Thursday, March 07, 2019

Bumi Itu Bulat (Bujur) Telah Dijelaskan Dalam Al-Qur'an

Bumi Itu Bulat (Bujur) Telah Dijelaskan Dalam Al-Qur'an

Tiada Nas yang menyatakan secara spesifik bahawa bentuk muka bumi datar atau sfera (bulat/bujur) dan hanya disebut secara zhanni ketika mana Allah menceritakan mengenai penciptaan langit dan bumi. Ada ayat yang zahirnya kelihatan seperti bumi ini datar.

Bumi bulat atau mendatar
Gambar hiasan.

Sebagai contoh, disebut bahawa “Bumi itu Hamparan” namun, ada juga ayat yang jika di fikir secara mendalam (tasdiq nazhari), maka akan difahami bahawa bumi ini sfera. Sebagai contoh, disebut bahawa “Malam memasuki siang dan siang memasuki malam”.

Ketika ada ayat yang bersentuhan dengan isu bentuk muka bumi ini, maka para ulama-lah yang datang menafsir nas-nas tersebut untuk dibuat kesimpulan. Ada para ulama yang datang menafsirkan maksud “Hamparan”, “Dahaha” “Falak”, “Kawwara” dan lain-lain lagi bagi memperoleh jawapan.

Perlu kita ketahui, bahawa gaya bahasa Al-Quran memiliki seni yang amat tinggi. Di dalamnya ada ayat Muhkamat (jelas maksud) dan ayat Mutsyabihat (samar-samar). Oleh itu, tidak semua ayat al-Quran boleh difahami secara Literal. Terkadang, ayat-ayat al-Quran yang bersifat metafora (metaphor) perlu ditakwil dengan kaedah yang benar agar kita mendapat kefahaman yang sahih.

Kita juga perlu faham akan kaedah usul-furu atau umum-khusus sesuatu isu bagi mendapat kaedah pembelajaran yang tepat.

Oleh kerana al-Quran tidak memberi Nas yang Qatie melainkan menyentuh isu ini secara Zhanni sahaja, maka kita dibolehkan untuk melakukan kajian mendalam bagi memahami nas-nas yang terdapat dalam al-Quran.

BUMI ITU BULAT (BUJUR)

Bumi itu bulat (bujur), bukan datar, namun golongan yang mahu melemahkan Islam akan mengatakan bahawa Al-Quran sendiri mengatakan bahawa bumi itu berupa hamparan namun, contoh isyarat yang samar bagi orang awam dan jelas bagi para ulama, adalah isyarat tentang bumi bulat.

Isyarat ini ada pada surat Az Zumar ayat yang berbunyi:

ﺧَﻠَﻖَ ﺍﻟﺴَّﻤَﺎﻭَﺍﺕِ ﻭَﺍﻟْﺄَﺭْﺽَ ﺑِﺎﻟْﺤَﻖِّ ﻳُﻜَﻮِّﺭُ ﺍﻟﻠَّﻴْﻞَ ﻋَﻠَﻰ ﺍﻟﻨَّﻬَﺎﺭِ ﻭَﻳُﻜَﻮِّﺭُ ﺍﻟﻨَّﻬَﺎﺭَ ﻋَﻠَﻰ ﺍﻟﻠَّﻴْﻞِ ﻭَﺳَﺨَّﺮَ ﺍﻟﺸَّﻤْﺲَ ﻭَﺍﻟْﻘَﻤَﺮَ ﻛُﻞٌّ ﻳَﺠْﺮِﻱ ﻟِﺄَﺟَﻞٍ ﻣُﺴَﻤًّﻰ ﺃَﻟَﺎ ﻫُﻮَ ﺍﻟْﻌَﺰِﻳﺰُ ﺍﻟْﻐَﻔَّﺎﺭُ ‏( 5 )

"Dia menciptakan langit dan bumi dengan (tujuan) yang benar; Dia menutupkan malam atas siang dan menutupkan siang atas malam dan menundukkan matahari dan bulan, masing-masing berjalan menurut waktu yang ditentukan. Ingatlah Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun."

Al Qur’an adalah dengan bahasa arab, maka jika kita lihat isinya pun dengan bahasa arab. Jadi mana ayat yang menunjukkan bumi itu bulat?

Para ulama menegaskan bahawa perkataan, "Yukawwiru" itu memiliki makna melilitkan, iaitu melilitkan pada suatu yang bulat. Mereka memberikan contoh berupa serban, iaitu melilitkan serban. Inilah isyarat bentuk bumi bulat dari ayat di atas.

Isyarat tegas ini juga difahami oleh para ulama. Mari kita lihat penjelasan mereka:

Syeikh Muhamad Amin As-Syinqithi, penulis tafsir Adhwa’ul Bayan, menjelaskan ayat ini:

"Takwir ertinya melilitkan. Dalam bahasa arab dikenali dengan kata: melilitkan serban di kepala."

Kemudian beliau menjelaskan asal makna kata "takwir" yang bererti memutar, iaitu kerana mengandungi makna bulat.

Di antaranya adalah terjemahan kata "bola" dalam bahasa arab iaitu "kurroh", kerana asal kata ﻛﺮﺓ dalam bahasa arab adalah ﻛﻮﺭﺓ.

Begitu juga mereka sepakat bahawa bumi dan seluruh gerakannya baik lautan mahupun daratan adalah seperti bola.

Buktinya adalah matahari, bulan dan bintang-bintang, tidak terbit dan tenggelam dalam waktu yang sama di seluruh bumi, tetapi di bahagian timur terbit lebih dahulu dibandingkan bumi bahagian barat.

Syeikh Syinqithi melanjutkan: "Ini adalah nukilan ijma’ dari seorang imam yang menggunakan ilmu akal mahupun dalil syar’ie, bahawa bumi bentuknya adalah bulat seperti bola. Dan beliau juga mengemukakan dalil yang kuat dari gerakan benda-benda langit akan hal itu."

Ibnu Asyur, ulama yang berasal Tunisia yang menulis tafsir At-tahrir wan tanwir mengatakan:

"Asal kata "takwir" adalah dari kata benda kurroh (ertinya bola), iaitu benda yang bulat dan sama di segala sisinya. Dan bentuk bumi adalah bulat dan inilah kenyataannya, dan ini tidak diketahui oleh bangsa arab dan banyak manusia.

"Maka Al Qur’an mengisyaratkan hal itu dengan menyatakan dua keadaan yang meliputi bumi bergantian, iaitu terang dan gelap, atau malam dan siang, iaitu menjadikan adanya siang dan malam dengan bentuk melilitkan, kerana bentuk yang dlilitkan sudah pasti bulat, mengikuti kata kerja melilitkan.

"Kerana konteks ayat ini adalah sebagai pembuktian akan sifat tuhan yang benar, iaitu menciptakan langit dan bumi, maka dipilihlah kata "takwir" atau melilit untuk menunjukkan hal yang menjadi ikutan dari penciptaan itu, iaitu menciptakan dua situasi yang agung pada bumi, bukan kata lain seperti menutupi yang digunakan dalam surat Al-A'raf 54."

Demikianlah keterangan ulama tentang isyarat bumi bulat dari QS Az-Zumar ayat 5.

Ternyata Al-Qur’an sudah mengisyaratkan bahawa bentuk bumi adalah bulat, jauh sebelum adanya perdebatan di hari ini.

Ketika Al Qur’an sudah menegaskan, maka bagi orang beriman, tidak ada lagi pilihan selain mengikuti kebenaran Al Qur’an.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Wednesday, March 06, 2019

Bagaimana Kapal Yang Berat Boleh Terbang?

Bagaimana Kapal Yang Berat Boleh Terbang?

Kita mesti selalu terfikir dan terbayang macam mana kapal terbang yang sangat berat boleh terbang dan terapung di udara, sedangkan daya graviti bumi dan jisim yang berat akan menyebabkan kapal terbang terhempas ke bumi.

Bagaimana Kapal Terbang?

Namun, perkara yang sering dijawab oleh pelajar-pelajar yang bukan dalam kalangan pelajar jurusan aeronautik, aeroangkasa dan penerbangan amatlah tidak tepat.

Mereka selalunya menjawab, “Kapal terbang itu, bila juruterbang hidupkan enjin, dia akan memecut laju dan bila sudah terlalu laju dia akan ‘tersungkit’ lalu terbang ke awan biru”.

Jadi bagaimana kapal terbang boleh terbang?

Kapal terbang akan terbang apabila pergerakan udara disepanjang sayap kapal terbang yang beraerofoil menghasilkan daya angkat ke atas sayap kapal terbang tersebut lalu dalam masa yang sama disebabkan bentuk badan kapal terbang itu yang beraerofoil, daya angkat juga terhasil di seluruh bahagian kapal terbang.

Daya angkat ini tadi, lebih besar daripada daya graviti jadi kapal terbang boleh terbang di udara.

Untuk menyimpulkan teori ini, Aerofoil ialah mekanisma yang menghasilkan daya angkat supaya kapal terbang ini tadi boleh terbang.

Jadi, bagaimana kapal terbang boleh terbang ialah disebabkan Aerofoil yang berfungsi untuk memberi daya angkat yang tinggi serta mengurangkan daya geseran atau rintangan diantara permukaan kapal terbang dengan udara.

Empat daya bertindak ke atas kapal terbang apabila sesebuah pesawat terbang itu terbang, terdapat 4 daya yang bertindak dalam dua paksi.

Pada paksi mengufuk (horizontal), terdapat daya tujah (thrust) dan daya seret (drag), manakala pada paksi menegak (vertical) pula, terdapat daya angkat (lift) dan daya berat (weight).

Apabila keempat- empat daya ini bertindak serata, pesawat akan terbang dengan lurus.

DEFINISI DAYA

1. Daya tujah (thrust)

Ialah daya yang mendorong pesawat terbang bergerak ke hadapan. Daya ini dihasilkan oleh enjin. Semakin kuat dorongan sesuatu enjin, maka semakin laju pesawat terbang bergerak ke hadapan.

2. Daya seret (drag)

Merujuk kepada daya yang menghalang pergerakan ke hadapan. Daya ini wujud disebabkan terdapat rintangan terhadap pergerakan udara.

Sebarang objek yang mempunyai rintangan udara yang tinggi akan menghasilkan daya seret yang besar.

Oleh itu, sesebuah kapal terbang itu selalunya berbentuk larus dan licin bagi mengurangkan daya seret.

3. Daya angkat (lift)

Merujuk kepada daya yang mengangkat sesebuah pesawat terbang ke udara. Daya angkat ini dihasilkan oleh sayap dan penaik.

Daya angkat yang terhasil bergantung kepada ketumpatan udara persekitaran, halaju pesawat terbang, luas sayap dan jenis sayap yang digunakan.

4. Berat (weight)

Merujuk kepada daya yang menarik pesawat terbang ke bawah dan ianya menghalang daya angkat.

Berat wujud disebabkan tarikan graviti bumi dan nilainya bergantung kepada jisim sesuatu pesawat terbang. Semakin besar jisim, semakin berat dan susah untuk ia terbang.

Kesimpulannya

Kapal terbang yang bukan dalam jenis jet pejuang dan helikopter tidak boleh terapung, jadi bagaimana kapal terbang itu boleh terbang ialah daya tujahan enjin yang membuatkan pesawat itu memecut di landasan dan apabila kawalan permukaan yang beraerofoil seperti sayap dan kepak (flap) digunakan, pesawat tadi dapat terbang ke udara secara hadapan.

Semakin laju kapal terbang itu maka semakin tinggi daya angkatnya dan ini adalah prinsip penerbangan yang digunakan.

Untuk mengekalkan keapungan kapal terbang tadi, daya tujahan mestilah lebih besar dan daya seretan mestilah lebih kecil.

Oleh itu, kelajuan kapal terbang amatlah penting kerana, jika semakin laju kapal terbang, semakin tinggi daya angkat yang akan terhasil.

Selain itu, daya angkat mesti lebih besar agar kapal terbang tidak jatuh akibat ditarik oleh daya graviti, yang berat merupakan faktor utama ketika kapal terbang berada di udara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: icym

Kafir Atau Non-Muslim?

Kafir Atau Non-Muslim?

Kebiasaan dalam kalangan masyarakat muslim, apabila disebut kafir, difahami bahawa ia merujuk kepada seseorang bukan Muslim ataupun golongan yang terkeluar dari Islam. Mereka ialah penganut Hindu, Buddha, Kristian, ateis, murtad dan sebagainya.

Maksud Kafir

Namun begitu, baru-baru ini sebuah organisasi Islam tertua dunia, Nahdhatul Ulama (NU) di Indonesia mengeluarkan satu kenyataan yang menggembarkan wacana umat Islam di dunia yang mencadangkan agar warga bukan Muslim di Indonesia tidak lagi dipanggil sebagai kafir.

Cadangan tersebut mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan ilmuwan Islam di sana. Walaupun ada yang bersetuju, tidak sedikit juga yang tidak bersetuju.

Malah, ada sebilangan daripada mereka mempertikaikannya dan menuduh bahawa pendekatan NU itu akan memberi kesan perubahan pada ayat al-Quran.

Apa yang dicadangkan oleh NU itu bukan sesuatu yang baru. Pada 2004, ia pernah dibangkitkan oleh seorang ulama terkemuka dunia, Dr Yusuf al-Qaradawi menerusi tulisan beliau yang bertajuk Khitabuna al-Islam fi ‘Asr al-‘ulamah.

Di Malaysia, wacana sebegini boleh dianggap belum dimulakan. Kalau ada pun, ia sekadar wacana tertutup, tanpa melibatkan orang awam.

Namun begitu, dengan cadangan NU itu sedikit sebanyak ia melahirkan perbincangan yang menarik dalam kalangan warganegara Malaysia. Apatah lagi, Malaysia boleh dikatakan antara negara yang mempunyai penduduk yang agak rencam – bukan dari sudut anutan agama sahaja, malah dari sudut keturunan, kaum dan budayanya.

Petani pun 'kafir'

Bagaimanapun, wacana berkenaan isu ini perlu dilihat pada beberapa perkara mendasar iaitu dari sudut pemaknaan kafir dalam teks Islam, dan dari sudut dakwah.

Pertama: Pemaknaan “kafir” dari teks Islam

Kafir ialah ungkapan bahasa Arab – diterjemah sebagai ingkar. Dari sudut akar kata, ia bermaksud menutup (Arab: al-Satr). Dengan sebab itu, dalam bahasa Arab, petani disebut sebagai kafir. Hal itu kerana, semasa menanam petani terbabit menutup benih dengan menggunakan tanah.

Penggunaan kalimah kafir yang memberi makna petani ini dinyatakan dalam al-Quran: “Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan kafir (para petani).” - ayat 20, surah al-Hadid.

Al-Quran juga menyebut bahawa kata "kafir" itu merujuk kepada orang yang tidak mensyukuri nikmat yang telah diberikan Tuhan, walhal tidak mensyukuri nikmat Tuhan itu bukan sekadar berlaku kepada non-Muslim, malah berlaku juga dalam kalangan Muslim.

Firman Allah: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu kufuri (iaitu tidak mensyukuri nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” - ayat 7, surah Ibrahim.

Dari sudut makna yang lain, kalimah kufur dalam al-Quran juga memberi makna tidak menunaikan kewajiban yang dibebankan kepada manusia.

Antaranya, al-Quran menggunakan kata kufur untuk merujuk kepada Muslim yang tidak menunaikan ibadat haji walhal dia berkemampuan.

Firman Allah: “Mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa yang kufur (tidak tunaikan ibadat haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.” - ayat 97, ali-Imran.

Dalam pemaknaan yang sama (tidak menunaikan kewajiban), dinyatakan Allah dalam ayat 44 surah al-Maidah: “Barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka dia adalah kafir."

Ulama berbeza pendapat tentang makna kufur dalam ayat itu. Ibn Kathir memetik perkataan Taus bahawa Ibn Abbas ditanya berkenaan dengan ayat itu.

Ibn Abbas menjelaskan bahawa maksud kufur dalam ayat tersebut ialah berdosa besar dan bukannya bermaksud keluar agama.

Perang tak membawa keluar agama

Malah pemaknaan yang sama terdapat dalam hadis, iaitu sabda Nabi SAW: “Perjanjian di antara kita dengan mereka (orang bukan Muslim) adalah solat. Barangsiapa yang meninggalkannya (tidak menunaikan solat), sesungguhnya dia telah kufur."

Walaupun dalam hadis tadi Nabi SAW menyatakan bahawa orang yang tidak menunaikan solat adalah kafir, tetapi menurut Ibn Qayyim al-Jawziyyah, ulama tidak berbeza pendapat dalam menyatakan orang yang tidak menunaikan solat sekadar berdosa besar.

Hadis juga menyatakan bahawa celaan sesama Muslim adalah fasik, sedangkan saling bunuh-membunuh sesama muslim adalah kekufuran.

Perkara yang diketahui umum bahawa berlaku peperangan yang membawa bunuh-membunuh sesama sahabat – seperti Sayidina Muawiyyah dengan Sayidina Ali dalam peperangan Siffin dan Saidatina Aisyah dengan Sayidina Ali dalam peperangan Jamal. Walaupun mereka berperang, ia tidak menjadikan mereka terkeluar dari Islam.

Daripada perbincangan ini, dapat disimpulkan bahawa mengikut sudut pemaknaan teks suci Islam, kalimah kufur bukan semestinya dimaksudkan kepada non-Muslim, tetapi digunakan juga untuk amalan-amalan kejahatan yang melibatkan Muslim, seperti tidak menunaikan kewajiban, melakukan dosa besar, tidak menunaikan solat, tidak mensyukuri nikmat Tuhan dan sebagainya.

Hakikat kafir

Apabila disebut kafir, ia merujuk kepada orang yang ingkar setelah diberikan hujah. Ini berdasarkan Firman Allah dari surah al-Baqarah, ayat 111 dan 112.

Dalam ayat 111, Allah menyatakan orang Yahudi dan Nasrani itu mendakwa, sesiapa pun tidak boleh masuk ke syurga kecuali kalangan mereka sahaja. Lalu, Allah nyatakan bahawa pandangan berkenaan hanya andaian mereka sahaja.

Malah, Allah mencabar mereka agar mendatangkan hujah jika mereka yakin mereka berada dalam kalangan yang benar.

Maka, dalam ayat ke-112, Allah pun menjelaskan siapa yang sebenarnya masuk ke syurga, iaitu mereka yang as-la-ma dirinya kepada Allah dan melakukan muhsin (Melayu: kebaikan, atau amal soleh), maka baginya balasan pahala di sisi Tuhan, tanpa takut dan mereka tidak akan bersedih.

Melihat pada dua ayat tadi, kita akan dapati bahawa kekufuran tidak berlaku kecuali setelah diberikan burhan, iaitu hujah yang mantap dan jelas. Ini disandarkan kepada kupasan ulama Islam terhadap pemaknaan as-la-ma.

Al-Qurtubi menyatakan, makna as-la-ma adalah penyerahan diri dan tunduk. Dalam pandangan lain, disebut makna as-la-ma ialah melakukan amalan secara ikhlas.

Dalam kitab Mafatih al-Ghaib, al-Razi menjelaskan bahawa antara maksud as-la-ma itu adalah penyerahan diri disertakan dengan burhan (diterjemah sebagai hujah yang kukuh).

Dari pemahaman itu, jelaslah bahawa yang dikatakan seseorang itu kafir ialah apabila dia ingkar setelah diberikan penjelasan ilmu yang kuat.

Andai tidak diberikan penjelasan yang kuat, dia tidak disebut sebagai kafir. Ini kerana elemen ingkar itu tidak wujud. Apatah lagi, ingkar tidak berlaku kecuali setelah diberikan hujah.

Ini amat bertepatan dengan apa yang pernah dinyatakan oleh Imam al-Ghazali dalam kitab Faisal al-Tafriqah Baina al-Islam wa al-Zanadiqah, iaitu ketika beliau membahaskan ayat al-Quran mengenai kenyataan bahawa Allah tidak akan mengazab sesuatu kaum hingga Allah datangkan Rasul (al-Isra’, ayat 15).

Ketika mengulas ayat itu, kitab tafsir al-Manar menjelaskan bahawa terdapat satu kalangan manusia yang hidup sebelum Muhammad menjadi nabi.

Mereka disebut sebagai Ahlul Fatrah, iaitu dakwah yang benar tidak sampai kepada mereka sehingga boleh mencetuskan pemerhatian mereka terhadap Islam.

Yang termasuk dari kalangan ahli Fatrah ialah mereka yang satu zaman dengan para nabi, tetapi syariah nabi tidak sampai kepada mereka.

Golongan terbabit percaya kepada para nabi secara umum sahaja – seperti penganut agama Hanif dalam kalangan orang Arab yang percaya kepada Nabi Ibrahim dan Ismail tanpa mengetahui ajaran nabi itu secara terperinci.

Kitab Tafsir al-Manar juga mendatangkan kupasan al-Ghazali yang menyatakan bahawa kalangan manusia kufur itu terbahagi kepada tiga kelompok, iaitu:
  • Mereka yang tidak pernah mendengar hujah menyebabkan mereka tidak menerima Islam.
  • Mereka mendengar hujah yang benar, tetapi mereka menolaknya juga.
  • Mereka mendengar hujah yang tidak kuat, menyebabkan mereka tidak menerima Islam.

Lihat dari salah kerangka

Dalam kupasan al-Ghazali, kalangan yang pertama itu terselamat daripada seksaan neraka. Kalangan yang kedua – iaitu mendengar hujah yang betul, kemudian menolaknya juga - maka mereka menjadi ahli neraka.

Kalangan ketiga pula – iaitu tidak mendengar hujah yang kuat, maka ia kekal dalam kekufuran – Imam al-Ghazali menyatakan, ia sama seperti kalangan yang pertama, iaitu terlepas daripada azab neraka.

Daripada perbahasan itu kitab Tafsir al-Manar menyimpulkan bahawa apa yang dimaksudkan orang beragama ialah dakwah nabi sampai kepada mereka dalam bentuknya yang sebenar.

Justeru, maksud kafir ialah mereka yang didatangkan hujah yang sebenar, tetapi menolak juga.

Dengan erti kata lain, andai pada hari ini terdapat orang tertentu melihat Islam dari kerangka yang salah - seperti kita yang melihat Islam mengikut tafsiran perkauman Melayu, Islam dalam pentafsiran sentimen politik - semua itu menyebabkan ada kalangan non-Muslim tidak menerima Islam.

Mereka itu tidak wajar disebut sebagai kafir kerana maksud keingkaran sebenar tidak wujud sama sekali.

Ada sebilangan pihak yang menolak cadangan NU dengan menyatakan bahawa tindakan sebegitu akan melahirkan kekusutan, kerana dalam al-Quran terdapat surah al-Kafirun yang menyebut dalam ayat awalnya: “Katakanlah, wahai orang kafir”.

Maka, jika diterima cadangan NU itu, mereka menganggap bahawa selepas ini akan digantikan dengan “Katakanlah, wahai non-Muslim.”

Dijawab bahawa cadangan itu tidak ada kaitan langsung dengan membuang kalimah “kafir” dalam al-Quran, tetapi ia tidak lebih sekadar menetapkan bahawa bukan semua non-Muslim boleh dianggap sebagai kafir.

Ada banyak makna

Istilah kafir itu hanya boleh diberikan kepada orang yang ada pengingkaran terhadap Islam setelah diberikan hujah yang kuat, jitu serta ada kebijaksanaan.

Dalam erti kata lain, tidak semua non-Muslim itu kafir kerana terdapat non-Muslim yang kekal tidak Islam kerana tidak pernah diberikan hujah yang meyakinkan.

Dan tidak semua kafir itu non-Muslim kerana di sana terdapat pemaknaan kafir dengan merujuk kepada Muslim yang melakukan dosa besar, malah melakukan kejahatan.

Maka dengan demikian, dakwaan bahawa cadangan itu akan memberi implikasi membuang kalimah “kafir” dalam al-Quran adalah tidak benar sama sekali.

Sebaliknya, cadangan berkenaan untuk memastikan meletakkan pemaknaan kafir itu tepat pada tempatnya.

Kedua: Tujuan dakwah

Dari sudut kedua, cadangan NU agar tidak memanggil non-Muslim sebagai kafir mempunyai pendekatan dakwah.

Perkara itu pernah dipertegaskan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dan beliau menulis sebuah buku bagi mencadangkan hal itu sejak 2004.

Antara hujah mereka:

Pertama, kalimah “kafir” mempunyai makna yang banyak (seperti dalam perbahasan sebelum ini). Justeru, memanggil individu bukan Islam tertentu dengan panggilan kafir kadangkala tidak menepati maksud sebenar kerana mungkin sahaja dia tidak pernah diberikan gambaran Islam dalam kerangka yang meyakinkan.

Kedua, al-Qaradawi berhujah bahawa al-Quran dalam pemanggilan terhadap masyarakat non-Muslim menggunakan beberapa perkataan sopan seperti “wahai Manusia”, “wahai anak-anak Adam”, “wahai hamba-Ku” atau “wahai ahli kitab”.

Andai ada panggilan “kafir” pun, ia merujuk kepada keingkaran dan penentangan terhadap Islam, seperti dalam Surah at-Tahrim ayat 7: “Hai orang-orang kafir, janganlah kamu mengemukakan uzur pada hari ini. Sesungguhnya kamu hanya diberi balasan menurut apa yang kamu kerjakan.”

Juga dalam Surah al-Kafirun ayat 1: “Katakanlah, wahai orang kafir”.

Ketiga, Nahdatul Ulama (NU) berhujah bahawa memanggil masyarakat non-Muslim sebagai kafir boleh mewujudkan suasana tidak baik sesama warganegara atau hubungan di antara Muslim dan non-Muslim.

Justeru hentikan panggilan “wahai kafir” itu bukan sekadar tidak dilarang, malah telah difatwakan oleh ulama terdahulu.

Fatwa tersebut mereka nukilkan daripada komentar Ibn Nujaim al-Misri yang menyatakan bahawa muslim yang mencela non-Muslim yang zimmi boleh dijatuhkan hukuman takzir.

Hal ini kerana, tindakan tersebut dikira sebagai maksiat dan dosa.

Pendapat ini pernah dinukilkan dalam kitab Fath al-Qadir. Dalam kitab al-Qunyah pula, ada ayat yang menjelaskan bahawa andai seseorang Muslim itu memanggil kepada Yahudi, atau kepada Majusi dengan panggilan “Wahai Kafir”, ia adalah dosa andai mengguris hatinya.”

Penutup

Daripada kupasan ini, dapat disimpulkan beberapa perkara seperti berikut:

Pertama, cadangan NU dan al-Qaradawi agar tidak lagi memanggil orang bukan Islam sebagai “kafir” tetapi menggantikannya dengan “non-Muslim” - walaupun dilihat agak berani kerana berbeza dengan kebiasaan dunia Islam - ia tetap mempunyai asas dari sudut agama.

Kedua, dari sudut pemaknaan kalimah kafir dalam teks Islam, didapati ia merujuk kepada pengingkaran setelah diberikan hujah yang meyakinkan.

Lantaran itu, terdapat non-Muslim yang tidak kafir, iaitu apabila dia menjadi non-Muslim tanpa diberikan hujah yang benar; ataupun dia menjadi non-Muslim kerana dia mendapat gambaran yang salah berkenaan Islam.

Ketiga, alasan dakwah adalah faktor terbesar cadangan al-Qaradawi dan NU dalam hal ini. Pendekatan ini - hakikatnya - bukanlah hal baru, tetapi ditulis oleh ulama-ulama Islam hampir 1,000 tahun yang lalu.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Sombong Dan Cakap Bohong Akhirnya Kalah Di Semenyih

Sombong Dan Cakap Bohong Akhirnya Kalah Di Semenyih

Mengikut kata sahibul hikayat maka Pakatan Harapan (PH) pun kalahlah dalam pilihan raya kecil Semenyih. Maka anak-anak muda pun berkumpul dan menari-nari. Bertandak dan berjoget. Sambil berjoget sambil membuat pantun sebagai kenang-kenangan zaman berzaman.

Punca PH kalah

Maka seantero bumi Pakatan Harapan pun sibuk mencari sebab musabab kekalahan. Malah sosok seperti YB DAP Ronnie Liu yang jarang berfikir panjang pun mengeluarkan pendapat hingga dilapor oleh portal berita.

Kelihatan semua ini pencarian sebab musabab rambang. Segala satu macam kisah yang memperkukuh sebab musabab pun dikumpul. Ada yang menyakitkan hati dan ada yang menggembirakan.

Dari segala sudut kita dapat mendengar sebab musabab kenapa Pakatan Harapan kalah di Semenyih. Dari segi politik. ekonomi dan sosial.

Pelbagai bentuk dan rupa tok perawi datang. Semua mengakui membawa khabar-khabar sahih lalu terhasillah rumusan tentang Semenyih.

Waythamoorthy

Kita yakin kes Waythamoorthy, mamat yang cuba menjadi wira perjuangan India ini mempengaruhi keputusan di Semenyih. Wira ini sedang senyap tak bersuara lagi tapi bahang celopar mulutnya belum selesai. Nama Adib masih segar di telinga.

Keyakinan ini diperkukuhkan dengan adanya satu tunjuk perasaan yang kecil selepas sembahyang Jumaat, sehari sebelum membuang undi.

Kemarahan Perokok

Demo kecil ini bukan kes kuil. Ini kes hina nabi. Tapi rentak dan bunyinya sama. Tukang pukul gedang dan tetawak pun datang dari kumpulan boria yang sama. Apa isi dan bentuk nabi dihina - wallahu a'lam bisawab.

Kita juga menerima khabar bahawa ramai anak muda menyampah dengan Pakatan Harapan kerana kes ganja. Ops, kes rokok!

Di Semenyih, anak muda memprotes hak mereka untuk merosakkan paru-paru mereka. Anak muda memprotes hak mereka untuk menjadi bodoh.

Hak-hak asasi mereka ini telah diganyang oleh menteri kesihatan Pakatan Harapan. Anak muda ajar mereka di Semenyih.

Menurut anak-anak muda, cara dan bunyi suara menteri kesihatan menjawab kes rokok dianggap kurang sopan, angkuh dan sombong.

Sebenarnya kes rokok dan kes kuil ini sama. Dua pak menteri ini memang berniat baik. Tidak ada niat jahat dalam benak mereka. Mereka mahu menjadi wira rakyat.

Mereka nak buktikan kepada para pengundi bahawa mereka sedang melakukan sesuatu. Hendak membuktikan bahawa kementerian mereka menjalankan tugas.

Tetapi, pak menteri dua ekor ini terlupa tentang konsep demokrasi. Tentang konsep berbincang. Tentang mendengar pandangan orang lain dalam usaha, niat dan cita cita mereka untuk membawa kebaikan dan kesejahteraan umat.

Yakinlah sejarah telah dan masih membuktikan bagaimana Presiden Bush dari Rumah Putih datang membawa projek kebebasan dan demokrasi untuk warga Iraq. Hasilnya apa? Lu fikir la sendiri.

Hang Jebat ada beri ingatan, buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali. Buat baik tak ada salah tapi bincang terlebih dulu. PH bukan 'terer' sangat pun.

Mabuk Kuasa

Kemudian, kita membaca kenyataan dari seorang penyokong PKR yang memberi sebab kenapa kalah. Mengikut beliau, ini kekalahan disebabkan Pakatan Harapan telah hilang roh dan jiwa. Bukan lagi berjiwa rakyat.

Ini juga sebab yang betul. Kecil pinggan tose dulang tembaga kita hulurkan. Dalam masa hampir setahun ini kelihatan Pakatan Harapan, lebih tepat lagi kelakuan dan perangai para penyokong mereka dan menteri, cukup memualkan.

Umum telah merasakan bahawa orang-orang PH dan menteri ini merasa bahawa kemenangan 9 Mei dahulu adalah kemenangan mereka. Mereka telah mabuk ganja. Ops, maaf, mereka telah mabuk kuasa!

Mereka lupa yang menjatuhkan Najib dan Rosmah ialah orang ramai. Undi dan sokongan orang ramailah yang membolehkan Dr Dzul dan Waythamoorthy menjadi menteri.

Perkara ini wajib ditanamkan ke dalam benak mereka yang semakin tebal seperti kepala Lokman Adam.

DAP

Rais Yatim juga ada bercakap tentang suara dan perangai DAP. Ini berkait rapat dengan bunyi suara dan komentar politik dua beranak dari keluarga Lim. Dalam bahasa Melayu, dalam istilah Rais Yatim, parti Cina DAP ini wajib dilunakkan.

Dalam kuliah politik hari ini mulut wajib dilada hanyalah satu konsep. Mustahil Mahathir akan melada mulut Guan Eng dan mulut Kit Siang atau mulut Ronnie Liu.

Dalam fikrah apa saja hujah yang kita dengar tentang sebab musabab Pakatan kalah di Semenyih adalah sahih. Walaupun bunyinya bodoh. Tapi dalam suasana sekarang Pakatan harapan wajib menerima; yang baik atau yang busuk.

Janji Dicapati

Kita dengar Pakatan Harapan tidak tunai janji. Satu Semenyih heboh dengan janji Pakatan Harapan. Cakap-cakap tak tunai janji ini memang tepat. Janji wajib ditepati bukan dicapati.

Justeru jalan keluar yang cepat dari suasana muram ini ialah menunaikan janji. Tunaikan dengan cepat dan pantas. Mustahil kita lupa dengan janji kita. Kalau buat-buat lupa, itu munafik.

Dulu masa kempen;

“Bila kita tubuhkan kerajaan baru, Najib dan Rosmah akan di tangkap, mereka masuk penjara.”

“Tun, sila angkat pen. Lihat Mahathir masih boleh angkat pen. Pen ini untuk tandatangan Najib dan Rosmah masuk penjara.”

Ingat. Ingat. Ingat. Mari kita bersama-sama melawan lupa.

Bukankah kita telah berkempen ke hulu ke hilir berjanji untuk menangkap Najib dan Rosmah. Bukankah dari Kangar hingga ke Gelang Patah hingga ke Tanjung Piai hingga ke Gua Musang hingga ke Kota Belud hingga ke Kuching kita telah berjanji.

Kita berjanji akan menangkap pencuri, penyamun, perompak, perasuah dan penyalah guna kuasa.

Mana janji itu? Azeez Tabung Haji. Isa Samad. Tengku Adnan. Nazri bin Aziz. Azalina. Sahrizat. Zahid Hamidi. Mat Hasan. Khairy Jamaluddin. Hishamuddin Hussein. Apa sudah jadi?

Dunia mengetahui bahawa si Najib dikaitkan dengan kes pembunuhan. Ini bukan orang Malaysia saja cakap. Ini laporan TV Australia. Khalas.

Hei, bro Muhyiddin

Kita juga difahamkan kaki busuk, orang jahat di belakang tabir sudah dibenarkan keluar negara. Apakah ini betul? Jika betul kita mahu tanya Bro Muhyiddin.

“Hei bro, apa sudah jadi? Rusuk siapa telah patah?”

Hakikatnya, orang ramai mahu semua orang jahat masuk penjara. Inilah janji yang dinanti-nanti oleh orang ramai. Janji ini wajib ditunaikan dengan segera.

Lim Guan Eng tidak perlu pergi ke China pinjam duit untuk menunaikan janji ini. Azmin Ali tak perlu pinjam duit Bank Dunia atau International Monetary Fund untuk memenjarakan Najib dan Rosmah. Kita tidak perlu tunggu Jabatan Penjara Malaysia menjadikan quinoa pengganti nasi.

Masukkan orang-orang jahat ke dalam penjara sekarang. Sudah hampir satu tahun. Justeru wajib disedari bahawa orang ramai kecewa kenapa Najib dan Rosmah tidak memakai baju kuning - orang kena tuduh- ketika ditahan. Kenapa Najib dan Rosmah tidak digari.

Malah kita ada dengar si Najib ini enggan masuk ke kandang orang salah ketika dibicarakan di Mahkamah Jalan Duta. Woit, si Najib ini siapa? Kenapa Najib berani berbuat demikian?

Hadiahkan Najib satu penampar untuk sedarkan dia bahawa United Malays National Organisation akan dipadamkan.

Walhal sebenarnya juga, jika PH perlukan masa untuk menunaikan janji, cukuplah sekadar ayat, "Kami mohon maaf."

Tak perlu pun sejuta alasan dan ayat-ayat yang menyakitkan hati rakyat.
Siakap senohong,
ikan kelah ikan tengeh,
selalu cakap bohong,
jawabnya kalah di Semenyih.
Fikir-fikirkanlah.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Tuesday, March 05, 2019

10 Makanan Yang Boleh Mengurangkan Kolesterol 'Jahat' Dalam Badan

10 Makanan Yang Boleh Mengurangkan Kolesterol 'Jahat' Dalam Badan

Kolesterol adalah bahan berlemak yang hadir dalam darah dan antara fungsinya adalah menghasilkan membran sel dan menukar serapan cahaya matahari kepada vitamin D yang dipanggil kolesterol baik namun, apabila seseorang itu mengamalkan gaya hidup dan pemakanan yang tidak sihat seperti tinggi pengambilan lemak tidak tepu, kurang bersenam, obesiti, merokok serta minum alkohol menyebabkan kolesterol ‘jahat’ berkumpul dengan banyak dalam dinding arteri.

Makanan anti-kolesterol

Apabila kolesterol tinggi, maka mudahlah terdedah kepada sakit jantung dan pelbagai penyakit lain. Jika ingin mengurangkan paras kolesterol dalam badan, disarankan untuk makan 10 makanan ini.

1. BIJI KETUMBAR

Bukan sahaja membantu mengurangkan jumlah kolesterol dalam badan malah dapat merawat penyakit kencing manis.

Caranya, masukkan dua sudu biji ketumbar dalam satu cawan air dan rebus. Tapis airnya dan minum dua kali sehari. Untuk lebih enak, tambah gula atau susu.

2. BAWANG MERAH

Saintis di Hong Kong mendapati bawang merah boleh membuang kolesterol yang jahat dan meningkatkan kolesterol yang baik.

Caranya, masukkan bawang merah, halia dan bawang putih dalam menu diet. Minum campuran jus bawang bersama madu setiap hari.

3. INDIAN GOOSEBERRY, AMLA ATAU BUAH POKOK MELAKA

Agen hypolopidemic semula jadi yang menurunkan kolesterol jahat. Ia boleh didapati dalam bentuk serbuk. Masukkan satu sudu serbuk dalam segelas air suam dan minum setiap pagi sewaktu perut kosong.

4. CUKA EPAL

Mengurangkan jumlah kolesterol level triglyceride iaitu kandungan lemak dalam darah. Ia juga baik untuk merawat penyakit darah tinggi, gout dan acid reflux.

Caranya, campurkan satu sudu cuka dalam segelas air. Minum dua hingga tiga kali sehari setiap hari.

Untuk lebih enak, boleh gantikan air suam dengan jus oren, jus epal atau jus kegemaran, salah cara nyahtoksin.

5. JUS OREN

Minum jus oren selalu kerana ia mengandungi vitamin C, folate dan flavanoids yang membantu mengurangkan kolesterol dalam darah. Caranya, minum jus oren segar dua kali sehari.

6. MINYAK KELAPA ORGANIK

Mengandungi asid lauric yang dapat meningkatkan kolesterol ‘baik’. Caranya, makan satu hingga dua sudu setiap hari.

7. OAT

Mengurangkan kolesterol dan mencegah penyerapan kolesterol ‘jahat’.

Caranya, ambil satu cawan oat bersamaan tiga gram serat dan beta-glucan. Boleh tambah buah atau walnut untuk menyedapkan hidangan oat.

8. MINYAK IKAN

Mengurangkan lemak dalam darah dan mengatasi masalah jantung.

Caranya, sediakan minyak ikan atau ikan mentah seperti tuna, salmon, sardin, trout dan bluefish kaya dengan lemak omega. Makan satu hingga empat gram lemak omega 3 setiap hari.

9. ‘RED YEAST RICE’

Mengandungi kompaun monacolins yang mengurangkan kolesterol.

Boleh dibeli di farmasi dalam bentuk tablet, ia boleh dimakan dua kali sehari.

Dapatkan dahulu nasihat daripada doktor sebelum mengambilnya. Tidak digalakkan untuk wanita hamil dan menyusu.

10. KEKACANG

Walnut, almond dan segala jenis kacang mengawal kolesterol daripada berkumpul dalam badan memandangkan ia kaya dengan serat.

Caranya, makan seperti snek dalam kadar segenggam setengah.

SINGKIRKAN KOLESTEROL ‘JAHAT’ DARIPADA BADAN

Betulkan salah tanggapan tentang kolesterol dan pastikan anda mengambil makanan yang sesuai untuk mengawal parasnya dalam badan.

Jadi, simpanlah stok makanan di atas bagi anda yang memang telah didiagnos sebagai ‘tinggi kolesterol’ dan dinasihati oleh doktor.

Untuk mengurangkan kolesterol ‘jahat’ daripada terus berkumpul dalam badan, pastikan juga anda mengamalkan cara hidup sihat, sekali gus terhindar dari penyakit disebabkan oleh kolesterol.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: siraplimau

SBDJ Siri 25: Sumpah Nasi Tangas

SBDJ Siri 25: Sumpah Nasi Tangas

Suasana di pekan kecil Terung di pagi Selasa dalam musim tengkujuh cukup lembab. Lopak-Iopak yang terdapat berhampiran bangunan-bangunan kedai di situ ditakungi air, akibat hujan yang memanjang pada sebelah malamnya.

Siri SBDJ 15

Saya dan datuk masih lagi duduk di warung kopi sebelah kanan jalan menghala ke Kuala Terung. Di perhentian bas kira-kira 10 hingga 15 anak muda menanti bas. Mereka mahu pergi ke bandar Taiping menonton filem Melayu.

Datuk mula resah. Uda Lodin, kawan datuk belum juga tiba. Jam di dinding warung sudah menunjukkan pukul 10 pagi.

Saya mengambil akhbar Utusan Melayu milik tuan punya warung yang terletak di meja sebelah.

"Agaknya ada aral dijalan", keluh datuk.

Saya renung wajahnya dengan senyuman. Orang silih berganti keluar dan masuk ke warung. Tiba tiba datuk menekan pangkal ketiak kanan dengan tangan kiri.

"Alamat kurang baik”, ujar datuk tenang.

"Maksudnya dia tak ada?"

"Kalau dia datang, dia tak boleh pergi ke Kuala Terung sebelum matahari berkalih tempat. Kalau pergi juga susah diri kita.”

"Jadi, apa yang patut kita buat tok?"

"Tunggu sampai Uda Lodin tiba."

Saya kembali membaca akhbar Utusan Melayu. Tepat jam sebelas, Uda Lodin pun sampai dengan teksi sapu Blue Bird warna biji kundang.

Uda Lodin minta maaf. Menurutnya, dia singgah di pejabat pos Pantai Remis menemui menantunya yang bertugas di situ.

Dari Pantai Remis dia naik teksi sapu dan berhenti di Pekan Pancur membeli buah kelapa dan nangka sebagai buah tangan pada keluarga rumah yang akan di temuinya.

"Begini saja, aku tak dapat pergi sekarang. Kira-kira pukul lima petang ni kau tunggu aku di situ dan kita pergi bersama”, kata datuk pada Uda Lodin.

"Sebabnya?"

"Kau jangan tanya, itu hal aku."

"Di mana nak duduk sementara menanti pukul lima?", tanya Uda Lodin.

Datuk terus membayar harga minuman. Dia renung muka saya sambil senyum. Kemudian kami bertiga ke luar dari perut warung menuju ke gigi jalan besar.

"Begini Lodin, aku nak pergi ke Kampung Air Kuning. Pukul empat setengah aku datang. Kau nanti aku di sini."

"Baiklah."

"Kau sediakan batang tepus, bunga durian tiga kuntum dan mayang pinang berbunga sulung serta tujuh helai daun sirih yang bertemu urat."

"Lagi?"

"Tak ada apa-apa. Kalau kau tak tunggu aku terus balik."

"Mesti saya tunggu”, Uda Lodin ketawa kecil.

Datuk dan saya terus naik bas menuju ke Kampung Air kuning. Rumah yang kami tuju ialah sebuah rumah berbumbung lima yang letaknya tidak jauh daripada rumah Pendekar Meor Abdul Rahman, seorang guru seni silat gayung yang terkenal.

Kata datuk, penghuni rumah itu adalah kenalan lamanya. Kami jadi hampa bila mendapati tingkap rumah itu tertutup rapat.

Seorang jiran memberitahu bahawa tuan rumah dan keluarganya sudah pergi ke Pontian, Johor, kerana urusan nikah kahwin anaknya.

Datuk membuat keputusan untuk pergi ke Kampung Lahing di Padang Rengas, tetapi keputusan itu segera di tukar oleh datuk dengan alasan terlalu jauh.

Lantas dia membuat keputusan baru untuk pergi ke Batu 10 Terung. Sebagai cucu yang amat sayang dan mencintai datuk sendiri, saya tidak membantah. Elok pada datuk, eloklah pada diri saya.

Datuk terus mencari teksi sapu di Pekan Changkat Jering. Akhirnya kami naik teksi sapu Morris Minor berwarna hitam yang di pandu oleh seorang lelaki India.

Tidak sampai setengah jam, kami pun sudah berada di rumah Anjang Shamsuddin, orang Batu Bara.

Dari percakapan dengan datuk, tahulah saya bahawa datuk memang kenalan rapat pada ayah Anjang Shamsuddin dengan menyebut Ayah Tandang.

Sebelum saya bertanya maksud panggilan itu datuk telah menerangkan Ayah Tandang merupakan satu panggilan yang berunsurkan penghormatan tinggi pada orang tua dikalangan keturunan orang Batu Bara.

Lama juga datuk bercakap dengan Anjang Shamsuddin, termasuk kisah-kisah pengalaman datuk bersama arwah ayah Anjang Shamsuddin berlayar dari Sumatera membelah Selat Melaka menuju ke Pangkalan Bharu waktu muda-muda dulu.

"Walaupun datuk kau dan datuk saya datang dari berlainan daerah di Sumatera, tetapi mereka berkawan berdasarkan semangat Bangsa Melayu yang tidak mengenal batas keturunan dan suku”, ujar Anjang Shamsuddin sambil mengerling tajam pada saya.

Datuk tersenyum sambil berkata:

"Saya tahu sangat perangai ayah awak, cepat panas baran, keras kepala dan berani. Saya puji dengan sifat tegasnya."

"Agaknya memang begitu sifat orang Batu Bara yang suka merantau”, celah Anjang Shamsuddin sambil mengatakan keturunan orang Batu Bara tidak terdapat di Malaysia kecuali di beberapa kampung sekitar daerah Dinding (sekarang Manjung) iaitu di Kampung Empat Puluh Pantai dan Kampung Bharu, Lumut.

Salah seorang daripada orang Batu Bara itu telah meneroka badar Lumut serta Teluk Rubiah dan pernah berperang dengan angkatan Siam serta Belanda di Pulau Pangkor.

Anjang Shamsuddin (sudah meninggal dunia) adalah bapa kepada salah seorang pengarah dan pelakon filem terkenal di tanah air dewasa ini. Masa itu bintang filem tersebut belum lagi menjadi pelakon filem.

Menurut bapanya, anaknya pada masa itu sudah pergi ke Ipoh mengikut abangnya yang menjadi salah seorang pegawai Rida (sekarang Mara).

Hingga kini saya tidak berhadapan dengan bintang terkenal itu kecuali melihat lakonannya di dalam filem.

Lebih kurang pukul tiga petang saya dan datuk meninggalkan rumah Anjang Shamsuddin dan terus naik bas menuju ke Pekan Terung.

Uda Lodin tidak mungkir janji. Dia menanti kami di tempat yang dijanjikan.

Pukul lima setengah petang dengan menaiki kereta salah seorang penduduk Kuala Terung, saya dan datuk sampai ke tempat yang di tuju. Kami menginap di sebuah rumah berhampiran dengan pengkalan nelayan.

Perkara pertama yang di lakukan oleh datuk ialah pergi melawat tanah perkuburan. Ada beberapa perkara yang perlu datuk lakukan di situ.

Datuk hampir mahu membatalkan kerja-kerjanya itu apabila mengetahui jenazah perempuan itu dikebumikan di Kampung Terung dan bukannya di Kuala Terung.

"Bagaimana?" tanya Uda Lodin.

"Mana dia rumah yang selalu didatanginya?" tanya datuk.

Uda Lodin menunjukkan sebuah rumah yang tidak jauh letaknya dari pada tempat saya dan datuk menginap.

Bentuk rumah itu agak sederhana dengan atap rumbia dan berdindingkan papan lidah. Kedudukannya agak terpencil dengan rumah-rumah yang lain di dalam kampung tersebut.

Saya dan datuk diperkenal oleh Uda Lodin dengan tuan rumah yang berkulit hitam manis, berdahi luas dan rambutnya keriting.

Setelah bercakap beberapa patah perkataan lelaki itu mempersilakan kami naik ke rumah.

Perkara pertama yang diajukan oleh datuk pada lelaki yang menjangkau usia lima puluhan ialah:

"Seminggu berapa kali dia datang?"

"Boleh dikatakan pada setiap malam."

"Apa yang dibuatannya?"

"Makan sisa makanan yang lebih di dapur."

"Sejak awak berikhtiar menghalaunya, apa pula yang awak dapat?"

Lelaki itu terdiam. Biji matanya tertumpu ke wajah saya. Dia tidak senang duduk sambil memicit dagu tirusnya berkali-kali. Datuk kerutkan dahi dan Uda Lodin meraba misai tebalnya.

"Tak ada mendatangkan kesan. Dia tetap macam dulu”, ujar lelaki itu dengan tenang sambil memberitahu empat orang anak yang tinggal bersamanya sudah berpindah ke rumah lain.

"Awak kenapa tak pindah?" soal datuk lagi.

"Buat apa menyusahkan orang”, sahutnya dengan jujur.

"Apa rancangan awak?”, tanya datuk lagi.

Lelaki itu kerutkan dahi luasnya hingga bergaris empat.

”Tak ada apa-apa rancangan. Saya bimbang benda ganjil tu sudah mula mengacau orang lain. Saya takut rumah saya akan di bakar oleh orang yang tidak boleh dapat mengawal perasaan."

"Sebab?"

"Mereka yakin, hantu itu adalah isteri saya."

"Kau percaya dengan mereka?", tanya datuk lagi.

Lelaki itu nampak resah dan gelisah.

Tanpa di tanya oleh datuk lagi, lelaki itu memberitahu dia juga yakin bahawa hantu yang selalu mengganggunya itu adalah hantu isterinya kerana setiap kali hantu itu datang dia pasti memanggil namanya dan suara itu serupa dengan suara isterinya.

Ada kalanya, semua barang-barang di dapur seperti bawang dan cabai berubah tempat, satu kegemaran yang dilakukan oleh isterinya sebelum meninggal dunia.

"Saya mahu berikhtiar menghalaunya”, nada suara lelaki itu lembut tetapi mengandungi harapan yang besar.

Dia nampak resah dan sepasang mata tertumpu ke wajah datuk dan Uda Lodin.

"Saya bawakan orang yang boleh menolong awak”, kata Uda Lodin sambil menepuk bahu datuk di sebelahnya dua kali. Datuk tersenyum.

Datuk terus membisikkan sesuatu ke telinga lelaki itu. Dengan tenang lelaki itu anggukkan kepala. Datuk menghampiri Uda Lodin.

"Barang yang aku minta, sudah kau sediakan?", tanya datuk pada Uda Lodin.

Saya lihat Uda Lodin anggukkan kepala macam ayam jantan berjumpa ayam betina.

"Aku mahu tidur di sini dan kau bawakan barang-barang itu ke sini”, beritahu datuk pada Uda Lodin.

"Rumah yang saya sediakan tu, tak sesuaikah?"

"Sesuai. Aku kira di sini lebih baik lagi”, jawab datuk. Uda Lodin pun terdiam.

Uda Lodin meninggalkan kami di situ dan pergi mengambil barang-barang yang disediakannya untuk di bawa ke rumah lelaki itu.

Bila barang-barang itu diserahkan ke tangan datuk, Uda Lodin pun beredar dari situ menuju ke rumah jirannya. Uda Lodin berjanji akan menemui datuk sesudah waktu sembahyang Isyak.

Datuk terus bercakap dengan lelaki yang menjangkau usia lima puluhan di ruang tengah.

Banyak benar pertanyaan yang diajukan oleh datuk pada lelaki itu untuk menyingkap rahsia peribadi arwah isterinya.

"Saya selalu ke laut, banyak hal yang berhubung dengan dengan dirinya saya tak tahu”, kata lelaki itu dengan jujur.

Datuk terdiam dan mati akal kerana setiap kali perkara yang berhubungan dengan isteri lelaki itu disoal, itulah jawapan yang diberikan kepada datuk.

Akhirnya datuk membuat kesimpulan bahawa hubungan antara lelaki itu dengan isterinya agak renggang dan penuh rahsia.

Ada rahsia-rahsia rumah tangga yang dilindungi oleh si isteri dari pengetahuan suaminya.

”Tak apalah, awak tak tahu. Saya cuba berikhtiar mengatasi hal ini”, datuk memberikan janji itu pada lelaki tersebut.

"Memang itulah yang saya harapkan."

"Awak pernah berkelahi dengannya?", tanya datuk lagi.

"Dulu saya ni memang buas. Suka beristeri banyak. Isteri saya yang mati itu adalah isteri saya yang kelima", kata lelaki itu membuka rahsia.

Datuk menggigit bibir. Secara tidak langsung dia sudah dapat mengetahui rahsia diri lelaki yang nampak cemas itu.

"Isteri yang lain tu ke mana perginya?"

"Semua saya ceraikan, tetapi dengan isteri yang mati saya tidak sanggup berbuat begitu."

"Kenapa?"

"Saya tak tahu. Saya cukup sayang dan mendengar perintahnya, ada kalanya saya jadi begitu bodoh bila berhadapan dengannya."

"Begitu”, suara datuk lembut.

Dan datuk tidak meneruskan sebarang pertanyaan terhadap diri lelaki itu.

Kerana waktu Maghrib sudah tiba, datuk menyuruh saya mengambil air sembahyang di perigi.

Saya lantas memberitahu datuk yang saya lebih senang mengambil air sembahyang bersamanya.

"Kenapa?", tanya datuk.

"Periginya jauh tuk, saya rasa seram."

"Pergi. Tidak ada benda yang mesti kau takutkan”, nada suara datuk yang keras itu sungguh menghampakan.

Saya tidak ada pilihan lain. Saya terpaksa pergi. Berdebar juga hati saya bila memijak bumi di tengah cahaya yang samar-samar itu.

Lebih menggerunkan sepanjang jalan menuju jalan ke perigi terdapat beberapa pohon jejawai yang besar dan akar berjuntaian.

Angin ketika itu tidak bertiup. Beberapa ekor burung gagak liar terbang rendah pulang ke sarang sambil berbunyi.

Bunyi gagak itu, saya amat-amati seperti bunyi orang mencarik kain kapan. Saya tahu, kalau saya berpatah balik tentu datuk naik darah. Saya terus melangkah.

Langkah saya mati bila seekor kucing hutan melompat di hadapan saya. Sebelum kucing itu melompat ke dalam semak, matanya merenung muka saya sambil membuka mulutnya dengan lebar bersama suara yang nyaring dan kuat.

Hari bertambah gelap. Pondok perigi nampak berbalam-balam di hadapan. Saya berlari terus masuk ke dalam pondok perigi yang berdindingkan tepus tanpa atap.

Pepohon rumbia yang berdiri dekat pondok perigi kelihatan kaku dan menakutkan.

Saya terus membaca niat dan membasuh muka. Dengan tiba-tiba saya berhidu bau busuk yang amat sangat. Serentak dengan itu saya terasa dinding pondok perigi diraba orang dari luar. Saya resah tidak menentu.

Kemudian saya terasa ada orang berdiri di belakang saya. Saya cuba menjeling. Kerana keadaan bertambah kabur, saya tidak dapat memastikan dengan tepat siapakah yang berdiri di belakang saya. Perasaan saya cukup cemas.

“Orang baru mahu ambil air sembahyang”, lubang telinga diasak dengan suara orang perempuan.

Saya terus menoleh ke belakang. Tidak ada apa yang saya lihat, kecuali bau busuk yang cukup hebat. Tekak saya jadi loya. Tanpa berfikir panjang saya terus berlari dengan sekuat hati menuju ke rumah.

"Kenapa?", tanya datuk sambil melihat wajah saya yang pucat lesi.

"Ada suara orang perempuan dan bau busuk."

"Tak apa. Itu perkara biasa”, balas datuk sambil melihat ke wajah tuan rumah yang berdirinya di sebelahnya.

Tuan rumah saya lihat resah tidak menentu.

"Itulah dia”, tiba-tiba keluar dari mulut tuan rumah.

Tanpa berlengah-Iengah lagi datuk mengajak tuan rumah pergi mengambil air sembahyang di perigi. Saya terpaksa tinggal sendirian di rumah.

Bagi menghilangkan rasa takut, saya duduk di anak tangga bongsu sambil menyanyikan lagu 'Tudung Periok'.

Saya pasti benar rangkap lagu yang saya sebut itu lintang pukang. Nada atau iramanya tetap sumbang. Untuk menghiburkan hati yang takut saya menyanyi terus.

Saya terdengar ayam di reban berketak dengan kuat macam terlihat sesuatu. Kucing kepunyaan tuan rumah lari tidak menentu macam di kejar sesuatu. Suara ayam kian keras dan kemudian hilang.

Saya mula terhidu bau busuk. Macam ada kelibat manusia lalu di hadapan saya. Dan saya lihat lampu minyak tanah terpasang dengan dirinya di ruang tengah. Daun tingkap tertutup dengan sendirinya.

"Awak siapa? Ada hajat? Rasa aku adik beradik aku dan suami aku tak ada mempunyai saudara-mara macam muka kamu."

Saya terdengar suara orang perempuan dalam rumah. Saya terdiam. Kemudian saya terdengar bunyi pinggan mangkuk dan periuk berlaga sama sendiri di bahagian dapur macam orang mencari sesuatu. Saya juga terdengar suara perempuan merungut sesuatu.

Bau busuk bertambah hebat. Hari bertambah gelap. Saya tidak sedar bila masa tuan rumah dan datuk berada di hadapan saya.

"Nak, mari kita sembahyang”, kata datuk.

Saya memberitahu datuk tentang bau busuk dan peristiwa yang saya alami. Datuk tidak peduli. Tuan rumah dan saya terus sembahyang Maghrib dengan berimamkan datuk.

Aneh, sesudah memberi salam terakhir, bau busuk sudah tidak ada lagi. Datuk menyuruh tuan rumah turun ke dapur melihat periuk dan pinggan mangkuk. Tuan rumah patuh dengan perintah datuk.

"Baki nasi saya habis dimakannya. Dia membasuh pinggan mangkuk yang kotor”, dengan wajah yang tenang tuan rumah memberitahu datuk sesudah memeriksa barang-barang di dapurnya.

"Kalau begitu kau masak nasi sekarang dan masukkan hujung batang tepus ini”, ujar datuk sambil memberi batang tepus yang sudah di potong sedikit.

Tuan rumah terus memasak nasi dan menggoreng ikan kering. Bila semuanya sudah siap, saya dan tuan rumah makan. Atas permintaan datuk nasi di bahagian atas ditinggalkan didalam periuk.

Lebih kurang pukul dua malam, datuk pun mengejutkan saya dari tidur. Datuk menyalakan api pada sebatang liIin.

Uda Lodin yang datang ke rumah itu lepas waktu Isyak juga dibangunkan oleh datuk dari tidurnya. Tuan rumah yang tidur dekat tiang seri tidak di kejutkan oleh datuk. Dengkur tuan rumah cukup keras.

Datuk terus bertafakur setelah mengenakan baju hitam dan seluar hitam ke badan serta melilitkan kepalanya dengan kain merah sebesar dua jari.

Kemudian dia suruh saya mengatur tujuh helai daun sirih dimuka pintu. Dia juga menyuruh Uda Lodin meletakkan batang tepus dalam keadaan selang-seli pintu dapur. Datuk pun menepuk dahi tuan rumah sebanyak tiga kali dan meraba urat lehemya.

"Apa yang awak buat padanya?", soal Uda Lodin pada datuk.

"Saya pukau dia supaya tidur terus”, jawab datuk pendek sambil memperkemaskan silanya.

Datuk pun menyuruh kami duduk tanpa bergerak. Datuk ke dapur dan mengambil periuk berisi nasi lalu diletakkan dekat tiang seri.

Suasana malam itu cukup sepi. Rasa sejuk terasa menyentuh kulit muka dan badan. Sesekali angin bertiup dengan kuatnya di luar menggugurkan dahan-dahan pokok yang mati.

Suara jampuk tidak kedengaran, suara burung hantu juga begitu. Kecuali suara itik dan ayam di reban macam melihat sesuatu. Bau busuk mula masuk ke lubang hidung.

Datuk terus membuka pintu dan datuk membentangkan kain hitam yang berbucu tiga. Datuk duduk bersila di situ. Sebatang lagi lilin datuk nyalakan. Lilin yang baru dibakar sumbunya itu datuk letakkan betul-betul di tengah pintu.

Datuk terus bertafakur. Dia membaca sesuatu. Cara mendadak api lilin di tengah pintu padam. Bunyi tapak kaki orang melangkah jelas terdengar. Datuk bangun sambil memeluk tubuh.

"Siapa?", terdengar suara perempuan.

"Tetamu suami kamu”, jawab datuk.

"Apa halnya?"

"Saja datang."

"Aku nak masuk ke rumah, lalu kau dari situ?"

"Masuklah ini rumah kamu. Tapi nyalakan api liIin yang padam."

Selasai sahaja datuk bercakap, api liIin yang padam terus menyala. Bau busuk bertambah kuat.

Muka saya terasa dilekati sesuatu. Saya raba dan cium. Ternyata muka saya dilekati lumpur dari kubur. Baunya juga cukup busuk.

Bunyi tapak kaki orang melangkah kian kuat. Dengan pertolongan cahaya lilin saya dapat melihat satu lembaga memakai kain putih yang sudah koyak dan penuh lumpur.

"Kain kapan”, kata hati saya.

Lembaga itu bagaikan tahu apa yang bergolak dalam dada saya, lalu secebis kain kapan yang busuk di campakkan kepada saya. Bentuk mukanya tidak dapat saya lihat dengan jelas.

"Aku lapar”, saya terdengar lagi suara perempuan.

"Makanlah”, sahut datuk.

Saya lihat periuk nasi bergerak dan saya terdengar suara orang mengunyah sesuatu.

Saya menggigit bibir. Uda Lodin menutup lubang hidungnya dengan tangan. Dalam cahaya samar-samar itu juga saya lihat lembaga yang berkain kapan kotor menghampiri suaminya.

Ia mencangkung di situ sambil meraba-raba pipi dan rambut suaminya. Perempuan itu menangis tersedu-sedu.

Darah saya tersirap kerana jari-jari perempuan itu sudah tidak berdaging lagi.

Hanya tulang jari dengan kuku yang panjang jelas kelihatan berlari-Iari atas pipi dan tengkuk suaminya. Beberapa daging lengan dan pahanya yang sudah reput jatuh ke atas lantai.

Datuk terus melompat dan memukul belakang perempuan itu dengan batang tepus sebanyak tujuh kali. Datuk juga menyuruh Uda Lodin memasang api pada pelita minyak tanah.

Bila pelita sudah di pasang, wajah perempuan itu jelas kelihatan. Matanya sudah berlubang, daging pipinya jatuh satu-satu kelantai macam habuk kayu yang baru di ketam.

Giginya masih kuat dan kelihatan putih bersih. Saya tidak sanggup memandang wajah yang amat menakutkan itu.

"Apa yang kau lakukan pada suamimu?”, tanya datuk.

Perempuan itu tidak menjawap. Dia berjalan ke arah periuk nasi. Kedua belah kakinya di kangkangnya, dengan periuk nasi itu betul-betul berada di celah kangkangnya.

Beberapa ketul daging yang buruk di bahagian punggung jatuh ke dalam periuk tersebut. Setelah beberapa saat periuk itu di berikan pada suaminya.

Macam ada suatu kuasa yang luar biasa, suaminya bangun lalu memakan nasi itu dengan lahapnya, kemudian suaminya tidur kembali.

"Kau berikan suamimu nasi tangas?", tanya datuk.

"Ya. Saya sayangkan dia. Saya mahu dia mendengar kata dan tidak mencari betina lain."

"Perbuatan ini dikutuk Tuhan dan berdosa besar."

Perempuan itu tidak menjawap. Dia terus duduk merenung wajah suaminya dan memukul-mukul dadanya.

"Dari siapa kau dapat ilmu ini?", soal datuk.

Perempuan itu tetap membisu. Datuk pukul lagi hingga perempuan itu mengakui bahawa dia menuntut ilmu dari seorang perempuan tua yang memang menaruh dendam pada lelaki.

Menurutnya, perempuan itu memang seorang yang baik. Tetapi lakinya yang kuat berjudi itu selalu memukulnya bila kalah main. Kemudian dia dimadukan oleh lakinya dengan seorang perempuan.

Mula dari hari itulah dia mencari ilmu nasi tangas dan di kenakan pada suaminya, hingga suaminya

jadi bodoh dan tidak boleh membilang hingga kesepuluh kecuali di tunjuk atau diajar olehnya sendiri. Datuk terdiam.

Saya dan Uda Lodin berpandangan sama sendiri. Saya lihat datuk membuka kain yang melilit kepalanya. Datuk membuka bajunya dan menyarungkan ke tubuhnya dalam keadaan terbalik.

"Kau tahu, perbuatan kamu salah dalam ajaran agama. Dan kau tidak di terima oleh bumi. Roh kau ditolak ke dunia merayau-rayau selama empat puluh hari sebelum dihumbankan ke neraka."

"Saya tidak tahu."

"Suami kau seorang lelaki yang baik, kenapa kau buat perkara ini?", soal datuk lagi.

Perempuan itu diam. Dia cuba bangun dan mahu menerkam ke arah datuk. Cepat-cepat datuk memukul badannya dengan batang tepus.

Ternyata pukulan itu tidak mendatangkan kesan. Dia membuka kain kapannya lalu melemparkan pada datuk.

Datuk menahannya dengan kedua belah tangannya hingga kain kapan itu berbalik kepadanya.

Datuk lalu membaca beberapa potong ayat suci sehingga perempuan yang sudah tinggal rangka itu terperosok ke tepi dinding sambil menutup mukanya. Dia kelihatan takut dan cemas sekali.

"Roh engkau tidak akan diterima Allah selagi kau takut minta ampun dan maaf pada suamimu”, pekik datuk.

"Engkau siapa menyuruh aku berbuat begitu”, balas perempuan itu dengan kuat.

Datuk lalu mengambil sebatang tepus lagi dan menekan ke dada perempuan itu.

"Engkau syaitan. Engkau syaitan”, ujar datuk kemudian membaca beberapa ayat suci lagi.

Ternyata hantu perempuan itu tidak mahu mengaku kalah. Barangkali, rasa sabar datuk sudah hilang, datuk terus menepuk kedua belah tangannya.

Perempuan itu menjerit macam kena sesuatu yang panas dan terus bersuara minta ampun pada suaminya.

Bila suara jeritan perempuan itu hilang, semua pelita dalam rumah padam. Bila dinyalakan semula, perempuan itu sudah hilang.

Datuk tepuk dahi suami tiga kali sambil mengurut lehernya. Suami hantu perempuan itu tersedar dari tidur.

Tamat siri 25/284

BACA: SBDJ Siri 24: Puaka Tiang Seri
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Khasiat Kismis Dan Manfaatnya Untuk Kesihatan Yang Ramai Tidak Tahu

Khasiat Kismis Dan Manfaatnya Untuk Kesihatan Yang Ramai Tidak Tahu

Kismis (Raisin) adalah anggur yang dikeringkan dan kaya dengan sumber tenaga, vitamin, elektrolit serta mineral semula jadi dan lebih menarik, ia mempunyai jumlah serat, vitamin, mineral dan antioksidan yang jauh lebih tinggi berbanding anggur segar.

Khasiat Kismis

Walaupun kering, kismis mengekalkan rasa manis semula jadi dan bagi setiap 100 gram kismis hanya mempunyai 249 kalori, sesuai untuk mereka yang menjaga pemakanan dan mengawal berat badan.

Sama seperti anggur, kismis mengandungi sejenis bahan fitokimia dipanggil resveratrol iaitu sejenis antioksidan yang memiliki sifat antiradang dan antikanser selain mampu menurunkan kandungan kolesterol dalam darah.

Kajian mendapati resveratrol mampu melindungi tubuh daripada kanser kulit, kolon dan prostat selain membantu menjaga kesihatan jantung, melindungi dari masalah kemerosotan fungsi saraf, strok, Alzheimer dan jangkitan kulat atau virus.

Kismis yang dihasilkan daripada anggur berwarna merah dan ungu memiliki kandungan antioksidan lebih tinggi. Pada masa sama, kandungan seratnya yang tinggi membantu memenuhi keperluan serat dalam diet setiap hari seterusnya boleh membantu menurunkan berat badan dan melindungi daripada masalah sembelit.

Setiap hari kira-kira 20 hingga 35 gram serat diperlukan untuk memastikan tubuh berfungsi pada tahap optimum dan ia boleh diperoleh melalui kismis.

Serat sangat penting dalam memastikan kandungan gula dalam darah stabil dan kismis adalah sejenis makanan yang tinggi dengan serat.

Kismis juga baik untuk kesihatan jantung dan jika kita lihat pada fakta kesihatan di seluruh dunia, penyakit jantung antara penyebab utama kematian.

Kandungan antioksidan yang tinggi dalam kismis boleh membantu diri lebih awet muda dan menjaga penglihatan, menjaga kesihatan perut, saluran kencing dan melawan masalah gusi serta gigi.

KANDUNGAN DAN KEGUNAAN KISMIS
  • Bebas daripada toksin gluten dan boleh dimakan sebagai alternatif bagi mereka yang tidak boleh bertoleransi terhadap gluten.
  • Kaya dengan kalsium, zat besi, mangan, magnesium, fluoride dan zink.
  • Mengandungi elektrolit dan potasium yang mampu menurunkan kesan sodium, menurunkan tekanan darah dan mengelak strok serta masalah jantung.
  • Memiliki vitamin B kompleks.
  • Boleh dinikmati sebagai snek tanpa merosakkan kesihatan.
  • Boleh dimakan bersama apa saja hidangan termasuk salad, pencuci mulut dan dicampurkan dalam masakan.
  • Menjadi pengganti gula dalam penyediaan bakeri dan coklat.
  • Tiada lemak, sodium dan kolesterol.
  • Mengandungi fruktos iaitu gula semula jadi yang mudah dihadam untuk memberi tenaga yang cepat.
  • Kaya dengan serat dan menjadi sumber tenaga berpanjangan.

MENYINGKIRKAN TOKSIN

Mengandungi serat yang baik, kismis juga membantu menyingkirkan lebihan air dalam perut seterusnya mengurangkan kembung dan angin perut.

Dengan kandungan potassium dan magnesium yang tinggi, kismis juga membantu menyingkirkan toksin dalam badan dan mencegah penyakit seperti gout, batu karang dan jantung.

KULIT CANTIK DENGAN KISMIS

Untuk mereka yang mementingkan kesihatan kulit, kismis adalah salah satu caranya. Tidak seperti krim pelembap biasa, kismis memelihara kulit dari dalam dengan melindungi sel kulit dari sebarang kerosakan.

Penuh dengan antioksida, ianya juga melindungi kolagen dan keanjalan kulit seterusnya melambatkan penuaan, kedutan dan menghapuskan bekas jerawat.

Kismis hitam pula bertindak meningkatkan fungsi hati untuk mendetofikasikan badan dengan menyingkirkan toksin untuk kulit yang bersih dan berseri.

KAITAN ANTARA KISMIS DAN ANAK YANG BIJAK

Jika anda tertanya-tanya sama ada betul ke kismis mampu membuatkan anak anda membesar dengan bijak, kami telah menemui jawapannya dan nampaknya, memang kismis mampu membuatkan anak anda membesar menjadi seorang yang lebih bijak!

Menurut laporan The Telegraph, kismis bukan saja bagus untuk dimakan oleh anak anda, malah ia juga boleh dijadikan sebagai satu makanan untuk melihat sama ada anak anda akan jadi bijak atau tidak bila mereka mencapai usia 8 tahun!

Bagaimana caranya?

Caranya adalah dengan meletakkan kismis di dalam mangkuk dan memberitahu anak anda untuk tidak memakannya dalam tempoh tertentu.

Apa kaitan permainan kismis ini kebijaksanaan anak anda?

Menurut pakar, ramai kanak-kanak menggemari kismis kerana kemanisan yang dirasainya. Oleh itu, mereka tidak mampu untuk menahan diri daripada memakan kismis ini.

Permainan kismis dan kebolehan menahan diri

Profesor Dieter Wolke dari University of Warwick adalah pakar yang mengetuai kajian berhubung permainan kismis dan kebijaksaan anak ini.

Menurut Wolke, kanak-kanak (berusia 2 tahun ke atas) yang dapat menahan diri daripada memakan kismis tersebut akan mempunyai tahap tumpuan dan kecemerlangan dalam akademik yang lebih tinggi apabila berusia 8 tahun.

Yang pasti, kanak-kanak bukan perlu menahan diri selama berjam-jam pun. Cukuplah sekadar 1 minit dan ia amat membantu dalam kecemerlangan akademik mereka.

Malah, kanak-kanak yang gemar makan kismis dan berjaya menahan diri daripada memakannya apabila disuruh, akan mempunyai IQ 7 kali lebih tinggi daripada kanak-kanak yang tak berjaya menahan dirinya!

Kajian tentang tumpuan kanak-kanak

Kajian tentang kelebihan kismis untuk menjadikan kanak-kanak lebih bijak ini tidak terhenti di situ saja. Pada tahun 1985, kajian Bavarian Longitudinal Study yang dilakukan di Jerman telah mengaitkan permainan kismis ini dengan tumpuan kanak-kanak yang lahir secara pramatang.

Hampir 558 kanak-kanak diminta untuk menahan diri daripada mengambil kismis yang telah diletakkan dalam mangkuk.

Kanak-kanak yang lahir pramatang akan cenderung mengambil kismis dalam mangkuk “lebih awal” daripada jangkaan. Mereka tidak dapat mengawal diri mereka, malah tidak dapat memberi tumpuan pada arahan yang diberi.

Kajian seterusnya mendapati kanak-kanak ini juga tidak terlalu cemerlang dalam peperiksaan di sekolah.

Apa yang boleh kita belajar daripada kajian ini?

Nampaknya, kanak-kanak sendiri amat menggemari kismis yang bagus untuk minda ini.

Dan permainan kismis yang boleh ibu bapa buat di rumah itu adalah salah satu permainan bagus yang boleh mengasah kemahiran kognitif dan tumpuan kanak-kanak.

KHASIAT LAIN KISMIS

1. Meningkatkan Daya Pemikiran Otak

Gula ringkas dalam kismis telah dikenalpasti dapat meningkatkan daya pemikiran otak. Ini kerana otak memerlukan gula ringkas dalam kuantiti yang banyak untuk berfungsi dengan baik dan kismis dapat menyediakan keperluan gula ringkas dalam kuantiti yang banyak dan cepat.

Dalam Islam, kismis sudah lama disaran untuk pemakanan kanak-kanak kerana ia adalah makanan tambahan yang mampu merangsang minda dalam melahirkan generasi genius.

2. Kaya Antioksida

Kajian mendapati fenol yang terdapat dalam kismis adalah antara sumber yang membolehkan ia dikategorikan sebagai antioksida. Antioksida melindungi tubuh daripada radikal bebas selain menjaga kesihatan kulit supaya cantik berseri.

3. Gigi Sihat Dan Kuat

Selalunya bahan manis akan menyebabkan gigi rosak,tetapi tidak pada kismis. Ia langsung tidak menyebabkan berlakunya kaviti dan penyakit gusi, bahkan akan menyebabkan gigi menjadi sihat dan kuat kerana mengandungi ia mengandungi asid oleanolik. Asid ini sangat efektif dalam membunuh bakteria.

Penelitian Christine D.Wu dari Universiti Illinois, Chicago, Amerika Syarikat mendapati kismis mengandungi antioksidan yang dapat melawan bakteria penyebab kerosakan gigi dan gusi.

4. Mengurangkan Sembelit

Serat yang tinggi dalam kismis adalah sangat bermanfaat untuk pencernaan berjalan dengan lancar. Satu cawan kismis mengandungi kira-kira 10g serat yang boleh membantu anda mengeluarkan bahan-bahan toksik yang berbahaya dengan membersihkan usus dan melawaskan pembuangan air.

5. Mengurangkan Tekanan Darah Tinggi

Kajian juga mendapati kismis yang kaya dengan potassium dan rendah dalam sodium membantu mengurangkan tekanan darah tinggi.

6. Menguatkan Tulang

Selain itu juga, kismis mengandungi fiber dan asid tartaric. Ia juga baik untuk kesihatan tulang dalam badan anda.

Punyalah banyak khasiat kismis ni, jadi mak ayah perlu mengubah persepsi bahawa kismis hanya bahan makanan yang dimakan sewaktu menjelang peperiksaan, atau dimasukkan ke dalam roti atau kek.Sebaliknya jadikan kismis ini sebagai makanan ringan, snek yang sihat untuk anak-anak.

Mak ayah boleh bekalkan kismis ketika ke sekolah atau boleh jadi lebih kreatif dengan mencampurkan ia dalam pelbagai hidangan lain bubur, sup, yogurt atau sayur-sayuran yang biasa dimakan oleh anak-anak.

Namun jika anak-anak, sangat tidak suka dengan rasa kismis yang manis ini, sekurang-kurangnya 'wajibkan' diambil secara sedikit, dalam bilangan nombor ganjil 3, 5 atau 7 biji setiap hari.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3

5 Smartphone Dengan Bateri Paling Tahan Di Bawah Harga RM800!

5 Smartphone Dengan Bateri Paling Tahan Di Bawah Harga RM800!

Dengan penggunaan intensif pengguna dari hari ke hari, pengeluar smartphone mula menawarkan kapasiti bateri besar pada peranti, dalam membolehkan ia memberi masa penggunaan yang lama.

Dengan adanya cip yang efisien dan kapasiti bateri besar ini, ia membolehkan telefon dengan padanan ini menawarkan masa nyalaan skrin yang lama (iaitu sekitar 7-9 jam) untuk menggalas tugasan harian anda.

Untuk itu, kami menyenaraikan 5 telefon dengan ketahanan bateri lama yang anda boleh dapat di bawah RM800.

Sebelum itu, telefon yang dipilih di dalam senarai ini adalah berdasarkan:
  • Cip yang digunakan mestilah mempunyai binaan 14nm dan ke bawah.
  • Mempunyai kapasiti bateri minimum 4,000 mAh.

1. ASUS ZenFone Max Pro (M1)
Harga: RM599-699 (3GB RAM + 32GB)

ASUS ZenFone Max Pro (M1)

ASUS ZenFone Max Pro (M1) telah berjaya menjadi buah mulut orang ramai atas penawaran kapasiti baterinya setinggi 5000 mAh.

Bukan itu sahaja, ia turut menjalankan Android asli, dijana dengan cip yang sama seperti Xiaomi Redmi Note 5 iaitu cip Snapdragon 636.

Ia juga menawarkan skrin sebesar 5.99-inci, mempunyai ruang sim dan microSD secara berasingan, selain turut dilengkapi dengan sokongan dwi-kamera 13MP + 5MP.

Cuma kekurangan pada peranti ini, ia tidak didatangkan dengan sokongan WiFi dual-band dan tidak menampilkan fungsi IR blaster seperti Xiaomi Redmi Note 5.

Spesifikasi:
  • 5.99” IPS LCD FHD+ 18:9
  • Qualcomm Snapdragon 636
  • 8 x Kryo 260 1.8 GHz
  • 3GB RAM / 32GB + microSD
  • 13MP f/2.2 + 5MP f/2.4 / 8MP f/2.2
  • Bluetooth 5.0, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n
  • 5000 mAh, microUSB, pengecasan 10W
  • Android 8.1 / Android asli

2. Xiaomi Redmi Note 5
Harga: RM579-699 (3GB RAM + 32GB)

Xiaomi Redmi Note 5

Xiaomi Redmi Note 5 meneruskan legasi siri Redmi Note, dengan penawaran skrin bersama bersama penawaran peranti seimbang.

Ia membawakan skrin pada saiz 5.99-inci, hadir dengan sokongan dwi-kamera 12MP f/1.9 + 5MP, mempunyai WiFi dual-band , dan mengekalkan fungsi IR blaster.

Ia dijana dengan cip Snapdragon 636 (dengan prestasi hampir dua kali ganda lebih pantas berbanding Snapdragon 625) bersama kapasiti bateri 4000 mAh.

Cuma apa yang mengisi kekurangan pada peranti ini, kapasiti bateri peranti ini dilihat kurang 1000 mAh berbanding pesaingnya, iaitu peranti yang telah disenaraikan di bawah ini.

Spesifikasi:
  • 5.99” IPS LCD FHD+ 18:9
  • Qualcomm Snapdragon 636
  • 8 x Kryo 260 1.8 GHz
  • 3GB RAM / 32GB + microSD
  • 12MP f/1.9 + 5MP f/2.0 / 13MP f/2.0
  • Bluetooth 5.0, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac
  • 4000 mAh, microUSB, pengecasan 10W
  • Android 8.1 / MIUI 9.6

3. Xiaomi Mi A2 Lite
Harga: RM569-729 (3GB RAM + 32GB)

Xiaomi Mi A2 Lite

Xiaomi Mi A2 Lite adalah penawaran yang lebih berpatutan berbanding Xiaomi Mi A2.

Perkara yang menarik mengenai peranti ini, ia menjalankan program Android One, dengan penawaran antaramuka Android asli dan kebolehan untuk menerima kemaskini Android yang lebih terkini.

Ia juga tampil dengan rekaan skrin bertakuk, sokongan dwi-kamera dengan AI, fungsi IR blaster dan kapasiti bateri 4000 mAh.

Cuma kekurangan pada peranti ini, harga peranti ini walaupun dilihat masih berpatutan, ia sebenarnya membolehkan anda mendapatkan peranti dengan cip yang lebih pantas.

Spesifikasi:
  • 5.84” IPS LCD FHD+ 19:9
  • Qualcomm Snapdragon 625
  • 8 x Cortex-A53 2.0 GHz
  • 3GB RAM / 32GB + microSD
  • 12MP f/2.2 + 5MP f/2.2 / 5MP f/2.0
  • Bluetooth 4.2, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n
  • 4000 mAh, microUSB, pengecasan 10W
  • Android 8.1 / Android One

4. Xiaomi Redmi 5 Plus
Harga: RM540-679 (3GB RAM + 32GB)

Xiaomi Redmi 5 Plus

Xiaomi Redmi 5 Plus adalah variasi dengan skrin besar kepada Xiaomi Redmi 5.

Ia menawarkan skrin penuh pada saiz 5.99-inci, cip Snapdragon 625 yang lebih pantas, dan mempunyai sokongan

IR blaster untuk kebolehan menjadikan peranti sebagai alat kawalan jauh.

Ia turut dilengkapi dengan kamera 12MP f/2.2, kamera hadapan 5MP, berserta penawaran kapasiti bateri 4000 mAh.

Cuma perkara yang menjadi kekurangan pada peranti ini, ia tidak menampilkan sokongan Portrait Mode yang mungkin didorang daripada ketiadaan fungsi AI mahupun sokongan dwi-kamera.

Sekiranya anda tidak kisah dengan pembatalan waranti, anda boleh mendapatkan fungsi Portrait Mode ini dengan root, aktifkan Camera2API dan memasang aplikasi Google Camera Pixel 2 yang telah diolah.

Spesifikasi:
  • 5.99” IPS LCD FHD+ 18:9
  • Qualcomm Snapdragon 625
  • 8 x Cortex-A53 2.0 GHz
  • 3GB RAM / 32GB + microSD
  • 12MP f/2.2 / 5MP
  • Bluetooth 4.2, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n
  • 4000 mAh, microUSB, pengecasan 10W
  • Android 8.1 / MIUI 9.6

5. OPPO A3s
Harga: RM479-599 (2GB RAM + 16GB)

OPPO A3s

OPPO A3s antara peranti dengan harga terendah yang anda boleh dapat di dalam senarai ini.

Ia berjaya menarik perhatian pengguna atas rekaan takuk seumpama peranti yang dijual lebih mahal dan menawarkan kapasiti bateri tinggi iaitu 4230 mAh.

Ia juga membawakan sokongan dwi-kamera 13MP + 2MP, kamera hadapan 8MP, mempunyai sokongan imbasan wajah, dan dijana dengan cip Snapdragon 450 yang efisien.

Cuma kekurangan pada peranti ini, ia mempunyai penawaran RAM dan storan terendah dalam senarai ini, jadi ia kurang disyorkan bagi yang gemar memainkan permainan pada peranti.

Ia juga tidak menampilkan pengimbas cap jari (sebagai alternatif kepada fungsi imbasan wajah), disamping memerlukan masa pengecasan yang lama atas ketidakhadiran fungsi pengecasan pantas.

Spesifikasi:
  • 6.2” IPS LCD HD+ 19:9
  • Qualcomm Snapdragon 450
  • 8 x Cortex-A53 1.8 GHz
  • 2GB RAM / 16GB + microSD
  • 13MP f/2.2 + 2MP / 8MP f/2.2
  • Bluetooth 4.2, Wi-Fi 802.11 a/b/g/n
  • 4230 mAh, microUSB, pengecas 5W
  • Android 8.1 / ColorOS 5.1

Jadi, itulah senarai telefon yang mampu menawarkan ketahanan bateri yang lama dan boleh didapati melalui kedai fizikal rasmi atau menerusi laman-laman jualan utama di Malaysia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: amanz

'Jonathan' Kura-kura Haiwan Darat Tertua Di Dunia Yang Berusia 187 Tahun

'Jonathan' Kura-kura Haiwan Darat Tertua Di Dunia Yang Berusia 187 Tahun

Seekor kura-kura jantan dari Pulau St. Helena yang diberi nama Jonathan, secara rasminya telah diiktiraf sebagai hidupan darat paling tua di dunia oleh Guinness World Record apabila usianya mencecah 187 tahun pada tahun 2019 ini.

Kura-kura Tertua

Menurut portal guinnessworldrecords, kura-kura jenis Aldabran yang berasal dari Kepulauan Seychelles di Lautan Hindi itu dilahirkan pada tahun 1832, lima tahun sebelum pertabalan Ratu Victoria dan dibawa ke Pulau St. Helena di Lautan Atlantik pada tahun 1882.

Pemeriksaan lanjut ke atas cangkerang Jonathan mendapati ia adalah subspesies yang dipercayai hampir pupus. Terdapat kira-kira 80 ekor kura-kura Aldabran di seluruh dunia, menurut Kumpulan Pakar Kura-kura dan Penyu Air Tawar dari Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

Kura-kura tertua ini buta disebabkan katarak dan kehilangan deria bau namun, ia masih mempunyai pendengaran yang bagus dan selera makan, kata pakar veterinar, Joe Hollins yang bertanggungjawab menjaga reptilia itu.

Sepanjang hidupnya, Jonathan melalui dua zaman perang dunia, Revolusi Perancis, tujuh pertukaran monarki Britain dan pelantikan 39 Presiden Amerika Syarikat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com