Wednesday, August 07, 2019

4 Negara Dengan Udara Paling Bersih Di Dunia 2019

4 Negara Dengan Udara Paling Bersih Di Dunia 2019

Jika anda sudah penat dengan kesibukan kota yang penuh dengan pencemaran udara mungkin sudah tiba masanya untuk bercuti bagi menghirup udara segar di negara orang.

Tapi, sebelum nak melancong tu apa kata baca dahulu kajian yang dilakukan oleh Universiti Yale tentang kualiti udara di beberapa negara yang mungkin akan mengejutkan anda.

1. Australia

Weindorfers Forest, Cradle Mountain, Tasmania
Weindorfers Forest, Cradle Mountain, Tasmania.

Menurut laporan itu, Australia adalah negara yang mempunyai udara paling bersih di dunia.

Bandar Hobart di Tasmania pula paling bersih dan ia lokasi sesuai untuk diterokai jika ke Australia memandangkan ia terletak di pelabuhan serta diapit oleh bukit yang cukup indah untuk Instagram anda.

Ia juga mempunyai pantai yang indah selain lokasi paling ideal untuk merasai makanan laut segar.

2. Kanada

Amazing Canada

Tidak hairan Kanada dikenali dengan aktiviti luar kerana kualiti udaranya yang bersih dapat memberikan anda ketenangan selain berasa lebih sihat walaupun seharian berada di luar.

Malah jika ke Vancouver, Kanada pada musim sejuk terdapat beberapa lokasi menarik yang tidak jauh daripada bandar untuk bermain ski atau salji.

3. Amerika Syarikat

Amazing Portland, Oregon
Portland, Oregon.

New York dan Los Angeles mungkin tidak mempunyai udara paling segar, namun Portland di Oregon adalah destinasi yang perlu dikunjungi sekiranya berpeluang melancong ke Amerika.

Portland bukan sahaja mempunyai kualiti udara segar malah ia dipenuhi hutan merah yang cukup indah.

4. Jepun

Fushimi Inari Taisha shrine, Fushimi, Kyoto
Fushimi Inari Taisha shrine, Fushimi, Kyoto.

Ia bukan sesuatu yang pelik apabila Jepun berada dalam senarai ini malah negara matahari terbit itu sentiasa menjadi pilihan pelancong dan penggembara.

Terlalu banyak perkara menarik di Jepun dan Kyoto antara destinasi menarik apabila anda boleh menyusuri bandarnya yang penuh dengan kehijauan, selain istana lama dan rumah kayu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Tuesday, August 06, 2019

SBDJ Siri 99: Kaki Berbulu

SBDJ Siri 99: Kaki Berbulu

Dalam irama pembacaan ayat-ayat suci itu, saya terdengar bunyi orang menumbuk padi dan berpantun. Terdengar kokok ayam dan hidung saya terbau nasi dan bau gulai. Saya dapati diri saya bagaikan berada di tengah-tengah sebuah perkampungan yang jumlah penghuninya bukan sedikit.

Toyol jadi-jadian

Para penduduk sentiasa sibuk dan rajin berusaha. Taat pada perintah Allah. Semua yang saya rasakan itu tidak dapat saya lihat dengan mata kasar.

"Beberapa orang anak-anak cucu aku patah kaki dan tangan, luka akibat perbuatan orang-orang yang kau ajak berjudi di sini", tambah Agam.

Sebaik sahaja Agam selesai bercakap terdengar suara budak-budak menangis menahan kesakitan.

"Kamu sihir aku", bantah Amjal Kamal.

"Tidak, kami makhluk Allah seperti kamu, kami minta sesuatu dari Allah", suara Agam lemah.

"Bohong", sergah Amjal Kamal.

"Ya, aku buktikan lihat sekarang", Agam meluruskan jari telunjuknya ke sebelah kanan.

"Ajaib sungguh", keluh saya dalam hati.

Najib tidak berkata apa-apa. Amjal Kamal bagaikan terpegun melihat apa yang wujud di depan matanya. Semuanya terjadi tanpa diduga.

Saya gosok kelopak mata dua tiga kali hingga terasa pedih. Bagaikan mimpi rasanya, melihat sebuah perkampungan yang besar, lengkap dengan masjid dan rumah yang bentuknya seperti rumah orang-orang Melayu, berdinding tepas dan beratapkan rumbia.

Keliling kawasan rumah terdapat pokok pisang, cabai dan terung. Binatang ternakan seperti ayam, itik dan kerbau.

Para penghuni kampung tersebut, kebanyakannya berkulit cerah. Sama ada lelaki atau perempuan, bentuk tubuh mereka besar dan tinggi. Sukar untuk mencari yang rendah.

Pada hemat saya, rata-rata mereka berukuran sekitar lima kaki sepuluh inci atau lebih. Mereka nampak ramah sekali.

Kanak-kanak yang berusia sekitar enam tahun, berkumpul di surau belajar membaca Quran. Mereka juga belajar hukum-hukum agama secara terperinci dari seorang lelaki yang berjubah hitam.

Hampir semua orang lelaki memakai jubah warna putih bersih, ada juga yang memakai serban dan songkok dibuat dari kain putih.

Semua orang perempuan di perkampungan tersebut memakai mini telekung putih. Baju dan kain juga dari kain putih.

Suasana sekitar kampung terasa damai. Semuanya kelihatan bersih, setiap halaman rumah sukar untuk mencari daun.

Orang-orang tua duduk di anjung rumah membaca Quran atau berqasidah memuji Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.

"Ini perkampungan, Islam", demikian hati kecil saya membuat kesimpulan. Saya segera bangun.

"Nak ke mana Tamar?" Najib terkejut.

"Aku nak masuk ke kampung tu, aku nak berkenalan dengan orang-orangnya", jelas saya.

"Jangan", Najib segera memaut tangan kanan saya.

"Kenapa?"

"Boleh jadi apa yang kita lihat tu, hanya bayangan saja. Kau mesti ingat kita berada dalam hutan. Dalam hutan begini macam-macam boleh jadi", Najib mengingatkan saya.

"Ah, aku nak pergi", saya membuat keputusan yang amat nekad.

Saya cuba melangkah, tiba-tiba sahaja pangkal paha sebelah kanan saya terasa sakit. Kedua-dua belah bahu saya seperti dihempap dengan benda berat. Saya tidak terdaya berdiri dan terus jatuh.

Apa yang saya alami, tidak mematahkan niat saya untuk pergi ke tempat tersebut. Makin berkobar-kobar semangat saya mahu pergi ke kampung tersebut, makin hebat sakit di pangkal paha kanan saya.

Bila saya membatalkan niat tersebut. Semua sakit yang saya deritai terus hilang. Perasaan saya terasa lapang dan lega.

Jadi, saya mengambil keputusan melupakan terus hasrat yang bersarang dalam dada.

Bila melihat saya pulih, Najib mengucapkan syukur pada Allah beberapa kali. Dia mengajak saya pulang.

Ajakannya itu saya bantah terus, Najib terpaksa tunduk pada kemahuan saya.

"Kita tengok apa yang akan terjadi selanjutnya, Najib."

"Merbahaya, Tamar."

"Kita cuma tengok saja, bukan nak buat apa-apa."

"OK, aku mengikut saja."

"Bagus", bahu kanan Najib saya tepuk beberapa kali.

Saya dongakkan kepala ke langit. Matahari sudah beransur condong. Berpandukan pada kedudukan matahari di langit, saya kira waktu itu dah hampir pukul empat petang.

Tetapi, saya tidak merasa jemu atau bosan berdepan dengan peristiwa yang pada tanggapan saya amat menyeronokkan. Dan jarang-jarang pula terjadi.

"Apa yang kamu ingini, sudah aku buktikan. Aku tidak berbohong dengan kamu. Aku bercakap sesuatu yang benar", terdengar suara Agam cukup lantang.

Saya dan Najib tumpukan perhatian pada dirinya dan Amjal Kamal.

"Kamu tak puas hati lagi?" tanya Agam.

"Hum...", suara Amjal Kamal mendengus macam orang marah.

HILANG

Perkampungan di tengah hutan itu terus hilang. Kawasan tersebut segera ditumbuhi pokok-pokok kecil seperti pokok paku, pokok senduduk dan rumput-rampai yang menjalar menutup bumi.

Kawasan yang ditumbuhi pokok kecil itu cukup luas. Di kiri kanan kawasan tersebut dipagari dengan pokok-pokok besar yang digayuti dengan akar, tempat monyet bergantung atau melompat.

Amjal Kamal menolak kenyataan yang wujud di depan matanya. Dendamnya belum berakhir.

Dia berusaha untuk memusnahkan Agam yang pada hematnya cuba mencabar kebolehan dan kehandalan dirinya, cuba menghalang segala cita-citanya.

Amjal Kamal mengeluarkan seketul batu kecil dari saku seluar sebelah kanannya. Batu kecil itu diletakkan atas telapak tangannya.

Amjal Kamal hembus batu itu tiga kali berturut-turut. Beberapa detik kemudian terdengar bunyi deru angin yang kuat.

Ribut besar pun berlaku di sekitar kawasan tersebut. Dahan pokok terus patah malah ada pokok tumbang.

Saya dan Najib segera memeluk pokok di depan. Andainya kami tidak memeluk pokok besar kemungkinan tubuh kami akan diterbangkan oleh angin.

Walaupun ada pokok yang tumbang tetapi, Agam tidak berganjak dari tempat dia berdiri.

Setengah jam kemudian, ribut besar yang menggila itu terus berhenti. Agam masih berada di tempatnya tetapi, Amjal Kamal terus hilang entah ke mana.

Saya terdengar suara ganjil dari sebelah kiri. Saya amati suara tersebut dan saya pasti suara itu adalah suara beruang.

Ramalan saya tidak tepat. Itu bukan suara beruang tetapi, suara Amjal Kamal yang sudah berubah wajah dan bentuk.

Seluruh wajahnya ditumbuhi bulu tebal yang berwarna kemerah-merahan. Begitu juga dengan rambutnya.

Sepasang mata Amjal Kamal bertukar jadi macam mata harimau dan bahagian mulut bertukar bentuk seperti mulut orang hutan.

Sepasang kakinya berbulu hitam dan bahagian badannya berbelang macam belang harimau. Sepasang tangannya memiliki kuku, seperti kuku harimau.

Amjal Kamal yang berubah rupa itu terus melompat, kedua belah tangannya bergerak ke kiri dan ke kanan. Mencakar dan mematah apa sahaja yang tersentuh oleh tangannya.

Agam segera memanggil nama saya. Tanpa membuang masa saya terus mendekatinya. Badan saya terus berpeluh. Macam-macam yang datang dalam fikiran saya.

"Kamu berubah dari situ, orang ini terlalu akrab dengan syaitan dan boleh melakukan apa sahaja untuk memesongkan setiap orang yang percayakan kewujudan Allah", itu perintah Agam.

"Baiklah", balas saya.

“Sekarang pindah”, Agam mengamati saya.

“Pindah ke tempat lain Jib.”

“Pindah ke mana Tamar?”, tanya Najlb.

“Sebelah sana, kita berlindung balik pokok kempas besar.”

“Baiklah”, sahut Najib.

Kami pun berubah tempat. Saya gembira tempat yang saya pilih terletak di kawasan tanah yang agak tinggi.

Pokok kempas yang saya pilih sebagai tempat berlindung cukup besar. Kawasan di bahagian perdunya bersih dan lapang.

Mudah untuk melihat gerak-geri Agam dan Amjal Kamal. Dari perdu kempas saya lihat Amjal Kamal mendekati Agam yang berdiri tegap. Bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Tak usahlah bergaduh, tinggalkan saja tempat ini. Itu saya permintaan aku.

"Bermusuh bukanlah tujuan hidup aku", Agam berusaha menenangkan perasaan Amjal Kamal.

Sayang, Amjal Kamal yang sudah bertukar rupa itu tidak dapat berkata-kata. Setiap kali Agam bersuara dia akan mencabut anak-anak pokok yang berdekatan.

Amjal Kamal menerpa ke arah Agam. Dengan tenang Agam menantinya. Kedua belah bibir Agam kelihatan bergerak-gerak macam membaca sesuatu.

Ketika Amjal Kamal mahu mencakar mukanya, Agam segera menegakkan ibu jari kirinya.

Saya terkejut bila melihat Amjal Kamal jatuh dengan tiba-tiba. Dia berguling-guling atas tanah. Amjal Kamal bertempik dengan sekuat hatinya.

Seluruh bulu yang melekat di tubuh Amjal Kamal gugur dengan sendirinya dan akhirnya terus hilang.

Tubuh Amjal Kamal kembali dalam bentuk biasa. Terkapar di bumi, tidak terdaya mahu menggerakkan tangan dan kaki.

Dalam keadaan hati saya yang cemas dan takut itu saya lihat empat orang lelaki muncul di kiri kanan Agam.

Keempat-empat lelaki itu segera mengangkat Amjal Kamal lalu diletakkan di pangkal pokok jelutung.

Tubuh Amjal Kamal lalu ditutup dengan daun pisang. Empat lelaki yang mengusung Amjal Kamal terus ghaib.

"Ke mari Tamar", perintah Agam. Saya dan Najib segera mendekatinya.

“Jangan apa-apakan kami”, saya merayu.

“Aku tidak akan apa apakan kamu berdua, kamu datang sekadar mahu melihat bukannya bermaksud jahat.”

“Kalau begitu biarlah kami balik dulu”, Najib merayu.

“Nanti dulu, aku nak bercerita pada kamu tentang Amjal Kamal”, kata Agam.

Serentak saya dan Najib anggukkan kepala.

Agam pun bercerita. Memang sudah lama dia berusaha mengusir Amjal Kamal dan kuncu-kuncunya yang membuka gelanggang sabung ayam di tempat tersebut.

Cara yang dilakukan oleh Agam ialah dengan melepaskan kerbau dan kambing setiap kali perjudian itu diadakan.

Kadang-kadang dia sendiri memunculkan diri dalam bentuk manusia yang bertubuh besar dan hitam legam.

Tetapi semua yang dilakukan itu tidak mendatangkan kesan. Amjal Kamal cukup keras kepala.

SEPIT

Bila sudah tersepit, Amjal Kamal akan menggunakan ilmu kebatinan yang dituntutnya dari orang-orang yang melakukan pertapaan di kaki gunung Himalaya.

Memang Datuk nenek Amjal Kamal berasal dan Nepal. Ayahnya dulu berkhidmat dalam Tentera British di cawangan Pasukan Gurkha.

Dalam masa darurat sekitar 1948, pasukan yang dianggotai oleh ayahnya ditempatkan di bandar Sungai Petani, Kedah.

Dengan kehendak Allah, ayahnya bertemu jodoh dengan perempuan rakyat Malaya berketurunan Bangladesh. Ayahnya memeluk Islam lalu memilih nama Abdul Kamal.

Bila Amjal Kamal berusia dua tahun, ayahnya meninggal dunia akibat ditembak oleh pihak pengganas komunis dalam satu serangan hendap tidak jauh dari bandar Sungai Petani.

Amjal Kamal terus membesar dalam jagaan ibunya, Aishah Kamdar. Amjal Kamal menamatkan persekolahan dalam tingkatan empat di salah sebuah sekolah Inggeris di Alor Setar.

Kemudian pergi ke Bangladesh dan tinggal bersama keluarga ibunya.

Setelah bekerja dengan sebuah syarikat perusahaan membuat jerami di Bangladesh selama lima tahun, Amjal Kamal berhenti kerja.

Dia merantau ke Nepal untuk mencari kaum keluarga ayahnya. Di samping itu dia berhasrat untuk menjadi pemandu pada pendaki yang ingin menawan kemuncak Everest.

Masa mencari keluarga ayahnya itu Amjal Kamal bertemu dengan bangsa Nepal yang menuntut ilmu kebatinan. Dia tertarik dan terus melibatkan diri dalam kumpulan tersebut.

Bila merasakan ilmunya sudah cukup, Amjal Kamal kembali ke Malaya. Dia melakukan berbagai-bagai pekerjaan.

Antara pekerjaan yang paling diminatinya ialah menyeludup beras dari Thailand ke Malaysia. Dia juga menjalankan kegiatan judi empat ekor secara haram.

Padang Besar di Perlis, Bukit Kayu Hitam di Kedah dan Rantau Panjang serta Pengkalan Kubur di Kelantan adalah tempat yang sering digunakan oleh Amjal Kamal untuk menyeludup beras, ganja dan sebagainya.

Supaya rancangannya berjalan lancar, dia memberi rasuah pada pihak tertentu.

Mungkin kerana faktor usia atau mungkin kerana tindakan tegas dari pihak kerajaan membuat Amjal Kamal merasakan menjadi penyeludup tidak selamat.

Dia pun membuka langkah lain untuk menampung hidupnya.

“Salah satu dari caranya, mengadakan judi sabung ayam. Jadi perompak dan pecah rumah dengan ilmu pukau", Agam meraba pangkal kening kirinya.

Saya lihat dia cukup tenang dan wajahnya membayangkan kepuasan yang teramat sangat.

"Dia memang hebat", Najib mengeluh.

"Ya, dia memang hebat. Dia juga kepala mencuri kereta dan motosikal untuk dihantar ke Siam.

"Semua kerja-kerja yang dibuatnya tu, saya tak peduli, saya tak kisah", suara Agam mula meninggi.

Dua tiga kali dia mengeluh. Matanya menatap wajah saya.

"Jadi, apa sebab sebenar yang awak marahkan dia?" soal Najib.

Saya marah, bila dia mencemar kampung halaman kami dengan membuka gelanggang sabung ayam.

"Ada masanya dia bawa perempuan Siam tidur di pondoknya.

"Khabarnya, perempuan-perempuan Siam tu di seludup dari Golok untuk dihantar ke bandar-bandar besar di Semenanjung", Agam genggam penumbuk.

Dadanya kelihatan berombak melepaskan nafas yang berbaur dengan kemarahan.

Saya dan Najib diam. Kami berpandangan dan keberatan untuk mengajukan sebarang pertanyaan.

Pada hemat saya, biarkan dulu hati dan perasaan Agam tenang. Bila sudah tenang, mudahlah bercakap dan dia tentu bersedia menjawab apa-apa pertanyaan dari kami.

Saya melihat dada langit kembali. Awan putih terus berarak. Sayup-sayup terdengar suara gagak di hujung rimba.

Burung helang tetap terbang rendah bermain angin ketika sinar matahari mula meredup.

"Kau orang baliklah dulu. Jangan cerita pada sesiapa apa yang kamu tengok di sini", Agam menggaru pangkal lehernya berkali-kali.

Ekor matanya menjeling tajam ke arah beberapa helai daun tua yang gugur. Melayang-layang di main angin.

"Kami boleh merahsiakan perkara ini. Tetapi, macam mana kalau ada orang lain yang tahu dan menghebahkannya?" saya beranikan diri meluahkan pendapat.

Najib tersenyum, mungkin dia terasa lucu dengan pertanyaan yang saya ajukan pada Agam.

"Orang lain, jangan ambil peduli. Apa yang penting saya mahu kamu berdua merahsiakan perkara ini. Itu saja yang saya harapkan dari kamu berdua", Agam meluahkan sebuah harapan. Penuh keikhlasan dan kejujuran.

"Kami berjanji, tak akan ceritakan pada sesiapa apa yang kami lihat. Percayalah cakap kami", serentak saya dan Najib bersuara. Sepasang mata kami meraut paras Agam.

Segaris senyum berlari di kelopak bibir Agam. Perlahan-lahan dia anggukkan kepala.

Tanpa diduga, Agam menepuk kepala Najib beberapa kali, penuh kemesraan.

"Kamu baliklah, mudah-mudahan Allah menyelamatkan perjalanan kamu berdua."

"Terima kasih," kata saya.

"Tapi..." Najib tidak dapat meneruskan kata-katanya.

"Teruskan, apa yang mahu kamu tanyakan," Agam mendesak.

"Kami nak tahu, siapa abang ini yang sebenar? Manusia atau penunggu tempat ini?"

Dada saya berdebar. Memang di luar dugaan saya yang Najib boleh mengemukakan pertanyaan demikian.

Saya kira pertanyaan itu agak keterlaluan dan bersifat peribadi. Boleh menimbulkan kemarahan kepada Agam.

"Saya adalah hamba Allah seperti kamu. Saya bukan penunggu seperti apa yang kamu fikirkan.

"Saya ada kampung halaman sendiri. Itu saja yang dapat saya terangkan", ujar Agam dengan wajah yang tenang.

"Abang tak berbohong?" Najib minta kepastian.

"Kamu tak percaya dengan apa yang aku katakan?" Agam menyoal Najib kembali.

Saya lihat Najib mati akal. Dia tidak dapat menjawab pertanyaan tersebut.

Saya kenyit mata ke arah Najib. Beri isyarat supaya jangan mengemukakan sebarang pertanyaan pada Agam.

“Bagaimana, ada apa-apa yang mahu kamu tanyakan pada saya?” soal Agam lagi.

Serentak saya dan Najib gelengkan kepala. Saya lihat Agam menarik nafas panjang. Tanda lega dan puas hati.

“Kamu berdua baliklah. Si Amjal Kamal sudah pun saya suruh orang-orang saya menghantarnya ke tepi jalan raya," tambah Agam dengan nada suara yang lembut.

Dia hulurkan tangan kepada Najib untuk bersalaman.

TANGAN

Agam hulurkan tangan pada saya. Ketika bersalaman dengannya terasa telapak tangan Agam cukup lembut macam kapas.

“Kau mesti ingat, dalam dunia ini tak ada satu yang kekal. Setiap manusia ada kelebihan dan kekurangannya", bisik Agam ke telinga saya.

“Saya faham," segera saya anggukan kepala.

“Baguslah kalau kamu sudah faham. Semoga hidup kamu diberkati oleh Allah. Kita semua adalah hamba Allah yang tertakluk pada peraturan yang ditetapkan.”

“Peraturan apa?", mulut celopar Najib terus mengajukan pertanyaan.

Agam tersenyum. Tangan saya tidak juga dilepaskannya. Rasa dingin terasa menjalar ke seluruh telapak tangan.

Setiap kali tangan saya digoncangnya, hati saya terasa aman dan damai sekali.

“Kita orang Islam kalau mahu hidup bahagia dan tenteram, patuhilah ajarannya.

"Berjanjilah untuk jadi orang Islam yang baik, patuh pada hukum-hukum yang ditetapkan," dalam keadaan yang suntuk itu, Agam masih sempat memberikan nasihat pada saya dan Najib.

“Jangan sekali-kali menambahkan hukum yang ada dengan hukum baru," sambung Agam lagi.

“Kalau ditambah bagaimana?” tanya saya.

"Untuk apa menambah hukum dan ajaran yang sudah ada. Untuk apa?” soal Agam. Matanya menatap wajah saya.

“Untuk mencari Allah, untuk mengenaliNya serta mendampingiNya,” sahut Najib dengan penuh keyakinan. Agam gelengkan kepala.

“Ramai manusia yang binasa dan sesat kerana mahu mencari Allah serta mahu mendampinginya," Agam jegilkan biji mata ke arah saya dan Najib.

Kemudian Agam dongakkan kepala renung ke arah awan yang berarak lembut.

“Kenapa kata macam tu. Perbuatan mereka baik," ujar saya.

“Kerana mereka terlalu ghairah mahu mencari Allah mereka lupa pada diri mereka yang sebenar tanpa disedari mereka melakukan amalan yang bertentangan dengan ajaran agama yang sebenar. Niat suci mereka menjadi sebaliknya," Agam menarik nafas panjang.

Telapak tangan saya yang digenggam segera dilepaskannya.

Agam sandarkan tubuhnya ke pangkal pokok yang berhampiran dengannya.

Buat beberapa saat saya dan Najib saling berpandangan. Suara burung liar terus berkicau.

“Sesungguhnya, Allah sentiasa mendekati kita bila kita berpegang teguh pada ajaran Quran dan Hadis. Ikut segala hukum dan peraturan yang ditetapkan," Agam melanjutkan kata-kata dengan penuh tenang dan keyakinan.

“Begitu," keluh Najib.

“Apa yang diharapkan semoga kamu tidak akan tersesat dalam mencari kebenaran Allah. Selalulah bertanya pada alim-ulama dan orang yang pandai dalam hal agama bila menghadapi sesuatu masalah", lanjut Agam lagi.

“Kalau belajar dari buku dalam hal-hal selok-belok agama boleh tak?" Najib bertanya.

“Boleh. Sebaik-baiknya cari orang pandai untuk kita jadikan tempat rujukan. Jangan terlalu berharap pada buku semata-mata.

"Sebabnya, belajar hal agama mesti berguru dan guru itu mestilah yang benar-benar arif. Jangan guru sebarang”, Agam mengingatkan saya dan Najib.

Agam berpusing ke kanan. Maju dua tapak ke arah pokok besar. Dia berhenti di situ untuk beberapa saat. Agam berpaling ke arah saya dan Najib.

“Baliklah. Semoga Allah melindungi kamu berdua dalam perjalanan, soal Amjal Kamal sudah saya suruh orang-orang saya menguruskannya," kata Agam lagi sambil mengangkat tangan kanannya separas telinga kiri. Dia tetap mempamerkan senyum pada kami.

"Terima kasih atas nasihat," jerit saya.

"Sama-sama," sahut Agam.

Dia ketawa kecil mempamerkan gigi putihnya yang rapi. Agam berpusing ke kiri lalu membongkokkan badannya macam mencari sesuatu di celah pepohon renek.

Saya dan Najib terdengar bunyi suara orang batuk dari arah belakang. Kami segera menoleh ke arah tersebut. Tidak ada tubuh manusia yang wujud di situ.

Saya dan Najib merenung ke arah Agam kembali. Aneh, Agam hilang dari pandangan kami. Dia hilang entah ke mana. Sukar untuk dikesan.

Najib cuba melaung-laung namanya. Tidak ada jawapan yang diperolehi.

Kicau burung kian rancak. Sayup-sayup terdengar suara orang membaca Quran dalam hutan yang tebal dengan pepohon besar.

Saya dan Najib jadi cemas. Bulu bengkok terasa kembang.

"Tak boleh jadi kita ni," keluh saya.

"Kita mesti cabut, tak boleh lama-lama di sini," jawab Najib.

"Hum...", suara saya terkulum.

Saya tersentak mendengar bunyi suara monyet menjerit macam dikejar sesuatu.

Serentak dengan itu saya melihat sekawan gagak terbang rendah sambil berbunyi dengan nyaring.

"Mari," saya terus menarik tangan Najib.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 99/284

BACA: SBDJ Siri 98: Tubuh Terapung Di Udara
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Aiman Hakim Bakal Kahwini Zahirah Macwilson Pada Februari 2020

Aiman Hakim Bakal Kahwini Zahirah Macwilson Pada Februari 2020

Pasangan selebriti terkenal di Malaysia, Aiman Hakim Ridza dan Zahirah Macwilson, mengumumkan tarikh perkahwinan mereka, bagaimanapun Aiman menjelaskan, tarikh sebenar masih belum ditetapkan lagi.

Perkahwinan Aiman Hakim dan Zahirah Macwilson

“Bulan Februari cukup istimewa memandangkan bulan itu merupakan bulan kelahiran Zahirah.

“Namun, tarikh sebenar belum ditetapkan buat masa ini kerana bagi saya perkahwinan bukanlah satu benda yang remeh-temeh.

“Banyak hal yang perlu diambil kira, termasuk lokasi dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, pasangan selebriti tersebut ditemui pada majlis sidang media pengumuman tarikh perkahwinan Aiman dan Zahirah yang berlangsung di Bikersfellas Cafe, di Ara Damansara.

Lebih romantik, Aiman turut sempat melafazkan “Will You Marry Me” dengan nada bergurau sewaktu pengumuman tersebut.

Setakat ini, Aiman memaklumkan majlis perkahwinan mereka hanya akan berlangsung di Kuala Lumpur.

Sebarang perubahan lain akan diberitahu kemudian, bergantung kepada situasi.

Terdahulu, Aiman dan Zahirah mengikat tali pertunangan pada Jun lalu sejurus berkongsi gambar majlis yang berlangsung di akaun media sosial masing-masing.

Kongsi Aiman lagi, lamaran darinya buat kekasih hati untuk mendirikan rumah tangga pada November 2018 lalu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mediahiburan

Madu Tiruan Di Pasaran Malaysia

Madu Tiruan Di Pasaran Malaysia

Sememangnya kewujudan madu tiruan dalam pasaran tempatan di Malaysia diakui menjejaskan pendapatan peniaga madu asli apabila produk mereka diragui orang ramai yang mula mempersoalkan keaslian madu di pasaran sehingga ada antara mereka sudah berhenti membelinya.

Madu Tiruan

Namun, madu asli dan tiruan sebenarnya mempunyai banyak perbezaan jika seseorang itu sudah terbiasa merasai manisan yang asli.

Bagi pakar madu, mereka tahu ciri madu asli walaupun ada cubaan menipu dengan mencampurkannya dengan gula melaka.

Selain diuji di makmal bagi mengenal pasti keaslian madu, cara paling mudah mengesan madu tiruan adalah melihat bentuk fizikalnya kerana jika manisan itu asli, warnanya akan berubah semakin gelap selepas sebulan menyimpannya selain muncul bee polen (berbuih) dalam masa dua minggu.

Selain itu, jika dicampur air mineral, madu tiruan akan menjadi jernih, manakala yang asli menjadi keruh.

Penjualan madu di Malaysia secara meluas dengan botol kosong tanpa pelekat menimbulkan keraguan sama ada manisan itu asli atau tiruan.

Malah, kebanyakan penjual yang ditemui mendakwa mereka tidak pasti sama ada madu yang dijual itu asli atau tiruan, sebaliknya menyatakan ia terus dibeli berikutan harganya lebih murah.

Kebanyakan botol madu seperti tualang dan kelulut yang dijual di beberapa gerai adalah tanpa pelekat yang sepatutnya mempamerkan buatan dari mana dan nombor telefon yang boleh dihubungi.

Pengeluar madu manuka NZ mengaku tambah bahan kimia tiruan

Madu premium Manuka
Gambar hiasan.

Sementara itu, sebuah syarikat New Zealand mengaku salah atas tuduhan menambah bahan kimia tiruan ke dalam madu premium Manuka keluarannya, lapor media dalam pendakwaan utama terhadap produk eksport bernilai tinggi negara itu.

New Zealand Food Safety memfailkan kes itu terhadap Evergreen Life Ltd berpusat di Auckland, yang mana produknya ditarik balik dari pasaran pada 2016 oleh Kementerian Perindustrian Utama, mendakwa ia mungkin mengandungi sebatian tidak diluluskan.

Permintaan untuk produk madu dipercayai memiliki manfaat kesihatan dan kosmetik, meningkat di peringkat global, terutama manuka, dikumpul daripada bunga tumbuhan asli New Zealand dan Australia.

Spesies berbeza tumbuhan itu tumbuh di bahagian lain dunia namun ia tidak menghasilkan bunga diperlukan dalam pembuatan madu, menjadikan manuka lebih mahal dengan balang kecil dijual sehingga ratusan dolar.

Manuka juga dianggap memiliki bahan antibakteria lebih baik berbanding madu lain, sebahagiannya kerana ia secara semula jadi mengandungi asid omega digelar DHA dan antasid dikenali MGO.

Menurut perkhidmatan awam Radio New Zealand, Evergreen didakwa menambah bahan kimia tiruan bagi meningkatkan paras agen anti-bakteria, membolehkan syarikat menjual madu itu dengan harga lebih mahal.

New Zealand berada di kedudukan ke-14 dunia untuk isipadu madu eksport dan kedua dari segi nilai, menurut data agensi Perdagangan dan Keusahawanan New Zealand.

Pada 2017, New Zealand mengeksport hampir AS$270 juta (RM1.12 bilion) produk madu, hampir dua kali ganda berbanding 2013, yang mana madu manuka dianggap majoriti eksport.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Kylie Jenner Sewa Equanimity RM5.1 Juta Seminggu!

Kylie Jenner Sewa Equanimity RM5.1 Juta Seminggu!

Kapal mewah kontroversi Equanimity yang asalnya dimiliki jutawan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, telah dijual kerajaan Malaysia April 2019 lalu kepada Genting Malaysia Berhad pada harga RM514.14 juta.

Kylie Jenner Equanimity

Sementara itu, selebriti hangat Hollywood, Kylie Jenner, akan menyambut hari jadi ke-22 dengan kapal mewah Equanimity pada akhir bulan Ogos 2019.

Portal hiburan antarabangsa, TMZ melaporkan, Equanimity, yang telah ditukar nama kepada Tranquility disewa oleh Kylie pada harga RM5.1 juta seminggu.

Kylie yang merupakan adik-beradik tiri kepada Kim Kardashian merupakan usahawan kosmetik antarabangsa di samping membintangi program realiti Keeping up with the Kardashians.

Menurut TMZ lagi, kapal itu boleh menampung 22 tetamu yang mempunyai 10 kabin, bilik sauna, jakuzi dan kolam renang.

Sambutan harijadi Kylie itu akan belayar bersamaTranquility di lautan Mediterranean.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Monday, August 05, 2019

Perang Sparta-Athens, Sengketa Paling Lama Di Dunia Akhirnya Tamat Selepas 2500 Tahun

Perang Sparta-Athens, Sengketa Paling Lama Di Dunia Akhirnya Tamat Selepas 2500 Tahun

Tahukah anda bahawa terdapat satu perang saudara yang telah berlangsung dengan begitu lama selama 2500 tahun yang tidak pernah berakhir "secara rasmi" akhirnya tamat hanya pada tahun 1996?!

Perang Sparta-Athens

Perang Peloponnesia yang berlaku pada tahun 431 hingga 404 SM antara dua negeri Greek iaitu Athens dan Sparta, merupakan zaman yang sangat penting dalam sejarah dunia.

Peperangan Peloponnesia ini telah dilancarkan antara Liga Delian yang diketuai oleh Athens terhadap Liga Peloponnesia yang diketuai oleh Sparta.

Ahli sejarah telah membahagikan perang ini dalam tiga fasa iaitu:

Fasa Pertama - Perang Archidamia, di mana Sparta melancarkan serangan ke atas Attica sementara tentera laut Athens menyerang pantai Peloponnese. Ia berlangsung selama 10 tahun dan tamat pada 421 SM setelah perjanjian Peace of Nicias ditandatangani.

Fasa Kedua - Athens menghantar pasukan ekspedisi yang besar untuk menyerang Syracuse, Sicily pada tahun 415 SM. Serangan itu gagal dan berakhir pada 413 SM.

Fasa Ketiga - Dikenali sebagai Perang Decelean atau Perang Ionia. Pada waktu ini Sparta menerima sokongan daripada Empayar Achaemenid dalam pemberontakan yang berlaku di negara-negara jajahan Athens di Laut Aegean dan Ionia. Kekalahan armada Athens dalam Pertempuran Aegospotami telah mengakhiri peperangan ini.

Zaman Emas

Athens yang merupakan negara semi-demokratik telah meminjamkan begitu banyak idea-idea kepada Rom dan tamadun barat moden secara keseluruhan.

Manakala Sparta pula adalah negeri ketenteraan profesional yang tidak ada tolok bandingnya di medan perang pada masa itu, yang berperang untuk mengawal Greece dan Basin Mediterranean Timur.

Apabila peperangan besar ini tamat, "Zaman Emas" Athens juga telah berakhir, begitu juga dengan kawalan Sparta terhadap semenanjung Greek dan persekitarannya, juga berakhir tidak lama selepas itu.

Ketika Peperangan Peloponnesia sedang berlangsung, Athens telah dilanda oleh wabak disebabkan oleh pengepungan yang dilakukan oleh tentera Sparta.

Kota Athenia yang indah itu dicemari oleh penyakit, kebuluran dan kemarau yang teruk.

Penduduk Athens melompat kegembiraan apabila pemimpin kedua-dua negeri itu bersetuju untuk mengakhiri perang.

Bersetuju untuk berdamai

Thucydides yang terkenal kerana menulis mengenai Peperangan Peloponnesia memberitahu bahawa, duta Sparta telah memberikan syarat penyerahan kepada duta Athens.

Pada keesokan harinya, duta-duta Athens telah membentangkan syarat-syarat yang ditawarkan oleh Lacedaemonia (Sparta) untuk berdamai di hadapan Dewan Undangan.

Theramenes menjadi wakil bagi duta-duta itu menggesa agar pemerintahan Athens mematuhi tawaran Sparta dan meruntuhkan tembok mereka bagi mengakhiri kebuluran dan kematian akibat wabak.

Walaupun ada ahli Dewan Undangan tidak bersetuju dengan Theramenes, jumlah yang jauh lebih besar menyokongnya, nereka akhirnya bersetuju untuk berdamai namun, tiada perjanjian rasmi yang ditandatangani atau rekod mengenainya yang pernah dijumpai.

Golongan bangsawan Athens telah mengundi untuk mengakhiri perang yang berlangsung selama 27 tahun itu.

Akibat peperangan itu juga, kedua-dua negara telah hancur dan tidak pernah sama lagi seperti sebelumnya.

Zaman kemuncak tamadun manusia telah berakhir di Athens, manakala kekuatan ketenteraan Sparta yang berada dikemuncak tetapi tidak lama selepas itu mula menurun.

Manakala di kawasan pergunungan utara Greece, satu kuasa baru telah muncul. Kuasa baru yang dimaksudkan ini ialah Macedonia.

Di bawah raja-raja Archelaus, Amyntas III dan anaknya Philip II, Macedonia perlahan-lahan menjadi kerajaan paling berkuasa di Mediterania dan salah satu kerajaan paling berkuasa di dunia.

Di bawah pemerintahan anak kepada Philip iaitu Alexander III, Macedonia buat seketika telah menjadi empayar paling berkuasa di Eropah dan Timur tengah.

Perkara ini sedikit sebanyak dibantu oleh kekalahan Athens dan kuasa ketenteraan Sparta yang semakin lemah semasa Peperangan Peloponnesia.

Berakhirnya perang secara rasmi selepas selama 2500 tahun

Pada tahun 1996, kedua-dua Datuk Bandar Athens dan Sparta telah memutuskan bahawa peperangan yang telah berlaku selama 2,500 antara mereka harus berakhir.

Masyarakat Yunani di Greece dan masyarakat Yunani di Diaspora memberitahu bahawa, terdapat banyak perbezaan antara penduduk Athens dan Sparta sehingga hari ini.

Perkara seperti ini berlaku dan akan terus menjadi persaingan yang tidak jelas dalam membanding-bandingkan warisan sejarah mereka.

Namun akhirnya, Athens dan Sparta telah bersetuju untuk menamatkan perang paling lama di dunia ini secara rasmi.

Pada 12 Mac 1996, jurucakap Athens iaitu Vassilias Tayagas mengumumkan bahawa, "Tahun ini menandakan berakhirnya Perang Peloponnesia yang berlangsung selama 25 abad. Perjanjian damai yang simbolik ini adalah cara untuk kami memperingati bagaimana penghujung persengketaan ini."

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

SBDJ Siri 98: Tubuh Terapung Di Udara

SBDJ Siri 98: Tubuh Terapung Di Udara

"Hei Tamar, mahu ke mana?”, jerit Udin Tarzan. Belum pun sempat menjawab, dia sudah berada di belakang kami. "Mahu ke mana?”, ulang Udin Tarzan lagi. "Kami nak duduk jauh dari gelanggang", jawab Najib.

Toyol jadi-jadian

"Kenapa?"

"Kalau ada sesuatu yang buruk terjadi, kami sempat melarikan diri", jelas saya dengan jujur.

"Hum, jangan pergi ke mana-mana. Aku ada, aku tak akan biarkan kamu mati katak", wajah Udin Tarzan kelihatan cukup bengis. Saya dan Najib berpandangan.

"Mari", perintah Udin Tarzan.

"Ha...”, mulut Najib separuh terbuka.

"Ikut saja cakapnya", bisik saya ke telinga Najib.

Udin Tarzan tarik tangan kanan saya. Tidak ada bantahan. Saya hanya mengikut sahaja.

Langkah Udin Tarzan cukup cepat. Sesekali saya terlihat ada sesuatu dalam saku seluarnya.

Bentuk benda itu bulat dan berat. Saya terus menumpukan perhatian pada benda yang berada dalam saku seluar Udin Tarzan.

Bila Udin Tarzan melangkah, benda dalam saku seluarnya dapat dilihat dengan jelas. Darah saya tersirap.

Udin Tarzan memiliki pistol. Jenis apa? Saya sendiri tidak tahu. Dan saya tidak kuasa untuk menyoalnya. Itu bukan urusan saya. Kalau ditanya, mungkin menimbulkan kemarahan pada dirinya.

"Kamu berdua duduk di sini", itu arahan Udin Tarzan.

Saya dan Najib segera mematuhinya. Duduk tepi gelanggang dekat Agam yang kelihatan menggigit hujung jari kelingking.

Lelaki dari Kelantan itu terus menepuk-nepuk kepala ayam sabungnya dengan penuh manja.

Dia terus keliling gelanggang, mempamerkan rasa bangganya kerana memiliki ayam sabung yang handal.

Bila sampai depan Agam, lelaki dari Kelantan itu terus menghentak-hentakkan kaki kanannya.

Orang yang berada keliling gelanggang terus ketawa. Lucu melihat telatah lelaki dari Kelantan itu. Agam terus mengeliat dan turut ketawa.

"Diam", jerit Udin Tarzan.

Ketawa terus berhenti dengan serta-merta. Udin Tarzan keluarkan pistol. Muncung pistol dihalakannya ke dahi Agam.

"Kamu mahu menggagalkan semua yang diatur", lanjut Udin Tarzan.

Muncung pistol terus bertemu dengan kulit dahi Agam. Semua yang menyaksikan peristiwa itu jadi cemas. Tidak ada seorang pun yang berani bersuara.

Lelaki dari Kelantan bersama ayam sabungnya terus menyembunyikan diri di perdu bertam.

Ternyata pada lelaki itu, lebih mengutamakan keselamatan ayam sabungnya dari dirinya sendiri. Ayam sabungnya dimasukkan ke dalam bajunya.

"Mahu lawan sabung atau tidak?", Udin Tarzan beri kata dua.

Agam masih kelihatan tenang. Masih sempat senyum dan menjamah hujung pistol yang bertemu dengan dahinya.

"Sabar, marah mainan syaitan. Orang yang waras tidak pernah marah", ucap Agam.

"Jangan nak mengajar saya.”

"Tidak, saya bercakap perkara yang benar", tambah Agam.

Perlahan-lahan pistol dari tangan Udin Tarzan diambilnya. Saya lihat Udin Tarzan tidak melawan. Kelihatan seperti kena pukau.

"Kita mesti bertindak dengan tenang", tambah Agam.

Pistol Udin Tarzan yang berada di tangannya dicampakkan ke tanah. Saya dan Najib gelengkan kepala, bila melihat telapak kaki kanan Agam memijak pistol milik Udin Tarzan.

Pistol itu terbenam dalam bumi. Bila telapak kaki kanannya diangkat, badan pistol kelihatan berasap. Semua orang yang ada di situ gelengkan kepala. Pistol itu bertukar menjadi besi yang amat buruk serta berkarat.

"Minta maaf, saya tak mahu bersabung ayam", ujar Agam lembut.

Udin Tarzan terus gosok batang leher. Sinar matanya memancarkan kemarahan tetapi, dia tidak dapat bertindak atau melakukan sesuatu.

"Kenapa? Tadi awak yang mencabar", suara Udin Tarzan amat perlahan sekali.

Tunduk tidak berani menentang wajah Agam. Kehebatan, kesombongan dan kegagahan Udin Tarzan hilang dengan serta-merta.

Semua orang yang berada di sekeliling gelanggang merasa hairan dan amat terkejut sekali.

"Kenapa?”, susul Udin Tarzan lagi.

"Saya memang tak minat.”

"Kalau tak minat kenapa kamu mencabar?”

"Saya cuma nak tengok muka orang yang ada menyimpan ayam sabung.”

"Hum, awak permainkan kami", Udin Tarzan mengeluh.

"Berjudi bukan mainan hidup saya", suara Agam bergetar.

Dia menoleh ke kanan sambil menggosok pangkal hidungnya dua tidak kali. Agam terus tepuk pangkal lengan kanan dengan telapak tangan kiri, tiga kali berturut-turut.

TEPUK

Selesai sahaja Agam tepuk pangkal lengan kanannya. Udin Tarzan bagaikan tersedar dari lamunan.

Dia terus bertempik sambil mengambil sepotong kayu yang berada di sudut kanan gelanggang. Udin Tarzan bersedia untuk memukul kepala Agam.

Cita-citanya tidak diteruskan. Dihalang oleh suara yang menyebut-nyebut namanya dari arah perdu pohon petai.

Udin Tarzan segera menoleh ke arah tersebut. Kayu di tangan terus dicampakkannya keluar gelanggang.

"Kau datang juga", sergah Udin Tarzan.

"Kalau dah berjanji mesti datang. Belum pernah menolak kalau nak bersabung, ayam siapa lawan si jaguh aku?", kata lelaki yang muncul dari arah pokok petai.

Dia memakai seluar panjang warna kuning, baju merah lengan pendek yang sudah pudar warnanya.

"Banyak, dekat tujuh ratus ringgit, Ali", jawab Udin Tarzan penuh yakin.

"Siapa lawan ayam saya?”, tanya orang yang bernama Ali.

"Jaguh seluruh Kelantan.”

"Mana dia mukanya?", Ali ketawa kecil.

"lni dia orangnya", lelaki dari Kelantan muncul. Menerpa ke tepi gelanggang.

Lelaki dari Kelantan itu terus melepaskan ayam dalam gelanggang. Sorak dan tepukan kian bertambah hebat. Ali renung tiap wajah yang berada di situ dengan senyum.

Tiba-tiba, senyum Ali terus berhenti, bila matanya tertumpu ke wajah Agam. Tetapi, semuanya kembali berbunga, bila Agam memalingkan wajahnya ke arah hutan tebal.

"Duit sewa gelanggang, serahkan di sini", pekik Udin Tarzan.

Lelaki dari Kelantan dan Ali pun serahkan duit sewa gelanggang. Kemudian Udin Tarzan pun menyerahkan wang sewa gelanggang pada ketuanya.

Dari jauh, Udin Tarzan angkat tangan kanannya tinggi-tinggi memberitahu pada orang yang hadir bahawa gelanggang boleh digunakan.

Sorak dan tepuk tangan orang ramai bergemuruh menguasai kawasan terpencil itu.

"Aku nak lepaskan ayam, Udin", jerit Ali.

"Silakan", balas Udin Tarzan. Tepukan dan sorak bertambah gamat.

"Kau lawan dia jaguh, kau bunuh dia dengan taji kamu", itu yang dibisikkan oleh Ali pada ayam sabungnya.

Orang ramai yang bertaruh mula membuat kumpulan sendiri. Wajah mereka didakap kegembiraan yang amat sangat. Masing-masing mengharapkan tuah dan keuntungan yang berlipat ganda.

Di tengah gelanggang, dua ekor ayam mula bertentangan. Mengembangkan kepak dan bulu leher kelihatan membesar, bersedia untuk menewaskan antara satu sama lain.

Dua ekor ayam itu tidak tahu, bahawa nyawa mereka dipertaruhkan demi kepuasan hati manusia yang selama ini dianggap bijak dan bertamadun mempunyai nilai budi dan perasaan yang tinggi.

Bila berdepan dengan suasana demikian, saya segera terfikir bahawa ada waktu dan ketikanya, manusia ini lebih kejam, lebih bodoh dari dua ekor ayam sabung yang berada di tengah gelanggang.

Setiap kali ayam milik Ali membenamkan tajinya ke leher ayam jaguh milik lelaki dari Kelantan, suara sorakan dari tepi gelanggang terus melangit. Ada yang terkinja-kinja menari macam beruk dapat belacan.

Secara mendadak tepukan dan sorakan terus terhenti. Semua biji mata tertumpu ke arah Agam yang berdiri di tengah gelanggang.

Bagaikan kilat Agam menangkap ayam milik lelaki dari Kelantan yang kelihatan terhuyung-hayang.

Beberapa helai bulu kepaknya mula berjatuhan. Balungnya berdarah begitu juga dengan bahagian lehernya. Agam segera mendekati lelaki dari Kelantan.

"Ambil ayam kamu", kata Agam pada lelaki dari Kelantan.

"Kami berlaga ayam, apa hak kamu mengganggu kami?”

"Islam melarang pengikutnya berbuat kejam dengan binatang.”

"Saya mencari rezeki.”

"Bukan ini caranya mencari rezeki."

"Tapi...”

"Tak ada tapinya, ambil ayam kamu dan pergi dari sini, kalau kamu tak dengar cakap aku, buruk padahnya nanti," Agam mula tunjuk taring.

Lelaki dari Kelantan mula membantah tetapi, bila dilihatnya muka Agam, dia tidak jadi membantah. Tanpa banyak cakap dia terus ambil ayam sabungnya.

Lelaki dari Kelantan itu mengatur langkah menuju ke arah pondok tempat ketua Udin Tarzan berehat.

Agam renung ke kiri, didapatinya ayam sabung Ali tidak berada di gelanggang lagi. Sebahagian orang ramai yang berada di tepi gelanggang mula beredar.

Masing-masing bersedia untuk menyelamatkan diri andainya tercetus sebarang perkelahian.

"Eh, kamu ke mari dekat aku", ujar Agam pada Ali yang bersila di tepi gelanggang.

Ali tidak menghiraukan arahan dari Agam. Dia terus membiarkan ayam sabungnya mematuk padi atas telapak tangannya.

Sesekali, Ali meraba ulu golok yang terselit di pinggangnya. Dia terus bersiul-siul kecil.

"Hei, ayam sesat jangan cuba nak tunjuk handal di tempat orang", Ali mula menyindir. Badan ayamnya diurut perlahan-lahan.

"Pulanglah dan buat kerja lain", tingkah Agam.

"Jangan nak ajar saya!", jawab Ali.

"Bukan mengajar tapi nasihat.”

"Diam bangsat!" pekik Ali sambil mencabut golok di pinggang lalu di baling ke arah Agam.

Cepat-cepat Agam mengelak. Golok melekat pada pohon Pulai.

Agam terus menerpa ke arah Ali. Cepat-cepat Ali melompat dan lari ke arah pondok tempat ketua Udin Tarzan berehat. Ayam Ali terlepas lari ke dalam semak.

Agam masih berdiri di tengah gelanggang yang sudah ditinggalkan oleh para peminat sabung ayam.

Saya dan Najib yang sejak tadi menjauhkan diri dari gelanggang mula gelisah. Tetapi kami yakin Agam tidak akan bertindak sesuatu terhadap kami. Demi keselamatan diri, kami segera berlindung di balik pohon besar.

"Kita balik saja, Najib. Aku tak suka tengok orang bergaduh", kata saya lemah.

"Kita tunggu dulu, Tamar, Kita tengok siapa handal. Lagipun kita duduk sembunyi di sini, tak ada siapa yang tahu.”

"Aku takut dan...”

"Sudahlah Tamar, kau tengok tu.”

Saya segera tegakkan kepala. Sepasang mata saya tertumpu ke arah Agam yang sedang berdepan dengan ketua Udin Tarzan.

Dalam jarak beberapa kaki dari ketuanya, kelihatan Udin Tarzan, lelaki dari Kelantan dan Ali. Mereka memegang kayu bulat yang panjangnya lebih dari enam kaki.

MERANGKAK

Saya dan Najib merangkak di celah-celah pohon kecil, mendekati mereka. Kami mahu mendengar apa yang akan diucapkan oleh ketua Udin Tarzan pada Agam.

Tanpa diduga, Udin Tarzan, lelaki dari Kelantan dan Ali melakukan serangan yang serentak ke arah Agam.

Saya lihat Agam begitu tangkas mengelakkan serangan yang datang bertubi-tubi.

Agam lebih banyak bertahan dari melakukan serangan. Agam berusaha dengan sedaya upaya, agar orang yang menyerangnya tidak cedera.

Dia lebih suka melihat mereka tewas akibat kepenatan. Ternyata taktik yang digunakan oleh Agam amat berkesan sekali. Ketiga-tiga penyerangnya tercungap-cungap dan terus jatuh ke bumi.

"Aku tak mahu bergaduh, aku sekadar mahu membetulkan kamu dari membuat kerja maksiat, baliklah ke rumah kamu," tutur Agam dengan tenang.

Udin Tarzan, lelaki dari Kelantan dan Ali segera bangun. Mereka seperti dipukau mencari lorong untuk pulang ke rumah masing-masing.

Tanpa diduga, Udin Tarzan pusing ke kanan lalu mengeluarkan rantai basikal yang diikat pada kayu kecil dari saku seluarnya.

Udin Tarzan menerpa ke arah Agam. Dia terus melibaskan rantai basikal ke badan Agam.

Aneh, walaupun mata rantai basikal itu membelit ke tubuhnya tetapi, Agam tetap tenang dan tubuhnya tidak mengalami sebarang kecacatan.

Tubuh Udin Tarzan menggeletar, dia jadi panik bila melihat mata rantai basikal relai, jatuh ke bumi dalam bentuk ketulan hitam yang kecil macam tahi kambing.

Udin Tarzan terus buka langkah seribu. Langgar tunggul dan akar hingga jatuh tunggang langgang. Dia tetap bangun dan terus lari.

Bahu Agam dipaut dengan kuatnya dari belakang. Sukar untuknya menoleh ke kiri dan ke kanan. Pautan itu seperti mencengkam dan terbenam dalam kulit tubuhnya. Agam yakin cengkaman itu bukannya dari jari jemari manusia.

"Kamu belum tahu siapa aku. Kamu mencari penyakit datang ke tempat aku", suara parau dan keras menendang gegendang telinga Agam.

Serentak dengan itu cengkaman yang singgah di bahunya berakhir. Dia segera memusingkan tubuh dan wajahnya menatap orang yang bersuara.

"Kamu tahu belum ada orang yang berani kacau aku. Ketua kampung penghulu dan ketua balai polis di sini tak berani kacau aku. Kenapa kamu pula yang sibuk?"

"Sebagai orang Islam aku berhak memberitahu atau membetulkan kesilapan yang kamu buat."

"Apa kesilapan yang aku lakukan?"

"Kamu bapak maksiat!", ucap Agam lantang.

"Biadab!", sergah lelaki ketua Udin Tarzan.

Agam tidak menjawab kutukan itu. Dia termenung sejenak. Macam ada sesuatu yang difikirkannya. Agam mengambil keputusan tidak mahu berkeras dengan lelaki berbadan tegap. Tingginya hampir enam kaki.

"Nama aku Amjal Kamal", lelaki itu memperkenalkan dirinya.

Dia membuka baju yang membalut tubuhnya. Baju yang dicampakkan ke bumi lalu dipijaknya. Kedua belah lengannya penuh dengan tangkal dan azimat.

Lelaki itu mengeluarkan sebilah keris pendekar. Dia terus menikam perutnya dengan keris bertubi-tubi. Mata keris terus bengkok. Kulit perutnya tidak tercalar ataupun luka. Lelaki itu mencampakkan kerisnya yang sudah patah itu ke dalam semak.

"Kau nampak sekarang?", kata Amjal Kamal sambil ketawa.

Dia keluarkan pistol dari paha kanannya (pistol itu diikat ke pangkal paha kanan dengan tali guni).

Muncung pistol dituamkan ke dahinya. Kemudian dia menarik pemetik pistol. Satu letupan bergema. Amjal terus ketawa. Peluru pistol tidak mendatangkan sebarang kesan.

Amjal Kamal terus memecahkan sebiji botol. Kaca dari botol tersebut terus ditelannya.

"Apa kamu sanggup menentang aku? Kalau tak sanggup, eloklah kau pulang. Jangan kacau kerja aku", Amjal Kamal renung muka Agam.

"Kamu memang hebat, tubuh kamu tak makan peluru."

"Kalau sudah tahu, kenapa kamu cari penyakit?”

"Aku bukan mahu mencari penyakit. Aku mahu menyembuhkan penyakit kau.”

"Apa penyakit aku? Cakap!", tanya Amjal Kamal sambil menggosok-gosok pistolnya.

"Kau tamak, tak pernah puas. Tak mahu ingatkan Allah. Kamu harus tahu, bila tamak dah menguasai diri kamu, kamu lupa diri sendiri lalu mahu menyesatkan orang lain.”

"Kurang ajar!”

"Ya, aku nak ajar kamu. Tangkai dan azimat tidak dapat menentang kuasa Allah. Mulai hari ini, kamu jangan buka gelanggang di sini. Sebaik-baiknya kau berambus dari sini", Agam memberi amaran.

SABAR

Sampai di sini, Amjal Kamal sudah tidak menahan sabar. Dia segera menatang muncung pistol ke arah Agam. Beberapa saat kemudian terdengar letupan yang berturut-turut.

Anehnya, pepohon di kiri kanan Agam jadi sasaran peluru pistol Amjal Kamal. Agam tidak mengalami sebarang kecederaan.

Amjal Kamal renung kiri kanan. Dia mencampakkan pistol ke arah kami. Jatuh betul-betul di depan Najib dan terus meletup.

Najib menjerit dan terus jatuh pengsan. Saya yang tidak tahu untuk berbuat sesuatu segera keluar dari tempat persembunyian.

Agam mendekati saya tanpa membuang masa. Saya segera memberitahu padanya apa yang telah terjadi.

"Kau jangan ke mana-mana, sebentar lagi kawan kamu akan sedar dari pengsan", katanya pada saya.

Sebaik sahaja saya anggukkan kepala, Agam kembali merenung ke arah Amjal Kamal yang sedang membawa sebatang besi.

Saya tidak tahu dari mana Amjal Kamal memperoleh besi itu. Amjal Kamal terus mendekati Agam.

Saya lihat, Agam bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Dia biar Amjal Kamal mendekatinya.

Bila Amjal Kamal angkat besi untuk memukul kepalanya, Agam menampar bumi. Besi di tangan Amjal Kamal terlepas.

"Kamu memang handal tapi...", Amjal Kamal tidak dapat meneruskan kata-katanya.

Dia terus melepaskan satu tendangan yang kencang ke arah Agam. Amjal Kamal membuka silat Siam.

Agam tetap bertenang dan menepis setiap serangan yang datang. Usaha Amjal Kamal untuk menewaskan Agam dengan kekasaran tidak berhasil.

Kali ini, Amjal Kamal menggunakan ilmu kebatinannya untuk menundukkan Agam. Mereka berdiri bertentangan. Masing-masing memeluk tubuh.

Agam memberi isyarat tangan pada saya supaya kembali ke tempat persembunyian. Bila saya sampai ke tempat tersebut, saya dapati Najib sudah pun sedar dari pengsan.

Dalam keadaan yang kelam-kabut itu saya terdengar bunyi petir dan diikuti dengan gumpalan asap hitam berkumpul di tengah gelanggang sabung ayam.

Dari gumpalan asap itu keluar percikan bunga api yang menuju ke arah tubuh Agam. Pelik, bila percikan bunga api mahu mengenai tubuh Agam, percikan itu segera berpatah balik ke dalam gumpalan asap dan terus hilang.

Muka Agam kelihatan berpeluh. Agam terus menajamkan kedua belah bibirnya sambil menghembuskan udara yang berkumpul dalam mulutnya ke arah gumpalan asap. Dengan sekelip mata asap tebal itu terus hilang.

Apa yang saya dan Najib lihat ialah, lengan kanan Amjal Kamal ditumbuhi bulu macam bulu orang utan.

Kukunya panjang macam kuku harimau tetapi, tangan kirinya tetap macam biasa.

Muka sebelah kiri Amjal Kamal berubah bentuk iaitu kelihatan sama, tidak ada hidung, tidak ada mata, pipi dan bibir. Kelihatan rata macam papan yang sudah diketam.

Amjal Kamal berdiri kaku macam patung batu. Dari bahagian belakangnya kelihatan kepulan asap yang menipis. Dada saya terus berdebar dan saya segera menoleh ke arah Najib. Dia kelihatan tergamam.

"Tamar, apa yang kita lihat benar-benar terjadi?” tanya Najib.

"Ya, aku yakin Amjal Kamal banyak ilmu dunianya, kebal dengan sihir. Dia melindungi syaitan", bisik saya ke telinga Najib.

Sebaik sahaja saya selesai mengucapkan kata-kata tersebut, bulu tengkuk saya segera menegak. Badan terus menggeletar. Saya pun segera membaca beberapa ayat suci untuk menghalau syaitan.

"Lihat, Tamar", Najib cuit bahu kanan saya.

Tanpa membuang masa, saya renung ke arah Agam yang sedang menumpukan seluruh biji matanya ke arah tubuh Amjal Kamal.

Setiap kali Agam menggerakkan kelopak matanya, tangkal di leher Amjal Kamal putus sendiri. Jatuh ke bumi lalu terbakar.

Bila Agam gerakkan lehernya ke kanan. Azimat atau tangkal yang membelit di lengan Amjal Kamal segera relai menjadi habuk yang akhirnya berterbangan entah ke mana dibawa angin.

"Heiiiii...”, Amjal Kamal bertempik.

Tangannya yang bertali diangkatnya tinggi-tinggi. Dalam sekelip mata sahaja, dia menjatuhkan dirinya ke bumi.

Amjal Kamal menyondol mukanya ke tanah. Tidak ubah macam babi menyondol batas ubi keledek.

Agam tetap tenang melihat keadaan yang amat ganjil itu. Semua gerak-geri Amjal Kamal diikuti dengan penuh teliti.

Agam meramas-ramas jari-jemari tangan kanannya. Dia menarik nafas panjang, kelima-lima jari-jemari tangan kanannya menutup mata sebelah kirinya.

"Heiiiii...”, lagi sekali suara jeritan Amjal Kamal bergema menguasai kawasan hutan tersebut.

Serentak dengan itu dia terus melompat dan berdiri lurus. Saya lihat wajahnya ke arah Agam. Dan tanpa disangka-sangka, Agam jatuh terlentang.

Kedua belah kaki Agam terangkat dan badannya berpusing-pusing di bumi, macam ada tenaga ghaib yang memusingkannya.

Saya dan Najib terpaku melihat keadaan yang tidak pernah kami fikirkan selama ini. Biasanya, keadaan seperti ini wujud dalam filem yang bertemakan kisah zaman purba.

Tamar", Najib seperti berbisik.

"Kenapa, Jib?" tanya saya perlahan-lahan.

"Aku dengar macam ada suara orang sedang azan", jawab Najib. Matanya tetap liar. Renung kiri renung kanan.

"Aku juga dengar Jib.”

"Di sini tak ada masjid, siapa pula yang azan tu. Waktu Asar pun belum masuk", Najib bersuara penuh keraguan.

"Sudahlah, jangan fikirkan. Itu kerja makhluk Allah, asalkan jangan ganggu kita sudah cukup.”

"Aku tak puas hati kalau tak tahu Tamar.”

"Kau jangan merepek", suara saya keras lalu menutup mulut Najib dengan telapak tangan kiri.

KASAR

Saya bersyukur pada Allah, tindakan saya yang agak kasar itu, tidak menyinggung perasaan Najib. Dia menerima semuanya itu sebagai satu perintah yang wajib dipatuhi.

Kami segera mengarahkan biji mata kami ke arah Agam dan Amjal Kamal kembali. Saya lihat Agam sudah pun berdiri. Saya tidak tahu bagaimana dia bangun.

Suara azan yang mengusik gegendang telinga saya dan Najib terus ghaib entah ke mana.

Agam dan Amjal Kamal bertentang wajah. Kedua-duanya memeluk tubuh. Antara Amjal Kamal dan Agam, ternyata Amjal Kamal lebih hebat.

Ulas-ulas lengannya kelihatan berketul-ketul. Dadanya nampak bidang dengan rambut panjang hitam terkandar atas sayap bahunya.

Saya lihat dada bidang Amjal Kamal kelihatan berombak-ombak ketika dia menarik dan melepaskan nafas.

Dari gerak-gerinya itu ternyata Amjal Kamal menggunakan semua ilmu batin yang diketahuinya untuk menentang Agam.

"Aku tak mahu apa-apa dari kamu. Aku tidak mahu berlawan. Aku minta kau tinggalkan tempat ini", suara Agam lembut penuh sopan.

"Kau tak berhak menahan apa juga keinginanku", cukup angkuh suara Amjal Kamal. Tangan kanannya merayap atas bahu kiri.

Dia terus memulas hujung rambut. Setiap kali hujung rambutnya dipulas, Agam menjerit kesakitan. Macam ada benda tajam yang menusuk tiap sendi Agam.

"Aku merayu, tinggalkan tempat ini," ujar Agam dalam kesakitan.

"Tidak", suara Amjal Kamal keras.

Dia terus memintal-mintal hujung rambutnya. Agam terus mengerang kesakitan. Saya lihat kedua belah kaki Agam tidak mampu menahan tubuhnya.

Dia jatuh perlahan-lahan dan terduduk atas bumi. Dari lubang hidung dan mulutnya keluar air macam air liur.

"Allahu akbar", suara Agam meninggi.

Serentak dengan itu saya lihat dia bertenaga kembali. Agam bagaikan mendapat satu tenaga ghaib. Air yang keluar dari mulut dan hidung berhenti terus.

Agam menggosok-gosok kedua belah telapak tangannya. Saya lihat bibir Agam bergerak-gerak macam membaca sesuatu. Tangan kirinya menepuk bumi dua kali.

Amjal Kamal terus ketawa, dia seolah-olah mempersendakan apa yang dilakukan oleh Agam.

"Aku merayu kepada kamu, tinggalkan tempat ini", Agam mohon belas ihsan dari Amjal Kamal.

Ternyata Amjal Kamal tidak berganjak dari keputusannya. Agam terus duduk bersila di bumi.

Saya dongakkan kepala melihat beberapa ekor burung belatuk mematuk batang meranti yang sudah mati.

Saya terasa aneh, belum pernah saya melihat burung belatuk begitu banyak. Beberapa helai daun tua mula gugur ke bumi dirempuh angin.

Saya lihat langit begitu cerah dengan gumpalan awan putih bersih berarak lembut ke arah selatan.

"Ini hutan, tak ada manusia yang diam di sini, sudahlah kau jangan merepek", Amjal Kamal terus mempersendakan Agam.

Dia yakin, Agam akan tunduk padanya. Amjal Kamal mengambil seketul kayu lalu dibaling ke arah Agam.

Saya dan Najib terpampan, bila melihat kayu yang dibaling ke arah Agam tidak menuju ke sasarannya. Kayu itu berpusing-pusing di udara untuk seketika kemudian hancur menjadi serbuk.

"Kau nak tunjuk kehebatan kamu?", Amjal Kamal jadi marah.

"Tidak, semuanya atas kehendak Allah. Aku berdoa pada Allah supaya diberikan perlindungan."

"Hiss kamu", Amjal Kamal melompat dan menerkam ke arah Agam.

Cepat-cepat Agam mengangkat tangan kanannya. Amjal Kamal terpekik. Dia tidak dapat bergerak ke mana-mana, terapung-apung di udara.

Agam menurunkan tangannya perlahan-lahan. Tubuh Amjal Kamal yang terapung-apung di udara turut sama bergerak perlahan-lahan ke permukaan bumi.

Bila telapak tangan Agam bertemu dengan bumi, tubuh Amjal Kamal terletak atas tanah.

"Aku minta kamu berhenti dari membuat kerja maksiat", kata Agam masih berlembut.

"Itu urusan aku."

"Ya, aku tahu itu urusan kamu tapi...", Agam berhenti bercakap.

"Tapi apa, manusia laknat?"

"Orang-orang yang berjudi di sini sudah mengotorkan masjid dan surau tempat kami beribadat. Mereka kencing dan berak ikut suka hati."

"Kamu bohong!", bantah Amjal Kamal.

"Baik, aku buktikan", Agam merenung ke arah sebelah kiri. Tidak ada apa-apa yang dapat dilihat kecuali hutan kecil dengan pohon yang menghijau.

"Aku bukannya budak-budak", Amjal Kamal menepuk dada dan meludah ke arah Agam.

Tiba-tiba saya dan Najib terdengar bunyi suara orang membaca ayat-ayat suci. Saya amati pembacaan itu dengan teliti.

Saya kagum, pembacaan itu memang betul, sama ada dari segi tajwid, tekanan suara dan dengung. Pembacaan yang sempurna itu membuat saya terpesona.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 98/284

BACA: SBDJ Siri 97: Udin Tarzan Yang Tewas
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Cara Menangkap Burung Liar Tanpa Jerat Atau Senjata

Cara Menangkap Burung Liar Tanpa Jerat Atau Senjata

Pada kebiasaannya, bagi sesiapa saja yang gemar menangkap apa-apa juga jenis burung mengikut kemahuan masing-masing tentulah mereka mempunyai cara atau kaedah tersendiri seperti memasang jerat, memasang cecair bergetah di sekitar pokok yang sering dihinggapi oleh beburung, jaring dan sebagainya lagi.

Menangkap Burung Liar
Gambar hiasan.

Namun, ada juga yang mengambil jalan singkat janji asal saja dapat menangkap burung-burung yang diidamkan tak kira samada burung itu nanti dapat ditangkap dalam berkeadaan hidup atau mati apabila ada yang sanggup menggunakan lastik, umpan dipasang pada mata kail dan diikat atas pokok atau perangkap tikus.

Jika burung-burung dapat ditangkap dengan menggunakan cara sedemikian maka harapan kita untuk melihat unggas ini terus hidup adalah sangat tipis kerana tanpa kita sedari mungkin ada terdapat kecederaan di bahagian-bahagian yang tertentu pada tubuh burung itu tidak kelihatan dan ini tentu sekali akan mendatangkan risiko kematian terhadap burung-burung telah kita tangkap itu.

Jadi, disini saya ingin berkongsi cara-cara atau kaedah yang mungkin berguna kepada sesetengah orang bagaimana untuk menangkap burung liar khususnya dari spesis tekukur.

Burung tekukur kebiasaannya banyak terdapat di kawasan sawah padi dan burung ini jarang kita temui dalam kelompok yang banyak seperti burung pipit atau burung layang-layang.

Burung tekukur juga kelihatan hampir menyerupai burung pergam atau burung merbuk cuma dibezakan dari segi bentuk saiz badan dan suara dimana burung tekukur badannya jauh lebih kecil daripada burung pergam atau merbuk sementara suara burung tekukur lebih jelas dan halus didengar walaupun kedengaran agak sayup-sayup tetapi suara burung pergam atau merbuk tak ubah seperti bunyi hon kapal laut yang berdengung-dengung.

Cara Menangkap Burung Liar

Kali ini kami ingin menunjukkan cara, bagaimana untuk menangkap burung tekukur liar ini agar ia selamat dan tidak cedera.

Mula-muka sekali, kita kenalah ke pasar raya dan beli satu botol arak (bukan untuk diminum), asal arak sajalah tak kira berapa peratusan alkohol yang dilabelkan pada botol arak tersebut, janji ianya arak.

Kemudian, bawa balik ke rumah, simpan ditempat yang selamat serta jauhi daripada kanak-kanak dan mereka yang kaki arak.

Kemudian, ambil segenggam beras dan masukkan ke dalam bekas atau gelas yang tidak lagi digunakan.

Kemudian, rendam beras itu bersama arak selama satu malam dan keesokannya, jemur dibawah panas terik matahari selama 2 hari.

Setelah itu, bawa beras yang direndam arak tadi ke lokasi di mana ada terdapat burung tekukur bersama kotak yang telah dipotong dengan ukuran lebih kurang 2 kaki persegi dan kita kenalah letakkan kotak tersebut ditempat yang agak strategik atau tempat di mana burung berkenaan selalu turun untuk mencari makanan.

Langkah terakhir, taburkan beras yang telah direndam dengan arak di atas kotak yang dibentang tadi dalam jumlah yang berpatutan.

Waktu selepas tengah hari hingga ke senja adalah masa yang amat sesuai untuk kita menggunakan kaedah penangkapan ini sebab biasanya burung tekukur akan keluar mencari makanan pada waktu itu.

Selepas semuanya selesai, maka giliran untuk kita menuai hasil tangkapan dengan bersembunyi disebalik rerumput agar kelibat kita terlindung dan tidak kelihatan oleh burung liar.

Sekiranya burung-burung tekukur itu sudah memakan beras yang kita letakkan di atas kotak, hanya dua tiga kali patukan saja dan sesudah menelannya, kita akan dapat melihat burung itu akan mula khayal, pening, terhuyung-hayang dan kemudianya akan "tersungkur".

Pada masa itulah peluang kita untuk menangkap burung tekukur itu tadi dalam keadaan masih hidup dan simpanlah didalam kurungan.

Burung ini akan pulih semula seperti sediakala dalam tempoh beberapa ketika tanpa sebarang kecederaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: HMAM

Wanita Malaysia Lapor Polis Lelaki Cabut Kondom Ketika Berasmara!

Wanita Malaysia Lapor Polis Lelaki Cabut Kondom Ketika Berasmara!

Kes tular seorang wanita yang mendakwa kenalannya mencabut kondom tanpa pengetahuannya ketika mengadakan hubungan seks perlu disiasat oleh polis, kata peguamnya, Serene Lim, selain kes itu tidak seharusnya dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Cabut Kondom
Gambar hiasan.

Dia berkata, walaupun Seksyen 375(c) Kanun Keseksaan berkenaan kes rogol tidak menyatakan takrifan tepat berkenaan perbuatan stealthing, iaitu tindakan seorang lelaki yang mencabut kondom tanpa pengetahuan pasangan ketika hubungan seks, walaupun tahu pasangan hanya bersetuju dengan pemakaian kondom.

"Jika anda lihat Kanun Keseksaan (seksyen itu), ada disebut tentang salah tanggapan. Anda memberi tanggapan salah dengan berkata anda akan berbuat perkara tertentu, untuk mendapatkan persetujuan.

"Jadi, pada satu sisi ia bukan persetujuan yang sebenarnya kerana persetujuan itu diberi berdasarkan salah tanggapan. Maka sebab itu di beberapa negara ia dianggap sebagai rogol," katanya.

Seksyen 375(c) Kanun Keseksaan menyebut rogol boleh berlaku "dengan kerelaan perempuan itu, manakala kerelaannya telah didapati dengan mendatangkan kepadanya atau mana-mana orang lain ketakutan mati atau cedera, atau telah didapati melalui salah tanggapan fakta dan lelaki itu tahu atau ada sebab untuk mempercayai bahawa kerelaan itu telah diberi akibat dari salah tanggapan tersebut".

Di beberapa negara termasuk United Kingdom dan Jerman, ada perbincangan untuk memberi takrifan lebih jelas tentang "persetujuan" dalam isu serangan seksual dan rogol, termasuklah persetujuan bersyarat dan persetujuan afirmatif.

Persetujuan bersyarat diberi spesifik untuk perlakuan seksual tertentu, sementara persetujuan afirmatif ditakrifkan sebagai mendapat persetujuan secara jelas (eksplisit) berbanding hanya membuat jangkaan.

"Dalam kes ini, kami belum (membincangkan takrifan 'persetujuan'). Tetapi ia tak boleh menghalang kita daripada mengambil takrifannya (daripada tempat atau pihak lain)," katanya, sambil menambah perkara itu masih kurang dilaporkan di Malaysia.

Kes tersebut tular selepas salinan laporan polis oleh mangsa terhadap seorang warga asing, yang dibuat di balai polis Kajang, bocor dan tersebar di internet.

Ketua Polis Kajang Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff mengesahkan menerima laporan itu dan berkata kes itu dirujuk kepada Jais.

Oleh kerana laporan yang bocor itu tidak menutup alamat rumah dan nombor telefon mangsa, Lim berkata anak guamnya telah menjadi sasaran kecaman di internet, selain diganggu menerusi panggilan telefon dan pesanan teks.

"Gangguan yang diterima di telefonnya sangat banyak, pada masa ini dia pasti sudah terima ratusan (panggilan dan pesanan)," katanya, menggesa orang ramai agar berhenti berkongsi laporan polis itu di media sosial.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Friday, August 02, 2019

17 Fakta Jin Saka Yang Sering Mendampingi Manusia

17 Fakta Jin Saka Yang Sering Mendampingi Manusia

Banyak kesan buruk yang akan berlaku disebabkan oleh pengambilan saka dan kemuncaknya boleh menyebabkan manusia tersebut terjerumus ke dalam dosa paling besar, iaitu mensyirikkan Allah, dosa besar yang tidak akan diampunkan oleh Allah dosa pelakunya.

Fakta Jin Saka

Seperti di dalam firman Allah, “Barangsiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.” (Surah An Nisaa’: 48)

Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan dengan anda 17 fakta tentang saka yang perlu anda ketahui.

Fakta Tentang Saka

1. Sukar Dirawat

Jika dibandingkan dengan sihir dan santau, saka merupakan gangguan jin yang paling sukar sekali untuk dirawat.

Lebih lama seorang manusia itu berdamping dengan saka peliharaannya, lebih sukarlah untuk dikeluarkan saka dari tubuh badan tuannya.

Pengalaman perawat Islam dalam merawat kes saka iaitu saka pahlawan, di mana ketika merawatnya, tenaga tujuh orang lelaki diperlukan untuk memegangnya kerana kuatnya amukan saka yang berada di dalam badan pesakit yang dirawat.

2. Kesukaran Ketika Ajal Hampir Tiba

Pewaris saka akan mengalami penderitaan dan seksaan yang amat berat ketika menjelangnya saat sakaratul maut. Ini disebabkan jin saka yang berada di dalam badan manusia itu tidak mahu melepaskan tuannya.

Mungkin juga seksaan ini adalah azab dari Allah kerana melakukan perbuatan syirik kepada-Nya.

3. Upacara Menyeru Jin

Biasanya, proses memanggil jin yang akan dijadikan saka dimulai dengan upacara yang bertentangan dengan syariat Islam seperti memuja kubur atau tengkorak, meminum darah, membaca ayat-ayat suci al-Quran secara terbalik dan sebagainya.

Ini disebabkan biasanya jin yang sanggup menghambakan diri kepada manusia hanyalah jin yang jahat.

Dan jin jenis ini biasanya memerlukan balasan sebelum bersedia untuk menghambakan diri kepada manusia.

4. Jampi Serapah

Upacara memanggil saka ini biasanya akan disertai dengan mentera dan jampi serapah, yang disertai dengan ucapan-ucapan yang membawa kepada syirik.

Apabila jin saka hadir, ketika itulah syarat dan perjanjian akan dilakukan antara manusia dan juga jin.

5. Pertolongan Jin

Selepas persetujuan dicapai, ketika inilah jin tadi akan sentiasa mendampingi tuannya.

Dan ketika ini manusia itu akan mempunyai pelbagai kelebihan yang asalnya dimiliki oleh jin saka tadi, yang akan digunakan untuk kepentingan diri manusia itu.

6. Sebagai Pembantu

Manusia yang menggunakan saka (bantuan jin) untuk pelbagai kepentingan seperti ingin menjaga keselamatan diri, ahli keluarga dan harta, menjadi kuat, berharta, disayangi atau digeruni ramai pihak selain mahukan makhluk ghaib itu membantunya bekerja di ladang atau lautan.

7. Tipu Helah

Permulaannya, jin Saka ini kelihatan seperti memberi pelbagai kelebihan kepada tuannya seperti melindungi diri, keluarga serta harta benda dan sebagainya tetapi itu semua hanyalah tipu helah saka bagi menyesatkan manusia.

8. Menjadi Mayat Hidup

Ada pemilik saka sudah meninggal dunia tetapi jin saka yang dimilikinya masih enggan meninggalkan tuannya.

Keadaan itu menyebabkan saka berkenaan “menumpang” pada jasad tuannya sehingga pemilik saka itu kelihatan seolah-olah masih hidup dan bergerak walaupun dia sebenarnya sudah meninggal dunia.

9. Mencemar Maruah

Jin yang menjadi saka juga boleh mencemari maruah keluarga pemiliknya dengan mengadakan hubungan kelamin bersama isteri atau anak perempuan tuannya.

Dan gangguan saka juga menyebabkan seseorang mengalami penyakit misteri yang amat menyeksakan.

10. Mengganggu Keturunan

Syarat yang perlu dipatuhi pemilik saka adalah jin berkenaan perlu diwariskan kepada individu lain apabila pemiliknya hampir menemui ajal selain pemilik perlu menjamu saka peliharaannya dengan darah, kemenyan atau sebagainya.

11. Menyakiti Waris

Saka akan mengganggu apabila pemilik meninggal dunia tanpa sempat mewariskan saka berkenaan menyebabkan jin berkenaan akan merewang serta mengganggu dan menyakiti ahli keluarga serta orang lain.

12. Pantang Larang

Anak yang mewarisi saka tetapi tidak mengetahui syarat dan pantang larang ketika perjanjian dimeterai menyebabkan mereka tidak menunaikan perjanjian itu seperti tidak menyediakan makanan kepada jin menyebabkan makhluk itu akan mengganggu dan menyakiti mereka kerana marah. (Hukum mengguna atau mewarisi saka adalah haram disisi Islam.)

13. Jin Paling Jahat

Syaitan adalah jin yang kafir dan ketua syaitan adalah Iblis. Saka yang dipelihara wanita digelar “pelesit” dalam budaya Melayu manakala saka yang dipelihara lelaki digelar “hantu raya”. Hantu raya terdiri daripada jin jenis Ifrit (golongan jahat).

14. Barang Lama Dihuni Saka

Dalam kebanyakan kes, antara barang tuannya yang dijaga saka tetapi dijual kepada orang lain termasuklah barang antik dan bersejarah malah ada juga hiasan berupa tulisan ayat Al-Quran.

15. Jenis-jenis Saka

Antara jenis-jenis saka ialah:
  • Saka Harimau: Menyebabkan pemiliknya ditakuti manusia lain lebih-lebih lagi musuh.
  • Saka Buaya: Mampu mengawal dan menjinakkan buaya.
  • Saka Ular: Mampu mengawal dan menjinakkan ular.
  • Saka Bomoh: Menjadikan pemilik kononnya mampu mengubati pesakit gangguan makhluk halus. (Sebenarnya, jin peliharaan bomoh tersebut berlawan dengan jin yang mengganggu pesakit dan jika jin bomoh menang, jin yang mengganggu pesakit akan beredar dan pesakit kelihatan sembuh.).
  • Saka Kuat atau Saka Penimbul: Menjadikan pemiliknya kuat sehingga mampu mengangkat barang yang amat berat atau menjadi kebal.
  • Saka susuk: Menjadikan pemiliknya kelihatan cantik.
  • Saka Toyol: Jin dipelihara untuk mencuri wang manusia lain secara ghaib.

16. Cara Membuang Saka

Untuk merawat atau membuang saka, pesakit perlu dirujuk kepada pengamal perubatan Islam yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah serta mengelak daripada berjumpa bomoh atau pengamal perubatan yang berasaskan jin.

Mengubati sihir dengan menggunakan sihir (nushrah) seperti mengunjungi pengamal perubatan yang menggunakan jin untuk mengubati gangguan makhluk halus adalah haram.

17. Amalan Menghindar Saka

Antara kaedah memperkuatkan pertahanan diri bagi menghadapi gangguan saka dan makhluk halus adalah mengamalkan bacaan ayat kursi, membaca doa menghalau syaitan (al-Mukminum: ayat 97 dan 98), sentiasa membaca al-Quran dan ta’awwuz selain kuat beribadat kerana syaitan akan berasa panas apabila berhadapan dengan mereka yang mengamalkan kaedah berkenaan.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: perawatislam