisi Melayu dan budaya istana, unsur-unsur ajaran Islam dan perlakuan barat.

ISTIADAT LETAK KERJA

Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Tuanku dimulakan dengan Istiadat Letak Kerja yang dilakukan 3 hari sebelumnya sebagai simbolik bermulanya sambutan berkenaan.

Istiadat itu disempurnakan dengan upacara menaikkan Bendera Istiadat Kerajaan Johor di Tugu Peringatan Istana Besar.

Upacara menaikkan bendera berkenaan dimulakan dengan perarakan membawa masuk bendera Istiadat Kerajaan oleh Askar Timbalan Setia Negeri Johor dan diikuti bacaan doa oleh Mufti.

Dato' Penghulu Istiadat akan membacakan pengisytiharan bendera Adat Istiadat akan dikibarkan sepanjang Sambutan Hari Keputeraan.

Istiadat itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor diiringi pancaragam Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSN).

Tujuh das tembakan meriam kedengaran sejurus bendera dinaikkan.

MAJLIS TAHLIL DAN DOA KESYUKURAN

Pada malam sebelum Sambutan Hari Keputeraan Majlis Tahlil Dan Doa Kesyukuran diadakan di Masjid Sultan Abu Bakar sebagai tanda kesyukuran kehadrat Allah SWT melanjutkan usia Tuanku dalam keadaan aman dan sejahtera bagi menaungi dan memimpin rakyat.

MAJLIS DOA KESYUKURAN

Pada hari esoknya diadakan Majlis Doa Kesyukuran bertempat di Dewan Cina Istana Besar, dihadiri dif lelaki sahaja. Pakaian yang ditetapkan adalah uniform istiadat dengan tanda-tanda kebesaran.

DYAM Tunku Mahkota berangkat ke Majlis tersebut. Tembakan meriam 21 das bermula sebaik sahaja Mufti menyebut nama DYMM Tuanku didalam doa.

Setelah tamat doa Perangkatan Tunku Mahkota, kerabat dan dif berjalan menuju ke Bilik Singgahsana Istana Besar didahului Pasukan Penjawat Istana yang membawa semua Peralatan Istiadat Kerajaan.

Peralatan Istiadat Kerajaan yang diilhamkan oleh Sultan Abu Bakar mengandungi Cogan Agama, Cogan Alam, Panji-Panji Raja, Bendera Negeri Johor, Keris Darjah Kerabat, Keris Darjah Mahkota, 2 payung besar, 2 payung kecil, 16 batang lembing dan 8 batang tongkat.

Peralatan ini adalah simbolik memperkasakan kedaulatan dan kuasa Raja.

Lagu Bangsa Johor dimainkan bagi menyambut keberangkatan tiba DYMM Tuanku dan DYMM Permaisuri Johor di Tangga Agong Istana Besar.

Kemudian, DYMM Tuanku berkenan memeriksa barisan kehormatan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSN) sebelum berangkat naik ke Bilik Persemayaman.

MAJLIS TERIMAN

DYAM Tunku Mahkota akan mempersembah ucap selamat dan Ikrar Taat Setia bagi pihak kerabat, serta berdoa agar usia DYMM Tuanku Sultan dan DYMM Permaisuri Johor berpanjangan, bertambah kedaulatan dan kekal memerintah negeri Johor.

Tunku Mahkota juga berterima kasih di atas keperihatinan dan perkenan baginda membolehkan DYAM Tunku Mahkota mempelajari hal-hal pentadbiran negeri dan bercampur gaul dengan rakyat jelata.

YAB Menteri Besar diapit oleh seorang wakil kaum Cina dan seorang wakil kaum India mengadap dan menyembahkan ucapan tahniah bagi pihak kerajaan dan rakyat.

DYMM Tuanku bertitah menyeru rakyat hidup dalam rukun damai, sentiasa bermuafakat serta mengukuhkan perpaduan.

MAJLIS MENGADAP TAKZIM

DYAM Tunku Mahkota mengadap takzim, diikuti YAM Tunku Temenggong, YAM Tunku Bendahara, YAM Paduka Putera-putera dan Puteri, Yang DiPertua Jumaah, dan Menteri Besar.

Perlakuan mengadap takzim adalah berdiri tegak dihadapan Tuanku, kedua dua tangan rapat dibadan, dan tundukkan kepala sambil merencungkan badan sedikit kehadapan.

MAJLIS DARJAH DAN PINGAT

Sejarah Istiadat Sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor
Gambar fail.

100 individu akan dikurniakan darjah kebesaran dan pingat sempena Hari Keputeraan Sultan Johor.

Kesemua pengurniaan itu dilakukan mengikut Fasal 7(2)(e) Bahagian Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1985 tanpa ada individu tertentu memberi cadangan atau syor kepada Sultan.

Mereka yang menerima anugerah adalah golongan yang telah banyak menyumbang pembangunan kepada Johor, menjaga kebajikan rakyat, setia, berwibawa, berintegriti dan berjasa kepada baginda.

Majlis diakhiri dengan baca doa penutup Istiadat oleh Kadi Besar.

MAJLIS JAMUAN TEH

Majlis Jamuan Teh untuk rakyat yang diadakan pada hari esoknya memberi peluang kepada DYMM Tuanku untuk bercampur gaul dengan rakyat dalam semangat Raja dan Rakyat Berpisah Tiada.

Kerajaan prihatin memastikan rakyat jelata turut mengambil bahagian bersama dalam perayaan ini.

Oleh itu, kerajaan mengatur beberapa temasya termasuk sukan, pertunjukan kebudayaan dan pertandingan yang melibatkan penyertaan rakyat di setiap daerah di negeri Johor.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kesultananjohor

Video Pensyarah UUM 'Terkucil Ketakutan' Depan Tun Mahathir

Video Pensyarah UUM 'Terkucil Ketakutan' Depan Tun Mahathir

Klip video yang memaparkan reaksi penganalisis politik Kamarul Zaman Yussof sebelum dan selepas Tun Mahathir membuat kejutan pada Wacana Sinar Harian di Shah Alam telah mendapat lebih satu juta tontonan.

Video Pensyarah UUM 'Terkucil Ketakutan' Depan Tun Mahathir

Video itu memperlihatkan bagaimana pensyarah dari Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, yang pada mulanya nampak yakin dan lantang dalam kritikannya terhadap bekas perdana menteri itu, tetapi kemudian terpaku di kerusinya apabila Dr Mahathir dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Ali tampil dan duduk di barisan hadapan penonton.

Kamarul Zaman adalah salah satu daripada tiga ahli panel yang membincangkan tajuk "Apakah Tun M, terlalu tua untuk jadi PM?"

Dalam hantaran di Facebook pagi tadi, penganalisis itu menafikan bahawa dirinya terkedu dan terus terkucil ketakutan sebaik sahaja Dr Mahathir sampai ke majlis wacana itu.

Klip video berkenaan disiarkan di laman Facebook Kelab Che Det dengan tajuk, “Tengok muka prof ni bila Dr M datang macam kena telan ubat gegat. Kah kah kah. Sebelum tu bukan main lagi kutuk Dr M kan...”

Video Pensyarah UUM 'Terkucil Ketakutan' Depan Tun Mahathir

Video itu bermula dengan Kamarul Zaman bercakap mengenai kesihatan mental sebagai faktor penting bagi calon perdana menteri, dengan alasan bahawa kemampuan kognitif merosot atau menurun mengikut usia.

Beliau kemudiannya memetik beberapa contoh kenyataan Mahathir, yang dakwanya menunjukkan kemampuan kognitif pemimpin berusia 93 tahun itu mula merosot.

Apabila Mahathir tiba, video tersebut menampilkan tajuk kecil di bahagian bawah “dah tak senang dudukt” semasa Kamarul Zaman terpaku di kerusi sambil terpingga-pingga sedangkan semua mereka di pentas dan juga para hadirin memilih untuk berdiri.

Video Pensyarah UUM 'Terkucil Ketakutan' Depan Tun Mahathir

Moderator, Nazri Kahar kemudian memberitahu Kamarul Zaman bahawa beliau boleh berinteraksi secara langsung dengan Mahathir dan bekas perdana menteri itu boleh menjawap soalannya.

Ketika itu, profesor berkenaan kelihatan agak tidak selesa di kerusinya sambil tersenyum simpul dan menjawab, "saya okay". Dia kemudian kelihatan kehilangan kata-kata, dan tertera pula tajuk kecil, "Kenapa gagap. Hahaha."

Seterusnya, video memaparkan Dr Mahathir senyum apabila Kamarul Zaman menyoal sama ada bekas perdana menteri mampu mengawal parti seperti DAP dan tajuk yang muncil, "Aik..Tetebia cakap pasal DAP pulak... Tun senyum jelah."

Video itu berakhir dengan gambar Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah bergambar dengan ahli panel di pentas dengan bekas perdana menteri itu memandang ke arah Kamarul Zaman yang berdiri di sebelahnya.

Video Pensyarah UUM 'Terkucil Ketakutan' Depan Tun Mahathir

Tajuk kecil yang tertera pula adalah, "Bukak la mic tu dulu kalau gelabah pun."

Ini merujuk kepada mikrofon Kamarul Zaman masih melekat di telinganya sedangkan semua ahli panel termasuk moderator, masing-masing telah menanggalkan mikrofon mereka.

Face to Face!

Tun Mahathir kemudian menulis di Twitter mengenai kehadirannya.

“Ada forum bertajuk, “Adakah Tun M terlalu Tua untuk jadi PM?” Saya hadir. I’m here guys. Say it to my face. (Saya ada di sini. Cakap depan-depan.),” ciapnya.

Perdana Menteri selama 22 tahun itu kemudiannya dijemput menyertai perbincangan berkenaan.

“Bila saya letak jawatan, saya ingat saya boleh naik cruise (kapal layar),” katanya sambil disambut gelak ketawa oleh hadirin.

Dr Mahathir juga berkongsi rahsianya kekal sihat pada usia mencecah 93 tahun.

“Ramai tanya saya macam mana nak jaga badan, bagi saya jangan terlebih makan. Bila sedap makan berhenti kata mak saya.

“Saya aktif bukan tubuh badan sahaja malah akal fikiran.

“Dari dahulu saya aktif iaitu memikir dan menyelesaikan masalah. Dari segi menjaga kesihatan saya sedar kalau kita terlalu gemuk ia tidak bagus,” katanya.

Sambil mengakui dirinya didesak untuk menjadi calon perdana menteri Pakatan Harapan, Dr Mahathir mengakui tidak senang dengan perkembangan politik hari ini.

“Bila saya lancar Deklarasi Rakyat, pembangkang sertai saya. Saya banyak kali nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak namun tak jalan.

“Bukan senang nak dalam kumpulan pembangkang kerana dahulu saya pernah kutuk mereka dan mereka pernah kutuk saya,” katanya.

Beliau juga mengakui bahawa golongan muda hari ini lebih berani bercakap berbanding dahulu.

“Ramai yang kawan saya dahulu, takut nak dekati saya sekarang ini rentetan pilihan politik saya,” katanya.

Mahathir juga kemudian mendominasi forum itu apabila moderator dan ahli panel sendiri turut bertanya soalan kepada Mahathir.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Akaun Rasmi Instagram Tun Mahathir @Chedetofficial



sumber: mk | mk2

Pengundi Wajib Semak Lokasi Tempat Mengundi Seminggu Sebelum PRU14

Pengundi Wajib Semak Lokasi Tempat Mengundi Seminggu Sebelum PRU14

Pemilih berdaftar diminta membuat semakan maklumat pengundian selewat-lewatnya seminggu sebelum tarikh pengundian Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi mengelak sebarang masalah berhubung lokasi sebenar tempat mengundi.

Pengundi Wajib Semak Lokasi Tempat Mengundi Seminggu Sebelum PRU14

Ketua Program Pengurusan Strategik Akademi Pilihan Raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Khadijah Ishak berkata, antara masalah yang dijangka berlaku termasuk perubahan tempat mengundi khususnya kepada pemilih berdaftar yang bertukar alamat.

Jika usul persempadanan semula bahagian pilihan raya dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat serta diguna pakai untuk PRU14, terdapat kemungkinan berlaku perubahan tempat mengundi kepada sebahagian pemilih berdaftar.

Contohnya, sebelum ini undi di sekolah A, tetapi sebab ada persempadanan baru jika diguna pakai, mungkin bertukar ke sekolah B atau sekolah C.

Jadi, prngundi tidak boleh menganggap (PRU) lima tahun lepas dia mengundi di sekolah A, tidak semestinya PRU kali ini mengundi di tempat sama.

Oleh itu, semakan perlu dibuat dan menjadi tanggungjawab kepada pengundi itu sendiri bagi memudahkan semasa hari pengundian.

Meskipun borang semakan SPR disediakan di tempat-tempat mengundi, namun ia hanya menyediakan perkhidmatan menyemak nombor saluran mengundi, bukan untuk semakan daftar pemilih.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Cara Daftar Mengundi Dan Semakan Lokasi Pengundian Online

sumber: dialograkyat

Misteri Semut Keluar Dari Mata Membingungkan Doktor

Misteri Semut Keluar Dari Mata Membingungkan Doktor

Seorang kanan-kanak perempuan, Ashwini, 11, menjadi tajuk berita selepas kira-kira 60 ekor semut dikeluarkan dari matanya, yang mana doktor pada mulanya mencadangkan serangga itu masuk ke dalam badannya melalui telinga.

Misteri Semut Keluar Dari Mata Membingungkan Doktor

Awal bulan Mac 2018 lalu, Ashwini yang tinggal di Belthangady, India, mula mengadu matanya sakit teruk dan memberitahu ibu bapanya bahawa dia merasakan ada sesuatu yang tersekat di kelopak matanya.

Setelah diperiksa, mereka mendapati terdapat semut di sebelah matanya.

Bagaimanapun, mereka tidak menganggap ia serius kerana berfikir serangga itu masuk ke dalam matanya secara tidak sengaja, tetapi tidak lama kemudian Ashwini mengadu sakit mata sekali lagi.

Kali ini mereka menemui lebih banyak semut yang sudah mati dan mereka terus membawanya ke hospital.

Seorang doktor tempatan memberitahu ibu bapa Ashwini bahawa serangga itu mungkin masuk ke dalam tubuhnya melalui telinga dan kemudian 'sampai' ke matanya.

Dia memberikan beberapa titis ubat mata untuk membantu rasa tidak selesa yang dialami Ashwini, tetapi setiap hari terdapat lima hingga enam ekor semut dikeluarkan dari matanya setiap hari dan sekitar 60 ekor semut mati di mata Ashwini dalam tempoh 10 hari.

Situasi pelik ini menyebabkan doktor di Belthangady bingung bagaimana semut-semut itu boleh berada di mata Ashwini atau apa yang boleh mereka lakukan untuk menghentikan fenomena aneh ini.

Misteri Semut Keluar Dari Mata Membingungkan Doktor

Dia akhirnya dibawa ke hospital mata di Moodabidri, di mana keluarganya berharap mendapat beberapa jawapan.

IB Times melaporkan ibu bapa Ashwini bimbang dia telah diganggu 'semangat jahat', jadi mereka juga membawanya berjumpa seorang ahli nujum yang memberitahu mereka bahawa semut di mata itu disebabkan oleh sesuatu yang dipanggil Naga Dosha (sumpahan ular).

Beberapa tahun yang lalu, berlaku kes aneh yang mana semut keluar dari telinga seorang budak perempuan dari India Shreya Darji, setiap hari.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Misteri! Seekor Semut Tahu Apabila Ajalnya Akan Tiba

sumber: mstar

Para Nabi Solat Di Dalam Kubur

Para Nabi Solat Di Dalam Kubur

Antara nikmat yang diperoleh daripada kehidupan di alam barzakh ialah melakukan solat dalam kubur secara hakiki dan bukannya khayalan ataupun imaginasi semata-mata. Banyak hadis yang diriwayatkan berhubung perkara ini.

Para nabi solat dalam kubur

Antaranya daripada Anas ibn Malik beliau berkata, Rasullullah SAW bersabda, "Para Nabi sebenarnya hidup di dalam kubur mereka; melakukan solat." (Riwayat Abu Yaala dan Al-Bazzar, Majma 'Al-Zawaid: Juzu' 8: Halaman: 211)

Telah berkata Imam al-Hafiz al-Baihaqi dalam riwayat daripada Anas ibn Malik, daripada Nabi SAW bersabda, "Sesungguhnya para nabi tidak dibiarkan di dalam kubur-kubur mereka setelah 40 malam, tetapi mereka solat di hadapan Allah SWT sehinggalah hari ditiup sangkakala."

Imam al Baihaqi berkata, "Sekiranya benar hadis tersebut dengan lafaz ini, maka maksudnya ialah - Allah lebih mengetahui segalanya - mereka tidak dibiarkan melakukan solat di dalam kuburnya kecuali selama tempoh ini. Kemudian, mereka berpindah melakukan solat di hadapan Allah SWT. "

Imam al-Baihaqi berkata lagi, "Adapun hidupnya para nabi selepas kewafatan mereka, terdapat bukti daripada hadis-hadis yang sohih."

Kemudian Imam al-Baihaqi menyebutkan sebuah lagi hadis melalui sanadnya, "Aku melalui (tempat adanya) Musa AS dan aku dapati dia sedang berdiri mengerjakan solat di dalam kuburnya."

Beliau juga menyebut hadis ini, "Aku telah melihat diriku berada di dalam kumpulan para nabi, maka aku melihat Musa AS sedang berdiri mengerjakan solat, beliau adalah seorang lelaki yang kurus dan mempunyai rambut kerinting seperti lelaki dari kaum Syunu'ah (di Yaman), kedapatan juga Isa anak Maryam AS yang berdiri menunaikan solat dan lelaki yang paling hampir rupa dengannya ialah Urwah ibn Mas'ud al-Thaqafi, kedapatan juga Ibrahim AS yang berdiri menunaikan solat, beliau serupa dengan sahabat kalian ini (iaitu Baginda SAW), maka tibalah masa untuk bersolat dan aku pun mengimami mereka. Apabila selesai solat, berkata seseorang, "Wahai Muhammad! Ini adalah Malik penjaga neraka, maka ucapkanlah salam kepadanya." Maka aku pun berpaling ke arahnya dan beliau mendahului aku mengucapkan salam." (Riwayat Muslim dan Abd Razzaq dalam Musannafnya)

Telah berkata al-Baihaqi di dalam Kitab Dalail al Nubuwwah, "Dalam hadis sohih riwayat daripada Sulaiman al Taimi dan Thabit al Bunani, daripada Anas ibn Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Aku bertemu dengan Musa AS pada malam aku diperjalankan (isra') di Kathib al Ahmar (suatu tempat di Palestin), dan dia ketika itu, sedang berdiri mengerjakan solat di dalam kuburnya." Saya berkata (Hadis ini adalah sahih)." (Riwayat Muslim daripada Anas RA)

Maka tanpa syak lagi, bahawa sebab dikurangkan solat ke atas kita daripada 50 kepada lima solat sahaja adalah kerana (nasihat) Nabi Musa AS yang telah wafat dan telah sempurna menunaikan segala risalah Tuhannya.

Baginda Rasulullah telah kembali ke pangkuan Allah SWT, tetapi Bagindalah penyebab sampainya sebesar-besar nikmat kepada umat Nabi Muhammad SAW ketika mana Nabi Musa memohon supaya Nabi Muhammad kembali menemui Tuhannya untuk meminta pengurangan.

Nabi Musa bersabda, "Mintalah kepada Tuhanmu supaya dikurangkan (solat) kerana umatmu tidak akan mampu untuk melaksanakannya."

Adakah peristiwa pengulangan Rasulullah itu benar-benar berlaku atau sekadar khayalan? Adakah ia terjadi dalam keadaan jaga atau tidur? Adakah ia benar atau suatu penipuan? Adakah Nabi Musa telah wafat atau masih hidup sehingga waktu peristiwa ini berlaku?

Al Hakim telah meriwayatkan dan mensohihkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a., "Bahawa Nabi ketika melalui suatu lembah, baginda SAW bersabda, "Lembah apakah ini?" Mereka menjawab, "Lembah ini dan ini." Baginda bersabda, "Saya seakan-akan melihat Yunus AS sedang berada di atas seekor unta yang mempunyai kekang daripada sabut kurma dan dia memakai jubah daripada bulu kambing."

Nabi Yunus AS bersabda: "Saya sahut panggilan-Mu, ya Allah!" (Al-Suyuti, Al-Durr Al-Manthur, 4:234)

Dalam hadis yang lain menyebut: "Pada suatu malam, aku melihat diriku berada di sisi Kaabah. Maka aku melihat seorang lelaki berkulit sawo matang seperti lelaki berkulit sawo matang yang paling segak yang pernah kamu lihat. Dia mempunyai rambut panjang secantik yang pernah kamu lihat, dia telah menyikatnya dan menitis air daripadanya. Dalam keadaan berteleku di atas dua orang lelaki - atau di atas tengkuk dua orang lelaki - dia mengerjakan tawaf di Baitullah.

Aku pun bertanya, "Siapakah ini?" Maka dikatakan, "Ini adalah al-Masih anak Maryam AS."

Dalam hadis yang lain menyebut, "Sesungguhnya Rasullullah SAW melalui kawasan wadi al Azraq, lalu Baginda SAW bersabda, "Aku seakan-akan melihat Nabi Musa AS sedang menuruni sebuah bukit. Dia mengangkat suaranya mengucap talbiah."

Kemudian baginda pergi ke lembah Harsya, lalu bersabda, "Aku seakan-akan melihat Yunus ibn Matta AS di atas seekor unta merah yang kerinting bulunya, memakai jubah daripada bulu dan kekang unta daripada pulur pohon kurma, beliau ketika itu sedang bertalbiah."

Dalam hadis yang lain, disebut, "Aku seakan-akan melihat Musa AS sedang meletakkan dua jarinya di kedua belah telinganya."

Hadis-hadis yang dinyatakan di atas terdapat dalam kitab sohih. Demikian juga solat yang mereka dirikan dan Nabi menjadi imam ketika solat bersama mereka. Peristiwa itu tidak dikatakan dilihat dalam mimpi, hanya kerana sabda Baginda, "Aku melihat diriku" - menunjukkan kepada tidur.

Ini kerana peristiwa Israk dan segala yang disepakati berlaku dalam peristiwa tersebut berlaku secara jaga menurut pendapat yang sohih yang menjadi pegangan jumhur ulama Salaf dan Khalaf.

Namun, sekiranya dikatakan juga ia berlaku dalam tidur, maka apa yang disaksikan dalam mimpi para Nabi adalah benar belaka.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Bagaimana Cara Solat Para Nabi Sebelum Nabi Muhammad SAW?

sumber: utusan