Monday, November 27, 2017

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (27 November)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (27 November)

Tanggal 27 November merupakan hari ke 331 (hari ke 332 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 34 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (27 November)
Alfred Nobel.

Hari ini juga merupakan sambutan Hari Peringatan Holodomor di Ukraine.

Peristiwa

1095 - Di Majlis Clermont, Paus Urban II menyeru kepada Perang Salib Pertama.

1895 - Alfred Bernhard Nobel menandatangani wasiatnya, memperuntukkan sebahagian besar harta pusakanya untuk mewujudkan Hadiah Nobel.

1946 - Perdana Menteri India Jawaharlal Nehru merayu kepada Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet untuk mengakhiri ujian nuklear dan memulakan pelucutan senjata.

1971 - Pengorbit Soviet Mars 2 menjadi objek buatan manusia pertama tiba di permukaan Marikh apabila ia rosak dan terhempas ke planet tersebut.

1992 - Untuk kali kedua dalam setahun, angkatan tentera cuba menggulingkan Presiden Venezuela Carlos Andrés Pérez.

1999 - Parti Buruh menewaskan Parti Kebangsaan dalam pilihan raya umum, membolehkan Helen Clark menjadi Perdana Menteri wanita pertama terpilih melalui pilihan raya.

2001 - Teleskop Angkasa Hubble mengesan natrium di atmosfera planet luar suria HD 209458 b, atmosfera planet pertama di luar Sistem Suria yang berjaya diukur.

2005 - Pakar bedah Perancis Bernard Devauchelle melakukan pemindahan muka separa yang pertama pada manusia hidup, pada Isabelle Dinoire.

2009 - Banjir kilat di pantai Laut Merah Arab Saudi semasa musim haji menyebabkan 104 orang maut dan lebih 350 lagi hilang.

Kelahiran

1921 - Alexander Dubček, Presiden Czechoslovakia ke-3.

1951 - Ivars Godmanis, Perdana Menteri Latvia yang pertama dan ke-11.

1956 - Sultan Nazrin Muizuddin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah; Sultan Perak ke-35.

1957 - Caroline Bouvier Kennedy, anak John F. Kennedy.

Kematian

1985 - Fernand Braudel, seorang sejarawan Perancis.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (26 November)

sumber: wikipedia

Sunday, November 26, 2017

13 Manfaat Potassium Untuk Kesihatan Yang Ramai Tidak Tahu

13 Manfaat Potassium Untuk Kesihatan Yang Ramai Tidak Tahu

Potassium atau kalium adalah mineral ketiga terbanyak dalam badan manusia dan sinonim sebagai insuran kesihatan tubuh, mengandungi kualiti untuk mengekalkan tahap kesihatan manusia yang tinggi dan kehidupan yang ceria. Kita tidak harus mengabaikan pengambilan potassium dalam diet seharian.

13 Manfaat Potassium Untuk Kesihatan Yang Ramai Tidak Tahu

Manfaat Potassium untuk kesihatan termasuklah mencegah; angin ahmar (stroke), tekanan darah tinggi, keresahan dan tekanan, kekuatan otot, metabolisme, masalah jantung dan buah pinggang, imbangan air (water balance), fungsi-fungsi elektrolitik, sistem saraf dan banyak lagi.

Selain dari bertindak sebagai electrolit, Potassium juga diperlukan untuk mengekalkan jantung, otak, buah pinggang, tisu-tisu otot dan organ-organ penting yang lain dalam badan supaya berada dalam keadaan baik.

Potassium klorida ialah kelainan yang utama mineral ini. Potassium dan sodium menjalankan beberapa fungsi badan yang kritikal.

Tanda-tanda kekurangan Potassium

Kekurangan Potassium di dalam diet akan mengakibatkan tanda-tanda seperti kelesuan dan otot-otot menjadi lemah. Tanda-tanda yang lain termasuklah tindakbalas refleks yang tidak aktif (inactive reflexes), denyutan jantung luarbiasa, anemia dan pening yang teruk.

Seseorang itu juga boleh mengalami tekanan darah tinggi, sakit pada usus, bengkak pada gelenjar (glands) dan kencing manis sebagai kesan serius kekurangan potassium.

Sumber-sumber penting Potassium

Makanan yang seimbang mesti mengandungi kuantiti potassium yang bersesuaian seperti yang dicadangkan oleh pakar pemakanan.

Dalam menyenaraikan sumber makanan penting yang kaya potassium, kita boleh bermula dengan buah-buahan citrus (buah-buahan yang menghasilkan jus yang tinggi kandungan asidnya), sayur-sayuran dan bijirin.

Selain itu, ikan salmon, ayam, susu penuh, jus buah-buahan segar dan almonds dikenali sebagai sumber yang kaya dengan potassium.

Kekacang, ubi dan ternakan ayam dan itik (susu dan daging) juga termasuk dalam senarai ini.

Walau bagaimanapun, sumber potassium yang paling penting ialah pisang.

13 Manfaat Potassium

Potassium boleh dianggap sebagai satu zat yang penting dan membawa beberapa manfaat mencegah penyakit seperti:

1. Angin ahmar (stroke)

Potassium memainkan peranan penting dalam mengekalkan fungsi otak yang normal. Ia adalah sangat penting dalam mencegah berlakunya angin ahmar dalam otak manusia.

Seseorang yang diserang penyakit ini biasanya didapati kekurangan potassium.

2. Paras gula rendah dalam darah

Turunnya paras potassium dalam darah menyebabkan paras gula dalam darah menjadi rendah, menyebabkan kita berpeluh, pening kepala, badan lemah, menggeletar dan cemas.

Pengambilan potassium klorida dan sodium mampu memberi kelegaan segera.

3. Masalah otot

Potassium memainkan peranan penting dalam penguncupan otot. Jumlah potassium yang mencukupi diperlukan untuk penguncupan dan pengenduran otot.

Kebanyakan ion potassium dalam badan manusia hadir dalam sel-sel otot bagi mengekalkan fungsi otot dan mengoptimakan (menjadikannya lebih baik) sistem saraf.

4. Kekejangan otot

Kekejangan otot disebabkan oleh kekurangan potassium di dalam darah, juga dipanggil hypokalemia. Dengan memakan sebiji pisang setiap hari mencegah kekejangan otot.

Pisang adalah kaya dengan potassium.

5. Fungsi otak

Saluran-saluran potassium memainkan peranan penting untuk mengekalkan pengaliran elektrik pada otak dan seterusnya memberi kesan pada fungsi otak.

Ia juga terlibat dengan fungsi otak yang lebih rumit seperti daya ingatan dan pembelajaran. Penyakit yang serius seperti epilepsy berkaitan dengan fungsi saluran-saluran potassium.

6. Tekanan darah

Potassium dapat membantu mengurangkan kesan sodium dalam mengakibatkan tekanan darah yang tidak stabil dan bertindak sebagai komponen yang penting dalam mengekalkan tekanan darah yang normal dalam badan manusia.

Jadi, ia mengurangkan lagi kemungkinan menghidapi sakit jantung dan tekanan darah tinggi.Mineral ini berfungsi menstabilkan tekanan darah.

7. Keresahan dan tekanan

Potassium amat penting kepada orang yang mengalami keadaan mental yang tidak diingini seperti keresahan dan tekanan. Ia dianggap sebagai penghapus tekanan yang sempurna.

Oleh itu, ia memastikan fungsi otak yang berkesan.

8. Kekuatan otot

Inilah manfaat potassium yang amat penting. Ia memastikan pertumbuhan tisu-tisu otot dan penggunaan tenaga yang dibebaskan semasa metabolisme dengan baik.

Ini menambahkan lagi kepentingannya dalam membantu menguatkan otot, termasuk otot jantung yang terdedah kepada bahaya lumpuh (paralysis) disebabkan kekurangan potassium dalam makanan.

9. Metabolisme

Potassium membantu dalam proses metabolik pelbagai zat seperti lemak, protein dan karbohidrat jadi, potassium amat bernilai dalam menyerap tenaga dari zat-zat yang dimakan manusia.

10. Masalah jantung dan buah pinggang

Manfaat potassium mengekalkan kesihatan yang baik untuk jantung dan buah pinggang. Ia memainkan peranan yang sangat penting dalam melancarkan fungsi jantung dan buah pinggang.

Selain daripada itu, potassium membantu buah pinggang mengeluarkan sisa-sisa buangan melalui proses perkumuhan.

Adalah dinasihatkan supaya anda mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu tentang cadangan dos.

11. Imbangan air

Potassium mempunyai satu lagi peranan penting iaitu mengekalkan imbangan air yang diperlukan dalam badan kerana terdapat pelbagai sel memerlukan imbangan air yang baik untuk berfungsi.

Potassium membantu sel-sel ini mendapatkan imbangan airnya.

12. Elektrolit (Electrolyte)

Potassium memainkan peranan yang penting sebagai elektrolit (sejenis cecair di mana arus elektrik mengalirmelaluinya).

Ia membantu mengawal tahap cecair (fluids) dalam badan, juga bagi menjalankan beberapa fungsi badan yang kritikal.

13. Sistem saraf

Potassium membantu meningkatkan tindakbalas saraf untuk menghantar pesanan dari satu sel ke sel yang lain, seterusnya membantu penguncupan otot dalam melakukan pelbagai aktiviti harian.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: facebook

6 Fakta Penyelamat Jangkitan Penyakit Anjing Gila

6 Fakta Penyelamat Jangkitan Penyakit Anjing Gila

Kadar kematian adalah menghampiri 100% apabila seseorang yang dijangkiti virus rabies menunjukkan simptom atau tanda rabies.

6 Fakta Penyelamat Jangkitan Penyakit Anjing Gila

Kewujudan tanda ini menunjukkan bahawa virus penyebab penyakit rabies – lyssavirus – telah menjangkiti sistem saraf tunjang (saraf besar tulang belakang) termasuk otak.

Seseorang yang telah digigit anjing perlu segera membasuh luka tersebut dengan air dan sabun selama 15 minit untuk mengurangkan peluang virus tersebut daripada memasuki sistem saraf badan.

1. Tindakan pertama selepas digigit anjing adalah dengan membasuh luka

Tujuannya adalah untuk membasuh air liur haiwan yang mungkin mengandungi virus rabies – lyssavirus. Ini membantu mengurangkan virus daripada meresap dan menjangkiti saraf.

Luka mestilah dibasuh dengan air dan sabun yang banyak selama 15 minit. Dapatkan rawatan seterusnya di klinik seperti keperluan pemvaksinan anti rabies, antibiotik dan sebagainya.

2. Haiwan lain seperti kucing dan kelawar tertentu boleh menyebarkan Rabies

Anjing menyebabkan 95% kematian rabies manusia, terutamanya di negara-negara Afrika dan Asia. Di benua Amerika, kelawar jenis Vampire Bats merupakan punca utama kes rabies pada manusia.

Haiwan lain yang boleh menyebar rabies di kalangan manusia adalah kucing, rakun, mongoose, musang dan mamalia karnivor yang lain, namun kes-kes sebegini sangat jarang.

3. Kanak-kanak yang berusia 15 tahun ke bawah paling berisiko untuk kematian daripada jangkitan rabies

Kajian menunjukkan 4 dari 10 kematian akibat rabies adalah melibatkan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun.

Ini kerana sifat kanak-kanak yang ceria dan gemar bermain dengan haiwan peliharaan yang comel tanpa mengetahui risiko serangan haiwan tersebut dan pengetahuan tentang penyakit rabies.

Kajian turut menunjukkan kanak-kanak yang digigit binatang lebih suka menyembunyikan gigitan atau calar yang di-alami dari ibu bapa atau penjaga.

Ini menyebabkan mereka mendapat rawatan yang lambat (basuhan tempat luka).

4. Manusia turut bertanggungjawab ke atas haiwan peliharaannya

Tuan punya anjing perlu menjaga kesihatan haiwan peliharaan mereka dengan memastikan vaksin anti rabies telah diberi.

Pemvaksinan sekurang-kurangnya 70% populasi anjing akan membantu memecahkan rantaian penyebaran (chain of transmission).

Usaha ini boleh dimulakan dengan memberi vaksin kepada haiwan peliharaan kerana ia sering bersama-sama dengan tuannya.

Selain itu, anjing peliharaan yang tidak lagi mahu dipelihara hendaklah dirujuk kepada prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan agar anjing tadi tidak terbiar di jalanan.

Anjing yang terbiar boleh terdedah kepada serangan anjing yang dijangkiti rabies.

5. Jangkitan Rabies pada manusia boleh dielak

Jangkitan ini boleh dielak melalui pemberian vaksin anti rabies kepada manusia dan haiwan. Vaksin anti rabies yang diberikan lengkap kepada mangsa gigitan anjing rabies adalah hampir 100% berkesan sekiranya diberikan sebelum tanda-tanda rabies muncul.

Vaksin yang diberikan kepada mereka yang belum pernah digigit tetapi terdedah kepada bahaya gigitan anjing rabies juga membantu dalam menghindari rabies.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mmgazette

Buah-buahan Kunci Kesihatan Mencegah Penyakit Berbahaya

Buah-buahan Kunci Kesihatan Mencegah Penyakit Berbahaya

Kandungan vitamin dan mineral yang tinggi dalam buah-buahan amat penting untuk kesihatan manusia. Di antara kandungan terpenting dalam buah-buahan ialah antioksidan yang tinggi bagi pencegahan penyakit merbahaya seperti penyakit kanser dan penyakit jantung koronari.

Buah-buahan Kunci Kesihatan Mencegah Penyakit Berbahaya

Makan buah-buahan merupakan satu nikmat yang perlu kita hargai di dunia ini, di samping mendapat faedah kesihatan yang telah dibuktikan oleh kajian sains.

Buah-buahan ialah makanan yang sedap dan manis serta sangat sesuai untuk semua peringkat umur. Buah-buahan dan sayur-sayuran telah dipromosikan secara sejagat sebagai makanan kesihatan.

Berdasarkan Konsep Pinggan Sihat yang dipromosikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sejak tahun 2016, pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan yang secukupnya untuk setiap hidangan adalah setengah pinggan atau 50 peratus hidangan yang kita makan.

Di sini jelas menunjukkan kepentingan makan buah-buahan setiap hari bukan sahaja untuk kesihatan yang terbaik malah rasanya yang enak.

KEPENTINGAN BUAH-BUAHAN

Buah-buahan ialah makanan daripada sumber tumbuh-tumbuhan yang mengandungi pelbagai khasiat pemakanan yang sangat penting untuk kesihatan.

Di samping kalori yang ada di dalamnya, kandungan serat atau fiber yang tinggi yang terkandung dalam buah-buahan juga membantu dalam mencegah pelbagai penyakit kronik seperti diabetes, sakit jantung koronari, darah tinggi dan strok.

ANTIOKSIDAN DAN ANTI KERADANGAN

Di antara kandungan yang paling berkhasiat dalam buah-buahan ialah khasiat antioksidan seperti anthocyanidin dalam buah delima, buah pitaya dan buah beri.

Begitu juga kandungan quercetin dalam buah limau oren, resveratrol dalam biji anggur, polifenol dalam buah zaitun, buah kurma dan buah tin.

Antioksidan beta karotina dan karotenoids pula terdapat dalam buah betik, lobak merah, tomato, mangga dan buah kelapa sawit.

Bukan itu sahaja, buah-buahan juga mengandungi agen anti keradangan yang boleh mencegah masalah saluran darah sempit akibat masalah arteriosklerosis, malah sesetengah buah-buahan juga mengandungi bahan fitoestrogen yang mampu menstabilkan hormon wanita.

KEUTAMAAN SUMBER VITAMIN C

Buah-buahan sangat kaya dengan vitamin C terutamanya buah-buahan jenis sitrus seperti limau dan oren.

Buah-buahan lain yang kaya dengan vitamin C ialah jambu batu, buah kiwi, buah epal, buah cili, betik dan tomato.

Dalam satu kajian Cohort yang dijalankan di Jepun selama 20 tahun menunjukkan seseorang dengan paras vitamin C yang paling tinggi mempunyai 29 peratus lebih rendah risiko mendapat penyakit strok atau angin ahmar.

Kajian juga menunjukkan seseorang dengan paras vitamin C yang rendah akibat kurang makan makanan yang tinggi vitamin C lebih mudah mendapat masalah tekanan darah tinggi.

Di sinilah kelebihannya jika kita selalu makan buah-buahan yang kaya dengan vitamin C yang boleh mencegah darah tinggi dan strok.

Dalam satu lagi kajian yang dilaporkan dalam American Jurnal of Clinical Nutrition pada tahun 1991 menunjukkan pemakanan buah-buahan yang tinggi kandungan vitamin C mengurangkan risiko kanser esofagus, tenggorok, mulut, pankreas, perut, usus, payudara dan pangkal rahim.

Di samping vitamin C yang tinggi, buah-buahan juga kaya dengan khasiat lain seperti beta karotina, serat, garam mineral dan polifenol yang merupakan antioksidan yang sangat kuat.

MENCEGAH PENYAKIT KRONIK

Dalam satu kajian yang dibuat oleh University of Copenhagen, Denmark yang mengkaji 100,000 orang lelaki di Denmark tentang tabiat mereka makan buah-buahan dan kaitannya dengan penyakit kardiovaskular.

Kajian ini menunjukkan mereka yang banyak makan buah-buahan setiap hari mempunyai kadar risiko 15 peratus lebih rendah untuk mendapat penyakit jantung koronari dan penyakit kardiovaskular yang lain seperti darah tinggi dan strok.

Kajian ini juga melaporkan bahawa mereka yang mengambil banyak buah-buahan setiap hari mempunyai kadar kematian 20 peratus lebih rendah akibat penyakit kardiovaskular berbanding mereka yang tidak makan buah-buahan setiap hari.

Dalam satu kajian meta-analisis yang dilaporkan dalam jurnal perubatan pada tahun 2014 menunjukkan pemakanan yang tinggi dengan serat menurunkan risiko mendapat penyakit diabetes, sakit jantung, strok dan kanser.

Di samping itu, pemakanan tinggi serat juga mengurangkan paras kolesterol dan tekanan darah tinggi.

Kajian juga menunjukkan pemakanan yang tinggi serat akan menurunkan risiko kematian akibat penyakit kronik secara umumnya sebanyak 15 peratus. Makanan yang tinggi serat juga termasuk buah-buahan di samping bijirin penuh, beras perang, oat, kekacang dan sebagainya.

KANDUNGAN MINERAL TINGGI

Buah-buahan mempunyai kandungan mineral yang sangat baik seperti kalium, magnesium, zink, selenium, kromium dan kalsium.

Buah pisang sememangnya sangat tinggi dengan mineral kalium atau potassium yang sangat baik untuk mengawal tekanan darah tinggi.

Terdapat kaedah pemakanan untuk mengawal tekanan darah tinggi yang dipanggil sebagai DASH yang terdiri daripada pemakanan yang tinggi sayur-sayuran dan buah-buahan.

Kajian juga menunjukkan seseorang yang banyak mengambil buah-buahan akan mempunyai berat badan yang lebih sihat dan ideal.

Oleh itu pengambilan buah-buahan secara konsisten setiap hari akan membantu mengawal berat badan dengan cara yang sihat dan tidak memerlukan seseorang untuk berlapar.

Jadikan amalan pengambilan buah-buahan setiap hari dan setiap hidangan yang kita makan sebagai satu kemestian jika kita ingin mendapat kesihatan yang terbaik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Mitos Cara Makan Buah-buahan Yang Betul

sumber: sinarharian

Punca Lelaki Sukar Capai Ejakulasi

Punca Lelaki Sukar Capai Ejakulasi

Saya baru berusia 21 tahun. Yang membimbangkan saya sekarang ialah, saya sukar mencapai ejakulasi apabila melakukan hubungan seks bersama isteri. Kadangkala saya perlu berbaring untuk mencapai ejakulasi dan ia mengambil masa lebih setengah jam. Adakah ini satu penyakit dan bagaimana mahu merawatnya?

Ejakulasi

Untuk pengetahuan doktor, saya pernah mengadakan hubungan seks dengan teman wanita serta kerap melakukan onani.

Saya juga pernah menghidap sifilis tapi sudah sembuh. Masalah lambat ejakulasi dikesan selepas saya pulih daripada penyakit berkenaan.

PUTERA, Kuala Lumpur

Memandangkan anda terbabit dalam aktiviti seks rambang sejak muda dan pernah dijangkiti penyakit kelamin, anda mungkin tidak menyedari bahawa anda juga membawa penyakit kelamin lain walaupun dikatakan sembuh.

Kajian mendapati 80 hingga 90 peratus individu yang terbabit dengan aktiviti seks rambang, tidak tahu mereka terkena jangkitan penyakit sifilis lain seperti herpes, HPV (kuman virus Papilloma), hepatitis B, chlymidia dan HIV kerana kebanyakan jangkitan itu tidak menunjukkan kesan ketara kepada pembawa.

Orang yang menjadi mangsa ialah pasangannya apabila berkahwin kelak.

Mengenai masalah ejakulasi anda, jika ujian darah yang dilakukan menunjukkan anda bebas sepenuhnya daripada sifilis, ia mungkin berpunca daripada masalah lain.

Selain penyakit kronik seperti kencing manis, masalah urat saraf, penyakit prostat seperti keradangan prostat, stres, keletihan, kurang minat terhadap pasangan dan keresahan juga boleh mengakibatkan lambat ejakulasi.

Masalah ini juga boleh berlaku jika orang yang mengalaminya mengambil alkohol atau dadah.

Yang boleh saya katakan, anda mungkin mudah bosan melakukan hubungan seks dengan satu pasangan kerana anda sudah biasa sangat dengannya.

Jadi, hubungan seks tidak lagi sesuatu yang istimewa buat anda.

Cara terbaik ialah hentikan aktiviti seks rambang dan jalani ujian darah untuk mengesan jika virus penyakit kelamin itu masih wujud.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: drismail

Apa Itu Saka?

Apa Itu Saka?

SAKA adalah jin yang telah berada dalam tubuh manusia yang sudah sekian lama sehingga sebati dengan diri manusia tersebut dan berlaku samada seseorang itu sedar atau tidak kerana ianya diwarisi dari keturunannya.

Apa Itu Saka

Saka ini wujud apabila nenek moyang terdahulu mempelajari ilmu tertentu yang membabitkan jin dan diperturunkan kepada pembawa saka tanpa diketahui atau boleh jadi juga jin tersebut sendiri memilih untuk mendampingi keturunan yang dikehendaki.

Semasa mereka hidup, mereka telah bersahabat dan membela jin-jin tersebut yang dikenali dengan pelbagai nama.

Nama-nama seperti hantu raya, pelesit, pontianak, polong dan lain-lain memang terkenal di kalangan masyarakat melayu.

Namun hakikatnya semuanya adalah sama iaitu makhluk Allah s.w.t. yang dikenali dengan nama jin dan syaitan.

Amalan kebatinan mempertahankan diri ini juga melibatkan ilmu kebal, ilmu penggerun, ataupun amalan yang lebih bersifat peribadi seperti ilmu seri muka, ilmu kebidanan tradisional atau ilmu andaman tradisional.

Pemilik saka yang melibatkan ilmu perbomohan ataupun dukun yang diwarisi oleh seseorang akan membolehkan pewaris memiliki kebolehan untuk melakukan rawatan dan sebagainya yang berkaitan dengan ilmu kebatinan seperti yang pernah dilakukan oleh pewaris tadi, berupaya melakukan rawatan dalam keadaan menurun biarpun dia tidak pernah mempelajari ilmu kebatinan yang khusus.

Dari sinilah lahirnya orang yang tidak sedarkan diri atau separuh tidak sedarkan diri, menurun lalu melakukan rawatan, berupaya menilik sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar dan sebagainya.

Hal demikian berlaku kerana makhluk tadi meresap dalam tubuh orang berkenaan, menguasai otak, jasad, lidah dan pergerakkan lalu menggunakan jasad manusia untuk bertindak.

Keadaan seperti ini dikenali sebagai ‘menurun’ dimana makhluk halus tadi telah menurun atau meresap dalam tubuh manusia lalu bertindak melakukan sesuatu menurut tujuan asal makhluk ini meresap dalam tubuh manusia.

Pelbagai natijah luar biasa (nadir) mencarik kebiasaan adat dan tidak dapat difikiri oleh akal punca dan sebab musabab berlaku seperti yang dijelaskan.

Iaitu boleh melakukan rawatan, menilik benda-benda ghaib, menjadi kebal, digeruni, mengangkat benda-benda berat dan sebagainya yang tidak upaya dilakukan oleh manusia biasa.

Saka telah meninggalkan impak yang sangat besar dan meluas dalam kehidupan manusia kerana ia merangkumi dalam semua aspek jenis kehidupan sama ada dari segi fizikal, spritual, keagamaan, ekonomi, sosial dan sebagainya.

Walaupun saka lebih dilihat ilmu atau amalan yang melibatkan makhluk halus seperti jin dan syaitan tetapi kesan penglibatan saka ini merebak ke segenap aspek kehidupan manusia.

Dengan sebab saka, manusia boleh mendapat penyakit fizikal, menyebabkan pergaduhan suami isteri, menyebabkan manusia tidak bekerja, melakukan aktiviti yang bercanggah dengan Islam dan sebagainya.

Saka ini pula hidup semakin kuat dan angkuh hasil daripada kerjasama manusia dengan jin dan syaitan sepertimana yang diterangkan oleh Allah s.w.t dalam Surah al-An’am, ayat 128 yang bermaksud:-

“Dan ingatlah hari kiamat padanya Allah himpunkan mereka semua (lalu Allah berfirman) “Wahai sekelian jin dan syaitan sesungguhnya kamu telah menyesatkan ramai manusia. Maka berkata manusia yang menjadi penolong-penolong jin dan syaitan itu; “Wahai Tuhan kami, sebahagian kami telah dapat kesenangan dengan sebahagian yang lain tapi dalam keadaan itu ajal kami yang Engkau tetapkan sampai (kami mati tanpa sempat bertaubat). Maka Allah berfirman “nerakalah tempat kamu, kamu kekal didalamnya kecuali apa yang Allah kehendaki”. Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.”

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: darulkahfi

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (26 November)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (26 November)

Tarikh 26 November merupakan hari ke 330 (hari ke 331 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 35 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (26 November)
Topeng emas Tutankhamun.

Hari ini juga merupakan sambutan Hari Perayaan Sylvester Gozzolini, John Berchmans dan Stylianos dari Paphlagonia (Kristian) dan Hari Perlembagaan di India (1949).

Peristiwa

1778 - Ekspedisi pimpinan James Cook sampai ke Maui, pulau kedua terbesar di Kepulauan Hawaii.

1922 - Howard Carter dan Lord Carnarvon menjadi orang pertama memasuki makam Firaun Tutankhamun dalam masa 3,000 tahun.

1942 - Perang Dunia Kedua: Josip Broz Tito dan Partisan Yugoslav mengadakan mesyuarat pertama AVNOJ di Bihać, timur laut Bosnia.

1950 - Perang Korea: Tentera China di Korea Utara melancarkan serangan balas besar terhadap tentera Korea Selatan dan PBB.

2003 - Pesawat Concorde menjalankan penerbangan terakhirnya, dari Heathrow ke Bristol di England.

2008 - Serangan terlaras oleh pengganas dari Pakistan bermula, membunuh lebih 170 orang dan mencederakan lebih 300 lagi di Mumbai, India.

2009 - Keputusan siasatan terhadap penganiayaan seks dalam kawasan ketua biskop Katolik Rom Dublin diterbitkan.

2011 - NASA melancarkan Makmal Sains Marikh dalam misi menaksir sama ada Marikh boleh didiami.

2011 - Parti pimpinan Perdana Menteri John Key memenangi pilihan raya umum New Zealand.

2012 - Sebastian Vettel dan Red Bull Racing memenangi kejuaraan Formula Satu buat kali ketiga berturut-turut.

Kelahiran

1926 - Beji Caid el Sebsi, seorang Perdana Menteri Tunisia.

1939 - Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia yang ke-5.

1949 - Mari Alkatiri, Perdana Menteri Timor Leste pertama.

1949 - Jose Ramos Horta, Perdana Menteri Timor Leste ke-2.

1990 - Danny Welbeck, pemain bola sepak Manchester United F.C.

Kematian

Fidel Castro bekas pemimpin negara Cuba meninggal dunia pada usia 90 tahun.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (25 November)

sumber: wikipedia

Saturday, November 25, 2017

'Oumuamua, Objek Pelik Dari Luar Sistem Solar Dikesan NASA

'Oumuamua, Objek Pelik Dari Luar Sistem Solar Dikesan NASA

Teleskop ahli astronomi yang berpangkalan di Hawaii, Amerika Syarikat telah berjaya mengesan objek pelik, 'Oumuamua, memasuki sistem suria dan ia dipercayai berasal dari sistem yang berbeza.

'Oumuamua, Objek Pelik Dari Luar Sistem Solar Dikesan NASA

Menurut laporan CNN, objek tersebut yang dinamakan 'Oumuamua disahkan bukan dari sistem suria berdasarkan orbitnya dan bergerak dengan kelajuan 137,920 kilometer per jam.

Objek berkenaan mula dikesan pada 19 Oktober 2017 lepas menggunakan Pan-STARRS 1 di Hawaii dan beberapa teleskop lain sebelum ia hilang dari pandangan.

"Apa yang kita temui adalah objek yang ligat berpusing dan bersaiz sebesar padang bola sepak," kata ketua penyelidik dan ahli astronomi, Karen Meech dari Universi Hawaii.

'Oumuamua dilaporkan objek berbatu panjang berbentuk seperti rokok dan mempunyai warna merah gelap disebabkan radiasi akibat sinaran kosmik.

Warna 'Oumuamua dikatakan sama dengan objek yang ditemui di Kuiper Belt yang terletak di luar sistem solar.

Objek berkenaan dinamakan 'Oumuamua berdasarkan lokasi teleskop yang menemuinya.

"Selama beberapa dekad kami berteori mengenai objek dari sistem lain dan sekarang, untuk kali pertama, kita ada bukti pertama ianya wujud," kata pegawai kanan di NASA, Thomas Zurbuchen.

Kata Thomas, penemuan tersebut adalah penemuan bersejarah dan membuka era baharu untuk penyelidikan formasi sistem-sistem di luar sistem solar.

Ahli astronomi juga mengatakan 'Oumuamua dari arah sistem Vega, sebuah bintang yang terang dari konstelasi Lyra.

Disebabkan kelajuannya yang terlalu laju, pelanggaran 'Oumuamua dengan bumi akan menyebabkan kemusnahan dan menghasilkan tenaga lebih hebat dari mana-mana objek dari sistem solar sendiri.

Teleskop Hubble dan Spitzer mendapati 'Oumuamua kini pada kedudukan 124 juta batu dari bumi dan trajektorinya telah melepas orbit planet Marikh dan akan melepas Musytari pada Mei 2018 depan.

'Oumuamua seterusnya akan melepas orbit Zuhal pada Januari 2019 dan meninggalkan sistem solar menuju ke konstelasi Pegasus.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Gua Gomantong Penghasil Sarang Burung Terbaik Di Dunia

Gua Gomantong Penghasil Sarang Burung Terbaik Di Dunia

Disandakan Sabah ada sebuah tempat yang dipanggil Gua Gomantong, sebuah batu kapur yang sangat terkenal sehinggakan orang putih pun sanggup datang ke sini. Ada yang membuat kajian dan ada yang buat rancangan dokumentari untuk ditonton diseluruh dunia.

Gua Gomantong Penghasil Sarang Burung Terbaik Di Dunia

Gua Gomantong adalah gua batu kapur yang terletak di dalam hutan simpan Gomantong di daerah Kinabatangan seluas lebih 3,000 hektar.

Di dalam Gua Gomantong ini terdapat lebih 19 gua lain yang sejak berkurun dahulu menjadi tempat pembiakan burung layang-layang.

Apa yang lebih membanggakan, sarang burung layang-layang yang dihasilkan di dalam Gua Gomantong adalah yang terbaik di dunia.

Ada dua jenis sarang di dalam gua ini iaitu sarang jenis hitam dan sarang jenis putih.

Harga pasaran bagi sekilogram sarang putih boleh mencecah RM7,000 manakala sarang hitam mampu mencecah RM4,000 sekilogram!

Gua Gomantong Penghasil Sarang Burung Terbaik Di Dunia

Dan mungkin ramai yang tidak tahu bahawa, Gua Gomantong inilah pembekal sarang burung terbaik untuk Maharaja China suatu ketika dahulu. Hebat kan!

Anda berminat nak menjadi pengusaha sarang burung?

Tapi jangan pula memandai-mandai untuk mengambil sarang burung di Gua Gomantong kerana memungut sarang burung di Gua Gomantong diselia oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Cuma pencari sarang burung berlesen sahaja yang dibenarkan masuk dan mengambil sarang burung di Gua Gomantong.

Dan masa untuk menuai sarang burung di Gua Gomantong hanya dua kali setahun iaitu antara Februari-April dan Julai-September.

Lipas

Lipas Gua Gomantong

Selain terkenal sebagai penghasil sarang burung terbaik di dunia, Gua Gomantong juga adalah lokasi yang mempunyai populasi lipas paling banyak di dunia.

Dengan suasana kelam dan lembap, Gua Gomantong menjadi tempat paling subur untuk pembiakan lipas.

Dibumbung gua, dinding, lantai, semua ceruk ada lipas. Bukan jutaan tetapi ada berbilion ekor lipas ada di Gua Gomantong .

Dan kerana terlalu banyak lipas di Gua Gomantong, jika berkunjung ke sini, anda akan sentiasa memijak lipas kerana jumlahnya yang terlalu banyak.

Di dalam Gua Gomantong juga dipenuhi jutaan kelawar dengan tahi bertimbun yang jatuh bersepahan di atas lantai gua.

Untuk kemudahan pengunjung melawat ke Gua Gomantong, Jabatan Hidupan Liar ada menyediakan laluan khas untuk pelawat, namun hanya terhad di kawasan yang dikhaskan sahaja.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM