Monday, February 04, 2019

Upacara Menarik Harta Karun Dari Alam Ghaib

Upacara Menarik Harta Karun Dari Alam Ghaib

Obsesi masyarakat terhadap emas dan harta karun tidak pernah pudar. Mereka sanggup meredah hutan dan mengorek tanah, malah menggunakan bomoh bagi mengesan lubuk harta tersebut namun, bagaimana jika barang kemas bernilai ribuan ringgit tiba-tiba muncul di belakang rumah?

Harta Karun Alam Ghaib
Gambar hiasan.

Bagi Hamidah Bakar, yang tinggal di Kampung Muhibbah, Tapah, Perak, memegang sendiri barang-barang kemas yang timbul dari tanah di belakang rumahnya mengubah persepsinya terhadap harta karun.

"Apabila seorang kenalan dari Indonesia memberitahu kawasan semak yang bersempadan dengan Sungai Perak itu mempunyai 'sesuatu', niat saya tak lebih daripada sekadar ingin tahu," bicaranya membuka kembali cerita lewat tahun 2004 lalu.

Menurut Hamidah, kehadirannya ketika itu hanya memenuhi permintaan saudara terdekat bagi mencukupkan syarat untuk memperoleh harta karun itu.

"Untuk menarik harta karun itu, mereka memerlukan seramai tujuh orang. Oleh kerana saya kenal dengan pengantara iaitu lelaki Indonesia itu selain hendak mencuba, saya pun ikut mereka.

"Kami duduk mengelilingi kawasan tanah yang telah dibersihkan dan digemburkan. Kemudian, minyak kayu cendana dituangkan di situ sambil membaca zikir khas," jelas bekas guru ini.

Loket berukir

Selepas itu, mereka bertujuh dikehendaki menunggu di dalam rumah. Tidak lama kemudian mereka kembali semula ke belakang rumah untuk mengambil harta tersebut.

"Cuma seorang daripada kami yang boleh mengambil harta yang timbul dari tanah itu. Dia boleh mengambilnya sehinggalah disuruh berhenti oleh pengantara.

"Harta itu dimasukkan ke dalam guni dan apabila kami keluarkan semula, kami sangat terkejut kerana jumlahnya sangat banyak.

"Ia masih banyak walaupun telah dibahagikan kepada tujuh orang," jelas Hamidah sambil menunjukkan loket yang berbentuk hati.

Hamidah berkata, loket sebesar syiling 10 sen yang diperoleh di belakang rumahnya itu cukup istimewa kerana di atasnya berukir ayat Kursi.

GELANG tangan berukir ayat Kursi

"Cukup halus ukirannya. Bila ditunjukkan kepada tukang emas, mereka mengatakan ukiran dan rekaan loket itu bukan berasal dari sini dan bukan dibuat pada zaman ini," ungkap beliau.

Menyentuh mengenai halaman belakang rumahnya, Hamidah memberitahu, jika tidak disebabkan kenalannya itu, sampai hari ini dia tidak tahu mengenai kewujudan harta karun tersebut.

"Ikut akal, memang tak logik. Dah berpuluh tahun saya tinggal di sini, memang langsung tak sangka. Namun, saya percaya harta karun ada di mana-mana.

"Cuma yang bernasib baik akan jumpa. Kalau niat tak baik, emas pada barang perhiasan itu akan hilang," katanya yang mengakui ada antara barang kemas yang dijumpai tidak bertukar menjadi emas.

Sekiranya ada yang mengaitkannya dengan perbuatan memuja, seorang lagi daripada tujuh sekawan berkenaan, Kamaluddin Mohd. Zain, tampil membuat penjelasan.

"Tak ada unsur-unsur pemujaan atau penggunaan ilmu hitam. Mungkin hijabnya dibuka Allah dan sebab itu lelaki tua dari Indonesia itu mempunyai kebolehan untuk mengesan harta karun di tempat-tempat tertentu," kata Kamaluddin.

Upacara selepas Maghrib

Menurutnya, upacara menarik harta karun tersebut hanya berlangsung sekitar 20 minit. Malah ia juga dilakukan selepas solat Maghrib dan bukannya pada waktu tengah malam.

"Pada masa itu, saya seorang sahaja yang disuruh menunggu sehingga barang kemas itu muncul dari tanah. Mula-mula memanglah takut," katanya ketawa.

"Tetapi selepas beberapa kali mencuba, perasaan gementar itu beransur hilang.

"Saya dan enam lagi kenalan sempat mengambil sebanyak empat kali sebelum harta itu hilang.

"Menurut pengantara, kehilangan harta karun itu mungkin disebabkan ada antara mereka bertujuh yang tidak betul niatnya," ujarnya yang merupakan seorang peniaga.

Menyentuh mengenai jenis harta karun yang dijumpai, jelas Kamaluddin, kebanyakan yang timbul adalah rantai, gelang, subang serta cincin.

Melihat sendiri barang kemas tersebut, corak, rekaan serta saiz nyata hasil peninggalan orang dahulu yang mungkin berusia ratusan tahun.

Ditanya sama ada beliau pernah terniat untuk menjualnya, Kamaluddin pantas menggelengkan kepala.

"Saya dipesan agar tidak menjualnya walau apa pun yang terjadi. Ia boleh diberi kepada orang lain namun tidak semua orang boleh memakainya," katanya.

Ujar Kamaludin lagi, pemilik barang kemas itu pasti mendapat gangguan seperti hati tidak tenteram, susah untuk tidur malah mendengar suara orang berbisik pada waktu tertentu.

Lebih menarik, bilangan barang kemas yang dijumpai itu didakwa boleh bertambah dan adakalanya akan hilang.

"Macam gelang tangan ini. Dulu masa diambil, hanya ada dua utas. Apabila saya balik ke rumah dan mengiranya kembali, bilangannya sudah jadi tiga," katanya sambil menunjukkan tiga utas gelang tersebut.

Meskipun sudah lama berlalu dan harta tersebut masih disimpan baik oleh mereka bertujuh, bagi Kamaluddin, tiada apa yang akan kekal.

"Sekiranya semua barang kemas yang ada ini bertukar menjadi emas suatu hari nanti, itu saya anggap sebagai rezeki," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo

Sunday, February 03, 2019

Ratan Tata Manusia Terkaya Di Dunia Tetapi Tidak Tersenarai Dalam Forbes

Ratan Tata Manusia Terkaya Di Dunia Tetapi Tidak Tersenarai Dalam Forbes

Senarai manusia terkaya atas muka bumi masih kekal diungguli oleh Bill Gates dengan kekayaan RM364 billion, diikuti oleh Warren Buffet dengan dan nama-nama lain seperti Jeff Bezos dan Mark Zuckerberg.

Ratan Tata Manusia Terkaya

Namun, apa yang mengejutkan adalah ada sebuah syarikat multinasional yang mempunyai kekayaan melebihi nama-nama di atas dan tidak disenaraikan dalam manusia paling kaya di dunia.

Syarikat tersebut tak lain dan tak bukan adalah Kumpulan Tata, dari India.

Sejarah Kumpulan Tata

Kumpulan Tata ditubuhkan pada 1868 oleh pengasasnya, Jamsetji Tata. Nama Tata mula menjadi bualan dan mendapat perhatian antarabangsa selepas bekerjasama dengan jenama terkenal dunia.

Dan Kumpulan Tata kini mengendalikan 96 buah syarikat yang mana 30 daripadanya disenarai awam termasuklah Tata Steel, Tata Motors, Tata Consultancy Services, Tata Power, Tata Chemicals, Tata Global Beverages, Tata Teleservices, Titan, Tata Communications, Taj Group dan banyak lagi.

Dan jumlah permodalan pasaran keseluruhan syarikat ini bernilai RM719 billion. Jadi, dengan nilai sebanyak ini, mengapa bekas Pengerusi Kumpulan Tata, Ratan Tata dan pewaris Tata tak pernah dinamakan dalam senarai manusia terkaya di dunia?

Keuntungan dan kekayaan didermakan

Sebabnya adalah, 65% daripada keuntungan dan kekayaan keluarga dan syarikat ini diberikan kepada organisasi amal, dan bukan ditambahkan kepada kekayaan peribadi Ratan Tata. Malah, kekayaan Ratan Tata sebagai individu tidak melebihi USD1 billion.

Ratan Tata yang dilahirkan pada 28 Disember 1937, merupakan anak kepada Naval Tata. Naval Tata pula merupakan anak angkat kepada Navajbai Tata, dan cucu angkat kepada pengasas syarikat Tata, Jamsetji Tata yang diambil dari Rumah Anak Yatim J.N. Petit Parsi. Pendek kata, Ratan Tata merupakan cicit angkat kepada pengasas syarikat ini.

Ratan Tata menamatkan pendidikannya di Universiti Cornell dalam kursus seni bina dan kemudiannya menyambungkan pelajaran di Harvard Business School pada tahun 1975 dalam Program Pengurusan Lanjutan. Pada tahun 1991, Ratan diberikan tanggungjawab menggalas tugas sebagai pengerusi Kumpulan Tata.

Dengan bakat yang ada, keuntungan yang dijana Kumpulan Tata meningkat dari 40% kepada 50% di bawah pentadbiran beliau.

Terlibat dalam kerja amal sejak mula

Sejak awal penubuhan lagi keluarga Tata memang sudah terlibat dalam kerja amal dan sangat dermawan. Mereka telah menyumbang dalam banyak perkara dalam membaikpulih kehidupan masyarakat setempat.

Antaranya adalah membaikpulih fasiliti penjagaan kesihatan, meningkatkan taraf sistem pendidikan, memperjuangkan kesaksamaan hak, sukan dan memelihara seni di India.

Antara institut yang ditubuhkan oleh Kumpulan Tata untuk kebajikan termasuklah:
  1. The Energy and Resources Institute.
  2. The JRD Tata Ecotechnology Centre
  3. National Centre for Arts
  4. Tata Centre for Technology and Design at Massachusettes Institute of Technology
  5. Tata Institutes if Social Sciences
  6. Tata Football Academy
  7. Tata Cricket Academy
  8. Tata Centre for Technology and Design at IIT Bombay
  9. Tata Management Training Centre
  10. Tata Medical Centre.
  11. Tata Memorial Hospital
  12. Tata Trusts
  13. Tata Cancer Hospitals

Pada tahun 2007, Kumpulan Tata dianugerahkan penghargaan Carnegie Medal of Philanthropy di atas sumbangan amal mereka. Namun kerja-kerja amal mereka tidak terhenti di India sahaja, malah di peringkat antarabangsa juga.

Kumpulan Tata telah menjadi penderma antarabangsa yang menyumbang dalam bentuk wang terbanyak kepada Harvard Business School iaitu RM210 juta.

Wang tersebut didermakan untuk digunakan dalam pembinaan blok akademik dan bangunan asrama di kampus Boston, Massachusetts. Selain itu, Tata Chemicals juga telah melancarkan peranti pembersih air dalam rumah yang diberi nama Tata swach, dan dijual dengan harga yang sangat murah iaitu RM88.

Ia membolehkan rakyat India yang kurang berkemampuan mendapat bekalan air yang bersih.

"Apa yang saya mahu lakukan adalah meninggalkan syarikat yang mampan yang beroperasi dengan teladan dari segi etika, nilai dan meneruskan apa yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita," - Ratan Tata

Hasilkan perisian untuk golongan buta huruf

Anak syarikat Kumpulan Tata, Tata Consultancy Services Limited (TCS) telah menghasilkan perisian komputer yang dikatakan mampu mengajar individu buta huruf untuk membaca, dalam hanya 40 jam pembelajaran.

Selain itu, syarikat ini juga sentiasa memastikan para pekerjanya terbela dengan memperkenalkan sistem pencen, fasiliti perubatan, cuti bersalin dan banyak lagi di setiap pejabat Tata di seluruh India.

Hotel Taj, anak syarikat Kumpulan Tata pernah diserang menyebabkan kerosakan pada bangunannya dan menyebabkan para pekerja terpaksa berhenti seketika menunggu ia dibaikpulih. Kumpulan Tata tidak membiarkan kakitangan ini dengan tetap memberikan gaji, dan membayar pampasan kepada pekerja landasan kereta api, kakitangan polis, pejalan kaki, penjual pasaran, dan penjaga kedai yang terjejas akibat serangan itu.

Usaha menghapuskan malaria di India

Pengumuman terbaru oleh Kumpulan Tata adalah mereka sedang dalam usaha menghapuskan malaria sepenuhnya dari India dan sedang membina The Tata Institute of Genetics and Society dengan kos RM294 juta.

Tujuan pembinaan institut ini adalah untuk mengkaji dan mengubahsuai DNA nyamuk di India bagi membebaskan negara itu daripada penyakit maut tersebut.

Kerana kerja-kerja amal yang tiada penamatnya membuatkan mereka tidak menjadi antara salah seorang manusia terkaya di dunia.

Matlamat utama mereka bukan untuk menjadi manusia terkaya di dunia tetapi menyumbang kepada masyarakat menjadikan dunia tempat yang lebih baik untuk didiami.

Kasih sayang dan penghormatan yang diterima oleh Ratan Tata daripada masyarakat cukup untuk membuatkan beliau manusia paling kaya, gembira dan puas di dunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Saturday, February 02, 2019

Maksud Sebutan Pinoy Dan Pinay Bangsa Filipina

Maksud Sebutan Pinoy Dan Pinay Bangsa Filipina

Pinoy adalah nama julukan bagi orang Filipina, Filipino, Pinoy singkatannya dan pinoy itu adalah istilah orang Filipina untuk lelaki, manakala untuk perempuan disebut Pinay.

Maksud Pinoy dan Pinay

Pinoy adalah singkatan dari perkataan Fil-Ams atau Filipina Amerika (Tagalog: Pilipino Americano), iaitu sebutan bagi orang Amerika keturunan Filipina.

Menurut sejarahwan Filipina Amerika, Dawn Mabalon, awal kemunculan istilah Pinoy dan Pinay adalah pada sebuah ulasan 1926 dari Filipino Student Bulletin.

Beberapa orang Filipina percaya, istilah Pinoy dan Pinay diberikan kepada orang Filipina yang lahir dari perkahwinan campur warga Amerika Syarikat, untuk membezakan diri mereka dari orang asal Filipina.

Keturunan Filipina Di AS

Sebutan Pinoy telah lama beredar di AS dan di fahami sebagai frasa untuk menyebut orang Amerika berketurunan bangsa Filipina.

Orang Filipina sendiri diketahui telah lama melakukan migrasi ke negara ini sejak akhir abad ke 15 bersamaan dengan mulanya era perdagangan antara Sepanyol dan Amerika Syarikat.

Pertama kali mereka menjejakkan kaki di benua Amerika adalah di kota pelabuhan Morro Bay, California.

Kita tahu bahawa Filipina pernah dijajah oleh Sepanyol sekitar tiga ratus tahun, menyebabkan banyak budaya Sepanyol diserap ke dalam budaya tempatan, dari penggunaan nama khas Sepanyol bahkan sampai ke kulinari yang kental dengan selera Sepanyol.

Ramai yang menyimpulkan bahawa makanan khas Filipina bukan termasuk Asian Food, kerana hampir 100% berakar dari kuliner Spanyol.

Majoriti Pinoy di era lalu masih berfikir secara colonial mentality iaitu mental bangsa jajahan dan masih menganggap bahawa bangsa kaukasia memiliki superiority lebih tinggi berbanding diri mereka, terkadang mempunyai perasaan rendah diri untuk mengungkapkan jati diri mereka sebab terhalang oleh pemikiran sebagai bangsa imigran kelas dua di Amerika.

Memang di era millennium seperti sekarang kesan ini sudah banyak berkurangan, namun jelas banyak terjadi pembulian secara rasis sejak tahun 1946an hingga awal 2000an yang dilakukan oleh orang Amerika lain.

Ini membuatkan Pinoy merasakan derita secara psikologi sebab diperlakukan seperti itu padahal mereka juga merasakan bahawa mereka juga bangsa Amerika, bahkan dibuktikan dengan dokumen rasmi sebagai warganegara AS, serta benar-benar mencintai Amerika sebagai tanah air mereka.

Populasi orang Filipina di USA menjadi populasi etnik asia terbanyak selepas warga Vietnam dan menjadi populasi Filipina terbanyak yang bermukim di luar negeri.

Sayangnya, mereka kurang tampil di dalam bidang politik ataupun mengambil bahagian dalam bidang lain dan lebih suka untuk tidak terlalu kelihatan menonjol.

Mereka lebih selesa mengadakan acara berkumpulan terutama untuk merayakan festival khas Filipina di AS seperti Festival Sinulog atau pesta awal tahun, hari kemerdekaan setiap bulan Jun dengan menggunakan bahasa ibunda mereka iaitu bahasa Tagalog, walaupun sudah jarang digunakan sebagai bahasa pengantar.

Malah, generasi muda Pinoy hanya menguasai satu jenis bahasa sahaja, iaiu Inggeris-Amerika.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Friday, February 01, 2019

SBDJ Siri 18: Diganggu Lembaga Hitam

SBDJ Siri 18: Diganggu Lembaga Hitam

Di luar hujan turun mencurah-curah. Kilat dan guruh tingkah meningkah. Cahaya kilat yang masuk ke dalam pondok menjilat wajah datuk, Bah Lanjut dan saya. Bila bunyi hujan beransur reda, diganti pula dengan bunyi angin yang cukup keras melanggar dahan dan reranting pokok hutan.

Siri SBDJ 15

Api pelita melintuk-liuk mengikut arah tiupan angin. Bagi menyelamatkan api pelita dari padam, Bah Lanjut segera menaruh daun bertam muda di sekelilingi badan pelita.

Beberapa bahagian daripada daun bertam muda itu dibuat lubang kecil bagi mendapatkan cahaya dari pelita tersebut.

Di luar hujan sudah berhenti terus. Angin sudah tidak sekeras tadi merempuh reranting dan dedahan pokok hutan.

Bunyi cengkerik cukup gamat. Sekali-sekala terdengar lolongan anjing hutan sayup-sayup. Bunyi suara burung tukang cukup nyaring. Saya melihat jam saku datuk yang bertali tembaga di hujung lututnya.

Waktu Bah Lanjut memperkemaskan silanya,saya dengar raungan harimau cukup nyaring bersama tempikan gajah.

Tanpa di minta oleh datuk, Bah Lanjut perkenalkannya dengan pemuda yang membalas dendam pada anak Haji Azhar.

Menurut Bah Lanjut, seorang asli membawa pemuda itu menemuinya dan menceritakan apa yang dialami oleh pemuda itu hingga timbul rasa belas di hatinya.

"Saya menolongnya kerana saya fikir dia telah dihina," nada suara Bah Lanjut penuh kesal.

Datuk tersenyum dan menyuruh Bah Lanjut melupakan peristiwa tersebut.

"Lupakan tentang tu, mari kita cerita tentang hal lain," ujur datuk sambil melagakan gigi bawah.

Bah Lanjut melunjurkan ke dua kakinya. Kulit belakang Bah Lanjut bertemu dengan dinding pondok yang diperbuat dari kulit kayu Merbau dan Jelutung.

"Ilmu kita bukan untuk merosakkan orang, ilmu kita untuk menolong orang," keluh Bah Lanjut.

"Ilmu kita pun begitu juga," tingkah datuk.

Beberapa ekor nyamuk hutan berterbangan dalam pondok. Melihat saya resah dengan kedatangan nyamuk itu, Bah Lanjut menepuk tangan, saya lihat nyamuk yang berterbangan itu menuju ke arahnya Bah Lanjut menadahkan kedua belah tapak tangannya. Nyamuk-nyamuk jatuh atas tapak tanganya.

"Pulanglah, jangan kacau kami," kata Bah Lanjut Nyamuk di tapak tangan segera terbang menuju ke arah tepi dinding dan terus keluar.

Bunyi suara cengkerik di luar pondok beransur kendur. Malam bertambah dingin. Dua kali saya menguap panjang. Datuk dan Bah Lanjut masih terus bercakap.

"Mahu awak menuntut ilmu pengasih?" kelopak mata saya terasa ringan, mata saya bersinar merenung kearah muka Bah Lanjut.

Saya mengisut ke arahnya, kepala lutut saya dengan kepala lutut Bah Lanjut berlaga.

"Caranya?" soal datuk.

Hati saya cukup gembira, saya memang mengharapkan Bah Lanjut menurunkan ilmu itu pada datuk dan sekali gus saya akan dapat mengutip ilmu itu.

Saya kira, ilmu pengasih itu cukup baik untuk saya, bila saya sudah ada ilmu pengasih saya boleh memilih bakal isteri dari anak dara yang wajahnya cantik dari kalangan orang yang berada.

Kalau saya di panggil untuk temuduga sebarang pekerjaan, ilmu pengasih dapat menolong saya.

Orang menemuduga saya akan kasih pada saya, lalu memberikan pekerjaan, walaupun tidak ada kelulusan, fikir saya dalam hati.

Bah Lanjut mengunyah sesuatu didalam mulut. Saya tidak tahu apa yang dikunyahnya.

"Ilmu tu saya tak mahu, bagilah saya ilmu-ilmu lain," ujur datuk secara tidak langsung membunuh harapan yang bertunas dalam hati saya.

Saya mengeluh dan datuk tersenyum merenung ke arah saya, bagaikan dia tahu, apa yang bergolak dalam dada saya.

"Kalau awak tak mahu, berikan pada cucu awak," Bah Lanjut mengemukakan cadangan. Lagi sekali, saya Iihat senyum datuk bermain di bibir.

"Jodoh pertemuan dan rezeki di tentukan oleh Allah yang maha besar," datuk menepis cakap Bah Lanjut.

"Kita disuruh berusaha."

"Bukan dengan cara itu tok batin, lagi pula ilmu pengasih ni, banyak buruk baiknya, terutama kalau terlepas ke tangan orang muda."

"Tujuannya baik."

"Memang tujuannya baik, tapi baiknya sikit sangat. Yang dibuat tujuan jahat yang banyak di lakukan, ilmu tu banyak penggodanya."

"Jadi, awak tak mahulah. Kalau awak mahu, boleh saya bawa naik bukit dan guna mencari ibu minyaknya."

"Terima kasih sajalah tok batin," suara datuk merendah.

Bah Lanjut terdiam. Suara anjing hutan makin keras. Bunyi burung hantu dan jampuk bersahut-sahutan di puncak bukit.

Malam bertambah larut. Datuk bangun, lalu membuka pondok. Datuk terkejut. Dua tapak dia undur ke belakang. Muka datuk pucat. Bah Lanjut menerkam ke arahnya.

Saya juga menerkam ke muka pintu. Kaki kami bagaikan terpaku di lantai. Di muka pintu, terjegat satu lembaga berbulu hitam tebal. Dahi lembaga itu berbulu, lubang hidungnya cukup luas. Gigi putih lembaga itu menyeringai, bagaikan mahu menelan kami.

Saya amati lembaga itu lama-lama. Bentuknya macam seekor monyet besar. Tiba-tiba, Bah Lanjut bergolek diatas lantai menuju ke arah pelita. Dia cabut daun bertam, lalu membakar kain pelikat datuk yang tersangkut dekat dinding.

Dengan mendadak saja api marak dalam pondok kami dan lembaga yang berdiri dikaki tangga bersuara, bagaikan suara beruang jantan tercium buah kelubi.

Lembaga itu menggawang-gawangkan tangannya ke kiri dan ke kanan. Kemudian lengannya yang berbulu itu menutup kedua belah matanya.

Lembaga hitam itu menjerit dengan sekuat hatinya, lalu menendang dinding dekat pintu. Dinding yang dibuat dari kulit kayu itu runtuh dan pecah berkaca.

Lembaga itu melompat ke tanah dan diikuti dengan bunyi kayu tangga patah. Lembaga itu pun hilang dalam kegelapan malam yang pekat itu.

Datuk, saya dan Bah Lanjut kembali duduk di ruang tengah pondok, sesudah api yang membakar kain pelikat datuk dipadamkan.

"Apa bendanya tu tok batin?" soal datuk dengan tenang. Bah Lanjut terdiam. Dia merenung liar ke kiri dan ke kanan.

"lnilah masalah yang kami hadapi sekarang," bisik Bah Lanjut pada datuk.

Datuk angguk kepala. macam itek angsa bertemu kawan. Saya resah sendiri. Bimbang benar hati saya, kalau lembaga hitam itu datang lagi.

"Saya harap awak boleh menolong kami dalam hal ini?" Bah Lanjut menyuarakan hasrat hatinya.

Datuk merenung lantai yang terbuat dari buluh itu. Bah Lanjut nampak resah. Sesekali dia membetulkan parang yang tersangkut di pinggangnya.

"Benda tu, cuma takut pada api saja," sambung Bah Lanjut dengan rasa kesal.

Dan barulah saya faham, kenapa waktu tengahari mahu jatuh di kaki lantai, orang asli membakar kayu besar yang dilonggokkan di sekeliling rumah mereka.

Api biarkan menyala hingga ke subuh.

Bah Lanjut berjalan ke hulu ke hilir dalam ruang pondok. Berhenti dekat bendul pemisah, antara ruang tengah dengan dapur. Dia duduk dekat bendul sambil menakik-nakik kayu bendul dengan parang kontotnya.

Datuk hanya memperhatikan saja tingkah laku Bah Lanjut. Dari gerak-geri itu, datuk dapat meramalkan, bahawa penghulu orang asli itu di amuk rasa resah yang tidak menentu.

Bah Lanjut merenung ke arah Datuk. Datuk angkat kepala lalu pandangan mereka bertembung.

"Yang kita bimbangkan tentang keselamatan anak buah kita, terutama anak-anak dara," Bah Lanjut mengeluh.

"Sebab?"

"Binatang sial tu, mencari anak dara, sudah dua orang anak buah saya di kampung bukit sebelah mati kerananya."

"Dahsyat tu."

"Kerana itulah, kalau boleh saya mahu minta tolong dari awak, walaupun saya handal tetapi dalam hal ni, saya mengaku kalah," Bah Lanjut mengakui kelemahan yang terdapat pada dirinya.

Datuk kerutkan dahi. Saya rebahkan badan di atas lantai buluh. Bah Lanjut bangun ambil kain dari dalam beg datuk. Kain itu dicampakkannya pada saya.

"Selimut badan kau, sejuk ni," ujarnya sambil ketawa kecil.

Bah Lanjut terus mendekati datuk. Mereka bercakap. Apa yang dikatakan oleh mereka itu dapat ditangkap oleh gegendang telinga saya, walaupun kelopak mata saya pejam rapat.

Fikiran saya berperang sama sendiri. Bentuk lembaga hitam yang besar itu menari-nari dalam kepala saya.

Bagaimana jika ketika saya terlelap lembaga itu datang, lalu membawa saya ke tempatnya? Barangkali lembaga itu memakan daging manusia. Apakah daging peha saya akan dibahamnya?

Semuanya berlegar-Iegar dalam kepala saya.

Datuk terus juga bercakap dengan Bah Lanjut. Saya pusing kanan. Setiap kali badan saya bergerak, lantai buluh tetap berbunyi kiuk-kiuk.

Bila bunyi itu terdengar berturut-turut kali, saya terasa seronok, macam satu nada irama lagu yang terjadi tanpa penciptanya.

Bah Lanjut memberitahu datuk, lembaga hitam itu sudah dua tiga kali masuk ke dalam perkampungannya, malah satu ketika anak buahnya hampir berjaya memberkas lembaga hitam itu dengan mengepungnya, tetapi lembaga itu berjaya menghilangkan diri dengan berpaut pada dahan meranti condong.

Menurut Bah Lanjut, setiap kali lembaga hitam datang, mesti diiringi dengan bunyi burung hantu atau salakan anjing hutan.

"Begini saja, esok kita cari kesan tapak kakinya," datuk memberi satu keputusan yang muktamad. Dan Bah Lanjut bersetuju dengan cadangan datuk itu.

"Sampai ke mana?" soal Bah Lanjut.

"Sehingga mana yang boleh kita cari," batas datuk.

Bah Lanjut anggukkan kepala. Mereka terus bercakap. Gegendang telinga saya sudah tidak mampu mendengar perbualan datuk dengan Bah Lanjut.

Saya terlelap. Bila saya terjaga dari tidur, saya lihat Bah Lanjut sudah tiada dalam pondok.

Datuk saya Iihat masih termenung panjang. Malas saya mahu menyuruh datuk tidur. Saya kira dia sedang memikirkan sesuatu. Saya tidur kembali.

Pagi itu, selepas sembahyang subuh, datuk terus mengajak saya mandi air embun.

Pagi di perkampungan orang asli cukup mengesankan. Saya melihat matahari terbit di puncak banjaran gunung titiwangsa, kabus nipis berarak menuju ke dada langit, kicau burung hutan dan ayam hutan bersahut-sahutan.

Lepas mandi air embun, saya bakar ubi kayu dan datuk masak air panas. Bila matahari sudah meninggi, sayup-sayup terdengar bunyi suara jentera dan pekerja hidro-elektrik dan di turuti dengan bunyi ledakan yang cukup kuat.

"Apa benda tu tok?" tanya saya.

"Dia orang tebuk bukit buat terowong air," begitulah datuk memberi penjelasan.

Saya melihat ke arah bunyi ledakkan itu, saya lihat ada asap berkepul naik ke udara.

Selesai makan ubi bakar dan minum kopi, Bah Lanjut datang menemui datuk. Dia mengajak datuk mencari kesan tapak kaki lembaga hitam yang datang ke pondok malam tadi.

"Boleh, nanti saya tukar pakaian," jawab datuk.

Saya dan datuk pun ke atas pondok. Bah Lanjut menanti di tanah. Dia memakai seluar pendek kuning, berbaju hitam dengan parang kontot tersangkut di pinggang. Sumpit panjangnya tersandang di belakang.

Saya dan datuk turun ke tanah. Sesudah berkeliling di kawasan sekitar pondok. Saya terjumpa kesan tapak kaki binatang, macam bentuk tapak kaki gajah, mempunyai empat jari. Saya segera memberitahu datuk dan Bah Lanjut.

"Memang inilah tapak kakinya," kata Bah Lanjut sambil menguis dedaun di kelilingi tapak kaki itu.

Bah Lanjut berhenti menguis. Dia mengambil sesuatu dari muka tanah.

"Inilah bulunya," pekik Bah Lanjut sambil menunjukkan pada datuk.

Saya dan datuk pun rapat pada Bah Lanjut. Bulu hitam keras itu pindah dari tapak tangan Bah Lanjut ke tapak tangan datuk. Datuk renung bulu hitam keras itu.

Bila bulu itu terkena sinar matahari, warnanya menjadi perang. Datuk menyerahkan bulu itu pada Bah Lanjut.

Dan Bah Lanjut memasukkan ke dalam buluh yang tersangkut di pinggang sebelah kirinya.

Berpandukan kepada kesan tapak kaki itu, kami bergerak menuju ke arah barat daya. Datuk dan Bah Lanjut menemui beberapa ranting kayu patah kena pijak.

Dua tiga pokok hutan kelihatan terkulai, bagaikan dirempuh sesuatu. Kesan itu hilang disebuah lurah menghala ke sebuah anak bukit yang di pisahkan oleh sebatang anak sungai dengan perkampungan orang asli.

Matahari sudah berada betul-betul di tengah kepala. Kerana kesan tapak kaki lembaga itu tidak dapat di kesan lagi, datuk dan Bah Lanjut membuat keputusan pulang saja ke pondok.

Datuk memberi janji akan menolong Bah Lanjut mengatasi masalah tersebut, demi keselamatan anak buahnya.

Dan Bah Lanjut juga memberi ikrar akan membantu datuk sedaya upaya untuk menangkap atau mengusir lembaga hitam itu.

Sebaik saja kami sampai di pondok, lima orang pemuda Melayu dengan topi putih berbucu depan belakang, seakan-akan bentuk topi keledar menanti kami. Mereka bercakap sesama sendiri.

"Apa halnya ni," tanya Bah Lanjut.

Kelima-lima pemuda itu diam. Mata mereka merenung tepat ke arah saya dan datuk. Salah seorang daripada pemuda itu berbadan tegap, berkulit hitam manis menghampiri saya.

"Awak orang asli atau orang Melayu?" tanyanya dengan berbisik pada saya.

Saya tersenyum. Aneh juga rasanya, kerana mereka tidak dapat membezakan saya dan datuk dengan orang asli.

"Saya orang Melayu," jawab saya.

"Itu datuk saya," muka anak muda yang bertanya kelihatan berubah.

Dia hulurkan tangan, bersalam dengan saya dan datuk.

"Saya Zamri," katanya pada datuk.

"Awak orang mana?"

"Saya orang Jeram, dekat Kuala Dipang, Kampar, saya bekerja di sini."

Mendengar cakap pemuda itu, datuk angguk kepala dan tersenyum. Datuk lalu mempersilakan mereka duduk di atas tunggul kayu di halaman pondok.

Bah Lanjut berdiri di depan kumpulan pemuda tersebut. Saya terus duduk di sisi salah seorang anak muda yang berkulit hitam, berhidung mancung.

Tanpa diminta anak muda itu memberitahu saya namanya, Amiruddin, berasal dari Teluk Bahang, Pulau Pinang. Sudah dua tahun menjadi buruh hidro elektrik di situ.

"Apa halnya?" tanya Bah Lanjut lagi.

Zamri bangun sambil meraba-raba batang hidungnya.

"Kawan kami kena patuk ular di kaki bukit, waktu menebas," katanya.

Bah Lanjut renung muka datuk dan menyatakan, pekerja-pekerja di situ memang selalu menemuinya jika ada menghadapi kesulitan seperti itu.

"Kenapa tak bawa jumpa doktor?" datuk menghadapkan pertanyaan itu pada Zamri. Bah Lanjut menggosok-gosok ulu parang kontotnya.

"Salah seorang kawan saya sudah pun jumpa ketua, memang mahu dibawa ke Hospital Tapah, tetapi kami terpaksa tunggu kereta.

"Dia mana kawan awak tu?" saya pula bertanya.

"Ada dekat setor, menanti kereta."

Bah Lanjut membisikkan sesuatu ke telinga datuk. Kemudian Bah Lanjut mengajak kelima-lima pemuda itu pergi ke tempat kawan mereka yang kena patuk ular itu.

Setelah meredah hutan dan menuruni dua buah anak bukit, akhirnya saya, dan datuk dan Bah Lanjut sampai ke belakang setor.

Di situ, saya lihat seorang pemuda terbaring atas pangkin. Seorang lelaki berbangsa Jerman berdiri di sisinya.

Pangkal peha pemuda yang baru berusia lebih kurang dua puluh lima tahun itu diikat dengan kain kuat-kuat. Lelaki berbangsa Jerman itu meletakkan sesuatu di bahagian bawah peha yang sudah diikat itu.

Pemuda yang malang itu tidak bergerak. Dadanya kelihatan berombak. Kedua kelopak matanya rapat.

Zamri menghampiri lelaki Jerman yang berbadan tegap. Mereka bercakap dalam bahasa Inggeris. Dua tiga kali orang Jerman itu geleng kepala. Zamri terus juga bercakap akhirnya orang Jerman menghampiri datuk.

"Migiteis," ujur lelaki itu.

Datuk angguk kepala. Lelaki itu bercakap sesuatu pada datuk. Saya lihat kelopak mata datuk pejam celik. Dia tidak mengerti dengan apa yang diperkatakan oleh orang Jerman itu. Bahasa yang diucapkan oleh orang Jerman itu terlalu asing buatnya.

"Ini ketua kami, dia setuju memberi peluang pada kami mengubat kawan yang malang itu, mengikut cara kampung, sementara menanti kereta yang akan membawanya ke rumah sakit Tapah," Zamri menjadi juru bahasa pada datuk dan Bah Lanjut.

Orang Jerman yang berbadan tegap itu renung muka datuk dan Bah Lanjut. Bila orang Jerman itu meninggalkan bahagian belakang setor menuju ke pejabat kecilnya dibengkel membaiki lokomotif, Bah Lanjut memerintahkan Zamri dan kawan-kawannya mencari batang tepus dan pokok pisang karok (pisang hutan) serta daun langkah dengan secepat mungkin.

Tidak sampai dua puluh minit, barang-barang yang dikehendaki oleh Bah Lanjut itu diperolehi, pemuda malang di atas pangkin di bawa kesatu tempat lapang berdekatan dengan pokok jelutung mati dahan. Bah Lanjut meletakkan barang-barang yang di kehendaki di sekeliling pangkin.

"Pukul berapa?" tanya saya pada Zamri.

"Dekat pukul dua petang," jawabnya, tiba-tiba datuk menepuk bahu saya menyuruh saya diam.

Bah Lanjut mengambil batang tepus lalu dipukul ke pangkal pokok pinang hutan, dipalu ke tanah tujuh kali.

Manakala pucuk daun langkap dikoyak-koyak, separuh dibuang ke dalam hutan, separuh lagi dikunyahnya.

Pucuk langkap yang sudah hancur itu diluahkan di pangkal pangkin. Bah Lanjut menyuruh saya dan datuk serta kawan-kawan Zamri, duduk di satu tempat agak jauh juga jaraknya dengan pangkin sambil berpesan jangan bercakap atau bangun. Dan gerak gerinya jangan di tegur. Kami beredar.

Muka Zamri dan kawan-kawan agak cemas, mereka agak bimbang kalau-kalau yang kena patuk ular itu tidak pulih dalam waktu yang ditepatkan, kereta dari Batu Tiga Puluh Dua akan datang dan ketua mereka akan memerintahkan supaya kawan yang malang itu dibawa segera ke Hospital Tapah. Bah Lanjut duduk mencangkung di depan pangkin.

Dia bercakap dalam bahasa orang asli, macam kicau burung hantu bunyinya. Lepas itu dia mengambil sehelai daun berhampiran tempat tersebut lalu meniupnya.

Bunyi tiupan dari daun itu cukup nyaring dan sakit gegendang telinga saya dibuatnya. Bah Lanjut terus meniupnya tanpa berhenti-henti. Peluh di dahi dan di belakang mula keluar.

Tiba-tiba saya melihat beberapa ekor ular keluar dari hutan kecil di belakang kami, semuanya meluru ke arah pangkin pemuda malang itu. Anehnya, ular itu berpatah balik kedalam hutan.

Bah Lanjut terus meniup daun tanpa berhenti-henti. Tanah lapang dekat pangkin pemuda malang itu, sudah pun di penuhi dengan pelbagai bentuk ular.

Beberapa ekor ular menjalar dan memanjat belakang Bah Lanjut yang meniup daun. Saya berasa takut kerana belum pernah saya melihat ular sebanyak itu dengan beranika rupa dan bentuk.

Saya kira semua ular di dalam hutan sekitar itu berkumpul di situ.

Dada saya berdebar, tanpa memperdulikan kami, ular-ular terus berkeliaran keluar dan masuk ke dalam hutan belakang.

Kami tidak bergerak. Kami benar-benar jadi tunggul buruk. Saya jeling ke muka datuk. Saya lihat wajahnya tetap tenang.

Ular berkeliaran di kaki pangkin. Bah Lanjut terus meniup daun, ular yang begitu banyak di tanah lapang beransur kurang.

Kawan Zamri yang malang masih terkapar atas pangkin di panggang matahari yang keras. Dalam beberapa saat saja, semua ular yang ada di situ ghaib semuanya.

Bah Lanjut duduk kembali, dia terus meniup daun dengan sekuat hatinya. Seekor ular hitam, sebesar lengan kanan saya merayap keluar dari hutan di belakang kami.

Ular itu bergerak malas menuju ke arah Bah Lanjut. Ia berhenti betul-betul di depan Bah Lanjut. Ular itu panggungkan kepala di depan muka Bah Lanjut.

Kepala Bah Lanjut dan kepala ular itu kelihatan sama parasnya.

Ular hitam yang nampak berkilat di sinar matahari itu merebahkan badannya atas tanah seketika, kemudian panggung kepala lagi. Perbuatan itu dilakukannya sebanyak tiga kali berturut-turut.

Nada tiupan dari Bah Lanjut beransur perlahan, iramanya yang tadinya keras berubah pada nada irama yang agak sayu sedikit.

Ular hitam di hadapannya bergerak malas menuju ke arah pangkin, bergerak dengan bebasnya di atas tubuh kawan Zamri yang terkapar di situ. Ular itu berhenti betul-betul di bahagian dada kawan Zamri yang malang.

Ular panggung kepala Iagi ke arah Bah Lanjut, nada tiupan Bah Lanjut bertambah Iemah, ular hitam rebahkan kepala Ialu merayap ke celah peha kawan Zamri dan berhenti di situ.

Saya Iihat ular itu membenamkan kepalanya di bawah ikatan pada kawan Zamri, lama juga ular itu menghisap sesuatu di situ.

Bah Lanjut bangun, bunyi tiupan dari daun di celah mulut Bah Lanjut bertambah perlahan.

Ular hitam berpusing atas pangkin, kemudian turun ke tanah dengan gerak yang amat perlahan sekali.

Sebaik sahaja ular hitam itu sampai di hadapan Bah Lanjut, ular hitam itu sudah tidak bergerak Iagi.

Bah Lanjut menerkam ke arah kawan Zamri di atas pangkin, daun hutan yang di buat serunai dikelapkan dibahagian betis kawan Zamri yang di patuk ular itu. Bah Lanjut menepuk dada kawan Zamri.

Kawan Zamri di atas pangkin menggerakkan kaki dan tangan. Bah Lanjut menggamit kami datang ke arahnya.

"Dia dah sedar dari pengsan, bisanya dah dihisap oleh ular yang mematuknya," kata Bah Lanjut, kawan Zamri yang malang pun bangun. Dia turun dari pangkin.

Serentak dengan itu kereta dari Batu Tiga PuIuh Dua pun sampai dan orang Jerman yang mengetuai pekerja di situ datang ke arah kami, mukanya bengis, dia memaki Zamri dan kawan-kawannya kerana membawa pemuda yang kena patuk ular ke tempat lain tanpa memberitahunya.

Orang Jerman itu terkejut, bila dia melihat pemuda yang kena patuk uIar itu sudah boleh berdiri serta berjalan ke arahnya dan terus bersalam dengannya.

Orang Jerman memeluk datuk dan Bah Lanjut sebagai tanda mengucapkan ribuan terima kasih kerana berjaya menyelamatkan pekerjanya.

"Beri dia berehat duIu, petang esok saya datang lagi," kata Bah Lanjut pada Zamri.

Bah Lanjut mengambil bangkai ular hitam itu dan dibelitkannya ke leher.

"Buat apa?" tanya duduk penuh ragu.

"Mesti ditanam," jawabnya.

Datuk dan saya berpandangan.

"Ilmu inilah yang mahu saya tuntut dari awak," datuk menyatakan hasratnya.

"Boleh, tapi awak mesti tolong saya hancurkan lembaga hitam duIu."

"Saya cuba tok batin."

Kami pun meninggalkan kawasan pekerja hidro elektrik menuju kearah perkampungan orang asli.

Sebaik sahaja sampai di pondok, datuk terus duduk di atas tunggul buruk di hadapan pondok. Bah Lanjut terus pulang ke rumahnya.

Saya terus masuk ke dalam pondok merebahkan badan, kerana terlalu letih saya tertidur. Bila saya terjaga dari tidur, saya lihat datuk membincangkan sesuatu dengan Bah Lanjut. Saya segera mendapatkan mereka.

"Malam ini, kita tunggu lembaga hitam tu datang, esok kita pergi ke kampung lain dekat Kampung Raja di Tanah Rata," datuk memberitahu saya. Saya terdiam. Bah Lanjut renung muka saya.

"Di kampung orang darat sana, ada orang sakit kena sembur lembaga hitam," Bah Lanjut menerangkan kepada saya.

"Walaupun begitu, malam ini kita mesti berjaga kalau lembaga hitam itu datang," terang Bah Lanjut. Saya angguk kepala.

Tamat siri 18/284

BACA: SBDJ Siri 17: Bertarung Dengan Bomoh Orang Asli
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

5 Kitab Sihir Yang Pernah Wujud Di Dunia

5 Kitab Sihir Yang Pernah Wujud Di Dunia

Buku ilmu sihir sering disebut pada zaman moden sebagai "Grimoires", istilah yang awalnya hanya mengacu pada semua jenis buku yang ditulis dalam bahasa Latin, berasal dari kata "grammaire" bahasa Perancis Kuno, yang bererti "tata bahasa".

Kitab sihir
Gambar hiasan.

Ia kemudiannya dikaitkan dengan teks magik yang muncul dalam banyak budaya di seluruh dunia dan mencakup beragam topik misteri.

Seseorang dikatakan mampu mendapatkan kekuatan ghaib, mentera, petunjuk untuk membuat barang sakti, azimat atau artifak yang berisi sesuatu yang mistik.

Berikut adalah beberapa kitab atau buku tentang ilmu sihir yang pernah wujud di dunia.

1. Kitab Galdrabok

Kitab Galdrabok

Manuskrip ini menjadi kitab kuno yang ia dikenalpasti mula dicatat dan dikumpulkan sekitar tahun 1550-1650 Masihi.

Kitab ini kononnya berisikan 47 buah jenis mantera sihir yang dikumpulkan dari empat orang penyihir legenda Iceland.

Beberapa pakar yang mengkaji buku ini menyimpulkan bahawa isi Kitab Galdrabok terdiri dari pelbagai mantera sihir seperti mantera yang memberikan kesan positif dalam penyembuhan tubuh badan manusia, namun di sebalik itu, mantera di dalam buku ini juga terisi dengan mantera yang dicipta untuk tujuan jahat seperti membunuh.

Hanya tiga buah mantera sahaja yang dikenalpasti digunakan oleh ahli sihir sebagai resipi untuk membuat ‘potion’ atau untuk tujuan perubatan.

Lapan buah mantera dalam buku ini pula digunakan untuk mendapatkan kekuatan yang mampu mengalahkan manusia atau musuhnya sehingga ianya dikategorikan sebagai mantera yang mematikan.

Buku ini diterbitkan kepada umum buat pertama kali pada tahun 1921 oleh Adolf Natanael Lindqvist yang diterjemahkan ke dalam bahasa Sweden.

Edisi pertama terjemahan bahasa Inggeris pula diterjemahkan oleh Stephen Flower pada tahun 1989.

Pada tahun 1995, Stephen Flower mengeluarkan buku ini ke dalam edisi kedua dengan beberapa pembetulan tatabahasa disertai dengan nota.

Setiap mantera yang ada di dalam kitab ini berisikan pelbagai bait-bait ayat sihir bangsa yang menetap di Iceland sejak zaman dahulu.

2. The Black Pullet (La Poule Noire)

The Black Pullet

Kitab the Black Pullet ini menjadi kitab ilmu sihir yang cukup terkenal di kalangan bangsa Eropah kuno, khususnya di belahan negara Perancis.

Dikisahkan, buku ini mula ditulis oleh salah seorang tentera dari pasukan Napoleon Bonaparte yang ketika itu sedang menakluki Mesir.

Tentera ini tercedera dalam sebuah pertempuran lalu beliau diselamatkan oleh seorang lelaki misteri (berkemungkinan ahli sihir).

Lelaki misteri itu kemudiannya mengajar beliau cara-cara untuk menghasilkan azimat atau tangkal dari bahan seperti sutera dan besi serta seni ilmu hitam Kabbalah melalui sebuah manuskrip sihir Mesir kuno yang diambil dari perpustakaan Alexandria ketika era Ptolemy I.

Ilmu sihir lelaki misteri tersebut dicatatkan kembali oleh tentera ini dan dikumpulkan di dalam buku yang dikenali sebagai La Poule Noire.

Mengikut pelbagai sumber, buku ini mengandungi 22 cara untuk menghasilkan azimat ke dalam bentuk cincin ataupun tangkal yang masing-masing memberi keistimewaan kepada pemakainya.

3. Kitab Picatrix (Ghayat al-Hakim)

Kitab Picatrix

Picatrix yang kebanyakannya menerangkan tentang ilmu astrologi, sebenarnya terkenal sebagai sebuah buku yang menjelaskan teori pembentukan alam semesta atau dikenali sebagai teori kosmologi.

Kitab aslinya dalam bahasa Arab bertajuk Ghayat al-Hakim ini ditulis pada pertengahan abad ke-11.

Jika nama ini diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris ianya berbunyi, ‘The Aim of the Sage’ atau ‘The Goal of the Wise’.

Buku ini awalnya diterjemahkan ke dalam bahasa Sepanyol sebelum diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada tahun 1256 Masihi oleh seseorang untuk dihadiahkan kepada Raja Alfonso the Wise dengan menyandang nama sebagai buku ‘Picatrix’.

Buku ini mengumpulkan koleksi pelbagai manuskrip kuno ilmu sihir yang digunakan secara meluas pada abad ke sembilan dan kesepuluh sebelum Masihi.

Pacitrix dibahagikan kepada empat buah bahagian utama iaitu Book I, Book II, Book III dan Book IV, yang mana setiap bahagiannya mempunyai pelbagai cabang ilmu sihir melalui 55 buah sihir astrologi, 22 buah kebaikan azimat, cara membuat ‘potion’ cinta, mencari harta karun, menyuburkan hasil tanaman dan lain-lain lagi.

Namun, beberapa orang percaya buku Picatrix adalah sebuah kitab ilmu sihir yang mengajar pembacanya untuk mendapatkan kekuatan sihir dengan mengetahui melalui penyelarasan kitaran bulan, waktu dan tata atur tertentu dari beberapa planet yang terdapat di dalam sistem suria.

Salah satu ajaran ataupun ilmu sihir yang didapati di dalam buku ini melalui terjemahan John Michael Greer adalah,

“Ambil empat gram darah anjing hitam, dua gram darah babi beserta otaknya dan satu gram otak keldai. Campurkan kesemua bahan tersebut sehingga hancur. Jadikan ia sebagai minuman dan berikan minuman ini kepada mangsa. Mangsa yang meminum minuman ini akan membenci kamu seumur hidup.”

4. Kitab Abramelin

Kitab Abramelin

Kitab Abramelin atau lebih dikenali dengan nama ‘The Book of Abramelin’ juga diyakini sebagai kitab yang mengajarkan tentang ilmu sihir.

Kitab ini diawali dengan sebuah kisah yang menceritakan seorang ahli sihir Mesir bernama Abra-Melin atau lebih dikenali sebagai Abramelin.

Namanya menyamai dengan nama ahli sihir mitos ‘Merlin’.

Abramelin digambarkan sebagai sosok yang zuhud, tidak terpengaruh kepada harta duniawi. Hanya hidup beribadah kepada Tuhannya.

Sekitar tahun 1362 M – 1458 M.

Abramelin merupakan seorang ahli sihir semi-mitos yang terkenal mengajarkan ilmu sihir Kabbalah ke atas masyarakat Mesir dan segala mantera sihirnya ini dimuatkan ke dalam bukunya yang bertajuk ‘The Book of Abramelin’.

Abramelin dikenal pasti tinggal di padang pasir luar wilayah Arachi (sebuah kota kuno Tamadun Mesir yang berhampiran dengan sungai Nil).

Abramelin mempunyai seorang anak murid bernama Abraham the Worm dan beliau memberikan dua buah manuskrip sihir iaitu ‘Divine Science’ dan ‘True Magic’ kepada anak muridnya ini setelah Abraham mengikat janji setia untuk mengubah hidupnya kepada seorang yang warak dan menyembah ajaran Tuhan Abramelin ‘The Way and Law of the Lord’.

Dua buah manuskrip ini hanya diberikan kepada orang yang dipercayainya sahaja.

Pengamal sihir ajaran Abramelin harus melakukan sebuah ritual misteri seperti bertemu dengan malaikat penjaga untuk mendapatkan ilmu sihir secara langsung dan kuat.

Buku ini dipercayai terisi dengan ajaran-ajaran untuk mengawal kekuatan iblis dan membuatnya menuruti semua perintah ahli sihir, menemui harta karun, terbang di langit, menjadi halimunan dan kemampuan-kemampuan lainnya yang tidak terjangkau akal manusia.

Buku ini akhirnya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Samuel Liddell MacGregor Mathers di bawah tajuk ‘The Book of Abramelin the Mage’ pada tahun 1898 yang dibahagikan kepada tiga buah fasa iaitu Book I mengandungi 12 tajuk, Book II pula mengandungi 20 tajuk dan terakhir Book III mengandungi 30 tajuk kesemuanya.

5. Kitab Luratus Honori (Liber Juratus)

Kitab Luratus Honori

Kitab yang ditulis oleh ahli sihir bernama Liber Juratus Honorii ini diyakini sebagai buku petunjuk ilmu sihir yang paling dahsyat pada abad pertengahan.

Ini kerana segala isi di dalam buku ini menjelaskan cara-cara untuk mendapatkan ilmu sihir yang mengerikan.

Menurut sumber, isi kitab yang juga dikenali dengan nama ‘The Sworm Book of Honorius’ ini mengajarkan cara menyeru iblis, malaikat atau roh untuk berdamping dengan ahli sihir bagi mendapatkan kemampuan tertentu seperti meramal masa hadapan seperti tukang tilik (fortune teller).

Buku ini diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan Latin dengan pelbagai versi seperti:
  • The Sworn Book of Honorius: Liber Iuratus Honorii oleh Joseph H. Peterson.
  • The Sworn Book of Honourius the Magician oleh Daniel Driscoll.
  • Liber Iuratus Honorii: A Critical Edition of the Latin Version of the Sworn Book of Honorius oleh Gosta Hedegård.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Sejarah Khatan Perempuan, Antara Budaya Dan Agama

Sejarah Khatan Perempuan, Antara Budaya Dan Agama

Khitan (khatan) perempuan atau khafzh bukanlah suatu perbincangan yang baru dalam wacana keislaman, bahkan amalan khafzh telah dilakukan sebelum kedatangan Islam lagi sebagai satu bentuk tradisi masyarakat kuno.

Khatan perempuan

Artikel ini adalah merujuk kepada kenyataan oleh The International Women’s Alliance For Family Institution And Quality Education (Wafiq) yang bertajuk “No basis for banning female circumcision”.

Dalam kenyataannya, Wafiq menyatakan bahawa terdapat perbezaan yang besar antara female genitalia mutilation (FGM) dan khitan perempuan sebagaimana yang dipraktikan di Malaysia menurut pendapat Mazhab Syafie.

World Health Organization (WHO) mendifinisikan FGM seperti berikut –“... (FGM) comprises all procedures that involved partial or total removal of the external female genitalia, or other injury to the female genital organs for non-medical reasons.”

Manakala khitan perempuan, sebagaimana yang dinyatakan dalam Kitab Nihayah Al Zain Fi Irsyad Al Mubtadiin salah satu rujukan fikah di Nusantara adalah – “...dan (khitan) untuk perempuan adalah dengan memotong sebahagian dari daging yang berada paling atas faraj (vagina), tepatnya di atas tempat keluarnya air kencing yang bentuknya seperti balung ayam, dan daging tersebut dinamakan bizhir...”

Al Mawardi dalam Tuhfah Al Mauduud Bi Ahkami Al Mauluud , menyatakan –”...mengkhitankan perempuan adalah dengan memotong kulit yang berada di atas faraj (vagina), iaitu tempat masuknya zakar dan keluarnya air kencing yang bentuknya seperti balung ayam. Bahagian yang wajib dipotong adalah kulit yang timbul ke atas dan bukan keseluruhan daging…”

Sayyid Sabiq dalam Fiqh Al Sunnah turut menyatakan bahawa khitan perempuan adalah dengan memotong bahagian teratas dari faraj (vagina) dan tindakan itu adalah sunnah qadimah (tradisi yang dilakukan oleh orang terdahulu).

Secara umum, khitan perempuan adalah dengan memotong sebahagian kulit yang menutupi klitoris pada vagina.

Definisi ini sama dengan definisi FGM yang diberikan oleh WHO, bahkan ia tergolong dalam Type 4 FGM- “This includes all harmful procedures to the female genitalia for non-medical purposes, e.g. pricking, piercing, incising, scraping and cauterizing the genital area.”

Maka, penegasan Wafiq bahawa terdapat perbezaan besar antara FGM dan khitan perempuan menurut Mazhab Syafie adalah tidak berasas.

Khitan perempuan: Antara budaya dan agama

Secara umum, terdapat perbezaan pendapat di kalangan sarjana Islam berkenaan dengan hukum khitan perempuan.

Dr Wahbah Zuhaili dalam Al Fiqh Al Islam Wa Adillatuhu menyatakan - khitan untuk lelaki berdasarkan mazhab Hanafi dan Maliki hukumnya sunat mu’akkad dan bagi perempuan adalah sunat makrumah (kemuliaan).

Manakala menurut Imam Syafie, khitan adalah wajib bagi lelaki dan perempuan, sedangkan menurut Imam Ahmad, khitan wajib bagi lelaki dan makrumah (kemuliaan) bagi perempuan yang biasanya dilakukan di negeri-negeri yang beriklim panas.

Ibn Hajar Al Asqalani dalam Fath Al Bari Bi Syarh Sahih Al Bukhari sewaktu mengulas tentang hukum khitan perempuan menyatakan bahawa dalam Mazhab Syafie walaupun majoriti ulama menyatakan kewajipan khitan kepada perempuan, ada juga di kalangan ulama yang menyatakan kewajipan tersebut hanya berlaku sekiranya klitoris perempuan tersebut terlalu menonjol, beliau memberikan contoh perempuan-perempuan yang tinggal di daerah timur.

Beliau juga menyatakan terdapat juga sebahagian ulama Mazhab Syafie yang tidak mewajibkan khitan kepada perempuan.

Kenapakah ulama berbeza pendapat tentang hukum khitan perempuan?

Pertama, khitan perempuan tidak pernah disebutkan di dalam al-Quran justeru, kenyataan Wafiq yang menyatakan, “The Quran, however, does not condemn female circumcision as long as it does not compromise the health of the female” merupakan kenyataan yang keliru dan tidak berasas.

Kedua, hukum khitan perempuan hanyalah ijtihad ulama berdasarkan sandaran beberapa hadith yang statusnya masih menimbulkan perdebatan di kalangan ulama.

Sekiranya diteliti hadith-hadith yang menjadi sandaran para ulama yang mewajibkan khitan perempuan, kebanyakan berstatus dhaif, misalnya hadith yang dirujuk oleh Wafiq –“Khitanlah dan jangan berlebih-lebihan kerana yang demikian itu akan mencantikkan wajah dan menyenangkan suaminya”.

Hadith ini dikeluarkan oleh Abu Dawud dalam Sunannya dan di dhaifkan oleh Abu Dawud sendiri dan di dhaifkan oleh ulama hadith kontemporari, Shuib Al Arnauth.

Al Syawkani dalam Nailul Authar sewaktu mengulas tentang hadith-hadith berkenaan dengan berkhitan menyatakan –“Yang benar adalah, tidak terdapat dasar hukum yang sahih yang menunjukkan kewajipan khitan. Hukum yang boleh diyakini adalah sunnah berdasarkan hadith fitrah dan hukum ini dipegang sehingga ada sesuatu yang mengubahnya…”

Dr Yusuf Al Qaradawi dalam Fatawa Mu’ashirah menyatakan tidak ada satu pun dalil yang sahih dan sareh (jelas) daripada Al Quran, Sunnah, Ijma’ atau Qiyas yang mewajibkan atau menganggap sunnah untuk khitan perempuan.

Walaupun Qaradawi sendiri memilih pendapat yang membolehkan (jawaz) tetapi tidaklah sehingga menganjurkan (istihbab) praktik tersebut atau mewajibkannya.

Pendapat yang hampir sama turut disuarakan oleh Mahmoud Syaltut dalam Al Fatawa menyatakan bahawa persoalan khitan, tidak ada kena-mengena dengan teks-teks agama kerana tidak ada satu hadith sahih pun yang membicarakan tentangnya.

Alasan yang dikemukakan oleh para ulama yang mewajibkan khitan adalah sangat lemah.

Bahkan Mahmud Syaltut menggunakan kaedah fikah – “mencederakan/menyakiti orang yang masih hidup bukanlah sebahagian daripada Syariah, kecuali jika mendatangkan kemaslahatan kepadanya.”

Soalan yang wajar kita tanyakan, apakah maslahatnya khitan kepada perempuan?

Wafiq dalam kenyataannya menyatakan –“ As to the question of should there be scientifically proven medical benefits to validate religious practices, it must be emphasised that the rulings of Islam-the obligation to perform prayer, fasting and circumcisions and others-were ordained to Muslim 1,400 years ago as part of our faith. We had never known the medical benefits of many of these practices before modern sciences comes yet they were religiously observed by the faithful. Thus, medical benefits are not the prerequisite to maintaining a religious practice."

Khitan perempuan tidak boleh dibezakan dengan kewajipan solat, puasa, haji dan zakat kerana tuntutan ibadah ini disokong oleh dalil-dalil yang sahih dan sareh dari Al Quran dan Hadith.

Adakah ulama berbeza pendapat tentang fardhunya solat? Atau adakah khilaf tentang puasa Ramadhan sebagaimana khilafnya ulama dalam masalah khitan perempuan?

Bahkan, amalan khitan perempuan telah wujud sejak 4,000 tahun yang lampau sebelum disyariatkan Islam.

Di kalangan orang Rom, hamba perempuan dikhitankan untuk menaikkan harga jualannya, begitu juga perempuan Mesir dikhitankan untuk menunjukkan status sosial seorang perempuan.

Boleh jadi juga, penerusan amalan tradisi khitan perempuan yang tidak terkawal dan menzalimi perempuan menyebabkan Rasulullah menasihatkan orang yang mengkhitan, sebagaimana yang direkodkan di dalam hadith–“Khitanlah dan jangan berlebih-lebihan…”

Antara ulama yang mengkritik pelaksanaan khitan perempuan adalah Rashid Ridha dalam Al Manar (1904), Hussein Mohammad Makhlouf, Mahmoud Syaltut (1959), Sheikh Sayyid Tantawi dalam fatwanya pada tahun 1996 dan Darul Ifta Al Masriyah (2006).

Khitan perempuan dan ketidakadilan gender

Khatan perempuan

Dalam kenyataannya juga Wafiq menyatakan –“We also respectfully disagree with claims that FC perpetuates a ‘harmful ideology’ that women were not equal to men. There is simply no evidence to back this up.”

Tidak dapat dinafikan antara ‘hikmah’ khitan perempuan menurut kebanyakan ulama, kononnya untuk menjinakkan syahwat dan memelihara maruah.

Ibn Taymiyah dalam Majmu’ Al Fatawa menyatakan –“…tujuan dari khitan lelaki adalah membersihkan najis yang tidak dapat keluar dari penis, sementara tujuan dari khitan perempuan adalah untuk menyeimbangkan syahwatnya.

Kerana kalau dia belum dikhitan, maka syahwatnya akan kuat, sehingga dikatakan kepada perempuan yang belum berkhitan –‘Wahai perempuan yang belum berkhitan, sesungguhnya perempuan yang belum berkhitan itu sering mencari lelaki (untuk memuaskan nafsu syahwatnya).

Kerana itu didapati kefasikan di kalangan perempuan Tartar dan wanita berkulit gelap lebih banyak dibandingkan dengan perempuan Muslimah (Arab).

"Jika kamu berlebihan memotongnya, maka nafsunya akan melemah, sehingga tidak sempurna keinginan suaminya. Jika tidak dipotong berlebihan, maka syahwatnya akan seimbang…”

Ternyata, ‘hikmah’ dari amalan khitan perempuan adalah untuk menyeimbangkan nafsu perempuan agar tidak menjadi ‘jalang’.

Ramai yang mungkin tertanya-tanya adakah dalam Islam, sifat asal kejadian seorang perempuan itu- ‘jalang’ dan sumber kemaksiatan sehingga harus “disyariatkan” dengan khitan untuk menyembuhkan ‘kejalangan’ dan menutup sumber kemaksiatan?

Inilah racun-racun patriakhi yang sudah melacurkan syariat dengan tafsiran-tafsiran misigonis terhadap perempuan.

Khitan perempuan dan kebijakan pemerintah

Setakat ini di Malaysia, belum ada lagi undang-undang yang mewajibkan perempuan Muslim untuk berkhitan.

Persoalan khitan perempuan juga, bukanlah satu perkara ’rukun’ dalam ajaran Islam sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual ke-9, Senarai Negeri, Perenggan Pertama Perlembagaan Persekutuan yang sekiranya tidak dilaksanakan menyebabkan ketidaksempurnaan keislaman seseorang perempuan.

Oleh yang demikian, kemaslahatan dari khitan perempuan adalah urusan Kerajaan Persekutuan, secara khususnya Kementerian Wanita Dan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan.

Sekiranya praktik khitan perempuan ini tidak mendatangkan sebarang faedah kepada kesihatan perempuan dan boleh membahayakan kesihatan reproduksi perempuan maka Kerajaan Persekutuan melalui undang-undang persekutuan mengharamkan praktik khitan perempuan secara total.

Ini bersesuaian sekali dengan kaedah fikah– “Kebijakan (polisi/undang-undang) yang dibuat oleh seorang pemimpin terhadap rakyatnya bergantung kepada kemaslahatan.”

Wallahu a’lam.

BACA INI JUGA:

sumber: mk

Orang Yang Suka Bersedekah Dikenali Malaikat

Orang Yang Suka Bersedekah Dikenali Malaikat

Apabila nama terpahat di langit, kita akan dicintai para penghuninya. Kenyataan ini seakan-akan mustahil dicapai kerana kita sebagai penghuni bumi tak mampu tinggal di langit. Bahkan langit terus kekal misteri kepada manusia.

Kelebihan Sedekah

Sebenarnya tiada yang mustahil jika kita mendalami agama. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW menyebut kisah seorang hamba yang dicintai Allah dan makhluk langit.

Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah bersabda, “Apabila Allah SWT cintakan seorang hamba, Dia akan memanggil Jibril dan berkata sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka hendaklah kamu mencintainya. Maka Jibril cintakan si fulan itu.

"Kemudian Jibril menyeru malaikat di langit dengan katanya ‘sesungguhnya Allah mencintai si fulan itu, maka hendaklah kamu semua mencintainya.

"Maka seluruh penghuni langit akan mencintainya. Lalu dijadikan rasa penerimaan (cinta kepada si fulan itu) kepada penghuni bumi." - Sahih Bukhari dan Muslim.

Inilah yang disebut Allah dalam firman-Nya, “Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai (termasuk makhluk langit) perasaan kasih sayang.” (Maryam [19:96]).

Subhanallah! Jika dikhabarkan ada orang besar lagi hebat bertanya khabar, pasti anda tersenyum bangga. Kembang kuncup hidung. Tidur malam dengan senyum simpul membawa mimpi indah.

Itu baru pertanyaan seorang manusia. Bayangkan bagaimana pula perasaan jika Allah dan makhluk langit yang bertanya khabar atau menyebut nama anda!

HEBATNYA AMALAN BERSEDEKAH

1. Kisah nama manusia di bumi disanjung makhluk langit pernah diceritakan Rasulullah SAW dalam sabdanya.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan Nabi SAW pernah bersabda, “(Pada suatu hari) ketika seorang lelaki berada di sebuah tanah lapang yang sunyi, dia terdengar satu suara dari awan, “Siramlah air (hujan) kepada kebun si fulan itu!”

"Awan itu pun bergerak lalu mencurahkan airnya pada sebidang tanah yang berbatu hitam.

"Saluran air pada tanah tersebut kemudiannya menampung semua curahan air hujan (dan mengalirkannya ke suatu arah).

"Lelaki itu pun mengikuti air itu dan menemui seorang petani yang berdiri di kebunnya sedang mengubah aliran air dengan cangkulnya.

"Lelaki itu bertanya, “Wahai hamba Allah, siapa namamu?” Petani itu menjawab, “Nama saya fulan” iaitu nama yang baru didengarnya dari angkasa.

Si petani bertanya kepadanya, “Wahai hamba Allah, mengapa anda tanyakan nama saya?”

Kata lelaki itu, “Sebenarnya, sekejap tadi saya dengar satu suara dari awan yang baru menurunkan air ini.

Suara itu berkata, “Siramilah air pada kebun si fulan!” menyebut nama anda. Apa yang anda buat dengan kebun ini?”

Petani itu berkata, “Baiklah, kalau anda katakan begitu. Sebenarnya, saya selalu perhatikan apa yang keluar dari kebun ini, lalu saya sedekahkan 1/3 daripadanya, 1/3 berikutnya saya makan bersama keluarga saya, dan 1/3 lagi saya kembalikan (untuk modal cucuk tanam).” - Sahih Muslim.

Berdasarkan hadis itu, amalan yang disukai malaikat di langit adalah sedekah! Pemilik kebun itu dikenali para malaikat kerana sedekahnya.

2. Dalam hadis lain, orang yang kuat sedekah turut mendapat doa para malaikat.

Sabda Rasulullah SAW: Abu Hurairah r.a. menyebut bahawa Nabi SAW bersabda, “Tiada suatu pagi (hari) pun yang dilalui seorang hamba melainkan akan ada dua malaikat turun dan berdoa, “Ya Allah! Berikan kepada pemberi sedekah ganti (sedekahnya), manakala malaikat satu lagi berdoa, “Ya Allah! Berikan kepada orang yang menahan (sedekah dan kedekut) kemusnahan.” - Sahih Bukhari dan Muslim.

3. Bahkan pada Ramadan, Jibril lebih banyak menemui Rasulullah SAW. Berikutan lawatan lebih masa Jibril itu, Baginda menjadi seorang yang sangat pemurah bersedekah pada bulan berkenaan, seolah-olah Baginda mahu menggembirakan Jibril yang sangat suka kepada sifat suka bersedekah:

“Nabi SAW adalah orang yang paling pemurah (melakukan kebaikan). Baginda jadi tambah pemurah pada bulan Ramadan ketika Jibril datang bertemu dengannya pada setiap malam. Jibril mengulang kaji al-Quran dengan Nabi pada Ramadan. Baginda benar-benar pemurah (pada bulan Ramadan) seperti angin yang bertiup kencang.” - Sahih Bukhari.

4. Selain dicintai para malaikat, faedah sedekah tak terkira banyaknya. Dalam satu ayat Allah menyebut ia menjadi sesalan sesetengah orang setelah mereka mati kelak sehingga ada yang mahu ditangguhkan mati agar diberi peluang kedua untuk lebih banyak bersedekah.

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya, “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku jadi daripada orang yang soleh.” (al-Munafiqun [63.10]).

5. Allah SWT berfirman, “Katakanlah (wahai Muhammad), “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya antara hamba-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik pemberi rezeki." (Saba’ [34:39]).

Benar sekali firman Allah ini, sedekah pasti berganti dan gantiannya pula sangat luas.

Ada pahala, ada syurga, ada limpahan rezeki, ada kesihatan, ada keberkatan hidup, ada nama yang harum pada manusia dan ada pula rasa cinta para malaikat kepada kita.

Apabila kita dicintai para malaikat, hidup kita semakin indah dan berkat kerana doa mereka.

Oleh itu, marilah kita sama-sama menyemarakkan budaya sedekah agar kita sentiasa mendapat rahmat Allah dan dikenali oleh para malaikat. Amin!

Sedekah pasti berganti dan gantiannya pula sangat luas.

Marilah bersama-sama menyemarakkan budaya bersedekah agar sentiasa mendapat rahmat Allah dan dikenali para malaikat. Amin!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Thursday, January 31, 2019

Cinta Laura Kecewakan Rakyat Indonesia

Cinta Laura Kecewakan Rakyat Indonesia

Kebelakangan ini, dia menjadi bualan hangat dalam dunia maya selepas warganet Indonesia mula mencanangkan namanya sebagai calon Ratu Cantik Dunia tahun 2020. Semuanya kerana aktres dan model berdarah kacukan Jerman-Indonesia ini pada awalnya didesak oleh peminat untuk menyertai pertandingan Puteri Indonesia 2019.

Cinta Laura

Pemenang pertandingan itu nanti secara automatik akan mewakili negara ke pertandingan Ratu Cantik Dunia tahun tersebut.

Tidak mahu terus dihujani dengan pertanyaan apatah lagi membiarkan peminat meletak harapan terhadapnya, Cinta memberi respons menerusi video secara langsung dalam satu aplikasi.

“Malangnya, saya tidak akan menyertai pertandingan Puteri Indonesia untuk mewakili kamu semua pada pertandingan ratu cantik tahun ini. Bukan saya tidak mahu malah saya sangat menghargai sokongan dan keyakinan kamu semua terhadap saya.

“Tetapi perkara ini sangat tiba-tiba dan saya tidak boleh membatalkan beberapa kontrak saya. Bulan Februari saya akan ke Sweden untuk menjalani proses rakaman lagu.

“Puteri Indonesia bakal mengubah peraturan mulai tahun depan iaitu peserta berumur 28 tahun ke bawah layak menyertai pertandingan. Jangan sedih kerana ada harapan, mungkin tahun depan saya masih mendapat sokongan kamu semua untuk menyertai pertandingan,” jawabnya.

Justeru ramai peminat kembali berharap agar Cinta menyahut cabaran pertandingan itu nanti seterusnya bakal menjadi kebanggaan dan mara ke pentas ratu cantik dunia, tahun hadapan.

Bintang genius

Cinta sememangnya menjadi kebanggaan ramai peminat. Bukan saja memiliki paras rupa yang cantik malah bintang berusia 25 tahun ini bijak dalam pelajaran.

Dia menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda jurusan Psikologi dan Sastera Jerman di Columbia University, New York dengan kepujian.

Dia juga pernah ditawarkan biasiswa melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Oxford dan Universiti Cambridge. Namun buat masa ini dia memilih menangguhkan pengajiannya kerana mahu fokus pada kerjaya.

Pun begitu, anak kepada pasangan Michael Kiehl, seorang Pengurus Hotel Hyatt dan peguam terkenal Herdiana Soekarseno ini sering dianggap tidak pandai bertutur bahasa Indonesia dengan baik kerana pelat bahasa Inggeris terlalu pekat.

Ramai netizen mengejek gaya pertuturan Cinta dengan cara meniru berulang kali percakapan gadis kelahiran Quakenbrück, Jerman ini.

Namun Cinta tidak lupa tentang budaya dan keunikan negaranya. Walaupun dia berpenampilan seksi, dia kerap memilih memakai busana batik atau kebaya ketat ketika hadir di acara hiburan luar negara dan di Hollywood.

Secara tidak langsung dia tidak malu untuk memperkenalkan Indonesia di mata dunia.

‘Mangsa’ persepsi

Bekerja di Hollywood, Cinta bermastautin di Los Angeles Amerika Syarikat sejak 2011. Setahun selepas itu dia mendapat peluang bekerjasama dengan pemuzik di sana dan merakamkan dua lagu berjudul Boomerang dan Playlist.

Cinta pernah membintangi filem The Philosopers ‘After The Dark’ arahan sutradara bernama John Huddles. Pelakon yang juga popular menerusi sinetron Upik Abu dan Laura ini pernah menghadiri uji bakat filem pecah panggung Star Wars dan Tron, namun gagal.

Terdahulu dia juga pernah mendapat peluang keemasan menemubual pelakon utama filem francais terhangat, The Avengers seperti Chris Hemwsworth, Chris Evans, Scarlett Johansson dan Robert Downey Jr.

Namun keterujaan bertemu dengan pelakon kelas A antarabangsa ketika itu nyaris terbantut dek satu hal yang tidak disangka-sangka.

Rupa-rupanya Robert Downey Jr. enggan ditemu bual oleh Cinta kerana Iron Man itu kurang percaya kemampuan Cinta bertutur dalam bahasa Inggeris disebabkan dia orang Indonesia.

Tidak berputus asa dengan persepsi yang dilemparkan terhadap dirinya, Cinta mengajak aktor berprofil tinggi itu berbual. Hasilnya Robert Downey Jr. kagum dengan Cinta dan akhirnya mahu meneruskan sesi temu bual.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Anak Ada Simpanan Lebih RM13,968 Wajib Bayar Zakat

Anak Ada Simpanan Lebih RM13,968 Wajib Bayar Zakat

Setiap kanak-kanak yang mempunyai simpanan melebihi nisab yang ditetapkan wajib menunaikan zakat sama ada melalui ibu bapa mahupun penjaga namun, masih ramai dalam kalangan masyarakat kurang kesedaran mengenai perkara tersebut kerana hanya mengetahui beberapa jenis zakat sahaja.

Zakat simpanan

Kebanyakan daripada mereka membuat tanggapan hanya zakat tertentu sahaja wajib ditunaikan sedangkan anak-anak mereka yang mempunyai simpanan melebihi nilai nisab juga perlu membayar zakat mengikut kadar 2.5 peratus.

Misalnya, pada tahun 2019 ini, pusat zakat menetapkan nilai nisab RM13,968.

Sekiranya simpanan anak-anak tidak melebihi nilai tersebut, maka tidak perlu membayar zakat simpanan mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan