Saturday, October 13, 2018

Saintis Iklim Beri Amaran Terakhir, 12 Tahun Tempoh Terakhir Pemanasan Global!


Para saintis kajian iklim memberi amaran terakhir bumi cuma ada masa sekitar 12 tahun lagi untuk mengekalkan pemanasan global pada tahap kenaikan suhu maksimum sebanyak 1.5 darjah Celsius daripada sebelum zaman perindustrian.

Saintis Iklim Beri Amaran Terakhir, 12 Tahun Tempoh Terakhir Pemanasan Global!

Kenaikan suhu planet lebih daripada 1.5°C atau pun lebih separuh darjah saja lagi akan memburukkan risiko bencana alam kemarau, banjir, gelombang haba, kekurangan makanan dan kemiskinan kepada ratusan juta manusia di seluruh dunia, terutamanya di kawasan rendah, delta, pesisir pantai dan pulau-pulau.

Ais yang mencair dari kutub Antartika, Artik dan Greenland pula mengalir ke laut dan menaikkan paras air laut berisiko menenggelamkan sebahagian besar penempatan manusia.

Laporan terbaharu 2018 Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah dilancarkan di Incheon, Korea Selatan dengan persetujuan 195 negara anggotanya.

Ia mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan, melibatkan penyertaan ribuan saintis, pakar dan ahli akademik.

Perlu perubahan mendadak

Laporan terbaru IPCC juga menegaskan perubahan mendadak dan pada kadar segera perlu dilakukan.

Semakin rendah pelepasan (gas rumah hijau seperti CO2) pada 2030, semakin kurang cabaran mengehadkan pemanasan global setakat 1.5 °C selepas tahun 2030.

Cabaran akibat menangguhkan tindakan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau termasuk risiko kenaikan kos, terbelenggu dalam infrastruktur yang mengeluarkan karbon, aset terkandas dan mengurangkan keanjalan dalam pilihan masa hadapan pada tempoh masa jangka sederhana hingga jangka panjang, kata IPCC pada bahagian Ringkasan kepada Penggubal Dasar sepanjang 33 halaman dalam laporan itu.

Cara dunia mengendalikan sistem tenaga, guna tanah, bandar dan industri memerlukan perubahan mendadak, saran laporan tersebut.

Untuk itu, IPCC mencadangkan beberapa langkah antaranya mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida (CO2) sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dari tahap pada 2010; tenaga boleh diperbaharui dijangka menyediakan 85 peratus bekalan elektrik menjelang 2050; hampir tiada tenaga arang batu dan peralihan daripada bahan bakar petroleum menjelang 2050.

Kesan negatif pada kesihatan

Laporan berkenaan juga menggesa individu melakukan perubahan ke arah gaya hidup lestari hijau.

Antaranya, individu digalakkan memandu kereta elektrik, berjalan atau berbasikal bagi jarak dekat serta mengurangkan perjalanan udara bagi urusan perniagaan dan berkomunikasi melalui sidang video.

Bagaimanapun, IPCC mengambil maklum faktor yang boleh menyekat perubahan mendadak yang diperlukan ini.

Kekangan ekonomi, institusi dan sosio budaya mungkin akan menjadi faktor menghambat peralihan sistem bandar dan infrastruktur, bergantung kepada keadaan negara, faktor setempat dan serantau, keupayaan dan kemampuan modal.

IPCC turut berkata, sebarang kenaikan suhu pemanasan global akan memberi kesan negatif terhadap kesihatan manusia.

Risiko dari beberapa penyakit bawaan vektor, seperti malaria dan demam denggi, dijangka meningkat dengan pemanasan dari 1.5°C ke 2°C.

Sejumlah 32,435 kes demam denggi dilaporkan berlaku di seluruh negara sejak Januari hingga 30 Jun tahun 2018 ini, berbanding tahun lalu, berlaku penurunan sebanyak 34.8 peratus atau 17,291 kes daripada 49,726 kes. Daripada 110 kematian pada 2017 kepada 53 kematian pada tempoh yang sama tahun ini.

Majalah berpengaruh kaum pemodal dunia, The Economist edisi penghujung September 2018 lalu pula menerbitkan laporan dengan judul Storms in America and the Pacific are evidence of climate change.

The Economist menyorot kemusnahan akibat taufan Florence pada 14 September dan kurang 12 jam kemudian taufan Mangkhut yang membadai Filipina, seterusnya Hong Kong dan selatan China mengaitkannya dengan peningkatan gas Co2 yang mengubah iklim dan memanaskan samudera.

Perkaitan dengan perubahan iklim berpunca daripada penimbunan gas rumah hijau di atmosfera yang dilepaskan oleh pembakaran bahan bakar fosil dan pemusnahan hutan.

Ia meciptakan ketidakseimbangan aliran tenaga yang keluar dan masuk ke planet ini, meningkatkan suhu. Sekitar 90 peratus tambahan tenaga ini terkumpul di dalam lautan. Samudera yang bertambah panas bermaksud ribut yang lebih ganas dan berpanjangan.

Bagaimanapun, The Economist mendapati maklum balas kecemasan kerajaan semakin bertambah baik dalam menghadapi bencana alam ini.

Taufan Haiyan, badai tropika paling kuat yang direkodkan pada 2013, berdasarkan perangkaan rasmi mengorbankan 6,300 nyawa, manakala 1,064 lagi hilang.

Secara perbandingan, cara kerajaan mengendalikan taufan Mangkhut (yang lebih besar daripada Haiyan) lebih berjaya.

Menjelang 19 September (2018) angka kematian mencecah 81 orang dan 70 lagi masih hilang, petik laporan itu lagi.

Dahulu, Sarawak sering dikritik memusnahkan hutan tropika paling tua di dunia melalui kegiatan pembalakan, pembinaan empangan mega dan pembukaan tanah pertanian.

Namun, pasca PRU ke-14 lalu, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg mengumumkan tidak ada lagi lesen baru dikeluarkan untuk pembalakan dan pembukaan tanah hutan bagi penanaman kelapa sawit. Suatu polisi yang dapat mengurangkan kesan perubahan iklim dan patut dicontohi di seluruh negara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon