Wednesday, March 28, 2018

Sambutan Pesta Kalimaran Masyarakat Murut Di Sabah


Sambutan Pesta Kalimaran yang disambut pada penghujung bulan Mac atau awal April setiap tahun diraikan dengan tujuan untuk mempamer dan menghidupkan budaya serta kesenian suku kaum Murut supaya ia terus kekal khususnya dalam jiwa golongan muda yang kini semakin 'jauh' dengan asal-usul.

Sambutan Pesta Kalimaran Masyarakat Murut Di Sabah

Sekiranya masyarakat Kadazan dan Dusun di Sabah meraikan Pesta Kaamatan (pesta menuai), Pesta Kalimaran pula sinonim bagi orang Murut yang sudah menjadi kemestian untuk meraikannya.

Suku kaum Murut merupakan etnik ketiga terbesar di Sabah, sememangnya sarat dengan identiti tersendiri yang merangkumi aspek tradisi, adat, budaya, kesenian, bahasa dan perayaan.

Pesta Kalimaran diilhamkan oleh bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Sabah pada era 80-an, Datuk Kadoh Agundong, bagi memastikan keunikan warisan suku kaum Murut terus hidup dan dihargai.

Pesta Kalimaran atau dikenali sebagai Pesta Kesenian di kalangan masyarakat setempat, diraikan secara turun temurun mengikut adat dan tradisi kaum Murut sejak dahulu lagi.

Pelbagai kraftangan, makanan dan tarian tradisi Murut yang terdapat di Tenom dipertontonkan termasuk simbol-simbol lama dalam bentuk lukisan di mana ia masih digunakan di sesetengah rumah Murut.

Bagaimanapun, pesta Kalimaran pada era moden ini bukan lagi sekadar perayaan tradisional tetapi sudah menjadi majlis keramaian yang bersifat komersial.

Sebelum ini, Pesta Kalimaran diadakan khusus di beberapa penempatan masyarakat Murut sahaja dan tidak dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sabah atau Malaysia.

Namun, setelah Pusat Kebudayaan Murut siap dibina pada 1994 di kawasan seluas 15 hektar yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Pekan Tenom dengan kos RM10.4 juta, penganjurannya dilakukan di situ.

Setiap tahun, kerajaan negeri Sabah akan menyalurkan peruntukan untuk penganjuran pesta tersebut yang bertujuan menjadikannya salah satu produk pelancongan di Sabah.

Sejak kebelakangan ini, pesta Kalimaran yang secara tradisinya diraikan selama dua hari berturut-turut, dilihat kurang mendapat sambutan dan kebanyakan pengunjung yang datang adalah pelancong asing.

Jika pada awal pengajuran pesta Kalimaran hanya menampilkan satu daripada lapan kumpulan pecahan etnik Murut setiap tahun mengikut giliran, tetapi pada kali ini menampilkan semua lapan kumpulan etnik tersebut iaitu Taghol, Timugon, Kolor, Binta, Paluan, Nabai, Gana dan Sambangkong sekali gus.

Mereka mempunyai adat dan identiti tersendiri, yang boleh dilihat menerusi seni budaya, adat resam, pakaian, makanan, minuman, kraftangan, ukiran, tarian dan muzik tradisional masing-masing.

Setiap pecahan etnik Murut ini mempunyai alat muzik dan nyanyian sendiri misalnya Paluan terkenal dengan lagu Tagunggu, Taghol (Lolondoi) Timugon (Titikas), Binta (Barasik), Gana dan Sambakong (Magagung).

Begitu juga dengan pakaian tradisional masing-masing yang mempunyai identiti khusus tetapi secara umumnya lelaki akan bercawat merah manakala wanitanya mengenakan pakaian bermanik.

Acara kebiasaan ketika sambutan pesta Kalimaran akan dikekalkan seperti persembahan nyanyian, tarian, permainan gong, pertandingan ratu cantik, gerai menjual hasil pertanian dan sebagainya.

Beberapa pembaharuan yang diperkenalkan itu akan mampu menarik lebih ramai pengunjung supaya pesta tersebut diangkat martabatnya sama seperti Pesta Kaamatan.

Ini adalah penting bagi meneruskan budaya Murut kerana Pesta Kalimaran adalah satu-satunya platform untuk berbuat demikian.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon