Friday, March 23, 2018

Sejarah Istiadat Sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor


Sultan Abu Bakar menyambut 'Hari Kerajaan' iaitu ulang tahun hari baginda diperajakan pada 1 Syaban 1278 (1hb Mac 1862) dan anakanda baginda, Sultan Ibrahim meneruskan tradisi sambutan Hari Kerajaan mengikut tarikh baginda menaiki takhta pada 17 Rabiul Awal 1313 (7hb September 1895).

Sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor

Pada tahun 1897, Sultan Ibrahim menukar tarikh sambutan Hari Kerajaan kepada ulangtahun hari keputeraan baginda 17hb September 1873 selaras dengan kehendak Islam ketika menyambut Hari Maulud bagi Nabi Muhammad SAW, dan seperti diraikan oleh raja-raja Eropah.

Pada tahun 2015 DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menukar sambutan ulangtahun hari keputeraan baginda dari 22hb November kepada 23hb Mac diatas keprihatinan baginda mengelakkan kesulitan rakyat semasa musim banjir yang sering belaku dalam bulan November.

Justeru itu, tarikh 23hb Mac dipilih bersempena tarikh Istiadat Kemahkotaan baginda bermula tahun 2015.

*Sambutan ulang tahun Hari Keputeraan rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada 23 Mac 2018 ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

MAJLIS SAMBUTAN HARI KEPUTERAAN

(Istiadat Letak Kerja, Majlis Tahlil Dan Doa Kesyukuran, Majlis Teriman, Majlis Mengadap Takzim, Majlis Darjah dan Pingat, Majlis Jamuan Teh).

Istiadat Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Tuanku mengandungi adunan tradisi Melayu dan budaya istana, unsur-unsur ajaran Islam dan perlakuan barat.

ISTIADAT LETAK KERJA

Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Tuanku dimulakan dengan Istiadat Letak Kerja yang dilakukan 3 hari sebelumnya sebagai simbolik bermulanya sambutan berkenaan.

Istiadat itu disempurnakan dengan upacara menaikkan Bendera Istiadat Kerajaan Johor di Tugu Peringatan Istana Besar.

Upacara menaikkan bendera berkenaan dimulakan dengan perarakan membawa masuk bendera Istiadat Kerajaan oleh Askar Timbalan Setia Negeri Johor dan diikuti bacaan doa oleh Mufti.

Dato' Penghulu Istiadat akan membacakan pengisytiharan bendera Adat Istiadat akan dikibarkan sepanjang Sambutan Hari Keputeraan.

Istiadat itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor diiringi pancaragam Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSN).

Tujuh das tembakan meriam kedengaran sejurus bendera dinaikkan.

MAJLIS TAHLIL DAN DOA KESYUKURAN

Pada malam sebelum Sambutan Hari Keputeraan Majlis Tahlil Dan Doa Kesyukuran diadakan di Masjid Sultan Abu Bakar sebagai tanda kesyukuran kehadrat Allah SWT melanjutkan usia Tuanku dalam keadaan aman dan sejahtera bagi menaungi dan memimpin rakyat.

MAJLIS DOA KESYUKURAN

Pada hari esoknya diadakan Majlis Doa Kesyukuran bertempat di Dewan Cina Istana Besar, dihadiri dif lelaki sahaja. Pakaian yang ditetapkan adalah uniform istiadat dengan tanda-tanda kebesaran.

DYAM Tunku Mahkota berangkat ke Majlis tersebut. Tembakan meriam 21 das bermula sebaik sahaja Mufti menyebut nama DYMM Tuanku didalam doa.

Setelah tamat doa Perangkatan Tunku Mahkota, kerabat dan dif berjalan menuju ke Bilik Singgahsana Istana Besar didahului Pasukan Penjawat Istana yang membawa semua Peralatan Istiadat Kerajaan.

Peralatan Istiadat Kerajaan yang diilhamkan oleh Sultan Abu Bakar mengandungi Cogan Agama, Cogan Alam, Panji-Panji Raja, Bendera Negeri Johor, Keris Darjah Kerabat, Keris Darjah Mahkota, 2 payung besar, 2 payung kecil, 16 batang lembing dan 8 batang tongkat.

Peralatan ini adalah simbolik memperkasakan kedaulatan dan kuasa Raja.

Lagu Bangsa Johor dimainkan bagi menyambut keberangkatan tiba DYMM Tuanku dan DYMM Permaisuri Johor di Tangga Agong Istana Besar.

Kemudian, DYMM Tuanku berkenan memeriksa barisan kehormatan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSN) sebelum berangkat naik ke Bilik Persemayaman.

MAJLIS TERIMAN

DYAM Tunku Mahkota akan mempersembah ucap selamat dan Ikrar Taat Setia bagi pihak kerabat, serta berdoa agar usia DYMM Tuanku Sultan dan DYMM Permaisuri Johor berpanjangan, bertambah kedaulatan dan kekal memerintah negeri Johor.

Tunku Mahkota juga berterima kasih di atas keperihatinan dan perkenan baginda membolehkan DYAM Tunku Mahkota mempelajari hal-hal pentadbiran negeri dan bercampur gaul dengan rakyat jelata.

YAB Menteri Besar diapit oleh seorang wakil kaum Cina dan seorang wakil kaum India mengadap dan menyembahkan ucapan tahniah bagi pihak kerajaan dan rakyat.

DYMM Tuanku bertitah menyeru rakyat hidup dalam rukun damai, sentiasa bermuafakat serta mengukuhkan perpaduan.

MAJLIS MENGADAP TAKZIM

DYAM Tunku Mahkota mengadap takzim, diikuti YAM Tunku Temenggong, YAM Tunku Bendahara, YAM Paduka Putera-putera dan Puteri, Yang DiPertua Jumaah, dan Menteri Besar.

Perlakuan mengadap takzim adalah berdiri tegak dihadapan Tuanku, kedua dua tangan rapat dibadan, dan tundukkan kepala sambil merencungkan badan sedikit kehadapan.

MAJLIS DARJAH DAN PINGAT

Sejarah Istiadat Sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor
Gambar fail.

100 individu akan dikurniakan darjah kebesaran dan pingat sempena Hari Keputeraan Sultan Johor.

Kesemua pengurniaan itu dilakukan mengikut Fasal 7(2)(e) Bahagian Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1985 tanpa ada individu tertentu memberi cadangan atau syor kepada Sultan.

Mereka yang menerima anugerah adalah golongan yang telah banyak menyumbang pembangunan kepada Johor, menjaga kebajikan rakyat, setia, berwibawa, berintegriti dan berjasa kepada baginda.

Majlis diakhiri dengan baca doa penutup Istiadat oleh Kadi Besar.

MAJLIS JAMUAN TEH

Majlis Jamuan Teh untuk rakyat yang diadakan pada hari esoknya memberi peluang kepada DYMM Tuanku untuk bercampur gaul dengan rakyat dalam semangat Raja dan Rakyat Berpisah Tiada.

Kerajaan prihatin memastikan rakyat jelata turut mengambil bahagian bersama dalam perayaan ini.

Oleh itu, kerajaan mengatur beberapa temasya termasuk sukan, pertunjukan kebudayaan dan pertandingan yang melibatkan penyertaan rakyat di setiap daerah di negeri Johor.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kesultananjohor

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon