Thursday, April 24, 2014

Lagenda Kehebatan Michael Jordan!


Bagi peminat sukan bola keranjang, siapa yang tidak kenal dengan nama Michael Jordan atau nama penuhnya Michael Jeffrey Jordan?

Michael Jordan

Kehebatannya dalam arena sukan bola keranjang di Liga Bola Keranjang Amerika Syarikat (NBA) begitu menyerlah berbanding rakan-rakan seangkatannya.

Dilahirkan di Brooklyn, New York pada 17 Februari 1963, Jordan membesar di Wilmington, North Carolina. Sejak kecil, Michael sudah berminat dengan sukan tetapi sukan bola keranjang bukanlah cinta pertamanya.

Semasa kecil, Jordan meminati sukan besbol seperti ayahnya dan selalu bermain bersama. Minatnya beralih ke sukan bola keranjang kerana ingin mengikut jejak langkah abangnya, Larry yang hebat bermain bola keranjang.

Michael Jordan Playing Besbol

Di sekolah menengah, Jordan mengembangkan minat dan mula bermain untuk pemilihan pasukan sekolahnya. Dia sangat yakin akan terpilih sebagai pemain untuk mewakili sekolahnya kerana memiliki kepantasan dan ketepatan melempar bola.

Bagaimanapun, dia tidak terpilih kerana faktor ketinggian yang tidak ideal.

Walaupun tidak berjaya, Jordan bertekad ingin menyertai pasukan sekolahnya. Setiap hari dia akan berlatih tanpa mengenal erti penat. Dia sering bergayut pada gelung jaring bola keranjang dengan harapan ketinggiannya akan bertambah.

Akhirnya, usaha dan kerja keras Jordan membuahkan hasil apabila dia berjaya menambah ketinggiannya sebanyak empat inci dan terpilih dalam pasukan sekolah pada tahun berikutnya.

Selepas tamat sekolah menengah, Jordan ditawarkan biasiswa bola keranjang di Universiti North Carolina pada tahun 1981. Sejak itu, Jordan menjadi orang penting dalam pasukan bola keranjang universiti berkenaan.

Michael Jordan Flying

Usaha gigihnya telah meletakkan pasukannya sebagai juara dalam pertandingan divisyen satu Kejohanan NCAA tahun 1982. Jaringan mata akhir yang dilakukannya meletakkan Jordan untuk menerima anugerah NCAA College Player Of The Year.

Pada tahun 1984, Jordan memutuskan untuk meninggalkan Universiti North Carolina untuk memasuki draf NBA. Dalam draf tersebut, dia telah dipilih menyertai pasukan Chicago Bulls.

Sebagai pemain baru yang bertaraf profesional, Jordan menonjolkan kehebatannya dalam arena NBA dan telah menerima anugerah NBA Rookie Of The Year.

Michael Jordan win

Walaupun dia memutuskan untuk menangguhkan pengajiannya, namun pada tahun 1985, dia kembali ke universiti untuk melengkapkan ijazahnya dalam bidang geografi.

Jordan mendapat cincin kejuaraannya yang pertama pada musim kejohanan NBA pada tahun 1991 setelah Chicago Bulls memenangi kejuaraan NBA dengan mengalahkan Los Angeles Lakers di perlawanan akhir.

Jordan sekali lagi membawa Bulls menjuarai liga NBA pada musim 1992, sebelum mengejutkan ramai pihak apabila mengundurkan diri daripada dunia bola keranjang profesional pada tahun 1993.

Keputusan itu dibuat kerana tragedi yang menimpa bapanya yang dirompak sebelum dibunuh pada 23 Julai 1993.

Michael Jordan Father Killed

Tahun berikutnya, Jordan sekali lagi mengejutkan dunia sukan apabila beralih angin kepada sukan kegemaran bapanya, besbol! Walaupun telah meninggalkan sukan ini selama 13 tahun, darah besbol masih panas mengalir di dalam tubuhnya.

Dia telah mengikat kontrak bersama pasukan Chicago White Sox dan cuba merealisasikan impian bapanya untuk melihat dia menjadi pemain besbol di Liga Besbol Major (MLB).

Michael Jordan - Washington Wizards

Bagaimanapun, pada bulan Mac 1995, Jordan kembali ke gelanggang dan menyertai semula Chicago Bulls dan membantu pasukan itu memenangi kejohanan menentang Seattle Sonics pada musim 1995-96.

Jordan sekali lagi telah mengumumkan persaraan pada 13 Januari 1999. Tahun berikutnya, dia kembali ke sukan bola keranjang bukan sebagai pemain tetapi sebagai salah seorang pemilik dan presiden kelab bola keranjang untuk pasukan Washington Wizards.

Michael Jordan own Washington Wizards

Pada musim luruh tahun 2001, Jordan melepaskan peranan itu untuk kembali ke gelanggang sekali lagi. Dia bermain untuk Wizards selama dua musim sebelum menggantung jersi untuk selama-lamanya pada tahun 2003.

Pada tahun 2006, Jordan telah membeli majoriti pemilikan saham pasukan Bobcats Charlotte dan menjadi pemilik pasukan sehingga sekarang.

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon