Sunday, October 29, 2017

Sambutan Pesta Tamu Besar Kota Belud


Sambutan Pesta Tamu Besar Kota Belud disambut pada bulan November setiap tahun bagi menyerlahkan lagi pesta yang dianggap antara pesta kebudayaan terbesar di Sabah.

Tamu Besar Kota Belud

Gelaran Cowboy of The East bagi penunggang-penunggang kuda di Kota Belud, kira-kira 70 kilometer dari Kota Kinabalu merupakan sebahagian daripada aset yang amat berharga yang boleh dimanfaatkan bagi menarik kedatangan pelancong ke daerah ini.

Oleh sebab itu Tamu Besar Kota Belud yang diadakan pada November setiap tahun ini disambut begitu meriah kerana kehadiran para penunggang kuda yang unik itu.

Uniknya penunggang kuda ini bukan sahaja kerana ia sebagai simbolik dan identiti bagi Kota Belud tetapi wujudnya beberapa ciri perbezaan dengan cerita-cerita country yang mengisahkan kehidupan rutin masyarakat berkuda di negara barat.

Ini kerana, setiap kuda masyarakat Bajau dihiasi dengan perhiasan bercirikan tradisi dan budaya, suku kaum yang amat sinonim dengan Kota Belud.

Cowboy barat biasanya bersenjatakan pistol dan bertopi sedangkan cowboy Kota Belud 'bersenjatakan' keris di pinggang.

Selain itu kuda-kuda juga berhias dengan kain baldu yang ditenun pelbagai corak dan warna.

Tempat duduk pelana dipanggil pakol manakala tali pemegang dipanggil tali kakang. Pada bahagian leher kuda terdapat lapan atau tujuh loceng kecil yang dipanggil serian.

Tamu Besar Kota Belud

Penunggang kuda pula memakai pakaian yang dipanggil podong sampit dan selain itu penunggang memakai sigar di kepala.

Semangat dan tradisi berkuda yang sudah diwarisi sejak turun temurun masih diamalkan tetapi 'pahlawan kuda Bajau' ini kini tampil dalam persembahan yang lebih kontemporari.

Secara kebetulan pula, asal usul nama Kota Belud sebenarnya terbit daripada cerita peperangan antara penduduk daerah ini pada masa dahulu.

Perkataan Kota Belud dalam bahasa Bajau bermakna 'kubu pertahanan di atas bukit'. 'Kota' bermakna kubu pertahanan manakala 'Belud' bermakna bukit.

Dahulu pertelingkahan untuk merebut kekuasaan memaksa suku kaum Bajau membina kubu pertahanan di atas bukit. Cerita itu kini sudah tersurat dalam lipatan sejarah.

Kisah yang tersirat pula ialah pesta Tamu Kota Belud bukan sekadar 'penunggang atau pahlawan kuda Bajau'.

Kini Pesta Tamu Besar Kota Belud terus meniti di bibir pelancong dari dalam dan luar negara setiap tahun kerana daya tarikannya yang tersendiri.

Tamu Besar Kota Belud bukan pesta kebudayaan dan hiburan semata-mata.

Saban tahun pesta ini yang dikatakan mula diadakan pada awal 1990an lebih daripada sekadar himpunan manusia dan semangat 'Kuda Bajau'.

Empat suku kaum utama di daerah ini yang mempunyai penduduk hampir 70,000 orang membentuk satu warna-warni budaya kerana setiap suku kaum terbesar iaitu Bajau, Kadazan Dusun, Iranun dan Ubian memiliki ciri-ciri kebudayaan masing-masing.

Sebagai contoh, selain 'pahlawan kuda Bajau', masyarakat Bajau terkenal dengan tarian kuda pasu, limbai.

Acara ini kerap dipersembahkan dalam Tamu Besar Kota Belud dengan pakaian tradisional sigar (lelaki) dan serimpak (wanita) di kepala. Selain itu suku kaum Bajau juga terkenal dengan kehalusan seni tangan pembuatan parang.

Tamu Besar Kota Belud

Masyarakat Iranun pula terkenal dengan persembahan tarian sumaranun dan pakaian tradisional dikatakan yang hampir sama dengan suku kaum Bajau.

Suku kaum Kadazan Dusun di daerah ini pula terkenal dengan pakaian sinipak dan dastar atau sigar.

Mereka juga terkenal dengan permainan tradisional mabinti atau lawan kaki dan miokud atau tinju lutut dan migusa atau lumba lari mendaki bukit.

Masyarakat Kadazan Dusun di sini yang terbahagi kepada Dusun Tindal dan Dusun Tobilung terkenal dengan tarian mongigol dan pokudinding sedangkan suku kaum Ubian pula yang memiliki pakaian tradisional tersendiri terkenal dengan tarian daling-daling.

Gabungan ciri-ciri kebudayaan inilah yang menjadikan Tamu Besar Kota Belud begitu unik dan istimewa.

Komposisi pelbagai suku kaum yang disebutkan itu adalah 'warna' semulajadi kepada kemeriahan pesta tersebut.

Dalam pada itu, aktiviti harian penduduk di sini juga banyak mencorakkan perayaan tamu besar itu. Sebagai masyarakat yang bercucuk tanam, kerbau dan lembu merupakan haiwan yang amat penting membantu mereka mengerjakan tanah.

Adakalanya, lelongan lembu dan kerbau diadakan sempena tamu besar.

Tamu Besar Kota Belud

Bagaimanapun acara yang menarik setiap kali tamu ialah pertandingan lumba kerbau lurus, pertandingan sapi (lembu), pertandingan lumba kerbau tukar bendera, tarik tali berkuda dan kemahiran menangkap lembu.

Sebenarnya, selain tamu besar, Kota Belud juga mengadakan tamu mingguannya yang diadakan di tapak tamu di tebing Sungai Tempasuk.

Pelancong-pelancong yang ingin mengunjungi tamu mingguan setiap Ahad boleh menggunakan kenderaan sendiri melalui lebuh raya yang baik dan hanya memakan masa kira-kira 45 minit perjalanan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

1 comment

  1. layak menjadi objek pariwisata menarik menontonnya

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon