Saturday, July 08, 2017

'Saleem Iklim Meninggal Dunia Fitnah, Henti Sebar Berita Palsu'

'Saleem Iklim Meninggal Dunia Fitnah, Henti Sebar Berita Palsu'

Isteri Saleem Iklim, Juriah @ Julia Bachok kesal tuduhan segelintir pihak yang mendakwa penyakit suaminya berpunca daripada bahan terlarang.

Saleem Iklim

Tidak cukup dengan itu, ada juga beberapa laman sesawang turut menyebarkan berita palsu kononnya Saleem meninggal dunia.

Justeru, Julia berharap masyarakat tidak mudah mempercayai sebarang spekulasi berkaitan vokalis Iklim itu.

“Apa salahnya kita mendoakan yang terbaik untuk abang Saleem agar dia cepat sembuh dan kembali memeriahkan industri seni tanah air. Janganlah kita terus menghukumnya atas kesalahan silam.

“Kena ingat dosa orang yang suka buat fitnah. Saya berterima kasih terhadap peminat yang memberikan komen yang baik dengan mendoakannya di laman sosial," katanya seperti dilapor Harian Metro.

Menurut Julia, Saleem yang baru tampil dengan single Karma Cinta sudah dua bulan berhenti merokok dan bercadang menunaikan ibadah haji.

“Jika diizinkan Allah, abang Saleem memang berniat nak ke Mekah kerana mahu membersihkan dirinya,” katanya.

Tunggu sembuh untuk menyanyi

Walaupun kecewa dengan dakwaan dan berita tidak sahih terbabit, Julia berkata, Saleem kini masih hidup dan berada dalam keadaan stabil.

“Buat masa ini cuma demam panasnya tidak menentu, ada masanya turun dan naik.

“Saya minta kepada mereka yang menyebarkan cerita palsu kononnya dia meninggal agar berhenti membuat dosa dengan menyebarkan fitnah," katanya.

penyanyi kumpulan Iklim itu dimasukkan ke Pusat Perubatan Pakar UKM, Cheras akibat mengalami demam panas berlarutan.

Katanya lagi, hingga kini doktor masih mencari punca sebenar penyakitnya.

"Mungkin beberapa hari lagi barulah kita dapat keputusan yang tepat. Tapi doktor mengatakan ia mungkin kerana jangkitan kuman dalam darah.

"Insya-Allah saya biarkan dia berehat di wad sehingga betul-betul sembuh sebelum kembali menyanyi,” katanya.

Mengenai sebarang cerita palsu disebarkan pihak yang mempunyai kepentingan, Julia berkata dia akan membawa mereka ke muka pengadilan sekiranya perlu.

“Saya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan sebarang cerita palsu mengenai abang Saleem,” katanya.

Dia turut meminta peminat merujuk berita daripada sumber media yang dipercayai serta di Instagram @aku_saleem milik Saleem dan @ju_saleem bagi mendapatkan maklumat yang sahih.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Tahukah Anda Sejarah Dan Asal-usul Permainan Chess?

Tahukah Anda Sejarah Dan Asal-usul Permainan Chess?

Catur ialah permainan berbentuk strategi yang dimainkan 2 orang pemain di sebuah papan 64 petak dengan 16 buah catur untuk setiap orang.

Chess

Terdapat 3 fasa dalam permainan catur iaitu pembukaan (opening), permainan pertengahan (middle game) dan pengakhiran (end game).

Permainan yang rasmi atau formal akan dibekalkan jam mekanikal atau digital bagi setiap meja.

Catur dipercayai berasal dari permainan yang dipanggil ‘Chaturanga‘ yang dipercayai berasal dari India pada abad ke 6.

Chaturanga adalah ayat Sanskrit yang merujuk kepada empat bahagian ketenteraaan India lama iaitu gajah, pasukan berkuda , kereta perang (pedati kuda) dan infantry.

Dari India, permainan ini tersebar ke Parsi. Apabila orang-orang Arab menakluki Parsi, catur telah diambil oleh dunia Islam dan kemudiannya merebak ke Eropah Selatan.

Permainan catur yang dimainkan pada hari ni adalah permainan yang telah dmajukan eropah selatan. Permainan catur atau dalam bahasa arabnya ‘Shatranj’ telah diubah suai dan beberapa peraturan baru telah ditambah.

Perkataan “catur ataupun chess” itu sendiri berasal dari perkataan “Chaturanga”. Perkataan ‘checkmate’ berasal dari frasa Parsi, “shah mat” dimana membawa maksud “ Raja Telah Mati “.

Buku kedua yang pernah dicetak dalam bahasa Inggeris adalah berkaitan dengan catur. Papan catur yang pertama memperkenalkan warna terang dan gelap pada tahun 1090 di Eropah.

Jam catur mekanikal pertama dicipta oleh Thomas Wilson pada tahun 1883 dan telah disempurnakan oleh Veenhoff pada tahun 1900.

Pertandingan catur antarabangsa pertama diadakan pada tahun 1851 di London.

Permainan catur tertua direkodkan dalam sejarah adalah dari 900-an, di antara seorang ahli sejarah dari Baghdad dan muridnya.

Permainan catur juga umpama Matematik dan Sains. Terdapat beberapa formula dan teori untuk dihafal dan diterjemahkan melalui gerakan gerakan, lebih lebih lagi pada fasa permulaan.

Antara nama nama strategi pada fasa permulaan (opening) ialah Scorch Opening, English Opening dan Spanish Opening. Antara variasinya pula ialah Dragon Variation dan Bird Variation.

Terdapat ratusan, mungkin ribuan formula yang berbeza setiap lamgkah bagi strategi pembukaan atau permulaan permainan.

FIDE iaitu Federation Internationale des Echecs atau Pertubuhan Catur Dunia telah ditubuhkan pada tahun 1924 di Paris, Perancis. FIDE menggunakan motto “Gens Una Sumus” dalam bahasa latin iaitu “We Are One People”.

Permainan catur juga memilik gelaran atau anugerah yang diiktiraf FIDE.Ianya bermula dengan Candidate Master (CM) , FIDE Master (FM), International Master (IM) dan yang tertinggi adalah Grandmaster (GM).

Biasanya dalam bentuk yang ringkas, ia boleh digunakan sebagai gelaran seorang. Sebagai contoh Viswanathan Anand boleh digelar sebagai “GM Viswanathan Anand”.

Gelaran ini dimulakan pada tahun 1950 dengan Rusia mempunyai paling ramai pemain bertaraf Grandmaster melebihi dari mana-mana negara lain dengan berjumlah 156 orang. Jerman adalah kedua dengan 61 orang dan Amerika Syarikat mengekori rapat dengan 60 orang.

Berdasarkan ranking semasa, Russia menduduki tempat pertama dalam sukan catur diikuti Amerika dan China. India menduduki tempat ke 5 dan Israel pada tempat ke 12.

Di rantau ASEAN, Vietnam menjuarai ranking dengan kedudukan ke 38 dan Malaysia menduduki tempat ke 77 dan Singapura menduduki tangga ke 62.

GM Magnus Carlsen yang berasal dari Norway menduduki tangga pertama dan diikuti oleh GM Wesley So (USA) dan Vladimir Kramnik ( Russia ).

Antara pemain catur terbaik sepanjang zaman ialah Garry Kasparov dari Russia yang sekarang bertindak sebagai ahli politik berhaluan kiri. Beliau juga merupakan guru kepada pemain no 1 dunia.

Tidak ketinggalan juga seorang lagenda berasal dari Amerika iaitu Bobby Fisher. Watak beliau dilakonkan dan diceritakan semula dalam filem “Pawn Sacrifise” (2014) yang menampilkan Tobby Maguire sebagai Fisher.

Fisher merupakan seorang yang anti-semitik (walaupun mempunyai darah yahudi) dan perjalanan hidup beliau sememangnya penuh dengan liku-liku seperti ditangkap oleh pihak berkuasa dan berpindah randah disesebuah negara kerana mempunyai isu dengan kerajaan Amerika.

Beliau hilang dari pandangan umum pada tahun 1992 dan meninggal pada tahun 2008 di Iceland.

Tahukah anda, seseorang pemain mampu bermain catur tanpa melihat papan catur? Permainan tersebut dipanggil “blindfold game”.

Pemain hanya akan berkomunikasi melalui ‘chess notation’ atau isyarat bagi pergerakan catur bagi bermain.

Biasanya, pemain akan menggunakan seseorang untuk menggerakkan buah catur tersebut.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Misteri Permainan 'Spirit Of The Coin'

sumber: thepatriots

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (8 Julai)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (8 Julai)

Tarikh 8 Julai merupakan hari ke 189 (hari ke 190 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dan tinggal 176 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

Pertempuran Poltava
Pertempuran Poltava.

Hari ini juga merupakan sambutan hari Santo Kilian dan Santo Procopius (Gereja Katolik Rom).

Peristiwa

1497 - Vasco da Gama memulakan pelayaran orang Eropah yang pertama terus ke India.

1709 - Perang Utara Besar: Peter I dari Rusia menewaskan Charles XII dari Sweden dalam Pertempuran Poltava, secara berkesan menamatkan peranan Sweden sebagai kuasa besar di Eropah.

1776 - Loceng Kebebasan dibunyikan untuk memanggil penduduk Philadelphia, Pennsylvania untuk pembacaan Perisytiharan Kemerdekaan oleh Kongres Benua.

1859 - Charles XV menjadi Raja Sweden dan Norway selepas kemangkatan bapanya Oscar I.

1889 - Terbitan pertama akhbar harian niaga paling banyak diedarkan The Wall Street Journal dikeluarkan.

1947 - Akhbar di Roswell, New Mexico melaporkan penawanan sebuah "piring terbang" yang terhempas oleh Tentera Udara Amerika Syarikat.

1958 - Charles Ovnand dan Dale R. Buis menjadi anggota MAAG pertama terbunuh semasa bertugas di Vietnam. Mereka terbunuh di Bien Hoa.

1994 - Selepas kematian Kim Il-sung, Kim Jong-il menjadi Pemimpin Agung Korea Utara.

2011 - Bolak-balik angkasa lepas Atlantis dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy dalam penerbangan STS-135, misi terakhir program Space Shuttle A.S.

2011 - Sesuai dengan keputusan pungutan suara, Sudan Selatan berpisah dari Sudan, menjadi negara berdaulat terbaharu.

2012 – Mark Webber memenangi Grand Prix British 2012.

Kematian

1695 - Christiaan Huygens, seorang astronomi Belanda.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (7 Julai)

sumber: wikipedia

Friday, July 07, 2017

Kisah Bagaimana P. Ramlee Menyelamatkan Kerjaya Seni Nordin Ahmad

Kisah Bagaimana P. Ramlee Menyelamatkan Kerjaya Seni Nordin Ahmad

Satu kepuasan besar dikecapi P. Ramlee apabila berjaya menarik Nordin Ahmad keluar dari keadaan yang mengaibkan berikutan dengan kegagalan filem PERMATA DI PERLIMBAHAN arahan Hj Mahadi terbitan tahun 1952.

P Ramlee dan Nordin Ahmad

P. Ramlee bukan sahaja berjaya mengeluarkan Nordin Ahmad dari keaiban itu malahan berjaya meletakkannya di satu tempat yang sangat tinggi sebagai seorang pelakon yang berwatak dan berkarisma besar serta disanjung tinggi oleh rakan-rakan dan peminatnya.

PERMATA DI PERLIMBAHAN merupakan filem pertama Nordin Ahmad membawa peranan hero yang menggandingkannya bersama Maria Menado.

Filem itu juga membolehkan Hj Mahadi bergelar sebagai anak Melayu pertama menjadi pengarah filem.

Malang sekali filem itu gagal di pasaran dan ini bermakna tertutup ruang untuk Nordin Ahmad terus menjadi hero. Begitu juga dengan Hj Mahadi yang tertutup terus pintu untuk terus menduduki bangku pengarah.

Nordin Ahmad selalu mengadu kepada P. Ramlee mengenai betapa malu dan tertekan perasaannya.

Malahan Nordin Ahmad juga pernah membayangkan kepada P. Ramlee untuk meninggalkan bidang lakonan dan ingin pulang ke Pulau Pinang.

Tetapi P. Ramlee meminta sahabatnya itu supaya bersabar dan menganggap ianya sebagai satu cabaran yang perlu dihadapi.

Hati Nordin Ahmad bertambah tenang apabila P. Ramlee mengakui bahawa Nordin Ahmad adalah seorang pelakon yang berwatak besar tetapi hanya belum menemui peluang untuk membuktikan keupayaan tingginya itu.

Peluang Nordin Ahmad untuk membuktikan kehandalan lakonannya dibuka oleh P. Ramlee melalui filem SEMERAH PADI pada tahun 1956.

Dalam filem itu P. Ramlee menjadikan Nordin Ahmad sebagai hero utama dan P. Ramlee sendiri sanggup memainkan peranan sebagai hero kedua.

Semasa ingin meletakkan “kredit tittle” filem ini, nama Nordin Ahmad diletakkan dikedudukan paling atas. Nama Sa’adiah dibawahnya kemudian baru nama P. Ramlee.

Apabila Nordin Ahmad mendapat tahu, beliau tidak bersetuju dan meminta P. Ramlee mengubah kedudukan namanya dibawah nama P. Ramlee.

Dengan tenang P. Ramlee menjawab, “Din, aku buat filem ini untuk hang. Aku ingin menaikkan nama hang, jadi gunakanlah kesempatan ini dengan sebaik-baiknya wahai sahabatku”.

Apabila Nordin Ahmad mendengar kata-kata P. Ramlee itu beliau terdiam dan terus berlalu meninggalkan P. Ramlee seolah-olah faham apa disebalik kata-kata P. Ramlee itu.

Nordin Ahmad telah mengejutkan semua peminat filem Melayu di zaman itu dengan lakonannya yang mantap dan bermutu tinggi dalam filem SEMERAH PADI.

Pujian besar telah diberikan kepadanya dan dengan sekelip mata Nordin Ahmad telah menjadi seorang pelakon yang berwatak besar setanding P. Ramlee.

P. Ramlee menitiskan air mata melihat kejayaan sahabatnya itu. Begitu juga Nordin Ahmad sebak dadanya mengenangkan jasa yang terlalu besar telah di tabur oleh P. Ramlee kepadanya.

“Segala-galanya berubah kepada kegemilangan selepas P. Ramlee mengambil dan memberi kepercayaan kepada saya untuk berlakon di dalam filem Semerah Padi,” demikian kata Nordin Ahmad kepada wartawan yang menemubual beliau.

Bertolak dari kejayaan Nordin Ahmad di dalam SEMERAH PADI masa depannya sebagai pelakon terus bersinar.

Apabila Nordin Ahmad berhijrah ke studio Cathay-Keris pada penghujung tahun 1957, beliau merupakan hero paling utama di studio berkenaan dan pelakon yang menerima bayaran dan bonus paling tinggi sekali.

Nordin Ahmad adalah daya kekuatan kepada filem keluaran Cathay-Keris dalam memberi saingan kepada filem-filem keluaran MFP.

Jikalau filem itu pelakon utamanya Nordin Ahmad ianya sudah pasti mendapat jaminan box office apabila ditayangkan di pawagam.

Disamping pula gandingan Nordin Ahmad dan LATIFAH OMAR sebagai pasangan paling serasi di layar perak telah berjaya membuatkan ianya sebagai satu fenomena kepada peminat filem Melayu di zaman itu.

Apabila Nordin Ahmad sudah berada di puncak kemahsyuran di Cathay-Keris beliau tidak pernah lupa kepada P. Ramlee dan rakan-rakannya di Jalan Ampas.

Sesekali beliau akan menziarahi rakan-rakannya disana yang pernah bersama-sama bersahabat dengannya antaranya, S. SUDARMADJI, A. RAHIM, S. SHAMSUDIN, AZIZ SATTAR dan P. Ramlee sendiri.

Nordin Ahmad selalu berkata kepada wartawan yang menebualnya apabila merujuk kepada kejayaan dalam kerjayanya, “Apabila setiap kali orang memperkatakan tentang kejayaan lakonan saya, P. Ramlee orang yang berhak berkongsi kejayaan itu bersama-sama saya, kerana P. Ramlee yang merubah keadaan saya, dari gelap menjadi terang.”

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Pesanan Tersirat P. Ramlee Dalam Filem Pendekar Bujang Lapok

sumber: thepatriots

Apa Yang Anda Tahu Tentang Peperangan Gerila?

Apa Yang Anda Tahu Tentang Peperangan Gerila?

Istilah gerila dalam bahasa Sepanyol membawa maksud “peperangan kecil” dan telah digunapakai utk menerangkan konsep peperangan sebegini sejak abad ke 18 atau lebih awal.

Perang+Gerila

Guerrilla warfare (GW) atau peperangan Gerila ialah satu bentuk peperangan bukan konvensional di mana sebuah kumpulan kecil kombatan, termasuk orang awam bersenjata menggunakan taktik ketenteraan seperti serang hendap, sabotaj, peperangan kecil dan unsur kejutan, serta mempunyai kebolehan bergerak yang luar biasa untuk mendominasi pasukan tentera yang lebih besar dan kurang keupayaan mobiliti disebabkan saiznya, atau menggugat sasaran yg lemah, dan kemudian berundur sepantas mungkin.

Secara bahasanya, terma ini digunakan utk menggambarkan perbezaan antara tentera seakan upahan dengan tentera profesional yg lebih formal.

Strategi dan taktik perang gerila lebih memfokuskan penggunaan pasukan kecil yg lebih mudah bergerak bagi menentang pasukan yg lebih besar dan sukar bertindak.

Ia lebih menekankan pembahagian pasukan kepada unitunit kecil, banyak bergantung kepada sokongan daripada penduduk tempatan dan mengambil kesempatan menggunakan kelebihan yang terdapat pada permukaan bumi yg menyokong pergerakan unit-unit kecil ini.

Secara taktikalnya, pasukan gerila akan cuba mengelakkan konfrantasi dengan pasukan musuh dalam pasukan besar, sebaliknya mencari dan memusnahkan kumpulan-kumpulan kecil untuk meminimakan kerosakan kepada unit mereka sendiri dan mengecilkan kekuatan lawan.

Selain daripada anggota pasukan lawan, mereka juga akan mensasarkan sumber. Tujuannya adalah untuk melemahkan pasukan lawan, menyekat pergerakan dan membuatkan pasukan lawan akhirnya berundur.

Dalam bahasa mudah, Mao Zedong merumuskan peperangan gerila sebagai, “Musuh mara, kita undur. Musuh berkhemah,kita ganggu. Musuh keletihan, kita serang. Musuh undur, kita kejar.”

Anti Gerila

Gerakan Gerila agak sukar dibanteras, tetapi terdapat beberapa prinsip anti-gerila yang telah digunapakai sejak 1950 and 1960, yang ternyata telah berjaya membasmi anasir ini.

Antara hasil kerja anti-gerila yang boleh dijadikan panduan adalah oleh Sir Robert Thompson – pakar anti gerila semasa zaman Darurat Malaya, yang memberikan banyak landasan berguna untukk dijadikan panduan.

Antara perkara yang harus dititik beratkan adalah:

Rakyat adalah kunci utama yang harus dilindungi, dan isu utama bukan daerah yang ditawan atau musuh yang ditumbangkan.

Maka usaha harus ditumpukan kepada memberikan keselesaan fizikal dan kemakmuran ekonomi sebagai bekalan populasi tersebut menentang serangan dan propaganda oleh pengganas.

Mesti terdapat wawasan yang jelas yang boleh membayangi, menyamai atau meneutralkan wawasan pihak gerila.

Tindakan praktikal mesti diambil pada peringkat bawahan utk menyaingi idea politik pasukan gerila.

Antara elemen-elemen yang perlu diberi perhatian dalam gerakan anti gerila adalah:

Ekonomi pasukan

Pasukan yang menentang pasukan gerila tidak boleh bertindak balas secara melampau kepada provokasi, memandangkan ini mungkin adalah taktik pengganas utk mewujudkan krisis daripada segi keyakinan orang awam.

Tindakan tahap kepolisan harus menjadi titik rujukan sebarang usaha dan mengambil tempat secara jelas di dalam rangka kerja undang-undang, walaupun dalam keadaan darurat.

Konteks “anggota di medan” adalah lebih penting daripada kecanggihan teknologi atau kekuatan tembakan yang dahsyat, walaupun pasukan anti gerila patut mengambilkira penggunaan sepenuhnya aset-aset moden udara, artileri dan elektronik.

Tindakan unit besar kadangkala perlu

Jika tindakan kepolisan adalah tidak cukup, gerakan ketenteraan mungkin perlu. Operasi Batalion besar sebegini mungkin diperlukan bagi memecahkan konsentrasi gerila dan memecahkan mereka kepada kumpulan-kumpulan kecil di mana tindakan bersama pasukan polis serta orang awam mampu membendung ancaman gerila.

Mobiliti agresif

Mobiliti dan tindakan unit kecil yang agresif adalah sangat penting. Formasi berat harus diringankan untuk mencari, mengejar dan mengambil tindakan secara agresif kepada kumpulan insurgen.

Berada di dalam kedudukan statik akan hanya memberikan kelebihan di medan kepada pihak insurgen.

Mereka mesti dipastikan sentiasa melarikan diri melalui kaedah rondaan, serangan, serang hendap, sapuan, kepungan, sekatan jalanraya, penangkapan dan lain-lain yang lebih agresif.

Susupan dan integrasi di peringkat bawahan

Selain mobiliti, turut tersenarai adalah penyusupan terup keselamatan dan elemen awam ke dalam kawasan pasukan lawan.

Selain untuk mengkucar-kacirkan musuh, peyusupan yang dilakukan oleh pasukan-pasukan elit ke dalam pasukan biasa mampu meningkatkan keberkesanan sesuatu pasukan. Tujuannya adalah untuk menyatukan usaha risikan selain menguatkan sokongan pada peringkat medan.

Sensitiviti budaya

Pasukan anti-insurgen paerlu mempunyai pengetahuan tentang budaya setempat serta bahasanya. Kekurangan daripada segi ini akan mengganggu usaha dan operasi ketenteraan dan awam.

Usaha risikan yang sistematik

Usaha harus digembelengkan utk menyusun kaedah pengumpulan maklumat yang efektif. Satu proses yang sistematik harus diaturgerak – daripada penyoalan secara kasual terhadap orang ramai, ke soal siasat yang tersusun terhadap tahanan.

Penggunaan kumpulan yang berlakon bersimpati dan menyokong insurgen juga mampu mendedahkan identiti dan operasi insurgen.

Pengenalpastian yang tersusun

Pasukan anti- insurgen harus mempunyai kaedah yang tepat bagi membahagikan kawasan konflik kepada sektor tertentu dan mengenalpasti tahap kepentingan kawasan tersebut. Ia dipanggil kaedah “ink spot”.

Kawalan mesti bergerak keluar daripada ink spot di atas peta, secara sistematik meneutralkan dan menghapuskan ancaman insurgen daripada satu grid peta ke grid seterusnya.

Ia mungkin perlu untuk sesuatu kawasan ditahan tindakannya terlebih dahulu sementara kawasan prioriti dibersihkan.

Penghantaran pasukan besar atau unit khas

Penghantaran secara berhati-hati sesebuah pasukan besar adalah sangat bermanfaat bagi memberikan perlindungan secara setempat.

Unit khas termasuk komando, penjejak dan juga mereka yang berpaling tadah daripada pasukan gerila asal mampu membantu memburu saki-baki insurgen yang terpecah.

Bantuan asing harus dihadkan dan ditetapkan

Penggunaan bantuan asing mungkin perlu, samada daripada segi terup, teknikal atau mekanikal, namun ia harus dihad dan ditetapkan dengann jelas kerana terdapat kebarangkalian mereka mengambil alih peperangan tempatan ini.

Ia mungkin menyebabkan konflik yang lebih berpanjangan, memberikan peluang propaganda kepada pasukan insurgen yang boleh menggunakan org asing ini sebagai sasaran.

Selain daripada itu, gangguan kerana mereka yang tidak memahami budaya dan bahasa setempat mampu menempah kegagalan bagi operasi sebegini.

Masa

Satu faktor kunci di dalam strategi gerila adalah konflik yang boleh meruntuhkan moral pasukan penentang.

Pasukan anti-gerila haruslah membenarkan masa yang cukup bagi kejayaan dicapai. Permintaan gelojoh agar kejayaan diperolehi dengann cepat demi perkara-perkara seperti pilihanraya akan mampu dimanipulasi oleh pasukan gerila seterusnya.

Dalam erti kata lain, kita mungkin akan menang bersorak tapi selepas itu kampung pula tergadai.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Penemuan Gambar Bersejarah Ernesto Che Guevara

sumber: thepatriots

Bagaimana Umat Islam Mampu Mengalahkan Yahudi?

Bagaimana Umat Islam Mampu Mengalahkan Yahudi?

50 tahun lalu, peristiwa Perang Enam Hari yang merupakan titik hitam paling besar dalam sejarah moden umat Islam.

Kalahkan+Yahudi

Dalam perang tersebut, Israel menewaskan pakatan Mesir-Jordan-Syria, sekaligus merampas Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa.

Sehingga hari ini, konflik Israel-Palestin masih belum selesai. Selagi ia tidak diselesaikan, selagi itu akan ada umat Islam yang sengsara. Malah keadaan bertambah rumit dengan kemunculan golongan ekstremis yang menunggang nama perjuangan Palestin. Masa depan umat Palestin semakin gelap, seolah-olah tiada cahaya dan pengharapan.

Kini, umat perlu berdepan dengan musuh yang bertambah licik. Benjamin Netanyahu mempunyai kelebihan boleh berkawan dengan semua orang, semua diklaim sebagai “best friend”.

Trump dia sapu, Putin pun dia sapu. Di sebalik muka tembok Netanyahu, terdapat rancangan jahat untuk memulaukan Palestin di peringkat antarabangsa.

Dari segi pengiktirafan antarabangsa, Palestin masih di belakang Israel: dari 193 negara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), Israel diiktiraf oleh 161 negara, Palestin diiktiraf oleh 137 negara.

Mengapa lebih ramai yang menyokong Israel? Adakah Israel guna sihir? Santau? Jin? Atau Freemason?

Tidak. Walaupun komuniti antarabangsa menyokong Palestin atas dasar kemanusiaan (“humanitarianism”), namun Israel menawarkan kepentingan (“interest”) dan faedah (“benefit”).

Melalui diplomasi, Israel telah menyakinkan negara-negara di dunia ini bahawa adalah “berbaloi” untuk menyokong mereka.

Di Amerika ada pelobi Israel (“Israel Lobby”), mereka merupakan kumpulan pendesak yang melobi kerajaan Amerika agar sentiasa menyokong Israel.

Selain mengguna wang, mereka juga membina jaringan (“networking”) interpersonal. Warga Israel belajar di universiti terkemuka dan bekerja di syarikat multinasional untuk membina jaringan tersebut dari peringkat awal.

Netanyahu sendiri merupakan bekas pelajar Harvard dan MITI dan bekas pekerja firma Boston Consulting Group yang telah melahirkan ramai pemimpin dunia.

Jadi, di sektor kerajaan, tentera, korporat, media dan akademi di Amerika, sentiasa ada pihak yang bercakap untuk kepentingan Israel.

Jika terdapat presiden yang tidak menyokong Israel, misalnya George H.W. Bush (1989-1992), maka mereka akan memobilisasi segala jentera untuk menewaskannya (Bush dapat 11% undian Yahudi manakala Clinton dapat 80% semasa pilihanraya 1992).

Maka, untuk menjaga kepentingan diri, presiden Amerika tiada pilihan selain memberi sokongan padu kepada Israel.

Jika dibandingkan, diplomasi umat Islam teramatlah lemah. Negara-Negara Teluk cuba wujudkan “Arab Lobby”, namun tidak berkesan.

Mereka bergantung kepada wang semata-mata, tidak pandai membina jaringan seperti Israel. Apabila Arab tidak lagi kaya raya, pengaruh mereka pun berkurangan.

Israel juga tidak menaruh harapan sepenuhnya kepada Amerika. Mereka sedar dunia sentiasa berubah, jadi lebih baik sediakan payung sebelum hujan.

Maka Netanyahu mendekati Rusia dan China, dua kuasa besar yang menyokong Palestin. Netanyahu kini cuba menarik Rusia dan China ke sebelahnya.

Jika tidak berhati-hati, Palestin akan hilang sokongan semua kuasa besar di Majlis Keselamatan UN.

Saya bukan menyuruh kalian untuk mengagumi Israel atau Yahudi, cuma ingin mengingati tentang realiti politik antarabangsa.

Suka atau tidak, kita tidak mampu mencapai kejayaan tanpa kekuatan diplomasi. Tiada siapa yang mampu “lawan semua”, termasuk Hitler.

Kita perlu belajar dari Salahuddin Al-Ayyubi dan sultan-sultan Khilafah Uthmaniyyah. Mereka tidak hanya berjaya mengguna kekuatan semata-mata, malah juga melalui seni diplomasi.

Umat kita perlu kurangkan emosi dan banyakkan strategi. Kita memerlukan diplomasi ofensif yang boleh mematahkan (“break”) pelan jahat si Benjamin Netanyahu.

Untuk berbuat demikian, kita perlu menonjolkan kepentingan kita untuk menarik sokongan. Kita tidak boleh mengharapkan simpati sentiasa. kita perlu menjalin hubungan dengan kuasa-kuasa besar untuk mewujudkan imbangan kuasa (“balance of power”) yang memihak kepada kita.

Hanya sampai masa itu, baru kemenangan akan tiba.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Tahukah Anda Watak Superman Di Cipta Sebagai Penyelamat Kaum Yahudi

sumber: thepatriots

Hikmah Larangan Memelihara Anjing Dalam Islam

Hikmah Larangan Memelihara Anjing Dalam Islam

Di sebalik hukum larangan makruh memelihara anjing selain daripada digunakan untuk memburu dan menjaga harta, ada hikmah yang syariat letakkan untuk menjaga kebajikan manusia.

Anjing

Ini disebut oleh al-Allamah Syeikh Prof. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam yang telah kami terjemahkan dibawah.

***

Kita akan menemui di tempat kita, ada segolongan manusia yang berkiblatkan ke arah Barat, menganggap bahawa orang-orang Barat itu mempunyai tabiat yang lembut, di samping sifat perikemanusiaannya yang tinggi sering kali mempunyai sifat belas kasihan ke atas setiap binatang yang hidup lalu mereka menuduh sikap orang Islam yang menyuruh berhati-hati terhadap binatang yang comel, jinak dan dipercayai ini!

Maka kepada orang-orang seperti inilah ditujukan makalah ilmiah yang bernilai ini, yang ditulis oleh seorang Profesor Spesialis Jerman dalam sebuah majalah Jerman.

Dalam makalah itu, ia telah menunjukkan dengan jelas tentang bahaya memelihara anjing di dalam rumah atau mendekatkan diri kepadanya, katanya:

Sesungguhnya semakin bertambah bilangan manusia yang gemar memelihara anjing akhir-akhir ini dan menarik perhatian perhatian kita untuk mengingatkan pendapat umum tentang bahaya yang timbul disebabkan binatang tersebut.

Antara permasalahannya bukan hanya terbatas pada pemeliharaannya semata-mata, malah merangkumi kepada kesukaan bermain-main dengan anjing, menciumnya dan membenarkannya menjilat tangan dan kaki anak-anak kecil serta orang dewasa.

Ada juga yang membiarkannya menjilat lebih-lebihan makanan dalam pinggan mangkuk yang digunakan sebagai tempat simpanan makanan dan minuman manusia.

Meskipun semua yang disebutkan dianggap jijik dan buruk dalam pandangan mata manusia dan tidak akan diterima dengan baik.

Ianya pula bertentangan dengan kaedah kesihatan dan kebersihan, namun kita masih menutup sebelah mata terhadapnya kerana ia tidak selari dengan pembicaraan kita dalam makalah ilmiah ini.

Hal-hal sebegini sengaja ditinggalkan untuk dinilai oleh pendidikan moral dan pembentukan jiwa untuk menghukumnya.

Dari segi pandangan kedoktoran, sangat penting sekali dalam perbahasan ini kerana bahaya yang mengancam kesihatan manusia dan kehidupannya disebabkan pemeliharaan anjing dan bermain-main dengannya bukanlah lagi suatu masalah yang boleh diabaikan.

Oleh kerana manusia yang degil dan sanggup berbelanja mahal untuk memelihara anjing ternyata binatang tersebut mempunyai kuman yang berbahaya dan boleh mencetuskan penyakit kronik yang berpanjangan, malah ada yang menemui ajal gara-gara penyakit tersebut.

Cacing pita pada anjing mudah berjangkit dan dinamakan kuman pita anjing yang kerap menjangkiti manusia dalam bentuk bisul.

Ianya juga boleh berjangkit kepada binatang ternakan khususnya pada babi. Akan tetapi, kuman ini cukup aktif pada badan anjing liar dan serigala. Ianya amat jarang menjangkiti kucing dan cacing pita ini berbeza sekali dengan cacing yang lain kerana sifatnya sangat halus sekali sehingga hampir-hampir tidak kelihatan dan dikenali melainkan sejak akhir-akhir ini.

Seterusnya, Dr. Gerrard Fantestimer berkata, pertumbuhan cacing pita anjing ini mempunyai keanehan tersendiri dalam dunia haiwan.

Daripada satu telurnya sahaja boleh tumbuh beberapa cacing pita lain yang menjadikannya bisul lantas ianya menjadi sempurna dan cukup subur dalam usus anjing.

Kesannya pada tubuh manusia dan binatang lain tidak sama selain tumbuhnya bisul dan nanah yang baru, berlainan sekali seperti yang sudah diketahui pada tubuh anjing.

Jangkitan cacing pita ini pada binatang ternakan tidak sampai membesar hingga lebih daripada bentuknya kecuali sangat jarang sekali.

Kesan pada tubuh manusia pula boleh sampai ke bentuk genggaman tangan atau sampai membesar kepala kanak-kanak yang dipenuhi cairan kekuningan yang beratnya kira-kira sepuluh hingga dua puluh pound.

Kuman ini selalunya menjangkiti manusia pada organ hatinya dan ianya kelihatan dalam pelbagai rupa yang tidak sama.

Akan tetapi, cacing pita ini selalunya berpindah ke paru-paru, limpa, buah pinggang, anggota-anggota yang lain dan tengkorak.

Ianya selalu berubah bentuk dan keadaan sehingga sukar dianalisa dan mengelirukan doktor pakar sehinggalah ianya berjaya dikesan baru-baru ini.

Bagaimanapun, keadaan kuman ini tetap merupakan bahaya dan ancaman kepada kesihatan seseorang.

Lebih malang lagi, sehingga kini masih tidak ada lagi cara dan penawar untuk mencegah kuman ini dari menjangkiti manusia dalam dunia yang serba canggih dan moden ini.

Dari segi ilmu kedoktoran pada akhir-akhir ini, tubuh manusia itu akan mengeluarkan cecair atau seumpama dengannya dalam keadaan tubuh menderita kesakitan lalu bahan-bahan itulah yang berfungsi melawan kuman-kuman tersebut dengan membunuh kuman yang meracuni tubuh itu.

Apa yang sangat mendukacitakan, matinya cacing pita tersebut tidak meninggalkan kesan sama sekali pada tubuh itu ataupun menunjukkan bahaya yang luar biasa.

Sebagaimana kebiasaannya dengan penyakit lain, lebih-lebih lagi ianya terhalang dengan ubat-ubatan kimia yang tidak menghasilkan sebarang faedah.

Orang yang ditimpa penyakit ini seringkali mendapatkan ubat dengan cara pembedahan namun pesakit tetap menderita tanpa penawar yang sempurna.

Prof. Dr. Novaller, pakar bedah Jerman ke atas mayat-mayat manusia yang ditimpa penyakit bisul-bisul kuman pita anjing tersebut mengatakan bahawa orang yang terkena penyakit ini di Jerman tidak kurang dari 1% bilangan penduduknya.

Negara yang paling banyak ditimpa penyakit ini ialah di bahagian Skandanavia, tenggara Australia. Manakala di daerah Frizledz Belanda, dijadikan anjing-anjing untuk menarik perhatian dan penderitaan manusia disebabkan kuman tersebut tidak kurang 12%, sedangkan penyakit yang melanda Irlandia dinisbahkan 43 orang daripada seorang yang terkena p;enyakit ini.

Jika dikira kerugian yang terpaksa ditanggung gara-gara kuman tersebut, sesungguhnya tidak ada seorang pun yang membantah jika dihapuskan semua anjing-anjing di dunia ini demi mencapai kestabilan kesihatan masyarakat di seluruh dunia.

Usaha yang terbaik untuk membanteras wabak ini ialah menumpukan tanggungjawab kita untuk mengekang kuman ini dan membiarkan pada anjing sahaja.

Akan tetapi jika difikirkan ianya sia-sia sahaja kerana hakikatnya kita tidak mampu mencegah orang daripada memelihara binatang tersebut.

Lantaran itu, jangan lupa mengubati anjing-anjing yang sudah terkena penyakit ini dengan cara pengubatan yang perlu dalam hal sedemikian iaitu dengan melenyapkan kuman tersebut yang ada pada tubuhnya dan membuat pemeriksaan pada anjing itu dari semasa ke semasa terutamanya anjing pengembala ternakan dan anjing penjaga rumah.

Manusia juga boleh menjaga kesihatannya dengan menjauhkan diri daripada bermain-main dengan anjing dan berhenti memeliharanya.

Kanak-kanak hendaklah melakukan perkara yang sama dengan menjauhkan diri daripada sebarang aktiviti dengan anjing.

Jangan biarkan anjing menjilat pinggan mangkuk yang biasanya dipakai oleh manusia. Semua pihak harus memainkan peranan dalam mengatasi virus yang dibawa oleh anjing ini demi kesejahteraan dalam kehidupan seharian.

Secara umumnya, kita hendaklah mengambil berat dalam hal mengelakkan anjing dari tempat yang ada hubung kait dengan makanan atau minuman.

Jangan biarkan anjing dibawa masuk ke tempat-tempat jualan makanan basah, pasar-pasar umum, di restoran dan sebagainya. Sekian, dari nukilan majalah Jerman Kosinos.

***

Sekarang jelaslah kepada kita mengapa Nabi SAW melarang bermain dengan anjing dan memeliharanya tanpa sebarang tujuan.

Peringatan yang dijelaskan oleh Baginda SAW jelas menunjukkan betapa pekanya Nabi SAW terhadap kesihatan umatnya.

BACA INI JUGA: Kempen Sentuh Anjing Agenda Musuh Islam - Azhar Idrus

sumber: muftiwp

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (7 Julai)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (7 Julai)

Tanggal 7 Julai merupakan hari ke 188 (hari ke 189 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 177 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

Jeanne d'Arc
Jeanne d'Arc (Gambar hiasan.

Hari ini juga merupakan sambutan Hari Kemerdekaan di Kepulauan Solomon (1978), Tanabata di Jepun, Malam Kupala di Rusia dan Ukraine dan Perlumbaan Lembu di Pamplona, Navarre, Sepanyol.

Peristiwa

1456 - Jeanne d'Arc dibebaskan daripada tuduhan bidaah yang menyeleweng, 25 tahun selepas kematiannya.

1846 - Perang Amerika Syarikat-Mexico: Angkatan A.S. pimpinan Laksamana Pertama John D. Sloat menduduki Monterey dan Yerba Buena, memulakan pengilhakan California.

1898 - Akta Kongres Amerika Syarikat yang mengilhak Republik Hawaii, Ketetapan Newlands dimeterai presiden.

1937 - Peristiwa Jambatan Marco Polo di Beijing menandakan permulaan Perang China-Jepun Kedua.

1946 - Howard Hughes hampir maut ketika XF-11, prototaip pesawat pengintipnya, jatuh terhempas di kawasan Bukit Beverly, California.

1985 - Pemain tenis Boris Becker menewaskan Kevin Curren untuk menjadi pemain bukan pilihan pertama dan pemain paling muda memenangi kejuaraan individu di Wimbledon.

2005 - Empat pengebom berani mati membunuh 52 orang dalam satu siri empat letupan terhadap sistem pengangkutan awam London.

2008 - Pemimpin G8 bertemu di Jepun manakala pemimpin D-8 bertemu di Malaysia.

2010 - Bekas diktator Panama Manuel Noriega dihukum tujuh tahun penjara kerana melabur wang haram di Perancis.

2012 - Lebih 160 orang maut dalam banjir kilat di Jajahan Krasnodar, Rusia.

Kelahiran

1907 - Nik Ahmad Kamil bin Nik Mahmud, Menteri Besar Kelantan ke-11.

1995 - Naomi Pratiwi, penyanyi R&B, soul, penari dan aktris Indonesia-Australia.

Kematian

1882 - Mikhail Skobelev, seorang jeneral Empayar Rusia.

1965 - Moshe Sharett, Perdana Menteri Israel ke-2.

1971 - Ub Iwerks, seorang kartunis dan juruanimasi A.S.

2008 - Syed Ahmad bin Syed Mahmud Shahabuddin, Menteri Besar Kedah ke-4.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (6 Julai)

sumber: wikipedia

Sambutan Hari Coklat Sedunia, World Chocolate Day

Sambutan Hari Coklat Sedunia, World Chocolate Day

Sambutan Hari Coklat Sedunia, World Chocolate Day atau juga diraikan sebagai Hari Coklat Antarabangsa, disambut pada 7 Julai setiap tahun bagi meraikan pengenalan coklat ke Eropah pada tahun 1550.

Sambutan Hari Coklat Sedunia

Selain disambut pada tarikh ini, banyak lagi sambutan hari coklat yang disambut seperti Hari Coklat Negara di Amerika Syarikat pada 28 Oktober.

Sementara itu, Persatuan Kebangsaan AS menyenaraikan 13 September sebagai Hari Coklat Antarabangsa, bertemakan coklat yang lebih khusus dan disambut di seluruh dunia pada pelbagai tarikh, termasuk Hari Coklat Bittersweet pada 10 Jan, Hari Coklat Susu pada 28 Julai, Hari Coklat Putih pada 22 September, Chip Chip Day pada 15 Mei, Hari Ais Krim Coklat pada 7 Jun, Hari Pengisaran Susu Coklat pada 12 September dan Hari Coklat yang disambut pada 16 Disember.

Sambutan Hari Coklat Sedunia yang diraikan pada 7 Julai telah disambut seawal tahun 2009 lagi.

Selamat menyambut Sambutan Hari Coklat Sedunia.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, July 06, 2017

Sejarah Rabies, Penyakit Anjing Gila

Sejarah Rabies, Penyakit Anjing Gila

Penyakit Rabies dan biasanya disebut penyakit anjing gila diketahui telah wujud dalam sejarah manusia sejak 2000 tahun sebelum Masehi.

Rabies

Menurut Kodeks Eshunna, kanun undang-undang di Mesopotamia kira-kira tahun 1930 sebelum Masehi menyebut bahawa pemilik anjing perlu mengambil langkah pencegahan sewajarnya.

Jika dia gagal berbuat demikian dan ada mangsa yang digigit, pemilik anjing akan dihukum dengan hukuman yang berat jika mangsa tadi meninggal dunia.

Penyakit yang sangat bahaya

Penyakit anjing gila ialah sejenis penyakit virus yang menyebabkan radang otak pada manusia atau haiwan yang dijangkiti.

Simptom awal termasuklah demam atau terasa kebas pada tempat terkena jangkitan, kemudiannya diikuti dengan beberapa simptom lain, kelakukan agresif, sawan, simptom takut air (Hydrophobia), tidak mampu menggerakkan bahagian tubuh badan, kekeliruan dan koma.

Apabila penyakit ini mula menunjukkan simptom-simptom tersebut, kebiasaannya pesakit tidak dapat diselamatkan lagi.

Jangka masa di antara mulanya jangkitan virus penyakit ini dengan permulaan simptom biasanya di antara satu hingga tiga bulan walaupun begitu, jangka masa ini berubah-ubah di antara kurang dari satu minggu hingga lebih dari setahun.

Jangka masa ini berubah-ubah bergantung kepada jangka masa virus untuk sampai ke sistem saraf pusat.

Hidrofobia

Hidrofobia (fobia terhadap air) merupakan nama yang tidak asing lagi bagi penyakit anjing gila.

Ianya merujuk kepada beberapa simptom pertengahan penyakit ini di mana pesakit mengalami kesukaran menelan, berlaku panik apabila dihidangkan air minuman serta sentiasa berasa dahaga.

Dalam peringkat ini, air liur yang dihasilkan menjadi terlalu banyak dan pesakit bakal mengalami kekejangan otot yang sangat teruk pada kerongkong dan lelangit jika cuba meminum air.

Perkara ini boleh dikaitkan dengan fakta di mana virus mula berganda dan berasimilasi dengan kelenjar air liur pada haiwan yang dijangkiti bagi membolehkan virus ini tersebar menerusi gigitan.

Keupayaan penyebaran virus akan berkurang secara mendadak jika pesakit mampu menelan air liur dan air minuman.

Hidrofobia biasanya dikaitkan dengan pesakit yang memiliki simptom berkelakuan agresif, di mana 80% pesakit mendapat simptom ini.

Manakala, baki 20% lagi merupakan pesakit yang mengalami simptom berkelakuan tidak agresif atau mendiamkan diri seperti otot yang lemah, hilang deria dan kekejangan, pesakit ini tidak mengalami hidrofobia.

Pencipta vaksin Rabies

Berdasarkan rekod, penyakit anjing gila dianggap sebagai wabak pada kurun 19. Penyakit anjing gila merupakan penyakit yang biasa. Penyakit ini berterusan tiada penawar.

Di Perancis dan Belgium, di mana Saint Hubert dihormati, Kunci St Hubert's dipanaskan dan digunakan untuk menyembuhkan luka.

Dengan menerapkan pemikiran berteraskan magik, anjing-anjing ditandakan dengan dengan tanda kunci dengan harapan memberi perlindungan daripada penyakit anjing gila ini.

Pada masa silam, rawatan yang diberikan kepada pesakit adalah dengan memotong sebahagian daripada lidah kerana ramai berpendapat di situ adalah tempat bermulanya virus penyakit ini. Amalan ini terhenti setelah penemuan sebenar asal-usul penyakit anjing gila ini.

Kebiasaannya, anjing dan hidupan yang dijangkiti termasuk manusia akan mati apabila sudah didiagnos dengan anjing gila sehinggalah dua orang saintis Perancis, Louis Pasteur dan Emile Roux mencipta vaksin rabies pada 1885.

Kawalan dan rawatan penyakit ini bertambah baik selepas itu dan pesakit dalam tempoh 10 hari selepas pendedahan dengan virus ini seperti digigit dan sebagainya boleh disembuhkan jika dirawat dalam tempoh 10 hari.

Virus Rabies pada air liur

Penyakit anjing gila dibawa oleh virus lyssaviruses dan boleh tersebar apabila haiwan yang terkena jangkitan ini menggigit atau mencakar haiwan lain atau manusia.

Air liur yang terdapat dari haiwan yang dijangkiti juga merupakan ejen penyebar virus ini jika terkena pada mana-mana bahagian badan.

Anjing merupakan haiwan yang paling banyak dijangkiti penyakit ini dengan 99% kes yang dilaporkan di seluruh dunia adalah berkaitan dengan gigitan anjing.

Apabila manusia terkena gigitan haiwan yang dijangkiti penyakit ini, virus akan bergerak ke sistem saraf pusat dengan melalui di bahagian saraf biasa. Penyakit ini hanya boleh dikesan selepas simptom-simptom ini kelihatan.

Sindrom Zombie

Pada masa kini pula, ketakutan terhadap penyakit ini masih lagi tidak dapat dibendung walaupun begitu, cara penyakit ini disebarkan dan simptom-simptom kini dijadikan inspirasi bagi kebanyakkan karya berkaitan zombi.

Penyakit ini digambarkan sebagai penyakit endemik yang menyerang manusia yang menyebabkan pesakit tersebut berkelakuan agresif serta menyerang manusia lain dengan menggigit anggota badan mereka.

Rawatan Penyakit Anjing Gila

Program vaksin dan kawalan haiwan mengurangkan risiko terkena jangkitan penyakit anjing gila di kebanyakkan kawasan di dunia.

Bagi pesakit yang terkena jangkitan ini, vaksin anjing gila dan imunoglobulin sangat efektif dalam melawan virus ini jika pesakit tersebut menerima rawatan sebelum simptom penyakit ini bermula.

Membasuh di bahagian yang terkena gigitan haiwan yang dijangkiti penyakit ini selama 15 minit menggunakan sabun dan air atau ejen detergen lain boleh mengurangkan risiko penyebaran virus dan mungkin juga sangat efektif dalam menghentikan pembawaan virus ini.

Setakat ini, hanya lima pesakit berjaya disembuhkan selepas simptom-simptom mula kelihata, dan keputusan ini boleh dicapai jika pesakit menerima rawatan menyeluruh yang dikenali sebagai protokol Milwaukee.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Bahaya Penyakit Anjing Gila, Segera Dapatkan Rawatan Jika Digigit Atau Dicakar Anjing!

sumber: wikipedia

Lagu ‘Cover’ Korea Shila Amzah Sensasi Di Luar Negara

Lagu ‘Cover’ Korea Shila Amzah Sensasi Di Luar Negara

Setelah mencipta nama di China, penyanyi kelahiran Kuala Lumpur ini mula pula melakar sejarah baharu di Korea Selatan menerusi beberapa lagu cover artis negara tersebut.

Shila Amzah

Lebih unik, penampilan elegan Shila Amzah, hijaber yang bukan sahaja cantik namun memiliki suara merdu itu semakin dikenali di negara kimchi tersebut setelah tular menerusi laman perkongsian video popular YouTube.

Menurut portal antarabangsa, pemilik nama sebenar NurShahila Amir Amzah itu menerima sambutan luar biasa daripada netizen Korea Selatan susulan kemunculan beliau melalui lagu-lagu beberapa kumpulan band popular.

Ini termasuk video Shila, 26, menyampaikan lagu rancak Whistle milik kumpulan BlackPink yang dianggotai empat gadis cantik K-Pop dan berdurasi 3 minit 33 saat apabila sudah berjaya ditonton lebih daripada 757,000 kali.

Malahan lagu cover Shila berjudul Beautiful berdurasi 3 minit 47 saat yang sebenarnya merupakan lagu runut asal drama bersiri televisyen popular Goblin yang setakat ini dilaporkan sudah pun ditonton lebih 816,000 kali.

Tidak ketinggalan ialah lagu Last Dance nyanyian Big Bang, sebuah kumpulan K-Pop terkenal dianggotai lima remaja lelaki yang dinyanyikan Shila berdurasi 4 minit 40 saat itu turut ditonton lebih 700,000 kali sehingga kini.

Kefasihan Shila yang merupakan bekas juara program nyanyian realiti Asia Wave pada 2102 lalu dan anak kepada penyanyi ND Lala itu bertutur bahasa Korea dengan lancar juga menuai pujian ramai netizen luar negara.

Apa yang unik, Shila masih lagi mampu mencipta populariti di peringkat antarabangsa di sebalik penampilan dirinya yang anggun berhijab kerana kelunakan suaranya.

BACA INI JUGA: Reaksi Orang Korea Terhadap Selebriti Malaysia

sumber: mynewshub