Thursday, May 25, 2017

Sudirman Lagenda Penghibur Terbaik Asia


Sudirman Haji Arshad (25 Mei 1954 - 22 Februari 1992) merupakan penyanyi pertama Malaysia memenangi anugerah Penghibur Terbaik Asia dalam pertandingan Anugerah Muzik Popular Asia pertama yang berlangsung di Dewan Royal Albert, London pada 19 Mac 1989.

Sudirman

Sudirman telah mengalahkan lapan orang peserta dari negara-negara Asia termasuk Hong Kong, Taiwan, Jepun, Korea Selatan, Thailand, Filipina, China dan Singapura.

Dalam pertandingan tersebut beliau telah menyanyikan 2 buah lagu Inggeris 'A Thousand Million Smiles' dan 'Send In The Clown' dengan menggayakan aksi lucu ala Charlie Chaplin yang cukup mempesonakan yang membolehkan beliau mengalahkan wakil-wakil negara asia lain yang lebih hebat popularitinya.

Kejayaan beliau telah diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia dan turut mendapat liputan meluas dari berbagai media di negara ini.

Kejayaannya dalam mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa seharusnya diberi sanjungan yang berterusan meskipun pada saat ini beliau telah tiada lagi untuk terus mewarnai dunia seni suara tanah air dengan pencapaian-pencapaian gemilangnya.

Karier

Beliau telah memulakan kariernya sebagai seorang penyanyi apabila dinobatkan sebagai "Juara Bintang RTM 1976" pada 11 Ogos 1976.

Selain itu, beliau juga adalah satu-satunya pemegang gelaran "Penghibur Nombor 1 Asia" (pada 19 Mac 1989) dari Pahang, Malaysia sebelum kehadiran Siti Nurhaliza.

Di samping itu, terdapat juga gelaran yang lain untuk beliau seperti "Penghibur Milik Masyarakat", "Seniman Rakyat" dan "Elvis Malaysia".

Beliau juga mempunyai pelbagai kebolehan sebagai seorang penyanyi, penghibur, penggubah lagu, peguam, penulis, pengarang (buku memoir dan kanak-kanak), pelukis kartun, usahawan dan pelakon.

Sepanjang 16 tahun kerjayanya dalam lapangan seni suara tanah air, Sudirman telah merakamkan 15 album studio, 52 album kompilasi dan puluhan lagu hitsnya serta memenangi pelbagai anugerah tempatan dan antarabangsa.

Sudirman meninggal dunia di kediaman kakaknya, Datin Rodziah Arshad di Bangsar pada 22 Februari 1992 selepas tujuh bulan bertarung dengan penyakit radang paru-paru.

Pada 2009, 17 tahun selepas pemergiannya, beliau telah dianugerahkan gelaran Dato' oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan pengiktirafan diwakili oleh kakaknya.

Sejarah Keluarga

Beliau dilahirkan pada hari Rabu, 25 Mei 1954 di No. 48, Jalan Ibrahim, Temerloh, Pahang. Beliau merupakan anak kepada Hajah Romlah binti Dahalan dan Haji Arshad bin Haji Hassan.

Bapanya mendapat ilham untuk menamakan beliau sebagai "Sudirman" sempena nama seorang pahlawan dari Indonesia, Soedirman kerana mahukan anaknya menjadi seorang pahlawan yang hebat.

Beliau juga mesra disapa sebagai "Diman" oleh ahli keluarganya. Ibu bapanya pernah menjual kain ela dan pakaian.

Ibunya juga mengambil upah untuk membuat sulaman dan membuka kelas jahitan. Banyak peniaga di sekitar kawasan pekan sering mengambil upah dari ibunya.

Sudirman adalah anak bongsu, adik beradik yang lain iaitu Zainuddin, Rodziah, Basir (Morni), Roslan dan Roaini.

Sejak kecil, Sudirman sering menyanyi di mana sahaja. Di sekolah pula, beliau memasuki pertandingan bersyair, berpidato, berpantun, kuiz dan terlibat dalam persembahan teater dan koir sekolah. Dia suka bersukan, senang berpidato dan setiap waktu di perpustakaan.

Kejayaan

Konsert di Jalan Chow Kit

Chow Kit dipenuhi kira-kira 100 ribu orang yang mahu menyaksikan persembahan Sudirman pada tahun 1986

Pada 15 April 1986, Sudirman menempa nama di dalam Malaysian Book of Records setelah mengadakan konsert gergasi percumanya di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Beliau telah berjaya memikat serta memukau hampir 100 ribu warga kota untuk berpusu-pusu membanjiri jalan itu.

Lagu yang dinyanyikan oleh beliau ialah ‘‘Chow Kit Road! Chow Kit Road!’’ dan diakhiri dengan lagu patriotik sambil memakai bendera Malaysia.

Jalan Chow Kit pada era Sudirman adalah tempat untuk golongan marhaen. Jalan Chow Kit menjadi simbol untuk orang-orang kebanyakan yang juga peminat beliau.

Maka, konsert jalanan secara percuma adalah sebagai tanda terima kasih kepada para peminatnya yang tidak mampu menyaksikan persembahan di hotel atau dewan untuk suatu konsert.

Perkara ini juga telah memberitahu kita bahawa beliau bukan seorang yang materialistik.

Penghibur Nombor 1 Asia

Pada 19 Mac 1989, Sudirman telah dinobatkan sebagai "Penghibur Nombor 1 Asia" pada "Asian Popular Music Awards".

Acara anugerah ini diadakan bersama-sama dengan Saleem Music Awards Festival yang berlangsung di Dewan Royal Albert, London.

Beliau merupakan penyanyi pertama dari Malaysia yang pernah memenangi anugerah tersebut. Sudirman telah mengalahkan 8 orang peserta dari negara-negara Asia termasuk Hong Kong (Leslie Cheung), Filipina (Kuh Ledesma), Singapura (Anita Sarawak), China, Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan Thailand.

Dalam pertandingan tersebut, beliau telah menyanyikan dua buah lagu Inggeris "One Thousand Million Smiles" dan "Send In The Clown" dengan menggayakan aksi lucu ala-ala Charlie Chaplin yang cukup mempesonakan serta membolehkan beliau mengalahkan wakil-wakil dari negara lain yang lebih hebat popularitinya.

Lagu "One Thousand Million Smiles" dirakamkan dalam bentuk single dan dipasarkan di Eropah.

Proses rakaman lagu itu dibuat di Studio Abbey Road, tempat rakaman album bagi penyanyi berpengaruh seperti The Beatles

Lagu ini dipilih sebagai lagu tema Malaysia semasa Hari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Persembahan

Sudirman merupakan seorang artis yang mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Beliau lincah dengan showmanship di pentas, sesuatu yang kurang kelihatan pada zamannya, dan memiliki pelbagai koleksi pakaian beraneka fesyen yang digunakan sewaktu persembahan.

Semasa Pertandingan Juara Lagu TV3 1987, Sudirman memenangi Anugerah Persembahan Terbaik kerana persembahannya begitu menyayat hati sewaktu mendendangkan lagu "Merisik Khabar" dengan petikan pemetik api simbolik beliau.

Malah beliau merupakan satu-satunya seniman yang boleh menyanyi dengan fasih pelbagai bahasa (bahasa Inggeris, Tamil, Cina dan Hindi) serta mengubah lagu sehingga berjaya mencuri hati setiap golongan masyarakat.

Keusahawanan

Sudirman pernah menubuhkan Sudirman Usaha Dagang Industri (SUDI) Sdn Bhd dengan modal kira-kira RM3 juta, yang mengeluarkan minuman tin berkarbonat jenama ‘‘Sudi’’.

Kejayaannya dalam memasarkan ‘‘Sudi’’ telah mengangkat Sudirman sebagai pemenang Anugerah Pengusaha Muda.

Minuman ‘‘Sudi’’ yang terkenal telah mengambil 5 peratus pasaran minuman karbonat dalam masa 6 bulan beroperasi (dengan bantuan majalah bisnes dan program TV dari Australia ke Hong Kong mengiklankan minuman Sudi).

Malangnya setelah Sudirman jatuh sakit, perniagaannya - Sudirman Productions dan SUDI Sdn. Bhd. telah ditutup pada September 1991.

Kematian

Pada 17hb. Julai 1991, Sudirman dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pusat Perubatan Tawakkal, Kuala Lumpur selama 4 hari.

Beliau telah dilaporkan pengsan setelah terjatuh. Selama 7 bulan beliau terlantar sakit, keluarga rapatnya merahsiakan punca penyakit dan lokasi beliau dirawat. Dalam tempoh itu, dia tidak ke mana-mana kecuali ke rumah kakaknya di Butterworth selama seminggu.

Dia mahu peminat-peminatnya melihat dia sihat, ceria, penghibur yang hebat, sebagai hero di pentas. Sememangnya dia tidak mahu meninggalkan kenangan yang teramat sedih di hati peminat setelah melihat dia terlantar sakit dan meninggal dunia, begitu penjelasan kakak Sudirman, Rodziah apabila ditanya apakah Sudirman sendiri yang tidak mahu orang lain melihat dia sakit selain adik-beradiknya.

Pada 22 Februari 1992 (bersamaan 18 Syaaban 1412), hari Sabtu jam 4:00 pagi, sebelum subuh, ketika berusia 37 tahun, Sudirman Hj Arshad telah kembali ke Rahmatullah di rumah kakaknya.

Jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke Temerloh dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chengal, Temerloh pada hari yang sama, jam 3:45 petang - berdekatan dengan pusara ibu bapanya (selang beberapa baris).

Ribuan peminat setia termasuk Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad  telah menziarahi jenazah Allahyarham yang dianggap sebagai suatu kehilangan yang besar bagi dunia hiburan tanah air.

Al-Fatihah.

BACA INI JUGA: 5 Lagu Michael Jackson Yang Paling Diminati

sumber: wikipedia | pnm

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon