Friday, January 18, 2019

Mufti Perjelas Maksud 'Al' Pada Nama Sultan Pahang


Penggunaan perkataan 'Al' di hadapan nama Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah adalah mengikut nahu Arab yang tepat.

Al-Sultan Abdullah

Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata Al-Sultan Abdullah telah mempersetujui penggunaan nama itu kerana mengambil kira ketepatan nahu Arab, berbeza daripada kebiasaan orang Melayu yang terus menyebut 'Sultan'.

"Penggunaan 'Al' ini adalah disebabkan nahu Arab seperti mana perkataan 'the' di dalam bahasa Inggeris memandangkan Abdullah adalah kata nama khas.

"Itu yang dipersetujui tuanku (cara penggunaan dan sebutannya) supaya nahu dalam bahasa Arab juga tepat," katanya.

Al-Sultan Abdullah yang dimasyhurkan pada Selasa lalu, merupakan Sultan Pahang keenam selepas mengambil alih takhta pemerintahan daripada Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah ekoran keadaan kesihatan baginda yang gering.

Istiadat pemasyhuran berlangsung di Balairung Seri Istana Abu Bakar di Pekan, tiga hari selepas Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah mengumumkan pelantikan itu yang dibuat mengikut Perkara 9A Bahagian 1 Undang-undang Tubuh Negeri Pahang.

Abdul Rahman seterusnya memaklumkan nama Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bermaksud ‘Sultan Abdullah Pembela Agama Yang Terpilih Oleh Allah’ adalah pemilihan baginda sendiri.

"Saya hanya diminta untuk mengesahkan adakah maksudnya tepat.

"Saya melihat nama itu merupakan sebahagian daripada nama ayahanda iaitu Shah manakala Ri'ayatuddin adalah nama nenda baginda," katanya.

Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah adalah Sultan Pahang kelima yang menaiki takhta pada 7 Mei 1974 selepas kemangkatan Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon