Tuesday, August 02, 2022

Kanak-kanak Tidur Kurang 9 Jam Sehari Berisiko Alami Masalah Mental!


Satu kajian mendapati kanak-kanak dalam lingkungan usia pelajar sekolah rendah yang tidur kurang sembilan jam setiap hari berisiko mengalami perbezaan ketara di kawasan otak yang berfungsi berkaitan memori dan kecerdasan.

Anak kurang tidur

Hasil kajian pasukan penyelidik Fakulti Perubatan Universiti Maryland (UMSOM) itu dikaitkan dengan masalah kesihatan mental seperti tekanan, kegelisahan dan tingkah laku impulsif dalam kalangan kanak-kanak yang kurang tidur berbanding mereka yang tidur antara sembilan hingga 13 jam.

Pasukan penyelidik itu menganalisis maklumat yang dikumpulkan daripada lebih 8,300 kanak-kanak berumur sembilan hingga 10 tahun yang mengambil bahagian dalam kajian Pembangunan Kognitif Otak Remaja (ABCD).

"Kami mendapati kanak-kanak yang tidur kurang sembilan jam, mengalami kekaburan di kawasan otak yang mengawal perhatian, memori dan perencatan berbanding mereka yang cukup tidur.

"Perbezaan ini berterusan selepas dua tahun sekali gus membayangkan bahaya jangka panjang bagi kanak-kanak yang tidak cukup tidur," kata pengarang kajian, Profesor Ze Wang.

Kajian tersebut adalah antara kajian pertama yang menunjukkan kemungkinan kesan jangka panjang kurang tidur kepada perkembangan neurokognitif kanak-kanak.

KANAK-KANAK PERLU CUKUP REHAT

Tidur sangat penting untuk kanak-kanak bagi mencapai pembesaran dan perkembangan optimum.

Sama ada membabitkan anak kecil berusia dua tahun atau remaja, kajian menunjukkan bahawa rutin waktu tidur yang konsisten membantu memastikan anak mendapat tidur yang cukup.

Suruhanjaya Mengakhiri Obesiti Kanak-kanak mendapati bahawa masa tidur yang mencukupi, aktiviti fizikal dan cara hidup sedentari adalah banyak berkait serta memberi kesan jelas terhadap kesihatan dan kesejahteraan fizikal selain mental kanak-kanak.

Menjaga dan memperbaiki isu ini dalam tempoh lima tahun pertama kehidupan kanak-kanak akan menyumbang kepada perkembangan motor dan kognitif kanak-kanak serta kesihatan sepanjang hayat.

Pakar Perunding Pediatrik Perkembangan Kanak-Kanak, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Norazlin Kamal Nor berkata, tidur memberi peluang untuk otak kanak-kanak berehat dan memproses maklumat yang diterima otak ketika berjaga.

Kanak-kanak perlu mendapatkan jumlah waktu tidur yang mencukupi pada sebelah malam untuk membantu mereka kekal fokus dan meningkatkan prestasi akademik.

Kanak-kanak dan remaja yang tidak cukup tidur berisiko menghadapi masalah kesihatan, termasuk obesiti, diabetes jenis 2 (Type 2 Diabetes) dan pencapaian daya mental yang kurang.

Mereka juga lebih berkemungkinan mengalami masalah perhatian dan tingkah laku yang boleh menyumbang kepada prestasi akademik yang lemah di sekolah.

Ada pelbagai faktor yang menyebabkan kanak-kanak tidak mendapat tidur mencukupi antaranya, tiada rutin tidur dan sleep hygiene yang sesuai.

Selain itu, makan lewat kurang dari tiga hingga empat jam sebelum tidur turut menyumbang kepada permasalahan ini.

Ada juga kanak-kanak yang terikut tabiat tidur ahli keluarga lain yang tidur lambat. Ada kanak-kanak yang tidur siang terlalu lama dan menyebabkan mereka lewat masuk tidur pada sebelah malam.

Pemberian gajet yang diberi terlalu awal, secara tidak terkawal dan tidak dipantau boleh menyebabkan masalah kurang tidur dalam kalangan kanak-kanak.

Ibu bapa dan penjaga perlu mengelak memperkenalkan alat gajet atau alat elektronik untuk kanak-kanak di bawah dua tahun. Bagi kanak-kanak yang berusia dua tahun ke atas perlu dipantau penggunaan gajet serta dikurangkan ke satu hingga dua jam sehari.

Gantikan penggunaan gajet dengan bermain dengan anak, membaca dengan anak dan melakukan pelbagai aktiviti riadah.

Kesan kekurangan tidur boleh menyebabkan kanak-kanak kepenatan, susah bangun, mengantuk pada sebelah siang, tidur di sekolah dan sukar memberi tumpuan sepenuhnya.

Ia boleh menjejaskan perangai dan mood kanak-kanak di mana perangai susah mengawal diri, mungkin lebih cepat menangis, sedih dan kecewa.

Situasi ini boleh menjejaskan pembelajaran dan daya ingatan.

Mengulas lanjut, ia juga boleh memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan badan yang dikaitkan dengan masalah kurang tidur, termasuk masalah kenaikan berat badan dan obesiti kerana metabolisme badan terjejas.

Kanak-kanak yang tidak cukup tidur juga lebih kerap terbabit dalam kemalangan kerana kecuaian dan kurang peka pada persekitaran.

Beberapa kaedah yang boleh diguna pakai untuk melatih anak tidur awal termasuk mengamalkan 'good sleep hygiene.'

Selaraskan masa dengan masuk tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari. Jadikan ia sebagai rutin.

Elakkan daripada melakukan aktiviti yang terlalu merangsang kanak-kanak seperti penggunaan gajet sebelum masuk tidur.

Kanak-kanak perlu diberi makan malam lebih dari empat jam sebelum tidur supaya penghadaman tidak mengganggu rutin tidur.

Satu cara yang boleh membantu kanak-kanak tidur lebih lena adalah dengan beriadah atau menjalankan aktiviti fizikal pada sebelah siang, contohnya menunggang basikal, berlari atau berjalan setiap hari atau selang sehari selama 30 hingga 45 minit sehari.

Kita berharap agar kanak-kanak semakin sihat dan berpeluang mencapai perkembangan dan tumbesaran terbaik dengan mendapat tidur yang mencukupi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)(2)

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon