Wednesday, May 31, 2017

Lelaki 007 Paling Sempurna Tewas Kerana Kanser


1983, di sebuah lounge Lapangan Terbang Nice, Perancis, dari jauh Mark Haynes sudah nampak kelibat lelaki yang amat dikenalinya, duduk berhampiran pintu berlepas penuh asyik membaca.

Roger Moore

Haynes, 7 tahun, kemudian memberitahu datuknya, “Itu James Bond, bolehkah bantu saya untuk mendapatkan autografnya?”

Tanpa mengetahui siapa itu James Bond atau Roger Moore sekalipun, si datuk pergi kepada lelaki kacak dengan ketinggian lebih enam kaki itu seraya berkata, “Cucu saya mengatakan anda terkenal. Boleh tolong tanda tangan di sini?” Lelaki idola yang digilai jutaan perempuan di dunia itu tidak lokek, lantas menurunkan tandatangan di belakang tiket kanak-kanak tersebut.

Apabila Haynes menerima semula tiketnya, dia kecewa. Sangat kecewa! Yang dicatat adalah 'Roger Moore', bukan James Bond sepertimana dia mengenali lelaki itu. Memberanikan diri, Haynes pergi semula kepada lelaki berkenaan dan memberitahu bahawa beliau barangkali tersalah tulis.

Dalam sedikit senyuman, memandang ke sisi kanan dan kiri, kening terangkat, lelaki itu kemudian bercakap sambil berbisik ke telinga Haynes. “Saya perlu tulis sebagai Roger Moore. Jika tidak, Blofeld mungkin mengetahui saya sekarang berada di sini.”

Haynes kembali ke tempat duduk keluarganya dengan seluruh sarafnya melonjak keriangan. Datuknya bertanya adakah dia sudah mendapatkan tandatangan yang tertulis James Bond? “Tidak! Saya sekarang sudah bekerja dengan James Bond, saya tidak boleh mendedahkan rahsia kami.”

Waktu bergulir sepantasnya, belasan tahun kemudian, Haynes terlibat bekerja sebagai penulis skrip rakaman yang melibatkan UNICEF. Kebetulan, Roger Moore perlu menyelesaikan satu tugasannya sebagai duta kepada badan berpengaruh dunia itu.

Menyelit di celahan kru lain yang ada di situ, Haynes cuba memberitahu Moore akan kisah yang disimpan kemas dalam kotak ingatannya, bagaimana mereka bertemu di lapangan terbang itu.

Moore gembira mendengarnya, sambil berkata “Maaflah, saya tidak ingat lagi, tetapi saya gembira anda dapat bertemu James Bond.”

Tidak habis di situ, usai penggambaran, Moore berjalan mendahului Haynes dan sampai di ruang koridor menuju ke keretanya, beliau berhenti.

Melihat sekeliling, ke kiri dan ke kanan, dengan kening terangkat, sekali lagi seperti berbisik Moore berkata dengan tenang.

“Sudah tentu saya ingat pertemuan kita di Nice. Tetapi saya tidak berkata apa-apa sebentar tadi, kerana banyak sekali jurukamera bersama kita, mungkin salah seorang daripada mereka bekerja untuk Blofeld.”

Haynes ketawa berdekah-dekah, sepertinya dia kembali ke alam kanak-kanak riang berumur 7 tahun. Itu kenangan mahal. Ohh! barangkali paling mahal oleh seorang kanak-kanak yang kemudian membesar dan jadi dewasa dengan idola agungnya.

Untuk mereka yang membesar dengan filem ikon fiksyen era moden itu, watak ejen 007 dan Blofeld bukanlah asing. Blofeld adalah musuh paling ketat buat lelaki yang dianggap sempurna di dunia, James Bond.

Sudah pastilah apa yang menjadi musuh ejen 007 itu, juga menjadi musuh buat seluruh peminatnya termasuklah Haynes.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, James Bond diingati oleh dunia bermula dengan Moore. Meskipun dia adalah Bond yang kedua, ejen 007 itu membius seluruh peminat produk francais TV paling popular itu selepas ditangani Moore.

Dilahirkan di Stockwell, London, pada 14 Oktober 1927, anak kepada Lillian dan George Alfred Moore ini bermula sebagai pelakon tambahan. Beliau berkhidmat sebagai tentera dalam Perang Dunia Kedua sebelum berpindah ke Amerika Syarikat.

Peranan yang melonjakkan namanya adalah melalui The Saint pada 1962. Watak sebagai ejen 007 pertamanya adalah melalui Live and Let Die (1973), diikuti The Man and Gun Golden, The Spy Who Loved Me, Moonraker, For Your Eyes Only , Octopussy dan A View to Kill.

Bakti manusiawi

Sifat yang begitu manusiawi, suka menolong ternyata bukan hanya pada watak dalam lakonan. Di ambang kemasyhuran, Moore sempat menjadi duta muhibah UNICEF.

Beliau berjaya meningkatkan penghasilan dana kepada lebih AS$90 juta (RM384 juta) melalui kempen Menghapuskan Kekurangan Iodin kepada kanak-kanak dunia, selain menghabiskan masa di seluruh dunia termasuk Ghana, Honduras dan Filipina.

Sumbangannya berbekas dan diperakui dunia melalui Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat UNICEF yang diterima di United Kingdom.

Sudah terang lagi bersuluh, pingat Darjah Paling Cemerlang Empayar British yang diterima dan membawa gelaran 'Sir' kepada Roger Moore dianggap sebagai pelengkap paling bergaya sepanjang usianya.

Pada 23 Mei 2017, memanjat usia 89 tahun, Moore akhirnya dipanggil pergi, dia meninggal dunia di Switzerland. Tidak banyak yang tahu, beliau mula bertarung dengan kanser prostat semenjak 1993 lagi.

Pada 2012 beliau pernah memberitahu media bahawa kanser kulitnya telah pun merebak dan menyekat beberapa aktiviti fizikalnya termasuk berjemur di pantai.

Berakhir sudah hayat seorang insan di dunia yang sebelum ini telah mengangkat dirinya sebagai lelaki Inggeris kacak, berpengaruh dan luar biasa hebat.

Berkongsi kesedihan, Deborah, Geoffrey dan Kristian mengumumkan bahawa ayah mereka telah meninggal dunia ‘selepas pertempuran yang singkat tetapi berani dengan kanser.’

Pada penghujung usia, sepertinya beliau tidak lagi mengenang segala kemasyhuran yang melangit itu. Diangkat sebagai duta kepada perihal kemanusiaan, itu adalah nilai yang paling mahal bagi seorang Roger Moore.

“Menerima penghargaan UNICEF, ia adalah satu-satunya perkara yang paling indah pernah saya lakukan di dunia ini,” katanya, beberapa tahun lalu.

“Tiada apa yang glamor tentang kematian. Ajarkan tentang cinta, kemurahan hati dan akhlak yang baik, siapa tahu dengan nilai-nilai itu, kanak-kanak juga dapat mendidik ibu bapanya di rumah,” demikian antara pesanan penting mendiang pada hayatnya.

Sebagaimana ejen 007 yang gagah bertahan dan tidak pernah takut kematian, Moore pernah memberitahu begini apabila diajak berbicara tentang episod tersebut.

“Ia seperti berada di dalam sebuah bilik yang berkunci, hanya kita seorang diri di dalamnya (kubur). Hanya setelah kunci bilik itu ditemui, kita semua akan berjumpa kembali.”

Syabas ejen 007 yang paling sempurna. Tugas kamu sudah selesai. Terima kasih Sir Roger Moore!

BACA INI JUGA: James Bond 007, Disebalik Jenama Hebat!

sumber: utusan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon