Friday, March 02, 2018

7 Golongan Manusia Mustajab Doanya Di Sisi Allah SWT


Diantara berbagai macam doa yang dipanjatkan oleh seorang hamba kepada Allah, ada doa yang dikabulkan dan ada pula doa yang tidak dikabulkan oleh Allah SWT.

Golongan Mustajab doa

Oleh itu, seseorang hamba yang berdoa harus memahami keutamaan dan adab-adab ketika berdoa.

Berdasarkan beberapa hadis-hadis Nabi SAW terdapat tujuh golongan manusia doa mereka mustajab disisi Allah SWT.

Golongan tersebut adalah seperti berikut:
  1. Doa orang tua kepada anaknya.
  2. Doa seorang musafir sampai ia kembali dari perjalanannya.
  3. Doa orang yang dianiaya.
  4. Doa orang yang berpuasa sampai ia berbuka puasa.
  5. Doa seorang pemimpin yang adil.
  6. Doa seorang sahabat kepada saudaranya dikejauhan yang keduanya saling bertemu dan berkasih sayang hanya mengharap redha Allah SWT semata.
  7. Doa anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya.

Huraiannya

Golongan Pertama, Doa orang tua kepada anaknya

Doa ibu bapa kepada anak-anaknya tidak ada hijab disisi Allah SWT kerana reda Allah SWT kepada anak-anak adalah bergantung kepada reda kedua ibu bapanya.

Oleh itu anak-anak tidak boleh sama sekali derhaka kepada kedua ibu bapanya.

Dari Abu Hurairah r.a berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Ada tiga doa yang diterima oleh Allah secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya." (Hadis Riwayat Turmudzi, Ahmad dan Abu Daud)

Golongan Kedua, Doa seorang musafir sampai ia kembali dari perjalanannya

Seorang yang bermusafir dengan tujuan baik kerana Allah SWT samaada untuk menuntut ilmu, menziarahi saudara mara atau keluar rumah untuk mencari rezeki yang halal adalah perbuatan yang dikasihi oleh Allah SWT dan diberi ganjaran pahala dan doanya makbul disisi Allah SWT.

Kemuliaan yang Allah SWT berikan kepada seorang yang bermusafir sekiranya dia kehabisan belanja maka wang zakat boleh diberikan kepadanya.

Dari Abu Hurairah r.a berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Ada tiga doa yang diterima oleh Allah secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya." (Hadis Riwayat Turmudzi, Ahmad dan Abu Daud)

Golongan Ketiga, Doa orang yang dianiaya

Allah SWT amat murka kepada sesiapa sahaja dikalangan hamba-Nya yang melakukan kezaliman kepada hamba-Nya yang lain.

Orang yang suka melakukan kezaliman dan aniaya kepada orang lain akan mendapat balasan daripada-Nya di dunia lagi. Doa mereka yang dizalimi mustajab di sisi Allah SWT.

Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya, "Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara." (Hadis riwayat Hakim - sanad sahih)

Dari Khuzaimah bin Thabit r.a, Rasulullah SAW bersabda maksudnya, "Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang yang dizalimi.

Golongan Keempat, Doa orang yang berpuasa sampai ia berbuka puasa.

Puasa adalah satu amalan yang sangat disukai oleh Allah SWT sehinggakan pahala orang yang berpuasa hanya Allah SWT sahaja akan berikan dan malaikat sendiri tidak tahu berapa banyak pahala yang hendak dicatatkan.

Ada sebuah hadis qudsi yang berbunyi, “Puasa adalah milik-Ku dan Akulah yang akan membalasnya.”

Dalam hadis yang lain menyatakan bahawa doa orang yang berpuasa mustajab di sisi Allah SWT.

Nabi SAW bersabda maksudnya, "Ada tiga jenis perkara yang tidak akan ditolak oleh Allah SWT iaitu doa orang yang berpuasa sampai berbuka, doa seorang pemimpin yang adil dan doa orang yang dianiaya." (Hadis Riwayat Turmudzi)

Golongan Kelima, Doa seorang pemimpin yang adil

Seorang pemimpin yang adil, mesra rakyat dan tidak membelakangkan kehendak dan suara rakyat adalah makbul di sisi Allah SWT.

Pemimpin seperti ini akan sentiasa dirahmati Allah SWT dan mendapat doa kesejahteraan daripada rakyat kerana keadilannya.

Nabi SAW bersabda maksudnya, "Ada tiga jenis perkara yang tidak akan ditolak oleh Allah SWT iaitu doa orang yang berpuasa sampai berbuka, doa seorang pemimpin yang adil dan doa orang yang dianiaya." (Hadis Riwayat Turmudzi)

Golongan Keenam, Doa seorang sahabat kepada sahabatnya dikejauhan yang keduanya saling bertemu dan berkasih sayang hanya mengharap reda Allah SWT semata

Persahabatan dalam Islam adalah persahabatan kerana Allah SWT. Bertemu dan berpisah semata-mata kerana Allah SWT untuk menjalankan kewajipan dakwah untuk amar makruf nahi mungkar.

Doa di antara dua sahabat yang berkasih sayang dan menjalin ukhwah Islamiah adalah makbul disisi Allah SWT.

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi SAW bersabda yang bermaksud, "Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah dalam tempat yang berjauhan diterima oleh Allah SWT." (Hadis Riwayat Muslim)

Golongan Ketujuh, Doa anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya

Seorang anak yang soleh adalah anak yang taat dan patuh kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada kedua ibu bapanya semasa kedua ibu bapanya masih hidup.

Apabila kedua ibu bapanya telah meninggal dunia dia sentiasa bersedekah, membuat amal kebajikan dan mendoakan untuk mereka.

Doa anak yang soleh mustajab disisi Allah SWT.

Dari Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah SAW yang bermaksud, "Apabila seorang diantara kamu meninggal dunia maka terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang selalu mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang dimuliakan, marilah sama-sama kita terus berdoa dan memohon kepada Allah SWT semoga doa-doa kita ditunaikan dan dimakbulkan oleh Allah SWT.

Sekiranya kita termasuk salah satu daripada tujuh golongan yang dimakbulkan doa-doanya maka janganlah kita lepaskan peluang untuk perbanyakkan doa dan memohon kepada Allah SWT.

Wallahu a'lam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Sedarkah Anda Betapa Mulianya Doa Seorang Ibu

sumber: fenditazkirah

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon