Wednesday, June 13, 2018

'Fan BingBing Palsu' Pembedahan Plastik Paling Berjaya Di Dunia!

'Fan BingBing Palsu' Pembedahan Plastik Paling Berjaya Di Dunia!

Ramai melakukan pembedahan plastik untuk menyerupai wajah atau penampilan idola masing-masing, tetapi tak ramai yang betul-betul berjaya.

'Fan BingBing Palsu' Pembedahan Plastik Paling Berjaya Di Dunia!

Salah satu kes melibatkan He Chengxi, seorang gadis yang berusaha keras menyerupai wajah aktres terkenal, Fan Bingbing dan akhirnya berjaya membuatkan orang ramai keliru.

Walaupun kini sedang dalam siasatan kerana mengelak cukai, Fan Bingbing kekal sebagai salah seorang selebriti terkenal di China.

Dia adalah seorang pelakon, produser, penyanyi dan ikon fesyen yang berjaya.

Penampilannya yang menarik telah menarik perhatian jutaan peminatnya di China dan luar negara, jadi tidak hairanlah ramai wanita ingin menjadi seperti dirinya.

Ramai yang telah mencuba, tetapi Chengxi, 23, adalah satu-satunya individu yang berjaya dan kini dia adalah bintang media sosial.

Dia dilaporkan membelanjakan ribuan ringgit untuk melakukan pembedahan kosmetik dalam tempoh lapan tahun dalam usaha menjadikan dirinya kelihatan seperti Bingbing.

Chengxi mula menjadi tajuk utama antarabangsa kerana persamaannya dengan Bingbing beberapa tahun lalu, selepas membuat persembahan di pertandingan nyanyian popular di China 'Super Girl'.

Ketika itu, juri dan penonton terpegun dan terkejut melihat wajahnya.

Walaupun tersingkir pada pusingan pertama, penganjur memberikannya 'wildcard' supaya dia dapat berada dalam program itu lebih lama lagi.

'Fan BingBing Palsu' Pembedahan Plastik Paling Berjaya Di Dunia!

Tindakan itu dianggap kontroversi pada masa itu, tetapi gadis berkenaan menjadi selebriti tidak lama kemudian.

Media di China mula melakukan penyelidikan mengenai Chengxi dan melaporkan bahawa dia telah menjalani pembedahan plastik selama lapan tahun untuk mengubah wajahnya menyerupai BingBing.

Sina menulis bahawa teman lelakinya bahkan membuka klinik pembedahan plastik sendiri untuk membantu Chengxi, walaupun maklumat tersebut belum disahkan.

Ia bagaimanapun bukan perkara besar kerana apa yang lebih penting klinik itu dilaporkan menjadi sangat popular selepas kejayaan Chengxi yang kini dianggap pakar dalam mengubah pelanggannya menjadi selebriti pujaan mereka.

Digelar 'Fan BingBing Palsu' oleh netizen di China, Chengxi benar-benar mengelirukan orang ramai.

Sukar untuk membezakan dirinya dengan Fan BingBing sebenar, termasuklah jurugambar AFP yang baru-baru ini menyiarkan gambar Chengxi dan melabelnya sebagai BingBing.

Foto itu diambil di festival filem Cannes di mana kedua-dua mereka hadir dan lelaki itu tidak dapat membezakan mereka.

Dengan lebih daripada 1.2 juta pengikut di Weibo, Chengxi adalah selebriti media sosial utama di China.

'Fan BingBing Palsu' Pembedahan Plastik Paling Berjaya Di Dunia!

Walaupun mendapat populariti kerana persamaan dengan BingBing, dia kini mahu diiktiraf kerana dirinya sendiri.

"Saya selalu beritahu mereka saya suka Fan Bingbing dan saya kelihatan seperti dia, tetapi saya bukan Fan Bingbing," katanya kepada Inkstone News.

"Di peringkat antarabangsa, saya harap orang melihat saya sebagai individu bebas."

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Apa Sebenarnya Tugas Yang di-Pertuan Agong?

Apa Sebenarnya Tugas Yang di-Pertuan Agong?

Agong, atau Yang di-Pertuan Agong (YDPA) adalah merupakan ketua negara Malaysia. Memandangkan Malaysia mengamalkan sistem raja berpelembagaan, peranan YDPA adalah sangat luas, namun tertakluk kepada perlembagaan.

Tidak ramai yang mengetahui tentang peranan sebenar YDPA, dan artikel ini bertujuan untuk memberikan pencerahan kepada umum secara ringkas tentang tugas sebenar seorang Agong.

Sejarah Takhta Yang di-Pertuan Agong (YDPA)

Apa Sebenarnya Tugas Yang di-Pertuan Agong?

Pada Ogos 1957, selepas menolak cadangan gelaran Yang di-Pertuan Besar berbanding YDPA, Persidangan Majlis Raja-Raja akhirnya melantik pemegang takhta yang pertama.

Mengikut senioriti, Sultan Johor iaitu Sultan Ibrahim yang memerintah negeri itu sejak 1895 diberikan keutamaan untuk peranan tersebut, namun baginda terpaksa menolak kerana kekangan umur yang sudah tua.

Sultan Abu Bakar dari Pahang yang memerintah negeri itu sejak tahun 1932 adalah individu yang berhak (dari segi senioriti) untuk takhta tersebut, namun telah ditolak oleh sultan-sultan dari negeri lain melalui undian.

Memerintah Negeri Sembilan sejak 1933, Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad akhirnya dilantik menjadi YDPA yang pertama selepas 8 daripada 9 undian sultan-sultan negeri menyebelahi baginda.

Apa Sebenarnya Tugas Yang di-Pertuan Agong?

Persidangan Raja-Raja yang pertama terdiri daripada:
  1. Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah (Pahang)
  2. Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad (Negeri Sembilan)
  3. Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alauddin Sulaiman Shah (Selangor)
  4. Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (Kedah)
  5. Sultan Ibrahim Petra ibni Almarhum Sultan Muhammad IV (Kelantan)
  6. Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail (Perlis)
  7. Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III (Terengganu)
  8. Sultan Yusuf Izzudin Shah ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Nasruddin Shah (Perak)
  9. Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim (Johor)

Turutan Giliran YDPA Dari Segi Senioriti

Apa Sebenarnya Tugas Yang di-Pertuan Agong?

Sejak kitaran pertama 9 YDPA (1957-1994), turutan bagi takhta YDPA antara sultan negeri masing-masing dikekalkan seperti berikut:
  • Yang di-Pertuan Besar of Negeri Sembilan
  • Sultan Selangor
  • Sultan Perlis
  • Sultan Terengganu
  • Sultan Kedah
  • Sultan Kelantan
  • Sultan Pahang
  • Sultan Johor
  • Sultan Perak

Peranan Umum Yang di-Pertuan Agong (YDPA)

Peranan YDPA adalah berdasarkan konsep raja berpelembagaan. Perkara 181 (1) di dalam Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan bahawa kedaulatan dan kuasa raja-raja akan terus berkekalan.

Perlembagaan ini memberi definisi tentang peruntukkan bidang kuasa YDPA.

Antaranya termasuklah memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera negeri-negeri Sabah dan Sarawak serta menjaga kepentingan sah kaum-kaum lain.

Selain itu, baginda juga memainkan peranan sebagai ketua agama Islam bagi negeri baginda sendiri, serta beberapa negeri lain yang tidak beraja seperti Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah-Wilayah persekutuan.

Selain itu, YDPA juga berperanan sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara. Baginda juga mempunyai kuasa untuk mengurniakan pengampunan dan menangguhkan hukuman bagi kesalahan yang dibicarakan oleh Mahkamah Tentera dan semua kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan.

Secara terperincinya, bidang kuasa YDPA terbahagi kepada 3, iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Peranan Eksekutif Yang di-Pertuan Agong (YDPA)

Apa Sebenarnya Tugas Yang di-Pertuan Agong?

Fasal 39 Perlembagaan memberi kuasa eksekutif kepada YDPA. Walaupun terdapat beberapa pengecualian dalam Perlembagaan mengenai kuasa dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong, secara lazim baginda menerima nasihat dari Kabinet atau lebih khusus, Perdana Menteri.

Walaupun bertindak atas nasihat Kabinet atau Menteri atau selepas berunding atau atas cadangan seseorang atau sesuatu pertubuhan (selain Kabinet), YDPA boleh bertindak mengikut budi bicara dalam 3 fungsi Perlembagaan iaitu:
  1. Melantik seorang Perdana Menteri.
  2. Bersetuju atau tidak mempersetujui permintaan membubarkan Parlimen.
  3. Meminta mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja dan mengambil tindakan dalam mesyuarat itu.

Peranan Perundangan Yang di-Pertuan Agong (YDPA)

Apa Sebenarnya Tugas Yang di-Pertuan Agong?

Kuasa perundangan Persekutuan adalah terletak kepada Parlimen yang mengandungi YDPA dan 2 majlis, iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

YDPA sebagai sebahagian komponen Parlimen mempunyai kuasa berikut:
  1. Memanggil Parlimen bermesyuarat dari semasa ke semasa.
  2. Memberhentikan dan membubarkan Parlimen.
  3. Memberi ucapan dalam mana-mana majlis Parlimen.
  4. Memperkenankan Rang Undang-Undang. 

YDPA juga mempunyai kuasa melantik 2 orang senator untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seorang untuk Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya serta mempunyai kuasa melantik 40 orang senator lain.

Peranan Kehakiman Yang di-Pertuan Agong (YDPA)

YDPA mempunyai fungsi penting dalam bidang kehakiman. Antara tanggungjawab baginda adalah:

1. Melantik Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Hakim Mahkamah Agung, Hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi atas nasihat Perdana Menteri setelah dirundingkan dengan Majlis Raja-Raja.

2. Melantik mana-mana orang yang layak dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi untuk menjadi Pesuruhjaya Kehakiman (yang mempunyai kuasa sebagai Hakim Mahkamah Tinggi) atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan (satu langkah sementara sebelum pelantikan tetap sebagai Hakim Mahkamah Tinggi).

3. Memanjangkan perkhidmatan seorang hakim yang berumur lebih 65 tahun. Bagaimanapun lanjutan perkhidmatan itu tidak melebihi enam bulan setelah mencapai umur 65 tahun.

4. Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Perdana Menteri atau Ketua Hakim Negara selepas berunding dengan Perdana Menteri, mengemukakan presentasi kepada YDPA untuk menyingkirkan seorang hakim Mahkamah Persekutuan atas alasan tertentu.

Selepas menerima representasi itu, YDPA akan melantik satu tribunal untuk memberi cadangan dan mungkin atas cadangan tribunal itu menyingkirkan hakim dari jawatannya. YDPA boleh menggunakan budi bicara baginda untuk menerima atau menolak cadangan tribunal untuk menyingkirkan atau mengekalkan hakim.

5. YDPA mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan boleh mengeluarkan Perisytiharan darurat apabila berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku seperti keselamatan, kehidupan, ekonomi atau ketenteraan awam dalam Persekutuan atau negeri dalam keadaan terancam.

6. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Perlembagaan Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak membuat peruntukan yang menetapkan YDPA sebagai Ketua Agama Islam negeri berkenaan.

Kesimpulan

Apa Sebenarnya Tugas Yang di-Pertuan Agong?

Sebenarnya tugas seorang YDPA tidak tertakluk kepada yang dinyatakan di atas sahaja, terdapat banyak lagi peranan lain yang dimainkan oleh baginda.

Untuk memahami dengan lebih lanjut tentang peranan YDPA dan sultan-sultan di Malaysia, rujuk laman sesawang ini, istananegara.gov.my dan majlisraja-raja.gov.my.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

4 Fakta Menarik Baju 'Mao Suit' Kim Jong Un

4 Fakta Menarik Baju 'Mao Suit' Kim Jong Un

Sosok pemimpin Korea Utara Kim Jong Un yang dilihat berpenampilan rambut tegak, berwajah datar dan berkaca mata menjadi tumpuan sebaik sahaja bersemuka buat kali pertama dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Singapura.

4 Fakta Menarik Baju 'Mao Suit' Kim Jong Un

Semasa pertemuan itu Kim Jong Un mengenakan busana yang tidak asing baginya iaitu jaket labuh bewarna hitam dengan garisan kelabu.

Ia dicirikan lagi dengan poket di bahagian hadapan baju dan seluar yang berwarna serupa.

Tidak ada yang luar biasa pada pakaian pemimpin yang digelar Mao Suit itu, malah ada yang berpendapat pakaian Kim Jong Un itu dilihat lapuk dan ketinggalan zaman.

Namun, ada yang menarik mengenai busana Kim Jong Un dan berikut adalah antara empat perkara menarik yang anda perlu tahu mengenai baju Mao Suit ini seperti yang ditulis oleh BBC Indonesia.

1. Baju Mao Suit direka oleh Sun Yat Sen pada tahun 1900an

Ia menjadi pilihan Mao Zedong semasa beliau pertama kali menaiki tampuk kekuasaan komunisme di China sekali gus menjadikan pakaian itu begitu dekat dengan komunisme.

2. Penghasilan Mou Suit menentukan tingkat kasta seseorang

Apabila seseorang itu lebih berkuasa maka bahan pembuatan pakaiannya akan lebih bagus. Begitu juga warna yang dilipilih oleh si pemakai.

Warna yang dekat dengan tentera menggambarkan kekuasaan dan kekuatan sang pemimpin.

3. Pakaian Pemimpin Komunis

Jong Un bukan satu-satunya pemimpin yang memakai busana Mou Suit ini, ia juga pernah dipakai oleh Presiden China Xi Jinping dan pemimpin komunis seperti Josef Stalin.

4. Mou Suit menjadi identiti khas Kim Jong Un dan sebuah gaya yang tak boleh dipisahkan lagi

Secara tidak langsung Kim telah menetapkan sebuah identiti masyarakat Korea Utara kepada dunia.

Ia juga sebagai petanda bahawa Kim Jong Un sebagai seorang yang berpendirian dan dilihat tidak terpengaruh dengan busana barat seperti memakai kot dan tali leher.

4 Fakta Menarik Baju 'Mao Suit' Kim Jong Un

Kim Jong Un berada di negara 'kota singa' itu bagi menghadiri pertemuan dengan presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sempena Sidang Kemuncak kedua-dua negara itu, yang akan diadakan di Hotel Capella, Pulau Sentosa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Kajian Membuktikan Sel Barah Payudara Mampu 'Bersembunyi' Sebelum Aktif

Kajian Membuktikan Sel Barah Payudara Mampu 'Bersembunyi' Sebelum Aktif

Saintis telah mengenal pasti mekanisme yang membolehkan sel kanser berada dalam bahagian lain tubuh sebelum muncul semula beberapa tahun kemudian dengan kesan yang membawa maut, menurut sebuah kajian terbaharu yang diterbitkan.

Kajian Membuktikan Sel Barah Payudara Mampu 'Bersembunyi' Sebelum Aktif

Dalam eksperimen menggunakan sel manusia dan tikus hidup, penyelidik mendapati, menghadkan mekanisme itu dengan ubatan atau manipulasi gen berupaya melumpuhkan sel kanser dan menghalang kemampuan penyakit itu daripada merebak.

Kajian yang diterbitkan di dalam jurnal Nature Communications itu turut menyediakan matlamat untuk pembangunan terapi rawatan kanser payudara.

Kira-kira 90 peratus kematian kanser payudara berlaku akibat metastasis, iaitu apabila penyakit berpindah ke organ atau bahagian lain tubuh.

Saintis sedang berusaha untuk memahami bagaimana sel kanser ini berupaya untuk bersembunyi sehingga berdekad lamanya dan apa sebenarnya yang jadi pencetus kewujudannya.

“Keputusan kami menunjukkan, sel kanser payudara boleh hidup tanpa dikesan, dalam tubuh pesakit untuk tempoh lama, menggunakan proses selular dikenali sebagai autofagi,” kata penulis bersama, juga penyelidik di Institut Kanser Kebangsaan (NCI) di Bethesda, Maryland, Kent Hunter.

Autofagi berlaku apabila mana-mana sel, sama ada sihat atau kanser, merombak komponen dalaman untuk hidup dalam persekitaran lemah tekanan dan kurang nutrisi.

Ia membolehkan sel ditutup secara sebahagiannya, memasuki keadaan sama seperti hibernasi.

Penemuan itu membantu menjelaskan mengapa rawatan terkini sering gagal menghapuskan sel kanser payudara yang kekal selepas pembedahan dan kemoterapi.

“Kebanyakan ubatan antikanser tradisi direka untuk menyasar sel yang membahagi.

"Sel tidak aktif bagaimanapun, tidak aktif atau tidak kerap membahagi, justeru dianggap tahan rintangan terhadap ubatan jenis ini,” kata Hunter.

Hakikat bahawa sel itu bersembunyi dalam tempat lain tubuh juga membantu sel ‘terlepas’ daripada rawatan tempatan seperti radiasi.

Dalam satu kajian, para penyelidik diketuai rakan kerja Hunter, Laura Vera-Ramirez menyuntik sel kanser payudara tidak aktif ke dalam tikus.

Separuh haiwan diberi ubatan yang menghalang autofagi, sementara lain menerima ubat plasebo.

Dalam eksperimen kedua, mereka mengubah gen yang mengawal autofagi.

Kedua-dua pendekatan secara ketara mengurangkan kelangsungan hidup sel kanser dan menghadkan penyebaran, rumus kajian tersebut.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mynewshub

Tuesday, June 12, 2018

Merungkai Misteri Kota Berhantu Kayakoy Di Turki

Merungkai Misteri Kota Berhantu Kayakoy Di Turki

Sudah menjadi gelaran bagi sesuatu tempat yang ditinggalkan dilabel sebagai ‘berhantu’ lebih-lebih lagi jika telah ditinggalkan dalam tempoh masa yang lama. Mungkin kerana kita seringkali membayangkan hantu berada di tempat-tempat yang sepi, gelap dan tidak berpenghuni. Begitu juga alasan mengapa tempat ini digelar sebagai kota berhantu.

Merungkai Misteri Kota Berhantu Kayakoy Di Turki

Terletak kira-kira 8 kilometer ke selatan dari Bandar Fethiye di barat daya Turki, Kayakoy atau Rock Village ini dahulunya menjadi kediaman masyarakat Livissi yang mana mereka merupakan penganut Kristian Ortodoks yang berasal dari Yunani (Greece).

Kota ini dibangunkan pada abad ke-18 dengan jumlah populasi penduduk seramai 10,000 hingga 20,000 orang.

Pada asalnya, kota ini adalah tempat bagi penduduk di Pulau Bizantium Gemiler untuk melarikan diri daripada lanun yang merompak mereka ketika itu.

Sebelum tercetusnya Perang Dunia Pertama, ramai penduduk Yunani di seluruh Turki Barat hidup dengan aman tetapi selepas berlakunya perang, orang Yunani tiba-tiba menjadi musuh terutama kepada kejayaan Uthmaniyah.

Ketika itu, ratusan ribu orang-orang Yunani dibantai semasa perang sebagai sebahagian daripada pembersihan etnik yang dilakukan oleh Turki. Ada yang melarikan diri semula ke Greece dan ada yang dihantar pulang secara paksa.

Merungkai Misteri Kota Berhantu Kayakoy Di Turki

Sementara itu, penduduk Livissi dihalau dari rumah mereka dan terpaksa berjalan kaki ke lokasi lain sejauh 220 kilometer.

Sepanjang proses penghijrahan, ramai yang mati akibat kelaparan dan keletihan yang teruk dan perjalanan ini dicatat sebagai perarakan maut dalam sejarah.

Namun, selepas runtuhnya empayar kerajaan Uthmaniyah, orang-orang Yunani nekad untuk kembali ke tanah mereka dan menyerang Turki.

Perang yang terjadi selama 3 tahun ini tidak lain tidak bukan hanyalah menjadi medan kekejaman, penyembelihan, pembakaran kota dan lain-lain.

Hingga akhirnya, pada tahun 1923 satu perjanjian damai ditandatangani dan kedua-dua negara sepakat untuk melakukan pertukaran populasi.

Lebih dari satu juta penganut Kristian Ortodoks yang tinggal di Turki harus pulang semula ke Greece dan sekitar 500,000 muslim yang tinggal di wilayah Yunani harus kembali ke Turki.

Sebaik peperangan berakhir, Livissi atau Kayakoy ini mula ditinggalkan. Kota bukit berbatu ini tidak lagi menjadi tempat tinggal.

Merungkai Misteri Kota Berhantu Kayakoy Di Turki

Ditambah pula pada tahun 1957 gempa bumi yang melanda kota ini membuatkan ia semakin ditinggalkan.

Kini, Livissi dikenali dengan nama baru digelar sebagai Kayako atau Rock Village, banyak bangunan yang masih dikekalkan untuk dijadikan sebagai monumen bersejarah.

Pada tahun 2014, The Thrillist melaporkan bahawa runtuhan Kota Kuno ini ditawarkan untuk disewa dalam jangka masa selama 49 tahun.

Bermaksud, sesiapa yang mampu menyewa Kayako bakal memilikinya selama setengah abad!

Soalannya, anda rasa dekat sini ada hantu betul-betul tak?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Ketahui Berapa Gaji Agong Dan Elaun Raja-raja Melayu

Ketahui Berapa Gaji Agong Dan Elaun Raja-raja Melayu

Malaysia adalah sebuah negara di dunia yang memiliki paling ramai sultan dan dikebanyakan negara disebelah Asia Pasifik seperti Thailand yang masih ada lagi kekal dengan raja namun, hanya ada satu Raja bagi sesebuah negara.

Ketahui Berapa Gaji Agong Dan Elaun Raja-raja Melayu

Di Indonesia dahulu ada sultan tetapi rakyat memberontak dan jadilah sebuah republik Indonesia dan kebanyakan sultan-sultan di Malaysia adalah berasal dari Indonesia.

Hanya Sultan Kedah yang berasal dari sebelah utara Asia Tenggara iaitu daripada keturunan Raja Suran. Maaf jika tersilap kenyataan ini.

Walaupun kita masih mengekalkan institusi raja sebagai payung kepada rakyat, adakah institusi ini akan terus bertahan dan berkekalan pada masa akan datang? Mungkin.

Elaun untuk Agong dan Permaisuri Agong

Ini adalah dibawah Undang-undang Malaysia Akta 269 (Akta Peruntukan Diraja 1982) bagi bajet tahunan bagi Agong yang mana ia akan dibayar secara bulanan.

Pada tahun 2006, terdapat usul kenaikan gaji Agong bersama-sama pemaisuri Agong yang mana telah diluluskan.

Jumlah sebulan gaji Agong ialah RM87,880.
  1. Privy Purse – RM608,400 (atau RM50,700 sebulan).
  2. Entertainment allowance – RM202,800 (atau RM16,900 sebulan).
  3. Istana Negara Royal Allowance – RM243,360 (atau RM20,280 sebulan).

Jumlah sebulan Pemaisuri Agong ialah RM16 339.
  1. Privy Purse – RM113,568 (atau RM9,464 sebulan).
  2. Entertainment allowance – RM36,504 (atau RM3,042 sebulan).
  3. Istana Negara Royal Allowance – RM46,800 (atau RM3,833 sebulan).

Selain itu, setiap tahun Agong akan memperolehi lebih RM53 juta bagi menampung perbelanjaan istana, sambutan tetamu dan juga kos pemberian gaji kakitangan istana.

Pecahan perbelanjaan di istana adalah seperti berikut:
  1. Perbelanjaan istana dan sambutan tetamu – RM52,259,100.
  2. Gaji kakitangan istana – RM1,004,880.
  3. Bounty Diraja, pemberian dan khidmat khas – RM50,000.

Elaun untuk bekas Agong dan bekas Permaisuri Agong

Setiap bekas Agong yang mengikut giliran akan turut menerima elaun bekas Agong dan bekas pemaisuri Agong.

Ini sudah tertakluk di bawah peruntukkan undang-undang Malaysia Akta 270 (Akta Istana Negara Elaun-elaun Diraja 1982) pindaan 2006.

Dibawah akta ini, elaun akan dibayar kepada bekas Agong dan bekas Permaisuri Agong setiap bulan bagi tempoh seumur hidup.

Pencen khas untuk balu pemaisuri Agong

Elaun sebegini adalah pencen untuk balu Pemaisuri Agong. Contohnya, jikalau Agong itu mangkat semasa baginda sedang memegang tugas sebagai Agong, pemaisuri Agong yang sudah menjadi balu akan turut menerima pencen seperti ini yang tertakluk di bawah Undang-undang Malaysia Akta 223 (Akta Pencen Khas Raja Permaisuri Agong 1979).

Jumlah bayaran pencen balu Agong:
  1. Pencen seumur hidup – RM4,500 sebulan.
  2. Kereta (cukai jalan dan bayaran pendaftaran percuma) atau wang pukal RM250,000 untuk kereta. Juga dapat RM2,590.87 sebulan untuk pemandu dan penyelenggaran kenderaan.
  3. Rumah Kerajaan yang akan diselenggara oleh Kerajaan atau wang pukal RM750,000.

Boleh dikatakan di Malaysia, kebanyakan Sultan sudah pernah menjadi Agong.

Selain memperolehi elaun Sultan mereka turut menikmati elaun bekas Agong setiap bulan iaitu:
  1. Elaun Diraja Istana Negara untuk bekas Agong – RM15,180 sebulan.
  2. Elaun Diraja Istana Negara untuk bekas Permaisuri Agong – RM4,500 sebulan.

Elaun Sultan dan kerabat Diraja

Elaun untuk Sultan dan kerabat diraja di setiap negeri adalah di bawah peruntukkan negeri masing-masing.

Setiap negeri ada Enakmen Peruntukan Diraja.

Jumlah yang elaun Sultan Kedah ada sebanyak RM68,080 sebulan:
  1. Elaun Sultan – RM52,600 sebulan.
  2. Elaun keraian Sultan = RM15,480.

Manakala jumlah yang diterima oleh Sultanah adalah sebanyak RM14,600 sebulan.
  1. Elaun Sultanah – RM12,000 sebulan.
  2. Elaun peribadi Sultanah – RM2,600 sebulan.

Elaun-elaun lain yang diterima kerabat Diraja di Malaysia setiap bulan adalah seperti berikut:
  • Raja Muda – RM13,000
  • Raja Puan Muda – RM5,200
  • Tunku Bendahara – RM4,000
  • Isteri Tunku Bendahara – RM1,250
  • Tunku Temenggung – RM3,500
  • Isteri Tunku Temenggung – RM900
  • Tunku Laksamana – RM3,000
  • Isteri Tunku Laksamana – RM600
  • Anak-anak Sultan – RM1,000

nota: sila betulkan jika fakta diatas ada berlaku kesilapan.

Belanja Mengurus Agong RM13.5 Juta Setahun

PERBELANJAAN rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sepanjang tahun 2017 lalu dan awal tahun 2018 ini adalah berjumlah RM13.5 juta.

Lapor blog The Third Force, jumlah RM13.5 juta merupakan jumlah anggaran perbelanjaan peruntukan untuk Agong dan bukanlah berjumlah suku juta seperti yang disebarkan oleh Datuk A. Kadir Jasin menerusi catatan dalam blog peribadinya.

Sehubungan itu, The Third Force turut memuat naik jumlah peruntukan sebenar Agong bagi tahun 2017 dan 2018 seperti yang tertera dibawah.

Daripada senarai perbelanjaan rasmi ini, dapat dilihat bahawa emolumen atau bayaran gaji yang diterima oleh Agong sepanjang tempoh berkenaan adalah sekitar RM7.6 juta.

Manakala, perkhidmatan dan bekalan am pula berjumlah sekitar RM5.6 juta selain Aset serta Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap masing-masing berjumlah RM170,000 dan RM150,000.

Ia kemudian membawa kepada jumlah penuh sekitar RM13.5 juta sahaja setahun sekaligus menolak spekulasi yang bertebaran bahawa Tuanku telah membelanjakan RM257 juta sepanjang 16 bulan berkhidmat sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: jamilzna | mynewshub

Maksud Waktu AM Dan PM Yang Ramai Tak Tahu

Maksud Waktu AM Dan PM Yang Ramai Tak Tahu

Bagi memudahkan hidup tulisan dan sebutan, banyak unit bilangan telah disingkatkan, sebagai contoh sentimeter kepada cm, kilogram kepada kg, meter kepada m dan macam-macam lagi.

Maksud Waktu AM Dan PM

Hampirseluruh populasi didunia ini menggunakan singkatan am dan pm bagi memberitahu atau menulis waktu, namun tidak tahu apakah maksud bagi kedua-dua singakatan ini.

Jika ditanya, anda pasti akan terkejut hampir kesemua tak tahu apa maksudnya.

Ada yang akan menjawab "after midnight" atau "pastmidday".

Jawapan-jawapan ini adalah salah.

Bukan singkatan dari bahasa Inggeris malah, singkatan am dan pm bukanlah singkatan dari bahasa Inggeris, tetapi merupakan frasa kata Latin.

Ia digunakan bagi memberitahu waktu menggunakan sistem 12 jam.

Menurut Huffington Pos, am merupakan singkatan kepada "ante meridiem" yang membawa maksud sebelum tengah hari, manakala pm pula singkatan kepada "post merediem" bermaksud selepas tengah hari.

Walaupun tidak ada banyak maklumat mengenai bilakah penggunaan am dan pm mula terkenal dalam memberitahu masa, namun ia adalah sistem 12 jam berasal dari Mesir dan Mesopotamia kuno.

Ketika zaman Renaissance, jam mekanikal dengan analog 12 jam muncul di gereja dan istana di seluruh Eropah.

Dan pada hari ini, kebanyakan di antara kita di seluruh dunia menggunakan sistem 24 jam dan sistem 12 jam masih dikekalkan.

Bagi tempat-tempat yang menggunakan standard 12 jam, terdapat pertikaian mengenai apa yang patut digunakan untuk tengah hari dan tengah malam.

Pertikaian dan kekeliruan

Biasanya, orang akan memberitahu 12 pm sebagai rujukan kepada tengah hari dan 12 am untuk tengah malam.

Namun, ada yang percaya bahawa pertukaran dari 11 pm kepada 12 am dan dari 11 am kepada 12 pm adalah sangat mengelirukan.

Ada juga yang mempertikaikan bahawa tengah hari dan tengah malam bukan am dan juga bukan pm kerana kedua-duanya menunjukkan waktu yang tepat pukul 12, jadi secara teknikalnya am dan pm harus digunakan bermula dari 12.01 minit.

Juga, tengah malam adalah kedua-duanya iaitu 12 jam sebelum tengah hari dan 12 jam selepas tengah hari, jadi sangat mengelirukan untuk memilih sama ada am atau pm.

Untuk mengelakkan kekeliruan ini, ramai yang lebih suka menggunakan "12 tengah malam" atau "12 tengah hari".

Tetapi, ia agak pelik menerangkan sebanyak dua kali kerana istilah tengah hari dan tengah malam kedua-duanya membawa maksud yang sama, iaitu jam pada pukul 12.

Mungkin ramai yang tahu bahawa terdapat pilihan yang kurang popular untuk menandakan tengah hari dengan "m", sebagai contoh 12 m, namun anda mungkin mengelirukan orang lain yang mungkin beranggapan "12 midnight".

Disebabkan pertikaian yang berterusan ini, mungkin lebih baik jika kita menggunakan sistem masa tentera iaitu sistem 24 jam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

5 Hidangan Makanan Paling Mahal Di Dunia Yang Hanya Mampu Di Nikmati Golongan Kaya

5 Hidangan Makanan Paling Mahal Di Dunia Yang Hanya Mampu Di Nikmati Golongan Kaya

Tahukah anda ada sesetengah makanan yang harganya lebih mahal daripada sebuah kereta dan kadang-kala mencecah nilai sebuah rumah? Ya! Macam tidak percaya, kan?

Namun, ada segelintir masyarakat yang sanggup menghabiskan banyak wang hanya untuk menikmati makanan yang mewah itu.

Perkara ini menimbulkan persoalan, apa sebenarnya terkandung dalam makanan tesebut sehingga dijual begitu mahal kepada pembeli?

Berikut adalah lima makanan termahal di dunia:

1. Daging Wagyu - AS$2,800

5 Hidangan Makanan Paling Mahal Di Dunia

Menurut sumber, daging ini merupakan sajian golongan atasan di Jepun dan kelompok elit di seluruh dunia.

Malah, rasa daging ini juga jauh lebih enak serta lembut berbanding daging lembu biasa.

2. Pizza Royale 007’ - AS$4,200

5 Hidangan Makanan Paling Mahal Di Dunia

Piza termahal ini dihasilkan daripada ramuan yang mahal seperti ikan salmon Scotland, kaviar, udang, champagne dan daging rusa.

Bukan itu sahaja, lapisan atas piza bersaiz 12 inci ini dibuat daripada kepingan emas 24 karat yang boleh dimakan.

3. Tembikai Yubari – AS$22,872

5 Hidangan Makanan Paling Mahal Di Dunia

Tembikai yang digelar sebagai 'raja buah' ini dijual pada harga yang tinggi kerana rasanya yang manis dan sempurna.

Buah ini merupakan hasil kacukan dua jenis tembikai eksotik dari daerah Yubari, Jepun.

4. Almas beluga caviar - AS$28,000

5 Hidangan Makanan Paling Mahal Di Dunia

Kaviar dihasilkan daripada telur sturgeon albino yang hanya boleh ditemui di Laut Kaspia.

Bungkusan hidangan mewah yang diimport dari Iran ini diperbuat daripada emas 24 karat.

5. Trufel Putih (trifola d’Alba) – AS$160,406

5 Hidangan Makanan Paling Mahal Di Dunia

Trufel, sejenis cendawan mewah yang berasal dari Itali ini merupakan trufel terbesar dan termahal di pasaran.

Menurut sumber, cendawan ini dijual pada harga yang tinggi kerana masa yang diambil untuk tumbuh agak lama, menyebabkan harga sekilo trufel mencecah ribuan dolar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Monday, June 11, 2018

Sejarah Ikon 'Teddy Bear' Tous

Sejarah Ikon 'Teddy Bear' Tous

Ikon ‘teddy bear’ Tous telah muncul sejak 1985 lagi, simbol unik dan comel yang sudah berdiri bermula pada awal perkembangan bisnes antarabangsa dan hari ini ia menjadi elemen wajib ada pada setiap koleksi aksesori yang dihasilkan.

'Teddy Bear' Tous

Ia merupakan salah satu nilai asas buat jenama ini dan mereka mahu seluruh dunia tahu akan nilai kelembutannya.

Ikon bear TOUS lambang nilai kelembutan dan nilai itu mahu dikongsikan bersama anda.

Sejarah jenama TOUS bermula pada 1920 semasa Salvador Tous Blavi dan Teresa Ponsa Mas membuka kedai baik pulih jam tangan di Manresa (Barcelona).

Pada tahun 1965, anak lelaki kepada pemilik jenama ini, Salvador Tous Ponsa berkahwin bersama Rosa Oriol Porta.

Pasangan ini menonjolkan bakat mereka dengan visi dan kreativiti dalam menghasilkan barangan perhiasan dalan versi serba baru.

Sejak itu, TOUS menghasilkan gaya barangan perhiasan unik dan mengubah cara tradisional perhiasan mewah kepada sesuatu yang mampu dan mudah dimiliki.

Barangan perhiasan kini menjadi keutamaan buat jenama TOUS, kerana kejayaannya pada lewat abad ke-20, mereka memutuskan untuk memperluaskan himpunan mereka dalam menawarkan pelbagai item pelengkap gaya termasuk tas tangan, wangian, jam tangan, kaca mata dan aksesori.

Barangan perhiasan menjadi arah tuju pada setiap produk yang dihasilkan dan di bawah penyeliaan pengarah seni syarikat, inspirasi yang berasaskan dari barangan perhiasan ini ditransmisikan kepada kategori lain.

Selain itu, setiap item yang dihasilkan TOUS terus menyerlahkan nilai kelembutan, keseronokan dan semangat muda dalam menceminkan jiwa kepada jenama ini.

'Teddy Bear' Tous

Setiap kategori dan produk yang dihasilkan oleh TOUS mempunyai sesuatu untuk ditawarkan kepada seluruh pelanggannya tanpa mengenal usia dan bangsa.

Di bawah konsep gaya hidup mewah tetapi mampu milik, koleksi dari jenama ini menawarkan kedua-dua asas dan barangan aksesori yang unik.

Jenama ini menampilkan rekaan yang sesuai dengan trend fesyen dan stail semasa sementara rekaan klasik akan sentiasa diperbaharui saban tahun.

TOUS hari ini terserlah dengan inovasi dan kreativitinya, yang mana jenama ini bakal membuahkan rasa keterujaan kepada kesemua pelanggannya dengan koleksi menarik mengikut musim setiap tahun.

TOUS kini menampilkan 30 koleksi barangan perhiasan dan 50 koleksi tas tangan setiap tahun.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: eh


Perbuatan Membatalkan Puasa Yang Sering Menjadi Persoalan Di Bulan Ramadhan

Perbuatan Membatalkan Puasa Yang Sering Menjadi Persoalan Di Bulan Ramadhan

Ramai orang awam yang terhad kemampuan, masa dan rujukan sering berada dalam kebimbangan dengan isu batal dan tidak batal puasa terutamanya ketika di bulan Ramadhan. Lebih dikesali adalah perbincangan tentang ini juga ada meninggalkan perbincangan yang lebih besar berkenaan Ramadhan. (Taysir al-Fiqh - Fiqh As-Siyam, hlm 86-87)

Perbuatan Membatalkan Puasa

Ulama terbilang dunia, Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan meluah rasa kurang setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa.

Beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan disepakati ulama sahaja.

Sebagai contoh, antara isu terbesar yang patut diberikan fokus mendalam di waktu Ramadhan adalah:-

1. Raih Taqwa dan Mendapatkan Keampunan

Sangat jelas arahan Allah dan RasulNya menegaskan keperluan kita berusaha meraih taqwa dan keampunan di dalam bulan ini.

Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang kita mencapai target ini perlu diberikan perhatian lebih.

2. Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran

Firman Allah yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil.

Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebat.

3. Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan Yang 'Confirmed'

Sabda-sabda Nabi berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini.

Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.

4. Kaedah Penambah Pahala & Redha Allah di Bulan Ramadhan Yang 'Confirmed'

Sabda-sabda Nabi yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke Syurga Allah sekali gus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.

Adapun isu perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang disepakati sahaja.

Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah.

Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah: 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak.

Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang akal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.

Adapun yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramdhan.

Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai:-

1. Darah keluar dari tubuh; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.

Hukumnya:

Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar' dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215).

Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah dipinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida' dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)

2. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.

Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.

Hukumnya:

Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut.

Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211).

Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa).

Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.

3. Pil elak haid untuk puasa penuh

Hukumnya:

Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa.

Namun yang terbaik adalah tidak menyekat haid, dan tidak menganggu kitaran fitrah yang telah ditentukan oleh Allah swt. selain itu wanita sedang haid juga masih boleh melaksanakan pelbagai jenis ibadah.

4. Penyembur gas untuk pesakit lelah

Hukumnya:

Pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini.

Isu ini amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.

Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas.

Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa.

Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Julai 2007, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang.

Namun itu adalah pandangan sebahagian ulama kontemporari yang menyakini masuknya serbuk jisim gas ke dalam perut.

Bagaimanapun para ulama masih perlu bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat.

Sebahagian ulama seperti Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut.

Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)

Namun jelas para ulama berhati-hati dalam memberikan keputusan dalam hal ini kerana menyedari walaupun serbuk-serbuk dari inhaler tersebut boleh memasuki ruang perut, namun ia adalah satu keperluan mendesak buat pesakit athma dan tidak pula dilaksanakan secara saja-saja, bukan pula kerana nafsu lapar.

Pandangan terpilih adalah TIDAK BATAL, kerana terdapat perbezaan informasi dan data oleh para pakar perubatan berkenaan ketepatan fakta masuknya jisim ke dalam perut pada setiap kali semburan dibuat.

Justeru, hukum puasa adalah kekal di atas sifat asalnya iaitu sah selagi belum terdapat bukti nyata dan diyakini terbatalnya ia.

Sebagaimana kaedah Fiqh yang ertinya, "Hukum asalnya, kekalnya hukum sesuatu pada sifat sebelumnya."

Justeru, jika ada sekalipun jisim yang termasuk ke dalam perut, ia bukanlah makanan yang mengenyangkan dan bukan pula dilakukan secara suka-suka serta ia tergolong dalam ubat-ubatan yang diperlukan secara mendesak.

Selain itu, jisim yang termasuk ke dalam perut pula adalah tergolong di dalam kategori DIMAAFKAN sebagaimana beberapa kadar air yang tertinggal di atas lidah dan dalam hidung semasa berkumur dan berwudhu. Wallahu a'lam.

5. Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal

Hukumnya:

Terdapat dua jenis: samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, 'pain killer' dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.

Berkenaan suntikan makanan, airseperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan: Pandangan majoriti adalah: Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercanggah dengan hikmah puasa.

Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268; Yasalunaka, 5/53 dll ).

Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.

6. Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu

Hukumnya:

Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa adalah lebih baik.

Ia berdasarkan hadith, "Sempurnakan wudhu, basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa (Riwayat Abu Daud, no 142; At-Tirmidzi, 788; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi; albani; Sohih).

7. Melakukan Maksiat seperti tidak solat

Hukumnya:

Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramadhan. Pahala puasanya pula akan terhapus.

Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa, beroleh keampunan dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104)

Nabi bersabda, "Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah" (Riwayat Ibn Hibban)

8. Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa

Hukumnya:

Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.

Ia berdasarkan beberapa dalil yang ertinya, "Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya." (Riwayat Abu Daud, 2/311 ; Syuaib arnaout : Sohih)

Dan satu lagi adalah yang ertinya, "Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya: Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi: Jangan; tiba-tiba datang seorang tua dan bertanya soalan yang sama: Jawab nabi: Ya ( tiada masalah); kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata, "Aku tahu mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)." (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif)

Al-Qaradawi pula menambah, "Berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya." (Fiqh As-Siyam, hlm 106 )

Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari Ramadhan.

9. Wanita tamat haid

Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas.

Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar.

Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201)

Dalilnya adalah yang ertinya ertinya, "Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya." ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )

10. Keluar air mazi

Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak.?

Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.

Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie, Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.

11. Keluar air mani tanpa setubuh

Mencium dan menyentuh melalui onani sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.

Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)

Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.

Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.

Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.

12. Menelan air liur dan kahak

Hukum : Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159).

Manakala Kahak yang selagi ia belum sampai ke anggota mulut (sebelah hadapan lidah), iaitu masih berada pada had tekak maka tidak membatalkan puasa jika ditelan. Kerana ia masih tidak keluar daripada anggota zahir.

Kahak yang sudah sampai pada mulut, inilah yang menjadi khilaf adakah membatalkan puasa atau tidak.

Ada pendapat yang mengatakan batal dan ada pendapat yang mengatakan tidak batal. Sebahagian ulama berpendapat HARAM menelannya dengan sengaja kerana ia adalah kotoran.

Jadi, kesimpulan yang terpilih adalah kahak yang sampai ke mulut haram ditelan dan kebanyakan ulama menyatakan ia membatalkan puasa.

Manakala yang berada di bahagian pangkal lidah dan tekak, jika ditelan tidak membatalkan puasa.

13. Mandi

Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi SAW mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh, namun mandi junub adalah wajib, bagaimana pula mandi sunat atau harian yang biasa?

Jawapnya ia tidak membatalkan puasa malah sahabat besar seperti Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa.

Anas bin Malik pula adakalanya merendam kepalanya di dalam batu dipenuhi air (seperti telaga) akibat bersangatan panas. (Rujuk Fath Al-bari)

Cuma puasa hanya boleh batal apabila seseorang mandi sambil mencuri minum sebagaimana yang mungkin dilakukan oleh para remaja dan lainnya, maka ia batal kerana minum dan bukan mandi itu sendiri.

14. Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu

Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal.

Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya.

Imam Ibn Qudamah menolak pandangan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)

15. Mengosok gigi ketika berpuasa

Penggunaan ubat gigi, air atau berus gigi merupakan perkara yang dibolehkan bagi mencapai tujuan dan fokus saranan Nabi SAW iaitu kebersihan mulut dan tidak membatalkan puasa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: zaharuddin

Gregg Miller Jadi Jutawan Selepas Mencipta Testis Palsu Anjing

Gregg Miller Jadi Jutawan Selepas Mencipta Testis Palsu Anjing

Gregg Miller adalah bukti bahawa idea gila kadangkala mampu mengubah kehidupan seseorang. Dia adalah pencipta Neuticles, implan silikon untuk anjing jantan bagi menggantikan buah zakar selepas dimandulkan, supaya kejantanan haiwan itu tidak 'hilang'.

Gregg Miller Jadi Jutawan Selepas Mencipta Testis Palsu Anjing

Miller tampil dengan idea penggantian kosmetik semata-mata untuk zakar haiwan pada awal tahun 90-an, ketika dia membeli seekor anjing pemburu yang dinamakan Buck.

Dia enggan menuetralkan anjingnya itu hanya kerana dia tidak mahu anjingnya melalui pembedahan, tetapi selepas Buck hilang selama empat hari gara-gara anjing betina, Miller berubah hati.

Katanya, tempoh empat hari itu sebagai paling mengerikan dalam hidupnya dan dia sedar jika anjingnya tidak dikasi, dia sekali lagi akan berisiko kehilangannya.

Tetapi dia masih mahu kejantanan Buck dapat dilihat, jadi dia bertanyakan tentang implan testis kepada doktor haiwan.

Doktor haiwan itu memberitahunya bahawa ia adalah perkara paling bodoh pernah didengarinya, tetapi Gregg tahu ia bukan mustahil.

Percaya atau tidak, doktor haiwan yang sama tidak lama selepas itu berhubung dengannya untuk menjalinkan kerjasama bagi menjayakan idea itu dan kini, Neuticles, testis anjing palsu sudah pun terkenal di dunia.

Miller baru-baru ini memberitahu CNBC bahawa dia dan 32 pelabur tempatan lain melabur kira-kira AS$100,000 untuk membangunkan Neuticles.

Ibu bapanya menganggap dia gila, semua orang yang mendengarnya berkata idea itu adalah perkara paling teruk yang pernah mereka dengar dan beberapa pembuat tidak mahu melakukannya.

Tetapi dia percaya dengan ideanya dan menggunakan kad kreditnya secara maksimum dan melakukan gadai janji rumahnya hanya untuk menghasilkan testis anjing palsu.

Setelah menguji Neuticle pertama pada 30 haiwan tanpa masalah, sepasang implan testikel komersial pertama dijual pada tahun 1995.

Buah zakar anjing palsu mendapat perhatian beberapa media pada mulanya dan perniagaan perlu diteruskan.

Untuk tiga tahun pertama, Miller tidak tahu sama ada Neuticles akan menjadi seperti yang diimpikan, tetapi dia hanya bekerja keras, mengiklankannya dalam majalah haiwan, menubuhkan rangkaian veterina dan juga bercakap di rancangan radio tentang produknya kepada pendengar.

Usahanya berbalas apabila dia mula menerima beratus-ratus pertanyaan setiap hari. Bagaimanapun timbul satu masalah besar.

Pada mulanya, Neuticles diperbuat daripada plastik keras dan menghasilkan bunyi aneh apabila haiwan itu bergerak.

Orang ramai mengeluh mengenainya, tetapi tidak banyak yang dapat dilakukannya sehinggalah seseorang akhirnya datang dengan alternatif yang lebih baik.

"Itulah masalah yang kami alami selama tiga tahun sehingga beberapa orang genius, mencipta silikon padu," kata Miller.

Miller mendakwa telah menjual lebih 500,000 Neuticles dalam tempoh 25 tahun yang lalu sekali gus menjadikannya seorang jutawan.

Dia telah mengembangkan perniagaannya, menawarkan testis palsu untuk kura-kura, kuda dan lembu jantan. Dia juga menjual sepasang zakar silikon raksasa untuk gajah di sebuah zoo.

Ditanya apakah dia merancang untuk membuat Neuticles untuk lelaki, pencipta itu mendakwa bahawa proses kelulusan FDA akan menjadi terlalu rumit.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar