Tuesday, February 18, 2020

3 Produk 'Kuat Lelaki' Energy Candy Diharamkan Kerana Mengandungi Viagra!

3 Produk 'Kuat Lelaki' Energy Candy Diharamkan Kerana Mengandungi Viagra!

Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa produk untuk menguatkan tenaga batin lelaki, Energy Candy, mengandungi bahan terlarang, tadalafil, yang merupakan ubat terkawal digunakan bagi merawat masalah mati pucuk.

Energy Candy Diharamkan

Perkara itu disahkan selepas KKM menjalankan pemantauan ke atas produk itu susulan tular di media sosial bahawa terdapat bahan terlarang penggunaannya, di bawah Akta Makanan 1983.

Tadalafil adalah ubat terkawal yang digunakan dalam merawat pesakit yang mengalami masalah erectile dysfunction (mati pucuk).

Ubat ini hanya boleh diberikan kepada pesakit di bawah pemantauan ahli profesional kesihatan berdaftar.

Penyalahgunaan tadalafil tanpa pengawasan boleh menyebabkan komplikasi pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat yang berbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.

Produk yang terlibat adalah; ExtrAli Energy Candy, Extra Strong Energy Candy dan Mixed Fruit Candy.

KKM melarang import yang dikeluarkan serta-merta dan memberi amaran mana-mana pihak yang menyimpan stok produk terlarang itu, supaya tiada aktiviti pengedaran atau penjualan.

Pengguna juga dinasihatkan supaya tidak membeli produk tersebut dan sekiranya telah membeli, tidak memakannya dan mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

BAHAYA UBAT KUAT SEKS

Kebanyakan ubat kuat lelaki yang dijual di pasaran bercampur dengan bahan-bahan beracun seperti sildenafil, tadalafil dan verddanafil yang juga bahan aktif perangsang seks lelaki.

Sildenafil, tadalafil dan verdanafil adalah ubat yang digunakan untuk rawatan erectile dysfunction yang hanya boleh diberikan kepada pesakit oleh doktor atau ahli farmasi berlesen dengan preskripsi dari seorang doktor.

Kesan sampingan ubat itu adalah sangat berbahaya kepada pesakit jika diambil tanpa pengawasan doktor.

Adalah tidak berbaloi kepada mereka yang mengambil ubat kuat lelaki kerana ia mempunyai banyak kesan sampingan dan akan merosakkan badan.

Antara mudarat ubat itu ialah serangan jantung, strok, pendarahan otak, peningkatan tekanan darah, kehilangan pendengaran dan kehilangan penglihatan yang kadangkalanya adalah kekal.

Produk mengandungi bahan-bahan aktif perangsang seks lelaki juga semakin dipelbagaikan dan mudah didapati dalam bentuk minuman seperti kopi dan teh o ais limau.

Jenis Ubat Kuat

Terdapat pelbagai jenis ubat kuat di luar sana. Ada di antaranya dalam bentuk gel tahan lama, kapsul, serbuk, minyak, mahupun ramuan herba namun, tidak semuanya selamat digunakan, malah ada juga yang boleh membawa maut.

Selain itu, ramuan ubat kuat jenis sapu akan memberikan kesan yang terbaik terhadap zakar apabila sapuan ubat kuat tersebut diserap masuk kedalam kulit.

Anda perlu kenal dan tahu jenis serta ramuan yang digunakan supaya anda mendapat ubat kuat lelaki yang selamat.

Ramuan ubat kuat yang digunakan didalam mana-mana ubat kuat lelaki di farmasi atau ubat kuat tradisional biasanya mampu untuk menjadikan: zakar lebih besar, lebih panjang, lebih keras, tahan lebih lama dan tidak mudah pancut.

Siapa yang tidak gembira kalau dapat beraksi dengan lebih lama bersama isteri. Malu kalau selalu kalah. Tak sampai lima minit dah "tewas". Itulah realiti pahit yang terpaksa ditelan dan dihadapi oleh ramai lelaki.

Jika tidak, masakan ubat kuat laki akan mendapat tempat dan permintaan yang sangat tinggi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Pelakon Ashraf Sinclair Meninggal Dunia, Aishah Dan Vida Gaduh Balik!

Pelakon Ashraf Sinclair Meninggal Dunia, Aishah Dan Vida Gaduh Balik!

Pelakon Malaysia yang mencipta nama di Indonesia, Ashraf Sinclair, 40, suami kepada pelakon dan penyanyi popular Indonesia, Bunga Citra Lestari atau BCL, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung di Jakarta, Indonesia.

Ashraf Sinclair Meninggal

"Betul (meninggal dunia). Serangan jantung. Pagi tadi," kata Doddy yang juga pengurus BCL, menerusi aplikasi WhatsApp kepada pemberita.

Difahamkan Ashraf menghembuskan nafas terakhir kira-kira 4 pagi.

Ashraf dilahirkan di London pada 18 September 1979, abang kepada model jelita Aishah Sinclair, mula dikenali ramai sejak membintangi filem Gol dan Gincu pada tahun 2005.

Ashraf kemudian berkahwin dengan BCL pada 8 November 2008 di Masjid Al Bina Senayan, Jakarta.

Ashraf meninggalkan seorang balu dan seorang anak lelaki yang baru berusia 10 tahun, Noah Aidan Sinclair.

AISHAH DAN VIDA KEMBALI PANAS!

Vida vs Aishah

Sementara itu, pergeseran antara jutawan kosmetik Hasmiza Othman dengan penyanyi Aishah sebelum ini yang tampaknya sudah sejuk kembali 'panas'.

Kedua-dua selebriti yang sering mengundang perhatian dalam dunia hiburan itu tiba-tiba kembali menghangatkan industri seni tanah air apabila mereka saling berbalas kenyataan di media sosial.

Terbaru, Hasmiza atau Vida berang dengan Aishah apabila penyanyi itu menyindir isu ganti rugi berlian palsu yang pernah terjadi antara mereka suatu ketika dulu.

Hal itu berlaku ketika ahli perniagaan itu merancang untuk menyaman selebriti kontroversi Azwan Ali dalam satu sidang media sebelum ini.

“Aduhai kau nak apa lagi wahai hamba Allah. Kes dah tutup dah selesai. Apa yang kau nak semua aku dah bagi. Aku suruh kau pilih sendiri sampai kau puas hati.

“Ikut kehendak.. Macam mana yang kau nak. Berlian sebiji, sebiji tak pernah dibuat orang. Kalau orang lain la... aku rasa... kalau dah bagi pilih.. pilihlah perhiasan yang boleh pakai.

“Ni pilih berlian sebiji, sebiji, 1 karat. Ada tak tokey kedai berlian satu dunia ni bagi berlian butir? Sekali cincin suami aku bayar, aku turutkan saja janji kau puas hati, janji aku boleh berniaga dengan tenang dan semoga ada hikmah,” katanya di media sosial.

Aishah sindir Vida

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada kata-kata Aishah tidak lama dahulu yang mengaitkan isunya dengan cara mohon maaf Azwan atau Diva AA kepada Hasmiza.

“Begitulah sakitnya hati dan jiwa bila permintaan maaf diperlekehkan seperti dipermainkan, diperlekehkan, rasa terhina kan? Makan dalam kan?” katanya juga di media sosial.

Bagi menyelesaikan isu antara mereka berdua sebelum ini, Aishah menuntut lima barang kemas daripada Hasmiza.

Pengusaha produk itu kemudian menjelaskan tuntutan tersebut dengan membuat aksi seolah-olah ingin menelan barang kemas berkenaan.

Vida makan emas

Dalam perkembangan berkaitan, penyanyi Camar Yang Hilang itu mengingatkan, kehilangan rakan-rakan seperjuangan secara mengejut dari arena seni tempatan buat selama-lamanya seharusnya dijadikan iktibar.

Kata Aisyah, sebelum dijemput ajal, carilah satu kesudahan yang bermanfaat.

“Ambil iktibar dari pemergian tiba-tiba rakan satu industri. Kita semua boleh pergi bila-bila masa. Allahuakbar, marilah kita cari kesudahan yang baik,” katanya.

Terdahulu, Hasmiza merungut di akaun Istagram miliknya bahawa dia meragui permohonan maaf daripada pengacara Azwan Ali yang didakwanya tidak ikhlas.

Azwan turut mengadakan sidang media sehari selepas Hasmiza berbuat hal yang sama untuk memohon maaf susulan video klip berbaur penghinaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Gambar Imej Sebenar COVID-19, Cantik Tapi Membunuh!

Gambar Imej Sebenar COVID-19, Cantik Tapi Membunuh!

Pada 11 Februari 2020, pakar-pakar di Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NIAID) di Montana, Amerika Syarikat telah memuat naik sebuah galeri yang mengandungi imej terbaharu koronavirus menggunakan pelbagai jenis mikroskop pengimbas elektron.

Imej COVID-19
Imej virus yang diimbas melalui mikroskop elektron. - Flickr, NIAID

Imbasan mikroskop elektron ini menunjukkan SARS CoV-2 (kuning), penyebab COVID-19.

Menurut laman rasmi NIAID, sampel imej koronavirus SARS-CoV-2 (yang dahulu dikenali sebagai 2019-nCoV) ialah sebahagian daripada kajian di Regional Medical Laboratory (RML).

Berikut lagi beberapa hasil imbasan makmal COVID-19:

Sampel diambil daripada pesakit di Amerika Syarikat.

AS COVID-19
Imej COVID-19 hasil imbasan mikroskop elektron. -Flickr, NIAID

Imbasan mikroskop elektron ini menunjukkan SARS-CoV-2 (jingga), diambil daripada seorang pesakit di Amerika Syarikat.

Mahkota COVID-19
Imej COVID-19 berbucu tajam seperti mahkota. -Flickr, NIAID

Zarah muncul dari bahagian bawah sel yang dikultur di makmal daripada sampel yang diambil daripada seorang pesakit di Amerika Syarikat.

Bucu di bahagian luar zarah virus inilah yang memberikan koronavirus namanya kerana bentuk bucunya yang tajam seperti mahkota.

Senator Amerika Syarikat Dakwa Coronavirus Berasal Dari Makmal Di China!

Sejak mula wabak COVID-19 tersebar, orang ramai seakan tertanya-tanya dan terus berspekulasi mengenai kehadiran wabak ini, dengan beberapa individu dan pakar mempunyai teori masing-masing.

Menurut Senator Amerika Syarikat, Tom Cotton, dalam sebuah temu bual Sunday Morning Futures, beliau dengan tegas mengatakan kerajaan China sememangnya sebuah kerajaan yang tidak lekang dengan penipuan. Kenyataan beliau dibuat setelah mendakwa kerajaan China sanggup menipu mengenai angka sebenar mangsa yang dijangkiti wabak coronavirus.

Menurutnya, virus ini berpunca daripada sebuah makmal bio-keselamatan yang terletak tidak jauh dari pasar basah Wuhan.

Walau bagaimanapun, dia mengakui Amerika Syarikat tidak mempunyai sebarang bukti mengenai dakwaan yang dibuat serta mengaitkannya dengan ketidakjujuran China.

Selain Tom Cotton, laporan dari South China University of Technology turut merumuskan perkara yang sama dimana wabak coronavirus ini berkemungkinan besar berasal dari sebuah makmal di Wuhan.

Kenyataan ini dikuatkan lagi selepas makmal ini menyimpan 605 ekor kelawar yang berpotensi sebagai pembawa penyakit bagi mengkaji dengan lebih mendalam mengenai penyakit penafasan yang dihidapi oleh haiwan ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Monday, February 17, 2020

SBDJ Siri 124: Badi Ekor Buaya

SBDJ Siri 124: Badi Ekor Buaya

Dari bawah pohon jati, Datuk mengawasi segala kerja yang saya lakukan. Dua tiga kali, Khoja Lisut merayu supaya saya memberhentikan menyiram air ke kepalanya. Saya tidak dapat menunaikan permintaannya itu, selagi belum menerima perintah dari Datuk.

Toyol jadi-jadian

Saya memang simpati dengan Khoja Lisut yang selalu kelemasan dan bersin itu.

"Cukup Tamar."

Saya toleh ke arah pohon jati. Datuk sedang melangkah ke arah saya. Di tangan kanannya ada batang tepus yang berdaun lebar.

"Aku nak balik sembahyang Zuhur, kamu tunggu di sini sampai aku datang," sepasang biji mata Datuk tertumpu ke batang hidung saya. Datuk berpaling ke arah Khoja Lisut.

"Kenapa saya dibuat begini?"

"Bukankah ini yang kamu mahu Khoja?"

"Saya minta, sakit saya diubati, bukan ditanam dalam pasir."

"Inilah caranya Khoja."

Selesai saja Datuk bercakap, batang tepus terus dipalu ke muka Khoja Lisut bertalu-talu. Suara jeritan Khoja Lisut menguasai kawasan sekitar.

Datuk tidak peduli dengan rayuan dan rintihan Khoja Lisut, akhirnya manusia yang terbenam dalam pasir itu terkulai lemah lalu pengsan, batang tepus terus patah dan hancur, muka Khoja Lisut jadi hitam birat. Baju Datuk basah di mandi peluh.

"Bila dia sedar, dia minta air dari kamu. Jangan beri air. Kamu suruh dia gigit upih yang aku letakkan di tepi sungai," jari telunjuk Datuk menghala ke bibir sungai.

"Suruh dia gigit bahagian pangkal yang terkena air," sambung Datuk lagi.

"Jadi, saya tak payah jirus air lagi tuk."

"Tunggu sampai aku suruh, lagi satu aku nak beritahu kamu, apa juga jenis binatang yang melata di bumi menuju ke arah kepala Khoja, jangan dihalau, faham!"

"Ya, saya faham tuk."

"Sekarang kamu pergi duduk bawah pokok jati." Arahan Datuk saya patuhi. Dan Datuk pun meninggalkan saya dan Khoja Lisut di situ.

Sebaik saja batang tubuh hilang di balik rimbunan pepokok di situ, Khoja Lisut tersedar dari pengsan. Dia terus menjerit meminta air.

Saya berlari ke gigi sungai mengambil upih. Saya hulurkan bahagian hujung upih yang basah ke mulut Khoja Lisut. Saya suruh dia gigit hujung upih.

Dalam panas terik itu, saya rasa kulit muka seperti terbakar. Kepala Khoja Lisut bergerak ke kiri ke kanan, lidahnya terjelir, dia enggan menggigit hujung upih yang saya hulurkan kepadanya.

"Gigit," kata saya.

"Aku nak air, bukan itu," sahut Khoja Lisut.

Saya terus menolak hujung upih ke mulutnya. Khoja Lisut tidak ada pilihan, dia terpaksa gigit hujung upih yang sudah diresapi air sungai.

Tiga kali gigit, Khoja Lisut tersedar dan terus muntah. Saya lihat benda putih yang lekat pada lidahnya tertanggal sendiri. Jatuh atas permukaan pasir berkeping-keping.

Kulit muka Khoja Lisut seperti udang kena bakar. Khoja Lisut pengsan kembali. Saya lari semula ke bawah pokok jati.

Sebaik saja saya duduk di akar jati, terdengar bunyi air sungai berkocak kuat. Macam ada sesuatu yang mahu timbul dari dasar sungai ke permukaan air.

Saya bangun lalu merenung ke arah lubuk dan gigi sungai. Dua tiga kali saya gosok kelopak mata, saya seakan-akan tidak percaya dengan apa yang saya lihat.

Seekor buaya menimbulkan dirinya di permukaan lubuk dan berenang ke tepian.

Buaya itu merangkak atas pasir landai, renung kiri kanan mengawasi diri dari musuh.

Saya yakin, kemunculan buaya dari lubuk tersebut adalah untuk menjemur diri di pantai, mungkin juga untuk bertelur.

Memang, sejak saya melihat bentuk kawasan berpasir di selekoh sungai itu, hati saya sudah berkata yang kawasan itu memang menjadi kegemaran buaya berjemur atau bertelur.

Hal ini dikuatkan lagi dengan adanya sebuah lubuk di depan kawasan berpasir atau boleh juga disebut sebagai kawasan pantai sungai.

Saya menggigit jari. Buaya yang merangkak itu tidak mengubah haluan. Tetap menghala ke arah Khoja Lisut yang terkulai pengsan.

Buaya itu pasti mengamuk, bila mendapati kawasannya di ceroboh oleh manusia.

Hati kecil saya terus berdoa; "Oh, Tuhan kau selamatkan manusia yang bernama Khoja Lisut dari korban buaya. Si malang itu, berada di situ kerana berubat, Allah yang maha besar, selamatkanlah Khoja Lisut. Dia sudah insaf dan menyesali perbuatannya yang lalu."

Doa saya bagai tidak diperkenankan oleh tuhan. Buaya itu terus merangkak mengheret tubuh ke arah kepala Khoja Lisut yang tersembul di permukaan pasir.

GUGUR

Dalam debar bersama cemas itu, saya pejamkan mata dan saya bayangkan dalam tempurung kepala saya begini:

Buaya yang marah itu mengelilingi kepala Khoja Lisut beberapa kali. Buaya itu mengangkat dan menggerakkan ekornya. Dan sekali libas kepala Khoja Lisut terpisah dari badan, bergolek macam buah kelapa gugur.

Darah membuak-buak keluar dari sebahagian batang leher yang masih berada dalam pasir.

Buaya itu terus menggoncang kepala Khoja Lisut ke gigi sungai. Titisan darah memanjang di pasir.

Perlahan-lahan buaya itu menenggelamkan tubuhnya di permukaan air sungai lalu membawa kepala Khoja Lisut ke dasar lubuk yang airnya bergerak tenang.

Beberapa saat kemudian buaya itu muncul lagi lalu menjulang tinggi kepala Khoja Lisut di permukaan lubuk.

"Tamarrrrrr.."

Saya segera membuka mata. Khoja Lisut menggerakkan kepalanya ke kiri ke kanan. Buaya yang hanya berada dalam jarak beberapa kaki saja dari kepalanya terus membukakan mulut dengan luas. Giginya yang besar jelas kelihatan.

"Tolong aku Tamar."

Jeritan Khoja Lisut kian lantang.

Saya jadi serba salah. Terfikir juga oleh saya untuk menjerit. Tetapi, mana mungkin Datuk dapat mendengar jeritan saya.

Lagipun, kalau buaya itu terkejut, kemungkinan besar bertindak balas lebih pantas untuk mematahkan kepala Khoja Lisut.

"Tolong aku Tamar, aku tak mahu mati dalam mulut buaya ni," pekik Khoja Lisut.

Sepasang biji matanya terbeliak menyorot ke arah mulut buaya yang ternganga. Saya lihat buaya itu berhenti merangkak. Agaknya, terkejut dengan kelantangan suara Khoja Lisut.

Rasa kasihan dan belas terhadap Khoja Lisut mula berbunga dalam hati. Timbul hasrat untuk mengusir buaya tersebut.

Tanpa sedar, sepotong kayu sudah berada dalam tangan saya. Di saat saya mahu melontarkan kayu ke arah buaya, wajah Datuk terbayang dalam ingatan.

Serentak dengan itu terngiang-ngiang suara Datuk menyentuh gegendang telinga saya.

Saya segera membatalkan hasrat hati untuk menghalau buaya di dada pasir. Kayu di tangan segera saya lepaskan. Peluh terus mengalir di pipi dan di dahi.

Apakah yang perlu saya lakukan sekarang? Ternyata saya tidak dapat berbuat apa-apa. Saya hanya pasrah kepada Allah saja.

Khoja Lisut berusaha berhempas pulas mahu mengeluarkan tubuhnya yang tertanam dalam pasir.

Saya mengedutkan dahi, melihat daya usaha seorang kenalan di saat-saat menghadapi bahaya.

Saya segera terfikir mana mungkin Khoja Lisut dapat mengeluarkan tubuh yang terbenam separas leher di perut pasir.

Pasir sekeliling lehernya nampak bermanik dan bercahaya akibat sinaran matahari yang kian terik.

Saya yakin sesiapa yang memijak pasir ketika itu tanpa sepatu akan menjerit kepanasan.

"Tolong aku."

Suara Khoja Lisut amat lemah dan untuk kesekian kalinya dia terkulai pengsan.

Saya tetap macam tadi, masih terpaku di bawah pokok jati. Panas terik membuat tekak terasa amat kering sekali.

"Maafkan saya, Pak Cik Khoja,"

Itu yang berkocak dalam diri. Sepasang anak mata, saya arahkan ke lubuk tempat buaya berendam.

Air di permukaan lubuk kelihatan tenang. Kicau burung di hujung dahan rancak berbunyi. Saya alihkan pandangan ke arah Khoja Lisut. Kasihan, dia masih terkulai pengsan.

Peluh terus memercik di muka dan seluruh badan. Angin yang bertiup tidak dapat memberikan kedinginan ke seluruh tubuh. Dan buaya yang di dada pasir terus merangkak.

Sebaik saja muncungnya mahu mencecah rambut Khoja Lisut, buaya itu berhenti merangkak.

Saya tergamam sejenak, buaya itu membuka mulutnya dengan luas sekali. Batang giginya jelas kelihatan dan pada saat itu juga, saya terlihat lalat langau menghurungi mulut buaya di tengah panas yang terik.

Andainya, buaya itu bergerak ke depan sedikit dan merapatkan muncungnya, sudah pasti seluruh kepala Khoja Lisut berada dalam rahangnya.

Saya segera mencapai sepotong kayu yang berada di sebelah kaki kiri saya. Sekiranya buaya itu mematahkan kepala Khoja Lisut, saya akan meluru ke arahnya lalu menikam matanya dengan kayu yang ada di tangan saya.

"Syukur."

Itulah yang terluah dari mulut saya. Buaya mengubah haluan kedudukannya. Muncungnya yang terbuka dihalakan ke arah saya.

Kemudian, mulutnya yang ternganga segera dirapatkannya perlahan-lahan. Buaya itu mendekatkan badannya yang bersisik ke lubang hidung Khoja Lisut.

"Kalau dibiarkan lama-lama begitu, matilah Khoja Lisut kelemasan," fikir saya sambil mencari helah bagaimana mahu menghalau buaya tersebut.

Dalam saat saya berfikir, saya lihat buaya itu bergerak lagi. Kali ini, muncungnya yang diarahkan kepada saya berubah haluan, dihalakan ke tepi sungai.

Dengan tiba-tiba saja buaya itu meluru ke lubuk macam ada sesuatu yang mengejarnya.

Air sungai yang mengalir tenang terus berkocak dan bergelombang, sebaik saja badan buaya menghempapnya.

Buat beberapa saat buaya tersebut terkapar di permukaan sungai. Akhirnya perlahan-lahan menenggelamkan dirinya ke dasar lubuk. Air sungai yang bergelombang mula beransur tenang.

Saya menarik nafas kelegaan, buaya yang mengancam nyawa Khoja Lisut sudah pulang ke sarangnya.

Semoga, buaya itu tidak akan datang lagi. Begitulah harapan saya.

"Huhhhh..."

Segera saya toleh ke arah Khoja Lisut, ternyata dia baru sedar dari pengsan. Dua tiga kali, Khoja Lisut menggerakkan kepalanya.

"Weeeeeeeekkkkkkkkk..."

Saya lihat Khoja Lisut muntah dan muntah itu meresap ke dalam pasir. Dari jauh saya dapat melihat muntahnya berwarna putih bercampur kemerah-merahan.

Macam nanah bercampur darah dan muntah itu berlanjutan hampir setengah jam.

TELINGA

Setiap kali Khoja Lisut muntah, rambutnya seakan-akan menjadi tegak. Mukanya nampak kembang. Telinganya nampak merah.

"Aduh!!! rasanya semua isi perut aku nak keluar. Tolong aku Tamar, aku dahaga, janganlah aku diseksa begini," Khoja Lisut merayu.

Saya segera mengambil daun keladi besar. Saya berlari ke sungai. Daun keladi yang sudah dibuat macam kelongsong segera saya isikan dengan air untuk Khoja Lisut. Saya bersedia mahu melangkah ke arahnya.

"Buuuummmm..."

Terdengar sesuatu dari lubuk. Kelongsong daun keladi besar di tangan terlepas. Saya menoleh ke arah lubuk.

Sang buaya menimbulkan muncungnya dengan sepasang mata yang tertonjol, merenung tajam ke arah saya.

"Tuuukkkk..."

Saya menjerit dengan sekuat hati. Tanpa disedari saya sudah berada di bawah pohon jati.

Badan menggigil dan terasa seakan-akan ada sang buaya mengekori saya. Sepasang kaki menjadi lemah dan saya terus jatuh.

Antara sedar dengan tidak, saya terasa seperti ada orang berdiri di depan. Walaupun sepasang kelopak mata tidak terkatup tetapi, saya tidak dapat melihat dengan jelas dalam keadaan panas yang amat terik itu.

Penglihatan saya agak kabur dan berpinar-pinar. Pada saat itu juga saya terfikir, tidak mungkin yang terpacak di depan saya itu Khoja Lisut. Dia tidak berkeupayaan mengeluarkan dirinya dari pasir.

"Kamu pitam, agaknya perut kamu kosong."

Saya cuba mengamati suara itu. Sudah pasti itu suara Datuk. Saya cuba menjawab, ternyata saya kehilangan suara.

Saya cuba menggerakkan tubuh, saya gagal. Malah untuk menggerakkan kaki kanan saya tidak mampu.

"Kamu lapar."

Tubuh saya digoncang berkali-kali, kemudian ditegakkan lalu disandarkan dipangkal jati.

Kalau tadi, kelopak mata saya tidak terkatup, kini macam ada kuasa tertentu yang memaksa kelopak mata saya terkatup rapat.

"Bangun Tamar, bangun."

Badan saya terus digoncang. Saya tidak terdaya melakukan sesuatu.

Anehnya, kicau burung dan suara Khoja Lisut yang berada di tengah panas dapat saya dengar dengan jelas. Untuk menjawab pertanyaan Datuk, saya tidak mampu.

"Kau lemah semangat, kamu lemah semangat, kamu terkejut kerana terserempak dengan sesuatu yang tidak pernah kamu tengok sebelumnya," cukup jelas suara Datuk.

Apa yang dituturkannya itu memang benar. Saya tidak tahu bagaimana mahu menyatakan ya padanya.

Mahu bersuara, suara tidak keluar. Mahu anggukkan kepala, batang leher jadi keras macam besi.

"Ha ini habuan kamu."

Sebaik saja kata-kata itu berakhir, muka saya di rimbas dengan daun kayu dan dituruti dengan pukulan ranting kayu bertubi-tubi di belakang saya. Sakitnya terasa bukan kepalang.

"Aduhhhh.."

Saya menjerit sekuat hati. Gemanya menguasai kawasan sekitar dan saya seperti terkejut.

Tidak yakin, apa yang saya dengar itu adalah suara saya sendiri. Bagi memastikannya, saya terus menjerit lagi.

"Aduhhhhhh.."

Sudah sah, itu adalah suara saya. Di saat saya berusaha mahu bangun, Datuk membuka penutup botol besar air (yang dibawa dari rumah) dan kepala saya dijirusnya dengan air.

Serta-merta saya melompat. Bagaikan kilat Datuk menyambar tangan saya lalu dikilaskannya ke belakang. Saya ditolak ke kanannya hingga terjatuh.

"Apa yang kamu nampak, Tamar?"

"Buaya timbul dari lubuk."

"Hum, bangun. Bawa botol air ke tempat Khoja Lisut. Jirus kepalanya dengan air ni, kalau dia dahaga beri dia minum," Datuk mengeluarkan perintah.

Tanpa banyak soal jawab saya ambil botol yang dihulurkan oleh Datuk. Saya mengatur langkah ke arah Khoja Lisut.

MATAHARI

Di bawah sinar matahari yang terik, saya berdiri di depan Khoja Lisut. Rasanya, tidak sopan berdiri di depan orang yang badannya hampir keseluruhan berada dalam pasir.

Bagi menghormati Khoja Lisut, saya duduk berdiri lutut sambil membuka penutup botol besar dan bersedia untuk menjirus air ke kepalanya.

"Tamar..."

Saya tidak jadi menjirus air ke kepala Khoja Lisut. Saya segera memandang ke arah Datuk yang berada di bawak pondok jati.

"Bismillah dan selawat."

Saya segera anggukkan kepala.

"Mulakan sekarang, Tamar."

Saya membaca bismillah dan terus selawat nabi. Dan air dari perut botol pun jatuh atas kepala Khoja Lisut. Lelehan air di bibir terus masuk ke mulut lalu diteguk penuh nafsu.

"Terima kasih, Tamar."

Khoja Lisut dongakkan kepalanya, sepasang anak matanya yang kuyu merauti paras saya. Bibirnya yang pucat nampak kering, begitu juga dengan kulit mukanya.

"Aku dahaga," ucapnya lagi.

Ucapannya itu saya jawab dengan anggukkan kepala.

"Haus, saya haus." suara Khoja Lisut tidak berapa jelas.

Muncung botol saya dekatkan ke bibirnya. Perlahan-lahan punggung botol saya tinggikan. Dengan berbuat demikian memudahkan Khoja Lisut meneguk air.

"Cukup Tamar, mari ke mari."

Saya toleh ke arah Datuk. Dia menggamit saya supaya segera mendekatinya. Cepat-cepat muncung botol saya tutup.

Khoja Lisut mengeluh, dia bagaikan tidak merestui saya meninggalkannya. Saya segera menghampiri Datuk dan berdiri di depannya.

"Banyak kamu beri dia minum,"

"Sikit saja, tuk."

"Hum..." biji mata Datuk menjeling ke arah botol kosong yang saya pegang.

Botol kosong itu saya serahkan padanya. Datuk letakkan botol kosong di atas akar pohon jati.

"Kamu pergi balik, makan nasi dan sembahyang Zuhur," Datuk keluarkan perintah.

Matanya tidak berkedip merenung batang tubuh saya, dari atas ke bawah dari bawah ke atas. Tidak selesa rasanya saya dipandang begitu. Saya jadi serba salah.

"Apa kata kamu Tamar," biji mata terbeliak, macam mahu keluar dan saya serentak.

Saya sudah terlanjut. Ungkapan saya keluar secara spontan dari mulut itu, benar-benar menyinggung perasaan Datuk.

"Saya balik dulu, tuk."

Itulah helah saya, melarikan diri menghadapi kemarahan Datuk. Saya mempercepatkan langkah. Kalau boleh saya mahu menghilangkan diri dengan sekelip mata di hadapan Datuk.

"Tamar nanti dulu, aku tak suruh kamu pergi, kenapa kamu pergi? Kamu ni makin biadab. Mari ke sini."

Saya sudah melangkah beberapa ela darinya terpaksa sorot kembali dan terus berdiri di depannya.

Suara Khoja Lisut minta air, tidak dipedulikan oleh Datuk. Wajahnya masih masam. Saya bersedia menerima apa saja kutukan dan sumpah seranah darinya.

Saya menarik nafas kelegaan. Datuk menggigit dan terus mencari akar kayu untuk duduk.

Dia senyum ke arah saya dan perlahan-lahan dia gelengkan kepala, agaknya dia terasa lucu dengan pertanyaan yang tidak wajar saya kemukakan kepadanya.

"Kamu tolong nenek kamu, apa yang patut."

"Ya, tuk."

"Kamu datang ke sini, bila kamu dah selesai sembahyang asar."

"Ah.." terkeluar keluhan kecil dari mulut.

Kenapa mesti lepas sembahyang Asar. Kenapa tidak selepas sembahyang Zuhur, kenapa mesti menolong nenek. Apa yang Datuk katakan itu memang praktikal.

Sepatutnya, lepas sembahyang Zuhur, saya mesti ke sini, melihat detik peristiwa yang dialami oleh Khoja Lisut. Apa yang bergolak dalam dada tidak berani saya luahkan. Terpaksa dipendamkan dalam kalbu.

"Masa kamu nak datang ke mari, bawakan aku putik manggis tujuh biji, putik rambutan tujuh biji serta air masak dari putik pinang," Datuk memberikan pesan.

"Jadi saya kena rebus putik pinang, tuk?

"Tak payah, semua barang-barang tu dah disediakan oleh nenek kamu. Kamu cuma bawa saja ke sini."

"Jalan terus ke rumah, jangan merayau-rayau ke mana-mana," itu pesanan terakhir dari Datuk untuk saya, sebelum melangkah pulang.

Lebih kurang setengah rantai jarak antara saya dengan Datuk, dan saya yakin Datuk tidak dapat melihat pergerakan saya kerana dilindungi oleh pepokok kecil, saya terus berlari.

Pada saat itu juga saya menganggap diri saya terlepas dari cengkaman Datuk. Saya berlari dengan semahu-mahunya.

PINTU

Nenek yang secara kebetulan berdiri di depan pintu dapur tercengang melihat saya berlari tercungap-cungap ke arahnya.

Tanpa menegurnya saya terus memanjat anak tangga dan duduk di muka pintu.

"Apa yang mengejar kamu, Tamar?"

"Tak ada apa-apa?"

"Habis kenapa kamu lari."

"Seronok lepas dari kawalan Datuk, saya lapar nek."

"Hum....," nenek gelengkan kepala.

"Dah sembahyang?" susulnya lagi.

Saya cuma mampu tersengih.

"Sekarang pergi bersihkan badan kamu, lepas tu sembahyang Zuhur, sementara kamu sembahyang biar aku siapkan makanan," turut nenek sambil menggaru pipi sebelah kanannya.

"Macam mana kalau saya makan dulu, nek."

"Tak baik begitu, bersihkan badan dan sembahyang dulu, barulah seronok makan. Tuhan suka orang yang bersih, makan dalam keadaan penat dan badan kotor, kata orang makan bersama syaitan. Kamu mahu makan sama syaitan, Tamar?"

"Heee.. tak mahu, saya tak mahu kawan dengan syaitan."

"Kalau tak mahu, kamu pergi mandi. Buat apa yang aku cakap," sambung nenek.

Dan saya segera menuju ke perigi.

Cakap nenek memang tepat, selesai menunaikan solat Zuhur, saya dapat menikmati hidangan makanan tengah hari dengan selesa dan bernafsu sekali.

Selesai makan saya tersandar di dinding merehatkan tubuh badan tetapi, kenikmatan itu hanya dapat saya rasai dalam waktu yang pendek. Lepas makan duduk bersandar, memang pantang besar bagi nenek.

"Kalau nak duduk tu, biarlah nasi jatuh ke perut dulu. Pergi jalan-jalan atau buat kerja ringan. Kamu tahu Tamar, orang yang makan kenyang kemudian duduk tersandar, minta celaka diri."

"Apa ertinya cakap nek ni, saya tak tahu," tanya saya.

"Minta papa kedana, pemalas. Kalau diamalkan selalu, perut boroi, sakit urat-urat perut mudah datang. Boleh jadi barah tahu, nanti perut kamu boleh meletup.

"Saya tak mahu perut saya meletup," saya terus menjerit dan melompat.

Sekali gus melakukan senaman.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 124/284

BACA: SBDJSiri 123: Tubuh Terbenam Dalam Pasir
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Menurut Kajian Tekanan Akan Membuatkan Rambut Cepat Beruban

Menurut Kajian Tekanan Akan Membuatkan Rambut Cepat Beruban

Pernah dengar yang tekanan akan membuatkan rambut kita cepat beruban? Ia bukan sekadar kata-kata kerana tekanan benar-benar akan membuat anda cepat beruban - dan apabila rambut sudah memutih, ia tidak akan kembali ke warna asal.

Rambut Cepat Beruban
Gambar hiasan.

Kajian sekumpulan penyelidik Universiti Harvard mendapati hormon norepinephrine dibebaskan ketika badan berada dalam keadaan fight or flight.

Di bawah tekanan yang luar biasa, norepinephrine dibebaskan ke dalam saluran darah di mana ia meningkatkan kadar denyutan jantung dan menyediakan tubuh bertindak balas terhadap sebarang ancaman.

Tetapi, keadaan itu merosakkan sel stem melanocyte (MSC), iaitu sel kulit yang menghasilkan pigmen yang turut berfungsi memberikan warna pada rambut.

Umumnya manusia akan mula beruban pada usia 30-an, dan rambut akan putih keseluruhan ketika usia menjangkau 50 tahun.

Mereka yang beruban pada usia remaja kebiasaannya adalah disebabkan faktor genetik.

Dalam hasil penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal Nature menyebut, kebanyakan kita mempunyai anekdot tentang bagaimana tekanan memberi reaksi terhadap tubuh mereka.

"Paling utama pada kulit dan rambut mereka, satu-satunya tisu yang dapat kita lihat dari luar.

"Kami mahu memahami jika hubungan ini adalah benar dan jika ya, bagaimana tekanan membawa perubahan dalam tisu yang pelbagai," kata Dr Ya-Chieh Hsu, profesor sel stem dan biologi regeneratif di Harvard.

Sudah diketahui sebelum ini, hormon yang dihasilkan sebagai tindak balas kepada tekanan memberi kesan kepada sel stem yang memberi warna rambut.

Tetapi apa yang ingin ditentukan ialah hormon manakah yang sering diperkatakan dan dari mana ia datang.

Para penyelidik mendapati bahawa tekanan menyebabkan sistem saraf mengeluarkan norepinephrine ke salur darah.

Norepinephrine dihasilkan otak dalam keadaan tertekan menjadikan tubuh lebih berjaga-jaga dan bersedia untuk melawan tekanan.

Tetapi ia juga menyebabkan sel stem dalam folikel rambut diaktifkan secara berlebihan, menurut kajian itu.

"Apabila kita memulakan kajian ini, saya tahu tekanan beri kesan buruk, tetapi rupa-rupanya ia jauh lebih teruk daripada yang saya bayangkan.

"Selepas beberapa hari saja, semua sel pemulihan stem hilang dan anda tidak boleh menghasilkan semula pigmen lagi. Kerosakan itu kekal," tambah Cheih Hsu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Bahaya Aksi 'Tripping Jump Challenge' Boleh Menyebabkan Kematian!

Bahaya Aksi 'Tripping Jump Challenge' Boleh Menyebabkan Kematian!

Ketika ini, satu lagi cabaran baharu yang sedang popular di seluruh dunia sedang hangat diperkatakan, bukan kerana keseronokan mencuba 'tripping jump challenge', sebaliknya kerana ia boleh menyebabkan kematian.

Bahaya Tripping Jump Challenge

Dalam cabaran tripping jump challenge ini, kesudahan aksi boleh meragut nyawa mereka yang mencubanya.

Jadi, apa sebenarnya tripping jump challenge ini sehingga dianggap berbahaya kerana boleh mendatangkan kecederaan serius?

Menerusi perkongsian video di laman sosial, kelihatan tiga orang berdiri sederet akan melompat tinggi serentak, kemudian dua orang rakan yang berada di kiri dan kanan, akan menyepak kaki rakan mereka yang berada ditengah-tengah.

Sepakan dua rakan itu pada bahagian belakang buku lali akan menyebabkan dia terjatuh lantas kepala terhentak di lantai.

Dalam pelbagai versi cabaran yang dilakukan, individu yang berdiri di tengah itu mungkin sudah mengetahui bahawa dia perlu mengelak sepakan rakan di sebelahnya.

Ada juga versi 'prank' di mana individu di bahagian tengah tidak tahu niat rakan untuk menyepak kakinya.

Lebih malang, ada yang turut berkongsi pengalaman di mana kepalanya terjatuh ke lantai konkrit di sebuah taman permainan.

Berdasarkan pengamatan melalui video-video yang sedang tular di media sosial, terdapat beberapa risiko yang boleh berlaku kepada individu yang melakukan cabaran itu.

Risiko paling ketara, ia boleh menyebabkan hentakan di bahagian kepala dan sekali gus boleh menyebabkan kecederaan serius kepada otak.

Jika terkena impak yang besar, ia boleh menyebabkan kematian otak atau 'brain dead' kerana jika dilihat video cabaran itu, individu akan terjatuh secara mengejut.

Selain itu, bahagian tengkuk juga boleh tercedera yang akan menyebabkan kecederaan pada tulang serviks yang boleh menyebabkan, bukan sahaja maut malah lumpuh seperti strok.

Risiko lain, ia boleh menyebabkan kecederaan belakang yang kronik, cedera pada otot, serta kecederaan pada organ dalaman.

Ibu bapa dan guru sekolah diingatkan agar memantau aktiviti ini dan mereka perlu mengambil perkara yang perlu untuk menghalangnya dari dilakukan.

Ini kerana, tripping jump challenge boleh menyebabkan kecacatan kekal, yang akan memberi kesan buruk kepada masa hadapan.

Kepada ibu bapa dan guru-guru di sekolah, sila awasi anak-anak anda supaya tidak tidak terjebak dengan cabaran viral ini.

Perlu diingatkan bahawa, kesan aktiviti tripping jump challenge boleh menyusahkan ramai pihak dan mereka perlulah berfikir seribu kali sebelum memilih untuk melakukannya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:


sumber: astroawani

Video Penampakan Cahaya Misteri UFO Di Johor Bahru!

Video Penampakan Cahaya Misteri UFO Di Johor Bahru!

Sebuah video rakaman objek tidak dikenali (UFO) yang meluncur seakan-akan bebola api yang sangat besar dipercayai di langit Johor Bahru, berjaya dirakam menerusi dashboard cam sebuah kenderaan dilihat melintasi langit negeri itu.

Cahaya misteri Johor Bahru

Objek UFO berbentuk bebola api tersebut dilihat bergerak laju sebelum meletup dan hilang sekelip mata.

Video berdurasi selama 13 saat dirakam pada jam 5 pagi pada Rabu (12/2/2020), kemudian dimuat naik di Facebook All Singapura Stuff sebelum tular di laman sosial.

Ada netizen mendakwa mereka juga melihat objek misteri yang mengeluarkan cahaya itu kira-kira jam 5 pagi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:


-Sentiasapanas.com

Sunday, February 16, 2020

Bahaya Plastik Mikro Dalam Uncang Teh Yang Anda Wajib Tahu!

Bahaya Plastik Mikro Dalam Uncang Teh Yang Anda Wajib Tahu!

Para penyelidik dari Universiti McGill di Kanada telah mendapati apabila uncang teh dimasukkan dalam cawan yang mengandungi air panas iaitu pada 95 darjah Celcius, uncang tersebut mengeluarkan 11.6 bilion zarah plastik mikro dan 3.1 bilion zarah plastik nano ke dalam cawan tersebut.

Bahaya Plastik Uncang Teh

Kita tidak dapat melihat ia dengan mata kasar tetapi zarah ini boleh dianalisis menggunakan Fourier Transform Infared spectroscopy (FTIR) dan X-ray Photoelectron microscopy (XPS).

Nilai ini adalah tinggi berbanding zarah plastik mikro yang masuk ke badan manusia dalam jangka masa setahun.

Menurut suatu kajian yang diterbitkan pada tahun 2019, individu yang normal menelan sekurang-kurangkan 50,000 zarah plastik mikro pada setiap tahun dan menyedut udara dengan jumlah kuantiti yang sama.

Menurut World Wide Fund for Nature, pada tahun 2020, dianggarkan individu normal akan menelan sebanyak 5 gram plastik setiap minggu.

Para penyelidik telah menguji empat jenis uncang teh komersial dari beberapa jenama terkenal di Montreal, Kanada.

Plastik tersebut telah dibuka dan dibasuh kemudian diletakkan dalam air panas selama 5 minit sebelum dianalisis menggunakan mikroskop elekron dan analisis spektroskopi.

Menurut kajian ini, ia terbukti bahawa uncang teh tersebut telah mengeluarkan lebih 11.6 bilion zarah mikro yang mempunyai jisim yang lebih berat berbanding makanan lain.

Mereka telah melakukan beberapa ujikaji pada beberapa sampel tambahan dan mendedahkan bahawa bahan tersebut sah diperbuat daripada PET iaitu sejenis polyster dan nylon berdasarkan struktur yang dilihat pada mikroskop.

Katanya lagi, plastik tersebut datang daripada uncang teh berkenaan dan bukannya dari teh, dan kajian ini telah diterbitkan oleh jurnal Enviromental Science & Technology.

TIDAK TAHU

Apabila pihak penyelidik menghubungi syarikat teh untuk bertanyakan tentang bahan pembuatan uncang teh, mereka mengatakan kebanyakan masyarakat tidak kisah dengan penggunaan plastik dalam pembuatan uncang teh namun dakwaan itu disangkal oleh mereka kerana hakikatnya masyarakat sebenarnya ambil peduli cuma mereka tidak tahu.

Banyak syarikat teh telah memberikan maklumat yang mengelirukan tentang bahan pembuatan uncang teh dengan mengatakan ia diperbuat daripada bahan semula jadi seperti diperbuat daripada kapas namun hakikatnya mereka menggunakan nylon.

Akhirnya, masyarat yang tidak tahu tentang perkara itu meletakkan kepercayaan mereka dengan membeli teh yang mengandungi plastik.

Cara Minum Teh Yang Selamat

Oleh itu, kaedah terbaik untuk memastikan teh yang diminum bebas dari plastik berbahaya atau bahan kimia seperti polypropylene, bancuh teh dengan kaedah tradisional menggunakan penapis.

Kaedah ini memerlukan masa untuk membuang hampas namun lebih berbaloi.

Kebanyakan uncang teh yang berada di pasaran diperbuat daripada gentian semulajadi.

Walaupun kebanyakan jenama menggunakan gentian semulajadi namun ia mengandungi plastik untuk menutup uncang berkenaan.

Ada beberapa jenama uncang teh telah bertukar daripada kantung kertas kepada uncang plastik dan plastik inilah yang dikaji oleh penyelidik di makmal.

Plastik mikro adalah sangat kecil dimana penyelidik mendefinisikan diantara 100 nanometer (nm) ke 5 milimeter (mm) yang banyak telah di kitar semula dari penguraian plastik yang terbuang.

Para penyelidik telah menemui plastik mikro di udara, tanah, sungai dan laut di kebanyakan negara di seluruh dunia termasuklah dalam botol air yang diminum dan makanan laut.

Terbaharu, mereka turut menemui plastik mikro dalam najis manusia buat pertama kalinya pada bulan Oktober 2019 yang lalu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: majalahsains

Friday, February 14, 2020

Firaun Ramses ll: Pemimpin Teragung Mesir Purba

Firaun Ramses ll: Pemimpin Teragung Mesir Purba

Dalam sejarah tamadun Mesir Purba, ada beberapa kisah firaun terkenal yang kita kenali, tetapi ada satu firaun yang bukan saja melakar kegemilangan tamadun itu tetapi dikatakan ada kaitan dengan kisah Nabi Musa a.s dan Bani Israel. Firaun yang dimaksudkan ialah Ramses II.

Mumia Firaun Ramses II
Mumia Firaun Ramses II.

Ramses II merupakan putera Seti I dan Permaisuri Tuya, yang sejak dari kecil, sentiasa dibawa mengikuti ekspedisi ketenteraan ayahandanya di Libya dan Palestin pada usia 14 tahun.

Setelah mencecah usia 22 tahun, giliran Ramses II pula menjadi panglima tentera ditemani dua puteranya, Khaemweset dan Amunhirwenemef selain dinamakan sebagai pemerintah bersama dengan Seti I.

Ketika itu, Mesir mempunyai hubungan tegang dengan kerajaan Hittite dan semakin lama dahagakan kuasa untuk mendominasi rantau berkenaan.

Bukanlah satu kejutan mengapa Seti I dan Ramses II menyimpan dendam terhadap kerjaan Hittite.

Semasa pemerintahan Raja Suppiluliuma (1344-1322 Sebelum Masihi (BC)), kebanyakan pusat dagangan penting Mesir di Syria dan Canaan (Kanaan) jatuh ke tangan kerajaan berkenaan.

Seti I berjaya merampas semula Kadesh dari penguasaan kerajaan Hittite tetapi ia tidak bertahan lama selepas ditawan semula oleh Raja Muwatalli II (1295-1272 BC).

Selepas kemangkatan Seti I dan Ramses II menaiki takhta sebagai firaun yang baharu, salah satu agendanya ialah menundukkan kekuasaan Hittite.

Pada tahun kedua pemerintahannya, Ramses II menewaskan satu kelompok yang dipanggil Orang Laut di luar perairan Delta Nil.

Berdasarkan riwayat, kelompok ini dipanggil Sherdan dan mempunyai hubungan pakatan dengan kerajaan Hittite.

Bagi mengumpan mereka, Ramses II meletakkan satu kontinjen tentera laut di muara Sungai Nil untuk mengumpan kapal mereka keluar.

Sedang kapal-kapal perang Sherdan sibuk berperang dengan kapal perang Mesir Purba, tiba-tiba mereka diserang dari segenap penjuru.

Serangan mengejut Ramses II menyebabkan banyak kapal mereka tenggelam dan mana-mana orang Sherdan yang terselamat diserap masuk ke dalam angkatan tentera firaun.

Ada juga yang diserap menjadi sebahagian daripada angkatan pengawal diraja Ramses II.

Per-Ramses

Walaupun sibuk mengatur strategi memerangi kerajaan Hittite, Ramses II tidak melupakan soal dalaman kerajaannya.

Pada satu ketika sebelum 1275 SM, Ramses II memulakan pembinaan ibu kotanya Per-Ramses (Rumah Ramses/House of Ramses) di timur Delta Nil berhampiran bandar lama Avaris.

Per-Ramses bukan saja berperanan sebagai ibu kota pentadbiran semasa era pemerintahannya, tetapi juga berperanan sebagai istana persinggahan dan tapak pelancaran operasi ketenteraan di wilayah-wilayah yang berjiran dengan Mesir.

Bandar tersebut dibina dengan begitu indah sehinggakan ia dikatakan dapat menyaingi kecantikan ibu kota purba Thebes.

Tetapi, ada sesetengah sejarawan berpandangan pembinaan Per-Ramses sebenarnya dimulakan pada era Seti I kerana ia sudah digunakan sebagai tapak operasi ketenteraan Ramses II pada tahun 1275 SM.

Dan seperti dijanjikan Ramses II, Mesir menyerang Kanaan yang berperanan sebagai ibu kota utama kerajaan Hittite.

Dalam serangan tersebut, Ramses II dan angkatannya berjaya meraih sejumlah besar rampasan perang dan ramai anggota kerabat diraja Kanaan serta Hittite dijadikan tawanan perang.

Tetapi Ramses II tidak mahu berhenti di situ saja, kerana selagi Kadesh belum lagi di bawah kawalan, kejayaannya dianggap belum sempurna.

Pada akhir tahun 1275 SM, Ramses II mempersiapkan tenteranya untuk mara ke Kadesh sambil menanti peluang sesuai untuk menyerang wilayah tersebut.

Ramses II tidak mahu bersikap terburu-buru kerana sedar jika salah percaturan, angkatannya boleh tewas dengan kekuatan tentera Hittite.

Setahun selepas itu, melihat semua perkara menyebelahinya, Ramses II mengetuai 20,000 tentera dari Per-Ramses, yang dibahagikan kepada empat divisyen sempena nama dewa-dewi Mesir Purba: Amun, Ra, Ptah dan Set.

Ramses II sendiri mengetuai Divisyen Amun dengan tentera-tentera lain mengikut dari belakang.

Perang Kadesh

Lembah Ratu-Ratu
Lembah Ratu-Ratu.

Mereka bergerak selama dua bulan sebelum akhirnya tiba di satu kawasan di mana Ramses II merasa yakin untuk menyusun formasi pertempuran menyerang Kadesh dan menunggu ketibaan tiga divisyen lain.

Sementara itu, dua perisik Hittite yang dihantar mengintip kekuatan angkatan tentera Ramses II, berjaya ditahan dan diseksa untuk mendapatkan maklumat.

Selepas diseksa selama berhari-hari, mereka mendedahkan tiada tentera Hittite yang berkubu di Kadesh.

Ramses II memutuskan untuk terus berkhemah dan menanti ketibaan tiga divisyen lain.

Tatkala mereka sibuk memasang khemah, saat itu juga digunakan tentera Hittite untuk menyerang ketumbukan tentera Ramses II. Ternyatalah dua perisik Hittite dalam tawanan mereka itu hanyalah umpan semata-mata.

Akibat serangan mengejut itu, ramai tentera Ramses II terbunuh dengan kekuatan tentera berkuda mereka hampir musnah diserang tentera infantri Hittite. Mana-mana tentera yang terselamat berusaha mencari perlindungan di khemah mereka.

Sedar berhadapan situasi genting, Ramses II berdoa kepada Dewa Amun dan kembali ke medan perang.

Sejarawan menceritakan, kehadiran baginda memberi sedikit kelegaan dan ketenangan dalam kalangan anggota divisyennya.

Dan perlahan-lahan Ramses II menyerang tentera musuh seperti mana perihal panglima tentera China Li Guang membunuh pihak musuh tatkala cuba menyertai pasukan di sebelah selatan.

Dengan bantuan saki-baki anggota tentera dan beberapa pegawai, Ramses II menaiki kereta kuda tunggangannya dan menyerang pihak musuh dari sebelah timur bagi memberi peluang mana-mana tentera yang terperangkap melarikan diri.

Dengan situasi perang mula menyebelahi Ramses II, peluangnya bertambah cerah apabila Divisyen Ptah tiba di medan perang.

Ramses II memerintahkan mereka segera mengikutinya untuk menyerang secara bertubi-tubi, memaksa tentera Hittite berundur hingga ke Sungai Orontes di mana ramai yang dibunuh atau lemas dalam cubaan menyeberanginya.

Tetapi, kegopohan Ramses II hampir memakan diri kerana itu juga menyebabkan tenteranya terperangkap antara sungai dengan orang Hittite.

Jika tidak kerana Muwatalli II enggan menggerakkan saki-baki tentera yang dimilikinya memerangi tentera Ramses II, pasti baginda juga akan menjadi mangsa tentera Hittite.

Tetapi, perkara tersebut tidak berlaku dan ini memberi peluang kepada Ramses II dan tenteranya memaksa orang Hittite berundur dari medan perang.

Perang Kadesh dianggap satu kejayaan besar bagi Mesir Purba kerana berjaya menewaskan musuh ketat empayar di medan perang. Tetapi, perang tersebut juga hampir menyebabkan kematian Ramses II di tangan musuh.

Ramses II menganggap antara sebab dia terselamat adalah kerana keberanian dan ketenangannya semasa di medan perang serta restu dewa-dewi yang membolehkannya menewaskan tentera Hittite.

Sementara bagi Muwatalli II pula, walaupun tewas di medan perang, dia juga dianggap pemenang kerana tidak kehilangan kota Kadesh.

Selepas perang Kadesh, Ramses II memeterai perjanjian damai pertama di dunia dengan pengganti Muwatalli II, Hattusili III (mangkat pada 1237 SM).

Selepas perang berakhir, Ramses II mendedikasikan hidupnya menambahbaik infrastruktur Mesir, mengukuhkan sempadan dan meluluskan pelbagai projek yang memperingati kejayaannya pada tahun 1274 SM dan pelbagai pencapaian lain.

Permaisuri Nefertari

Permaisuri Nefertari

Jika pernah berkunjung ke Mesir, pasti anda akan melihat kebanyakan monumen Mesir Purba dibina semasa era Ramses II.

Antara binaan yang dibina pada era firaun Ramses II ialah Kompleks Makam Ramesseum di Thebes, Kuil Abu Simbel dan Patung Ramses II di Memphis.

Ramai sejarawan dan pakar seni menyifatkan era baginda sebagai kemuncak kebudayaan dan kesenian Mesir Purba.

Salah satu contoh dalam aspek ini ialah Makam Permaisuri Nefertari di Lembah Ratu-Ratu. Kebanyakan gambaran Nefertari muncul di dinding-dinding kuil atau dalam bentuk patung.

Tetapi tidak ramai tahu Nefertari mangkat pada tahun-tahun awal perkahwinan mereka (berkemungkinan mati semasa melahirkan anak).

Walaupun makam Nefertari dirompak oleh penjarah makam, kesan-kesan kesenian dan kebudayaan pada makam masih terpelihara dengan baik.

Selepas kemangkatan Nefertari, kedudukannya digantikan oleh isteri kedua Ramses II, Isetnefret dan seterusnya menjadi milik anak-anak perempuan selepas kemangkatannya.

Cinta Ramses II terhadap permaisurinya itu terus kekal bertahan walaupun selepas berkahwin dengan wanita lain dan mempunyai cahaya mata yang ramai.

Jika tidak, mengapa baginda tetap mahukan imej Nefertari pada dinding kuil atau dalam bentuk patung.

Malah, Ramses II juga melayan putera-puteri baginda dengan adil dan baik walaupun mempunyai bonda berbeza-beza.

Ramses II dan Nabi Musa a.s.

Berkenaan kaitan Ramses II dan Nabi Musa a.s., ia sebenarnya sudah mencetuskan perdebatan bukan saja dikalangan ahli teologi tetapi juga dikalangan sejarawan dan pengkaji Mesir Purba.

Nama Ramses II amat popular dikaitkan dengan kisah Nabi Musa a.s. dalam Al-Quran atau dalam Book of Exodus.

Kaitan Ramses II dengan kisah ini dimulakan menerusi filem The Tenth Commandments pada tahun 1956 dan diteruskan sejak itu sehinggalah filem arahan Sir Ridley Scott, Exodus: Gods and Kings (2014).

Filem tersebut menampilkan Joel Edgerton yang memegang peranan sebagai Ramses II. Tetapi, ini yang menjadi perdebatan para cendekiawan: dakwaan ini tidak disokong oleh fakta sejarah.

Memang benar nama Per-Ramses ada disebut dalam Book of Exodus atau lebih ayat 1:11 dan 12:37 dan Book of Numbers (ayat 33:3 dan 33:5), tetapi ia sebenarnya sebahagian daripada kota-kota yang dikatakan dibina Bani Israel dan tempat mereka keluar dari Mesir.

Tiada bukti menunjukkan penghijrahan beramai-ramai itu berlaku di kota-kota yang dinyatakan dan tiada bukti yang menunjukkan Per-Ramses dibina dari tangan-tangan hamba Bani Israel.

Ini berdasarkan pelbagai penemuan dari pelbagai tapak arkeologi di Mesir terutama di Giza menunjukkan kebanyakan projek monumen sudah disiapkan semasa era Ramses II.

Dan kebanyakan projek ini turut menggunakan buruh mahir dan tidak mahir sama ada dibayar gaji atau menawarkan diri sebagai sebahagian daripada tugas sivil mereka.

Adat orang Mesir menawarkan diri bekerja untuk projek-projek raja mereka banyak direkodkan dalam sejarah.

Sehinggakan di alam akhirat, roh-roh akan dipanggil bekerja oleh Osiris, Dewa Kematian untuk projek-projek pembinaan yang dimahukannya.

Amalan meletak patung-patung shabti di makam-makam dan kubur-kubur orang yang telah tiada, memenuhi tujuan ini: patung-patung mengambil tempat orang yang mati semasa bekerja di projek-projek monumen.

Selain itu, Ramses II juga terkenal kerana suka merekodkan sejarah pencapaiannya dan akan mengubahsuai sejarah sekiranya ia tidak bertepatan dengan naratif yang dikehendakinya.

Mustahil bagi seorang firaun berlaku cuai dalam merekodkan sejarah sama ada mengikut naratifnya atau tidak berkenaan wabak yang melanda Mesir atau penghijrahan beramai-ramai Bani Israel keluar dari Mesir.

Selain dari keterangan Ramses II, orang Mesir Purba juga dikatakan menyimpan rekod bertulis yang panjang dan rekod mereka langsung tidak menunjukkan populasi besar golongan hamba Bani Israel atau penghijrahan keluar mereka dari Mesir.

Teori

Antara teori berkenaan siapa Firaun yang dimaksudkan dalam Al-Quran adalah, lambakan batu-batu bersurat yang mendakwa Ramses II sebagai Tuhan dan penemuan garam dalam mumianya oleh pasukan saintis yang diketuai Dr Maurice Bucaille.

Sementara itu, ada yang berpendapat beberapa Firaun muncul semasa hayat Nabi Musa a.s.

Kemungkinan firaun yang mengejar baginda dan Bani Israel hingga ke Laut Merah ialah Thutmose III.

Sementara Firaun yang hidup ketika baginda berhijrah dari Mesir ke Madyan ialah ayahanda Thutmose III, Thutmose II dengan Hatshepsut (berkemungkinan Asiah), yang bertanggungjawab menjadikan baginda sebagai anak angkat dan dipelihara di istana.

Sementara Firaun yang bertanggungjawab mengeluarkan perintah bunuh anak-anak Bani Israel (selepas mendapat mimpi dan kelahiran Nabi Musa a.s) ialah Amenhotep I atau Thutmose I, jika proses penghijrahan berlaku ketika baginda sudah menjangkau usia tua.

Mumia Dan Pasport

Firaun Ramses II

Mumia Ramses II ditemui para pengkaji Mesir Purba pada tahun 1881 dalam makam seorang pendeta bernama Pinedjem II yang hidup 400 tahun selepas pemerintahannya.

Mumia tersebut dipindahkan dari lokasi asal makam di Lembah Raja-Raja ke makam berkenaan selepas makam asal dirompak oleh penjarah kubur.

Tidak mahu insiden berkenaan berulang, pendeta-pendeta memutuskan untuk memindahkan mumia Ramses II ke situ untuk mengelak ia dicuri atau dirosakkan.

Semasa ditemui, mumia Ramses II masih lagi dalam keadaan baik dan ini memudahkan para pengkaji mengenalpasti mumia berdasarkan ciri muka pada patungnya.

Selepas itu, ia dipindahkan ke Muzium Mesir di Kaherah untuk tujuan kajian dan pameran.

Tetapi selepas beberapa lama, akibat beberapa faktor termasuk kelembapan, keadaan mumia Ramses II mula merosot.

Pada tahun 1970-an, mumia tersebut mula diserang bakteria dan menanti masa untuk reput. Ini mendorong pihak berkuasa Mesir berusaha mendapatkan pakar-pakar terkemuka untuk memulihara mumia berkenaan.

Dan hanya satu tempat sahaja yang mampu melakukannya: Perancis.

Tetapi, sebelum ia boleh dibawa ke Perancis, mumia Ramses II tersebut perlu mempunyai dokumen pengenalan diri.

Ini berdasarkan undang-undang Perancis yang menetapkan semua individu tanpa mengira hidup atau mati perlu mempunyai dokumen pengenalan diri untuk memasuki Perancis.

Ini memaksa Kaherah mengeluarkan satu pasport khas di bawah nama Ramses II dengan bahagian pekerjaan dinyatakan sebagai raja.

Apabila mumia tersebut tiba di Paris, ia disambut dengan adat istiadat tentera dan diberi penghormatan penuh ketenteraan.

Ini juga berdasarkan satu lagi undang-undang yang menyatakan, mana-mana raja sama ada hidup atau mati yang memasuki Perancis atas urusan rasmi layak diberi sambutan berkenaan.

Ini menjadikan Ramses II, firaun pertama yang bukan saja memegang pasport rasmi Mesir, bahkan firaun pertama mendapat penghormatan penuh tentera di Perancis.

Dan selepas dikaji dan dipulihara sebaik mungkin, mumia tersebut dikembalikan ke Muzium Mesir di Kaherah.

Dan selepas ia dipulang, mumia Ramses II diperiksa sendiri oleh Presiden Anwar Sadat dan isterinya Jehan Sadat.

Mereka mahu memastikan mumia berkenaan benar-benar dipelihara dan dipulihara seperti dijanjikan Perancis dan benar-benar berpuas hati dengan proses yang dijalankan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Virus Bacteriofaj Pembunuh Bakteria Jahat Yang Mampu Menggantikan Antibiotik Moden

Virus Bacteriofaj Pembunuh Bakteria Jahat Yang Mampu Menggantikan Antibiotik Moden

Kebarangkalian untuk anda terdedah kepada virus berbahaya seperti Ebola adalah lebih rendah daripada risiko anda untuk menerima jangkitan daripada bakteria 'biasa' yang berada di persekitaran dan mempunyai kerintangan terhadap antibiotik.

Virus Bakteriofaj

Bakteria 'biasa' yang dimaksudkan ialah spesies bakteria seperti Staphylococcus aureus yang boleh didapati hidup sebagai flora normal pada kulit anda.

Sebuah artikel dari agensi akhbar BBC melaporkan bahawa, menjelang tahun 2050 akan datang, akan lebih ramai jumlah pesakit yang akan mati akibat jangkitan bakteria yang mempunyai kerintangan terhadap antibiotik, daripada kematian pesakit akibat penyakit kanser.

Ini kerana, lebih banyak bakteria telah beradaptasi sehingga memberi kebolehan kepada bakteria-bakteria ini untuk mempunyai ketahanan atau kerintangan terhadap antibiotik.

"Superbugs to kill 'more than cancer' by 2050." -BBC

Evolusi atau adaptasi bakteria ini, telah didorong oleh penyalahgunaan antibiotik.

Sebagai contoh penyalahgunaan ialah seperti dibawah:
  • Memberi antibiotik kepada haiwan ternakan seperti khinzir supaya ia membesar dengan sihat dan tanpa penyakit.
  • Pemberian antibiotik kepada pesakit demam yang disebabkan oleh virus (cold dan flu). Anda perlu tahu bahawa antibiotik, tidak berkebolehan untuk membunuh virus!

Walau bagaimanapun, disebalik permasalahan yang timbul dan semakin menekan para saintis ini untuk menghasilkan antibiotik baharu yang lebih berkesan, alam semulajadi ciptaan Tuhan mempunyai jalan penyelesaian yang boleh dikatakan lebih 'alami'.

Dan ia adalah Bakteriofaj!

Virus sebenarnya bukanlah organisma tetapi lebih mirip kepada zarah dan tidak menunjukkan ciri hidup selain kebolehan untuk membiak dalam sistem yang hidup.

Akan tetapi, oleh kerana saiznya sangat halus (0.01 mikrometer hingga 0.5 mikrometer ) dan tidak dapat dilihat di bawah mikroskop optik, kecuali dengan mikroskop elektron, maka berasaskan saiznya, virus digolongkan sebagai mikroorganisma.

Di luar sel perumah, virus wujud sebagai hablur dan apabila terdedah kepada kelembapan, virus akan 'dihidupkan' semula

Sejenis virus

Bakteriofaj adalah sejenis virus dan apabila sebut sahaja tentang virus, umum mengetahui bahawa ia memerlukan sel hidup untuk terus membiak dan bertambah jumlah.

Virus secara umumnya tidak menjalani aktiviti metabolisme (tidak makan, tidak minum, tidak berespirasi) untuk hidup. Ia juga tidak membina sebarang protein atau subunit tubuhnya sendiri.

Virus tidak menjangkiti hos untuk sumber makanan, ia menjangkiti untuk bertambah jumlah atau menghasilkan keturunan.

Struktur Virus

Virus mempunyai bahagian 'anatomi' yang terdiri dari bahagian seperti berikut:
  • Bahan genetik DNA atau RNA, sama ada bebenang tunggal atau berganda (single strand or double strand).
  • Capsid, sejenis kot (lapisan) protein yang melindungi bahan genetik tersebut.
  • Envelop yang meliputi capsid.

Virus biasanya akan menjangkiti sel hos dengan cara memindahkan bahan genetik ke dalam sel tersebut.

Sesetengah virus seperti bakteriofaj akan menyuntik bahan genetiknya kedalam hos, manakala virus denggi membiarkan dirinya ditelan (phagocytosis) oleh sel perumah, dicerna dan melepaskan bahan genetiknya ke dalam sistem sel perumah.

Setelah berjaya memindahkan bahan genetik tersebut, kebanyakan virus akan menggunakan sistem dalam sel perumah untuk membina protein-protein yang diperlukan untuk membentuk virus baru.

Ia juga menggunakan enzim dan mekanisma sel perumah untuk mereplikasi bahan genetiknya untuk dipindahkan kepada virus-virus baru.

Kemudian, partikel-partikel ini akan disusun suai untuk membentuk virus-virus baru dalam sel perumah.

Selalunya dengan bantuan sistem sel perumah juga dan akhirnya, apabila virus-virus baharu telah lengkap dihasilkan, ia akan dilepaskan kembali keluar dari sel untuk menjangkiti sel perumah lain.

Virus bakteriofaj ini sudah lama dikenali potensinya sebagai pembunuh bakteria dan boleh dikatakan sangat efektif dan efisien kerana satu kumpulan bakteriofaj itu, akan menyerang atau menjangkiti satu spesies bakteria sahaja.

Apa maksudnya? Ia bermaksud, tidak seperti antibiotik yang turut membunuh bakteria baik di dalam badan, bakteriofaj ini sangat spesifik dan tidak mengganggu bakteria baik, kerana hanya akan menyerang bakteria penyebab jangkitan sahaja.

Seterusnya, bakteriofaj ini juga tidak diketahui menyerang sel manusia. Tidak seperti virus-virus lain penyebab penyakit berbahaya.

Bagaimana Bakteriofaj Membunuh Bakteria?

Mekanisme bakteriofaj bertindak apabila berdepan bakteria adalah dengan menyuntik DNA atau RNA nya ke dalam sel bakteria tersebut.

Genetik dari bakteriofaj tersebut akan bertindak cepat dengan memprogram semula sistem 'kawalan utama' sel bakteria.

Kemudian, dengan 'kawalan utama' sudahpun 'di-hijack', ia akan menghantar arahan kepada sel bakteria yang disuntik DNA itu tadi untuk menghasilkan struktur 'tubuh' bacteriofaj yang baru.

Ibarat bakteria ini seperti sebuah kilang penghasilan bakteriofaj.

Selepas itu, bakteriofaj yang baru dihasilkan ini akan mengeluarkan sejenis enzim bagi menembusi dinding sel bakteria untuk ia melepaskan diri keluar.

Justeru, memusnahkan struktur bakteria dari dalam, seperti bom jangka, sel bakteria tersebut akan musnah dan mati dengan sendiri.

Antara kelebihan bakteriofaj (virus) ini;
  • Ia terdapat secara semulajadi pada alam sekitar dalam kuantiti yang sangat banyak.
  • Ia mempunyai respon spesisifik, bermakna spesies bakteriofaj tertentu hanya akan menyerang dan memusnahkan spesies bakteria tertentu sahaja.
  • Ia tidak dapat memberi sebarang kesan, jangkitan atau masalah kesihatan kepada manusia. Tidak seperti antibiotik di mana bakteria baik juga turut dimusnahkan.

Dan seperti yang kita tahu, bakteria mempunyai kebolehan untuk beradaptasi/berevolusi dengan situasi.

Bagi situasi bakteria kemudian menghasilkan atau menunjukkan ketahanan terhadap bakteriofaj, bakteria terpaksa mengabaikan kebolehan ketahanan terhadap antibiotik biasa. Bermakna, antibiotik biasa boleh digunakan semula.

Kesimpulannya

Kini, bidang perubatan tidak lagi hanya perlu bergantung sepenuhnya kepada antibiotik moden sebagai pembunuh bakteria.

Selain itu, dengan alternatif ini, kerintangan bakteria terhadap antibiotik (antibiotic resistant bacteria) juga dapat dielakkan.

Justeru, ia dapat meningkatkan keberkesanan rawatan antibakteria di dalam bidang perubatan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots