Wednesday, March 28, 2018

Sambutan Pesta Kalimaran Masyarakat Murut Di Sabah

Sambutan Pesta Kalimaran Masyarakat Murut Di Sabah

Sambutan Pesta Kalimaran yang disambut pada penghujung bulan Mac atau awal April setiap tahun diraikan dengan tujuan untuk mempamer dan menghidupkan budaya serta kesenian suku kaum Murut supaya ia terus kekal khususnya dalam jiwa golongan muda yang kini semakin 'jauh' dengan asal-usul.

Sambutan Pesta Kalimaran Masyarakat Murut Di Sabah

Sekiranya masyarakat Kadazan dan Dusun di Sabah meraikan Pesta Kaamatan (pesta menuai), Pesta Kalimaran pula sinonim bagi orang Murut yang sudah menjadi kemestian untuk meraikannya.

Suku kaum Murut merupakan etnik ketiga terbesar di Sabah, sememangnya sarat dengan identiti tersendiri yang merangkumi aspek tradisi, adat, budaya, kesenian, bahasa dan perayaan.

Pesta Kalimaran diilhamkan oleh bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Sabah pada era 80-an, Datuk Kadoh Agundong, bagi memastikan keunikan warisan suku kaum Murut terus hidup dan dihargai.

Pesta Kalimaran atau dikenali sebagai Pesta Kesenian di kalangan masyarakat setempat, diraikan secara turun temurun mengikut adat dan tradisi kaum Murut sejak dahulu lagi.

Pelbagai kraftangan, makanan dan tarian tradisi Murut yang terdapat di Tenom dipertontonkan termasuk simbol-simbol lama dalam bentuk lukisan di mana ia masih digunakan di sesetengah rumah Murut.

Bagaimanapun, pesta Kalimaran pada era moden ini bukan lagi sekadar perayaan tradisional tetapi sudah menjadi majlis keramaian yang bersifat komersial.

Sebelum ini, Pesta Kalimaran diadakan khusus di beberapa penempatan masyarakat Murut sahaja dan tidak dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sabah atau Malaysia.

Namun, setelah Pusat Kebudayaan Murut siap dibina pada 1994 di kawasan seluas 15 hektar yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Pekan Tenom dengan kos RM10.4 juta, penganjurannya dilakukan di situ.

Setiap tahun, kerajaan negeri Sabah akan menyalurkan peruntukan untuk penganjuran pesta tersebut yang bertujuan menjadikannya salah satu produk pelancongan di Sabah.

Sejak kebelakangan ini, pesta Kalimaran yang secara tradisinya diraikan selama dua hari berturut-turut, dilihat kurang mendapat sambutan dan kebanyakan pengunjung yang datang adalah pelancong asing.

Jika pada awal pengajuran pesta Kalimaran hanya menampilkan satu daripada lapan kumpulan pecahan etnik Murut setiap tahun mengikut giliran, tetapi pada kali ini menampilkan semua lapan kumpulan etnik tersebut iaitu Taghol, Timugon, Kolor, Binta, Paluan, Nabai, Gana dan Sambangkong sekali gus.

Mereka mempunyai adat dan identiti tersendiri, yang boleh dilihat menerusi seni budaya, adat resam, pakaian, makanan, minuman, kraftangan, ukiran, tarian dan muzik tradisional masing-masing.

Setiap pecahan etnik Murut ini mempunyai alat muzik dan nyanyian sendiri misalnya Paluan terkenal dengan lagu Tagunggu, Taghol (Lolondoi) Timugon (Titikas), Binta (Barasik), Gana dan Sambakong (Magagung).

Begitu juga dengan pakaian tradisional masing-masing yang mempunyai identiti khusus tetapi secara umumnya lelaki akan bercawat merah manakala wanitanya mengenakan pakaian bermanik.

Acara kebiasaan ketika sambutan pesta Kalimaran akan dikekalkan seperti persembahan nyanyian, tarian, permainan gong, pertandingan ratu cantik, gerai menjual hasil pertanian dan sebagainya.

Beberapa pembaharuan yang diperkenalkan itu akan mampu menarik lebih ramai pengunjung supaya pesta tersebut diangkat martabatnya sama seperti Pesta Kaamatan.

Ini adalah penting bagi meneruskan budaya Murut kerana Pesta Kalimaran adalah satu-satunya platform untuk berbuat demikian.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Friday, February 23, 2018

Sambutan Pesta Angin Timur Perlis

Sambutan Pesta Angin Timur Perlis

Sambutan Pesta Angin Timur Perlis yang merupakan program untuk menyemarakkan aktiviti kebudayaan tempatan di negeri Perlis, bagi menarik pengunjung tempatan dan antarabangsa mengunjungi negeri itu.

Pesta Angin Timur Perlis

Penganjuran secara tahunan Pesta Angin Timur Perlis juga merupakan cerminan kehidupan dan budaya rakyat di Perlis, di samping membantu menjana ekonomi rakyat tempatan, juga memberi peluang kepada generasi muda menghayati semula sebahagian aktiviti yang semakin dilupakan selain menjadi produk pelancongan.

Selain rakyat boleh menyertai dan menyaksikan kemeriahan Pesta Angin Timur, mereka boleh membeli barangan keperluan harian pada harga lebih murah.

Pesta Angin Timur yang dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis dianjurkan sejak tahun 2011.

Menerusi penganjurannya juga, kefahaman mengenai budaya sesebuah masyarakat dapat dipertingkatkan, selain mengeratkan kerjasama antara masyarakat dengan agensi kerajaan.

Antara program menarik sepanjang Pesta Angin Timur Perlis itu adalah pertandingan menangkap belut, lumba kerbau besi, karaoke lagu rakyat, jualan amal ‘Kiah Pekasam’, sukan motor lasak dalam bendang, kenduri rakyat, ‘funfair’ dan ‘soopa doopa’.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Sambutan Festival Regatta Lepa ‘Pesta Air Sabah’

sumber: utusan

Wednesday, November 15, 2017

Sambutan Festival Antarabangsa Sungai Melaka

Sambutan Festival Antarabangsa Sungai Melaka

Sambutan Festival Antarabangsa Sungai Melaka yang disambut setiap tahun oleh kerajaan negeri Melaka bakal membabitkan 25 acara domestik dan 10 acara bertaraf antarabangsa.

Festival Antarabangsa Sungai Melaka

Kerajaan negeri Melaka menyasarkan kehadiran lebih 1 juta pengunjung dari dalam dan luar negara sempena penganjuran Festival Antarabangsa Sungai Melaka Ke-11 yang bermula esok hingga 29 November untuk tahun 2017 ini.

Antara acara ketika sambutan Festival Antarabangsa Sungai Melaka adalah dua acara ikon iaitu Perarakan Bot Berhias dan Melaka Parade, yang memaparkan keunikan budaya masyarakat negeri Melaka yang terdiri daripada pelbagai etnik.

Selain itu, Pertandingan Bot Kawalan Jauh, Pertandingan Perahu Naga, Pertandingan Ratu Kebaya dan Persembahan Kebudayaan serta Kesenian Pelbagai Kaum dijangka akan mendapat sambutan hebat daripada pengunjung.

Festival Antarabangsa Sungai Melaka juga akan memaparkan Epik Sejarah Melaka mengenai pelayar pertama yang mengelilingi dunia iaitu Panglima Awang atau 'Henry The Black'.

Selamat menyambut Festival Antarabangsa Sungai Melaka.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Sunday, October 29, 2017

Sambutan Pesta Tamu Besar Kota Belud

Sambutan Pesta Tamu Besar Kota Belud

Sambutan Pesta Tamu Besar Kota Belud disambut pada bulan November setiap tahun bagi menyerlahkan lagi pesta yang dianggap antara pesta kebudayaan terbesar di Sabah.

Tamu Besar Kota Belud

Gelaran Cowboy of The East bagi penunggang-penunggang kuda di Kota Belud, kira-kira 70 kilometer dari Kota Kinabalu merupakan sebahagian daripada aset yang amat berharga yang boleh dimanfaatkan bagi menarik kedatangan pelancong ke daerah ini.

Oleh sebab itu Tamu Besar Kota Belud yang diadakan pada November setiap tahun ini disambut begitu meriah kerana kehadiran para penunggang kuda yang unik itu.

Uniknya penunggang kuda ini bukan sahaja kerana ia sebagai simbolik dan identiti bagi Kota Belud tetapi wujudnya beberapa ciri perbezaan dengan cerita-cerita country yang mengisahkan kehidupan rutin masyarakat berkuda di negara barat.

Ini kerana, setiap kuda masyarakat Bajau dihiasi dengan perhiasan bercirikan tradisi dan budaya, suku kaum yang amat sinonim dengan Kota Belud.

Cowboy barat biasanya bersenjatakan pistol dan bertopi sedangkan cowboy Kota Belud 'bersenjatakan' keris di pinggang.

Selain itu kuda-kuda juga berhias dengan kain baldu yang ditenun pelbagai corak dan warna.

Tempat duduk pelana dipanggil pakol manakala tali pemegang dipanggil tali kakang. Pada bahagian leher kuda terdapat lapan atau tujuh loceng kecil yang dipanggil serian.

Tamu Besar Kota Belud

Penunggang kuda pula memakai pakaian yang dipanggil podong sampit dan selain itu penunggang memakai sigar di kepala.

Semangat dan tradisi berkuda yang sudah diwarisi sejak turun temurun masih diamalkan tetapi 'pahlawan kuda Bajau' ini kini tampil dalam persembahan yang lebih kontemporari.

Secara kebetulan pula, asal usul nama Kota Belud sebenarnya terbit daripada cerita peperangan antara penduduk daerah ini pada masa dahulu.

Perkataan Kota Belud dalam bahasa Bajau bermakna 'kubu pertahanan di atas bukit'. 'Kota' bermakna kubu pertahanan manakala 'Belud' bermakna bukit.

Dahulu pertelingkahan untuk merebut kekuasaan memaksa suku kaum Bajau membina kubu pertahanan di atas bukit. Cerita itu kini sudah tersurat dalam lipatan sejarah.

Kisah yang tersirat pula ialah pesta Tamu Kota Belud bukan sekadar 'penunggang atau pahlawan kuda Bajau'.

Kini Pesta Tamu Besar Kota Belud terus meniti di bibir pelancong dari dalam dan luar negara setiap tahun kerana daya tarikannya yang tersendiri.

Tamu Besar Kota Belud bukan pesta kebudayaan dan hiburan semata-mata.

Saban tahun pesta ini yang dikatakan mula diadakan pada awal 1990an lebih daripada sekadar himpunan manusia dan semangat 'Kuda Bajau'.

Empat suku kaum utama di daerah ini yang mempunyai penduduk hampir 70,000 orang membentuk satu warna-warni budaya kerana setiap suku kaum terbesar iaitu Bajau, Kadazan Dusun, Iranun dan Ubian memiliki ciri-ciri kebudayaan masing-masing.

Sebagai contoh, selain 'pahlawan kuda Bajau', masyarakat Bajau terkenal dengan tarian kuda pasu, limbai.

Acara ini kerap dipersembahkan dalam Tamu Besar Kota Belud dengan pakaian tradisional sigar (lelaki) dan serimpak (wanita) di kepala. Selain itu suku kaum Bajau juga terkenal dengan kehalusan seni tangan pembuatan parang.

Tamu Besar Kota Belud

Masyarakat Iranun pula terkenal dengan persembahan tarian sumaranun dan pakaian tradisional dikatakan yang hampir sama dengan suku kaum Bajau.

Suku kaum Kadazan Dusun di daerah ini pula terkenal dengan pakaian sinipak dan dastar atau sigar.

Mereka juga terkenal dengan permainan tradisional mabinti atau lawan kaki dan miokud atau tinju lutut dan migusa atau lumba lari mendaki bukit.

Masyarakat Kadazan Dusun di sini yang terbahagi kepada Dusun Tindal dan Dusun Tobilung terkenal dengan tarian mongigol dan pokudinding sedangkan suku kaum Ubian pula yang memiliki pakaian tradisional tersendiri terkenal dengan tarian daling-daling.

Gabungan ciri-ciri kebudayaan inilah yang menjadikan Tamu Besar Kota Belud begitu unik dan istimewa.

Komposisi pelbagai suku kaum yang disebutkan itu adalah 'warna' semulajadi kepada kemeriahan pesta tersebut.

Dalam pada itu, aktiviti harian penduduk di sini juga banyak mencorakkan perayaan tamu besar itu. Sebagai masyarakat yang bercucuk tanam, kerbau dan lembu merupakan haiwan yang amat penting membantu mereka mengerjakan tanah.

Adakalanya, lelongan lembu dan kerbau diadakan sempena tamu besar.

Tamu Besar Kota Belud

Bagaimanapun acara yang menarik setiap kali tamu ialah pertandingan lumba kerbau lurus, pertandingan sapi (lembu), pertandingan lumba kerbau tukar bendera, tarik tali berkuda dan kemahiran menangkap lembu.

Sebenarnya, selain tamu besar, Kota Belud juga mengadakan tamu mingguannya yang diadakan di tapak tamu di tebing Sungai Tempasuk.

Pelancong-pelancong yang ingin mengunjungi tamu mingguan setiap Ahad boleh menggunakan kenderaan sendiri melalui lebuh raya yang baik dan hanya memakan masa kira-kira 45 minit perjalanan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Friday, October 20, 2017

Sambutan Hari Statistik Negara

Sambutan Hari Statistik Negara

Hari Statistik Negara yang disambut pada 20 Oktober setiap tahun merupakan inisiatif bagi memupuk kesedaran dan merakyatkan statistik di kalangan masyarakat Malaysia, yang mana United Nations Statistical Commission ketika bersidang dalam sesi yang ke-29 pada tahun 1997 menyatakan sokongan terhadap penganjuran sambutan hari, bulan atau minggu bagi meraikan statistik sama ada di peringkat negara atau peringkat serantau.

Hari Statistik

Sebanyak 102 buah negara di dunia pernah menganjurkan sambutan tersebut secara berkala atau sebagai one-time event sebagai salah satu inisiatif mengangkat peranan statistik.

Pada tahun 2010, United Nations General Assembly (UNGA) kali ke-64 telah mengisytiharkan Hari Statistik Sedunia disambut pada 20 Oktober 2010.

Tujuannya adalah untuk mengiktiraf perkembangan statistik rasmi dunia dan peranan United Nations Statistical Commission sejak penubuhannya pada tahun 19472. Hari tersebut telah disambut oleh 103 buah negara termasuk Malaysia.

Seterusnya, UNGA Ke-69 pula telah menetapkan Hari Statistik Sedunia Kedua disambut pada 20 Oktober 2015 dan diraikan setiap lima tahun pada 20 Oktober.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menjadi peneraju kepada statistik rasmi negara merasa amat teruja apabila Mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 September 2017 bersetuju supaya Hari Statistik Negara disambut pada 20 Oktober setiap tahun. Ini membuktikan bahawa Kerajaan menghargai dan mengiktiraf peranan dan sumbangan ahli statistik di Malaysia dan DOSM.

Keberhasilan daripada perkhidmatan perangkaan yang dikeluarkan oleh DOSM merupakan statistical evidence yang digunakan oleh Kerajaan sebagai input dalam pembentukan, pelaksanaan, penilaian dan semakan dasar awam.

Peranan ini akan diteruskan bagi memastikan penggubal dasar merangka polisi dan menganalisis keberkesanannya berdasarkan statistik yang komprehensif dan terperinci.

Statistik juga memainkan peranan besar kepada pihak swasta dalam membuat keputusan perniagaan dan membuka peluang untuk syarikat atau perniagaan tersebut sentiasa kompetitif dalam pasaran yang semakin mencabar.

Pelaburan antarabangsa dan kedudukan negara di mata dunia juga ditentukan dengan menggunakan indikator utama yang dijana melalui statistik.

DOSM turut menjadi pusat rujukan dalam penyusunan statistik rasmi dan mendapat pengiktirafan dari agensi dalam dan luar negara.

Kunjungan agensi penyelidikan swasta dan kerajaan serta pelajar IPT dapat memberi pendedahan tentang penyusunan statistik rasmi negara dalam bidang ekonomi, kependudukan dan sosial.

Manakala, lawatan sambil belajar dari delegasi National Statistical Office (NSO) negara lain memberi ruang kepada DOSM untuk berkongsi pengalaman tadbir urus sistem statistik dan kepakaran dalam pelbagai bidang khusus.

Justeru, Hari Statistik Negara bakal diraikan oleh segenap lapisan masyarakat yang terdiri daripada pembekal dan pengguna statistik seperti agensi Kerajaan dan swasta; institusi pendidikan di peringkat rendah, menengah dan tertiari; komuniti perniagaan, individu serta para penyelidik.

Ini kerana statistik adalah "keperluan" setiap individu dan ianya penting sebagai pandu arah menentukan kesejahteraan rakyat.

Selamat menyambut Hari Statistik Negara.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com

Tuesday, October 17, 2017

Karnival Usahawan Desa (KUD)

Karnival Usahawan Desa (KUD)

Apa itu KUD? Karnival Usahawan Desa (KUD) merupakan projek di bawah program pemasaran untuk mempromosi dan memperluaskan akses pasaran yang akan dapat memartabatkan produk dan perkhidmatan luar bandar melalui gabungan pelbagai strategi pemasaran dalam satu program.

KUD

KUD memberi tumpuan utama terhadap aktiviti-aktiviti mencipta peluang pasaran seperti pemadanan perniagaan, mempelbagaikan jaringan perniagaan di samping meningkatkan semangat daya saing di antara usahawan melalui prinsip promosi, produk, penempatan dan penetapan harga berteraskan konsep pemasaran 4P (Kotler’s Marketing Mix).

Ia akan dapat mencipta peluang untuk produk dan perkhidmatan luar bandar meneroka potensi pasaran.

Pelaksanaan KUD

Pelaksanaan KUD akan dapat meluaskan akses pasaran dan meningkatkan peluang pemasaran produk dan perkhidmatan luar bandar.

Objektif KUD

KUD dirancang dan dilaksanakan adalah bagi:
  • Mempromosi dan memperluaskan akses pasaran serta memartabatkan produk dan perkhidmatan luar bandar.
  • Meneroka dan meluaskan peluang pasaran baru dan lebih besar dengan pengurusan pemasaran secara sistematik.
  • Meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk dan perkhidmatan luar bandar.

Inisiatif Baru Pemasaran Produk Dan Perkhidmatan Luar Bandar

KUD 2017 memberi tumpuan khusus kepada aspek pemasaran bagi meningkatkan daya saing usahawan luar bandar melalui pelaksanaan insiatif-insiaitif baru seperti berikut:
  • Mempromosikan iconic product luar bandar – sebagai simbol produk yang berdaya maju dan boleh diperluaskan di kawasan luar bandar;
  • Memperkenalkan produk atau stock keeping unit (SKU) baru. KUD menyasarkan untuk memperkenalkan produk atau SKU baru luar bandar yang merupakan inisiatif untuk menggalakkan budaya berdaya saing serta inovasi dalam pembangunan produk.
  • Memperkenalkan street marketing sebagai strategi pemasaran yang praktikal terutamanya bagi usawahan-usahawan perusahaan kecil dan sederhana.
  • Mengenengahkan cooperative movement dalam pembangunan ekonomi komuniti. Sehingga kini sebanyak 57 koperasi di bawah program Desa Lestari telah menjadi entiti perniagaan sebagai enabler kepada gerakan ekonomi berkomuniti.
  • Melibatkan seramai 700 usahawan mikro dan PKS yang menjalankan perniagaan dan perusahaan daripada pelbagai kategori seperti makanan dan minuman, produk berasaskan pertanian dan penternakan, kraftangan dan seni halus, kesihatan dan kecantikan, produk organik, pelancongan, perkhidmatan perladangan dan peruncitan.

Sasaran KUD

Dengan pelaksanaan program dan aktiviti di atas, KUD dijangka akan dapat membawa pulangan dalam bentuk nilai kewangan dan juga peningkatan perniagaan usahawan luar bandar berbanding pelaksanaan KUD seperti berikut:
  • Peningkatan hasil jualan sehingga 50%.
  • Peningkatan nilai tempahan sehingga 70%.
  • Pertambahan bilangan usahawan luar bandar sehingga 20%.
  • Peningkatan jaringan perniagaan sehingga 40%.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: SiteGiant Platform e-Commerce (e-Dagang) Pilihan Terbaik Usahawan Online

sumber: kud

Monday, October 02, 2017

Sambutan Pesta Simunjan Dan Regata Batang Sadong Sarawak

Sambutan Pesta Simunjan Dan Regata Batang Sadong Sarawak

Sambutan Pesta Simunjan dan Regata Batang Sadong di Sarawak yang disambut setiap tahun sememangnya bertujuan untuk menyatupadukan masyarakat daripada pelbagai bangsa, kaum dan juga, agama.

Pesta Simunjan

Malah, kemunculan Pesta Simunjan dan Regata Batang Sadong bukan hanya ditunggu-tunggu oleh peserta yang mengikuti pelbagai acara dipertandingkan, bahkan peniaga yang ingin mencari rezeki tambahan.

Pelbagai aktiviti diadakan sempena pesta ini, termasuklah Regata Batang Sadong, pesta makan buah-buahan, sukan darat, pertandingan poco-poco, ratu pesta Simunjan, pertandingan petunjukan fesyen kanak-kanak dan banyak lagi.

Turut menjadi tarikan Pesta Simunjan ialah Pertandingan Gendang Melayu dan Pertandingan Menopeng yang mendapat penyertaan daripada Brunei Darussalam dan Sabah.

Objektif penganjuran Pesta Simunjan antaranya sebagai wadah untuk mewujudkan interaksi yang baik antara masyarakat berbilang kaum yang ada di Daerah Simunjan yang mampu menjurus kepada perpaduan dan perasaan saling menghormati antara satu sama lain.

Selain itu, penganjuran Pesta Simunjan juga untuk mengangkat Daerah Simunjan sebagai destinasi kunjungan pesta dan sukan Regata di Sarawak serta mempromosikan kepelbagaian produk, sekaligus menonjolkan keunikan warisan tradisi masayarakat setempat.

Regata Batang Sadong

Pesta Simunjan juga mewujudkan peluang perniagaan dan menonjolkan kepelbagaian produk hasil tani Daerah Simunjan, khasnya pertanian dan hasil sungai, di mana antara keunikan kita adalah ikan Labang.

Dengan penyertaan daripada luar negara seperti Brunei serta Sabah, Pesta Simunjan memberi peluang kepada masyarakat Simunjan memperkenalkan produk mereka kepada luar.

Setelah kali terakhir diadakan 20 tahun lalu, Pesta Simunjan dan Regata Batang Sadong muncul semula pada tahun 2015 lalu dengan penganjuran yang lebih berskala besar dan menarik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: UB | JB