Sunday, December 17, 2017

Kebaikan Dan Manfaat Berkhatan Untuk Kesihatan


Berkhatan adalah memotong kulup iaitu kulit pada hujung kemaluan lelaki dan daripada sudut sejarah, sesetengah ulama berpendapat bahawa berkhatan bermula dengan Nabi Adam dan ada juga yang berpendapat manusia pertama yang berkhatan ialah Nabi Ibrahim.

Kebaikan Dan Manfaat Berkhatan Untuk Kesihatan

Yang pasti, berkhatan telah diamalkan sejak ribuan tahun lalu kerana wujud ukiran pada piramid di Mesir.

Berkhatan ialah amalan yang disyariatkan dan amat dituntut dalam Islam dan ia menjadi amalan para nabi.

Dalam Mazhab Syafie, hukum berkhatan adalah wajib, bagi lelaki dan juga perempuan manakala bagi Mazhab Hanafi, berkhatan hukumnya sunat bagi kedua-dua lelaki dan perempuan.

Dalam Mazhab Hambali pula, Imam Ahmad berpandangan ia hanya wajib bagi lelaki dan sunat ke atas perempuan.

Wajib bermaksud jika dilakukan mendapat pahala dan sekiranya tidak dilakukan, mendapat dosa. Sunat pula bermaksud bila dilakukan mendapat pahala tetapi tidaklah berdosa sekiranya ditinggalkan.

Dalam budaya masyarakat Arab dan Yahudi, berkhatan dilakukan ketika bayi lagi. Bagi masyarakat Melayu pula, ia biasanya dilakukan sewaktu kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun.

Kebanyakan ulama berpendapat khatan wajar dilakukan ketika budak lelaki meningkat umur baligh agar mereka bersih daripada najis dan kekotoran sebelum mengerjakan solat lima waktu.

Daripada segi kesihatan, berkhatan dapat menjamin kebersihan dan kesucian. Apabila tidak berkhatan, kotoran akan terkumpul di antara kulup dan kepala zakar.

Kotoran yang dipanggil ‘smegma’ ini boleh menyebabkan jangkitan kuman. Kajian sains yang telah dijalankan membuktikan amalan berkhatan mempunyai banyak faedah untuk kesihatan.

Mencegah Penyakit Berbahaya

Antaranya, kadar kanser prostat didapati jauh lebih rendah dalam komuniti yang mengamalkan berkhatan seperti Muslim dan Yahudi. Ia juga mampu mengurangkan risiko kanser serviks (pangkal rahim) kepada wanita.

Telah dibuktikan bahawa kuman yang dinamakan Human Papilloma Virus (HPV) adalah antara pencetus kanser serviks.

Kuman ini didapati berlindung di bawah kulit hujung zakar dan dipindahkan kepada wanita semasa persetubuhan.

Kajian terbaharu juga menunjukkan kadar penyakit kelamin, khususnya sifilis, adalah rendah dalam kalangan lelaki yang berkhatan.

Berdasarkan kajian Cochrane Meta Analysis di Afrika pada 2007, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mencadangkan galakan amalan berkhatan sebagai salah satu cara atau program mencegah HIV.

Hasil kajian tersebut menunjukkan berkhatan boleh mengurangkan risiko jangkitan HIV dalam kalangan lelaki yang aktif secara seksual dari 38 hingga 66 peratus dalam tempoh 24 bulan.

Kajian lain membuktikan bahawa bayi yang berkhatan mempunyai risiko jangkitan kuman pada salur kencing 10 kali lebih rendah berbanding bayi yang tidak berkhatan.

Jangkitan kuman salur kencing adalah serius. Tanpa rawatan segera, ia akan merosakkan fungsi buah pinggang dan mengakibatkan kuman tersebar ke seluruh tisu badan.

Kesimpulannya, berkhatan amat digalakkan kerana terdapat pelbagai kebaikan yang telah dibuktikan melalui kajian saintifik.

Jelas sekali hikmah berkhatan sangat luas dan besar, tidak terhad kepada aspek fizikal individu semata-mata. Maka, ia seharusnya dimanfaatkan oleh setiap lapisan masyarakat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Amalan Terbalik Masyarakat Malaysia

sumber: sinarharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon