Saturday, June 22, 2019

SBDJ Siri 77: Akibat Malukan Orang

SBDJ Siri 77: Akibat Malukan Orang

Akhirnya, anak Malik Cina terus pulih seperti sedia kala. Dia terus menghubungi menantunya tentang keadaan isterinya yang sudah baik. Tempoh yang dijanjikan sudah cukup. Saya dan Datuk pun bersedia untuk meninggalkan rumah Malik Cina.

Toyol jadi-jadian

Isterinya menangis melihat saya dan Datuk berdiri di ambang pintu untuk melangkah pulang.

“Bagaimana kalau saya hantarkan,” Malik Cina kemukakan cadangan. Datuk kerutkan dahi. Merenung ke kiri dan ke kanan halaman dengan wajah yang tenang.

“Tak payah, biar kami balik sendiri.”

“Bagaimana dengan kerja yang lalu, berapa upah dan pengerasnya.”

“Apa yang Allah kurniakan pada aku, adalah untuk kebaikan bagi menolong sesama manusia. Aku bukan mencari makan dengan kerja-kerja begini.”

“Maksudnya?”

“Tak ada apa-apa bayaran.”

Malik Cina termenung panjang. Saya terus mengikat tali kasut. Tiupan angin terasa memukul dedaun telinga dan pipi saya.

“Boleh saya tahu, siapa yang membuat anak saya jadi begini,” cara mendadak isteri Malik Cina mengajukan pertanyaan. Malik Cina kelihatan resah tidak keruan.

“Kenapa kamu tanya siapa yang membuatnya?”

“Saya nak balas dendam, kalau boleh saya minta awak buat kerja tu, kalau upahnya satu ekar tanah pun, saya sanggup mengadakannya.”

Membalas dendam dan ambil upah untuk merosakkan hidup orang lain itu bukan kerja saya,” suara Datuk meninggi wajahnya nampak masam. Datuk terus menggenggam penumbuk.

“Malik,” pekik Datuk dengan wajah yang marah.

“Ya, kenapa?”

“Banyakkan bersedekah pada anak-anak yatim dan orang susah, selalulah baca Yasin setiap malam Jumaat, pohon doa, pada Allah minta jauhkan dari segala bala.”

“Ya saya faham, saya nak tahu benarkah sakit anak saya dari buatan orang,” Malik Cina mengajukan pertanyaan.

“Itu aku tak tahu tetapi, aku rasa apa yang kau alami sekarang merupakan pembalasan dan Allah.”

“Ah, saya rasa, sepanjang hidup saya ni, saya tak pernah menganiayai orang, saya tak pernah buat orang susah.”

“Kau tak boleh cakap begitu, mungkin masa muda kamu dulu kamu pernah menipu atau memberi malu pada seseorang,” Datuk menarik nafas panjang. Isteri Malik Cina yang berdiam segera membenamkan pacak sanggul lintang pada sanggul yang seketul atas kepala.

“Itu saja yang nak saya katakan pada kamu berdua, terpulanglah pada kamu berdua memikirkannya sama ada kamu berdua nak ikut atau percaya dengan cakap aku,” selesai sahaja Datuk berkata-kata. Ia terus menggeliat. Tangan saya ditariknya untuk menuruni anak-anak tangga yang dibuat dari kayu cengal.

Bila sahaja tapak kaki Datuk memijak mata tangga terakhir. Malik Cina, menyebut nama Datuk. Mereka berpandangan. Sinar mata Malik Cina redup tertampar ke wajah Datuk.

“Ada apa lagi Malik?”

“Barangkali cakap kamu benar.”

“Maksud kamu.”

Malik Cina terdiam. Pandangannya dialihkan ke arah dinding rumah. Anak perempuannya yang datang cara mendadak di sisinya, renung muka saya, kemudian melangkah dengan tenang.

“Katakan apa saja Malik, aku bersedia mendengarnya,” pohon Datuk. Malik Cina turun menghampiri Datuk. Bahu Datuk dipegangnya. Dadanya nampak berombak. Wajahnya juga kelihatan rasa tidak menentu.

Malik Cina memaksa Datuk duduk di mata tangga terakhir. Saya berdiri dekat mereka. Isterinya mungkin tidak mahu campur dalam urusan Datuk dan Malik Cina, segera menuruti jejak langkah anaknya menuju ke ruang belakang.

“Kau betul dalam hal ini, dulu aku meminang seorang perempuan, bila sampai waktu mahu menikah, aku tidak pergi ke rumahnya pada hal kedua orang tua gadis itu, sudah pun memanggil orang kampung, kaum kerabatnya sudah berkumpul,” Malik Cina membuka rahsia dirinya.

“Kenapa kamu buat macam tu Malik?”

“Saya cara mendadak tak sukakan dia, saya dah jatuh hati dengan isteri saya sekarang.”

“Lepas tu apa yang kau buat, kau tak minta maaf.”

“Tidak, saya takut pada keluarga perempuan tersebut, kalau saya pergi, tentu saya menerima padah yang buruk, saya buat tak tahu dan nikah dengan bini saya sekarang.”

LEMBUT

Cerita dari Malik Cina itu, membuat Datuk menarik nafas panjang. Rasa kecewanya terhadap perangainya Malik Cina terbayang di wajahnya. Angin yang bertiup lembut terus menyentuh wajah saya dan Datuk.

“Aku pernah dengar cerita macam tu, tapi aku tak menduga kau yang melakukannya,” kata Datuk.

“Dari siapa dengar cerita tu?” Soal Malik Cina.

“Aku tak ingat dari siapa?” Jawab Datuk dan terus bangun. Sarungkan kasut capal bertali dua ke kaki. Datuk melangkah dua tapak ke depan.

Datuk berhenti melangkah. Pusingkan badan dan berdiri berdepan dengan Malik Cina yang masih duduk di mata anak tangga terakhir. Bahagian tepi rambut Malik Cina nampak bergerak-gerak disentuh angin.

“Kalau dulu, kau pernah memalukan orang lain, sekarang kau sendiri merasakan balasannya. Ingat, kalau kita pernah menganiayai orang satu hari kelak kita akan menerima padahnya, kalau tidak pada kita, mungkin pada anak cucu kita,” jelas Datuk dengan tenang. Malik Cina segera berdiri. Biji mata Datuk ditentangnya.

“Saya sedar dan faham semuanya,” balas Malik Cina lembut.

“Ingat mulai hari ini, bersihkan hatimu, jangan menganiayai orang, jangan menjatuhkan maruah orang, buatlah baik sesama insan.”

“Ya saya berjanji.”

“Aku doakan kamu bahagia,” tenang sekali Datuk bersuara.

Datuk bersalam dengan Malik Cina. Cepat-cepat Malik Cina memeluk tubuh Datuk. Mereka berdakapan penuh mesra.

Saya hanya memerhatikan sahaja gerak-geri Datuk dan Malik Cina.

“Biar saya hantar awak ke pekan Sungai Siput,” Malik Cina mengemukakan cadangan. Datuk segera menjatuhkan sepasang tangannya yang merangkum tubuh Malik Cina.

“Tak payah, biarlah kami berjalan kaki.”

“Kenapa pula? Naik kereta lagi bagus.”

“Terima kasih Malik, biar kami berjalan.”

Malik Cina garu hujung dagunya berkali-kali. Hatinya tidak berapa seronok mendengar alasan yang dikemukakan oleh Datuk. Dua kali tawarannya ditolak oleh Datuk.

“Terkilan rasa hati saya, datang dijemput, bila balik jalan kaki,” Malik Cina meluahkan rasa hatinya.

“Tak apalah ini permintaan tuan punya diri, kenapa kamu nak susah hati.”

“Saya tahu, tapi kurang seronok.”

“Tak apalah, aku cakap ikhlas,” jelas Datuk.

Datuk menarik tangan saya untuk memulakan langkah.

Tiba-tiba isteri Malik Cina meluru ke arah kami. Di tangannya terselit sampul surat panjang berwarna kekuningan. Isteri Malik Cina hulurkan sampul surat itu pada Datuk.

“Apa bendanya ni?” Datuk agak terkejut.

“Duit, ada dua ratus ringgit untuk upah mengubati anak saya,” jelas isteri Malik Cina. Datuk tergamam. Sampul surat di tangan isteri Malik ditepisnya. Wang bertaburan atas tanah.

Muka Datuk serta-merta menjadi marah. Nafasnya tercungap-cungap. Badannya menggeletar menahan rasa marah. Muka isteri Malik Cina jadi pucat.

“Malik,” jerit Datuk sekuat hati. Malik Cina segera menghampirinya. Wajah isteri Malik Cina yang pucat segera bertukar menjadi kemerah-merahan. Wang yang bertaburan atas tanah dikutipnya sehelai demi sehelai dan disumbat ke mulut sampul surat.

“Bukankah sudah aku katakan, aku bukan mencari rezeki dengan mengubati orang, aku sekadar berusaha yang menentukannya Allah, mengapa perkara yang aku benci ini kamu lakukan pada aku? Apa kamu mahu menguji aku,” Datuk meledakkan apa yang ada dalam hatinya.

“Maafkan saya, saya terlupa beritahu bini saya, dia tak tahu, tak terniat untuk menguji awak,” sahut Malik Cina.

Mukanya nampak cemas.

Datuk termenung. Perlahan-lahan ia menatap wajah isteri Malik Cina yang keadaannya tidak tentu arah.

“Maafkan aku, aku tak berniat nak menjatuhkan air muka kamu, maafkan aku,” nada suara Datuk dibalut rasa kesal yang memanjang. Datuk terus beristighfar beberapa kali.

“Maafkan aku,” ulang Datuk.

“Saya maafkan,” balas isteri Malik Cina. Datuk gembira mendengar kata-kata yang diluahkan oleh isteri Malik Cina. Dan Malik Cina pula berkali-kali minta maaf pada Datuk kerana kesalahannya tidak memberitahu isterinya, tentang pantang larang yang diamalkan Datuk.

“Wang itu kau sedekah pada anak-anak yatim, pada fakir miskin atau hadiahkan pada masjid, barangkali dengan wang itu dapat digunakan untuk membaiki mana-mana bahagian masjid yang rosak,” dalam nada yang lembut Datuk menyatakan pada Malik Cina dan isterinya. Mereka anggukkan kepala.

“Aku nak pesan pada kamu supaya mengamalkan membaca Al-Fatihah sebanyak 41 kali, di antara sembahyang sunat Subuh dengan fardu Subuh,” beritahu Datuk pada Malik Cina.

“Apa faedahnya mengamalkannya?” Soal Malik Cina tidak sabar.

“Kalau orang itu makan gaji, mudah naik pangkat.”

“Lagi.”

“Kalau ia miskin akan jadi kaya, ada saja rezeki yang halal diberikan Allah untuknya.”

“Lagi?”

“Kalau ia banyak hutang, ada saja jalan diberikan Allah untuknya menyelesaikan hutang.”

Malik Cina renung muka isterinya yang khusyuk mendengar penerangan dan Datuk. Saya hanya diam tetapi, apa yang saya dengar tetap saya sematkan dalam hati, Memang tidak mudah Datuk mahu memberikan amalan pada seseorang. Entah apa mimpinya ia mahu memberikan pada Malik Cina.

“Lagi apa faedahnya amalan itu,” Malik Cina mencungkil rahsia.

“Kalau seseorang itu sakit dan amalkan membaca, dengan izin Allah sakitnya akan sembuh,” jelas Datuk.

“Lagi?”

“Jika ia lemah, akan dikuatkan oleh Allah.”

“Lagi.”

“Jika orang itu berdagang atau merantau di negeri orang. Ia tetap dihormati dan dimuliakan, cita-citanya sampai dan orang itu tidak akan dimusuhi oleh sesiapa,” Datuk terbatuk.

“Banyak faedahnya,” kata isteri Malik Cina.

“Ya, dengan syarat diamalkan, tidak meninggalkan sembahyang lima waktu, nampaknya mudah tetapi jarang orang dapat mengamalkannya dengan sempurna,” Datuk meraba pangkal dagu. Ia renung muka saya, memberi isyarat untuk memulakan perjalanan.

“Tapi, kamu sekeluarga harus mengamalkannya, terutama anak kamu, supaya sakitnya tidak berulang lagi,” Datuk mengingatkan Malik Cina dan isteri.

Datuk bersalaman dengan Malik Cina. Kemudian saya pula bersalaman, Saya rasakan genggaman Malik Cina cukup erat, seolah-olah tidak mahu melepaskan saya pulang.

“Selamat jalan, semoga kamu dengan cucu selamat sampai ke tempat yang dituju,” ujar Malik Cina pada Datuk.

“Semoga Allah memberkati dan menyelamatkan keluarga kamu dari sebarang bencana,” jawab Datuk. Malik Cina tunduk tetapi, di kelopak mata isterinya tergenang air jernih.

Saya renung ke arah rumah Malik Cina. Saya lihat anaknya berdiri di muka pintu merenung ke arah saya. Memang, anak perempuan Malik cantik sungguh. Secara diam-diam saya tertarik dengan kecantikannya. Kalau saya disuruh menatap wajahnya selama dua tiga jam, saya sanggup melakukannya.

“Eh tengok apa tu, kamu tahu dia bini orang,” terdengar suara Datuk memukul gegendang telinga saya.

Cepat saya menoleh ke kanan, Malik Cina tersenyum ke arah saya. Toleh ke kiri isteri Malik Cina juga tersenyum. Saya terasa malu dan untuk menghilangkan rasa malu itu, saya terus melangkah dengan cepat mendahului langkah Datuk.

“Cucu awak dah besar, dah ada perasaan pada perempuan,” saya terdengar suara Malik Cina. Kata-kata itu menyindir diri saya. Saya terdengar ketawa Datuk pendek.

Ketawa itu juga saya rasakan menyindir diri saya. Menyesal saya renung ke rumah Malik Cina. Kalau saya renung tadi, tentu saya tidak diketawakan dan jadi bahan bualan mereka. Batin saya terus merungut, penuh rasa kesal.

LANGKAH

Saya terus melangkah. Saya tidak peduli sama ada Datuk mengikuti saya dari belakang atau tidak. Soal yang penting bagi saya ialah tidak mahu pandang muka Malik Cina dan isterinya. Tidak mahu dengar suara mereka. Semuanya menyakitkan hati. Saya terus melangkah.

Bila sampai dekat pokok besar. Datuk terus memegang bahu saya. Ia menyuruh saya jalan bersaing dengannya. Tidak kuasa saya melihat wajahnya.

Saya masih terasa malu kerana rahsia diri saya sudah diketahuinya. Saya berdoa semoga Datuk tidak menimbulkan perkara itu pada saya. Sesungguhnya, saya tidak rela malu untuk kali kedua pada Datuk.

Hati saya terasa lega. Datuk tidak menimbulkan perkara tersebut. Kami terus melangkah seiring di bawah hembusan bayu yang datang dari arah sebuah bukit yang letaknya di pinggir Kampung Bahagia.

Kicau burung yang menyanyi di pepohon kiri kanan jalan amat menyeronokkan. Matahari pagi yang berada di paras pucuk kelapa dara bersinar lembut. Kabus nipis kelihatan bangkit perlahan-lahan di puncak banjaran Titiwangsa. Bayu pun menggerakkan dedaun menghijau.

Indahnya alam ciptaan Allah. Kata nenek, kalau kita mengagumi keindahan alam ciptaan Allah, kita harus bersyukur dan memuji-Nya. Kemudian bandingkan betapa kerdilnya diri kita dalam keindahan alam itu.

Nenek juga berkata, orang-orang yang tinggal di kawasan alam semula jadi. Selalunya hidup aman dan panjang umur, sentiasa tenang. Sebabnya mereka jadi demikian, kerana mereka selalu bersyukur pada Allah secara tidak langsung mereka mendekati diri dengan-Nya.

Dan orang-orang yang selalu mendampingi dirinya dengan Allah, selalu merasa bahagia meskipun pada lahirnya mereka nampak susah dan sukar.

Kekayaan dan pangkat serta penghormatan tidak bererti, kalau batin manusia yang mewah itu tidak tenteram.

Sebabnya kebahagiaan tidak terletak pada kekayaan. Kebahagiaan terletak pada had. Bila hati tenteram, jiwa pun bersih dan wajah pun berseri.

Itu pendapat nenek yang tidak pernah ke sekolah. Susah juga untuk saya mempercayainya tetapi, kata nenek lagi, bila saya bertambah tua dan sudah mengalami rempah-ratus kehidupan, barulah saya tahu, apakah cakapnya itu benar atau tidak. Macam-macam yang datang dalam kepala saya.

Tiba-tiba saya dan Datuk sudah pun sampai ke bibir jalan raya Ipoh - Kuala Kangsar. Saya duduk di batu tepi jalan sambil mengutik-ngutik rumput semalu. Rumput yang kembang segar itu akan terus mengecut bila saya usik dengan hujung sepatu.

Datuk terus merenung ke arah kenderaan yang lalu lalang di jalan raya. Saya terus resah. Sudah berada di tepi jalan raya, Datuk masih belum beritahu saya ke mana harus pergi? Ini yang susahnya mengikut Datuk. Ia tidak mempunyai rancangan yang tertentu.

Saya segera mendekati Datuk. Ia tersenyum sumbing memandang ke arah saya. Ia bagaikan tahu dengan apa yang bergolak dalam diri saya.

“Kita ni nak ke mana tuk?”

“Ke Bakap, dekat Batu Gajah.”

“Bukan nak pergi ke pekan Sungai Siput?”

“Kamu berjalan ikut aku, apa yang aku buat kamu ikut saja jangan banyak cakap. Belum apa-apa dah nak mengajar orang tua.”

Perasaan saya tersentap mendengar kata-kata Datuk itu. Ditanya jawapannya kena marah. Tidak ditanya hati resah. Memang serba salah jadi cucu pada Datuk yang selalu beranggapan yang cucunya tidak pandai dan mesti patuh dengan cakapnya.

Datuk menahan bas yang mahu ke Ipoh. Saya disuruh naik dulu. Saya memilih tempat di bahagian belakang. Tetapi Datuk tidak setuju dengan tempat yang saya pilih itu. Ia suruh saya pilih tempat duduk yang berhampiran dengan pemandu.

“Jangan biasakan bila naik bas duduk di belakang.”

“Kenapa tuk?”

“Tak bagus, kalau ada kejadian yang tak diingini kita susah bertindak, sebaik-baiknya pilih di bahagian tengah.”

“Sebabnya tuk?”

“Kalau diserang komunis dari depan kita dapat bersedia begitu juga kalau diserang dari arah belakang.”

“Tapi, kita duduk di bahagian depan sekarang tuk?”

“Tak apa kerana aku rasa perjalanan kali ini selamat.”

Saya diam. Tidak kuasa mengajukan sebarang pertanyaan padanya. Bas terus meluncur. Saya terus terlelap. Saya terkejut bila bas berhenti dengan tiba-tiba. Saya gosok kedua belah mata dan renung kiri dan kanan. Apa yang saya lihat ialah kebun getah yang subur.

“Kita ni di mana tuk?”

“Kita baru meninggalkan Pekan Chemor.”

“Kenapa has ni berhenti di tengah hutan tuk.”

“Kamu tengok tu,” Datuk meluruskan telunjuknya ke arah belukar kecil di kiri bas.

Saya terkejut, saya lihat lebih dari dua puluh orang lelaki memakai baju seragam dengan topi leper berbucu lima. Di tangan mereka lengkap dengan senjata api.

“Itu askar tuk,” kata saya.

“Bukan, itu komunis,” sebaik sahaja Datuk mengakhiri kata-katanya. Tiga orang anggota komunis naik ke bas. Seorang berdiri di tangga bas. Seorang berdiri di bahagian tengah. Dan seorang di bahagian belakang bas.

Saya amati, yang berdiri di tangga bas. Orang India. Di tengah bas, orang Cina dan di bahagian belakang orang Melayu. Saya kira yang berdiri di tengah adalah ketua mereka.

Manakala di luar bas kelihatan lebih dari dua puluh anggota komunis duduk dalam belukar. Mereka menghalakan muncung senapang ke arah bas.

Penumpang bas yang sebahagian besarnya terdiri dari orang Melayu dan Cina serta beberapa orang India kelihatan cemas.

Pemandu bas diarahkan turun oleh komunis berbangsa India. Wang yang ada pada penjual tiket bas dirampas oleh komunis berbangsa Cina. Penjual tiket juga disuruh turun.

“Sekarang, semua orang bangun, letakkan duit, jam tangan, emas dan apa yang kamu bawa dekat pintu has, kalau kamu membantah kami tembak. Keluar satu-satu,” perintah komunis Melayu yang berada di bahagian belakang bas.

Semua penumpang bas patuh. Semua barang yang mereka bawa diserahkan pada pihak komunis. Bila sudah turun dari bas. Kami disuruh berbaris. Seorang anggota komunis melakukan pemeriksaan pada diri penumpang. Semua kad pengenalan bas dirampas dan dikumpulkan di tanah lapang untuk dibakar.

Dua orang pemuda Melayu dihentak oleh anggota komunis dengan buntut senapang. Sebabnya, kedua pemuda Melayu itu tidak mahu menyerahkan rantai leher yang dipakai. Saya lihat pemuda Melayu itu jatuh terlentang dan mulut mereka berlumuran darah.

Datuk hanya melihat peristiwa itu dengan tenang. Dahinya nampak berpeluh dipanah sinar matahari yang garang. Saya kira ketika itu, lebih kurang pukul sebelas pagi.

“Ingat siapa tak mahu dengar cakap kami inilah padahnya,” kata anggota komunis berbangsa Melayu. Anggota komunis bangsa India dan Cina menegakkan ibu jarinya memuji tindakan anggota komunis bangsa Melayu itu.

“Ini hari gua kasi power sama lu, lu boleh bikin apa saja,” kata anggota komunis Cina (ketua) pada anggota komunis bangsa Melayu. Sedangkan anggota komunis bangsa India ketawa. Matanya merenung tajam pada gadis India berkulit cerah. Berusia sekitar 18 tahun.

Gadis India yang memakai sari itu nampak gelisah. Berkali-kali ia merenung wajah ibunya. Tetapi, anggota komunis bangsa India itu terus melihatnya terutama di bahagian perut gadis India yang dibalut oleh kain sari.

“Lu suka sama dia, kalau suka ambil bawa masuk hutan,” ujar ketuanya.

“Nanti dulu,” jawab anggota komunis bangsa India. Keadaan ketika itu memang mencemaskan. Pemandu kenderaan yang lalu-lalang di situ, buat tidak kisah dengan apa yang terjadi. Mungkin mereka menyangka bas yang berhenti itu rosak.

“Eh budak, kenapa kamu tak serahkan cincin yang kamu pakai,” anggota komunis menghampiri saya.

“Ini bukan emas, ini suasa, orang lelaki haram pakai emas,” kata saya.

“Sekarang kasi sama kami.”

“Tak boleh,” saya berkeras.

“Kuranggg ajjjjar punya budak.”

Muka saya ditampar dan perut saya ditendang. Saya berguling-guling di bumi menahan kesakitan. Saya melolong minta tolong pada Datuk. Saya lihat Datuk tidak juga bertindak. Dan anggota komunis Melayu itu mengangkat buntut senapangnya untuk menghentak kepala saya.

Belum pun sempat buntut senapang itu hinggap di kepala saya. Datuk menerpa ke arah anggota komunis tersebut. Ia menendang senapang di tangan anggota komunis tersebut. Senapang itu terpelanting dan terus meletup. Salah seorang anggota komunis yang berdiri tidak jauh dari situ menjerit dan terus rebah.

Perutnya yang ditembusi peluru mengeluarkan darah yang banyak. Tendangan Datuk itu disusuli dengan penumbuk. Anggota komunis itu tersandar di pangkal getah. Bila ia cuba bangun, Datuk bagaikan terbang menerkam ke arahnya. Satu tendangan hinggap di bahagian kiri perutnya. Anggota komunis itu terus lembik di situ.

Suasana menjadi tegang. Dalam beberapa saat sahaja anggota komunis terus mengerumuni Datuk. Mereka menghalakan muncung senapang ke arah Datuk. Saya menjadi cemas dan Datuk menjadi kaku. Tetapi, ekor matanya terus mengawasi anggota komunis di sekelilingnya.

Anggota komunis berbangsa India menghampiri Datuk. Tanpa berkata apa-apa, ia melepaskan penumbuk ke arah Datuk. Cepat-cepat Datuk mengelak dan terus menyambar pergelangan tangannya.

Dengan sekuat hati, Datuk menolaknya ke kanan, Ia terperosok dalam perdu nanas. Pistol yang terselit di pinggangnya terpelanting lalu jatuh di depan Datuk. Tanpa membuang masa Datuk terus memijak pistol itu hingga terbenam dalam tanah.

“Tangkap dia dan tembak,” ketua komunis yang berbangsa Cina mengeluarkan perintah. Belum pun sempat Datuk menoleh ke kanan, tiga orang anggota komunis memeluk tubuhnya dengan kejap. Anggota komunis bangsa India yang terperosok dalam perdu nanas segera bangun. Wajahnya nampak bercalar.

“Ikat dan tembak dia,” katanya marah sambil melempar tali sabut pada kawannya. Datuk kelihatan tenang. Ia membiarkan anggota-anggota komunis itu membelitkan tali sabut ke tubuhnya. Datuk ditarik macam lembu menuju ke pangkal pokok Petai. Datuk terus diikat di situ.

“Sekarang suruh orang-orang yang turun dari bas naik ke bas semula, suruh dia orang tengok kita tembak orang tua yang nak mampus ni,” ketua komunis bangsa Cina mengeluarkan arahan pada anggota komunis bangsa Melayu.

Arahan itu segera dipatuhi. Penumpang bas kembali ke tempat duduk masing-masing. Tetapi, pemandu bas dan penjual tiket tidak dibenarkan naik bas. Mereka disuruh berdiri tidak jauh dari pintu bas.

“Eh kamu budak, mari sini, kamu duduk sini, kamu tengok macam mana orang tua ni mampus,” anggota komunis bangsa India bersuara lalu menarik tengkuk baju saya.

Saya disuruh duduk bertinggung menghadap ke arah Datuk. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa cemas dan takutnya saya ketika itu.

BAKAR

Di tengah suasana tengah hari yang terik dan perit itu, saya rasa kulit muka saya bagaikan mahu terbakar. Baju saya basah diresapi peluh. Saya menangis tersedu di depan Datuk.

“Tamar, jangan menangis, tidak ada manusia yang boleh memisahkan roh dari jasad seseorang, jika tidak diizinkan oleh Allah, janganlah kamu takut pada mereka,” kata Datuk berpandangan sama sendiri.

Dua tiga orang daripada mereka menjuihkan bibir dan sebahagian yang lain senyum dan ketawa kecil.

“Sekejap lagi kamu tahu, siapa besar, Allah kamu atau peluru senapang, masa itu kamu boleh minta tolong dengan Allah,” sindir anggota komunis bangsa Melayu. Datuk hanya diam sahaja. Wajahnya kelihatan aman tenang sekali.

Saya terus mengesat air mata, ketika itu juga saya terdengar suara jeritan burung helang, panjang dan amat nyaring sekali. Saya lihat ke langit, saya lihat burung helang itu terbang berlegar-legar di atas kepala kami.

Menurut petua orang tua-tua, bila burung helang berbunyi di atas kepala dan berpusing-pusing waktu tengah hari, itu tandanya orang yang berada di bawahnya akan menemui kesusahan, bagi mengelakkan perkara itu terjadi, orang yang mendengarnya harus memukul pangkal pokok besar sekuat hati, dengan harapan dapat didengar oleh burung helang, dengan itu burung helang tersebut akan terbang ke tempat lain.

Tamat siri 77/284

BACA: SBDJ Siri 76: Uji Ilmu Pada Isteri Orang
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Maksud B40, M40 Dan T20 Berdasarkan Jumlah Pendapatan Isi Rumah Di Malaysia

Maksud B40, M40 Dan T20 Berdasarkan Jumlah Pendapatan Isi Rumah Di Malaysia

Golongan B40 adalah golongan sasaran yang wajib dibantu dalam sesebuah negara, manakala dianggarkan terdapat lebih lapan (8) juta isi rumah di bawah kategori B40 dan M40, dengan 2.7 juta daripadanya adalah golongan B40 manakala selebihnya adalah M40.

Maksud B40, M40 Dan T20

Pada pembentangan Bajet 2019 yang lepas, golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) merupakan antara penerima manfaat paling besar belanjawan negara kali ini berbanding golongan pendapatan pertengahan dan tinggi.

Apa Itu B40, M40 Dan T20?

Takrif isi rumah mengikut kumpulan pendapatan yang diguna pakai di Malaysia adalah terbahagi kepada tiga iaitu kumpulan isi rumah berpendapatan 20% tertinggi (T2), pertengahan 40% (M40) dan pendapatan terendah 40% (B40).

Berikut adalah maklumat berkaitan maksud B40, M40 dan T20 meliputi jumlah pendapatan dan kepentingan mereka.

JUMLAH PENDAPATAN B40, M40 & T20

Berdasarkan kepada Penyiasatan Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2014, kumpulan golongan kumpulan pendapatan di Malaysia ditakrifkan seperti berikut:-

GOLONGAN B40

Kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40 atau Bottom 40) merujuk kepada isi rumah yang berpendapatan purata bulanan di bawah RM3,860.00.

Kumpulan isi rumah B40 juga merangkumi isi rumah miskin yang berpendapatan bulanan kurang daripada pendapatan garis kemiskinan (PGK). Nilai PGK nasional adalah RM950.00 sebulan.

Kerajaan telah mengambil langkah untuk menangani kemiskinan dan ketidak seimbangan sosioekonomi.

Pelbagai program dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan B40 tanpa mengira jantina, kumpulan etnik, status sosioekonomi dan kedudukan geografi B40.

B40 telah menerima banyak manfaat pada Bajet 2019 dalam usaha mengurangkan kos sara hidup yang amat tinggi di Malaysia terutamanya di bandar.

Beberapa inisiatif yang diperkenalkan adalah seperti berikut:-
  • Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk 3 kategori penerima berpendapatan sehingga RM4,000.
  • Peningkatan subsidi elektrik isi rumah untuk penggunaan RM20 ke bawah kepada RM40.
  • Pengenalan subsidi minyak secara bersasar kepada pemilik kereta dengan kapasiti 1,500cc dan ke bawah dan pemilik motosikal 125cc dan ke bawah juga sangat diperlukan kerana kebanyakan pemilik kenderaan sebegini adalah daripada golongan B40.
  • Pemansuhan tol motosikal di tiga laluan iaitu di Jambatan Pertama dan Kedua di Pulau Pinang serta Lebuhraya Laluan Kedua, Johor, mulai 1 Jan 2019 bakal memberi penjimatan kos perbelanjaan harian golongan B40.
  • Lain-lain – Pendidikan dan kesihatan serta Bantuan Skim Peduli Kesihatan dan MySalam.

GOLONGAN M40

Kumpulan isi rumah berpendapatan 40% pertengahan (M40) merujuk kepada isi rumah yang berpendapatan purata bulanan di antara RM3,860.00 hingga RM8,319.00.

Golongan kelas pertengahan adalah pemacu kepada ekonomi atau M40, adalah sangat penting kepada kesejahteraan negara.

M40 adalah tunjang kepada perbelanjaan penggunaan dan pelaburan swasta di Malaysia.

M40 juga merupakan satu kumpulan yang kritikal untuk sumber manusia, pelaburan dan keusahawanan.

GOLONGAN T20

Kumpulan isi rumah berpendapatan 20% tertinggi (T20) merujuk kepada isi rumah yang berpendapatan purata bulanan RM8,319.00 dan ke atas mereka adalah penggerak ekonomi dan majikan kepada M40 dan B40.

Kesimpulan

Bagi mencapai status Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi, langkah untuk memfokuskan kepada golongan yang berpendapatan rendah atau B40 adalah penting.

Ini kerana bagi negara yang berstatus berpendapatan tinggi, masyarakatnya perlulah berada dalam kalangan mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah tinggi dan bukan dalam kalangan B40.

Namun, kerajaan perlu juga membantu golongan M40 dan T20 untuk kesejahteraan rakyat, bagi membantu meningkatkan keadaan eknomi Malaysia pada masa kini dan hadapan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: permohonan

Misteri Unggun Asap di Pulau Tok Kunyit

Misteri Unggun Asap di Pulau Tok Kunyit

Kalau memancing di Pulau Tiga mesti berhati-hati. Jangan pula pulang nanti bawa musibah. Sudah ramai orang terkena, demikian pesanan Wak Man Jono ketika Pak Leh bersama dua rakannya meninggalkan rumah petang itu tiba-tiba menerjah otak Pak Leh yang sibuk mendirikan khemah.

Misteri Unggun Asap
Gambar hiasan.

“Kalau terkena tempias sikit-sikit aku boleh tolong ikhtiarkan tapi kalau teruk, aku minta maaf. Jangan cari fasal dengan tempat itu,” lagi ungkapan orang tua berasal dari Jawa itu mengganggu tumpuan Pak Leh yang menyiapkan tempat tidur.

Pak Leh dan dua rakannya, Omar Lentuk dan Dollah Botak bukan tidak tahu ‘kerenah’ kawasan pulau terbabit.

Namun, tiga sekawan yang memang hantu pancing itu sanggup berdepan risiko asalkan udang galah dikatakan sebesar ibu jari kaki dan ketam nipah memenuhi sampan untuk dibawa pulang.

Selepas selesai mengerjakan solat Maghrib, kira-kira jam 8.30 malam mereka bersedia untuk menikmati makan malam.

Nasi dan lauk ikan sardin dimasak berkuah agak pedas serta sayur sawi digoreng berkicap licin dimakan tiga rakan karib itu.

Tiada aktiviti pada malam itu. Mereka yang mendirikan khemah dalam jarak kira-kira 2 meter antara satu sama lain hanya berbual kosong sementara menunggu mata mengantuk.

“Hang gemar apa Pak Leh? Aku kalau dengan ketam nipah apatah lagi jika dimasak kukus, tujuh lapan ekor habis diratah begitu saja,” kata Omar Lentuk seakan-akan bangga dengan tabiat pemakanan buruknya itu.

“Aku pulak udang galah paling aku minat. Sebab itu aku datang ke sini, yang lain tak dapat pun tak apa,” jawab Pak Leh.

“Oh macam tu. Tapi bukan senang nak dapatkannya. Cuma satu cara, hang selam lubuk buaya baru boleh kenduri sakan meratah udang," balas Omar Lentuk macam memperli.

“His! Hang ni cakap ikut sedap mulut saja. Buat macam aku ni, dapat pun tak apa, tak dapat pun tak apa,” celah Dollah Botak sebelum sempat Pak Leh menjawab.

Dalam pada rancak bersembang, mata Pak Leh melilau memantau persekitaran. Cerita orang yang mengatakan tempat mereka dijadikan lokasi bermalam itu laluan ular tedung selar menggugat keberaniannya sebagai seorang bekas tentera yang pernah meredah hutan memburu komunis.

Namun, cuaca cerah disinari sinaran bulan purnama membantu menstabilkan perasaannya.

“Pak Leh, awatnya aku tak mengantuk ni? Jam dah hampir 1 pagi ni,” kata Omer Lentuk.

“Tak boleh tidur? Bacalah apa-apa surah yang hang tahu,” balas Pak Leh apabila Omar Lentuk menghampiri khemahnya.

Pak Leh tidak mempedulikan rakannya itu. Dia bukan budak-budak lagi hendak didodoi baru boleh lena. Nun di sudut sebelah kirinya, Dollah Botak sudah berdengkur!

Selepas bersarapan pagi keesokan hari, Pak Leh ternampak kepulan asap kira-kira 100 meter dari tempat mereka bermalam. Didesak perasaan ingin tahu, mereka segera bergegas ke situ.

Sebaik sampai, mereka berpandangan sesama sendiri. Terdapat kesan seperti orang memasak dengan kayu api masih berbara tetapi tidak kelihatan sisa makanan atau kesan orang berkhemah.

Jadual memancing yang sepatutnya bermula jam 9 pagi tertangguh lantaran tiga serangkai itu membuat tinjauan di tempat terbabit.

Setelah berpuas hati tiada sebarang tanda tempat itu dikunjungi orang, mereka pun beredar untuk memancing.

Ketika matahari tegak di atas kepala, Pak Leh dan Omar Lentuk memperoleh tangkapan agak lumayan.

Pulau Tok Kunyit atau dikenali juga Pulau Tok Keramat menjadi pilihan bagi menjejak habuan.

Pak Leh memperoleh kira-kira 4 kilogram udang galah manakala Omar Lentuk asyik memburu ketam nipah di celah hutan pokok bakau sekitar pulau itu.

Kira-kira 30 meter di sebelah kanan Omar Lentuk kelihatan Dollah Botak tetap setia menunggu joran meskipun sejak tadi belum disentuh sebarang ikan.

Sesekali terdengar bunyi libasan tangan menghalau agas yang cuba singgah di badannya.

Tepat jam 12.30 tengah hari, Pak Leh mengarahkan yang lain balik ke kawasan perkhemahan untuk makan tengah hari.

Ketika mendapatkan kayu api di kawasan berasap itu, Pak Leh amat terkejut kerana tempat itu cuma dipenuhi pokok senduduk berbunga putih.

Kesan orang memasak yang mereka jumpa sebelum memancing tadi tidak kelihatan.

Terangsang usikan hati, Pak Leh berpatah balik ke kawasan perkhemahan. Hajat tiga sekawan itu untuk makan nasi dimasak menggunakan kayu api tidak kesampaian.

Nasib baik dapur memasak menggunakan tabung gas mini dibawa. Kalau tidak nasi mentahlah menjadi hidangan mereka tengah hari itu.

“Menyedari situasi di situ ada unsur pelik, kami mengambil keputusan pulang selepas menikmati makan tengah hari,” cerita Pak Leh kepada penulis yang kini menetap di Kampung Teluk Bayu, Sungai Petani, Kedah.

Menceritakan pengalamannya sekitar awal 70-an itu, Pak Leh yang kini berusia 63 tahun berkata, kasihan melihat Dollah Botak kerana pulang dengan tangan kosong.

Bagaimanapun, atas prinsip persahabatan, beliau dan Omar Lentuk memberikan sebahagian tangkapan masing-masing supaya Dollah Botak tidak kehampaan.

“Kata-kata Dollah Botak dapat ikan pun tak apa, tak dapat pun tak apa teruji apabila hingga ke saat akhir memancing, sebarang ikan pun tak menyinggah jorannya.

“Apabila peristiwa terbabit diceritakan kepada Wak Man Jono, orang tua itu yakin apa yang kami alami itu sebahagian ‘gurauan’ penghuni Pulau Tok Kunyit.

Wak Man beritahu pernah berlaku beberapa kaki pancing dihalang lembaga seakan-akan buaya yang saiznya lebih kurang Bujang Senang berwarna keemasan apabila mereka berperangai kurang sopan di situ, katanya.

Mengenai asap berkepul itu, kata Pak Leh mungkin ada ‘orang’ dihantar untuk menjaga mereka bermalam pada malam itu kerana kawasan terbabit memang menjadi laluan ular tedung selar memburu biawak air.

“Wak Man Jono amat marahkan saya kerana tidak membawa pulang pokok senduduk berbunga putih kerana itu petanda penghuni di situ mahu memberikan tumbuhan berubat itu kepada kami," katanya mengakhiri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

7 Filem Hebat Terbaharu Marvel Selepas Avengers:Endgame

7 Filem Hebat Terbaharu Marvel Selepas Avengers:Endgame

Filem terakhir bagi Fasa 3 Marvel Cinematic Universe (MCU), Avengers: Endgame atau juga dikenali sebagai Infinity Saga, telah ditayangkan dan kebanyakan pertanyaan peminat telah pun terjawab namun, satu persoalan masih kekal, apa pula selepas ini?

Lebih khusus lagi, apakah filem-filem yang bakal dikeluarkan MCU bagi Fasa 4 selepas Infinity Saga dan Thanos?

Berikut adalah senarai filem-filem hebat terbaharu Marvel yang bakal menyusul selepas Avengers: Endgame.

1. Spider-Man: Far From Home (2019)

Spider-Man Far From Home

Filem solo kedua Spider-Man (Peter Parker) ini bakal ditayangkan di pawagam dua bulan selepas Avengers: Endgame.

Memang sudah dijangkakan Peter akan kembali dan berdasarkan treler, filem solo ini dijangka akan memberi sedikit humor yang diperlukan selepas ketegangan yang berlaku dalam Infinity War dan Endgame.

Seperti dalam tajuk, perjalanan Peter kali ini akan membawanya jauh dari tempat tinggalnya, New York City, melintasi Atlantik ke Eropah.

'Spider-Man: Far From Home' dijadual muncul di pawagam pada 2 Julai, 2019.

2. Black Widow

Filem Marvel Selepas Avengers:Endgame

Sudah bertahun-tahun Marvel berbisik tentang filem solo Black Widow yang dibintangi Scarlett Johansson, mengisahkan tentang perisik, Natasha Romanoff, yang akan diarahkan oleh Cate Shortland.

Pelakon-pelakon lain yang telah disahkan turut serta dalam filem tersebut adalah Florence Pughda dan O. T. Fagbenle manakala Rachel Weisz dan David Harvey.

Filem ini dikatakan sebuah filem prequel, yang bermaksud filem ini mungkin akan fokus kepada kehidupan Romanoff sebelum dia menyertai SHIELD.

Tarikh pengeluaran filem ini masih belum ditetapkan, namun dengan penggambaran yang dijadualkan bermula pada Jun 2019, peminat boleh menjangka filem ini ditayangkan seawal-awalnya tahun 2020.

3. The Eternals

Filem Marvel Selepas Avengers:Endgame

Perbincangan mengenai filem The Eternals bermula pada 2018 dan pada bulan September, Chloe Zhao disahkan sebagai pengarah filem tersebut.

Angelina Jolie dilaporkan akan memainkan peranan utama sebagai Sersi, selain turut dibintangi Kumail Nanjiani.

Filem itu dikatakan akan fokus kepada kisah cinta antara Sersi dan Eternal yang lain bernama Ikaris.

Penggambarannya akan bermula pada Ogos 2019 dan ia dijangka akan ditayangkan seawal-awalnya pada tahun 2020.

4. Doctor Strange (Mei 2021)

Filem Marvel Selepas Avengers:Endgame

Dr Strange kembali beraksi selepas beberapa detik mencemaskan dalam Infinity War dan Endgame, dengan Rachel McAdams, Benedict Wong dan Chiwetel Ejiofor akan turut kembali melakonkan watak mereka dalam filem MCU itu.

Selain itu, Scott Derrickson, yang mengarahkan filem Doctor Strange pertama, juga akan kembali.

Kali ini, penguasa jahat Dream Dimension, Nightmare dikhabarkan akan menjadi antagonis utama.

Penggambaran dirancang untuk bermula pada awal tahun 2020, dengan tarikh 'release' pada Mei 2021.

5. Black Panther 2 (2021)

Filem Marvel Selepas Avengers:Endgame

Rancangan untuk filem sekuel Black Panther diumumkan sebulan selepas pengeluaran filem Black Panther pertama.

Ryan Coogler kembali sebagai pengarah dan Chadwick Boseman serta Letitia Wright disahkan akan kembali dengan watak masing-masing sebagai T'Challa dan Shuri.

Butiran plot tidak diketahui, namun terdapat khabar angin bahawa Killmonger akan kembali.

Penggambaran akan bermula pada akhir 2019 hingga awal 2020, bermaksud Black Panther 2 tidak akan muncul di pawagam sehingga 2021.

Chadwick Boseman dan Letitia Wright disahkan akan kembali dengan watak masing-masing sebagai T'Challa dan Shuri.

6. Shang-Chi

Filem Marvel Selepas Avengers:Endgame

Shang-Chi akan menjadi filem adiwira yang diterajui watak orang Asia pertama, sama seperti Iron Fist, watak Shang-Chi dicipta ketika zaman kegilaan kung fu pada tahun 1970-an.

Masih tiada maklumat muktamad atau plot mengenai Shang-Chi atau sebarang jadual produksi, tetapi ada khabar angin mengatakan penggambaran filem ini akan dilakukan di Sydney.

7. Guardians Of The Galaxy Vol. 3 (2021)

Filem Marvel Selepas Avengers:Endgame

Kemungkinan filem ini akan fokus kepada pencarian Gamora, berdasarkan adegan akhir filem Avengers: Endgame Peter Quill memandang ke arah hologram wanita itu.

Thor juga diliihat menyertai kumpulan Guardians, jadi adakah ada kemungkinan dia akan muncul dalam filem tersebut meskipun kontraknya dengan Marvel Studios sudah pun berakhir selepas Endgame? Kita tunggu dan lihat sahaja nanti.

Bagaimanapun, penggambaran untuk Guardians of the Galaxy Vol. 3 tidak akan bermula sehinggalah pengarah filem itu, James Gunn selesai dengan penggambaran The Suicide Squad yang kini dijadualkan untuk bermula pada 2019 dan ditayangkan pada 6 Ogos 2021.

Sama-sama kita nantikan.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Friday, June 21, 2019

Kisah Rafael Caro Quintero, Raja Dadah Paling Berkuasa Kartel Guadalajara

Kisah Rafael Caro Quintero, Raja Dadah Paling Berkuasa Kartel Guadalajara

Rafael Caro Quintero adalah salah seorang ketua kartel dadah Mexico pertama yang paling berkuasa dan dianggap sebagai Raja Dadah, "Narco of Narcos", sentiasa dahagakan darah kerana berasakan bahawa dia tidak dapat disentuh.

Raja Dadah Kartel
Rafael Caro Quintero.

Namun, Rafael akhirnya telah melampaui batas apabila membunuh seorang agen Amerika Syarikat dengan begitu kejam.

Berjaya keluar daripada penjara atas alasan teknikal, Rafael sehingga kini masih bebas dan dikehendaki oleh FBI.

Ini adalah kisah sebenar Rafael Caro Quintero

Rafael Caro Quintero dilahirkan pada Oktober 1952 di Sinaloa, Mexico. Tarikh lahirnya yang sebenar tidak diketahui, dikatakan pada bulan Oktober, November atau Mac 1952.

Rafael memiliki 12 orang adik beradik dan bapanya meninggal dunia ketika dia berusia 14 tahun dan sebagai anak sulung, tanggungjawab untuk membantu ibunya dan 11 saudara kandung berada di atas bahunya.

Selepas bekerja sebagai penternak lembu dan bekerja di ladang jagung serta kacang tanah, Rafael menyedari bahawa terdapat cara mudah untuk mendapatkan lebih banyak wang melalui tanaman yang kurang tradisional.

Dia mula melibatkan diri dengan ganja yang berkembang di bawah bimbingan seorang raja dadah Mexico yang sangat sukar diberkas, Pedro Avilés Pérez.

Rafael dengan begitu pantas mengumpulkan wang yang cukup untuk membeli ladangnya sendiri, didedikasikan sepenuhnya untuk menghasilkan dadah, dan tidak lama kemudian, seluruh ahli keluarganya terlibat dalam perniagaan haram ini.

Bapa saudara, adik-adik lelakinya dan keluarga isteri Rafael terlibat dalam perdagangan dadah.

Digambarkan oleh ejen DEA, James Kuykendall sebagai "produk sebenar penyeludupan dadah Sinaloa dan keperibadian pengedar dadah Sinaloa", ketika Rafael berusia 29 tahun, dia adalah bintang yang semakin meningkat naik dalam dunia jenayah Mexico.

Pada tahun 1970-an, Rafael Caro Quintero bersama dengan pengedar dadah Mexico, Felix Galardo dan raja dadah Ecuador, Ernesto Fonseca Carillo terlibat dalam kerjasama tiga penjuru yang sangat dahagakan darah.

Mereka mengasaskan Kartel Guadalajara, yang akan menjadi prototaip bagi organisasi dadah yang masih melanda Mexico sehingga ke hari ini.

Bersama-sama, mereka dikenali sebagai "Grandfather of Mexican Drug Trafficking", "El Padrino" atau "The Godfather" dan Don Neto.

Rafael Caro Quintero sendiri digambarkan oleh pegawai FBI sebagai salah seorang pembekal utama heroin, kokain dan ganja ke Amerika Syarikat pada tahun 1970an dan 1980-an.

Kejatuhan Rafael Caro Quintero

Dalam siri Narcos, kejatuhan Rafael Caro Quintero bermula apabila dia sendiri mula mengambil kokain dan menjadi semakin paranoid serta tidak dapat diramal.

Pada hakikatnya, sarang dadah Rafael mula terbongkar pada November 1984, ketika pihak berkuasa Mexico menyerang ladang ganja "Buffalo Ranch" di Chihuahua yang menyebabkan kerugian kepadanya antara RM10.3 bilion dan RM20.6 bilion.

Pihak berkuasa menerima maklumat mengenai ladang tersebut melalui seorang ejen DEA yang menyamar.

Rafael yang sangat berang dengan kerugian itu dengan segera mula merancang untuk membalas dendam.

Pertama, pada tahun 1985, Rafael dengan sekutunya didakwa membunuh dua warga Amerika, John Clay Walker dan Alberto Radelat.

Kesilapan membunuh 2 nyawa ini disebabkan oleh Rafael yang semakin paranoid dan tersalah anggap bahawa mereka adalah ejen DEA.

Sementara itu, dipercayai bahawa Enrique "Kiki" Camarena Salazar, seorang ejen kelahiran Mexico yang menyamar untuk DEA, adalah individu yang menyalurkan maklumat tentang ladang Buffalo Ranch tersebut.

Akibatnya, pada 7 Februari 1985, Enrique diculik dari jalanan di Guadalajara pada waktu siang.

Tubuh badan Enrique dan juga juruterbangnya, Kapten Alfredo Zavala Avelar, ditemui terbungkus di dalam plastik hampir sebulan kemudian pada 5 Mac dan Rafael Caro Quintero serta krunya adalah suspek utama.

Enrique dan Alfredo dikatakan tidak mati dengan cara yang mudah dan cepat kerana sepanjang 30 jam, tulang wajah dan trakea Enrique didapati hancur, tulang rusuknya patah dan kepalanya digerudi.

Paru-paru ejen DEA itu didapati mengandungi kesan ubat-ubatan yang diberikan oleh penculiknya untuk memaksa Enrique berada dalam keadaan sedar ketika ditangkap oleh penculik untuk memaksanya terus terjaga ketika diseksa.

Kematian Enrique Camarena menimbulkan kemarahan yang dahsyat di Amerika Syarikat dengan orang ramai terkejut dengan penyeksaannya dan pihak berkuasa berang betapa mudahnya ejen mereka diculik.

Beberapa pegawai penguatkuasa undang-undang Mexico kemudiannya didakwa atas bantuan kepada kartel dalam pembunuhan itu.

Amerika Syarikat kemudiannya mula mempertimbangkan dengan serius untuk menutup sempadan kedua-dua negara ini dan Presiden Ronald Reagan meletakkan tekanan besar terhadap presiden Mexico, Miguel de la Madrid, untuk membawa pembunuh Enrique Camarena ke muka pengadilan.

Walaupun Rafael Caro Quintero memiliki kuasa dan pengaruh yang besar dalam kerajaan Mexico yang dipenuhi rasuah, dia tidak mampu menandingi kemarahan Amerika Syarikat.

Pada April 1985, 2 bulan selepas pembunuhan Enrique Camarena, pemerintahan bebas dan berdarah Rafael Caro Quintero selama hampir dua dekad di Mexico, berakhir.

Dia ditangkap di sebuah mahligai di Costa Rica di mana dia menyembunyikan diri dan diekstradisi ke Mexico lalu dijatuhkan hukuman 40 tahun kerana disyaki sebagai perancang pembunuhan Enrique Camarena.

Penangkapan Rafael Caro Quintero menyebabkan Kartel Guadalajara runtuh dari dalam.

Kisah Rafael Caro Quintero pada mulanya kelihatan seolah-olah satu contoh keadilan yang jarang berlaku terhadap salah satu pemimpin kartel Mexico paling berkuasa, yang kebanyakannya, seperti El Chapo, berjaya melarikan diri sekalipun dipenjarakan.

Walau bagaimanapun, pada tahun 2013, Rafael tiba-tiba dibebaskan dari penjara selepas 28 tahun menjalani hukuman.

Mahkamah persekutuan Mexico telah mengarahkannya untuk dibebaskan selepas membatalkan sabitannya atas sebab teknikal iaitu dia telah diadili di mahkamah persekutuan untuk jenayah negara.

Pada usia 53 tahun, "Narco of Narcos" dibebaskan daripada penjara yang mencetuskan kemarahan di kalangan pegawai Amerika Syarikat.

White House mengeluarkan kenyataan yang menyatakan bahawa, "kami tetap komited pada hari ini apabila melihat Quintero dan orang lain yang terlibat dalam jenayah ini menghadapi keadilan di Amerika Syarikat sama seperti ketika berlakunya pembunuhan Enrique Kiki Camarena."

Bagi Rafael pula, dia mendakwa bahawa telah bersara secara rasmi daripada perniagaan dadah.

Rafael Caro Quintero wawancara
Rafael Caro Quintero ketika wawancara.

Dalam wawancara pada tahun 2016 dengan wartawan Mexico, dia bersumpah dengan mengatakan, "Saya adalah pengedar dadah 31 tahun yang lalu dan dari saat itu saya memberitahu anda bahawa apabila saya kehilangan hasil tanaman saya (Buffalo Ranch), saya tidak lagi melakukan aktiviti itu."

Amerika Syarikat bagaimanapun agak berwaspada tentang hakikat Rafael yang mahu meneruskan hidupnya dengan tenang dan aman.

Pada tahun 2017, DEA mengenal pasti Rafael Caro Quintero sebagai salah seorang pemimpin kartel Sinaloa yang bertanggungjawab menyeludup beratus-ratus tan syabu, ganja dan kokain ke Amerika Syarikat.

Pada April 2018, FBI menambah nama “Grandfather of Drug Trafficking” berusia 58 tahun itu ke dalam senarai "10 Individu Paling Dikehendaki", menawarkan ganjaran RM84 juta kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat lokasi Rafael, jumlah ganjaran ini adalah antara yang tertinggi dalam sejarah FBI.

Setakat ini, tiada siapa yang tampil ke hadapan untuk menuntut ganjaran itu dan dikatakan bahawa Rafael Caro Quintero hidup bebas di utara Mexico.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

SBDJ Siri 76: Uji Ilmu Pada Isteri Orang

SBDJ Siri 76: Uji Ilmu Pada Isteri Orang

Matahari pagi memancar indah. Sinarnya jatuh pada dedaun dan rumput di halaman. Sekawan itik air berlari di tanah lapang menuju kearah danau nan terbentang membiru. Dan kabus kelihatan kian menipis di puncak bukit.

Toyol jadi-jadian
Saya masih lagi berdiri di muka jendela. Datuk yang sudah selesai mandi embun terus melakukan senaman Harimau Bangun Tidur. Saya terus menggeliat sambil melebarkan kedua belah tangan.

Saya tarik nafas panjang. Angin pagi yang menyentuh kulit tubuh, membuat saya terasa seram dan sejuk.

Datuk terus bersenam. Dari arah dapur saya terdengar batuk Malik Cina. Sesekali terdengar suara isterinya merungut sesuatu. Tidak tahu apa yang dirungutkan, kerana suaranya tidak berapa jelas.

Datuk berhenti melakukan senaman. Ia mengenakan seluar dan baju ke tubuh. Wajahnya nampak kemerah-merahan dan berseri. Seimbas pandang Datuk kelihatan lebih muda dari usianya. Dengan tenang Datuk turun ke tanah. Datuk berdiri sejenak di kaki tangga.

Macam ada sesuatu yang ganjil saya rasakan pagi itu. Selalunya, Datuk mengajak saya turun atau memberitahu sesuatu yang akan dilakukannya. Tetapi, kenapa perkara seperti itu tidak Datuk lakukan pagi ini? Timbul pertanyaan dalam hati saya.

Datuk bergerak meninggalkan kaki tangga. Ia menuju ke tengah halaman dan berdiri di situ sebentar. Kemudian Datuk membongkokkan badannya lalu mencabut beberapa rumpun rumput hijau. Rumpun rumput itu Datuk ramas dan Datuk kenakan dengan air embun yang berada di dedaun mempelam dan bunga di sisinya.

Semua gerak-geri Datuk saya perhatikan dengan penuh teliti. Datuk memasukkan rumpun rumput itu ke dalam sakunya. Ia terus juga mundar-mandir mengelilingi halaman rumah. Sampai di sudut kanan halaman, Datuk berdiri di situ merenung ke arah matahari jatuh.

Perlahan-lahan Datuk angkat kaki kanannya separas pusat. Badannya dipusingkan lebih dari sepuluh kaki. Saya kagum, kerana Datuk mengimbangi badannya dengan sebelah kaki. Saya kira, apa yang Datuk lakukan itu satu senaman untuk menegangkan kulit tubuh.

Senaman seperti itu, amat jarang sekali dilakukan oleh Datuk. Dalam sebulan, ia cuma melakukan dua atau tiga kali sahaja di tempat yang berlainan. Kadang-kadang apa yang Datuk lakukan, memang melucukan dan boleh jadi bahan ketawa atau dianggap sebagai kerja orang yang tidak siuman. Terutama pada orang yang tidak mengenali diri Datuk.

Saya membiarkan wajah disentuh oleh sinar matahari yang ramah. Dalam saat-saat demikian, saya semacam terlibat satu lintasan bayangan di halaman. Bentuknya kurang jelas dan sukar untuk digambarkan. Saya jadi tidak tentu arah. Macam-macam perasaan timbul dalam hati. Tiba-tiba lintasan bayangan itu muncul kembali.

Badan saya mula berpeluh dalam hembusan angin pagi yang nyaman. Secara tidak sengaja saya mendongak ke langit. Saya menggigit ibu jari dan terus tersenyum. Saya sudah dapat mengesan dari mana lintasan bayangan itu muncul.

“Ya, dari pelepah kelapa dara yang ditiup angin.”

Bisik batin saya. Sepasang mata saya tertumpu ke pelepah kelapa yang bergoyang. Sinaran matahari yang mula keras tertumpu ke arah pelepah tersebut dan membentuk berbayang yang panjang di bumi.

Bila angin bertiup agak kencang pelepah kelapa itu tu bergerak dengan cepat, lantas membentuk lintasan berbayang yang panjang di bumi (untuk beberapa saat). Ternyata saya sudah ditipu oleh perasaan saya sendiri. Perlahan-lahan saya menarik nafas panjang dan senyum pun terukir di bibir. Keraguan dan kebimbangan yang merajai hati, sudah pun berakhir.

“Datuk kamu ke mana Tamar?”

Saya menoleh ke kanan. Malik Cina tersenyum ke arah saya. Ia memakai baju Melayu, berkain pelekat kotak berwarna putih dan hijau serta berjalur merah. Songkok putihnya berserkup kemas di kepala. Rambut di bahagi pelipis kanannya, kelihatan memutih.

“Itu dia”

Jari telunjuk saya menuding ke arah Datuk. Malik Cina tersenyum lalu melambaikan tangan ke arah Datuk. Mereka berbalas senyum.Datuk bergerak menghampiri ke arah anak tangga. Malik Cina menggaru pangkal lehernya dua tiga kali.

“Buat apa di situ?” Tanya Malik Cina, matanya menatap wajah Datuk. Biji mata saya juga tertikam ke muka Datuk yang kelihatan kemerah-merahan. Tanda sihat.

“Bersenam,” suara Datuk lembut.

“Dab tua-tua mahu jaga badan.”

“Bukan jaga badan, jaga kesihatan, tubuh badan perlu dijaga. Bila sihat mudah kita buat amal ibadah dan menolong orang, bukankah, menjaga kesihatan diri disuruh oleh Islam.”

“Saya setuju dengan awak,” Malik Cina menegakkan ibu jari kanannya.

Mereka ketawa serentak. Datuk terus memijak mata tangga. Sampaidi ambang pintu ia berdiri sebentar. Renung kiri, renung kanan. Melangkah kembali menuju ke ruang anjung.

“Macam mana anak kamu Malik?”

“Alhamdulillah, sejak minum air yang awak beri tu, ia terus tidur nyenyak.”

“Aku harap, dia tidak menjerit lagi.”

“Saya juga harap begitu.” Malik Cina membetulkan songkok putihnya. Ia menggaru pipi kanannya dua kali. Malik Cina terus duduk bersila. Datuk juga berbuat demikian.

“Ke mari kamu,” Datuk renung ke arah saya. Tanpa buang masa saya terus duduk di sisinya. Malik Cina dengan tenang membalut rokok daun. Isterinya datang lalu menghidangkan kuih dan satu teko air kopi, berserta beberapa cawan.

“Cuma ini saja yang ada, kuih jemput,” Malik Cina terus menuangkan air kopi ke dalam cawan. Asap nipis berlegar-legar di permukaan cawan. Isteri Malik Cina meninggalkan kami.

“Ini pun sudah cukup baik,” kata Datuk sambil mengenakan telapak tangan kanannya dengan asap nipis yang bermain di permukaan cawan.

Perbuatan itu segera disedari oleh Malik Cina. Air mukanya nampak berubah. Pelik juga, kenapa Datuk melakukan perkara sedemikian? Ah, Datuk memperlihatkan perkara yang ganjil ketika berada di rumah sahabat lamanya. Timbul pertanyaan dalam diri saya.

“Kau terkejut dengan apa yang aku buat ni?” Datuk ajukan pertanyaan pada Malik Cina. Dengan sopan sekali Malik Cina anggukkan kepala sambil meletakkan piring kuih jemput di depan Datuk. Saya menjeling ke arah Datuk.

“Kau tak usah bimbang, apa yang aku buat ni hanyalah petua dan orang tua-tua. Menurut kata mereka, jika nak menguji sesuatu keluarga tu kena sihir, beginilah caranya,” Datuk membuka rahsia.

“Tak kan minuman dan makanan yang dibuat sendiri pun disihir?” Malik Cina ragu-ragu.

“Kau sendiri tahu, kerja syaitan ini, selagi ada udara, selagi ada langit dan bumi serta air semuanya dimanfaatkan untuk menjahanamkan dan membinasakan anak Adam,” terang Datuk. Malik Cina terdiam.

KOPI

Datuk terus menghirup air kopi. Datuk menggerakkan bahu kanannya dua kali sambil mencuit kepala lutut saya dengan ibu jari kelengkengnya.

“Minum, semuanya selamat,” suara Datuk tenang. Tanpa membuang masa saya terus minum kopi dan makan kuih jemput. Terasa cukup enak. Saya tidak pasti berapa banyak kuih jemput sudah masuk ke dalam perut.

Datuk tersenyum melihat kuih jemput yang kian berkurang di piring. Dan Datuk pura-pura batuk. Mengingatkan saya supaya jangan lahap sangat makan. Tetapi, Malik Cina terus juga menyuruh saya makan kuih jemput. Katanya, di dapur masih ada kuih jemput yang panas dan baru.

“Ahhhhhhh.”

Mendadak sahaja Datuk bersuara demikian. Tangkai cawan terpisah dari badan. Piring kuih jemput terus jadi retak seribu. Serentak dengan itu juga terdengar suara jeritan anak Malik Cina. Keras dan nyaring sekali.

Datuk terus bangun. Cawan, teko dan piring di depan terus ditendang. Semuanya hancur berkecai. Saya terkejut, bila melihat anak perempuan Malik Cina berdiri depan kami. Matanya kelihatan merah dan rambutnya menggerbang.

Anak perempuan Malik Cina terus menyambar langsir tingkap. Kain langsir itu dikoyaknya hingga hancur. Ia bersedia untuk mengoyak baju dan kain yang dipakainya. Sebelum perkara itu dilakukan, Malik Cina segera menyerah seberkas akhbar lama padanya.

Akhbar lama itu terus dikoyak. Tidak sampai sepuluh minit, naskhah akhbar lama itu habis dicarik-carik dan bersepah atas lantai. Perlahan-lahan ia membuka sepuluh jarinya dan bersedia untuk mencakar muka Datuk. Sebelum bergerak ke arah Datuk. Ia membuka silat dan menyembah ke arah matahari.

Melihat keadaan yang agak cemas itu, saya terus melompat ke tanah untuk menyelamatkan diri. Saya mula menggigil ketakutan. Sesungguhnya, saya sendiri tidak sedar bagaimana saya boleh terjun dari rumah yang mempunyai tujuh anak tangga. Air kopi yang saya minum tadi terasa mahu keluar menerusi kemaluan saya.

Anehnya, dalam rasa takut itu timbul pula rasa berani dalam diri saya. Rasa ingin mengetahui apa yang terjadi mendorong saya berlindung di balik pohon bunga raya. Saya mengintai keadaan dalam rumah. Semuanya dapat saya lihat dengan jelas.

Malik Cina cuba memeluk tubuh anaknya. Tetapi, ia ditolak hingga terlentang. Isterinya cuba memegang tangan anaknya, ia juga ditendang hingga tersandar ke dinding. Anak Malik Cina terus menjerit, rambutnya yang terurai menutup sebahagian dan wajahnya. Ia melangkah ke arah Datuk.

Datuk masih lagi duduk di tempatnya. Tiba-tiba Datuk menepuk lantai dengan sekuat hati. Anak Malik Cina bagaikan terpaku di lantai. Tidak terdaya melangkah ke mana-mana. Tegak bagaikan patung. Datuk terus bangun melafazkan azan dengan suara yang amat lantang sekali. Seluruh penduduk kampung jadi gempar. Mereka dikejutkan dengan suara azan waktu pagi yang bening.

Selesai Datuk melafazkan azan. Datuk membaca ayat Kursi dengan kuat sekali. Belum pernah Datuk membaca ayat Kursi selantang itu. Bila pembacaan ayat suci itu berakhir, anak perempuan Malik Cina jatuh berdentum di lantai. Terkapar bagaikan mayat.

“Jangan sentuh tubuhnya.”

Suara Datuk meninggi. Isteri Malik Cina tidak jadi menyentuh tubuh anaknya. Dari kerutan wajahnya, ternyata perempuan yang berusia hampir lima puluh tahun itu, kurang senang dengan perintah Datuk.

Perempuan itu terus dipeluk rasa resah dan gelisah. Sesekali, ia meraba kelopak matanya yang terasa berair. Hatinya terasa amat sayu. Ibu mana yang tidak sayangkan anak. Lebih-lebih lagi melihat keadaan anak yang terlantar dengan keadaan pakaian yang tidak senonoh.

“Boleh saya selimutkan tubuhnya dengan kain, saya malu kalau ada orang yang datang dan nampak anak saya dalam keadaan begini,” rayu Malik Cina.

“Jangan, jangan disentuh dan jangan rapat dengannya.”

“Habis, awak mahu seksa anak saya begini,” jerit isteri Malik Cina.

“Kalau awak mahu saya selesaikan semuanya, ikut sahaja cakap saya, kalau awak tak setuju, saya tak marah,” Datuk renung muka Malik Cina.

SEPI

Suasana dalam rumah menyepi. Deru angin yang melanggar dedaun dan reranting jelas kedengaran. Malik Cina dan isterinya saling berpandangan. Datuk terus meraba-raba pangkal telinganya macam ada sesuatu yang didengarnya.

“Kami mahu awak meneruskan hingga berjaya,” Malik Cina membuat keputusan. Isterinya terus membatu. Biji matanya terus menjilat batang tubuh anaknya yang terkapar.

Melihat keadaan dalam rumah sudah tenteram. Saya keluar dari tempat persembunyian. Naik ke rumah dan duduk dekat Datuk.

“Kamu ke mana tadi Tamar?”

“Saya lari, saya takut.”

“Memanglah kamu ni pengecut,” suara Datuk serak. Ia telan air liur. Saya tersengih, tebal rasa kulit muka, bila disoal begitu di depanMalik Cina dan isterinya. Bagi menutup rasa malu itu, saya cuba tersenyum pada Malik Cina. Malangnya senyuman yang saya berikan tidak dibalas.

“Kali ni, kamu jangan lari ke mana-mana walau apa pun yang terjadi kau duduk di situ, hadap semua yang datang,” Datuk mengeluarkan perintah. Wajahnya nampak serius. Sepasang tangannya terus memeluk tubuhnya kejap-kejap. Mata Datuk tertumpu ke arah permukaan tikar mengkuang yang terbentang. Kedua belah pipinya kelihatan kembung dan daun telinganya nampak tegak, macam telinga arnab.

Datuk angkat punggungnya perlahan-lahan. Kedua belah tangannya dibuka. Udara yang ada dalam mulutnya dihembuskan. Kedua belah pipinya yang kembung terus jadi kempis. Datuk meluruskan tubuhnya macam batang kayu.

Saya perhatikan gerak-geri Datuk dengan teliti. Di luar rumah, sinar matahari kian garang. Beberapa orang kampung yang terdengar jeritan anak Malik Cina segera menghampiri rumah. Kerana tidak ada sesiapa pun yang mempelawa mereka, mereka terus berdiri di hujung halaman rumah sambil memanjangkan leher. Mereka ingin mengetahui apa yang terjadi dalam rumah.

Rupanya, kedatangan orang-orang kampung itu, tidak menyenangkan hati Malik Cina. Ia minta kebenaran pada Datuk untuk menutupkan pintu dan tingkap. Permintaannya tidak diperkenankan oleh Datuk.

“Jangan pedulikan mereka, kau pergi carikan mayang pinang dan cendawan batang,” kata Datuk pada Malik Cina.

“Kamu pula carikan aku kain putih dan bunga cengkih,” Datuk renung muka isteri Malik Cina. Tanpa bersuara sepatah apa pun, pasangan suami isteri itu turun dan rumah.

Datuk meraba pangkal telinga kiri dengan tangan kanannya. Ia melangkah dua tapak ke depan. Urat-urat di batang lehernya nampak menonjol. Datuk memusingkan badannya ke kanan dengan kaki kanannya terangkat dan badannya dibengkokkan sedikit. Kedua belah tangannya kelihatan bergerak lembut, macam mengikut irama muzik.

Sekali pandang, gerakan yang Datuk lakukan itu macam orang mahu memulakan Tarian Inang Pulau Kampai. Saya terasa geli hati.

“Kamu tunggu budak perempuan ni,” suara Datuk keras serentak dengan itu ia menghentakkan kakinya ke lantai rumah. Saya terpinga-pinga. Amat berat rasanya untuk memenuhi permintaannya.

Belum pun sempat saya menyampaikan bantahan pada nya. Datuk sudah meninggalkan saya sendirian. Ia melangkah tenang menuju ke halaman rumah dalam sinar matahari yang keras. Bayang tubuh Datuk nampak memanjang di tanah.

Bila Datuk hampir ke hujung halaman tempat orang-orang kampung berdiri, Datuk pusingkan lehernya ke kanan. Tiba-tiba, orang-orang yang berdiri di situ lari lintang-pukang tidak tentu arah, macam terpandangkan sesuatu yang amat menakutkan.

“Datuk.”

Pekik saya sekuat hati. Datuk segera melihat ke arah saya. Ya Allah, wajah Datuk berubah, jadi macam muka harimau yang amat menakutkan. Badan saya menggeletar dan kepala lutut saya terasa amat lemah sekali. Saya berdoa dalam saat-saat demikian, supaya Datuk jangan datang ke rumah.

Doa saya diperkenankan oleh Allah, Datuk tidak memandang ke arah saya. Ia meneruskan perjalanannya dalam panas terik membelah hutan kecil di hujung halaman. Orang-orang yang lari tadi menyampaikan berita pada kawan-kawan tentang keanehan yang terjadi pada Datuk. Seluruh kampung jadi gempar.

Tidak sampai satu jam, cerita manusia berkepala harimau hauskan darah merebak ke seluruh kampung. Halaman rumah dan kaki tangga rumah Malik Cina mula dikerumuni oleh orang-orang kampung, mereka membawa parang, lembing serta senapang kampung berlaras satu. Mereka mahu menangkap manusia berkepala harimau.

“Eh, budak! Mana dia Malik Cina?” Salah seorang dari orang yang berada di kaki tangga mengajukan pertanyaan pada saya.

“Dia keluar cari ubat anaknya,” jawab saya.

“Bininya ke mana?”

“Cari ubat juga.”

“Orang tua yang baru datang tu ke mana perginya?”

“Keluar.”

“Sudah sahlah, rumah ni jadi punca manusia kepala harimau,” suara orang di kaki tangga kian meninggi. Saya jadi tidak tentu arah. Macam-macam yang saya fikirkan. Saya renung anak Malik Cina yang terbujur. Saya renung muka orang-orang kampung di halaman. Semuanya masam, tidak memperlihatkan rasa persahabatan.

Saya yakin, kalau orang-orang naik ke rumah dan menjentik hidung saya. Tentu saya mati kelemasan, jumlah mereka bukan sedikit. Inilah, saat yang paling genting dalam hidup saya. Pada siapa mahu saya sampaikan rasa cemas dan takut ini?

TAKUT

Rasa cemas dan takut yang menguasai diri saya terus berakhir. Malik Cina dan isterinya muncul di depan saya. Mereka masuk ke rumah menerusi pintu dapur. Semua barang-barang yang diingini oleh Datuk mereka adakan. Mereka juga terkejut melihat orang berkumpul di kaki tangga dan di halaman rumah.

“Eh Malik ke mana orang tua itu kamu sembunyikan, dia bawa bencana,” tanya seorang penduduk pada Malik Cina.

“Aku tak sembunyikan dia, masa aku keluar rumah tadi, dia ada di sini?” tingkah Malik Cina.

“Kau tahu tak apa yang sudah terjadi?”

“Aku tak tahu.”

“Kami mahu tangkap dia, kalau dibiarkan seluruh kampung jadi huru-hara, dia tu bukan manusia, aku tengok badannya sahaja serupa kita tetapi, kepalanya tak serupa kita, dia berkepalakan harimau,” sambung orang itu bersungguh-sungguh. Air liurnya bersemburan.

Malik Cina dan isterinya berpandangan sama sendiri, Orang yang berkumpul terus membisu. Seluruh wajah mereka kelihatan cemas. Tetapi, biji mata mereka tertumpu ke arah saya. Mereka bagaikan mahu mematahkan seluruh tulang temulang di anggota tubuh saya.

“Kamu cari aku, aku datang,” saya terdengar suara Datuk dari arah belakang kumpulan orang kampung. Semu orang yang berkumpul kelihatan terkejut. Beberapa orang dari mereka terus merendahkan badan dan menyusup di bawah rumah, kemudian terus menghilangkan diri. Saya kembali bersemangat. Muka orang yang berdiri di halaman, saya renung satu-persatu.

Saya lihat Datuk melangkah dengan gagahnya sambil membibit baldi yang berisi air. Dua orang cuba menghalang perjalanan Datuk. Tetapi, usaha mereka gagal. Bila Datuk berdehem, kedua-dua orang yang menahan Datuk itu terus terjatuh, seolah-olah tulang kaki mereka tidak berguna sama sekali.

Anehnya, bila Datuk meninggalkan mereka dalam jarak sepuluh langkah, mereka dapat bangun kembali, Tetapi, mereka terlupa dengan apa yang mereka alami. Datuk terus merempuh barisan orang ramai itu. Bila sampai di kaki tangga, Datuk terus berdiri di situ. Baldi yang berisi air diletakkan di sebelah kanannya.

Saya berharap Datuk tidak akan bertindak yang boleh menimbulkan seribu ketegangan dan haru-biru. Isteri Malik Cina terus menangis tersedu-sedu.

“Apa yang kamu mahu?” Tanya Datuk pada orang ramai.

“Kamu tukang sihir dan kami mahu menghukum kamu,” jawab seorang lelaki. Badannya cukup tegak. Besar dan nampak gagah.

“Kenapa kamu cakap macam tu?” Soal Datuk lagi.

“Tadi, kami nampak kepala kamu bertukar jadi kepala harimau.”

“Itu tandanya kamu tidak ikhlas, kamu mahu menganiayai aku, kalau kamu jujur, kamu tak nampak semuanya itu.”

“Kamu berdalih.”

“Siapa yang berdalih, kamu atau aku cakap dengan jujur?” pekik Datuk lalu menghentakkan kakinya ke mata anak tangga.

Orang itu terdiam. Mulutnya bagaikan terkunci. Datuk membaca sesuatu sambil melipatkan ibu jari kanannya dan jari kelengkengnya menekan ibu jari tersebut. Saya tahu, selagi Datuk tidak menegakkan ibu jarinya, orang itu tidak kan boleh berkata-kata walau sepatah pun.

“Cakap dengan jujur,” ujar Datuk. Ibu jari dan jari kelengkengnya ditegakkan. Muka orang itu berpeluh. Nafasnya jadi sesak. Tempurung lututnya menggeletar.

“Ya, saya mengaku, saya mahu menggunakan ilmu sihir saya yang boleh melumpuhkan seluruh badan awak,” orang itu memberikan pengakuan. Datuk tersenyum.

“Sekarang kamu dah mengaku, apa yang kamu mahu dari aku, kamu mahu bersahabat atau untuk menjadi lawan,” Datuk renung muka orang itu.

“Aku mahu bersahabat.”

“Kalau mahu bersahabat, pulanglah ke rumah. Aku tahu, kamu tak suka orang mengubat anak Malik Cina, kau suka perempuan itu menjerit dan koyak kain, kemudian kau tumpangkan ilmu salah kamu. Aku tahu, kamu yang suruh orang-orang mengerumuni anak Malik Cina. Betul atau tidak?”

“Betul.”

“Kenapa kamu buat macam tu.”

“Saya sebenarnya sedang menuntut ilmu terlentang ke langit anak Malik Cina yang sakit ini mahu saya jadikan ujian.”

“Sudahlah, berhentikan perbuatan itu. Pulanglah ke rumah dan bertaubat, biar aku uruskan anak Malik Cina,” suara Datuk keras.

Orang itu tundukkan kepalanya. Tanpa mengucapkan sesuatu ia meninggalkan rumah Malik Cina. Kawan kawannya yang lain menurut jejak langkahnya. Datuk menyorot langkah mereka hingga keluar dari kawasan halaman rumah Malik Cina.

Datuk terus duduk dekat anak Malik Cina. Ia minta barang,, barang yang dipesan dari Malik Cina isterinya. Semua barang-barang itu dimasukkan ke dalam baldi yang berisi air kecuali kain putih.

“Ikatkan kain putih itu pada buku lali anak kamu,” kata Datuk pada isteri Malik Cina. Perintah itu segera dipatuhi.

“Ini usaha terakhir, aku hanya menjalankan ikhtiar. Allah yang akan menentukan untuk menyembuhkan penyakit atau sebaliknya. Cara ini tidak sesuai dengan perubatan moden tetapi inilah ikhtiar yang terdaya aku lakukan,” sambung Datuk lagi dengan tenang.

Datuk tarik baldi ke depannya. Ia memperkemaskan silanya. Kedua belah lengan bajunya dilipat separas siku. Datuk terus membaca Al-Fatihah seribu kali. Bila sudah selesai, Datuk berdiri di muka pintu.

Datuk melihat matahari yang memancar garang dengan wajah yang tenang dan penuh keyakinan. Mulutnya telap bergerak. Entah apa yang dibacanya, saya sendiri pun tidak tahu.

“Sekarang usung anak kamu ke tengah laman rumah, biarkan ia di situ,” beritahu Datuk pada Malik Cina. Anak perempuan Malik Cina segera diusung. Saya hanya memegang bahagian buah betis dengan perasaan bimbang. Saya takut, ketika diusung nanti, anak perempuan Malik Cina tersedar dari pengsan dan terus menendang saya.

Syukur, apa yang saya bimbangkan tidak berlaku. Anak Malik Cina diletakkan di tengah halaman dalam sinaran matahari yang amat garang. Datuk terus membimbit baldi ke halaman rumah. Tanpa menegur Malik Cina dan saya, Datuk terus menjirus air dalam baldi ke tubuh anak Malik Cina.

Anak Malik Cina tersedar dari pengsan. Saya merasa terkejut air yang membasahi tubuhnya kering dengan serta-merta. Kain dan baju terus kering.

“Pergi ambil kain, balutkan tubuhnya, ia sejuk tu,” Datuk menujukan kata-kata itu untuk isteri Malik Cina. Isteri Malik Cina masuk ke rumah dan keluar dengan sehelai batik jawa. Tubuh anaknya segera dibalutkan dengan kain tersebut.

“Bangun nak,” kata Datuk. Anak Malik Cina terus bangun. Ia duduk mencangkung. Matanya merenung ke arah Datuk. Cahaya matanya cukup lembut.

“Kenapa saya ni,” tanyanya tersipu-sipu.

“Kau tak ada apa-apa, baliklah ke rumah.”

“Ya saya nak balik.”

MANDI

Anak Malik Cina terus menuju ke rumah. Kami mengekorinya dengan hati-hati. Sampai di rumah, anak Malik Cina terus mandi, kerana keadaannya agak lemah. Datuk menyuruh isteri Malik Cina mendampinginya. Anak Malik Cina terus menghias diri. Sikat rambut dengan rapi serta menaruh bedak ke pipi. Ia mula menyebut nama suaminya bekali.

“Kamu layan karenahnya, jangan dimarahi, sebaiknya kau beri hatinya gembira hingga ia percaya pada diri sendiri. Dalam tempoh dua tiga hari ni, ia akan menghadapi tekanan perasaan yang hebat, susah untuknya membuang kebiasaan yang dialami masa ia sakit dulu,” Datuk mengingatkan Malik Cina. Malik Cina anggukkan kepala.

“Aku terpaksa duduk di rumah kamu dua hari lagi, bila anak kamu sudah sihat dan pulih, aku pergi,” Datuk renung muka Malik Cina.

“Itulah yang aku harapkan,” Malik Cina keriangan. Tetapi saya kurang senang mendengar kata-kata itu. Duduk di rumah memang membosankan. Apakan daya, kata-kata Datuk tidak boleh di bantah.

Selama tiga hari berikutnya, Datuk terus berikhtiar memulihkan sisa sakit yang dideritai oleh anak Malik Cina. Setiap pagi dan petang anak Malik Cina disuruh minum segelas air sejuk yang sudah dibacakan dengan Bismilah seratus kali.

Matahari pagi memancar indah. Sinarnya jatuh pada dedaun dan rumput di halaman. Sekawan itik air berlari di tanah lapang menuju ke arah danau nan terbentang membiru. Dan kabus kelihatan kian menipis di puncak bukit.

Saya masih lagi berdiri di muka jendela. Datuk yang sudah selesai mandi embun terus melakukan senaman Harimau Bangun Tidur. Saya terus menggeliat sambil melebarkan kedua belah tangan. Saya tarik nafas panjang. Angin pagi yang menyentuh kulit tubuh, membuat saya terasa seram dan sejuk.

Datuk terus bersenam. Dari arah dapur saya terdengar batuk Malik Cina. Sesekali terdengar suara isterinya merungut sesuatu. Tidak tahu apa yang dirungutkan, kerana suaranya tidak berapa jelas.

Datuk berhenti melakukan senaman. Ia mengenakan seluar dan baju ke tubuh. Wajahnya nampak kemerah-merahan dan berseri. Seimbas pandang Datuk kelihatan lebih muda dari usianya. Dengan tenang Datuk turun ke tanah. Datuk berdiri sejenak di kaki tangga.

Macam ada sesuatu yang ganjil saya rasakan pagi itu. Selalunya, Datuk mengajak saya turun atau memberitahu sesuatu yang akan dilakukannya. Tetapi, kenapa perkara seperti itu tidak Datuk lakukan pagi ini? Timbul pertanyaan dalam hati saya.

Datuk bergerak meninggalkan kaki tangga. Ia menuju ke tengah halaman dan berdiri di situ sebentar. Kemudian Datuk membongkokkan badannya lalu mencabut beberapa rumpun rumput hijau. Rumpun rumput itu Datuk ramas dan Datuk kenakan dengan air embun yang berada di dedaun mempelam dan bunga di sisinya.

Semua gerak-geri Datuk saya perhatikan dengan penuh teliti. Datuk memasukkan rumpun rumput itu ke dalam sakunya. Ia terus juga mundar-mandir mengelilingi halaman rumah. Sampai di sudut kanan halaman, Datuk berdiri di situ merenung ke arah matahari jatuh.

Perlahan-lahan Datuk angkat kaki kanannya separas pusat. Badannya dipusingkan lebih dari sepuluh kaki. Saya kagum, kerana Datuk mengimbangi badannya dengan sebelah kaki. Saya kira, apa yang Datuk lakukan itu satu senaman untuk menegangkan kulit tubuh.

Senaman seperti itu, amat jarang sekali dilakukan oleh Datuk. Dalam sebulan, ia cuma melakukan dua atau tiga kali sahaja di tempat yang berlainan. Kadang-kadang apa yang Datuk lakukan, memang melucukan dan boleh jadi bahan ketawa atau dianggap sebagai kerja orang yang tidak siuman. Terutama pada orang yang tidak mengenali diri Datuk.

Saya membiarkan wajah disentuh oleh sinar matahari yang ramah. Dalam saat-saat demikian, saya semacam terlibat satu lintasan bayangan di halaman. Bentuknya kurang jelas dan sukar untuk digambarkan. Saya jadi tidak tentu arah. Macam-macam perasaan timbul dalam hati. Tiba-tiba lintasan bayangan itu muncul kembali.

Badan saya mula berpeluh dalam hembusan angin pagi yang nyaman. Secara tidak sengaja saya mendongak ke langit. Saya menggigit ibu jari dan terus tersenyum. Saya sudah dapat mengesan dari mana lintasan bayangan itu muncul.

“Ya, dari pelepah kelapa dara yang ditiup angin.”

Bisik batin saya. Sepasang mata saya tertumpu ke pelepah kelapa yang bergoyang. Sinaran matahari yang mula keras tertumpu ke arah pelepah tersebut dan membentuk berbayang yang panjang di bumi.

Bila angin bertiup agak kencang pelepah kelapa itu tu bergerak dengan cepat, lantas membentuk lintasan berbayang yang panjang di bumi (untuk beberapa saat). Ternyata saya sudah ditipu oleh perasaan saya sendiri. Perlahan-lahan saya menarik nafas panjang dan senyum pun terukir di bibir. Keraguan dan kebimbangan yang merajai hati, sudah pun berakhir.

“Datuk kamu ke mana Tamar?”

Saya menoleh ke kanan. Malik Cina tersenyum ke arah saya. Ia memakai baju Melayu, berkain pelekat kotak berwarna putih dan hijau serta berjalur merah. Songkok putihnya berserkup kemas di kepala. Rambut di bahagi pelipis kanannya, kelihatan memutih.

“Itu dia”

Jari telunjuk saya menuding ke arah Datuk. Malik Cina tersenyum lalu melambaikan tangan ke arah Datuk. Mereka berbalas senyum.Datuk bergerak menghampiri ke arah anak tangga. Malik Cina menggaru pangkal lehernya dua tiga kali.

“Buat apa di situ?” Tanya Malik Cina, matanya menatap wajah Datuk. Biji mata saya juga tertikam ke muka Datuk yang kelihatan kemerah-merahan. Tanda sihat.

“Bersenam,” suara Datuk lembut.

“Dab tua-tua mahu jaga badan.”

“Bukan jaga badan, jaga kesihatan, tubuh badan perlu dijaga. Bila sihat mudah kita buat amal ibadah dan menolong orang, bukankah, menjaga kesihatan diri disuruh oleh Islam.”

“Saya setuju dengan awak,” Malik Cina menegakkan ibu jari kanannya.

Mereka ketawa serentak. Datuk terus memijak mata tangga. Sampai di ambang pintu ia berdiri sebentar. Renung kiri, renung kanan. Melangkah kembali menuju ke ruang anjung.

“Macam mana anak kamu Malik?”

“Alhamdulillah, sejak minum air yang awak beri tu, ia terus tidur nyenyak.”

“Aku harap, dia tidak menjerit lagi.”

“Saya juga harap begitu.” Malik Cina membetulkan songkok putihnya. Ia menggaru pipi kanannya dua kali. Malik Cina terus duduk bersila. Datuk juga berbuat demikian.

“Ke mari kamu,” Datuk renung ke arah saya. Tanpa buang masa saya terus duduk di sisinya. Malik Cina dengan tenang membalut rokok daun. Isterinya datang lalu menghidangkan kuih dan satu teko air kopi, berserta beberapa cawan.

“Cuma ini saja yang ada, kuih jemput,” Malik Cina terus menuangkan air kopi ke dalam cawan. Asap nipis berlegar-legar di permukaan cawan. Isteri Malik Cina meninggalkan kami.

“Ini pun sudah cukup baik,” kata Datuk sambil mengenakan telapak tangan kanannya dengan asap nipis yang bermain di permukaan cawan.

Perbuatan itu segera disedari oleh Malik Cina. Air mukanya nampak berubah. Pelik juga, kenapa Datuk melakukan perkara sedemikian? Ah, Datuk memperlihatkan perkara yang ganjil ketika berada di rumah sahabat lamanya. Timbul pertanyaan dalam diri saya.

“Kau terkejut dengan apa yang aku buat ni?” Datuk ajukan pertanyaan pada Malik Cina. Dengan sopan sekali Malik Cina anggukkan kepala sambil meletakkan piring kuih jemput di depan Datuk. Saya menjeling ke arah Datuk.

“Kau tak usah bimbang, apa yang aku buat ni hanyalah petua dan orang tua-tua. Menurut kata mereka, jika nak menguji sesuatu keluarga tu kena sihir, beginilah caranya,” Datuk membuka rahsia.

“Tak kan minuman dan makanan yang dibuat sendiri pun disihir?” Malik Cina ragu-ragu.

“Kau sendiri tahu, kerja syaitan ini, selagi ada udara, selagi ada langit dan bumi serta air semuanya dimanfaatkan untuk menjahanamkan dan membinasakan anak Adam,” terang Datuk. Malik Cina terdiam.

Tamat siri 76/284

BACA: SBDJ Siri 75: Telan Darah Dan Nanah
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Faiq Bolkiah Pemain Bola Sepak Terkaya Dunia Bernilai USD$20 Bilion

Faiq Bolkiah Pemain Bola Sepak Terkaya Dunia Bernilai USD$20 Bilion

Apabila anda fikir tentang pemain bola sepak terkaya dunia, minda anda serta-merta tertumpu kepada Cristiano Ronaldo, Lionel Messi dan Neymar – bukan seorang remaja dalam barisan simpanan Leicester City.

Pemain Bola Sepak Terkaya

Dia adalah Faiq Bolkiah, dilahirkan pada 9 Mei 1998, anak saudara Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang dianggarkan memiliki kekayaan AS$20 bilion, menurut laporan akhbar Britain, Metro.

Pemain sayap Foxes berbakat itu bermain di England agak lama, memulakan kariernya di AFC Newbury sebagai remaja.

Pada 2009, Southampton menambah Faiq ke akademi mereka yang sering diperkatakan.

Biarpun tidak diajukan sebarang kontrak, Arsenal menawarkan putera Brunei itu menjalani ujian bersama mereka pada 2013.

Faiq beraksi dengan Gunners dalam Piala Lion City 2013 dan menjaringkan satu gol dalam pertandingan itu.

Menyedari kemampuannya, Chelsea menawarkannya kontrak dua tahun yang terus ditandatanganinya namun selepas hanya setahun, Faiq keluar untuk menyertai Leicester dengan kontrak tiga tahun, sehingga 30 Jun 2019.

Walaupun dilahirkan di Los Angeles, Amerika Syarikat, Faiq memilih untuk bermain dengan Brunei dan telah mewakili negaranya sembilan kali dan menjaringkan satu gol.

Untuk menjelaskan kekayaan Faiq, anda perlu melihat bapanya Jefri.

Adik Sultan Brunei itu dilaporkan membelanjakan secara kasarnya 10 bilion pound dalam masa 15 tahun sebagai ketua agensi Brunei Investment.

Dan, pada suatu ketika, Jefri terang-terangan membelanjakan 35 juta pound sebulan untuk kereta, jam tangan dan pena emas putih.

Bapa pemain sayap Leciester itu juga dipercayai memiliki hingga 2,300 kereta termasuk Bentley, Ferrari dan Rolls-Royce.

Malah, apabila Jefri meraikan hari jadi ke-50, dia menerbangkan Michael Jackson untuk datang dan mengadakan sebuah konsert peribadi.

Selain membina sebuah stadium khusus bagi acara itu, dia membayar Raja Pop itu, £12.5 juta (RM67.79 juta).

Dengan semua kekayaannya, ramai mungkin tertanya-tanya mengapa Faiq sanggup bermain bola sepak lagi?

Dalam satu temu bual yang jarang diperoleh, Faiq mendedahkan, “Saya telah bermain bola sepak seawal yang saya boleh ingat dan sejak usia muda, saya sentiasa seronok keluar ke padang dan ada bola di kaki saya.

“Ibu bapa sentiasa menyokong dan membantu saya mencapai impian untuk menjadi seorang pemain bola sepak.”

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Kenapa Kita Di Larang Mendedahkan Dosa Sendiri?

Kenapa Kita Di Larang Mendedahkan Dosa Sendiri?

Media sosial adakalanya dipenuhi berita aib, antaranya kerana ramai yang secara sengaja mengaku perbuatan dosa sendiri tanpa sedikit pun menyedari bahawa pengakuan sebegitu sebenarnya tidak dibenarkan di dalam Islam.

Menutup Aib

Baca perkongsian dari Dr Ahmad Sanusi Azmi di fbnya mengapa bahaya mendedahkan dosa sendiri. Moga kita mendapat perkongsian bermanfaat ini.

Bahaya Mendedahkan Dosa Sendiri

1. Allah Telah Menutup Aib Kita

Rasulullah mencela mereka yang suka mendedahkan dosa mereka sendiri sedangkan Allah sudah menyembunyikan keaiban maksiat yang mereka lakukan.

Sabda Rasulullah SAW.

“Setiap umatku akan diampunkan dosa mereka melainkan golongan mujahirin (iaitu mereka yang mendedahkan dosa mereka sendiri). Yang dimaksudkan dengan ‘mujaharah’ itu ialah seorang lelaki yang melakukan satu perbuatan (maksiat) pada waktu malam sedangkan Allah telah menutup apa yang dilakukannya pada malam tersebut.

Lalu dia berkata: Wahai fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan (dosa) ini dan perbuatan (dosa) itu. Sesungguhnya dia tidur dalam keadaan Allah menutup aib yang dia lakukan pada malam hari, namun dia bangun pada waktu pagi lalu mendedahkan sendiri apa yang Allah telah sembunyikan aibnya.” (HR al-Bukhari)

2. Hilang Rasa Malu

Hari ini umat ditimpa penyakit. Mereka merasa bangga dengan dosa. Bahkan mereka menayangkan pula gambar-gambar tidak menutup aurat atau merakamkan pula pengakuan maksiat yang dilakukan di media sosial.

Sedangkan seorang mukmin itu sepatutnya tidak merasa selesa dengan dosanya.

Sabda Rasulullah SAW, “Sekiranya engkau merasa tenang dengan amal kebaikan dan merasa tidak selesa dengan kejahatan yang engkau lakukan, maka engkau adalah orang yang beriman.” (HR Ahmad)

3. Jangan Bangga Dengan Dosa

Bahkan seorang mukmin itu amat malu dan takut dengan dosanya. Mukmin menganggap dosa mereka seperti gunung yang akan menimpanya.

Sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya seorang mukmin itu melihat dosanya seperti dia sedang duduk di bawah bukit dan bimbang bukit (dosa) itu akan menimpanya sedangkan orang yang fajir (fasiq) itu melihat dosanya hanya seperti lalat di atas hidungnya.” (HR al-Bukhari)

Dosa umpama buih di lautan. Bertaubatlah jika pernah melakukannya dan jangan bangga mengulanginya.

4. Malu Menayangkan Dosa

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa seorang mukmin itu sepatutnya sangat malu untuk menayangkan perlakuan dosa mereka.

Sabda Rasulullah SAW, “Dosa itu adalah apa yang tidak enak dihatimu dan engkau benci untuk menayangkannya di hadapan manusia.” (HR Muslim)

5. Menjual Dosa Untuk Dunia

Hari ini sifat malu telah semakin pupus, sehinggakan seorang muslim itu sudah tidak merasa segan lagi untuk berkongsi perlakuan dosa, malah melakukannya atas kepentingan peribadi.

Moga Allah membimbing kita.

BACA INI JUGA:

sumber: remaja

Dalil Qurban 1 Ekor Lembu Untuk 7 Orang Dan 1 Ekor Unta Untuk 10 Orang

Dalil Qurban 1 Ekor Lembu Untuk 7 Orang Dan 1 Ekor Unta Untuk 10 Orang

Saya ada satu pertanyaan berkenaan ibadah korban (qurban) kerana ada seorang ustaz memberikan fatwa, "Berqurban 1 (satu) ekor lembu tidak harus 7 (tujuh) orang, tetapi dapat juga untuk 9 (sembilan), 14 (empat belas) atau 21 (dua puluh satu) orang sesuai kesepakatan dan kesanggupan bersama, dengan tujuan agar ramai orang dapat ikut berqurban."

Dalil Qurban

Beliau beralasan perkara ini sesuai dengan hadis Nabi SAW dari Aisyah r.a., bahawa beliau menyembelih dua ekor haiwan qurban, satu untuk umatnya yang mengucapkan dua kalimah syahadah, dan satu lagi untuk Muhammad SAW dan keluarganya.

Sebelum kami jelaskan, terlebih dahulu kami kutip hadis-hadis mengenai ibadah qurban yang ada kaitannya dengan ibadah ini.

“Diriwayatkan dari Jabir ibn Abdullah, ia berkata: Kami menyembelih haiwan qurban bersama Rasulullah SAW pada tahun Hudaibiyah seekor unta untuk tujuh orang dan lembu untuk tujuh orang.” [Ditakhrijkan oleh Muslim, Kitab al-Hajj, No. 350/1318:602].

“Diriwayatkan dari Jabir ia berkata: Rasulullah SAW menyembelih haiwan qurban untuk Aisyah seekor lembu pada hari nahar.” [Ditakhrijkan oleh Muslim, Kitab al-Hajj, No. 356/1319:603].

"Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a., ia berkata: Kami bersama Rasulullah SAW dalam suatu perjalanan, kemudian datanglah hari raya Adha, lalu kami bersama-sama menyembelih lembu untuk tujuh orang dan unta untuk sepuluh orang.” [Ditakhrijkan oleh at-Turmudzi dan an-Nasa’i].

“Diriwayatkan dari Aisyah r.a., Nabi SAW memerintahkan mengambil domba (kambing) yang tanduknya menjulang tinggi, kakinya hitam, perutmya hitam dan matanya hitam, kemudian didatangkan domba tersebut kepada beliau untuk diqurbankan, lalu beliau berkata kepada Aisyah r.a.: Hai Aisyah, ambilkan pisau, lalu berkata, asahlah pisau itu dengan batu asah, lalu Aisyah mengerjakannya, kemudian beliau mengambilnya dan mengambil domba, lalu beliau menelentangkan domba tersebut lalu menyembelihnya, kemudian bersabda: Dengan atas nama Allah, Ya Allah terimalah qurban ini dari Muhammad dan keluarga Muhammad dan dari umat Muhammad.” [Ditakhrijkan oleh Muslim; as-Shan’aniy, IV: 90].

Penjelasan:

Hadis yang diriwayatkan oleh Jabir (1), menjelaskan bahawa Nabi SAW bersama sahabat menyembelih haiwan qurban; satu unta untuk tujuh orang dan satu lembu untuk tujuh orang.

Hadis yang diriwayatkan oleh Jabir juga (2), menjelaskan bahawa Nabi SAW menyembelih haiwan qurban untuk Aisyah satu ekor lembu.

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas (3), menjelaskan bahawa Rasulullah SAW bersama sahabat menyembelih haiwan qurban; satu ekor lembu untuk tujuh orang dan satu ekor unta untuk sepuluh orang.

Dari tiga hadis tersebut di atas dapat dibuat kesimpulan bahawa, satu lembu boleh diqurbankan untuk satu orang dan maksimum untuk tujuh orang, sedangkan seekor unta boleh untuk satu orang dan naksimum sepuluh orang, dengan melihat keadaan haiwan tersebut.

Hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. (4), menjelaskan bahawa seekor domba (kambing) hanya untuk satu orang.

Doa Rasulullah SAW yang disebutkan dalam hadis tersebut bukanlah bererti bahawa satu ekor domba atau satu ekor lembu atau unta boleh untuk ramai orang.

Ini kerana Nabi Muhammad SAW adalah Nabi bagi seluruh umat, maka wajarlah beliau berdoa untuk umatnya.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: sangpencerah