Sunday, January 20, 2019

Ketahui 17 Jenis Pengeluaran KWSP Yang Boleh Dikeluarkan Awal Tapi Ramai Tak Tahu

Ketahui 17 Jenis Pengeluaran KWSP Yang Boleh Dikeluarkan Awal Tapi Ramai Tak Tahu

Jika selama ini ramai yang ingat duit KWSP hanya boleh dikeluarkan ketika memasuki usia 50an, perbetulkan persepsi ini, sebab mungkin ramai yang tak tahu rupanya ada 17 jenis pengeluaran KWSP yang boleh dikeluarkan awal tak perlu menunggu umur nak bersara pun.

Pengeluaran KWSP

Simpanan KWSP boleh dikeluarkan sebelum dan selepas mencapai umur persaraan, untuk membantu penyimpan membuat persediaan sebelum dan semasa persaraan.

Jadi, bagi yang mempunyai simpanan di KWSP dan berhasrat nak keluarkan pengeluarkan tersebut untuk tujuan tertentu, cuba semak jenis-jenis pengeluaran KWSP ini dan cara-cara untuk membuat pengeluaran tersebut.

1. Pengeluaran Umur 50 Tahun

Ada 2 jenis pengeluaran:
  • Pengeluaran Penuh Akaun 2.
  • Pengeluaran Sebahagian Akaun 2.

Cara-caranya:
  • Bawa MyKad bagi Warganegara Malaysia atau isi Borang Permohonan KWSP 9B (AHL).
  • Pembayaran Secara Pengkreditan Terus Ke Akaun Bank Ahli.

2. Pengeluaran Umur 55 Tahun

Ada 4 jenis pengeluaran:

Kesemua Simpanan.
  • Sebahagian Simpanan (Amaun minimum RM2,000.00 dan setiap 30 hari dari tarikh permohonan pengeluaran terdahulu).
  • Bayaran Bulanan (Pengeluaran minimum RM3,000.00 iaitu RM250.00 sebulan untuk sekurang-kurangnya 12 bulan).
  • Kombinasi Sebahagian Simpanan + Bayaran Bulanan.

Cara-caranya:
  • Bawa MyKad bagi Warganegara Malaysia atau isi Borang Permohonan KWSP 9B (AHL).
  • Pembayaran Secara Pengkreditan Terus Ke Akaun Bank Ahli.

3. Pengeluaran Umur 60 Tahun

Ada 4 jenis pengeluaran:

Kesemua Simpanan.
  • Sebahagian Simpanan (Amaun minimum RM2,000.00 dan setiap 30 hari dari tarikh permohonan pengeluaran terdahulu).
  • Bayaran Bulanan (Pengeluaran minimum RM3,000.00 iaitu RM250.00 sebulan untuk sekurang-kurangnya 12 bulan).
  • Kombinasi Sebahagian Simpanan + Bayaran Bulanan.

Cara-caranya:
  • Bawa MyKad bagi Warganegara Malaysia atau isi Borang Permohonan KWSP 9B (AHL).
  • Pembayaran Secara Pengkreditan Terus Ke Akaun Bank Ahli.

4. Pengeluaran Mengurang/Menyelesaikan Baki Pinjaman Perumahan

Cara-Caranya:
  • Bawa MyKad bagi Warganegara Malaysia atau isi Borang Permohonan KWSP 9C (AHL).
  • Bawa Penyata Baki Pinjaman Perumahan mengikut format yang ditetapkan oleh KWSP ATAU Penyata Baki Pinjaman Perumahan Dari Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) (Tarikh penyata baki tidak melebihi 3 bulan dari tarikh permohonan diterima).
  • Surat Nikah ATAU Sijil Perkahwinan ATAU Sijil Kelahiran Anak untuk Permohonan Membantu Pasangan.
  • Pembayaran Secara Pengkreditan Terus Ke Akaun Bank Ahli.

5. Pengeluaran Hilang Upaya

Pengeluaran ini membolehkan ahli mengeluarkan semua simpanan kwsp sekiranya ahli tidak berupaya dari segi fizikal atau mental atau kehilangan keupayaan fungsional kekal untuk memperolehi pekerjaan (employability).

Cara-caranya:
  • Bawa MyKad bagi Warganegara Malaysia dan isi Borang Permohonan KWSP 9L (AHL).
  • Bawa Laporan Perubatan Asal Dari Institusi Perubatan Pakar / Bukan Pakar (Hospital/Klinik Kerajaan atau Hospital/Klinik Swasta).
  • Surat Berhenti Kerja Daripada Majikan (jika ada) bagi ahli yang berhenti kerja dalam tempoh setahun dari tarikh permohonan.
  • Pembayaran Secara Pengkreditan Terus Ke Akaun Bank Ahli.

6. Pengeluaran Meninggalkan Negara

Pengeluaran ini boleh dipohon oleh:
  • Warganegara malaysia yang telah melepaskan atau melucutkan taraf kewarganegaraan untuk berhijrah ke negara lain atau
  • Bukan warganegara malaysia yang telah berhenti kerja dan akan meninggalkan malaysia.

Cara-caranya:
  • Bawa Passport, Permit Kerja, Bukti Penamatan Kerja.
  • Isi Borang Permohonan KWSP 9K (AHL).
  • Pembayaran Secara Pengkreditan Terus Ke Akaun Bank Ahli.

7. Pengeluaran Pendidikan

Pengeluaran ini membolehkan ahli mengeluarkan simpanan Akaun 2 untuk membiayai yuran pengajian ahli/anak ahli (termasuk anak tiri dan anak angkat) di institut pengajian tinggi (IPT) di dalam atau di luar negara.

Cara-caranya:
  • Bawa MyKad bagi Warganegara Malaysia dan isi Borang Permohonan KWSP 9H (AHL).
  • Bawa Laporan Perubatan Asal Dari Institusi Perubatan Pakar/Bukan Pakar (Hospital/Klinik Kerajaan atau Hospital/Klinik Swasta).
  • Bawa Surat Tawaran Belajar.
  • Bawa Surat Pengesahan Pendaftaran Pelajar yang asal.
  • Bawa Surat Kelulusan Pengiktirafan Kursus Pengajian.
  • Bawa Salinan Keputusan Peperiksaan Terkini (pelajar IPTA dikecualikan).
  • Bawa Borang Temuduga.
  • Bawa Bukti Kelayakan Mengikuti Pengajian.
  • Bagi Pengeluaran Pendidikan Anak Ahli – Bawa Kad Pengenalan Anak Ahli dan Dokumen Bukti Pertalian.
  • Pembayaran Secara Pengkreditan Terus Ke Akaun Bank Ahli.

8. Pengeluaran Pekerja Berpencen Dan Pengeluaran Pesara Pilihan

Cara-Caranya:
  • Bawa MyKad bagi Warganegara Malaysia dan isi Borang Permohonan KWSP 9N (AHL).
  • Bawa Lampiran A – Notis Akuan Pelepasan Caruman Kerajaan Berhubung Dengan Pengeluaran Pekerja Berpencen.
  • Bawa Bukti Pengesahan Taraf Pesara.
  • Pembayaran Secara Pengkreditan Terus Ke Akaun Bank Ahli.

9. Skim Pelaburan Ahli

Skim ini membolehkan ahli memindahkan sebahagian simpanan Akaun 1 untuk membuat pelaburan bagi menambah dan meningkatkan simpanan persaraan untuk menyara kehidupan semasa persaraan.

Ahli boleh melaburkan simpanan tidak melebihi 30% daripada jumlah yang melebihi Simpanan Asas dalam Akaun 1 melalui Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang dilantik.

Cara-caranya:
  • Borang Permohonan KWSP 9N (AHL)
  • Borang KWSP 9N (AHL) boleh diperolehi daripada IPD yang dipilih oleh ahli untuk tujuan pelaburan.
  • Kad Pengenalan Diri; MyKad/Kad Pengenalan Tentera/Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR); ATAU Kad Pengenalan Polis DAN Surat Pengesahan Majikan menyatakan no. Polis dan no. Kad Pengenalan Diri merujuk kepada orang yang sama (jika tidak memiliki MyKad/ Kad Pengenalan Polis yang tidak tertera no.
  • Kad Pengenalan Diri); ATAU
  • Pasport. Jika ahli bukan warganegara Malaysia yang menjadi ahli KWSP sebelum 1 Ogos 1998.

10. Pengeluaran Membina/Membeli Rumah

Pengeluaran ini membolehkan ahli mengeluarkan simpanan Akaun 2 untuk membiayai pembelian sebuah rumah.

Ini membolehkan ahli memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah sebagai tempat perlindungan apabila bersara.

Cara-Caranya:
  • Bawa MyKad bagi Warganegara Malaysia dan isi Borang Permohonan KWSP 9C (AHL).
  • Bawa Surat Perjanjian Jual Beli (Tarikh perjanjian tidak melebihi 3 tahun dari tarikh permohonan).
  • Bawa Surat Kelulusan Pinjaman Perumahan (sekiranya kelulusan pinjaman kurang daripada setahun).
  • Bawa Surat Perjanjian Bina Rumah (Tarikh perjanjian tidak melebihi 3 tahun dari tarikh permohonan).
  • Bawa Suratan Hakmilik Tanah atas nama penjual/pemilik tanah.
  • Pembayaran Secara Pengkreditan Terus Ke Akaun Bank Ahli.

11. Pengeluaran Simpanan Melebihi RM 1 Juta

Pilihan kepada ahli yang mempunyai simpanan melebihi RM1.05 juta mengeluarkan lebihan simpanan berkenaan untuk diuruskan sendiri oleh ahli.

Cara-caranya:
  • Bawa MyKad bagi Warganegara Malaysia atau isi Borang Permohonan KWSP 9B (AHL).
  • Pembayaran Secara Pengkreditan Terus Ke Akaun Bank Ahli.

12. Pengeluaran Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan

Pengeluaran simpanan Akaun 2 untuk membiayai ansuran bulanan pinjaman perumahan bagi tujuan pembelian atau pembinaan rumah.

Cara-caranya:
  • Bawa MyKad bagi Warganegara Malaysia dan isi Borang Permohonan KWSP 9P (AHL).
  • Bawa Penyata Baki Pinjaman Perumahan mengikut format yang ditetapkan oleh KWSP ATAU Penyata Baki Pinjaman Perumahan Dari Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) (Tarikh penyata baki tidak melebihi 3 bulan dari tarikh permohonan diterima).
  • Pembayaran Secara Pengkreditan Terus Ke Akaun Bank Ahli.

13. Pengeluaran Kematian

Pengeluaran penuh akaun ahli oleh penama/wasi/pentadbir pusaka/waris terdekat ahli apabila berlaku kematian ke atas ahli KWSP.

Cara-caranya:
  • Bawa Sijil Kematian Ahli.
  • Bawa Kad Pengenalan Diri Pemohon dan isi Borang Permohonan KWSP 9KM (AHL)
  • Pembayaran Secara Pengkreditan Terus Ke Akaun Bank Ahli.

14. Pengeluaran Perumahan Fleksibel

Pengeluaran Perumahan Fleksibel adalah proses menghadang atau mengenepikan sebahagian simpanan dalam Akaun 2 ahli ke Akaun Pengeluaran Perumahan Fleksibel bagi membolehkan ahli mendapatkan pinjaman perumahan yang lebih tinggi untuk membeli, membina rumah.

Berdasarkan konsep ini, caruman bulanan kepada KWSP dianggap sebagai pendapatan.

Dengan ini, ahli boleh mendapat jumlah pinjaman yang lebih tinggi kerana penilaian kredit (credit assessment) ke atas pendapatan bersih turut mengambilkira caruman KWSP (bahagian pekerja dan majikan).

15. Pengeluaran Kesihatan

Pengeluaran ini membolehkan ahli mengeluarkan simpanan Akaun 2 untuk membiayai kos rawatan perubatan penyakit kritikal dan atau pembelian peralatan bantuan kesihatan yang diluluskan oleh lembaga kwsp yang dihidapi oleh ahli atau ahli keluarga yang dibenarkan.

Cara-caranya:
  • Bawa MyKad bagi Warganegara Malaysia dan isi Borang Permohonan KWSP 9D (AHL).
  • Bawa Laporan Perubatan Asal Dari Institusi Perubatan.
  • Bawa Surat Pengesahan Majikan Mengenai Tanggungan Kos Rawatan.
  • Bawa Kad Pengenalan Diri pesakit.
  • Bawa Bukti Pertalian di antara pemohon dan pesakit (sekiranya pemohon bukan pesakit).
  • Bawa Bil Rawatan Pesakit Luar/Discaj Wad (Final Bill’) DAN Resit Bayaran Asal dari Pusat Perubatan (sekiranya bayaran telah dibuat).
  • Pembayaran Secara Pengkreditan Terus Ke Akaun Bank Ahli.

16. Pengeluaran Haji

Kerajaan melalui pembentangan Bajet 2013 pada 28 September 2012 telah memperkenalkan inisiatif Pengeluaran Haji kepada ahli KWSP untuk membuat pengeluaran simpanan dari Akaun 2 untuk menunaikan ibadah Haji.

17. Pengeluaran Perumahan PR1MA

Pengeluaran ini Membantu Ahli KWSP Memiliki Sebuah Rumah Di Bawah Skim Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) Dengan Memanfaatkan Simpanan KWSP Ahli Sedia Ada Serta Caruman Bulanan Di Masa Depan.

KWSP turut memperkenalkan Permohonan Secara Hassle Free dan dibawah konsep pengendalian permohonan secara Hassle Free, ahli pemegang MyKad yang hadir di kaunter KWSP TIDAK PERLU mengisi borang permohonan bagi pengeluaran berikut:
  • Pengeluaran Umur 50/55/60 & Simpanan Melebihi RM1Juta.
  • Pengeluaran Pekerja Berpencen/Pesara Pilihan.
  • Pengeluaran Mengurang/Menyelesaikan Baki Pinjaman Perumahan.
  • Pengeluaran Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan.
  • Keperluan dokumen sokongan bagi pengeluaran di atas tertakluk kepada syarat dan prosedur semasa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mingguanwanita

Saturday, January 19, 2019

Ulama Terkenal Meninggal Dunia Diseksa Komunis China

Ulama Terkenal Meninggal Dunia Diseksa Komunis China

Seorang ulama yang paling dihormati dan terkenal dalam kalangan umat Islam Uighur di China, Muhammad Salih Hajim, rupa-rupanya telah meninggal dunia selepas diseksa rejim Komunis. Beliau amat dihormati kerana menjadi ulama pertama yang menterjemahkan Al-Quran ke dalam Bahasa Uighur.

Islam Uighur China

Beliau dilaporkan meninggal dunia selepas dikurung di kem tahanan China selama 40 hari mulai Disember 2017.

Lebih dahsyat lagi, ahli keluarga beliau yang lain turut ditahan secara besar-besaran – termasuklah anak saudara beliau, Nurmemet Hajim yang pernah menuntut di Malaysia dan bekerja di pelbagai pejabat kedutaan.

Selain itu turut ditahan ialah anak perempuan Muhammad Salih Hajim iaitu Nezire Muhammad Salih (guru agama) dan Asiye Muhammad Salih (pensyarah universiti), anak lelaki beliau Nejip Muhammad Salih (petani), dan juga cucu lelaki beliau Imran Tuniyaz.

Tidak ketinggalan, adik beliau iaitu Mehsud Abley Hajim dan isterinya Ayshemqiz turut ditahan manakala anak lelaki sulung mereka kini tinggal dalam buangan di luar negara.

Sebelum ini, telah tersebar secara meluas akan laporan mengenai layanan kerajaan China ke atas Umat Islam berketurunan Uighur – mereka dilayan ibarat pesakit mental di kem tahanan khas untuk mengubah identiti mereka agar menjadi lebih ‘China’.

Langkah ini menyusuli beberapa tindakan seperti kempen ‘anti-Halal’ dan pengubahan demografi penduduk Xinjiang yang majoritinya sebelum ini terdiri daripada Uighur yang beragama Islam kini dibanjiri kedatangan etnik Han China.

Pada Ogos 2018, Jawatankuasa PBB tentang Penghapusan Diskriminasi Perkauman telah melaporkan bahawa seramai satu juta warga Uighur telah ditahan di pusat “anti-keganasan” di China.

Manakala seramai dua juta orang lagi dipaksa menjalani “indoktrinasi kebudayaan dan politik” yang disebut sebagai “pendidikan semula” ke atas mereka agar mentaati rejim Komunis dan mengubah identiti Islam mereka.

Laporan Rukiye Turdush dalam portal Al-Jazeera menyatakan bahawa rejim Komunis China memisahkan anak-anak Uighur secara paksa daripada keluarga mereka dan ditempatkan di sekolah-sekolah khas untuk memaksa mereka mempelajari peraturan Komunis China, mentaati Parti Komunis China, belajar Bahasa Mandarin, dan menghapuskan identiti Muslim serta tradisi Uighur mereka.

Setiap keluarga Uighur turut dipaksa menerima kader Parti Komunis China untuk tinggal di rumah mereka sekurang-kurangnya selama lima hari dalam tempoh setiap dua bulan.

Program ini jelas sekali menceroboh unit keluarga Uighur dan cukup membimbangkan dari segi impaknya ke atas keberadaan umat Islam Uighur di Xinjiang.

Kesemua langkah terdesak ini berpunca daripada kebimbangan China terhadap kebangkitan Muslim Uighur yang semakin berani memperjuangkan hak dan autoriti politik mereka – termasuklah kewujudan puak pemisah Uighur yang memperjuangkan kemerdekaan Xinjiang untuk membentuk negara Turkistan Timur.

Terbaru, tindakan kerajaan Malaysia membebaskan 11 orang warga Uighur yang dikehendaki oleh China telah mengundang bantahan keras rejim Komunis itu.

Perdana Menteri Tun Mahathir sebaliknya mengatakan bahawa keputusan diambil untuk menghantar kesemua warga Uighur ke Turki atas alasan ‘mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan’.

Dari segi politik dan moral, langkah kerajaan menghantar warga Uighur ini ke Turki dan mengingkari permintaan China yang mahu menahan mereka adalah langkah yang tepat sama sekali.

Dengan rekod pembunuhan politik dan hak asasi manusia yang buruk, tentulah China akan mengambil tindakan yang buruk ke atas 11 warga Uighur ini.

Namun begitu, kemudiannya Portal South China Morning Post (SCMP) melaporkan bahawa Tentera Laut China akan datang menjalankan latihan di Selat Melaka bersama Malaysia dan Thailand mulai 20 Oktober 2019 ini.

Latihan selama sembilan hari yang berhampiran Port Dickson dan Pelabuhan Klang serta diberi nama ‘Peace and Friendship 2018’ itu akan menyaksikan kehadiran tiga kapal pemusnah dan frigat China, dua helikopter ‘shipborne’, tiga kapal pengangkut pesawat Il-76 serta 692 orang anggota tentera laut China.

Pastinya, tiada apa yang pelik tentang kedatangan tentera China ke Selat Melaka ini jika difahami bahawa Tentera China pernah menjalankan latihan bersama angkatan tentera Malaysia sejak 2014 dan 2015 lagi dengan nama yang sama iaitu ‘Peace and Friendship’ (Keamanan dan Persahabatan).

Malah, latihan tersebut tetap diadakan meski pun sejak 2013 lagi diketahui bahawa kapal-kapal China menceroboh Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia berhampiran Beting Patinggi Ali dan Beting Serupai di perairan Sarawak.

Cuma dalam konteks politik semasa – dalam keadaan Jho Low masih dikatakan bersembunyi di China dan pembantaian China ke atas warga Muslim Uighur masih berlangsung – mungkin ada eloknya jika kedatangan tentera China ke Selat Melaka ini ditangguh atau dibatalkan terus.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

WhatsApp Kini Boleh 'Taip' Mesej Guna Suara

WhatsApp Kini Boleh 'Taip' Mesej Guna Suara

Teknologi arahan suara (voice command) bukanlah satu perkara yang baharu, malah sebilangan dari kita juga sudah terbiasa dengan Siri atau Google Assistant.

WhatsApp Suara

Menerusi fungsi itu, kita boleh mengarahkan peranti melakukan sesuatu seperti membuat carian dan sebagainya hanya dengan menggunakan suara.

Terbaharu, aplikasi sembang WhatsApp menerusi kemaskini 2.19.22 untuk peranti Android turut memperkenalkan fungsi itu.

WhatsApp menambah butang mikrofon pada papan kekunci aplikasi itu membolehkan anda bersuara sahaja sebelum teks ditaip secara automatik.

Secara ringkasnya, anda kini tidak perlu menaip menggunakan jari, sebaliknya hanya perlu bercakap sebelum ia diterjemah dalam bentuk teks oleh aplikasi itu.

Anda juga seharusnya tidak keliru dengan satu lagi mikrofon yang selalu digunakan sebelum ini untuk menghantar pesanan suara (voice note).

Bagaimanapun, fungsi itu masih lagi terhad kerana ia tidak berupaya membaca dan memahami tanda baca selain simbol-simbol biasa seperti koma dan sebagainya.

Menerusi kemas kini 2.19.11 untuk pengguna iOS pula, ia memperkenalkan fungsi 'Reply Privately' yang mana hanya individu tertentu sahaja boleh membaca mesej yang dihantar dalam grup WhatsApp.

Namun, fungsi itu seolah-olah tidak masuk akal kerana ia lebih mudah untuk anda berbalas teks secara peribadi berbanding menggunakan fungsi itu di dalam grup.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Januhairy, Sambutan Hari Wanita Mewarnakan Bulu Ketiak

Januhairy, Sambutan Hari Wanita Mewarnakan Bulu Ketiak

Selepas cabaran tidak bercukur bulu ketiak pada November 2018 lalu, wanita seluruh dunia kini meraikan pergerakan 'Januhairy', kononnya ia antara langkah untuk memperkasakan wanita global.

Mewarnakan Bulu Ketiak

Diperkenalkan Laura Jackson, penuntut seni lakonan, ia mula mendapat perhatian ramai di Internet malah, wanita seluruh dunia mula memaparkan diri mereka berbulu ketiak tanpa segan silu menerusi platform media sosial.

Langkah itu katanya untuk membuktikan usaha memperkasakan wanita, yakin dan selesa dengan tubuh masing-masing.

Sama ada Instagram atau Twitter, masing-masing dengan bangga menunjukkan ketiak yang tidak bercukur dengan kreativiti masing-masing.

Malahan ada yang mewarnakan bulu ketiak umpama unicorn termasuk hijau, kuning dan merah.

Pada masa sama, pelbagai reaksi turut diberikan netizen berkaitan gelagat golongan wanita ini, sekali gus menunjukkan tidak semua pihak bersetuju dengan 'Januhairy'.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Ibu Terkejut CCTV Berjaya Rakam Hantu Anak Di Dapur!

Ibu Terkejut CCTV Berjaya Rakam Hantu Anak Di Dapur!

Seorang ibu percaya bahawa kamera litar tertutup (CCTV) berjaya merakam kelibat hantu anak lelakinya di ruang dapur selepas satu entiti dikesan oleh alat pengesan kamera tersebut.

CCTV rakam hantu anak

Ibu kepada dua anak, Jennifer Hodge sedang menonton televisyen bersama anak perempuannya, Lauren, 21, ketika dia menerima notifikasi yang dihantar pada telefon bimbitnya.

Apabila mereka membuka gambar tersebut, mereka ternampak figura seorang lelaki berjambang dan kelihatan seperti ahli keluarga mereka, Robbie, yang meninggal dunia pada usia 23 tahun dua tahun sebelumnya akibat terlebih dos dadah.

Pada mulanya, ejen hartanah berusia 57 tahun itu terkejut dengan apa yang dilihatnya, namun berasa tenang kerana mempercayai ia adalah petanda anak lelakinya berada dalam keadaan tenteram.

Jennifer dari Georgia, Amerika Syarikat berkata, "Memang gila. Saya rasa seperti tidak percaya.

"Saya terbaring di katil untuk menonton TV dengan anak perempuan saya dan baru hendak melelapkan mata.

"Telefon berada antara kami berdua dan saya dapat notifikasi yang memberitahu ada orang di dapur.

"Dia (Lauren) berkata 'Ibu, ada orang di dapur. Ibu, itu Robbie!'

"Dan memang ia nampak seperti Robbie, berjambang."

Mereka berdua berlari ke dapur dan melihat tiada kesan orang pecah masuk ke rumah tersebut.

Jennifer berkata, "Sekarang, saya rasa dia nak sampaikan yang dia bahagia di syurga.

"Ia membuatkan saya tenang, tapi saya masih rasa ia sesuatu yang pelik.

"Kamera kami boleh mengesan pergerakan dan bunyi bising, tapi tiada penceroboh ketika kami berlari ke dapur.

"Saya dan Robbie pernah membuat kebajikan sebelum dia meninggal dunia.

"Kami mengubah perniagaan hartanah kepada aktiviti menyelamatkan nyawa dan menghentikan ketagihannya terhadap dadah."

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Friday, January 18, 2019

8 Perkara Menarik Tentang Perayaan Ponggal Kaum Hindu

8 Perkara Menarik Tentang Perayaan Ponggal Kaum Hindu

Ramai yang bukan berbangsa India masih kabur mengenai perayaan terbesar agama Hindu, iaitu Ponggal yang telah menjadi amalan kebudayaan turun-temurun dan disambut untuk mengalu-alukan ‘musim menuai’.

Perayaan Ponggal

Di Tamil Nadu, India, perayaan ini disambut oleh semua orang tanpa mengira anutan agama, sama seperti sambutan Tadau Kaamatan di Sabah.

Pendek kata, sambutan ini menghargai usaha keras para petani dan haiwan domestik seperti lembu dan kerbau serta alam semulajadi yang menjadi asas kepada keperluan utama manusia, iaitu makanan.

Sebagai simbolik kepada sambutan ini, ia dimulakan dengan memasak nasi manis berasakan susu, gula perang, kekacang dan minyak sapi serta beberapa manisan lain yang dipersembahkan kepada Dewa Matahari, lembu dan dimakan oleh seluruh ahli keluarga.

Mari kita lihat 8 perkara mengenai sambutan Pesta Ponggal yang mungkin anda tidak tahu.

1. Sambutan Bhogi

Sehari sebelum Ponggal, pada awal pagi, akan dimulakan dengan sambutan Bhogi.

Ia adalah amalan membakar barang lama, lusuh dan menggantikannya dengan baru, simbolik kepada permulaan bulan mulia, ‘Thai’ dengan membuang segala yang negatif di dalam diri.

2. Menghias Kolam

Kolam adalah dekorasi yang wajib ada pada sambutan Ponggal kerana ia juga meraikan serangga-serangga seperti semut sebagai sebahagian daripada eko sistem di mana ‘kolam’ itu sendiri menjadi bahan makanannya.

Lazimnya, kolam titik menggunakan tepung beras dilukis, ia berbeza dengan kolam rangoli yang menggunakan beras berwarna.

3. Ponggal ialah nama sejenis masakan

Ia merupakan nasi manis yang dimasak menggunakan susu, buah pelaga, gula perang, buah gajus, kismis dan minyak sapi.

Pada perayaan ini, nasi yang dimasak akan dipersembahkan kepada Dewa Matahari dan diberi makan kepada lembu-lembu diikuti ahli keluarga, saudara dan kenalan.

4. Hari Sambutan

Ponggal disambut selama 4 hari, bermula dengan Bhogi, awal pagi sehari sebelum sambutan sebenar.

Hari pertama sambutan adalah Ponggal rumah, hari kedua pula Ponggal untuk haiwan lembu dan hari ketiga, Ponggal lawatan di mana melawat sanak saudara.

5. Sambutan Ponggal Kedua

Pada sambutan Ponggal kedua yang meraikan lembu dan kerbau, lazimnya penternak dan petani akan mewarnakan tanduk lembu, memakaikan kain berwarna, kalung bunga serta memberi makan kepada haiwan itu.

Pemujaan kecil juga dijalankan sebagai tanda berterima kasih kepada haiwan yang turut membantu dalam kerja pertanian seperti membajak selain menawarkan susu yang menjadi salah satu makanan danminuman utama.

6. Ponggalo Ponggal

Ketika memasak nasi Ponggal, susu dimasukkan terlebih dahulu dalam periuk tanah. Hanya selepas susu mendidih dan melimpah keluar, beras dimasukkan untuk memasak nasi tersebut.

Menariknya, semua orang akan menjerit “ponggalo ponggal” ketika susu mendidih keluar. Ia menandakan ‘limpahan kegembiraan, kemuliaan dan kesejahteraan’.

7. Menghias Pintu Rumah

Pintu masuk rumah juga didekorasi dengan batang tebu, daun kunyit dan ‘thoranam’ yang dibuat menggunakan lepah pokok kelapa.

Batang tebu menandakan kemanisan yang berterusan, daun kunyit menandakan kesejahteraan dalam keluarga dan ‘thoranam’ pula tuah yang baik.

Jika anda lihat pintu rumah dengan batang tebu di kedua-dua belah, tandanya mereka menyambut Ponggal.

8. Sambutan Di Malaysia

Di Malaysia, Ponggal bukan sahaja perayaan keagamaan malah sambutan memasak nasi manis ini turut diadakan di banyak tempat sebagai sebahagian daripada festival melibatkan pelbagai kaum.

Pusat pengajian, pejabat, badan bukan kerajaan (NGO) dan banyak pihak menganjurkan sambutan Ponggal untuk disambut oleh semua orang secara bersama.

Kalau ada peluang, semua orang boleh sertai perayaan Ponggal berbentuk festival yang diadakan berdekatan dengan tempat anda dan ketahui lebih lanjut mengenai perayaan ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: fmt

Mufti Perjelas Maksud 'Al' Pada Nama Sultan Pahang

Mufti Perjelas Maksud 'Al' Pada Nama Sultan Pahang

Penggunaan perkataan 'Al' di hadapan nama Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah adalah mengikut nahu Arab yang tepat.

Al-Sultan Abdullah

Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata Al-Sultan Abdullah telah mempersetujui penggunaan nama itu kerana mengambil kira ketepatan nahu Arab, berbeza daripada kebiasaan orang Melayu yang terus menyebut 'Sultan'.

"Penggunaan 'Al' ini adalah disebabkan nahu Arab seperti mana perkataan 'the' di dalam bahasa Inggeris memandangkan Abdullah adalah kata nama khas.

"Itu yang dipersetujui tuanku (cara penggunaan dan sebutannya) supaya nahu dalam bahasa Arab juga tepat," katanya.

Al-Sultan Abdullah yang dimasyhurkan pada Selasa lalu, merupakan Sultan Pahang keenam selepas mengambil alih takhta pemerintahan daripada Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah ekoran keadaan kesihatan baginda yang gering.

Istiadat pemasyhuran berlangsung di Balairung Seri Istana Abu Bakar di Pekan, tiga hari selepas Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah mengumumkan pelantikan itu yang dibuat mengikut Perkara 9A Bahagian 1 Undang-undang Tubuh Negeri Pahang.

Abdul Rahman seterusnya memaklumkan nama Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bermaksud ‘Sultan Abdullah Pembela Agama Yang Terpilih Oleh Allah’ adalah pemilihan baginda sendiri.

"Saya hanya diminta untuk mengesahkan adakah maksudnya tepat.

"Saya melihat nama itu merupakan sebahagian daripada nama ayahanda iaitu Shah manakala Ri'ayatuddin adalah nama nenda baginda," katanya.

Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah adalah Sultan Pahang kelima yang menaiki takhta pada 7 Mei 1974 selepas kemangkatan Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Benarkah Dakwaan Minum Darah Nabi Muhammad SAW?

Benarkah Dakwaan Minum Darah Nabi Muhammad SAW?

Tular satu rakaman video bahawa seorang individu mendakwa dia dan beberapa orang lain meminum darah Nabi Muhammad SAW. Adakah dakwaan ini benar? Dan apa hukumnya amalan sebegini?

Darah Nabi

Jawapan:

1. Sukar untuk memastikan kesahihan video ini. Besar kemungkinan rakaman tersebut adalah benar atau juga palsu.

2. Jika benar rakaman video tersebut, maka apakah maksud ayat minum darah Nabi. Adakah ia secara zahir dan hakikat atau sekadar kiasan sahaja. Setelah merenung dalam, nampaknya ia bermaksud secara zahir dan hakikat.

3. Tiada dinyatakan satu hadis menyuruh agar meminum darah Nabi. Mengikut sirah yang berlaku ialah perbuatan seorang sahabat yang meminum darah baginda. Perbuatan itu bukanlah arahan daripada Nabi, maka tidak menjadi keperluan, kewajipan atau sunah untuk meminum darah Nabi.

Maka dalam isu ini, tidak wajar dan seharusnya perkataan sebegini tidak diucapkan.

Ini hanya akan menimbulkan keresahan dan kekeliruan dalam masyarakat Islam serta menimbulkan kelucuan dikalangan masyarakat bukan Muslim. Umat Islam tidak seharusnya percaya kepada cerita pelik sebegini.

Apabila kita meneliti kisah orang soleh dan wali Allah, golongan soleh terdahulu tidak membuat dakwaan sedemikian.

Apa yang berlaku ialah penceritaan orang lain menyaksikan perkara aneh berlaku.

Seorang wali, Tok Kenali contohnya, tidak pernah mendakwa bahawa beliau dapat ke mana sahaja dengan segera, tetapi masyarakat menceritakan keajaiban yang berlaku.

Tok Kenali tidak pernah berkata bahawa hatinya sentiasa berzikir, namun diceritakan bahawa Tok Kenali adalah insan yang banyak zikirnya.

Maka tradisi orang soleh tidak akan mendakwa perkara pelik dengan begitu mudah.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Iblis Itu Alim Tetapi Sombong

Iblis Itu Alim Tetapi Sombong

Ibnu Abbas menceritakan bahawa Iblis awalnya bernama ‘Azazil yang terhormat dan memiliki 4 sayap, merupakan raja di langit dunia dan juga penjaga syurga, amun, hal ini juga membuat ia merasa bongkak.

Iblis Itu Alim

Berkatalah Iblis, “Tidak sekali-kali Allah memberiku tugas ini melainkan kerana aku mempunyai kelebihan di atas para malaikat.”

Dan walaupun iblis sangat sombong, ia juga sebenarnya sangat alim dan berilmu pengetahuan.

Jika engkau bertanya tentang Al-Quran kepada iblis, maka iblis akan dapat menerangkan dengan sangat jelas, kerana iblis tahu bila ayat itu turun dari langit.

Jika engkau bertanya tentang ilmu hadis kepada iblis, maka iblis akan dapat menjelaskannya dengan lancar, kerana iblis tahu asbabul wurud dari hadis tersebut.

Jika engkau bertanya tentang kisah para nabi, iblis akan dapat menceritakannya dengan baik, kerana iblis sudah ada sejak nabi Adam masih berada di dalam syurga.

Iblis ahli Quran.
Iblis ahli hadis.
Iblis ahli riwayat.
Iblis ahli ibadah.
Iblis alim dan pandai dalam segala ilmu.

Tapi, iblis tidak pernah menjadi kekasih Allah, kerana dalam diri iblis ada kalimat..

“AKU LEBIH BAIK DARI KAMU!”

Semoga sedikit ilmu yang dititipkan Allah di hati kita tidak menjadikan kita sombong dalam segala urusan.

Kita juga akan faham bahawa ilmu tidak menjamin seseorang itu menjadi taat dan soleh, serta dikasihi Allah.

Yang aku takut,
Hatiku kian mengeras dan sukar menerima nasihat,
Namun sangat pandai menasihati orang lain.

Yang aku takut,
Aku merasa paling benar,
Sehingga merendahkan yang lain.

Yang aku takut,
Egoku terlalu tinggi,
Hingga merasa paling baik di antara yang lain.

Yang aku takut,
Aku lupa bercermin diri sendiri,
Namun sibuk berprasangka buruk kepada yang lain.

Yang aku takut,
Ilmuku akan membuatku menjadi sombong dengan memandang yang lain lebih rendah ilmunya dariku.

Yang aku takut,
Lidahku makin lincah membicarakan aib orang lain,
Namun lupa dengan aibku yang menggunung.

Yang aku takut,
Aku hanya hebat dalam berkata namun buruk dalam perbuatan.

Yang aku takut,
Aku hanya cerdas dalam mengkritik, Namun lemah dalam memperbaiki diri sendiri.

Yang aku takut,
Aku membenci dosa orang lain,
Namun di saat aku sendiri yang membuat dosa aku tidak pula membencinya.

Semoga Allah SWT sentiasa menyedarkanku sehingga aku lebih rajin menilai kelemahan dan keburukan diriku sendiri daripada menilai keburukan orang lain. Aamiin.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM