Friday, September 09, 2022

Membandingkan Pencuri Dengan Nabi Yusuf Dan Nelson Mandela

Membandingkan Pencuri Dengan Nabi Yusuf Dan Nelson Mandela

Banduan sakit - termasuk sakit perut - di dalam penjara bukan sesuatu yang luar biasa. Sakit perut yang berulang dan masalah ulser bukan pelik kerana kehidupan di sebalik tembok konkrit dan jeriji besi tidak sama dengan kehidupan di luar.

Pencuri suci
Gambar hiasan.

Di dunia bebas, seseorang boleh bergerak ke mana-mana dan makan apa saja. Malah, dia boleh disanjung dan dipuja juga.

Di dalam tembok yang mengurung itu, seseorang banduan diajar supaya berfikir dan membentuk sahsiah lebih baik. Di dalam sana juga ada peraturan yang dinamakan disiplin dalam penjara.

Seseorang tahanan tidak bebas keluar masuk ke ruang makan atau bebas mendapat hidangan apa sahaja pada bila-bila masa.

Jika di luar penjara, seseorang itu bebas berhibur seperti mendengar lagu Madah Berhelah berkali-kali tanpa sekatan, tetapi di dalam, mengidamkan mocha istimewa pun belum tentu dapat.

Cuma, di dalam kurungan itu tidaklah lagi seseorang boleh diganggu oleh arahan atau leteran sesiapa, termasuk isteri sendiri.

Penjara bukan untuk memenjarakan minda seseorang, tapi untuk membugar keinsafan. Penjaralah yang melahirkan ramai tokoh besar dunia dalam pelbagai sektor. Penjara juga ruang untuk mendidik seseorang supaya berjiwa besar.

Nabi bukan pencuri

Justeru tidak aneh apabila ada orang yang membandingkan seorang banduan dengan mendiang Nelson Mandela, serta bersandar kepada ibrah teraniayanya Nabi Yusuf a.s.

"Mungkin ini adalah cara Allah SWT untuk mengangkat darjat dengan lebih tinggi," kata seorang anak lelaki kepada seorang banduan.

"Itulah yang berlaku kepada Nabi Yusuf yang dipenjarakan atas tuduhan palsu."

Dia juga berkata, "Apabila bebas Nabi Yusuf diangkat sebagai menteri berkuasa lagi bijaksana di Mesir. Nelson Mandela yang menentang dasar aparteid - apabila bebas - diangkat sebagai presiden Afrika Selatan yang berjaya menyatupadukan orang kulit putih dan bangsa Afrika."

Ramai yang sinis dengan hujah itu. Membandingkan seorang pencuri dengan Nabi Yusuf adalah tidak masuk akal.

Nabi Allah itu dipenjara kerana perjuangan menegakkan agama Allah. Nabi tidak mencuri dan nabi bukan mat sakau.

Nelson Mandela pula melupakan keselesaan hidup semata-mata mahu membentuk Afrika Selatan yang makmur dan saksama. Nelson Mandela tidak menubuh syarikat untuk mengaut duit negara.

Isteri Mandela tidak ada beg Bijan atau berlayar dengan kapal mewah ke kawasan peranginan dunia.

Nelson Mandela menanggung risiko menghabiskan lebih suku abad daripada hidupnya di dalam penjara yang terletak di Pulau Robben, Cape Town, yang kemudian dipindahkan ke Penjara Pollsmoor, Afrika Selatan.

Nelson Mandela bukan pencuri. Dia adalah pejuang kemerdekaan di negaranya.

Pada 7 November 1962, Nelson Mandela dijatuhi hukuman lima tahun penjara atas tuduhan meninggalkan negara secara haram dan menghasut kelompok pekerja untuk memberontak terhadap kerajaan kulit putih.

Sebelum dipindahkan ke Pulau Robben, selama tujuh bulan pertama dia menjalani hukuman di penjara Pretoria.

Di dalam penjara Pulau Robben yang berukuran tidak lebih dari lima meter itu, Nelson Mandela tidur beralaskan tikar tipis, kekurangan makanan dan turut mengalami penyeksaan.

Dia dilarang membaca akhbar dan buku kerana bimbang mendapat akses kepada maklumat di luar. Nelson Mandela tidak mengadu sakit perut, gastrik atau ulser dalam perut.

Rumah akal

Bertahan selama 27 tahun dalam kurungan adalah penyeksaan yang luar biasa. Jasad terkurung, namun roh dan semangatnya berterbangan melintasi garis sempadan geopolitik.

Nelson Mandela menggunakan pengetahuan hukumnya untuk mengkritik masalah penindasan, pelecehan dan kekerasan terhadap bangsa kulit hitam.

Ketika Nelson Mandela menghembus nafas terakhirnya pada 5 Disember 2013, namanya terus hidup merentasi segala benua dan lautan. Ia berterbangan dengan penuh harum, bukannya bersama kejian dan cacian.

Tentunya Nelson Mandela dikenang kerana kebaikan dan kesungguhannya menentang penindasan dan tidak terpalit dengan jenayah mencekau wang bernilai berbilion ringgit.

Di rantau sini, ada Pramoedya Ananta Toer, juga rekod peribadi yang baik ketika dalam tahanan. Katakan apa sahaja tentang beliau - pengganas, tali barut komunis dan anti-Islam, dia adalah susuk kemanusiaan yang tegas dan dipancarkan melalui novelnya.

"Penjara adalah rumah akal," kata Pramoedya.

Pada 13 Oktober 1965, rumahnya di Utan Kayu, Jakarta Timur, dilempari batu oleh segerombolan pemuda. Pintu rumahnya hancur.

Dia yang sibuk menulis saat itu, meneriaki mereka. Kakinya terluka kena lemparan batu. Ketika hendak melawan, tentera datang mencegah.

"Mari Pak, kita amankan!"

Pramoedya tidak tahu apa yang terjadi. Dia hanya membawa beberapa naskhah buku, kotak fail, mesin taip dan manuskrip yang harus diselesaikan.

"Saya kira diamankan dari gerombolan pemuda ini. Enggak tahu ditahan selama 14 tahun," kata Pramoedya seperti dikutip dari buku Pram Melawan (2011).

Seluruh barangnya disita. Yang paling membuat Pram sedih, banyak naskhah karangannya dibakar. Badannya digebuk sampai hampir tidak sedarkan diri. Pembantaian yang dialami saat itu merosak deria pendengarannya.

Telinga kirinya luka parah hingga kadang-kadang mengeluarkan darah sampai dia tua.

Pram dipindah-pindahkan dari tahanan tentera ke Cipinang, Tangerang, Nusa Kambangan, hingga tahanan di Pulau Buru. Penangkapan itu menjadi titik penting dalam hidupnya.

Ia membentuk Pram menjadi sosok yang keras, penuh kemarahan dan bergelora dengan hasrat melawan. Semua itu tertuang dalam tulisannya.

Lebih daripada 50 karyanya berhasil diterbitkan dan diterjemahkan ke 41 bahasa. Sejumlah penghargaan antarabangsa diterimanya, termasuk Anugerah Magsaysay.

Hari ini, karya-karya Pram masih laris dibeli, dicari dan terus dicetak ulang.

Penjara juga menciptakan karya besar daripada dua orang ini: Buya Hamka (1908 - 1981) dan William Addis (1734 - 1808).

Dalam jeriji penjara, Hamka menyelesaikan kitab Tafsir al-Azhar sebanyak 30 juzuk, manakala di penjara London, Addis mendapat inspirasi mencipta berus gigi yang kemudian membuatnya kaya-raya.

Hamka ditangkap pada awal Ramadhan 1964 oleh rejim Sukarno atas tuduhan berkomplot merencanakan pembunuhan presiden. Tuduhan itu tidak masuk akal kerana Hamka tidak lagi berpolitik kerana parti Masyumi sudah dibubarkan Sukarno pada 1960.

Sukarno bahkan sebenarnya bimbang kritikan Hamka terhadap penindasan demokrasi akan menyebabkan massa memberontak.

Di penjara Sukabumi, Hamka diseksa hingga sakit. Setelah dirawat di Hospital, dia menjalani tahanan di Rumah Tahanan Tentera Jakarta.

Di situlah Hamka banyak menggunakan waktunya menyiapkan Tafsir Al-Azhar dan ia muncuyl sebagai karya besar. Itulah tafsir Quran dalam bahasa Indonesia yang lengkap analisisnya.

Tafsir Al-Azhar mendapat penghargaan dari Universiti Al-Azhar Mesir. Universiti Kebangsaan Malaysia pula menganugerahkan gelar doktor kehormatan kepada Hamka, selain dia juga mendapat gelaran profesor dari Universiti Moestopo, Jakarta.

Addis sentiasa berterima kasih kepada penjara kerana membentuknya menjadi kreatif. Dia dimasukkan ke penjara pada 1770 kerana dituduh menjadi dalang rusuhan.

Dalam penjara dia membuat berus gigi berbulu kerana cara menggosok gigi gaya Eropah yang menggunakan kayu berhujung kain ketika itu tidak praktikal. Sisa makanan di celah gigi susah dibersihkan.

Setelah keluar dari penjara, Addis mengeluarkan berus gigi 'model baru' yang diguna pakai sebelum diubah suai sehingga kini. Inovasi itu menjadikan Addis jutawan bertaraf dunia.

Ramai tokoh besar dipenjara di Malaysia kerana pelbagai tuduhan yang sukar diterima.

Pak Sako, Ahmad Boestaman, Said Zahari, Kasim Ahmad, A Samad Ismail, Abdullah Majid adalah antara nama yang menerima takdir tidak pernah diramalkan.

Mereka menjadikan penjara sebagai sempadan untuk mendewasakan jiwa.

Penjara bukan kurungan akal. Penjara bukan untuk memanjakan diri dengan sakit perut, ulser dan gastrik. Penjara untuk mendidik jiwa merdeka.

Apa pun pertuduhan, realiti penjara cukup melelahkan bagi seseorang yang sentiasa mengharapkan pengampunan segera.

Justeru bossku, can I advise you something?

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Tuesday, August 30, 2022

GCR Tambah 20 Hari, KGT Naik RM100 Buat Penjawat Awam Bermula 2023!

GCR Tambah 20 Hari, KGT Naik RM100 Buat Penjawat Awam Bermula 2023!

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan beberapa inisiatif baharu dan berita gembira buat penjawat awam, antaranya tambahan khas RM100 dalam Bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2023.

Gaji Penjawat Awam Naik RM100

"Keluh kesah anggota perkhidmatan awam sentiasa didengari oleh kerajaan," katanya pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 (MAPPA XVIII).

Beliau berkata, KGT tambahan khas sebanyak RM100 itu adalah bagi penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 dan akan dibayar mulai Januari 2023, yang akan melibatkan kira-kira 1.28 juta penjawat awam serta implikasi kewangan sebanyak RM1.5 bilion.

"Sebagai contoh, sebelum ini kadar KGT bagi gred 11 adalah RM80, maka pada 2023, beliau akan menerima kadar KGT asas sebanyak RM80 dan tambahan khas sebanyak RM100 menjadikan jumlah KGT diterima pada 2023 adalah sebanyak RM180," katanya sambil disambut dengan sorakan hadiri setiap kali beliau mengumumkan insentif untuk penjawat awam.

1. Bantuan khas RM700

Ismail Sabri turut mengumumkan BKK Tahun 2023 kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah berjumlah RM700 dan RM350 bagi pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen yang akan dibayar pada Januari 2023.

MAPPA merupakan acara tahunan bagi mendengar amanat daripada perdana menteri kepada anggota perkhidmatan awam daripada pelbagai perkhidmatan di peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan serta syarikat berkaitan kerajaan.

2. GCR Sehingga 180 hari

Ismail Sabri pada perhimpunan itu turut mengumumkan kenaikan kadar maksimum jumlah cuti rehat yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai (GCR) daripada 160 hari ke 180 hari.

"Kerajaan memahami dengan beban tugas yang semakin besar dan mencabar, ramai anggota perkhidmatan awam yang tidak dapat menghabiskan cuti rehat tahunan mereka.

"Dengan kenaikan kadar maksimum GCR ini, membolehkan cuti tersebut disimpan bagi tujuan award wang tunai semasa persaraan sekali gus meningkatkan tunai di tangan pada hari persaraan kelak," katanya.

3. Guru dapat tambahan cuti rehat khas lima hari

Ismail Sabri turut mengumumkan tambahan Kadar Cuti Rehat Khas sebanyak lima hari menjadikan jumlah Cuti Rehat Khas 15 hari setahun kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun.

Tambahan Cuti Rehat Khas sebanyak lima hari itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 500,000 guru bagi urusan mustahak dan kecemasan yang dibenarkan serta memberi peluang guru-guru mengumpul jumlah GCR yang lebih tinggi, katanya.

4. Perluasan tafsiran ahli keluarga

Pada majlis itu Perdana Menteri turut mengumumkan mengenai perluasan tafsiran ahli keluarga bagi kemudahan Cuti Tanpa Rekod urusan kematian ahli keluarga terdekat.

"Jika sebelum ini cuti tanpa rekod bagi urusan kematian hanya tertakluk kepada kematian suami atau isteri, ibu kandung dan ibu mertua, bapa kandung dan bapa mertua serta anak sahaja, penambahbaikan tafsiran ahli keluarga diperluas kepada kematian yang melibatkan adik-beradik, nenek dan datuk bagi anggota perkhidmatan awam," katanya.

5. Pergerakan gaji bagi yang capai gaji maksimum

Beliau turut memaklumkan langkah penambahbaikan pemberian pergerakan gaji tahunan kepada pegawai yang telah mencapai gaji maksimum.

"Kerajaan telah bersetuju menambah baik Kadar Tetap 3 peratus semasa yang diterima oleh pegawai yang mencapai gaji maksimum kepada suatu kadar baharu dan diseragamkan mengikut gred bagi semua klasifikasi perkhidmatan berkuat kuasa 1 Jan 2022," katanya.

Ismail Sabri berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengeluarkan pekeliling berkaitan bagi penjelasan terperinci bagi perkara itu.

Beliau berkata kerajaan juga bersetuju agar JPA menyegerakan kajian ke atas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dengan mengambil kira keseluruhan aspek modal insan.

"Kajian juga merangkumi saraan dan perkhidmatan agar relevan dengan keadaan semasa serta kemampuan kewangan kerajaan," katanya.

Dalam perjumpaan bersama penjawat awam itu, Ismail Sabri mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam yang sentiasa memastikan jentera kerajaan bergerak dengan berkesan, melaksanakan dasar dan menjayakan setiap aspirasi kerajaan.

"Sekiranya produktiviti dapat ditingkatkan, ekonomi negara akan bertambah kukuh dan kerajaan akan lebih berupaya meningkatkan kemudahan kepada Keluarga Malaysia seluruhnya," katanya menambah penjawat awam tidak akan dilupakan dan yakin mereka adalah tonggak Aspirasi Keluarga Malaysia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Wednesday, August 17, 2022

Nenek Painah Disembunyikan Lembaga Besar!

Nenek Painah Disembunyikan Lembaga Besar!

"Masa jumpa nenek Painah Siwan di lopak air di kebun sawit berkenaan, seperti ada satu lembaga sedang menjaganya sebelum hilang selepas dilaungkan azan," kata ahli paranormal, Mohd Fitri Abdul Razak, 32.

Nenek Painah hilang

Mohd Fitri berjaya menemui wanita warga emas itu kira-kira pada jarak 300 meter di kawasan berkenaan dan kelihatan mangsa seperti batu besar yang berada di tengah-tengah lopak.

Menurutnya, dia seperti diberikan firasat untuk pergi lebih dekat bagi memastikan apa yang dilihatnya itu benar-benar batu atau wanita yang dicarinya itu.

"Selepas lembaga berkenaan hilang, nenek Painah terus rebah sebelum saya dan rakan (dikenali sebagai Jas) mendapatkannya dan memberikan makan kerana kelihatan terlalu lemah.

"Disebabkan tempat nenek itu ditemui berada di kawasan yang berpaya, saya terus mendukungnya ke kawasan lapang dan menyelimutkan badannya menggunakan kain yang kami bawa," katanya ketika dihubungi.

Mohd Fitri berkata, sebelum itu dia dan sahabatnya sudah bermalam di kawasan yang dikatakan sebagai tempat terakhir wanita warga emas berkenaan berada.

"Pada waktu malam, kami merasakan ada sesuatu yang aneh kerana selepas hampir dua jam berjalan namun masih berada di tempat yang sama.

"Lebih mengejutkan apabila bangun pagi kami berada di atas tanah lapang sedangkan pada malamnya kawasan tempat berehat penuh dengan pokok renek dan rimbun," katanya.

Katanya, kejayaan menemui nenek Painah adalah hasil daripada bantuan Allah apabila setiap langkah pencarian yang dilakukan diiringi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran termasuk Ayat Kursi.

"Ia juga hasil daripada doa yang tidak putus-putus daripada semua pihak yang terbabit secara langsung mahupun tidak supaya nenek Painah ditemui," katanya.

Tokok tambah cerita di media sosial

Nenek Painah hilang

Sementara itu, keluarga nenek Painah, kesal dan terkilan dengan tindakan pihak tertentu menokok tambah cerita kejadian itu dengan niat meraih perhatian di media sosial.

Anak mangsa, Sadiah Mohari, 42, berkata keluarganya sedih apabila ada pihak mengambil kesempatan menokok tambah cerita yang tidak benar berhubung kehilangan dan penemuan ibunya.

Katanya, semua yang dikongsikan pihak terbabit di media sosial dibuat tanpa pengetahuan dan keizinan dia sekeluarga

"Tindakan berkenaan mengganggu privasi kami sekeluarga dan berharap pihak berkenaan dapat memadam serta tidak menyebarkan video atau hantaran yang ditokok tambah itu di media sosial," katanya.

Nenek Painah dilaporkan hilang oleh anaknya apabila tidak pulang ke rumah selepas keluar mencari daun kelapa sawit untuk dijadikan penyapu lidi di kebun kelapa sawit berhampiran rumahnya di Kampung Parit Sayang, Rabu lalu (10/8/2022).

Susulan itu, satu pasukan SAR dilancarkan membabitkan 187 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Batalion ke 10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk setempat.

Sementara itu Sadiah berkata, ibunya kini dalam keadaan trauma dan masih dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat.

"Alhamdulillah, keadaan kesihatan emak stabil namun di dalam mulutnya terdapat ulser yang menyukarkan emak untuk makan seperti biasa.

"Waktu ini emak hanya mampu makan bubur nasi dan kelihatan lemah kerana kekurangan tenaga," katanya.

Sadiah berkata, doktor yang melakukan pemeriksaan kesihatan dan mendapati nenek Painah tidak menghidap sebarang penyakit kronik.

"Kami sekeluarga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu mencari sepanjang tempoh pencarian emak ketika dia hilang," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)(2)

Tuesday, August 16, 2022

Kisah Ngeri Skandal Projek RM6 Bilion LCS

Kisah Ngeri Skandal Projek RM6 Bilion LCS

Sejurus selepas laporan PAC mengenai Kapal Tempur Pesisir (LCS) dibentangkan, seorang rakan wartawan telah menghantar mesej kepada saya, bertanya "Apakah perasaan anda?" Saya jawab: "𝐌𝐞𝐧𝐲𝐞𝐝𝐢𝐡𝐤𝐚𝐧".

RASUAH LCS

Kami telah mengadakan 10 prosiding, dengan satu lawatan tapak ke limbungan kapal BNS di Lumut dan memanggil 21 orang saksi.

Akhirnya, sebuah Laporan dengan 247 muka surat, berserta dengan dengan penyata hansard sebanyak 489 muka surat, dan 192 muka slaid telah dibentangkan sebagai laporan penuh.

PAC memutuskan untuk melawat limbungan kapal BNS selepas menerima keterangan dari KSU MINDEF, saksi dari BNS dan bekas Menteri Pertahanan DS Zahid Hamidi.

𝐋𝐚𝐰𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐓𝐚𝐩𝐚𝐤 @ 𝟏𝟏/𝟏𝟐/𝟐𝟎𝟐𝟏

Kami tiba di limbungan kapal pada jam 9 pagi, 11 Disember 2021. Prosiding bermula pada jam 9.05 pagi dengan kehadiran saksi dari MINDEF, Tentera Laut, BHIC, dan BNS.

Untuk dinamakan, tiga orang saksi penting turut hadir bersama iaitu Ketua Pegawai Eksekutif BHIC, Sharifuddin Md Zaini, Pengarah Projek LCS BNS Kepten (B) Ir Azhar Jumaat dan bekas Ketua Pasukan Projek Tentera Laut, Lak. Muda Datuk Ir. Mohd Saiful.

Prosiding berlangsung selama 3 jam, berakhir pada 12.01 tengahari dan semua orang beredar untuk ke lawatan tapak.

𝐆𝐮𝐝𝐚𝐧𝐠 𝐒𝐢𝐦𝐩𝐚𝐧𝐚𝐧

PAC dibawa untuk melawat gudang simpanan. Terdapat sejumlah 13 gudang simpanan yang menyimpan perkakasan yang berkaitan dengan projek LCS ini.

5 secara khusus untuk perkakasan LCS dan 8 lagi digunakan sebagai Gudang Simpanan Am BNS yang mengandungi campuran perkakasan untuk LCS dan barang-barang lain.

Kami melawat beberapa gudang simpanan. Terdapat perkakasan persenjataan, bahagian-bahagian untuk tujuan pembinaan kapal, dan barang-barang lain.

Apa yang menonjol adalah beberapa bungkusan TV Pintar, untuk tujuan kegunaan LCS, disimpan di stor ini. Kita semua tahu yang TV Pintar ini tidak lagi pintar selepas beberapa tahun.

Saya tidak pasti mengenai yang lain, terutama mengenai bahagian dan perkakasan yang melibatkan teknologi kapal tempur.

Kami menyemak dan mendapati banyak perkakasan dan barangan ini dibeli pada tahun 2013, 2014, dan 2015.

Persoalan timbul sama ada barang-barang ini masih cukup "pintar" untuk kegunaan masa sekarang apabila mengambil kira kemajuan teknologi terkini.

Kami dimaklumkan nilai barangan dalam simpanan ini adalah RM1,757,791,266.02.

Saya bertanya kepada BNS, berapa banyak daripada barangan ini boleh dikira usang dan jawapan dianggarkan pada kira-kira 15%. Bermakna kerugian sebanyak kira-kira RM263,668,689.90.

Adakah semua perkakasan ini telah dibayar oleh BNS? Tidak. Bukan semuanya telah dibayar.

Kerana ini kita boleh baca mengenai hutang besar BNS kepada pengeluar asal (OEM) yang telah menyebabkan arahan henti kerja dan henti bekalan.

𝐓𝐚𝐩𝐚𝐤 𝐏𝐞𝐦𝐛𝐢𝐧𝐚𝐚𝐧

Kami kemudiannya dibawa untuk melawat LCS1 di tapak pembinaanya. Melihat kapal ini, seseorang mungkin tidak pasti sama ada ia adalah kapal yang sama yang "dilancarkan" pada tahun 2017, tetapi kami tahu ia adalah kapal yang sama. Sudah tentu sekali, tiang utama kapal yang dipertikaikan itu sudah tidak ada.

Kami naik ke blok utama, untuk melihat tahap kemajuan proses pembinaan. MINDEF memaklumkan PAC yang kadar kemajuan proses pembinaan LCS1 pada tahap 44%.

Kami meluangkan masa kira-kira satu jam dalam LCS1 dan kemudiannya pulang ke bas. Bas ini membawa kami ke seluruh tapak pembinaan untuk LCS1 hingga ke LCS5.

Sudah tidak ada pekerja di tapak pembinaan ini, baik tempatan atau pekerja asing dan sudah tidak ada kerja yang berjalan. Kosong, segalanya terhenti.

Perkara ini amat menyedihkan memandangkan kita semua tahu yang RM6 billion telah pun dibelanjakan. Habis.

𝐒𝐮𝐝𝐚𝐡 𝐓𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐀𝐝𝐚 𝐖𝐚𝐧𝐠

Dalam mesyuarat sebelum ini, kami dimaklumkan bahawa kedudukan kewangan BNS berada dalam keadaan yang buruk kerana salah tadbir urus dalam syarikat ini.

Ahli PAC, YB Wong Shu Qi bertanya sama ada semua RM6 billion telah dibelanjakan oleh BNS.

Ketua Pegawai Eksekutif BHIC, Sharifuddin mengakui, "Memang duit kita sudah habis. Company memang tidak ada duit dan memang akan lingkup pun besok silap-silap."

Gaji pekerja dipotong sejak Oktober 2020, caruman KWSP tidak dibayar sejak Mei 2021.

BNS memang bergantung kepada kerja kecil-kecilan seperti kerja pembaikan untuk TLDM untuk terus bertahan. (Hal 49 Hansard)

Sharifuddin mengatakan lagi kepada PAC, sekiranya BNS tidak ada lagi, Boustead Holdings dan LTAT akan terkesan teruk.

Sektor Perladangan, Pharmaniaga, Boustead Properties dan Boustead Hotels semua akan terkesan.

Perkara ini berkemungkinan menyebabkan LTAT untuk kehilangan sehingga 46% saiz dananya. (Hal 52 Hansard)

𝐌𝐞𝐧𝐲𝐞𝐝𝐢𝐡𝐤𝐚𝐧

Perkara ini amatlah menyedihkan dan mengecewakan. Perkara pertama yang terlintas dalam fikiran saya adalah, bagaimana sebuah syarikat yang mendapat kontrak bernilai RM9 billion dari Kerajaan jadi sampai tahap sebegini?

Perkara ini pastinya melibatkan lebih dari salah urus. Pastinya ada perkara lain selain dari pengurusan yang lemah. Ada perkara yang amat tidak kena dengan mereka yang memegang kuasa dan mereka yang mendapat kontrak ini.

Saya harap Laporan PAC mengenai LCS ini dapat membantu negara, dengan menjadi rujukan tentang cara bagaimana proses perolehan pertahanan negara TIDAK sepatutnya dilakukan dan bagaimana kuasa dan proses TIDAK patut disalahguna.

Kisah ngeri dalam keseluruhan Projek LCS ini patut menjadi pengajaran kepada semua yang memegang kuasa, baik pada masa sekarang, mahupun pada masa hadapan.

Nota: 𝐏𝐀𝐂 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐦𝐞𝐦𝐛𝐮𝐚𝐭 𝐋𝐚𝐩𝐨𝐫𝐚𝐧 𝐦𝐞𝐧𝐠𝐢𝐤𝐮𝐭 𝐩𝐞𝐫𝐚𝐬𝐚𝐚𝐧 atau tuduhan. 𝐏𝐀𝐂 𝐦𝐞𝐦𝐛𝐮𝐚𝐭 𝐋𝐚𝐩𝐨𝐫𝐚𝐧 𝐦𝐞𝐧𝐠𝐢𝐤𝐮𝐭 𝐤𝐞𝐭𝐞𝐫𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐬𝐚𝐤𝐬𝐢, 𝐛𝐮𝐤𝐚𝐧 𝐛𝐞𝐫𝐠𝐚𝐧𝐭𝐮𝐧𝐠 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐬𝐞𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐮𝐚 𝐬𝐚𝐡𝐚𝐣𝐚 𝐭𝐞𝐭𝐚𝐩𝐢 𝐛𝐞𝐫𝐩𝐚𝐧𝐝𝐮𝐤𝐚𝐧 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐤𝐞𝐭𝐞𝐫𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐢𝐚𝐦𝐛𝐢𝐥 𝐬𝐞𝐩𝐚𝐧𝐣𝐚𝐧𝐠 𝐩𝐫𝐨𝐬𝐢𝐝𝐢𝐧𝐠. Bagi isu LCS, 10 prosiding dan 21 orang saksi. Inilah bagaimana PAC mencapai rumusan yang dibentangkan.

WONG KAH WOH
Pengerusi PAC
12.08.2022

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Friday, August 12, 2022

Cara Tukar Lokasi Mengundi Melalui MySPR Online Dan Pendaftaran Baharu

Cara Tukar Lokasi Mengundi Melalui MySPR Online Dan Pendaftaran Baharu

Pendaftaran pengundi baharu dan pertukaran alamat kawasan mengundi boleh dilakukan melalui laman web MySPR Daftar dengan mudah secara atas talian. Sekiranya seorang pemilih berpindah ke tempat baru dan mendaftarkan pertukaran alamat tersebut di SPR, maka Bahagian Pilihan Raya beliau akan ditetapkan mengikut pendaftaran alamat baru itu.

CARA TUKAR TEMPAT MENGUNDI ONLINE

Permohonan sebagai pengundi secara online di MySPR Daftar hanya boleh dilakukan oleh warganegara Malaysia yang tidak bekerja sebagai polis atau tentera.

Pendaftaran secara online ini tidak boleh dilakukan oleh warganegara Malaysia yang sedang berada di luar negara. Anda perlu mendaftar secara manual sebagai Pengundi Tidak Hadir (PTH).

DAFTAR AKAUN

Langkah 1: Permohonan Akaun Pengguna

Sila layari laman web https://myspr.spr.gov.my/login untuk login ke akaun anda atau DAFTAR akaun BAHARU terlebih dahulu di https://myspr.spr.gov.my/register.

Untuk membuka akaun MySPR Daftar, sila sediakan beberapa maklumat tambahan seperti berikut:
  • Nombor telefon bimbit yang sah.
  • Emel yang sah.
  • Gambar depan kad pengenalan.
  • Gambar selfie bersama kad pengenalan.

Permohonan yang dihantar pada jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari hari bekerja, permohonan akan diproses pada hari yang sama.

Manakala bagi permohonan yang dihantar selepas jam 12.00 tengahari hari bekerja atau hari cuti termasuk Hari Kelepasan Am, akan diproses pada hari bekerja berikutnya.

Sebaik disahkan benar, satu emel pengaktifan akaun akan dihantar ke emel anda.

Langkah 2: Pengaktifan Akaun Pengguna

Apabila maklumat permohonan akaun pengguna telah disahkan, anda boleh login MySPR Daftar untuk mengisi Borang A pendaftaran pemilih secara online.

Login menggunakan ID pengguna dan kata laluan yang telah didaftarkan.

Langkah 3: Isi Borang A

Selepas berjaya login, klik Status Saya.

Sekiranya anda belum didaftar sebagai pemilih, klik Borang A (Pendaftaran Baru/Pertukaran Alamat).

Isi kesemua maklumat yang diminta kemudian klik pada butang Hantar.

CARA DAFTAR UNDI ONLINE

PERTUKARAN ALAMAT TEMPAT MENGUNDI MELALUI MySPR ONLINE

1. Cara memohon pertukaran alamat online adalah seperti berikut:
  • Login portal MySPR Daftar (jika belum mendaftar sebagai pengguna, sila daftar terlebih dahulu mengikut Langkah di atas) .
  • Klik menu Status Saya.
  • Tekan butang BORANG A (PENDAFTARAN BARU/PERTUKARAN ALAMAT).
  • Klik Contoh Alamat untuk melihat cara pengisian alamat dan isikan mengikut contoh tersebut.
  • Buat pengesahan untuk alamat yang telah dikemaskini.
  • Hantar permohonan dan tekan butang Mohon TAC.
  • Sistem akan menghantar SMS nombor TAC ke telefon bimbit pemohon.
  • Sila masukkan nombor TAC dan tekan butang Hantar.
  • Setelah selesai, sistem akan membuat verifikasi dan paparan pada Status Saya akan dikemaskini.

2. Secara Manual

Pengemaskinian alamat pada MyKad boleh dilakukan dengan hadir ke mana-mana pejabat JPN yang berhampiran dan membawa dokumen sokongan berkaitan dalam bentuk asal atau salinan yang diakui sah.

Semaka Lokasi Pusat Daftar Mengundi Secara Manual

Sila semak lokasi cawangan SPR terdekat anda di pautan berikut, https://www.spr.gov.my/ms/hubungi-kami/cawangan-spr.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Wednesday, August 10, 2022

Skandal Kapal Tempur Malaysia (LCS), RM6 Bilion Lesap!?

Skandal Kapal Tempur Malaysia (LCS), RM6 Bilion Lesap!?

Projek LCS atau Kapal Tempur Pesisir Malaysia, adalah kontrak RM9 bilion untuk mendapatkan enam kapal bagi kegunaan tentera laut, yang dimulakan pada 2011, tetapi setakat Ogos 2022, tiada kapal LCS telah disiapkan, walaupun kerajaan Malaysia telah membayar RM6 bilion untuk projek tersebut. Projek tersebut digantung pada 2019 dan disambung semula pada 2022.

Skandal Kapal Tempur Pesisir Malaysia

Kapal pertama sepatutnya dihantar pada 2019 tetapi kini jangkaannya adalah kapal pertama mungkin hanya akan dihantar menjelang 2024.

Skandal tersebut didedahkan berikutan siasatan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia pada Ogos 2022.

Laporan jawatankuasa itu mendedahkan bahawa projek itu telah diberikan kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) melalui rundingan terus dan syarikat itu dibayar RM6 bilion oleh kerajaan, tetapi tiada kapal dihantar.

Laporan itu juga mendedahkan bahawa syarikat itu telah menggunakan wang itu untuk membeli peralatan daripada pengeluar peralatan asal, menyebabkan kos pembelian meningkat berlipat kali ganda.

PENIPU AMATUR

Paling menjengkelkan, Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein menerima kecaman berikutan kenyataannya bahawa Kapal Tempur Pesisir (LCS) pertama akan diperoleh dalam tempoh dua tahun lagi, pada tahun 2024.

Yang peliknya, semasa bertugas sebagai menteri pertahanan kali pertama pada 2017, dia mengumumkan ketibaan kapal LCS yang pertama ketika itu.

Pada 2017, Hishammuddin memaparkan gambar yang dikatakan sebagai LCS 1 Maharajalela di Twitter dan mengalu-alukan perolehannya ke dalam armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ia kini didedahkan bahawa kapal-kapal tersebut sebenarnya tidak pernah disiapkan!

Atau mungkin kapal yang disambut Hishamuddin direka menggunakan teknologi siluman, yang membolehkan ia ghaib daripada penglihatan dan mengelak dikesan radar.

RM6 Bilion Kena Songlap

Skandal LCS

Kira-kira RM6 bilion telah dibelanjakan untuk projek itu, namun tidak ada satu kapal pun yang telah disiapkan.

PAC antara lain mendapati Kementerian Pertahanan dan syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tidak mengendahkan pandangan TLDM dalam perolehan kapal LCS.

Ini menyebabkan lebihan kos berjumlah RM1.4 bilion dalam kontrak RM9 bilion yang diberikan pada 2011.

PAC juga mendapati kementerian pertahanan pada mulanya memilih reka bentuk jenis Sigma untuk LCS pada Mei 2011, tetapi dua bulan kemudian menukarnya kepada reka bentuk jenis Gowind, daripada pengeluar kapal selam Scorpene Perancis yang sama, sekali gus bercanggah dengan nasihat TLDM.

Keputusan untuk menukar reka bentuk itu dibuat oleh menteri pertahanan ketika itu Ahmad Zahid Hamidi, atas cadangan BNS.

PAC mendapati pelbagai keputusan lain yang dibuat oleh BNS meningkatkan lagi kos, dengan hutang BNS semakin bertimbun.

Malah PAC berkata, sehingga kini reka bentuk terpeinci LCS masih belum dimuktamadkan kerajaan dan BNS, menyebabkan pengeluaran perintah variasi (VO) secara berterusan dan terdedah kepada peluang manipulasi (baca: peluang menyamun duit rakyat).

PAC juga mendapati sebahagian daripada bayaran yang dibuat tidak digunakan dalam perolehan LCS tetapi RM400 juta digunakan oleh BNS untuk menyelesaikan hutang lapuk sebuah lagi projek lama iaitu Kapal Peronda Generasi Baru (NGPV).

GIGIT SAMPI TULANG

Perolehan kapal tempur pesisir (LCS) naik tiga kali ganda kerana kontrak berlapis-lapis, kata Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Katanya, kerajaan melantik Boustead Naval Shipyard (BNS), BNS melantik subkontraktor Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD), CAD melantik Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) dan CED melantik syarikat Perancis DCNS.

Siasatan menunjukkan dua pakej yang dimuktamadkan pada harga RM1.185 bilion dengan kerajaan Malaysia, sedangkan surat lantikan dari CED (subkontraktor lapis kedua) kepada DCNS meletakkan kos sebanyak RM397 juta sahaja.

"Maknanya, bagi kerja-kerja yang akan diinvois oleh DCNS kepada CED sebanyak RM397 juta, tuntutan dari sub-kontraktor CED dan CAD kepada kerajaan Malaysia (melalui BNS) adalah tiga kali ganda lebih mahal," katanya.

Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 4 Ogos 2022 yang lalu mendedahkan, kerajaan sudah membayar RM6 bilion walaupun tiada satu pun kapal yang siap.

Laporan itu juga mengatakan pandangan panglima tentera laut sebagai penguna akhir kapal itu tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan kontraktor utama BNS.

Projek membina enam kapal tempur pesisir (LCS) telah dianugerahkan kepada anak syarikat Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) pada tahun 2011.

Projek itu telah dibelenggu dengan lebihan kos dan kelewatan, tanpa satu kapal dihantar setakat Ogos 2022.

Perbincangan mengenai pesanan variasi projek dan kos tambahan menjadi tumpuan berikutan pertukaran kerajaan kepada Pakatan Harapan pada 2018. Projek itu digantung pada tahun berikutnya, sementara menunggu hasil rundingan.

Pada Oktober 2019, menteri pertahanan ketika itu, Mohamad Sabu, memberitahu Dewan Rakyat bahawa projek itu telah siap 55.7% pada suku ketiga 2019, berbanding sasaran siapnya sebanyak 78%.

Dengan itu, kapal pertama dijangka akan dihantar tiga tahun kemudian daripada tarikh akhir April 2019.

Selain itu, turut didedahkan bahawa nilai kontrak projek itu mencecah kira-kira RM9.13 bilion dan kos tambahan untuk menyiapkan kesemua enam kapal berjumlah RM1.4 bilion atau RM10.63 bilion secara keseluruhan.

Pada Ogos 2020, menteri kanan (pertahanan) ketika itu Ismail Sabri Yaakob memberitahu Dewan Rakyat tentang rancangan untuk mengehadkan kos projek pada RM9 bilion, tetapi untuk dua kapal sahaja, yang akan dilakukan sama ada oleh BNS atau syarikat lain.

Sementara itu, Boustead Holdings Bhd (BHB) mengemukakan cadangan kepada kerajaan, yang dibentangkan pada mesyuarat kabinet pada Mei 2021.

Pada Mac 2022, kerajaan yang bukan dipilih oleh rakyat memutuskan untuk meneruskan projek itu.

UNTUNG ATAS ANGIN, PROJEK ALIBABA

Laporan PAC Parlimen pada 4 Ogos 2022 telah mendapati bahawa kontrak projek LCS telah dianugerahkan kepada syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) melalui rundingan terus.

Kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion bagi projek LCS, tetapi tiada kapal LCS telah disiapkan.

Syarikat BNS telah melantik Contravest Advanced Devices dan Contravest Electrodynamics Devices untuk membeli peralatan daripada Pengeluar Peralatan Asal, yang telah menyebabkan kos pembelian meningkat berlipat kali ganda.

Syarat kontrak pula adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan. Bayaran yang diterima daripada kerajaan oleh BNS tidak digunakan sepenuhnya untuk projek LCS, menyebabkan BNS menghadapi lebihan kos.

Peralatan yang disimpan dalam simpanan untuk projek LCS dianggarkan berjumlah RM1.7 bilion dan dianggarkan 15% sudah usang.

Laporan PAC turut mendedahkan bahawa LCS pertama, LCS kelas Maharaja Lela, yang dilancarkan pada 2017 sebenarnya belum siap. Kapal itu hanya 44% siap pada masa pelancaran.

Majlis penamaan dan pelancaran kapal itu hanyalah sekadar pertunjukan dan kos tambahan tiang yang dipasang pada LCS 1 semasa majlis itu adalah berjumlah RM400,000.

PAC Parlimen juga telah mengesyorkan Kementerian Pertahanan menyahklasifikasi laporan Jawatankuasa Khas Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) mengenai perolehan enam buah Second Generation Patrol Vessel (SGPV), berkeupayaan LCS Tentera Laut Diraja Malaysia dan insiden pemilihan reka bentuk kapal LCS berubah daripada SIGMA kepada GOWIND dijadikan iktibar bagi perolehan akan datang.

PAC juga telah mengesyorkan Kementerian Pertahanan membentangkan pelan perolehan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Pertahanan dan Keselamatan dari semasa ke semasa dan supaya pentadbiran kontrak kerajaan diperkemas untuk meminimumkan Arahan Perubahan Kerja (variation order).

MALAYSIA NEGARA RASUAH TERSOHOR DUNIA

Rasuah LCS

Menurut menteri pertahanan pada Ogos 2022, Hishamuddin Hussein, kerajaan Malaysia sedang menyiasat kemungkinan rasuah dalam projek membina kapal untuk tentera laut negara.

Kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa pentadbiran khas untuk memantau dengan teliti keadaan dan melaporkan segala perkembangan kepada Kabinet.

Menurut timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, dipercayai RM890 juta telah diseleweng daripada projek itu melalui penipuan, pemindahan wang kepada pihak dengan tujuan untuk menipu kontrak, kontrak pendua dan penyelewengan lain.

Tambahnya, Menteri Pertahanan pada masa projek itu dianugerahkan dan Menteri Pertahanan pada masa kontrak akhir ditandatangani kedua-duanya telah dimaklumkan mengenai penyelewengan itu tetapi tidak mengambil sebarang tindakan. Beliau berkata skandal ini penting kerana ia melibatkan penyelewengan dana awam dan pengabaian pertahanan negara.

Rafizi turut mendedahkan bahawa pada tahun 2012, kerajaan Malaysia telah memberi kontrak Boustead Naval Shipyard (BNS) untuk membina dua kapal.

BNS kemudiannya melantik Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) sebagai subkontraktor untuk membantu pembinaan.

CAD kemudiannya melantik syarikat bersekutunya, Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED), sebagai sub-subkontraktor. CED kemudiannya membuat kontrak dengan DCNS, syarikat yang pada asalnya sepatutnya menjadi kontraktor utama, untuk membekalkan bahan dan kepakaran untuk pembinaan.

Masalahnya ialah, CED hanya membayar DCNS RM397 juta untuk kerja itu, walaupun kerajaan Malaysia membayar CED RM1.185 bilion. Ini bermakna seseorang sedang mengantongi komisen 200% untuk kerja yang DCNS lakukan.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, berpendapat Najib Razak, perdana menteri ketika itu dan Ahmad Zahid Hamidi, menteri pertahanan, berpakat untuk memberi kelebihan kepada syarikat yang membekalkan kapal berkenaan, DCNS.

Syarikat ini sudah pun terpalit dengan skandal rasuah membabitkan dua jenis kapal lain iaitu kapal selam Scorpene dan Agosta. Dia berpendapat Najib dan Zahid tahu tentang rasuah syarikat ini dan masih memilih untuk BERSEKONGKOL dengan mereka.

Aduhai Malaysia Tanah Tumpah Rasuah!

BACA INI JUGA:
sumber: (1)(2)(3)

Tuesday, August 09, 2022

Wanita Sewa 3 Perempuan Simpanan Untuk Suami!

Wanita Sewa 3 Perempuan Simpanan Untuk Suami!

Seorang wanita di Thailand bertindak di luar kebiasaan apabila mengupah perempuan simpanan untuk menggembirakan suaminya dengan bayaran sebanyak 15,000 baht (RM1,855) sebulan, lapor laman berita Thaiger.

Pattheema perempuan simpanan

Pattheema, 44, lalu memuat naik iklan di TikTok untuk mencari tiga perempuan simpanan di wilayah Samut Prakarn.

Wanita itu mempunyai perniagaan yang berjaya bersama suaminya dengan menjual dan menyewakan trak kren di Samut Prakarn.

Akan tetapi, ibu anak satu itu percaya bahawa dia seorang isteri yang teruk, sentiasa penat dan tidak boleh menggembirakan suaminya.

Pattheema menyiarkan video dalam akaun TikToknya @natpattheema789 dengan kapsyen 'Mengupah perempuan simpanan untuk suami saya'.

"Saya mahu mengupah tiga perempuan simpanan untuk suami saya. Saya mahu wanita berumur antara 30 hingga 35 tahun yang telah menamatkan sekolah menengah atau mempunyai ijazah Sarjana Muda.

"Anda akan dibayar sekurang-kurangnya 15,000 baht sebulan, mendapat penginapan percuma dan makan percuma. Tetapi awak perlu tolong saya.

"Dua orang akan diupah untuk membantu kerja dokumen di pejabat saya dan seorang lagi akan diupah untuk menjaga saya, suami dan anak," katanya.

Pattheema Wanita simpanan

Setelah memuat naik tiga kekosongan untuk jawatan itu, Pattheema akhirnya menutup permohonan setelah berjaya menemui seorang wanita cantik berusia 33 tahun dari wilayah Phetchabun.

Dia membawa wanita itu berjumpa suaminya. Walaupun tidak seperti yang suaminya harapkan, dia akhirnya bersetuju menjadikan wanita itu sebagai 'isteri keduanya'.

"Saya, suami dan 'isteri keduanya' akan menjadi satu keluarga. Kami akan keluar makan bersama-sama dan menjaga antara satu sama lain," katanya.

Pelik tapi benar.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Monday, August 08, 2022

Lady Gaga Amal Ilmu Hitam?

Lady Gaga Amal Ilmu Hitam?

Penyanyi terkenal Lady Gaga dituduh netizen mengamalkan ilmu hitam selepas berlakunya satu insiden semasa menjayakan konsert Chromantica Ball World Tour di Jerman, kerana didalam kejadian yang dianggap aneh itu, Lady Gaga sedang beraksi di atas pentas sebelum seorang penonton tiba-tiba membaling sejenis objek tidak diketahui ke arah penyanyi itu.

Lady gaga black magic

Bagaimanapun, objek yang dibaling tiba-tiba jatuh ketika belum sempat mengena Lady Gaga yang sedang menari di atas pentas. Kejadian tersebut sempat dirakam penonton sebelum tular.

Terdapat komen mendakwa penyanyi yang popular menerusi lagu Bad Romance itu mengamalkan ilmu hitam untuk melindungi dirinya.

Bagaimanapun, rata-rata peminat tidak mempercayai perkara tersebut dan mendakwa objek yang dibaling ke arah Lady Gaga jatuh kerana ditiup angin atau faktor tarikan graviti.

"Tuduhan paling tidak masuk akal. Objek itu terjatuh ketika belum sempat kena Lady Gaga kerana telah ditiup angin yang kuat," kata seorang peminatnya.

Lady Gaga mengaku pernah dirogol sehingga hamil

Sementara itu, Lady Gaga mendedahkan dia pernah berdepan dengan tekanan hebat selepas diserang secara seksual sehingga mengandung.

Penyanyi itu memberitahu dia berusia 19 tahun ketika dirogol oleh seorang penerbit muzik lelaki yang sebelum itu turut mengugut untuk membakar karya seninya sekiranya enggan menanggalkan pakaian.

"Akibatnya, saya jatuh sakit, sering muntah sebelum mengetahui sebenarnya saya mengandung.

"Saya berdepan dengan trauma yang teruk selama beberapa tahun," katanya.

Lady Gaga atau nama sebenarnya Stefani Germanotta mendedahkan perkara itu ketika muncul dalam episod pertama rancangan 'The Me You Can't See' yang membincangkan isu masalah kesihatan mental.

Penyanyi itu memberitahu, dia takkan mendedahkan nama lelaki yang merosakkan dirinya.

"Saya tidak akan dedahkan identitinya kerana saya tidak mahu dikaitkan dengannya lagi.

"Saya sering dimasukkan ke hospital kerana trauma yang dialami sehingga saya dibawa berjumpa dengan pakar psikologi.

"Trauma yang saya alami mengubah diri saya selama beberapa tahun," ujarnya.



Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Trak Pikap 4X4 'Pembunuh' Di Jalan Raya!

Trak Pikap 4X4 'Pembunuh' Di Jalan Raya!

Setiap kemalangan dan kematian di jalan raya adalah tragedi. Malangnya, kemalangan membabitkan trak pikap semakin menjadi-jadi. Puluhan nyawa terkorban dalam kemalangan membabitkan jentera 4X4 yang semakin kerap berlaku.

4x4 Bertembung
Kenderaan 4x4 bertembung dijalan Kimanis, Sabah.

Apabila ia membabitkan lima sekeluarga atau pemanduan yang tidak cermat, ia lebih merungsingkan terutama apabila melibatkan trak pikap ini.

Justeru, terdapat permintaan bahawa mereka yang memandu trak pikap menjalani latihan khas atau lesen baharu bagi menangani masalah kemalangan yang 'kejam' ini.

Memang kalau ada kemalangan membabitkan kereta dan trak pikap, ia seperti menghempas bongkah batu ke atas telur.

Mangsa dalam kereta kalau memakai tali pinggang sekali pun tidak akan terselamat jika dirempuh gergasi ini. Ini kerana, trak pikap bukan kenderaan persendirian biasa.

Berat setiap pikap boleh mencecah sehingga 3.6 tan berbanding purata berat kereta biasa adalah 1.5 tan. Kereta kecil lebih ringan daripada satu tan. Lori satu tan tanpa muatan hanya dianggarkan seberat 2.7 tan tanpa muatan.

Kalau yang pernah membuat perkiraan fizik mengenai daya dan momentum akan mengetahui kesan impak, jisim dan kelajuan, mereka akan tahu betapa mengerikan pelanggaran membabitkan trak pikap.

Trak pikap seberat 3.5 tan (tidak termasuk muatan) bergerak pada kelajuan 130kmj menghempas sebuah kereta kecil seperti Alza, kadar momentum menerusi rempuhan itu adalah sangat dahsyat. Tidak mungkin pemandu dan penumpang kenderaan persendirian itu akan selamat.

Ini kerana, saiz dan kelajuan trak pikap itu terlalu kuat untuk ditahan oleh mana-mana jenis kenderaan kecuali mungkin kereta kebal.

Mengikut satu kajian, seorang pemandu kereta kecil 412 kali berkemungkinan akan maut atau cedera parah jika dilanggar kenderaan 4×4 seperti trak pikap. Data kematian membabitkan pikap hanya mengesahkan kajian ini.

Trak pikap juga mempunyai dimensi sangat berbeza berbanding kereta biasa. Ia lebih panjang dan lebar. Trak pikap boleh mencapai 21 kaki panjang dan 6 kaki 10 inci lebar.

Bayangkan, momentum dijana oleh sesuatu yang mempunyai saiz sebesar itu.

Penggunaan trak juga semakin berkembang kerana ia pilihan mudah dan murah berbanding mendapatkan lesen komersial contohnya untuk lori satu tan.

Memandu lori juga memerlukan lesen berlainan iaitu kelas E dan bukan D seperti kereta persendirian. Dan kebanyakan trak pikap digunakan untuk tujuan komersial dan bukan seperti kereta persendirian.

Laporan terbaru daripada lebih 50 negara menunjukkan jalan raya Malaysia negara kelapan paling tidak selamat.

Ia adalah masalah yang perlu diselesaikan kerana gergasi ini di jalan raya tanpa latihan pemanduan yang betul, seperti memberi kanak-kanak sepucuk pistol penuh dengan peluru hidup.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Tuesday, August 02, 2022

Kanak-kanak Tidur Kurang 9 Jam Sehari Berisiko Alami Masalah Mental!

Kanak-kanak Tidur Kurang 9 Jam Sehari Berisiko Alami Masalah Mental!

Satu kajian mendapati kanak-kanak dalam lingkungan usia pelajar sekolah rendah yang tidur kurang sembilan jam setiap hari berisiko mengalami perbezaan ketara di kawasan otak yang berfungsi berkaitan memori dan kecerdasan.

Anak kurang tidur

Hasil kajian pasukan penyelidik Fakulti Perubatan Universiti Maryland (UMSOM) itu dikaitkan dengan masalah kesihatan mental seperti tekanan, kegelisahan dan tingkah laku impulsif dalam kalangan kanak-kanak yang kurang tidur berbanding mereka yang tidur antara sembilan hingga 13 jam.

Pasukan penyelidik itu menganalisis maklumat yang dikumpulkan daripada lebih 8,300 kanak-kanak berumur sembilan hingga 10 tahun yang mengambil bahagian dalam kajian Pembangunan Kognitif Otak Remaja (ABCD).

"Kami mendapati kanak-kanak yang tidur kurang sembilan jam, mengalami kekaburan di kawasan otak yang mengawal perhatian, memori dan perencatan berbanding mereka yang cukup tidur.

"Perbezaan ini berterusan selepas dua tahun sekali gus membayangkan bahaya jangka panjang bagi kanak-kanak yang tidak cukup tidur," kata pengarang kajian, Profesor Ze Wang.

Kajian tersebut adalah antara kajian pertama yang menunjukkan kemungkinan kesan jangka panjang kurang tidur kepada perkembangan neurokognitif kanak-kanak.

KANAK-KANAK PERLU CUKUP REHAT

Tidur sangat penting untuk kanak-kanak bagi mencapai pembesaran dan perkembangan optimum.

Sama ada membabitkan anak kecil berusia dua tahun atau remaja, kajian menunjukkan bahawa rutin waktu tidur yang konsisten membantu memastikan anak mendapat tidur yang cukup.

Suruhanjaya Mengakhiri Obesiti Kanak-kanak mendapati bahawa masa tidur yang mencukupi, aktiviti fizikal dan cara hidup sedentari adalah banyak berkait serta memberi kesan jelas terhadap kesihatan dan kesejahteraan fizikal selain mental kanak-kanak.

Menjaga dan memperbaiki isu ini dalam tempoh lima tahun pertama kehidupan kanak-kanak akan menyumbang kepada perkembangan motor dan kognitif kanak-kanak serta kesihatan sepanjang hayat.

Pakar Perunding Pediatrik Perkembangan Kanak-Kanak, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Norazlin Kamal Nor berkata, tidur memberi peluang untuk otak kanak-kanak berehat dan memproses maklumat yang diterima otak ketika berjaga.

Kanak-kanak perlu mendapatkan jumlah waktu tidur yang mencukupi pada sebelah malam untuk membantu mereka kekal fokus dan meningkatkan prestasi akademik.

Kanak-kanak dan remaja yang tidak cukup tidur berisiko menghadapi masalah kesihatan, termasuk obesiti, diabetes jenis 2 (Type 2 Diabetes) dan pencapaian daya mental yang kurang.

Mereka juga lebih berkemungkinan mengalami masalah perhatian dan tingkah laku yang boleh menyumbang kepada prestasi akademik yang lemah di sekolah.

Ada pelbagai faktor yang menyebabkan kanak-kanak tidak mendapat tidur mencukupi antaranya, tiada rutin tidur dan sleep hygiene yang sesuai.

Selain itu, makan lewat kurang dari tiga hingga empat jam sebelum tidur turut menyumbang kepada permasalahan ini.

Ada juga kanak-kanak yang terikut tabiat tidur ahli keluarga lain yang tidur lambat. Ada kanak-kanak yang tidur siang terlalu lama dan menyebabkan mereka lewat masuk tidur pada sebelah malam.

Pemberian gajet yang diberi terlalu awal, secara tidak terkawal dan tidak dipantau boleh menyebabkan masalah kurang tidur dalam kalangan kanak-kanak.

Ibu bapa dan penjaga perlu mengelak memperkenalkan alat gajet atau alat elektronik untuk kanak-kanak di bawah dua tahun. Bagi kanak-kanak yang berusia dua tahun ke atas perlu dipantau penggunaan gajet serta dikurangkan ke satu hingga dua jam sehari.

Gantikan penggunaan gajet dengan bermain dengan anak, membaca dengan anak dan melakukan pelbagai aktiviti riadah.

Kesan kekurangan tidur boleh menyebabkan kanak-kanak kepenatan, susah bangun, mengantuk pada sebelah siang, tidur di sekolah dan sukar memberi tumpuan sepenuhnya.

Ia boleh menjejaskan perangai dan mood kanak-kanak di mana perangai susah mengawal diri, mungkin lebih cepat menangis, sedih dan kecewa.

Situasi ini boleh menjejaskan pembelajaran dan daya ingatan.

Mengulas lanjut, ia juga boleh memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan badan yang dikaitkan dengan masalah kurang tidur, termasuk masalah kenaikan berat badan dan obesiti kerana metabolisme badan terjejas.

Kanak-kanak yang tidak cukup tidur juga lebih kerap terbabit dalam kemalangan kerana kecuaian dan kurang peka pada persekitaran.

Beberapa kaedah yang boleh diguna pakai untuk melatih anak tidur awal termasuk mengamalkan 'good sleep hygiene.'

Selaraskan masa dengan masuk tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari. Jadikan ia sebagai rutin.

Elakkan daripada melakukan aktiviti yang terlalu merangsang kanak-kanak seperti penggunaan gajet sebelum masuk tidur.

Kanak-kanak perlu diberi makan malam lebih dari empat jam sebelum tidur supaya penghadaman tidak mengganggu rutin tidur.

Satu cara yang boleh membantu kanak-kanak tidur lebih lena adalah dengan beriadah atau menjalankan aktiviti fizikal pada sebelah siang, contohnya menunggang basikal, berlari atau berjalan setiap hari atau selang sehari selama 30 hingga 45 minit sehari.

Kita berharap agar kanak-kanak semakin sihat dan berpeluang mencapai perkembangan dan tumbesaran terbaik dengan mendapat tidur yang mencukupi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)(2)