Thursday, October 25, 2018

Bahaya Penyakit Tonsil Boleh Meragut Nyawa


Mengalami sakit tekak ketika demam merupakan satu senario biasa yang sering dihidapi orang dewasa mahupun kanak-kanak. Keadaan ini sudah pasti memberi ketidakselesaan kerana selain berasa sakit di bahagian tekak, pesakit juga akan mengalami masalah untuk menelan.

Bahaya Penyakit Tonsil

Lazimnya, jika masalah ini berlaku adalah berkaitan masalah tonsil membengkak dan selalunya dipanggil tonsilitis kerana disebabkan jangkitan kuman.

Bagaimanapun menurut Pakar Perunding Telinga, Hidung, Tekak dan Surgeri Kepala dan Leher, tonsilitis di kalangan kanak-kanak boleh membahayakan nyawa.

Ini kerana, apabila sampai tahap kritikal masalah itu boleh mengganggu sistem pernafasan selain membawa jangkitan ke organ dalaman lain seperti jantung dan buah pinggang.

Lazimnya, kanak-kanak yang mengalami demam, antara perkara pertama yang akan diperiksa oleh doktor ialah memastikan sama ada tonsil mereka membengkak ataupun tidak.

Sekiranya tonsil membengkak doktor akan mengenalpasti adakah itu jangkitan kuman virus atau bakteria dan jika bengkak tersebut disebabkan bakteria pesakit perlu berhati-hati kerana ia boleh membawa maut.

Secara umumnya semua orang mempunyai tonsil yang merupakan bonjolan di tepi kiri dan kanan anak tekak.

Bonjolan ini tidak berbahaya kerana tonsil berfungsi sebagai salah satu sistem pertahanan badan daripada serangan kuman.

Begitupun, kebanyakan kanak-kanak mempunyai tonsil yang lebih besar berbanding orang dewasa kerana tubuh baru mengenali kuman dan bakteria.

Bagaimanapun, apabila meningkat dewasa bonjolan ini semakin mengecil dan fungsinya sebagai satu mekanisme pertahanan diri daripada kuman juga tidak penting lagi.

Walaupun pada dasarnya tonsil berperanan sebagai sistem pertahanan badan daripada serangan kuman, tetapi ia hanya berfungsi pada tahun pertama kelahiran.

Ini kerana selepas tahap tersebut, tonsil tidak lagi berfungsi dan sistem imuniti badan akan diambil alih oleh kelenjar limfa yang lain.

Pada dasarnya, tonsil akan membengkak akibat daripada jangkitan virus ataupun bakteria.

Begitupun sekiranya hanya jangkitan virus, tonsilitis boleh pulih sendiri kerana pesakit hanya akan mengalami bersin, hidung tersumbat, selesema dan juga batuk.

Secara amnya, tonsil membengkak boleh pulih dengan sendiri namun pengambilan antibiotik membantu mempercepatkan proses pemulihan.

Sekiranya masalah tonsil membengkak berulang empat atau lima kali setahun, pesakit dinasihatkan untuk menjalani pembedahan membuang tonsil.

Situasi ini perlu sekiranya keadaan menjadi lebih kronik kerana ia menghalang sistem pernafasan selain tonsil tersebut akan bernanah.

Bagi yang mengganggu sistem pernafasan, ini dapat dilihat apabila pesakit akan berdengkur sewaktu tidur selain mulutnya berbau.

Yang pasti, pembuangan tonsil tidak akan menjejaskan mana-mana bahagian malah pesakit akan lebih sihat selepas pembedahan dilakukan.
Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon