Saturday, September 01, 2018

Misteri Kepala Kambing Dan Wanita Berambut Panjang di Gua Madai

Misteri Kepala Kambing Dan Wanita Berambut Panjang di Gua Madai

Terserempak wanita misteri berambut panjang dan berpakaian serba hitam di pintu gua, selain kelibat kepala kambing bertenggek atas batu, pasti meremangkan bulu roma sesiapa saja yang berdepan situasi itu di Gua Madai dekat Kunak, Sabah.

Misteri Gua Madai

Kejadian aneh dan penuh mistik itu juga dikatakan hanya disedari orang tertentu, sekali gus mengundang pelbagai andaian berhubung kewujudan penunggu gua dan alam ghaib yang dikatakan wujud di situ.

Tanpa bukti, mungkin sukar untuk mempercayainya tetapi itulah misteri yang disampaikan dari mulut ke mulut masyarakat kampung berkenaan tetapi yang hairannya ia tidak menimbulkan ketakutan kepada mereka.

Pengalaman meremangkan bulu roma itu didakwa pernah dilalui Mohd Undi Hamkan, yang diberi tanggungjawab menjaga keselamatan Gua Madai dan persekitaran gua terbabit dan telah "berkhidmat" di gua itu sejak berusia 15 tahun lagi.

Mohd Undi yang sudah berpuluh tahun melaksanakan tugas itu turut mendakwa pernah ternampak kambing berlari dalam gua sebelum hilang sekelip mata tanpa meninggalkan apa-apa kesan atau jejak.

Menyeramkan, aneh dan menimbulkan tanda tanya siapakah wanita terbabit dan dari mana datangnya kambing dalam gua itu memandangkan tiada seorangpun penduduk kawasan berhampiran gua memelihara ternakan berkenaan.

Bagi Mohd Undi, sesiapa yang melalui pengalaman itu dianggap bernasib baik kerana hanya segelintir individu berpeluang berdepan situasi berkenaan, apatah lagi di lokasi terpencil yang dikelilingi hutan.

"Kalau nasib kita bagus, mungkin nampak kepala kambing bertanduk bertenggek di batu di dinding atas gua atau berlari dalam gua tetapi jika dijejaki, kita tak dapat lihat di mana ia pergi.

"Di pintu gua pula, kalau nasib kita bagus ada kalanya terserempak dengan perempuan berambut panjang dengan pakaian serba hitam duduk di atas batu.

"Namun, selepas mengalih pandangan dan menoleh semula ke arahnya, ia sudah hilang," katanya.

Gua Madai yang terletak dalam kawasan hutan simpan Madai Baturong, kira-kira 13 kilometer dari pekan Kunak di pantai timur Sabah, adalah lokasi penuaian sarang burung yang diwarisi masyarakat Idahan sejak beratus tahun lalu.

Setiap tahun, dianggarkan satu tan sarang burung bernilai kira-kira RM800,000 berdasarkan harga pasaran, dikutip dari gua itu menerusi tiga musim penuaian iaitu pada April, Ogos dan Disember.

Nilai tinggi 'air liur' burung layang-layang menyebabkan gua berkenaan perlu dijaga sepanjang masa oleh individu yang 'ditauliahkan' oleh pewaris harta gua agar tidak diceroboh pihak luar yang berniat jahat mencuri khazanahnya.

Mohd Undi adalah antara berpuluh penjaga Gua Madai yang bukan saja melaksanakan tugas mengawal keselamatan, malah berkhidmat sebagai pemandu pelawat jika ada pengunjung atau pelancong ke gua berkenaan.

Menceritakan pengalaman sepanjang bertugas, beliau mendakwa pernah terserempak wanita misteri dan kambing di gua itu dua kali dengan lokasi penemuan di tempat sama.

"Saya berjalan seperti biasa saja ketika masuk gua apabila terserempak dengan perempuan berpakaian hitam dan saya tidak rasa takut.

"Dia seperti orang biasa tetapi kemunculannya hanya sekelip mata dan saya percaya ia adalah penunggu di gua ini," katanya.

Beliau mendakwa, masyarakat Idahan percaya gua itu ada penunggu dan dihuni makhluk ghaib tetapi mereka tidak takut atau seram kerana mempercayai ia adalah penjaga burung layang-layang yang datang bersarang di gua berkenaan.

Di dalam gua, kewujudan dua bongkah batu besar menyerupai kerusi dan meja turut menguatkan kepercayaan mengenai kehadiran makhluk ghaib dengan andaian batuan berkenaan adalah 'perabot' kediaman 'mereka'.

Kerusi-Gua-Madai
'Kerusi' Gua Madai.

Gua berkenaan menjadi sumber rezeki masyarakat Idahan sejak berabad lamanya kerana perdagangan atau perniagaan sarang burung dipercayai dijalankan sejak beratus tahun lalu dengan rakan dagang mereka dari China.

Bukti kehadiran manusia di gua itu pada zaman lampau boleh dilihat menerusi beberapa keranda purba dipercayai ditanam dalam gua berkenaan, empat atau lima abad lalu.

Mohd Undi berkata, keranda purba di gua berkenaan dipercayai milik nenek moyang masyarakat Idahan yang bergantung kepada gua atau dipanggil 'agop' sebagai tempat berlindung dan mencari rezeki.

Beliau mendakwa, kewujudan satu tapak kaki 'gergasi' dalam satu daripada ruang di Gua Madai yang menjadi laluan anak Sungai Madai adalah milik seorang pahlawan, iaitu moyang masyarakat Idahan yang pertama menemui gua berkenaan.

"Berdasarkan cerita diwarisi daripada generasi lama Idahan, pahlawan itu menemui Gua Madai ketika mengejar seekor payau (rusa) yang warnanya keemasan," katanya.

Beliau berkata, kesan tapak kaki pahlawan itu, payau dan bujak atau tombak yang digunakan untuk berburu dapat dilihat di permukaan batu berhampiran anak Sungai Madai dalam gua berkenaan.

INFO - Gua Madai
  • Terletak 13 kilometer dari pekan Kunak.
  • Lokasi penuaian sarang burung yang diwarisi masyarakat Idahan di pantai timur Sabah.
  • Dijaga oleh golongan pewaris Gua Madai dengan diselia Jabatan Hidupan Liar Sabah sebagai agensi yang melesenkan kegiatan mengutip sarang burung.
  • Merangkumi empat ruang utama berketinggian antara 10 meter hingga 50 meter, empat pintu gua dan sembilan lubang di siling gua menjadi laluan burung layang-layang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Friday, August 31, 2018

Mitos Bukit Batu Tomanggong Besar Kinabatangan

Mitos Bukit Batu Tomanggong Besar Kinabatangan

Kewujudan sebuah bukit batu kapur dikenali Tomanggong Besar di kawasan tanjung Sungai Kinabatangan, mempunyai cerita seakan sama seperti kisah batu belah batu bertangkup di Semenanjung.

Mitos Bukit Batu Tomanggong Besar

Keunikan struktur itu menarik perhatian pengunjung tetapi belum ada usaha dilakukan pihak berkuasa sehingga ini untuk mempromosikannya sebagai lokasi tarikan pelancong.

Bukit batu kapur setinggi kira-kira 50 meter dari permukaan air terletak di Kampung Sukau, dekat sini, dianggap 'keramat' oleh penduduk setempat kerana selain mitosnya, kawasan berkenaan dipercayai sering berlaku kejadian pelik termasuk ribut.

Mengikut cerita penduduk, bukit itu mengambil sempena nama seorang pemuda iaitu Tomanggong yang 'ditelan' batu selepas dipercayai kempunan memakan seekor burung ketika memburu bersama enam abangnya.

Tujuh beradik itu kononnya memudik ke hilir Sungai Kinabatangan untuk berburu dan ketika perjalanan pulang, mereka singgah berteduh dalam gua pada batu kapur itu kerana berlaku ribut.

Selepas ribut reda, tujuh beradik itu keluar namun malang bagi si Tomanggong apabila pintu masuk gua tertutup sendiri sebelum sempat keluar menyebabkannya terperangkap sebelum enam abangnya berusaha mengumpil pintu gua menggunakan sebatang kayu belian tetapi tidak berjaya.

Sehingga kini, penduduk mendakwa kayu belian itu masih wujud di pintu gua berkenaan, namun hanya boleh dilihat ketika air surut.

Biarpun ada pelbagai versi cerita mengenai bukit Tomanggong, penduduk khususnya masyarakat etnik Orang Sungai masih percaya terhadap pantang-larang jika melalui kawasan itu.

Antaranya ialah tidak boleh membawa makanan dalam perahu, jangan berbuat bising dan memberi salam.

Malapetaka seperti ribut, perahu karam, air sungai bertukar menjadi minyak atau serangan buaya berlaku jika pantang larang tidak dituruti.

Mereka yang membawa makanan sama ada daging atau tumbuhan perlu buang sedikit ke batu untuk mengelak perkara tidak baik berlaku.

Dulu (sebelum memeluk Islam), penduduk yang ada hajat, akan pergi ke situ (bukit batu kapur) membawa beras kuning dan mencampakkan duit.

Kalau mahu makan siput, orang tua (ibu bapa) bawa 'sigup kirai' (rokok), sisip pada batu dan tidak lama keluarlah banyak siput.

Kira-kira satu kilometer (km) di hulu Tomanggong Besar, ada sebuah lagi batu kapur setinggi kira-kira 20 meter dari paras air dinamakan Tomanggong Kecil atau dipanggil 'Tomanggong anak-anak' dalam bahasa Sungai.

Disebabkan mitos itu juga, ramai orang luar datang ke bukit batu kapur berkenaan untuk membuat hajat dengan memacak bendera dan menabur syiling.

Walaupun tiada lagi kejadian pelik, penduduk tempatan masih lagi mengikuti pantang larang dan mengelak ke situ pada waktu malam sebab ia tempat keramat.

Kayu Belian

Mitos Bukit Batu Tomanggong Besar

Sementara itu, air surut di Sungai Kinabatangan cuma berlaku dua atau tiga kali sebulan, namun agak sukar untuk menjangka waktunya yang bergantung kepada keadaan cuaca di hulu sungai menyebabkan usaha melihat kayu belian berkenaan sukar.

Orang tua di sini berkata, kalau tujuan datang mahu lihat kayu belian, tak akan nampak, tetapi kalau tiada niat baru boleh nampak.

Berbanding sekarang, bukit batu kapur itu cuma mendapat sambutan penyelidik dari dalam dan luar negara membuat kajian mengenai batu kapur atau pendaki yang berminat meneroka flora dan fauna di kawasan itu.

Kelebihan kawasan bukit berkenaan yang mempunyai banyak flora dan fauna dan asal usul bukit diberi nama sempena dengan seorang pemuda kempunan seekor burung, mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Di Kinabatangan, selain Tomanggong Besar dan Tomanggong Kecil, ada dua lagi bukit batu kapur yang kini diwartakan sebagai kawasan pelancongan iaitu Batu Tulug berusia 20 hingga 25 juta tahun setinggi 29 meter yang menyimpan 125 keranda purba kayu balak.

Selain itu, Gua Gomantong mempunyai 27 gua kecil dihuni jutaan burung layang-layang yang menghasilkan sarang burung, terletak kira-kira 30 kilometer dari Kampung Sukau.

Kewujudan bukit batu kapur selain kawasan lembah Kinabatangan yang terkenal dengan gajah Pygmy Borneo dan 10 spesies primat memberi pulangan kepada penduduk yang terbabit secara langsung dalam pelancongan serta pemuliharaan alam sekitar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Maksud Mimpi Melihat Kematian

Maksud Mimpi Melihat Kematian

1. Al-Ustaz Abu Sa’id berkata, “Melihat mati dalam mimpi adalah penyesalan daripada perkara yang sangat besar. Sesiapa yang melihat seolah-olah dia mati, kemudian dia hidup lagi, bererti dia mempunyai dosa kemudian dia bertaubat.

Maksud Mimpi Melihat Kematian

2. Sesiapa yang bermimpi melihat seolah-olah dia mati tanpa didahului sesuatu penyakit dan hal-hal yang menyebabkan kematian, bererti umurnya masih panjang.

3. Sesiapa yang melihat seolah-olah dia belum mati bererti sudah dekat ajalnya.

4. Jika orang yang bermimpi itu seolah-olah menyangka bahawa dia tidak mati untuk selamanya, maka dia akan mati dalam perang fi-sabilillah.

5. Sesiapa yang bermimpi dia dimandikan dan dikafani, bererti selamatlah masalah keduniaannya tetapi rosak agamanya.

6. Sesiapa yang melihat imam (pemimpin negeri) mati, bererti akan terjadi bencana di negeri itu, sebagaimana juga bermimpi melihat terjadi bencana di satu negeri menunjukkan matinya imam negeri itu.

7. Sesiapa yang bermimpi melihat mayat seseorang (yang sudah mati), seolah-olah dia mati lagi, lalu orang-orang menangis, yakni tidak sampai berteriak dan meratap, maka ini menunjukkan akan berkahwin salah seorang zuriatnya.

8. Menurut satu pendapat, bemimpi melihat matinya lagi orang yang sebenarnya sudah mati menunjukkan akan matinya salah seorang keluarganya.

9. Sesiapa yang bermimpi menjumpai mayat, maka dia akan mendapat harta.

10. Jika bermimpi datang kepadanya khabar kematian seseorang, bererti akan sampai kepadanya khabar kerosakan agamanya dan meningkatnya masalah keduniaannya.

11. Jika bermimpi melihat seolah-olah anaknya mati, maka dia terlepas dari musuhnya.

12. Jika mimpi melihat seolah-olah seseorang berkata kepada seseorang, “Si Polan meninggal dunia“, maka terjadi kesusahan bagi yang memberitahukan itu.

13. Jika orang hamil bermimpi mati dan orang lain menangisinya tanpa meratap, maka dia akan mendapat anak lelaki dan dia akan bergembira.

14. Menurut satu pendapat, orang bujang yang bermimpi mati menunjukkan dia akan berkahwin, sedangkan orang berkahwin yang bermimpi mati menandakan dia akan bercerai. Ini kerana jika terjadinya kematian akan terjadilah perpisahan.

15. Mimpi meratap, sesiapa yang melihat seolah-olah satu tempat di tempat dijadikan tempat meratap, maka akan terjadi pentadbiran yang tidak baik di tempat itu yang menyebabkan ahlinya bercerai-berai.

16. Jika mimpi menangis, tafsiran dari Ibnu Sirin bahawa, “Tangisan yang dilihat dalam tidur ialah sesuatu yang menggembirakan. Tetapi kalau tangisan atau ratapan itu disertai dengan tarian, tidak baik mimpinya. Jika seseorang melihat ada orang yang mati, yakni orang yang dikenalnya, dan dia meratap dan membunyikan trompet, bererti terjadi musibah atau dukacita bagi orang yang dilihat itu atau bagi keluarganya.”

17. Jika seseorang bermimpi melihat pemimpin mati dan mereka menangis di belakang jenazahnya tanpa disertai dengan ratapan, maka mereka akan melihat sesuatu yang menggembirakan berlaku ke atas pemimpin itu. Sesiapa yang melihat seolah-olah pemimpin mati dan orang ramai menyebut-nyebutnya orang yang baik, bererti ada kebaikan dalam kepemimpinannya.

18. Sesiapa yang bermimpi melihat seolah-olah dia berada di tengah-tengah kumpulan orang-orang yang sudah mati, bermakna dia berada di tengah-tengah orang munafik, ertinya dia menyuruh mereka mengerjakan kebaikan tetapi mereka tidak mengendahkan suruhannya itu.

19. Sesiapa yang bermimpi melihat seolah-olah dia bersahabat dengan orang mati, akan pergi merantau jauh dan di sana dia mendapat kebaikan yang banyak.

20. Jika bemimpi makan bersama orang-orang mati, bererti panjang umurnya.

21. Mimpi melihat matinya pemimpin, menunjukkan dia akan digulingkan atau diberhentikan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Manusia Hanyalah Insan Hina Yang Berasa Dirinya Mulia

Manusia Hanyalah Insan Hina Yang Berasa Dirinya Mulia

Kuali itu jika diletakkan di tempat mana pun dan di dalam keadaan apa pun, ia tetap kuali. Kuali itu tetap hitam legam. Beralih tempat dan suasana pun, ia tidak akan mengubah hakikatnya.

Manusia itu hina

Kuali tetaplah kuali, ia tidak akan jadi intan berlian. Letak di dapur pun kuali, letak di serambi pun kuali, sekalipun di pelamin, tempat yang indah dan mempesona, ia tetap juga kuali.

Begitulah juga manusia, tetap sekadar hamba Allah, di mana pun dia berada. Di dalam suasana apa pun manusia berada, dia tetap hamba.

Ia tidak akan bertukar menjadi makhluk lain. Hamba tetap hina, hamba tetap lemah, hamba memerlukan pertolongan dan bantuan.

Kalau dia petani, tetap juga hamba. Jika dia guru, tetap juga ia seorang hamba. Walaupun dia seorang kaya, ia tetap juga hamba yang hina. Sekalipun dia raja, menteri dan orang besar, nama hamba tidak akan berubah.

Jika dia menteri, dia adalah salah seorang, orang besar hamba-hamba. Orang kaya pun hamba yang kaya di kalangan hamba.

Tapi manusia hamba Allah itu sungguh pelik.

Bila jadi raja atau menteri, orang besar atau kaya, mereka sudah berpelajaran. Berubah sikap dan bertukar watak hidup. Dia pun merasa luar biasa, ego dan sombong. Orang lain lalu dipandang hina.

Inilah dia hamba-hamba yang tidak sedar diri. Sangat hina kerana berasa mulia.

Renung-renungkanlah.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, August 30, 2018

Apa Sebenarnya Maksud Kereta Konsep

Apa Sebenarnya Maksud Kereta Konsep

Kereta konsep ialah sejenis kereta yang dibina bagi memaparkan penstailan baharu dan atau teknologi terkini.

Apa Sebenarnya Maksud Kereta Konsep

Ia sering dipamerkan di pertunjukan kereta untuk menolok banding reaksi pelanggan terhadap rekaan baharu dan radikan yang mungkin atau tidak mungkin akan dikeluarkan secara besar-besaran.

Pereka

General Motors Harley Earl sering diberi penghargaan sebagai pencipta kereta konsep terawal, serta banyak berusaha untuk mempopularkannya melalui pertunjukan Motorama pada 1950an.

Kereta konsep tidak akan terus dikeluarkan.

Pada zaman moden ini, kesemua rekaan perlu melalui banyak perubahan sebelum rekaan terakhir dimuktamadkan atas tujuan praktikaliti, keselamatan, keperluan mematuhi peraturan kenderaan, serta kos.

Kereta dengan tujuan pengeluaran, bertentangan dengan kereta konsep, memenuhi tujuan ini.

Ia juga dikenali sebagai kereta prototaip, tetapi tidak boleh dikelirukan dengan prototaip kereta lumba seperti Le Mans Prototype.

Rekaan

Kereta konsep selalunya radikal dari segi enjin atau rekaannya. Ada yang menggunakan bahan bukan tradisional, eksotik atau mahal, merangkumi daripada kertas kepada gentian karbon kepada aloi yang diperhalusi.

Yang lainnya pula mempunyai reka letak unik, seperti pintu sayap, 3 atau 6 (atau lebih) roda atau keupayaan istimewa yang tidak terdapat pada kereta biasa.

Oleh kerana ia selalunya tidak praktikal atau tidak menguntungkan, kebanyakan kereta konsep tidak melepasi model skala, malah lukisan dalam rekaan komputer.

Kiraan konsep lain yang lebih tradisional boleh dibangunkan kepada kenderaan yang boleh dipandu sepenuhnya dengan rangkaian kuasa dan aksesori yang berfungsi dengan baik.

Keadaan kebanyakan kereta konsep terletak di antaranya dan tidak semestinya mewakili produk akhir.

"Model olok-olok" yang tidak berfungsi biasanya diperbuat daripada liin, tanah liat, logam, gentian kaca, plastik atau gabungan antara mana-mana bahan.

Jika boleh dipandu, sistem rangkaian kuasa selalunya dipinjamkan daripada kenderaan pengeluaran daripada syarikat yang sama atau mungkin mengalami sedikit kecacatan dan ketidaksempurnaan dalam rekaannya.

Selepas jangka hayat kereta konsep berakhir, ia selalunya dimusnahkan.

Namun, ada yang tidak dimusnahkan, sama ada dipamerkan di dalam muzium syarikat ataupun diletakkan dalam simpanan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia

'Fatwa' Dr Maza Pencen Haram Digunakan Adalah Fitnah

'Fatwa' Dr Maza Pencen Haram Digunakan Adalah Fitnah

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menafikan beliau pernah mengeluarkan kenyataan berkenaan hukum haram wang pencen.

Haram-Pencen-dr-maza

Katanya, berita menggunakan tajuk 'pencen haram digunakan' yang menjadi tular di media sosial dengan meletakkan wajahnya itu merupakan berita palsu.

Sebelum ini, isu itu tular di media sosial yang kononnya mendakwa Maza mengeluarkan kenyataan, sudah tiba masanya pencen penjawat awam di hentikan kerana ia haram digunakan kerana hasil yang diperoleh tanpa usaha empat kerat.

Jelasnya, berita ini sengaja diedarkan oleh pihak yang khianat.

"Dosa ini akan dituntut di akhirat," kata Maza di Facebook rasminya.

PENCEN KWSP KEPUTUSAN BETUL JIKA DILAKSANAKAN!

Mansuh Pencen

Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berpendapat pemansuhan bayaran pencen dan diganti dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dapat dilaksanakan pada suatu hari nanti.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, meskipun berita tular berhubung perkara itu palsu, besar harapannya agar pelaksanaan itu menjadi kenyataan.

Ini kerana menurutnya, tindakan itu satu keputusan yang betul kerana kos pembayaran pencen semakin meningkat saban tahun.

"Berita tidak benar. Tapi, ia sebenarnya satu keputusan betul.

"Semua penjawat awam sedia ada/pesara menerima pencen mengikut syarat perkhidmatan semasa.

"Tapi pengambilan baharu, pada satu peringkat, mesti berpindah ke skim KWSP.

"Kenapa? Kerana bil pencen semakin meningkat. Kini mencecah hampir RM20 bilion setahun," jelasnya melalui posting di Twitter.

Khairy berkata demikian mengulas Tweet Astro Awani yang menjelaskan bahawa artikel bertajuk 'Pencen akan dimansuhkan diganti dengan KWSP serta-merta' bukan berita daripada agensi itu dan sekaligus menjelaskan bahawa berita itu palsu.

Mengulas lanjut, perkara ini Khairy berkata berdasarkan jangka hayat rakyat semakin meningkat, maka bil pencen juga akan meningkat kerana ia perlu dibayar untuk tempoh yang lebih panjang.

Dalam hal ini katanya, sebelum ini BN sudah mengenal pasti tentang masalah itu ketika Transformasi Nasional 2050 dilancarkan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian | sinarharian2

Nak Tukar Minyak Engine Bugatti Veyron, Sediakan RM80K!

Nak Tukar Minyak Engine Bugatti Veyron, Sediakan RM80K!

Kedengarannya macam tak logik, tapi itulah kos sebenar untuk menyelenggara hypercar Bugatti Veyron, dengan bekalan enjin 1,000 kuasa kuda, ia adalah kereta produksi terpantas ketika diperkenalkan.

Nak Tukar Minyak Engine Bugatti Veyron, Sediakan RM80K!

Pada tahun 2015, seorang pemilik Bugatti Veyron di California AS telah memuatnaik video, kos untuk menukar pelincir Veyron dan ianya ialah USD20,000.

Kemudian, UNILAD telah memuatnaik satu lagi video dan ia juga tidak beza banyak. Kos menggantikan pelincir sebuah Veyron ialah USD21,000 (RM85,000).

Sebenarnya, bukan tukar minyak hitam sahaja yang mahal.

“Membela” Bugatti Veyron bermakna pemiliknya benar-benar kaya dan mampu.

Sebagai contoh, satu set empat biji tayar kereta ini harganya ialah RM120,000 dan ia perlu dipesan dari kilangnya. Tidak boleh pergi kedai tayar di Klang!

Dan bukan sahaja tayar itu mahal, rim pada kereta ini hanya boleh dibuka pasang tayar sebanyak empat kali sahaja. Penukaran tayar untuk kali kelima mesti dibuat dengan menukar rimnya sekali.

Dan harga rimnya ialah sama dengan sebuah Toyota Vellfire 3.5 Executive Lounge iaitu sekitar RM488,000.

Ia mesti dibuat kerana tayar asal kereta ini “digam” terus pada rim. Ia bukan pemasangan biasa seperti di kedai tayar Ah So di Gombak.

Secara purata, kos penyelenggaraan sebuah Bugatti Veyron ialah sekitar RM120,000 setahun dan dua per tiga daripada kos ini pergi kepada servis pelinciran.

Menurut pakar, ia bukanlah setakat buka drain plug di bawah sump tank dan ganti minyak pelincir baru. Ia lebih daripada itu.

Bahagian-bahagian penting seperti penutup rocker, kepala silinder perlu dibuka supaya dapat dipastikan pelinciran melalui kesemua kawasan enjin.

Enjin W12 Bugatti Veyron sangat besar dan sedikit sahaja kesilapan akan menyebabkan kereta ini tersadai.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mekanika

Ketahui Akta BAFIA Dan AMLA Jika Anda Terlibat Dalam Skim Pelaburan

Ketahui Akta BAFIA Dan AMLA Jika Anda Terlibat Dalam Skim Pelaburan

Selalu kedengaran ada syarikat menjalankan suatu perniagaan yang mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit dengan memperdayakan orang ramai atas nama perniagaan tanpa perlu bekerja. Sekadar menjadi ahli dan melabur dalam projek atau perniagaan syarikat.

Akta BAFIA Dan AMLA

Setelah melabur dan mendapat sedikit pulangan, syarikat tiba-tiba telah ditahan dan disiasat dan akhirnya didakwa di bawah akta BAFIA dan AMLA.

APA ITU BAFIA?

BAFIA atau Bank & Financial Act atau Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 menjelaskan sekiranya sesebuah syarikat hendak mengambil deposit dari orang ramai, syarikat tersebut perlu mempunyai lesen di bawah seksyen 6 (4) BAFIA.

Seterusnya pertimbangan akan di buat dan di beri syor oleh menteri kewangan dan selanjutnya akan di beri kelulusan untuk pengeluaran lesen dengan atau tanpa syarat atau menolak pengeluaran lesen tersebut.

APA ITU AMLA?

AMLA atau Anti Money Laundering Act atau Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 menjelaskan, adalah menjadi satu kesalahan dan syarikat boleh didakwa apabila mengambil deposit sehingga menjadi satu jumlah yang banyak tanpa ada perniagaan yang khusus dan meragukan.

MEMBANTERAS SKIM CEPAT KAYA

Dua perkara di atas sudah cukup untuk mendakwa syarikat atas skim pelaburan atau skim cepat kaya.

Yang menjadi mangsa adalah para pelabur, ahli atau rakan kongsi yang tidak tahu langsung bahawa mereka di tipu.

Kebiasaannya para pelabur, ahli atau rakan kongsi akan berputih mata dan hilang hala tuju bagaimana untuk mendapat kembali wang mereka.

Khuatir untuk mengambil tindakan undang-undang atas kos tinggi yang mencecah beribu-ribu ringgit.

Memikirkan wang yang dibekukan BNM tidak akan dapat semula maka mereka berdiam diri. Sebenarnya ada jalan penyelesaian.

Ambil contoh kes, Fx Consultant di mana pada 13 April 2011 seramai 600 ahli Fx Consultant telah berjaya di mahkamah dalam tuntutan RM8.2 juta.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mestibacabhb

Misteri 'Batu Hidup' Di Kampung Pulau Sebang

Misteri 'Batu Hidup' Di Kampung Pulau Sebang

Lebih 10 batu besar di Kampung Pulau Sebang Selatan, Alor Gajah, Melaka, yang berbentuk seperti binaan batu Stonehenge di Wiltshire, England, didakwa memiliki misteri tersendiri kerana batu itu didakwa "hidup" oleh sesetengah penduduk kerana saiznya dikatakan semakin membesar sejak ia berada di situ berpuluh tahun lalu.

Batu hidup Pulau Sebang

Penduduk kampung sekitar yang ditemui percaya batu yang berbentuk seperti pedang di situ hidup, selain mendakwa ia sebagai kawasan perkuburan lama.

Mereka mendakwa batu itu pada asalnya adalah kecil, tetapi dari tahun ke tahun membesar hingga tinggi seperti sekarang.

Penduduk Kampung Pulau Sebang Selatan yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung itu, Yahya Mulop, 75, berkata cerita mengenai batu hidup itu juga disebarkan di kawasan kampungnya.

Malah, katanya, batu itu dan cerita yang disebarkan itu pernah dikaji ahli sejarah sebelum ini.

"Sekitar tahun 1988 ada kumpulan pengkaji sejarah datang ke sini untuk lakukan kajian terhadap dakwaan batu hidup ini yang dikatakan membesar sebelum kawasan batu hidup berkenaan dipagar dan kerja-kerja menggali dilaksanakan," katanya.

Katanya lagi, mendengar dakwaan bahawa kawasan itu adalah kubur lama, beliau meminta supaya kerja-kerja menggali dilakukan secara teratur termasuk mengikut Islam selain mengadakan majlis tahlil.

"Ketika mendengar ura-ura ia adalah pusara nenek moyang zaman dahulu, saya dan penduduk bimbang juga untuk menggalinya sebelum kerja menggali dilakukan secara kemas dan teliti dengan menyapu bersih permukaan batu hidup berkenaan.

"Selepas kerja menggali dijalankan, ahli pengkaji sejarah langsung tidak menemui sebarang tanda bahawa ia tanah perkuburan kerana tidak menemui apa-apa bukti seperti rambut atau tengkorak mahupun tulang manusia," katanya lagi.

Bagaimanapun, hasil galian itu kumpulan pengkaji sejarah terbabit menemui satu loceng dan menyifatkan kemungkinan batuan hidup itu adalah batu tanda peringatan orang zaman dahulu sebelum beberapa kawasan lain yang berdekatan dengannya juga turut dibersihkan.

"Batu hidup ini juga turut dipamerkan dalam Muzium Negara, namun pada tahun 1990 tiada lagi mana-mana pihak melakukan kajian lanjutan yang mana di Kampung Pulau Sebang Selatan kini mempunyai satu batu hidup paling tinggi adalah 11 kaki (3.3 meter)," katanya.

Yahya berkata saiz batu berkenaan mungkin dilihat seperti membesar berpunca daripada hakisan tanah yang kemudiannya menampakkan pangkal batu itu semakin tinggi.

Bagaimanapun, Kurator Perbadanan Muzium Melaka, Mohd Shukry Abdullah, ketika ditemui baru-baru ini mempunyai pandangan berbeza.

Katanya, kajian mengenai batu hidup atau dikenali sebagai megalith yang mempengaruhi serta merujuk kepada perkembangan tradisi dan budaya masyarakat pada zaman dulu sudah dilakukan bermula tahun 1928, sebelum disusuli kajian semula pada tahun 2011.

"Kewujudan dan kepercayaan terhadap batu megalith ini dipercayai sejak sebelum kedatangan Islam dengan masyarakat pada waktu itu percaya batu ini hidup, meninggi dan berkelip apabila disuluh cahaya pada waktu malam.

"Itu hanya dakwaan masyarakat zaman dulu, namun selepas kajian dilakukan mendapati cahaya berkenaan adalah disebabkan oleh ciri batu jenis granit yang mengandungi silika," katanya.

"Apabila bulan mengambang ia akan kelihatan bercahaya," katanya.

Megalith yang berasal dari perkataan Greek 'mega' membawa maksud besar dan 'lithos' iaitu batu, boleh didefinisikan sebagai batu besar yang didirikan di atas tanah secara bersendiri dan berpasangan.

Mohd Shukry berkata, megalith menggambarkan budaya yang dibawa oleh masyarakat Minangkabau dengan kebanyakan penemuan batu itu boleh didapati di sekitar Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, antara lokasi tumpuan batuan megalith di Melaka adalah di Cherana Putih, Taboh Naning, selain terdapat juga di Melekek, Pulau Sebang dan Melaka Pindah, Alor Gajah.

"Dari segi pertanian, masyarakat dahulu percaya batu ini mampu memulihkan semangat tanaman mereka.

"Selain menjadi pemulih semangat padi, megalith juga dijadikan penutup keranda zaman dulu, selain tanda tanah perkuburan dan batu penanda sempadan bagi sesuatu kawasan," katanya.

Batu hidup Pulau Sebang

Pengurus Besar Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA), Drs Mohd Nasruddin Rahman, tidak menafikan kehidupan masyarakat dahulu kala menjurus kepada sesuatu kepercayaan hingga ia dijadikan tempat pemujaan oleh masyarakat animisme kerana ia kelihatan pelik.

"Sebenarnya, batu-batu ini tidak membesar tetapi ketinggiannya dilihat semakin bertambah mengikut masa disebabkan oleh hakisan tanah dan mendapan yang berlaku, megalith ini sememangnya wujud namun ia direpeh dan ditanam pada kedalaman yang kukuh.

"Kedudukan megalith rata-rata dijumpai yang besar diletakkan paling hadapan diikuti saiz yang lebih kecil di belakangnya menunjukkan ia sebagai ibu pemujaan atau sebagai pembuka kawasan terbabit selain sebagai tanda bilangan penduduk kawasan itu," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Wednesday, August 29, 2018

Lavida Coin Matawang Digital Milik Datuk Vida

Lavida Coin Matawang Digital Milik Datuk Vida

Siapa yang tidak kenal dengan Datuk Seri Vida, seorang ahli perniagaan selebriti yang sering menjadi bual bicara rakyat Malaysia dan terbaru, beliau memperkenalkan Lavida Coin (LVC) iaitu sejenis matawang kripto.

Lavida Coin Matawang Digital Milik Datuk Vida

Beliau telah melancarkan Skim Crypto Club dan Lavida Coin di Menara Felda Kuala Lumpur pada 11 Ogos 2018 yang lalu.

Selain dari Lavida Coin, Datuk Vida juga mengenalkan LAVIDAPAY iaitu satu ‘payment gateway‘ yang mempunyai sistem blockchain sendiri sebagai penyimpanan data.

Pihak beliau juga meletakkan Lavida Coin dengan nama julukan “Step Mother of Coin”.

CARA DAN LANGKAH-LANGKAH MEMBELI LAVIDA COIN

Untuk pengetahuan anda, matawang digital ini kebiasaannya dijual dalam 3 peringkat.

Peringkat pertama ianya dijual ketika pra pelancaran dan selalunya ianya lebih murah.

Dan sekarang, matawang Dato Seri Vida iaitu LAVIDA COIN ini dijual murah dengan harga USD0.66 dan juga USD0.86 untuk 1 coin.

Ini bermakna, kalau anda mahukan 100 Lavida Coin sebagai contoh, anda perlu keluarkan kos bajet sebanyak $0.66 x 100 = USD66 yang bersamaan dengan lebih kurang RM270 Malaysia. Jelas?

Buat masa ini (29 Ogos 2018), ianya masih diperingkat pra pelancaran, maka anda boleh beli Lavida Coin dengan harga yang sedemikian.

Peringkat yang kedua pula, jualan La Vida Coin ini mula dijual secara khalayak umum apabila ianya dilancarkan secara rasmi.

Saya tidak pasti berapakah harganya. Kebiasaannya sudah pasti ianya lebih mahal dari harga pra-pelancaran.

Jangan bimbang kalau ianya naik harga atau lebih mahal. Anda boleh beli Lavida Coin ini sama ada sebanyak 1, 2, 10, 50, 100, 100 atau lebih coin. Macam anda beli barang biasa. Anda boleh beli sedikit atau lebih ikut kepada bajet wang yang anda ada masing masing.

Anda ada RM100 sebagai contoh, anda belilah Lavida Coin mengikut harga pasaran. Jadi anda dapatlah Lavida Coin berapa yang anda patut dapat berdasarkan modal yang anda ada. Jelas?

Pakej pelaburan DSV yang ditawarkan untuk menggandakan Lavida Coin

Pakej Lavida Coin

Peringkat yang ketiga pula adalah ketika mana matawang Dato Seri Vida iaitu Lavida Coin mula dipasarkan dipasaran satu dunia ketika mana ianya mula masuk ke website Exchanger.

Ketika ini, satu dunia boleh beli di mana mana sahaja mengikut website exchanger di mana Lavida Coin dijual dan didagangkan.

Harga ketika itu akan berdasarkan permintaan semasa dunia. Boleh jadi naik, boleh jadi turun.

Maksudnya, lebih ramai yang beli dari yang menjual, maka harga Lavida Coin akan naik kerana banyaknya permintaan.

Kalau ramai yang menjual berbanding yang membeli, maka harga Lavida Coin akan turun kerana banyaknya jualan berbanding belian. Jelas?

Platform website khas untuk anda yang ingin membeli Lavida Coin;
  • Lavida Coin - sila klik LINK ini – kalau anda mahu membeli Lavida Coin sahaja, secara online.

Mudah cerita, anda berpeluang membeli Lavida Coin ini bila bila masa sahaja.

Namun kita tidak tahu akan prestasi masa hadapan nanti. Boleh jadi crypto currency Lavida Coin ini popular dan mendapat permintaan tinggi atau tidak.

Kalau kurang permintaan, maka harga akan lambat naik dan mungkin akan jadi lebih murah dari sekarang.

Kalau ianya mendapat permintaan tinggi dan popular, maka harga sudah tentu akan terus menerus meningkat naik dan menjadi lebih mahal dari sekarang.

Andalah yang kena buat keputusan samada mahu beli Lavida Coin dari sekarang atau tidak.

Untuk pengetahuan anda, Dato Seri Vida ada perkenalkan 2 program pelaburan utama.

Yang pertama anda boleh sertai PROGRAM PAKEJ PELABURAN dan satu lagi anda boleh BELI LAVIDA COIN sahaja.

Kalau anda sertai program pelaburan, maka anda kena beli pakej pakej yang mereka sediakan. Dan dari pakej pelaburan itu anda akan mendapat pulangan termasuk anda diberikan sekali dengan Lavida Coin.

Kalau anda mahu beli Lavida Coin sahaja secara terus tanpa sertai pelaburan pun boleh. Terpulang kepada pilihan anda.

LAVIDA COIN SATU PENIPUAN?

LavidaCoin - Evocoin

Satu kumpulan daripada Facebook yang aktif dalam mendedahkan skim penipuan wang di Malaysia menyatakan skim yang dianjurkan oleh Datuk Vida adalah bermasalah.

Menurut kumpulan itu (Ponzi Scheme Alert), skim ini bermasalah kerana ia hanyalah kesinambungan dariapada skim asal Evocoin Malaysia yang hampir lingkup.

Ponzi Scheme Alert juga mendakwa ia adalah Evocoin cuma ditukarkan namanya berikutan suntikan modal oleh Datuk Seri Vida.

Apa bukti Lavida Coin adalah jelmaan daripada Evocoin yang bermasalah? Lihat gambar di atas, tulisan di dinding facebook oleh Rahmad Mega.

Cuma Ingin Membantu Melalui LavidaCoin – Datuk Vida

Memetik Utusan Online, Datuk Seri Vida mendakwa beliau telah mencuba sendiri pelaburan matawang kripto sejak dua tahun lalu dan mendapati aktiviti tersebut menguntungkan.

“Saya tidak mungkin boleh membantu setiap orang dengan menghulurkan wang semata-mata, sebalinya saya mahu khalayak juga berpeluang menikmati rezeki speerti saya.

“Justeru saya berkongsi kaedah terkini melalui LavidaCoin yang bukan sahaja mudah malah tidak membebankan serta mampu menjana pendapatan yang lumayan," katanya.

Lavida Coin – Boleh Percaya Kah?

Pelbagai reaksi netizen apabila Datuk Seri Vida melancarkan skim crypto Lavida Coin.

Pesanan kami, berhati-hatilah. Belajarlah dari kesilapan orang lain. Usah dibuai ayat-ayat ‘dijamin’ dan ‘confirm naik’ atau ‘confirm untung’. Wallahu a'lam.

Ayuh kita baca ulasan yang dimuat naik di Facebook tuan Ikmal Nordin tentang Lavida Coin.

Saya dah teliti laman web Lavida Coin (https://www.lavidacoin.com), Kertas putih yang dimuatkan dalam laman web (Whitepaper) dan Kertas putih untuk platform blockchain yang lain.

Saya akan ulas berdasarkan 3 aspek: Aspek blockchain, model perniagaan Lavida Coin dan aspek hukum syar’i.

Kalau dah faham cara blockchain berfungsi boleh pergi poin 2 & 3:

1) Blockchain

Lavida Coin Matawang Digital Milik Datuk Vida

Ramai yang masih kabur-kabur tentang teknologi blockchain, jadi kena terangkan sikit apa maksudnya.

Blockchain ialah cara merekod data yang bergantung pada usaha ramai orang, yang tidak ada kaitan antara satu sama lain.

Kenapa nak buat teknologi ini? Sebab pencipta blockchain nak pintas semua kuasa tengah (centralized authority).

Contohnya bila kita beli barang pakai kad kredit, siapa yang akan sahkan transaksi itu?

Sama ada Visa atau Mastercard dan Visa dapat duit yang sangat banyak sebab jadi kuasa penentu.

Bila guna blockchain, ada beribu-ribu ‘pengesah’ yang buat kerja, jadi tidak perlu ada ‘raja yang paling atas’.

Nak faham blockchain mudah saja, tengok 2 perkataan ‘block’ dan ‘chain’.

Setiap transaksi adalah satu blok.

Contoh: Along bayar RM1 kepada Angah. Pemindahan RM1 daripada tangan Along ke tangan Angah akan direkod sebagai satu ‘block’.

Katakan Angah pula bayar RM1 kepada Alang. Ini lagi satu ‘block’.

Tapi block kedua ini bersambung dengan block sebelumnya, membentuk satu rantai (chain).

Setiap block akan tertakluk kepada rantai, jadi tak boleh buat sesuka hati.

Bila sudah sah yang duit berpindah tangan dalam blok pertama, blok kedua kena ikut.

Maksudnya Along dah tak ada duit itu. Ia bukan seperti fail pdf atau word yang mana bila kita copy dan hantar, fail tu masih ada pada kita.

Mudah kan?

Tapi nak buat benda ni agak teknikal. Ada algoritma tertentu, ‘proof of work’ (bukti yang menunjukkan setiap blok itu sahih), dan paling penting kena ada komuniti ‘pengesah’ yang dibayar upah setiap kali mereka sahkan satu-satu blok.

Ethereum, contohnya, ada lebih 27,000 ‘stesen’.

Dan kita kena bezakan antara matawang kripto dan platform yang mendokong matawang itu.

Ambil contoh Ethereum dan Ether.

Platform seperti Ethereum menyediakan ‘pasar’ dan undang-undang blockchain, tapi nama matawangnya Ether.

Selain daripada Ether ada beribu-ribu aplikasi yang menumpang dalam pasar Ethereum.

Aplikasi lain buat token dan dompet digital tapi guna kemudahan pasar yang disediakan oleh Ethereum.

2) Model perniagaan Lavida Coin

Setakat yang saya faham, Lavida Coin nak kumpul dana $1.5 BILLION untuk buat tiga projek:
  1. $1B untuk saluran hiburan.
  2. $100M untuk saluran pembayaran.
  3. $400M untuk masjid.

Untuk peringkat awal (Pre-mine), Lavida Coin nak jual 153 juta coin dan daripada pre-mine ini akan mendapat $120 juta.

Jadi kita andaikan dana awal ini untuk buat saluran pembayaran (payment gateway).

Yang lagi dua projek itu tak penting, sebab yang kita bincangkan sekarang ialah matawang LavidaCoin dan teknologi blockchain yang dicanang-canangkan.

Kita kena tanya soalan #1: Nak buat pasar ke, nak buat coin yang tumpang pasar orang?

Dan berdasarkan kertas putih ini rasanya LavidaCoin nak buat pasar (LAVIDAPAY), yang ada undang-undang blockchainnya yang tersendiri. Pasar ini akan menggunakan matawang LavidaCoin.

Bila nak buat pasar, kena tanya pula soalan #2: Mana undang-undangnya? Tak ada butir pun.

Kalau sekadar nak tumpang pasar orang, boleh cakap Lavida Coin akan guna protokol yang telah ditetapkan dalam pasar Ethereum.

Tapi bila nak buat gateway sendiri, kena ada butir-butir yang sangat terperinci.

Apa algoritma yang akan dipakai, apa kekerapan penghasilan blok, apa bahasa programmingnya dan lain-lain.

Cuba bandingkan kertas putih Lavida Coin dengan kertas putih Ethereum, jauh bezanya: Whitepaper – Ethereum

Nampak banyak kesamaran pada Lavida Pay dan Lavida Coin.

Kalau nak minta dana untuk blockchain butir-butir sebegini perlu ada, alasan ‘masih dalam perancangan’ tidak boleh diterima.

Dan kita kena tanya soalan #3: Kalau nak mudahkan transaksi secara online kenapa tak guna e-wallet sahaja?

Contohnya buat VidaPay yang menggunakan Ringgit Malaysia, boleh top-up menggunakan akaun bank dan semua transaksi dalam ringgit.

Kenapa nak buat matawang kripto? Dan sebahagian besar dananya pula bukan untuk coin itu tetapi untuk saluran hiburan.

Ada bau-bau ikan yang hanyir di situ (something smells very fishy).

3) Hukum Syar’i

Berkenaan isu hukum halal haram wang krypto ini saya rujuk kepada Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman, Registered Shariah Adviser at Securities Commission of Malaysia:

Bitcoin (dan matawang kripto secara am)

harus sebagai simpanan (store of value) dan perantara pembelian (medium of exchange).

Tapi boleh berubah hukumnya menjadi HARAM bila;

Adanya gharar (ketidaktentuan). UZAR menyatakan gharar berlaku ketidaktentuan dalam proses transaksi, kerana pasar-pasarnya disekat.

Bagi saya gharar dalam Lavida Coin ini lebih besar lagi sebab proses blockchainnya pun tidak disebut.

Dalam bahasa mudah tak tahu pasarnya di mana, apa undang-undang di pasar itu pun tidak diketahui.

Apabila menyertai SKIM bitcoin atau crypto melalui skim ala-ala cepat kaya anjuran orang tengah atau syarikat pengantara yang menjanjikan keuntungan tetap atau lumayan, ini adalah HARAM dari sudut syariah dan juga undang-undang setempat.

Kos transaksi dan pemindahan tidak diketahui. Di dagangkan secara aktif dan kerap dengan tujuan mendapat untung mudah daripada nilai tukaran.

Pernyataan-pernyataan yang muncul daripada Dato’ Vida menunjukkan ‘untung cepat’ inilah motif utama untuk melabur dalam Lavida Coin, bukan sebagai medium tukaran atau simpanan, bukan untuk menyediakan alternatif kepada matawang fizikal.

KESIMPULAN

Banyak perkara yang memberi isyarat bahawa Lavida Coin ini bukan pelaburan yang ‘genuine’.

Kertas putihnya menyisihkan banyak maklumat yang penting dan kertas putih itu ibarat melontar-lontar kata-kata yang ‘trending’ dan berteknologi tinggi tanpa sebarang perbincangan yang serius.

Cukup banyak perkara yang ‘gharar’ (tidak tentu).

Kalau lihat laman web Lavida Coin ada beberapa perkara yang menambahkan syak; alamatnya di UK dan laman web itu seperti dibuat tergesa-gesa sehingga ada pernyataan yang tidak ada kena-mengena dengan kripto: “With a community of over 400 million users (and a majority age group being 18 to 29), wouldn’t you want to make sure you’re monitoring what people are posting on social networks?”

Oleh itu saya menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati daripada melabur.

Saya tidak katakan ianya ‘scam’ tapi banyak kemusykilan padanya.

KATA AKHIR

Bagi yang was-was dengan Lavida Coin ini, bolehlah mendapatkan nasihat daripada Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum menyertai skim yang dianjurkan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: majalahlabur | moshed | myrujukan