Ahad, Februari 09, 2014

Jet Li, Lagenda Kung Fu Master


Loading...

Siapa tidak kenal dengan master Wong Fei-hung? Seorang tabib China yang juga jaguh kung fu.

Jet Li

Kisah Wong Fei-hung diangkat ke layar perak melalui fi lem epik Once Upon a Time in China lakonan hero kung fu China, Jet Li.

Kehebatan pelakon itu juga mendapat perhatian penggiat filem Hollywood apabila disambar untuk memegang watak jahat menerusi filem Lethal Weapon 4 pada 1998.

Bakat bekas atlet wushu ini juga diketengahkan melalui watak Han Sing dalam Romeo Must Die (2000), Kiss of the Dragon dan Unleashed.

Lakon layar beliau semakin hebat ketika membintangi filem The Forbiden Kingdom (2008) dengan Jackie Chan manakala gandingan mantap bersama Sylvester Stallone dipersembahkan melalui filem The Expendables (2010) dan sekali lagi memegang watak jahat menerusi filem The Mummy: Tomb Of The Dragon Emperor (2008) bersama Brendan Fraser.

Jet Li Expendables (2010)

Jet Li atau nama sebenarnya Li Lianjie dilahirkan di Beijing, China pada 26 April 1963 dan pemegang warganegara Singapura.

Beliau adalah anak bongsu dalam lima beradik.

Ketika berusia 2 tahun bapanya meninggal dunia dan kehidupan mereka dibelenggu kemiskinan.

Ketika berusia 8 tahun, keluarganya tidak mampu menanggung yuran persekolahan maka itu dia dihantar ke sekolah wushu kendalian jurulatih Wu Bin dan Li Junfeng.

“Saya dari keluarga miskin. Kami tidak cukup duit untuk ke sekolah formal. Jadi ibu menghantar saya ke sekolah sukan wushu di mana saya diberi makan dan tempat tinggal percuma. Kami hanya perlu berlatih setiap hari,” katanya.

Jet Li Wushu

Jet Li menyertai pasukan Wushu Beijing dan meraih kejayaan pertama dalam Kejohanan Wushu Dunia pada usia 11 tahun. Bermula dari itu, beliau menjelajah ke 45 negara sebagai atlet.

Sepanjang bergelar atlet, beliau meraih 15 pingat emas dan satu perak.

Pada 1974, Jet Li terpilih ke Amerika Syarikat untuk menyertai demonstrasi wushu di hadapan Presiden Richard M Nixon.

Selepas itu beliau ditawarkan sebagai pengawal peribadi kepada Presiden itu. Namun, pelawaan itu ditolak.

“Saya tidak mahu melindungi mana-mana individu. Apabila saya besar, saya mahu mempertahankan 1 bilion rakyat di tanah air saya,” katanya.

Beliau bersara dalam dunia sukan wushu ketika berusia 17 tahun kerana mahu mencari kerja bagi membantu keluarganya. Kerjaya pertama beliau adalah sebagai kru belakang tabir.

Melihat ketangkasan aksi kung fu dalam beberapa drama ketika itu, minat beliau terhadap dunia lakonan mula dirasai.

Ketika bekerja di bawah pengarah Chang Hsin Yen, beliau tampil dalam filem pertama Shaolin Temple pada 1982.

Filem itu banyak memberi pendedahan kepadanya tentang dunia lakonan. Pada akhir 1980-an, Jet Li berhijrah ke Hong Kong untuk memberi komitmen penuh dalam dunia lakonan. Antaranya The Once Upon a Time in China, Fist of Legend filem saduran First of Fury dibintangi pelakon Bruce Lee dan Fong Sai Yuk.

Once Upon a Time in China Jet Li

Sepanjang berkecimpung dalam dunia lakonan hingga ke hari ini, beliau banyak beraksi dalam watak ganas dan berisiko tinggi.

Filem lakonan beliau menempah kejayaan apabila setiap lakon layarnya mencecah box office di serata dunia.

Pada 1987, Jet Li berkahwin dengan atlet wushu Huang Qiuyan. Mereka dikurniakan dua orang anak perempuan, Si dan Taimi.

Mereka bercerai pada 1990 dan Jet Li berkahwin semula pada 1999 dengan Nina Li Chi wanita kelahiran Shanghai yang juga pelakon Hong Kong.

Jet Li and Nina Li Chi

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak perempuan Jane dan Jada.

Ketika tragedi tsunami pada 2004 di Maldives, Jet Li sekeluarga dikatakan meninggal dunia.

Liputan kematian mereka menjadi tajuk utama akhbar. Realitinya, beliau hanya mengalami kecederaan ringan di kaki disebabkan mengalami kemalangan kecil di rumah.

Pada 2009, Jet Li, yang sebelum ini mempunyai kerakyatan Amerika Syarikat melepaskan kerakyatan itu lalu memohon menjadi warganegara Singapura.

Pada mulanya, pihak berkuasa Singapura tidak memberikan sebarang pengesahan.

Jit Li One Foundation

Namun, pada Julai 2009, pengerusi Jit Li One Foundation iaitu yayasan amal Jet Li mengumumkan bahawa pelakon itu sah menjadi rakyat Singapura kerana mahu memberikan pendidikan sempurna kepada dua anaknya.

Yayasan itu ditubuhkan bagi membantu mangsa bencana dan miskin di China.

Pada tahun sama, Jet Li melancarkan program kecergasan Wuji. Program itu memberi fokus kepada seni mempertahankan diri dan yoga.

Ketika waktu lapang beliau gemar bermain badminton, ping pong, bola tampar, berbasikal, membaca dan bermeditasi. Beliau juga suka mengumpul manik Tibet.

BACA INI JUGA: Video Peragut Tersilap Rompak Wanita Juara Muay Thai

Sumber: Sinarharian.com.my

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon