Friday, March 23, 2018

Para Nabi Solat Di Dalam Kubur

Loading...

Antara nikmat yang diperoleh daripada kehidupan di alam barzakh ialah melakukan solat dalam kubur secara hakiki dan bukannya khayalan ataupun imaginasi semata-mata. Banyak hadis yang diriwayatkan berhubung perkara ini.

Para nabi solat dalam kubur

Antaranya daripada Anas ibn Malik beliau berkata, Rasullullah SAW bersabda, "Para Nabi sebenarnya hidup di dalam kubur mereka; melakukan solat." (Riwayat Abu Yaala dan Al-Bazzar, Majma 'Al-Zawaid: Juzu' 8: Halaman: 211)

Telah berkata Imam al-Hafiz al-Baihaqi dalam riwayat daripada Anas ibn Malik, daripada Nabi SAW bersabda, "Sesungguhnya para nabi tidak dibiarkan di dalam kubur-kubur mereka setelah 40 malam, tetapi mereka solat di hadapan Allah SWT sehinggalah hari ditiup sangkakala."

Imam al Baihaqi berkata, "Sekiranya benar hadis tersebut dengan lafaz ini, maka maksudnya ialah - Allah lebih mengetahui segalanya - mereka tidak dibiarkan melakukan solat di dalam kuburnya kecuali selama tempoh ini. Kemudian, mereka berpindah melakukan solat di hadapan Allah SWT. "

Imam al-Baihaqi berkata lagi, "Adapun hidupnya para nabi selepas kewafatan mereka, terdapat bukti daripada hadis-hadis yang sohih."

Kemudian Imam al-Baihaqi menyebutkan sebuah lagi hadis melalui sanadnya, "Aku melalui (tempat adanya) Musa AS dan aku dapati dia sedang berdiri mengerjakan solat di dalam kuburnya."

Beliau juga menyebut hadis ini, "Aku telah melihat diriku berada di dalam kumpulan para nabi, maka aku melihat Musa AS sedang berdiri mengerjakan solat, beliau adalah seorang lelaki yang kurus dan mempunyai rambut kerinting seperti lelaki dari kaum Syunu'ah (di Yaman), kedapatan juga Isa anak Maryam AS yang berdiri menunaikan solat dan lelaki yang paling hampir rupa dengannya ialah Urwah ibn Mas'ud al-Thaqafi, kedapatan juga Ibrahim AS yang berdiri menunaikan solat, beliau serupa dengan sahabat kalian ini (iaitu Baginda SAW), maka tibalah masa untuk bersolat dan aku pun mengimami mereka. Apabila selesai solat, berkata seseorang, "Wahai Muhammad! Ini adalah Malik penjaga neraka, maka ucapkanlah salam kepadanya." Maka aku pun berpaling ke arahnya dan beliau mendahului aku mengucapkan salam." (Riwayat Muslim dan Abd Razzaq dalam Musannafnya)

Telah berkata al-Baihaqi di dalam Kitab Dalail al Nubuwwah, "Dalam hadis sohih riwayat daripada Sulaiman al Taimi dan Thabit al Bunani, daripada Anas ibn Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Aku bertemu dengan Musa AS pada malam aku diperjalankan (isra') di Kathib al Ahmar (suatu tempat di Palestin), dan dia ketika itu, sedang berdiri mengerjakan solat di dalam kuburnya." Saya berkata (Hadis ini adalah sahih)." (Riwayat Muslim daripada Anas RA)

Maka tanpa syak lagi, bahawa sebab dikurangkan solat ke atas kita daripada 50 kepada lima solat sahaja adalah kerana (nasihat) Nabi Musa AS yang telah wafat dan telah sempurna menunaikan segala risalah Tuhannya.

Baginda Rasulullah telah kembali ke pangkuan Allah SWT, tetapi Bagindalah penyebab sampainya sebesar-besar nikmat kepada umat Nabi Muhammad SAW ketika mana Nabi Musa memohon supaya Nabi Muhammad kembali menemui Tuhannya untuk meminta pengurangan.

Nabi Musa bersabda, "Mintalah kepada Tuhanmu supaya dikurangkan (solat) kerana umatmu tidak akan mampu untuk melaksanakannya."

Adakah peristiwa pengulangan Rasulullah itu benar-benar berlaku atau sekadar khayalan? Adakah ia terjadi dalam keadaan jaga atau tidur? Adakah ia benar atau suatu penipuan? Adakah Nabi Musa telah wafat atau masih hidup sehingga waktu peristiwa ini berlaku?

Al Hakim telah meriwayatkan dan mensohihkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a., "Bahawa Nabi ketika melalui suatu lembah, baginda SAW bersabda, "Lembah apakah ini?" Mereka menjawab, "Lembah ini dan ini." Baginda bersabda, "Saya seakan-akan melihat Yunus AS sedang berada di atas seekor unta yang mempunyai kekang daripada sabut kurma dan dia memakai jubah daripada bulu kambing."

Nabi Yunus AS bersabda: "Saya sahut panggilan-Mu, ya Allah!" (Al-Suyuti, Al-Durr Al-Manthur, 4:234)

Dalam hadis yang lain menyebut: "Pada suatu malam, aku melihat diriku berada di sisi Kaabah. Maka aku melihat seorang lelaki berkulit sawo matang seperti lelaki berkulit sawo matang yang paling segak yang pernah kamu lihat. Dia mempunyai rambut panjang secantik yang pernah kamu lihat, dia telah menyikatnya dan menitis air daripadanya. Dalam keadaan berteleku di atas dua orang lelaki - atau di atas tengkuk dua orang lelaki - dia mengerjakan tawaf di Baitullah.

Aku pun bertanya, "Siapakah ini?" Maka dikatakan, "Ini adalah al-Masih anak Maryam AS."

Dalam hadis yang lain menyebut, "Sesungguhnya Rasullullah SAW melalui kawasan wadi al Azraq, lalu Baginda SAW bersabda, "Aku seakan-akan melihat Nabi Musa AS sedang menuruni sebuah bukit. Dia mengangkat suaranya mengucap talbiah."

Kemudian baginda pergi ke lembah Harsya, lalu bersabda, "Aku seakan-akan melihat Yunus ibn Matta AS di atas seekor unta merah yang kerinting bulunya, memakai jubah daripada bulu dan kekang unta daripada pulur pohon kurma, beliau ketika itu sedang bertalbiah."

Dalam hadis yang lain, disebut, "Aku seakan-akan melihat Musa AS sedang meletakkan dua jarinya di kedua belah telinganya."

Hadis-hadis yang dinyatakan di atas terdapat dalam kitab sohih. Demikian juga solat yang mereka dirikan dan Nabi menjadi imam ketika solat bersama mereka. Peristiwa itu tidak dikatakan dilihat dalam mimpi, hanya kerana sabda Baginda, "Aku melihat diriku" - menunjukkan kepada tidur.

Ini kerana peristiwa Israk dan segala yang disepakati berlaku dalam peristiwa tersebut berlaku secara jaga menurut pendapat yang sohih yang menjadi pegangan jumhur ulama Salaf dan Khalaf.

Namun, sekiranya dikatakan juga ia berlaku dalam tidur, maka apa yang disaksikan dalam mimpi para Nabi adalah benar belaka.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Bagaimana Cara Solat Para Nabi Sebelum Nabi Muhammad SAW?

sumber: utusan

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

1 comments so far

bukannya kalau mati di tempatkan antara dabbatul ardh atau di taman surga...bukannya di kuburan

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon