Thursday, July 02, 2020

Rampasan Dadah Amphetamin Terbesar Di Dunia Bernilai AS$1.12 Bilion!

Rampasan Dadah Amphetamin Terbesar Di Dunia Bernilai AS$1.12 Bilion!

Polis Itali berjaya merampas dadah jenis amphetamin seberat 14 tan yang dihasilkan oleh kumpulan pengganas Daesh di Syria, menjadikannya rampasan dadah terbesar di dunia, dalam bentuk 84 juta pil menggunakan jenama Captagon.

Rampasan dadah

Dadah tersebut tersembunyi di antara barang industri di dalam bekas yang dianggarkan bernilai sekitar AS$1.12 bilion (RM4.8 bilion) untuk dijual di pasaran Eropah, bertujuan membiayai keganasan, menurut kenyataan polis Napoli.

Pengganas Daesh membiayai kegiatannya terutama dengan mengedar dadah yang dihasilkan di Syria, di mana sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi pengeluar amphetamin terbesar di dunia.

Jumlah dadah yang dirampas cukup untuk pasaran seluruh Eropah, tanpa menyatakan jangka waktu yang spesifik.

Memetik Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat (DEA), polis Napoli berkata, kumpulan Daesh memanfaatkan pengedaran dadah secara meluas di semua wilayah di mana ia mempengaruhi dan mengawal perdagangannya.

Menurut polis, kumpulan Daesh menghasilkan sejumlah besar dadah sintetik bagi pasaran dunia supaya dapat mengumpul dana yang banyak.

Antara kumpulan penjenayah yang mungkin terbabit dalam pengedaran dadah itu termasuklah Camorra Napoli yang sangat terkenal.

BAHAYA AMPHETAMIN

Rampasan Dadah Amphetamin
Syabu.

Penagih yang mengambil amphetamin (Syabu) sama ada melalui suntikan atau memakan terus akan merasai dua fasa kesan yang berbeza; fasa meningkat (rush) dan fasa menurun (crash).

Semasa fasa meningkat, penagih mengalami halusinasi bunyi dan penglihatan, perasaan seronok dan khayal (euforia).

Fasa ini lebih cepat diperoleh melalui suntikan. Dengan itu ia diambil secara suntikan, bukan lagi melalui mulut.

Fasa menurun pula merupakan fasa yang ditunjukkan oleh kesan pengurangan dadah di dalam badan.

Di antara kesannya ialah rasa mengantuk serta tidur untuk jangka masa lama, bergantung kepada jumlah dos yang diambil. Fasa ini akan dirasai sehingga beberapa hari selepas amfetamin diambil.

Kesan Buruk Amphetamin

Bagi pencuba yang baru pertama kali mengambil amphetamin, kesan yang dirasai ialah peningkatan tumpuan dalam aktiviti yang dilakukan, perasaan gembira, peningkatan kadar nadi serta tekanan darah, tidak boleh tidur, dan hilang selera makan.

Keracunan juga berlaku dan di antara gejala keracunan termasuklah gelisah, fikiran keliru, tekanan darah tinggi, denyutan jantung cepat serta tidak seragam, kesakitan dada dan abdomen, mual dan muntah, sakit kepala, dan suhu badan meningkat.

Dalam kes keracunan teruk, mereka akan mendapat gejala seperti sawan, suhu badan melebihi 40 darjah selsius, serangan mengejut penyakit jantung, strok dan kematian.

Dakwaan kebolehan luar biasa seperti cubaan terbang dari bangunan tinggi pernah dilakukan oleh penagih amphetamin.

Mereka juga bersikap ganas kerana amphetamin telah mempengaruhi otak.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Wednesday, July 24, 2019

Cara Mengenali Penagih Syabu

Cara Mengenali Penagih Syabu

Syabu adalah dadah yang popular di masa kini dan membelenggu ramai anak muda yang tidak menyangka kesan ketagihannya amatlah teruk sekali sehingga boleh membuatkan mereka bertindak aggresive untuk mendapatkannya.

Penagih Syabu
Gambar hiasan.

Malangnya, ada tokan-tokan syabu ini yang sengaja memujuk mangsa untuk mencuba buat pertama kali agar mereka ketagih dan akan mengulangi pembelian syabu melaluinya (repeat order).

Syabu memang dadah yang patut diperangi dan dihapuskan. Harganya yang mahal (100miligram lebih kurang RM50 ke RM70) membuatkan ramai penagih syabu sanggup melibatkan diri dengan jenayah seperti ragut, rompak dan mencuri untuk memenuhi kehendak mereka. Ada juga yang sanggup membunuh keluarga sendiri.

Jadi, anda perlu tahu serba sedikit maklumat mengenai syabu untuk mengenalpasti sama ada orang terdekat terlibat dengan ketagihan syabu ataupun tidak.

Tanda ketika awal kesan pengambilan syabu

Antara tanda awal seseorang itu menghisap syabu ialah self-confident yang tinggi, menjadi sangat ramah, orang yang tidak kenal pun boleh jadi kawan untuk pertemuan kali pertama.

Anda mulakanlah bicara tentang apa-apa topik pun, pasti mereka juga sama arif setanding dengan pengetahuan anda.

Perasaan ceria dan gembira dicampur dengan mulut yang ramah pasti membuatkan anda senang bersama mereka, namun ia hanya untuk seketika.

Tanda hujung-hujung kesan pengambilan syabu (di jalanan orang gelar sebagai 'kong')

Mereka akan bertukar dari seorang yang ceria kepada orang yang sangat resah. Riak wajah pun boleh terlihat seakan-akan ada seribu masalah menimpa mereka sekelip mata.

Dalam situasi ini, penagih akan berasa tidak selesa dan tidak senang. Buka kipas dengan kelajuan nombor 5 pun boleh membuatkan mereka berpeluh. Ditambah pula sekiranya stok syabu sudah tiada, bertambah resahlah mereka.

Ada juga tabiat rutin bergantung kepada individu. Ada sesetengah orang akan mengetap gigi, ada sesetengah akan membasuh muka kerapkali, ada sesetengah tu mengesat-ngesat mata dan muka.

Hal-hal ini terjadi kerana muka mereka akan terasa sedikit kebas dan tabiat ini akan berulang untuk mengurangkan perasaan kebas yang tidak menyelesakan itu.

Pada saat "kong" ini, emosi mereka akan jadi tidak stabil. Mereka boleh mengamuk tak tentu pasal ataupun boleh jadi terlalu sedih secara tiba-tiba.

Masa inilah tiba-tiba keluar kisah cinta lamalah, sedih dengan masyarakatlah, kawan-kawan aniaya dialah dan bermacam-macam lagi cerita penuh emosi yang akan keluar dari mulut mereka.

Tanda-tanda fizikal

Ini diceritakan oleh ramai orang yang pernah mengambil syabu bahawa syabu sangat membantu dalam menambah tempoh berjaga dan tidak tidur.

Disebabkan hal ini, penagih syabu akan berubah menjadi kurus dalam tempoh yang amat singkat.

Ada juga yang boleh dilihat pada wajahnya seperti dibawah mata menjadi kehitaman (eye-bag), muka bertambah jerawat dan lemak di pipi menjadi kurang (wajah cekung).

Kesan jangka masa panjang

Berdasarkan cerita daripada orang yang selalu menguruskan penagih syabu dan rakan-rakan sendiri, untuk tempoh jangka masa panjang syabu boleh merosakkan gigi dan mengakibatkan tulang menjadi rapuh.

Ada juga kes dimana seorang penagih syabu ini jatuh basikal secara perlahan, namun kakinya boleh patah.

Diantara kesan jangka masa panjang yang lain ialah, penyakit mental seperti halusinasi, paranoia, perubahan pada struktur otak dan bermacam-macam lagi. Pendek kata, penagih syabu yang 'extreme' ni boleh jadi gila terus.

Cerita kebiasaan berdasarkan pengalaman

Ramai penagih syabu ni sebenarnya meronta-ronta untuk cuba meninggalkan dadah ini tapi tidak berhasil kerana kesan ketagihannya adalah amat kuat sekali.

Kerana malu diketahui orang ramai, biasanya penagih syabu akan mengaitkan masalah kesihatan dan masalah mental mereka dengan perkara-perkara mistik seperti gangguan jin dan hantu.

Kebanyakan ibu bapa terpedaya dengan tipu muslihat anaknya berkaitan jin dan hantu ini dan pada ketika inilah anda boleh melihat bomoh dan pawang-pawang diluar sana diperbodohkan oleh penagih syabu.

Antara perkara yang patut diperhatikan

Sekiranya anak anda selalu keluar rumah dan pulang dalam keadaan mencurigakan, cuba elak dan tahan mereka dari keluar rumah untuk satu tempoh tertentu, contohnya antara 4 ke 5 hari.

Lihat reaksi mereka kalau tiba-tiba aggresive lain macam, kena bagi 'extra care'lah nampak gayanya.

Kebarangkalian tinggi dia akan mengamuk kalau tak dapat 'topup' syabu dalam badan mereka. Menggigil-gigil mereka nanti sebab itu mengamuk adalah jalan mudah bagi mereka untuk keluar rumah.

Hisap syabu menggunakan foil secara terus

Salah sangka dikalangan ibu bapa bila anak-anak mereka terlibat dengan ketagihan syabu, mereka menyembunyikan hal ini kerana takut dimalukan atau mungkin kerana terlalu sayangkan anak mereka.

Ramai yang takut ahli keluarga mereka ditangkap polis sehingga sanggup menyembunyikan hal sebenar.

Sebenarnya, membiarkan anak anda tidur di lokap buat beberapa hari boleh memberi sedikit kesedaran kepada mereka (bagi pengguna syabu yang baru), namun kalau sudah extreme agak susah juga nak sedarkan mereka.

Ada juga sesetengah ibu bapa, menghantar anak mereka ke sekolah pondok dan hantar mereka keluar dari daerah/negeri bagi mengelakkan mereka dapat membeli syabu dari tokan yang dikenali mereka.

Namun bagi penagih syabu tegar, selagi duduk dalam Malaysia, mereka akan cari syabu walau ke lubang cacing sekalipun.

Kalau nak hantar anak keluar kawasan, pastikan hantar terus ke luar negara. Solusi ini sangat berkesan dan terbukti dapat mengubati ketagihan syabu bagi sesetengah orang.

Dan apabila mereka pulang ke Malaysia, elakkan mereka berkawan dengan rakan-rakan atau teman-teman lama yang disyaki terlibat sama dalam najis dadah ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Sunday, June 16, 2019

Sejarah Penciptaan Dadah Syabu

Sejarah Penciptaan Dadah Syabu

Dadah syabu merupakan antara bahan terlarang yang paling dikenali kerana kesannya terhadap otak, tingkah laku dan kesihatan manusia. Di Malaysia, istilah "syabu" lazimnya merujuk kepada methamphetamine, iaitu bahan perangsang sistem saraf pusat yang mempunyai potensi ketagihan sangat tinggi. Namun, sejarah syabu sebenarnya bermula jauh sebelum ia dikenali sebagai dadah jalanan.

Pencipta Syabu
Syabu.

Menariknya, methamphetamine bukan pada asalnya dicipta sebagai bahan untuk kegunaan rekreasi. Sejarahnya berkait rapat dengan perkembangan kimia farmaseutikal pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Pada ketika itu, para saintis sedang giat mencari bahan yang boleh merangsang sistem saraf, mengurangkan rasa letih dan berpotensi digunakan dalam bidang perubatan.

Asal Usul Methamphetamine

Sejarah methamphetamine boleh dikesan kepada perkembangan kimia organik pada penghujung abad ke-19.

Pada tahun 1893, ahli kimia Jepun Nagayoshi Nagai berjaya menghasilkan methamphetamine daripada ephedrine ketika menjalankan penyelidikan berkaitan bahan kimia tumbuhan.

Penemuan tersebut belum lagi bermaksud dunia mempunyai "syabu" seperti yang dikenali hari ini.

Pada peringkat awal, methamphetamine hanyalah satu daripada banyak bahan kimia yang sedang dikaji oleh saintis untuk memahami kesannya terhadap tubuh manusia.

Beberapa dekad kemudian, penyelidikan terhadap bahan ini diteruskan dan bentuk kristal methamphetamine berjaya dihasilkan.

Pada tahun 1919, ahli kimia Jepun Akira Ogata dilaporkan menghasilkan bentuk kristal methamphetamine melalui proses kimia yang menggunakan bahan berkaitan ephedrine.

Perkembangan tersebut penting dalam sejarah methamphetamine kerana bentuk kristal lebih mudah disimpan dan digunakan berbanding beberapa bentuk sebelumnya.

Namun, pada masa itu, potensi sebenar bahan tersebut sebagai dadah yang boleh menyebabkan ketagihan masih belum difahami sepenuhnya seperti hari ini.

Methamphetamine Dalam Dunia Perubatan

Pada awal abad ke-20, bahan perangsang seperti amphetamine dan methamphetamine mula mendapat perhatian dalam bidang perubatan.

Para penyelidik melihat potensinya untuk meningkatkan kewaspadaan, mengurangkan keletihan dan merangsang aktiviti sistem saraf.

Methamphetamine kemudiannya dipasarkan dalam sesetengah negara di bawah nama dagangan tertentu dan digunakan bagi keadaan perubatan tertentu.

Dalam konteks sejarah, perkara ini menunjukkan bahawa bahan tersebut pernah mempunyai status yang sangat berbeza daripada imejnya sebagai dadah terlarang pada zaman moden.

Masalahnya, pengetahuan mengenai ketagihan dan kesan jangka panjang bahan perangsang pada ketika itu masih terhad.

Penggunaan bahan perangsang yang meluas akhirnya menimbulkan kebimbangan apabila kesan sampingan, penyalahgunaan dan pergantungan mula menjadi semakin jelas.

Penggunaan Semasa Perang Dunia Kedua

Salah satu bab penting dalam sejarah methamphetamine berlaku ketika Perang Dunia Kedua. Bahan perangsang digunakan oleh beberapa negara untuk membantu tentera mengekalkan kewaspadaan dan mengurangkan rasa letih dalam keadaan tertentu.

Di Jerman, methamphetamine dikenali melalui nama Pervitin dan digunakan secara meluas dalam kalangan anggota tentera.

Jepun juga mempunyai sejarah penggunaan methamphetamine dalam konteks ketenteraan dan masyarakat pada era tersebut.

Penggunaan bahan perangsang ketika perang memperlihatkan satu masalah yang kemudian menjadi semakin ketara: Kemampuan sesuatu bahan untuk mengurangkan rasa letih tidak semestinya bermaksud ia selamat digunakan secara berterusan.

Selepas kesan jangka panjang mula difahami dengan lebih baik, pendekatan terhadap methamphetamine berubah secara ketara.

Daripada Ubat Kepada Dadah Terlarang

Selepas Perang Dunia Kedua, penggunaan methamphetamine terus berkembang dalam beberapa masyarakat.

Pada masa yang sama, laporan mengenai penyalahgunaan, pergantungan dan kesan psikologi yang serius semakin mendapat perhatian.

Penggunaan methamphetamine secara tidak terkawal boleh menyebabkan seseorang mengalami peningkatan tenaga dan kewaspadaan sementara.

Namun, kesan tersebut disertai risiko yang jauh lebih besar, termasuk gangguan tidur, hilang selera makan, peningkatan kadar denyutan jantung, paranoia dan perubahan tingkah laku.

Penggunaan berulang boleh menyebabkan otak bergantung kepada rangsangan tersebut.

Apabila seseorang semakin bergantung, keinginan untuk mendapatkan dan mengambil bahan itu boleh mengatasi pertimbangan terhadap kesihatan, pekerjaan, hubungan keluarga dan kehidupan sosial.

Pada tahap tertentu, penyalahgunaan methamphetamine tidak lagi sekadar isu penggunaan dadah. Ia menjadi masalah kesihatan awam dan sosial yang memerlukan rawatan serta intervensi jangka panjang.

Bagaimana Syabu Menjadi Dadah Jalanan?

Istilah "syabu" sering digunakan di Asia untuk merujuk kepada methamphetamine, khususnya bentuk kristal yang dikenali sebagai crystal meth.

Bentuk kristal inilah yang kemudiannya menjadi sinonim dengan penyalahgunaan methamphetamine dalam banyak komuniti.

Penyebaran syabu tidak berlaku kerana satu individu atau satu negara sahaja. Ia merupakan hasil daripada perkembangan rangkaian pengeluaran dan perdagangan dadah haram antarabangsa yang semakin kompleks.

Di beberapa kawasan Asia, termasuk Asia Tenggara, pengeluaran methamphetamine secara haram berkembang menjadi masalah besar.

Faktor seperti permintaan tinggi, keuntungan pasaran gelap dan rangkaian jenayah terancang menyumbang kepada penyebaran dadah tersebut.

Namun, satu perkara yang sering disalah faham ialah menganggap semua methamphetamine mempunyai sejarah dan bentuk yang sama.

Bahan yang pernah digunakan dalam konteks perubatan tidak bermaksud produk syabu haram yang beredar di pasaran gelap mempunyai tahap ketulenan, kandungan atau keselamatan yang sama.

Produk pasaran gelap boleh mengandungi pelbagai bahan cemar dan kandungannya juga tidak semestinya diketahui oleh pengguna.

Mengapa Syabu Sangat Menyebabkan Ketagihan?

Methamphetamine memberi kesan kuat terhadap sistem saraf pusat dan boleh meningkatkan aktiviti beberapa bahan kimia dalam otak, termasuk dopamine. Dopamine memainkan peranan penting dalam sistem ganjaran otak.

Kesan rangsangan yang kuat boleh menyebabkan seseorang berasa lebih bertenaga, yakin atau berjaga buat sementara waktu. Masalahnya, otak boleh menyesuaikan diri dengan rangsangan tersebut.

Penggunaan berulang boleh menyebabkan perubahan pada fungsi otak dan tingkah laku.

Apabila seseorang cuba berhenti, mereka mungkin mengalami keletihan, kemurungan, gangguan tidur, keinginan kuat untuk mengambil dadah dan masalah tumpuan.

Inilah sebabnya mengapa ketagihan syabu tidak boleh dianggap semata-mata sebagai masalah kelemahan disiplin.

Ketagihan merupakan keadaan kompleks yang melibatkan perubahan pada fungsi otak, tingkah laku dan persekitaran seseorang.

Kesan Syabu Terhadap Tubuh Manusia

Kesan methamphetamine bukan hanya berlaku kepada otak. Penggunaan kronik boleh menjejaskan pelbagai sistem tubuh.

Seseorang yang menggunakan syabu mungkin mengalami penurunan berat badan, kurang tidur, masalah pergigian, luka pada kulit akibat menggaru atau memicit kulit, serta perubahan penampilan fizikal.

Dalam keadaan tertentu, penggunaan dos tinggi boleh menyebabkan suhu badan meningkat secara berbahaya, masalah jantung, sawan, strok atau kematian.

Dari sudut psikologi pula, penggunaan berpanjangan boleh dikaitkan dengan keresahan, paranoia, halusinasi dan perubahan emosi yang ketara.

Namun begitu, tidak semua perubahan pada wajah atau tingkah laku seseorang membuktikan bahawa individu tersebut mengambil syabu.

Mata merah, kulit bermasalah, susut berat badan atau kurang tidur mempunyai banyak kemungkinan punca lain.

Menggunakan tanda fizikal semata-mata untuk menuduh seseorang sebagai penagih boleh menyebabkan stigma dan tuduhan yang tidak berasas.

Sejarah Syabu Di Asia Tenggara

Asia Tenggara menjadi salah satu kawasan yang sering dikaitkan dengan pengeluaran dan penyeludupan methamphetamine secara haram.

Kawasan sempadan tertentu di rantau ini pernah menjadi lokasi penting dalam aktiviti pengeluaran dadah sintetik.

Perkembangan tersebut turut menyebabkan negara-negara seperti Malaysia, Thailand dan negara jiran lain berdepan cabaran besar dalam mengawal penyeludupan dan penyalahgunaan methamphetamine.

Di Malaysia, syabu dikategorikan sebagai dadah berbahaya dan pengeluaran, pengedaran, pemilikan serta penggunaannya tertakluk kepada undang-undang yang ketat.

Pendekatan kerajaan terhadap masalah dadah bukan sahaja melibatkan penguatkuasaan, tetapi turut merangkumi pencegahan, rawatan dan pemulihan.

Syabu Bukan Sekadar Masalah Jenayah

Sejarah syabu memperlihatkan perubahan yang menarik tetapi juga tragis.

Ia bermula daripada penyelidikan kimia yang bertujuan memahami bahan perangsang dan akhirnya berkembang menjadi salah satu dadah sintetik yang paling membimbangkan di dunia.

Melihat syabu hanya sebagai isu jenayah juga tidak memberikan gambaran yang lengkap.

Ketagihan boleh menyebabkan seseorang kehilangan pekerjaan, mengalami keretakan hubungan keluarga, menghadapi masalah kewangan dan mengalami kemerosotan kesihatan.

Pada masa yang sama, terlalu memandang penagih sebagai individu yang “tidak mahu berubah” juga boleh menghalang proses pemulihan.

Rawatan ketagihan memerlukan pendekatan yang memahami aspek biologi, psikologi dan sosial.

Kesimpulan

Sejarah penciptaan dadah syabu sebenarnya mempunyai latar belakang yang jauh lebih kompleks daripada sekadar cerita mengenai dadah haram.

Methamphetamine bermula daripada penyelidikan kimia pada penghujung abad ke-19 sebelum memasuki bidang perubatan dan kemudiannya digunakan secara meluas dalam konteks tertentu, termasuk ketika perang.

Apabila risiko ketagihan dan kesan kesihatan semakin difahami, penggunaannya mula dikawal dengan lebih ketat.

Dalam era moden, methamphetamine yang dihasilkan secara haram menjadi antara dadah sintetik paling berbahaya kerana kesannya terhadap otak, kesihatan fizikal dan kehidupan sosial pengguna.

Bahagian paling penting daripada sejarah ini ialah memahami bahawa sesuatu bahan yang pernah mempunyai kegunaan perubatan tidak semestinya selamat untuk digunakan tanpa kawalan.

Sejarah methamphetamine menjadi contoh bagaimana perkembangan sains boleh membawa manfaat dalam keadaan tertentu, tetapi pada masa yang sama boleh menghasilkan masalah besar apabila sesuatu bahan disalahgunakan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Tuesday, August 22, 2017

Apa Sebenarnya Syabu Dan Kesan Buruk Kepada Kesihatan

Apa Sebenarnya Syabu Dan Kesan Buruk Kepada Kesihatan

Apa itu Syabu? Syabu atau nama kimianya Methamphetamine, adalah dadah perangsang jenis Amfetamina (Amphetamine-Type Stimulants, ATS).

Syabu

Dadah jenis ini dihasilkan pada abad lalu dari dadah induknya Amphetamine, yang dahulunya digunakan untuk melegakan pernafasan akibat hidung tersumbat.

Walau bagaimanapun, pada hari ini, kegunaannya terhad untuk keadaan-keadan tertentu seperti untuk rawatan narkolepsi (satu keadaan di mana seseorang rasa mengantuk dan tertidur secara spontan), sindrome kurang penumpuan perhatian, dan kegemukan yang teruk (untuk kegunaan bagi jangkamasa singkat).

Syabu dihasilkan di makmal haram dari bahan prekursor seperti Ephedrine, Pseudoephedrine dan Phenylpropanolamine.

Apabila kawalan yang ketat dikenakan ke atas prekursor, pengilang haram ini mula mencuba resipi baru dengan menggunakan bahan-bahan lain yang merbahaya, seperti asid bateri dan pencuci longkang.

Bahan-bahan ini meningkatkan lagi risiko pendedahan pengguna kepada kesan buruk dan kematian .

Syabu gred satu yang berkualiti berwarna putih kristal sementara syabu gred dua warna putih kemerahan dan gred tiga pula rendah kualitinya serta mempunyai rasa yang pahit.

APAKAH KESAN SEGERA SYABU?

Syabu ialah stimulan yang poten. Pengguna menggemarinya kerana ia memberi rasa euphoria - rasa gembira dan menyeronokkan; rasa lebih bertenaga dengan peningkatan aktiviti fizikal, hilang mengantuk, peningkatan tumpuan perhatian, berjaga-jaga dan pengurangan selera.

Walaubagaimanapun, pengguna syabu akan mengalami kesan buruk seperti mulut kering, berpeluh berlebihan, anak mata menjadi besar, menggeletar dan sakit kepala.

Selepas kesan khayal, seseorang itu merasa gelisah, cepat marah, gementar, kebingungan, fikiran terganggu dan boleh bersifat ganas.

Pada dos yang tinggi dadah ini menaikkan suhu badan kepada tahap yang membahayakan, mengakibatkan sawan dan akhirnya maut.

APA BAHAYA SYABU KEPADA KESIHATAN?

Penggunaan syabu memudaratkan kesihatan kerana:

1. Toleran

Kesan toleran terjadi dengan cepat mengakibatkan penggunanya mengambil dos lebih dan berulang untuk meneruskan kesan khayal yang dialaminya.

Dalam keadaan tertentu, pengguna tidak makan atau tidur tetapi pada masa yang sama terus menyuntik dadah ini sehingga 1 gram setiap 2 - 3 jam dalam jangka masa beberapa hari sehingga bekalannya habis atau sehingga mereka tidak berupaya meneruskannya.

Terdapat juga pengguna yang tahan tidak tidur dari 3 - 15 hari akibat dadah ini.

2. Penagihan

Pengguna dadah ini akan mengalami ketagihan dan juga penggantungan psikologi akibat pengambilan syabu.

Ketagihan ini akan berada pada tahap kronik dan berulang. Pemberhentian pengambilan dadah ini akan menyebabkan kemurungan, kegelisahan, keletihan, syak wasangka tanpa sebab, sifat ganas dan menagih untuk mendapatkan dadah tersebut.

3. Pengabaian diri

Apabila di bawah pengaruh syabu, pengguna tidak makan, tidur dan mengabaikan diri sendiri.

Penggunaan pada dos tinggi akan menyebabkan hilang berat badan yang ketara, muka menjadi pucat, pengabaian kesihatan diri dengan perpeluhan, badan berbau, gigi kekuningan, berparut dan luka-luka di badan.

Kudis jelas kelihatan akibat pengguna syabu menggaru kulit untuk menghapus bayangan serangga yang disangka berada pada kulitnya.

4. Kurang daya tahan kepada penyakit

Pengguna syabu yang mengabaikan pemakanan dan tidur yang sempurna akan menjadi lemah dan kurang daya tahan melawan penyakit.

5. Kerosakan pada otak dan sistem saraf seseorang

Penggunaan kronik mengakibatkan berkelakuan terlalu aktif, susah tidur, kemurungan yang teruk, khayal, syak wasangka tanpa sebab, bersikap garang, keganasan tidak terkawal, dan perlakuan psikotik seperti gila.

Penyelidik-penyelidik mendapati kerosakan pada sistem saraf dan otak yang bolih menyebabkan gejala-gejala seperti penyakit Parkinson (dengan gangguan pergerakan anggota-anggota badan) dan penyakit Alzheimer (dengan kehilangan ingatan dan kekurangan daya berfikir).

6. Gangguan metabolisma badan

Dadah ini menyebabkan hilang selera yang ketara, kurang pemakanan, kehilangan berat badan yang jelas, kurus dan lain-lain masalah akibat metabolisma badan yang terjejas.

7. Kerosakan pada jantung dan sistem pendarahan

Dadah ini menyebabkan degupan kencang, tidak menentu dan tekanan darah meningkat, yang mengakibatkan sakit jantung dan maut. Kerosakan pada saluran darah menyebabkan sakit ahmar.

8. Kerosakan pada sistem pernafasan

Dadah ini, lebih-lebih lagi jika dicemarkan dengan bahan berbahaya, akan menyebabkan masalah
pernafasan.

9. Gangguan kepada saluran makanan

Kebuluran berlanjutan sebab tidak makan semasa pengambilan syabu, serta bahan toksik dalam dadah yang dicampur dengan bahan lain menyebabkan gangguan kepada perut dan sistem penghadaman.

10. Bahaya semasa mengandung

Penggunaan Methamphetamine semasa mengandung akan menjejaskan pembentukan bayi, kelahiran sebelum cukup tempoh atau keguguran.

Bayi yang dilahirkan adalah kecil, terlalu aktif dan mudah gelisah. Dikhuatiri juga bayi ini akan mengalami masalah mental dan masalah tumbesaran .

11. Kemalangan jalan raya

Pengguna syabu boleh terlibat dalam kemalangan jalan raya akibat kesan kebingungan, khayal, paranoia, keganasan dan kelakuan psikotik.

12. Bahaya daripada exploitasi seks dan seks bebas

Hasil penyelidikan mendapati pengguna Methamphetamine menjadi lebih berahi. Penggunaan dadah ini sering dikaitkan dengan hubungan seks yang lebih ganas menyebabkan pendarahan dan luka.

Remaja terutama gadis-gadis di bawah pengaruh syabu akan terdedah kepada bahaya ekploitasi seks serta hubungan jenis tidak selamat yang boleh menyebabkan jangkitan HIV, hepatitis dan lain-lain penyakit kelamin.

Penggunaan Methamphetamine dalam jangka masa panjang menyebabkan lelaki menghadapi masalah fungsi seks mereka.

13. Bahaya akibat HIV, Hepatitis dan lain-lain penyakit berjangkit

Penyakit-penyakit ini mungkin dijangkiti akibat amalan seks bebas atau tanpa perlindungan semasa di bawah pengaruh dadah ini, dan juga dari penggunaan alat-alat suntikan yang tercemar dan dikongsi.

14. Masalah-masalah sosial lain

Semua aspek kehidupan seseorang termasuk keluarganya, hubungan dengan orang lain dan kerja akan terjejas akibat dadah ini.

Pengguna akan menghadapi pertelingkahan kerana masalah dadah dan kewangan akibat ketagihan dadah.

Di tempat kerja penyalahgunaan dadah ini akan bermasalah disebabkan sifatnya yang cepat marah, tidak mesra dan kecenderungan kepada keganasan.

Pengguna syabu juga mungkin terlibat dengan kejadian jenayah spontan seperti meragut beg bimbit dan serangan untuk menampung ketagihan mereka.

Sifat paranoia dan ganas ini boleh menyebabkan pengguna membunuh diri atau melakukan pembunuhan.

Di California, terdapat seorang lelaki yang semasa dibawah pengaruh syabu mencuri sebuah kereta perisai milik agensi keselamatan National Guard dan merosakkan beberapa kereta di jalanraya San Diego sebelum dia akhirnya ditembak oleh polis.

APA KAWALAN UNDANG-UNDANG KE ATAS SYABU?

Sebelum 29.11.97, Methamphetamine dikawal sebagai bahan psikotropik di bawah Akta Racun 1952 (Disemak 1989) di mana pemilikan, penjualan atau bekalan tanpa kuasa atau kebenaran/lesen boleh dikenakan tindakan mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau pemenjaraan sehingga 4 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada 29.11.97 Methamphetamine diwartakan sebagai dadah berbahaya melalui P.U.(A) 500. Pada masa itu di bawah Seksyen 12 sesiapa yang didapati mengimport, mengeksport atau memiliki Methamphetamine tanpa kuasa atau kebenaran sah melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Menyedari hukuman di atas yang nyata adalah ringan berbanding dengan bahaya dadah ini, Kementerian Kesihatan telah mencadangkan Pindaan kepada Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Pindaan ini telah diluluskan oleh Parlimen pada 1.7.1998 untuk meningkatkan hukuman berkaitan dadah berbahaya dan meningkatkan kawalan ke atas dadah peransang jenis Amfetamina termasuk syabu. Akta Dadah Berbahaya (Pindaan) 1998 ini berkuatkuasa 15.9.1998.

Di bawah Pindaan ini, Pemilik 50g dan lebih Methamphetamine dianggap sebagai mengedar dadah
dan akan dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pemilik lebih 30g tetapi kurang dari 50g Methamphetamine boleh dikenakan hukuman penjara 5 tahun sehingga seumur hidup dan sebatan tidak kurang dari 10 sebatan.

Pemilik lebih 5g tetapi kurang dari 30g Methamphetamine boleh dikenakan hukuman penjara 2-5 tahun dan sebatan 3-9 sebatan.

Pengguna yang menggunakan Methamphetamine ke atas diri sendiri boleh dikenakan tindakan di bawah seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga 2 tahun atau kedua-duanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: ipgm