Friday, May 08, 2020

5 Kebaikan Chia Seed Untuk Kecantikan Kulit

5 Kebaikan Chia Seed Untuk Kecantikan Kulit

Walaupun ramai orang menganggap chia seed hanya untuk kurus, hakikatnya khasiat chia seed bukan sekadar untuk diet semata-mata, kerana kajian oleh pakar perubatan dan para saintis mendapati superfood ini turut bermanfaat untuk kesihatan dan kecantikan.

Chia Seed Untuk Kecantikan Kulit
Chia Seed.

Chia Seed berbentuk bujur, berwarna kelabu bintik hitam dan putih, dengan diameter sekitar 1 milimeter, bersifat hidrofilik, berupaya menyerap sehingga 12 kali beratnya dalam cecair apabila direndam, akan membentuk lapisan mucilaginous sebagai krim berasaskan chia seed, memberikannya tekstur gel yang tersendiri.

Ini adalah antara manfaat dan kebaikan chia seed untuk kulit dan juga untuk kecantikan.

1. Meningkatkan kesihatan kulit

Bukan hanya baik untuk kesihatan tubuh, si mungil ini juga berguna untuk memelihara kecantikan kulit.

Asam lemak omega-3 dalam chia seed telah terbukti dapat merawat peradangan kulit.

Bersifat anti radang, chia seeddapat mengembalikan kelembapan kulit, mengurangkan kemerahan kulit dan mencegah jerawat.

Wajah kusam juga dapat diatasi menggunakan chia seed kerana ia sarat dengan protein, zink dan mineral yang efektif untuk mencerahkan kulit.

Selain memakannya, kulit kusam dapat diatasi dengan menjadikan chia seed sebagai masker wajah bagi mendapatkan hasil yang memberangsangkan.

Lebih istimewa, chia seed juga dapat digunakan dalam merawat penyakit kulit seperti rosacea dan psoriasis.

2. Melembabkan kulit

Minyak yang diekstrak daripada chia seed mempunyai manfaat menakjubkan buat kulit. Secara klinikal, minyak chia seed terbukti meningkatkan penghidratan kulit.

Ia mengurangkan kehilangan air secara trans epidermis dan menghalang kehilangan kelembapan walaupun pada kulit kering.

3. Serum semulajadi

Selain melembabkan kulit, minyak chia seed juga boleh menjadi pengganti serum yang sangat baik. Justeru, ia dapat menghalang mekap daripada cair atau merekah.

Pengambilan chia seed yang konsisten turut membantu menggalakkan fungsi sel dan meningkatkan kecerahan kulit.

4. Mencegah tanda penuaan

Minyak chia seed turut mengandungi tahap antioksida dan phytonutrien yang tinggi. Mengandungi 30% lebih antioksidan daripada beri biru, ia terdiri daripada asid Alpha-Lipoic, antioksidan kuat yang boleh mengurangkan garis halus, kedutan dan liang besar.

Selain itu, ia juga dapat melindungi kulit daripada radiasi UV dan bertindak sebagai agen anti inflamasi yang membantu mencegah kulit daripada berkedut atau kendur lebih awal.

5. Memudarkan parut jerawat

Selain mampu mengatasi inflamasi pada kulit, omega-3 dalam chia seed baik untuk mengatasi parut jerawat.

Untuk hasil yang optimum, jadikan chia seed sebagai masker wajah. Bagaimana? Hanya campurkan tiga sudu besar chia seed bersama satu sudu kecil madu. Kacau sebati dan oles pada wajah.

Biarkan selama 15 minit dan basuh wajah hingga bersih. Amalkan rutin ini sebanyak dua kali seminggu, parut jerawat akan beransur pudar.

Mudahkan?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Benarkah Kod E Pada Label Makanan Mempunyai Kaitan Dengan Lemak Babi?

Benarkah Kod E Pada Label Makanan Mempunyai Kaitan Dengan Lemak Babi?

Untuk makluman, KOD E ialah kod untuk bahan tambahan (aditif) dan ianya selalu digunakan pada label makanan di negara Kesatuan Eropah, iaitu bahan yang selamat dimakan dan ditambah secara sengaja ke dalam makanan.

Kod E Label Makanan

Bahan ini digunakan bagi mempengaruhi kualiti penyimpanan, pemprosesan, penyediaan dan pembungkusan makanan.

Skim penomboran ini adalah mengikut Sistem penomboran Antarabangsa (International Numbering System @ INS) yang telah ditentukan oleh Jawatankuasa Codex Alimentarius.

Ia adalah koleksi pelbagai standard, kod praktis, panduan antarabangsa yang diiktiraf berkaitan dengan makanan, pemprosesan makanan dan keselamatan makanan bertujuan untuk menjaga kesihatan manusia dan memastikan kod perdagangan yang beretika dijalankan.

Bagi Kesatuan Eropah, Kod E ini adalah merujuk kepada aditif yang boleh dimakan kerana hanya sebahagian daripada bahan aditif yang dibenar untuk digunakan.

Nombor E juga digunakan pada label pemakanan di Australia, New Zealand, Amerika Utara dan Kanada.

PENGKELASAN NOMBOR E MENGIKUT JENIS BAHAN ADITIF:-
  • E100 – E199: Warna
  • E200 – E299: Pengawet
  • E300 – E399: Oksidan, Fosfat, Antioksida, Pengawal Asid
  • E400 – E499: Pemekat, Pelembap, Penstabil, Emulsifier
  • E500 – E599: Garam, Regulator Asid, Agen Penghalang Kerak
  • E600 – E699: Penambah Perisa
  • E900 – E999: Pemanis, Bahan-bahan lain
  • E1000- E1999: Bahan Kimia Tambahan

Tidak semua nombor E yang digunakan untuk membuat sesuatu produk makanan adalah berasaskan dari sumber yang HARAM.

Bahan-bahan aditif ini boleh bersumberkan tumbuhan, sintetik, mikrob, semulajadi, kimia dan haiwan.

Contoh Nombor E yang paling kerap ditanya oleh orang ramai adalah E471. Ia adalah sejenis pengemulsi iaitu mono dan digliserida.

Sumbernya adalah dari lemak sintetik yang terhasil dari gliserol dan asid lemak semulajadi, terutamanya dalam tumbuhan (contohnya minyak kelapa sawit) atau lemak haiwan.

Ramuan ini secara umumnya ialah sebatian pelbagai bahan dengan kandungannya hampir sama dengan lemak semulajadi yang boleh dihadam.

Dalam memastikan sumber yang di makan adalah terjamin, masyarakat harus peka mengenai jenis aditif makanan dan tahap kandungan yang dibenarkan untuk digunakan dalam sesuatu produk makanan.

Pihak industri makanan dan barang gunaan pula bertanggungjawab untuk mengenal pasti status sumber aditif makanan yang digunakan supaya tidak menimbulkan keraguan kepada para pengguna Islam.

Manakala Bahagian Hab Halal, Jakim/Main/Jain akan memastikan syarikat yang memohon sijil halal wajib mengisytihar kesemua ramuan termasuk aditif makanan yang digunakan beserta dokumen yang kukuh (seperti sijil halal yang diiktiraf dan analisis makmal).

Sehubungan itu, sekiranya produk tersebut merupakan produk tempatan atau luar negara dan mendapat sijil Pengesahan Halal Malaysia atau Sijil Pengesahan Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM, maka ia boleh digunakan tanpa was-was sekalipun mempunyai Kod E.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Friday, May 01, 2020

Simbol Bulan Sabit Dan Bintang Berasal Dari Tamadun Yunani Kuno dan Rom

Simbol Bulan Sabit Dan Bintang Berasal Dari Tamadun Yunani Kuno dan Rom

Hari ini, umumnya jika kita melihat bendera negara-negara Islam di seluruh dunia, boleh dikatakan hampir kesemuanya terpapar ikon bulan sabit dan bintang dalam pelbagai bentuk dan variasi gaya, dengan Jalur Gemilang kita sendiri menggunakan bulan sabit dengan bintang 14 bucu sebagai lambang perpaduan 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan.

Simbol bulan sabit

Namun, asal-usul bulan sabit dan bintang yang digunakan dalam kebanyakan bendera-bendera negara Islam sebenarnya boleh dijejak di Konstantinople (kini Istanbul) yang ketika itu berada dibawah pemerintahan kerajaan Rom Timur atau Byzantine ketika itu.

Asal-usul ikon bulan sabit dan bintang tidak bermula dengan sejarah Turki seperti yang kebanyakan kita semua sangkakan selama ini.

Simbol Islam?

Kajian ikonografi menunjukkan bahawa bulan sabit dan bintang, adalah ikon yang sangat bernilai dan telah digunakan sejak zaman purba.

Manakala dari sudut yang lain, hampir seluruh dunia samada Islam dan bukan Islam menganggap bahawa bulan sabit dan bintang, secara umumnya dianggap sebagai simbol negara-negara Islam, dan sering menghiasi kubah-kubah masjid di serata dunia.

Namun, apabila kita teliti sejarah dari zaman ketamadunan sejauh Tamadun Sumeria, kita dapat menjejaki simbol bulan sabit dan bintang telah digunakan terlebih dahulu namun dalam kaedah yang sangat berbeza.

Bulan sabit mewakili "Sin" yang dianggap sebagai Tuhan Bulan. Bintang pula mewakili Venus dalam mitologi Rom Purba.

Simbol bulan sabit dan bintang sebenarnya telah muncul sebelum kedatangan Islam di tamadun Yunani Kuno dan Rom. Penggunaannya yang ketara boleh ditemui dari sejarah Byzantium yang berkaitan dengan tuhan-tuhan seperti Artemis dan juga Hecate, yang dianggap sebagai dewi pelindung kota.

Rekod sejarah juga menunjukkan bahawa, simbol ini telah digunakan secara bersama untuk kali pertama oleh kerajaan monarki Israel pada abad ke-13 dan ke-14 SM.

Selain itu, simbol bulan sabit dan bintang kebanyakannya digunakan sebagai cap mohor dalam pelbagai urusan kerajaan.

Jika kita telusuri lebih jauh lagi sekitar abad ke-2 dan ke-1 SM, kita akan menemui artifak berbentuk kepingan syiling di mana kedua simbol itu dikeluarkan sejak Ketamadunan Mesopotamia.

Dalam konteks geografi di Anatolia, Raja Pontus Mithridates VI adalah amat sinonim dalam penggunaan bulan sabit dan bintang. Bulan sabit dan bintang digunakan secara bersama pada panji-panji raja.

Zaman Helenistik dan Empayar Rom

Elagabalus Marcianpolis
Elagabalus Marcianpolis, syiling era Rom Purba.

Sekitar tahun-tahun terakhir zaman Helenistik, penggunaan bulan sabit dan bintang juga ditemui terutamanya pada duit syiling.

Di zaman Rom Pertama, bulan sabit dan bintang digunakan pada kebanyakan duit syiling juga, tidak kurang banyak juga figura dewa-dewi menurut naratif mitos Yunani digabungkan bersama dengan bulan sabit dan bintang.

Bulan sabit dan bintang telah digunakan pada beberapa tempoh berbeza sepanjang zaman Empayar Rom.

Pada abad ke-4 SM, simbol bulan sabit dan bintang digabungkan bersama-sama. Teori punca yang paling penting menjurus kepada maksud penggunaan gabungan bulan sabit dan bintang itu membawa makna "penyatuan".

Oleh itu, ketika Rom menghadapi masa yang kritikal, harapan dan keinginan untuk bersatu menghadapi ancaman dari luar telah diabadikan ke dalam bentuk syiling.

Bulan Sabit Dan Bintang Tamadun Turki

Pada tahun 1299, penggunaan bulan sabit juga telah muncul dalam Empayar Uthmaniyyah yang semakin bangkit menghampiri sempadan Byzantium, namun ia tiada simbol bintang.

Simbol-simbol bulan sabit dan bintang yang digunakan oleh Rom dan Byzantium untuk jangka masa yang lama merupakan simbol kota Konstantinople pada zaman ia baru ditakluk Uthmaniyyah.

Simbol-simbol Konstantinopel sebelum penaklukan Uthmaniyyah adalah seperti berikut: helang berkepala dua, empat ikon salib yang berlainan, bulan sabit dan bintang.

Simbol asal Kostantinople
Simbol-simbol asal Konstantinople sebelum penaklukan ditemui pada syiling.

Selepas menakluki Konstantinople dan kemudian menamakannya sebagai İstanbul, Sultan Mehmed II telah menyerap bulan sabit dan bintang, yang akhirnya menjadi simbol yang sangat dekat dengan budaya Turki dan Islam, demi memastikan kesinambungan hidup pelbagai kaum di kota.

Ia juga sekali gus menjelaskan mengapa Sultan Mehmet II menganggap dirinya sebagai pewaris Empayar Rom hingga digelar sebagai Kaiser-i Rumi (Maharaja Rom).

Apa yang menarik ialah, semasa suku Turki Gokturk mula muncul pada abad ke-8, bulan sabit dan bintang adalah kali pertama digunakan di Asia Tengah.

Sultan Mehmet II secara kebetulan telah mengadaptasi simbol versi Byzantine sebagai simbol Uthmaniyyah ketika penaklukan Konstantinople dan boleh dikatakan sangat ironi.

Bukan sahaja kita melihat bulan sabit dan bintang yang digunakan bersama-sama pada duit syiling Uthmaniyyah, tetapi juga apabila kita melihat tughra (tandatangan/cap mohor Sultan), angka-angka bulan sabit dan bintang berada dalam bentuk yang saling berkait rapat.

Bulan sabit dan bintang juga mempunyai kemungkinan besar berasal dari simbol kaum Turkic yang kemudiannya dipopularkan di dunia Islam setelah Uthmaniyyah menakluk dan memerintah timur tengah.

Turkic yang dimaksudkan adalah suku-suku bangsa berbahasa Turki.

Suku Turki
Kristian Turki

Dua gambar di atas adalah suku kaum Székelys Turk dari Hungary atau Romania, bahkan orang Kristian Székelys Turk juga turut menggunakan bulan sabit dan bintang sebagai simbol mereka.

Walaupun kini bulan sabit dan bintang diinterpretasikan sebagai "Islam" dan berbeza tafsiran dicipta mengikut budaya sesebuah negara Islam pada zaman kita.

Sesungguhnya, apabila kita melihat dari perspektif sejarah, makna dan asal usul bulan sabit dan bintang pada bendera kita mahu pun Turki sendiri jauh lebih mendalam dan mungkin sukar untuk kita terima hakikat itu.

Ia kerana, walaupun simbol bulan sabit dan bintang juga turut ditemui pada nenek moyang orang Turki dari suku kaum Gokturk, namun ia masih tidak boleh menjelaskan kaitannya dengan Islam kerana ketika itu bangsa Turk dari Asia Tengah adalah penganut agama-agama Pagan, Buddha, atau Tengrisme, dan jarak masanya masih jauh sebelum kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Kemudian, pada abad ke-19 ketika Uthmaniyyah melalui proses Reformasi Tanzimat, bendera Uthmaniyyah ditetapkan pada 1844, dengan simbol bulan sabit dan bintang berwarna putih digelar sebagai ay-yıldız (bahasa Turki untuk "bintang bulan sabit") dilampirkan pada latar belakang merah.

Ia terus digunakan sebagai bendera zaman moden Republik Turki, dengan pengubahsuaian kecil yang tidak ketara.

Salah Faham Dan Kontroversi

Kuil bulan sabit
Kuil yang pernah tular dan menjadi isu di Malaysia.

Pada abad ke-20, bintang dan bulan sabit telah mendapat interpretasi yang popular sebagai "simbol Islam", malah pernah diangkat oleh nasionalisme Arab atau Islamisme pada tahun 1970-an hingga 1980-an, tetapi akhirnya ditolak kerana salah faham dan tanggapan bahawa ia adalah simbol rasmi Islam sebagai tidak berasas pada waktu itu.

Kini, budaya salah faham itu kembali popular di Malaysia sejak ketegangan yang berpunca daripada tindakan penganut Hindu dan Sikh meletakkan arca bulan sabit dan bintang pada kubah kuil mereka.

Bahkan, budaya kubah masjid sendiri pun bukan berasal dari Islam sepenuhnya. Identiti simbolik yang paling jelas berkait dengan Islam adalah warna hijau yang jadi warna kegemaran Rasulullah SAW.

Tidaklah kita maksudkan, meneruskan penggunaan simbol bulan sabit dan bintang itu sebagai salah atau berdosa, cuma sekadar mahu mengajak masyarakat Muslim untuk membetulkan pemahaman masing-masing dalam sebarang isu.

Ini supaya agama kita tidak dijadikan bahan jenaka hanya kerana kejahilan segelintir dari kita akibat sikap semberono.

Bendera bulan bintang

Ada kesilapan pada poster yang diambil dari luar ini. Bintang dalam bendera ini diletakkan lima, tetapi hakikatnya Malaysia ada 14 buah bucu.

Setakat hari ini terdapat kira-kira 15 buah negara yang memiliki simbol gabungan bulan sabit dan bintang pada bendera masing-masing sebagai simbol identiti kebangsaan, ini termasuklah negara Malaysia.

Namun, terdapat dua negara bukan Islam yang menggunakan simbol ini dengan amat jelas pada bendera mereka iaitu Singapura dan Nepal.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Tuesday, April 28, 2020

Minyak Zaitun, Khasiat Dan Pantang Larang Penjagaannya

Minyak Zaitun, Khasiat Dan Pantang Larang Penjagaannya

Minyak zaitun telah digunakan sejak beribu tahun dahulu terutamanya di kawasan Mediterranean dan Asia Barat sebagai bahan asas masakan dan sangat sesuai untuk digunakan oleh semua peringkat usia dan jantina.

Minyak Zaitun

Namun, penggunaan suhu yang tinggi ketika memasak boleh mengurangkan zat dan khasiat Minyak Zaitun.

Minyak zaitun akan hilang khasiatnya jika dimasak melebihi suhu 190 darjah selsius (c), bagi tujuan memasak, dan anda disarankan menggunakan suhu kurang daripada itu.

Minyak zaitun tidak sesuai untuk masakan 'deep fry' seperti menggoreng ikan dan ayam atau sajian berempah, misalnya kari dan rendang.

JENIS-JENIS MINYAK ZAITUN

Extra Virgin Olive Oil (EVOO)

Minyak zaitun paling berkhasiat adalah gred yang menjalani proses perahan pertama atau Extra Virgin Olive Oil (EVOO).

Perahan pertama ini bersifat antioksidan dan kaya polifenol, vitamin, asid lemak dan rasa terbaik, malah kadar asidnya kurang 0.8 peratus.

Harga EVOO ini adalah yang paling mahal dan sebaiknya diletakkan dalam botol kaca gelap untuk menjaga khasiatnya.

Virgin Olive Oil (VOO)

Kajian mendapati minyak zaitun perahan awal atau Virgin Olive Oil (VOO) juga mempunyai khasiat terbaik.

Minyak zaitun paling mahal diletakkan gas nitrogen di dalam botolnya bertujuan mengelak pengoksidaan hingga boleh menghilangkan polifenol antioksidannya.

VOO adalah gred kedua dengan kadar keasidan adalah di antara 0.8 hingga 2.2 peratus, lebih sesuai digunakan untuk memasak, harganya murah sedikit dan disimpan dalam botol gelap.

Minyak Zaitun Pomace dan Lampante

Bagi kategori minyak zaitun pomace dan lampante, hasil perahan buah sudah diekstrak minyaknya menggunakan bahan kimia.

Pilihan ini walaupun kualitinya tidak begitu baik berbanding EVOO dan VOO, namun boleh digunakan untuk memasak.

Bagi kategori ini, minyak berkenaan sesuai dijadikan bahan asas membuat sabun.

Anda disaran membeli minyak zaitun daripada pembekal diiktiraf bagi mengelak kekeliruan dari segi kualiti.

KUALITI MINYAK ZAITUN

Pada peringkat antarabangsa, kualiti minyak zaitun ditentukan badan akreditasi antarabangsa International Olive Oil Council (IOOC), berpangkalan di Sepanyol.

Cara Pengambilan Minyak Zaitun

Letak dalam sudu makan dan minum terus:
  • Minum satu sudu pagi dan satu sudu petang atau malam (boleh minum air selepasnya).
  • Letak sebagai dressing dalam salad atau ulam.
  • Renjis sedikit pada masakan seperti lauk, sayur-sayuran, telur dadar dan telur hancur.
  • Gunakan ketika memasak pada suhu rendah untuk menggoreng telur mahupun merenih sayur.

PERBEZAAN KHASIAT MINYAK ZAITUN DAN KELAPA DARA

Kandungan asid lemak utama

Minyak Zaitun:
  • Omega 9.
  • Asid Oleik.
  • Sifat anti radang.

Minyak kelapa dara:
  • Asid laurik.
  • Sifat anti radang.
  • Kandungan Antioksidan

Minyak zaitun:
  • Mengandungi hydroksitirosol, tirosil, oleocanthal, oleuropin.
  • Vitamin E.

Minyak kelapa dara:
  • Vitamin E, K dan choline.

KHASIAT DAN MANFAAT

Minyak zaitun:
  • Mengawal keradangan kronik.
  • Menurunkan kolesterol.
  • Menurunkan berat badan.
  • Mengurangkan risiko jantung, koronori, diabetes, kanser, alzheimer.
  • Baik untuk kesihatan kulit.
  • Awet muda.

Minyak kelapa dara:
  • Mengawal keradangan kronik.
  • Menurunkan kolesterol.
  • Menurunkan berat badan lebih baik berbanding minyak zaitun.
  • Sumber tenaga segera.
  • Mengurangkan risiko sakit jantung, koronori, hipertensi, diabetes dan nyanyuk.
  • Anti kulat.
  • Meningkatkan sistem imuniti tubuh.
  • Meningkatkan kesihatan kulit.
  • Cara Penggunaan

Minyak zaitun:
  • Minum terus sebagai salad dressing.
  • Boleh dimasak tetapi pada suhu rendah kurang 190 darjah selsius.

Minyak kelapa dara:
  • Boleh minum terus.
  • Sangat stabil pada suhu tinggi dan sesuai dimasak dengan kaedah sajian tempatan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Cristiano Ronaldo Bantu Syarikat Seluar Dalam Ketika Covid-19

Cristiano Ronaldo Bantu Syarikat Seluar Dalam Ketika Covid-19

Cristiano Ronaldo sekali lagi membuktikan sifat pemurahnya apabila membantu sebuah syarikat pengeluar seluar dalam dari Denmark yang jualannya terjejas susulan pandemik COVID-19 yang kini sedang melanda seluruh dunia.

Cristiano Ronaldo

Bintang sensasi Juventus yang miliki kekayaan dianggarkan bernilai 300 juta pound (RM1.6 bilion) tahun 2019 lalu bersetuju untuk tidak mengambil sebarang bayaran daripada JBS iaitu syarikat yang mengeluarkan seluar dalam jenama CR7.

Kapten Portugal itu adalah duta kepada seluar dalam CR7 dan menerima bayaran lumayan menerusi kontrak yang ditandatanganinya.

Seluar dalam jenama CR7 menyumbang 14 peratus keuntungan kepada syarikat berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif JBS, Michael Alstrup, berkata Ronaldo banyak membantu syarikat itu sepanjang krisis COVID-19.

"Wakil Ronaldo mengatakan yang tiada pembayaran minimum perlu dilakukan disebabkan pandemik COVID-19 tahun ini.

"Namun, Ronaldo sendiri menambah yang kami tidak perlu membayar apa-apa sehingga 2021.

"Kami sangat bertuah kerana kami yang memulakan jenama CR7 dan kami mempunyai hubungan yang baik dengan Ronaldo.

"Kami sudah melakukannya sejak 2013 dan mereka menganggap kami sebagai keluarga," katanya.

Alstup mengakui jualan seluarh dalam Ronaldo meningkat sejak dia berpindah daripada Real Madrid ke Juventus.

Ronaldo beli kereta RM46 juta ketika kuarantin

Bugatti Centodieci
Bugatti Centodieci.

Sebelum ini, Cristiano Ronaldo menghabiskan masa ketika tempoh kuarantin dengan membeli kereta edisi terhad Bugatti yang hanya dikeluarkan 10 unit di seluruh dunia berharga 8.5 juta pound (RM46 juta).

Bintang Juventus itu ketika ini menjalani kuarantin di kampung halamannya di Madeira memandangkan saingan bola sepak sedang ditangguhkan susulan penularan COVID-19.

Ronaldo mungkin membeli-belah sebagai terapi bagi membantu dia mengharungi situasi ketika ini dan akhbar Jerman, Bild melaporkan dia sudah menempah kereta mewah, Bugatti Centodieci.

Pembelian itu bakal menyaksikan Ronaldo menambah lagi koleksi kereta mewahnya selepas memiliki kereta seperti Bugatti Chiron dan Bugatti Veyron Grand Sport Vitesse.

Pengeluar kereta dari Perancis itu terkenal dengan penghasilan jentera mewah berprestasi tinggi dan model terbaharu mereka, Centodieci direka sebagai penghargaan kepada Bugatti EB110.

Kereta super itu dilengkapi enjin W16 dengan empat pengecas turbo 8 liter dan boleh memecut daripada 0 ke 62 batu sejam dalam tempoh 2.4 saat serta kelajuan maksimum 236 batu sejam (mph).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Pesakit Covid-19 Sembuh Dalam Tempoh 3 Hari Kerana Sistem Imun Tubuh Yang Kuat!

Pesakit Covid-19 Sembuh Dalam Tempoh 3 Hari Kerana Sistem Imun Tubuh Yang Kuat!

Semenjak jangkitan virus COVID-19 merebak ke seluruh dunia, saintis dan ahli akademik telah berusaha keras tanpa henti untuk mencari ubat dan berlumba-lumba mencipta vaksin sebagai senjata utama dalam memerangi kemaraan wabak.

Pesakit Covid-19 Sembuh

Namun, apa yang anda perlu tahu adalah, majoriti pesakit di seluruh dunia mengalami simptom ringan.

Mereka akan sembuh daripada COVID-19 dengan sendirinya selepas beberapa hari menunjukkan simptom kerana keupayaan sistem pertahanan badan untuk melawan virus.

Malah, terdapat kajian yang dibuat bagi memahami tindak balas imun terhadap COVID-19 dan perkara ini amatlah penting, bagi mencipta ubat dan vaksin yang berkesan.

Sistem imun semula jadi membantu sembuh daripada COVID-19

Walaupun sebahagian kecil pesakit COVID-19 memerlukan alat bantuan pernafasan untuk hidup, tapi majoriti hanya perlu bergantung kepada sistem imun mereka sendiri.

Tindak balas sistem pertahanan badan terhadap jangkitan wabak boleh dianggap menakjubkan.

Oleh sebab itulah mereka yang mempunyai masalah dengan sistem imun dianggap berisiko tinggi, kerana mereka telah kehilangan satu perisai dalam melawan virus Covid-19.

Kajian oleh Dr Oanh Nguyen yang melibatkan seorang wanita yang dijangkiti COVID-19 memberikan gambaran mengenai sistem imun secara umum.

Wanita berusia 40 tahun itu tidak mempunyai latar belakang penyakit kronik dan telah hadir ke hospital Melbourne dengan simptom ringan COVID-19.

Dr Nguyen telah mengambil sampel darah pada 4 masa yang berlainan bagi melihat proses yang diadaptasi oleh sistem imun untuk melawan virus.

3 hari selepas wanita itu dimasukkan ke dalam hospital, pemeriksaan darah menunjukkan peningkatan pada populasi sel imun.

Tindak balas ini hampir serupa dengan pesakit yang sembuh daripada jangkitan selesema influenza.

Berdasarkan kepada data yang ada, Dr Nguyen meramalkan pesakit akan sihat dalam masa 3 hari dan itulah perkara yang berlaku. Pesakit sihat dalam masa 3 hari!

Kajian ini telah membuktikan bahawa, walaupun virus COVID-19 merupakan virus baharu, badan masih berupaya untuk melawannya.

Perkara ini boleh dijadikan sebagai faktor pendorong kepada saintis dan ahli akademik lain. Mereka perlu menyiasat, faktor apa yang tiada pada mereka yang mati disebabkan oleh COVID-19.

Isu di sebalik keupayaan sistem imun untuk sembuh daripada COVID-19 dan ribut sitokin

Selama ini kita hanya memberikan perhatian kepada virus tanpa memikirkan seseorang itu mungkin teruk disebabkan oleh sistem imunnya sendiri.

Untuk sembuh daripada COVID-19, kita bergantung sepenuhnya kepada sistem pertahanan badan dan sel imun.

Sel imun ini dikenali sebagai sitokin. Ia ibarat polis yang ditugaskan untuk menangkap penjenayah (COVID-19).

Sitokin adalah molekul pengisyaratan yang dirembeskan oleh badan untuk mengaktifkan proses keradangan dan membasmi jangkitan kuman.

Namun, dalam sesetengah kes, badan boleh menghantar lebih banyak sel imun untuk membasmi wabak virus tersebut.

Tindak balas besar-besaran ini bukan sahaja akan membunuh virus tersebut, malah sel sihat dan fenomena ini dikenali sebagai ribut sitokin.

Ia memerlukan rawatan namun, perkara tersebut melibatkan penggunaan agen untuk menurunkan fungsi sistem pertahanan badan.

Persoalannya, bagaimana anda hendak sembuh daripada COVID-19 jika rawatan yang diberikan bertujuan untuk menurunkan fungsi sistem imun?

Keburukan Antibiotik Klinikal

Ingat! Apabila anda makan ubat antibiotik yang diberikan oleh doktor, ia akan membunuh bakteria baik dan bakteria jahat secara serentak.

Apa maksudnya? Sistem imun tubuh anda menjadi lemah kerana bakteria baik yang berfungsi untuk membantu tubuh melawan penyakit telah 'dibunuh'!

Jadi, bagaimana memulihkan tubuh anda kepada asal jika sekiranya terpaksa makan antibiotik?

Dalam Islam, Nabi SAW telah mengajarkan kita, apabila sakit, minumlah madu. Minum maksudnya kita benar-benar minum SATU GELAS madu sekali hirup, bukan 1-2 sudu.

Dan madu kandungannya adalah jutaan bakteria baik, ia adalah Probiotik yang akan membantu memulihkan sistem imun tubuh dengan pantas. Allah SWT dan Rasul-Nya tidak mungkin akan berbohong. Insyaa Allah.

Minumlah madu sebaik sahaja anda habis makan antibiotik yang diberikan doktor. Biasanya rawatan antibiotik adalah dalam tempoh 7 hari. Jangan diambil serentak.

Tindakan 'membuang dadu' untuk sembuh daripada COVID-19

Virus jahat sememangnya sudah tentu boleh menyebabkan kerosakan pada sel organ khususnya peparu.

Dan ini merupakan dilema yang dihadapi dalam merawat masalah ribut sitokin pada pesakit COVID-19.

Setakat ini, saintis sedang mencari jalan yang berkesan bagi membasmi masalah berkaitan dengan ribut sitokin.

Pelbagai jenis ujian klinikal akan dijalankan, salah satu daripadanya melibatkan 1 ubat prostat yang dikenali sebagai tamsulosin.

Melalui pemerhatian klinikal, seorang jurutera biomedikal, Joshua Vogelstein masih tidak jelas mengapa perkara itu berlaku.

Jika dilihat pada sudut teori, ubat tamsulosin boleh menghalang rembesan hormon dopamin dan adrenalin yang dicetus oleh sitokin. Ia boleh membantu mereka yang alami simptom teruk untuk sembuh.

Namun, salah satu ujian klinikal yang mendapat perhatian adalah proses untuk menghalang fungsi sitokin itu sendiri.

Sasaran utama adalah sitokin yang dikenali sebagai interleukin-6. Ia sering dikaitkan dengan risiko kegagalan sistem pernafasan.

Jika kita boleh mencipta ubat yang mampu menghalang fungsi interleukin-6 tanpa mengganggu molekul sitokin lain, ia mampu mengelakkan ribut sitokin daripada berlaku. Kajian klinikal kini sedang dijalankan.

Walau bagaimanapun, ia tidak mungkin akan membuahkan hasil dalam masa terdekat.

Kajian ini memerlukan masa dan rawatan bagi kes teruk untuk sembuh daripada COVID-19 kini berasaskan kepada maklumat sedia ada yang sangat terhad.

Konklusi

Walaupun sistem imun badan boleh membantu kita untuk sembuh daripada COVID-19 jika dijangkiti, vaksin dan ubat paling berkesan untuk membasmi wabak.

Namun, jika anda mempunyai sistem imun badan yang kuat, anda berisiko rendah untuk mendapat COVID-19 yang teruk dan mampu disembuhkan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hellodoktor

Friday, April 24, 2020

Ketahui 18 Makanan Tinggi Antibiotik Semulajadi Sesuai Di Makan Selalu Untuk Kuatkan Imun Tubuh

Ketahui 18 Makanan Tinggi Antibiotik Semulajadi Sesuai Di Makan Selalu Untuk Kuatkan Imun Tubuh

Sebelum bergantung pada ubat-ubatan, saya percaya kita perlu memberi peluang kepada badan kita untuk melawan sekiranya terdapat jangkitan kuman, kerana dengan cara badan berkenalan dan melawan kuman inilah sistem pertahanan badan kita akan menjadi lebih kuat.

Antibiotik Semulajadi

Salah satu usaha yang kita boleh lakukan ialah dengan mengambil makanan yang tinggi khasiat untuk melawan kuman (virus dan bakteria jahat).

Sokongan dari makanan-makanan ini boleh menjadi asbab untuk badan kita kuat melawan kuman secara semulajadi.

Namun, sila dapatkan pandangan dan khidmat profesional dari doktor perubatan untuk memastikan tiada masalah akan timbul.

Makanan yang Melawan Kuman

1. Kubis

Sayur ini bagus untuk mengawal pembiakan bakteria H. Pylori, terutamanya yang ada di dalam perut (salah satu penyebab gastrik dan ulser).

Boleh dibuat jus dan dicampur madu, juga bermanfaat untuk merawat jangkitan di hati dan pundi kencing.

2. Lobak merah

Lobak merah memang terkenal dengan beta-carotene, sebagai makanan tinggi antioxidant dan juga untuk detox.

Ia tinggi elemen alkali dan membantu dalam menstabilkan keseimbangan asid-alkali badan.

Lobak merah penting dalam melawan kuman, terutamanya apabila ianya dalam bentuk jus, kerana selain kuat melawan jangkitan, ia juga bekerjasama dengan baik dengan kelenjar adrenal.

Jus lobak merah membantu mengelakkan jangkitan kuman pada mata, tekak, tonsil, sinus, dan organ pernafasan atas secara umumnya.

Lobak merah juga membantu mengeluarkan cacing pada kanak-kanak. Boleh ambil lobak merah yang dikisar, 1 cawan setiap hari untuk menghapuskan cacing dengan cepat.

Lobak merah paling bagus diambil mentah. Kulitnya jangan dipotong, tapi dicuci bersih, kerana kandungan mineralnya sangat dekat pada kulit, rugi jika dibuang.

Daun lobak merah juga sebenarnya tinggi khasiat dan bagus untuk kesihatan.

3. Bunga cengkih

Bunga cengkih adalah sejenis makanan yang bersifat antiseptik dan zat ini terkandung pada minyak di dalamnya.

Ia bagus digunakan dalam kes sakit gigi, untuk mengurangkan sakit dan juga mengurangkan jangkitan kuman.

Minyak bunga cengkih boleh digunapakai pada gigi yang rosak dan berkaviti, mengurangkan sakit gigi.

4. Buah kelapa

Buah kelapa adalah makanan yang sangat istimewa kerana ia mengandungi diet yang hampir sempurna.

Malah, boleh dikatakan kebanyakan nutrisi penting yang diperlukan badan terdapat pada buah ini.

Air kelapa adalah air yang mempunyai efek mematikan bakteria dan pada zaman endemik penyakit cirit birt cholera dahulu, air kelapa digunakan sebagai ubat.

Air kelapa, dicampur dengan limau nipis, boleh membantu dalam menyeimbangkan elektrolit badan dan meneutralkan asidosis dalam darah.

Kehadiran saline dan albumin dalam air kelapa menjadikan ianya minuman terbaik untuk yang mengalami cirit birit.

Ia juga adalah remedy natural untuk menghapuskan cacing dalam usus.

Minyak kelapa dara juga memang tinggi khasiat untuk membunuh kuman dan boleh diamalkan 1-2 sudu teh sehari mengikut keperluan.

Boleh juga disapukan pada bahagian kulit yang mempunyai jangkitan fungus seperti kurap atau panau, juga efektif sebagai anti-fungal.

5. Jintan putih

Jintan putih adalah antara rempah tertua di dunia, dikenali sejak zaman Bibilical, adalah bagus dalam melawan jangkitan kuman.

Jintan putih tinggi kandungan thymol, di mana ianya adalah anthelmintic, bagus melawan cacing dan juga adalah antiseptik.

Air rebusan jintan putih boleh digunakan sebagai air minuman dan membantu dalam keadaan batuk-selsema, juga demam.

Resepi:
  • Masukkan 1 sudu teh jintan putih dalam air mendidih selama beberapa saat, angkat dan biarkan sejuk.
  • Sekiranya batuk-selsema disertai dengan sakit tekak, boleh tambah halia. Ini boleh melegakan tekak yang sakit.

6. Yogurt

Yogurt adalah sumber probiotik (bakteria baik dalam perut) yang sangat bagus kerana bakteria baik dalam perut ini akan mengawal keseimbangan dalam perut, meningkatkan sistem pertahanan tubuh dan mengurangkan pembiakan kuman jahat.

Pengambilan yogurt yang konsisten boleh mengurangkan gejala batuk-selsema, juga jangkitan kuman yang lain.

7. Pokok kelor

Drumstick atau Moringa, adalah nama lainnya. Ia banyak dijumpai di India. Sekarang lebih banyak dijual di Malaysia, dan daunnya dijadikan teh, serbuk, atau capsul. Ianya tinggi zat besi (iron).

Sup yang disediakan daripada daun, buah, dan bunga dari pokok ini sangat tinggi kesannya dalam melawan kuman.

Ianya didapati sangat bermanfaat dalam mengelakkan jangkitan tekak, paru-paru dan kulit.

8. Bawang putih

Bawang putih adalah antara makanan anti-bakteria yang terkuat. Ujian menunjukkan bawang putih mampu membunuh, atau melemahkan sekurang kurangnya 72 jenis bakteria berjangkit.

Berbeza dengan ubat pembunuh kuman yang diformulasi oleh manusia, bawang putih tidak mengganggu kuman baik pada badan.

Bawang putih mentah yang diambil secara oral, membunuh kuman di dalam usus secara langsung.

Bawang putih yang dijadikan titisan hidung, boleh membunuh virus secara langsung yang menyebabkan selsema atau influenza.

Bakteria dan virus di dalam paru paru atau saluran pernafasan, boleh dibunuh dari pemakanan atau sedutan pati bawang putih.

Bawang putih boleh dihancurkan, campur dengan carrier oil seperti minyak zaitun atau kelapa dan disapu pada dada untuk melegakan masalah pernafasan.

Telinga yang sakit juga boleh diletakkan bawang putih yang sudah dipanaskan dan dicampur dengan garam, letakkan dalam kain dan tuam pada telinga yang sakit.

9. Halia

Halia membantu mengawal jangkitan kuman dan telah digunakan sejak sekian lama, terutama untuk penyakit cirit-cirit dan batuk.

Halia yang dijadikan air, campur dengan halba dan madu, boleh membantu mengeluarkan kahak dan sebagai ubat batuk.

10. Madu dan lemon atau limau nipis

Madu mempunyai khasiat pembunuh kuman yang tinggi. Untuk sakit tekak, kumur dengan air madu boleh mengurangkan peradangan.

Mengumur bahan ini juga bagus untuk suara serak yang disebabkan oleh jangkitan tekak.

Madu juga bagus untuk penyembuhan luka pada kulit, terutamanya luka bakar.

Lemon muda, diletakkan atas api sehingga terbuka, ambil 1 sudu teh jusnya, campur dengan madu. Boleh diambil setiap sejam untuk mengurangkan sakit tekak.

Atau boleh juga dicairkan dalam air panas dan minum sikit-sikit.

11. Mangga

Buah mangga bagus dalam melawan jangkitan kuman yang disebabkan epithelium yang tidak bagus.

Pengambilan buah mangga akan membentuk epithelium yang sihat dan mengurangkan serangan kuman terutamanya batuk-selsema, rhinitis dan sinusitis. Ini disebabkan vitamin A yang tinggi dalam buah mangga.

12. Bawang besar (onion)

Ada kajian mengatakan, jika seseorang makan bawang besar mentah setiap hari, dia akan mengekalkan kesihatan gigi.

Mengunyah bawang besar selama 3 minit, cukup untuk membunuh semua kuman di dalam mulut.

Anda juga boleh membuat sos dari bawang untuk melawan kuman di rumah. Ambil bawang, potong kecil, campur dengan cuka dan sedikit garam bukit. Masukkan ke dalam makanan setiap kali makan.

13. Buah nanas

Buah nanas dan kandungannya, bromelain, sangat bagus dalam melawan kuman. Boleh dijadikan jus atau dijadikan pencuci mulut.

14. Lobak putih

Lobak putih menaikkan selera makan dan menyihatkan perjalanan darah. Kandungan zat besi, kalsium dan garam sodiumnya juga tinggi.

Sayuran ini juga bermanfaat dalam melawan kuman dan boleh dijadikan sirup. Campurkan jus lobak putih yang segar dengan madu dan sedikit garam bukit.

Boleh membantu dalam sakit tekak, batuk dan masalah paru-paru yang lain.

15. Kunyit

Kunyit adalah rempah yang telah disebut sejak zaman Sanskrit lagi kerana di dalam perubatan Ayurveda dan Unani juga telah lama digunakan sebagai rawatan.

Kunyit berkesan untuk pelbagai penyakit jangkitan kuman, termasuk batuk selsema dan sakit tekak.

Campurkan serbuk kunyit segar dan campur dalam susu panas, kemudian minum.

Boleh juga asapkan kunyit dan hidu. Ia boleh melegakan selsema.

Serbuk kunyit segar boleh dijadikan sapuan, untuk kurap, scabies atau ulcer.

Jus kunyit, campur dengan madu dan sedikit lada hitam juga boleh diamalkan.

16. Echinacea

Echinacea ialah herba dari barat yang sangat tinggi kandungan melawan kuman. Sangat berkesan dan bermanfaat untuk sakit tekak dan batuk. Selalunya dicampurkan dalam madu untuk mendapatkan kesan maksimum.

17. Olive Leaf Extract

Dapat meningkatkan sistem pertahanan badan secara semulajadi.

18. Apple Cider Vinegar (Cuka epal)

Pengambilan ACV boleh membunuh kuman yang tidak diingini dalam perut dan usus, sekali gus meningkatkan kesihatan usus dan membantu proses pencernaan makanan.

Dr. Aimi Jaafar (Facebook)
Klinik Taqwa Bangi

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Khasiat Spirulina Kepada Kesihatan

Khasiat Spirulina Kepada Kesihatan

Spirulina, alga biru-hijau ini secara global dianggap sebagai makanan semula jadi yang terunggul, adalah organisma ringkas dan bersel tunggal yang mendapat nama daripada perkataan Latin iaitu 'helix' kerana ciri fizikalnya seperti satu lingkaran.

Khasiat Spirulina

Nama saintifiknya adalah Arthrospira Platensis dan tergolong dalam kelompok cyanobakteria, dipercayai sebagai antara tumbuhan hidup tertua di bumi, sudah wujud selama 3.6 bilion tahun.

Kenapa Spirulina Dikenali Sebagai "Makanan Unggul"?

1. Kepelbagaian Nutrisi dalam Nisbah yang Seimbang

Badan manusia memerlukan lebih daripada 60 jenis zat nutrien dari pemakanan harian untuk berfungsi secara optimum.

Kekurangan salah satu zat nutrien mungkin akan menghadkan penyerapan zat nutrien penting lain dan dalam jangka panjang, ini akan menyebabkan ceraian rantaian nutrisi dalam badan.

Spirulina Organik kaya dengan 5 nutrisi utama seperti: protein, karbohidrat, asid lemak perlu, vitamin dan mineral serta lain-lain zat nutrien.

Ia juga mempunyai nisbah zat nutrien perlu yang seimbang untuk memaksimumkan penyerapan, menjadikannya salah satu suplemen paling seimbang dan lengkap.

2. Nutrien Berkepekatan Tinggi

Spirulina Organik bukan sahaja mengandungi nutrien yang pekbagai, ia juga mempunyai 6 nutrien komprehensif utama.

3. Alkali sepenuhnya

Keadaan badan yang beralkali mampu meningkatkan daya tahan tubuh terhadap penyakit dan membantu mengekalkan kesihatan selular.

Justeru, kita perlu mengambil lebih banyak makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan susu.

Tetapi, tahukah anda bahawa Spirulina Organik merupakan salah sejenis makanan yang paling beralkali?

4. Sumber Protein yang Tinggi dan Lengkap

Spirulina Organik mempunyai kandungan protein tertinggi dalam kelompok tumbuh-tumbuhan, berbanding makanan lain iaitu setinggi 70%.

Spirulina Organik juga merupakan sumber protein yang paling senang dicerna, yakni 12 kali lebih banyak protein boleh guna berbanding daging!

Tambahan pula, kandungan proteinnya sangat lengkap dengan 8 jenis asid amino perlu dan berbeza sekali dengan makanan lain berasaskan tumbuhan yang kekurangan satu atau lebih asid amino tertentu.

Spirulina juga bebas daripada kolesterol, hormon pertumbuhan, antibiotik dan lemak tepu.

5. Tinggi Kandungan Antioksida

Spirulina Organik mempunyai keupayaan antioksida yang berkesan disebabkan tinggi kandungan SOD (Super Oxide Dismutase), sejenis nutrien anti-penuaan yang sangat berkesan.

6. Amat Senang Dicerna dan Diserap

Sebagai sejenis makanan sel tunggal dengan dinding sel yang lembut (membran nipis) yang diperbuat daripada gula kompleks, enzim dan protein, Spirulina Organik amat senang dicerna dan diserap berbanding sayur-sayuran, buah-buahan dan alga serta klorela.

Ciri-ciri ini membuatkan Spirulina Organik amat sesuai untuk individu yang mempunyai masalah pencernaan yang tidak baik seperti kanak-kanak dan warga emas.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: elken

Asal-usul Penyembahan Berhala Menurut Islam

Asal-usul Penyembahan Berhala Menurut Islam

Sejarah penyembahan berhala dikatakan bermula sebelum kerasulan Nabi Nuh a.s., kerana saat kehadirannya kepada kaumnya, majoriti masyarakat pada masa itu telah pun menyembah berhala-berhala.

Penyembahan Berhala
Penyembahan berhala di zaman Nabi Musa - Gambar hiasan.

Islam bermula pada zaman nabi Adam a.s. dengan membawa akidah yang bersih iaitu hanya menyembah Allah, satu-satunya Tuhan.

Namun, lama-kelamaan, akidah ini mula menghakis lalu wujudnya konsep penyembahan berhala (pemujaan) terhadap orang-orang soleh.

Berhala secara umumnya adalah sebuah patung dewa-dewa yang disembah (dipuja) dan kebiasaannya diukir daripada batu, kayu, tanah liat, dan besi untuk membentuk manusia atau makhluk hidup yang lain.

Zaman Sebelum Banjir Besar

Pada zaman antedulivian (istilah Bible merujuk zaman sebelum banjir besar), terdapat lima orang wali Allah yang soleh bernama Wadd, Suwa, Yaghuth, Ya'uq dan Nasr.

Mereka mempunyai ramai pengikut yang setia kerana kesolehan mereka yang membawa ajaran nabi Syith a.s., seorang nabi dan anak nabi Adam a.s.

Menurut Ibnu Katsir dalam bukunya Qhisasul Anbiya', setelah mereka semua meninggal dunia (para wali), syaitan telah datang membisikkan kepada masyarakat ketika itu untuk membina patung di tempat kebiasaan mereka beribadat dan dinamakan sempena dengan nama-nama mereka.

Ya'kub dari Baul Muthahhar berkata ketika Abu Ja'far, al-Baqir ada menyentuh tentang nama Wadd.

Katanya, "Wadd adalah seorang hamba Allah yang soleh. Beliau sangat dicintai oleh masyarakatnya. Ketika Waad meninggal dunia, mereka menempati di sekitar kuburnya di Babylon.

"Di tempat itulah mereka meratapi kematiannya. Apabila iblis melihat ratapan mereka di sana, ketika itu juga dia menyamar berupa seorang pemuda.

"Iblis berkata, "Dari pemerhatianku, rupanya kamu tidak habis-habis lagi meratapi kematian orang di dalam kubur ini. Bagaimana jika aku buatkan sebuah patungnya untukmu.

"Kamu boleh menempatkannya di rumah. Dengan begitu kamu akan teringat kepadanya secara berterusan.

Mereka menjawab, "Ya! Kami setuju."

Maka Iblis membuat patung orang soleh tersebut.

Kemudian, patung tersebut ditempatkan di rumah salah seorang antara mereka untuk mengingatinya.

Ketika iblis melihat keinginan mereka untuk mengingatinya begitu bersungguh-sungguh, dia sekali lagi membuat cadangan.

"Bagaimana jika aku buatkan beberapa buah patung yang boleh diletakkan pada setiap rumah kamu. Dengan demikian akan mempermudahkan kamu untuk mengingatinya, tanpa terus berpindah-pindah."

Mereka menjawab: "Ya! Kami setuju."

Iblis memenuhi janjinya. Setiap rumah mereka dibuatkan sebuah patung orang soleh itu. Di hadapan patung inilah mereka menumpahkan segala kerinduannya dan mengingatinya.

Taksub Menjadi Syirik

Dalam perkembangan keturunan seterusnya, anak cucu mereka melihat kaedah yang dilakukan oleh ayah dan moyang yang menjadi pengikut setia orang soleh itu tadi.

Dengan berlakunya pertukaran generasi demi generasi, maka sedikit demi sedikit sejarah kehidupan orang soleh itu terhakis dan berganti menjadi orang yang dipuja kerana kesolehannya.

Sehingga dalam perkembangan generasi selanjutnya, mereka menjadikan patung-patung itu sebagai Tuhan yang disembah selain Allah. Di sinilah berlakunya syirik yang pertama di muka bumi.

Dari apa yang dinyatakan ini menggambarkan bahawa, segala patung berhala inilah yang mula-mula disembah oleh segolongan manusia selain dari Allah.

Ini bertitik tolak apabila perkembangan manusia berlalu, mereka kehakisan ilmu kerana ketiadaan pembimbing dari kalangan mereka untuk menghalang supaya tidak menjadikan patung orang soleh itu untuk disembah selain dari Allah.

Allah merakamkan nama mereka di dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: "Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa' dan Yaghuth, dan Ya'uq, serta Nasr." (Surah Nuh: 23)

Setelah mereka meninggal dunia (Wadd, Suwa', Yaghuth, Ya'uq, dan Nasr), maka syaitan segera memanfaatkan peluang ini dengan membisikkan kepada kaum mereka agar membuat patung-patung orang soleh ini di tempat mereka beribadat supaya ia dapat menaikkan semangat untuk beribadat sekali gus melambangkan kehormatan mereka terhadap orang soleh tersebut.

Di samping itu, ada juga yang berpendapat bahawa mereka juga mempunyai sembahan yang lain sebagaimana yang dinyatakan oleh ayat yang berbunyi: "Janganlah kamu meninggalkan (penyembahan) Tuhan kamu," yang mana ayat ini berkemungkinan ialah bintang-bintang, bulan dan matahari yang saling kelihatan di malam dan siang hari.

Sayyid Qutub dalam Fi Zhilalil Quran menyatakan bahawa mereka mempunyai berhala dan patung yang beraneka macam mengikut selera dan citara rasa kebangsaan mereka.

Dakwah Rasul Pertama

Apabila mereka telah mensyirikkan Allah dengan berhala sembahan dalam pelbagai bentuk, maka Allah mengutuskan rasul-Nya iaitu Nabi Nuh untuk berdakwah kepada kaumnya seperti dirakamkan di dalam al Quran yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nuh kepada kaumnya. Dia berkata, "Wahai kaumku! Sembahlah Allah. Sama sekali tiada Tuhan bagimu selain Dia. Aku takut jika kamu akan mendapat azab yang besar." (Surah al-A'raf: 59)

Nabi Nuh a.s. merupakan rasul pertama yang berdepan dengan umatnya yang mensyirikkan Allah.

Sebab itu di dalam sebuah hadis Shahih menyatakan, Nabi Nuh merupakan rasul yang pertama.

Mengenai situasi di akhirat kelak apabila manusia mula meminta syafaat kepada rasul-rasul mereka yang bermaksud:

"Adam a.s. berkata: "Aku tidak berhak demikian, kemudian Adam menceritakan kesalahan yang menimpanya. (Adam berkata): "Akan tetapi datanglah kepada Nuh, kerana Dia adalah Rasul pertama yang Allah utus kepada penduduk bumi. Maka orang-orang kemudian mendatangi Nuh." (Shahih Bukhari no: 7410)

Berpandukan kepada hadis ini, maka dapat diketahui bahawa Adam hanyalah seorang nabi, manakala Nuh merupakan seorang rasul yang pertama diutus, untuk menegakkan tauhid di kalangan kaumnya yang telah mensyirikkan Allah.

Kesimpulan

Pengajaran daripada kisah kaum nabi Nuh a.s. ini yang dapat kita ambil adalah, jangan membelakangi hukum Allah yakni menduakannya.

Jangan memiliki sifat taksub kepada orang soleh sehingga berlaku pemujaan dan menyebabkan perbuatan syirik kepada Allah.

Pada awal mulanya, mereka beralasan ianya adalah perkara baik agar lebih khusyuk beribadah, lama-kelamaan talbis iblis mengheret mereka kepada penyembahan kepada orang soleh tersebut.

Tugas menegakkan kalimah tauhid adalah peranan berat yang ditanggung oleh para rasul terdahulu.

Semoga Allah memelihara kita daripada melakukan dosa syirik dan menjadikan kita insan yang menyambung sunnah utama iaitu dakwah menegakkan tauhid.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: askislam

Wednesday, April 22, 2020

Cara Saman Pembuli Siber

Cara Saman Pembuli Siber

Buli siber adalah perbuatan mengancam, memalukan atau menakutkan seseorang melalui medium elektronik seperti mesej teks (SMS), chatting, e-mel, laman web sosial, telefon bimbit atau permainan internet.

Saman pembuli siber

Buli siber adalah satu kejadian yang biasa berlaku dan kian meningkat, manakala insiden sebenar kejadian buli siber tidak diketahui kerana ramai mangsa buli siber tidak tampil untuk mendapatkan bantuan.

Jenis-jenis buli siber:
  • Mesej yang mengganggu dan mengancam.
  • Menyalahgunakan kata laluan atau nama skrin orang lain atau menyamar sebagai orang lain.
  • Memanjangkan e-mel, foto atau video kepada orang lain.
  • Memuat naik komen atau gambar yang tidak senonoh.
  • Sexting(tindakan menghantar gambar, mesej atau video berunsurkan seksual menggunakan telefon bimbit).
  • Memulaukan individu tertentu daripada sesuatu kumpulan internet dengan sengaja.

Perbandingan antara buli siber dengan buli yang lain

Perbuatan buli siber lebih dahsyat daripada perbuatan membuli yang lain:
  • Pembuli siber sukar untuk dikenalpasti kerana mereka boleh merahsiakan identiti sebenar.
  • Pembuli siber tidak seperti pembuli yang lain kerana ia berlaku dalam dunia siber yang tidak bersempadan. Ini menyukarkan mangsa untuk melindungi diri mereka.
  • Pembuli siber lebih mudah bersekongkol berbanding pembuli jenis lain kerana bilangan individu yang boleh turut serta tidak dihadkan dalam dunia siber.
  • Buli siber boleh berlaku selama-lamanya, iaitu 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 365 hari setahun.

Apakah kesan buli siber?

Buli siber yang teruk atau kronik boleh menyebabkan mangsa menjadi resah, murung serta penyakit lain yang berkaitan dengan tekanan. Dalam kes tertentu, buli siber boleh menyebabkan mangsa membunuh diri. Buli siber adalah salah di sisi undang-undang.

Bagaimana mencegah buli siber?
  • Amalkan keselamatan internet.
  • Didik anak anda atau pelajar tentang keselamatan internet dan etika melayari internet atau menggunakan telefon yang betul.
  • Jangan kongsi butiran peribadi anda di internet.
  • Awas! Nada dan makna mesej yang ditulis boleh disalah tafsir.
  • Menghantar atau memanjangkan mesej yang kesat atau berunsurkan ancaman adalah tidak wajar dan boleh menyalahi undang-undang.

Apakah tanda-tanda buli siber?

Tanda-tanda buli siber termasuklah:
  • Mengalami tekanan emosi semasa atau selepas menggunakan internet.
  • Mengasingkan diri dari rakan-rakan dan ahli keluarga.
  • Menjauhkan diri dari perhimpunan sekolah atau kumpulan.
  • Keciciran gred dan mudah marah apabila berada di rumah.
  • Mengalami perubahan emosi, tingkah laku, tidur, atau selera makan.
  • Mahu berhenti menggunakan komputer atau telefon bimbit.
  • Kelihatan gelisah apabila mendapat mesej teks atau e-mel.
  • Mengelakkan perbincangan mengenai aktiviti komputer atau telefon bimbit.

Sekiranya anda adalah mangsa buli siber:
  • Bincang dengan ibubapa anda, kaunselor sekolah atau guru.
  • Simpan e-mel, mesej atau imej buli sebagai bahan bukti.
  • Jangan balas mesej teks atau e-mel buli.

Apa langkah-langkah yang boleh diambil oleh kita sebagai mangsa buli atau fitnah di media sosial/internet?

1. Bertindak segera

Simpan segala bukti yang ada sebelum dipadamkan. Kadangkala ada status dipadamkan dalam beberapa hari mungkin kerana pelaku dinasihatkan oleh pihak lain untuk memadamkan.

Sebab, kalau dipadamkan, anda sudah tidak ada bukti untuk menyokong dakwaan anda dan berkemungkinan melemahkan kes.

2. Screenshot bukti-bukti penting

Screenshot penyataan fitnah sebagai bukti bahawa terdapat kenyataan yang memburukkan anda.

Screenshot senarai jumlah 'like', jumlah 'share' dan segala komen-komen pembaca yang berbentuk marah, kebencian, perli atau apa sahaja yang berbaur negatif.

Screenshot profil pelaku yang menunjukkan senarai rakan, senarai follower.

Sebab, berapa jumlah like atau share bagi status yang muat naik adalah bukti berapa banyak orang telah membaca dan kongsi status itu. Sekali gus menunjukkan setakat mana cerita buruk tentang anda telah disebarkan.

Profil pelaku menunjukkan siapa identiti pelaku untuk kita ambil tindakan. Berapa jumlah kawannya dalam sosial media menunjukkan berkemungkinan berapa jumlah pembaca.

Status kebencian menunjukkan bahawa tulisan si pelaku telah berjaya menimbulkan kebencian serta rasa marah oleh orang awam.

Ini semua boleh menjadi pemfaktoran untuk menaikkan jumlan tuntutan ganti rugi saman malu.

3. Buat laporan polis

Selepas lengkap simpan bukti-bukti ini, lebih elok jika dapat 'save' dalam komputer kerana sekiranya telefon anda hilang, sekurang-kurangnya anda ada 'back up'. Buat laporan polis sebagai cover report.

4. Jumpa peguam untuk konsultansi guaman

Dapatkan pendapat peguam sama ada, bukti-bukti anda itu cukup untuk memulakan tindakan di mahkamah.

5. Tindakan Peguam

Peguam akan memulakan tindakan kebiasaannya melalui surat tuntutan bagi permohonan maaf, memadamkan status, akujanji tidak mengulangi dan ganti rugi.

Sekiranya si penulis enggan berbuat demikian di peringkat ini, anda boleh meneruskan saman sehingga ke mahkamah bagi satu tuntutan ganti rugi dan membersihkan semula nama anda.

Sekiranya atas faktor kos, anda tidak dapat meneruskan langkah 4 dan 5 di atas, apa yang anda boleh lakukan adalah simpan semua bukti dan hubungi pelaku.

Minta dia padamkan status tersebut jika gagal anda teruskan dengan tindakan undang-undang. Jika dia enggan, simpan bukti-bukti tersebut kerana anda mempunyai masa 6 tahun untuk memulakan tindakan saman berdasarkan Akta Had Masa 1953.

Sebaiknya status fitnah itu dipadam segera supaya reputasi dan nama baik anda tidak terus tercemar sepanjang status itu berada di media sosial. Berhati-hati sewaktu menulis, jangan kerana tulisan badan binasa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2