Monday, February 17, 2020

Bahaya Aksi 'Tripping Jump Challenge' Boleh Menyebabkan Kematian!

Bahaya Aksi 'Tripping Jump Challenge' Boleh Menyebabkan Kematian!

Ketika ini, satu lagi cabaran baharu yang sedang popular di seluruh dunia sedang hangat diperkatakan, bukan kerana keseronokan mencuba 'tripping jump challenge', sebaliknya kerana ia boleh menyebabkan kematian.

Bahaya Tripping Jump Challenge

Dalam cabaran tripping jump challenge ini, kesudahan aksi boleh meragut nyawa mereka yang mencubanya.

Jadi, apa sebenarnya tripping jump challenge ini sehingga dianggap berbahaya kerana boleh mendatangkan kecederaan serius?

Menerusi perkongsian video di laman sosial, kelihatan tiga orang berdiri sederet akan melompat tinggi serentak, kemudian dua orang rakan yang berada di kiri dan kanan, akan menyepak kaki rakan mereka yang berada ditengah-tengah.

Sepakan dua rakan itu pada bahagian belakang buku lali akan menyebabkan dia terjatuh lantas kepala terhentak di lantai.

Dalam pelbagai versi cabaran yang dilakukan, individu yang berdiri di tengah itu mungkin sudah mengetahui bahawa dia perlu mengelak sepakan rakan di sebelahnya.

Ada juga versi 'prank' di mana individu di bahagian tengah tidak tahu niat rakan untuk menyepak kakinya.

Lebih malang, ada yang turut berkongsi pengalaman di mana kepalanya terjatuh ke lantai konkrit di sebuah taman permainan.

Berdasarkan pengamatan melalui video-video yang sedang tular di media sosial, terdapat beberapa risiko yang boleh berlaku kepada individu yang melakukan cabaran itu.

Risiko paling ketara, ia boleh menyebabkan hentakan di bahagian kepala dan sekali gus boleh menyebabkan kecederaan serius kepada otak.

Jika terkena impak yang besar, ia boleh menyebabkan kematian otak atau 'brain dead' kerana jika dilihat video cabaran itu, individu akan terjatuh secara mengejut.

Selain itu, bahagian tengkuk juga boleh tercedera yang akan menyebabkan kecederaan pada tulang serviks yang boleh menyebabkan, bukan sahaja maut malah lumpuh seperti strok.

Risiko lain, ia boleh menyebabkan kecederaan belakang yang kronik, cedera pada otot, serta kecederaan pada organ dalaman.

Ibu bapa dan guru sekolah diingatkan agar memantau aktiviti ini dan mereka perlu mengambil perkara yang perlu untuk menghalangnya dari dilakukan.

Ini kerana, tripping jump challenge boleh menyebabkan kecacatan kekal, yang akan memberi kesan buruk kepada masa hadapan.

Kepada ibu bapa dan guru-guru di sekolah, sila awasi anak-anak anda supaya tidak tidak terjebak dengan cabaran viral ini.

Perlu diingatkan bahawa, kesan aktiviti tripping jump challenge boleh menyusahkan ramai pihak dan mereka perlulah berfikir seribu kali sebelum memilih untuk melakukannya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:


sumber: astroawani

Video Penampakan Cahaya Misteri UFO Di Johor Bahru!

Video Penampakan Cahaya Misteri UFO Di Johor Bahru!

Sebuah video rakaman objek tidak dikenali (UFO) yang meluncur seakan-akan bebola api yang sangat besar dipercayai di langit Johor Bahru, berjaya dirakam menerusi dashboard cam sebuah kenderaan dilihat melintasi langit negeri itu.

Cahaya misteri Johor Bahru

Objek UFO berbentuk bebola api tersebut dilihat bergerak laju sebelum meletup dan hilang sekelip mata.

Video berdurasi selama 13 saat dirakam pada jam 5 pagi pada Rabu (12/2/2020), kemudian dimuat naik di Facebook All Singapura Stuff sebelum tular di laman sosial.

Ada netizen mendakwa mereka juga melihat objek misteri yang mengeluarkan cahaya itu kira-kira jam 5 pagi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:


-Sentiasapanas.com

Wednesday, February 12, 2020

Anjing Selamatkan Tuannya Dari Jangkitan Novel Coronavirus!

Anjing Selamatkan Tuannya Dari Jangkitan Novel Coronavirus!

Percaya atau tidak, seekor anjing peliharaan telah menyelamatkan pemiliknya daripada berkunjung ke bandar Wuhan yang merupakan pusat tercetusnya wabak maut, novel koronavirus (2019 n-CoV). Pastinya tertimbul persoalan, bagaimana anjing peliharaan yang diberikan nama Kimi itu berbuat demikian?

Kimi Dog

Kimi dikatakan telah mengoyakkan pasport pemiliknya, seorang wanita yang berasal dari Taiwan.

Pada awalnya, wanita tersebut berasa sungguh marah kerana anjingnya bertindak menggigit dan mengoyakkan pasportnya sehingga menyebabkannya terpaksa membatalkan hasratnya melawat bandar di Hubei itu.

Beliau meluahkan perasannya menerusi satu entri di laman Facebook pada 13 Januari 2020 yang lalu, ia sebelum menularnya berita mengenai wabak koronovirus itu.

Beberapa hari kemudian, wanita tersebut terkejut dengan berita penyebaran wabak koronavirus yang telah meragut ratusan nyawa dan berasa bersyukur dengan perbuatan Kimi.

"Masihkah anda ingat akan pasport saya? Anjing telah melindungi saya.

"Selepas mengoyakkan pasport, virus tersebut telah merebak ke tempat yang saya ingin pergi.

"Apabila difikir kembali, saya berasa sungguh terharu. Nasib baik anjing saya membatalkan kunjungan saya ke situ," katanya menerusi satu muat naik di Facebook.

Pastinya wanita tersebut berasa terhutang nyawa dengan anjing kesayangannya itu.

Ribuan Kucing di Wuhan Diancam Kebuluran

Kimi Dog

Sementara itu, sekatan pergerakan keluar masuk (lockdown) di Wuhan susulan wabak koronavirus menyebabkan ribuan haiwan peliharaan terpisah dengan tuannya.

Keadaan itu menyebabkan haiwan-haiwan berkenaan terabai, kelaparan dan trauma.

Terpanggil dengan situasi yang menyayat hati ini, beberapa kumpulan pencinta haiwan tampil menghulurkan bantuan.

Seorang doktor haiwan yang bekerja di Wuhan memberitahu kumpulannya telah berjaya menyelamatkan lebih 2,000 haiwan peliharaan di situ sejak 23 Januari 2020 lalu.

"Haiwan-haiwan peliharaan itu ditemui di rumah tanpa sebarang makanan dan minuman.

"Pemilik haiwan berkenaan meninggalkan rumah mereka dan tidak menyangka mereka tidak boleh pulang.

"Situasi itu menyebabkan haiwan peliharaan mereka mati akibat kebuluran dan dahaga," katanya.

Persatuan Perlindungan Haiwan Kecil Wuhan pula telah mengambil permintaan bagi membantu haiwan peliharaan yang terperangkap selama dua hari selepas sekatan tersebut dikuat kuasa.

Presiden persatuan, Du Fan berkata seramai 60 sukarelawan telah menyelamatkan haiwan-haiwan peliharaan dari lebih 500 kediaman.

"Sebenarnya, ada beberapa tragedi yang berlaku terhadap haiwan-haiwan peliharaan ini seperti mati sebelum kami tiba," katanya.

Menurutnya, dengan kira-kira 300,000 hingga 600,000 penduduk di Wuhan mempunyai haiwan peliharaan, agak sukar untuk mereka memenuhi permintaan yang memuncak.

"Kebanyakan yang minta bantuan kami adalah golongan migran yang bekerja di Wuhan dan tinggal di kejiranan kecil di sini.

"Mereka tidak mempunyai kawan-kawan atau ahli keluarga di Wuhan untuk membantu menguruskan haiwan peliharaan masing-masing," katanya lagi.

Dalam pada itu, terdapat beberapa sukarelawan menempatkan haiwan-haiwan peliharaan yang diselamatkan di rumah mereka dan ada juga yang mengekalkan di rumah pemilik.

Kimi Dog

Bagi haiwan yang disimpan di rumah asal, para sukarelawan akan datang secara berkala untuk memberi makanan dan minuman.

Menurut doktor haiwan di Wuhan Pet Life Online, kebanyakan haiwan peliharaan kelihatan trauma dan takut kepada manusia ketika mereka cuba menyelamatkan manakala keadaan rumah sangat bersepah.

"Terdapat lebih 100 ekor haiwan peliharaan di rumah saya sekarang. Untuk makluman, ada beberapa rumah yang menggunakan kata laluan dan ada juga yang menggunakan kunci biasa.

"Bagi kes kecemasan, kami terpaksa masuk ke rumah dengan memecahkan pintu depan atau memanjat tingkap," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Thursday, January 30, 2020

Senarai Harga 5 Jenis Topeng Muka (Barangan Terkawal) Di Malaysia

Senarai Harga 5 Jenis Topeng Muka (Barangan Terkawal) Di Malaysia

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga tidak munasabah bagi topeng muka susulan penularan 2019 Novel Koronavirus.

Harga Topeng Muka

Sebagai peringatan kepada peniaga, topeng muka adalah barang harga terkawal dan harga maksimum telah ditetapkan untuk lima jenis topeng muka di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Harga Topeng Muka:
  • Bagi topeng muka (pembedahan/perubatan) satu lapisan (gelung telinga) harga borong pada RM5 sekotak, manakala harga runcit RM7 sekotak.
  • Bagi topeng muka (pembedahan/perubatan) dua lapisan (gelung telinga), harga borong RM8 sekotak manakala harga runcit RM10 sekotak dan RM0.20 sen seunit.
  • Topeng muka (pembedahan/perubatan) tiga lapisan (gelung telinga/gelung kepala) pula, harga borong RM25 sekotak, harga runcit RM0.80 sen seunit.
  • Bagi topeng muka (pembedahan/ perubatan) tiga lapisan (ikatan pada kepala), harga borong RM30 sekotak, harga runcit RM0.80 sen seunit.
  • Bagi topeng muka (pembedahan/perubatan) N95, harga borong RM100 sekotak, harga runcit RM6.00 seunit.

Hukuman

Sebarang pelanggaran di bawah peruntukan akta tersebut bagi kesemua jenis topeng muka yang dinyatakan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Bagi kesalahan individu, boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Perlu diingatkan juga, bagi topeng muka selain daripada lima jenis yang ditetapkan harga maksimum seperti di atas, kementerian masih mempunyai kuasa mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (bagi sebarang perlakuan menaikkan harga borong atau runcit topeng muka secara tidak munasabah).

KPDNKK akan terus melaksanakan pemantauan dengan mengarahkan pegawai-pegawai penguat kuasa untuk membuat pemeriksaan di seluruh negara dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga topeng muka secara tidak munasabah.

Pihak yang terlibat dalam pembekalan dan penjualan topeng muka dinasihatkan agar membuat urus niaga secara berhemah dan mematuhi peruntukan harga maksimum topeng muka yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

DENDA USD$590,000!

Sementara itu, sebuah farmasi di Beijing, China, didenda sebanyak tiga juta yuan (AS$590,000) kerana menaikkan harga topeng muka sebanyak enam kali ganda berbanding harga atas talian.

Menurut laporan Reuters, pihak berkuasa pasaran Beijing telah mengeluarkan notis penalti pentadbiran kepada Farmasi Jimin Kangtai kerana menaikkan harga topeng muka N95 di kedainya.

Farmasi itu menaikkan harga topeng N95 jenama 3M kepada 850 yuan bagi setiap kotak, menurut stesen televisyen tempatan yang dipetik Reuters.

Sebagai perbandingan, topeng sama dijual di atas talian pada harga 143 yuan sekotak.

Di Shanghai pula, pihak berkuasa pasaran kota itu telah mengarahkan sebuah farmasi ditutup kerana menjual topeng yang tidak mencapai piawaian.

Farmasi itu juga diarahkan untuk memulangkan semula wang kepada mereka yang telah membelinya, selain melupuskan topeng yang belum dijual, kata pihak berkuasa itu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Wednesday, September 11, 2019

Gula-gula White Rabbit Tiada Halal JAKIM, Brunei Isytihar Haram

Gula-gula White Rabbit Tiada Halal JAKIM, Brunei Isytihar Haram

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) setakat ini, tidak pernah menerima sebarang permohonan sijil halal terhadap gula-gula susu 'White Rabbit' yang diimport dari China dan sememangnya popular dikalangan kanak-kanak sejak tahun 90an lagi.

Gula-gula White Rabbit Haram
Gula-gula White Rabbit.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pengimport gula-gula White Rabbit itu seharusnya membuat permohonan tersebut, yang akhirnya dapat menghentikan polemik berhubung status halal gula-gula berkenaan.

Pihak Jakim turut diminta untuk membuat siasatan dan ujian makmal terhadap gula-gula White Rabbit itu bagi menentukan status halalnya, kerana telah lama diperkatakan dalam media sosial, menyebabkan umat Islam berada dalam keadaan dilema dan tidak pasti.

Status halal gula-gula White Rabbit yang popular di China, sering menjadi perdebatan dan dipersoalkan di laman sosial, terutamanya selepas jabatan agama sebuah negara jiran, mengesahkan ia sebagai tidak halal kerana salah satu bahan yang digunakan.

Pada perkembangan lain, Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan menafikan khabar angin bahawa Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, akan diletakkan di bawah Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC).

Mengandungi Protein Babi

Aiskrim White Rabbit Haram
Aiskrim White Rabbit.

White Rabbit menjadi gula-gula paling popular di Asia Tenggara apabila kenaikan popularitinya yang disebabkan oleh trend ais krim yang dibekalkan mereka di Malaysia dan Brunei.

Namun, Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei (MoRA) telah mengesahkan gula-gula susu White Rabbit merupakan salah satu produk yang tidak halal selepas laporan ujian makmal mendapati terdapat kandungan protein khinzir dalam ramuannya.

Berikutan pengumuman berkenaan, beberapa pembuat ais krim di Brunei seperti Project Ice Cream dan Rumah Gelato berkata mereka akan menghentikan pengeluaran ais krim berperisa White Rabbit di cawangan-cawangan mereka.

Pihak mereka juga akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk membersihkan peralatan dan kemudahan dengan betul untuk mengembalikan keyakinan pelanggan mereka.

MoRa juga mengingatkan dan memberi amaran kepada para pedagang berlesen bahawa label makanan palsu dan mengelirukan adalah kesalahan di bawah Akta Kesihatan Awam (Makanan) dan pesalah boleh didenda dan/atau dipenjarakan sehingga lima tahun.

Pada tahun 2008 lalu, jenama White Rabbit Creamy Candy telah diarahkan untuk ditarik kembali dari pasaran Malaysia dan telah dimusnahkan setelah pihak Kementerian Kesihatan mengesahkan produk China itu mengandungi 135 bahagian daripada setiap satu juta (ppm) melamin berbanding had standard 2.5ppm.

Pihak Singapura turut mengambil tindakan serupa sebelum itu kerana sebab yang sama.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Wednesday, September 04, 2019

Komando Elit Terkorban Semasa Demonstrasi, Anak Sulung AR Badul

Komando Elit Terkorban Semasa Demonstrasi, Anak Sulung AR Badul

Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan insiden kematian Mejar Mohd Zahir sewaktu melakukan Latihan Demonstrasi Keupayaan tentera darat di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah, yang telah dilaksanakan bermula pada 26 Ogos 2019 yang lalu.

Mejar Mohd Zahir AR Badul

Berita itu turut disahkan isterinya iaitu Nour Shafinar Harun, 31, yang memaklumkan Allahyarham meninggal dunia akibat terkena tembakan raifal.

"Saya dimaklumkan tentang berita itu pada pukul 9 pagi tadi dan suami sempat penghantar mesej berkata bahawa itu pertunjukkan terakhirnya.

"Saya juga diberitahu tembakan itu tersasar sedikit lalu melepasi baju kalis peluru yang dipakai mangsa," jelasnya.

Malangnya, semasa pelaksanaan demonstrasi pada hari sebenar, telah berlaku situasi yang menyebabkan kemalangan jiwa tersebut.

Allahyarham merupakan pegawai dari pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, Kem Sungai Udang, Melaka.

Allahyarham merupakan bapa kepada lima anak berusia antara 9 tahun hingga lima bulan dan berasal dari Kuala Lumpur.

Dilaporkan bahawa, ketika kejadian, mangsa memakai berbaju putih dan bertopeng beraksi sebagai penjenayah yang ditembak oleh anggota tentera di majlis bermula kira-kira jam 8.30 pagi.

Allahyarham dikatakan melepaskan tembakan kepada rakannya dalam demonstrasi itu dan ia terkena pada baju kalis peluru yang dipakai pegawai tersebut.

Bagaimanapun, ketika tembakan balas dilepaskan, ia dikatakan tersasar dan terkena di belakang badan Allahyarham.

Mangsa dilaporkan rebah dan diheret ke tepi sebelum persembahan ditamatkan.

Bagaimanapun, mangsa tidak sedarkan diri sebelum topengnya dibuka dan mukanya berlumuran darah.

Allahyarham yang juga anak kepada seniman veteran tanah air, AR Badul menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu pada jam 9.20 pagi.

YAKIN WUJUD KELALAIAN

Mejar Mohd Zahir AR Badul Maut

Pelakon dan pelawak legenda, A.R Badul reda tetapi kecewa dengan kejadian yang menimpa anaknya, Mejar Mohd. Zahir Armaya yang maut akibat terkena tembakan ketika melakukan demonstrasi di Kem Lok Kawi, Sabah.

Menurut A.R Badul atau nama sebenarnya, Armaya Aman Ramlie, 69, berkata, dia yakin wujud kelalaian sepanjang latihan sehingga mengakibatkan anaknya maut dalam kejadian berkenaan.

Beliau bagaimanapun enggan melulu membuat kesimpulan sebaliknya menanti maklumat penuh daripada pihak berkaitan.

"Saya sedih sebab saya merasakan kejadian ini berlaku akibat kelalaian. Mengenai tanggungjawab seorang askar kepada negara, saya faham.

"Mereka sering jatuh, patah dan cedera. Sekiranya meninggal dunia ketika berkhidmat untuk negara atau meleraikan penunjuk perasaan saya boleh terima," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pengurusan jenazah, pelakon filem Prebet Lapok itu berkata, urusan jenazah diuruskan sepenuhnya oleh pihak tentera.

Jenazah mungkin akan dikebumikan sama ada di Kuala Lumpur atau di Perak iaitu kampung halaman isterinya, katanya.

Al-Fatihah buat Allahyarham.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Wednesday, August 14, 2019

Kronologi Kehilangan Nora Anne

Kronologi Kehilangan Nora Anne

Percutian di Malaysia yang sepatutnya menjadi kenangan indah bertukar tragik bagi remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin yang hilang sebelum ditemui mati tidak jauh dari sebuah resort penginapan keluarganya.

Kehilangan Nora Anne
Nora Anne.

Anak istimewa berumur 15 tahun itu dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 4 Ogos, sehari selepas keluarga itu mendaftar masuk untuk percutian dua minggu di resort The Dusun, Pantai, Negeri Sembilan.

Mayat remaja Ireland itu ditemui selepas 10 hari dilapor hilang oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat berkeadaan tidak berpakaian berhampiran anak sungai di kawasan berlurah.

Lokasi penemuan itu terletak sekitar 2.5km dari resort beliau dilapor hilang, dalam kawasan yang terletak dalam radius pencarian yang sebelum ini telah beberapa kali dilalui oleh kumpulan anggota mencari dan menyelamat (SAR).

Kurang 24 jam sebelum penemuan mayat itu, ibu bapa Nora Anne, mengumumkan secara terbuka melalui media massa ganjaran RM50,000 kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat hingga terjumpanya anak perempuan mereka.

Pencarian Nora Anne mendapat liputan meluas daripada media tempatan dan antarabangsa yang siap ‘berkampung’ di kawasan itu sejak remaja itu dilaporkan hilang.

Pencarian itu mencuri tumpuan rakyat Malaysia untuk mengikuti setiap perkembangan operasi yang turut melibatkan sejumlah tenaga yang besar, antaranya pakar penjejak yang terdiri daripada anggota pasukan komando 69, unit anjing pengesan K9, pasukan Senoi Praaq, Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Rela, orang asli dan sukarelawan.

Pasukan mencari dan menyelamat melalui pelbagai cabaran dalam operasi itu memandangkan kawasan terlibat adalah hutan yang dipayungi pokok-pokok besar dengan bentuk muka bumi berbukit.

Selain itu, cuaca yang tidak menentu dengan hujan, turut menyebabkan tanah di kawasan itu becak dan licin.

Usaha mencari dan menyelamat turut dibuat melalui udara oleh Unit Udara PDRM dengan peralatan canggih serta penggunaan dron.

Selain pasukan dari Malaysia, polis dari Ireland, England dan Perancis juga berada di negara ini bagi membantu siasatan kes kehilangan remaja itu.

Sejurus ditemui dan anggota forensik membuat siasatan di lokasi penemuan, mayat remaja itu diterbangkan dengan helikopter ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat, proses formaliti untuk menentukan punca kematian selain bagi membolehkan ibu bapa membuat pengesahan.

KRONOLOGI KEHILANGAN NORA ANNE QUOIRIN

3 Ogos 2019

Nora Anne Quoirin, 15, remaja Ireland tiba di Resort The Dusun Pantai Hill, Seremban, Negeri Sembilan bersama keluarganya untuk bercuti.

4 Ogos 2019

Remaja perempuan yang mempunyai masalah pembelajaran itu disedari hilang oleh ahli keluarganya apabila tiada di bilik penginapannya pukul 8 pagi.

4 Ogos 2019

Polis menerima maklumat kehilangan mangsa daripada pemilik resort selepas dimaklumkan oleh seorang ahli keluarga remaja itu.

4 Ogos 2019

Polis melakukan misi pencarian membabitkan bomba dan anggota polis dari Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.

5 Ogos 2019

Pihak berkuasa termasuk polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengawal ketat kawasan Resort The Dusun Pantai Hill, lokasi Nora Anne dilapor hilang.

5 Ogos 2019

Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne.

5 Ogos 2019

Operasi SAR melalui udara dibuat di kawasan Gunung Berembun serta meliputi pesisiran Sungai Berembun.

5 Ogos 2019

Platun Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras turut dikerah dalam operasi SAR remaja perempuan itu.

6 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari ketiga, diteruskan dengan kekuatan 159 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.

7 Ogos 2019

Polis telah merakam 20 keterangan saksi termasuk ahli keluarga bagi membantu siasatan kes kehilangan Nora Anne.

7 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari keempat, diteruskan dengan kekuatan 206 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.

8 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari kelima, diteruskan dengan kekuatan 247 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.

8 Ogos 2019

Operasi SAR mengesan Nora Anne diketuai Unit Senoi Praaq Polis Diraja Malaysia (PDRM).

8 Ogos 2019

Khidmat helikopter Pasukan Gerakan Am PDRM digunakan dengan tambahan teknologi yang lebih canggih bagi mengesan Nora Anne.

8 Ogos 2019

Rakaman suara ibu Nora Anne memanggil remaja itu dengan panggilan manja dimainkan melalui pembesar suara sepanjang SAR.

9 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari keenam, diperkuatkan dengan kehadiran pasukan elit PDRM iaitu Komando VAT 69 dengan kekuatan dua pegawai dan 21 anggota.

9 Ogos 2019

Sembilan dron diguna dalam operasi SAR kesan Nora Anne.

9 Ogos 2019

Penduduk di sekitar pekan Pantai, Negeri Sembilan mengadakan solat hajat di Masjid Kariah Pantai selepas menunaikan solat Jumaat bagi memohon dipermudahkan operasi SAR kesan Nora Anne.

10 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari ketujuh, skala pencarian Nora Anne dikecilkan dari 6 kilometer (km) radius kepada 4 km radius dari lokasi kejadian.

10 Ogos 2019

Masyarakat Orang Asli sedia membantu mencari Nora Anne menggunakan kaedah tradisional berdasarkan kepercayaan mereka.

10 Ogos 2019

Keluarga Nora Anne hargai usaha petugas SAR korbankan cuti Aidiladha cari anak mereka.

11 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari kelapan, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata polis membuka talian hotline khas 0111-2285058 bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan Nora Anne.

11 Ogos 2019

Operasi SAR Nora Anne mendapat bantuan daripada kumpulan pendaki sukarelawan.

12 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari kesembilan, diteruskan dengan kekuatan 348 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.

12 Ogos 2019

Keluarga Nora Anne tawar ganjaran RM50,000 kepada mana-mana pihak yang dapat salur maklumat bantu kesan Nora Anne.

12 Ogos 2019

Pasukan polis Ireland, England, Perancis berada di negara itu membantu PDRM menyiasat kes kehilangan Nora Anne.

12 Ogos 2019

Sekumpulan lima pengamal perubatan Islam daripada Rawatan Tradisional Sulafusoleh menawarkan diri membantu operasi SAR kesan Nora Anne Quoirin.

12 Ogos 2019

Pengamal media dipelawa untuk menyertai operasi SAR kesan Nora Anne buat pertama kalinya.

13 Ogos 2019

Operasi SAR masuk hari kesepuluh, polis menemui mayat dipercayai seorang wanita berkulit putih yang ditemui pada 1.57 tengah hari, kira-kira 2.5 kilometer dari resort The Dusun, Pantai.

13 Ogos 2019 (8.55 malam)

Polis sahkan mayat yang ditemui adalah Nora Anne selepas ahli keluarga remaja itu membuat pengecaman.

Apa sebenarnya yang terjadi? Nantikan.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Monday, August 05, 2019

Wanita Malaysia Lapor Polis Lelaki Cabut Kondom Ketika Berasmara!

Wanita Malaysia Lapor Polis Lelaki Cabut Kondom Ketika Berasmara!

Kes tular seorang wanita yang mendakwa kenalannya mencabut kondom tanpa pengetahuannya ketika mengadakan hubungan seks perlu disiasat oleh polis, kata peguamnya, Serene Lim, selain kes itu tidak seharusnya dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Cabut Kondom
Gambar hiasan.

Dia berkata, walaupun Seksyen 375(c) Kanun Keseksaan berkenaan kes rogol tidak menyatakan takrifan tepat berkenaan perbuatan stealthing, iaitu tindakan seorang lelaki yang mencabut kondom tanpa pengetahuan pasangan ketika hubungan seks, walaupun tahu pasangan hanya bersetuju dengan pemakaian kondom.

"Jika anda lihat Kanun Keseksaan (seksyen itu), ada disebut tentang salah tanggapan. Anda memberi tanggapan salah dengan berkata anda akan berbuat perkara tertentu, untuk mendapatkan persetujuan.

"Jadi, pada satu sisi ia bukan persetujuan yang sebenarnya kerana persetujuan itu diberi berdasarkan salah tanggapan. Maka sebab itu di beberapa negara ia dianggap sebagai rogol," katanya.

Seksyen 375(c) Kanun Keseksaan menyebut rogol boleh berlaku "dengan kerelaan perempuan itu, manakala kerelaannya telah didapati dengan mendatangkan kepadanya atau mana-mana orang lain ketakutan mati atau cedera, atau telah didapati melalui salah tanggapan fakta dan lelaki itu tahu atau ada sebab untuk mempercayai bahawa kerelaan itu telah diberi akibat dari salah tanggapan tersebut".

Di beberapa negara termasuk United Kingdom dan Jerman, ada perbincangan untuk memberi takrifan lebih jelas tentang "persetujuan" dalam isu serangan seksual dan rogol, termasuklah persetujuan bersyarat dan persetujuan afirmatif.

Persetujuan bersyarat diberi spesifik untuk perlakuan seksual tertentu, sementara persetujuan afirmatif ditakrifkan sebagai mendapat persetujuan secara jelas (eksplisit) berbanding hanya membuat jangkaan.

"Dalam kes ini, kami belum (membincangkan takrifan 'persetujuan'). Tetapi ia tak boleh menghalang kita daripada mengambil takrifannya (daripada tempat atau pihak lain)," katanya, sambil menambah perkara itu masih kurang dilaporkan di Malaysia.

Kes tersebut tular selepas salinan laporan polis oleh mangsa terhadap seorang warga asing, yang dibuat di balai polis Kajang, bocor dan tersebar di internet.

Ketua Polis Kajang Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff mengesahkan menerima laporan itu dan berkata kes itu dirujuk kepada Jais.

Oleh kerana laporan yang bocor itu tidak menutup alamat rumah dan nombor telefon mangsa, Lim berkata anak guamnya telah menjadi sasaran kecaman di internet, selain diganggu menerusi panggilan telefon dan pesanan teks.

"Gangguan yang diterima di telefonnya sangat banyak, pada masa ini dia pasti sudah terima ratusan (panggilan dan pesanan)," katanya, menggesa orang ramai agar berhenti berkongsi laporan polis itu di media sosial.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini