Friday, July 07, 2017

Kisah Bagaimana P. Ramlee Menyelamatkan Kerjaya Seni Nordin Ahmad

Satu kepuasan besar dikecapi P. Ramlee apabila berjaya menarik Nordin Ahmad keluar dari keadaan yang mengaibkan berikutan dengan kegagalan filem PERMATA DI PERLIMBAHAN arahan Hj Mahadi terbitan tahun 1952.

P Ramlee dan Nordin Ahmad

P. Ramlee bukan sahaja berjaya mengeluarkan Nordin Ahmad dari keaiban itu malahan berjaya meletakkannya di satu tempat yang sangat tinggi sebagai seorang pelakon yang berwatak dan berkarisma besar serta disanjung tinggi oleh rakan-rakan dan peminatnya.

PERMATA DI PERLIMBAHAN merupakan filem pertama Nordin Ahmad membawa peranan hero yang menggandingkannya bersama Maria Menado.

Filem itu juga membolehkan Hj Mahadi bergelar sebagai anak Melayu pertama menjadi pengarah filem.

Malang sekali filem itu gagal di pasaran dan ini bermakna tertutup ruang untuk Nordin Ahmad terus menjadi hero. Begitu juga dengan Hj Mahadi yang tertutup terus pintu untuk terus menduduki bangku pengarah.

Nordin Ahmad selalu mengadu kepada P. Ramlee mengenai betapa malu dan tertekan perasaannya.

Malahan Nordin Ahmad juga pernah membayangkan kepada P. Ramlee untuk meninggalkan bidang lakonan dan ingin pulang ke Pulau Pinang.

Tetapi P. Ramlee meminta sahabatnya itu supaya bersabar dan menganggap ianya sebagai satu cabaran yang perlu dihadapi.

Hati Nordin Ahmad bertambah tenang apabila P. Ramlee mengakui bahawa Nordin Ahmad adalah seorang pelakon yang berwatak besar tetapi hanya belum menemui peluang untuk membuktikan keupayaan tingginya itu.

Peluang Nordin Ahmad untuk membuktikan kehandalan lakonannya dibuka oleh P. Ramlee melalui filem SEMERAH PADI pada tahun 1956.

Dalam filem itu P. Ramlee menjadikan Nordin Ahmad sebagai hero utama dan P. Ramlee sendiri sanggup memainkan peranan sebagai hero kedua.

Semasa ingin meletakkan “kredit tittle” filem ini, nama Nordin Ahmad diletakkan dikedudukan paling atas. Nama Sa’adiah dibawahnya kemudian baru nama P. Ramlee.

Apabila Nordin Ahmad mendapat tahu, beliau tidak bersetuju dan meminta P. Ramlee mengubah kedudukan namanya dibawah nama P. Ramlee.

Dengan tenang P. Ramlee menjawab, “Din, aku buat filem ini untuk hang. Aku ingin menaikkan nama hang, jadi gunakanlah kesempatan ini dengan sebaik-baiknya wahai sahabatku”.

Apabila Nordin Ahmad mendengar kata-kata P. Ramlee itu beliau terdiam dan terus berlalu meninggalkan P. Ramlee seolah-olah faham apa disebalik kata-kata P. Ramlee itu.

Nordin Ahmad telah mengejutkan semua peminat filem Melayu di zaman itu dengan lakonannya yang mantap dan bermutu tinggi dalam filem SEMERAH PADI.

Pujian besar telah diberikan kepadanya dan dengan sekelip mata Nordin Ahmad telah menjadi seorang pelakon yang berwatak besar setanding P. Ramlee.

P. Ramlee menitiskan air mata melihat kejayaan sahabatnya itu. Begitu juga Nordin Ahmad sebak dadanya mengenangkan jasa yang terlalu besar telah di tabur oleh P. Ramlee kepadanya.

“Segala-galanya berubah kepada kegemilangan selepas P. Ramlee mengambil dan memberi kepercayaan kepada saya untuk berlakon di dalam filem Semerah Padi,” demikian kata Nordin Ahmad kepada wartawan yang menemubual beliau.

Bertolak dari kejayaan Nordin Ahmad di dalam SEMERAH PADI masa depannya sebagai pelakon terus bersinar.

Apabila Nordin Ahmad berhijrah ke studio Cathay-Keris pada penghujung tahun 1957, beliau merupakan hero paling utama di studio berkenaan dan pelakon yang menerima bayaran dan bonus paling tinggi sekali.

Nordin Ahmad adalah daya kekuatan kepada filem keluaran Cathay-Keris dalam memberi saingan kepada filem-filem keluaran MFP.

Jikalau filem itu pelakon utamanya Nordin Ahmad ianya sudah pasti mendapat jaminan box office apabila ditayangkan di pawagam.

Disamping pula gandingan Nordin Ahmad dan LATIFAH OMAR sebagai pasangan paling serasi di layar perak telah berjaya membuatkan ianya sebagai satu fenomena kepada peminat filem Melayu di zaman itu.

Apabila Nordin Ahmad sudah berada di puncak kemahsyuran di Cathay-Keris beliau tidak pernah lupa kepada P. Ramlee dan rakan-rakannya di Jalan Ampas.

Sesekali beliau akan menziarahi rakan-rakannya disana yang pernah bersama-sama bersahabat dengannya antaranya, S. SUDARMADJI, A. RAHIM, S. SHAMSUDIN, AZIZ SATTAR dan P. Ramlee sendiri.

Nordin Ahmad selalu berkata kepada wartawan yang menebualnya apabila merujuk kepada kejayaan dalam kerjayanya, “Apabila setiap kali orang memperkatakan tentang kejayaan lakonan saya, P. Ramlee orang yang berhak berkongsi kejayaan itu bersama-sama saya, kerana P. Ramlee yang merubah keadaan saya, dari gelap menjadi terang.”

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Pesanan Tersirat P. Ramlee Dalam Filem Pendekar Bujang Lapok

sumber: thepatriots

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon