Tuesday, July 30, 2019

Asal-usul Lagu Dondang Sayang


Dondang Sayang merupakan sejenis nyanyian atau balada cinta yang digunakan oleh masyarakat dahulu kala untuk menyampaikan perasaan kasih mereka dan dinyanyikan dalam bentuk berbalas pantun yang di sampaikan secara spontan oleh penyanyinya.

Asal-usul Dondang Sayang

Menurut sejarah, Dondang Sayang muncul pada kurun ke15 Masihi semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka, iaitu ketika zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah.

Dondang Sayang popular dalam kalangan masyarakat Melayu dan Cina Peranakan di Melaka.

"Dondang" bermakna nyanyian, manakala "dondang sayang" bermaksud nyanyian mengulit kasih.

Nyanyian Dondang Sayang ini digunakan untuk menghiburkan para pedagang yang singgah di Melaka dan merupakan seni persembahan yang mengandungi unsur muzik dan nyanyian tradisional Melayu yang sangat menghiburkan, ada kalanya agak melucukan.

Kualiti nyanyian bagi seni ini bergantung kepada kecekapan penyanyinya berjual beli pantun.

Ahli

Nyanyian-nyanyian biasanya diiringi empat orang ahli muzik yang terdiri daripada:
  • Seorang pemain biola;
  • Dua orang pemain rebana (gendang yang di sebelah sahaja dipasang kulit) Melayu; seorang pemain tawak ( gong kecil).

Pemain biola biasa merupakan ketua kumpulan ahli muzik yang memainkan peranan utama dalam dondang sayang, dan membekalkan melodi kaunter kepada melodi vokal atau suara.

Pemain-pemain muzik boleh saling bertukar alat- alat muzik mereka antara persembahan, tetapi pemain biola jarang berbuat demikian, walaupun dibenarkan.

Sehingga lima buah rebana boleh digunakan, jika terdapat pemain muzik yang berlebihan.

Kadang-kadang, rebana boleh digantikan dengan gendang ataupun kompang. Barisan alat muzik boleh juga ditambahkan dengan akordion.

Alat

Alat-alat muzik yang digunakan untuk mengiringi nyanyian Dondang Sayang terdiri daripada sebuah biola, sebuah gong dan 3 buah rebana yang mana terbahagi kepada dua, iaitu rebana kompang atau rebana keras.

Kini, persembahan dondang sayang diiringi alat muzik seperti biola, rebana, gong atau tetawak, gendang dan akordion.

Alat muzik ini ialah satu gabungan simbolis yang mencernakan satu sejarah kegemilangan negeri Melaka pada masa dahulu.

Rebana berasal dari Timur Tengah, biola berasal dari Portugis dan gong warisan pedagang Cina. Daripada gabungan ini, lahirlah peralatan muzik dalam dondang sayang.

Bagaimanapun, alat muzik yang penting ialah biola, rebana, gong atau tetawak, sementara alat sampingan ialah akordion, marakas, tamborin dan gendang.

Persembahan

Persembahan dondang sayang dimulakan dengan gesekan biola, dikuti tingkahan rebana dan gong. Pada waktu yang sama pantun dondang sayang akan dinyanyikan.

Muzik dondang sayang adalah perlahan, dan sebuah lagu biasanya terdiri daripada 32 bar, bermula dengan pengenalan biola, diikuti rebana dan kemudiannya gong, dan akhirnya oleh nyanyian pada bar kelima. Gayanya tidak formal dan liriknya biasa terdiri daripada puisi cinta.

Dalam lagu dondang sayang, penyanyi-penyanyi saling bertukar pantun tanpa persediaan dalam gaya yang riang dan kadang-kadang lucu.

Jumlah pemantun tidak terhad tetapi berpasang-pasangan. Mereka mendendangkan pantun empat kerat secara berlagu dengan berbalas-balas pantun sesama mereka.

Pemantun akan mendendangkan lagu mengikut muzik yang dimainkan.

Setiap pantun soal harus dijawab oleh pemantun seorang lagi. Sekiranya pantun itu tidak terjawab maka penyanyi yang ketiga boleh mengambil alih nyanyian itu.

Jenis

Ada empat jenis dondang sayang, iaitu dondang sayang Melaka, dondang sayang Baba Peranakan, dondang sayang Tanjung Penyengat dan dondang sayang Pulau Pinang.

Sungguhpun penjenisan ini lebih relatif sifatnya, setiap persembahan dondang sayang tetap diminati oleh beberapa golongan masyarakat seperti Melayu, Cina Peranakan, India dan Portugis terutamanya di Melaka.

Dondang sayang turut dipertandingkan dalam pelbagai pertandingan pada peringkat negeri dan kebangsaan, antaranya Pesta Dendang Rakyat dan Pertandingan Dondang Sayang anjuran kerajaan.

Semakin Dilupakan

Pada masa dahulu, persembahan Dondang Sayang merupakan pilihan utama masyarakat untuk menceriakan lagi majlis-majlis perkahwinan yang di adakan.

Tetapi, pada zaman yang serba moden ini nyanyian Dondang Sayang semakin pupus terutamanya dalam kalangan masyarakat muda.

Pada 29 November 2018 tahun yang lalu, Dondang Sayang mendapat pengiktirafan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai ‘Representative List of The Intangible Cultural Heritage of Humanity.’

“Si kaduk panjat pokok pisang,
Jumpa kuda terus melompat,
Jika umur masih panjang,
Belajar sungguh sampai dapat.”

“Dara berbedak menyikat rambut,
Sambil memakai emas bersaga,
Kalau tak hendak intan tercabut,
Kenalah pandai tuan menjaga."

“Hati senang memetik nangka,
Pergi memetik jangan ditangguh,
Nasihat saya untuk orang muda,
Belajar Dondang Sayang bersungguh-sungguh”

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon