Sunday, October 14, 2018

Untung Lumayan Tanam Pokok Sengon (Kayu Balak), Bernilai Tinggi Dan Cepat Membesar!

Untung Lumayan Tanam Pokok Sengon (Kayu Balak), Bernilai Tinggi Dan Cepat Membesar!

Di Malaysia tak ramai orang mengenali pokok Sengon (Paraserianthes falcataria) atau nama lainnya Albazia, Puak, Kayu Mancis, Batai dan Jeungjin yang digunakan untuk menghasilkan kayu bagi industri perkayuan dan perabot.

Untung Lumayan Tanam Pokok Sengon (Kayu Balak)

Ia berasal dari kepulauan sebelah timur Indonesia iaitu Maluku dan Papua yang pada penghujung abad yang lepas, spesis ini mula menyebar ke seluruh Asia Tenggara.

Ciri utama yang membezakan pokok Sengon dengan pokok-pokok kayu balak yang lain ialah kadar pertumbuhan yang cepat.

Pokok ni boleh ditebang pada usia 4-6 tahun dan oleh kerana balak adalah satu produk komoditi, harganya agak stabil dan kompetetif. Pokok Sengon juga mudah ditanam dan memerlukan penjagaan yang minimum.

Gabungan ciri-ciri tersebut seakan-akan menjadikannya lebih menguntungkan daripada getah dan kelapa sawit.

Pokok Sengon terkenal di Indonesia sebagai sejenis pokok balak yang paling banyak ditanam secara komersil. Ianya semakin terkenal semenjak kerajaan Indonesia melancarkan program “Sengonisasi” pada tahun 1989.

Kini terdapat beribu-ribu hektar tanah telah ditanam dengan pokok Sengon yang sebahagian besarnya diusahakan oleh organisasi besar seperti HTI dan Perum Perhutani. Keluasan tanah yang terlibat juga meningkat dari tahun ke tahun.

Ciri-ciri Pokok Sengon

Pokok Sengon mempunyai batang yang lurus, tidak berbanir, kulit berwarna kelabu putih, licin, tidak mengelupas dan tiada cabang sehingga mencapai ketinggian 20 meter.

Pokok ini berbunga sepanjang tahun dan buah Sengon yang dihasilkan mempunyai panjang sekitar 6-12 cm. Setiap buah mempunyai biji diantara 15-30 biji.

Habitat Sengon

Sengon termasuk kategori tumbuhan yang cepat membesar iaitu pada kadar 8 meter setahun, merupakan tumbuhan tropika dan memerlukan suhu sekitar 20-33 darjah selsius.

Ianya sesuai dengan iklim monson dan lembab dengan jumlah hujan diantara 200-2700 mm/tahun dan ssesuai dengan keadaan tanah lempung berpasir dan mempunyai pengairan sederhana.

Kegunaan Sengon

Kayu Sengon mengandungi peratusan selulosa yang tinggi dan ini menjadikannya sesuai digunakan dalam industri kayu dan kertas.

Dengan nilai semasa di antara RM150 – RM1200 per kubik meter, kayu Sengon banyak diusahakan secara komersial untuk memenuhi permintaan industri perabot, pensil, papan dan kertas.

Kaedah Penanaman

Anak pokok Sengon disediakan menggunakan biji benih dan terdapat beberapa spesifikasi jarak penanaman iaitu 4×4, 3×3, 2×3 atau 2×2.

Optimumnya ialah 3×3 yang mana kayu Sengon boleh membesar ke diameter 20 cm–40 cm pada tahun ke 5 atau 6. Saiz ini adalah bersesuaian dengan standard industri kayu lapis, pallet atau sawn timber.

Penggunaan baja-bio sepanjang tempoh penanaman boleh memastikan kadar pertumbuhan yang baik serta tahan penyakit.

Daun dan dahannya agak jarang dan membenarkan jumlah cahaya yang agak banyak ke tanah. Keadaan ini memungkinkan tanaman lain diselang-seli bersama pokok Sengon.

Penyakit

Daripada segi daya tahan penyakit, pokok Sengon adalah tumbuhan yang mempunyai daya tahan yang baik.

Walau bagaimana pun, ianya masih boleh terdedah kepada kerosakan jika menerima serangan serangga perosak dan penyakit secara berterusan.

Keadaan ini boleh mempengaruhi kadar pembesaran malah lebih teruk lagi membunuh pokok tersebut.

Penggunaan baja adalah salah satu alternatif dan ini telah pun dibuktikan dengan menggunakan baja-bio W20 (Bio-Q) pada anak-anak pokok yang diserang penyakit.

4 Jenis Pokok Sengon

1. Sengon Buto (Enterolobium cyclocarpum)

Jenis sengon yang pertama adalah Sengon Buto atau sengon merah, merupakan jenis sengon yang memiliki pertumbuhan sangat cepat berbanding jenis sengon lainnya.

Ciri ciri sengon buto iaitu memiliki tekstur yang lebih kasar pada bahagian kulitnya atau dikatakan agak bersisik dan berbeza dari jenis lainnya.

Warna kulit batangnya kemerah-merahan dan batangnya lebih besar berbanding pokok sengon jenis lain.

Ciri pohon Sengon Buto yang lain adalah kayunya yang mudah patah dan mungkin ini adalah kelemahan utama pokok Sengon Buto berbanding baka sengon yang lain.

2. Sengon Laut (Paraserianthes falcataria)

Jenis sengon yang kedua ini adalah sengon laut atau biasa disebut dengan nama-nama daerah yang berbeza-beza, seperti jeungjing laut, salawaku, salawaku merah dan lain-lain.

Ciri-ciri sengon laut adalah memiliki warna putih kecoklatan, hampir seperti daging pucat, tekstur agak kasar dan memiliki serat lurus.

Pada bahagian permukaan kayu sengon laut agak licin dan berkilap dan aromanya jika masih segar seperti bau petai.

3. Sengon Solomon

Jenis sengon yang seterusnya adalah Sengon Solomon yang banyak ditanam untuk dijadikan papan membuat rumah dan kegunaan dalam pembinaan bangunan dan memiliki ketinggian sehingga 40 meter.

4. Sengon Tekek

Jenis sengon seterusnya adalah Sengon Tekek kerana bentuk permukaan kulitnya yang mirip dengan kulit cicak tokek.

Sengon tekek merupakan jenis sengon yang banyak digunakan dalam pembuatan kertas dan papan plywood.

Nilai Pelaburan

Persoalan paling utama ialah, adakah Pokok Sengon mempunyai nilai pulangan yang tinggi?

Nilai kayu balak ditentukan oleh:
  • Jenis kayu.
  • Diameter kayu. Lebih besar diameter maka lebih tinggi nilainya.
  • Kualiti kayu.

Diameter kayu adalah satu-satunya faktor yang boleh dimanipulasi iaitu dengan menentukan umur pokok yang ditebang dan penggunaan baja.

Dengan menggunakan jarak penanaman optimum iaitu 3×3, satu hektar tanah boleh ditanam 1,100 pokok Sengon.

Pada tahun ke 6, diameter pokok Sengon boleh mencapai diantara 20-40cm dan sekiranya kita mengambil diameter 25cm dan nilai semasa pada RM200 per kubik meter sebagai asas pengiraan, maka 1 hektar boleh memberi lebih RM200 ribu dalam tempoh 6 tahun.

Ini hanyalah perkiraan kasar dan tidak boleh dijadikan asas untuk anda memulakan pelaburan kayu Sengon.

Nilai sebenar mungkin lebih rendah atau lebih tinggi, tetapi apa yang nyata ialah kayu Sengon mempunyai nilai semasa yang tinggi dan kos pengurusan rendah yang mempunyai potensi sangat besar dan lumayan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Apa Itu Perjanjian 20 Perkara Sabah?

Apa Itu Perjanjian 20 Perkara Sabah?

Perjanjian 20 Perkara atau Memorandum 20 Perkara ialah senarai 20 perkara yang dibuat oleh Borneo Utara, mengusulkan syarat-syarat untuk Borneo Utara bersama-sama dengan Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura membentuk persekutuan Malaysia, pada 16 September 1963 sebagai negeri Sabah.

Apa Itu Perjanjian 20 Perkara Sabah?

Penerimaan perkara-perkara ini berbeza-beza, ada yang dimasukkan dalam Perlembagaan Malaysia dan ada yang cuma diterima secara lisan sahaja.

Perkara 20, Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Malaysia, adalah fakta dan sejarah, termaktub dan tertulis dengan jelas, sama ada sebagai dokumen memorandum politik atau perjanjian yang menggariskan soal hak-hak rakyat Sabah sebelum, semasa dan selepas bergabung membentuk Malaysia.

Dari sisi undang-undang, Perkara 20 sebagai memorandum perkara-perkara minima untuk perlindungan khas Sabah di dalam Perlembagaan bukanlah dokumen undang-undang yang boleh mengikat atau berkuasa. Ianya cuma relevan untuk menjadi bahan rujukan apabila Mahkamah tidak boleh menafsirkan Perlembagaan Malaysia ataupun Perjanjian Malaysia secara tepat.

Perjanjian 20 Perkara ini dan Perlembagaan Malaysia adalah dua ‘dokumen’ berasingan dan mempunyai matlamat serta justifikasi tersendiri, yang merupakan satu dokumen/memorandum yang sah dan ditulis dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) Bab 2 Perenggan 14, diwujudkan oleh pemimpin politik Negara Sabah pada ketika itu sebagai mewakili aspirasi rakyat Sabah semasa proses pembentukan Malaysia.

Perkara 20 merupakan memorandum yang dibentangkan oleh pakatan lima parti politik utama Sabah kepada Inter-Governmental Committee (IGC) yang telah ditubuhkan untuk mengenal pasti dan merangka draf Perlembagaan baru, untuk Persekutuan Malaysia yang baharu, dengan mengambil kira perlindungan dan kedudukan khas Sabah dan Sarawak.

Isi kandungan Perjanjian 20 Perkara
  • Perkara 1: Agama
  • Perkara 2: Bahasa
  • Perkara 3: Perlembagaan
  • Perkara 4: Ketua Persekutuan
  • Perkara 5: Nama Persekutuan
  • Perkara 6: Imigresen
  • Perkara 7: Hak Menarik Diri
  • Perkara 8: Borneonisasi
  • Perkara 9: Pegawai-pegawai British
  • Perkara 10: Kewarganegaraan
  • Perkara 11: Cukai dan kewangan
  • Perkara 12: Kedudukan khas bangsa asli/bumiputera Borneo Utara
  • Perkara 13: Kerajaan Negeri
  • Perkara 14: Jangkamasa Peralihan
  • Perkara 15: Pelajaran
  • Perkara 16: Perlindungan kepada Perlembagaan
  • Perkara 17: Perwakilan dalam Parlimen Persekutuan
  • Perkara 18: Nama Ketua Negeri
  • Perkara 19: Nama Negeri
  • Perkara 20: Tanah, hutan, kerajaan tempatan dan lain-lain

SENARAI PERKARA

Apa Itu Perjanjian 20 Perkara Sabah?

Berikut merupakan senarai perkara yang terkandung dalam perjanjian tersebut.

Perkara 1: Agama

Walaupun tiada bantahan terhadap agama Islam sebagai agama kebangsaan Malaysia akan tetapi agama rasmi sepatutnya tidak akan diadakan di Borneo Utara dan segala perundangan mengenai agama Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan Malaya tidak harus digunakan di Borneo Utara.

Perkara 2: Bahasa
  • Bahasa Melayu harus dijadikan Bahasa Kebangsaan Persekutuan.
  • Penggunaan Bahasa Inggeris harus diteruskan untuk tempoh sepuluh tahun selepas Hari Malaysia.
  • Bahasa Inggeris harus digunakan sebagai bahasa rasmi Borneo Utara untuk semua tujuan berkaitan dengan negeri dan persekutuan, tanpa had masa.

Perkara 3: Perlembagaan

Walaupun Perlembagaan Persekutuan Malaya diterima sebagai asas untuk membentuk Perlembagaan Malaysia, akan tetapi Perlembagan Malaysia seharusnya dipersetujui oleh pergabungan negeri-negeri bebas dan sepatutnya bukan sesuatu susunan pindaan kepada sebuah perlembagaan yang telah digubal dan dipersetujui oleh negeri-negeri yang berasingan di dalam keadaan yang berlainan sekali. Sebuah perlembagaan baru untuk Borneo Utara sewajarnya amat diperlukan.

Perkara 4: Ketua Persekutuan

Ketua (Yang Di Pertua Negara) Borneo Utara tidak layak untuk dipilih sebagai Ketua Persekutuan.

Perkara 5: Nama Persekutuan

"Malaysia" bukan "Melayu Raya".

Perkara 6: Imigresen

Kawalan ke atas penghijrahan dari luar ke mana-mana tempat di Malaysia seharusnya terletak di bawah kuasa kerajaan Persekutuan tetapi kemasukan ke Borneo Utara sepatutnya juga memerlukan persetujuan Kerajaan Negeri.

Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya berkuasa membatalkan kemasukan sesiapa pun ke dalam Borneo Utara jika ia berkaitan dengan urusan kerajaan negeri kecuali atas sebab-sebab keselamatan sahaja.

Borneo Utara seharusnya mempunyai kuasa yang tidak terhad ke atas pergerakan seseorang, kecuali mereka yang bertugas di bawah kerajaan Persekutuan daripada tempat-tempat lain Malaysia di Borneo Utara.

Perkara 7: Hak Menarik Diri

Hak untuk memisah atau menarik diri dari Persekutuan seharusnya tidak ada.

Perkara 8: Borneonisasi

Proses untuk melantik orang-orang tempatan ke dalam perkhidmatan awam negeri Borneo Utara seharusnya diwujudkan secepat mungkin.

Perkara 9: Pegawai-pegawai British

Segala usaha harus dibuat untuk menggalakkan pegawai-pegawai Birtish untuk meneruskan perkhidmatan mereka dalam perkhidmatan awam sehingga tempat mereka boleh diganti oleh orang-orang tempatan yang berkelayakan.

Perkara 10: Kewarganegaraan

Tertakluk kepada pindaan berikut, Perenggan 148(k) cadangan dalam Laporan Cobbold seharusnya menentukan hak kewarganegaraan penduduk Borneo Utara di dalam Persekutuan:
  • Perenggan kecil (I) seharusnya tidak mengandungi syarat mengenai penetapan selama 5 tahun.
  • Untuk diselaraskan dengan undang-undang kami, perenggan kecil (II) sepatutnya menyatakan "7 daripada 10 tahun" dan bukan "8 daripada 10 tahun".
  • Perenggan kecil (II) tidak sepatutnya mengandungi sekatan berkenaan dengan kewarganegaraan ibu bapa seseorang yang dilahirkan di Borneo Utara selepas Hari Malaysia semestinya menjadi warganegara persekutuan.

Perkara 11: Cukai dan kewangan

Borneo Utara seharusnya mempunyai kuasa ke atas kewangan, tabung pembangunan dan cukai sendiri.

Perkara 12: Kedudukan khas bangsa asli/bumiputera Borneo Utara

Pada prinsipnya bangsa asli Borneo Utara seharusnya menikmati hak keistimewaan seperti yang diberikan kepada bangsa Melayu di Malaya, tetapi formula yang dipraktikkan di Malaya tidak semestinya digunapakai oleh Borneo Utara.

Perkara 13: Kerajaan Negeri

Ketua Menteri harus dipilih oleh ahli-ahli tidak rasmi Majlis Perundangan. Borneo Utara seharusnya mempunyai suatu sistem kementerian yang sesuai.

Perkara 14: Jangkamasa Peralihan

Sepatutnya tujuh tahun dan dalam masa ini kuasa perundangan mesti diberikan kepada Kerajaan Borneo Utara mengikut perlembagaan dan tidak dipengaruhi oleh kerajaan persekutuan.

Perkara 15: Pelajaran

Sistem pelajaran Borneo Utara yang wujud sekarang harus diteruskan dan dengan itu ia harus diletakkan di bawah kawalan kerajaan negeri.

Perkara 16: Perlindungan kepada Perlembagaan

Tidak ada sebarang pindaan, perubahan atau pembatalan dapat dilakukan oleh Kerajaan Pusat kepada perlindungan-perlindungan yang diberikan khas kepada Borneo Utara tanpa persetujuan kerajaan Borneo Utara. Kuasa ini adalah hak mutlak penduduk negeri ini.

Perkara 17: Perwakilan dalam Parlimen Persekutuan

Ini sepatutnya bukan hanya bergantung kepada jumlah penduduk Borneo Utara tetapi juga kepada keluasan dan keupayaannya, dan dalam mana-mana perkara ia sepatutnya tidak kurang dari jumlah perwakilan dari Singapura.

Perkara 18: Nama Ketua Negeri

Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Perkara 19: Nama Negeri Sabah.

Perkara 20: Tanah, hutan, kerajaan tempatan dan lain-lain

Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai kuasa Majlis Tanah Persekutuan tidak harus melibatkan Borneo Utara.

Seperti itu juga, Majlis Kebangsaan Kerajaan Tempatan tidak harus melibatkan Borneo Utara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia

Awas Parcel Scam, Penipuan Kiriman Barang Dari Luar Negara!

Awas Parcel Scam, Penipuan Kiriman Barang Dari Luar Negara!

Orang awam diingatkan supaya tidak terpedaya dengan janji kiriman hadiah oleh sindiket ‘parcel scam’ atau penipuan kiriman bungkusan yang telah menyebabkan mangsa mengalami kerugian ratusan ribu ringgit, yang dipercayai didalangi sindiket warga asing.

Awas Parcel Scam

Walaupun telah diwar-warkan dan diberi peringatan oleh polis dan media massa, namun masih ada yang terpedaya dengan taktik berkenaan, yang mencari mangsa melalui pelbagai medium media sosial.

Mangsa kebanyakannya wanita, mengenali suspek daripada Facebook, Twitter atau mana-mana laman sosial lain dan kemudian mula menjalinkan persahabatan dengan mereka.

Modus operandi suspek masih sama, berkenalan di media sosial untuk tempoh tiga hingga empat bulan dan kemudian memberitahu mangsa, terdapat bungkusan dihantar untuk mereka, namun perlu memasukkan sejumlah wang ke satu nombor akaun untuk mendapatkan pelepasan Kastam KLIA.

Namun, apabila mangsa menyedari tidak wujud penghantaran barang tersebut, barulah mereka sedar sebenarnya telah ditipu dan membuat laporan polis.

MODUS OPERANDI

Mangsa dalam kes-kes penipuan bungkusan pada lazimnya akan berkenalan dengan suspek melalui laman sosial.

Suspek seterusnya akan meyakinkan mangsa bahawa dia telah jatuh cinta dengan mangsa dan seterusnya berhasrat mengirimkan bungkusan kepada mangsa sebagai tanda cinta.

Setelah bungkusan tersebut dikirim, mangsa akan dihubungi oleh seseorang yang mendakwa sebagai pegawai kastam atau syarikat perkhidmatan penghantaran dan memaklumkan bungkusan yang dikirim kepada mangsa telah sampai.

Mangsa kemudiannya diarahkan membayar cukai atau insuran kerana bungkusan tersebut dikesan mengandungi wang/barang berharga yang tidak diisytihar.

Mangsa turut menerima panggilan daripada warga tempatan yang mengatakan wang pelepasan perlu dibayar ke dalam akaun tertentu yang lazimnya dimiliki warga tempatan.

Mangsa hanya sedar ditipu apabila barang yang dijanjikan tidak diterima dan pihak sindiket berterusan meminta wang daripada mangsa dengan memberikan pelbagai alasan yang berbeza.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian | ccid

Bagaimana Teknologi Surat Khabar Tercipta?

Bagaimana Teknologi Surat Khabar Tercipta?

Penyebaran maklumat melalui tulisan semakin meluas sewaktu peradaban Mesir, ketika masyarakatnya telah menemui teknik pembuatan kertas daripada serat tumbuhan.

Bagaimana Teknologi Surat Khabar Tercipta?

Pada abad ke 8, kerajaan China telah mempelopori percetakan dengan menggunakan blok kayu yang dipahat askara Cina dengan cetakan yang diberi nama 'Ti-Pao' bermaksud 'Khabar Dari Istana'.

Pada tahun 1351, pemerintah China, Quang Soo telah mengedarkan akhbar berkenaan secara teratur seminggu sekali dan pada pertengahan kurun ke 15, Johannes Guttenberg telah berjaya mencipta mesin cetak.

Akhbar cetakan pertama yang berbentuk seperti sekarang ini muncul pertama kalinya pada tahun 1457 di Nurenberg, Jerman.

Salah satu peristiwa besar yang pertama kali disiarkan ialah pengumuman ekspedisi Christopher Columbus ke benua Amerika pada tahun 1493.

Pelopor surat khabar sebagai media berita utama ialah 'Gazette' yang diterbitkan di Venesia, Itali, pada tahun 1536 yang mana pada ketika itu, Republik Venesia masih dalam krisis peperangan.

Pada peringkat awal penerbitan, ia ditulis tangan dan dijual pada harga yang murah sebelum akhbar ini mula dicetak.

Bagaimana Teknologi Surat Khabar Tercipta?
German Relation.

Surat khabar cetak pertama terbit secara teratur pula ialah 'Oxford Gazzete' di tanah Inggeris pada tahun 1665, sebelum akhbar ini kemudiannya ditukar nama menjadi 'London Gazzete'.

Ketika Henry Muddiman menjadi editornya, untuk pertama kali dia telah menggunakan istilah 'newspaper'.

Teknologi percetakan akhbar ini kemudian terus berkembang ke seluruh Eropah dan Amerika.

Pada abad ke 18, organisasi kewartawanan semakin berkembang apabila akhbar mula dijadikan sebagai salah satu perniagaan dan alat propoganda politik kerajaan dan golongan konglomerat.

Ketika itu jugalah pejabat-pejabat akhbar mula menyusun berita dan tugasan kewartawanan secara sistematik.

Antara pelopor sistem ini yang masih kekal sehingga sekarang ialah Associated Press (AS) dan Reuters.

Bagaimana Teknologi Surat Khabar Tercipta?

Dalam era itu juga munculnya istilah Yellow Journalism, sebuah istilah pertempuran 'Headline' antara dua akhbar utama di Kota New York. Satu dimiliki oleh Joseph Pulitzer dan satu lagi milik William Randolph Hearst.

Ciri khas Yellow Journalism ini ialah corak pemberitaannya yang padat, tepat, sensasi dan judul yang diketengahkan mestilah menarik perhatian umum.

Tujuannya hanya satu, meningkatkan jualan dan konsep itu terus tersebar ke serata dunia dan kekal sehingga sekarang.

Akhbar Pertama Di Malaysia

Bagaimana Teknologi Surat Khabar Tercipta?

Di Malaysia, akhbar pertama diterbitkan adalah di Pulau Pinang pada 1 Mac 1806 dengan nama 'The Government Gazette'.

Dalam tempoh 22 tahun, akhbar ini mempunyai beberapa nama tetapi ia lebih dikenali sebagai 'The Prince of Wales Island Gazette'.

Ia ditubuhkan oleh seorang pencetak dan penerbit dari Madras bernama Andrew Burchett Bone yang berhijrah ke Pulau Pinang.

Pada awal penerbitannya, akhbar mingguan itu disemak oleh Setiausaha Kerajaan Negeri yang boleh membuang apa-apa bahan yang dianggap tidak baik.

Di penghujung kurun ke 19, akhbar berbahasa Melayu, Jawa Peranakan pula muncul. Utusan Melayu pula diterbitkan pada tahun 1907 di Singapura.

Kemudian, pada tahun 1920, Warta Malaya telah diterbitkan dan merupakan berita pertama dalam Bahasa Melayu. Akhbar ini ditulis oleh Datuk Onn Jaafar.

Utusan Malaysia diterbitkan pada 29 Mei 1939 dan Berita Harian diterbitkan pada 1 Julai 1957 sebelum kemerdekaan Tanah Melayu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Saturday, October 13, 2018

Saintis Iklim Beri Amaran Terakhir, 12 Tahun Tempoh Terakhir Pemanasan Global!

Saintis Iklim Beri Amaran Terakhir, 12 Tahun Tempoh Terakhir Pemanasan Global!

Para saintis kajian iklim memberi amaran terakhir bumi cuma ada masa sekitar 12 tahun lagi untuk mengekalkan pemanasan global pada tahap kenaikan suhu maksimum sebanyak 1.5 darjah Celsius daripada sebelum zaman perindustrian.

Saintis Iklim Beri Amaran Terakhir, 12 Tahun Tempoh Terakhir Pemanasan Global!

Kenaikan suhu planet lebih daripada 1.5°C atau pun lebih separuh darjah saja lagi akan memburukkan risiko bencana alam kemarau, banjir, gelombang haba, kekurangan makanan dan kemiskinan kepada ratusan juta manusia di seluruh dunia, terutamanya di kawasan rendah, delta, pesisir pantai dan pulau-pulau.

Ais yang mencair dari kutub Antartika, Artik dan Greenland pula mengalir ke laut dan menaikkan paras air laut berisiko menenggelamkan sebahagian besar penempatan manusia.

Laporan terbaharu 2018 Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah dilancarkan di Incheon, Korea Selatan dengan persetujuan 195 negara anggotanya.

Ia mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan, melibatkan penyertaan ribuan saintis, pakar dan ahli akademik.

Perlu perubahan mendadak

Laporan terbaru IPCC juga menegaskan perubahan mendadak dan pada kadar segera perlu dilakukan.

Semakin rendah pelepasan (gas rumah hijau seperti CO2) pada 2030, semakin kurang cabaran mengehadkan pemanasan global setakat 1.5 °C selepas tahun 2030.

Cabaran akibat menangguhkan tindakan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau termasuk risiko kenaikan kos, terbelenggu dalam infrastruktur yang mengeluarkan karbon, aset terkandas dan mengurangkan keanjalan dalam pilihan masa hadapan pada tempoh masa jangka sederhana hingga jangka panjang, kata IPCC pada bahagian Ringkasan kepada Penggubal Dasar sepanjang 33 halaman dalam laporan itu.

Cara dunia mengendalikan sistem tenaga, guna tanah, bandar dan industri memerlukan perubahan mendadak, saran laporan tersebut.

Untuk itu, IPCC mencadangkan beberapa langkah antaranya mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida (CO2) sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dari tahap pada 2010; tenaga boleh diperbaharui dijangka menyediakan 85 peratus bekalan elektrik menjelang 2050; hampir tiada tenaga arang batu dan peralihan daripada bahan bakar petroleum menjelang 2050.

Kesan negatif pada kesihatan

Laporan berkenaan juga menggesa individu melakukan perubahan ke arah gaya hidup lestari hijau.

Antaranya, individu digalakkan memandu kereta elektrik, berjalan atau berbasikal bagi jarak dekat serta mengurangkan perjalanan udara bagi urusan perniagaan dan berkomunikasi melalui sidang video.

Bagaimanapun, IPCC mengambil maklum faktor yang boleh menyekat perubahan mendadak yang diperlukan ini.

Kekangan ekonomi, institusi dan sosio budaya mungkin akan menjadi faktor menghambat peralihan sistem bandar dan infrastruktur, bergantung kepada keadaan negara, faktor setempat dan serantau, keupayaan dan kemampuan modal.

IPCC turut berkata, sebarang kenaikan suhu pemanasan global akan memberi kesan negatif terhadap kesihatan manusia.

Risiko dari beberapa penyakit bawaan vektor, seperti malaria dan demam denggi, dijangka meningkat dengan pemanasan dari 1.5°C ke 2°C.

Sejumlah 32,435 kes demam denggi dilaporkan berlaku di seluruh negara sejak Januari hingga 30 Jun tahun 2018 ini, berbanding tahun lalu, berlaku penurunan sebanyak 34.8 peratus atau 17,291 kes daripada 49,726 kes. Daripada 110 kematian pada 2017 kepada 53 kematian pada tempoh yang sama tahun ini.

Majalah berpengaruh kaum pemodal dunia, The Economist edisi penghujung September 2018 lalu pula menerbitkan laporan dengan judul Storms in America and the Pacific are evidence of climate change.

The Economist menyorot kemusnahan akibat taufan Florence pada 14 September dan kurang 12 jam kemudian taufan Mangkhut yang membadai Filipina, seterusnya Hong Kong dan selatan China mengaitkannya dengan peningkatan gas Co2 yang mengubah iklim dan memanaskan samudera.

Perkaitan dengan perubahan iklim berpunca daripada penimbunan gas rumah hijau di atmosfera yang dilepaskan oleh pembakaran bahan bakar fosil dan pemusnahan hutan.

Ia meciptakan ketidakseimbangan aliran tenaga yang keluar dan masuk ke planet ini, meningkatkan suhu. Sekitar 90 peratus tambahan tenaga ini terkumpul di dalam lautan. Samudera yang bertambah panas bermaksud ribut yang lebih ganas dan berpanjangan.

Bagaimanapun, The Economist mendapati maklum balas kecemasan kerajaan semakin bertambah baik dalam menghadapi bencana alam ini.

Taufan Haiyan, badai tropika paling kuat yang direkodkan pada 2013, berdasarkan perangkaan rasmi mengorbankan 6,300 nyawa, manakala 1,064 lagi hilang.

Secara perbandingan, cara kerajaan mengendalikan taufan Mangkhut (yang lebih besar daripada Haiyan) lebih berjaya.

Menjelang 19 September (2018) angka kematian mencecah 81 orang dan 70 lagi masih hilang, petik laporan itu lagi.

Dahulu, Sarawak sering dikritik memusnahkan hutan tropika paling tua di dunia melalui kegiatan pembalakan, pembinaan empangan mega dan pembukaan tanah pertanian.

Namun, pasca PRU ke-14 lalu, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg mengumumkan tidak ada lagi lesen baru dikeluarkan untuk pembalakan dan pembukaan tanah hutan bagi penanaman kelapa sawit. Suatu polisi yang dapat mengurangkan kesan perubahan iklim dan patut dicontohi di seluruh negara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Teknologi Bioremediasi Bersihkan Tumpahan Minyak

Teknologi Bioremediasi Bersihkan Tumpahan Minyak

Penyelidikan yang dilakukan kumpulan penyelidik di Makmal Penyelidikan Kesihatan Alam Sekitar di Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia, merupakan satu kaedah baharu dalam bidang bioremediasi di Malaysia apabila menggunakan sumber daripada bahan semula jadi iaitu bakteria daripada bebola tar yang tidak merosakkan alam sekitar, mampu mengatasi masalah pencemaran minyak di kawasan marin.

Teknologi Bioremediasi Bersihkan Tumpahan Minyak

Ia merupakan bebola tar yang dikutip daripada kawasan pantai timur di Pantai Rhu Sepuluh, Terengganu, terhasil daripada hidrokarbon yang wujud di dalam lapisan minyak. Gabungan hidrokarbon tersebut kemudian membentuk menjadi bebola tar berwarna hitam dan lazimnya ditemui di pesisiran pantai.

Bakteria ini dipencilkan daripada bebola tar yang dikutip di kawasan-kawasan pantai yang telah melalui proses disentrigasi apabila terapung di atas permukaan air laut dalam jangka masa yang panjang.

Kewujudan bakteria ini mampu membersihkan tumpahan minyak di laut dan seterusnya mengurangkan ancaman hidupan laut daripada masalah kepupusan.

Penyelidikan yang dilakukan itu merupakan satu kaedah baharu dalam bidang bioremediasi di Malaysia untuk membersihkan sebarang pencemaran atau tumpahan minyak.

Tumpahan minyak

Lebih menarik, tiada penyelidikan lain yang menyeluruh mengenai rawatan pencemaran minyak secara kaedah biologi yang menggunakan mikroorganisma sebagai agen pengurai.

Sebenarnya, selain kaedah pembersihan menggunakan proses bioremediasi ini, pelbagai kaedah lain telah diwujudkan untuk mengatasi pencemaran marin.

Sebagai contoh di negara-negara luar, mereka mengadakan pembakaran terkawal dan juga penyedutan minyak menggunakan peralatan canggih di kawasan-kawasan marin yang tercemar.

Pencemaran marin selalunya berpunca daripada tumpahan minyak dari pelabuhan dan galian minyak di lautan.

Selain itu, pelepasan sisa air yang mengandungi minyak dari terestial seperti sistem rawatan kumbahan juga menyebabkan hidupan marin terancam.

Justeru, teknologi bioremediasi ini sangat berpotensi dan berkesan untuk merawat air serta tanah yang tercemar dengan minyak yang mengandungi hidrokarbon tanpa memusnahkan persekitaran meskipun mengambil masa.

Kewujudan hidrokarbon petroleum boleh mencemarkan air laut dan ekosistem kawasan marin apabila ia memasuki persekitaran itu.

Hidrokarbon yang terkandung dalam minyak adalah toksik kepada hidupan marin. Ia akan membentuk satu lapisan minyak di atas permukaan air yang boleh mengganggu ekosistem hidupan di kawasan marin.

Situasi tersebut akan menyebabkan kemusnahan alga, rumpai air dan fitoplanton sebagai pengeluar serta sumber makanan dalam rantai makanan marin dan sungai malah, ia akan menghalang cahaya masuk ke dalam air untuk tumbuhan menjalankan proses fotosintesis.

Mesra alam

Teknologi Bioremediasi Bersihkan Tumpahan Minyak

Justeru, melalui proses degradasi (penguraian) minyak oleh bakteria, ia menjadi satu alternatif baharu yang mesra alam dan kos efektif untuk membersihkan perairan tercemar dan berskala besar seperti laut.

Hasil daripada penyelidikan yang dilakukan, Cellulosimicrobium cellulans ini boleh dibuat dalam bentuk serbuk atau cecair yang bermedia, kemudian disemburkan di kawasan persekitaran yang tercemar.

Bakteria tersebut kemudian akan melalui proses pertumbuhan secara semula jadi dengan menggunakan minyak sebagai sumber makanan iaitu sumber karbon dan seterusnya mengurai minyak dengan optimum.

Menariknya mengenai bakteria ini ialah ia mampu menguraikan antara 10 hingga 95.4 peratus minyak yang terdapat di dalam air.

Lazimnya, penguraian minyak oleh Cellulosimicrobium cellulans boleh diuraikan dalam tempoh 10 hari pada pH awal iaitu 7.5 dan suhu 32 darjah Celsius.

Biarpun begitu, parameter persekitaran seperti pH dan suhu perlu dikawal semasa aktiviti ini berjalan bagi membolehkan kadar degradasi maksimum berlaku walaupun ia bergantung kepada kadar kemasinan air laut tersebut.

Rawatan secara bioremediasi ini bersifat mesra alam dan kos yang rendah untuk membersihkan pencemaran minyak serta menukarnya kepada gas karbon dioksida dan air yang tiada toksik.

Aplikasi kaedah ini dapat mengawal pencemaran di kawasan berair iaitu sungai dan kawasan marin secara berkesan justeru, hidupan akuatik dapat ditingkatkan dan ekosistem seimbang wujud di kawasan tersebut dengan kehadiran rantai makanan yang teratur.

Biarpun kaedah ini selamat dan tidak mendatangkan kesan sampingan kepada hidupan marin, namun penggunaan bakteria untuk mengurai tumpahan minyak di kawasan pantai sangat kurang digunakan di Malaysia.

Dalam pada itu, eksperimen untuk menguji ketahanan Cellulosimicrobium cellulans dan seterusnya membolehkan kaedah ini dipraktikkan di persekitaran semula jadi yang tercemar dengan faktor persekitaran pelbagai.

Proses untuk mendegradasi bakteria ini pada skala yang besar di persekitaran bukanlah satu perkara yang mudah kerana faktor persekitaran yang sukar diduga.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo

Raysha Rizrose Kongsi Gambar Kereta Mewah, Tapi Lain Yang Peminat Komen

Raysha Rizrose Kongsi Gambar Kereta Mewah, Tapi Lain Yang Peminat Komen

Baru-baru ini, Raysha Rizrose ada memuat naik gambarnya di Instagram yang memaparkan juara Dewi Remaja 2015 itu sedang memandu uji sebuah kereta Mercedes Benz di sebuah pameran kenderaan.

Raysha Rizrose Kongsi Gambar Kereta Mewah, Tapi Lain Yang Peminat Komen

Foto tersebut telah mendapat lebih 77,000 tanda suka setakat ini selain turut dihujani komen pelbagai daripada netizen yang hanya fokus kepada susuk tubuh pelakon berkenaan termasuklah yang berbaur nakal.

Dalam pada itu, masih terdapat juga segelintir pihak yang tampil mempertahankan Raysha dengan menyifatkan banyak pihak yang cemburu dengan tubuhnya yang lansing itu.

Raysha Rizrose Kongsi Gambar Kereta Mewah, Tapi Lain Yang Peminat Komen

Dalam perkembangan lain, adik tiri kepada pelakon Nelydia dan Uqasha Senrose itu turut mengakui dia tidak mahu terlalu memikirkan soal kahwin bersama kekasihnya, pelumba motorsports negara, Nabil Jeffri meski sudah pun mengikat cinta lebih enam tahun.

BACA INI JUGA:

sumber: mediahiburan

7 Rahsia Mencari Jodoh Dari Kaca Mata Dan Pengalaman Seorang Lelaki Kacak

7 Rahsia Mencari Jodoh Dari Kaca Mata Dan Pengalaman Seorang Lelaki Kacak

Walaupun manusia ditakdirkan untuk hidup berpasangan, namun jodoh tak semestinya datang bergolek. Ada yang mudah bertemu jodoh, tak kurang juga yang ada hasrat untuk berkahwin tapi sukar bertemu kekasih hati, ternyata bukan mudah sebenarnya nak memilih pasangan hidup.

7 Rahsia Mencari Jodoh Dari Kaca Mata Dan Pengalaman Seorang Lelaki Kacak
Gambar hiasan.

Lelaki ini berkongsi rahsia, panduan dan tip mencari jodoh berdasarkan pengalaman, pengetahuan dan pemerhatiannya bersama lelaki-lelaki di sekelilingnya.

Semoga perkongsian dari kaca matanya ini dimanfaatkan bukan sahaja untuk anak-anak dara, anak-anak teruna bahkan bakal-bakal mertua. Silakanlah ambil teladan.

KAGUM DENGAN DIDIKAN ORANG TUA

Saya tertarik hati dengan tulisan Kak J yang disiarkan pada 18/10/2017, bertajuk PERSIAPAN KE ARAH PERKAHWINAN BUAT ANAK DARA.

Anak-anak dara mudah-mudahan “alert” dengan tips yang Kak J serta para pengomen yang lain berikan.

Keseluruhannya saya bersetuju dengan apa yang Kak J luahkan. Selebihnya saya berpendapat segala bentuk cara hidup anak-anak dara bertitik tolak daripada ajaran yang diterima daripada ibubapanya di rumah.

Melainkan, yang diajarkan oleh ibubapa sudah berbagai yang elok-elok tetapi yang tuan empunya diri memang tidak makan diajar, maka kita gelarkan sahajalah perangai sebegitu (pemalas) terhasil daripada sikap degil.

Namun percayalah, pepatah Melayu yang berbunyi “bagaimana acuan begitulah kuihnya” atau “ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi” sangat tepat bagi menggambarkan bagaimana peribadi seseorang mengikut sepertimana sifat-sifat yang ada pada ibubapanya.

Memperkenalkan diri saya: Aizat, seorang suami yang sedang menantikan kelahiran anak pertama dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Saya merupakan anak kedua daripada empat orang adik beradik, yang memiliki seorang kakak (sudah berumah tangga dan memiliki dua orang cahaya mata), seorang adik perempuan dan seorang adik lelaki.

Hidup secara asasnya, hampir lengkap, cuma perlu mengekalkan mana yang baik dan memperbaiki mana yang kurang.

Bapa saya seorang kakitangan kerajaan, sementara ibu pula seorang surirumah yang mencari pendapatan sampingan dengan menjahit pakaian serta langsir selepas meninggalkan pekerjaan beliau di sebuah jabatan.

Ibu saya sangat menitikberatkan soal kebersihan dan kekemasan, malah beliau amat teliti di dalam setiap kerja yang dilakukan.

Sedikit sebanyak saya berempat beradik mewarisi sikap pembersih ibu. Bapa pula, tentulah tiada masalah kerana setiap keperluan bapa terjaga elok oleh ibu.

Seingat saya, sedari saya kecil sehinggalah sekarang, bapa lebih suka menghabiskan masa di rumah bersama keluarga. Saya yakin, hati bapa tenang apabila berada di rumah sendiri.

Ibu saya mengajarkan kami bahawa ruang tamu adalah tempat khas untuk tetamu, bukan tempat untuk tidur baring (melainkan sekejap), tanpa akhbar/majalah dan tidak diletakkan set televisyen.

Kau mahu baring-baring sambil menonton TV, silakan ke ruangan lain dan ketika kecil pun kami adik beradik tidak bermain di ruang tamu.

Rumah kami bukanlah besar, tetapi cara ibu menyusun atur membuatkannya selesa dan menjadi bahagian-bahagian khusus (khusus untuk belajar/membaca, khusus untuk kanak-kanak bermain, khusus untuk menyimpan pakaian dan sebagainya).

Bayangkan bagaimana ibu “menyorokkan” bahan-bahan jahitannya kerana kami tidak melihat pun tempat ibu bekerja bersepah-sepah.

Tahu-tahu, ibu selesai menyiapkan baju kurung kakak atau adik serta baju ibu sendiri.

Ibu juga suka melakukan kerja “dua dalam satu”, contohnya sambil berbual di telefon (biasalah bila makcik-makcik bersembang, lama bebenor), sebelah tangan ibu memegang telefon manakala sebelah lagi mengelap meja/cermin atau mengemop lantai!

Semasa bersekolah, guru-guru selalu bertanya ibu bagaimana ibu mendidik kami adik beradik kerana selalu cemerlang dalam pelajaran?

Jawapan ibu; cikgulah yang mengajar sehingga kami pandai. Sebenarnya kami fokus pada pembelajaran apabila di rumah justeru keadaan di rumah yang kemas bersih itulah.

Pesanan ibu; jika menghidangkan minuman kepada tetamu jangan sesekali kau gunakan cawan tanpa dilapik piring.

Untuk makan-makan, pinggan mangkuk harus sedondon. Sediakan pengelap tangan (sapu tangan atau tuala kecil).

Kadangkala ibu mengarah kami menghidang seperti di hotel layaknya, siap dengan adab-adab meletakkan sudu garfu.

Kedengarannya seperti remeh, namun mungkin kerana terbiasa perkara ini menjadi amalan seisi keluarga kami.

Saya adik beradik, termasuk bapa tidak pernah tidak membasuh pinggan/cawan yang kami gunakan (kecuali ada orang lain tolong basuhkan hehe…).

Bahkan, di dapur rumah kami tidak akan terlihat ada pinggan mangkuk tidak bercuci di dalam sinki ataupun yang telah dicuci tidak disusun terus ke raknya.

Ibu mewajibkan kain baju yang sudah kering dilipat setiap hari dan disimpan ke dalam almari sebelum tidur.

Biasanya ibu yang melipatkan baju-baju kami pada waktu petang. Kau akan kagum melihat hasil lipatan ibu, tanpa pengukur tetapi sama kesemua bucunya.

Ibu juga “pantang” andai terdapat pakaian (terutamanya pakaian dalam) sama ada yang sudah dicuci ataupun belum ditinggalkan di dalam bilik mandi, wajib kau sidai di ampaian yang tersorok.

Memang tidak berani ingkar larangan ini alasan ibu, simple sahaja, apakata tiba-tiba rumah kau dikunjungi tetamu dan tetamu ini masuk ke bilik air lalu melihat baju kecil atau seluar kecil kau. Malu oii.

Lagi-lagi pula tetamu itu rupanya orang yang sengaja datang hendak merisik hal keluarga kau.

Ibu bukanlah seorang wanita yang terlalu berfesyen, namun dia sentiasa anggun dengan baju kurung, kemeja labuh, skirt labuh ataupun jubah.

Saya tidak pernah melihat ibu memakai seluar jeans walaupun semasa ibu muda-muda dahulu.

Ibu tidak akan memakai t-shirt (walaupun berlengan panjang) jika pergi ke mana-mana, apatah lagi berseluar track.

Saya selalu merasa bangga apabila berjalan dengan ibu sebab penampilannya itu.

Ibu nampak muda beberapa tahun daripada usianya. Ibu tidak perlu bersenam di gim atau berjogging kerana badan ibu “maintain” langsing.

Kata ibu, cukuplah bersenam dengan cara melakukan kerja-kerja rumah. Peluh keluar, rumah pun bersih!

Ok, berbalik kepada tajuk artikel saya, CARI JODOH DARI KACA MATA LELAKI.

Kalau seorang gadis (anak dara mengikut istilah Kak J) pemalas tahap gaban, bangun lewat dan cuma tahu berjalan sana sini serta melawa (dah melawa tu, sibuk selfie untuk Facebook dan Instagram), kemudian bagi alasan nanti hendak kahwin belajarlah buat kerja rumah, kau rasa mereka ini hidup berangan sahajakah?

Mereka tidak pandai membantu meringankan beban tugas ibu, tiba-tiba mereka mendapat “magik” untuk menjadi penjaga makan pakai suami?

Tiba-tiba mereka boleh bertukar menjadi seorang perempuan yang super power apabila menjadi menantu kepada seseorang mertua?

Mereka tidak tahukah, selain suami idaman dan mertua, mereka akan berhadapan dengan ipar duai, biras, sepupu sepapat serta anak-anak saudara sebelah pihak sana?

Tak, saya tak kata, kaum wanita sahaja kena mempersiapkan diri. Kaum lelaki pun W.A.J.I.B.

Tetapi disebabkan confession saya ini berjudul “mencari jodoh dari kaca mata seorang lelaki”, maka sebenarnya saya ingin menceritakan rahsia (kalaulah sesuai dipanggil rahsia) berdasarkan pengalaman, pengetahuan dan pemerhatian saya bersama lelaki-lelaki di sekeliling saya.

Manfaatnya bukan setakat untuk anak-anak dara, anak-anak teruna bahkan bakal-bakal mertua, silakanlah ambil teladan.

Sebagai seorang lelaki, apabila mencari jodoh saya turut terpengaruh dengan apa yang diajarkan oleh ibu.

Saya pun terfikir tentulah ibu mahukan menantu yang rajin, pembersih dan anggun seperti ibu jadi, saya mengusahakan mencari isteri yang memiliki ciri-ciri yang boleh menyenangkan hati ibu.

Semasa di universiti, biasalah ada perasaan terpesona pada rakan sekelas/sekuliah tetapi saya tahankan, sebab saya tidak mampu menyiasat bagaimana mereka ini di rumah.

Masa dan kewangan tidak mengizinkan, mungkin juga belum begitu gatal untuk menjalinkan percintaan.

PERKARA PERTAMA: CARI CALON YANG MENYENANGKAN HATI IBU

Saya akhirnya bekerja di sebuah organisasi dan tidak lama kemudian timbul hasrat menamatkan zaman bujang. Saya berkenan pada seorang gadis yang bekerja di sebuah pejabat berhampiran tempat kerja saya.

Kami bertegur sapa secara sepatutnya sebagai “jiran” pejabat. Penampilannya sesuai dengan jiwa saya. Beberapa bulan saya perhatikan dia dan ambil tahu serba sedikit mengenai latar belakangnya secara curi-curi.

Apabila ada acara-acara yang melibatkan penyertaan kakitangan pejabat-pejabat persekitaran kami seperti sambutan Hari Kebangsaan, Hari Sukan atau majlis sosial lain, si dia (saya namakannya di sini sebagai Anna) tidak kelihatan turut serta.

Saya anggap Anna tidak berminat atau mungkin malas berjemur panas kerana menjaga kulit. Hahaha.

Maklumlah selalu ke pejabat dengan baju kurungnya lengkap bertudung.

Suatu hari kebetulan kami bertembung di sebuah cafe yang ramai orang menyebabkan terpaksa berkongsi meja. Peluanglah tu kan.

Sambil makan, sambil berbual kosong (kosong tapi ada isi tau!), saya meminta nombor telefon Anna dan aplikasi Facebook serta Instagramnya.

Sebelum itu ada saya mencuba mencari-cari dengan memeriksa nama sebenar dan nama-nama yang saya rasa berkaitan. Tetapi hampa, tiada.

Macam tak percaya, gadis moden tidak memiliki akaun media sosial. Rupa-rupanya Anna menggunakan profil yang langsung saya tidak terfikirkan.

Dah sudah mendapat nama akaun, apalagi mengintailah jawabnya, hmmm posting adalah sedikit, gambar pula berukuran pasport tidakpun foto beramai-ramai yang Anna berada jauh di belakang orang lain.

Jadi, saya main whatsapp sahajalah. Tak ada gelojoh-gelojoh, hubungi sekali sekala sahaja sebab tak mahu terkantoi yang saya telah terpikat kepadanya.

Teringat pesanan ibu, selidiklah mengenai gadis yang kau berkenan, jangan cepat-cepat mencurahkan perasaan.

PERKARA KEDUA: SELIDIK SEBELUM MENCURAHKAN PERASAAN

Okay guys, long short story, suatu hari tu saya hadir sebuah majlis perkahwinan kawan lama.

Sebenarnya saya bukanlah rajin bab-bab makan kenduri ni, tetapi tempat majlis tersebut diadakan tidak jauh dari kampung Anna.

Waktu itu cuti beberapa hari dan saya tahu Anna balik kampung. Saya pun sengaja masuk jarum, saya mesej Anna tanya-tanya tentang tempat itu.

Saya katakan teringin nak singgah rumah Anna, nak lihat sawah padi. Anna kata, singgahlah. Yahoo… seronok tidak terhingga.

Memanglah saya singgah rumah Anna, lebih tepat lagi rumah ibu bapa Anna. Seorang diri pula tu!

Ibu bapa Anna menerima kedatangan saya dengan baik. Saya menjadi tidak sabar hendak balik ke rumah keluarga saya keesokan harinya. Sebab apa tau?

Nak mengadap ibu. Nak ceritakan tentang Anna. Perasaan ingin beristeri membuak-buak je rasanya pasal saya telah berjaya melalui perkara pertama dan perkara kedua.

Tolong baca semula ayat saya yang berhuruf besar ye. Anna yang saya lihat sopan berbaju kurung ke pejabat, begitulah pakaiannya di luar pejabat dan ketika saya pergi ke rumahnya.

Layanan yang saya terima daripada ahli keluarga Anna, elok sebagaimana ahli keluarga saya biasa berikan kepada tetamu kami. Keadaan rumah (luar dan dalam) menyedapkan mata memandang.

Semasa ke bilik air, saya melalui kawasan dapur, confirm, ibu saya tak komplin tentang keadaan dua tempat strategik ini.

Lagi sekali, long short story, kau dah berkenan, ciri-ciri idaman kau pun dia miliki, keluarga kau pun tidak membantah, kau nak tunggu apa lagi?

Mula-mula kau tanyalah si dia, dah ada orang ke? Bila katanya tak ada, jangan kau melompat sampai pecah lantai pula.

Kau “cool” sudahlah bro. Cakap elok-elok kau nak jadikan dia teman hidup dengan restu daripada ibu bapa. Hahaha…

Aizatlah yang mengambil langkah seperti ini.

PERKARA KETIGA: BUATLAH LAMARAN SECARA TIDAK RASMI DAN RASMI

Akhirnya bernikahlah saya dengan Anna setahun yang lalu. Doakan kami berbahagia sehingga ke Jannah.

Senang hati dan tenang hidup bro sebab kau tidak mendengar keluarga kau merungut isteri kau tidak pandai memasak atau mengemas rumah. Bukan saya nak puji Anna sempurna. Biasalah mana ada manusia yang sempurna segalanya.

Tetapi di sini, saya hanya menceritakan perkara yang elok-elok sahaja. Jika ada yang buruk-buruk itu masalah peribadi yang kena diselesaikan sendiri.

Paling penting, kau kena faham apa aku ceritakan ini menggambarkan bagaimana untuk membina sebuah keluarga, kita dipengaruhi ajaran yang baik daripada ibu bapa kita.

Kita mahu membina kehidupan masa hadapan yang penuh barakah dan rahmat agar generasi berikutnya berjaya dunia akhirat.

Tutup cerita saya dan Anna.

Mengenai lelaki-lelaki di sekeliling saya, kami pun sama seperti kaum perempuan, ada naluri ingin mencintai dan dicintai, terpesona kepada kecantikan lahiriah dan dalam masa yang sama mengharapkan pasangan yang solehah.

Makna solehah ini berbeza-beza di antara seseorang dengan seseorang yang lain.

Kawan saya kata, solehah pun ada tingkatannya (darjat) seperti syurga yang mempunyai tujuh darjatnya. Terpulang pada pandangan masing-masing.

Bagi saya, cukuplah dia menjaga pergaulan, auratnya ditutup sempurna, mengerjakan amalan wajib sepenuhnya, pandai membaca Quran, mempunyai pekerjaan yang bersumberkan yang halal dan menghormati orang lain. Cantik dan rajin pula merupakan satu bonus.

PERKARA KEEMPAT: SOLEHAHNYA DI MANA?

Kawan seuniversiti saya dahulu, Zamri (bukan nama sebenar) seorang yang digilai ramai pelajar perempuan kerana pakej pelajar cemerlang berserta wajahnya yang tampan.

Sebelum hatinya dimiliki seseorang, kami yang tukang sibuk mulalah dok “matching” kan Zamri dengan sis itu sis ini dan yang paling secocoklah kononnya ialah si Mira.

Kami andaikan secocok kerana Mira pun tergolong dalam kategori gadis cantik jelita, malahan memang sah-sah minatkan Zamri.

Tetapi Zamri tidak memilih Mira. Alasan Zamri ialah, Mira dengan alat solek tidak dapat dipisahkan. Pakaian up-to-date.

“Maintenance” tinggi, tak mampu kata Zamri dan lagi haru, emak Zamri pandai menyelongkar Facebook, Twitter dan Instagram.

Dengan siapa Zamri berkawan rapat dan bagaimana kawan rapat Zamri punya perangai semua dalam poket emaknya. Hahaha…

Bagus makcik-makcik ni bergiat dalam media sosial.

Emak Zamri mempersoalkan tentang kawan-kawan perempuan Zamri (kawan-kawan sayalah juga), yang namanya A itu setiap hari hantar gambar dalam IG tak ada kerjakah?

Bersolek bukan main, entah-entah rumah pun bersepah tak sempat dikemas.

Ada masakah untuk mengaji Quran kalau asyik melawa? B itu pula asyik-asyik siarkan foto apa yang dia masak.

Alahhh setakat buat cucur jagung pun bagitahu orang ke? Masak kicap ayam pun snap gambar khas untuk IG.

Dari situ Zamri pun dapat menangkap maksud emaknya yang spesies-spesies seperti Mira bukanlah menantu pilihan.

PERKARA KELIMA: LELAKI TAKUT PADA PEREMPUAN YANG POPULAR DI MEDIA SOSIAL

Saya dengan kawan-kawan lelaki seuniversiti, samalah juga dengan kaum perempuan bila bersama-sama perempuan iaitu SUKA BERGOSIP.

Tahu apa yang kami gosipkan? Pasal perempuanlah. Selain yang di hadapan mata, kat media sosiallah perempuan-perempuan ini menjadi punca gosip. Kawan yang ini kata, dia takut pada “girl” yang itu pasal mak oiii seksi.

Seorang kawan pula kata, yang bertudung litup pun asyik keluar dalam Facebook dan Instagram, ustaz yang tengok pun terliur apatah lagi sang buaya.

Seorang lagi mencebikkan bibir, katanya si anu tu selalu sangat update status seperti orang putus cinta kecewa menonggeng.

Si anu tu macam gatal nak berlaki dengan ayat-ayat “bergetar tulang rusuk kiri”, “halalkan ikatan” dan sebagainya. Dari gosip-gosip tersebut, saya jadikan contoh teladan kepada adik perempuan saya.

Saya bagi amaran/nasihat, kau tak payah tunjuk sangat diri kau dalam media sosial.

Bukan bakal suami sahaja tengok, bakal mertua, bakal ipar, bakal biras, bakal sepupu dan segala bagai bakal lagi tumpang lihat/baca kau punya status.

Bentengkan diri dengan perasaan malu, barulah kau boleh berdoa, “Ya Allah, kurniakan aku pasangan yang beriman”.

Saya pun dahulu, bila keluarga diberitahu mengenai Anna, masing-masing minta nak lihat akaun Facebook dan Instagram Anna.

Saya bagikan aje. Akaun yang hidup segan mati tak mahu tu korang koreklah puas-puas.

PERKARA KEENAM: KAMI MENYIASAT

Untunglah kita boleh siasat perihal bakal pasangan kita melalui internet. Kau rajin, macam-macam kau jumpa.

Ada kawan ini, cerewetnya tahap dewa. Kerjanya menyiasat tentang gadis yang cuba merapati atau dirapati. Sudahlah maklumat di internet dikumpulnya, cara manual pun dibuatnya.

Sampai ke saat ini, asyik “reject” lah gegirls yang terlibat. Itu tak kena, ini tak betul. Ok bro, siasat-siasat tu kira patut-patut dahlah ye.

PERKARA KETUJUH: KAU RASA “SWEET” TAK MACAM KISAH INI?

Kakak saya sudah mendirikan rumah tangga sejak lima tahun lalu. Pasal aurat dan kerajinan menguruskan rumah alhamdulillah saya nampak ada dia mewarisinya daripada ibu kami.

Ibu mentua kakak setakat ini sangat ngam dengan kakak, malah dengan ibu saya pun rapat hubungan mereka (sesama besan) (ibu mentua saya pun sama, hehehe).

Para besan ini kalau berkunjung ke rumah ibu bapa saya memang mereka akan memuji kerajinan ibu saya. Puji pi lah, benda betul.

Suatu hari, mentua kakak (saya panggil pakcik dan makcik M) datang ke rumah dengan sahabat baik mereka (saya panggil pakcik dan makcik S).

Bersama mereka, seorang anak lelaki kepada pakcik dan makcik S bernama Khairul.

Seperti biasa, tetamu dilayan sebaik mungkin – dihidangkan makan minum, disediakan tempat solat dan keperluan lain.

Makcik-makcik ni pula rutinlah mereka suka meronda dalam rumah; belek langsir, tengok dapur dan mencari pokok bunga. Pakcik-pakcik dah keluar ke tempat jual ikan.

Geng muda-muda (saya, Anna, kakak, abang ipar, Khairul dan adik-adik saya) meneruskan kerja masing-masing.

Kakak, Anna dan Hanisah (adik perempuan saya) sibuk mengemaskan meja dan dapur serta pinggan mangkuk, abang ipar mengawasi anak-anaknya bermain sementara saya dan adik lelaki berbual-bual dengan Khairul.

Saya perasan mata si Khairul ni asyik mencuri-curi pandang pada Hanisah. Cantik adik saya ni, sebab saya pun hensem. Please, jangan kecam saya, jangan kata saya perasan atau riak.

Long short story (lagi sekali istilah mat saleh ini muncul), sebulan selepas itu makcik S menghubungi ibu saya.

Katanya, dia dan pakcik S datang tempoh hari memang saja-saja hendak melihat Hanisah kerana mereka sebelumnya bertanya kepada pakcik dan makcik M sama ada kakak mempunyai adik.

Sebabnya mereka perhatikan kakak sebagai menantu yang baik kepada pakcik dan makcik M, maka teringin pula mereka memiliki menantu seperti kakak.

Setelah berjumpa keluarga kami dan mengenali Hanisah, mereka terus berkenan. Khairul pun suka. Jatuh cinta pandang pertama barangkali.

Jika Hanisah setuju dan kami sebagai ahli keluarga yang lain sudi menerima, mereka ingin melamar Hanisah untuk dijadikan suri hati Mr Khairul.

Hanisah baru sahaja tamat pengajian peringkat ijazah dan belum bekerja pun.

Semua orang mengucapkan syukur dan menganggap betapa bertuahnya Hanisah, tanpa susah payah melalui liku-liku percintaan yang belum tentu menjadi jodoh, tanpa mempromosikan dirinya di laman sosial, Tuhan hadirkan seorang lelaki baik, berpendidikan, bekerjaya bagus dan kacak (mengalahkan kehenseman saya pulak tu!) sebagai pemimpin dalam rumah tangganya kelak.

Kau ingat Hanisah nak menolak ke? Tak adanya. Kau tahu, semasa saya perasan Khairul dok mencuri pandang pada Hanisah, kakak dan Anna pula sedar Hanisah pun berbuat perkara yang sama.

Saya tanya ibu, apa sudah jadi ni, adik tak nak kerja ke, sudah mahu kahwin?

Jawab ibu, dia selalu berdoa agar anak-anak ibu dijodohkan dengan pasangan yang beriman. Apa lagi yang hendak dicari, calon yang sesuai telah menyerah diri.

AKHIR KALAM, DOA ITU SENJATA ORANG MUKMIN

Wahai anak-anak dara, anak-anak teruna dan ibubapa sekalian, berdoalah semoga usaha dan persiapan yang kalian buat tidak sia-sia.

– Aizat, abang hensem –

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: pesonapengantin

Friday, October 12, 2018

5 Fakta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)

5 Fakta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)

Perjanjian Malaysia atau Perjanjian yang berhubungan dengan Malaysia antara United Kingdom Great Britain dan Ireland Utara, Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura ialah persetujuan yang menggabungkan Borneo Utara, Sarawak dan Singapura dengan negeri-negeri yang sedia ada dalam Persekutuan Tanah Melayu, dengan kesatuan yang terhasil dinamakan Malaysia. Singapura kemudiannya keluar daripada Malaysia, menjadi sebuah negara yang merdeka pada 9 Ogos 1965.

Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)

Pada 11 September 1963, hanya 4 hari sebelum Persekutuan baru Malaysia dizahirkan, Kerajaan Negeri Kelantan memohon deklarasi daripada Mahkamah Tinggi bahawa Perjanjian Malaysia dan Akta Malaysia adalah batal dan tidak sah, atau sebagai alternatif, bahawa walaupun ia sah, ia tidak termasuk Negeri Kelantan.

Kerajaan Kelantan berhujah bahawa Perjanjian Malaysia dan Akta Malaysia tidak mengikat Kelantan atas alasan yang berikut bahawa Akta Malaysia yang berkuat kuasa memansuhkan Persekutuan Tanah Melayu dan ini adalah bertentangan dengan 1957 Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bahawa perubahan yang dicadangkan memerlukan persetujuan setiap negeri konstituen Persekutuan Tanah Melayu - termasuk Kelantan - dan ini belum diperolehi.

Walau bagaimanapun, Kerajaan Kelantan tewas di mahkamah kerana Sabah dan Sarawak tidak berusaha menyertai Persekutuan Tanah Melayu, iaitu persekutuan yang ditadbir oleh perjanjian 1948.

Tambahan pula, Parlimen mempunyai kuasa di bawah Perkara 159 Perlembagaan 1957 meluluskan Akta Malaysia untuk meminda Perkara 1 (1) dan (2) untuk menerima tiga ahli baru dan pindaan ini tidak memerlukan majoriti dua pertiga.

Perlembagaan yang membentuk sebahagian daripada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 (yang Kelantan adalah sebuah parti) tidak memerlukan berunding dengan mana-mana negeri sebagai syarat yang perlu dipenuhi.

Perjanjian Malaysia pula telah ditandatangani untuk "Persekutuan Tanah Melayu" oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan empat orang anggota Kabinet.

Ini adalah selaras dengan Perkara 39 dan 80 (1) Perlembagaan dan ada apa-apa jua yang memerlukan perundingan perlembagaan dengan mana-mana Kerajaan Negeri atau Raja mana-mana negeri.

Didedahkan juga bahawa Kelantan dan negeri-negeri asal yang lain telah diletakkan bersama-sama dalam kelas negeri komponendan status yang berbeza dari tiga negeri baru dan ini yang membentuk asas persekutuan baru.

Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)

Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia dibentuk dari Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu:

Artikel 3, Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (diterjemah):

“Bermula dari Tiga Puluh Satu Ogos, 1957, negeri-negeri dan penempatan tanah melayu akan bersatu dan membentuk Persekutuan baru yang dinamakan…Persekutuan Tanah Melayu…”

Ini tidak termasuk Sabah dan Sarawak. Kemasukan Sabah dan Sarawak adalah setelah satu lagi perjanjian termeterai yang menyatukan Sabah, Sarawak dan, untuk seketika, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu yang membentuk Persekutuan Malaysia pada hari ini.

Perjanjian tersebut adalah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), di mana di sinilah terciptanya terma dan syarat penyatuan tiga negeri itu menjadi Negara Malaysia:

Artikel 1, Perjanjian Malaysia 1963 (diterjemah):

“Borneo Utara dan Sarawak dan negara Singapura akan digabungkan dengan negeri-negeri yang sedia ada dalam Persekutuan Tanah Melayu membentuk suatu kesatuan yang dinamakan Malaysia berikutan dari perjanijian yang termeterai”

Selain menjadi pokok perbicaraan tentang kuasa autonomi Malaysia Timur, MA63 adalah suatu dokumen yang menarik. Contohnya, adakah anda tahu bahawa;

1. MA63 merupakan perjanjian antarabangsa

Perjanjian Malaysia adalah suatu perjanjian antarabangsa, berdaftar di dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 21 September 1970, dengan nombor pendaftaran 10760. Dengan itu, Parlimen Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk meminda MA63 memandangkan ia merupakan perjanjian antarabangsa.

Parlimen Malaysia hanya boleh meluluskan undang-undang baru sahaja. Sebagai contoh, Parlimen meluluskan Akta Malaysia 1963 untuk memberi kesan (Legal effect) kepada Akta tersebut.

Beberapa bahagian dalam Perlembagaan Malaysia juga diubah untuk menggabungkan terma-terma MA63 pada waktu Malaysia ditubuhkan.

Perlembagaan Persekutuan dikatakan telah dipinda lebih dari 700 kali sejak tahun 1957, tetapi terma-terma yang terkandung di dalam MA63 kekal tidak berubah dari tarikh ia ditandatangani.

2. Berlainan dengan Undang-undang Malaysia, MA63 tidak boleh dipinda

Terma-terma di dalam MA63 hanya boleh dipinda melalui perbincangan dan persetujuan para penandatangan perjanijian tersebut.

Ini disebabkan oleh ia adalah suatu perjanijian antarabangsa, bukan suatu rang undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen sebagaimana yang disebut sebelumnya, Parlimen tidak moleh menggubal perjanijan antarabangsa.

Dengan kata lain, Sabah, Sarawak, Kerajaan Persekutuan dan United Kingdom harus duduk berbincang untuk menggubal atau meminda terma-terma yang terkandung di dalam perjanjian.
Berlainan dengan Perlembagaan Persekutuan yang boleh dipinda oleh Parlimen, MA63 dan Laporan IGC tidak boleh digubal oleh sesiapa melainkan tuan empunya daerah berkenaan yang mula-mula menandatangani perjanjian itu memutuskan untuk berunding semula membuat pemindaan. – Zainal Ajamain, pengarang & pejuang hak negeri Sabah, dipetik dari The Malay Mail Online.

3. Sabah dan Sarawak berkuasa melaksanakan MA63 dengan sendirinya

Artikel 8 dalam MA63 menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak boleh bertindak sendiri untuk menguatkuasa dan melaksanakan MA63 tanpa membuat pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan.

Artikel 8, Perjanjian Malaysia 1963 (diterjemah):

Kerajaan Persekutuan Malaya, Borneo Utara dan Sarawak akan mengambil langkah-langkah perundangan, eksekutif dan yang berkaitan untuk melaksanakan jaminan-jaminan, daya usaha, perakuan, memandangkan semua itu tidak terkandung di bawah Perlembagaan Malaysia.

Dalam bulan November 2016 yang lalu, waktu itu Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan mengadakan gerakan untuk menuntut semula hak Sarawak di bawah MA63 dalam perhimpunan negeri tetapi tertahan di saat-saat akhir.

Sekiranya gerakan berikut dilanjutkan, boleh dikatakan kerajaan negeri Sarawak menggunakan haknya sebagaimana yang disebut dalam Artikel 8 MA63.

Sebaliknya, kerajaan negeri memilih pendekatan diplomatik dengan kerajaan persekutuan dalam menyelesaikan isu berkenaan hak yang tidak terpenuhi di bawah MA63.

4. Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa autonomi dalam membuat keputusan disebabkan MA63

Sabah dan Sarawak menyertai bumi Malaya dalam membentuk Malaysia di bawah pemahaman di mana akan terdapat jaminan dari Perlembagaan Persekutuan berkenaan perlindungan hak dan keistimewaan.

Jaminan-jaminan ini telah terkandung di dalam Perlembagaan dan undang-undang yang berkaitan. Antaranya:

Peguam-peguam yang bukan dari Sabah dan Sarawak tidak dibenarkan untuk mengamal di mahkamah Sabah dan Sarawak (Artikel 161B).

Peguam-peguam ini harus memperolehi lesen dari Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak terlebih dahulu, dan seterusnya memohon permit kerja dari Bahagian Imigresen.

Sabah dan Sarawak berhak menggunakan bahasa Inggeris dalam perhimpunan negeri dan semasa dalam perbicaraan mahkamah [Artikel 161(1) dan (2)].

Artikel 161(1) melarang sama sekali undang-undang yang tidak membenarkan Sarawak menggunakan bahasa Inggeris untuk urusan-urusan rasmi sehingga selepas 10 tahun dari tarikh 16 September 1963.

Sehingga kini, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 masih belum dikuatkuasa di Sarawak. Ini bermakna penggunaan Bahasa Malaysia tidak mandatori di jabatan-jabatan kerajaan dan kementerian negeri.

Seksyen 1(2), Akta Bahasa Kebangsaan (diterjemah):

Akta ini hendaklah mula berkuat kuasa di Negeri-Negeri Sabah dan Sarawak pada tarikh-tarikh yang ditetapkan oleh Pihak-Pihak Berkuasa Negeri masing-masing, melalui enakmen Badan Perundangan Negeri masing-masing dan tarikh-tarikh yang berlainan boleh ditetapkan bagi mula berkuat kuasanya peruntukan-peruntukan yang berlainan dalam Akta ini di Negeri-Negeri itu.

5. Sarawak dan Sabah mempunyai undang-undang sendiri berkaitan hal imgresen

Sarawak dan Sabah berkuasa mengawal hal-hal imigresen ke negeri masing-masing. Penduduk di Semenanjung harus mempunyai permit untuk belajar atau bekerja di sana. Dan sesiapa yang melawat Sarawak dan Sabah harus mengisi borang imigresen terlebih dahulu.

Ini disebut di dalam Seksyen 66 Akta Imigresen 1959/1963, dan terkandung disebabkan MA63.

Seksyen 66(1) Akta Imigresen 1959/1963 (sebahagian):

“...seorang warganegara itu tidak dibenarkan untuk memasuki Malaysia Timur tanpa mempunyai permit atau pas melainkan-

(a) dia adalah memang dari Malaysia timur...”

Pembatasan ini dilaksanakan adalah sebagai usaha untuk mengehadkan kemasukan kepada sesiapa yang hanya boleh menyumbang untuk (salah satu) negeri tersebut, dan juga sebagai langkah berjaga-jaga dari segi keselamatan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: asklegal | wikipedia