Wednesday, May 31, 2017

Lelaki 007 Paling Sempurna Tewas Kerana Kanser

Lelaki 007 Paling Sempurna Tewas Kerana Kanser

1983, di sebuah lounge Lapangan Terbang Nice, Perancis, dari jauh Mark Haynes sudah nampak kelibat lelaki yang amat dikenalinya, duduk berhampiran pintu berlepas penuh asyik membaca.

Roger Moore

Haynes, 7 tahun, kemudian memberitahu datuknya, “Itu James Bond, bolehkah bantu saya untuk mendapatkan autografnya?”

Tanpa mengetahui siapa itu James Bond atau Roger Moore sekalipun, si datuk pergi kepada lelaki kacak dengan ketinggian lebih enam kaki itu seraya berkata, “Cucu saya mengatakan anda terkenal. Boleh tolong tanda tangan di sini?” Lelaki idola yang digilai jutaan perempuan di dunia itu tidak lokek, lantas menurunkan tandatangan di belakang tiket kanak-kanak tersebut.

Apabila Haynes menerima semula tiketnya, dia kecewa. Sangat kecewa! Yang dicatat adalah 'Roger Moore', bukan James Bond sepertimana dia mengenali lelaki itu. Memberanikan diri, Haynes pergi semula kepada lelaki berkenaan dan memberitahu bahawa beliau barangkali tersalah tulis.

Dalam sedikit senyuman, memandang ke sisi kanan dan kiri, kening terangkat, lelaki itu kemudian bercakap sambil berbisik ke telinga Haynes. “Saya perlu tulis sebagai Roger Moore. Jika tidak, Blofeld mungkin mengetahui saya sekarang berada di sini.”

Haynes kembali ke tempat duduk keluarganya dengan seluruh sarafnya melonjak keriangan. Datuknya bertanya adakah dia sudah mendapatkan tandatangan yang tertulis James Bond? “Tidak! Saya sekarang sudah bekerja dengan James Bond, saya tidak boleh mendedahkan rahsia kami.”

Waktu bergulir sepantasnya, belasan tahun kemudian, Haynes terlibat bekerja sebagai penulis skrip rakaman yang melibatkan UNICEF. Kebetulan, Roger Moore perlu menyelesaikan satu tugasannya sebagai duta kepada badan berpengaruh dunia itu.

Menyelit di celahan kru lain yang ada di situ, Haynes cuba memberitahu Moore akan kisah yang disimpan kemas dalam kotak ingatannya, bagaimana mereka bertemu di lapangan terbang itu.

Moore gembira mendengarnya, sambil berkata “Maaflah, saya tidak ingat lagi, tetapi saya gembira anda dapat bertemu James Bond.”

Tidak habis di situ, usai penggambaran, Moore berjalan mendahului Haynes dan sampai di ruang koridor menuju ke keretanya, beliau berhenti.

Melihat sekeliling, ke kiri dan ke kanan, dengan kening terangkat, sekali lagi seperti berbisik Moore berkata dengan tenang.

“Sudah tentu saya ingat pertemuan kita di Nice. Tetapi saya tidak berkata apa-apa sebentar tadi, kerana banyak sekali jurukamera bersama kita, mungkin salah seorang daripada mereka bekerja untuk Blofeld.”

Haynes ketawa berdekah-dekah, sepertinya dia kembali ke alam kanak-kanak riang berumur 7 tahun. Itu kenangan mahal. Ohh! barangkali paling mahal oleh seorang kanak-kanak yang kemudian membesar dan jadi dewasa dengan idola agungnya.

Untuk mereka yang membesar dengan filem ikon fiksyen era moden itu, watak ejen 007 dan Blofeld bukanlah asing. Blofeld adalah musuh paling ketat buat lelaki yang dianggap sempurna di dunia, James Bond.

Sudah pastilah apa yang menjadi musuh ejen 007 itu, juga menjadi musuh buat seluruh peminatnya termasuklah Haynes.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, James Bond diingati oleh dunia bermula dengan Moore. Meskipun dia adalah Bond yang kedua, ejen 007 itu membius seluruh peminat produk francais TV paling popular itu selepas ditangani Moore.

Dilahirkan di Stockwell, London, pada 14 Oktober 1927, anak kepada Lillian dan George Alfred Moore ini bermula sebagai pelakon tambahan. Beliau berkhidmat sebagai tentera dalam Perang Dunia Kedua sebelum berpindah ke Amerika Syarikat.

Peranan yang melonjakkan namanya adalah melalui The Saint pada 1962. Watak sebagai ejen 007 pertamanya adalah melalui Live and Let Die (1973), diikuti The Man and Gun Golden, The Spy Who Loved Me, Moonraker, For Your Eyes Only , Octopussy dan A View to Kill.

Bakti manusiawi

Sifat yang begitu manusiawi, suka menolong ternyata bukan hanya pada watak dalam lakonan. Di ambang kemasyhuran, Moore sempat menjadi duta muhibah UNICEF.

Beliau berjaya meningkatkan penghasilan dana kepada lebih AS$90 juta (RM384 juta) melalui kempen Menghapuskan Kekurangan Iodin kepada kanak-kanak dunia, selain menghabiskan masa di seluruh dunia termasuk Ghana, Honduras dan Filipina.

Sumbangannya berbekas dan diperakui dunia melalui Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat UNICEF yang diterima di United Kingdom.

Sudah terang lagi bersuluh, pingat Darjah Paling Cemerlang Empayar British yang diterima dan membawa gelaran 'Sir' kepada Roger Moore dianggap sebagai pelengkap paling bergaya sepanjang usianya.

Pada 23 Mei 2017, memanjat usia 89 tahun, Moore akhirnya dipanggil pergi, dia meninggal dunia di Switzerland. Tidak banyak yang tahu, beliau mula bertarung dengan kanser prostat semenjak 1993 lagi.

Pada 2012 beliau pernah memberitahu media bahawa kanser kulitnya telah pun merebak dan menyekat beberapa aktiviti fizikalnya termasuk berjemur di pantai.

Berakhir sudah hayat seorang insan di dunia yang sebelum ini telah mengangkat dirinya sebagai lelaki Inggeris kacak, berpengaruh dan luar biasa hebat.

Berkongsi kesedihan, Deborah, Geoffrey dan Kristian mengumumkan bahawa ayah mereka telah meninggal dunia ‘selepas pertempuran yang singkat tetapi berani dengan kanser.’

Pada penghujung usia, sepertinya beliau tidak lagi mengenang segala kemasyhuran yang melangit itu. Diangkat sebagai duta kepada perihal kemanusiaan, itu adalah nilai yang paling mahal bagi seorang Roger Moore.

“Menerima penghargaan UNICEF, ia adalah satu-satunya perkara yang paling indah pernah saya lakukan di dunia ini,” katanya, beberapa tahun lalu.

“Tiada apa yang glamor tentang kematian. Ajarkan tentang cinta, kemurahan hati dan akhlak yang baik, siapa tahu dengan nilai-nilai itu, kanak-kanak juga dapat mendidik ibu bapanya di rumah,” demikian antara pesanan penting mendiang pada hayatnya.

Sebagaimana ejen 007 yang gagah bertahan dan tidak pernah takut kematian, Moore pernah memberitahu begini apabila diajak berbicara tentang episod tersebut.

“Ia seperti berada di dalam sebuah bilik yang berkunci, hanya kita seorang diri di dalamnya (kubur). Hanya setelah kunci bilik itu ditemui, kita semua akan berjumpa kembali.”

Syabas ejen 007 yang paling sempurna. Tugas kamu sudah selesai. Terima kasih Sir Roger Moore!

BACA INI JUGA: James Bond 007, Disebalik Jenama Hebat!

sumber: utusan

Thursday, May 25, 2017

Sudirman Lagenda Penghibur Terbaik Asia

Sudirman Lagenda Penghibur Terbaik Asia

Sudirman Haji Arshad (25 Mei 1954 - 22 Februari 1992) merupakan penyanyi pertama Malaysia memenangi anugerah Penghibur Terbaik Asia dalam pertandingan Anugerah Muzik Popular Asia pertama yang berlangsung di Dewan Royal Albert, London pada 19 Mac 1989.

Sudirman

Sudirman telah mengalahkan lapan orang peserta dari negara-negara Asia termasuk Hong Kong, Taiwan, Jepun, Korea Selatan, Thailand, Filipina, China dan Singapura.

Dalam pertandingan tersebut beliau telah menyanyikan 2 buah lagu Inggeris 'A Thousand Million Smiles' dan 'Send In The Clown' dengan menggayakan aksi lucu ala Charlie Chaplin yang cukup mempesonakan yang membolehkan beliau mengalahkan wakil-wakil negara asia lain yang lebih hebat popularitinya.

Kejayaan beliau telah diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia dan turut mendapat liputan meluas dari berbagai media di negara ini.

Kejayaannya dalam mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa seharusnya diberi sanjungan yang berterusan meskipun pada saat ini beliau telah tiada lagi untuk terus mewarnai dunia seni suara tanah air dengan pencapaian-pencapaian gemilangnya.

Karier

Beliau telah memulakan kariernya sebagai seorang penyanyi apabila dinobatkan sebagai "Juara Bintang RTM 1976" pada 11 Ogos 1976.

Selain itu, beliau juga adalah satu-satunya pemegang gelaran "Penghibur Nombor 1 Asia" (pada 19 Mac 1989) dari Pahang, Malaysia sebelum kehadiran Siti Nurhaliza.

Di samping itu, terdapat juga gelaran yang lain untuk beliau seperti "Penghibur Milik Masyarakat", "Seniman Rakyat" dan "Elvis Malaysia".

Beliau juga mempunyai pelbagai kebolehan sebagai seorang penyanyi, penghibur, penggubah lagu, peguam, penulis, pengarang (buku memoir dan kanak-kanak), pelukis kartun, usahawan dan pelakon.

Sepanjang 16 tahun kerjayanya dalam lapangan seni suara tanah air, Sudirman telah merakamkan 15 album studio, 52 album kompilasi dan puluhan lagu hitsnya serta memenangi pelbagai anugerah tempatan dan antarabangsa.

Sudirman meninggal dunia di kediaman kakaknya, Datin Rodziah Arshad di Bangsar pada 22 Februari 1992 selepas tujuh bulan bertarung dengan penyakit radang paru-paru.

Pada 2009, 17 tahun selepas pemergiannya, beliau telah dianugerahkan gelaran Dato' oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan pengiktirafan diwakili oleh kakaknya.

Sejarah Keluarga

Beliau dilahirkan pada hari Rabu, 25 Mei 1954 di No. 48, Jalan Ibrahim, Temerloh, Pahang. Beliau merupakan anak kepada Hajah Romlah binti Dahalan dan Haji Arshad bin Haji Hassan.

Bapanya mendapat ilham untuk menamakan beliau sebagai "Sudirman" sempena nama seorang pahlawan dari Indonesia, Soedirman kerana mahukan anaknya menjadi seorang pahlawan yang hebat.

Beliau juga mesra disapa sebagai "Diman" oleh ahli keluarganya. Ibu bapanya pernah menjual kain ela dan pakaian.

Ibunya juga mengambil upah untuk membuat sulaman dan membuka kelas jahitan. Banyak peniaga di sekitar kawasan pekan sering mengambil upah dari ibunya.

Sudirman adalah anak bongsu, adik beradik yang lain iaitu Zainuddin, Rodziah, Basir (Morni), Roslan dan Roaini.

Sejak kecil, Sudirman sering menyanyi di mana sahaja. Di sekolah pula, beliau memasuki pertandingan bersyair, berpidato, berpantun, kuiz dan terlibat dalam persembahan teater dan koir sekolah. Dia suka bersukan, senang berpidato dan setiap waktu di perpustakaan.

Kejayaan

Konsert di Jalan Chow Kit

Chow Kit dipenuhi kira-kira 100 ribu orang yang mahu menyaksikan persembahan Sudirman pada tahun 1986

Pada 15 April 1986, Sudirman menempa nama di dalam Malaysian Book of Records setelah mengadakan konsert gergasi percumanya di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Beliau telah berjaya memikat serta memukau hampir 100 ribu warga kota untuk berpusu-pusu membanjiri jalan itu.

Lagu yang dinyanyikan oleh beliau ialah ‘‘Chow Kit Road! Chow Kit Road!’’ dan diakhiri dengan lagu patriotik sambil memakai bendera Malaysia.

Jalan Chow Kit pada era Sudirman adalah tempat untuk golongan marhaen. Jalan Chow Kit menjadi simbol untuk orang-orang kebanyakan yang juga peminat beliau.

Maka, konsert jalanan secara percuma adalah sebagai tanda terima kasih kepada para peminatnya yang tidak mampu menyaksikan persembahan di hotel atau dewan untuk suatu konsert.

Perkara ini juga telah memberitahu kita bahawa beliau bukan seorang yang materialistik.

Penghibur Nombor 1 Asia

Pada 19 Mac 1989, Sudirman telah dinobatkan sebagai "Penghibur Nombor 1 Asia" pada "Asian Popular Music Awards".

Acara anugerah ini diadakan bersama-sama dengan Saleem Music Awards Festival yang berlangsung di Dewan Royal Albert, London.

Beliau merupakan penyanyi pertama dari Malaysia yang pernah memenangi anugerah tersebut. Sudirman telah mengalahkan 8 orang peserta dari negara-negara Asia termasuk Hong Kong (Leslie Cheung), Filipina (Kuh Ledesma), Singapura (Anita Sarawak), China, Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan Thailand.

Dalam pertandingan tersebut, beliau telah menyanyikan dua buah lagu Inggeris "One Thousand Million Smiles" dan "Send In The Clown" dengan menggayakan aksi lucu ala-ala Charlie Chaplin yang cukup mempesonakan serta membolehkan beliau mengalahkan wakil-wakil dari negara lain yang lebih hebat popularitinya.

Lagu "One Thousand Million Smiles" dirakamkan dalam bentuk single dan dipasarkan di Eropah.

Proses rakaman lagu itu dibuat di Studio Abbey Road, tempat rakaman album bagi penyanyi berpengaruh seperti The Beatles

Lagu ini dipilih sebagai lagu tema Malaysia semasa Hari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Persembahan

Sudirman merupakan seorang artis yang mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Beliau lincah dengan showmanship di pentas, sesuatu yang kurang kelihatan pada zamannya, dan memiliki pelbagai koleksi pakaian beraneka fesyen yang digunakan sewaktu persembahan.

Semasa Pertandingan Juara Lagu TV3 1987, Sudirman memenangi Anugerah Persembahan Terbaik kerana persembahannya begitu menyayat hati sewaktu mendendangkan lagu "Merisik Khabar" dengan petikan pemetik api simbolik beliau.

Malah beliau merupakan satu-satunya seniman yang boleh menyanyi dengan fasih pelbagai bahasa (bahasa Inggeris, Tamil, Cina dan Hindi) serta mengubah lagu sehingga berjaya mencuri hati setiap golongan masyarakat.

Keusahawanan

Sudirman pernah menubuhkan Sudirman Usaha Dagang Industri (SUDI) Sdn Bhd dengan modal kira-kira RM3 juta, yang mengeluarkan minuman tin berkarbonat jenama ‘‘Sudi’’.

Kejayaannya dalam memasarkan ‘‘Sudi’’ telah mengangkat Sudirman sebagai pemenang Anugerah Pengusaha Muda.

Minuman ‘‘Sudi’’ yang terkenal telah mengambil 5 peratus pasaran minuman karbonat dalam masa 6 bulan beroperasi (dengan bantuan majalah bisnes dan program TV dari Australia ke Hong Kong mengiklankan minuman Sudi).

Malangnya setelah Sudirman jatuh sakit, perniagaannya - Sudirman Productions dan SUDI Sdn. Bhd. telah ditutup pada September 1991.

Kematian

Pada 17hb. Julai 1991, Sudirman dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pusat Perubatan Tawakkal, Kuala Lumpur selama 4 hari.

Beliau telah dilaporkan pengsan setelah terjatuh. Selama 7 bulan beliau terlantar sakit, keluarga rapatnya merahsiakan punca penyakit dan lokasi beliau dirawat. Dalam tempoh itu, dia tidak ke mana-mana kecuali ke rumah kakaknya di Butterworth selama seminggu.

Dia mahu peminat-peminatnya melihat dia sihat, ceria, penghibur yang hebat, sebagai hero di pentas. Sememangnya dia tidak mahu meninggalkan kenangan yang teramat sedih di hati peminat setelah melihat dia terlantar sakit dan meninggal dunia, begitu penjelasan kakak Sudirman, Rodziah apabila ditanya apakah Sudirman sendiri yang tidak mahu orang lain melihat dia sakit selain adik-beradiknya.

Pada 22 Februari 1992 (bersamaan 18 Syaaban 1412), hari Sabtu jam 4:00 pagi, sebelum subuh, ketika berusia 37 tahun, Sudirman Hj Arshad telah kembali ke Rahmatullah di rumah kakaknya.

Jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke Temerloh dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chengal, Temerloh pada hari yang sama, jam 3:45 petang - berdekatan dengan pusara ibu bapanya (selang beberapa baris).

Ribuan peminat setia termasuk Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad  telah menziarahi jenazah Allahyarham yang dianggap sebagai suatu kehilangan yang besar bagi dunia hiburan tanah air.

Al-Fatihah.

BACA INI JUGA: 5 Lagu Michael Jackson Yang Paling Diminati

sumber: wikipedia | pnm

Friday, March 03, 2017

12 Fakta Tentang Seniman Lagenda Jins Shamsuddin

12 Fakta Tentang Seniman Lagenda Jins Shamsuddin

Allahyarham Jins Shamsuddin menghembuskan nafas terakhir pada 1 Mac 2017 pada kira-kira jam 5.45 petang, nyata satu kehilangan besar buat negara kerana kita tidak dapat lagi tonton pelakon klasik Melayu yang berkarisma sepertinya.

Seniman Lagenda Jins Shamsuddin

Biarpun sudah diiktiraf sebagai Seniman Negara, kegigihan dan kesungguhan beliau melengkapkan pengajian dalam Ijazah Doktor Falsafahnya menjadikan beliau satu tokoh yang perlu dikagumi oleh anak seni yang lain.

Seniman Lagenda Jins Shamsuddin disifatkan sebagai insan yang sangat merendah diri walaupun dengan kedudukan beliau sebagai lagenda seni.

Sempena memperingati jasanya dalam dunia seni, berikut adalah beberapa fakta berkenaan Allahyarham Seniman Jins Shamsuddin.

1. Berasal dari Taiping Perak, Allahyarham Tan Sri Datuk Dr. Jins Shamsuddin merupakan seorang pelakon, penggiat seni, pengarah filem serta senator Malaysia.

2. Allahyarham memperoleh diploma dalam pengajian Motion Picture Technology dari paripada London Film School.

3. Beliau mula bergiat dalam bidang seni mulai tahun 1956 – selepas menjalani uji bakat yang diadakan oleh P.Ramlee.

4. Allahyarham kemudian diterima sebagai pelakon tambahan, dan mula melibatkan diri dalam kira-kira 40 filem hitam putih.

5. Beliau menerima popularati selepas berlakon dalam filem arahan P. Ramlee, Pancha Delima sebagai pelakon utama dan juga dalam siri filem Hong Kong.

6. Bakat Allahyarham terserlah selepas beliau menjadi sutradara, pelakon serta pengarah untuk filem Bukan Salah Ibu Mengandong dan Di Belakang Tabir.

7. Beliau telah mengarah kira-kira sembilan filem, antaranya ialah Menanti Hari Esok, Tiada Esok Bagimu, Ali Setan dan Balada.

8. Allahyarham turut meraih pelbagai anugerah, termasuk Anugerah Seniman Negara pada tahun 2009,
Anugerah Seniman Veteran bagi Anugerah Bintang Popular Berita Harian dan Silver Crane Award" dalam Pesta Filem Asia Pasifik.

9. Beliau menerima pingat Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran 'Datuk' oleh Paduka Seri Sultan Perak pada tahun 1990.

10. Pada tahun 1999, Allahyarham menerima Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan daripada Universiti Sains Malaysia. Pada tahun 2004, beliau menerima Ijazah doktor falsafah (PhD) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM).

11. Pada tahun 1961, beliau berkahwin dengan seniwati Rahmah Rahmat dan dikurniakan seorang anak lelaki. Pasangan itu kemudian berpisah pada tahun 1963.

12. Allahyarham kemudian berkahwin buat kali kedua dengan Puan Sri Halijah Abdullah dan dikurniakan dua orang anak lelaki, Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim.

BACA INI JUGA: Gambar-gambar Terakhir Selebriti Terkenal Dunia

Sumber: aa

Wednesday, February 01, 2017

Pencipta Permainan ‘Pac Man’ Meninggal Dunia

Pencipta Permainan ‘Pac Man’ Meninggal Dunia

Perintis hiburan arked yang mempelopori permainan video popular 'Pac-Man', Masaya Nakamura meninggal dunia pada usia 91 tahun.

Masaya Nakamura

Masaya Nakamura mengasaskan syarikat permainan video gergasi Namco dan untuk tempoh 10 tahun, Namco juga menjadi pemilik syarikat filem Nikkatsu.

Kematian Masaya Nakamura direkodkan lebih awal iaitu pada 22 Januari 2017, tetapi ia hanya diumumkan oleh Namco selepas seminggu di laman webnya yang berbahasa Jepun.

Masaya Nakamura belajar di universiti teknikal di Yokohama, mengasaskan Namco pada tahun 1955 sebagai sebuah syarikat yang mengendalikan kuda mekanikal di atas bumbung sebuah pusat beli-belah.

Selepas Namco digabungkan dengan sebuah lagi firma permainan Jepun, Bandai, untuk membentuk Namco-Bandai (kemudian Bandai Namco) pada tahun 2005, Masaya Nakamura mengekalkan kedudukan kehormatnya.

Beliau juga telah diberikan anugerah Order of the Rising Sun, oleh kerajaan Jepun untuk perkhidmatan beliau kepada industri.

Pac-Man, yang kelihatan seperti sebiji pizza yang sudah dimakan sepotong, dicipta oleh Toru Iwatani dan mula dijual sebagai permainan yang dikendalikan dengan duit syiling pada tahun 1980.

Pac-Man kemudiannya telah berkembang ke permainan konsol sebelum barangannya dijual secara besar-besaran, dijadikan siri TV, taman tema dan filem.

Namco juga membeli Nikkatsu pada tahun 1993, sebuah studio filem tertua di Jepun yang pernah terkenal dengan pink-Eiga (genre lucah).

BACA INI JUGA: Kos Pembikinan Video-video Game Terkenal

Sumber: mstar

Wednesday, January 25, 2017

Matlan Marjan, Legenda Bola Sepak Sabah Yang Dihukum 'Mati'

Matlan Marjan, Legenda Bola Sepak Sabah Yang Dihukum 'Mati'

Bagi peminat tegar bola sepak yang sudah lama mengikuti perjalanan Liga Malaysia sejak zaman semi-pro, nama Matlan Marjan cukup legenda di negara ini kerana kehebatannya menggelecek bola melepasi benteng pertahanan lawan.

Matlan-Marjan

Nama beliau sebaris dengan nama-nama besar ketika itu seperti Mubin Mokhtar, Zainal Abidin Hassan, Nizam Adza Yusoff, Afendi Julaihi dan beberapa nama besar tempatan yang lain.

Kebanggaan Sabah

Jika nama Matlan Marjan ditanyakan kepada peminat bola sepak Sabah, nama ini mungkin setaraf legenda Diego Maradona yang sinonim dengan bola sepak Argentina. Jasa Matlan Marjan pada kebangkitan bola sepak Sabah sangat dikenang.

Dilahirkan pada 18 Oktober 1968, legenda Sabah ini memulakan karier bola sepaknya bersama skuad Piala Presiden Sabah pada tahun 1987 hingga 1988. Setahun selepas itu dia mula menyarung jersi skuad senior Sabah.

Percaya atau tidak, Matlan Marjan adalah satu-satunya pemain Malaysia yang berjaya membolosi gawang skuad England dan juga pemain asia pertama menjaringkan gol menentang skuad utama England!

Skuad England ketika itu bukan calang-calang, diketuai oleh penjaring berbisa England Gary Lineker dan 2 gol Matlan Marjan berjaya dipahat meskipun skuad negara tewas 4-2 pada perlawanan tersebut.

Dari segi pencapaian domestik pula, tidak banyak yang dicapai oleh Matlan Marjan.

Namun seperti yang dikatakan, beliaulah antara pencetus kebangkitan bolasepak Sabah yang digelar The Rhinos atau Badak.

Gandingan beliau bersama Scott Ollerenshaw mencetuskan kegerunan pada mana-mana pemain pertahanan lawan ketika itu.

Pada perlawanan Akhir Piala FA Malaysia 1995, Matlan Marjan antara penyumbang gol yang menewaskan seorang lagi legenda penjaga gol negara, Muadzar Mohamed.

Ini membolehkan skuad kendalian Kelly Tham membawa pulang Piala FA Malaysia merentasi Laut China Selatan menewaskan Pahang dengan jaringan 3-1.

Tersilap langkah

Matlan-Marjan

Berakhir kejuaraan Piala FA 1995, rata-rata peminat bola sepak negara sudah meramal akan kejaguhan Sabah pada tahun-tahun mendatang.

Nama Matlan Marjan disebut-sebut bakal membawa pulang piala keramat yang menjadi rebutan semua pasukan - Piala Malaysia.

Tetapi bukan itu yang berlaku, sebaliknya kesilapan membuat keputusan saat karier diambang puncak telah membunuh karier beliau.

Matlan Marja dikaburi dengan wang ringgit. Mungkin juga kelemahan persatuan yang tidak menjaga kebajikan pemain, Matlan Marjan dituduh mengambil rasuah dan mengatur keputusan perlawanan.

Beliau bersama 5 rakan dari skuad utama Sabah yang lain akhirnya disabitkan bersalah dengan tuduhan itu.

Matlan Marjan menerima hukuman penggantungan seumur hidup oleh FAM dan dilarang terlibat sama sekali dengan bola sepak secara profesional.

Lebih perit lagi dia juga dibuang daerah ke Semporna untuk suatu jangka masa yang ditetapkan.

Hukuman ini seolah hukuman mati, membunuh terus karier beliau sebagai pemain bola sepak.

Dan nama Matlan Marjan terus tenggelam ditelan masa. Difahamkan beliau masih terlibat dalam dunia bola sepak di Sabah, mungkin sebagai penasihat dan jurulatih kelab tidak profesional.

Matlan-Marjan

Adakah hukuman ini berbaloi untuk bola sepak negara? Untuk Matlan Marjan sendiri? Kita sendiri tidak pasti.

Yang pasti, kes seperti ini harus dijadikan pengajaran buat semua pemain dan juga pihak pengurusan mana-mana persatuan bola sepak di Malaysia.

Selepas ‘kehilangan’ Matlan Marjan, bola sepak Sabah cuba untuk melahirkan ‘The Next Matlan’ seperti Harun Laban, Mohamad Jaya Kasim dan adik beliau sendiri iaitu Zainizam Marjan namun kesemuanya gagal memahat nama sehebat Matlan.

Diatas kertas, pemain Sabah yang dibanggakan seluruh negara mungkin hanyalah Hasan Sani dan James Wong, tetapi dihati peminat The Rhinos, nama Matlan Marjan takkan pernah padam dalam sejarah bola sepak Sabah.

Terima kasih legenda Matlan Marjan!

BACA INI JUGA:

sumber: sb

Sunday, November 27, 2016

Lagenda Dan Sejarah Jambatan Tamparuli

Lagenda Dan Sejarah Jambatan Tamparuli

Pasti ramai pernah mendengar kemerduan lagu berjudul Jambatan Tamparuli dalam bahasa Dusun yang dipopularkan oleh penyanyi tempatan Sabah, John Lusah, pada tahun 80an dahulu.

Jambatan Gantung Tamparuli

Dan kerana kemerduan dan popularnya lagu Jambatan Tamparuli, cukup untuk memperkenalkan daerah Tamparuli ke seluruh Malaysia.
Pak pak kang ku doh (Pak pak saya melangkah)..
Sumunsui doh jambatan (Menyusur/meniti jambatan)..
Jambatan doh Tamparuli (Jambatan Tamparuli)..
Bakasut tinggi oku (Saya memakai kasut tinggi)..

*Pak pak disebut 'pok pok', merujuk kepada bunyi tapak kasut/kaki dan dalam lagu ini adalah bunyi tapak kasut tinggi.

Tamparuli merupakan sebuah pekan kecil yang terletak dalam daerah Tuaran, Sabah. Majoriti penduduknya adalah daripada suku kaum Dusun.

Selain itu, terdapat juga komuniti lain seperti bangsa Cina dari suku Hakka yang menjalankan perniagaan.

Kampung Bontoi

Berdasarkan sejarah, pekan kecil Tamparuli diyakini telah wujud sejak lebih daripada 200 tahun yang lalu, lama sebelum ia diberi nama Tamparuli.

Pada awal kewujudannya, pekan Tamparuli dikenali dengan nama 'Bontoi' oleh orang-orang tua.

Bontoi yang bermaksud jambatan, sebenarnya merujuk kepada sebuah perkampungan kecil bernama Kampung Bontoi.

Daripada sebuah perkampungan kecil, Tamparuli kemudiannya berkembang menjadi sebuah pekan.

Perubahan itu berlaku selepas beberapa peniaga luar terutama di kalangan masyarakat Cina dari Tuaran mendirikan beberapa kedai runcit kayu di situ sekitar 1930an.

Seiring dengan perubahan itu, pekan yang terletak 25 kilometer dari Kota Kinabalu turut mendapat nama baru, Tamparuli, seperti yang kita kenali sekarang.

Asal-usul Nama Tamparuli

Jambatan Gantung Tamparuli
Jambatan Tamparuli (1960).

Difahamkan, banyak versi cerita bagaimana asal-usul nama Tamparuli diperoleh.

Sumber yang diperoleh daripada Muzium Sabah mendakwa, Tamparuli mendapat nama daripada ayat 'ditampar oleh air', yang berasal daripada perkataan atau percakapan orang Brunei.

Dikatakan, pada zaman dahulu, pedagang-pedagang Brunei yang datang ke Tamparuli sering mengalami masalah untuk naik ke hulu sungai kerana arus air yang terlalu deras.

Dan dari situlah muncul ayat 'ditampar oleh air' seterusnya disingkatkan menjadi Tamparuli.

Berdasarkan kepada versi lain pula, sekitar tahun 1942 hingga 1944, kawasan ini telah digunakan oleh tentera Jepun sebagai markas untuk menyimpan kenderaan berat seperti lori dan trak.

Lalu, penduduk tempatan menamakan kawasan tersebut sebagai 'tempat lori'. Daripada 'tempat lori', lama kelamaan sebutan itu berubah menjadi Tamparuli.

Rasanya versi kedua lebih logik kerana dialek tempatan biasanya menyebut perkataan tempat sebagai 'tampat' dan lori sebagai 'luri' atau 'ruli'.

Jambatan Gantung Tamparuli

Jambatan Gantung Tamparuli

Hari ini, sebut saja Tamparuli, satu perkara yang akan segera terbayang sudah pasti adalah jambatannya.

Jambatan Tamparuli memang cukup terkenal dan sejak ia mendapat populariti, jambatan ini telah diabadikan sebagai mercu tanda kepada pekan Tamparuli.

Pembinaan Jambatan Tamparuli pertama dikatakan telah dimulakan oleh orang Cina.

Binaan asal Jambatan Tamparuli adalah daripada kayu dan tali yang dibina dalam keadaan tergantung merentasi Sungai Tamparuli.

Bagi mereka yang pernah melalui jambatan gantung ini pasti akan merasa seperti beralun seolah-olah bermain dengan ombak. Boleh pening dan gayat.

Sayangnya, jambatan lama telah musnah selepas dilanda banjir besar sekitar tahun 1930an.

Sebagai ganti, sebatang jambatan baru sepanjang 200 meter telah dibina ditempat yang sama.

Jambatan baru ilham pihak British pada tahun 1933 ternyata lebih kukuh berbanding jambatan sebelumnya kerana bahannya menggunakan gabungan simen dan besi.

Lagenda Solungkoi

Menurut maklumat yang tersimpan di Muzium Sabah, terdapat satu kisah disebalik pembinaan awal Jambatan Tamparuli yang baru.

Ketika jambatan itu baru mula dibina, seorang pegawai British bernama Robinson yang berkhidmat di Tamparuli, telah jatuh cinta dengan seorang sumandak cantik (gadis cantik) tempatan bernama Solungkoi.

Mereka kemudiannya jatuh cinta dan menjadi pasangan kekasih.

Dalam masa yang sama, seorang jejaka tempatan bernama Intang dalam diam-diam turut menaruh hati terhadap Solungkoi.

Malangnya, cinta Solungkoi hanya untuk Robinson. Mungkin kerana wajahnya yang tampan, apatah lagi berpangkat.

Sementara itu, Robinson adalah pegawai yang diberi tanggungjawab untuk menyiapkan projek pembinaan Jambatan Tamparuli.

Jambatan Tamparuli pula sering mengalami kerosakan setiap kali berlaku banjir besar.

Robinson begitu runsing kerana tanpa jambatan, akan menyukarkan pihak British dan penduduk tempatan untuk berhubung dengan dunia luar.

Suatu hari, Robinson telah meminta bantuan daripada Intang untuk mencari punca dan cara terbaik menyelesaikan masalah itu.

Dengan keyakinan bahawa penyebab masalah jambatan selalu rosak adalah tombuakar (hantu air), Intang kemudiaanya berjumpa dengan odu-odu (wanita tua) yang merupakan seorang bomoh wanita dan pakar dalam bidang pemujaan (mengubati orang sakit dan menghalau hantu).

Odu-odu kemudiannya mengenal pasti masalah tersebut, kononnya tombuakar marah kerana tapak pembinaan jambatan telah mengganggu kawasan tempat tinggalnya.

Lalu odu-odu menyarankan supaya diadakan satu upacara untuk menjamu tombuakar sebagai tanda meminta maaf.

Peliknya, walaupun upacara jamuan sudah dilakukan, jambatan masih lagi bermasalah.

Rupa-rupanya, tombuakar mahukan nyawa seorang sumandak yang cantik sebagai temannya di dalam air.

Pada masa itu, tiada gadis lain yang lebih rupawan selain Solungkoi.

Dan kerana cemburu dan dendam, Intang menghasut Robinson untuk mengorbankan Solungkoi.

Robinson pun bingung memikirkan antara kerjaya ataupun kekasih hati. Akhirnya Robinson memilih untuk mengorbankan Solungkoi.

Pada suatu malam, ketika Robinson dan penduduk kampung berpesta minum tapai (minuman memabukkan), Solungkoi dibawa ke jambatan dalam keadaan tidak sedarkan diri kerana sudah mabuk.

Sebaik saja Solungkoi sedar, dia mendapati badannya sudah diikat dan tergantung pada tali untuk diturunkan ke bawah cerucuk jambatan.

Ini adalah syarat dari Tombuakar yang mahukan mangsanya ditanam hidup-hidup di bawah jambatan.

Sumandak+Dusun
Gambar hiasan.

Solungkoi mula menangis dan merayu untuk dilepaskan, malangnya tangisan Solungkoi tiada siapa mendengar kerana semuanya sudah mabuk.

Solungkoi pasrah. Dia lalu membuat permintaan terakhir kepada Tombuakar dengan bersumpah, Jambatan Tamparuli tidak akan kukuh dan selalu rosak selagi tidak mengorbankan darah Robinson.

Robinson kemudiannya amat menyesal dengan tindakannya dan bagi mengenang kekasihnya itu, Robinson mengukir nama Solungkoi di atas sekeping plat besi dan melekatkannya di cerucuk jambatan di mana Solungkoi ditanam.

Selepas itu, Robinson dikatakan membunuh diri dengan membiarkan dirinya dilemaskan oleh Tombuakar.

Ada yang mengatakan bahawa cerita ini hanyalah mitos, namun seperti yang disahkan oleh orang-orang yang pernah menyelam di bawah jambatan Sungai Tamparuli, plat besi terukir nama Solungkoi masih dapat dilihat sehingga ke hari ini.

Bagaimanapun, lokasi tepat dimana plat itu dilekatkan telah dirahsiakan atas faktor-faktor keselamatan.

Yang pasti, selepas lebih 60 tahun, Jambatan Tamparuli tetap utuh dan kekal digunakan oleh penduduk kampung.

BACA INI JUGA: Jambatan Gantung Yang Paling Menggerunkan

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, June 09, 2016

4 Wanita Yang Pernah Bertakhta Di Hati Muhammad Ali

4 Wanita Yang Pernah Bertakhta Di Hati Muhammad Ali

Muhammad Ali meninggal dunia pada usia 74 tahun akibat masalah pernafasan selain bertarung selama lebih 30 tahun dengan penyakit parkinson.

Muhammad Ali.jpg

Sepanjang penglibatannya dalam sukan tinju, kejayaan Ali banyak didorong oleh wanita-wanita yang pernah bertakhta di hati beliau.

Ketika hayatnya, Ali mengahwini empat wanita cantik yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan latar belakang.

Hasil perkahwinan, Ali mempunyai tujuh cahaya mata termasuk seorang anak angkat.

Jom kita kenali, wanita-wanita yang pernah singgah di kamar hati bekas peninju tersohor ini..

1. Sonji Roi (1964-1966)

Sonji Roi (1964-1966).jpg

Ali berkahwin dengan isteri pertama, Sonji Roi, seorang pelayan bar pada tahun 1964 hanya selepas sebulan berkenalan.

Namun, disebabkan Sonji enggan mengikut beberapa ajaran Islam seperti yang diamalkan suaminya, pasangan akhirnya mengakhiri perkahwinan mereka pada Januari 1966.

Mereka tidak mempunyai anak sepanjang dua tahun berkahwin.

2. Belinda Boyd (1967-1977)

Belinda Boyd (1967-1977).jpg

Tiga tahun kemudian, Ali mengahwini seorang gadis sunti berusia 15 tahun, Belinda Boyd yang kemudiannya memeluk Islam dan menukar nama kepada Khalilah Ali.

Mereka berkenalan ketika Khalilah bekerja di kedai roti di Los Angeles, Amerika Syarikat yang diusahakan oleh Nation of Islam.

Pasangan ini mempunyai empat cahaya mata iaitu Maryum, Jamilla, Rasheda dan Muhammad Ali Jr.

Perkahwinan mereka tidak kekal lama apabila mereka mengambil keputusan untuk bercerai selepas 10 tahun mengecap bahagia bersama.

Muhammad Ali Jr..jpg

Ali Jr, 43, berkata sepanjang kehidupan, dia diabaikan oleh bapanya dan mengaku sering dibuli di sekolah hanya kerana dia merupakan anak juara tinju dunia.

Khalilah dipercayai sedang menyiapkan satu buku memoir menceritakan pengalaman hidupnya sepanjang bergelar isteri Allahyarham.

3. Veronica Porsche (1977-1986)

Veronica Porsche (1977-1986).jpg

Perkenalan Ali dengan Veronica dikatakan bermula ketika dia masih lagi bergelar suami Khalilah.

Sebaik berpisah dengan isteri kedua, Ali terus mengikat tali perkahwinan dengan Veronica yang merupakan model dan pelakon.

Ali dan Veronica mempunyai dua anak perempuan, Hana dan Laila.

Hana dan Laila.jpg
Hana dan Laila.

Laila, 37, kini meneruskan legasi bapanya dalam sukan tinju dan merupakan antara peninju wanita paling disegani masa kini.

Perkahwinan ketiga Ali juga tidak kekal lama apabila dia bercerai selepas sembilan tahun hidup bersama Veronica.

4. Yolanda ‘Lonnie’ Williams (1986-2016)

Yolanda ‘Lonnie’ Williams (1986-2016).jpg

Pada November 1986, Ali berkahwin dengan kenalan lamanya, Yolanda ‘Lonnie’ Williams.

Mereka mempunyai seorang anak angkat lelaki, Assad Amin yang diambil ketika bayi itu berusia lima bulan.

Sejak disahkan menghidap penyakit Parkinson, kehidupan Ali bergantung sepenuhnya pada Lonnie dan kakak Ali, Marilyn.

Difahamkan, Lonnie merupakan pewaris tunggal yang mewarisi semua harta dan kekayaan yang dimiliki Ali.

Jenazah Ali akan disemadikan di tanah kelahirannya di Louisville, Kentucky, Amerika Syarikat.

BACA INI JUGA: Video Peninju Profesional Belasah Samseng Rusia

Sumber: Mynewshub.cc

Monday, June 06, 2016

Muhammad Ali Satu-Satunya ‘Bintang’ Yang Tidak Dipijak!

Muhammad Ali Satu-Satunya ‘Bintang’ Yang Tidak Dipijak!

Setakat ini Hollywood Walk of Fame telah menganugerahkan bintang kepada lebih 2,500 selebriti yang berjaya mencipta nama dalam bidang masing-masing.

Muhammad Ali Hollywood Walk of Fame.jpg

Antara selebriti popular yang tercatat namanya di situ adalah Elvis Presley, Morgan Freeman, Jackie Chan, Michael Jackson, Tom Cruise, Marilyn Monroe dan ramai lagi.

Namun, tahukah anda dalam ramai-ramai bintang berkenaan, hanya nama bekas peninju lagenda dunia Muhammad Ali sahaja tidak ‘dipijak’ oleh jutaan pengunjung di tapak Hollywood Boulevard, California, Amerika Syarikat itu.

Pada mulanya Ali yang enggan namanya dipijak oleh orang ramai yang lalu-lalang di tempat berkenaan, telah menolak tawaran mengabadikan namanya di situ.

Namun disebabkan pengaruhnya dalam sukan tinju, pihak penganjur Hollywood Chamber of Commerce telah setuju meletakkan bintang penghormatannya di dinding Dolby Theatre, di sana.

Alasan Ali cuma satu apabila ditanya kenapa enggan membenarkan bintangnya diletakkan di lantai seperti mana selebriti lain.

Muhammad Ali Hollywood Walk of Fame [2].jpg

“Saya membawa nama Nabi Muhammad dan ianya mustahil untuk membiarkan orang ramai memijak nama tersebut,” katanya, seperti dilaporkan media antarabangsa ketika itu.

Ali merupakan penerima bintang ke-2,189 pada 2002 dan sampai ke hari ini, bintang miliknya adalah satu-satunya bintang yang tidak diletakkan atas lantai.

BACA INI JUGA: Kisah Kemahsyuran Walk of Fame Hollywood

Sumber: Mynewshub.cc

Sunday, October 26, 2014

Simo Hayha, Sniper Lagenda Perang Soviet

Simo Hayha, Sniper Lagenda Perang Soviet

Antara pertempuran kecil yang mendapat perhatian ketika berlangsungnya konflik Perang Dunia Kedua ialah Peperangan Musim Sejuk.

Simo Hayha Sniper Legend

Seluruh dunia bertumpu ke Sungai Kolla, yang menjadi lokasi pertempuran di antara pasukan tentera Finland dan tentera Soviet.

Pada ketika inilah munculnya watak seorang lelaki bernama Simo Hayha yang telah menggegarkan dunia peperangan ketika itu.

Diantara penembak hendap lagenda terhebat dunia, Simo Hayha merupakan salah seorang penembak hendap yang dianggap paling bahaya.

Namanya mungkin tidak segah penembak hendap Soviet Union, Vasily Zaitsev yang kisahnya diabadikan dalam filem 'Enemy at The Gates'.

Simo Hayha Sniper Legend - Young
Simo Hayha.

Namun, ketepatan tembakan Simo tidak mampu disangkal, dan dia merupakan pahlawan Finland yang memainkan peranan penting dalam menghadapi penjajahan besar-besaran Tentera Merah Kesatuan Soviet terhadap negaranya.

Simo terkenal dalam Peperangan Musim Sejuk yang berlaku pada tahun 1939. Pertempuran itu turut dikenali dengan jolokan 'David vs Golliath' - diambil sempena peperangan lagenda Nabi Daud menentang pasukan tentera Jalut yang mempunyai anggota berpuluh kali ganda lebih ramai.

Dalam peperangan tersebut, Simo Hayha telah mengukir namanya sebagai penembak hendap paling berjaya dengan membunuh lebih daripada 500 orang tentera Soviet dalam jangka waktu 100 hari sahaja.

Angka tidak rasmi tentera Finland menyatakan Simo telah menembak 542 tentera musuh, namun statistik tentera Soviet pula menunjukkan angka sebanyak 505 tentera mereka mati di tangan lelaki bertubuh kecil ini.

Simo Hayha Sniper Legend - Finland Army
Skuad 6 Jaeger Regiment dianggotai 34 orang tentera.

Secara puratanya, Simo telah membunuh lima orang tentera musuh dalam masa sehari, dalam keadaan bersalji dan cuaca sejuk yang ekstrem serta waktu siang yang agak pendek. Ia adalah satu rekod yang sangat hebat untuk seorang penembak hendap.

Dengan kemampuan yang dimilikinya, Simo telah digelar sebagai 'White Death' oleh pasukan tentera musuh.

Menelusuri perjalanan hidupnya, Simo Hayha dilahirkan pada 17 Disember 1905 di Rautajavari, Finland, sebuah bandar yang terletak bersempadan dengan tanah jajahan Soviet Union.

Lelaki ini membesar dalam suasana kampung dan menghabiskan sebahagian besar hidupnya dengan memburu dan bertani.

Pada tahun 1925, ketika usianya mencecah 20 tahun, Simo Hayha telah menyertai angkatan bersenjata Finland untuk memenuhi panggilan wajib ketenteraan.

M28 - Simo Häyhä
Senjata digunakan.

Ketika Peperangan Musim Sejuk mula meletus, Simo Hayha telah diserap masuk ke Skuad 6 Jaeger Regiment 34 tentera Finland. Pada ketika itulah beliau memulakan tugasnya sebagai seorang penembak hendap.

Pertembungan di antara tentera Finland dengan pasukan tentera merah Kesatuan Soviet di sepanjang Sungai Kollaa merupakan salah satu peperangan erotik bangsa Finland.

Skuad 6 Jaeger Regiment yang terdiri daripada 34 orang tentera Finland terpaksa berhadapan dengan 4,000 orang bala tentera Soviet.

Dalam peperangan inilah Simo Hayha telah membunuh lebih 500 orang tentera Soviet dan menjadikan kawasan pergunungan di sepanjang Sungai Kollaa sebagai 'Killer Hill' bagi tentera Soviet.

Dia bertempur dalam suhu yang sangat sejuk iaitu di antara -20 hingga -40 darjah selsius dengan pakaian camouflagei berwarna putih.

Apa yang membuatkan lelaki ini unik dan hebat ialah, dia langsung tidak menggunakan lensa teleskop seperti kebanyakan penembak hendap lain.

Simo hanya mengacukan senapang ke arah sasaran secara manual dan masih dapat menembak musuh dengan tepat sehingga jarak lebih 400 meter.

Dia tidak menggunakan lensa teleskop untuk menembak kerana Simo berpendapat, ia akan membahayakan nyawanya kerana seseorang yang menggunakan sasaran teleskopik perlu mengangkat kepala lebih tinggi untuk mengacu senjata.

Selain itu, Simo turut menganggap penggunaan teleskop juga akan memantulkan cahaya matahari yang mampu membongkar penyamaran seorang penembak hendap.

Simo Hayha Sniper Legend After Shoot
Pada 4 Mac 1940, Simo hampir maut ditembak musuh.

Dalam keadaan cuaca yang sejuk pula, lensa teleskop selalunya akan berkabut dan menggangu arah sasaran.

Disebabkan faktor-faktor ini, Simo konsisten dengan alasannya untuk menggunakan laras senjata manual.

Dalam Peperangan Musim Sejuk itu, Simo menggunakan Suomi K-31 SMG, selaras senapang sub machine gun. Dan dia telah membunuh lebih daripada 200 orang menggunakan senjata ini.

Pada 4 Mac 1940, nyawanya hampir melayang setelah rahangnya ditembak oleh pihak musuh. Peluru menghancurkan pipi sebelah kiri wajah Simo.

Ketika rakannya datang memberi bantuan, mereka mendapati separuh wajahnya hilang. Tembakan itu telah menyebabkan Simo koma dan sedar seminggu kemudian, ketika peperangan tersebut telah pun berakhir.

Di atas jasanya yang besar, pemimpin tertinggi tentera Finland ketika itu, Field Marshal Carl Gustav Emil Mannerheim telah menaikkan pangkat Simo daripada Koperal kepada Leftenan.

Simo Hayha Sniper Legend - Old

Selepas pulih daripada kecederaan, Simo meneruskan khidmatnya dalam pasukan angkatan tentera Finland sehingga pencen.

Simo Hayha meninggal dunia pada 1 April 2002 ketika usianya mencecah 96 tahun.

Ketika ditemu bual pada tahun 1998 dan diajukan soalan, adakah dia menyesal membunuh ramai orang, Simo hanya menjawab ringkas; "Saya hanya menjalankan tugas untuk negara".

BACA INI JUGA: Kisah Kemahsyuran Walk of Fame Hollywood

-Sentiasapanas.com

Thursday, April 24, 2014

Lagenda Kehebatan Michael Jordan!

Lagenda Kehebatan Michael Jordan!

Bagi peminat sukan bola keranjang, siapa yang tidak kenal dengan nama Michael Jordan atau nama penuhnya Michael Jeffrey Jordan?

Michael Jordan

Kehebatannya dalam arena sukan bola keranjang di Liga Bola Keranjang Amerika Syarikat (NBA) begitu menyerlah berbanding rakan-rakan seangkatannya.

Dilahirkan di Brooklyn, New York pada 17 Februari 1963, Jordan membesar di Wilmington, North Carolina. Sejak kecil, Michael sudah berminat dengan sukan tetapi sukan bola keranjang bukanlah cinta pertamanya.

Semasa kecil, Jordan meminati sukan besbol seperti ayahnya dan selalu bermain bersama. Minatnya beralih ke sukan bola keranjang kerana ingin mengikut jejak langkah abangnya, Larry yang hebat bermain bola keranjang.

Michael Jordan Playing Besbol

Di sekolah menengah, Jordan mengembangkan minat dan mula bermain untuk pemilihan pasukan sekolahnya. Dia sangat yakin akan terpilih sebagai pemain untuk mewakili sekolahnya kerana memiliki kepantasan dan ketepatan melempar bola.

Bagaimanapun, dia tidak terpilih kerana faktor ketinggian yang tidak ideal.

Walaupun tidak berjaya, Jordan bertekad ingin menyertai pasukan sekolahnya. Setiap hari dia akan berlatih tanpa mengenal erti penat. Dia sering bergayut pada gelung jaring bola keranjang dengan harapan ketinggiannya akan bertambah.

Akhirnya, usaha dan kerja keras Jordan membuahkan hasil apabila dia berjaya menambah ketinggiannya sebanyak empat inci dan terpilih dalam pasukan sekolah pada tahun berikutnya.

Selepas tamat sekolah menengah, Jordan ditawarkan biasiswa bola keranjang di Universiti North Carolina pada tahun 1981. Sejak itu, Jordan menjadi orang penting dalam pasukan bola keranjang universiti berkenaan.

Michael Jordan Flying

Usaha gigihnya telah meletakkan pasukannya sebagai juara dalam pertandingan divisyen satu Kejohanan NCAA tahun 1982. Jaringan mata akhir yang dilakukannya meletakkan Jordan untuk menerima anugerah NCAA College Player Of The Year.

Pada tahun 1984, Jordan memutuskan untuk meninggalkan Universiti North Carolina untuk memasuki draf NBA. Dalam draf tersebut, dia telah dipilih menyertai pasukan Chicago Bulls.

Sebagai pemain baru yang bertaraf profesional, Jordan menonjolkan kehebatannya dalam arena NBA dan telah menerima anugerah NBA Rookie Of The Year.

Michael Jordan win

Walaupun dia memutuskan untuk menangguhkan pengajiannya, namun pada tahun 1985, dia kembali ke universiti untuk melengkapkan ijazahnya dalam bidang geografi.

Jordan mendapat cincin kejuaraannya yang pertama pada musim kejohanan NBA pada tahun 1991 setelah Chicago Bulls memenangi kejuaraan NBA dengan mengalahkan Los Angeles Lakers di perlawanan akhir.

Jordan sekali lagi membawa Bulls menjuarai liga NBA pada musim 1992, sebelum mengejutkan ramai pihak apabila mengundurkan diri daripada dunia bola keranjang profesional pada tahun 1993.

Keputusan itu dibuat kerana tragedi yang menimpa bapanya yang dirompak sebelum dibunuh pada 23 Julai 1993.

Michael Jordan Father Killed

Tahun berikutnya, Jordan sekali lagi mengejutkan dunia sukan apabila beralih angin kepada sukan kegemaran bapanya, besbol! Walaupun telah meninggalkan sukan ini selama 13 tahun, darah besbol masih panas mengalir di dalam tubuhnya.

Dia telah mengikat kontrak bersama pasukan Chicago White Sox dan cuba merealisasikan impian bapanya untuk melihat dia menjadi pemain besbol di Liga Besbol Major (MLB).

Michael Jordan - Washington Wizards

Bagaimanapun, pada bulan Mac 1995, Jordan kembali ke gelanggang dan menyertai semula Chicago Bulls dan membantu pasukan itu memenangi kejohanan menentang Seattle Sonics pada musim 1995-96.

Jordan sekali lagi telah mengumumkan persaraan pada 13 Januari 1999. Tahun berikutnya, dia kembali ke sukan bola keranjang bukan sebagai pemain tetapi sebagai salah seorang pemilik dan presiden kelab bola keranjang untuk pasukan Washington Wizards.

Michael Jordan own Washington Wizards

Pada musim luruh tahun 2001, Jordan melepaskan peranan itu untuk kembali ke gelanggang sekali lagi. Dia bermain untuk Wizards selama dua musim sebelum menggantung jersi untuk selama-lamanya pada tahun 2003.

Pada tahun 2006, Jordan telah membeli majoriti pemilikan saham pasukan Bobcats Charlotte dan menjadi pemilik pasukan sehingga sekarang.

-Sentiasapanas.com

Misteri Menyeramkan Legenda Tingkat 13!

Misteri Menyeramkan Legenda Tingkat 13!

Apabila disebut angka 13, pasti ramai yang akan mengaitkannya dengan pelbagai cerita mistik dan paranormal yang disampaikan dari mulut ke mulut. Apatah lagi jika menyebut angka 13 pada tingkat sesebuah bangunan, yang kononnya lebih keras dan berisiko 'diganggu' berbanding tingkat-tingkat lain.

Misteri Tingkat 13

Dan kerana sebab itulah kita sedia maklum di sesetengah negara, tingkat 13 sengaja ditinggalkan kerana angka malang itu.

Sementara di Malaysia jika mengikut pengalaman kita, tingkat ke 13 bangunan pejabat biasanya dijadikan surau.

Adapun begitu, asal-usul budaya ini dan sebab sebenar tidak meletakkan angka 13 ketika proses pemasangan lif sesebuah bangunan tidak kita ketahui.

Bagaimanapun, ada spekulasi menyatakan terdapat satu zaman di mana pereka bangunan risaukan kepercayaan karut masyarakat dengan angka itu, lantas mengambil keputusan tidak meletakkan tingkat 13 pada senarai digital lif.

Perbuatan itu mula menjadi biasa seterusnya mendapat tempat dalam budaya dan rekaan bangunan. Perlakuan itu lama-kelamaan menimbulkan tanda tanya yang kuat sehingga melahirkan pelbagai kisah dan Urban Legend.

Kisah yang paling kerap diceritakan kepada mereka yang bekerja atau tinggal di bangunan yang sepertinya adalah; Pernah ada seorang lelaki yang dikisahkan pergi ke sebuah bangunan tanpa tingkat tiga belas pada hari yang ke 13. Dia lantas menggunakan lif untuk naik ke sebuah tingkat di atas tingkat 12.

Dalam perjalanan untuk sampai ke tingkat 14, lif dengan tiba-tiba menjadi pelik dan berhenti di sebuah tingkat misteri. Apa yang terjadi selepas itu, pintu lif terbuka dan tidak ada apa-apa lagi berita mengenai lelaki tadi. Sesetengah orang mendakwa lelaki itu telah memasuki dimensi lain dan menemui pintu gerbang ke tempat roh-roh jahat tinggal.

Selain kisah tadi, terdapat beberapa khabar angin yang kononnya mempunyai kaitan dengan tingkat 13. Ada juga bangunan yang meletakkan tingkat 13, bagaimanapun, ianya akan dibiarkan kosong atau ditutup kepada orang awam.

Tingkat 13 memang wujud namun hanya boleh diakses dengan menekan butang lif dengan nombor-nombor tertentu yang bertindak sebagai kata laluan.

Tingkat 13 kononnya digunakan pemilik bangunan untuk ritual pemujaan atau perjumpaan Illuminiti. Sesetengah teori konspirasi pula mencadangkan kepada kita bahawa tingkat 13 dalam bangunan-bangunan kerajaan sebenarnya bukan tidak ada, tapi sebaliknya mengandungi rahsia-rahsia teratas dalam sesebuah jabatan kerajaan.

Analisis dan fakta

Sebab sebenar kenapa tingkat 13 tidak diletakkan dalam bangunan adalah disebabkan Triskaidekaphobia (Ketakutan kepada angka 13 dan mengelak dari menggunakannya) pada pemilik atau pereka bangunan atau keinginan untuk mengelakkan masalah di masa akan datang dengan kepercayaan karut pekerja atau pelanggan dengan angka 13.

Kajian yang dibuat oleh syarikat lif terkemuka menunjukkan 85% bangunan yang mempunyai lif tidak mempunyai tingkat 13. Biasanya ia dilangkau terus kepada tingkat 14 atau diletakkan sebagai tingkat 12a.

Di China sesetengah bangunan tidak mempunyai tingkat empat kerana sebutan angka 4 mempunyai sebutan yang hampir sama dengan 'Kematian'.

Di Itali pula, masyarakat di sana menganggap angka 13 sebagai angka bertuah, sementara angka malang bagi mereka adalah 17.

Antara kisah lain yang dikaitkan dengan tingkat 13 adalah sebuah kisah Urban Legend di Korea Selatan. Kisah ini sangat terkenal malah kebanyakan masyarakat Korea percayakan kisah ini merupakan peristiwa sebenar yang benar-benar pernah terjadi.

Diceritakan, seorang gadis yang namanya bermula dengan huruf A bertugas sehingga lewat malam di perpustakaan universiti untuk mnyiapkan tugasannya. Selepas kerja-kerjanya siap, dia bergegas pulang ke rumahnya di tingkat 14 sebuah apartmen tidak jauh dari universiti.

Setibanya dibangunan itu, dia berdiri di depan pintu lif selepas menekan butang 'memanggil' lif. Tidak lama menunggu, lif pun sampai, pintu lif terbuka, dia lantas masuk kemudian menekan butang tingkat 14.

Ketika pintu lif hampir tertutup rapat, seorang pemuda berlari menuju ke lif. Pemuda itu sempat menghulurkan tangannya untuk menghentikan pintu lif. Pemuda itu kemudiannya berdiri di sebelah gadis tadi.

"Tumpang tanya, kamu tinggal di tingkat 14 ke?", tanya pemuda itu sambil matanya melihat butang yang menyala.

"Ya", jawab gadis itu sambil tersenyum.

"Ohh.." kata pemuda itu sambil tersentum kepada gadis tersebut.

"Kebetulan pula, saya tinggal di tingkat 13, cuma beza satu tingkat kan.." sambung pemuda tadi kemudian menekan butang 13 pada lif.

Melalui cermin di pintu lif, si gadis melihat lantai lif yang menyusur laju menuju ke atas. Kedua-duanya diam membisu. Sesekali gadis tadi curi-curi melirik pada pemuda itu. Kemudian, secara tidak sengaja pemuda itu juga memandang si gadis, maka terpautlah dua pasang mata itu dalam satu pandangan. Pemuda itu tersenyum manis kepadanya, lantas membuatkan si gadis malu dan pipinya menjadi merah.

Ketika lif berhenti di tingkat 13, pintu lif terbuka dan pemuda itu pun melangkah keluar dari lif.

"Jumpa lagi nanti ya.." kata pemuda sambil tersenyum.

"Ok, jumpa lagi nanti", jawab gadis dengan nada yang riang.

Kemudian, ketika pintu lif mula tertutup, tiba-tiba pemuda tadi menoleh sambil mengeluarkan sebilah pisau dari jaketnya.

"Saya tunggu kamu di ingkat atas!", ancam pemuda itu sambil ketawa seperti orang yang hilang akal, kemudian mula berlari ke arah tangga.

Gadis itu mula panik dan menggigil ketakutan. Dia menekan butang lif bertalu-talu cuba untuk menghentikan lif. Namun, usahanya sia-sia.

Dalam sekelip mata lif tiba di tingkat 14, pintu terbuka, manakala pemuda tadi sudah berdiri di depan pintu lif dengan pisau di tangan sedia untuk membunuhnya.

Bagi sebilangan masyarakat Korea, kes ini bukan sekadar Urban Legend yang diada-adakan, tapi merupakan kes pembunuhan sebenar - gadis bernama dengan huruf pangkal "A" ditemui mati di dalam lif.

Bagi sesiapa pun yang tahu kisah ini pasti bersetuju bahagian paling menakutkan dalam cerita ini bukannya kematian gadis tadi tapi penderitaan ketika lif bergerak dari tingkat 13 ke tingkat 14, dan mengetahui dia akan dibunuh disana.

Bagi penduduk tempatan, mereka mendakwa kes ini sebagai sebab diwujudkan butang 'Stop' pada setiap lif selepas itu.

Cuma yang peliknya, siapa pula yang tahu butir-butir pembunuhan beserta dialog sebelum gadis itu dibunuh?

Dari CCTV kot? Hah!

BACA INI JUGA: Misteri Sumpahan Kerusi Antik Pembawa Maut!

-Sentiasapanas.com

Monday, April 21, 2014

Menjadi Lagenda Blues Dengan Bantuan Syaitan?!

Menjadi Lagenda Blues Dengan Bantuan Syaitan?!

Robert Leroy Johnson (8 Mei 1911 - 16 Ogos 1938) adalah pemuzik dan penyanyi blues dari Amerika Syarikat yang mana kombinasi nyanyian, skil bermain gitar dan penulisan lagunya banyak mempengaruhi pemuzik generasi selepas beliau sehingga ke hari ini.

Robert Leroy Johnson

Namun, walaupun dengan bakat yang mengagumkan seperti Johnson, dia lebih dikenali atas sebab kematiannya ketika berusia 27 tahun yang penuh misteri, menjadikan nama Robert Johnson sebagai pendahulu dalam senarai "Kelab 27".

Lagenda blues Robert Johnson lahir di Hazelhurst, Missisippi dan membesar dengan muzik Delta Blues - stail terawal dalam muzik blues yang berasal dari daerah kelahirannya.

Bermula dengan belajar bermain harmonika sebelum menguasai gitar, dia meninggalkan kampung pada usia 19 tahun untuk mengembara ke seluruh negara, mengadakan persembahan di parti-parti, juke joint, bar-bar murah dan tempat-tempat lain.

Di San Antonio (1936) dan Dallas (1937), Johnson merakamkan 29 buah lagu sebelum mati setahun kemudian. Enam buah daripada lagu-lagu Johnson ada menyebut berkenaan syaitan atau sesuatu yang berbentuk paranormal.

Robert Leroy Johnson [2]

Walaupun semua karya lagenda yang tinggal adalah dalam rakaman Texas, pengaruh Johnson banyak memberi kesan kepada pemuzik blues dan rock 'n' roll selepas beliau, malah sebahagian besar pemuzik terbaik dunia mengakui pengaruh karya Johnson kepada mereka termasuk Led Zeppelin, Bob Dylan, The Rolling Stones, U2, Jimi Hendrix dan Eric Clapton.

Sebelum berjaya merekodkan lagu-lagu lagenda, Johnson dikatakan mengalami saat-saat paling sukar dalam perjalanan karier dan hidupnya. Isteri kesayangan Johnson mati bersama anak mereka semasa melahirkan anak sulungnya sekitar 1930 dan bermula pada saat itu dia dikatakan menumpukan diri sepenuhnya pada gitar.

Sebahagian daripada mitos perjanjian Syaitan datangnya daripada dakwaan yang mengatakan dia hilang seketika pada awal 30an dan pulang dengan kemahiran gitar yang jauh lebih baik berbanding sebelumnya.

Ramai yang tidak percaya, terutamanya mereka yang sudah biasa melihat persembahan Johnson, bagaimana mungkin kemahiran gitar blues yang dipersembahkannya boleh berubah jauh hanya dalam tempoh setengah tahun!

Johnson yang pada awal kariernya banyak dipengaruhi Son House dan Charley Patton yang diminatinya sejak mula-mula mempelajari gitar pada penghujung 1920an, tiba-tiba pulang dengan gaya tersendiri dengan gerakan kod yang unik.

Robert Leroy Johnson Mystery

Lagenda mendakwa semasa kehilangan Johnson, dia diberitahu untuk membawa gitarnya ke suatu simpang berdekatan Rosedale pada tengah malam. Apabila sampai disana, dia melihat satu lembaga besar sedang menantinya di tengah-tengah persimpangan antara empat jalan itu.

Johnson kemudiannya mendekati lembaga itu dan menunjukkan gitarnya. Lembaga itu kemudiannya mengambil gitar itu dan mengubah 'tune'nya. Kemudian memainkan beberapa buah lagu sebelum memulangkannya kepada Johnson, sekaligus memberikan segala kemahiran instrumen itu sebagai pertukaran dengan nyawa Johnson!

Pada tahun 1936, Johnson berkelana ke Texas untuk merakamkan sekurang-kurangnya 29 buah lagu. Namun, ada pihak yang mendakwa Johnson sebenarnya merakamkan 30 buah lagu dan lagu terakhirnya hilang secara misteri sehingga ke hari ini!

Ramai yang terpesona dan kagum pada hakikat kehebatan Johnson dalam tempoh masa yang sangat singkat. Ada pihak yang mula mengesyaki ada sesuatu yang disorokkan Johnson. Dia akan membelakangi penonton semasa membuat persembahan dan ada ketikanya meninggalkan penonton ditengah-tengah persembahan.

Khabar angin mengenai abiliti luar biasa ketika bermain gitar bermula bila rakan dan mentornya, Son House berkata, "Dia menjual rohnya untuk bermain sebaik ini". Setahun kemudian, Johnson mati selepas mengadakan persembahan di sebuah bar.

Dikatakan tiga buah lagunya, Cross Road, Hell Hound On My Trail dan Me And The Devil bersama liriknya adalah rujukan kepada perjanjian Johnson dengan Syaitan.

Khabar angin mengenai perjanjian Johnson dengan Syaitan lebih cepat tersebar setelah orang ramai tahu reputasi guru gitarnya, Ike Zinnerman yang dikatakan gemar mempelajari gitar ditengah malam sambil duduk di atas batu nesan kubur lama di halaman gereja.

Sesetengah peminat mendakwa Johnson mempunyai mata yang jahat, sedangkan kebenarannya, dia menderita katarak kecil pada mata. Mengenai dakwaan Johnson berpaling ke belakang ketika membuat persembahan, mungkin pada waktu itu ianya dilihat pelik, tapi hari ini ramai pemuzik mengambil sikap begitu kerana tidak gemarkan kegilaan peminat.

Eddie Van Halen misalnya kerap memalingkan belakang kepada kepada penonton untuk menyembunyikan teknik beliau daripada gitaris lain.

Kelab 27

Johnson mati pada usia 27 tahun dengan meninggalkan nama yang cukup besar sehingga tertubuhnya "Kelab 27" yang kemudiannya dianggotai Brian Jones (The Rolling Stones) dan Jimi Hendrix yang sama-sama mengagumi beliau.

Terma "Kelab 27" dikatakan pertama kali digunakan oleh seorang lagi pemuzik hebat yang dipengaruhi Johnson iaitu Eric Clapton.

Eric sendiri mendakwa dirinya nyaris-nyaris menjadi mangsa "Kelab 27" akibat ketagihan kronik beliau pada heroin ketika usia tersebut.

Namun, masih ramai pemuzik terkenal berakhir tragis sebagai mangsa mitos "Kelab 27" dan kebanyakannya adalah atas sebab gaya hidup mereka sendiri; kegagalan menghadapi tekanan dan masalah ketagihan dadah serta alkohol.

Walaupun "Kelab 27" dan kisah pemuzik menjualkan rohnya kepada Syaitan untuk mendapatkan kemahiran bermain gitar adalah mitos yang sengaja diada-adakan. Yang pasti, semua mitosnya bermula daripada bakat luar biasa Johnson sebagai pemuzik sebagai lagenda sebenar.

Benar atau tidak Johnson pernah membuat perjanjian dengan Syaitan, yang pasti Johnson dianggap sebagai master dalam muzik blues atau Bapa kepada Delta Blues sehingga ke hari ini.

BACA INI JUGA: Mesej Rahsia Tersirat Illuminiti Disebalik Pembikinan Filem Avatar

-SENTIASAPANAS.COM

Sunday, February 09, 2014

Jet Li, Lagenda Kung Fu Master

Jet Li, Lagenda Kung Fu Master

Siapa tidak kenal dengan master Wong Fei-hung? Seorang tabib China yang juga jaguh kung fu.

Jet Li

Kisah Wong Fei-hung diangkat ke layar perak melalui fi lem epik Once Upon a Time in China lakonan hero kung fu China, Jet Li.

Kehebatan pelakon itu juga mendapat perhatian penggiat filem Hollywood apabila disambar untuk memegang watak jahat menerusi filem Lethal Weapon 4 pada 1998.

Bakat bekas atlet wushu ini juga diketengahkan melalui watak Han Sing dalam Romeo Must Die (2000), Kiss of the Dragon dan Unleashed.

Lakon layar beliau semakin hebat ketika membintangi filem The Forbiden Kingdom (2008) dengan Jackie Chan manakala gandingan mantap bersama Sylvester Stallone dipersembahkan melalui filem The Expendables (2010) dan sekali lagi memegang watak jahat menerusi filem The Mummy: Tomb Of The Dragon Emperor (2008) bersama Brendan Fraser.

Jet Li Expendables (2010)

Jet Li atau nama sebenarnya Li Lianjie dilahirkan di Beijing, China pada 26 April 1963 dan pemegang warganegara Singapura.

Beliau adalah anak bongsu dalam lima beradik.

Ketika berusia 2 tahun bapanya meninggal dunia dan kehidupan mereka dibelenggu kemiskinan.

Ketika berusia 8 tahun, keluarganya tidak mampu menanggung yuran persekolahan maka itu dia dihantar ke sekolah wushu kendalian jurulatih Wu Bin dan Li Junfeng.

“Saya dari keluarga miskin. Kami tidak cukup duit untuk ke sekolah formal. Jadi ibu menghantar saya ke sekolah sukan wushu di mana saya diberi makan dan tempat tinggal percuma. Kami hanya perlu berlatih setiap hari,” katanya.

Jet Li Wushu

Jet Li menyertai pasukan Wushu Beijing dan meraih kejayaan pertama dalam Kejohanan Wushu Dunia pada usia 11 tahun. Bermula dari itu, beliau menjelajah ke 45 negara sebagai atlet.

Sepanjang bergelar atlet, beliau meraih 15 pingat emas dan satu perak.

Pada 1974, Jet Li terpilih ke Amerika Syarikat untuk menyertai demonstrasi wushu di hadapan Presiden Richard M Nixon.

Selepas itu beliau ditawarkan sebagai pengawal peribadi kepada Presiden itu. Namun, pelawaan itu ditolak.

“Saya tidak mahu melindungi mana-mana individu. Apabila saya besar, saya mahu mempertahankan 1 bilion rakyat di tanah air saya,” katanya.

Beliau bersara dalam dunia sukan wushu ketika berusia 17 tahun kerana mahu mencari kerja bagi membantu keluarganya. Kerjaya pertama beliau adalah sebagai kru belakang tabir.

Melihat ketangkasan aksi kung fu dalam beberapa drama ketika itu, minat beliau terhadap dunia lakonan mula dirasai.

Ketika bekerja di bawah pengarah Chang Hsin Yen, beliau tampil dalam filem pertama Shaolin Temple pada 1982.

Filem itu banyak memberi pendedahan kepadanya tentang dunia lakonan. Pada akhir 1980-an, Jet Li berhijrah ke Hong Kong untuk memberi komitmen penuh dalam dunia lakonan. Antaranya The Once Upon a Time in China, Fist of Legend filem saduran First of Fury dibintangi pelakon Bruce Lee dan Fong Sai Yuk.

Once Upon a Time in China Jet Li

Sepanjang berkecimpung dalam dunia lakonan hingga ke hari ini, beliau banyak beraksi dalam watak ganas dan berisiko tinggi.

Filem lakonan beliau menempah kejayaan apabila setiap lakon layarnya mencecah box office di serata dunia.

Pada 1987, Jet Li berkahwin dengan atlet wushu Huang Qiuyan. Mereka dikurniakan dua orang anak perempuan, Si dan Taimi.

Mereka bercerai pada 1990 dan Jet Li berkahwin semula pada 1999 dengan Nina Li Chi wanita kelahiran Shanghai yang juga pelakon Hong Kong.

Jet Li and Nina Li Chi

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak perempuan Jane dan Jada.

Ketika tragedi tsunami pada 2004 di Maldives, Jet Li sekeluarga dikatakan meninggal dunia.

Liputan kematian mereka menjadi tajuk utama akhbar. Realitinya, beliau hanya mengalami kecederaan ringan di kaki disebabkan mengalami kemalangan kecil di rumah.

Pada 2009, Jet Li, yang sebelum ini mempunyai kerakyatan Amerika Syarikat melepaskan kerakyatan itu lalu memohon menjadi warganegara Singapura.

Pada mulanya, pihak berkuasa Singapura tidak memberikan sebarang pengesahan.

Jit Li One Foundation

Namun, pada Julai 2009, pengerusi Jit Li One Foundation iaitu yayasan amal Jet Li mengumumkan bahawa pelakon itu sah menjadi rakyat Singapura kerana mahu memberikan pendidikan sempurna kepada dua anaknya.

Yayasan itu ditubuhkan bagi membantu mangsa bencana dan miskin di China.

Pada tahun sama, Jet Li melancarkan program kecergasan Wuji. Program itu memberi fokus kepada seni mempertahankan diri dan yoga.

Ketika waktu lapang beliau gemar bermain badminton, ping pong, bola tampar, berbasikal, membaca dan bermeditasi. Beliau juga suka mengumpul manik Tibet.

BACA INI JUGA: Video Peragut Tersilap Rompak Wanita Juara Muay Thai

Sumber: Sinarharian.com.my

Saturday, December 21, 2013

Perompak Lagenda, Ronnie Biggs, Meninggal Di Usia 84 Tahun!

Perompak Lagenda, Ronnie Biggs, Meninggal Di Usia 84 Tahun!

Seorang lelaki yang terkenal sebagai salah seorang dari sekumpulan perompak kereta api terbesar di dunia, Ronnie Biggs telah meninggal dunia ketika usianya 84 tahun.

Perompak Lagenda, Ronnie Biggs, Meninggal Di Usia 84 Tahun!
Ronnie Biggs.

Ronnie Biggs telah diserang satu siri strok sejak beberapa tahun lalu meninggal dunia di sebuah rumah penjagaan orang tua di utara London.

Dia menjadi popular kerana menjadi anggota rompakan sebuah kereta api penghantar surat dan bungkusan yang sedang dalam perjalanan dari Glasgow ke London pada 8 Ogos 1963.

Ronnie Biggs merompak 125 karung guni mengandungi wang tunai sebanyak £2.6 juta (RM13.81 juta) yang merupakan rekod rompakan pada masa itu.

Nilai wang itu kini bersamaan dengan £46 juta (RM245 juta).

Ronnie Biggs kemudian ditangkap selepas rompakan itu dan dihukum penjara 30 tahun.

Namun, dia berjaya melarikan diri selepas 15 bulan dipenjarakan. Dia kemudian berhijrah ke Brazil.

Ronnie Biggs mempunyai anak dengan seorang wanita Brazil menyebabkan dia memperolehi imuniti daripada dihantar pulang ke Britain.

Ronnie Biggs
Bersama isteri dan anak warga Brazil.

Ronnie Biggs kemudian memutuskan untuk menyerah diri ketika berusia 71 tahun dan kembali ke Britain pada tahun 2001.

Selepas pulang ke Britain, Ronnie Briggs dipenjara tetapi dibebaskan pada tahun 2009 kerana diserang satu siri serangan strok.

Perompak itu kemudian terpaksa menggunakan kerusi roda.

Namun, dia berasa bangga kerana menjadi perompak kereta api. Dia hanya mampu berkomunikasi menerusi papan huruf.

Pada sambutan ulang tahun rompakan itu, Ronnie Biggs berkata, "Jika anda mahu saya bertanya jika saya berasa kesal kerana menjadi salah seorang perompak, jawapan saya ialah tidak.

"Saya bangga kerana menjadi salah seorang daripada mereka (anggota-anggota perompak)," katanya ketika dia masih hidup.

BACA INI JUGA: Richard Turpin Penyamun Paling Hebat Dalam Sejarah Britain

sumber: kosmo