Friday, March 03, 2017

Kedegilan Pelajar PhD Ini Menyelamatkan Malaysia Dari Virus Pembunuh!

Seorang demi seorang, tumbang, mati. Pemuda yang sihat sejahtera, keesokannya pengsan, dengan otak yang bengkak. Tidak boleh bergerak. Tidak boleh bercakap.

Dr Chua Kaw Beng
Dr Chua Kaw Beng.

Virus Nipah, menyerang negara pada tahun 1999. Ternyata virus ini memberi kesan segera kepada mereka yang menghidapinya.

“Mereka yang terkena menjadi komatos, ada yang lumpuh,” kata Dr. Chong Tin Tan, seorang pakar neurologi di Universiti Malaya. Beliau bertanggung jawab menjaga pesakit virus Nipah.

Tiada apa yang boleh dilakukan. Tiada ubat. Tiada vaksin. Separuh daripada pesakit meninggal dunia.

“Pada ketika itu, kami tidak tahu apakah penyakit yang menyerang,” sambung Dr Tan lagi.

“Ianya menakutkan.”

Di pekan kecil bernama Nipah, hampir seorang daripada 3 keluarga, kehilangan nyawa.

Dr Chua

Pada tahun 1999, Dr Chua Kaw Beng, menemui virus Nipah ketika ianya masih menyerang negara. Ketika itu beliau masih menyiapkan PhD dalam bidang virologi.

Sebelum itu, beliau merupakan doktor perubatan yang memiliki ijazah dan sarjana dalam bidang pediatrik (kanak-kanak).

Pendedahan ini dibuat ketika beliau berada di dalam makmal Universiti Malaya (UM).

Berita ini dikongsi dengan sang profesor, malangnya tidak diendahkan.

“Awak hanya membuang masa,” jawab profesor.

Pihak berkuasa juga tidak mempercayai beliau.

Tidak percaya

Pada ketika ini, pihak berwajib meminta orang ramai untuk bertenang. Katanya, penyakit ini adalah disebabkan oleh nyamuk. Katanya, ianya adalah lagi satu serangan JE.

Dan semuanya terkawal, kerana semburan nyamuk sedang dilakukan.

Akan tetapi Dr Chua dan Dr Tan sedar bahawa penyakit ini tidak menjangkiti populasi Muslim. Mereka juga memerhatikan di Nipah, Negeri Sembilan, di mana terdapat banyak ladang khinzir, ramai kehilangan nyawa.

“Tidak, tidak. Saya tahu ianya bukan nyamuk. Dan semakin ramai meninggal dunia!”

“Tetapi tiada siapa mempercayai saya,” tegas Dr Chua.

Beliau merayu, tetapi semuanya menutup telinga.

CDC

Dr Chua meyakinkan profesor untuk menghantar beliau ke Pusat Kawalan Penyakit (Centers for Disease Control, CDC) di Amerika Syarikat untuk menyelidik ‘penyakit bawaan nyamuk’.

Tetapi sebenarnya, beliau menyelinap virus baru ini yang dibungkus rapi, disimpan dalam bagasi, seterusnya menaiki penerbangan.

Jelas sekali, cara beliau melanggar prosedur keselamatan dan kuarantin.

“Ianya adalah kecemasan, saya terpaksa membawanya ke sana segera,” kata Dr Chua.

Di bawah mikroskop CDC yang berkuasa tinggi, akhirnya terungkai misteri.

“Ianya adalah paramyxo!”

Imej mendedahkan kumpulan virus berbahaya: paramyxovirus. Virus ini datangnya daripada haiwan ternakan, bukannya dari nyamuk.

Selalunya, paramyxo menyerang paru-paru. Untuk kes nipah, ianya menyerang otak.

“Berhenti lawan nyamuk!” kata Dr Chua sejurus menelefon pihak berwajib di Malaysia. “Penyakit ini datangnya dari khinzir.”

Pada ketika ini Kerajaan Malaysia membuka telinga sebesar-besarnya.

Malang sekali, virus misteri ini sudahpun tersebar ke beberapa buah negeri, malah sudah pun berjangkit ke Singapura.

Drastik

Virus Nipah Babi

Kerajaan Malaysia tidak menunggu lagi. Anggota tentera dikerah. Kubur besar digali. Khinzir-khinzir ditolak, lalu ditembak.

“Khinzir-khinzir ini menjerit, dan ada yang menitis air mata,” kata Muniandy, seorang pekerja di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia. “Ianya menyedihkan.”

1 juta ekor khinzir dimusnahkan. Ternyata, ianya berkesan. Serangan terhenti. Virus pembunuh, hilang.

Sedekad kemudian

Sedekad kemudian, barulah diketahui khinzir-khinzir ini dijangkiti daripada kelawar dan sifat berkelompok ladang khinzir telah menjadikannya sebagai ‘kilang virus’.

Wabak ini telah mengubah industri ladang khinzir menjadi lebih bersih manakala wabak Nipah di Malaysia juga menjadi inspirasi buat filem Contagion (2011).

Kini

Dr Chua kini berkhidmat sebagai Penyiasat Prinsipal Kanan di Temasek Lifesciences Laboratory di Singapura. Beliau juga menemui virus Kampar pada tahun 2006.

Dr Tan masih berkhidmat di UM sebagai Pakar Neurologi.

Kedua-duanya menerima Anugerah Merdeka dan Anugerah Sains Mahathir di atas usaha menemui virus Nipah.

BACA INI JUGA:

Sumber: thevocket

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.

#senarai bloglist hilang secara misteri. rakan blogger yang ada memasukkan blog ini dalam senarai bloglist, sila 'remove' blog ni ye. maaf diatas segala kesulitan.
EmoticonEmoticon