Friday, November 23, 2018

Waspada Penipuan WhatsApp Stiker Gratis, Jangan Klik Link Yang Disebar

Waspada Penipuan WhatsApp Stiker Gratis, Jangan Klik Link Yang Disebar

Tidak lama selepas hadirnya stiker digital di WhatsApp, fitur itu kemudiannya digunakan oleh sejumlah oknum untuk melakukan penipuan kepada pengguna WhatsApp. Bagaimana fungsi stiker ini digunakan untuk menipu? Berikut adalah penjelasannya.

Whatsapp sticker gratis

Modus operandi penipuan ini memanfaatkan grup chat di WhatsApp untuk menjangkau seramai mungkin pengguna.

Taktik penipuannya adalah pengguna dikirimkan link atau tautan yang dijanjikan akan mendapatkan stiker gratis di WhatsApp.

Dalam pesanan penipuan itu, pengguna diminta untuk mengklik link yang akan merujuk ke laman web http://stickers.newemoji.online atau https://stickers.whatsapp.gratis.

Kemudian, pengguna akan diminta untuk berkongsi mesej itu kepada pengguna WhatsApp lain, lalu dijanjikan stiker gratis untuk digunakan.

Ramai pengguna mungkin tertipu dengan scam ini, lebih-lebih lagi fungsi stiker digital memang baru hadir di WhatsApp dan belum semua pengguna berpeluang mendapatkannya.

Malangnya, untuk menggunakan fungsi stiker di WhatsApp, pengguna akan diarahkan untuk memperbaharui (update) aplikasi WhatsApp kepada versi terbaharu.

Namun, untuk mendapatkan sticker, pengguna WhatsApp yang membuka link itu bakal diarahkan ke sebuah laman web survei di mana mereka harus mengisi sejumlah data peribadi di dalamnya bagi mendapatkan undian smartphone mahal.

Kebocoran data peribadi

Menurut pakar keselamatan siber, modus operandi penipuan ini dilakukan untuk memviralkan sebuah aksi licik scamming.

Penjenayah siber merancang pelbagai cara untuk mendapatkan data pengguna yang secara sukarela telah memberikan data-datanya dalam survei tersebut.

Cara yang digunakan adalah dengan menyebarkan scam yang memanfaatkan populariti stiker Whatsapp yang kalau di-klik akan mendapat hadiah smartphone mahal dan sebagainya, serta diarahkan untuk mengisi data.

Link tersebut juga akan mengarahkan pengguna ke beberapa laman web lain seperti iklan, undian atau laman web survei, dengan imbuhan pelbagai hadiah. Penipuan ini akan memberikan keuntungan kewangan kepada scammer.

Selain itu, ada senario terburuk jika pengguna tetap mengikuti arahan yang ada dalam link yang menjanjikan sticker WhatsApp tersebut.

Salah satunya adalah pengguna boleh terkena jangkitan malware atau virus ransomware yang akan mengunci peranti milik pengguna.

Pengunjung laman web yang telah dijadikan sasaran ransomware akan dieksploitasi sehingga secara automatik malware akan aktif dan mengintip pengguna.

Cara mengelak virus

Sebaik-baiknya, pengguna WhatsApp yang belum memiliki fungsi sticker WhatsApp sebaiknya bersabar sehingga mendapat update terbaharu.

Jadi, berwaspadalah. Jangan menyebar virus ini kepada group WhatsApp anda.

Berhenti menyusahkan diri sendiri dan orang lain.

BACA INI JUGA:

sumber: kumparan

Sejarah Asal-usul Azan Dan Iqamat

Sejarah Asal-usul Azan Dan Iqamat

Azan mula disyariatkan pada tahun kedua Hijriah. Mulanya, pada suatu hari Nabi Muhammad SAW mengumpulkan para sahabat untuk memusyawarahkan bagaimana cara memberitahu masuknya waktu solat dan mengajak orang ramai agar berkumpul ke masjid untuk melakukan solat berjamaah.

Sejarah Asal-usul Azan Dan Iqamat

Di dalam musyawarah itu ada beberapa usul. Ada yang mengusulkan supaya dikibarkan bendera sebagai tanda waktu solat telah masuk. Apabila bendera telah berkibar, hendaklah orang yang melihatnya memberitahu kepada umum.

Ada juga yang mengusulkan supaya ditiup trompet seperti yang biasa dilakukan oleh penganut agama Yahudi.

Ada lagi yang mengusulkan supaya dibunyikan loceng seperti yang biasa dilakukan oleh orang Nasrani.

Ada seorang sahabat yang menyarankan bahawa kala waktu solat tiba, maka segera dinyalakan api pada tempat yang tinggi dimana orang-orang dapat dengan mudah melihat ketempat itu, atau setidak-tidaknya asapnya dapat dilihat orang walaupun ia berada ditempat yang jauh.

Yang melihat api itu dinyalakan hendaklah datang menghadiri solat berjamaah.

Semua usul yang diajukan itu ditolak oleh Nabi SAW, tetapi beliau menukar lafaz itu dengan Assolatu jami’ah (marilah solat berjemaah).

Lantas, ada usul dari Umar Al-Khattab jikalau ditunjuk seseorang yang bertindak sebagai pemanggil kaum Muslim untuk solat pada setiap masuknya waktu solat.

Kemudian saranan ini agaknya dapat diterima oleh semua orang dan Nabi Muhammad SAW juga menyetujuinya.

Asal Usul Azan berdasarkan Hadis

Lafaz azan tersebut diperoleh dari hadis tentang asal usul azan dan iqamah:

Abu Dawud mengisahkan bahawa Abdullah bin Zaid berkata sebagai berikut, “Ketika cara memanggil kaum muslimin untuk solat dimusyawarahkan, suatu malam dalam tidur, aku bermimpi.

"Saya melihat ada seseorang sedang menenteng (membawa) sebuah loceng. Aku dekati orang itu dan bertanya kepadanya adakah dia hendak menjual loceng itu.

"Orang tersebut bertanya, Untuk apa? Aku menjawabnya, “Bahawa dengan membunyikan loceng itu, kami dapat memanggil kaum muslim untuk menunaikan solat.”

Orang itu berkata lagi, “Mahukah kau kuajari cara yang lebih baik?” Dan aku menjawab “Ya!” Lalu dia berkata lagi dan kali ini dengan suara yang amat lantang:
Allahu Akbar Allahu Akbar
Asyhadu alla ilaha illallah
Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah
Hayya ‘alash sholah (2 kali)
Hayya ‘alal falah (2 kali)
Allahu Akbar Allahu Akbar
La ilaha illallah

Ketika esoknya, aku menemui Nabi Muhammad SAW dan menceritakan perihal mimpi itu kepadanya, kemudian Nabi Muhammad SAW, berkata, “Itu mimpi yang nyata. Berdirilah disamping Bilal dan ajarlah dia bagaimana mengucapkan kalimat itu. Dia harus mengumandangkan azan seperti itu kerana dia memiliki suara yang amat lantang.”

Lalu aku pun melakukan hal itu bersama Bilal.”

"Rupanya, mimpi serupa dialami oleh Umar dan dia juga menceritakannya kepada Nabi Muhammad SAW.

Asal Usul Iqamah

Setelah lelaki yang membawa loceng itu melafazkan azan, dia diam sejenak, lalu berkata, “Kau katakan jika solat akan didirikan:
Allahu Akbar, Allahu Akbar
Asyhadu alla ilaha illallah
Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah
Hayya ‘alash sholah
Hayya ‘alal falah
Qod qomatish sholah (2 kali), ertinya “Solat akan didirikan”
Allahu Akbar, Allahu Akbar
La ilaha illallah

Begitu subuh, aku mendatangi Rasulullah SAW kemudian kuberitahu beliau apa yang kumimpikan.

Baginda pun bersabda, “Sesungguhnya itu adalah mimpi yang benar, insya Allah. Bangkitlah bersama Bilal dan ajarkanlah kepadanya apa yang kau mimpikan agar diazankannya (diserukannya), kerana sesungguhnya suaranya lebih lantang darimu.”

Ia berkata, "Maka aku bangkit bersama Bilal, lalu aku ajarkan kepadanya dan dia yang berazan. Ia berkata, "Hal tersebut terdengar oleh Umar bin al-Khaththab ketika dia berada di rumahnya. Kemudian dia keluar dengan selendangnya yang menjuntai.

Dia berkata, “Demi Dzat yang telah mengutusmu dengan benar, sungguh aku telah memimpikan apa yang dimimpikannya.”

Kemudian Rasulullah SAW bersabda, “Maka bagi Allah-lah segala puji.” – Hadits Riwayat Abu Dawud (499), at-Tirmidzi (189) secara ringkas tanpa cerita Abdullah bin Zaid tentang mimpinya, al-Bukhari dalam Khalq Af’al al-Ibad, ad-Darimi (1187), Ibnu Majah (706), Ibnu Jarud, ad-Daruquthni, al-Baihaqi, dan Ahmad (16043-redaksi di atas).

At-Tirmidzi berkata, “Ini hadits hasan shahih”.

Juga dishahihkan oleh jamaah imam ahli hadits, seperti al-Bukhari, adz-Dzahabi, an-Nawawi, dan yang lainnya. Demikian diutarakan al-Albani dalam al-Irwa (246), Shahih Abu Dawud (512), dan Takhrij al-Misykah (I: 650).

Lafaz Azan terdiri dari 7 bahagian:
Allahu Akbar, Allahu Akbar (2 kali)
“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar”

Asyhadu alla ilaha illallah (2 kali)
“Aku bersaksi bahwa tiada Tuhan selain Allah”

Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah (2 kali
“Aku bersaksi bahwa Muhammad adalah Rasul Allah”

Hayya ‘alash sholah (2 kali)
“Mari menunaikan salat”

Hayya ‘alal falah (2 kali)
“Mari meraih kemenangan”

Ashsalatu khairum minan naum (2 kali)
“Shalat itu lebih baik daripada tidur” (hanya diucapkan dalam azan Subuh)

Allahu Akbar, Allahu Akbar (1 kali)
“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar”

Lailaha ilallah (1 kali)
“Tiada Tuhan selain Allah”

Menjawab Azan

Apabila kita mendengar suara azan, kita disunnahkan untuk menjawab azan tersebut sebagaimana yang diucapkan oleh muazin, kecuali apabila muazin mengucapkan “Hayya alash shalah”, “Hayya alal falah”, dan “As shalatu khairum minan naum” (dalam azan Subuh).

Bila muazin mengucapkan “Hayya alash shalah” atau “Hayya alal falah”, disunnahkan menjawabnya dengan lafazh “La haula wa la quwwata illa billahil ‘aliyyil ‘azhim” yang ertinya, “Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah”.

Dan bila muazin mengucapkan “Ashsalatu khairum minan naum” dalam azan Subuh, disunnahkan menjawabnya dengan lafaz “Shadaqta wa bararta wa ana ‘ala dzalika minasy syahidin” yang ertinya, “Benarlah engkau dan baguslah ucapanmu dan saya termasuk orang-orang yang menyaksikan kebenaran itu”.

Ayat di dalam Al-Quran yang terkait dengan azan (seruan), "Allah menyeru (manusia) ke Darussalam (syurga), dan menunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus (Islam)." Surah Yunus 10:25

"Hai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu, ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dikumpulkan." Surah Al Anfaal 8:24

"Hai kaum kami, terimalah (seruan) orang yang menyeru kepada Allah dan berimanlah kepada-Nya, niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan melepaskan kamu dari azab yang pedih."

"Dan orang yang tidak menerima (seruan) orang yang menyeru kepada Allah maka dia tidak akan melepaskan diri dari azab Allah di muka bumi dan tidak ada baginya pelindung selain Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata.” Surah Al Ahqaaf 46:31-32

Azan itu adalah satu seruan kepada manusia untuk melaksanakan solat.

Renungkanlah setiap bait azan itu, semoga kita lebih sedar akan seruan untuk kita mengEsakan Allah, melaksanakan sunnah rasulNya, menjalankan solat dan menuju kemenangan. Insya Allah.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

'Semua Doa Saya Dimakbulkan Kecuali Satu Perkara'

'Semua Doa Saya Dimakbulkan Kecuali Satu Perkara'

Pada suatu ketika, Imam Ahmad Bin Hanbal yang berasal dari Baghdad, Iraq telah berkelana ke Kota Basrah, yang jaraknya adalah sekitar 200 batu. Walaupun namanya cukup mahsyur di tanah Arab kerana ketokohannya dalam ilmu agama, Imam Ahmad memilih untuk bermusafir sendirian tanpa ditemani seorang pun muridnya.

Doa Saya Dimakbulkan Kecuali Satu

Tidak seperti biasa, kali ini beliau bermusafir tanpa sebarang sebab musabab yang jelas. Bukan untuk menuntut ilmu dan bukan juga kerana menerima jemputan daripada pembesar negeri Basrah. Beliau sendiri tidak tahu apa tujuannya.

Tapi apa yang pasti, keinginannya untuk ke Basrah begitu kuat.

Setelah beberapa hari menempuh perjalanan yang panjang, Imam Ahmad sampai ke Kota Basrah selepas matahari terbenam.

Dengan lelah kudrat tuanya yang masih tersisa, beliau membuat keputusan untuk singgah disebuah masjid yang tersergam indah di kota berkenaan.

Selesai menunaikan solat Isyak secara berjemaah, lelaki tua berkenaan membuat keputusan untuk bermalam di situ.

Ketika jemaah mula beredar, beliau merebahkan tubuhnya untuk menghilangkan kepenatan. Baru mahu melelapkan mata, seorang pengawal masjid datang menghampiri dan mengusir ulama besar itu. Ternyata pengawal tersebut tidak mengenali siapa lelaki dihadapannya.

"Izinkan aku untuk menumpang di sini sehingga waktu Subuh, selepas itu aku akan beredar dari sini," kata Imam Ahmad kepada pengawal tersebut tetapi permintaannya ditolak.

"Maaf wahai orang tua. Saya hanya menjalankan tugas. Masjid ini perlu dikunci atas arahan pemerintah.

"Tiada sesiapa pun dibenarkan tidur atau menumpang di dalamnya," balas pengawal itu.

Mendengarkan jawapan itu, Imam Ahmad segera bangun tanpa memperkenalkan siapa dirinya kepada pengawal tersebut sambil berlalu dengan wajah tersenyum.

"Jika di dalam masjid tidak dibenarkan, maka izinkan aku menumpang di kaki lima masjid," pintanya sekali lagi kepada pengawal itu.

Namun, sekali lagi permintaannya ditolak, malah Imam Ahmad diherdik dan tubuhnya ditarik ke jalanan.

Mendengar ada keributan yang berlaku di masjid, seorang penjual roti yang baru balik dari berniaga datang menghampiri. Dia ingin tahu apa yang telah berlaku sehingga seorang lelaki tua telah diusir oleh pengawal masjid.

Imam Ahmad kemudiannya menceritakan tentang keadaannya yang sedang bermusafir tanpa memperkenalkan siapa sebenarnya beliau.

Mendengar penjelasan itu, penjual roti tersebut kemudian mempelawa Imam Ahmad menginap dirumahnya tanpa mengetahui dia sebenarnya seorang ulama yang mahsyur.

Di rumah, lelaki tersebut melayan Imam Ahmad dengan baik sekali. Mereka berbual seketika, sebelum mempersiapkan tempat tidur kepada tetamunya itu untuk berehat.

Sementara Imam Ahmad berehat, lelaki itu masuk ke dapur dan mula menyiapkan adunan roti yang akan dijualnya pada esok hari.

Itulah kebiasaan lelaki itu. Waktu malam menyiapkan adunan roti, siang hari pula menjualnya dipasar.

Tanpa diketahui, gerak-gerinya diperhatikan oleh Imam Ahmad dan apa yang menarik perhatiannya ialah lelaki tersebut sentiasa berzikir dan beristigfar tanpa henti.

Keesokan harinya selepas menunaikan solat Subuh, Imam Ahmad bertanya sesuatu kepada pembuat roti itu.

"Semalam ketika mahu tidur, aku mendengar istighfar yang terus menerus keluar dari mulutmu ketika engkau sedang mengolah adunan roti.

"Katakanlah wahai tuan, apa yang engkau dapati daripada bacaan yang engkau baca?" soal Imam Ahmad.

Pembuat roti itu lalu menjawab, "Sungguh aku benar-benar telah mendapat faedah dari keutamaan melazimkan istighfar.

"Demi Allah, sejak lidahku selalu menyebut kalimah berkenaan, doaku sentiasa dikabulkan Allah.

"Namun, hanya ada satu yang belum termakbul sehingga saat ini."

"Sudah cukup lama saya berdoa kepada Allah untuk dipertemukan dengan seorang ulama besar yang sangat saya kagumi, iaitu Imam Ahmad bin Hanbal!"

Mendengar jawapan itu, Imam Ahmad tersentak. Dia bangun dari tempat duduknya dan berkata, "Allahu akhbar! Ketahuilah saudaraku bahawa Allah telah mengabulkan doamu!"

Pembuat roti itu tercengang dan masih belum mengerti apa yang disampaikan oleh Imam Ahmad.

"Apa maksud kamu wahai orang tua? Doaku telah dikabulkan? Bagaimana caranya? Dimana saya boleh bertemu dengan Imam Ahmad bin Hanbal?"

Dengan tenang Imam Ahmad berkata, "Ya, benar wahai orang muda. Allah telah mendengar doa-doamu.

"Ternyata apa yang aku alami sejak dari mula bermusafir dari Baghdad ke Basrah, singgah di masjid dan diusir oleh pengawal, bertemu dengan kamu dijalanan sehinggalah aku dijemput untuk menginap disini, rupanya adalah aturan Allah untuk mengabulkan doa hamba-Nya yang soleh."

"Ya, orang yang sangat ingin kamu temui selama ini telah ada dirumahmu, bahkan di depanmu sekarang.

"Wahai tuan, sayalah Ahmad bin Hanbal.

"Demi Allah, Dialah yang mengaturkan perjalananku sehingga bertemu denganmu."

***

Dari Ibnu Abbas r.a. Rasulullah SAW bersabda, "Siapa yang selalu beristighfar (meminta ampun kepada Allah), nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberi rezeki tanpa diduga olehnya." (Hadis riwayat Abu Daud).

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, November 22, 2018

Apa Itu Heroin Dan Morfin?

Apa Itu Heroin Dan Morfin?

Heroin dan morfin adalah dadah dalam kumpulan opiate. Morfin adalah alkaloid yang diperolehi dari pokok poppy, Papaver somniferum dan biasanya digunakan sebagai ubat tahan sakit, manakala heroin adalah dadah sintetik yang dihasilkan dengan menambah dua kumpulan acetyl pada struktur morfin, juga dikenali sebagai diamorphine.

Heroin Dan Morfin

Morfin boleh didapati secara meluas untuk digunakan sebagai ubat penahan sakit, biasanya diberikan melalui mulut.

Heroin dan mofin adalah dadah yang biasa disalahguna di Malaysia. Heroin dan morfin tersenarai dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952, yang menghalang penanaman, pengeluaran, import, export, pemilikan dan penyalahgunaan.

Nama Jalanan Heroin;
  • Fit
  • Fun
  • Cik Puteh
  • Barang

Nama Jalanan Morfin;
  • M
  • Monkey
  • Dreamer
  • Morpho
  • Tab
  • Cubes
  • Emsel
  • Melter

Kesan Penggunaan Heroin dan Morfin

Morfin bergabung pada reseptor opioid yang terdapat dalam otak dan di lain-lain bahagian badan. Penggunaan kronik boleh mengakibatkan ketagihan dan pergantungan fizikal.

Gejala Penggunaan Heroin dan Morfin;
  • Tidak rasa sakit
  • Keghairahan
  • Rasa tenang
  • Loya
  • Muntah
  • Mata berair
  • Hidung berair
  • Letih

Kesan Penyalahgunaan Heroin dan Morfin pada Kesihatan

Penyalahgunaan dadah boleh mengakibatkan penurunan berat badan, kesesakan nafas dan jangkitan hepatitis dan HIV akibat perkongsian jarum. Dos berlebihan boleh menyebabkan kematian.

Metabolisma Heroin dan Morfin

Heroin dan morfin biasa dimasukkan ke dalam badan melalui suntikan. Heroin boleh juga dihisap, disedut, dimasukkan ke dalam dubur atau diambil secara oral.

Heroin diserap ke dalam plasma darah dalam masa beberapa minit selepas pengambilan. Kadar metabolisma berbeza mengikut jenis dadah dan cara pengambilan ke dalam badan.

Metabolisma heroin dan morfin berlaku dalam hati yang menukarkan dadah asal kepada metabolit.

Heroin ditukarkan kepada 6–acethylmorphine (6-MAM) yang kemudiannya di metabolisma kepada morfin. Morfin boleh dikesan dalam plasma darah dalam masa lebih kurang 45 minit selepas pengambilan.

Dadah Yang Disalahguna

Morfin adalah candu yang aktif serta utama dan digunakan untuk meringankan kesakitan bagaimanapun, ia menduduki tempat kedua selepas heroin sebagai dadah yang disalahgunakan.

Morfin disalahgunakan secara meluas oleh penagih terutama sekali apabila heroin susah hendak didapati.

Sulfat morfin ialah cairan yang tidak berwarna dan tidak berbau. Morfin juga berbentuk empat segi, ringan dan berwarna putih. Selain itu, morfin juga terdapat dalam bentuk tablet-tablet putih kecil atau kapsul.

Di Malaysia cata yang biasa untuk membungkus Morfin adalah dalam bungkusan-bungkusan kertas kecil.

Cara Morfin digunakan

Morfin boleh dimakan dalam bentuk tablet atau kapsul, tetapi cara penggunaan yang sangat kerap ialah dengan cara suntikan ke dalam pembuluh (intravenus) dengan menggunakan jarum-jarum hipoderma.

Kesan Morfin

Sebaik sahaja dadah ini digunakan, penagih akan berasa mengantuk serta rnenunjukkan kecacatan keseimbangan dan tindakbalasnya.

Tindakbalas-tindakbalas yang awal adalah amat tidak menyenangkan orang tetapi diikuti dengan perasaan tenang.

Pertuturan penagih itu menjadi tidak nyata, mata hitamnya mengecil, kemudian dia tidur dan dalam keadaan tidak sedar, jaga semula, berkhayal semula dan sentiasa mengelamun.

Walaupun morfin jarang membuat seseorang itu berasa gembira kerana fikirannya yang terganggu, tidak boleh membuat pertimbangan dengan betul, tekanan darah turun, pernafasan dan peredaran darah menjadi lambat dan kurang selera makan.

Bahaya Morfin

Sama seperti heroin, pertimbangan kawalan, tumpuan dan perhatian merosot dengan cepat ketika perasaan pengguna itu tidak lagi tenteram.

Hilangnya selera makan menyebabkan pengguna dadah mendapat sembelit, kurang selera makan dan turun berat badan.

Pengguna sangat mencuaikan diri sendiri menyebabkan dia mudah diserang penyakit dan akhirnya menjadi ahli masyarakat yang tidak bertanggungjawab.

Morfin mewujudkan kedua-dua pergantungan fizikal dan jiwa dengan cepatnya dan daya tahan (tolerance) terhadap dadah ini dibina dengan cepat pula.

Oleh itu, dos-dosnya mestilah selalu ditambah untuk mendapatkan kesan, akibat yang sama dengan dos yang pertama.

Penagih tidak tahu berapa kuatnya dos yang diambilnya itu dan ini membawa bahaya dos berlebihan dan boleh menyebabkan kejang dan kematian.

Jarum yang kotor boleh merebakkan penyakit seperti sakit kuning, kancing gigi dan keracunan darah.

Oleh kerana morfin boleh menimbulkan ketagihan jenis fizikal, apabila penagih itu cuba berhenti mengambil dadah dan membebaskan diri dari cengkamannya, dia mengalami penyakit-penyakit pengunduran diri (sindrom putus dadah) dengan teruknya sama seperti seorang penagih heroin.

Dia akan berasa resah, cemas, sugul, bercelaru, takut, menggeletar, berpeluh berlebih-lebihan, mata hitam membesar, mata dan hidung berair, tidak boleh tidur, mual dan muntah-muntah, tegang perut dan cirit-birit.

Kesemua tanda ini akan sampai ke kemuncaknya selepas 48 jam yang pertama sesudah dadah ini berhenti diambil dan ini berterusan sehingga sepuluh hari.

Bagaimanapun, masa yang panjang adalah diperlukan untuk badan penagih itu kembali kepada keadaan sediakala.

Walaupun seseorang itu menderita akibat pengunduran dari dadah, disebabkan pergantungan jiwanya atau ketagihan yang terlalu kuat, penagih itu mungkin boleh memulakan kembali tabiatnya itu pada suatu masa yang dia rasa lemah dan cuai.

Kesan-kesan Fisiologi Heroin dan Morfin

Tubuh badan kita mempunyai deria-deria yang dikawal oleh otak menerusi urat saraf.

Ada sejenis enzim semula jadi dikenali sebagai endomorfin yang dikeluarkan oleh buli-buli pituituari yang sentiasa dikeluarkan secara spontan kepada sel-sel deria sehinggalah kepada sel-sel otak (grey matler).

Dalam keadaan normal sel-deria ini berfungsi secara spontan dengan kehadiran enzim endomortin, tetapi apabila seseorang menghisap heroin atau morfin yang berlebihan, buli-buli pitituarinya akan terjejas.

Kehadiran Endomorfin dari heroin atau morfin yang dihisap secara berterusan melemahkan keupayaan sel-sel dalam pitituari untuk mengeluarkan enzim Endomorfin secara spontan.

Lama-kelamaan sel-sel ini akan mati dan begitu juga sel-sel otak (grey matter) tidak dapat berfungsi dengan betul.

Kegagalan pitituari mengeluarkan Endomorfin menyebabkan pergantungan pengguna kepada bekalan yang berterusan hingga menjadi penagih.

Sel-sel deria yang rosak dan mati mengakibatkan seseorang penagih menjadi pelupa dan kurang keseimbangannya.

Walaupun tubuh badan kelihatan sihat tetapi pemikirannya tidak normal kerana kebanyakan sel otak (grey matter) telah rosak dan mati.

Oleh yang demikian penyalahgunaan heroin dan morfin membahayakan kerana boleh menjadikan seseorang itu tidak waras dan jika terperangkap, sukar untuk sembuh seperti manusia yang normal.

Di samping itu, kesan fisiologi morfin dan heroin ialah merendahkan kesanggupan sumsum tulang (bone marrow) untuk mengeluarkan hemoglobin.

Oleh yang demikian ia akan membawa kepada pesakit anaemia di mana darah merah seorang pengidap kurang daripada biasa.

Pembuangan Heroin dan Morfin

Metabolit utama dalam urin selepas pengambilan heroin dan morfin adalah 6-monoacethylmorphine (6-MAM) dan morphine glucuronide.

Heroin jarang dikesan dalam urin individu yang mengambil dadah ini. 6-MAM adalah indikator pengambilan heroin.

Urin adalah spesimen yang biasa digunakan untuk mengesan penyalahgunaan heroin dan morfin kerana kepekatan metabolit dalam urin adalah tinggi.

Masa pemungutan urin yang sesuai adalah mustahak untuk menentukan pengesanan dadah dan masa paling sesuai untuk mengesan morfin dalam urin adalah diantara 48 hingga 72 jam selepas pengambilan.

Pengesanan Penyalahgunaan Heroin dan Morfin

Penyalahgunaan heroin and morfin boleh dikesan melalui ujian dadah. Terdapat dua kategori ujian dadah iaitu saringan dan pengesahan.

Ujian Saringan

Ujian saringan adalah ujian permulaan dan merupakan ujian kualitatif yang digunakan untuk mengenalpasti kelas dadah yang terkandung dalam urin.

Teknik yang digunakan adalah immunoassay berdasarkan prinsip competitive binding. Kit ujian saringan dadah boleh didapati dalam bentuk ujian di lokasi atau analisis di makmal.

Ujian pantas biasa digunakan sebagai ujian di lokasi dan digunakan di klinik dan oleh pihak berkuasa. Keputusan ujian saringan bergantung pada paras cut off.

Cut-off adalah kepekatan yang digunakan untuk membezakan ujian positif dan negatif.

Spesimen yang mengandungi kepekatan dadah pada atau lebih dari nilai cut-off akan dianggap sebagai positif manakala spesimen dengan kepekatan dadah kurang dari nilai cut-off akan dianggap negatif.

Cut-off ujian saringan bagi morfin dalam urin adalah 300 ng/ml. Ujian saringan tidak spesifik dan oleh itu bagi kes yang melibatkan perundangan, spesimen positif ujian saringan hendaklah disahkan dengan ujian pengesahan yang dilakukan oleh makmal.

Ujian Pengesahan

Ujian pengesahan digunakan untuk mengesahkan keputusan positif ujian saringan dan boleh mengesan dadah dalam urin secara spesifik. Ujian pengesahan biasa dilakukan dengan menggunakan teknik kromatografi.

Teknik kromatografi yang biasa digunakan untuk mengesahkan morfin adalah Gas Chromatography Mass Spectrometry (GCMS) dan Liquid Tandem Mass Spectrometry (LC/MS/MS).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: myhealth | apaitudadah

Kisah Seram Hantu Janet Di Sarawak Yang Terkenal Di Seluruh Dunia

Kisah Seram Hantu Janet Di Sarawak Yang Terkenal Di Seluruh Dunia

Pernahkah anda mendengar mengenai Hantu Janet yang popular suatu masa dahulu di Sarawak sekitar tahun 70-an dan 80-an? Terdapat banyak versi cerita mengenai Hantu Janet yang sering dibualkan, namun ianya mempunyai persamaan di mana ia merupakan hantu seorang wanita yang sering mengganggu orang ramai di Kuching.

Hantu Janet

Janet dikatakan seorang gadis berketurunan Tionghua yang dipercayai telah diculik pada penghujung tahun 60-an. Difahamkan Janet adalah seorang jururawat yang bekerja di Hospital Umum Sarawak (HUS). Ketika kejadian culik itu dia dikatakan baru sahaja selesai bertugas dan dalam perjalanan pulang pada waktu malam.

Ketika itu, kejadian culik kerap berlaku di Kuching dan ramai orang percaya ia adalah disebabkan ritual "korban semah" yang sering dilakukan mengikut kepercayaan masyarakat dulu.

Kebiasaannya ritual ini dilakukan apabila ada sesuatu bangunan atau pembinaan sedang dijalankan dan ritual itu bertujuan untuk mengelak daripada diganggu penunggu.

Ketika itu kehilangan Janet dikaitkan dengan projek pembinaan Jambatan Satok di Kuching di mana terdapat satu pembinaan satu struktur yang besar sedang dilakukan di jambatan itu.

Pembinaan struktur itu tergendala akibat gangguan makhluk halus dan pada ketika itulah mereka yang terlibat dengan pembinaan dipercayai mencari mangsa.

Mereka selalunya akan mencari gadis perawan untuk dijadikan korban dan hanya bahagian kepala sahaja yang akan digunakan. Kepala mangsa biasanya akan dipenggal dan ditanam di dalam struktur binaan seperti tiang konkrit.

Mayat Janet kemudian ditemui tidak lama selepas itu tanpa kepala. Orang tuanya yang sedih dengan kematian Janet telah mengebumikan anak mereka dengan memakai pakaian berwarna merah.

Kaum Cina percaya jika seseorang itu dikebumikan memakai pakaian berwarna merah, roh mereka akan kembali membalas dendam. Mungkin itu yang diingini keluarganya bagi menuntut bela atas kematian Janet.

Hantu Janet Payung Merah

Tidak lama selepas itu Hantu Janet mula mengganggu orang ramai. Banyak cerita mengatakan bahawa wanita berpakaian berwarna merah, berkasut merah dan membawa payung merah sering kelihatan pada waktu malam merayau-rayau seorang diri terutamanya di antara Kampung Kudei dan Kampung Bintangor yang terletak di kawasan Satok.

Hantu Janet juga dikatakan kerap menahan kereta dan meminta untuk ditumpangkan ke sesuatu kawasan. Setibanya di kawasan yang dimaksudkan, wanita berpakaian serba merah itu akan hilang dalam sekelip mata meninggalkan bau yang busuk.

Malah, Hantu Janet juga gemar menahan pemandu lelaki dan akan mengajak untuk tengok wayang tayangan tengah malam kerana dia gemar menonton wayang tengah malam semasa hidupnya.

Ada juga dakwaan lain mengatakan wanita berpakaian serba merah sering kelihatan menaiki feri pada waktu malam untuk merentasi Sungai Sarawak.

Setibanya feri di seberang sungai, wanita itu akan hilang dan duit tambang yang dibayarnya akan bertukar menjadi daun kering ataupun wang kertas palsu yang digunakan kaum Cina untuk dibakar pada upacara kematian dan sehingga ke hari ini, operator feri enggan enggan meneruskan perkhidmatan selepas jam 10 malam.

Ada juga yang memberitahu terlihat Hantu Janet berlegar-legar di kawasan Hospital Umum Sarawak. Sehingga hari ini, penduduk di Kuching takut untuk menyebut namanya kerana dikhuatiri akan diganggu Hantu Janet.

Hantu Janet ini bukan sekadar terkenal di seluruh Sarawak dan Malaysia sahaja malah di negara-negara lain juga.

Ada satu komik Jepun atau Manga telah memuatkan kisah mengenai Hantu Janet ini di dalam komik bertajuk "3 X 3 Eyes" dalam bab "The Red Rain of Malaysia" sebanyak 3 jilid.

Hantu Janet Manga

Ia telah ditulis dan diilustrasikan oleh Yuzo Takada dan diterbitkan dari 1987 hingga 2002 merangkumi 40 jilid. Pada tahun 1993, komik ini telah memengangi Anurgerah Kodansha Manga.

Komik "3 X 3 Eyes" itu mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Yakumo Fuuji yang bekerja untuk satu entiti Immortal telah dipanggil ke Sarawak untuk menangkap roh jahat Hantu Janet yang sering mengganggu penduduk dan membalas dendam ke atas kematiannya.

Namun begitu, jalan cerita mengenai Hantu Janet diubah sedikit mengikut imaginasi penulis dan pelukis komik tersebut.

Selain dimuatkan dalam komik Jepun, Hantu Janet juga telah dijadikan sebagai salah satu watak dalam permainan video online "Ghost Trapper".

Di dalam permainan online ini juga, Hantu Janet memakai pakaian serba merah, sama seperti nama permainan ini, pemain dikehendaki menangkap seberapa banyak hantu yang boleh dalam pengembaraan mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Wednesday, November 21, 2018

Memahami Kaitan Antara Usus Dan Minda Serta Kepentingannya Kepada Kesihatan

Memahami Kaitan Antara Usus Dan Minda Serta Kepentingannya Kepada Kesihatan

Sistem penghadaman dan pencernaan anda memainkan peranan yang jauh lebih kritikal daripada hanya menghadam dan mencerna makanan. Bakteria usus yang membentuk sejumlah besar mikrobiota usus anda mempunyai banyak faedah kesihatan dan memberi kesan positif terhadap pelbagai aspek kehidupan anda.

Usus Dan Minda

Banyak kajian membuktikan bahawa probiotik memberi pelbagai faedah dan bukan sahaja menyumbang kepada kesejahteraan penghadaman dan pencernaan malah probiotik juga mampu meningkatkan imuniti, mengurangkan risiko obesiti serta memberi kesan positif terhadap tahap kesihatan mental anda.

Malah, usus adalah organ yang sangat mengagumkan – ia sering dirujuk sebagai ‘otak kedua’ kerana mengandungi berjuta-juta saraf atau neuron.

Para saintis merujuk kepada set kedua neuron ini sebagai sistem enterik saraf (enteric nervous system – ENS). Sistem enterik saraf inilah yang menjalinkan hubungan mesra antara usus dan otak anda.

Apa yang lebih menarik lagi ialah mikrobiota usus bertanggungjawab dalam menghasilkan beratus-ratus neurokimia yang digunakan oleh otak untuk mengawal selia pelbagai proses asas fisiologi – ini termasuk aktiviti mental seperti pembelajaran, memori dan mood.

Jadi, hubungan erat antara usus dan otak mestilah dijaga dengan elok malah sebarang permasalahan di dalam usus boleh menyebabkan pelbagai penyakit di dalam sistem biologi badan kita.

Bahkan, Hippocrates juga membuat kenyataan ‘semua penyakit bermula di dalam usus’ lebih daripada dua ribu tahun yang lalu, dan ianya terbukti benar hari ini.

Tahukah anda?

Mikrobiota usus anda menghasilkan sekitar 95% daripada serotonin yang diperlukan oleh tubuh/otak dan Neurokimia ini mempengaruhi mood, aktiviti penghadaman dan pencernaan.

Keadaan emosi anda boleh menyebabkan ketidakselesaan fizikal, contohnya apabila anda mengalami perasaan resah atau stres anda juga akan ada satu perasaan yang tidak selesa di dalam perut yang boleh membawa kepada perasaan resah dan stres.

Paksi otak-perut

Kesihatan penghadaman dan pencernaan, dan mental, kedua-duanya berkait rapat dan tidak boleh dipisahkan. Penghadaman dan pencernaan yang tidak optimal boleh menyebabkan keresahan di otak anda.

Dalam suasana ekonomi yang mencabar hari ini, stres adalah sebahagian daripada kehidupan harian.

Jika tidak diatasi dengan baik, ia boleh membawa kepada masalah kesihatan mental yang jauh lebih serius seperti stres yang kronik atau kemurungan. Ini sekali gus menyebabkan penurunan prestasi anda dalam banyak aspek kehidupan seharian.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendedahkan beberapa angka yang membimbangkan dari segi kesihatan mental rakyat Malaysia – kejadian masalah kesihatan mental meningkat secara mendadak dari 10.7% pada 1996 ke 29.2% pada 2015.

Semua aspek kehidupan boleh berkembang maju dengan sedikit stres. Bagaimanapun, masalah mula timbul apabila terdapat terlalu banyak stres contohnya seperti pasaran pekerjaan tidak stabil, kesesakan lalu lintas, konflik keluarga, masalah kewangan, menghidapi penyakit kronik dan lain-lain.

Adalah penting bagi seseorang untuk mempelajari bagaimana mengendalikan stres lantas mengurangkannya. Mungkin ia sesuatu yang mudah seperti mendengar muzik, bercucuk tanam atau bersosial bersama kawan-kawan.

Bersenam juga adalah cara terbaik untuk mengurangkan stres. Oleh itu, carilah sesuatu yang sesuai untuk anda seperti berbasikal, joging, bermain futsal, badminton atau aktiviti lain yang digemari termasuklah jazzercise!

Kesan Buruk Stres

Stres mempunyai kesan negatif pada mood dan mempengaruhi interaksi anda dengan orang tersayang. Ini boleh mengurangkan kualiti hidup dan masa berkualiti anda bersama keluarga yang boleh menjurus kepada lebih stres.

Keresahan, kumurungan atau stres yang kronik boleh mengubah proses kognitif, pemikiran, kejelasan mental dan penurunan prestasi kerja seseorang.

Para penyelidik mendapati bahawa stres dan keresahan boleh dicetuskan oleh ketidakseimbangan komposisi di antara mikrobiota yang baik dan mikrobiota berbahaya di dalam usus kita.

Ada banyak kajian yang menunjukkan pengambilan diet yang seimbang dan sihat dikaitkan dengan risiko lebih rendah terhadap penyakit mental.

Malangnya, ada beberapa kajian sahaja yang menunjukkan kaitan di antara pengambilan probiotik dan kesannya terhadap mood, stres atau kesihatan mental amnya.

Harapan cerah

Walaupun banyak kajian menunjukkan faedah probiotik kepada kedua-dua kesihatan mental dan fizikal, ia bukan dan tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian terbaik.

Probiotik memainkan peranan penting bagi kesihatan penghadaman dan pencernaan yang baik dan kesejahteraan secara keseluruhan.

Mengamalkan gaya hidup yang sihat adalah jauh lebih penting dalam memelihara kesihatan keseluruhan yang optimal.

Ini bermakna kita perlu menjaga kesihatan penghadaman, pencernaan, mendapat tidur dan senaman secukupnya, memakan saiz sajian yang seimbang serta berkhasiat dan mencari kaedah yang terbaik untuk mengatasi stres secara berkesan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Smartphone Realme C1, Realme 2, Realme 2 Pro Untuk Pasaran Asia Tenggara

Smartphone Realme C1, Realme 2, Realme 2 Pro Untuk Pasaran Asia Tenggara

Realme merupakan sub-jenama daripada OPPO yang memfokuskan kepada penghasilan peranti berspesifikasi menarik pada harga mampu-milik, telah memperkenalkan tiga peranti baru mereka untuk pasaran Asia Tenggara, menerusi Realme 2, Realme 2 Pro dan Realme C1.

Smartphone Realme

Selari dengan slogan 'Proud to be Young', Realme, yang ditubuhkan secara rasmi pada 4 Me 2018, menumpukan kepada merevolusikan telefon pintar bagi generasi muda, menggabungkan prestasi terbaik dengan gaya kontemporari.

Sebelum ini, Realme menyaksikan rekod jualan yang hebat di India iaitu sebanyak 200,000 unit Realme 2 dijual dalam tempoh lima minit selepas ia dilancarkan secara rasmi, manakala di Indonesia, 15,000 unit Realme 2 hanya dalam 10 minit

Realme C1

Apa yang paling mengejutkan, Realme turut menawarkan Realme C1 iaitu smartphone kelas asas untuk bersaing dengan Redmi 6A Xiaomi.

Smartphone ini memberi rekaan yang jauh lebih menarik, rekaan bertakuk dan sokongan dwi-kamera, juga dilihat menewaskan pesaingnya dengan penggunaan cip Snapdragon yang lebih lancar bersama kapasiti bateri tinggi.

Untuk spesifikasi penuhnya, Realme C1 didatangkan dengan skrin 6.2-inci, cip Snapdragon 450, memori 2GB RAM dan storan dalaman 16GB, juga tampil dengan sokongan dwi-kamera 13+5MP, kamera hadapan 5MP, bateri berkapasiti 4230 mAh dan mempunyai mod AI bagi swafoto dan 16.7 juta warna skrin menjadikannya lebih jelas dan nyata.

Realme 2

Memandangkan ia disasarkan kepada golongan muda, kamera untuk Realme 2 juga adalah terbaik dengan 13 megapiksel (MP) untuk kamera belakang dan 2MP untuk bahagian depan dengan pelbagai ciri fotografi.

Realme 2 merupakan peranti kelas permulaan yang hadir dengan rekaan yang menarik, turut membawakan rekaan dengan kemasan potongan berlian pada binaan polikarbonat, bagi memberikan penampakan peranti yang elegan seperti yang dilihat pada OPPO R1x.

Ia juga hadir dengan rekaan takuk di bahagian hadapan untuk memberi paparan yang lebih luas, turut menampilkan skrin bersaiz 6.2-inci pada resolusi HD+, cip Snapdragon 450 dan pilihan konfigurasi 3GB RAM/32GB dan 4GB RAM/64GB.

Turut melengkapkan lagi peranti ini ialah sokongan dwi-kamera 13MP+2MP, kamera hadapan 8MP dan kapasiti bateri yang besar iaitu setinggi 4230 mAh.

Realme 2 Pro

Selain Realme 2, Realme juga membawa masuk Realme 2 Pro untuk memenuhi penggunaan berkuasa, membawakan rekaan berasaskan plastik seperti Realme 2, namun ia kelihatan seolah-olah hadir dengan binaan berasaskan kaca.

Binaan takuknya juga dilihat mengikuti OPPO F9, dengan menyajikan rekaan takuk seumpama titisan air di atas skrin.

Dari segi spesifikasi, ia didatangkan dengan skrin bersaiz 6.3-inci pada resolusi FHD+, cip Snapdragon 660 dan hadir dalam tiga pilihan konfigurasi iaitu 4GB RAM/64GB, 6GB RAM/64GB dan 8GB RAM/128GB (UFS 2.1).

Realme 2 Pro turut menampilkan sokongan dwi-kamera 16MP f/1.7 + 2MP, kamera hadapan 16MP, sensor IMX398 untuk menyokong pemfokusan dua teras serta ciri kecantikan AI bagi mengenalpasti 296 titik pengesanan wajah dan lebih lapan juta penyelesaian gambar dan bateri berkapasiti 3500 mAh.

Android 8.1 Oreo

Seperti peranti OPPO, ketiga-tiga peranti Realme ini turut dijana dengan ColorOS 5 yang dibina berasaskan Android 8.1 Oreo.

Melalui penyertaan antaramuka ini, ia telah menyediakan sejumlah fungsi menarik seperti sokongan AI dan AR Stickers pada kamera, pengoptimasian prestasi dan kebolehan tema yang boleh dimuat-turun oleh pengguna.

Harga

Di pasaran Malaysia, Realme 2 dijual bermula pada harga RM599, Realme 2 Pro RM849 dan Realme C1 RM449.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: amanz

9 Legenda Dan Mitos Ikan Duyung Diseluruh Dunia!

9 Legenda Dan Mitos Ikan Duyung Diseluruh Dunia!

Selama ribuan tahun manusia telah menulis mengenai ikan duyung. Makhluk ini menjadi begitu terkenal di dalam rancangan televisyen atau filem dan hampir kebanyakan budaya mempunyai versi legenda ikan duyung tersendiri.

Ramai berpendapat penampakan ikan duyung pada zaman dahulu adalah imaginasi para kelasi yang tersalah anggap haiwan seperti dugong, singa laut atau ikan lumba-lumba.

Namun, legenda kewujudan ikan duyung ini masih menarik minat manusia di seluruh pelusuk dunia dan berikut adalah beberapa kisah mengenainya.

1. Jiaorén - China

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Di dalam legenda China, Jiaoren adalah ikan duyung yang bukan sahaja cantik malah makhluk ini juga mempunyai kemahiran untuk membuat pakaian dari kain yang dinamakan "tenunan naga" yang tidak basah jika terkena air. Jika Jiaoren menangis, air matanya akan bertukar menjadi mutiara.

Semasa Dinasti Jin, terdapat satu catitan di mana ia menceritakan tentang kemunculan ikan duyung yang menjual kain "tenunan naga" ini kepada manusia.

Jika ada sesiapa yang menawarkannya tempat tinggal, dia akan berterima kasih dengan menitiskan air mata ke dalam bekas tadahan yang kemudian dipenuhi oleh mutiara.

Dalam sejarah, beberapa orang bangsawan China mendakwa mereka mempunyai pakaian yang dihasilkan menggunakan "tenunan naga" ini.

2. Ningyo - Jepun

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Berbeza daripada legenda ikan duyung versi barat yang kebanyakannya dikatakan cantik, versi ikan duyung Jepun ini adalah sebaliknya. Ningyo dikatakan seekor ikan gergasi yang mempunyai wajah manusia, mulut monyet dengan taring keemasan dan juga tanduk.

Makhluk ini dikatakan mempunyai suara seakan-akan bunyi tiupan seruling. Menurut legenda lagi, sesiapa sahaja yang memakan daging Ningyo akan menjadi cantik, muda dan hidup kekal.

Namun, jika makhluk ini ditangkap, akan terjadinya ribut yang sangat dahsyat dan juga akan membawa nasib yang malang kepada seluruh kampung.

3. Iara - Brazil

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Menurut legenda Brazil, Iara adalah seorang gadis yang berani serta pintar dan tinggal di Amazon. Dia mempunyai kebolehan berlawan yang lebih baik dari saudara lelakinya yang lain. Disayangi dan dihormati oleh puaknya membuatkan abang-abangnya cemburu.

Mereka kemudian telah membunuh Iara dan membuang mayatnya ke dalam Sungai Amazon. Ketika itu Dewi Bulan iaitu Jaci berasa kasihan terhadapnya dan telah menghidupkannya semula sebagai seekor ikan duyung.

Setelah dihidupkan semula, Iara telah menghabiskan masanya membalas dendam terhadap lelaki. Setiap kali ada lelaki yang mati lemas di Sungai Amazon, mereka percaya ia adalah perbuatan Iara.

Suatu hari, seorang lelaki bernama Jaraguari bertemu dengan Iara dan mereka berdua telah jatuh cinta. Jaraguari memberitahu ibunya dia telah menemui seekor ikan duyung yang cantik dan ingin bersamanya di dalam kehidupan dalam air. Selepas itu mereka percaya bahawa roh Iara telah menjadi tenang.

4. The Finfolk - Ireland & Scotland

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Di Ireland dan Scotland, mereka percaya bahawa "Finfolk" adalah spesis ikan duyung yang tinggal di kerajaan bawah laut bernama Finfolkenheim. Pada musim panas makhluk ini dipercayai akan berehat di Hildaland, iaitu sebuah pulau yang akan muncul buat seketika waktu sahaja.

Makhluk ini juga dipercayai boleh berubah bentuk kepada ikan atau manusia sepenuhnya. Selain itu Finfolk dikatakan sangat cantik dan akan menggoda manusia supaya mengawan dengan mereka.

Namun, ia sebenarnya berniat untuk mengambil keperawanan manusia untuk kekal hidup selamanya. Jika ada sesiapa yang diculik atau kelasi hilang di lautan, mereka percaya ia adalah perbuatan Finfolk itu.

Walau bagaimanapun, jika Finfolk berkahwin sesama sendiri, Finfolk betina yang dikenali sebagai Finwife akan berubah bentuk menjadi seorang wanita tua yang akan ke darat untuk bekerja bagi mendapatkan wang dan makanan.

5. Mami Wata - Afrika

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Mami Wata adalah dewi ikan duyung Afrika yang mempunyai kuasa menyembuh dan ibu kepada semua hidupan laut. Terdapat banyak kisah penampakannya di tasik, sungai dan laut di benua itu.

Mami Wata sering dilihat memegang ular air di sekitar bahunya dan dia dikatakan boleh berubah bentuk kepada wanita, ikan atau ikan duyung mengikut kemahuannya.

Sehingga hari ini masyarakat di Afrika berasa taksub mengenai legenda Mami Wata. Terdapat banyak patungnya dijual sebagai cendera hati. Di Afrika juga terdapat satu kumpulan yang memuja para dewi dan mereka digelar sebagai "anak Mami Wata".

Mereka mendakwa sering bermimpi didatangi Mami Wata yang memanggil mereka untuk melakukan upacara pembersihan kerohanian.

6. Triton - Greece

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Di dalam mitos Greek, Triton merupakan tuhan yang menjaga tasik Tritonis. Dia adalah anak kepada Poseidon iaitu tuhan lautan. Triton dikatakan membawa cengkerang di mana ia digunakan sebagai semboyan dan juga senjata.

Menurut legenda, jika kelasi sesat di tasik itu, Triton akan membantu mereka dengan mencipta sebidang tanah yang kini dikenali sebagai pulau Thera. Pada kelasi yang sesat dapat berehat di situ sementara Triton akan menerangkan kepada mereka jalan kembali kepada lautan terbuka.

Tidak semuanya kisah baik mengenai Triton. Jika terdapat ternakan yang hilang atau kelasi terbunuh di lautan, ia adalah perbuatan Triton. Kerana tidak mampu melawan kuasa tuhan, mereka akan menawarkan minuman keras yang diletakkan di tepi pantai sebagai sembahan kepada Triton.

7. Millalobo - Chile

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Di Chile, terdapat mitos mengenai raja di lautan yang digelar sebagai Millalobo. Ia adalah separuh manusia dan separuh lagi singa laut. Millalobo dikatakan berkahwin dengan manusia dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Pincoy serta 2 anak perempuan bernama Sirena dan Pincoya.

Beberapa orang kelasi mendakwa mereka pernah dibantu oleh Pincoy menunjukkan arah pulang ketika sesat di lautan. Pincoya pula dikatakan sebagai seorang wanita paling cantik di dunia dengan rambut perang serta mempunyai mata berwarna biru.

Pincoya dikatakan akan duduk di atas batu dan gemar menari. Jika dia memandang ke arah lautan maka para nelayan akan mendapat banyak tangkapan dan jika dia memandang ke arah darat maka sebaliknya pula yang akan berlaku.

8. Ceasg - Scotland

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Disebut dengan "kee-ask", ikan duyung dari Scotland ini adalah separuh wanita dan separuh ikan salmon. Legenda menceritakan sesiapa yang berjaya menangkap Ceasg ini akan mendapat 3 permintaan.

Makhluk ini dikatakan menggoda manusia kepada kematian sama seperti legenda Siren. Cara untuk membunuh Ceasg ialah dengan memusnahkan azimat mereka berbentuk cengkerang di mana ia menyimpan rohnya dan disembunyikan agar tidak dijumpai manusia.

Legenda juga mengatakan jika anda berjaya menemui cinta sejatinya bersama Ceasg, mahkluk ini akan bertukar sepenuhnya kepada manusia. Tiada 3 permintaan yang diberikan, sebaliknya anda akan menjadi bertuah sepanjang hidup.

Terdapat beberapa keluarga di Scotland mendakwa mereka adalah dari keturunan pasangan manusia dan ikan duyung yang berkahwin.

9. Melusine - Perancis

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Legenda mengenai ikan duyung ini banyak diceritakan di dalam kisah dongeng Eropah. Melusine mempunyai bahagian bawah badan menyerupai ekor ular.

Melusine dikatakan seorang wanita garang yang ingin membalas dendam terhadap ayahnya bagi pihak ibunya. Dia dikatakan telah berkahwin dengan seorang bangsawan dan mengenakan satu syarat pelik, iaitu dia ingin bersendirian selama 1 hari dalam seminggu.

Akan tetapi kerana sifat ingin tahu, suaminya telah mengintai Melusine ketika bersendirian dan terkejut apabila mendapati isterinya itu sebenarnya adalah ikan duyung.

Kerabat di raja Perancis dari House of Lusignan mendakwa mereka adalah keturunan dari Melusine. Kini, gambarnya kelihatan di seluruh dunia, terutamanya pada lambang minuman kopi terkenal iaitu Starbucks.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Tuesday, November 20, 2018

Gaya Eskimo Kissing Cara 'Bersalam' Yang Pelik Kaum Inult

Gaya Eskimo Kissing Cara 'Bersalam' Yang Pelik Kaum Inult

Jika kita bersalaman sebagai tanda pengenalan, lain pula dengan kaum Inult di Alaska. Salam perkenalan mereka melalui gaya 'Eskimo Kissing' iaitu dengan saling menggesek hidung antara satu sama lain. Ia dilakukan tanpa mengira lelaki mahupun wanita.

Eskimo kissing

Apabila peneroka awal Artik pertama menyaksikan suku kaum Inuit saling menggosok hidung sebagai ucapan, mereka menyebutnya mencium Eskimo Kissing.

Ciuman Eskimo digunakan sebagai tanda ucapan oleh suku Inuit ketika mereka bertemu.

Ciuman ini sebenarnya disebut kunik, adalah satu bentuk ungkapan kasih sayang, biasanya antara anggota keluarga dan orang yang tersayang, caranya dengan menekan hidung dan bibir atas kulit (biasanya pipi atau dahi).

Salah faham umum adalah bahawa amalan itu wujud supaya mereka bercium tanpa sentuhan bibir untuk mengelak bibir mereka saling melekat kerana membeku.

Sebaliknya, ia adalah ucapan yang tidak erotik tetapi intim yang digunakan oleh orang yang, ketika mereka bertemu di luar, hanya mempunyai sedikit ruangan terbuka kecuali hidung dan mata mereka yang terdedah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Misteri Ikan Duyung Hebridean Mermaid

Misteri Ikan Duyung Hebridean Mermaid

Sekitar tahun 1830 di Pulau Bencecula, Scotland, penduduk yang sedang sibuk memotong rumpai laut ketika seorang wanita tiba-tiba mendengar bunyi percikan air berdekatan.

Misteri Ikan Duyung Hebridean Mermaid
Gambar hiasan.

Matanya menangkap seekor ikan duyung bersaiz kecil sedang berenang, bertubuh manusia dan berekor seperti ikan salmon namun tidak bersisik.

Dia cepat-cepat memanggil orang ramai untuk membantu duyung itu, sebaliknya penduduk telah membaling batu ke arah ikan duyung tersebut.

Salah satunya terkena bahagian belakang duyung itu menyebabkan ikan duyung tersebut meraung kesakitan sebelum menghilang ke dalam lautan.

Beberapa hari kemudian, duyung itu ditemui dipesisiran pantai berdekatan kawasan mereka dalam keadaan tidak lagi bernyawa.

Tubuhnya kecil, lebih kurang kanak-kanak berusia empat tahun.

Syerif kawasan tersebut memutuskan untuk mengebumikan mayat duyung itu mengikut cara Kristian.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM