Nov 13, 2014

Misteri Makhluk Buas Dari Gevaudan

Info Misteri. Pada pertengahan tahun 1700an, lebih dari 100 penduduk mati kerana serangan makhluk misteri yang disebut sebagai Si Buas Dari Gevaudan. Serangan yang menimpa para penduduknya masih lagi menjadi misteri sehingga kini.

Gevaudan

Tidak ada yang dapat memastikan jumlah sebenar mangsa serangan makhluk Gevaudan. Namun, Dr. Beaufort yang pernah mengkaji kes ini yakin paling kurang 210 serangan dikaitkan dengan makhluk tersebut.

Antara 210 serangan itu, seramai 49 mangsa cedera dan 113 kematian. 98 mangsa mati akibat digigit.

Semuanya bermula pada 1 Jun 1764. Ketika itu seorang remaja wanita berusia 14 tahun keluar untuk mengembala ternakannya ke sebuah padang rumput berhampiran Gevaudan, Perancis. Dia tidak menyangka apa yang menimpanya akan menjadi permulaan sebuah misteri yang berlangsung hingga ratusan lamanya.

Ketika sedang memerhatikan ternakannya, dia melihat ke arah semak-samun yang ada di situ. Gerakan pada semak itu membangkitkan rasa ingin tahunya.

Dia tidak perlu menunggu lama. Beberapa saat kemudian seekor haiwan besar seperti anjing keluar dari semak itu dan segera berlari ke arahnya. Walaupun haiwan tersebut memiliki rupa seperti anjing, badannya sangat besar, malah hampir menyamai besar seekor kerbau.

Ketika ia hendak menerkam, remaja itu menggunakan tongkat untuk memukulnya. Namun tenaga tidak mampu melawan makhluk bertubuh besar itu. Mujurlah ketika itu dia membawa bersama beberapa ekor anjing bersamanya. Anjing-anjing tersebut segera menyerang makhluk misteri itu. Makhluk itu masih berusaha mendekati gadis itu sebelum akhirnya berundur dan kemudiannya menghilang.

Tidak ada yang pernah melihat makhluk itu sebelumnya. Namun setelah peristiwa di padang rumput itu, ia mula sering muncul dan melakukan serangan yang membunuh lebih 100 orang.

Pada 30 Jun tahun yang sama, makhluk tersebut membunuh mangsanya yang pertama. Jeanne Boulet yang juga baru berusia 14 tahun ditemui mati berdekatan desa Les Hubacs, tidak jauh dari Gevaudan. Gadis malang tersebut ditemui dengan dadanya dirobek dan jantungnya yang telah dimamah.

Akhbar harian Paris Gazzete yang diterbitkan pada Jun 1764 memuatkan kenyataan saksi yang sempat melihat makhluk tersebut.

"Makhluk ini lebih tinggi dari Serigala. Tapak kakinya dilengkapi kuku. Warna bulunya kemerah-merahan. Kepalanya besar manakala mulutnya dipenuhi gigi-gigi tajam yang mirip dengan anjing Greyhound. Telinganya kecil dan lurus, dadanya lebar berwarna kelabu, sedangkan punggungnya memiliki alur berwarna hitam".

Makhluk itu juga disebut mengeluarkan bau yang sangat busuk. Maklumat yang disiarkan ini langsung tidak bersesuaian dengan mana-mana binatang yang dikenali pada zaman itu.

Pada bulan September 1764, mangsa yang mati akibat serangannya telah mencapai nisbah kepada seorang bagi setiap minggu. Setiap mangsa mati dengan keadaan mayat yang mengerikan. Biasanya leher akan dikoyak dan terlerai dari badan.

Pada bulan Oktober, kematian terus berlanjutan dengan penemuan mayat-mayat yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak di pelbagai temapt di desa.

Pada masa itu, berita mengenai makhluk ini telah tersebar luas ke seluruh Perancis. Penduduk desa di sekitar Gevaudan mengalami ketakutan yang luar biasa. Pintu-pintu rumah dikunci dan aktiviti di luar rumah dikurangkan. Mereka yang terpaksa keluar rumah akan membawa rakan dan senjata untuk melindungi diri.

Sebenarnya ada alasan lain mengapa penduduk kampung dicengkam ketakutan. Ini kerana khabar angin menyebutkan kononnya makhluk buas tersebut adalah seekor Loup Garou atau manusia serigala (Werewolf).

Khabar angin ini berkembang kerana dalam beberapa kejadian, makhluk itu dilihat tidak cedera dengan tembakan peluru yang dilepaskan. Malah, seorang petani berjaya menikamnya dengan pisau tetapi makhluk itu tidak cedera sama sekali!

Kenyataan ini membuatkan penduduk percaya mereka sedang berhadapan dengan makhluk supernatural.

Pada Januari 1765, terjadi satu peristiwa yang membuatkan Raja Perancis campur tangan. Ketika itu, Jacques Portefaix dan enam orang rakannya terserampak dengan makhluk berkenaan. Mereka berjaya melawan dan menghalaunya.

Tindakan yang dilakukan oleh Jacques dan rakan-rakannya segera menarik perhatian Raja Louis XV yang kemudiannya menghadiahkan wang penghargaan buat mereka semua.

Bukan itu sahaja, raja juga memutuskan untuk menghantar seorang pemburu serigala profesional bernama Jean Charles Marc Antoine Vaumesle d'Enneval dan anaknya Jean Francois untuk mencari serta membunuh raksasa itu. Malah, lebih dua ribu orang yang lain turut memburu makhluk tersebut.

Pada 17 Februari 1765, d'Enneval dan Francois tiba di Clermont Ferrand. Mereka membawa bersama lapan ekor anjing pemburu yang berpengalaman. Kedua-duanya menghabiskan masa selama berbulan-bulan untuk memburu dan membunuh serigala kerana mereka percaya haiwan-haiwan inilah yang telah bertanggungjawab diatas serangan-serangan berdarah tersebut.

Pada masa yang sama, jumlah serangan makhluk tersebut juga menurun.

Pada bulan Jun 1765, kesabaran raja mula goyah. Raja menggantikan dua pemburu tersebut dengan Francois Antoine yang sebelumnya bertugas sebagai pembawa senjata raja.

Pada 21 September 1765, Antoine berjaya membunuh seekor serigala besar yang memiliki ketinggian 80 sentimeter dengan panjang hingga 1.7 meter. Serigala ini telah digelar sebagai Le Loup de Chazes.

Mengenai haiwan itu, Antoine berkata: "Kami belum pernah melihat serigala dengan ukuran badan sebesar ini. Oleh kerana itu, kami menyimpulkan makhluk ini adalah makhluk yang telah melakukan serangan-serangan terhadap penduduk desa".

Bangkai serigala itu dibawa ke Versailles. Antoine dialu-alukan sebagai pahlawan dan menerima banyak wang sebagai hadiah.

Namun, serangan berdarah rupanya belum berakhir. Ini menunjukkan Antoine telah membunuh makhluk yang salah!

Gevaudan [2]

Pada 2 Disember 1765, makhluk itu kelihatan di La Besseyre Saint Mary dan menyerang dua orang kanak-kanak. Namun, pada bulan-bulan berikutnya jumlah mangsa terus menurun.

Pada tahun 1767, serangan-serangan tersebut tib-tiba sahaja terhenti dan ramai yang percaya makhluk itu telah mati.

Sayangnya kisah ini berakhir dengan kisah yang samar-samar. Tokoh sejarah mempunyai beberapa teori berbeza mengenai kisah berakhirnya serangan itu. Namun lagenda yang paling popular menyebut makhluk itu dibunuh oleh seorang penduduk tempatan bernama Jean Chastel pada 19 Jun 1767.

Menurut cerita, suatu hari, Chastel yang ketika itu sedang memburu makhluk tersebut bersama rakannya, duduk di sebuah tempat dan memutuskan untuk berdoa kepada Tuhan mengenai semua masalah ini. Setelah itu dia mengeluarkan kitabnya dan mula membaca. Baru beberapa perenggan, tiba-tiba makhluk tersebut muncul di hadapannya. Chastel segera membidik senapangnya dan membunuh makhluk itu.

Lagenda Chastel kemudian diambil oleh ramai penulis dan diubahsuai sehingga lebih berbaur kisah dongeng berbanding fakta.

Misalnya, salah seorang penulis menceritakan 'Beast of Gevauden' sebenarnya seekor serigala jadian dan Chastel sendiri adalah ayahnya. Disebabkan itulah dia berjaya membunuh dan menguburkannya disuatu tempat.

Penulis lain menyebutkan Chastel berjaya membunuhnya kerana menggunakan peluru perak.

Jadi, kita semua pada hari ini hanya membaca kisah yang bercampur-aduk antara fakta dan imaginasi.

Persoalannya, apakah sebenarnya makhluk itu?

-Sentiasapanas.com

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

2 comments

Mungkin jelmaan jin tu rasanya. Jin tu wujud & boleh menyerupai mcm2 kan...

Ada kemungkinan masalahnya diorang tu mana nak percaya benda-benda gitu kan..

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon