Sunday, August 24, 2014

Kehebatan Teknologi Cetakan 3D


Mungkin anda telah mengetahui tetapi ada juga yang akan terpinga-pinga apabila mendengar teknologi cetakan 3D. Teknologi ini semakin popular dan sering digunakan sejak kebelakangan ini diserata dunia.

3D

Cetakan 3D adalah satu proses menghasilkan objek tiga dimensi (3D) dalam pelbagai bentuk dan saiz daripada model digital.

Cetakan 3D dihasilkan dengan menggunakan mesin pencetak 3D yang berfungsi dengan mengikut arahan digital daripada komputer untuk 'mencetak' objek menggunakan bahan-bahan seperti plastik, seramik dan logam.

Percetakan 3D juga dianggap berbeza daripada teknik pemesinan tradisional yang kebanyakannya bergantung kepada penyingkiran bahan dengan kaedah seperti memotong atau penggerudian.

Pembuatan dalam percetakan 3D melibatkan pembinaan objek satu lapisan demi satu lapisan pada sesuatu masa sehingga ia selesai dan tidak berlaku pembaziran bahan.

Jika teknik konvensional menghadkan imaginasi pereka, percetakan 3D pula membolehkan setiap rekaan yang sebelum ini hanyalah fantasi menjadi realiti.

walaupun anda bukan seorang pereka profesional, anda boleh menghasilkan objek 3D yang luar biasa.

3D Printing
Objek yang dihasilkan dengan kaedah pencetak 3D.

Untuk menggunakan pencetak 3D amatlah mudah. Anda hanya perlu menghasilkan apa sahaja reka bentuk objek pada komputer dengan menggunakan perisian khas. kemudian mencetak reka bentuk tersebut menerusi pencetak 3D yang disambung pada komputer.

Dengan pencetak 3D, anda boleh menghasilkan objek yang sebelum ini dibuat diperingkat industri. Teknologi ini telah banyak digunakan dalam industri automatif, fesyen, seni bina, kejuruteraan, pendidikan, aeroangkasa, perubatan dan banyak lagi.

Teknologi ini menawarkan kelebihan membuat komponen atau objek khusus mengikut permintaan. Industri perubatan telah pun mengambil kesempatan daripada keupayaan teknologi cetakan 3D untuk menghasilkan objek unik yang sukar dan mustahil untuk dihasilkan menggunakan kaedah tradisonal.

Pada bulan Mac 2013, pakar bedah di Amerika Syarikat (AS) telah melakukan pembedahan implan bagi menggantikan 75 peratus daripada tengkorak kepala seorang pesakit yang rosak dengan tengkorak replika yang dihasilkan dengan menggunakan bantuan pencetak 3D.

Menurut presiden Oxford Performance Materials, Scott DeFelice, syarikat mereka yang menghasilkan tengkorak cetakan 3D untuk pembedahan implan itu.

Mereka kini boleh menyediakan cetakan 3D untuk menggantikan tulang yang rosak akibat penyakit atau trauma selepas Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat memberi kelulusan pada 18 Februari 2013 yang lalu.

Menurutnya lagi, syarikat yang berpangkalan di Connecticut, Amerika Syarikat itu kini sedang bergerak secara sistematik agar dapat mencipta implan untuk seluruh badan dan berupaya memberikan hasil yang lebih baik dengan kos yang lebih murah untuk pesakit dan pembekal perkhidmatan kesihatan.

Adaptasi dan penggunaan teknologi percetakan 3D di seluruh dunia yang semakin berkembang saban hari bukan sahaja berfaedah kepada pereka malah perniagaan. Pereka boleh menjual ciptaan mereka kepada sesiapa sahaja dan ke mana sahaja di dunia.

Sebagai contoh, jika anda ingin membeli sesuatu produk, penjual hanya perlu memuat naik rekaan produk tersebut di internet. Kemudian anda perlu memuat turun reka bentuk produk tersebut dan menghasilkan sendiri barang itu dirumah dengan pencetak 3D.

Pencetak 3D Cartesian EX1
Contoh pencetak 3D dipasaran.

Selain memudahkan anda, ia juga dapat mengurangkan harga produk tersebut dengan menghapuskan kos keperluan untuk menghasil dan menghantar barang tersebut kepada anda oleh penjual.

Bagaimanapun, percetakan 3D masih mempunyai hadnya. Kebanyakan pencetak 3D hanya boleh mencetak objek menggunakan jenis bahan tertentu dan perkara ini menghalang pencetak 3D daripada menghasilkan objek yang kompleks.

Namun, penyelidik dan syarikat komersial telah mula cuba menyelesaikan masalah tersebut.

Sebuah syarikat yang berpangkalan di Albuquerque, New Mexico, Optomec telah menghasilkan pencetak 3D yang mampu mencetak litar elektronik yang mampu mencetak litar elektronik pada objek 3D.

Fakta ringkas;
  • Teknologi percetakan 3D telah wujud sejak tahun 1980an tetapi hanya pada awal tahun 2010, pencetak 3D boleh didapati secara meluas dan komersial.
  • Pencetak 3D pertama telah dicipta pada tahun 1984 oleh Chuck Hull dari syarikat 3D System Corp.
  • Sejak permulaan abad ke-21, terdapat pertumbuhan besar dalam jualan mesin pencetak 3D. Nilai industri percetakan 3D di seluruh dunia dijangka akan meningkat dari USD$2.2 bilion (2012) kepada USD$6.5 bilion menjelang 2019.

BACA INI JUGA: 10 Syarikat Gergasi Yang Di Bina Oleh Remaja

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon