Tuesday, July 30, 2019

Asal-usul Lagu Dondang Sayang

Asal-usul Lagu Dondang Sayang

Dondang Sayang merupakan sejenis nyanyian atau balada cinta yang digunakan oleh masyarakat dahulu kala untuk menyampaikan perasaan kasih mereka dan dinyanyikan dalam bentuk berbalas pantun yang di sampaikan secara spontan oleh penyanyinya.

Asal-usul Dondang Sayang

Menurut sejarah, Dondang Sayang muncul pada kurun ke15 Masihi semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka, iaitu ketika zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah.

Dondang Sayang popular dalam kalangan masyarakat Melayu dan Cina Peranakan di Melaka.

"Dondang" bermakna nyanyian, manakala "dondang sayang" bermaksud nyanyian mengulit kasih.

Nyanyian Dondang Sayang ini digunakan untuk menghiburkan para pedagang yang singgah di Melaka dan merupakan seni persembahan yang mengandungi unsur muzik dan nyanyian tradisional Melayu yang sangat menghiburkan, ada kalanya agak melucukan.

Kualiti nyanyian bagi seni ini bergantung kepada kecekapan penyanyinya berjual beli pantun.

Ahli

Nyanyian-nyanyian biasanya diiringi empat orang ahli muzik yang terdiri daripada:
  • Seorang pemain biola;
  • Dua orang pemain rebana (gendang yang di sebelah sahaja dipasang kulit) Melayu; seorang pemain tawak ( gong kecil).

Pemain biola biasa merupakan ketua kumpulan ahli muzik yang memainkan peranan utama dalam dondang sayang, dan membekalkan melodi kaunter kepada melodi vokal atau suara.

Pemain-pemain muzik boleh saling bertukar alat- alat muzik mereka antara persembahan, tetapi pemain biola jarang berbuat demikian, walaupun dibenarkan.

Sehingga lima buah rebana boleh digunakan, jika terdapat pemain muzik yang berlebihan.

Kadang-kadang, rebana boleh digantikan dengan gendang ataupun kompang. Barisan alat muzik boleh juga ditambahkan dengan akordion.

Alat

Alat-alat muzik yang digunakan untuk mengiringi nyanyian Dondang Sayang terdiri daripada sebuah biola, sebuah gong dan 3 buah rebana yang mana terbahagi kepada dua, iaitu rebana kompang atau rebana keras.

Kini, persembahan dondang sayang diiringi alat muzik seperti biola, rebana, gong atau tetawak, gendang dan akordion.

Alat muzik ini ialah satu gabungan simbolis yang mencernakan satu sejarah kegemilangan negeri Melaka pada masa dahulu.

Rebana berasal dari Timur Tengah, biola berasal dari Portugis dan gong warisan pedagang Cina. Daripada gabungan ini, lahirlah peralatan muzik dalam dondang sayang.

Bagaimanapun, alat muzik yang penting ialah biola, rebana, gong atau tetawak, sementara alat sampingan ialah akordion, marakas, tamborin dan gendang.

Persembahan

Persembahan dondang sayang dimulakan dengan gesekan biola, dikuti tingkahan rebana dan gong. Pada waktu yang sama pantun dondang sayang akan dinyanyikan.

Muzik dondang sayang adalah perlahan, dan sebuah lagu biasanya terdiri daripada 32 bar, bermula dengan pengenalan biola, diikuti rebana dan kemudiannya gong, dan akhirnya oleh nyanyian pada bar kelima. Gayanya tidak formal dan liriknya biasa terdiri daripada puisi cinta.

Dalam lagu dondang sayang, penyanyi-penyanyi saling bertukar pantun tanpa persediaan dalam gaya yang riang dan kadang-kadang lucu.

Jumlah pemantun tidak terhad tetapi berpasang-pasangan. Mereka mendendangkan pantun empat kerat secara berlagu dengan berbalas-balas pantun sesama mereka.

Pemantun akan mendendangkan lagu mengikut muzik yang dimainkan.

Setiap pantun soal harus dijawab oleh pemantun seorang lagi. Sekiranya pantun itu tidak terjawab maka penyanyi yang ketiga boleh mengambil alih nyanyian itu.

Jenis

Ada empat jenis dondang sayang, iaitu dondang sayang Melaka, dondang sayang Baba Peranakan, dondang sayang Tanjung Penyengat dan dondang sayang Pulau Pinang.

Sungguhpun penjenisan ini lebih relatif sifatnya, setiap persembahan dondang sayang tetap diminati oleh beberapa golongan masyarakat seperti Melayu, Cina Peranakan, India dan Portugis terutamanya di Melaka.

Dondang sayang turut dipertandingkan dalam pelbagai pertandingan pada peringkat negeri dan kebangsaan, antaranya Pesta Dendang Rakyat dan Pertandingan Dondang Sayang anjuran kerajaan.

Semakin Dilupakan

Pada masa dahulu, persembahan Dondang Sayang merupakan pilihan utama masyarakat untuk menceriakan lagi majlis-majlis perkahwinan yang di adakan.

Tetapi, pada zaman yang serba moden ini nyanyian Dondang Sayang semakin pupus terutamanya dalam kalangan masyarakat muda.

Pada 29 November 2018 tahun yang lalu, Dondang Sayang mendapat pengiktirafan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai ‘Representative List of The Intangible Cultural Heritage of Humanity.’

“Si kaduk panjat pokok pisang,
Jumpa kuda terus melompat,
Jika umur masih panjang,
Belajar sungguh sampai dapat.”

“Dara berbedak menyikat rambut,
Sambil memakai emas bersaga,
Kalau tak hendak intan tercabut,
Kenalah pandai tuan menjaga."

“Hati senang memetik nangka,
Pergi memetik jangan ditangguh,
Nasihat saya untuk orang muda,
Belajar Dondang Sayang bersungguh-sungguh”

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Monday, July 29, 2019

Usj Optometrist: Pembekal Contact Lens Yang Mampu Mengatasi Masalah Rabun Warna

Usj Optometrist: Pembekal Contact Lens Yang Mampu Mengatasi Masalah Rabun Warna

Sekiranya gagal ujian saringan penglihatan warna, anda seharusnya mendapatkan pemeriksaan dari seorang Optometris bertauliah bagi menjalankan ujian penglihatan (rabun) warna yang lebih terperinci bagi menentukan jenis dan tahap keterukan kecacatan penglihatan warna.

USJ Optometrist merawat rabun warna
USJ Optometrist, Selangor.

Terdapat beberapa jenis ujian bagi tujuan ini antaranya Hardy-Rand-Ritler (HRR) Plates dan Farnsworth-Munsell 100 Hue test (FM 100Hue).

FM 100 Hue merupakan satu ujian penglihatan warna yang komprehensif, sekali gus mengambil masa yang lebih lama untuk dijalankan. Set ujian FM 100 Hue terdiri daripada 4 bekas/kotak, dimana setiap satu bekas/kotak mengandungi beberapa butang berwarna yang perlu disusun mengikut peningkatan kepekatan warna berdasarkan satu butang rujukan di hujung setiap bekas/kotak.

Hasil analisis FM 100 Hue membolehkan seseorang individu mengetahui jenis kecacatan penglihatan warna yang dihadapinya, sama ada DEUTAN (keliru warna hijau-merah-kelabu), PROTAN (keliru warna merah-jingga-biru-hijau-kelabu) atau TRITAN (keliru warna biru-kuning).

Tahap kecacatan sama ada ringan, sederhana atau pun teruk, juga dapat diketahui bagi memudahkan urusan rundingcara oleh Optometris. Ujian ini perlu dijalankan dalam pencahayaan yang baik bagi menjamin ketepatan ujian.

Bagi sesetengah keadaan, penggunaan penapis (filter) berwarna dan kanta sentuh berwarna yang khas dapat membantu pesakit meningkatkan kebolehan pengecaman warna.

USJ Optometrist; Pembekal Contact Lens Untuk Rabun Warna

USJ Optometrist Glasses

Hari ini saya bertemu seorang sahabat lama yang akhirnya mendapat pekerjaan impiannya di sebuah syarikat multinasional yang membayarnya gaji lumayan setiap bulan.

Menurutnya, dia telah berusaha selama bertahun-tahun sejak menamatkan pengajian untuk cuba bekerja ke dalam syarikat terkenal ini, melepasi peringkat temuduga tetapi selalu gagal tapisan kesihatan dalam Ujian Warna Ishihara.

Dia hanya sedar mempunyai masalah rabun warna merah pada ujian perubatan pertama dan terus gagal ujian ishihara setiap kali mencuba semua ujian perubatan wajib.

Sepupunya juga mempunyai masalah yang sama memperkenalkannya kepada contact lens yang dapat membantu mereka yang mempunyai masalah rabun warna dan lulus ujian ishihara dengan serta-merta.

Dia kemudiannya bergegas ke Subang jaya, Selangor, untuk melawat sebuah kedai optik yang mempunyai kanta sentuh khas, Chromagen, yang berkesan dalam membantu masalah penglihatan warna untuk lulus ujian ishihara dalam ujian perubatan, ujian teori memandu JPJ, ujian masuk universiti dan juga ujian polis dan tentera.

Sepupu kawan saya yang merupakan seorang jurutera luar pesisir untuk syarikat minyak dan gas juga mendapat kerja selepas lulus ujian ishihara apabila memakai kanta sentuh Cromagen.

Dia membeli sepasang contant lens Chromagen untuk menonton filem dan bermain permainan komputer dalam talian dan benar-benar telah mengalami perbezaan yang besar apabila memakai kanta Cromagen.

Bagi anda yang mengalami masalah penglihatan warna dan perlu lulus ujian ishihara, jangan berputus asa dalam mengejar impian anda.

Di Optometrist Usj, mereka sedia membekalkan Contact Lens bagi 'merawat' masalah rabun warna  yang boleh anda dapatkan dengan serta-merta pada hari yang sama anda melawat mereka.

Pakar mata di USJ Optometrist akan membantu anda menetapkan (prescribe) contact lens yang sesuai, misalnya bagi mereka yang dyslexia atau rabun warna agar mata dapat melihat warna dengan lebih terang dan padat sehingga meningkatkan kebolehan daya persepsi dan diskriminasi warna.

Jangan berlengah lagi, dapatkan semula 'penglihatan' anda dengan segera.

Usj Optometrist
Alamat: 28, jalan usj 10/1E, taipan, subang jaya, selangor, Malaysia
Tel: 03-80119038
Email: usjoptometrist@yahoo.com
Facebook: https://www.facebook.com/usjoptometrist.taipan
Business hours: Monday to Saturday (11am to 9pm) Sunday (11am to 7pm)

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 96: Harimau Disangka Kucing

SBDJ Siri 96: Harimau Disangka Kucing

Sudah hampir lima rantai berjalan. Datuk tidak juga menuturkan sesuatu. Saya masih sabar menanti jawapan darinya. Tetapi, lama-kelamaan rasa sabar itu segera bertukar menjadi rasa cemas dan takut. Mungkin Datuk tersinggung atau mungkin dia marah dengan pertanyaan-pertanyaan yang saya ajukan kepadanya.

Toyol jadi-jadian

Tak mengapa, apa pun yang akan terjadi terpaksa saya hadapi. Sesungguhnya, saya ingin mengetahui sesuatu dengan jelas dan tepat. Saya kira apa yang saya lakukan itu memang wajar, fikir saya sendirian.

"Imam beri dia duit, yang di kumpul dari derma para jemaah", tanpa diduga Datuk bersuara. Melenyapkan kebimbangan yang bersarang dalam dada saya.

"Berapa dia dapat tuk?"

"Itu aku tak tahu, biasanya tak banyak."

"Tak banyak tu berapa tuk?", saya terus mendesak.

"Kamu ni, suka sangat bertanya. Kamu tahu, dia cuma ambil duit tambang dia datang dan balik, kemudian dia ambil tiga empat ringgit untuk beli beras."

"Kalau macam tu, sampai bila-bila pun dia tak senang."

"Dia bukan nak cari kesenangan. Dia mahu menyebarkan ilmu agama pada umat Islam, itu sumbangannya. Kamu harus tahu setiap kita yang hidup ini, bila mati akan disoal apa sumbangan kita pada agama dan manusia."

"Hum... Kalau macam itu sampai bila pun dia tak akan senang."

"Eh kamu," Datuk terus menengking saya.

Saya terdiam, sesungguhnya saya terkejut dengan perubahan sikap Datuk dari ramah bertukar menjadi bengis dan marah-marah.

"Aku tak mahu kamu tanya tentang guru tu, dia tidak mengharapkan wang ringgit dari hasil usahanya", kata Datuk dan saya mula mengetahui punca Datuk menengking saya.

"Dia mengajar dengan ikhlas, dia tidak mengharapkan wang ringgit," kata Datuk lagi, mengulangi apa yang telah diucapkannya.

"Begitu, tapi ada orang mengajar agama kerana wang."

"Itu bukan mengajar namanya, Tamar."

"Kalau bukan mengajar, nak sebut apa tuk?"

"Jangan kamu tak tahu, itu namanya gunakan agama untuk cari duit, itu perbuatan tak ikhlas, faham. Jangan tanya-tanya hal itu lagi."

"Baiklah tuk."

Perjalanan seterusnya terasa sunyi. Cuma kicau burung yang terdengar. Saya mengambil sikap mengunci mulut dan berazam tidak akan menyoal Datuk hingga sampai ke kaki tangga. Tanpa diduga, Datuk bersuara.

"Kamu balik dulu, aku ada hal."

"Tuk nak kena mana?"

"Aku nak pergi ke kaki bukit, nak tengok jerat yang kamu tinggalkan petang semalam."

"Baik tuk balik dulu, lepas tu kita pergi bersama."

"Tak payah, beritahu pada nenek kamu aku ke sana."

Saya segera mempercepatkan langkah ke rumah. Dalam asyik melangkah itu, saya terpandangkan sepasang anak kucing bermain-main di tepi jalan. Timbul keinginan untuk menangkapnya.

Saya terus mendekati dan sepasang anak kucing itu melompat ke dalam semak. Saya terus memburu. Rupa sepasang anak kucing itu sungguh menarik, berbeza dengan anak kucing peliharaan. Bulunya memikat dengan jalur yang besar dan terang.

Makin saya kejar, makin manja sepasang anak kucing itu melompat-lompat di hadapan. Seolah-olah mencabar saya supaya menangkapnya.

Keghairahan saya kian menjadi untuk memiliki dan memelihara sepasang anak kucing tersebut.

Kerana asyik memburunya, dua tiga kali saya terjatuh. Akibatnya kain yang saya pakai terus koyak, begitu juga dengan baju.

Songkok yang dipakai, tidak lagi berada di kepala. Sudah hilang, entah di mana jatuhnya, saya sendiri tidak tahu. Pedulikan dengan songkok.

Tiba-tiba saya dapati diri saya sudah berada jauh dalam hutan. Saya tidak mahu sorot kembali, walau apa pun yang terjadi, sepasang anak kucing itu mesti saya tangkap.

Badan saya mula berpeluh dalam sinar matahari pagi yang kian keras. Dalam keadaan yang tercungap-cungap itu, hutan tebal saya redah.

BERHENTI

Sepasang anak kucing itu berhenti dari berlari, masuk ke kawasan yang ditumbuhi dengan pepokok kecil. Tidak jauh dari pepokok kecil itu terdapat sepohon pokok yang amat besar.

Akar-akar berjuntaian di dahan, kerana daunnya terlalu lebat, sinar matahari tidak sampai ke kawasan tanah di bahagian pangkal pokok.

Walaupun begitu, keadaan sekitar kawasan bawah pokok kelihatan bersih.

Dalam sekelip mata sahaja sepasang anak kucing hilang di pangkal pokok besar. Saya kira, anak-anak kucing itu pasti menyembunyikan diri dalam lubang yang terdapat di perdu pokok.

Saya melangkah dengan perlahan-lahan, saya berusaha supaya ranting dan daun kering yang dipijak tidak mengeluarkan bunyi yang akan mengejutkan anak-anak kucing tersebut.

Hidung saya mula terhidu bau yang kurang menyenangkan. Saya yakin bau itu adalah bau binatang.

Tetapi, saya tidak dapat memastikan apakah bau itu dari binatang yang merbahaya atau sebaliknya.

Kerana mahu menangkap anak-anak kucing, bau tersebut tidak saya hiraukan, saya terus berjalan membongkok menyusup di bawah akar-akar yang berjuntaian.

Secara mendadak sahaja hati saya berdebar, kaki saya tidak berdaya melangkah, perkara yang tidak pernah terlintas dalam otak, kini wujud di depan mata. Badan saya berpeluh.

Ya Allah, selamatkan aku dari kecelakaan dan bencana ini. Sesungguhnya, kerana gagal mengawal nafsu dan keinginan membuat aku jadi susah. Mencari celaka sendiri.

Tolonglah, suara batin saya terus meraung. Badan terus menggigil. Perlahan-lahan saya rendahkan badan lalu duduk di balik pokok besar.

Saya kumpulkan tenaga untuk memulakan langkah seribu. Ternyata saya tidak berupaya berbuat demikian.

Saya rasa, maut sudah hampir benar dengan saya. Dalam keadaan terdesak saya teringatkan surah Al-Fil.

Kata Datuk, kalau surah itu dibaca dalam keadaan diri kita terdesak, boleh menguatkan jiwa, berani menghadap sesuatu dengan cekal.

Dengan terketar-ketar saya menyebut surah al-Fil yang bermula dengan: Alam tarakai fafa 'ala Rabukka bi asha bil fil... ayat itu saya ulang berkali-kali. Rasa gementar pun hilang.

Saya serahkan diri saya pada Allah. Kalau janji saya mahu mati di pangkal pokok besar ini, tetap saya terima. Kalau saya terselamat saya bersyukur pada Allah kerana usia dilanjutkan lagi.

Perlahan-lahan saya bangun dan merenung ke arah tanah yang agak lapang. Saya perhatikan sepasang anak harimau (yang pada awalnya saya sangka anak kucing) bermain-main dengan ibunya.

Ekor ibunya bergerak-gerak. Sesekali menampar dan menggigit badan anaknya yang nakal. Entah macam mana, ibu harimau itu terpandang ke arah saya. Ia segera bangun dan membuka mulut, memperlihatkan gigi dan lidahnya.

Semuanya, terpaksa saya hadapi dengan tenang. Hati saya tidak pernah penat membaca Surah Al-Fil. Satu saat mata saya dengan mata harimau bertentangan.

Perlahan-lahan harimau merendahkan badan. Berguling-guling di bumi bermesra dengan sepasang anaknya yang comel.

Saya segera meletakkan telapak tangan ke bibir. Saya terkejut melihat perangai harimau beranak dua itu. Tidak mempedulikan kehadiran saya.

Ternyata harimau itu tidak mahu menjadikan diri saya sebagai musuh utamanya. Saya harus menggunakan kesempatan ini dengan sebaik mungkin.

Ketika itu juga, saya teringat kata orang tua-tua yang berbunyi, "Musuh jangan dicari. Tuah jangan ditolak".

Berpegang pada kata-kata tersebut, saya segera berundur setapak demi setapak.

Setelah dihitung, lebih dari dua puluh tapak saya undur ke belakang dan yakin harimau tidak akan mengikuti saya.

Cepat-cepat saya memusingkan tubuh (membelakangi harimau) lalu memulakan langkah seribu. Saya terus memecut dengan sekuat hati, bagaikan tidak cukup bumi.

Sambil berlari, saya merenung ke belakang. Saya bimbang, kalau harimau beranak dua menyusuri jejak langkah saya.

SELEKOH

Sampai di satu selekoh kecil yang kerap digunakan oleh orang-orang kampung sebagai jalan pintas pergi ke hutan mencari rotan, saya toleh ke belakang.

Dalam perhitungan saya, itulah renungan terakhir untuk harimau dan anak-anaknya.

Beberapa langkah dari selekoh kecil itu adalah kawasan perkampungan yang subur dengan pepohon pisang dan perdu tebu.

“Aduh."

Saya terasa bahu sebelah kanan terlanggar sesuatu yang lembut dan badan saya ikut jatuh bersama benda yang saya langgar itu.

Apa yang saya lihat ialah kepulan awan putih. Saya tidak terdaya mahu merenung ke kiri dan ke kanan. Bila saya gerakkan anggota tubuh terasa sakit.

Dalam keadaan yang agak cemas itu, saya terasa benda yang saya langgar bergerak lemah. Serentak dengan itu saya terdengar desir nafas.

Apakah desir nafas itu dari manusia? Atau dari ular sawa? Timbul pertanyaan dalam diri.

Kata orang, hembusan nafas ular sawa yang tertindih, tidak jauh bezanya dengan hembusan nafas manusia.

Saya jadi panik dan saya kira saya jatuh atas lingkaran badan ular sawa. Saya tidak berani menggerakkan badan dan saya pasrah pada Allah.

Saya segera membayangkan, sebentar lagi ular sawa yang tertindih itu akan membelit tubuh saya lalu menjerutnya dengan sekuat hati.

Segala tulang-temulang saya remuk. Badan menjadi lembik dan ular menelan saya perlahan-lahan.

Benda yang saya tindih terasa bergerak dan sepasang tangan memeluk tubuh saya erat-erat. Saya cuba meronta-ronta. Sehelai daun tebu jatuh atas pipi kiri. Saya mula terasa miang.

“Babi kamu Tamar, lari tak tengok orang,” terdengar rungutan.

Serentak dengan itu badan saya di angkat dan ditolak ke kanan dengan kuat. Saya jatuh atas dedaun tebu kering. Saya terpaksa bangun perlahan-lahan di perdu tebu.

"Kamu tak ada otak”, sambung Mazlan lalu mencabut golok perak di pinggang.

Saya lihat mukanya bercalar terkena tebu muda. Bajunya koyak, kain ikat kepalanya terlucut.

"Kalau orang lain, aku tikam kamu dengan golok ini sampai terburai isi perut. Kamu tengok botol kopi aku pecah, nasi bekal aku habis bertabur atas tanah", lanjut Mazlan yang kerja sehari-hariannya mencari rotan. Saya terdiam.

Saya lihat air kopinya yang meresap ke bumi, saya lihat bekalnya bertaburan. Timbul rasa belas dalam hati.

"Kamu bayar semua ini?”, Mazlan mula mengugut.

"Aku tak sengaja."

"Tak sengaja, kepala bapak kamu."

“Maafkan aku Mazlan, aku tak sengaja."

“Bodoh, sial," kutuk Mazlan.

“Cakap jangan sebarang, silap cakap buruk padahnya," rasa marah mula meruap dalam dada saya.

Terasa malu dan hilang harga diri bila disebut bodoh dan sial. Mazlan yang lebih besar bentuk tubuhnya itu saya renung.

“Ada mata, tak tahu nak guna, lari membabi buta inilah akibatnya. Ada otak tak tahu guna,” Mazlan membakar perasaan saya dengan kata-kata yang amat menyakitkan.

“Kamu juga tak tahu gunakan mata, kalau kamu gunakan mata tentu kamu boleh mengelak bila aku datang," saya meningkah.

Kata-kata itu menaikkan kemarahan Mazlan seratus-peratus. Matanya tidak berkedip merenung muka saya. Mazlan menerpa ke arah saya sambil mengangkat goloknya tinggi-tinggi.

Bila dia menjatuhkan goloknya ke arah bahu kanan saya, cepat-cepat saya mengelak dan melepaskan buah silat lalu menendang tangan yang memegang golok.

Mazlan terdorong ke kiri. Mata goloknya yang tajam sempat merebahkan lima batang tebu dalam sekelip mata.

Andainya saya tidak sempat mengelak, bukanlah satu perkara yang mustahil tali perut saya bertabur atas bumi.

Mazlan yang marah itu terus bangun serta-merta. Dia membuka langkah silat. Saya tergamam. Bukanlah mudah untuk menentang kawan seperguruan.

Masing-masing tahu kelemahan dan kelebihan rentak serta langkah masing-masing. Siapa silap membaca langkah dan lambat bertindak, orang itu pasti tewas.

“Jaga kamu Tamar.”

Mazlan terus menyerang. Saya mengelak lagi sambil menyusun langkah di balik batang tebu. Mazlan bertambah marah.

Dia tahu saya cuba menjadikan batang-batang tebu yang tumbuh itu sebagai perisai.

Dia terpaksa merebahkan batang-batang tebu terlebih dahulu, sebelum menghunuskan mata goloknya ke tubuh saya.

Mazlan terus bertindak macam orang gila. Semua batang tebu yang saya jadikan perisai habis rebah ke bumi. Saya terdesak.

“Hei, kamu tahu, aku langgar kamu tadi kerana harimau kejar aku," saya menjerit.

Langkah silat dan gerak tangan Mazlan yang pantas bergerak, terhenti serta-merta.

“Apa Tamar?”

“Aku dikejar harimau, pasal tu aku lari.”

“Tamar", suara Mazlan lemah. Golok di tangannya terlepas.

“Harimau, aku dikejar harimau," saya bersuara dengan keras dan berpusing ke kanan lalu lari.

“Tamar, nanti dulu,” pekik Mazlan. Saya berhenti berlari dan menoleh ke arahnya.

“Aku tak boleh tunggu kamu, Mazlan. Aku takut."

“Tunggulah, aku maafkan kamu. Jangan tinggalkan aku,” suara Mazlan bertambah lantang.

Rasa belas timbul dalam hati. Ingin sekali saya memenuhi permintaannya.

Bagaimana? Bila sudah berdekatan dia bertindak lain pula, mana tahu dia terus menyerang. Mungkin saya menemui ajal di hujung goloknya atau cedera parah.

Cakapnya, bukan boleh dipercayai. Hati manusia selalu berubah. Sebelum sesuatu yang buruk terjadi. Ada baiknya, saya melupakan tentang dirinya. Pergi jahanam dengan Mazlan. Saya membuat keputusan nekad.

“Maafkan aku Mazlan, aku tidak boleh menolong kamu," jerit saya lalu membuka langkah semula.

Melihat saya tidak mahu menunggunya, Mazlan segera renung kiri dan kanan dengan wajah yang amat cemas.

Beberapa detik kemudian, Mazlan terus membuka langkah seribu. Saya lari arah ke rumah Datuk dan Mazlan lari ke rumahnya. Dia terus berteriak sepanjang masa berlari.

"Tolong, harimau, harimau masuk kampung", teriaknya bertali-tali.

Berjaya menarik perhatian para penduduk kampung. Mereka keluar beramai-ramai ke halaman rumah dengan rasa terkejut dan hairan.

Beberapa orang dari mereka yang turun ke sawah dan ke kebun pagi itu terpaksa membatalkan rancangan mereka.

Anehnya, tidak sampai setengah jam kemudian, keadaan kampung jadi haru-biru.

Bermacam-macam cerita yang menakutkan mula timbul.

MENGADU

"Dah dua orang di baham harimau keramat", kata seorang penduduk yang datang mengadu pada Datuk.

Saya yang kepenatan terus duduk di kerusi kayu dekat tiang seri di bawah rumah.

Datuk pula yang kebetulan baru sahaja pulang dari melihat jerat di kaki bukit termenung sejenak. Wajah penduduk kampung yang singgah di kaki tangga direnungnya.

“Jadi kamu ni nak ke mana?”, tanya Datuk.

“Nak ikut orang-orang kampung menghalau harimau keramat dan nak ambil mayat orang yang dibahamnya," terang penduduk tersebut.

Saya melagakan gigi atas dengan gigi bawah dua tiga kali. Baru setengah jam saya meninggalkan pinggir hutan bermacam-macam cerita terjadi.

“Siapa yang kena baham harimau tu?”

“Zaharin, anak Alang Usman."

“Mana kamu tahu?", soal Datuk bersungguh-sungguh.

Rasa penat yang menguasai diri saya beransur kurang. Saya lihat beberapa orang kampung membawa kayu dan parang berlari ke arah pinggir hutan. Datuk jadi cemas melihat keadaan tersebut.

“Aku baru balik dari kaki bukit, aku tak nampak apa-apa," Datuk menarik nafas sambil menggaru pangkal dagunya.

“Itu saya tak tahu, orang-orang kampung semuanya dah bersiap sedia nak halau harimau."

“Dari mana kamu tahu semuanya ini?", Datuk mula mencungkil rahsia.

“Si Ramli beritahu. Dia dapat cerita dari Suhaimi dan Suhaimi pula dapat tahu dari Syamsuri dan Syamsuri dapat cerita dari siapa saya tak tahu", orang itu menelan air liur.

Di mukanya terbayang keresahan. Tidak suka dirinya disoal begitu.

“Kalau awak nak ikut mari, saya nak bantu orang kampung, kemudian nak cari mayat si Zaharin," orang itu memberi kata putus lalu melangkah meninggalkan Datuk.

Dua tiga kali Datuk gosok pangkal hidung. Dia jadi serba salah. Hati menyuruh pergi, sedangkan fikirannya menyuruh dia bersabar.

Setelah ditilik dan ditimbang dengan teliti, Datuk membuat keputusan untuk mengikut kata hatinya. Datuk segera mengikut langkah lelaki itu.

Dua kali saya memanggil nama Datuk. Sayang, seribu kali sayang, panggilan saya tidak dapat ditangkap oleh gegendang telinga Datuk. Dia memburu lelaki itu.

Mereka bersatu dan melangkah seiring sebaik sahaja sampai dekat pokok tualang yang mati pucuk. Rasa sesal mula bertandang dalam hati. Kerana penat berlari saya tidak dapat menerangkan keadaan sebenar pada Datuk.

Apa yang perlu dilakukan sekarang? Perkara yang wajar dibuat, ikut Datuk dan lelaki itu. Terangkan keadaan sebenar pada mereka. Itu keputusan yang saya ambil.

Tanpa berlengah-lengah lagi saya terus mengejar Datuk. Bukan mudah mahu mendekati mereka. Mereka sudah terlalu jauh.

Saya terus berlari. Saya berazam, bila Datuk menoleh ke belakang, saya akan melambaikan tangan ke arahnya.

Apa yang saya harapkan itu tidak menjadi kenyataan. Datuk dan lelaki itu sampai ke pinggir hutan (di tempat saya melanggar Mazlan hingga jatuh).

Bila saya sampai ke tempat tersebut, Datuk dan lelaki itu sudah meninjau ke arah lain.

Melihat batang-batang tebu yang bersepah. Badan saya berpeluh, saya lihat ramai orang-orang kampung di situ.

Beberapa orang dari mereka memikul senapang kampung berlaras satu dan dua. Sebahagiannya membawa kayu dan parang panjang. Keadaan di situ memang kelihatan sibuk.

Semua yang hadir bercakap besar. Masing-masing mahu membantai harimau jahanam sampai mampus.

Beberapa orang pemuda membawa buluh kuning yang sudah ditajamkan.

“Kamu hidup lagi, tadi dia orang kata kamu dibaham harimau, badan kamu dah dibawa harimau ke dalam hutan", kata Shahril lalu melihat tubuh saya atas bawah.

Dia bagaikan tidak percaya yang dirinya sedang berdepan dengan kawan sekampung yang pernah main gasing dan guli. Malah pernah bertumbuk kerana kalah main congkak.

“Dari mana kamu dengar cerita ni, Sha?”

“Jaafar, dia dapat cerita dari Mazlan", Shahril terus memerhatikan pakaian saya yang terdapat kesan tanah dan koyak.

Dia melihat lengan kanan saya luka dan bercalar. Wajahnya jadi cemas.

“Kau berjaya selamatkan diri dari harimau, kau gunakan ilmu silat menentang harimau, kau memang handal", jerit Shahril hingga menarik perhatian orang-orang lain.

Dalam beberapa detik sahaja saya terus dikerumuni oleh orang-orang kampung. Saya jadi resah. Terasa seram sejuk, bila bercupak-cupak biji mata orang kampung tertumpu ke arah saya.

Dari raut muka dan gerak-geri beberapa orang dari mereka secara terang-terangan mengagumi kehebatan saya.

Mulut Shahril yang tidak terkawal itu terus memuji-muji diri saya. Dalam keadaan yang serba tidak kena itu, saya lihat Datuk dan kawannya berdiri tidak jauh dari depan saya.

“Mana satu yang betul, tadi orang ini mengatakan Zaharin anak Alang Usman yang dibaham harimau. Sekarang dah lain pula orangnya," Datuk melangkah setapak, memisahkan dirinya dari kumpulan orang ramai. Jari telunjuknya masih mengarah kepada lelaki di sebelahnya.

“Siapa di antara kita yang berbohong. Perkara mati jangan dibuat main-main, boleh menyusahkan orang yang hidup, terutama keluarga yang terbabit," sambung Datuk lagi. Semua wajah orang kampung ditatapnya satu-persatu.

“Kamu Sha," jari telunjuk Datuk menghala ke arah Shahril.

"Jumpa Jaafar di mana?”, lanjut Datuk lagi.

“Dekat kedai, dia dapat cerita dari Mazlan," jawab Shahril dengan tenang dan penuh keyakinan.

Orang kampung berpandangan sama sendiri. Mereka masih tertanya sesama sendiri, macam mana cerita seperti ini boleh tersebar dengan luasnya.

“Itu dia Zaharin," kata salah seorang dari kumpulan orang kampung.

Semua biji mata tertumpu arah selatan. Zaharin berjalan dengan tenang keluar dari rerumpun pokok kecil sambil membuka kain ikat kepalanya. Dia mendekati kumpulan orang kampung.

“Kenapa berkumpul? Ada apa-apa masalah?”, tanyanya.

“Kami dapat tahu kamu dibaham harimau," jawab rakan Datuk.

“Dibaham harimau? Siapa yang beritahu?”, Zaharin kehairanan.

“Mazlan," jawab Datuk.

“Hiss. Ini dah mengarut, memang kami berdua nak ke hutan mencari rotan. Saya masuk ke hutan dulu dan berjanji dengannya bertemu di tempat biasa,” Zaharin berhenti bercakap.

Sepasang matanya merenung tepat ke wajah saya. Dia menarik nafas dan melepaskannya dengan perlahan-lahan. Hati orang-orang kampung terus berdebar, menanti cerita darinya.

“Saya tunggu-tunggu, dia tak datang. Saya keluar ni nak cari dia," terang Zaharin dengan wajah kesal.

Dia sendiri terasa aneh, macam mana cerita dirinya dibaham harimau boleh timbul.

“Kita ni sebenarnya, salah faham. Bila dah salah faham kita pula tak mahu mencari macam mana punca salah faham tu boleh timbul," Datuk bersuara dengan rasa kecewa. Tanpa disangka-sangka sepasang mata Datuk tertumpu ke arah saya.

“Kamu ni, apa kena calar-balar? Pakaian koyak-rabak apa fasal? Apa tadi kamu tak terus pulang ke rumah," saya tergamam dengan pertanyaan yang tidak diduga sama sekali keluar dari mulut Datuk. Saya renung ke arah Shahril minta simpati dan bantuan darinya.

“Kamu mesti selesaikan perkara ini, terangkan pada kami kedudukan sebenar. Macam mana kamu dengan Zaharin disebut-sebut sudah dibaham harimau?" terdengar suara dari arah belakang.

Saya renung ke arah Datuk. Dia nampak serius. Tunduk merenung bumi.

“Ceritakan, kami nak tahu siapa yang bawa cerita palsu ini?" terdengar lagi suara dari arah belakang.

“Ya, kami nak tahu," sahut dari sebelah kiri. Saya jadi serba salah.

“Begini mulanya, sa...”, saya tidak terdaya meneruskan kata-kata.

Diganggu oleh bunyi sorakan yang kuat dari arah pangkal kampung. Saya segera menoleh ke arah tersebut. Apa yang saya lihat amat mengejutkan. Mazlan dipegang oleh beberapa orang lelaki dan dibawa ke arah kami.

Mazlan meronta-ronta dan cuba menendang ke kiri dan ke kanan. Usahanya itu tidak mendatang apa-apa hasil. Orang-orang kampung yang memegangnya bukan orang lain tetapi dari keluarganya sendiri.

“Sekarang terangkan pada kami macam mana perkara ini boleh terjadi", Usman, Abang Mazlan yang paling tua bersuara. Mazlan merenung ke arah saya.

“Kau terangkan Tamar," katanya.

“Aku, Mazlan?”

“Ya, siapa lagi kalau bukan kamu.”

“Hum", kata saya lalu renung muka Datuk.

Perlahan-lahan Datuk anggukkan kepala suruh tunaikan permintaan Mazlan. Semua orang kampung yang berada di situ tatap muka saya kembali.

"Tadi balik dari masjid saya nampak anak harimau. Saya ikut sampai dalam hutan dan tengok ibunya. Kemudian saya lari kerana takut. Masa lari tu saya terlanggarkan Mazlan," dengan tenang saya mulakan cerita.

Semua orang kampung terdiam. Masing-masing pasang telinga mahu dengar cerita dari saya.

Tangan Mazlan tidak lagi dipegang oleh keluarganya. Dia dilepaskan. Miang daun tebu jelas kelihatan lekat di pipi dan baju Mazlan. Lengan dan pipinya calar balar. Ada kesan luka dipangkal kening kirinya.

"Bila saya langgar Mazlan, dia terus marah dan nak tikam saya dengan golok," saya sambung kembali cerita yang terputus.

“Lepas tu apa yang terjadi?" soal Abang Mazlan.

"Kami bergaduh. Masa bergaduh tu saya beritahu Mazlan ada harimau kejar saya. Mazlan terkejut. Masa Mazlan tergamam tu saya tinggalkan dia."

"Kamu lari ke mana?" Datuk ajukan pertanyaan.

“Saya lari ke rumah, Mazlan saya tak tahu ke mana dia pergi."

“Habis siapa yang beritahu orang kampung tentang harimau yang mengganas?" lelaki di sisi Datuk menyoal.

Saya terdiam dan terfikir bahawa soalan yang diajukan ada kena-mengena dengan diri Mazlan. Ada baiknya Mazlan menjawab pertanyaan tersebut.

“Saya yang beritahu, saya menjerit sepanjang masa saya berlari. Saya beritahu, harimau, harimau," Mazlan menyelesaikan kebuntuan yang bersarang dalam hati saya.

“Habis, macam mana boleh timbul aku yang kena baham harimau?” mendadak sahaja Zaharin menyoal. Saya lihat Mazlan menarik nafas lemah.

“Masa lari tu, saya jumpa Jaafar. Dia tanya kamu, aku kata kamu di hutan. Itu saja," dengan penerangan Mazlan itu kesilapan kian terserlah.

Dan tanpa diduga, Jaafar yang ada dalam kumpulan orang kampung tampil ke depan.

“Cakap Mazlan tu betul. Apa yang saya dengar saya beritahu orang kampung, saya cuma menambah sikit cerita tu dengan menyebut mungkin Tamar mati dibaham harimau, begitu juga dengan Zaharin yang ikut Mazlan ke hutan. Entah macam mana cerita itu boleh berubah begitu jauh," Jaafar bersuara dengan rasa penuh kesal.

Orang-orang kampung segera gelengkan kepala. Beberapa orang dari mereka segera mencampakkan kayu yang mereka bawa ke dalam hutan. Manakala yang memikul senapang terus mengeluh dengan penuh rasa kesal.

“Semuanya terjadi kerana tidak ada usul periksa, terlalu cepat bertindak ikut perasaan. Apa salahnya bila dah dengar khabar ada yang kena baham harimau pergi tanya keluarganya dulu sebelum beritahu orang lain," lelaki di sisi Datuk melepaskan kehampaan.

Dia wajahnya terbayang rasa kecewa yang amat sangat. Mungkin dia merasa dirinya bersalah kerana menyampaikan berita yang tidak tepat kepada Datuk dan kemudian mengheret Datuk ke mari.

“Tak apalah, jadikan semuanya ini satu pengalaman dan pengajaran. Di masa-masa akan datang jangan diulangi," ujar Datuk dalam nada suara yang lembut.

Dengan penuh hormat Datuk menggesa orang-orang kampung yang berkumpul itu supaya bersurai. Permintaan Datuk diperkenankan.

MARAH

Kerana marah di leter oleh Datuk agak lama, saya mengambil keputusan memprotes perbuatannya itu.

Saya mengelakkan diri dari memandang wajahnya serta tidak mahu bertutur walau sepatah pun perkataan dengannya.

Sejak lepas makan tengah hari, saya terus meninggalkan rumah. Menghabiskan masa dengan kawan-kawan bermain catur di bawah pokok cempedak dekat surau.

Jemu main catur, kami main gasing atau godam. Kawan-kawan bagaikan bersimpati dengan saya. Tidak seorang pun yang mahu bertanya berhubung dengan peristiwa pagi tadi. Mereka melupakan terus bagaikan peristiwa itu tidak pernah terjadi.

“Tamar, aku nak cari kerja, kau nak ikut?”, Najib anak anggota polis yang baru bersara membisikkan ke telinga saya.

Saya tergamam sebentar. Otak saya ligat berfikir, apakah cadangan Najib itu wajar saya terima atau saya tolak.

“Kerja apa kau nak minta?”

“Aku nak minta polis, aku dapat tahu tak lama lagi polis nak cari orang baru. Aku nak minta kerja tu di Alor Setar."

“Kenapa nak pergi ke sana. Alor Setar tu jauh Jib."

“Di sana peluang aku cerah."

"Peluang kau cerah di sana?” saya bertanya hairan.

Sukar untuk menerima alasan yang dikemukakan oleh Najib. Mungkin dia mahu bergurau dengan saya. Mungkin kerana Najib tidak mahu rancangannya diketahui oleh kawan-kawan yang lain dia segera menarik tangan saya menuju ke warung Wak Dollah.

Kami duduk di bangku yang agak tersorok dari pandangan orang ramai. Najib minta dua cawan kopi sambil memberitahu saya:

“Kamu jangan bimbang Tamar, hari ini aku belanja kamu. Tapi, kamu mesti ingat, aku cuma belanja minum saja. Kalau kamu makan kuih, sendiri bayar.”

"Aku tahu, kamu bukannya ada duit sangat."

“Kamu bijak", jawab Najib berjenaka.

Serentak kami ketawa. Beberapa detik kemudian air kopi yang dipesan diletakkan oleh Wak Dollah atas meja depan kami.

“Sebab aku nak ke Alor Setar kerana harapan aku nak dapat kerja cukup cerah", Najib membuka rahsia.

Memang saya tahu, kedua orang tua Najib berasal dari Alor Setar. Datang ke kampung kelahiran saya sejak Najib dilahirkan.

Kedua orang tuanya mahu memperjudikan nasib di rantau orang. Mereka membeli tanah sawah. Ternyata usaha kedua orang tua Najib berhasil.

Dari sekeping tanah, mereka berjaya membeli berpuluh keping tanah sawah dan jadi orang yang agak kaya dan ternama di kampung saya.

“Bapa saudara aku jadi OCPD di Alor Setar, dia boleh tolong rekomen aku. Kalau kamu mahu, dia boleh tolong", satu cadangan dan harapan yang amat baik dari Najib.

Soalnya, apakah Datuk bersedia mengizinkan saya pergi ke Alor Setar mengikut Najib.

“Apa macam nak ikut tak?", tanya Najib.

“Kena tanya Datuk aku dulu."

“Kalau dia tak izinkan, macam mana?”

“Aku tak pergilah.”

“Tapi, kamu nak jadi polis, bukan begitu.”

“Tentu", saya anggukkan kepala.

Najib terus menghirup air kopi. Otak saya terus bekerja untuk mencari jalan bagaimana mahu memujuk Datuk. Kalau permintaan saya tidak diperkenankan apakah yang wajar saya lakukan.

“Kalau Datuk kamu tak kasi, kamu lari saja dari rumah ikut aku", Najib memecahkan kebuntuan yang bersarang dalam kepala saya.

“Itu satu cadangan yang baik tapi, sulit untuk aku kerjakan Najib."

“Tak sulit, kau bukan lari untuk selama-lamanya, lari sehari dua untuk cari kerja. Sama ada dapat kerja atau tidak kau balik juga ke rumah."

“Betul juga cakap kamu Najib", kata saya riang.

Susulan dari keriangan itu, cepat-cepat telapak tangan Najib saya sambar. Buat seketika tangan kami bergoncangan. Mata berpandangan penuh sejuta makna.

“Jadi," kataku.

“Berjaya", sahut Najib.

Senyum kami pun bertambah lebar. Serentak kami menghirup kopi dalam cawan hingga habis.

“Bila kita mulakan?”, saya menyoal tanpa sabar.

“Aku tulis surat dulu pada bapa saudara aku, bila pemilihan itu mahu diadakan, bila dapat jawapan kita terus pergi."

“Kau jangan main dan tipu aku."

“Tidak, aku berjanji," jawab Najib.

Lagi sekali telapak tangan kami bercantum dan bergoncang. Warung Wak Dollah kami tinggalkan.

Saya mula membayangkan betapa hebatnya saya memakai pakaian seragam polis dengan kayu cota di pinggang. Bertindak cergas menangkap orang jahat.

Saya senyum sendirian.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 96/284

BACA: SBDJ Siri 95: Di Kunjungi Gadis Waktu Malam
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

5 Tips Kelangsungan Hidup Yang Sebenarnya Berbahaya Kepada Nyawa Manusia

5 Tips Kelangsungan Hidup Yang Sebenarnya Berbahaya Kepada Nyawa Manusia

Kita seringkali mendengar atau menonton rancangan di televisyen mengenai cara-cara untuk meneruskan kelangsungan hidup sekiranya berada di dalam situasi yang tidak menyenangkan, seperti sesat di dalam hutan, sesat di padang pasir dan ketika kemalangan berlaku.

Tips Ikhtiar Hidup
Gambar hiasan.

Namun, adakalanya tips yang diberikan itu kadangkala merapu dan boleh membahayakan nyawa.

Mari kita lihat beberapa mitos tips kelangsungan hidup serta penjelasan mengapa kaedah ini dianggap merepek.

1. MINUM AIR KENCING

Jika anda pernah menonton rancangan ‘lakonan’ Bear Grylls seperti Man VS Wild, terdapat satu episod dimana akibat kekurangan air, dia mula meminum air kencingnya sendiri yang tersimpan di dalam kulit ular.

Jika kita fikirkan, tips tersebut boleh diikuti memandangkan air kencing juga dikira air yang boleh diminum bagi mengelakkan dehidrasi yang teruk.

Sebenarnya tidak!

Badan kita akan memproses air kencing yang mengandungi kandungan garam natrium yang tinggi dikala badan kita mulai mengalami dehidrasi.

Apabila kita minum air yang mempunyai kepekatan garam yang tinggi ini, kesannya ibarat meminum air laut masin, yang mana hanya akan meningkatkan lagi garam natrium di dalam badan dan menjadikan darah menjadi terlalu pekat sehinggakan darah ini mula menarik kandungan air di dalam sel-sel kita.

Sekiranya sel-sel otak kita mula ditarik airnya, pengecutan otak akan berlaku dan daripada situ, pelbagai masalah akan mulai timbul seperti sawan, tidak sedarkan diri dan yang paling teruk, kematian!

Jadi, tips ini hanyalah mitos dan berdasarkan buku tips kelangsungan hidup bagi tentera Amerika Syarikat (Survival Handbook of United States Army), mereka juga menyatakan perkara yang sama iaitu elakkan daripada meminum air kencing ketika dehidrasi.

2. PEMBEDAHAN CRICOTHYROIDOTOMY

Walaupun perkataan cricothyroidotomy ini panjang dan sukar disebut, penjelasannya mudah sebenarnya.

Pernahkah anda menonton filem di mana apabila seseorang tercekik, dengan pantas hero di dalam cerita tersebut mengambil pen dan menikam bahagian leher orang tersebut, membenarkan dia bernafas semula atau seperti yang disiarkan di dalam filem SAW, di mana polis tersebut menikam dirinya sendiri akibat kepalanya sudah ditenggelami air kesan daripada perangkap yang dibuat.

Jadi, sebenarnya prosedur ini amat jarang dilakukan walaupun di hospital di mana kelengkapan dan staf terlatih cukup untuk mereka melakukannya.

Hal ini kerana peratus kejayaan pembedahan ini teramat rendah walaupun di tangan seseorang yang terlatih dan profesional.

Pada tahun 2016, seorang saintis daripada Jerman mengambil beberapa sukarelawan yang tiada latar belakang perubatan bagi membuat prosedur ini secara hands-on pada kadaver (iaitu mayat yang didermakan ke Universiti untuk tujuan penyelidikan), keputusannya, 9 daripada 10 antara mereka gagal melakukan perkara ini, menjadikan peratus kejayaan hanyalah 10 peratus sahaja.

Teknik yang betul adalah Hemlich maneuvre di mana dalam teknik ini, kita diajar pergerakan untuk meningkatkan tekanan di dalam rongga toraks dan abdomen secara mengejut.

Perbuatan ini boleh memaksa apa-apa makanan atau bahan asing yang tersumbat di saluran pernafasan seseorang.

Anda boleh membuat carian di Youtube di mana terdapat beberapa video menunjukkan teknik yang betul untuk orang dewasa dan kanak-kanak.

3. MENGHALANG GIGITAN LIDAH PESAKIT KANCING GIGI

Sewaktu seseorang itu sedang mengalami sawan, salah satu gejalanya adalah kancing gigi, iaitu otot-otot rahang tiba-tiba mengecut, menyebabkan rahang pesakit menutup rapat mulut dan mengancing gigi atas dan bawah.

Gejala ini ditakuti akan menyebabkan gigitan lidah secara tidak sengaja dan menutup tuang pernafasan seseorang itu.

Ada yang berpendapat supaya meletakkan sudu mahupun kapas bagi mengelakkan kecederaan ini berlaku.

Walaupun tidak dinafikan ada pesakit yang mempunyai kecederaan pada lidah saat mereka kancing gigi, kecederaan yang dialami kebanyakan masanya adalah minor sahaja.

Perbuatan meletakkan sudu contohnya, boleh menyebabkan kepatahan gigi saat gejala ini berlaku dan ada bahaya yang lain muncul apabila serpihan gigi yang patah boleh menutup saluran pernafasan pesakit.

Samalah seperti kapas juga dan bahaya yang lain kepada orang yang ingin menolong akibat digigit jari sehingga putus boleh berlaku.

Tahukah anda, manusia boleh menggigit jari mereka dengan mudah ibarat menggigit lobak merah sahaja.

Otot-otot rahang amatlah kuat dan mampu memutuskan apa sahaja yang diletakkan saat gejala kancing gigi ini hadir.

Perkara yang patut dibuat adalah meletakkan pesakit dalam posisi recovery, iaitu mengiring ke sebelah kanan sekiranya serangan ini berlaku.

Pastikan anda telahpun menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan pertolongan.

4. MINUM AIR DARIPADA POKOK KAKTUS

Mitos ini juga hadir beberapa tahun dahulu di mana saat kehausan akibat tersesat di padang pasir, mereka mula memotong pokok kaktus dalam usaha untuk mendapatkan cecair daripadanya.

Teknik ini sebenarnya amat berbahaya kepada manusia.

Akibat ketandusan air di padang pasir, pokok-pokok kaktus akan mengeluarkan bahan kimia untuk mengelakkan air yang terkandung di dalam pokok itu dicuri.

Bahan kimia ini teramat bahaya kerana boleh menyebabkan gejala muntah dan cirit birit, yang mana bakal menerukkan lagi dehidrasis seseorang itu, sehingga membawa maut.

Walaupun ada beberapa spesies pokok kaktus yang tidak berbahaya dan tidak mengeluarkan bahan kimia tersebut, lebih baik jika kita elakkan terus daripada mengambil peluang ketika masalah dehidrasi ini mendatang.

5. MENGELUARKAN OBJEK DARIPADA BADAN

Tidak kira sama ada ditembak, ditikam atau tercucuk dengan objek-objek tajam, objektif utama untuk menolong mangsa tersebut adalah dengan menstabilkan objek terbabit, bukan menariknya keluar.

Hal ini adalah kerana kadangkala, objek tajam tersebutlah yang berjaya menghentikan pendarahan daripada menjadi lebih teruk.

Sama juga dengan kecederaan akibat ditembak, yang mana mengeluarkan peluru daripada badan mangsa bukanlah pertolongan cemas yang utama.

Kita perlu stabilkan objek berkenaan dan hantar mangsa ke hospital dan biar pakar bedah yang mengeluarkannya di atas meja bedah.

Anda mesti pernah menonton cerita john Wick 2 di mana babak pertarungan dengan Cassian yang berakhir dengan tikaman ke dadanya.

Dia memberi pilihan sama ada untuk menarik pisau tersebut keluar dan mati akibat pendarahan atau membiarkannya terbenam dan mendapatkan pertolongan orang lain.

Jadi, inilah 5 tips kelangsungan hidup yang menjadi mitos dan amat berbahaya jika anda lakukan.

Semoga bacaan hari ini dapat menambah ilmu anda untuk hari-hari mendatang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Ujian Ishihara: Kaedah Mengesan Masalah Penglihatan Warna

Ujian Ishihara: Kaedah Mengesan Masalah Penglihatan Warna

Pernahkah anda membayangkan hidup hanya dikelilingi oleh warna hitam dan putih? Sebenarnya, kehidupan sebeginilah yang dilalui oleh individu yang mempunyai masalah penglihatan seperti buta warna dan rabun warna.

Pencipta ujian Ishihara
Shinobu Ishihara.

Namun, ramai orang mempunyai tanggapan salah tentang rabun warna dengan menyangka ia adalah buta warna.

Untuk pengetahuan anda, individu yang mempunyai masalah buta warna hanya mampu melihat warna kelabu sahaja dan ia sangat jarang berlaku.

Bagaimana ujian rabun warna dilakukan?

Bagi mereka yang telah mengambil lesen memandu, sudah tentu pernah menjalani ujian rabun warna kan? Ujian ini berdasarkan pada gambar bulatan berbintik kecil yang berwarna dan terdapat bayangan bentuk atau nombor di dalamnya.

Jika tidak mempunyai masalah penglihatan, anda dengan mudah dapat membezakan nombor dan bentuk tersembunyi di dalam bintik warna itu.

Sebaliknya, jika anda seorang yang rabun warna, pastinya akan sukar untuk melihat nombor atau bentuk tersebut.

Sejarah 'Ujian Ishihara'

Ujian ini dikenali sebagai 'Ujian Ishihara' kerana nama tersebut diambil dari penciptanya iaitu Dr. Shinobu Ishihara, seorang profesor di Universiti Tokyo dan orang pertama menerbitkan ujian ini pada tahun 1918.

Ujian Ishihara terdiri daripada beberapa plat berwarna yang dipanggil sebagai plat Ishihara yang mengandungi bulatan titik-titik yang terdapat secara rawak dengan warna dan saiz.

Titik-titik di dalam corak itu ada yang berwarna terang dan pudar, yang dapat dilihat oleh individu normal atau sebaliknya.

Keseluruhan ujian Ishihara ini terdiri daripada 38 plat untuk mengenal pasti masalah penglihatan seseorang, tetapi biasanya selepas beberapa plat masalah itu sudah dapat dikenal pasti.

Ada juga ujian yang lebih kecil dan hanya menggunakan 14 plat atau 24 plat.

Plat ini akan memberi keputusan ujian yang berbeza:

Plat transformasi: Individu dengan kecacatan penglihatan warna harus melihat angka yang berbeza daripada individu dengan penglihatan warna normal.

Plat pudar: Hanya individu yang mempunyai penglihatan warna normal dapat mengenali angka tersebut.

Plat angka tersembunyi: Hanya individu yang mempunyai cacat penglihatan warna dapat mengenali angka tersebut.

Plat diagnostik: Bertujuan untuk menentukan jenis cacat penglihatan warna (protanopia atau deuteranopia) dan keparahannya.

Protanopes ialah individu yang tidak dapat melihat merah manakala Deuteranopes ialah individu yang tidak dapat melihat hijau.

Ujian Ketenteraan

Pada masa lalu, Jepun ingin berkembang maju dalam bidang ketenteraan dan oleh itu, mereka memerlukan anggota tentera bijak atau jurutera yang mempunyai penglihatan yang sangat baik untuk berada di dalam bidang yang berunsur teknologi kimia.

Kemudian, Jepun mengadakan pertandingan "The World Class Asian Champion" di mana pertandingan ini akan memilih beberapa pemuda terbaik Jepun dan pakar dalam semua bidang seperti sains, kimia, nuklear, fizik serta pakar senjata.

Hal ini kerana, pakar-pakar sangat dikehendaki oleh kerajaan Jepun untuk meneroka dan mengeluarkan senjata Jepun.

Di samping itu, Jepun juga mengalami beberapa halangan dalam proses pengeluaran dan penyelidikan senjata Jepun ketika ia dimulakan.

Mereka tidak dapat memperbaiki perkembangan teknologi atom dan nuklear kerana sesetengah pakar mereka didapati sukar untuk membezakan warna dalam unsur kimia pembuat nuklear atom untuk senjata.

Masalah ini kemudiannya disampaikan kepada Universiti Tokyo di mana terdapat seorang doktor pakar mata bernama Shinobu Ishihara.

Dr. Shinobu Ishihara dilahirkan pada 25 September 1879, merupakan seorang Opthalmologist Jepun dan mula berkhidmat dalam bidang ketenteraan pada tahun 1910 sebagai pengajar dalam perubatan ketenteraan Jepun.

Di sana, selain memeriksa dan merawat pesakit, beliau juga diminta untuk menguji calon anggota tentera Jepun, sama ada mereka mempunyai masalah penglihatan atau tidak.

Pada mulanya, buku Ishihara adalah hanya lukisan cat air yang menggunakan simbol Hiragana.

Kaedah yang digunakan oleh beliau sangat berkesan dalam memilih ahli tentera Jepun yang mempunyai penglihatan normal dan yang sukar untuk membezakan warna.

Bagi mereka yang menghadapi masalah dalam membezakan warna, mereka diletakkan dalam bidang yang tidak berkaitan dengan elemen kimia manakala bagi yang normal pula dijadikan sebagai jurutera mesin senjata kimia Jepun.

Akhirnya, selepas Dr. Shinobu Ishihara berjaya menyelesaikan masalah tentera Jepun, namanya menjadi lebih terkenal.

Lebih-lebih lagi, apabila beliau menerbitkan sebuah buku khas kepada semua agensi untuk menguji masalah buta atau rabun warna dikalangan anggota.

Beliau telah menerbitkan buku "The Ishihara Color Vision Charts" pada tahun 1918.

Sejak itu, "Ujian Ishihara" menjadi terkenal dan masih menjadi pilihan utama di seluruh dunia sehingga kini untuk mengenal pasti jika seseorang itu mempunyai masalah penglihatan warna.

Selain itu, Dr. Shinobu Ishihara juga telah memberi sumbangan besar dalam kajian trachoma dan miopia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Maksud Mimpi Menyusukan Bayi

Maksud Mimpi Menyusukan Bayi

Anda pernah mimpi bayi? Sama ada nampak bayi (orang lain sedang dukung), dukung bayi atau menyusukan bayi dalam mimpi? Kadang-kadang juga kita mimpi ada orang nak bagi bayi, masa nak dukung tiba-tiba tersedar dari tidur.

Mimpi Menyusukan Bayi
Gambar hiasan.

Ada yang berpendapat mimpi bayi bermakna kita sedang diganggu jin atau lebih tepat sebagai saka namun, apa maksud sebenarnya jika anda bermimpi melihat atau menyusukan bayi?

Adapun mengikut adab Tafsirul Ahlam, mimpi yang boleh ditafsirkan mempunyai 3 kriteria utama iaitu, kekerapan (melebihi 3 kali), waktu dan keadaan pemimpi sebelum dan sesudah bermimpi.

Namun, sang faqir menjawab persoalan di atas secara umum walaupun tidak sepenuh di dalam adabnya.

Adapun mimpi menyusukan bayi terbahagi kepada 3 bahagian iaitu;
  1. Mimpi menyusukan bayi dalam keadaan berdukung.
  2. Mimpi menyusukan bayi dalam keadaan duduk.
  3. Mimpi menyusukan bayi dalam keadaan baring.

Keadaan pertama, iaitu berdukung, itu adalah ru'yah (petanda) bahawa pemimpi ada memberi hajat atau niat kepada seseorang yang masih belum tertunai dan perlu diselesaikan segera kerana orang tersebut amat memerlukannya.

Keadaan kedua, menunjukkan pemimpi dalam keadaan tugas atau hal yang masih belum selesai dan perlu diselesaikan segera.

Keadaan ketiga, pemimpi telah memberi masalah kepada seseorang tanpa disedari dan ianya telah membuatkan orang tersebut benar-benar dalam kesusahan.

Ukhuwwah

Jika pemimpi bermimpi memberi susu kepada seseorang dan seseorang itu amat dikenalinya, itu petanda ukhuwwah antara mereka amat rapat.

Jika bermimpi menerima susu dari seseorang, itu petanda akan beroleh keberkatan dari ukhuwwah yang terbina.

Gangguan Saka?

Adapun pendapat tentang mimpi adalah petanda adanya gangguan saka, tidak boleh melihat kepada mimpi menyusukan sahaja, kerana untuk itu perlu ada kesinambungan lain untuk dikaitkan dengan saka.

Sekiranya kita bermimpi menyusukan bayi, itu antara lain membawa maksud badan kita akan menerima kesakitan ataupun keletihan, kerana susu itu adalah darah.

Bagi perawat yang arif mereka akan menceritakan mimpi sebegitu bukanlah membawa maksud pesakit itu akan menerima saka keturunan semata-mata, kerana sempurna mimpi saka keturunan melalui mimpi menyusukan bayi seseorang itu haruslah mencukupi syaratnya.

Syaratnya, seseorang itu akan bermimpi akan menyusukan bayi, setelah kenyang ia akan terbang atau menaiki bukit yang tinggi, kemudian akan turun ke bawah untuk duduk atau berdiri di air longkang atau air kumbahan lalu matanya menjadi merah seperti biji saga dan harus bermimpi berulang kali barulah mimpi itu petunjuk yang benar.

Sekiranya seseorang itu telah bermimpi sedemikian maka sempurnalah syaratnya maka sahlah ia mempunyai saka keturunan.

Perlu dan PENTING untuk diingat, mimpi menyusukan bayi bukan satu-satunya tanda adanya gangguan SAKA.

Semoga beroleh manfaat dari ALLAH.

p/s: Ini adalah untuk pengetahuan dan pembacaan semata-mata dan bukanlah sebagai kepercayaan 100%.

Wallahu A'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: fb

Thursday, July 25, 2019

3 Herba Hilangkan Bengkak Tonsil Secara Semulajadi

3 Herba Hilangkan Bengkak Tonsil Secara Semulajadi

Tonsil atau sakit pada bahagian tekak memang perit, lebih-lebih lagi ketika hendak makan atau minum dan kadang-kadang kesakitan itu menyebabkan anda tiada selera untuk makan sekali gus membuatkan badan menjadi lemah.

Bengkak Tonsil
Gambar hiasan.

Pun begitu, anda jangan risau. Kami cuba kongsikan anda petua bagaimana untuk merawat bengkak tonsil sehingga sembuh dengan 3 herba dibawah.

1. Daun Pudina

Ambil segenggam daun pudina, didihkan bersama secawan air. Kemudian tapis dan tambah satu sudu madu. Minum dua hingga tiga kali sehari.

Daun pudina mempunyai kandungan bakteria, jadi virus yang membiak pada bahagian tonsil dapat dihapuskan.

2. Kulit Kayu Manis

Campurkan satu sudu kulit kayu manis dan dua sudu madu ke dalam secawan air panas.

Amalkan pengambilan dua hingga tiga kali sehari selama seminggu untuk mendapatkan kesan terbaik.

Tahukah anda bahawa kulit kayu manis memiliki agen anti mikrob yang dapat menjadi penawar kepada tonsil.

Ia mempunyai keupayaan untuk menghalang pembiakan bakteria pada tonsil dan mengurangkan bengkak.

3. Kunyit

Ambil satu sudu kunyit serbuk dan campurkan ke dalam segelas susu panas. Amalkan dua kali sehari untuk mendapat kelegaan dengan cepat.

Kandungan penyembuh yang ada pada kunyit mampu melawan pembiakan bakteria dan virus yang menyumbang kepada jangkitan.

Bengkak akan berkurangan dengan pengambilan kunyit kerana ia membantu menguatkan sistem imunisasi tubuh anda.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Wednesday, July 24, 2019

SBDJ Siri 95: Di Kunjungi Gadis Waktu Malam

SBDJ Siri 95: Di Kunjungi Gadis Waktu Malam

Macam dikejutkan sesuatu, saya terus terjaga. Saya lihat jam tua di tangan. Sudah pukul dua pagi. Badan terasa dingin. Saya segera beredar ke katil. Sebaik sahaja saya rebahkan badan di katil, perempuan yang saya temui di kaki bukit berdiri di hujung katil.

Toyol jadi-jadian

Mempamerkan senyum seiring dengan renungan dari sepasang mata yang tajam. Saya tergamam, tidak tahu apa yang harus saya lakukan.

"Ubah tempat tidur?"

Saya terus membisu.

"Sudah kamu tanya pada orang-orang di sini tentang diri aku?"

Saya gelengkan kepala.

"Cuba tanya nenek kamu, tentang anak Haji Rashid yang bernama Siha. Dia tentu dapat memberikan jawapan yang tepat."

Saya kerutkan dahi, masih belum dapat mengucapkan sesuatu. Dada saya cemas dan sekujur tubuh berpeluh di malam yang begitu dingin. Saya renung kiri kanan, atas dan bawah.

Suara Datuk dan guru agama masih kedengaran. Mereka tidak lagi berbincang masalah agama, tetapi mereka membaca Quran. Saya cuba menyebut nama Datuk, malangnya suara saya bagaikan tersekat di kerongkong.

"Kamu takut dengan aku? Kamu nak panggil Datuk kamu?"

Saya anggukkan kepala.

"Datuk kamu juga kenal aku, sampaikan salam aku padanya."

"Eh, kenapa kau tak jumpa dengannya sendiri, bukankah kamu berada di rumahnya?" secara mendadak sahaja saya bersuara. Saya renung mukanya.

Kali ini, saya merasakan diri saya seperti memperoleh kekuatan tenaga yang tersendiri. Saya cuba bangun.

"Aku segan", katanya spontan.

Perempuan yang menamakan dirinya Siha terus duduk di bibir katil. Jari-jemarinya menekan permukaan tilam. Saya resah.

"Biar aku beritahu tuk yang kamu ada di sini."

"Tak payahlah, aku datang cuma nak tengok kamu saja."

"Sebenarnya, aku tak suka kamu datang ke sini lagi."

"Baiklah, kalau kamu tak suka, biar aku balik dulu," sebaik sahaja perempuan itu mengakhiri kata-katanya dia terus ghaib dari pandangan saya. Saya terus mengucap beberapa kali.

Saya segera merasa telinga dan bibir. Saya menarik nafas panjang. Saya tidak berkhayal dan juga tidak bermimpi. Saya berada di alam nyata.

Aneh, kenapa perkara yang tidak masuk di akal itu terjadi di depan saya. Kalau diceritakan pada orang lain pasti jadi bahan ketawa.

Dahi segera saya kedutkan. Badan saya mula menggigil. Saya cuba berdiri di lantai, ketika itu saya terasa badan terlalu ringan dan sepasang kaki yang bagaikan tidak mampu mengimbangi berat badan.

Saya terlayah ke kiri dan ke kanan. Saya rebah ke lantai. Datuk dan guru agama segera mendekati saya.

Apa yang saya dengar hanya bunyi kokok ayam hutan bertalu-talu memekakkan telinga. Saya juga terlihat rimbunan hutan tebal. Saya bagaikan berada di dalam hutan yang amat besar.

Saya melihat ular sawa, harimau dan gajah. Semuanya menerkam ke arah saya. Apa yang terdaya saya lakukan ialah menjerit sekuat hati dan cuba melarikan diri dari berdepan dengan semua binatang tersebut.

Dalam keadaan yang berhempas pulas itu, saya terasa ada telapak tangan menyentuh dahi saya.

Daun telinga saya seperti dihembus sesuatu dan diikuti dengan suara lembut mengucapkan kalimat dari Surah Al-Fatihah dan Surah An-Nas berkali-kali.

Harimau, gajah, ular dan hutan tebal yang wujud di depan saya terus ghaib. Diganti dengan lautan yang bergelombang lembut.

Lubang telinga saya terus disumbat ayat-ayat suci yang biasa saya dengar malah pernah saya ucapkan. Makin jelas kalimat-kalimat suci itu masuk ke telinga saya. Makin samar-samar gelombang air laut di depan mata dan akhirnya terus ghaib.

Saya mula melihat tubuh Datuk, nenek dan guru agama. Semua menghadap ke arah saya dengan wajah yang tenang.

Mulut guru agama terus membaca ayat-ayat suci. Dari gerak mulutnya saya yakin, guru agama itu masih membaca Ayatul Kursi dengan penuh khusyuk.

"Bangun anakku," guru agama tepuk bahu kanan saya.

"Kau sebenarnya tidak apa-apa," sambungnya dengan tenang.

Senyum terus terpamer di kelopak bibirnya. Saya segera menggosok pangkal hidung beberapa kali. Nenek segera mendekati saya, badan saya dipicitnya penuh kemesraan. Datuk tidak berkata apa-apa. Matanya tidak berkedip merenung wajah saya.

"Masa kamu tak sedar tadi, apa yang kamu nampak?" soal guru agama.

"Bila saya tak sedar, bila?" saya menyoal guru agama kembali. Datuk menarik nafas panjang. Dia terus mendekati saya.

"Apa yang kamu nampak tadi?" tanyanya.

"Saya nampak..." saya tidak dapat meneruskan kata-kata. Saya cuba mengingati sesuatu.

"Kamu nampak binatang, kamu nampak laut?" tiba-tiba Datuk bersuara.

Saya segera anggukkan kepala. Datuk renung muka guru agama. Cepat-cepat guru agama melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali.

"Lupakan apa yang kamu ingat,"ujar guru agama penuh sopan. Saya segera mengangguk. Nenek saya lihat menarik nafas lega.

"Tidurlah, kau tak apa-apa, tidurlah," Datuk seperti memujuk.

"Tidur cu," sahut nenek.

Saya pun merebahkan badan atas katil. Datuk dan guru agama segera meninggalkan saya, tetapi nenek masih setia menunggu saya di hujung katil. Mata saya masih tertumpu kepada lelangit rumah.

Saya berpusing ke kiri, berpusing ke kanan. Perasaan terasa tidak tenteram sekali.

Nenek mengikuti gerak-geri saya dengan teliti. Sesekali dia meletakkan telapak tangan kanannya ke dahi merasa suhu badan saya. Kalau panas sudah pasti saya demam.

"Kamu tak demam Tamar. Hawa badan kamu macam biasa."

"Memang saya tak demam nek."

"Tapi kamu aku tengok resah tak tentu pasal."

"Hum..."

Saya menelentangkan badan. Nenek menyelimutkan sepasang kaki saya dengan gebar. Mungkin kerana rasa mengantuk yang amat sangat, nenek terus merebahkan badannya di lantai.

Tidak sampai sepuluh minit, nenek terus berdengkur. Saya terdengar suara perempuan memanggil nama saya di halaman rumah.

Saya segera membuka tingkap. Saya lihat perempuan yang baru mengunjungi saya sebentar tadi berdiri di tengah halaman sambil tersenyum ke arah saya.

Kali ini dia memakai baju kebaya dan kain putih bersih. Rambutnya terhurai atas sepasang sayap bahu. Tangan kanannya melambai-lambai ke arah saya.

Tingkap segera saya rapatkan. Mungkin ketika daun tingkap itu bercantum telah mengeluarkan bunyi yang menyebabkan nenek terjaga dari tidur. Dia terkejut melihat saya meninggalkan katil.

"Kenapa Tamar?"

Pertanyaan nenek tidak saya jawab. Cepat-cepat saya melangkah dan terus duduk di bibir katil. Sikap membisu saya menimbulkan rasa tidak puas di hati nenek.

Dia segera mahu mendapatkan Datuk yang berada di ruang tengah rumah. Sebelum nenek melangkah hasratnya itu saya halang.

SAYU

Saya bersyukur pada Allah. Nenek masih mahu mematuhi permintaan saya. Dia duduk di bibir katil merenung sayu ke wajah saya. Saya terus didakap keresahan yang memanjang.

"Kenapa kamu bangun Tamar?"

"Sengaja bangun, nek. Tak ada apa-apa nek."

"Dengan aku kamu nak berbohong?" nada suara nenek merendah.

Mengandungi rasa hampa dan kecewa yang amat sangat. Saya rasa bersalah kerana memperlakukan demikian pada nenek.

"Nek kenal tak dengan Siha, anak Haji Rashid?"

"Kenapa dengan dia Tamar?"

"Masa saya pergi ke kaki bukit menengok jerat, saya jumpa dengannya. Dia kata ayam hutan di kaki bukit kepunyaannya."

"Baa...", mulut nenek terlopong macam orang terkejut besar.

Dia renung kiri kanan. Nenek segera meraba pangkal leher dan terus termenung panjang.

"Agaknya kamu ni mimpi Tamar?"

"Tidak nek, tadi dia datang dan kirim salam pada nenek dan Datuk."

"Eh, kamu jangan bergurau Tamar."

"Saya tak bergurau nek. Kenapa nek?" saya minta satu kepastian darinya.

Nenek terus gelengkan kepala beberapa kali. Saya bertambah takjub. Kedinginan dinihari kian kuat menguasai kulit tubuh.

"Kenapa dengan perempuan tu nek, saya tak pernah dengar nama Haji Rashid dan anaknya, Siha."

"Kedua-dua manusia tu berada di kampung ni sebelum kamu dilahirkan. Aku kenal baik dengan kedua-duanya. Haji Rashid tu kawan Datuk kau. Anaknya, si Siha memang terkenal dengan kecantikannya."

"Begitu," saya segera memotong kata-kala nenek.

Saya lihat nenek tersenyum. Nenek dapat membaca rahsia hati saya yang memang minat dengan cerita yang diluahkannya itu.

"Masa zaman Jepun, Haji Rashid di tangkap kerana menentang tentera Jepun. Dia dipancung hingga mati, mayatnya dibawa ke Pulau Pinang. Sampai sekarang tidak ada sesiapa yang tahu di mana kuburnya", nenek memulakan cerita di malam yang kian mendekati siang. Saya segera melompat dari katil lalu duduk di sisi nenek.

"Anak perempuannya bagaimana nek?" tanpa sabar-sabar saya terus menyoal nenek yang kelihatan terpinga-pinga.

Perlahan-lahan nenek membetulkan silanya. Renung kiri kanan, macam ada sesuatu yang dibimbangkannya.

"Apa dah jadi pada Siha, bila ayahnya mati?", saya mendesak.

Nenek menggigit bibir. Dia keberatan untuk menerangkan tentang Siha.

Kenapa? Apakah Siha sudah meninggalkan sumpahnya? Apakah cerita diri Siha memang jadi rahsia?

Macam-macam persoalan dan pertanyaan timbul dalam tempurung kepala saya. Muka nenek saya tatap.

"Panjang dan sedih ceritanya," nenek memulakan. Silanya diperkemasnya.

Kedinginan terus menggigit kulit tubuh. Suasana dinihari terasa amat sunyi. Saya tumpukan seluruh perhatian pada nenek. Saya berdoa, semoga nenek tidak akan memberhentikan cerita tentang Siha, anak gadis Haji Rashid separuh jalan.

"Sayang, gadis yang baik tu jadi korban.”

"Korban siapa nek?"

"Korban nafsu tentera Jepun. Dua bulan sesudah ayahnya hilang, ibunya pula meninggal dunia. Dia marah pada Jepun, dia berpendapat semua kecelakaan yang terjadi tu, berpunca dari Jepun."

"Jadi apa yang dilakukannya nek?"

"Dia terus menyerang pondok kawalan tentera Jepun di kepala simpang dengan pelepah kabung yang sudah ditajamkan, senjata tu dipanggil selegi kabung.”

“Berapa orang yang dibunuhnya nek?”

“Tiga orang.”

“Hebat orang perempuan bunuh tiga orang askar Jepun.”

“Bukan sebarang perempuan, dia tu pendekar. Alang-alang lelaki jangan cuba nak rapat,” nenek terus senyum panjang.

Sebaik sahaja nenek selesai bercerita terdengar tapak kaki orang memijak dedaun kering di luar rumah. Saya renung muka nenek. Tidak lama setelah itu terdengar suara perempuan batuk.

Bulu roma saya mula tegak. Badan saya terus menggeletar bila terdengar bunyi suara orang perempuan berbisik sesuatu di luar rumah.

Saya cuba mengamati buah butir perkara yang dibisikkan. Semuanya tidak jelas dan sukar di mengertikan.

“Jangan pedulikan semuanya itu,” Datuk urut ibu jari kaki kanannya berkali-kali.

Nenek kelihatan tenang. Malah terus bangun menuju ke arah pintu. Saya kira nenek mahu membuka pintu. Perkiraan saya itu tidak tepat. Nenek hanya berdiri di situ buat beberapa ketika. Kembali mendekati saya.

“Entah macam mana, Siha dapat diberkas oleh tentera Jepun. Tujuh orang tentera Jepun menangkapnya,” sambung nenek.

“Kemudian dia dibunuh?” tanya saya.

“Tidak.”

“Dia diperkosa tentera Jepun sampai mati?”

“Juga tidak.”

“Habis, apa yang jadi padanya, nek?”

“Dia berjaya melepaskan diri dan terjun ke dalam sungai dan terus hilang sehingga sekarang.”

“Ke mana agaknya dia menghilang, nek?”

“Entah,” nenek menggelengkan kepala.

Tetapi, nenek berpendapat sebagai makhluk, Siha pasti mati. Kalau masih hidup tentu dia kembali ke kampung halamannya.

Lebih-lebih lagi bila dia mengetahui keadaan negaranya yang sudah bebas dari penjajahan Jepun dan Inggeris.

“Masa Jepun menyerah pada orang putih, ada orang melihat Siha berdiri di tepi tebing sungai waktu senja, kemudian ada orang melihat Siha bermain-main di halaman rumahnya waktu terang bulan. Bila ada orang-orang kampung menyebut namanya, dia akan datang dekat orang yang menyebutnya.”

“Berapa lama masa dia datang tu nek?”

“Sekejap aje, lepas tu dia hilang entah ke mana. Masa darurat dulu ada orang ternampak dengannya. Kemudian orang-orang kampung baca Yasin beramai-ramai. Dia terus hilang, sekarang dia datang balik. Anehnya, dia mencari kamu", nenek menamatkan ceritanya.

Dan saya tidak mahu bertanya tentang Siha pada nenek lagi.

Saya kembali atas katil semula. Nenek masih duduk sambil berdiri lutut. Perlahan-lahan saya rebahkan badan atas katil untuk beberapa detik sahaja. Saya bangun kembali.

"Apa yang kita dengar tadi nek, boleh jadi suara Siha?" saya tatap wajah nenek.

"Dia sudah tak ada, jangan fikirkan tentang dirinya. Kau tidur, jangan fikirkan perkara yang bukan-bukan. Kalau dia datang biar aku selesaikan," jawab nenek.

Saya menarik nafas panjang-panjang. Rebahkan badan atas katil, kembali merenung lelangit rumah. Saya baca beberapa ayat Quran untuk mencari ketenangan dan akhirnya saya terlelap.

Bila kelopak mata saya buka, nenek sudah tiada di sisi. Rasa marah dan geram mula bersarang dalam dada. Kenapa saya ditinggalkan sendirian. Ini sudah keterlaluan? Di mana letaknya rasa kasih sayangnya pada saya?

Dalam keadaan yang serba tidak kena itu, terdengar suara azan Subuh sayup-sayup menyentuh gegendang telinga.

Saya segera bangun lalu menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Keluar dari bilik air, saya lihat nenek berdiri dekat pintu dapur. Dia merenung ke arah saya dengan senyum.

"Cepat, Datuk dan kawannya menanti di kaki tangga."

"Hum, saya fikirkan tadi nak sembahyang di rumah."

"Sudahlah, jangan banyak cerita. Pergi siap."

Saya terus masuk bilik. Pakai kain sarung dan baju kemeja putih. Songkok hitam saya letak melintang di kepala. Melangkah keluar menuju ke pintu.

"Apa yang kamu tanya, apa yang kamu rasakan, semuanya sudah nenek sampaikan pada Datuk kamu", kata nenek sebaik sahaja saya melintas di depannya.

"Kenapa nenek cerita dengan Datuk?"

"Itu cara yang baik, barangkali dia lebih banyak tahu perkara begitu dari aku.”

“Tapi, saya tak suka, nek."

“Suka atau tidak, perkara tu dah terjadi.”

Saya diam dan terus menggabungkan diri dengan Datuk dan guru agama yang menanti di kaki tangga.

Kami meredah kabus pagi yang bangkit dari permukaan tanah kampung. Langkah terus dipercepatkan.

Sampai di masjid terus tunaikan sembahyang fardu dengan berimam tuan guru. Lepas itu diadakan kuliah Subuh. Kali ini memperkatakan tentang ilmu Tauhid.

Selesai mengikuti kuliah Subuh, semua para jemaah bersarapan pagi di luar kawasan ruang sembahyang. Seorang penduduk yang baik bati menyediakan makanan dan minuman untuk sarapan.

Satu hal yang membanggakan diri saya, orang kampung yang baik hati itu tidak pernah memberitahu pada para jemaah yang dia menyediakan sarapan pagi setiap kali kuliah Subuh diadakan. Hanya tuk siak dan bilal sahaja yang tahu.

Saya tidak tahu, siapakah manusia dermawan di kampung tumpah darah saya itu. Memang sukar untuk mengesaninya.

Siak dan bilal tetap bersikap tutup mulut. Bagi mereka memberitahu nama penderma pada orang lain adalah perbuatan tidak amanah dan bersubahat menggalakkan amalan riak serta takbur dalam masyarakat Islam.

Bagi orang-orang kampung, mereka menderma dengan rasa ikhlas pada saudara seagama dan sebangsa.

Bukankah meringankan beban saudara seagama itu memang dituntut oleh Allah. Tetapi, bila pertolongan itu jadi bualan atau dihebohkan, perbuatan begitu memang tidak baik dan tidak digalakkan oleh Allah dan boleh mengurangkan pahala dari amalan yang kita lakukan.

Orang-orang kampung rata-ratanya mendapat pendidikan dari sekolah atap di zaman penjajah begitu patuh dengan ajaran agama. Mereka tidak buat apa yang ditegah.

Mereka lakukan apa yang disuruh oleh Allah dengan rendah hati dan penuh kejujuran. Mereka bercakap benar. Menjaga amanah yang diberikan.

Jika ada orang hulurkan wang derma untuk surau atau masjid, wang itu tetap digunakan untuk masjid, tidak hilang di tangan atau menjadi hak orang lain.

Orang yang menderma pula tidak minta resit atau sebarang tanda yang mereka telah menderma.

Prinsip mereka mudah sahaja. Tugas mereka hulurkan derma dengan ikhlas. Tugas orang yang menerima derma mesti menjalankan kewajipan dengan betul hingga derma itu dapat di manfaat seperti yang diingini.

Kalau tukang kumpul derma menggelapkan wang derma tersebut, itu adalah urusan dirinya dengan Allah.

Orang yang menderma tak perlu mengheboh-hebohkan perkara tersebut. Tidak perlu menceritakan keburukan pengutip derma pada oran.

Perbuatan membuka pekung seseorang pada orang lain adalah perbuatan yang ditegah oleh Allah.

Orang yang wajar bertindak ialah ahli jawatankuasa masjid atau surau. Mereka boleh bermuafakat dengan orang yang melakukan kesilapan.

Minta orang yang terlibat membetulkan kesilapan yang dibuat. Kalau orang yang terlibat tidak mahu, perkara tersebut dibawa ke pengetahuan pihak yang berkuasa.

Biasanya, orang yang melakukan kesilapan akan insaf dan terus membetulkan kesilapan yang dibuat.

Bila perbuatannya dibetulkan, dia akan bertindak meninggalkan kampung, berpindah ke tempat baru. Malu merenung muka penduduk kampung.

Kalau tidak pindah, dia akan mengadakan majlis pertemuan dengan orang-orang kampung dalam masjid.

Dalam majlis pertemuan itu, pak imam akan bertindak sebagai kepala. Menerangkan pada orang kampung apa yang terjadi.

Kemudian, orang yang melakukan perbuatan salah itu segera bangun secara terbuka tentang perkara yang dilakukannya.

Bila orang-orang kampung memberi jawapan yang mereka memaafkan perbuatannya itu, orang tersebut akan menemui setiap orang kampung. Majlis minta maaf itu akan diakhiri dengan pembacaan doa.

Orang-orang kampung diingatkan jangan mengungkit-ungkit perkara tersebut oleh pak imam.

Biasanya, bila sudah diingati begitu, tidak ada seorang pun yang berani menyebut-nyebut perkara yang lalu.

Di kampung, imam dihormati dan buah fikirannya dikagumi. Biasanya, orang yang jadi imam orang yang sudah berumur, luas pengetahuan agamanya.

"Tamar, apa yang kamu ingat?"

Saya segera garu pangkal leher. Renung ke kanan, menatap wajah kawan yang menegur saya.

Dia ketawa kecil. Renung hidangan di depan. Nasi lemak dan air kopi masih seperti tadi, tidak berubah tempat.

"Sejak duduk tadi, aku tengok kamu menung aje, tengok orang dah selesai makan, barang makanan kau tak jamah", tambah kawan itu.

"Aku memikirkan sesuatu."

"Apa yang kau fikirkan?"

"Tentang orang yang menyediakan sarapan pagi ni."

"ltu bukan urusan kita. Itu urusan penderma dengan Allah. Urusan kita ialah makan apa yang ada di depan kita."

"Betul juga cakap kamu", balas saya.

Kami ketawa dan saya pula menjamah sarapan pagi.

Selesai sahaja bersarapan, saya terus mendekati Datuk dan guru agama yang menanti saya di halaman masjid.

Para jemaah seorang demi seorang pulang ke rumah masing-masing di bawah keramahan sinar matahari pagi.

"Datuk kamu dah ceritakan pada aku, apa yang kamu alami," guru agama itu renung muka saya dengan senyum.

Saya tidak memberikan sebarang jawapan. Saya kira kisah itu tidak wajar diceritakan pada manusia seperti guru agama. Boleh mengganggu tugasnya.

"Perkara seperti itu tidak mustahil, apa yang mesti kamu fikirkan ialah betapa Maha Kuasa Allah. Boleh mengadakan sesuatu yang tidak pernah kita fikirkan," lanjut guru agama itu lagi.

Saya renung muka Datuk. ingin mendengar pendapat darinya. Datuk terus membisu.

Dalam saat-saat demikian, saya kira tidak ada gunanya mengenangi apa yang telah terjadi. Saya mahu segera pulang ke rumah.

"Syaitan tak akan berhenti dari menguji keimanan manusia. Bila dunia dah kiamat, dah hancur baru syaitan berhenti menyesatkan manusia," terdengar suara Datuk seperti orang merungut.

Guru agama yang berdiri tidak jauh darinya dapat mengikuti dengan teliti apa yang diucapkan oleh Datuk.

"Ini sudah jadi perkara biasa. Kita harus mengawal diri supaya jangan terpengaruh, terutama mengawal keinginan dan nafsu", sahut guru agama sambil meraba-raba pangkal dagunya dua tiga kali.

"Barangkali ini ujian untuk manusia."

"Perkara ini, bukannya barangkali, tetapi memang benar dihadapkan pada manusia untuk menguji sejauh mana kemampuan akal fikiran manusia digunakan dengan sebaik mungkin."

"Ya, itulah kebesaran Allah," ucap Datuk setelah mendengar kata-kata yang dihamburkan oleh guru agama.

Guru agama terus mendekati saya. Bahu saya ditepuknya dua tiga kali. Matanya menatap seluruh wajah. Dia senyum.

"Bila kamu diberikan kekayaan, kau jangan lupa kekayaan itu bukan milik kamu."

"Sebab?" saya bertanya.

"Kekayaan itu milik Allah, kau cuma diberikan amanat, untuk menjaga dan menggunakannya. Di akhirat nanti, cara kita menggunakan dan memanfaatkan kekayaan akan disoal."

"Oh," mulut saya terlopong.

"Kekayaan yang ada itu, pada bila-bila masa saja boleh diambil oleh Allah dengan berbagai-bagai cara seperti dicuri orang, terbakar dan macam-macam lagi."

"Begitu," saya anggukkan kepala.

Senyum guru agama bertambah lebar. Datuk tetap memperhatikan dengan teliti segala tindak-tanduk guru agama pada saya. Sesekali saya lihat Datuk senyum.

"Eloklah diberikan nasihat padanya," suara Datuk meninggi.

"Bukan nasihat, kami bercerita," jawab guru agama.

"Bercerita?", saya terkejut.

Datuk terus ketawa. Saya tidak tahu apa yang menggelikan perasaannya hingga Datuk ketawa begitu.

"Saya bercerita, terpulanglah pada kamu untuk gunakan akal fikiran, apakah perkara yang saya ceritakan itu memang benar atau tidak? Kalau benar atau betul kau ikut, kalau salah kamu buang," lanjut guru agama.

"Cucu saya tu, tak faham bercakap macam tu, dia tak faham bahasa kiasan," sahut Datuk.

''Tak apa, suatu hari nanti dia akan faham," sanggah guru agama.

Datuk anggukkan kepala. Setuju dengan pendapat guru agama tersebut.

Panas pagi mula beransur keras, langit nampak cerah dengan gumpalan awan putih bersih.

Guru agama segera mendekati Datuk. Hulurkan tangan. Buat beberapa saat tangan mereka bergoncangan.

"Saya balik dulu", lembut suara guru agama.

"Selamat jalan. Kalau ada umur kita jumpa lagi."

"Saya juga berharap macam tu. Jaga cucu awak baik-baik."

"Insya-Allah", jawab Datuk.

Kami pun berpisah dengan guru agama tersebut. Kata Datuk, rumah guru agama agak jauh. Kira-kira lima puluh batu dan terpaksa naik bas.

"Berapa dia dapat duit mengajar tuk?"

"Hum...", Datuk seperti tersentak.

Langkahnya terus dimatikan matanya merenung langit dan awan.

"Kenapa kamu tanya macam tu Tamar?"

"Setahu saya, bila seseorang itu dipanggil guru dia dapat gaji macam guru sekolah, ada kereta dan rumah tapi guru ini naik bas pula?"

Datuk menggaru kulit pipinya yang tidak gatal. Perjalanan yang terhenti diteruskan kembali.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 95/284

BACA: SBDJ Siri 94: Penjaga Ayam Hutan
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Cara Mengenali Penagih Syabu

Cara Mengenali Penagih Syabu

Syabu adalah dadah yang popular di masa kini dan membelenggu ramai anak muda yang tidak menyangka kesan ketagihannya amatlah teruk sekali sehingga boleh membuatkan mereka bertindak aggresive untuk mendapatkannya.

Penagih Syabu
Gambar hiasan.

Malangnya, ada tokan-tokan syabu ini yang sengaja memujuk mangsa untuk mencuba buat pertama kali agar mereka ketagih dan akan mengulangi pembelian syabu melaluinya (repeat order).

Syabu memang dadah yang patut diperangi dan dihapuskan. Harganya yang mahal (100miligram lebih kurang RM50 ke RM70) membuatkan ramai penagih syabu sanggup melibatkan diri dengan jenayah seperti ragut, rompak dan mencuri untuk memenuhi kehendak mereka. Ada juga yang sanggup membunuh keluarga sendiri.

Jadi, anda perlu tahu serba sedikit maklumat mengenai syabu untuk mengenalpasti sama ada orang terdekat terlibat dengan ketagihan syabu ataupun tidak.

Tanda ketika awal kesan pengambilan syabu

Antara tanda awal seseorang itu menghisap syabu ialah self-confident yang tinggi, menjadi sangat ramah, orang yang tidak kenal pun boleh jadi kawan untuk pertemuan kali pertama.

Anda mulakanlah bicara tentang apa-apa topik pun, pasti mereka juga sama arif setanding dengan pengetahuan anda.

Perasaan ceria dan gembira dicampur dengan mulut yang ramah pasti membuatkan anda senang bersama mereka, namun ia hanya untuk seketika.

Tanda hujung-hujung kesan pengambilan syabu (di jalanan orang gelar sebagai 'kong')

Mereka akan bertukar dari seorang yang ceria kepada orang yang sangat resah. Riak wajah pun boleh terlihat seakan-akan ada seribu masalah menimpa mereka sekelip mata.

Dalam situasi ini, penagih akan berasa tidak selesa dan tidak senang. Buka kipas dengan kelajuan nombor 5 pun boleh membuatkan mereka berpeluh. Ditambah pula sekiranya stok syabu sudah tiada, bertambah resahlah mereka.

Ada juga tabiat rutin bergantung kepada individu. Ada sesetengah orang akan mengetap gigi, ada sesetengah akan membasuh muka kerapkali, ada sesetengah tu mengesat-ngesat mata dan muka.

Hal-hal ini terjadi kerana muka mereka akan terasa sedikit kebas dan tabiat ini akan berulang untuk mengurangkan perasaan kebas yang tidak menyelesakan itu.

Pada saat "kong" ini, emosi mereka akan jadi tidak stabil. Mereka boleh mengamuk tak tentu pasal ataupun boleh jadi terlalu sedih secara tiba-tiba.

Masa inilah tiba-tiba keluar kisah cinta lamalah, sedih dengan masyarakatlah, kawan-kawan aniaya dialah dan bermacam-macam lagi cerita penuh emosi yang akan keluar dari mulut mereka.

Tanda-tanda fizikal

Ini diceritakan oleh ramai orang yang pernah mengambil syabu bahawa syabu sangat membantu dalam menambah tempoh berjaga dan tidak tidur.

Disebabkan hal ini, penagih syabu akan berubah menjadi kurus dalam tempoh yang amat singkat.

Ada juga yang boleh dilihat pada wajahnya seperti dibawah mata menjadi kehitaman (eye-bag), muka bertambah jerawat dan lemak di pipi menjadi kurang (wajah cekung).

Kesan jangka masa panjang

Berdasarkan cerita daripada orang yang selalu menguruskan penagih syabu dan rakan-rakan sendiri, untuk tempoh jangka masa panjang syabu boleh merosakkan gigi dan mengakibatkan tulang menjadi rapuh.

Ada juga kes dimana seorang penagih syabu ini jatuh basikal secara perlahan, namun kakinya boleh patah.

Diantara kesan jangka masa panjang yang lain ialah, penyakit mental seperti halusinasi, paranoia, perubahan pada struktur otak dan bermacam-macam lagi. Pendek kata, penagih syabu yang 'extreme' ni boleh jadi gila terus.

Cerita kebiasaan berdasarkan pengalaman

Ramai penagih syabu ni sebenarnya meronta-ronta untuk cuba meninggalkan dadah ini tapi tidak berhasil kerana kesan ketagihannya adalah amat kuat sekali.

Kerana malu diketahui orang ramai, biasanya penagih syabu akan mengaitkan masalah kesihatan dan masalah mental mereka dengan perkara-perkara mistik seperti gangguan jin dan hantu.

Kebanyakan ibu bapa terpedaya dengan tipu muslihat anaknya berkaitan jin dan hantu ini dan pada ketika inilah anda boleh melihat bomoh dan pawang-pawang diluar sana diperbodohkan oleh penagih syabu.

Antara perkara yang patut diperhatikan

Sekiranya anak anda selalu keluar rumah dan pulang dalam keadaan mencurigakan, cuba elak dan tahan mereka dari keluar rumah untuk satu tempoh tertentu, contohnya antara 4 ke 5 hari.

Lihat reaksi mereka kalau tiba-tiba aggresive lain macam, kena bagi 'extra care'lah nampak gayanya.

Kebarangkalian tinggi dia akan mengamuk kalau tak dapat 'topup' syabu dalam badan mereka. Menggigil-gigil mereka nanti sebab itu mengamuk adalah jalan mudah bagi mereka untuk keluar rumah.

Hisap syabu menggunakan foil secara terus

Salah sangka dikalangan ibu bapa bila anak-anak mereka terlibat dengan ketagihan syabu, mereka menyembunyikan hal ini kerana takut dimalukan atau mungkin kerana terlalu sayangkan anak mereka.

Ramai yang takut ahli keluarga mereka ditangkap polis sehingga sanggup menyembunyikan hal sebenar.

Sebenarnya, membiarkan anak anda tidur di lokap buat beberapa hari boleh memberi sedikit kesedaran kepada mereka (bagi pengguna syabu yang baru), namun kalau sudah extreme agak susah juga nak sedarkan mereka.

Ada juga sesetengah ibu bapa, menghantar anak mereka ke sekolah pondok dan hantar mereka keluar dari daerah/negeri bagi mengelakkan mereka dapat membeli syabu dari tokan yang dikenali mereka.

Namun bagi penagih syabu tegar, selagi duduk dalam Malaysia, mereka akan cari syabu walau ke lubang cacing sekalipun.

Kalau nak hantar anak keluar kawasan, pastikan hantar terus ke luar negara. Solusi ini sangat berkesan dan terbukti dapat mengubati ketagihan syabu bagi sesetengah orang.

Dan apabila mereka pulang ke Malaysia, elakkan mereka berkawan dengan rakan-rakan atau teman-teman lama yang disyaki terlibat sama dalam najis dadah ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi