Tuesday, February 11, 2020

Program Sarapan Pagi Murid Sepatutnya Peluang Merapatkan Perpaduan Rakyat!

Program Sarapan Pagi Murid Sepatutnya Peluang Merapatkan Perpaduan Rakyat!

Pada tahun 2019 lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan rancangan untuk menyediakan sarapan pagi percuma kepada semua murid, tanpa mengira latar sosio-ekonomi mereka, bagaimanapun, pemangku Menteri Pendidikan, Tun Mahathir berkata, ia "tidak adil" kerana anak golongan kaya juga akan mendapatnya, dan menetapkan Program Sarapan Pagi (PSP) hanya akan dikhususkan kepada pelajar tidak berkemampuan.

Program Sarapan Pagi Murid
Dr Maszlee mangsa kerakusan politik.

Kajian terbaharu Khazanah Research Institute yang baru diterbitkan mengakui, memberi makan kepada semua murid tanpa mengira latar ekonomi akan memakan kos, tetapi ia turut mendatangkan banyak manfaat.

Kajian bertajuk "Understanding School Feeding in Malaysia" itu disediakan oleh Jarud Romadan Khalidi and Tan Zhai Gen.

Kaitan berterusan langkah sekolah memberi makan dengan bantuan kepada orang miskin mengelirukan dan mengabaikan potensi besar program itu dalam banyak aspek.

Sementara pemberian makan kepada semua akan menelan belanja besar, kita juga perlu mengakui bahawa ia bukan saja 'campur tangan nutrien' tetapi satu pelaburan untuk kanak-kanak.

Pelbagai kajian mendapati, kadar manfaat-kos yang mengagumkan dalam hampir semua program makanan di sekolah.

Menurut kajian itu, nutrisi yang betul dan murid yang tidak lapar dalam kelas menjadikan pembelajaran lebih mudah.

Kajian juga menyatakan bahawa, punca utama kebanyakan murid tidak bersarapan adalah kerana tiada masa yang mencukupi dan tiadak berselera.

Selain menambah baik pendidikan murid, program makanan yang bersifat universal (melibatkan semua murid) akan meningkatkan pergaulan murid daripada latar belakang berbeza, seterusnya membolehkan mereka lebih saling memahami.

Program untuk murid miskin boleh menyebabkan murid tersebut dianggap sebagai stigma dan disindir kerana menerima bantuan tersebut.

Dalam kes PSP ini, penerima tidak akan makan makanan yang disediakan dan objektif program tidak tercapai, di saat belanja sudah pun dikeluarkan.

Ia boleh diatasi dengan menyediakan makanan kepada semua murid, seperti yang dilaksanakan di New York, Amerika Syarikat pada tahun 2003.

Pada masa yang sama, program makanan universal juga boleh menangani masalah tidak cukup nutrisi yang melibatkan murid miskin dan juga kaya.

Program ini boleh mendidik kanak-kanak berkenaan kepentingan dan manfaat pemakanan sihat.

Walaupun masalah tidak cukup nutrisi lebih melibatkan golongan miskin, ada juga masalah obesiti, lalu mengembangkan program kepada semua murid boleh menjadi penyelesaiannya.

Walaupun kertas kajian itu tidak menyediakan analisis terperinci terhadap program makanan sekolah sedia ada di Malaysia, ia menyatakan pemakanan sihat boleh digalakkan dengan kantin hanya dibenarkan menjual makanan yang diluluskan.

Kajian itu memetik Healthy Food in School Programme - yang dibiayai ibu bapa - sebagai contoh yang boleh dilihat.

Bagaimanapun, program makanan yang meliputi semua pelajar boleh mendatangkan kesan tidak diingini.

Mereka membangkitkan keadaan di Korea Selatan, di mana dana untuk pendidikan fizikal dipotong ketika program makanan universal dilaksanakan.

Ia menyebabkan kemerosotan bilangan murid yang memiliki fizikal yang sihat (physically fit).

Pembangunan berkaitan kesihatan kanak-kanak di Malaysia dan baik buruk program universal berbanding (kepada golongan) sasaran perlu difahami dengan jelas untuk merangka program makanan sekolah yang membantu mereka yang memerlukan.

Jika program dirangka dan dilaksana dengan lebih baik, untuk semua pelajar tanpa membezakan 'kasta', ia akan menjadi langkah penting untuk menangani pelbagai cabaran yang menanti generasi akan datang dengan lebih baik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Tuesday, February 04, 2020

PPSMI Telah Terbukti Gagal, Kenapa Perlu Di Perkenalkan Semula?

PPSMI Telah Terbukti Gagal, Kenapa Perlu Di Perkenalkan Semula?

Keputusan melaksanakan semula pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), sangat bertentangan dengan aspirasi Pendidikan nasional dan akan merosakkan tahap pendidikan anak bangsa, terutamanya pelajar luar bandar.

PPSMI Terbukti Gagal

Telah terbukti sebelum ini pencapaian dalam peperiksaan merudum dan banyak pembaziran berlaku apabila perbelanjaan untuk melaksanakan PPSMI tidak mendatangkan kebaikan.

PPSMI telah pun berlalu pada 2002-2010, dan telah banyak meninggalkan kesan buruk kepada tahap pencapaian para pelajar.

Kajian yang dibuat oleh UPSI pada 2009 merekodkan kemerosotan sehingga 80 peratus di sekolah kebangsaan dan di sekolah menengah sehingga program ini dibatalkan pada 2010.

Tun Mahathir memperkenalkan program pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003.

Namun, dasar itu tidak popular, termasuk di kalangan parti pembangkang ketika itu termasuk PKR.

Ia kemudiannya dibatalkan pada 2011 yang menurut menteri pendidikan ketika itu, Muhyiddin Yassin, program berkenaan menyaksikan ramai pelajar di luar bandar kandas dalam sains dan matematik.

Namun, ini dipertikaikan oleh beberapa pihak, yang mendakwa keputusan berkenaan telah bertambah baik di bawah PPSMI.

Pada tahun 2016, kerajaan memperkenalkan pula Program Dwi-Bahasa, di mana sekolah-sekolah tertentu mempunyai pilihan sama ada untuk mengajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.

SOALAN UNTUK TUN MAHATHIR

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, telah mengemukakan beberapa persoalan asas berkenaan pengumuman Tun Mahathir mengenai program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pertama:

Wajarkah seorang pemangku menteri pendidikan mengumumkan suatu dasar sepenting PPSMI tanpa terlebih dahulu dibincang di dalam kabinet?

Kedua:

Manifesto PH menggariskan satu dasar iaitu perdana menteri tidak boleh memegang jawatan lain selain jawatan perdana menteri itu sendiri.

Suka saya ingatkan Mahathir menarik diri daripada jawatannya sebagai menteri pendidikan pada awal-awal pembentukan kabinet lagi, iaitu selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei 2018.

Selaku perdana menteri ketujuh, Mahathir pada ketika itu faham bahawa memegang dua jawatan serentak bercanggah dengan janji Manifesto PH.

Ketiga:

Rakyat tidak bising-bising sangat apabila Mahathir mengambil alih memangku jawatan yang ditinggalkan Dr Maszlee Malik selepas ahli parlimen Simpang Renggam itu meletak jawatan.

Saya sendiri bersangka baik bahawa Mahathir akan memangku jawatan sepenting itu sekadar sementara waktu sahaja.

Namun, saya tidak sangka dalam keadaan bersifat sementara itu maka seorang pemangku menteri pendidikan boleh dengan mudah secara bersendirian mengumumkan dasar PPSMI dihidupkan semula selepas ia dimansuhkan pada 2010.

Bukan sahaja Mahathir selaku perdana menteri tidak berbincang mengenainya dalam kabinet, malah mengapa beliau juga tidak berbincang isu tersebut dalam Majlis Presiden PH?

Keempat:

Sebagai seorang ahli parlimen PKR, suka saya mengingatkan sekali lagi bahawa pendirian parti selama ini ialah menentang dasar PPSMI.

Rakyat bangun dan turun ke jalan raya untuk menentang dasar PPSMI. Rakyat juga dan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Akhirnya, menteri pendidikan kerajaan BN ketika itu - Muhyiddin Yassin - mengumumkan bahawa dasar PPSMI ditamatkan.

Kelima:

Akhirnya saya ingin bertanya: Wajarkah seorang perdana menteri - yang bersetuju untuk turun dari jawatannya dalam tempoh terdekat ini sesuai dengan janji menjelang PRU ke-14 lalu dan kini hanya memangku jawatan menteri pendidikan - mengumumkan dasar yang telah ditolak oleh majoriti rakyat?

Tidakkah pengumuman Mahathir berkenaan PPSMI bukan sahaja akan menyusahkan PH menghadapi rakyat dalam PRU ke-15 nanti?

Lebih daripada itu, saya melihat tindakan Mahathir bersifat membelakangkan dasar tanggungjawab bersama para menteri dan juga kepemimpinan PH.

Ramai menteri penting dalam kerajaan PH ketika ini - termasuk yang menjaga keselamatan negara - adalah mereka yang berada bersama-sama rakyat di jalan raya sejak sebelum PRU pada 2008 bagi membantah perlaksanaan PPSMI.

Sepuluh tahun kemudian - iaitu pada 2020 - Mahathir ingin menghidupkan semula PPSMI?

Budaya Keilmuan di Jerman

Jika minat pun tidak, apa gunanya tahu istilah sains dalam bahasa Inggeris. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Di Jerman, bahasa Jerman digunakan secara menyeluruh untuk urusan rasmi dan juga tidak rasmi, dalam industri, pendidikan dan pengurusan.

Lazimnya, perbualan dalam soal keilmuan antara sesama pakar, pakar dengan pelajar dan juga sesama pelajar dibuat dalam bahasa sendiri, melainkan jika ada orang yang tidak memahami bahasa itu yang turut serta.

Secara kasar, bahasa Inggeris mereka tidaklah jauh lebih hebat berbanding di Malaysia.

Sering kali mereka terlupa suatu istilah dalam bahasa Inggeris ketika berbual dalam bahasa itu.

Namun, mereka tetap meneruskan komunikasi dengan menterjemah secara terus perkara itu tanpa mengetaui istilahnya dalam bahasa Inggeris.

Ini menunjukkan mereka tetap menggunakan bahasa ibunda untuk memikirkan konsep-konsep asasi dalam bidang masing-masing.

Pada masa yang sama, ia menunjukkan bukan satu masalah besar jika tidak tahu suatu istilah dalam bahasa Inggeris. Konsep dan makna istilah lebih penting berbanding istilah itu sendiri.

Terjemahan mereka terhadap konsep-konsep yang kompleks boleh dikatakan sangat rapi, menunjukkan pemahaman dan pengetahuan mereka secara umum terhadap konsep tersebut.

Jangan beri alasan bahawa mereka tiada masalah untuk menterjemah kerana sudah "terkedepan".

Mereka masih berusaha keras dalam penterjemahan istilah kerana banyak istilah ilmu dalam bahasa Inggeris adalah daripada rumpun bahasa Roman (misalnya Latin) walaupun bahasa Inggeris adalah dalam rumpun bahasa Jermanik.

Dalam konsep "compute" atau hitung seperti disebut di atas, orang Jerman menggunakan kata kerja "rechnen" (kira) sebagai kata dasar, bukannya meminjam daripada terbitan bahasa Latin, "compute", seperti yang dilakukan bahasa Inggeris.

Melihat contoh dinamika bahasa Indonesia, jiran kita, didapati kemajuan bahasa mereka semakin jitu.

Malah, ramai sarjana luar dan orang dari Eropah yang ke sana untuk belajar dan beradaptasi dengan bahasa Indonesia, sekali gus berintegrasi dengan budaya tempatan.

Ini kerana rakyat Indonesia percaya dan mengakui pentingnya identiti dipertahankan.

Dengan subetnik yang begitu rencam, mereka tetap bersatu dalam identiti ini: Bhinneka Tunggal Eka.

Jika kerajaan sendiri ragu-ragu dengan identiti negara sendiri, siapa lagi yang boleh diharapkan?

Penutup

Tiada alasan untuk menganggap bahasa Melayu tidak boleh menjadi bahasa Ilmu. Ia bukan masalah boleh atau tidak, tetapi hendak atau tidak.

Pada masa sama, tiada sebab untuk mengatakan pengajian STEM dalam bahasa Inggeris boleh meningkatkan perkembangan sains dan teknologi di Malaysia.

Penggunaan bahasa selain ibunda boleh menghancurkan minat palajar terhadap STEM.

Kita berharap Tun Mahathir untuk tidak bertindak tanpa merujuk suara-suara lain. Berilah peluang agar suara sarjana, penulis, ibu bapa dan rakyat Malaysia untuk didengar sebelum melaksanakannya.

Berilah kepercayaan kepada rakyat sendiri? Apakah semangat sidang umum (sesi town hall) telah mati?

Berilah hujah dan sebab, sama ada secara teori mahupun empirik. Rujuklah kajian yang sudah dibuat agar suatu pandangan itu boleh dibahaskan sebelum dilaksanakan.

Jika sejak awal pandangan dan kajian ini disudutkan, semua usaha terhadap kajian itu hanyalah ibarat hujan jatuh ke pasir.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3

Thursday, January 23, 2020

Permohonan Politeknik dan Kolej Komuniti Ambilan 2020 Secara Online

Permohonan Politeknik dan Kolej Komuniti Ambilan 2020 Secara Online

Permohonan kemasukan Sesi Jun 2020 akan mula dibuka pada bulan Mac 2020 untuk program Diploma sepenuh masa dan pada bulan Jun 2020 untuk program Ijazah Sarjana Muda, manakala permohonan melalui UPUonline, permohonan kemasukan untuk sesi Jun 2020 akan dibuka sekitar bulan Februari 2020.

Permohonan Politeknik 2020

Untuk makluman, bermula pada Mac 2015, istilah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) telah diganti dengan Universiti Awam (UA), manakala IPTA pula diguna bagi merujuk Kolej Komuniti dan Politeknik.

Maklumat Senarai Program Sesi 2020 yang ditawarkan beserta syarat, kalendar akademik dan jumlah yuran.

1. Diploma Sepenuh Masa
  • Borang Permohonan dibuka: 01 Mac 2020
  • Borang Permohonan ditutup: 31 Mac 2020
  • Semakan Panggilan Temuduga; untuk permohonan Diploma Kejuruteraan Perkapalan dan Diploma Kejuruteraan Penyenggaraan Pesawat: 10 April 2020
  • Sesi Temuduga: 14 April 2020
  • Semakan Keputusan Permohonan: 14 Mei 2020
  • Borang Permohonan Rayuan dibuka: 14 Mei 2020
  • Borang Permohonan Rayuan ditutup: 22 Mei 2020
  • Semakan Keputusan Rayuan: 4 Jun 2020
  • Pendaftaran Pelajar: 21 Jun 2020

Maklumat lanjut:

2. Diploma Separa Masa (KSS)
  • Borang Permohonan dibuka: 13 Mac 2020
  • Borang Permohonan ditutup: 17 Mei 2020
  • Umum keputusan pra tawaran: 12 Jun 2020
  • Cetakan surat tawaran: 22 Jun 2020
  • Pendaftaran Pelajar: 27 Jun 2020

Maklumat lanjut:

3. Sijil Kolej Komuniti
  • Borang Permohonan dibuka: 1 Mac 2020
  • Borang Permohonan ditutup: 31 Mac 2020
  • Semakan Keputusan Permohonan: 14 Mei 2020
  • Pendaftaran Pelajar: 22 Jun 2020

Maklumat lanjut:

4. Pra Diploma Politeknik
  • Borang Permohonan dibuka: 1 Mac 2020
  • Borang Permohonan ditutup: 31 Mac 2020
  • Semakan Keputusan Permohonan: 14 Mei 2020
  • Borang Permohonan Rayuan dibuka: 14 Mei 2020
  • Borang Permohonan Rayuan ditutup: 22 Mei 2020
  • Semakan Keputusan Rayuan: 4 Jun 2020
  • Pendaftaran Pelajar: 21 Jun 2020

Maklumat lanjut:

5. Sijil Kemahiran Politeknik
  • Borang Permohonan dibuka: 1 Mac 2020
  • Borang Permohonan ditutup: 31 Mac 2020
  • Semakan Keputusan Permohonan: 14 Mei 2020
  • Pendaftaran Pelajar: 21 Jun 2020

Maklumat lanjut:

6. Sarjana Muda Politeknik
  • Borang Permohonan dibuka: 5 Jun 2020
  • Borang Permohonan ditutup: 5 Julai 2020
  • Semakan Panggilan Temuduga: 10 Julai 2020
  • Sesi Temuduga: 21 Julai 2020
  • Keputusan Permohonan: 28 Julai 2020
  • Borang Permohonan Rayuan dibuka: 28 Julai 2020
  • Borang Permohonan Rayuan ditutup: 9 Ogos 2020
  • Semakan Keputusan Rayuan: 21 Ogos 2020
  • Pendaftaran Pelajar: 1 September 2020

Maklumat lanjut:

Kelebihan Memilih Politeknik
  • Institusi milik penuh Kerajaan.
  • Program pengajian yang diiktiraf.
  • Lokasi di seluruh negara.
  • Yuran berpatutan.
  • Peluang pekerjaan yang cerah.
  • Peluang melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.

Untuk Sebarang Pertanyaan;

Alamat:

Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar
Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti,
Aras 6, Galeria PjH,
Jalan P4W, Persiaran Perdana,
Presint 4,
62100 Putrajaya.

Tel & Email:
  • 03-8888 3837
  • 03-8888 2733
  • jppkk.ambilan.moe@1govuc.gov.my

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Wednesday, January 15, 2020

Permohonan Bantuan Sekolah INSPIRASIKU YaPEIM 2020 Secara Online

Permohonan Bantuan Sekolah INSPIRASIKU YaPEIM 2020 Secara Online

Melalui Dana Inspirasi Malaysia INSPIRASIKU, pihak YAPEIM mensasarkan bantuan kepada seramai 40,000 pelajar sekolah rendah dan menengah dari keluarga yang layak dan kurang berkemampuan, serta pelajar IPT daripada keluarga B40 untuk dibantu.

Dana Inspirasiku YAPEIM

Jumlah bantuan sehingga RM500 untuk sekolah rendah, RM500 untuk sekolah menengah Dan sehingga RM1,000 untuk institut pengajian tinggi.

Borang serta salinan dokumen lengkap bolehlah diserahkan kepada:
  • Ibu Pejabat YAPEIM.
  • Poslaju/ekspress ke Ibu Pejabat YAPEIM.
  • Cawangan Ar Rahnu YAPEIM berhampiran.
  • Pejabat YAPEIM Negeri.

Sebarang Pertanyaan Lanjut sila Hubungi Kaunter Khidmat Pelanggan YaPEIM di Talian 03-27172717.

Apa itu Dana Inspirasi Malaysia INSPIRASIKU?

Dalam usaha menyantuni kumpulan B40, satu lagi inisiatif diperkenalkan iaitu Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasku) daripada YAPEIM, yang telah dilancarkan pada 6 November 2019 oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dr Wan Azizah.

Objektif Bantuan Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasku)

Membantu ketua keluarga yang berpendapatan rendah atau golongan B40 dalam menyelesaikan yuran sekolah anak-anak dan pelajar.

Meringankan bebanan keluarga dalam menangani aspek kebajikan dan pendidikan anak-anak khususnya untuk memulakan sesi persekolahan dan persediaan kemasukkan ke IPT.

Melengkapi usaha pelbagai pihak khususnya agensi kerajaan yang berkaitan, institusi, masyarakat dan keluarga dalam menyantuni anak-anak dan pelajar terbabit.

Kadar Bantuan;
  • Pelajar Sekolah – Sehingga RM500.
  • Pelajar IPT – Sehingga RM1000.

Permohonan Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku);
  • Permohonan mestilah melalui ibubapa dan bukan pelajar itu sendiri.
  • Permohonan akan dibuka sehingga 31 Januari 2020.
  • Permohonan dibuka selagi Tabung Inspirasiku masih mempunyai dana.
  • Bantuan akan diberi mengikut kelayakan tertakluk kepada kecukupan dana yang dikumpul.

Cara Memohon;

Download terlebih dahulu borang Bantuan Persekolah YAPEIM di pautan disediakan di bawah. Borang-borang ini juga boleh didapati dimana-mana cawangan Ar-Rahnu YAPEIM seluruh Malaysia.

Senarai Semak Dana Inspirasiku;

Jika anda tidak mendapat akses untuk muat turun borang, anda boleh dapatkan borang di facebook rasmi di YaPEIM (Official) (klik sini).

Setiap borang mesti disertakan senarai semak. Semua salinan dokumen perlulah mendapat cop pengesahan daripada pegawai A (Pegawai Kerajaan)/Penghulu/Ketua Kampung/Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung/ Nazir atau Pegawai yang boleh membuat pengesahan dokumen.

Dokumen yang telah lengkap, boleh dihantar melalui cara seperti berikut:
  • Serahan tangan ke ibu pejabat YaPEIM.
  • Pos laju/ekspress ke ibu pejabat YaPEIM.
  • Emel ke alamat inspirasiku@yapeim.my
  • Cawangan Ar Rahnu YaPEIM berdekatan.
  • Pejabat YaPEIM Negeri.

Alamat Ibu Pejabat YaPEIM;

(Bahagian Sosioekonomi & Amal Jariah YaPEIM,
Tingkat 8, Grand Season Avenue, No 72, Jalan Pahang,
53000 Kuala Lumpur).

Permohonan juga boleh dibuat secara atas talian di http://inspirasiku.yapeim.my

Syarat Am Permohonan
  • Permohonan mesti atas nama ibu/bapa/penjaga.
  • Pemohon mestilah Warganegara Malaysia.
  • Mendapat surat tawaran pengajian dari sekolah/ IPT di dalam dan luar negara.
  • Pendapatan isi rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan.

Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku);

1. Setiap keluarga layak memohon untuk setiap anak yang bersekolah rendah, menengah dan IPT.

2. Borang berasingan perlu diisi untuk pelajar sekolah dan IPT. Sila lengkapkan kedua-dua helai borang yang disediakan berserta lampirkan kesemua 10 dokumen yang diminta bersama-sama setiap borang yang diisi.

3. Pastikan semua borang disahkan sebelum dihantar ke Pejabat Ar-Rahnu YAPEIM yang berhampiran.

4. HANYA BORANG YANG LENGKAP AKAN DI PROSES.

5. Borang akan diproses dalam tempoh 30 hari, pemohon boleh membuat semakan status permohonan di laman web YAPEIM.

6. Bantuan akan diagihkan secara tunai di cawangan Ar-Rahnu YAPEIM seluruh negara.

7. Permohonan terbuka kepada semua warganegara Malaysia Golongan B40 tanpa mengira agama@bangsa.

8. Borang permohonan boleh didapati dimana-mana cawangan Ar-Rahnu YAPEIM, Pejabat YAPEIM Negeri atau Ibu Pejabat YAPEIM seluruh negara. Atau di laman web YAPEIM.

9. Borang fotostat juga diterima.

Maklumat Lanjut Berkaitan Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku); Hubungi Kaunter Khidmat Pelanggan YaPEIM di Talian 03-27172717.

Tarikh tutup permohonan 31 Januari 2020.

Anda juga boleh melayari laman web rasmi YAPEIM atau ikuti perkembangan terkini di Facebook Rasmi YAPEIM di pautan di atas.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: pendidikan4all

Thursday, December 19, 2019

Apa Itu Sistem Pendidikan Vernakular?

Apa Itu Sistem Pendidikan Vernakular?

Sistem sekolah vernakular yang ditubuh berdasarkan bahasa ibunda masing-masing bagi setiap kaum, sering menjadi kontroversi, kerana dikatakan menjadi punca utama kegagalan pembangunan ideologi nasional yang cuba dibangunkan pemimpin kita sekian lama sejak merdeka, gagal dipenuhi.

Sistem Pendidikan Vernakular

Ini kerana sekolah vernakular didakwa mengasingkan pelajar ke dalam beberapa aliran, sehinggakan setiap pelajar mempunyai corak ideologi yang berbeza-beza serta menanam sikap tiada toleransi antara satu sama lain; dalam hal berkaitan bangsa dan agama.

Kelebihan Dan Keburukan

Sistem pendidikan yang wujud pada masa pemerintahan British mempunyai empat sistem persekolahan utama iaitu sekolah vernakular Melayu, sekolah vernakular Cina, sekolah vernakular Tamil dan sekolah Inggeris.

Setelah merdeka, kerajaan telah memperkenalkan sekolah kebangsaan yang bertujuan untuk menggabungkan seluruh bangsa ke dalam satu sekolah agar perpaduan kaum dapat dicapai.

Namun begitu, sistem vernakular ini tetap diteruskan dengan kewujudan sekolah jenis kebangsaan (SJK).

Sistem pendidikan vernakular mempunyai kelebihan dan keburukannya yang tersendiri. Antara kebaikannya ialah, pelajar mendapat peluang menguasai banyak bahasa.

Sebagai contoh, pelajar Melayu yang bersekolah di Sekolah Pendidikan Cina dapat menguasai sekurang-kurangnya dua Bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Cina.

Ini akan memberikan kelebihan kepada pelajar tersebut di masa hadapan apabila memasuki alam pekerjaan.

Selain itu, ia juga dapat memperkasakan bahasa ibunda kepada penuturnya dan mengelakkan ianya daripada ditelan zaman.

Keburukan pendidikan vernakular pula ialah, ia akan mewujudkan jurang perkauman yang luas di antara kaum.

Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama lebih 60 tahun, masih ada lagi segelintir kumpulan dari setiap kaum yang bersifat rasis disebabkan perpaduan kaum tidak dapat dicapai.

Manakan tidak, dari mereka kecil lagi sudah dikelaskan mengikut kaum.

Malah ada juga segelintir individu yang masih tidak fasih berbahasa Kebangsaan walaupun telah mencapai umur dewasa.

Hal ini disebabkan penggunaan bahasa ibunda yang berbeza-beza di sekolah pendidikan mengikut kaum masing-masing manakala bahasa kebangsaan disisihkan.

Setiap kaum selesa bergaul dalam bahasa ibunda masing-masing menyebabkan timbulnya rasa kekok apabila bergaul dengan kaum lain kerana terpaksa bertutur dalam bahasa lain.

Bahasa yang berbeza ini jugalah kadang-kadang menimbulkan syak wasangka diantara kaum sehingga menyebabkan pergaduhan.

Setiap kaum di Malaysia ini sepatutnya disatukan sejak dari kecil lagi agar persefahaman diantara kaum itu dapat dipupuk di awal usia.

Apabila setiap kaum saling memahami antara satu sama lain, ianya akan menjadikan negara berada dalam suasana yang aman dan harmoni.

Sejarah Pendidikan Vernakular di Malaysia

Kerajaan British pada awalnya tidak berniat pun untuk memajukan bidang pendidikan semasa memerintah Tanah Melayu.

Ramai pegawai British berpendapat bahawa pendidikan terutamanya untuk orang Melayu tidak mendatangkan faedah namun sebaliknya akan menimbulkan kesedaran pada golongan terdidik untuk menentang kerajaan.

Walau bagaimanapun, atas desakan pembesar Melayu iaitu Sultan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, pihak pemerintah British merasakan ada baiknya memberikan pendidikan setakat pendidikan rendah untuk orang Melayu.

Oleh yang demikian, kerajaan British telah membina secara beransur-ansur sekolah rendah vernakular Melayu sejak pertengahan abad ke-19 sehinggalah berlaku Perang Dunia Kedua.

Vernakular yang bermaksud "bahasa pengantar ibunda", menjadi dasar British yang memberikan kelonggaran dalam hal penubuhan sekolah telah menyebabkan penubuhan sekolah Inggeris oleh pendakwah Kristian, sekolah vernakular Cina oleh masyarakat Cina dan sekolah vernakular Tamil oleh pemilik ladang kopi dan getah.

Justeru itu, sudah sememangnya ciri utama pendidikan pada zaman pemerintahan British ialah ketiadaan matlamat dan objektif dalam bidang pendidikan.

Seterusnya, perkara ini menimbulkan ketidakseragaman dalam orientasi dan kurikulum pendidikan yang seterusnya menimbulkan masalah yang rumit khususnya dari segi perpaduan kaum, apabila negara ini mencapai kemerdekaan.

Sekolah Melayu

Pada mulanya, sekolah Melayu ditubuhkan di Negeri-negeri Selat atas usaha Blundell, Gabenor Negeri-negeri Selat.

Sekolah-sekolah ini diberikan bantuan kewangan oleh kerajaan British.

Sekolah pertama yang ditubuhkan ialah di Teluk Belanga, Singapura, diikuti oleh sekolah-sekolah lain di Melaka dan juga di Pulau Pinang.

Tetapi, sekolah-sekolah ini tidak mendapat sambutan daripada ibu bapa Melayu.

Untuk menggalakkan anak-anak Melayu Bersekolah, A.M. Skinner mengubahsuai sekolah-sekolah ini, supaya pelajaran sekular diajar pada waktu pagi dan petang pula pengajian al-Quran diadakan.

Kerajaan British membiayai guru yang mengajar bahasa Melayu, tetapi ibu bapa murid-murid bertanggungjawab membiayai gaji guru yang mengajar agama Islam, iaitu al-Quran.

Pada mulanya, sekolah-sekolah ini tidak mendapat sambutan yang baik, kerana orang-orang Melayu tidak menyokong pendidikan sekular kerana bebanan yang mereka hadapi dari segi kewangan kerana mereka perlu tanggung gaji guru-guru agama.

Di Selangor, denda berbentuk wang dikenakan ke atas ibu bapa yang tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Ganjaran turut diberikan kepada pelajar yang menghadiri ke sekolah dengan baik dan menunjukkan usaha.

Akhirnya, satu enakmen dikeluarkan di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan yang mewajibkan kehadiran anak-anak Melayu yang berumur tujuh hingga empat belas tahun di sekolah (Awang Had Salleh, 1980). Tindakan boleh diambil ke atas ibu bapa yang tidak berbuat demikian.

Di bawah pentadbiran British, peluang untuk anak-anak Melayu di desa untuk mendapat peluang pendidikan lebih terhad dan mereka kekurangan guru-guru terlatih.

Hanya empat tahun pelajaran sekolah rendah diberikan kepada kebanyakan pelajar Melayu.

Pelajaran di sekolah Melayu meliputi aspek-aspek pertanian, berkebun di sekolah dimulakan untuk memberi pengalaman dan pengetahuan pertanian kepada murid. Pelajaran seperti anyaman bakul juga diperkenalkan.

Dalam usaha menyelaraskan pelajaran Melayu, jawatan Nazir Sekolah Melayu juga diperkenalkan.

Buku-buku Melayu yang baru dicetak dan guru-guru sekolah Melayu mula diberi latihan apabila Maktab Perguruan Sultan Idris ditubuhkan pada tahun 1922.

Sekolah Cina

Dengan pertambahan penduduk Cina di negeri-negeri Melayu, sekolah-sekolah Cina mula dibina.

Sekolah Cina ditubuhkan oleh masyarakat Cina secara bebas dan tanpa bantuan British.

Sekolah Cina dijalankan mengikut corak sekolah-sekolah sekolah di negeri China. Buku-buku dan guru dari negeri China dibawa masuk sebagai bahan dan tenaga pengajar.

Pada peringkat awal, kesemua sekolah Cina memberi pendidikan hingga tahap sekolah rendah sahaja.

Pada tahun 1913, seorang peniaga Cina, Tan Kah-kee menubuhkan Sekolah Menengah Cina yang pertama, yang dikenali sebagai ‘Nanyang Overseas Chinese School’.

Pendidikan untuk anak-anak perempuan Cina yang pertama adalah Sekolah Kuen Cheng yang mula mengambil murid-murid perempuan pada tahun 1908.

Selepas revolusi 1911 di China, pengaruh unsur-unsur politik negara China terserap di sekolah-sekolah Cina.

Perkembangan ini mendesak kerajaan Brisith mengambil peranan yang lebih langsung dan aktif dalam usaha mengawal perkembangan pendidikan Cina di Tanah Melayu.

Kerajaan mula mendaftar sekolah-sekolah Cina sebagai langkah untuk mengawal sekolah-sekolah ini.

Kerajaan British mula membiayai sekolah-sekolah Cina dan Pengarah Pelajaran diberi kuasa untuk menutup sekolah-sekolah yang tidak mengikuti peraturan-peraturan berkenaan dengan sukatan pelajaran.

Untuk menyekat aktiviti-aktiviti politik dan ideologi komunis di sekolah-sekolah Cina, Gabenor Cecil Clementi Smith telah mengharamkan aktiviti ‘Kuomintang’ di sekolah-sekolah Cina.

Bantuan kewangan hanya diberikan kepada sekolah yang menggunakan loghat-loghat Cina selain mandarin. Bahasa Inggeris juga mula diajar sebagai satu mata pelajaran.

Sekolah Tamil

Bagi kaum India, pendidikan awal hanya diberikan dalam bahasa Tamil, kerana orang Tamil adalah kumpulan penduduk India yang terbesar di Tanah Melayu.

Perkembangan pendidikan Tamil tidak dapat dipisahkan dengan perusahaan ladang-ladang di Tanah Melayu.

Dengan kedatangan imigran dari India, sekolah-sekolah Tamil juga dimulakan di ladang-ladang.

Kelas-kelas diadakan di bangunan-bangunan lapuk dan diajar oleh orang-orang yang tidak terlatih seperti kerani-kerani ladang atau ‘mandor’.

Sekolah-sekolah ini tidak mempunyai sukatan pelajaran yang tertentu dan kebanyakan buku-buku yang digunakan adalah dari India.

Pada tahun 1920, Kerajaan British melantik tiga orang sebagai Penolong Nazir Sekolah Tamil di Perak dan seorang di Selangor.

Langkah ini tidak dapat meningkatkan mutu sekolah-sekolah Tamil. Kadar keciciran adalah sangat tinggi dan kebanyakan pelajar tidak dapat menyempurnakan persekolahan mereka iaitu selama empat tahun.

Di kawasan- kawasan bandar, badan-badan agama mengusahakan pembinaan sekolah-sekolah Tamil.

Kurikulum, buku teks dan guru dibawa dari India. Pihak British tidak mengawal atau mementingkan sekolah-sekolah Tamil.

Pada tahun 1923, Kod Buruh diluluskan. Dengan ini, ladang-ladang yang mempunyai lebih dari 10 orang anak antara 7 hingga 14 tahun diwajibkan menyedia kemudahan persekolahan bagi mereka.

Ia akan dibiayai oleh majikan ladang-ladang tersebut dan pada amnya, mutu sekolah Tamil sangat rendah, pelajaran hanya diberikan selama empat tahun.

Oleh sebab buku-buku dan guru dibawa dari India, sekolah-sekolah ini lebih berorientasikan India seperti sekolah-sekolah Cina yang berorientasi kepada ideologi China.

Sejarah Pendidikan Sekolah Kebangsaan

Keburukan Sistem Vernakular

Pendidikan adalah salah satu cara terbaik untuk membentuk dan seterusnya menyuburkan semangat cintakan negara serta perasaan kekitaan antara kaum.

Namun begitu, kerana latar belakang sistem pendidikan yang berbeza-beza antara kaum, maka matlamat itu sukar untuk dicapai.

Sebelum British meninggalkan Tanah Melayu, mereka mulai menyedari masalah ini. Oleh itu, mereka telah mengambil inisiatif untuk mengatasinya dengan menubuhkan beberapa jawatankuasa yang berfungsi menyelidiki masalah ini dan mengutarakan pendapat dan cadangan bagi mengatasinya.

Antara jawatankuasa yang terawal dibentuk ialah Jawatankuasa Barnes pada tahun 1950.

Pengerusinya L.J Barnes mengambil kesimpulan bahawa perpaduan boleh dicapai melalui pendidikan pada peringkat rendah lagi iaitu dengan mengutarakan pendidikan satu aliran yang dinamakan Sekolah Kebangsaan dengan menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Serentak dengan ini semua sekolah berasaskan kaum harus ditutup untuk memastikan matlamat perpaduan dapat dicapai.

Walau bagaimanapun, cadangan seperti ini sukar dilaksanakan kerana setiap kaum belum bersedia melakukan demikian.

Hasilnya penyata Fenn-Yu menyarankan agar dikekalkan sahaja sekolah sedia ada dengan bahasa pengantar masing-masing.

Masalah pendidikan ini telah mendapat perhatian serius bukan sahaja dari kerajaan malahan juga dari segenap lapisan masyarakat.

Kerajaan Parti Perikatan yang diberi peluang mentadbir Tanah Melayu apabila memenangi pilihan raya tahun 1955.

Keprihatinan kerajaan Perikatan terserlah apabila Menteri Pendidikan, Dato’ Abdul Razak bin Hussien mengetuai satu jawatankuasa bagi mengkaji situasi pendidikan semasa.

Hasilnya pada tahun 1956, mereka telah mengemukakan satu laporan yang dikenal sebagai Laporan Razak.

Jawatankuasa ini mencadangkan satu bentuk pendidikan yang menyeluruh. Bagaimanapun, ia tetap mengekalkan sekolah rendah Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris menggunakan bahasa pengantar masing-masing.

Sesuatu yang baru dari jawatankuasa ini adalah sistem pendidikan sekolah menengah yang sama untuk semua kaum.

Ini bermakna tiada lagi sekolah berasaskan kaum dan penggunaan bahasa pengantar berbeza-beza pada peringkat sekolah menengah.

Cadangan daripada jawatankuasa ini telah diterima pakai oleh kerajaan Perikatan dan hingga sekarang pun sistem pendidikan kita mewarisi cadangan tersebut walaupun bukan sepenuhnya lagi.

Nampaknya hasrat untuk mewujudkan satu sistem pendidikan bersepadu melampaui sempadan perkauman masih tidak kesampaian sehingga hari ini.

Dengan ketiadaan satu semangat nasionalisme yang membawa kesepaduan rasa kesetiaan diiringi perasaan kekitaan yang tinggi maka sukar sistem pendidikan yang tunggal dapat dilaksanakan.

Malah, perasaan takut kehilangan identiti kaum masing-masing menjadi penghalang dalam mewujudkan sistem pendidikan yang berteraskan satu bahasa sahaja.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sejarahnusantaraef

Tuesday, October 22, 2019

Permohonan UPU Online Sesi Akademik 2020/2021

Permohonan UPU Online Sesi Akademik 2020/2021

Permohonan kemasukan ke Kolej Matrikulasi Kementerian Pendidikan dan Institut Pendidikan Guru (IPG) pengambilan sesi 2020/2021 kini boleh dibuat menerusi Unit Pusat Universiti Online (UPUOnline) menerusi laman sesawang Upu.moe.gov.my.

Permohonan UPU Online

Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ingin melanjutkan pelajaran ke institusi terbabit dipelawa mengemukakan permohonan.

Bermula Sesi Akademik 2020/2021 permohonan kemasukan pelajar ke Kolej Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) akan diselaraskan di bawah ‘Single Window, Single Offer’.

NO PIN

Untuk makluman, murid boleh mendaftar di sistem UPU Online bermula 21 Oktober 2019 tanpa terlebih dahulu membeli no pin.

Murid boleh membeli no pin di kaunter BSN pada minggu ke 4 Februari 2020 iaitu sebelum keputusan SPM dikeluarkan. Murid hanya boleh memilih program selepas 5 hari keputusan peperiksan diumumkan.

Murid hanya akan dapat memilih program yang layak berdasarkan keputusan SPM mereka. Permohonan akan ditutup pada minggu terakhir bulan Mac 2020.

Keputusan akan diumumkan pada minggu ke 3 bulan Mei 2020.

UPUonline 2019

Berdasarkan dasar single window single offer ini, pelajar hanya akan menerima SATU tawaran sahaja, sama ada daripada Matrikulasi/ IPG/Asasi UA/Diploma UA/ILKA, bagi Lepasan SPM.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Tuesday, August 27, 2019

Sarapan Percuma (PSP) Semua Pelajar Sekolah Rendah Bermula Tahun 2020

Sarapan Percuma (PSP) Semua Pelajar Sekolah Rendah Bermula Tahun 2020

Kementerian Pendidikan akan memastikan setiap pelajar yang hadir ke sekolah pada tahun hadapan akan menikmati makanan percuma sebelum sesi pembelajaran bermula dan langkah itu dibuat kerana di sebalik makanan percuma itu, berlaku perkara penting iaitu proses pendidikan sivik dan disiplin dapat diterapkan dalam kalangan pelajar.

PROGRAM SARAPAN PERCUMA (PSP)

Ia bukan sahaja memberi makanan berkhasiat dalam membentuk generasi baharu yang sihat, malah mendidik anak-anak mengenai sivik dan disiplin.

Sebelum makan basuh tangan, lepas makan kena kemas. Mereka semua ini akan makan bersama guru, katanya lagi.

Ditanya sama ada pelajar dari keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) sahaja yang akan diberikan makanan percuma, Maszlee menjelaskan makanan itu untuk semua pelajar.

"Semua pelajar akan dapat. Pelajar sesi pagi akan menikmati sarapan, begitu juga pelajar sesi petang," katanya.

10 SOALAN LAZIM PROGRAM SARAPAN PERCUMA (PSP)

1. Apa itu  Program Sarapan Percuma (PSP)?

Memberikan makanan berkhasiat yang mengikut nilai kalori dan amalan pemakanan seimbang bagi memastikan murid mengamalkan pengambilan sarapan, gaya hidup sihat serta merangsang proses tumbesaran mereka.

2. Siapakah kumpulan sasar?

Semua murid warganegara sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan dengan anggaran seramai 2.7 juta orang.

3. Bagaimana murid prasekolah, sekolah menengah?

Mereka tidak terlibat untuk program ini dan makanan untuk murid prasekolah melibatkan tatacara perolehan yang berlainan.

4. Bila dilaksanakan?

Bermula pada sesi persekolahan tahun 2020.

5. Bagaimana pengurusan PSP dan siapa pihak bertanggungjawab?

Menggunakan kaedah pengurusan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sedia ada dan sarapan ini nanti akan disediakan oleh pengendali kantin di setiap sekolah terlibat.

6. Waktu PSP dilaksanakan pukul berapa?

Dilaksanakan selama 30 minit di antara pukul 7 pagi hingga 8.30 pagi bagi sekolah sesi pagi dan di antara pukul 12 tengah hari hingga 4.00 petang bagi sekolah sesi petang.

7. Berapa kos?

Kementerian Pendidikan sedang meneliti kos yang bersesuaian bagi memastikan semua murid dapat menikmati hidangan yang baik dan berkualiti.

8. Bagaimana dengan penentuan menu dan jaminan kualiti?

Perbincangan berterusan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan pakar-pakar pemakanan di beberapa universiti tempatan. Langkah-langkah bersesuaian melalui kerjasama pelbagai pihak diambil bagi menjamin kualiti sarapan yang disediakan.

9. Ada projek rintis PSP?

PSP rintis telah bermula di beberapa buah sekolah sejak awal Ogos 2019 dan dijangka berakhir pada Oktober 2019.

10. Peruntukan PSP guna dana daripada kutipan cukai gula?

Penggunaan dana daripada cukai gula merupakan sebahagian daripada cadangan yang akan diteliti dalam Jawatankuasa Khas yang akan ditubuhkan bagi bincang mengenai PSP secara terperinci

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Sunday, July 14, 2019

STPM Atau Matrikulasi, Peluang Mana Lebih Baik?

STPM Atau Matrikulasi, Peluang Mana Lebih Baik?

Kementerian Pendidikan pernah menegaskan bahawa kerajaan tidak membezakan antara kelayakan pemegang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan matrikulasi untuk kemasukan ke universiti awam sebaliknya, ini diputuskan berdasarkan meritokrasi.

STPM Atau Matrikulasi

Namun, berdasarkan data dari tahun akademik 2018/2019, peluang untuk ke universiti awam bagi pelajar yang melalui sistem pendidikan matrikulasi adalah lebih cerah baik berbanding dengan pelajar yang mengambil peperiksaan STPM.

Menurut jawapan bertulis bertarikh 3 Julai 2019 oleh Menteri Pendidikan Maszlee Malik, 33,197 lepasan STPM dan 20,907 calon lepasan matrikulasi yang memohon ke universiti awam.

Daripada jumlah 33,197 calon STPM itu, 24,375 atau 73.4 peratus ditawarkan tempat pengajian di IPTA.

Manakala daripada jumlah 20,907 calon lepasan matrikulasi berkenaan sebanyak 20,269 atau 96.9 peratus ditawarkan tempat ke IPTA.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Friday, May 17, 2019

Ditemui atau Ditemukan, Menemui atau Menemukan?

Ditemui atau Ditemukan, Menemui atau Menemukan?

Pasti ramai ingin bertanya tentang perbezaan maksud dan penggunaan imbuhan bagi kata "ditemukan" dan "ditemui" serta "menemukan" dan "menemui", berdasarkan kekerapan pihak akhbar mula menggunakannya sejak akhir-akhir ini.

Mayat Ditemukan

Ditemui atau Ditemukan?

Menurut DBP, ayat ditemukan ialah kata kerja pasif menemukan yang bermaksud dijumpai sesuatu yang dicari, seperti ayat "kereta yang dicuri telah ditemukan dalam kawasan hutan berhampiran."

Manakala ditemui ialah kata kerja pasif menemui bermaksud bertemu dengan, berjumpa dengan seseorang atau pergi bertemu dengan, seperti ayat "gadis idamannya belum lagi ditemui."

Contoh:

Yang manakah betul; Batu tersebut telah ditemukan di Kuala Kangsar atau Batu tersebut telah ditemui di Kuala kangsar?

Ayat yang betul ialah, 'Batu tersebut telah ditemukan di Kuala Kangsar' kerana kata terbitan ditemukan lebih tepat untuk terjemahan found something dalam bahasa Melayu, manakala kata ditemui ialah terjemahan meet somebody dalam bahasa Melayu.

Menemui atau Menemukan?

Begitu juga dengan ayat menemukan yang membawa maksud finding dalam Bahasa Melayu, manakala menemui membawa maksud meet dalam Bahasa Melayu seperti Ahmad menemui sahabatnya di Kuala Lumpur.

Sebagai tambahan, "ditemukan" ialah kata kerja pasif menemukan yang bermaksud dijumpai sesuatu yang dicari, seperti ayat "kereta yang dicuri telah ditemukan dalam kawasan hutan berhampiran."

Manakala "ditemui" ialah kata kerja pasif menemui bermaksud bertemu dengan, berjumpa dengan seseorang atau pergi bertemu dengan, seperti ayat "gadis idamannya belum lagi ditemui."

Lucu Tapi Tidak Kelakar

Mari kita berikan contoh ayat yang kita telah biasa gunakan selama berpuluh tahun dengan penggunaan ayat-ayat baru yang nampak pelik ini.

1. Ditemui/Ditemukan

Mayat seseorang telah ditemukan di dalam sebatang sungai.

Lucu: Adakah dua mayat (mungkin pasangan kekasih) telah ditemukan di dalam sungai?

Bukankah penggunaan ayat ditemui lebih sesuai?

2. Menemui/Menemukan

Polis telah menemukan gadis cantik yang telah di culik dalam sebuah rumah banglo.

Lucu: Adakah polis perlu menemukan gadis tersebut dengan sesiapa terlebih dahulu sebelum diselamatkan atau dihantar pulang kepada keluarganya?

Bukankah ayat menemui yang juga bermaksud telah menjumpai lebih sesuai?

Kenapa selama ini penggunaan ditemukan dan menemukan tidak pernah digunakan dalam silibus generasi lama?

Kita tiada masalah dengan perubahan tetapi penggunaan ayat-ayat ini terlalu pelik dan janggal.

Mungkinkah ini hasil dari sistem pendidikan KBAT yang sebenarnya telah dianggap gagal kerana hanya gah diatas kertas tapi hasilnya sangat menghampakan?

Aras berfikir KBAT dianggap terlalu tinggi dan hanya layak digunakan makhluk asing yang sangat genius dan tinggal di planet Marikh.

Apa kata anda?

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Tuesday, May 14, 2019

10 Fakta Kenapa Sistem Pendidikan Di Finland Terbaik Di Dunia

10 Fakta Kenapa Sistem Pendidikan Di Finland Terbaik Di Dunia

Sistem persekolahan di Malaysia masih terlalu mementingkan markah di atas kertas dan membebankan guru dan pelajar dengan silibus yang terlalu terkehadapan berbanding usia. Sejak dari dulu lagi, sistem persekolahan di Malaysia terlalu mementingkan markah. Terlalu menekan pelajar. Yang otak geliga semakin pandai, yang bodoh bertambah bodoh. Maaf.

Sistem Pendidikan Finland

Buktinya, Finland adalah contoh negara yang mengubah sistem pendidikan mereka ke arah yang lebih sihat dan malangnya, sistem pendidikan KBAT di Malaysia nampaknya satu kegagalan besar yang telah terbukti.

Kenapa? Seperti kata orang, pendidikan di Malaysia adalah peluang sesetengah pihak untuk membuat keuntungan lumayan, bukannya bertujuan menjadikan pelajar menjadi bijak dan mampu berdikari sendiri.

Tanpa berniat untuk mengungguli carta pencapaian pelajar, di Finland mereka telah membuktikan dan berjaya mencapainya dengan sistem pendidikan yang lebih holistik.

Berikut adalah 10 sebab kenapa sistem pendidikan Finland dilihat sebagai antara yang terbaik di dunia:

1. Tiada ujian seragam

Ujian seragam seperti UPSR, PMR dan SPM sering dilihat sebagai cara mudah untuk mengukur kefahaman subjek seorang pelajar.

Membulatkan jawapan objektif dan menjawab soalah yang diramalkan dilihat sebagai ukuran penguasaan pelajar.

Akhirnya, pelajar akan belajar untuk mengejar kelulusan ujian dan guru akan mengajar dengan tujuan agar pelajar lulus ujian. Tujuan pembelajaran sebenar entah dicapai atau tidak.

Finland tidak mempunyai ujian seragam melainkan National Matriculation Exam, iaitu ujian sukarela untuk pelajar di peringkat sekolah menengah atas.

Semua kanak-kanak di Finland digredkan secara individu dan sistem penggredan ditetapkan oleh guru mereka.

Pun begitu, Kementerian Pendidikan mereka tetap menyemak perkembangan keseluruhan dengan cara menguji sebilangan pelajar daripada pelbagai jenis sekolah.

2. Guru tidak ‘diawasi’ dengan ketat

Banyak yang menyalahkan guru apabila berlaku sesuatu dan kadangkala ianya wajar. Tetapi di Finland, disebabkan standard yang tinggi untuk menjadi seorang guru, tiada keperluan untuk mengadakan sistem pemarkahan guru yang ketat.

Semua guru dikehendaki memiliki ijazah sarjana sebelum memasuki kerjaya tersebut dan jurusan perguruan merupakan jurusan paling ketat dan terpilih di seluruh negara.

Sekiranya seorang guru tidak berfungsi dengan baik, pengetua yang bertanggungjawab melakukan sesuatu mengenainya. Ini bermakna pengawasan guru bukanlah atas pemeriksaan birokrasi dan ujian seragam. Ia ditangani secara individu.

Di Malaysia, guru akan dilambakkan dengan tugasan kerani dan bagi guru yang membantah, akan ditukar ke sekolah lain sesuka hati. Fakta.

3. Kerjasama, bukan persaingan

Sistem pendidikan Finland tidak seperti di negara lain yang mementingkan persaingan. Tiada senarai sekolah atau guru yang berprestasi tinggi.

Ia bukan persekitaran untuk persaingan, sebaliknya menggalakkan kerjasama, bahkan mereka juga tidak berniat untuk berada di kemuncak perbandingan antara pendidikan negara-negara maju.

Ironinya, sikap tidak mempedulikan status ini telah meletakkan mereka teratas di peringkat antarabangsa.

Di Malaysia, pelajar pintar akan dihimpunkan di satu sekolah yang dilengkapi segala keperluan dan peralatan terkini yang serba lengkap.

Manakala sekolah yang berada jauh dari pusat bandar seolah-olah diabaikan dengan peralatan serba usang, malah ada yang dilengkapi makmal komputer tetapi tiada bekalan elektrik, kecuali set generator. Tak percaya?

4. Mengutamakan yang asas

Tumpuan kepada markah ujian dan kefahaman dalam matematik dan sains selalu membuatkan kita terlupa apa yang membentuk suasana pembelajaran dan pelajar yang bahagia, harmoni dan sihat.

Program yang dijalankan Finland memberi tumpuan kepada yang asas. Ia bukan tentang menguasai pelajaran dan mendapat markah tinggi.

Sebaliknya, mereka mahu membuat persekitaran sekolah menjadi tempat yang menggalakkan kesaksamaan.

Sejak reformasi pendidikan pada tahun 1980-an, pendidikan di Finland telah memberi tumpuan untuk menjadikan asas-asas berikut sebagai keutamaan:
  • Pendidikan harus menjadi instrumen untuk mengimbangkan ketidaksamaan sosial.
  • Semua pelajar menerima makanan sekolah percuma.
  • Kemudahan akses kepada penjagaan kesihatan.
  • Kaunseling psikologi.
  • Panduan diberikan berdasarkan individu.

Perkara ini mungkin kedengaran remeh tetapi memberikan kanak-kanak permulaan yang saksama bererti Finland dapat menangani segala masalah sosio-ekonomi (pengangguran, keciciran daripada sekolah, jenayah dan salah laku sosial) yang lahir dengan ketidaksamaan sosial.

Setiap anak, baik yang miskin mahupun kaya bersekolah dan bersosial dalam persekitaran yang sama, tiada sekolah swasta untuk anak orang kaya dan sekolah kerajaan yang daif untuk anak pelajar miskin.

Di Malaysia, pemberian RMT secara berpilih adalah simbol untuk mengharap dan sentiasa meminta bantuan kerajaan.

5. Memulakan sekolah pada usia lebih besar

Pelajar mula bersekolah pada usia tujuh tahun, bukan enam atau lima. Meskipun tadika untuk kanak-kanak 6 tahun disediakan, kehadiran bukanlah wajib.

Mereka diberikan kebebasan sewaktu zaman perkembangan kanak-kanak untuk tidak dipaksa melalui pendidikan wajib. Mereka membiarkan kanak-kanak bersikap seperti kanak-kanak.

Terdapat hanya 9 tahun persekolahan yang wajib dihadiri kanak-kanak Finland. Pendidikan setelah kelas kesembilan atau pada usia 16 adalah atas pilihan.

Jika dilihat dari sudut psikologi sahaja, ini adalah kebebasan yang ideal. Para pelajar tidak berasa seperti mereka tersekat dalam penjara.

Finland membebaskan mereka daripada tempoh persekolahan yang dipaksakan dan sebaliknya memilih untuk menyediakan pelajar untuk dunia sebenar.

Di Malaysia, tidak menghantar anak ke tadika sahaja boleh menjadi punca dikecam ibu bapa lain bahkan guru darjah itu sendiri.

Disebabkan tekanan untuk memastikan pelajar dapat mengikuti pelajaran darjah satu yang agak terkehadapan, kanak-kanak seawal usia 5 dan 6 tahun sudah diharap dapat mengenal huruf.

6. Menyediakan pilihan profesional selain ijazah universiti biasa

Bagi kebanyakan negara, aliran pendidikan tradisional kebiasaannya melibatkan persekolahan dan kemudian melanjutkan pelajaran ke kolej atau universiti.

Sama ada kita mahu mengakuinya ataupun tidak, sebenarnya tidak semua orang perlu memasuki kolej atau universiti.

Di Malaysia, ramai pelajar melanjutkan pelajaran dengan mengambil ijazah dalam jurusan yang tidak bermakna kepada mereka dan terpaksa menanggung hutang yang melampau.

Finland menyelesaikan masalah ini dengan menawarkan pilihan yang masih menguntungkan bagi pelajar yang meneruskan pendidikan mereka.

Universiti dan politeknik merupakan dua pilihan bagi pelajar. Kedua-duanya diiktiraf tinggi secara profesional dan layak bersaing dalam kerjaya.

Bagi kita, bersekolah sekadar di peringkat menengah merupakan satu kelemahan sedangkan di negara-negara Scandinavia, bersekolah sehingga peringkat menengah dan memasuki politeknik tidak dipandang rendah dalam masyarakat kerana ia sudah menjadi kebiasaan.

Di Malaysia, tidak menghabiskan sekolah menengah seolah-olah satu perkara yang hina dan jijik walaupun mempunyai kemahiran.

Ingat, bukan semua orang dilahirkan pandai. Ada yang dicipta Allah dengan bakat dan kemahiran individu.

7. Pelajar tidak perlu bangun awal untuk bersekolah

Terkejar-kejar bersarapan, menunggu bas atau mengayuh basikal pada awal pagi, di samping waktu untuk perhimpunan pagi dan program kokurikulum; kesemuanya mengambil masa pelajar yang banyak. Hasilnya, pelajar akan mengantuk dan penat untuk dididik.

Pelajar di Finland biasanya bermula waktu persekolahan sekitar jam 9:00 – 9:45 pagi.

Kajian menunjukkan bahawa permulaan terlalu awal boleh menjejaskan kesejahteraan, kesihatan dan kematangan pelajar. Sekolah-sekolah Finland bermula agak lambat dan kebiasaannya berakhir sekitar 2:00–2:45 petang.

Mereka mempunyai tempoh kelas yang lebih lama dan waktu rehat yang lebih panjang di antaranya.

Di Malaysia, pelajar bermula pada jam 7 pagi, bersambung dengan sekolah agama sehingga jam 5 petang dan kerja rumah pada waktu malam, belum termasuk waktu tuisyen. Kecemerlangan apa yang menteri pendidikan harapkan?

8. Arahan yang konsisten daripada guru yang sama

Bilangan guru dan pelajar dalam kelas di Finland agak sedikit berbanding negara lain. Pelajar di Finland kebiasaannya mempunyai guru yang sama sepanjang enam tahun pendidikan mereka.

Pada masa ini, guru mengambil peranan seperti seorang mentor atau ahli keluarga. Selama bertahun-tahun, kepercayaan dan ikatan dibina supaya kedua-dua pihak mengenali dan menghormati satu sama lain.

Keperluan dan gaya pembelajaran berbeza mengikut individu. Guru-guru Finland mengenal pasti keperluan pelajar mereka.

Mereka boleh mencatat dengan tepat dan mengawasi perkembangan mereka serta membantu mereka mencapai matlamat mereka. Tiada istilah lepas tangan kepada guru yang lain.

Di Malaysia, pelajar akan ponteng sekolah pada hari tertentu. Kenapa? Kerana ada sebilangan guru yang suka membunuh semangat pelajar.

9. Suasana yang lebih santai

Kurang tekanan, kurang jadual, sebaliknya lebih panduan. Pelajar biasanya hanya belajar beberapa subjek dalam sehari.

Mereka mempunyai masa beberapa kali untuk makan, menikmati aktiviti rekreasi dan berehat. Terdapat waktu rehat sekitar 15-20 minit beberapa kali dalam sehari.

Persekitaran sebegini juga diperlukan guru. Bilik guru yang disediakan juga membolehkan mereka berehat dan bersantai, bersedia untuk pelajaran atau untuk bersosial.

Guru juga manusia dan memerlukan istirehat supaya dapat bekerja dengan baik. Di Malaysia, tak payah cerita la.

10. Kurang kerja rumah dan tugasan luar

Menurut OECD, pelajar di Finland mempunyai jumlah kerja rumah dan tugasan luar paling sedikit berbanding pelajar lain di dunia.

Mereka hanya menghabiskan masa setengah jam untuk kerja rumah. Pelajar Finland juga tidak menghadiri tuisyen.

Mereka mencantas budaya pendidikan yang mementingkan kelas tambahan dan kerja rumah di samping mengelakkan tekanan perasaan kepada pelajar.

Pelajar Finland mendapat semua yang mereka perlukan di sekolah tanpa tekanan tambahan untuk berlumba mendapat markah cemerlang dalam sesuatu subjek.

Tanpa perlu risau tentang gred dan kerja rumah, mereka dapat memberi tumpuan kepada tugas sebenar mereka, belajar dan berkembang sebagai manusia.

Di Malaysia, guru dan pelajar dilayan seperti robot dan buruh kasar. Kasihan.

BACA INI JUGA:

sumber: says

Monday, March 25, 2019

Bermula 2020 Semua Murid Sekolah Rendah Bakal Nikmati Sarapan Percuma!

Bermula 2020 Semua Murid Sekolah Rendah Bakal Nikmati Sarapan Percuma!

Bermula tahun 2020 nanti, murid-murid di semua sekolah rendah bakal mendapat sarapan secara percuma! Perkara ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad di Invest Malaysia 2019 pada 19 Mac lalu.

Skim sarapan percuma

Program sarapan percuma ini adalah hasil pembiayaan daripada cukai gula yang sudah diumumkan sebelum ini tetapi ditangguhkan pelaksanaannya.

“Penangguhan pelaksanaan cukai itu bagi membolehkan kerajaan meneliti mekanisme berkesan untuk memastikan pelaksanaan cukai bagi penjagaan kesihatan mencapai objektifnya,” katanya.

Semasa pembentangan Belanjawan 2019 yang lalu, kerajaan telah mencadangkan untuk melaksanakan cukai eksais 40 sen seliter pada minuman manis yang mengandungi lima gram gula atau pemanis berasaskan gula bagi 100 mililiter (ml), termasuk buah-buahan dan jus sayuran dengan kandungan gula lebih 12 gram bagi 100ml mulai 1 April 2019.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan cukai itu telah ditangguhkan ke 1 Julai bagi memberi masa yang cukup kepada pihak industri untuk membuat persediaan.

Program sarapan percuma ini dilakukan bagi membolehkan murid-murid sekolah rendah untuk kekal sihat dan bertenaga sepanjang sesi persekolahan

Memetik kajian pakar pemakanan tiga pusat pengajian, Universiti Oxford, Cambridge, Glasgow dan St George mendapati tabiat tidak mengambil sarapan pagi secara sihat dalam kalangan kanak-kanak boleh mengundang risiko menghidap penyakit diabetes apabila usia mereka meningkat dewasa.

Tahap insulin yang tinggi boleh mengakibatkan badan kanak-kanak untuk kurang bertindak-balas terhadap perkembangan hormon yang kebiasaannya akan mengawal jumlah gula dalam aliran darah.

Risiko tersebut boleh berlaku disebabkan tahap insulin dalam badan kanak-kanak, sekali gus menjadi faktor utama penyakit tersebut.

Bukan itu sahaja, adalah didapati bahawa kanak-kanak yang tidak mengambil sarapan secara sihat akan lebih cenderung untuk memakan makanan yang mengundang kepada kegemukan pada waktu tengah hari atau malam.

Amalan sarapan secara sihat dalam kalangan kanak-kanak sebagai diet seimbang boleh mendapat banyak manfaat bagi mengelakkan golongan itu terdedah kepada kebanyakan penyakit.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: says

Thursday, January 10, 2019

Kecelaruan Sistem Pendidikan Di Malaysia

Kecelaruan Sistem Pendidikan Di Malaysia

Kita memandang ke Timur buat kali kedua. Tumpuan Dasar Pandang Ke Timur 2.0 sekali lagi terarah kepada Jepun yang membina tamadunnya menerusi reformasi pendidikan (educational reform), begitu juga dengan Norway. Negara ini keluar dari belenggu kemiskinan dengan menekankan kepentingan pendidikan dan latihan kemahiran.

Pendidikan Di Malaysia

Malaysia pula membiarkan pendidikan menjadi produk komersil kepentingan sesetengah pihak, tanpa memikirkan padah yang bakal menimpanya.

Di Malaysia, pendidikan adalah arena bagi semua pihak menjalankan eksperimen tanpa perancangan. Pelajar menjadi bahan uji kaji.

Penyata demi penyata, sejak zaman pra-merdeka disediakan, akhirnya yang dilaksanakan hanyalah apa yang Menteri pendidikan mimpikan malam sebelumnya.

Sejak dulu hingga kini, eksperimen pendidikan sudah menjadi mainan pemimpin politik.

Sepintas lalu, cuba kita teliti beberapa Penyata pendidikan yang kita sudah hasilkan, sejak Penyata Razak 1956.

Hari ini apa yang berlaku, pembukaan taman asuhan dan pra-sekolah tumbuh merata-rata mengikut selera pihak yang menubuhkannya sebagai satu aktiviti ekonomi, tanpa kawalan.

Diperingkat sekolah rendah, selain penubuhan sekolah-sekolah vernakluar yang kian hilang kawalan, pertumbuhan sekolah tahfiz swasta juga menjadi tarikan. Tiada siapa peduli.

Tak cukup dengan keparahan itu, dalam Model Baru Ekonomi yang dilancarkan pada 30 mac 2010, mencelarukan lagi sistem pendidikan yang terlalu keruh itu.

Atas nama kepentingan ekonomi dipacu swasta, lesen pembukaan sekolah antarabangsa sewenang-wenangnya diberikan.

Anak cucu menteri yang mula-mula sekali memenuhi kerusi di sekolah-sekolah ini.

Di luar, datuk dan ayah mereka melaung-laung, memperjuangkan dasar pendidikan kebangsaan, di rumah lain lakonan mereka.

Di luar kita didesak untuk menghalang pengiktirafan UEC, di belakangnya tangan-tangan yang sama memberikan pengiktirafan kepada UEC. Ini bukan cerita baru, ini cerita dari satu kerajaan kepada satu kerajaan.

Tiba di peringkat universiti, lain pula ceritanya. Pelajar disaran bila keluar nanti untuk memikirkan bagaimana menjadi usahawan.

Yang mengajar ilmu keusahawanan ialah para profesor yang tidak pernah sesaat pun menjadi usahawan.

Profesor yang sama juga tidak ada langsung pendedahan kepada dunia perniagaan dan perindustrian d luar sana.

Majoriti tenaga pengajar ini tiada pertalian atau apa saja bentuk kerjasama dengan industri. Masakan mereka mampu membawa dan mendedahkan pelajar bimbingan mereka dengan dunia keusahawanan.

Dengan sektor swasta dikuasai bukan Melayu, tekanan semakin memuncak terhadap kebolehpasaran graduan Melayu dan bumiputera.

Dulu kononnya kebolehpasaran amat rendah dikalangan graduan ini kerana mereka lemah dalam penguasaan Bahasa Inggeris, maka dilaksanakanlah Program Pendidikian Sains & Matematik Dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Tujuh tahun kemudian baru disedari program itu menghasilkan malapetaka berganda (double jeopardy) kepada pelajar Melayu yang lemah dalam subjek Sains dan Matematik adalah juga mereka yang lemah dalam Bahasa Inggeris.

Kini, bila kerajaan cuba utamakan Program STEM baru mereka sedari pelajar yang minat dan layak, terutama dikalangan pelajar Melayu, tidak ramai.

Pun kerajaan gagal memahami punca sebenar kegagalan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Melayu terutamanya.

Atas nasihat pakar ekonominya, dilaksanakan pula Dual-Language Program (DLP) dan High-Immersion Program, bagi menggantikan PPSMI.

Kedua-dua program dilaksanakan atas paksaan dan tanpa sebarang kajian mendalam mengenainya.

Kini khabarnya Program DLP akan diganti dengan penubuhan semula sistem pendidikan aliran Inggeris sepenuhnya.

Jika diteliti dan diperhalusi, kesemua kecelaruan dalam melaksanakan pelbagai program tanpa kajian itu hanya berpunca kepada satu permasalahan, iaitu kelemahan penguasaan subjek Bahasa Inggeris.

Kita tak sudah-sudah menjalankan eksperimen kepada sistem pendidikan bagi menyelesaikan satu isu yang terlalu basik, sehinggakan kita terlepas pandang kepada agenda pendidikan yang jauh lebih penting.

Di Singapura misalnya, mereka sudah menjadikan sekolah sebagai arena mengasah bakat dan membina keperibadian, bukan lagi sekolah sebagai tempat untuk mengajar subjek 3M.

Kita masih bergelut dengan isu bahasa penghantar apa yang nak diutamakan, kita masih bergelut cuba menghalang pengiktirafan Bahasa Mandarin sebagai kelayakan memohon kerja.

Kita masih lagi berlumba dengan Jabatan Bomba memadam api sekolah tahfiz yang sering terbakar kerana pembinaan sekolah-sekolah tak mengikut piawaian yang ditetapkan.

Kita terus meminggirkan sistem pendidikan di Sekolah Kebangsaan kerana ia tidak lagi menjadi sekolah pilihan.

Akhirnya dek keletihan dengan terlalu banyak angin perubahan ini apa yang mampu difikirkan oleh Menteri Pendidikan hanyalah menukar warna kasut dan stokin.

Dalam kesibukan institusi pendidikan memenuhi kehendak agenda ekonomi, kementerian terlepas pandang peranan pendidikan dalam memupuk integrasi nasional.

Samada kita semua sedar dan terima hakikat ini atau tidak, tahap toleransi antara kaum dan agama di Negara ini sudah kian merudum.

Ia kini sudah menjadi bom jangka yang tiada siapa tahu bila akan meletup dan tiada siapa dapat mengawalnya.

Kekecohan di kuil Sri Mariaman USJ dan tabiat buruk seorang menteri yang berbohong di luar negara, adalah manifestasi kepada padah yang sedang menanti.

Dengan pemergian wira Negara, seorang pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat, arwah Muhammad Adib Mohd Kassim yang menjadi mangsa kekecohan di kuil berkenaan, mencetus konflik perkauman.

Yang sedihnya pemergian arwah tidak sedikit pun mencuit rasa bersalah kaum yang merusuh itu.

Sepertimana yang dikatakan oleh salah seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor, Bumiputera pula yang dipersalahkan.

Keceluparan itu mengguris hati kaum majoriti ini yang kini merasakan mereka kian tersisih dan diperleceh, kononnya sebagai bangsa pendatang, bangsa yang pemalas dan sebagainya.

Pemimpin sering bercakap bagaimana untuk bersaing dipersada global dengan kerancakan dan perlumbaan mengejar kemajuan teknologi 4.0 dan sebagainya.

Adakah pemimpin sedar, di bawah sana rakyat sedang bergelut untuk memahami apa sebenarnya yang kerajaan hendak lakukan untuk menentukan masa depan Negara ini?

Adakah sistem pendidikan kita direncanakan untuk melahirkan insan-insan menjadi hamba ekonomi, seperti yang pernah dialami Jepun sebelum era 1980an?

Adakah sistem pendidikan akan gagal dalam peranannya memupuk integrasi nasional masyarakat yang kian polarised ini?

Adakah sistem pendidikan akan menjadikan agama Islam terus berlabelkan tahfiz sebagai pusat kebangkitan gerakan militan?

Apa lagi yang hendak dipolitikkan oleh pemimpin yang rakyat sudah kian rimas menjadi mangsanya?

Orang lain mentertawakan kita, kita mentertawakan diri sendiri dengan sistem pendidikan yang flip-flop.

Bila ditegur kita menjadi terlalu emotional, lantas kita berparang sesama sendiri, kerana Rukun Negara telah diketepikan.

Kita ketiadaan satu pedoman nasional untuk semua rakyat sepakat membina integrasi nasional acuan kita sendiri, sepertimana Indonesia dengan pancasilanya.

***

Penulis adalah Datuk Dr Hasan Mad, Setiausaha Agung MPM.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Monday, November 26, 2018

Dulu Pelajar Tercorot, Kini Miliki PhD

Dulu Pelajar Tercorot, Kini Miliki PhD

Pernah menjadi pelajar tercorot, gagal mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)cemerlang juga dikatakan masa hadapanya gelap. Itu pengalaman dilalui oleh Prof. Madya Dr Midhat Nabil apabila mengenang kembali kisah perjalanannya ketika dibangku sekolah dan kisahnya tular di media sosial.

Prof. Madya Dr Midhat
Prof. Madya Dr Midhat bersama isteri.

Katanya, dia terpanggil untuk berkongsi pengalaman ketika belajar kerana mahasiswanya menyangkakan dirinya adalah seorang pelajar cemerlang. Tetapi realitinya adalah tidak.

Memetik Facebook miliknya, beliau memberitahu, keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) adalah baik dengan memperolehi 2A 2C.

Selepas itu, prestasi akademik terus merundum, disebabkan oleh sifat malas belajar yang ada pada dirinya.

Bagi keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), beliau hanya mendapat 2A sahaja dan C bagi subjek Matematik, sekali gus meranapkan impiannya untuk memasuki aliran Sains.

Tanpa kerelaan, beliau mengambil aliran perakaunan tetapi nasib menyebelahinya apabila pihak sekolah membuka peluang pelajar aliran lain untuk mengambil aliran Sains.

Pada awalnya, beliau dikatakan tidak layak memasuki kelas aliran Sains tetapi telah berjanji kepada gurunya untuk belajar bersunguh-sungguh.

Sebaik mengikuti aliran Sains, beliau berasa kesal kerana membuat keputusan silap berikutan subjek Sains Tulen sukar terutama subjek Metamatik Tambahan yang dianggap sebagai 'killer subject'.

Hidupnya diselubungi kegelapan apabila setiap tahun, keputusan peperiksaan sangat teruk dan antara tercorot di dalam kelas.

Akhirnya, keputusan SPM sebenar, beliau tidak memperolehi satu A dan guru memberitahu, masa hadapannya gelap gara-gara sikapnya tidak mahu berubah.

Susulan menerima keputusan itu, Dr Midhat, cuba menyambung pelajar di pelbagai institusi, malangnya ditolak dan bermulalah episod dirinya bergelar seorang operator pengeluaran di sebuah kilang di Bangi.

Selepas enam bulan, beliau telah bertukar kerja sebagai pembantu jualan pula di farmasi.

Pelbagai rintangan diharungi termasuk pernah gagal dalam program diploma Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi kursus Pra-Sains.

Setelah berjaya memasuki program di UiTM Jengka Pahang, beliau hanya memperolehi keputusan CGPA 1.92.

Bagaimanapun, tuah berpihak kepadanya, apabila diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di universiti tersebut.

Bermula dengan langkah kanan, dirinya nekad untuk berjaya dan telah memperolehi CGPA 3.25.

Pelbagai usaha dilakukan seperti rajin berjumpa dengan pensyarah, banyak mengulangkaji, mencari maklumat di perpustakaan dan menyertai 'study group'.

Beliau telah melanjutkan pengajian diploma Kimia Perindustrian di UiTM Arau, Perlis, kemudian peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Kimia dan berjaya menjadi pelajar pertama yang memperolehi keputusan Kelas Pertama bagi fakulti tersebut.

Tidak terhenti di situ sahaja, beliau juga mengikuti Masters dalam bidang Biochemical Engineering (by Coursework) di School of Chemical Engineering, University of Birmingham, Amerika Syarikat dan dinobatkan antara dua pelajar terbaik dalam program tersebut sekaligus menawarkan pengajian PhD di dalam bidang Chemical Engineering oleh universiti yang sama.

Meskipun dulu, beliau pernah menjadi pelajar tercorot, tetapi dia kini berjaya menamatkan pengajian PHD dalam tempoh empat tahun malah dicalonkan untuk anugerah Tesis Terbaik.

"Yang paling penting adalah belajar dari kegagalan yang lalu dan jangan sekali-kali berputus asa.

"Insya-ALLAH kalau saya boleh berjaya, semua pun pasti boleh melakukannyam," katanya.

Jadi, apa yang adik-adik mampu pelajari dari kisah diatas? Jawabnya, jangan berputus asa. Semoga berjaya.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Wednesday, November 07, 2018

Anak Umur 7 Tahun Belum Pandai Membaca, Adakah Ibu Bapa Perlu Risau?

Anak Umur 7 Tahun Belum Pandai Membaca, Adakah Ibu Bapa Perlu Risau?

Setujukah anda, anak-anak yang bakal berumur 7 tahun, yang akan memasuki tahun 1 di sekolah rendah perlu dipastikan telah pandai membaca? Dalam hati mak-mak selalu mengharapkan anak-anaknya jadi yang terbaik di kalangan rakan sebaya.

Anak membaca
Gambar hiasan.

Masuk saja darjah satu, mak-mak dah mula percaya anaknya perlu pandai membaca. Tapi tak semua anak sama perkembangan pembelajarannya.

Ada sebab kenapa mak-mak tak boleh mendesak jika anak-anak belum pandai-pandai lagi membaca walaupun dah masuk usia 7 tahun. Nor Azura Ismail, Childcare Practitioner ini terangkan dengan lengkap jawapannya.

***

Sebagai seorang pengiat industri pendidikan awal kanak-kanak, jawapan saya ialah sangat tidak bersetuju sama sekali.

Jawapan yang sering tak terjawab di minda saya, aduhai mengapa perlu menekan dan memaksa anak-anak di bawah 7 tahun ini belajar beria-ria dan buat latih tubi membaca seperti anak-anak yang telah bersekolah?

Kenapa nak marah pada anak memasuki umur 7 tahun yang belum dapat membaca lagi?

Sebenarnya, kita sebagai pendidik dan ibu bapa belum memahami anak-anak dan paling parah, kita tidak memahami konsep pendidikan awal kanak-kanak.

Suatu ketika dulu, saya pernah membuat kesilapan dalam merealisasikan pendidikan awal kanak-kanak ini kepada anak-anak berumur 4, 5 dan 6 tahun.

Ketika itu saya mengusahakan perniagaan TADIKA saya sendiri dan matlamat akhir saya dan juga bagi memenuhi harapan tinggi ibu bapa ialah di akhir tahun pembelajaran nanti, anak-anak ini mesti sudah boleh membaca.

Maka, saya akan sedaya upaya memastikan matlamat tersebut tercapai.

Apa Yang Saya buat?

Antaranya saya perkenalkan kepada ibu bapa program membaca dengan cepat;
  • Mengadakan sesi belajar ‘one to one’ dengan anak-anak kecil ini.
  • Adakan kelas tambahan membaca.
  • Latih tubi membaca setiap hari.

Hakikatnya SAYA PAKSA EMOSI ANAK-ANAK INI UNTUK BELAJAR!

Hasilnya, kerana anak-anak ibarat span yang mudah menyerap apa sahaja, lalu ramailah anak-anak keluaran TADIKA saya boleh membaca dengan baik.

Malah, bukan sekadar bacaan dalam Bahasa Malaysia bahkan bacaan dalam bahasa Inggeris juga. Itulah yang diimpikan ibu bapa.

Aduh, bangganya saya kerana dapat melahirkan anak-anak yang boleh membaca di awal usia. Anak-anak itu terus dilabel sebagai anak yang cerdik dan pintar yang boleh membaca di awal usia sebelum 6 tahun. Itu yang kebanyakan TADIKA akan cuba capai.

TADIKA yang dapat mengeluarkan anak-anak yang boleh membaca, itulah TADIKA yang terbaik pada pandangan dan persepsi ibu bapa.

Secara tidak langsung inilah perkara utama yang dapat mempromosi TADIKA supaya ramai lagi ibu bapa yang menghantar anak ke situ.

Tetapi, SAYA MULA PERASAN, anak-anak yang boleh membaca awal usia biasanya adalah anak-anak yang kurang keyakinan diri, penakut, pemalu, pendiam, kategori anak-anak yang tak banyak bermain malah kurang pandai bergaul dan berkomunikasi.

Mereka mempunyai emosi yang kurang sihat dan self esteem yang rendah. Saya perasan itu semua.

Saya juga perasan, anak-anak yang tidak pandai membaca pada usia 5@6 tahun adalah anak-anak yang tak boleh duduk diam, aktif dan banyak bermain serta banyak meneroka dan banyak keinginan serta perasaan ingin tahu.

Saya Mula Tertanya Mengapa?

Bila saya terjun ke bidang pendidikan awal kanak-kanak yang lebih muda sedari 0 hingga 4 tahun, saya mula sedar kesilapan saya.

Saya mula belajar mengenai tahap demi tahap perkembangan kanak-kanak. Saya korek pelbagai potensi awal yang boleh dibentuk di peringkat awal usia anak-anak.

Dan apa yang penting saya mula belajar memahami tingkahlaku, kerenah serta sikap semulajadi kanak-kanak.

Saya teruja untuk mengetahui bahawa antara sikap atau tabiat semulajadi anak-anak ialah BERMAIN.

Kerja hakiki anak-anak di bawah umur 7 tahun ialah BERMAIN dan bukannya belajar.

Selama ini persepsi saya dan juga kebanyakan ibu bapa di luar sana terhadap pendidikan awal kanak-kanak adalah salah. Pendidikan awal bukan bermaksud memberi pelajaran formal seperti membaca kepada anak-anak.

Pendidikan awal bermakna mengenalpasti tahap perkembangan dan memberi galakan untuk anak mencapai tahap perkembangan yang tertentu.

Pendidikan awal juga bermakna mengenalpasti potensi diri anak dan membantu menggilap potensi tersebut.

Justeru itu, saya dan anda sebagai pendidik mahupun ibu bapa perlu tahu dan faham akan setiap aspek tahap perkembangan kanak-kanak supaya kita dapat memberi galakan, sokongan dan dorongan untuk anak.

Apakah Aspek Perkembangan Awal Kanak-kanak?
  • Perkembangan sosiemosi – bentuk emosi yang positif pada anak seperti yakin diri, berani.
  • Perkembangan bahasa – galak anak menggunakan bahasa yang betul dan bijak berkomunikasi.
  • Perkembangan kognitif – galak anak berfikir, menggunakan deria untuk meneroka dan belajar pelbagai dari alam dan persekitaran.
  • Perkembangan kerohanian - terapkan nilai moral, akhlak dan ketuhanan.
  • Perkembangan fizikal – galak anak tingkatkan moto halus dan moto kasar.
  • Perkembangan kreativiti dan estetika – galak anak supaya kreatif dan mempunyai imiginasi pelbagai.

Malah, mengikut kurikulum PERMATA yang menjadi panduan perkembangan pembelajaran di TASKA, antara perkembangan lain yang turut perlu dibentuk pada anak ialah perkembangan sahsiah – belajar bergaul dan komunikasi serta literasi awal.

Bagaimana pula cara terbaik menggalakkan semua aspek perkembangan ini? Adakah melalui pembelajaran formal seperti di sekolah? Adakah dengan memberi anak-anak kecil ini latih tubi dan pelbagai tugasan atau kerja rumah?

Tahukah anda sebenarnya setiap aspek perkembangan ini boleh diterapkan kepada anak-anak dengan mudah hanya melalui bermain sahaja. Bukankah bermain kerja hakiki anak?

Mereka memang bermain tetapi secara tak langsung mereka banyak belajar menyuburkan pelbagai aspek perkembangan tersebut hanya melalui bermain jadi, biarkan anak-anak bermain;
  • Anak main blok, mereka berfikir bagaimana susun blok menjadi tinggi.
  • Anak main pasir, bina istana, mereka cuba merealisasikan imiginasi mereka.
  • Anak berlari sekeliling rumah@ taman, mereka belajar meneroka persekitaran.
  • Anak main olok-olok dengan kawan sebaya, mereka belajar bersosial dan bergaul serta berkomunikasi dengan bahasa yang betul.
  • Anak yang suka usik itu ini, mereka mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi.
  • Anak yang aktif berlari, mereka membina kecergasan diri.

Jadi, mengapa perlu dipaksa anak duduk sebelah anda dengan keadan marah dan tinggi suara untuk ajar mereka membaca?

Mengapa pula masih ada TADIKA yang menyusun ruang susunatur dalam kelas sama seperti belajar di sekolah?

Mengapa pihak TADIKA perlu stres mengajar anak-anak membaca dan memberi pula kerja rumah yang banyak.

Entah kenapa saya memang tak boleh terima kalau dengar seorang cikgu di TADIKA cuba menakutkan dan mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak boleh membaca dengan baik sebelum masuk tahun 1.

Mereka terangkan pada ibu bapa betapa hebatnya persaingan akademik anak-anak di tahun 1.

Kalau kebetulan jika anak 6 tahun itu tak boleh membaca, cikgu cadangkan pula ibu bapa hantar anak ke kelas tambahan.

Bagi saya, memadai sajalah kalau anak yang tak boleh membaca itu telah kenal huruf dan boleh menyebut dua sukukata. Mereka bukan tak pandai, mereka cuma belum bersedia. Percayalah.

Ini Cerita Anak Saya Yang Berumur 6 Tahun

Saya hanya hantar dia ke TADIKA sebaik umurnya 6 tahun. Baru ini, saya baca ‘whatapp group’ dari guru TADIKAnya.

Cikgu post jadual peperiksaan akhir tahun dan pesan ibu bapa pantau anak-anak belajar di rumah. Kalau ibu bapa lain, mungkin akan rasa cikgu TADIKA sangat prihatin.

Aduhai kesian anak-anak, tahun-tahun di mana kerja hakiki mereka sepatutnya bermain tetapi mereka perlu pula duduk menelaah seperti kakak abang yang akan menghadapi peperiksaan di sekolah.

Sekali lagi, ingin saya ingatkan, hakikatnya anak-anak memang perlu bermain. Hakikatnya anak-anak ini tidak perlu dipaksa untuk belajar.

Percaya tak bahawa apa yang perlu diterapkan terlebih dahulu ialah ilmu mengenai kehidupan disamping membentuk anak dalam setiap aspek perkembangan yang telah saya nyatakan tadi.

Keinginan untuk belajar akan datang sendiri bila anak telah bersedia menerima pembelajaran formal. Masanya pasti akan muncul juga. Yang pasti setiap anak adalah berbeza pencapaiannya.

Pendidikan Awal Anak Di Jepun

Teringat saya pernah terbaca bahawa pendidikan awal anak di Jepun bermula dengan mendidik akhlak. Pendidikan berteraskan peperiksaan bermula hanya bila anak berumur 10 tahun sahaja.

Berbeza dengan sistem pendidikan kita yang telah diwarisi begini, bila anak masuk tahun 1, sebolehnya anak mesti sudah boleh membaca dengan baik.

Cikgu di tahun 1 suka kalau anak-anak sudah boleh membaca. Lalu kasihan anak-anak yang dikelompokkan dalam kumpulan belum boleh membaca.

Seawal usia 7 tahun anak-anak telah mula dinilai tahap pencapaian akademiknya.

Bukankah sebenarnya dalam silibus pembelajaran tahun 1 anak-anak perlu diajar semua huruf dan gabungan sukukata hingga boleh baca.

Akan tetapi, anak-anak ini pula dikategori sebagai anak-anak yang ketinggalan. Lain orang mungkin lain pandangan.

Mungkin ada ibu bapa tidak setuju dengan pandangan saya bahawa anak tidak perlu dipaksa untuk belajar membaca.

Tapi saya membuktikan salah seorang anak saya yang tidak boleh membaca di awal usia dan yang kurang penonjolan akademik ketika di sekolah rendah (kini dia berusia 19 tahun), merupakan pelajar terbaik SPM di sekolahnya.

Apa yang penting, biarlah anak-anak kecil yang di bawah 7 tahun ini belajar kerana minat dan kesediaan mereka.

Tugas kita adalah memberi dorongan dan galakan bukan paksaan. Apa yang penting, kejayaan anak-anak bukanlah hanya diukur dari kejayaan akademik sahaja.

Lihatlah kejayaan anak pelbagai aspek. Setiap anak mempunyai potensi diri yang berbeza. Apa sahaja potensi yang berjaya digilap dan diserlahkan oleh anak, itulah kejayaan buat mereka.

Jangan lupa juga doa kita sebagai pendidik dan sebagai ibu bapa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mingguanwanita