Saturday, October 13, 2018

Teknologi Bioremediasi Bersihkan Tumpahan Minyak


Penyelidikan yang dilakukan kumpulan penyelidik di Makmal Penyelidikan Kesihatan Alam Sekitar di Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia, merupakan satu kaedah baharu dalam bidang bioremediasi di Malaysia apabila menggunakan sumber daripada bahan semula jadi iaitu bakteria daripada bebola tar yang tidak merosakkan alam sekitar, mampu mengatasi masalah pencemaran minyak di kawasan marin.

Teknologi Bioremediasi Bersihkan Tumpahan Minyak

Ia merupakan bebola tar yang dikutip daripada kawasan pantai timur di Pantai Rhu Sepuluh, Terengganu, terhasil daripada hidrokarbon yang wujud di dalam lapisan minyak. Gabungan hidrokarbon tersebut kemudian membentuk menjadi bebola tar berwarna hitam dan lazimnya ditemui di pesisiran pantai.

Bakteria ini dipencilkan daripada bebola tar yang dikutip di kawasan-kawasan pantai yang telah melalui proses disentrigasi apabila terapung di atas permukaan air laut dalam jangka masa yang panjang.

Kewujudan bakteria ini mampu membersihkan tumpahan minyak di laut dan seterusnya mengurangkan ancaman hidupan laut daripada masalah kepupusan.

Penyelidikan yang dilakukan itu merupakan satu kaedah baharu dalam bidang bioremediasi di Malaysia untuk membersihkan sebarang pencemaran atau tumpahan minyak.

Tumpahan minyak

Lebih menarik, tiada penyelidikan lain yang menyeluruh mengenai rawatan pencemaran minyak secara kaedah biologi yang menggunakan mikroorganisma sebagai agen pengurai.

Sebenarnya, selain kaedah pembersihan menggunakan proses bioremediasi ini, pelbagai kaedah lain telah diwujudkan untuk mengatasi pencemaran marin.

Sebagai contoh di negara-negara luar, mereka mengadakan pembakaran terkawal dan juga penyedutan minyak menggunakan peralatan canggih di kawasan-kawasan marin yang tercemar.

Pencemaran marin selalunya berpunca daripada tumpahan minyak dari pelabuhan dan galian minyak di lautan.

Selain itu, pelepasan sisa air yang mengandungi minyak dari terestial seperti sistem rawatan kumbahan juga menyebabkan hidupan marin terancam.

Justeru, teknologi bioremediasi ini sangat berpotensi dan berkesan untuk merawat air serta tanah yang tercemar dengan minyak yang mengandungi hidrokarbon tanpa memusnahkan persekitaran meskipun mengambil masa.

Kewujudan hidrokarbon petroleum boleh mencemarkan air laut dan ekosistem kawasan marin apabila ia memasuki persekitaran itu.

Hidrokarbon yang terkandung dalam minyak adalah toksik kepada hidupan marin. Ia akan membentuk satu lapisan minyak di atas permukaan air yang boleh mengganggu ekosistem hidupan di kawasan marin.

Situasi tersebut akan menyebabkan kemusnahan alga, rumpai air dan fitoplanton sebagai pengeluar serta sumber makanan dalam rantai makanan marin dan sungai malah, ia akan menghalang cahaya masuk ke dalam air untuk tumbuhan menjalankan proses fotosintesis.

Mesra alam

Teknologi Bioremediasi Bersihkan Tumpahan Minyak

Justeru, melalui proses degradasi (penguraian) minyak oleh bakteria, ia menjadi satu alternatif baharu yang mesra alam dan kos efektif untuk membersihkan perairan tercemar dan berskala besar seperti laut.

Hasil daripada penyelidikan yang dilakukan, Cellulosimicrobium cellulans ini boleh dibuat dalam bentuk serbuk atau cecair yang bermedia, kemudian disemburkan di kawasan persekitaran yang tercemar.

Bakteria tersebut kemudian akan melalui proses pertumbuhan secara semula jadi dengan menggunakan minyak sebagai sumber makanan iaitu sumber karbon dan seterusnya mengurai minyak dengan optimum.

Menariknya mengenai bakteria ini ialah ia mampu menguraikan antara 10 hingga 95.4 peratus minyak yang terdapat di dalam air.

Lazimnya, penguraian minyak oleh Cellulosimicrobium cellulans boleh diuraikan dalam tempoh 10 hari pada pH awal iaitu 7.5 dan suhu 32 darjah Celsius.

Biarpun begitu, parameter persekitaran seperti pH dan suhu perlu dikawal semasa aktiviti ini berjalan bagi membolehkan kadar degradasi maksimum berlaku walaupun ia bergantung kepada kadar kemasinan air laut tersebut.

Rawatan secara bioremediasi ini bersifat mesra alam dan kos yang rendah untuk membersihkan pencemaran minyak serta menukarnya kepada gas karbon dioksida dan air yang tiada toksik.

Aplikasi kaedah ini dapat mengawal pencemaran di kawasan berair iaitu sungai dan kawasan marin secara berkesan justeru, hidupan akuatik dapat ditingkatkan dan ekosistem seimbang wujud di kawasan tersebut dengan kehadiran rantai makanan yang teratur.

Biarpun kaedah ini selamat dan tidak mendatangkan kesan sampingan kepada hidupan marin, namun penggunaan bakteria untuk mengurai tumpahan minyak di kawasan pantai sangat kurang digunakan di Malaysia.

Dalam pada itu, eksperimen untuk menguji ketahanan Cellulosimicrobium cellulans dan seterusnya membolehkan kaedah ini dipraktikkan di persekitaran semula jadi yang tercemar dengan faktor persekitaran pelbagai.

Proses untuk mendegradasi bakteria ini pada skala yang besar di persekitaran bukanlah satu perkara yang mudah kerana faktor persekitaran yang sukar diduga.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon